26 Jun 2008

Pas tidak boleh berunding dengan UMNO - Nik Aziz

KOTA BHARU 25 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perundingan dengan UMNO atas apa juga alasan bagi mengelak tercetusnya perpecahan dalam parti itu.
Beliau berkata, Pas tidak akan mengambil risiko untuk mengulangi semula krisis yang melanda parti itu semasa bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pada sekitar tahun 70-an.
Beliau menjelaskan, pada masa itu, Pas telah bertapak kukuh di Kelantan dan ekoran daripada tindakan penggabungan itu menyebabkan berlaku perpecahan teruk di kalangan kepimpinan dan ahli sehingga wujudnya parti-parti serpihan.
''Saya nak tegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perjumpaan dan perundingan dengan UMNO kerana masalah besar (perpecahan) akan berlaku dalam parti,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata, pendirian itu juga amat penting bagi menghormati sokongan rakyat termasuk pemimpin dan ahli UMNO, pengundi Cina dan India serta pengundi muda yang telah memberikan undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.
''Mereka ini telah sokong Pas secara sukarela dan sanggup pakai baju tertera lambang parti secara terang- terangan dan bantu kempen, jadi apabila kita berunding dengan UMNO, maka akan sia-sialah pengorbanan dan sokongan mereka.
''Saya juga percaya Muktamar Agung Pas di Perak kelak akan menjadi medan para perwakilan 'mengamuk' dan kepimpinan akan dikecam hebat jika Pas mengadakan perundingan dengan UMNO,'' katanya.
Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz tidak menghalang sebarang usaha perjumpaan peribadi antara pemimpin UMNO dan Pas selagi ia tidak melibatkan parti dan dasar yang diperjuangkan.
''Pas tidak melawan ahli UMNO, tetapi sebaliknya kita hanya melawan batang tubuh UMNO yang jelas secara salah memperjuangkan pengasingan antara agama dan politik dalam perlembagaan mereka,'' katanya.
Nik Abdul Aziz juga mengalu-alukan ahli UMNO untuk menyertai Pas dengan menganggap tindakan itu bukannya melompat parti, tetapi kembali kepada keadaan asal dan fitrah.
''Orang UMNO adalah Islam dan balik semula kepada Islam setelah sebelum ini 'terlanjur' jauh dengan berjuang dalam UMNO. Tindakan ini bukan melompat parti, tetapi kembali kepada keadaan asal,'' dakwa beliau.
- UM, 26/06/08.

Bukti awal perpecahan PKR Selangor - Khir Toyo

SHAH ALAM 25 Jun - Peletakan jawatan Setiausaha Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar, Mohd. Yahya Shahri, menjadi bukti awal perpecahan parti tersebut di negeri ini.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, tindakan Mohd. Yahya menunjukkan PKR mempunyai masalah dalaman yang tidak terkawal termasuk krisis kepercayaan di peringkat pucuk pimpinan.
Beliau hairan bagaimana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sanggup menggantung tugas pegawai kanannya sendiri sedangkan tiada sebarang pendakwaan dibuat ke atas Mohd. Yahya berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehingga kini.
''Jika belum dibuktikan bersalah atau didakwa oleh mahkamah, kenapa Khalid mengambil tindakan sedemikian terhadap Mohd. Yahya. Ini menunjukkan Khalid sendiri tidak percaya kepada pegawai kanannya itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Khir berpendapat langkah Mohd. Yahya meletak jawatan dan pada masa yang sama, mendesak Khalid melepaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PKR Selangor, mengukuhkan tanggapannya tentang masalah yang melanda parti itu.
''Malah, di peringkat pembangkang itu sendiri, mereka sebenarnya meragui antara satu sama lain terutamanya Pas yang dilihat seolah-olah dipinggirkan oleh PKR dan DAP dalam beberapa perkara tertentu.
''Ini termasuk pelantikan ahli majlis, rundingan pemberian air percuma, kutipan sumbangan syarikat swasta sempena sambutan 100 hari dan sebagainya,'' katanya.
Isnin lalu, Mohd. Yahya meletakkan kedua-dua jawatannya itu ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Abdul Khalid menggantung tugasnya selama dua bulan setelah dipanggil BPR Selangor memberi keterangan berhubung kelulusan kontrak pembersihan dan pelupusan sampah di Petaling Jaya, 10 Jun lalu.
Keterangan Mohd. Yahya itu adalah susulan laporan oleh empat individu yang mendakwa ahli PKR kepada BPR Selangor pada 5 Jun lalu, bahawa wujud salah guna kuasa oleh pegawai kanan Menteri Besar dalam pemberian kelulusan kontrak kepada syarikat swasta terlibat.
Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, tindakan Abdul Khalid menggantung tugas Mohd. Yahya menunjukkan sikap 'lepas tangan' Menteri Besar itu dalam menangani perkara tersebut.
- UM, 26/06/08.

