30 Mac 2009

Semangat Baru BN Bawa Angin Perubahan Di Bukit Gantang

[BERNAMA - 29 Mac 2009]
TAIPING, 29 Mac (Bernama) -- MCA yakin semangat baru yang dibawa bersama barisan kepimpinan baru parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dapat membawa angin perubahan kepada penduduk Bukit Gantang, khususnya kaum Cina yang mahukan sebuah kerajaan stabil.
Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata semangat baru itu muncul apabila parti komponen BN memilih kepimpinan baru melalui proses pemilihan parti masing-masing dengan yang terkini tunjang parti pemerintah, Umno dipimpin Presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta anggota Majlis Tertinggi yang baru.
"Komitmen dan kerjasama rapat yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen BN yang mempunyai hasrat untuk berubah dan mendengar masalah (rakyat) selepas mengalami pengalaman (kekalahan teruk) dalam pilihan raya lepas akan berjaya meraih sokongan pengundi terutama kaum Cina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Promosi Cara Hidup Sihat di SJK(C) Khea Hwa, Matang, di sini, Ahad.
Liow, yang juga Menteri Kesihatan, berkata BN berusaha memperbaiki segala kesilapannya selepas pilihan raya umum tahun lalu dan kini lebih komited untuk menjalankan tugas dengan lebih cemerlang dalam meneruskan tradisi membela nasib rakyat.
"Kita (BN) akan buktikan (perubahan).. akan ambil langkah-langkah demi kebaikan penduduk setempat, dengan itu saya menyeru orang ramai terutama masyarakat Cina memberi sokongan padu kepada calon BN yang kita perkenalkan kepada Persatuan Cina dan penduduk Cina.
"Mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menangani keadaan ekonomi yang meruncing pada masa ini, mereka nak lihat kurang politiking dan lebih kerja-kerja pembangunan ekonomi negara dan peningkatan taraf hidup rakyat di kawasan ini," katanya.
Beliau berkata pemimpin tertinggi parti termasuk MCA akan mendekati rakyat bagi memperjelaskan kepada mereka mengenai masalah dan isu yang ditimbulkan oleh parti pembangkang menerusi laman blog dan internet.
Menurutnya kerajaan BN adalah sebuah kerajaan berpengalaman serta berkeupayaan membantu rakyat dan calon BN Ismail Saffian adalah calon terbaik yang mampu membawa agenda pembangunan kepada penduduk setempat di samping mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Ismail, 49, calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris, 42.
Ia diadaan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum dari PAS pada 9 Feb lepas, akibat serangan jantung.Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi menewaskan calon BN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas M. Mohganan.
-

Gandingan Mahathir, Abdullah, Najib simbol kebangkitan UMNO

[UTUSAN - 29/03/09]
Oleh Amran Ahmad pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Mac - Gandingan dua negarawan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat UMNO pada era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kelak akan menjadi simbol kepada kebangkitan semula parti dalam membela masyarakat Melayu.
Ahli veteran UMNO, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, nasihat kedua-dua negarawan tersebut akan mengembalikan keyakinan rakyat negara ini terhadap UMNO dan memastikan parti itu terus relevan dalam perjuangan memajukan orang Melayu pada masa depan.
"Hal tersinggung atau perbezaan pendapat atas sesuatu isu dan tindakan tertentu adalah perkara biasa di mana-mana sahaja dan perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
"Apa yang penting sekarang ialah Abdullah dan Dr. Mahathir saling bermaaf-maafan dan melupakan pergeseran sebelum ini kerana masanya sudah tiba untuk kedua-dua tokoh ini mencurahkan pengalaman dan idea demi kemajuan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, beliau melihat pertemuan Abdullah dan Dr. Mahathir itu sebagai permulaan yang baik ke arah pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan sebagai penasihat UMNO yang sememangnya memerlukan nasihat pemimpin terdahulu.
"Namun, adalah lebih baik jika UMNO mempunyai sebuah majlis yang terdiri daripada lebih dua penasihat dan mereka yang menjadi penasihat ini mestilah tidak mempunyai sebarang kepentingan seperti mahu merebut jawatan tertentu," jelasnya.
Seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail mengibaratkan kedua-dua negarawan itu sebagai 'bapa yang menjadi rujukan anak-anak' apabila berhadapan banyak cabaran.
-

29 Mac 2009

Tun Mahathir kembali


Pembaharuan bermula

[Utusan, 28/03/09]
KEHADIRAN Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO semalam memeranjatkan para perwakilan. Beliau yang mulanya duduk di kerusi pemerhati di tingkat atas Dewan Merdeka PWTC kemudiannya naik ke pentas utama sejurus selepas Najib Tun Razak selesai berucap. Di atas pentas, beliau, Najib dan Abdullah Ahmad Badawi saling berpegangan dan menjulang tangan yang secara spontan menerima tepukan gemuruh para perwakilan.
*****

