31 Januari 2009

UMNO: 809 daftar secara online hari pertama pelancaran

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Seramai 809 orang di seluruh negara mendaftar sebagai ahli UMNO menerusi pendaftaran keahlian UMNO secara online pada hari pertama sistem itu dibuka hari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jumlah itu sangat memberangsangkan walaupun pada hari pertama iaitu sehingga pukul 8 malam tadi.
Katanya, sistem pendaftaran online itu lebih menggalakkan orang ramai untuk memohon kerana ia mudah dan cepat.
"Kita menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mendaftar keahlian dan diharap penyertaan mereka sebagai ahli UMNO akan menyemarakkan lagi parti UMNO," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan sistem pendaftaran keahlian parti secara online bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi ahli UMNO.
Bagi pemohon yang ingin menjadi ahli UMNO secara online, boleh dibuat menerusi laman web www.daftar.umno.org.my.
Proses untuk mendaftar keahlian ialah, pemohon dikehendaki menaip nama penuh, nombor telefon dan e-mel, negeri, bahagian dan cawangan yang ingin disertai.
Syarat untuk membuat pendaftaran ialah warganegara Malaysia dan kaum Melayu atau bumiputera.
Individu berkenaan juga dikehendaki membuat pengakuan untuk patuh kepada Perlembagaan, peraturan dan segala dasar parti.
- Utusan, 31/01/09.

17 Januari 2009

Perak perlu pulangkan hak Melayu

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Kerajaan negeri Perak digesa memulangkan semula tanah hak Melayu yang dibuka sebagai penempatan kampung-kampung baru kepada kaum bukan Melayu di negeri itu.
Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (Badan Bertindak), Osman Abu Bakar berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan kerajaan negeri tersebut dengan mengambil kira teguran Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah berkenaan hal itu serta hasrat rakyat negeri Perak.
''Kerajaan Perak perlu bertanggungjawab terhadap teguran yang dibangkitkan Raja Nazrin, ia juga perlu ambil kira hasrat rakyat negeri ini khususnya orang Melayu yang sedar hak mereka telah dicuri.
''Tanah hak Melayu itu perlu dipulangkan secara terhormat bagi menghormati hak kaum itu yang telah dirampas," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Raja Nazrin ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini semalam bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.
Titahnya lagi, Rancangan Briggs memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke kampung baru yang dilengkapkan dengan jalan, bekalan elektrik, air paip, kemudahan sekolah dan kesihatan serta turut dibantu mendapat pelbagai peluang pekerjaan dan kemudahan perniagaan.
Mengulas lanjut, Osman berkata, atas sebab itu, BBPM sedia menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam minggu ini bagi meminta pandangan baginda berhubung hal berkenaan.
Katanya, dua perkara yang bakal dibentangkan dalam pertemuan itu adalah usul supaya tanah tersebut dipulangkan kepada masyarakat Melayu dan status tanah kampung baru yang diberi tempoh masa 999 tahun pajakan berbanding kampung tradisional Melayu yang hanya 99 tahun pajakan.
Jelas beliau, pertemuan itu juga akan disertai pakar dan penasihat undang-undang Perak bagi menentukan tindakan yang bakal diambil badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu masih belum dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan pula berkata, kerajaan Perak perlu mengurniakan tanah pajakan 999 tahun kepada semua kaum tanpa mengira kepentingan politik semasa bagi mengelakkan golongan Melayu terguris hati.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri tersebut juga harus mempertimbangkan pemberian tanah berkenaan kepada anggota keselamatan, polis dan tentera yang berkhidmat menentang komunis bagi menghargai pengorbanan mereka.
''Jika anggota keselamatan terbabit telah meninggal dunia, keluarga mereka perlu diberi pengiktirafan melalui pemberian tanah itu.
''Permainan politik kerajaan negeri Perak hanya akan merugikan bangsa Melayu sekiranya hak golongan bumiputera terus dipinggirkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
- Utusan, 17/01/09.