Bukti awal perpecahan PKR Selangor - Khir Toyo

SHAH ALAM 25 Jun - Peletakan jawatan Setiausaha Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar, Mohd. Yahya Shahri, menjadi bukti awal perpecahan parti tersebut di negeri ini.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, tindakan Mohd. Yahya menunjukkan PKR mempunyai masalah dalaman yang tidak terkawal termasuk krisis kepercayaan di peringkat pucuk pimpinan.
Beliau hairan bagaimana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sanggup menggantung tugas pegawai kanannya sendiri sedangkan tiada sebarang pendakwaan dibuat ke atas Mohd. Yahya berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehingga kini.
''Jika belum dibuktikan bersalah atau didakwa oleh mahkamah, kenapa Khalid mengambil tindakan sedemikian terhadap Mohd. Yahya. Ini menunjukkan Khalid sendiri tidak percaya kepada pegawai kanannya itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Khir berpendapat langkah Mohd. Yahya meletak jawatan dan pada masa yang sama, mendesak Khalid melepaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PKR Selangor, mengukuhkan tanggapannya tentang masalah yang melanda parti itu.
''Malah, di peringkat pembangkang itu sendiri, mereka sebenarnya meragui antara satu sama lain terutamanya Pas yang dilihat seolah-olah dipinggirkan oleh PKR dan DAP dalam beberapa perkara tertentu.
''Ini termasuk pelantikan ahli majlis, rundingan pemberian air percuma, kutipan sumbangan syarikat swasta sempena sambutan 100 hari dan sebagainya,'' katanya.
Isnin lalu, Mohd. Yahya meletakkan kedua-dua jawatannya itu ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Abdul Khalid menggantung tugasnya selama dua bulan setelah dipanggil BPR Selangor memberi keterangan berhubung kelulusan kontrak pembersihan dan pelupusan sampah di Petaling Jaya, 10 Jun lalu.
Keterangan Mohd. Yahya itu adalah susulan laporan oleh empat individu yang mendakwa ahli PKR kepada BPR Selangor pada 5 Jun lalu, bahawa wujud salah guna kuasa oleh pegawai kanan Menteri Besar dalam pemberian kelulusan kontrak kepada syarikat swasta terlibat.
Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, tindakan Abdul Khalid menggantung tugas Mohd. Yahya menunjukkan sikap 'lepas tangan' Menteri Besar itu dalam menangani perkara tersebut.
- UM, 26/06/08.

25 Jun 2008

Calon boleh hadiri kenduri kahwin, tahlil

KLANG 24 Jun - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon yang terlibat dalam pemilihan UMNO boleh menghadiri atau mengadakan kenduri kahwin dan tahlil asalkan tidak menyalahgunakan majlis itu untuk berkempen.
Beliau berkata, laporan akhbar hari ini yang menyebut bahawa calon dalam pemilihan UMNO dilarang menghadiri majlis kesyukuran, perkahwinan dan tahlil yang dikhuatiri menggunakannya untuk meraih undi, adalah kurang tepat.
"Tentang tak boleh buat kenduri, tahlil itu tak betul. Siapa nak buat kenduri atau tahlil boleh buat. Cuma yang tidak boleh jangan gunakan majlis itu untuk berkempen, itu maksudnya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Pantai Bharu Holdings dan pembukaan bilik pameran Chevrolet di sini petang ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai penguatkuasaan arahan itu mulai bulan depan yang melarang calon daripada menghadiri majlis keramaian seperti perkahwinan, tahlil dan kesyukuran kerana dikhuatiri digunakan sebagai taktik untuk meraih undi.
Tataetika itu juga menegah bakal calon menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi bagi mengelakkan keahlian digantung dan dipecat daripada parti.
Muhyiddin berkata, lembaga disiplin UMNO boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana calon yang melanggar tata etika itu tetapi tidak akan menyekat mereka menghadiri atau mengadakan kenduri kahwin dan tahlil.
"Itu (berkempen dalam majlis) lembaga disiplin (UMNO) boleh buat tindakan tetapi untuk majlis biasa ia tidak disekat sebab ada pihak fikir dalam etika ini mereka tidak boleh adakan kenduri kahwin atau tahlil.
"Larangan berkempen sepatutnya sudah dikuatkuasakan sekarang kerana mesyuarat cawangan UMNO akan mula bersidang bulan depan dan harap ia akan dipatuhi kerana itu adalah keputusan MT," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden UMNO, Muhyiddin berkata: "Belum masanya lagi sebab (UMNO) cawangan belum mesyuarat lagi".
Di KUALA LUMPUR, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mustapa Mohamed berkata peraturan baru untuk bakal calon dalam pemilihan parti itu bukan untuk mengekang kebebasan mereka, tetapi sebagai garis panduan supaya mereka tidak terjebak dengan politik wang.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata arahan baru itu juga bagi memastikan semua kempen dan proses pemilihan parti dapat dijalankan dengan adil dan dalam keadaan terkawal.
"Ini sebagai peringatan supaya yang bertanding tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh dianggap kempen keterlaluan dan politik wang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rodeo Malaysia, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini, hari ini.
Mengenai persiapan pameran MAHA 2008, Mustapa berkata fasiliti tetap bernilai RM280 juta yang berukuran 10,000 meter persegi di Serdang dijadual siap pertengahan bulan depan dan akan menjadi tapak pameran terbesar di negara ini.
Pameran dua tahun sekali pada 11 hingga 23 Ogos ini dijangka menjadi yang terbesar dengan penyertaan pemain industri dari luar negara.
-Bernama, 25/06/08.

