28 Ogos 2008

Terengganu Bina Pusat Sains Negeri Bernilai RM45 Juta

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos (Bernama) -- Sebuah Pusat Sains Negeri, bernilai kira-kira RM45 juta dibina di Kubang Ikan, Cendering di sini, dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bidang berkenaan di kalangan rakyat negeri itu.
Pengarah Urusan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Dr Mohd Zaki Mohd Said berkata pusat itu, yang akan memberi lebih tumpuan kepada sains Islam, sedang dibina di kawasan seluas lapan hektar.
"Pusat sains ini dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Seminar Penghayatan Astronomi/Falak Terengganu 2008 di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di sini Rabu.
Sementara itu, Dr Mohd Zaki berkata Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dengan kerjasama Petronas akan menganjurkan Program Tunas Saintis di kalangan pelajar pra sekolah bagi mendedahkan mereka dalam bidang sains.
Beliau berkata Petronas telah memberikan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk menganjurkan program itu yang akan diadakan tahun ini.
Seminar sehari yang dihadiri imam, mubaligh dan kakitangan kerajaan itu dianjurkan bersama JHEAT, Jabatan Mufti Negeri dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu.
-- BERNAMA

Jadi sejarah sepanjang hayat - Arif Shah

BUKIT MERTAJAM 27 Ogos - Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) menyifatkan pengalamannya mengharungi cabaran menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebagai satu sejarah yang akan dikenangnya sehingga ke akhir hayat.
Sambil berjanji untuk terus memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan itu walaupun kalah dalam pilihan raya tersebut, Arif Shah berkata, peluang yang diberikan parti itu amat besar tanggungjawabnya kerana lawannya adalah 'orang besar' yang mempunyai pengaruh yang kuat.
''Walaupun kalah semalam, saya masih mampu tersenyum dan tidur lena. Ini kerana dalam politik semuanya boleh berlaku dan saya memang sudah bersedia dengan kedua-dua kemungkinan, sama ada kalah atau menang.
''Yang pasti dengan kudrat yang ada, saya telah melakukan yang terbaik untuk memastikan semua penduduk Permatang Pauh mendapat maklumat yang betul tentang apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Tenggiri di sini hari ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti 15,671 undi.
Arif Shah memberitahu, beliau juga amat terharu dengan sokongan pengundi kepadanya, malah ada di antara mereka begitu sedih dan seakan-akan tidak dapat menerima kekalahan BN pada pilihan raya itu.
''Dalam pilihan raya ini, keadaan menjadi terbalik. Saya pula yang perlu menenangkan mereka (penyokong) supaya terima kenyataan, sepatutnya mereka yang kena menenangkan saya.
''Sejak petang kelmarin, sebaik keputusan secara tidak rasmi mula diterima, ramai penyokong datang dan menangis dan keadaan ini berlarutan sehingga kini," katanya.
Arif Shah memberitahu, fikirannya kini lega tanpa perlu lagi memikirkan aktiviti dan program yang perlu dilalui seperti 10 hari kempen yang lalu.
Menurutnya, selepas ini beliau akan meneruskan rutin hariannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dengan memberi khidmat kepada masyarakat di kawasannya.
''Saya akan terus bekerja untuk rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik," katanya.
- Utusan, 28-08-08.

21 Ogos 2008

Pemuda Pas Selangor cabar Anwar bersumpah

Oleh ABDUL YAZID ALIASSHAH ALAM 20 Ogos – Dewan Pemuda Pas Selangor mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melakukan sumpah laknat jika beliau di pihak yang benar.
Ketuanya, Sallehen Mukhyi berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menyelesaikan masalah peribadinya sekali gus membersihkan namanya.
Beliau berkata, semua pihak harus menerima baik sumpah laknat bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang berbuat demikian kerana mahu menjaga nama baik diri dan keluarga.
“Terdapat dua cara untuk menyelesaikan kes ini sama ada pihak penuduh mengemukakan bukti kukuh di mahkamah atau tertuduh (Anwar) sendiri membuat pengakuan.
“Namun, sekiranya Anwar merasakan beliau tidak bersalah, beliau boleh membuat pengakuan di mahkamah ataupun membuat sumpah laknat... terpulang kepadanya,” kata Sallehen ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu Anwar, calon PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, berhenti mempertikaikan sumpah laknat Mohd. Saiful yang dilafazkan pada 15 Ogos lalu.Menurut Sallehen, tindakan Mohd. Saiful, 23, itu dapat dilihat sebagai salah satu cara yang membolehkan beliau memberitahu masyarakat bahawa dakwaannya mengenai perbuatan liwat Anwar adalah benar.
- Utusan, 21-08-08.

Senyum Kambing

Kes jurufoto: Pemimpin PKR antara 3 ditahan

BUKIT MERTAJAM 20 Ogos – Tiga lelaki termasuk Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Batu, Kuala Lumpur ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dua jurugambar yang dipukul semasa membuat liputan penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh, Sabtu lalu.
Ketiga-tiga mereka yang berusia 28 hingga 40 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu di Permatang Pauh, Selayang serta Sentul, Kuala Lumpur pada semalam dan hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang mengesahkan penahanan itu berkata, polis telah mengesan lebih daripada 10 suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.
“Saya berharap mereka akan datang menyerah diri secepat mungkin bagi membantu siasatan dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kami (polis) terpaksa mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan memberitahu, salah seorang suspek berusia 39 tahun ditahan setelah dia menyerah diri pada pukul 1.45 petang hari ini.
Pegawai Perhubungan Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Supritendan Shaharon Anuar Abdul Latif pula berkata, dua suspek lagi termasuk pemimpin PKR itu ditahan sejurus menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan Balai Polis Kubang Semang.
Katanya, seorang lagi lelaki yang berasal dari Sungai Tiram, Bayan Lepas ditangkap di Kubang Semang, Pulau Pinang. Polis telah pun mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk menahan reman lelaki itu sehingga lusa.
Beliau memberitahu, seorang lelaki penduduk tempatan yang dipercayai melarikan diri telah ditahan di Selayang awal pagi ini kerana turut disyaki terlibat dalam insiden tersebut.
“Suspek yang ditahan di Selayang dan Sentul akan dibawa ke sini untuk mendapatkan perintah reman supaya siasatan lanjut dapat dilakukan secara terperinci,” katanya.
Semalam, akhbar-akhbar menyiarkan beberapa gambar suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden dua jurugambar dipukul di Permatang Pauh.
Kesemua mereka, kata Shaharon, disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
- Utusan, 21-08-08

2 Exco Perak ditahan - Disyaki terbabit sogokan wang, seks projek RM180 juta

MOHD. osman Jailu (kiri) dan Usaili Alias (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam selepas ditahan reman oleh BPR kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang dan seks. Gambar kecil, seorang lagi Exco Perak yang ditahan oleh BPR. – Gambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR
Oleh Razak Din dan Zaini Raban
IPOH 20 Ogos – Dua Exco kerajaan negeri Perak bersama empat orang lagi ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang lebih RM100,000 dan seks bagi mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, kira-kira 40 kilometer dari sini.
Tiga suspek termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 57, ditangkap pada pukul 6 petang semalam di sebuah hotel di sini, diikuti penahanan dua lagi suspek di sekitar bandar raya ini hasil maklumat orang ramai.
Mohd. Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), ditahan bersama bekas ADUN Bota, juga daripada PKR, iaitu Kapten (B) Usaili Alias, 56. Turut ditahan ialah Juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, 46; Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 45; serta seorang lagi ahli peniagaan, Fazirul Azim Ismail, 30.
Kelima-lima mereka dibawa oleh BPR ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk mendapatkan perintah reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Noor Aini Yusuf mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Kesemua suspek menggunakan jaket dan baju untuk menutup muka masing-masing semasa dibawa ke mahkamah.
Seorang lagi anggota Exco Perak turut ditahan pada pukul 10.30 pagi ini kerana disyaki terlibat sama dalam kegiatan rasuah tersebut. Bagaimanapun, namanya belum dapat didedahkan kerana perintah tahanan reman belum diperoleh oleh BPR.
BPR merampas wang tunai RM100,000 dipercayai wang suapan dalam kes tersebut daripada mereka yang ditahan. Seorang wanita yang berada bersama kumpulan lelaki itu di hotel tersebut juga disiasat sama ada terlibat dalam kegiatan rasuah.
Menurut Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar, kejayaan memberkas suspek-suspek itu adalah hasil intipan selama seminggu yang dilakukan oleh pegawai dan kakitangan agensi berkenaan.
Difahamkan, BPR akan memohon perintah tahanan reman ke atas seorang lagi ADUN daripada PKR esok bagi membantu siasatan kes itu.
Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana menerima wang rasuah.
Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi dan penjara minimum 14 hari hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

20 Ogos 2008

BPR sah tahan enam orang, termasuk dua Exco Perak

EXCO dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kapt (B) Osman Mohd Jailu (kiri) dan Jamaluddin Mohd Radzi, dipanggil Badan Pencegah Rasuah untuk memberi keterangan berhubung kes rasuah, pagi ini.
oleh Abdul Razak Raaff
PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan enam orang termasuk dua Exco Kerajaan Perak kerana disyaki terbabit dengan rasuah membabitkan satu projek perumahan di Seri Iskandar, bernilai RM180 juta, petang semalam dan pagi tadi.
Dalam kenyataan media BPR menyebut tiga daripada suspek termasuk Exco Kerajaan Perak ditahan sejurus menerima suapan lebih RM105,000 sebagai balasan mempercepatkan proses permohonan projek perumahan itu.Lima daripada suspek berumur antara 45 dan 57 tahun ditahan jam 6 petang, kelmarin, manakala salah seorang Exco Kerajaan Perak ditahan jam 10 pagi tadi.S
uspek lain yang ditahan ialah ahli Majlis Daerah Perak Tengah dan seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