15 Januari 2009

Felda kejayaan program fardu kifayah kerajaan - Raja Nazrin

Menara Felda, lambang kejayaan cemerlang peneroka.
*****
KUALA LUMPUR 15 Jan. — Rancangan pembukaan tanah oleh Felda, yang bermula sejak 1961, adalah kejayaan gemilang program fardu kifayah kerajaan, titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Menurut baginda rancangan pembangunan itu bukan sahaja mengatasi masalah kemiskinan ribuan keluarga Islam malah turut membawa mereka menerokai kejayaan lebih luas dan lebih besar lagi.
“Bayangkan betapa nasib lebih 112,000 keluarga desa, berkemungkinan berada dalam kategori miskin tegar, jika Felda tidak wujud di negara ini,” titah baginda semasa menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di sini hari ini.
Raja Nazrin Shah bertitah bahawa mengikut kronologi peristiwa, peneroka tanah rancangan Felda hanya berpeluang melalui penghidupan di perkampungan lebih moden 11 tahun terkemudian daripada kemudahan yang dinikmati oleh penduduk Kampung Baru yang dibangunkan melalui Rancangan Briggs.
Rancangan Briggs, yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney dalam tahun 1950, memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke Kampung Baru, yang terletak hampir dengan bandar berbanding dengan kawasan pembangunan Felda.
- Bernama, 15/01/2009 3:28pm

Taksub dengan Pas tidak bertegur 22 tahun

Oleh ADNAN MOHAMAD
KUALA TERENGGANU 14 Jan. - Akibat terlalu taksub dengan perjuangan Pas, seorang bekas ahli parti itu tidak bertegur sapa dengan rakan-rakannya yang menyertai UMNO selama 22 tahun kerana menganggap mereka kafir.
Menurut Wan Ahmad Wan Mohamad, beliau mengambil tindakan demikian kerana terpengaruh dengan 'fatwa' yang dikeluarkan pemimpin parti itu.
Bagaimanapun kata bekas Ketua Pemuda Pas Besut itu, selepas melihat pemimpin Pas sendiri tidak melaksanakan apa yang mereka katakan, menyebabkan dia tawar hati lalu keluar dari parti itu pada tahun 2000.
''Pemimpin Pas sekarang tidak segan atau tiada masalah pun berdamping serta bergaul dengan kaum Cina sedangkan dahulu Pas kata UMNO parti kafir kerana bercampur dengan kaum Cina dan India ," katanya.
Wan Ahmad merupakan seorang daripada penceramah pada 'Perhimpunan Masihkah Kau Ingat' yang dianjurkan Barisan Nasional (BN) di Pasar Chabang Tiga di sini semalam.
Penceramah lain termasuk bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Ustaz Omar Khalid dan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Abu Bakar Abdul Ghani.
Hujan lebat tidak menghalang lebih 4,000 orang menghadiri program itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut Wan Ahmad, tindakan pemimpin Pas itu menunjukkan mereka hanya pandai bermain kata-kata dengan menggunakan tipu daya bagi menarik orang ramai menyokong perjuangan pembangkang.
Pada majlis itu, orang ramai turut menyaksikan tayangan video yang mengimbas tindak-tanduk Pas semasa menerajui Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Ia termasuk tindakan Pas mengunci balai raya dan Kelas Tabika Kemas untuk menghalang daripada digunakan oleh kanak-kanak.
- Utusan, 15/01/09.