Jangan cabar Islam - Sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat – Sultan Azlan

Oleh ZAINI RABAN
IPOH 24 Jun – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini mengingatkan rakyat supaya jangan menguji dan mencabar isu-isu berkaitan agama Islam hingga ke peringkat yang boleh menimbulkan kegelisahan rakyat.
Menurut baginda, ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara mungkin tercetus kerana perkara mengenai agama sangat sensitif dan menyentuh emosi.
“Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersenda, selagi Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi,” titah Sultan Azlan ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini.
Perak diperintah kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu apabila ketiga-tiga parti itu menguasai 31 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) memiliki 28 wakil dalam DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi.
Baginda turut mengingatkan anggota Dewan Undangan Negeri Perak supaya memelihara kemuliaan dewan menerusi perkataan, perbuatan serta tingkah laku selain cara dan adab berpakaian bagi menghormati adat dan resam yang melambangkan kemurnian budaya dan ketinggian tamadun.
Sultan Azlan bertitah, agama Islam diberi pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara dan menjadi tunjang utama dalam pembentukan minda serta budaya khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Titah baginda, berdasarkan latar belakang tersebut, Islam diterima dan diiktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan dan perlindungan sewaktu perjanjian merdeka dirintis.
Justeru, baginda bertitah, masjid dan surau yang merupakan rumah suci Allah juga hendaklah bebas daripada pengaruh mana-mana fahaman politik kepartian.
“Demi menjamin perpaduan ummah, beta sama sekali tidak membenarkan masjid dan
surau dijadikan pentas untuk menjalankan kempen-kempen politik kepartian,’’ tegas baginda.
Pada masa sama, Sultan Azlan mahu kemuliaan DUN Perak dan adat sopan ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa dipelihara baik secara perkataan, perbuatan dan tingkah laku.
Tata cara dan adab berpakaian setiap wakil rakyat, titah baginda, juga hendaklah menghormati adat dan resam yang melambangkan kemurnian budaya dan ketinggian tamadun.
‘‘Beta berharap agar persidangan pertama DUN Perak kali ini dapat berlangsung dalam suasana harmoni serta berupaya menghasilkan pandangan dan idea bernas hingga dapat dijadikan panduan kepada anggota pentadbiran kerajaan,’’ titah Sultan Azlan.
Baginda turut berharap agar kerajaan negeri yang telah diberi perkenan untuk dibentuk berikutan pemilihan yang telah dilakukan oleh rakyat dapat mengotakan segala janji pembangunan.
Sejak merdeka pada tahun 1957, inilah kali pertama kerajaan negeri Perak tidak diperintah oleh perikatan parti UMNO, MCA dan MIC yang menjadi tunjang BN.
“Masa berkempen telah berakhir dan kata-kata yang menjurus kepada kepentingan politik kepartian hendaklah dihentikan,” titah baginda.
Menurut Sultan Perak, mengurus sebuah kerajaan memerlukan pendekatan berlainan dengan era berkempen dan segala tindakan hendaklah disandarkan kepada undang-undang dan peraturan.
Titah Baginda: ‘‘Perbuatan rasuah, diskriminasi dan salah guna kuasa tidak harus dibenarkan berlaku. Beta menyeru supaya semua pihak memiliki azam dan kesungguhan untuk memaju dan membangunkan negeri Perak.
-UM, 25/06/08.