PERALIHAN KUASA
Berlaku mengikut tradisi UMNO dengan tenang dan tertib daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59.
NEGARAWAN BERSATU
Dr. Mahathir Mohamad kembali
bersama UMNO dalam suasana menyentuh perasaan dan penuh penghormatan. Dr. Mahathir naik ke pentas perhimpunan agung dan bersalaman dengan kepimpinan tertinggi parti termasuk Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak.
Pembaharuan UMNO
Perhimpunan Agung Khas sebelum akhir tahun ini membincangkan pembaharuan termasuk memerangi politik wang:
- Perlembagaan dipinda bagi memberi mandat lebih ramai ahli (anggaran 60,000 ahli) memilih kepimpinan tertinggi yang akan dibuat serentak di 191 bahagian.
- Sistem kuota dirombak semula.
Rakyat-Parti-Kerajaan
Konsep parti menguasai kerajaan ditambah dengan komponen rakyat.
Parti memahami denyut hati rakyat. Diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan oleh kerajaan. Apabila kerajaan dikuasai oleh parti melaksanakan kehendak rakyat, UMNO jadi gagah perkasa.

Jangan khianati parti

[Utusan, 28/03/09]
KUALA LUMPUR 28 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya jangan sesekali mengkhianati parti selain menghentikan perbuatan memfitnah pemimpin sehingga merosakkan parti.
Beliau yang secara rasmi menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut mengingatkan ahli parti agar memberi segala sokongan kepada kerajaan dan juga kepada pemimpin yang dipilih pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
"Pesan saya kepada ahli-ahli UMNO ialah supaya setia dan bersatu selain menghidupkan semula semangat kekeluargaan dalam parti.
"Ini adalah penting, kita mahu supaya kekuatan kekeluargaan dalam parti akan dapat diteguh dan ditingkatkan lagi,'' katanya.
Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Jelasnya, semua ahli UMNO mesti terus menjadi penyokong yang kuat, bukan sahaja kepada pemimpin tetapi juga kepada parti.
"Kita menjadi penyokong dan kawan setia, kawan pada masa susah dan senang. Inilah ertinya setiakawan, inilah erti kekeluargaan dalam parti kita.
"Saya percaya barisan kepimpinan ini, insya-Allah akan membawa perubahan seperti mana yang diharapkan dan menguatkan lagi parti supaya ia tetap di hati rakyat, parti pilihan pertama dan parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara,'' tambah Abdullah.
Beliau turut mengingatkan para perwakilan sepotong surah Wahsilah yang boleh ahli UMNO pakai sebagai panduan untuk mengukuhkan lagi persaudaraan sesama ahli.
''Allah SWT dalam firman-Nya menyebut, 'Bagi mereka yang menghadapi Allah sebagai Tuhan mereka dan berpegang kuat kepada kepercayaan itu maka akan diturunkan malaikat yang akan mengingatinya supaya jangan berduka cita dan jangan takut dan juga memberi khabar baik bahawa mereka akan mendapat satu ganjaran syurga dan akan juga akan dapat memperolehi apa jua dengan nikmat-nikmat dalam syurga seperti yang mereka kehendaki','' jelas beliau.
Abdullah menambah, beliau percaya jika semua ahli UMNO mengamalkan ajaran ayat berkenaan, persaudaraan akan dapat dikukuhkan dan kekuatan akan dapat ditingkatkan.
"Dengan cara ini parti kita akan menjadi parti, parti yang benar-benar kuat, parti yang melambangkan persaudaraan ahli-ahlinya yang kukuh bagi melambangkan kekuatan yang ada pada kita dan insya-Allah akhirnya menjadi parti yang menang.
"Atas semangat itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan banyak-banyak maaf kepada semua yang mungkin tersentak hati ataupun yang kecil hati dengan tingkah dan laku saya dan apa-apa yang telah saya lakukan.
"Siapa juga yang ingat saya tak suka dan marah kepada mereka semua, saya maafkan,'' katanya.
Jelasnya, beliau mahu bersara dengan rasa senang hati dan tidak ada perasaan-perasaan yang tidak baik yang hendak beliau bawa.
-

25 Mac 2009

HIDUP UMNO! HIDUP MELAYU!

Selamat Datang!


Selamat Bersidang
kepada semua perwakilan
UMNO, Pergerakan Wanita UMNO, Pemuda UMNO & Puteri UMNO

Celaka lu!

Anggota Parlimen veteran Lim Kit Siang hari ini diarah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat sehingga pukul 1 tengah hari ini setelah beliau membuat tohmahan terhadap UMNO dengan mengeluarkan kata-kata ’UMNO Gila’ dan 'UMNO Gila Kuasa'.


"Kit Siang - Celaka lu, babi batak nak mampus, jahanam lu dari bumi Melayu ni! Ciss..."

Kit Siang diarah keluar dewan hingga tengah hari

Bernama, 25/03/2009 1:05pm
KUALA LUMPUR 25 Mac — Anggota Parlimen veteran Lim Kit Siang hari ini diarah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat sehingga pukul 1 tengah hari ini setelah beliau membuat tohmahan terhadap UMNO dengan mengeluarkan kata-kata ’UMNO Gila’ dan 'UMNO Gila Kuasa'.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandie mengambil keputusan itu setelah Lim (DAP-Ipoh Timur) enggan menarik balik tuduhan itu walaupun berkali-kali diarahkan berbuat demikian.
Lim sebaliknya bertegas dan bahawa beliau tidak melanggar sebarang peraturan mesyuarat dan mendakwa beliau tidak menyakitkan hati sesiapa atau mana-mana kaum.