14 Januari 2009

Gaza Terus Digasak

BANDAR Rafah di selatan Gaza dihujani bom ketika serangan Israel masuk hari ke-18 semalam.
Gambar merakam beberapa letupan di masjid dan tempat awam berikutan serangan udara tentera Zionis

Dunia tekan Israel

PBB, badan hak asasi mahu rejim Zionis disiasat kerana jenayah perang
GENEVA: Tekanan terhadap Israel semakin meningkat, terbaru oleh pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi yang mahu rejim haram itu disiasat kerana melakukan jenayah perang antarabangsa berikutan tindak-tanduk zalim tenteranya di Gaza.
Pada masa yang sama, tentera rejim Zionis menghadapi serang balas sengit oleh pejuang Hamas apabila cuba memasuki pusat Bandaraya Gaza sehingga berundur ke kawasan luar bandar semalam. Hamas dalam satu kenyataan berkata pejuangnya berjaya meletupkan dua kereta kebal Israel tetapi Tel Aviv menafikannya.
Israel didesak disiasat berikutan dakwaan serangan serta pengeboman secara ‘sembarangan’ dan ‘membuta tuli’ di kawasan kediaman penduduk awam selain tindakan askarnya menggunakan keluarga Palestin sebagai perisai manusia.
Dengan angka kematian hampir mencecah 1,000 orang ketika pertempuran memasuki hari ke-18 semalam, tekanan semakin hebat agar satu siasatan bebas membabitkan insiden tertentu termasuk pengeboman sekolah PBB sehingga menyebabkan 40 orang terbunuh dan persoalan sama ada taktik perang tentera Israel menyalahi undang-undang kemanusiaan.
Jawatankuasa kanan hak asasi PBB kelmarin meluluskan resolusi mengecam tindakan Israel kerana ‘mengingkari asasi manusia secara besar-besaran.’
Sumber kanan PBB berkata, agensi kemanusiaan badan dunia itu sedang mengumpulkan bukti jenayah perang dan akan diserahkan kepada ‘peringkat tertinggi’ untuk digunakan pada masa yang sesuai.
Beberapa aktivis hak asasi mendakwa kepemimpinan Israel mengeluarkan arahan untuk memastikan kemalangan jiwa pihak tentera berada pada tahap paling rendah tanpa mengambil kira nasib penduduk awam.“
Strategi itu secara langsung menyumbang kepada serangan paling dahsyat pernah dilakukan rejim Israel di wilayah Palestin” kata mereka.Tentera Israel dituduh:
Menggunakan bom berkuasa tinggi di kawasan penduduk awam dengan kesedaran bahawa ia akan menyebabkan kemalangan jiwa yang tinggi.
Menggunakan senjata yang diharamkan seperti bom fosforus.
Menahan keluarga Palestin untuk dijadikan perisai manusia.
Menyerang pasukan perubatan termasuk kematian 12 pekerja ambulans di dalam kenderaan rasmi.
Membunuh sejumlah besar polis yang tidak mempunyai peranan tentera.
Ketua agensi PBB bagi pelarian Palestin di Gaza, John Ging, berkata ia adalah mengenai keperluan untuk bertanggungjawab, tindakan tidak wajar dan keterlaluan yang diambil tentera selain isu tanggungjawab keseluruhan mengenai terhadap orang awam.“
Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak untuk membuat pengadilan tetapi penyiasatan terhadap setiap insiden perlu dilakukan untuk mengetahui tindakan yang dilakukan mengingkari undang-undang antarabangsa, katanya.
Tindakan tentera Israel mencetuskan kemarahan luar biasa Palang Merah Antarabangsa selepas askar mengarahkan sebuah keluarga Palestin memasuki bangunan dan mengebomnya, menyebabkan 30 orang terbunuh.
Kanak-kanak yang terselamat berpaut pada mayat ibu mereka selama empat hari selepas tentera menghalang mereka daripada diselamatkan.
Israel melancarkan serangan ke atas Gaza yang mempunyai 1.5 juta penduduk dengan alasan untuk membalas serangan roket Hamas ke kawasan didiami penduduk Yahudi secara haram. – --Agensi