- BH, 20-08-08

19 Ogos 2008

Dato’ Arif Shah Omar Shah

Dato’ Ariff Shah, 52, berharap tuah akan berpihak kepadanya pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini. Beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Seberang Jaya pada pilihan raya umum ke-12 lalu dengan majoriti 533 undi, yakin pengundi Permatang Pauh akan membuat pilihan bijak.
Katanya, berdasarkan pemerhatian dan suara akar umbi, penduduk tempatan begitu kecewa kerana tiada satu pun pembangunan yang dibawa ke kawasan itu selepas tiga penggal berada di bawah PKR.
“Permatang Pauh memerlukan seorang wakil rakyat yang boleh berada di kawasan setiap masa dan memberi khidmat terbaik untuk penduduk,” katanya.
Parlimen Permatang Pauh turut meliputi DUN Permatang Pasir (diwakili oleh Pas) dan DUN Penanti (PKR).
Dato’ Arif Shah Omar Shah dilahirkan pada 21 November 1956 dan merupakan anak keempat daripada keseluruhan 10 orang adik beradik.
Beliau menerima pendidikan awal di SRJK(C) Hun Lian, Taiping, Perak dan disusuli dengan sambungan sekolah rendah di SRJK(C) Chong Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, SMJK(C) Chong Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu dan di Chong Hwa High School, Gombak, Kuala Lumpur disebabkan tugas ayahnya, anak jati Pulau Pinang sebagai usahawan.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Awam dan mengikuti pengajian khas di Graber International, California, USA.
Antara jawatan-jawatan politik yang pernah disandang oleh beliau adalah seperti Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh; Bendahari Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang; Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Permatang Pauh.
Di samping bergiat aktif dalam arena politik beliau juga turut terlibat di dalam kegiatan-kegiatan NGO seperti penaung PDK Seberang Jaya.
Sebagai ADUN, beliau mewujudkan pusat khidmat yang satu-satunya mendapat Persijilan ISO 9001 2000 dengan mewujudkan sekretariat-sekretariat tertentu, antaranya seperti Sekretariat Permasalahan Rakyat; Sekretariat Sumber Manusia; Sekretariat Kebajikan; Sekretariat Keselamatan; Sekretariat Hal Ehwal Cina; Sekretariat Hal Ehwal India; Unit Agama Islam dan Qariah dan Unit Perhubungan Awam dan lain.
‘Yang Tiada Kita Bangunkan, Yang Ada Kita Pertingkatkan, Yang Beban Kita Ringankan’ menjadi motto khidmat beliau selama ini.
- Puteri UMNO online

Penduduk Permatang Pauh Menanti Ketibaan 'Peh Moh'

By: Ramjit
Oleh Erma Idayu Mohd YusofBUKIT MERTAJAM, 18 Ogos (Bernama) -- "Peh Moh", dalam bahasa Hokkien bermaksud "si rambut putih", amat dinantikan oleh penduduk pekan Permatang Pauh setelah banyak mendengar mengenai anggota Dewan Undangan (Adun) Seberang Jaya daripada rakan-rakan mereka.
Peniaga Kim Heng Theik, 53, berkata: "Saya kenal (Datuk) Arif Shah (Omar Shah) melalui rakan-rakan di Seberang Jaya. Depa dok cerita yang YB tu bagus. Kalau ada masalah, depa pi cari dia la.
"Sementara Tan Liang Sim, 29, seorang kakitangan kerajaan, berharap dengan pencalonan Arif Shah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos ini memberi peluang kepada penduduk di situ membuat pilihan bagi mengubah nasib mereka.
"Tengok Seberang Jaya bawah pimpinan Arif Shah semakin membangun. Takkan kita masih nak dok di takok lama lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Arif Shah, 51, Adun Seberang Jaya sejak pilihan raya umum 2004 merupakan seorang wakil rakyat yang "mesra orang ramai" tanpa mengira kaum, serta kemampuannya bertutur dalam bahasa Mandarin dan Hokkien telah merapatkan lagi hubungannya dengan masyakarat Cina di sini.
Arif disenangi rakyat kerana sifat rendah diri dan mudah bergaul dengan penduduk setempat serta sering meluangkan masa bersarapan di Medan Selera Seberang Jaya tidak jauh dari rumahnya untuk mendengar keluhan orang ramai.
Bagi Kim yang telah berniaga sejak 20 tahun di pekan Permatang Pauh turut mengeluh mengenai pekan itu yang tidak berubah sejak dulu walaupun semasa calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan wakil rakyat Permatang Pauh dan menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Anwar merupakan wakil rakyat Permatang Jauh sejak 1982 sehingga 1999 apabila beliau dipenjara kerana penyalahgunaan kuasa, dan setahun kemudian kerana liwat.
Kerusi Parlimen itu telah dimenangi oleh isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum 1999 hingga beliau meletakkan jawatannya pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding merebut kembali kerusi tersebut.
Kim berkata: "Apa yang saya nampak hanya traffic light ja kat sini. Pekan Permatang Pauh ni masih jugak macam dulu. Kita kalau boleh nak satu pembaharuan kat sini, biarlah sama macam jiran-jiran lain.
"Bekas penduduk bandaraya Kuala Lumpur Toh Eng Thim, 47, yang baru kembali ke pekan itu sejak lima tahun lepas untuk mengambil alih perniagaan kedai runcit bapanya, berkata faktor ekonomi sangat penting untuk meraih undi pengundi Cina di situ.
"Sejak harga minyak naik, perniagaan merosot teruk kerana penduduk di sini hanya orang kampung yang berpendapatan tidak seberapa. Saya rasa kerajaan patut turunkan harga minyak, itulah faktor utama untuk tarik undi kita.
"Kalau Anwar boleh janji dan bagi formula untuk turunkan harga minyak, kenapa pula BN tak boleh buat benda yang sama. Kan ekonomi itu penting untuk kita di sini."Bila harga minyak naik, barang-barang lain juga naik. Perniagaan menurun sejak harga barang naik," katanya.Menyentuh mengenai Arif Shah, beliau berkata: "Dia antara YB yang memang buat kerja. Kita di sini pun kenal dia, dia juga peramah.
"Sementara itu, kerani Lim Swan Mui, 32, pula berkata apa yang dia mahukan ialah pembangunan ekonomi penduduk di sini perlu dijaga.
"Kalau tengok pada debat Anwar (dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek) baru-baru ini, tidak mustahil beliau (Anwar) boleh bangunkan ekonomi penduduk di sini," katanya.Bagi L. P Khoo pula katanya Anwar setakat ini hanya membuat janji tetapi daripada segi realitinya, adakah beliau mampu melaksanakannya, terutama beliau hanya bakal menjadi seorang wakil rakyat jika menang.
Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Arif Shah, Anwar dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.
Seramai 58,449 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 65.5 peratus Melayu, 24.7 peratus Cina, 6.3 peratus India dan selebihnya kaum lain yang layak mengundi pada pilihan raya kecil ini.
-- BERNAMA, 19-08-08.

Bukti Anwar terdesak

BUKIT MERTAJAM 18 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terdesak apabila terpaksa mendapatkan bantuan rakannya dari Indonesia dan Filipina untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berkata, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seakan tidak yakin untuk menghadapi pilihan raya ini.
Pagi tadi, Abddurrahman Wahid yang juga bekas Presiden Indonesia dan pemimpin berpengaruh bagi kumpulan Islam Nahdlatul Ulama hari ini hadir ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan beliau kepada Anwar.
Dr. Sivamurugan ketika dihubungi berkata, hubungan Anwar dengan beberapa pemimpin asing termasuk Amerika Syarikat (AS) telah bermula sejak tahun 1997.
Katanya, Anwar dilihat berpengaruh di kalangan pemimpin asing dan sewaktu pemecatan Anwar pada 1998 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan kes rasuah dan salah guna kuasa, Abddurrahman Wahid yang lebih dikenali sebagai Gus Dur adalah orang yang paling lantang membantah keputusan itu.
Menurut beliau, yang menjadi persoalan apakah Anwar dapat membezakan sama ada ia berbentuk sokongan peribadi ataupun ia mempunyai kepentingan bagi pihak luar.
''Campur tangan asing itu harus diambil kira oleh pengundi dan ini adalah satu perkara yang tidak wajar kerana ia cuma pilihan raya kecil sahaja.
"AS juga telah mula campur tangan urusan negara mengenai siasatan kes liwat Anwar. Ini memberi kesan kepada politik negara. Pengundi juga haruslah berfikir mengapa perlu ada pemimpin yang meraih simpati dari luar negara," katanya.
Katanya, mana-mana pemimpin yang mendapatkan sokongan dari luar terutamanya ketika pilihan raya sebagai pendekatan untuk mendapatkan undi rakyat, ia dikhuatiri akan mengancam kestabilan negara dan akan menimbulkan keadaan yang tidak menentu di dalam negara.
Dr. Sivamurugan juga berkata, kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR mempertahankan kerusi Parlimen itu adalah disebabkan faktor suaminya, Anwar.
Katanya, sejak Anwar memenangi pilihan raya pada 1982 ketika menjadi anggota UMNO dan kemudian pada tahun 1998 beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, beliau telah menanam pengaruhnya kepada penyokongnya tidak kira generasi lama mahupun baru.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman berkata, sokongan daripada Gus Dur mahupun bekas Presiden Filifina, Joseph Estrada dilihat tidak mampu memberikan kesan kepada pengundi.
Katanya, kesemua yang memberikan sokongan terhadapnya adalah bekas Presiden yang kini tidak lagi mempunyai pengaruh besar di negara mereka sendiri.
"Pemimpin seperti ini tidak dapat mempengaruhi undi kerana kedua-dua mereka pernah tewas dan dipenjarakan. Macam Gus Dur, dia dijatuhkan. Suara-suara ini tidak dapat mempengaruhi undi dan mereka masih dipengaruhi oleh dasar dan hubungan yang dibuat oleh Anwar ketika beliau mempunyai kedudukan.
"Mereka ini tidak perlu campur tangan. Usaha mendapatkan sokongan dari luar ini bukan hanya Anwar tetapi juga biasa dilakukan oleh pemimpin tertentu," katanya di sini.
Sementara itu, di Kuala Lumpur, pakar sejarah Prof Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim berkata, kenyataan itu adalah sebagai gambaran hubungan peribadi yang rapat antara Anwar dengan beberapa pemimpin dunia.
Katanya, keadaan itu tidak sedikit pun mendatangkan kesan kepada negara kerana ia hanya hubungan peribadi dan bukannya antara negara yang langsung tiada kaitan dengan orang di Malaysia.
"Dengan siapa dia berkawan terpulang pada dia, apa yang penting pengundi kena buat perhitungan untuk negara dan diri sendiri," katanya sambil menambah hubungan peribadi tidak selalunya relevan dengan keadaan semasa.
Khoo berkata, bukan sahaja Estrada dan Gus Dur semasa menjadi Presiden mempunyai hubungan baik dengan Anwar malah Anwar juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa individu penting di beberapa negara Barat dan Timur Tengah.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin kedua-dua negara (Indonesia dan Filipina) itu kini sudah tidak berkuasa lagi dan ia tidak seharusnya diambil berat.
- Bernama, 19-08-08.