Pemuda Pas kecewa derma masuk akaun PKR

Oleh Rozilan Salleh
SHAH ALAM 24 Jun – Dewan Pemuda Pas Selangor kecewa dengan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran di negeri ini yang memasukkan wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk program itu ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketuanya, Sallehen Mukhyi khuatir perkara seperti itu mungkin boleh berlaku lagi pada masa akan datang melibatkan nilai wang yang lebih besar.
Justeru, beliau mendesak pucuk pimpinan negeri yang diterajui PKR, Pas dan DAP menubuhkan Majlis Perundingan Pakatan Rakyat bagi memastikan kesilapan yang diakui sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tidak berulang lagi.
“Saya fikir benda-benda macam ini berlaku disebabkan tidak ada satu pakatan atau jawatankuasa di peringkat parti, yang ada cuma perbincangan peringkat kerajaan negeri.
“Disebabkan itulah berlaku kebocoran seperti ini tanpa pengetahuan. Selagi tidak ada jawatankuasa peringkat parti, selagi itu tindakan yang membelakangkan semangat pakatan pembangkang akan berlaku, masing-masing ambil tindakan sendiri.
“Kebocoran ini bukan hanya akan menguntungkan pihak lain termasuk Barisan Nasional (BN) yang akan mencari isu untuk didedahkan, tetapi bakal mengundang persoalan di kalangan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang mengakui wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor dimasukkan ke akaun PKR dan bukan kepada kerajaan negeri seperti sepatutnya.
Perbuatan itu dipercayai menimbulkan rasa kurang senang pengerusi penganjur sambutan itu, Datuk Dr. Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor.
Perkara itu terbongkar selepas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Nor mendedahkan wang sumbangan tersebut dimasukkan ke dalam akaun PKR sedangkan surat yang dikeluarkan kepada syarikat swasta untuk memohon sumbangan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor.
Sambutan 100 hari kerajaan campuran pembangkang mentadbir Selangor diadakan di Stadium Shah Alam di sini Jumaat lalu yang dihadiri para pemimpin kanan ketiga-tiga parti.
Sementara itu, Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta polis menyiasat Abdul Khalid di bawah kes pecah amanah jenayah (CBT).
“Siasatan itu perlu dilakukan kerana tindakan Abdul Khalid itu tidak sepatutnya berlaku kerana sambutan berkenaan merupakan acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang memberikan peruntukan penganjuran sebanyak RM200,000.
“Tindakan mengutip sumbangan untuk akaun PKR seolah-olah menunjukkan parti itu cuba mengambil kesempatan daripada sambutan tersebut bagi mendapatkan sumber kewangan,” katanya.
- UM, 25/06/08.

24 Jun 2008

Yang terbaik akan menang - Khairy

KUALA LUMPUR 23 Jun - "Saya pasti yang terbaik akan menang." Demikian komen Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai hasrat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Azman Mohd. Sah, mahu mencabar beliau pada pemilihan parti Disember ini.
Azman, 37, akan mencabar Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau.
Khairy berkata, keputusan Azman yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut menunjukkan UMNO mengamalkan demokrasi.
"Saya tak takut dicabar... ini politik dan dalam UMNO kita amalkan demokrasi. Kita tengoklah dalam pemilihan nanti siapa menang siapa kalah," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu diminta mengulas mengenai keputusan Azman yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Seliau, Rantau, Negeri Sembilan menawarkan diri untuk mencabar Khairy bagi jawatan yang kini disandang Ahli Parlimen Rembau itu.
Azman dalam laporan akhbar semalam berkata, keputusannya itu diambil atas hasrat ingin membawa angin perubahan dan memupuk perpaduan yang telah lama ditunggu-tunggu oleh ahli pergerakan bahagian itu.
Katanya, beliau yakin akan menerima sekurang-kurangnya 28 pencalonan bagi melayakkan diri bertanding menentang Khairy.
Mengenai dakwaan Azman bahawa sebahagian besar ahli Pemuda UMNO bahagian itu berpandangan kepimpinan sedia ada dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja serta gagal membawa perubahan yang diharapkan, Khairy berkata:
"Itu pendapat dia, ada ramai lagi yang tidak sependapat dengan dia."
- UM, 24/o6/08.

2 ahli Parlimen SAPP gagal hadir, ikatan kuat BN terbukti

Oleh AMRAN MULUP dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 23 Jun – Dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar), yang digembar-gemburkan akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri gagal menghadiri sidang Parlimen hari ini.

Sepanjang Dewan Rakyat bersidang dari pagi sehingga malam ini, apa yang dirancangkan itu langsung tidak menjadi kenyataan, ibarat kata pepatah jauh panggang dari api.

Dalam pengundian usul subsidi minyak yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat, ahli-ahli Parlimen BN menunjukkan mereka tetap bersama kerajaan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walaupun tanpa kehadiran Soon Bui dan Majimbun.

Ketidakhadiran dua wakil rakyat SAPP itu menjadikan dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tiga bulan lalu kononnya akan berlaku ‘rampasan kuasa’ dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan pembangkang hanya cakap-cakap politik tin kosong.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, usaha yang dirancang oleh pembangkang merupakan provokasi untuk mengelirukan dan menimbulkan keraguan anggota komponen BN dan rakyat.

“Saya percaya wujud ikatan kuat dalam kalangan parti komponen BN untuk berada di belakang kepimpinan Perdana Menteri dan kami tidak sama sekali akan berpaling tadah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dalam nada geram, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional menegaskan, perbuatan itu sebenarnya satu cubaan untuk menjadikan rakyat dan negara sebagai pertaruhan bagi mencapai kepentingan peribadinya.

Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata, parti pembangkang kini berpolitik dengan cara perang psikologi yang “jelas melanggar semangat demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.”

“Saya melihat mereka ini bermain politik hanya untuk kepentingan peribadi masing-masing tanpa memikirkan soal kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Razali meminta rakyat menunjukkan penentangan terhadap perilaku ahli-ahli politik pembangkang yang cuba mengeruhkan suasana politik di negara ini dengan dakwaan-dakwaan liar.

Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai) pula berkata: “SAPP memang menyedari usaha mereka untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak mungkin terjadi.

“Mereka (SAPP) cuba melakukan perkara itu kerana termakan pujukan pembangkang... akibatnya ahli-ahli parti itu yang tidak menyokong usul tersebut kini menjadi mangsa,” katanya.

Tindakan pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan cakap-cakap mengenai usul tergempar undi tidak percaya terbukti apabila Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga petang ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah.

- UM, 24/06/08.

Calon pemilihan UMNO ditegah hadir kenduri, guna pelobi

Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 23 Jun – Berkuat kuasa bulan depan, calon-calon yang terlibat dalam pemilihan UMNO ditegah menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi bagi mengelakkan risiko digantung keahlian dan dipecat daripada parti.

Tataetika baru pemilihan UMNO yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini turut melarang calon-calon daripada menghadiri majlis perkahwinan, tahlil dan kesyukuran yang dikhuatiri digunakan untuk meraih undi.

Tataetika itu mengkehendaki ahli parti dan calon tidak terlibat dalam salah laku tersebut dan mematuhi ‘tempoh pemilihan’ yang meliputi jangka masa enam bulan sebelum dan enam bulan selepas pemilihan berlangsung.

Sepanjang tempoh pemilihan, ahli-ahli UMNO juga dilarang menerima atau membenarkan anggota keluarga, termasuk isteri, menerima sebarang bentuk hadiah seperti tambang percuma, kemudahan perjalanan, saham, konsesi, kontrak, gelaran dan anugerah.

“Kecuali majlis pertemuan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO negeri, ahli-ahli parti dalam tempoh pemilihan dilarang menganjurkan sebarang pertemuan.

“Contohnya, ahli menghadiri dan menganjurkan kenduri atau majlis tahlil yang disertai pula oleh calon yang berucap untuk meraih undi,” menurut kandungan tataetika itu yang diperoleh Utusan Malaysia hari ini.

Pemilihan UMNO di peringkat cawangan akan bermula dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini, bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November manakala peringkat Pusat yang menjadi tumpuan perebutan jawatan tertinggi parti dari 16 hingga 21 Disember.

Perkara 8.2 tataetika tersebut juga melarang pengundian ala ‘sistem rakit’ yang menetapkan ‘Kabinet bayangan’ kepimpinan tertinggi secara pakej atau kem untuk dipilih oleh perwakilan pada pemilihan semua peringkat parti.

Larangan itu dibuat bertujuan mengelakkan kewujudan kem tertentu pada pemilihan parti yang boleh memecahbelahkan UMNO.

Pengundian secara ‘sistem rakit’ kebiasaannya digerakkan oleh ejen atau pelobi calon tertentu yang mengandungi senarai nama ‘Kabinet bayangan’ kepimpinan dari peringkat Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi.

Di peringkat bahagian dan cawangan pula, ditetapkan ‘barisan kepimpinan’ yang dilarang digunakan meliputi ketua bahagian/cawangan serta timbalannya, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri.

Menurut tataetika tersebut, mana-mana ahli UMNO yang mempunyai maklumat mengenai gejala sistem rakit boleh membuat laporan kepada Ibu Pejabat UMNO.

Jika didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin, mereka yang terlibat dengan kesalahan tataetika boleh dihukum termasuk digantung keahlian dan dipecat daripada parti.

Mengikut Perkara 7.2 tataetika pula, adalah menjadi satu kesalahan bagi ahli-ahli UMNO mempertikaikan keputusan-keputusan MT dan Lembaga Disiplin.

Jika berlaku, perbuatan itu akan dianggap sebagai menghina parti.
- UM, 24/06/08.