Potong gaji sehari bantu Palestin

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
DR. ABDUL SHUKOR (baju putih)
melancarkan Tabung Gaza untuk
membantu penduduk Palestin akibat kekejaman Israel
di Stadium Tertutup Nilai semalam.
*****
NILAI - Kezaliman dan penindasan rejim Israel di bumi Palestin terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini tidak mahu terkecuali membantah perbuatan di luar kemanusiaan itu dengan mengumumkan pemotongan gaji sehari kepada semua kakitangan untuk disalurkan kepada Tabung Gaza bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk Palestin.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, potongan gaji itu dibuat sebagai tanda prihatin warga universiti itu terhadap kekejaman dilakukan tentera zionis ke atas rakyat Palestin.
"Saya tidak memaksa pemotongan gaji ini tetapi dilakukan sukarela melibatkan kakitangan akademik dan pentadbir USIM untuk disalurkan kepada Tabung Gaza.
"Kepada mahasiswa pula, saya juga merayu kita sama-sama menyumbang dalam Tabung Gaza. Kalau tidak sampai RM1 sekali pun, 10 sen pun boleh. Itu besar ertinya kerana kita dapat menghantar sebutir Panadol kepada penduduk Palestin," katanya.
Beliau berucap demikian pada Rapat Umum Sokongan Kepada Palestin dan Bantahan Keganasan Israel dan Sekutunya di Stadium Tertutup Nilai, di sini semalam.
Dalam rapat umum itu, lebih 5,000 mahasiswa dan kakitangan universiti itu hadir dengan berarak dari kampus berkenaan ke stadium itu sambil melaungkan pelbagai slogan anti-Israel serta membawa sepanduk mengutuk kekejaman tentera zionis.
--Kosmo Online

Boikot Israil dan Amerika

Kini tiba masanya kita buat betul-betul. Demi saudara seagama. kemanusiaan. Demi Maruah!

http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.html

‘Bush ikut telunjuk saya’

ISRAEL TERUS BERMAHARAJA-
LELA... Selain serangan darat,
jet-jet pejuang rejim Zionis terus menggempur kota Gaza, semalam.
*****
BAITULMAQDIS 13 Jan. – Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mendakwa keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk bersikap berkecuali semasa pengundian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis lalu dibuat setelah beliau ‘bercakap’ dengan Presiden George W. Bush.
Menurut Olmert, AS pada mulanya akan mengundi menyokong resolusi itu. Berikut adalah kenyataan Olmert seperti dipetik dalam laporan berita AFP hari ini.
- Olmert minta petugas menelefon Bush, namun mereka menyatakan Bush sedang berucap di Philadelphia.
- Olmert tegaskan bahawa beliau tetap mahu bercakap juga dengan Bush. Presiden AS itu kemudian turun dari podium dan bercakap dengannya.
AS pada mulanya akan mengundi resolusi untuk gencatan senjata di Genting Gaza tetapi tiba-tiba berubah selepas Bush bercakap dengan Perdana Menteri Israel.
- Utusan, 14/01/09.

11 Januari 2009

Kerja keras pastikanBN menang - Najib

KUALA TERENGGANU 10 Jan. - Barisan Nasional (BN) perlu bekerja dengan lebih keras bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, usaha yang lebih gigih perlu dilakukan kerana hasil penilaian dalam kempen yang memasuki hari kelima hari ini menunjukkan BN berpeluang mencapai kemenangan.
''Kita ada peluang menang tetapi kita mesti kerja lebih keras sampailah pada hari pembuangan undi. Umumnya jentera kita berjalan baik tetapi kita juga mesti lihat dari beberapa aspek lagi yang perlu diperbaiki," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan demikian selepas menghadiri Perjumpaan Mesra Bersama Imam, Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Primula Beach Resort di sini hari ini.
Pada majlis itu, Najib menyampaikan cek berjumlah RM8 juta kepada 20 buah SABK dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Menjawab satu soalan, Najib menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya langkah kerajaan meluluskan beberapa projek kepada masyarakat Cina di negeri ini sebagai usaha 'menggula-gulakan' mereka agar menyokong BN.
- MM, 11/01/09.