18 Ogos 2008

Keganasan terhadap media cemar kematangan politik

Oleh Manja Ismailmanja@nstp.com.my
Dua kejadian membelasah jurugambar di Pulau Pinang bercanggah dengan keterbukaan pembangkangSUASANA politik negara yang sepatutnya mencerminkan kematangan apabila Pakatan Rakyat mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya umum Mac lalu ternyata masih jauh untuk menjadi kenyataan.
Selepas memenangi lima negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, ramai mengharapkan suasana politik negara lebih matang, ceria dan terbuka seperti yang berlaku pada pilihan raya di negara maju.
Bibit-bibit keterbukaan itu dapat dilihat melalui ruang yang semakin luas disediakan oleh media arus perdana sama ada media cetak atau media elektronik termasuk milik kerajaan, kepada parti-parti pembangkang.
Pemimpin parti pembangkang dilihat lebih kerap muncul menyatakan pandangan di televisyen serta berkongsi pentas dengan pemimpin kerajaan dan BN berdebat secara terbuka mengenai isu-isu semasa yang membabitkan kepentingan rakyat. Malah, RTM sendiri turut menyiarkan siaran secara langsung sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat setiap hari.
Semua ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan sebahagian besar rakyat terutama yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, melihat perkembangan ini sebagai era baru yang mencerminkan kematangan berpolitik di negara ini serta selari dengan wawasan untuk Malaysia muncul sebagai negara maju pada 2020.
Bagaimanapun, apa yang berlaku pada pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum bersejarah Mac lalu di penamaan calon kerusi Parlimen Permatang Pauh kelmarin adalah sebaliknya. Keceriaan dan pertandingan secara gentlemen seperti diharapkan bertukar menjadi keganasan. Lebih malang lagi, apabila sasarannya ialah wakil media yang melaksanakan tugas mereka untuk membuat laporan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Apa yang menimpa jurugambar NSTP, Mohd Sairien Nafis dan jurugambar HBL Press News, Perancis, Halim Berbar kelmarin langsung tidak mencerminkan keterbukaan dan keadilan, antara slogan yang sering kali dilaungkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
Mohd Sairien bukan saja dipukul dan dipijak seperti yang dapat disaksikan menerusi televisyen malam kelmarin, malah kameranya dirosak dan dilarikan. Halim yang cuba menyabarkan kumpulan itu turut dibelasah.
Walaupun pemimpin mereka tidak terbabit dalam kejadian itu, malah mungkin turut menyesali dengan apa yang berlaku, kerana ia dilakukan oleh kumpulan yang membawa bendera dan sepanduk parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat, gabungan itu turut bertanggungjawab.
Peristiwa itu juga tidak lagi boleh dianggap sebagai kejadian terpencil kerana ia adalah kes kedua berlaku dalam tempoh dua minggu membabitkan jurugambar dikasari oleh penyokong Pakatan Rakyat. Pada malam 3 Ogos lalu, jurugambar akhbar Guang Ming Daily, Loh Hoay Hoon, cedera ringan di kepala akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki ketika pulang selepas membuat liputan ceramah umum Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Jurugambar wanita itu, dalam laporan polis keesokannya mendakwa, ketika berjalan dari tapak ekspo kira-kira 11.30 malam, dia berasa kakinya ditendang beberapa kali sebelum lehernya ditarik dari belakang sehingga terjatuh dan kepalanya diketuk.
Ekoran kejadian itu, Setiausaha Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Abdul Kassim memohon maaf kepada media dan berjanji akan menyiasat serta mengambil tindakan jika terbukti kumpulan itu ahli PKR.
Angkatan Muda PKR Pulau Pinang, walaupun menafikan unit keselamatannya terbabit dalam serangan terhadap Loh, menjelaskan petugasnya telah diberi taklimat supaya memberi ruang dan kerjasama kepada wakil media yang membuat liputan program PKR di negeri itu.
Kekasaran terhadap wartawan oleh penyokong parti politik bukan perkara baru dan ia juga pernah membabitkan parti komponen BN.
Memang wartawan dan media sentiasa menjadi sasaran atau menjadi kambing hitam parti-parti politik apabila ada laporan yang dilihat tidak menyebelahi atau menguntungkan politik mereka. Cuma kebanyakan kes yang membabitkan wartawan dikasari sebelum ini lebih mudah difahami. Antaranya kerana wartawan itu terlalu provokatif, media yang diwakilinya terlalu berat sebelah dan parti politik di mana penyokongnya dikatakan terbabit, bertaraf pembangkang di sesebuah negeri.
Namun, dua kes terbaru ini berlaku di Pulau Pinang, negeri dikuasai oleh Pakatan Rakyat, dikasari secara berkumpulan dan mangsanya pula ialah jurugambar yang mungkin tidak diketahui mewakili media tertentu oleh si penyerang.
Secara kebetulan pula, penyerangnya dikatakan sebagai penyokong Anwar, tokoh politik yang menjadikan keterbukaan, keadilan dan kebijaksanaan sebagai asas perjuangan.
Dua kes yang menimpa petugas media di Pulau Pinang itu diharap tidak berterusan terutama dalam tempoh kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang semakin sengit sekarang. Pemimpin dan petugas parti-parti politik diharap dapat mengawal penyokong mereka supaya tidak mengganggu media melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Fenomena hubungan cinta benci antara media dengan ahli politik ini bukan saja berlaku di negara ini tetapi di seluruh dunia termasuk di negara yang menganggap mereka sebagai juara demokrasi.
Bagaimanapun selagi kebencian itu tidak membabitkan keganasan sehingga ia menimbulkan kecederaan dan mengancam keselamatan nyawa, media dapat menerimanya sebagai salah satu cabaran kerjaya.
- BH, 18-08-08

SEMANGAT MERDEKA

SEMANGAT MERDEKA: Penjual tiket bas Soid Yahaya, 54, atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Syed menunjukkan keretanya yang dihiasi dengan kira-kira 100 bendera ketika tinjauan di Terminal Shahab Perdana, Mergong di sini, hari ini. Abang Syed yang dilahirkan pada 7 Ogos 1954 berkata itulah cara beliau melahirkan rasa syukur dan bertuah dilahirkan sebagai anak merdeka walaupun terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk merealisasikan hasratnya. Kereta Abang Syed satu-satunya kereta yang berbuat demikian di bandaraya ini dan ini adalah tahun kelima dia berbuat demikian.
- Foto Bernama

Persatuan wartawan kesal dengan PKR

BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Beberapa persatuan wartawan hari ini kesal dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak menunaikan janji bagi memastikan insiden yang boleh menggugat keselamatan petugas media semasa liputan pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, tidak berulang.Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Md. Daud berkata, PKR tidak mengambil tindakan untuk melindungi anggota media yang membuat liputan pilihan raya kecil itu seperti yang dijanjikan sebelum ini.
"PKR asyik minta maaf, tetapi tiada sebarang usaha dibuat bagi melindungi media (daripada diganggu penyokongnya)," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, insiden memukul jurugambar tempatan dan luar negara oleh penyokong parti itu semasa penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini adalah satu "insiden yang amat memalukan kerana turut melibatkan jurugambar asing yang menjalankan tugas tanpa ada kepentingan politik."
Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari tadi, jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohd. Sairen Mohd. Nafis, 26, dan jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar cedera dipukul sekumpulan penyokong pembangkang semasa proses penamaan calon itu.
Norila berkata, tindakan penyokong PKR itu "dah melampau, dah banyak kali" mereka bertindak mengkasari petugas media.
Sementara itu, pemangku Presiden Kelab Media Pulau Pinang, Zuraida Abdul Rahman berkata, ini merupakan insiden kali kedua dalam bulan ini di mana pengamal media dikasari dan dipukul oleh penyokong PKR dan ini amat membimbangkan kerana tindakan mereka semakin liar.
"Sebagai sebuah parti yang mendakwa mendokong kebebasan bersuara dan bermaklumat, tindakan itu dilihat tidak menepati apa yang mereka perjuangkan," katanya.
Beliau mendesak PKR mengotakan janji mereka berhubung keselamatan dan keselesaan petugas media membuat liputan pilihan raya kecil itu.
Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan, Mokhtar Hussain berkata, "kami mahu semua parti politik memastikan keselamatan pengamal media tempatan dan asing yang membuat liputan pilihan raya kecil kerana mereka hanya menjalankan tugas untuk orang ramai."
Beliau meminta parti-parti politik terutama pembangkang untuk menghormati kebebasan media dalam menjalankan tugas.
Katanya, insiden sedemikian akan mencemarkan imej negara dan "kami tidak mahu media asing melaporkan perkara buruk mengenai negara ini. Kami lebih terbuka dan insiden ini adalah tidak baik bagi kebebasan media."
- Bernama, 17-08-08.