15 Jun 2008

Tarikh tepat peralihan kuasa belum ditetapkan

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum ditetapkan lagi.
Perdana Menteri berkata, seperti yang diperjelaskannya semalam, beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh mereka.
Abdullah yang ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO negeri Terengganu, di sini ketika ditanya lanjut berhubung perkara itu, sambil tersenyum berkata:"Nak jelas apa lagi, You (wartawan) tak faham lagi...Ohh dah faham tapi nak tanya lagi...(nak tanya) bila.
"Saya (sudah) terang (jelaskan) semalam, itu sudah jelas, bahawasanya saya dan Datuk Seri Najib memang memahami peralihan kuasa akan dijalankan dalam keadaan yang baik, elok dan tersusun dan tidak menimbulkan apa-apa masalah.
"Dan yang keduanya, yang tetapnya tentu sekali saya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib kerana dialah saya akan pilih (sebagai) pengganti saya," katanya.
Abdullah menegaskan peralihan kuasa itu akan dilakukan sebagaimana kedua-dua mereka memahaminya berhubung perkara itu.
"Tarikh yang tepat belum ditentukan, bila masa tiba, peralihan itu akan dilakukan sebagaimana kami kedua-dua memahami," katanya.
Semalam, Abdullah berkata beliau dan Najib telah sepakat menentukan masa yang terbaik untuk peralihan kuasa itu.
Ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan, Abdullah berkata: "Saya dan Najib telah bermuafakat dan kita berdua telah bersetuju bilakah masanya saya bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih sebagai Perdana Menteri."
- Bernama, 15/06/08.

10 Jun 2008

RTM Tidak Hormati Rakyat Dan Sultan Perak

GERIK, 9 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini sekali lagi meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi ruang kepadanya untuk ke udara di stesen radio Perak.
Katanya beliau masih belum menerima maklum balas berhubung permohonan kepada RTM untuk memberi ruang kepadanya berucap melalui siaran radio Perak FM selama 30 minit seminggu.
"Jawatan Menteri Besar ini diputuskan oleh rakyat dan dilantik selepas mendapat perkenan Sultan (Perak)," katanya berucap pada jamuan bersama rakyat di Dewan Serbaguna di sini, Isnin.
"Kita hanya mahu peluang untuk menyuarakan kepada rakyat tentang dasar-dasar kerajaan negeri... kerana suara kami tidak keluar dalam radio Perak FM maka terpaksalah menjelajah sendiri ke seluruh negeri bagi berjumpa rakyat," katanya.
Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek bulan lepas berkata Kementerian Penerangan tidak pernah menghalang agensi-agensinya seperti RTM membuat liputan aktiviti di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat kerana liputan dibuat berdasarkan nilai berita.
-- BERNAMA, 10/06/08.

DAP dolak-dalik larangan pakai songkok

KUALA LUMPUR 9 Jun - DAP bersikap berdolak-dalik mengenai arahan larangan pemakaian songkok kepada empat orang wakil rakyat parti itu di Johor pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu minggu depan.
Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, wakil rakyat perlu mengikut keadaan di negeri masing-masing.
''Ini isu sensitif. Kita perlu memandang kepada keadaan setiap negeri dan terserah kepada mereka untuk mematuhinya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris semalam yang menyatakan empat wakil rakyat parti itu telah menerima arahan daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang meminta mereka tidak memakai songkok pada pembukaan sidang DUN 19 Jun ini.
Empat wakil rakyat tersebut ialah ADUN Skudai, Dr. Boo Cheng Hau yang juga Presiden DAP Johor; Gwee Tong Hiang (Bentayan); Ng Lam Hua (Mengkibol) dan Ong Kow Meng dari Senai.
Arahan tersebut telah membuatkan kesemua wakil rakyat itu berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai atau tidak songkok pada majlis yang akan dihadiri oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail.
Menurut Seng Giaw, terdapat wakil rakyat DAP di negeri seperti Perak dan Selangor yang memakai songkok sewaktu angkat sumpah atau pembukaan sidang.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen ketika ditanya adakah benar wujud sebarang arahan yang melarang mana-mana ahli DAP memakai songkok.
Seng Giaw turut meminta keempat-empat wakil rakyat DAP di Johor supaya menghubungi ibu pejabat parti itu bagi mendapatkan penjelasan.
''Berhubung dengan Pusat supaya boleh bagi keterangan jelas mengenai perkara tersebut,'' ujarnya.
Sementara itu, Penasihat parti berkenaan, Lim Kit Siang pula enggan memberikan sebarang komen tetapi menuntut agar bukti mengenai arahan tersebut diberikan kepadanya.
''Tunjuk saya arahan baru itu baru saya boleh komen. Mana saya tahu itu arahan betul-betul dari CEC,'' katanya.
- UM, 10/06/08.