Emosi, riak dan perubahan

Apa yang boleh kita saksikan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Selasa lalu merupakan suatu suasana yang cukup berbeza.
Jika penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu disifatkan paling ganas dan menakutkan dalam sejarah negara, penamaan calon Kuala Terengganu pula dianggap paling lancar dan tenteram.
Awang mengucapkan tahniah kepada semua pihak meliputi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), polis dan parti-parti yang bertanding. Ternyata ia telah memecahkan batas psikologi banyak pihak bahawa adalah mustahil untuk melihat penamaan calon yang tenang, lebih-lebih lagi jika pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Ijok sebelum ini dijadikan kes rujukan.
Antara faktor yang menyumbang kepada perubahan suasana kali ini ialah langkah baru yang diperkenalkan oleh SPR termasuk menjarakkan kira- kira 100 meter posisi para penyokong parti yang bertanding.
Persoalannya apakah suasana tenang penamaan calon dapat diteruskan sepanjang tempoh kempen sehingga hari mengundi pada 17 Januari ini?
Untuk mengharapkan tiada langsung kejadian tidak diingini, adalah sukar tetapi ada banyak ruang untuk menyaksikan tahap keselamatan yang jauh lebih baik berbanding di Permatang Pauh.
Cuma yang nampaknya sukar berubah ialah kempen ceramah pembangkang yang masih suka membakar emosi rakyat dengan ucapan berapi-api. Soal perlunya fakta yang kukuh dan hujah bernas, tidak begitu penting. Soal sama ada apa yang disampaikan itu dakwaan dan persepsi liar, juga tidak mengapa.
Awang sempat menghadiri majlis ceramah para pemimpin utama pakatan pembangkang. Seorang demi seorang berucap tetapi nada sama – emosi lebih menonjol daripada rasional. Ada pemimpin Pas dalam ucapan mendakwa kononnya UMNO menolak Islam tetapi menganggap DAP adalah sahabat Islam. Awang hanya mampu menggeleng kepala.
Rasanya sebahagian yang hadir tidak lupa hakikat bahawa Malaysia telah diisytiharkan negara Islam beberapa tahun lalu selain Islam termaktub sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara di bawah inisiatif UMNO.
Sebahagian besar penyokong Pas yang mendengar ceramah itu juga sedar bahawa DAP sehingga hari ini masih kuat menentang usaha penubuhan negara Islam ala Pas.
Selain itu, dalam keghairahan para pemimpin Pas dan PKR berucap, kerap terhambur kata-kata seperti bodoh, dajal dan dungu. Ia jelas menampakkan riak dan meninggi diri sebahagian pemimpinnya yang suka memperlekehkan pemimpin UMNO . Mereka sahaja di pihak benar, pihak lain semuanya dituduh salah, jahat dan buruk.
Seorang pemimpin PKR pula terang-terang menyebut perkataan sial apabila menyentuh parti lawan dan dia masih boleh ketawa kecil. Janganlah mengharap mereka menjaga ketertiban berkata-kata di khalayak umum, yang merupakan antara asas kepada segala kebaikan. Ironinya, mereka melaung-laungkan perubahan untuk masyarakat dan negara. Mereka sendiri masih belum berubah.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
- Utusan, 11.01.09.