Isyarat lucah, samseng cemari kempen Permatang Pauh

Oleh ZULKIFLI JALIL
KEMPEN pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada hari pertama semalam yang diharapkan tenang bagaimanapun tidak seperti mana diinginkan.Sebaik selesai penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam pada pukul 12 tengah hari semalam, langit di Permatang Pauh lima minit kemudian mula mendung diikuti hujan lebat.
Ketika bersesak-sesak para penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan pusat penamaan dengan berjalan kaki hampir setengah kilometer, bermulalah provokasi yang ditimbulkan oleh para penyokong mereka.
Dengan berteduh di bawah jejambat Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), rata-rata mereka yang terdiri dari kalangan pemuda berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun begitu agresif memekik setiap kali melihat penyokong Barisan Nasional (BN) termasuk ahli Puteri.
Penulis yang berada di situ mendapati keadaan keadaan tidak terbendung menyebabkan beberapa anggota Unit Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa mengiringi anggota penyokong kerajaan ke laluan yang selamat.
Kata-kata nista seperti 'anjing polis dan makan rasuah' terpacul daripada beberapa kumpulan penyokong PKR terbabit.
Ketika sibuk melaungkan reformasi sambil menjerit memaki hamun, tiba-tiba mereka terlihat seorang lelaki India memakai kemeja berwarna yang mempunyai lambang BN.
''Buka, buka," jerit salah seorang penyokong PKR terbabit menyebabkan lelaki berkenaan terpaksa menenangkan mereka. Dengan raut wajah penuh bimbang, dia lantas menanggalkan bajunya sebelum disambar oleh dua lelaki lalu memijak dan melemparkannya dalam takungan air berhampiran.
Lebih awal dari itu, ketika para pemimpin BN yang diketuai Pengarah Pilihan Raya BN Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mengiringi calon Datuk Arif Shah Omar Shah memasuki perkarangan pusat penamaan, pelbagai laungan perkataan kesat, pedih dan maki-hamun dilemparkan kepada Najib.
Bukan saja beliau tetapi ramai lagi yang terkena 'bahangnya'. Antaranya, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
''Belum pernah rekod pilihan raya kecil seburuk ini... teruk... teruk sungguh. Mereka mencarut, maki hamun dan buat isyarat lucah terhadap kaum wanita dan ibu. Malu saya apabila ada ibu dan bapa yang bawa anak kecil juga melihat perlakuan mereka tu," katanya yang tidak dapat menyembunyikan kemarahannya.
Tengah hari semalam juga, seorang jurugambar Kumpulan New Straits Times, Mohammed Sairen Nahfis dan jurugambar HBL Press News, Halim Berba turut menerima bahana apabila dipukul oleh sekumpulan penyokong PKR.
Nasib Mohammed Sairen bak 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila kameranya dilarikan.
Kelmarin juga, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom turut ditimpa musibah apabila kereta yang dinaikinya dikepung oleh para penyokong PKR disamping diketuk dan dihenyak - ketika melalui Kubang Seman.
- Utusan, 17-08-8.

Puteri UMNO kutuk perbuatan meraba

IPOH Pergerakan Puteri UMNO mengutuk sekeras-keras tindakan penyokong parti pembangkang yang didakwa bertindak liar pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kelmarin.
Exco Pergerakan Puteri UMNO, Nolee Ashilin Mohamad Radzi berkata di sini semalam, tindakan beberapa penyokong parti lawan meraba tiga orang ahli Puteri UMNO di Permatang Pauh itu adalah satu kejadian mendukacitakan yang tidak sepatutnya dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, tindakan itu tidak mematahkan semangat Puteri UMNO untuk terus berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN.
- Utusan, 18-08-08.

Jangan bertindak keterlaluan

Oleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini memberi amaran kepada penyokong parti agar tidak bertindak keterlaluan dalam tempoh kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Tegasnya, setiap penyokong perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak polis agar ketenteraman dan keselamatan orang awam terjamin.
''Jika penyokong setiap parti mematuhi syarat yang ditetapkan, maka insiden yang tidak diingini dan kekecohan dapat dihindari dalam masa berkempen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis, 26, dan Halim Berbar, 28, dari HBL Press News, Perancis, bukan sahaja teruk dipukul malah Mohamed Sairen kehilangan kameranya yang dirampas sekumpulan penyokong dipercayai parti pembangkang.
Kejadian itu berlaku sejurus selepas berakhir proses penamaan calon dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak mengepung dan menyerang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh penyokong Barisan Nasional (BN).
Mohamed Sairen yang cuba merakamkan insiden tersebut dari atas kenderaan berkenaan kemudiannya turut diserang.
Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 61, daripada PKR dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat, 51.
Ismail memberitahu, setakat ini, pihaknya masih belum menangkap individu yang disyaki terlibat dalam insiden tersebut kerana siasatan untuk mengesan suspek masih dilakukan.
''Kita tidak tahu individu mana yang melakukannya dan penyokong daripada parti mana. Oleh itu, biar polis menjalankan siasatan dulu," jelasnya.
- Utusan, 18-08-08.

Pas mula curiga, sangsi PKR

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan penduduk Kampung Permatang Rawa di Bukit Mertajam, semalam.

-----------------------------------------

BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Pas kini mula curiga dan sangsi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehinggakan ada cakap-cakap adalah lebih baik Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi sendiri menjadi Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini menunjukkan belum ada jaminan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkannya sebelum ini.
"Pas telah mula sangsi dengan PKR. Jika dilihat di Permatang Pauh, mana ada bilik gerakan Pas.
"Malah dalam muktamar Pas, ada bunyi-bunyi (Abdul) Hadi lebih baik jadi Perdana Menteri, jadi belum ada jaminan Anwar akan jadi Perdana Menteri.
"Kalau 30 Ahli Parlimen BN lompat, baru Anwar jadi Perdana Menteri, itu pun kalau Pas setuju," kata Najib ketika berucap pada majlis mesra rakyat di bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di Permatang Janggus di sini hari ini.
Pada sidang akhbar kemudian, Najib berkata, BN tidak mengeksploitasi kes liwat melibatkan Anwar dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerana ia adalah perkara peribadi di antara kedua-duanya.
"Tindakan (Mohd) Saiful bersumpah itu akan menimbulkan perdebatan terutama di kalangan ahli BN dan parti politik lain.
"Ia bergantung kepada parti politik mana yang disokong," katanya.
Sementara itu, malam ini, mengulas mengenai sumpah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak patut menghormatinya kerana langkah yang diambil itu adalah bertujuan untuk membela dirinya.
"Proses angkat sumpah itu ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dilakukan selepas solat Asar, di sebelah mimbar sambil menjunjung al-Quran.
"Jadi siapa kata proses itu tidak betul? Sebenarnya ada orang yang menggelabah dan terdesak sehingga masuk ke kedutaan asing," katanya.
- Utusan, 18-08-08.

Perbuatan memalukan: PM

Polis akan bertindak terhadap penyokong PKR belasah dua jurugambar
BUKIT MERTAJAM: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong parti politik yang membelasah dua jurugambar media pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, kelmarin.
Pada masa sama, polis memberi jaminan akan membuat pemantauan berterusan bagi mengelak berulangnya kejadian tidak diingini sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.
Jaminan itu diberi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, semalam.Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menyifatkan tindakan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang dua jurugambar itu sebagai amat memalukan.
Perdana Menteri berkata, semua pihak patut menggunakan proses demokrasi dengan cara yang betul untuk berkempen bagi memilih wakil masing-masing ke Parlimen.
"Bertindak liar, ganas dan mencederakan seseorang itu adalah satu kesalahan jenayah dan pihak terbabit patut dikenakan tindakan," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jawatankuasa dan pegawai masjid serta pemimpin masyarakat Cina Parlimen Permatang Pauh di Seberang Jaya dekat sini, semalam.
Dalam kejadian berdekatan pusat penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun itu, jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Mohd Sairien Nafis, 26, cedera di pinggang, manakala kameranya bernilai kira-kira RM15,000 dirampas penyokong PKR.Turut diserang dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu ialah jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar.Abdullah berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan tidak bertindak sesuka hati.
Kalau berlaku macam itu, ia menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan nak harapkan orang seperti ini membantu memenangkan calon mereka. Ini tidak wajar sebenarnya," katanya. Perdana Menteri berkata, walaupun rakyat diberi kebebasan memilih wakil mereka, ia ada had dan bukan dengan mengadakan demonstrasi.
"Inikah demokrasi yang dikatakan oleh pihak Barat, mesti ada demonstrasi untuk menuntut kebebasan, seolah-olah negara ini tidak ada kebebasan. "Surat khabar macam-macam tulis dan mengata kita dan internet juga, tetapi orang kata masih tidak bebas lagi.
Nak bebas macam mana, saya pun hairan apa kebebasan yang dituntut sekarang. Mana boleh kebebasan yang tiada had dalam dunia ini," katanya. Ismail yang dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur pula, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana keadaan di Permatang Pauh masih selamat dan terkawal.
Beliau juga berkata, penambahan anggota polis di Permatang Pauh akan dibuat mengikut keadaan dan keperluan. Sementara itu, Mohd Bakri mengesahkan polis sudah menerima laporan berhubung salah laku penyokong parti terbabit.
Polis akan menyiasat dan bertindak tegas. Saya mahu beri amaran kepada semua pihak supaya jangan mengambil tindakan undang-undang secara sendiri, katanya.Mengenai dakwaan sekumpulan ahli Puteri Umno diraba di punggung dan diludah penyokong PKR, Mohd Bakri meminta mangsa membuat laporan polis kerana perbuatan itu satu jenayah cabul.
Kita tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan andaian atau laporan akhbar semata-mata, sebaliknya pihak terbabit perlu membuat laporan, katanya.