Pengundi Melayu tanggung padah

Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR 9 Jun - Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya orang Melayu di Selangor kini mula sedar bahawa mereka terpaksa menanggung padah kerana salah memilih kerajaan.
Menurut beliau, ini berikutan keputusan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.
Beliau berkata, walaupun Menteri Besar Selangor beragama Islam tetapi tidak mempunyai kuasa sebaliknya keputusan yang diambil ditentukan oleh barisan Exco negeri itu.
''Apabila kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas memerintah Selangor, bidang kuasa adalah di tangan Exco kerana kekuasaan dan keputusan ditentukan oleh mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2007 di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi.
Ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr. Xavier Jayakumar bersama Pengerusi Tetap Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu.
Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri Selangor telah memberikan jaminan untuk melaksanakan sistem akidah Islamiah.
''Tetapi apa yang boleh dilakukan melainkan terpaksa bersetuju kerana suara mereka hanyalah suara minoriti.
''Cuma saya ingin beritahu orang Islam di Selangor, itulah harga mahal yang terpaksa mereka bayar kerana salah memilih kerajaan,'' katanya.
Beliau yang juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dengan keputusan kerajaan campuran negeri Selangor itu.
Menurutnya, keluasan sesuatu rumah ibadat bukan Islam hanya ditentukan oleh kerajaan negeri dengan melalui pihak berkuasa tempatan.
Kata beliau, wujud satu garis panduan khas kerana Islam adalah agama rasmi negara dan mempunyai garis panduan tertentu tanpa mengetepikan agama lain.
- UM, 10/06/08.

9 Jun 2008

Tidak boleh tanding jika ‘dosa’ banyak

SUNGAI PETANI 8 Jun – Bekas ahli UMNO yang mahu menyertai semula parti itu tidak layak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti Disember ini selagi ‘dosa’ mereka belum dibersihkan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, selain perlu membersihkan ‘dosa,’ ahli terbabit juga perlu meyakinkan ahli-ahli parti sebelum membuat keputusan untuk bertanding.
Sambil merujuk kenyataannya itu kepada Mohamad Ezam Mohd. Noor, beliau berkata, bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat perlu bersih ekoran tindakannya sebelum ini terhadap UMNO.
‘‘Jika benar beliau akan bertanding pada pemilihan Disember ini, saya terima tetapi saya akan pastikan dia kalah.
‘‘Saya berpendapat orang yang banyak melakukan dosa dalam UMNO, mereka perlu membersihkan diri, walaupun secara teknikal, sesiapa yang ingin bertanding mesti sah keahliannya.
‘‘Bagi saya Ezam belum benar-benar layak untuk bertanding sebarang jawatan dalam parti,’’ katanya, di sini hari ini.
- UM, 09/06/08.

5 Jun 2008

UMNO bincang strategi kukuhkan parti dan penjenamaan BN

KUALA LUMPUR 4 Jun - Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan membincangkan strategi pengukuhan parti serta penjenamaan Barisan Nasional (BN) bagi meningkatkan keyakinan anggota parti dan rakyat terhadap parti dalam program pemukiman MT UMNO yang bermula esok.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertemuan itu juga akan membolehkan UMNO merangka strategi jangka panjang dan pendek bagi menawan mindset rakyat serta hati pengundi muda.
Beliau berkata perbincangan tidak terhad kepada isu politik sahaja tetapi juga membabitkan aspek berkaitan dengan kerajaan.
"Apa yang UMNO harus lakukan ialah terutamanya dalam skop yang lebih luas agar diterima oleh rakyat serta meyakinkan," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Malam SMIDEC 2008 di sini hari ini.
Pemukiman selama dua hari itu akan berlangsung di Shah Alam.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata penjenamaan BN akan ditekankan agar ia lebih menarik untuk menambat hati rakyat dan pengundi.
- Bernam, 05/06/08.

3 Jun 2008

'Curiga alasan Ezam'

PUTRAJAYA 2 Jun - Datuk Seri Dr. Rais Yatim membangkitkan rasa hairannya dengan sikap terlalu mudah UMNO menerima kemasukan Mohamad Ezam Mohd. Noor berbanding penerimaan bekas ahli Parti Melayu Semangat 46 (S46) sebelum ini.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden S46 berkata, kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menimbulkan rasa curiga kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa dirundingkan terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Pengurusan parti.
''Saya dapat tahu Jawatankuasa Pengurusan parti yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak serta dibantu oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibawa berunding terlebih dahulu, malah tidak dirujuk pun kepada Majlis Tertinggi (MT).
''Secara tiba-tiba sahaja satu pihak lagi begitu kuat mahu bawa masuk Mohamad Ezam.
''Ia sungguh berbeza dengan ahli-ahli S46 dulu kerana proses kemasukan ahli (ke UMNO) sahaja memakan masa sembilan bulan dan macam-macam aspek diteliti tetapi sekarang orang yang tempelak UMNO boleh diterima 'pada minggu depan'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rais bagaimanapun yakin ahli-ahli MT yang akan bersidang selama dua hari di Shah Alam minggu ini akan membincangkan secara serius keputusan sama ada untuk menerima atau sebaliknya permohonan Mohamad Ezam dan beberapa bekas pemimpin muda PKR ke dalam UMNO.
Menurut Rais, beliau sebenarnya berasa curiga dengan sebab-sebab yang dikemukakan oleh Mohamad Ezam untuk menyertai semula UMNO.
''Dia pun sudah cakap 'lebih' (kononnya) hendak corakkan kepimpinan UMNO pada masa depan dan sebagainya.
"Justeru, MT perlu buat keputusan secara konsensus sebelum menerima dia dan rakan-rakannya," katanya.
Khamis lalu, Mohamad Ezam mengumumkan kembali kepada UMNO selepas mengisytiharkan keluar daripada PKR pada April tahun lalu.
Bekas Setiausaha Politik kepada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertindak keluar parti setelah kecewa dengan corak kepimpinan PKR yang dikatakan dikuasai secara eksklusif oleh golongan tertentu yang berkepentingan peribadi.
- UM, 3 Jun 08.