10 Januari 2009

Tidak patut minta negara asing untuk campur tangan

10/01/2009 5:38pm
KOTA TINGGI 10 Jan. — Rakyat Malaysia tidak sepatutnya meminta mana-mana negara asing mencampuri urusan dalam negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.
’Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya setia kepada negara dan tidak meminta mana-mana negara asing mencampuri urusan dalam negara,” katanya sebagai mengulas laporan media mengenai seruan pemimpin HINDRAF P.Waytha Moorthy kepada kerajaan India agar mengenakan sekatan ekonomi terhadap Malaysia.
“Kepada yang membuat perkara begitu (seruan agar sekatan ekonomi dikenakan terhadap Malaysia), mereka mempunyai pilihan sama ada terus menjadi rakyat Malaysia atau menjadi rakyat negara asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen gotong-royong di Kampung Sentosa, Tanjung Sedili.
- Bernama

9 Januari 2009

Exco Perak mula guna Camry ganti Perdana V6

09/01/2009 5:52pm
IPOH 9 Jan. — Anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak hari ini mula menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 berwarna hitam menggantikan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembelian sejumlah 16 kenderaan berkenaan bernilai kira-kira RM2.56 juta dibuat secara tender terbuka oleh jabatan tender kerajaan negeri.
“Pada hari ini kita terima sembilan buah yang akan digunakan oleh Exco dan pegawai kanan. Baki kenderaan tujuh lagi akan dibekalkan secara berperingkat berdasarkan stok yang ada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini pelbagai kritikan dibuat oleh pelbagai pihak kerana tidak mahu kerajaan negeri membazirkan wang rakyat bagi pembelian kenderaan itu berikutan pimpinan utama negeri yang diterajui parti DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini meuar-uarkan penjimatan wang dan ingin menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Terdahulu, seawal 10 pagi tadi kereta Toyota Camry yang pertama dilihat memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini dengan nombor pendaftaran AFD 33 dan disusuli yang lainnya dibawa masuk secara berperingkat oleh pengedar UMW Toyota ke kawasan letak kereta berbumbung di bangunan berkenaan.
- Bernama, 09/01/09

Profil Calon BN: Dato' Wan Ahmad Farid Wan Saleh

BIODATA

Nama: Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh

Tarikh lahir: 13 November 1962
Umur: 46 tahun
Isteri: Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab, 40
Anak:
Wan Syafiqah Iryani, 19;
Wan Anis Majida, 15;
Wan Syazana Fasihah, 11;
Wan Deena Masyitah, 8;
Wan Nureen Sofia, 5;
Wan Khaireen Dunnyana, setahun.

Jawatan dalam parti: Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu

Pendidikan: Berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Thames Valley, London

Rumah: Suasana Sentral Kondominium, KL Sentral, Kuala Lumpur

Emel: wanfarid@yahoo.com

DATUK Wan Ahmad Farid, dilahirkan di Jalan Ibrahim, Kuala Terengganu pada 13 November 1962 dan pernah bertugas sebagai Peguam bela dan Peguam cara mulai 1987. Beliau menang jawatan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu selepas menewaskan Datuk Roslan Awang Chik pada 2004.
Berusia 46 tahun, beliau kini menjadi Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu yang disandangnya sejak dua penggal.
Beliau dilantik Senator pada 2006 dan bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri bermula 1 Januari 2004 hingga 18 Mac 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, mulai 19 Mac lalu.
Beliau yang gemar membaca, memiliki kelulusan Undang-Undang dari Universiti Thames Valley, London. Selain itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Badminton Terengganu mempunyai pengalaman dan pembentangan kertas kerja dan menghadiri seminar di beberapa negara.
Antaranya, persidangan Regional Ethics In Leadership di Vietnam pada 2000; pemerhati pilihan raya Presiden Amerika Syarikat atas jemputan Jabatan Negara AS (2000), membentang kertas kerja Ancaman Keganasan Di Asia Tenggara, CSIS, Jakarta (2002).
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Bengkel Penubuhan Komuniti Asean di Manila di Asean People's Assembly (2002) dan berucap di Institut Rantau Asia dan Pasifik, University of Sydney semasa menjadi tetamu kerajaan Australia pada 2003.
-- Dipetik dari Berita Harian Online.