17 Ogos 2008

2 jurugambar kena pukul

BUKIT MERTAJAM: Baru masuk hari pertama berkempen, pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dicemari kejadian tidak diingini apabila dua jurugambar termasuk seorang jurugambar agensi berita asing dipukul ketika menjalankan tugas.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohd Sairien Nafis, 26, cedera di pinggang manakala kameranya bernilai kira-kira RM15,000 dirampas penyokong pembangkang, berdekatan pusat penamaan calon di Dewan Institut Perguruan Tunku Bainun di sini.


Mohd Sairien berkata, dia dalam perjalanan pulang ke hotel ketika penyokong pembangkang yang membawa bendera menyekat dan memukul penyokong Barisan Nasional (BN) yang menaiki pikap.


"Mereka mengeluarkan kata-kata kesat selain mengganggu pergerakan kenderaan di situ, khususnya yang dinaiki petugas BN," katanya. Bagi mendapatkan sudut gambar terbaik, dia naik ke bahagian belakang pikap berkenaan dan mula merakamkan gambar kejadian itu. Bagaimanapun, katanya, tiba-tiba lebih 30 lelaki yang memakai baju t Parti Keadilan Rakyat (PKR) menariknya sehingga terjatuh dari pacuan empat roda itu.


Mereka mengheret saya kira-kira 15 meter sebelum ditumbuk, terajang dan sepak di kepala, kaki, tangan dan badan, katanya.


Kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit sebelum dia dibantu jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar yang turut dipukul. Kedua-dua mereka berjaya diselamatkan oleh polis yang menyedari kejadian itu.Ketika dibelasah, katanya, dia cuba menyelamatkan kamera dan kad memori yang mengandungi gambar yang diambil ketika proses penamaan calon sebelumnya, tetapi dilarikan lelaki berkenaan.


Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak yang ditanya mengenai kejadian itu kesal sikap penyokong pembangkang itu dan meminta kedua-dua jurugambar itu membuat laporan polis. Perkara ini tidak patut dan ini menunjukkan ada sekumpulan dalam parti pembangkang yang menggunakan cara bertentangan dengan undang-undang dan menggunakan taktik untuk menakutkan pihak lain, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera keselamatan Barisan Nasional di Jalan Tanah Liat di sini, semalam.


Saya minta pihak berkuasa ambil apa-apa tindakan yang patut untuk pastikan kejadian ini tidak berulang, katanya.


Najib, yang juga pengarah pilihan raya BN, berkata tindakan ini menggambarkan mereka terlalu ghairah hendak menang dan tidak mempedulikan undang-undang.“Harap kejadian ini tidak berlaku lagi kerana cara begini akan menyebabkan penyokong kita (BN) akan menjadi tegang dan bertindak balas, katanya.


Malah, Timbalan Pengerusi BN itu berkata, pada penamaan calon pagi semalam, penyokong pembangkang memang bertempik dan bersorak dan perbuatan itu tidak menunjukkan kematangan berdemokrasi. Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan amaran kepada penyokong parti pembangkang supaya tidak bertindak ganas, beliau berkata: Mereka bukan dengarpun cakap kerajaan.


Mereka buat apa yang mereka suka. Mengenai kesan kepada pemberita asing yang sedang membuat liputan pilihan raya kecil itu, Najib berkata: Mereka akan membuat liputan dan akan memberi gambaran buruk terhadap sebahagian daripada rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan amalan demokrasi.

Bertindak ganas Penyokong PKR serang jurugambar, maki hamun pada penamaan calon P. Pauh

Oleh ZULKIFLI JALIL dan ABDUL MUIN SAPIDIN
BEBERAPA penyokong PKR menyerang kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki penyokong BN sebelum memukul dan merampas kamera jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis yang cuba merakamkan insiden itu pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Pematang Pauh, semalam.

BUKIT MERTAJAM 16 Ogos – Hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh hari ini dicemari insiden ganas dan kempen agresif para penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Di Lebuh Raya Kulim-Butterworth berdekatan pusat penamaan calon Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) di sini, dua jurugambar termasuk seorang dari agensi berita asing dibelasah oleh sekumpulan penyokong parti itu ketika kedua-duanya sedang membuat liputan.
Dalam insiden kira-kira pukul 1.30 petang itu, jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis, 26, dan Halim Berbar, 28, dari HBL Press News, Perancis, bukan sahaja teruk dipukul malah mangsa kehilangan kameranya yang dilarikan kumpulan terbabit.
Kejadian itu berlaku sejurus selepas berakhir proses penamaan calon yang mana para penyokong PKR bertindak mengepung dan menyerang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh penyokong BN.
Mohamed Sairen yang menyaksikan kejadian itu cuba merakamkan insiden tersebut dari atas kenderaan berkenaan kemudiannya turut diserang.
Terdahulu, tindakan provokatif dapat dilihat apabila penyokong PKR membanjiri perkarangan pusat penamaan calon dengan mereka menghamburkan kata-kata kesat seperti ‘anjing, barua dan anak haram’ ke atas para penyokong dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengiringi Datuk Arif Shah Omar Shah.
Antara yang turut dilemparkan kata-kata nista itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Tindakan agresif penyokong PKR itu bertentangan dengan jaminan Setiausaha PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim pada 3 Ogos lalu yang meminta pengikut parti itu menjaga perlakuan mereka termasuk memberi layanan yang baik kepada semua petugas media sepanjang kempen pilihan raya tersebut.
Perilaku tidak bertanggungjawab penyokong PKR tidak berhenti setakat itu sahaja apabila pagi ini sekumpulan lelaki yang memakai baju-T berlogo parti tersebut tanpa segan silu meraba sekumpulan ahli Puteri UMNO malah bertindak liar meludah mereka.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi ketika anggota Puteri itu sedang menuju ke pusat penamaan calon hampir mencetuskan pergaduhan di antara penyokong kedua-dua parti tetapi keadaan tegang itu dapat dikawal oleh pasukan polis yang bertugas.
Najib yang mengulas insiden ganas penyokong PKR itu menyatakan rasa kesal sambil menyifatkan mereka tidak menghormati undang-undang sedia ada.
Nada sama turut disuarakan oleh Shahrizat yang menganggap pengalaman beliau melewati laluan menuju ke pusat penamaan calon hari ini sebagai bukan sahaja menakutkan malah memalukan.
‘‘Mereka mencarut, maki hamun dan buat isyarat lucah terhadap kaum wanita dan ibu.
‘‘Malu saya apabila ada ibu dan bapa yang bawa anak kecil juga melihat perlakuan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, kejadian penyokong PKR meraba ahlinya tidak sepatutnya berlaku terutama membabitkan penyokong Melayu beragama Islam.
‘‘Ini belum apa-apa lagi dah tunjukkan kekasaran. Budaya samseng di kalangan pemuda pembangkang sudah ada, pada hal ini baru hari penamaan calon.
‘‘Kumpulan lelaki yang meraba dan meludah jentera Puteri UMNO itu kena hormat dan melindungi golongan wanita, bukannya melakukan perkara tidak senonoh,” katanya.

15 Ogos 2008

Jangan terlalu mengagumi Anwar - Pemuda Pas

IPOH 14 Ogos - Perwakilan Dewan Pemuda Pas mahu pemimpin dan ahli parti itu berhenti mengagung-agungkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga mengenepi dan menafikan kebolehan serta keupayaan kepimpinan mereka sendiri.
Ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda, beberapa perwakilan mahukan supaya pemimpin utama Pas lebih ditonjolkan dan diberi peranan dalam pakatan pembangkang termasuk menjadi Perdana Menteri jika impian membentuk kerajaan pada 16 September ini menjadi kenyataan.
Menurut mereka, sikap segelintir pemimpin Pas yang terlalu mengagumi dan mengagungkan Anwar seolah-oleh tidak mengiktiraf keupayaan kepimpinan ulama dalam Pas.
Wakil Dewan Pemuda Pas Selangor, Zulkifli Ahmad berkata, jika pemimpin dari parti lain dalam pakatan pembangkang yang menerajui negara, dibimbangi perjuangan Pas yang berlandaskan Islam akan dipinggirkan.
- Utusan, 14/08/2008 3:43pm