1 Jun 2008

Ahmad tunggu keputusan PM

KUALA TERENGGANU 31 Mei - Ahli UMNO Terengganu perlu menunggu keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh melepaskan jawatan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman Abdullah berhubung pelantikan itu kerana beliau yang berhak menentukannya.
"Kita tunggu sajalah keputusan Presiden. Beliau akan datang ke sini pada 9 Jun ini bagi menutup Sukan Malaysia (Sukma) ke-12," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkampungan Sukan dan Menaikkan Bendera Sukma ke-12 di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus Kusza di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selepas Idris meletakkan jawatan itu empat hari lalu.
Idris meletakkan jawatannya atas alasan ingin mengukuhkan perpaduan parti di negeri ini.
Ahmad berkata, beliau tidak perlu berjumpa dengan Abdullah berhubung perkara berkenaan kerana semua keputusan berhubung pelantikan itu tidak memerlukan pandangannya.
Ditanya sama ada beliau merupakan calon terdekat untuk mengisi jawatan tersebut, Ahmad menjelaskan, dalam tradisi parti, seseorang yang memegang jawatan Menteri Besar juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
''Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti untuk melantik calon yang akan mengisi jawatan tersebut," ujarnya.
Menurutnya, sebarang keputusan menggantikan Idris perlu diterima oleh ahli parti bagi mengelakkan perpecahan.
- MM, 1 Jun 2008.

Seperti kisah dongeng - Dr. M

PETALING JAYA 31 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan UMNO supaya berhati-hati dengan tindakan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor yang menyertai semula parti itu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan Mohamad Ezam itu ibarat melompat parti dan mempunyai persamaan dengan cerita dongeng barat 'putera katak'.
Katanya, Mohamad Ezam bukan sahaja melompat parti demi kepentingan dirinya sendiri, tetapi mungkin dijadikan batu loncatan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masuk semula UMNO.
Menurutnya, memandangkan sikap Mohamad Ezam yang sering melompat parti, ia amat bahaya untuk UMNO.
"Saya mengambil petikan kata-kata Pengerusi Sekretariat Perhubungan Media Pemuda UMNO, Datuk Sazmi Miah yang menceritakan mengenai sebuah kisah dongeng barat iaitu putera katak, katak itu apabila dicium akan bertukar jadi putera.
"Oleh itu, ada kemungkinan orang yang lompat parti akan lompat seperti katak sekali lagi,'' katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di hadapan lebih 500 penduduk Petaling Jaya pada majlis yang dinamakan Suntikan Semangat Satria Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Turut hadir Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Ruhanie Ahmad dan Sazmi.
Dr. Mahathir turut memberi mengingatkan ahli UMNO supaya tidak memasuki parti pembangkang jika keluar parti kerana lebih baik mereka menjadi ahli bebas daripada menyertai pembangkang.
PilihanTerdahulu dalam ucapan beliau, Dr. Mahathir turut meletakkan sandaran kepada empat calon yang dianggap paling layak mengambil alih tempat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Sementara itu, Dr. Mahathir memberitahu beliau tidak akan menyertai mana-mana parti atau menubuhkan parti baru selepas dua minggu keluar daripada UMNO.
Tegasnya, beliau sudah dua kali keluar daripada UMNO yang mana ia membuktikan dirinya tidak serik untuk menyertai parti itu.
"Cukuplah (tidak perlu masuk mana-mana parti atau tubuh baru), saya sudah ada platform saya sendiri iaitu sebagai bekas Perdana Menteri yang pernah memegang jawatan itu selama 22 tahun. Mana ada Perdana Menteri di negara ini yang pernah memerintah selama 22 tahun?
''Walaupun keluar daripada UMNO, tetapi pada saya UMNO tetap tidak mati dalam hati saya. Kalau orang tak mahu saya, tak apalah,'' katanya.
Ditanya mengenai gesaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam yang mahukan anak lelakinya, Datuk Mokhzani supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Dr. Mahathir berkata, ia terletak kepada kehendak Ismail.
Katanya, menteri berkenaan boleh keluarkan Mokhzani daripada SIC jika beliau berhasrat untuk berbuat demikian.
Mengenai seorang lagi anaknya yang akan diambil tindakan tatatertib oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana lantang bersuara, beliau memberitahu, ia terpulang kepada pemimpin tertinggi untuk membuat keputusan.
- MM, 1 Jun 2008.