8 Januari 2009

Kenyataan Anwar mengenai hudud mengelirukan: Karpal

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan bukannya di seluruh negara adalah mengelirukan, kata Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini.
“Kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tidak perlu menolak hukum hudud kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam adalah bertentangan dengan hasrat Pas yang mengakui mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Ini memang menjadi pendirian Pas sejak ditubuhkan sepertimana dicerminkan dalam kenyataan oleh bekas dan pemimpin PAS sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Karpal Singh menegaskan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dipetik dalam laporan berita pada 23 Disember lalu sebagai berkata: “Saya tidak nampak kenapa mereka (iaitu orang bukan Islam) tidak dapat menerima hukum hudud yang tidak berbeza daripada undang-undang Barat”.
Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata untuk hukum hudud diguna pakai, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.
“Adalah penting untuk Anwar mengetahui apakah niat sebenar PAS yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam. “Mungkin Presiden Pas (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang patut memberikan penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan Pas terpakai kepada orang Islam dan juga bukan Islam sekiranya Pas berjaya menubuhkan sebuah negara Islam. Demi kepentingan orang ramai, beliau patut berbuat demikian,” katanya.
Karpal berkata Malaysia bukan sebuah negara Islam dan kelulusan serta pelaksanaan hukum hudud adalah melanggar Perlembagaan.
- Bernama, 08/01/09.

Tiada isu baru dalam ceramah pembangkang

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
SEMALAM, pakatan pembangkang memulakan kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan mengadakan ceramah mega di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu.
Bersesuaian dengan istilah ‘mega’ yang digunakan, ceramah berkenaan yang bertujuan memperkenalkan calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut, membariskan kesemua pemimpin besar pakatan tersebut.
Mereka yang berada di atas satu pentas di hadapan ribuan hadirin pada majlis itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali.
Seperti diduga tiada isu baru yang ditimbulkan melainkan dakwaan bahawa pemerintahan negara dijalankan penuh rasuah, pembaziran wang royalti minyak oleh kerajaan Terengganu dan berusaha meraih sokongan pengundi dengan memuji Allahyarham Datuk Razali Ismail.
- Utusan, 7/01/09

7 Januari 2009

Wan Ahmad Farid ditentang calon Pas, Bebas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
SOKONGAN... Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin BN lain termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said (depan, tengah) serta penyokong-penyokong berjalan menuju ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.
*****
KUALA TERENGGANU 6 Jan. – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan berhadapan dengan dua pencabar dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.
Dalam proses penamaan calon hari ini di Stadium Negeri di sini, Wan Ahmad Farid yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.13 pagi akan ditentang oleh calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat@Adam.
Mohd. Abdul Wahid, 51, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.18 pagi manakala Azharuddin,46, berbuat demikian pada pukul 9.58 pagi iaitu kira-kira dua minit sebelum proses penamaan calon ditutup.
Kehadiran Azharudin dikatakan mengejutkan pemimpin BN dan Pas kerana sebelum ini nama beliau tidak disebut-sebut akan bertanding. Calon lain yang dikatakan berminat sebelum ini ialah peniaga getah sekerap, Isma Airfath Hassanudin, 38, dan seorang peniaga, Harun@Ab.Rahman Mohamad, 63. yang mewakili parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Bagaimanapun sehingga proses penamaan calon ditutup, Isma Airfath tidak muncul manakala Harun yang dilihat memasuki dewan penamaan calon diminta meninggalkan dewan tersebut oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas dilihat tidak berminat menyerahkan borang pencalonannya.
Walaupun terdapat calon Bebas yang bertanding namun pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu tetap menjanjikan pertarungan sengit antara BN yang mempertahankan kerusi itu dan Pas.
Bagi BN, pilihan raya kecil berkenaan amat penting bagi menebus kekalahannya dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu manakala kepada Pas pula, ia bakal menjadi medan untuk membuktikan bahawa parti itu masih berpengaruh di Terengganu.
Pada sidang akhbar selepas pengumuman nama calon dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mat Razali Kassim pukul 11.28 pagi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengiringi Wan Ahmad Farid bersama lebih 10,000 penyokong BN berkata, pertandingan tiga penjuru bukanlah sesuatu yang mengejutkan BN.
‘‘Pada pilihan raya umum lalu pun kita terpaksa berhadapan pertandingan tiga penjuru. Selain itu, walaupun kita menganggap suasana hari pertama menyebelahi BN tetapi kami tidak akan berasa selesa atau memandang mudah pertandingan ini kerana ia satu persaingan yang sengit.
‘‘Malah BN juga tidak boleh memandang rendah keupayaan Pas kerana kita memahami parti itu adalah lawan yang ampuh. Kita tetap akan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan kerana itulah sasaran BN,” katanya yang akan mengepalai jentera pilihan raya BN di sini.
Dalam pilihan raya umum lalu, Razali mempertahankan kerusi berkenaan selepas memperoleh majoriti 628 undi mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof, 89, yang membuat keputusan tidak bertanding kali ini kerana tidak cukup wang.
Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Buruk yang ketiga-tiga dikuasai oleh Pas serta Bandar yang diwakili oleh BN.
Pada hari pengundian yang ditetapkan pada 17 Januari ini, seramai 80,229 pengundi berdaftar meliputi 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pengundi pos akan mengundi.
- Utusan, 6/01/09.