13 Ogos 2008

Dewan Pemuda Pas tak sehaluan dengan Abdul Hadi

IPOH: Dewan Pemuda Pas mempunyai pendirian berbeza dengan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat sekiranya pembangkang membentuk kerajaan pusat pada 16 September ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata Pas akan tetap bersama dalam pakatan itu bersama parti lain dan jika timbul sebarang perbezaan pendapat, ia akan diselesaikan secara bijaksana.Beliau berkata, walaupun ada masalah dan ketidaksefahaman berlaku di antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, ia tidak bermakna mana-mana parti dalam pakatan itu termasuk Pas sendiri akan bertindak keluar daripada pakatan.
“Ini bukan ertinya kita (Pas) akan berkompromi bila melibatkan dasar-dasar Islam. Bagi kita semua pihak perlu hormati prinsip dan dasar masing-masing.Dengan keadaan beginilah rakyat pilih kita baru-baru ini, apa masalah kita selesai bersama dengan cara yang berhikmah dan bijaksana.
“Hakikatnya di negeri yang dikuasai pembangkang, Pas, DAP dan PKR boleh duduk semeja. Setakat ini, semua masalah boleh diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.Kenyataan beliau berbeza dengan kenyataan Abdul Hadi sebelum ini yang menegaskan Pas akan keluar daripada Pakatan Rakyat jika “kerajaan baru” selepas 16 September ini tidak menjadikan Islam sebagai teras kepimpinan dalam menerajui negara.
Berhubung rasa tidak puas hati sesetengah anggota PAas dengan penyertaan Pas dalam Pakatan Rakyat, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata perkara itu adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh parti tu.
Ditanya sejauhmana kesepakatan semua parti dalam Pakatan Rakyat kerana secara umumnya terlihat bahawa masih ada yang rasa sangsi di antara satu sama lain, beliau mengakui masalah memang wujud dalam pakatan berkenaan.
“Tapi itu masalah biasa dalam pakatan, kita ambil itu sebagai cabaran."Barisan Nasional (BN) pun ada masalah, dalam komponen (BN) pun ada masalah, tapi mereka boleh selesaikan masalah itu, dalam Pas pun, kita berhadapan dengan perkara ini.
“Saya akui memang kita ada masalah, tapi masalah tu boleh selesai dengan cara kita, kita minta rakyat lebih adil, kami baru lepas 100 hari (memerintah), jadi berilah masa untuk buktikan kami boleh bersama,” katanya.
— Bernama

Ariff Shah calon BN tentang Anwar di Permatang Pauh

Ariff Shah Omar Shah
BUTTERWORTH 13 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Ariff Shah Omar Shah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang akan menentang Datuk Seri Anwar brahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos Ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN di sini malam ini.
Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di kawasan Parlimen itu selepas isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi tersebut.
- Utusan, 13/08/2008 10:44pm

Pelajar UiTM berarak protes - Serah memorandum bantah keras cadangan Menteri Besar Selangor


Oleh AZIAN AZIZ
LEBIH daripada 5,000 pelajar UiTM mengadakan perarakan aman ke
Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di Shah Alam, semalam bagi menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar Selangor. – Gambar MOHD. SHAHARANI SAIBI
SHAH ALAM 12 Ogos – Lebih 5,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berarak sejauh dua kilometer di sini hari ini untuk membantah keras cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera.
Kumpulan pelajar itu yang sebahagian besarnya memakai kemeja-T berwarna hitam mula berkumpul di Dataran Shah Alam pada pukul 9 pagi sebelum berarak sambil memegang sepanduk menuju ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Sebaik tiba di luar pagar utama bangunan SUK yang menempatkan pejabat Abdul Khalid, mereka berdemonstrasi selama sejam.
Di samping menyanyikan lagu rasmi UiTM, mereka turut mengangkat sepanduk, antaranya bertulis ‘Jangan rampas hak kami’ dan ‘Selamatkan UiTM’.
Perhimpunan itu berakhir selepas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris yang mengetuai perhimpunan menyerahkan memorandum tujuh muka surat kepada pegawai SUK, Hasril Abu Hassan untuk disampaikan kepada Menteri Besar Selangor.
Luqmannulhakim ketika ditemui pemberita berkata, kandungan memorandum itu merakamkan rasa kesal para pelajar UiTM terhadap cadangan Menteri Besar kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu.
Menurut beliau, memorandum tersebut turut menyatakan wujud unsur politik dalam cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Khalid.
Para pelajar UiTM meminta kerajaan negeri tidak lagi membincangkan cadangan tersebut sekiranya ia bertujuan semata-mata untuk meraih undi pelbagai kaum.
“Janganlah dipolitikkan UiTM kerana penubuhan universiti ini telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk bumiputera demi membantu menaikkan taraf ekonomi mereka,” katanya.
Luqmannulhakim menambah: “Insya-Allah kami akan buat susulan bantahan fasa kedua dan ketiga. Kami akan memohon sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya baginda menitahkan soal pengambilan pelajar UiTM tidak dibincangkan lagi.”
Ahad lalu, Abdul Khalid mencadangkan agar 10 peratus daripada kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.
Sementara itu, seorang penuntut UiTM, Sheikh El-Ash Shaff Shaik Daud, 22, melahirkan kebimbangan sekiranya cadangan tersebut diteruskan, nasib UiTM akan menjadi seperti universiti-universiti lain.
“Mula-mula diminta kemasukan 10 peratus tetapi lama-kelamaan kadar itu dipertingkatkan. Akhirnya golongan bumiputera lenyap dan tertindas di universiti sendiri,” ujarnya.
Bagi Khairul Ashraf, 19, pula, UiTM perlu mengekalkan dasar penubuhannya untuk bumiputera agar lebih ramai anak Melayu berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.
“Bukan kami takut saingan kaum bukan bumiputera, namun penubuhan UiTM sendiri mempunyai matlamat tersendiri untuk menunjukkan pembangunan intelektual bumiputera selain meningkatkan daya ekonomi bangsa kita,” ujarnya.
- UM, 13/08/08

Jangan kacau UiTM: Naib Canselor

SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak mencampuri dan mengacau pentadbiran pusat pengajian tinggi itu.
Dalam nada keras beliau berkata, Abdul Khalid boleh menggunakan Universiti Industri Selangor (Unisel), kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain jika mahu menolong golongan bukan Bumiputera tetapi jangan kacau UiTM.
"UiTM adalah satu-satunya institusi terakhir bagi orang Melayu untuk mengubah nasib mereka menerusi pendidikan dan tidak ada sebab mengapa ada pihak cuba mencampuri atau mengacau pentadbirannya selama ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Khalid pada Ahad lalu supaya 10 peratus kuota kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing, adalah berunsur politik semata-mata.
Dr Ibrahim berpendapat, Menteri Besar Selangor menggunakan isu itu bagi meraih sokongan orang bukan Melayu, seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat baik dan hendak menolong golongan berkenaan yang mungkin tidak faham mengenai penubuhan UiTM.
“UiTM adalah salah satu daripada hak istimewa orang Melayu di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Canselornya ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri.
“Apa yang pelik ialah isu pembukaan (kemasukan) ke institusi pengajian untuk Bumiputera ini kepada bangsa asing dibangkitkan oleh seorang Melayu sendiri, bukannya bangsa asing,” katanya.
- Bernama, 12/08/08.

12 Ogos 2008

UiTM: Syor tidak masuk akal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Bekas-bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan cadangan supaya 10 peratus kuota kemasukan ke universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera dan pelajar asing sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak wajar diberikan pertimbangan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed menegaskan, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana matlamat asal penubuhan universiti itu adalah untuk membantu masyarakat Melayu dan bumiputera bagi mendapatkan pendidikan.
''Cadangan tersebut tidak masuk akal dan tidak perlu diperbincangkan kerana sudah jelas UiTM ditubuhkan untuk masyarakat Melayu dan bumiputera,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing.
Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.
Mohd. Zin yang juga anggota alumni UiTM menjelaskan, alasan untuk mewujudkan persaingan di kalangan pelajar adalah tidak berasas kerana lepasan universiti itu berkualiti dan mampu bersaing secara kompetitif.
''Saya merupakan antara produk keluaran UiTM dan banyak lagi produk keluarannya yang berkualiti, jadi alasan mewujudkan persaingan tidak relevan,'' tegasnya.
Sementara itu, Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Profesor Datuk Dr. Hamdan Adnan berkata, cadangan itu tidak wajar kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan golongan profesional bumiputera dan bukan bumiputera pada masa akan datang.
Hamdan menjelaskan, cadangan Abdul Khalid itu bakal memberikan masalah kepada negara kerana ia akan menyekat pertumbuhan golongan profesional di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.
''Asas penubuhan UiTM adalah untuk memberikan pendidikan tinggi kepada masyarakat Melayu dan bumiputera bagi memperbaiki kehidupan mereka.
''Kajian membuktikan jurang perbezaan golongan profesional bumiputera dan bukan bumiputera adalah tinggi, sekiranya cadangan itu diterima, kita akan terus ketinggalan,'' tegasnya.
Beliau yang juga bekas pelajar UiTM menyeru supaya keutamaan diberikan kepada masyarakat Melayu dan peribumi Malaysia kerana universiti tersebut adalah sebahagian daripada hak mereka di negara ini.
- UM, 12/08/08.

‘Khalid hina UiTM, orang Melayu’

Oleh HAMDEN RAMLI
PUTRAJAYA 11 Ogos – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana sanggup menggadaikan hak keistimewaan orang Melayu dengan mengemukakan cadangan supaya kuota pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera.
Menyifatkan saranan tersebut sebagai populis dan bertujuan memancing sokongan bukan Melayu, beliau berkata, cadangan berkenaan juga satu penghinaan kepada orang Melayu, bumiputera dan institusi pengajian itu sendiri.
“Dia (Abdul Khalid) bercakap soal kecemerlangan dan persaingan. Apakah persaingan antara pelajar UiTM sedia ada tidak cukup sengit? Apakah orang Melayu tidak boleh bersaing sesama dengan Melayu. Kena masuk orang Cina, baru Melayu tahu hendak bersaing.
“Saya juga tidak percaya hanya kerana UiTM menghimpunkan pelajar Melayu dan bumiputera, ia membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.
“Kalau dia (Abdul Khalid) kata hendak melahirkan perpaduan dengan bercampur orang India dan Cina, mengapa bermula di sini, di UiTM? Dia sepatutnya mencadangkan hanya ada satu sekolah (untuk menggalakkan perpaduan). Dan ia mesti bermula di peringkat sekolah rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing.
Menurutnya, pelaksanaan cadangan itu akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.
Khaled menegaskan, cadangan Abdul Khalid itu hanya satu politik murahan yang sanggup menggadai perkara yang diwujudkan untuk memelihara kedudukan dan kepentingan Melayu serta bumiputera.
Dalam aspek ini, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus melindungi hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali tunduk kepada desakan populis itu.
“Jadi, saya memberi jaminan kepada semua pejuang yang telah mewujudkan UiTM bahawa selagi saya menjadi Menteri, kedudukan UiTM akan kekal,” katanya.
Khaled berkata, cadangan membuka kuota pengambilan itu bukan sahaja tidak wajar malah tidak munasabah untuk dilakukan jika kedudukan UiTM hari ini diambil kira.
“Kalau kita lihat statistik enam bulan selepas tamat pengajian untuk tiga tahun kebelakangan ini, seramai 81 peratus siswazah UiTM dapat pekerjaan. Ini adalah lebih baik daripada sesetengah universiti.
“Begitu juga purata siswazah yang belum dapat kerja selepas tiga bulan tamat belajar. Biasanya pada kadar 24.9 peratus tetapi hanya UiTM 19.1 peratus dan bilangan itu adalah antara yang terbaik sekali dalam institusi pengajian tinggi awam dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, kementerian mempunyai pelan jangka panjang di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk memastikan institusi itu terus meningkat kecemerlangannya.
Menurut Khaled, UiTM adalah satu pendekatan kerajaan membina kekuatan orang Melayu dan bumiputera dengan meningkatkan kualiti pendidikan supaya mereka dapat bersaing dan tidak tercicir berbanding kaum lain.
Hari ini, katanya, orang Melayu dan bumiputera masih belum berada pada kedudukan yang mampu menyaingi kaum lain.
“Tindakan membuka UiTM akan melambatkan lagi proses menyusun masyarakat, mengimbangi keciciran atau kekurangan di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Langkah ini tidak akan menyelesaikan masalah,” katanyaa.
- UM, 12/08/08.

10 Ogos 2008

Kedegilan Majlis Peguam punca tentangan rakyat

KUALA LUMPUR: Kedegilan Majlis Peguam meneruskan forum awam “Memeluk Islam” menjadi punca timbulnya tentangan daripada kumpulan tertentu yang sekaligus boleh menggugat keharmonian negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata reaksi seumpamanya memang dijangka setelah badan profesional guaman itu terus membelakangkan nasihat supaya membatalkan forum berkenaan.
“Saya sudah kata jangan dibuat (forum) secara terbuka kerana tentu berlaku reaksi daripada kumpulan lain, tetapi mereka (Majlis Peguam) berdegil, perkara seperti ini memang sensitif dan kita sudah menjangka ini akan berlaku,” katanya.
Najib berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang timbul apabila forum kontroversi itu tetap diadakan semalam walaupun ditentang pelbagai pihak. Forum itu, bagaimanapun ditamatkan tiga jam lebih awal atas nasihat polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Kira-kira 1,000 orang mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar semalam dengan membawa pelbagai sepanduk menentang penganjuran forum berkenaan, termasuk anggota Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (Mapan), PAS, Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak mempertikai atau cuba merungkai perkara asas yang telah dipersetujui bersama semua kaum di negara ini, terutama apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau hendak dirungkai balik akan mencetuskan perbalahan yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan dalam negara kita,” tegasnya. Najib berkata masyarakat berbilang kaum di negara ini sudahpun dapat hidup dengan rukun, aman dan damai selama ini kerana masing-masing mengamalkan sikap toleran, menghormati sensitiviti kaum serta berpandukan Perlembagaan negara yang telah dipersetujui bersama.
"Maka adalah tidak wajar untuk mempertikaikan perkara yang dipersetujui itu kerana ia boleh menimbulkan timbal balas serta reaksi daripada kumpulan-kumpulan lain," katanya.
Metro Ahad, 10/08/08.

Rasuah politik boleh menghancurkan parti

SEJAK bermulanya mesyuarat-mesyuarat cawangan UMNO bulan lalu, difahamkan sudah banyak laporan rasuah politik diketengahkan kepada pucuk pimpinan parti. Tidak hairanlah jika Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Mustapha Mohamed dalam laporan akhbar Jumaat lalu turut menyuarakan kebimbangan mengenai rasuah politik yang dianggapnya sebagai terburuk pernah berlaku dalam pemilihan UMNO.
Mungkin ada benarnya telahan beliau kerana gejala politik wang nampaknya semakin merebak hingga ke akar umbi. Ini baru sahaja mesyuarat cawangan-cawangan dan belum pun bermula pemilihan di peringkat bahagian mahupun pusat. Kalau di peringkat cawangan pun sudah berleluasa budaya sogokan wang, tidak dapat dibayangkan penulis apa akan berlaku waktu pemilihan bahagian dan pusat kelak.
Apa yang dikhuatirkan jika budaya rasuah politik ini dibiar merebak di kalangan ahli hingga ke peringkat akar umbi, sudah pastilah parti akan semakin lemah dan goyah terutamanya dalam suasana politik semasa yang penuh mencabar.
Penulis hairan dengan sikap segelintir ahli dan pimpinan parti yang semacam tidak insaf apa lagi sensitif dengan kemerosotan sokongan rakyat terhadap parti sebagaimana yang diterjemahkan dalam pilihan raya umum lalu. Seolah-olah mereka hidup dalam dunia asing yang terpisah daripada realiti tanpa menghiraukan apa akan berlaku kepada parti.
Lebih mendukacitakan apabila rasuah politik turut berleluasa di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Sogokan berupa wang-ringgit dan pemberian hadiah seperti jam tangan dan gelang magnetik merupakan sebahagian daripada rasuah yang diberikan kepada ahli-ahli cawangan demi memastikan calon cukup pencalonan dan mendapat jaminan undi pada pemilihan bahagian .
KempenYang lebih menghairankan penulis ialah gerak-kerja dan pendekatan kempen oleh jentera-jentera calon kadangkala lebih hebat daripada jentera kempen ketika pilihan raya menentang parti lawan. Sesekali terdetik dalam hati penulis, alangkah baiknya kalau waktu pilihan raya jentera parti dapat bekerja sekeras dan sederas seperti yang dilakukan dalam kempen pemilihan parti.
Penulis pernah melontarkan persoalan kepada seorang pimpinan bahagian mengenai suasana pemilihan parti. Di antara persoalan termasuklah mengapakah ahli-ahli parti begitu galak berebut jawatan parti hingga sanggup melabur dan menghabiskan wang dan kudrat sebegitu rupa? Mengapa tidak jentera-jentera parti bekerja sekeras ini waktu pilihan raya?
Jawab pemimpin UMNO yang agak berumur itu ringkas sahaja, katanya "harga jawatan parti lebih mahal daripada jawatan wakil rakyat". Penulis yang agak baru dalam dunia politik ini cuba menyingkap maksud tersirat yang diluahkan pemimpin parti yang agak senior itu.
Jelasnya lagi, jawatan parti merupakan tiket besar untuk mendekati pemimpin dan melobi projek sekali gus memperkayakan diri dan kroni. Sedangkan kalau jadi wakil rakyat duit terpaksa dihabiskan untuk melayan pelbagai kerenah rakyat yang sentiasa meminta itu dan ini.
Jika benarlah pemikiran dan sikap sebegini yang mengakar dalam diri warga UMNO ketika ini tidak hairanlah mengapa UMNO masih gagal merampas kembali Kelantan. Jauh sekali jika berhajat untuk menambat hati pengundi di negeri-negeri lain yang telah pun jatuh ke tangan pembangkang. Bahkan budaya yang diibaratkan sebagai gunting dalam lipatan ini jika dibiar menjadi barah pastinya akan meranapkan parti secara sedikit demi sedikit.
Persoalannya apakah warga parti rela budaya yang berteraskan sogokan wang dan rasuah seperti ini terus berleluasa dalam parti? Adakah kita bersedia untuk melihat parti keramat ini dibinasakan oleh petualang-petualang yang sanggup mengorbankan parti demi mengejar kemewahan diri? Atau apakah kita lebih reda melihat parti yang besar jasanya kepada bangsa dan negara ini terkubur lantaran sikap ahli dan pemimpin yang tidak lagi berpegang kepada idealisme parti yang murni?
Ingatlah, keupayaan UMNO untuk terus kekal relevan dalam mengemudi bahtera perjuangan bangsa amat tergantung kepada keupayaan setiap pendokongnya memahami idealisme perjuangan yang luhur dan murni. Kegagalan pendokong-pendokong UMNO menghayati nilai perjuangan yang hakiki hanya akan memberi isyarat bahawa parti sedang menjerumus ke arah kebinasaan.
Memang ketika ini semakin banyak gejala yang mengisyaratkan kepudaran idealisme perjuangan di kalangan para pendokong perjuangan. Mengakarnya gejala politik wang dan pelbagai rasuah politik seperti yang dibicarakan ini pun adalah sebahagian petanda bahawa perjuangan politik ahli UMNO sedang mengalami krisis nilai yang parah.
Lebih membimbangkan jika generasi pemuda dan pewaris UMNO turut diselaputi pemikiran bahawa perjuangan parti merupakan kerjaya cari makan, menukar kereta besar, rumah besar dan serba-serbi besar. Akhirnya rakyat yang bijak menilai akan menolak parti lantaran kejelekan melihat pimpinan Pemudanya yang hidup mewah sekelip mata setelah memegang jawatan parti. Kalau Khalifah Umar hidup di zaman ini tentu beliau akan bertanyakan soalan lazim apabila menziarahi pimpinan bawahannya: Dari mana kamu dapat wang membeli kereta mewah sedangkan gaji tidak setara?
RakusJika budaya ini berterusan parti akan semakin hilang manusia-manusia berjiwa pejuang yang sanggup berkorban jiwa-raga dan harta-benda demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci. Sebaliknya yang lahir adalah petualang-petualang berjiwa rakus yang sentiasa bersiap-siaga menghidu peluang dan ruang untuk memuaskan serakah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.
Kita harus insaf bahawa tidak ada jaminan sesebuah parti dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatan semata-mata bernostalgiakan sejarah perjuangan silam nenek-moyang yang sememangnya banyak berjasa memerdekakan negara dan membangunkan bangsa.
Namun sejarah turut membuktikan hakikat sunnatullah yang mentakdirkan jatuh atau bangun, unggul atau hancurnya sesuatu bangsa amat bergantung kepada perilaku moral, tingkah dan olah mereka sendiri. Allah berfirman: Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu dan Kami curahkan air hujan yang lebat ke atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. (Surah Al-An'am: 6).
Pernyataan tegas Allah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Isu penggantian suatu bangsa dengan bangsa yang lain disebut berulang-kali di dalam al-Quran. Amaran keras ini dikhususkan kepada mereka yang lalai, ghairah dan khayal kepada kebendaan duniawi hingga lupa kepada tanggungjawab dan idealisme perjuangan yang hakiki.
Sebab itulah usaha penjernihan harus segera dilakukan bagi membanteras budaya rasuah politik yang memalukan ini. Budaya membeli undi dengan sogokan kebendaan mesti dikekang habis-habisan agar tidak terus menjadi barah yang memporak-perandakan parti.
Demi kecintaan kepada parti dan perjuangan, setiap warga parti wajib menolak pemimpin yang sanggup menjual agamanya dengan melakukan apa sahaja demi merebut kuasa. Moga-moga perjuangan dan kehidupan kita akan lebih diberkati atas keikhlasan dan kesediaan kita untuk membanteras perlakuan rasuah politik yang ditentang keras oleh agama.
- UM, 10/08/08.