6 Januari 2009

Wan Ahmad Farid pilihan calon yang tepat

06/01/2009 5:57pm
KUALA TERENGGANU 6 Jan. — Pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional (BN) adalah tepat dan diyakini mampu mempertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil pada 17 Jan ini, demikian menurut para pemimpin BN.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Wan Ahmad Farid telah menunjukkan kewibawaannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan semasa menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dengan menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan penuh dedikasi.
“Beliau adalah seorang pemimpin muda yang dilahirkan dari kilang Pemuda UMNO dan mempunyai keterampilan dari segi kepimpinan dan berkaliber.
“Pergerakan Pemuda akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau,” kata Menteri Pelajaran itu yang ditemui di pusat penamaan calon di Stadium Negeri di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, sokongan Pemuda UMNO di peringkat akar umbi terhadap bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu begitu jelas dan terbukti apabila kebanyakan jentera Pemuda yang terlibat dengan pilihan raya kali ini merupakan dari Pemuda Bahagian dan cawangan Terengganu sendiri.
- Bernama

Saingan tiga penjuru BN, Pas dan Bebas

Wan Ahmad Farid - Calon BN.
*****
KUALA TERENGGANU: Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Bebas.
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan ditentang calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 52,; dan calon Bebas, Azharudin Mamat, 46.
Penerimaan pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mat Razak Kassim, pada jam 11.30 tengahari tadi.
Empat bantahan diterima sepanjang tempoh bantahan dibuka. Terdahulu, Wan Ahmad Farid yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN, tiba di pusat penamaan calon di Stadium Negeri pada jam 9.05 pagi sejurus ia dibuka.
Mohd Abdul yang diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, pula tiba sepuluh minit kemudian dengan kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.
Azharudin yang juga seorang peniaga, tiba di pusat penamaan itu pada jam 9.27 pagi.
Calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abd Rahman Mohamad, pula membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri sejurus tiba dengan beberapa penyokongnya kira-kira jam 9.40 pagi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail, pada 28 November lalu.
Sebanyak 80,229 pemilih berdaftar termasuk 1,035 pemilih pos layak mengundi pada pilihan raya kecil kali ini. Kira-kira 8,000 pemilih di kawasan itu adalah pengundi Cina. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi. Daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Terengganu, hanya Bandar yang dimenangi BN, manakala Wakaf Mempelam, Ladang dan Batuk Burok dimiliki Pas.
BN, bagaimanapun, yakin meraih majoriti lebih besar antara 3,000 hingga 3,500 undi pada pilihan raya kecil kali ini berbanding 628 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008.
- BH, 6/01/09.