1 Ogos 2008

Peluang terbaik BN rampas Permatang Pauh – Muhyiddin

01/08/2008 4:43pm
MUAR 1 Ogos – Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan tidak lama lagi merupakan peluang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) merampas kerusi itu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pilihan raya kecil itu juga memberi peluang meraih semula sokongan rakyat, khususnya pengundi kawasan berkenaan untuk memilih BN demi kemajuan dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan.
Beliau percaya, pengundi di kawasan tersebut tidak akan termakan dengan helah dan taktik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tentunya menjadikan tempoh berkempen itu untuk mendapat sokongan rakyat dalam isu tuduhan liwat yang dihadapinya.
``BN sememangnya sudah menjangkakan dari dulu perkara ini akan berlaku (pengunduran Wan Azizah) dan agak malang bagi penduduk Permatang Pauh kerana baru sahaja selesai pilihan raya umum, mereka perlu menghadapi satu lagi pilihan raya.
``Apa pun, itu adalah hak beliau dan ini peluang terbaik bagi BN untuk meyakinkan semula pengundi di Permatang Pauh bahawa pilihan mereka yang terbaik adalah parti ini.
``Pilihan raya kecil ini juga akan menjadi kancah yang hebat dan mungkin Anwar akan menggunakan ruang ini untuk memutarbelitkan perkara yang berhubung kait dengan peribadinya, apatah lagi kes yang dihadapinya masih belum bermula," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat kerja-kerja pembinaan Kompleks Pusat Bimbingan Usahawan Tani di Pagoh dekat sini hari ini.
- Utusan.

Utamakan usaha kukuh parti daripada bergabung dengan Pas – Muhyiddin

01/08/2008 3:28pm
MUAR 1 Ogos – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin berkata, Barisan Nasional (BN) harus memberi keutamaan memperkukuhkan parti daripada berbincang dengan parti lain seperti Pas untuk bergabung membentuk kerajaan campuran.
Beliau berkata, meskipun usaha bekerjasama dengan Pas adalah baik khususnya dalam berkongsi idea memperjuangkan soal-soal pokok kedua-dua parti, agenda yang lebih penting dalam UMNO sekarang ialah memastikan ia terus kuat.
``Sebenarnya saya sendiri tidak tahu bagaimana hal ini (penggabungan UMNO dan Pas) bermula. Pas berkata mereka sudah tolak tawaran kerjasama itu dan bagi saya, perkara yang paling mustahak sebelum berfikir untuk bekerjasama ialah bagaimana kita hendak memperkuatkan parti kita dulu.
``Kita tidak mahu nanti ada pihak yang melihat bahawa parti kita ini agak lemah dan usaha (penggabungan) ini adalah taktik bagi memperkuatkan BN," katanya pada sidang akhbar selepas melawat kerja-kerja pembinaan Kompleks Pusat Bimbingan Usahawan Tani di Pagoh dekat sini hari ini.
- Utusan.

Tindakan Pas jelas tak ikhlas

Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Amin Ridzuan Ishak dan Syuhada Choo Abdullahbhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Tindakan Pas menolak mengadakan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) jelas menunjukkan sikap tidak ikhlas parti itu memperjuang-kan Islam dan bangsa Melayu. Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Pas meletakkan pelbagai syarat untuk bekerjasama dengan Umno terutama melaksanakan hukum hudud dan qisas.
“Sekurang-kurangnya, kita tidak akan bekerjasama dengan parti hipokrit seperti Pas yang meletak pelbagai syarat, tetapi tidak mengenakan sebarang syarat apabila bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata: “Umno tidak terjejas sedikit pun kalau mereka tidak mahu bekerjasama kerana sebelum ini pun tanpa mereka, Umno mentadbir dengan baik dan tawaran Umno mahu bekerjasama dengan Pas di Perak hanyalah demi kebaikan rakyat negeri itu,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka menyambut baik keputusan Pas untuk terus mengadakan perbincangan dengan Umno demi perpaduan Melayu dan Islam. Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata terpulang kepada Pas membuat keputusan mengenai pelawaan mewujudkan kerajaan campuran itu.
“Lagipun kita tidak mengetahui perbincangan sebenar dalam mesyuarat mereka itu. Bagaimanapun, isu berkaitan agama Islam dan kepentingan Melayu masih boleh dibincangkan dalam perjumpaan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Pas tolak tawaran kerjasama UMNO

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADdan MOHD. NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 31 Julai – Pas hari ini membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan campuran sama ada di peringkat Pusat atau negeri.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun rancangan Pas untuk mengadakan pertemuan dengan semua pihak termasuk UMNO demi kepentingan negara dan ummah akan tetap diteruskan.
Menurutnya, Pas juga tetap berpendirian untuk kekal berada di dalam pakatan pembangkang dengan memainkan peranan yang lebih aktif dan positif selaras matlamat perjuangan untuk menukar kerajaan sedia ada.
‘‘Sehubungan ini, sebarang tawaran daripada UMNO untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat sama ada Pusat atau negeri tidak lagi berbangkit,’’ katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di ibu pejabat parti itu di sini.
Mesyuarat selama lima jam itu dihadiri oleh lebih 50 pemimpin tertinggi Pas termasuk ahli Majlis Syura Ulama yang diketuai Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Keputusan itu adalah reaksi kepada tawaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali kepada Pas untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan baru di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam.
Menurut Mohd. Tajol Rosli, negeri itu boleh menjadi medan terbaik untuk Pas dan UMNO memulakan kerjasama memandangkan penduduk Perak terdiri daripada pelbagai kaum berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, usaha untuk bertemu dengan pelbagai pihak termasuk UMNO akan berjalan seperti dirancang tanpa mengira bentuk perkataan yang digunakan.
‘‘Saya sebut pertemuan ini secara umum, nama itu buatlah nak buat apa (muqabalah atau muzakarah). Kita akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak dan bukan sahaja dengan UMNO.
‘‘Kita mahu bertemu dengan semua parti politik terutama yang bukan berada di dalam pakatan rakyat. Kita juga mahu bertemu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan inilah amalan Pas sejak dahulu sehingga ke hari ini,’’ jelasnya.
Beliau turut mempelawa Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai Pas atau parti rakan pakatan yang lain dalam usaha membuat perubahan politik di negara ini.
Ditanya mengenai tindakan yang dikenakan kepada pemimpin parti yang mengadakan pertemuan secara sulit khususnya dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, setiap pertemuan akan dimaklumkan kepada parti.
‘‘Tidak ada sulit lagi. Setiap kali pertemuan kita maklumkan kepada parti dan inilah pendekatan yang selama ini kita gunakan,’’ katanya.
Berhubung kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, kes tersebut perlu diadili mengikut undang-undang syariah seperti diperuntukkan di bawah peruntukan 121 (a) (1) iaitu kes berkait dengan orang Islam hendaklah dirujuk kepada mahkamah syariah.
‘‘Inilah jalan yang terbaik dan sekiranya perlu dibuat perubahan, UMNO perlu melakukannya. Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan,’’ tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pas akan tetap membela sesiapa sahaja yang dizalimi termasuk Anwar.
‘‘Kaedah perundangan Islam jelas iaitu orang yang dituduh adalah tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah oleh undang-undang,’’ tambahnya.
- UM, 01/08/08.