Umno Mesti Berubah Jika Tidak Mahu Rebah, Kata Najib

[Bernama, 24 Mac, 2009 23:02 PM]

Berubah... Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, juga Timbalan Presiden UMNO berucap di hadapan perwakilan yang hadir di Perhimpunan Agung UMNO dan pembukaan persidangan serentak pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam Selasa. Foto: BERNAMA

*****

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak malam ini mengajak seluruh anggota Umno untuk bersama-sama melakukan transformasi ke atas parti itu secara menyeluruh bagi membolehkannya kekal sebagai pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Berucap merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, yang pertama selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, beliau memberi amaran parti itu akan kehilangan sokongan sekiranya ia tidak melakukan perubahan.

"Berubahlah, jika tidak, kita rebah", kata beliau yang bakal mengambil alih teraju Umno dan kerajaan, dalam nada dan wajah serius di hadapan lebih 2,300 perwakilan ketiga-tiga sayap Umno itu, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Ketika menyampaikan ucapan bertema "Menakhoda Zaman", Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil oleh parti itu iaitu mengubah cara Umno menentukan pemimpin dan sekaligus membendung masalah politik wang dan mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik untuk anggota-anggota.

Umno, katanya, perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar agar pemilihan parti lebih mencerminkan hasrat lebih tiga juta anggotanya di peringkat akar umbi."Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan parti Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

"Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi.

"Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa" katanya. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Mengenai soal pendidikan dan pengkaderan, beliau berkata kursus-kusus politik secara terancang berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan esprit de corps, perlu diadakan untuk mengukuhkan nilai murni perjuangan selain melatih anggota parti menjadi pemimpin yang mulia.

"Di semua peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman yang secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti."Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata Umno mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu untuk kekal lestari."Mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah (buruk) kepada sikap-sikap mahmudah (baik).

"Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat.

Najib turut meminta para perwakilan yang akan terlibat dalam pemilihan kepimpinan parti pada Khamis ini supaya memilih satu pasukan pimpinan yang ampuh dan padu."Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi." katanya.

Beliau berkata Umno memerlukan barisan pimpinan yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.Umno, kata Najib, harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat.

"Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang."Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan," katanya.

Sambil menegaskan bahayanya gejala rasuah, Najib berkata: "Kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan 'beri salah, tidak beri kalah'.

"Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi... Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

"Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini," katanya.Selain itu, Najib juga bercakap mengenai tanggapan umum bahawa aspirasi Umno adalah berbeza dengan aspirasi massa.

"Bagi mereka, cita rasa Umno bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang Umno janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti.

"Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak."Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sesebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?," katanya dalam ucapan lebih sejam yang mengupas pelbagai isu.

Najib juga berkata Umno perlu membuka pintunya seluas mungkin kepada orang Melayu memandangkan bukan semua orang Melayu menjadi anggota parti itu.

"Umno juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya."Umno akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli Umno berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui Umno," katanya.

Lantas, Najib mengingatkan para perwakilan ketiga-tiga sayap parti itu bahawa tugas mereka tahun ini adalah "yang paling berat dalam sejarah " Umno. "Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah'" katanya.

Tetapi, menurut Najib, Umno masih disayangi oleh orang-orang Melayu. "Sebab itulah mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. "Oleh sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar menjadi benci dan terus tidak peduli".

Menyingkap sejarah perjuangan Umno, Najib berkata Umno ternyata mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan.Katanya, telah terbukti juga Umno adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia.

"Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja."Hakikatnya, Umno parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman," kata Najib.

Beliau juga mengingatkan anggota Umno supaya berpijak di bumi nyata kerana lanskap politik negara telah berubah sama sekali."Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari dengan tuntutan zaman. kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam," katanya.

Umno, kata Najib, juga tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda, kerana parti itu bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan, terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka.

Pada masa ini 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi dan ia dijangka meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus pada 2020."Janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.

Beri saya saf padu – Najib

Najib Tun Razak bersama pemimpin ketiga-tiga sayap parti (dari hadapan, kiri) Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Noraini Ahmad (duduk) melaungkan 'Hidup Melayu' pada majlis perasmian persidangan serentak perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi. Turut hadir Setiausaha Agung umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – utusan
*****
KUALA LUMPUR 24 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu barisan kepimpinan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi untuk bersama-sama beliau meneruskan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat.
Dalam ucapan yang ringkas tetapi sarat dengan pesanan dan peringatan, Timbalan Presiden UMNO itu juga mahu kepimpinan beliau sebagai Presiden parti kelak disokong oleh sekumpulan pemimpin yang ampuh dan padu.
Kata Najib, amanah yang dipikul oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserahkan kepadanya dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara.
Oleh itu, katanya, tergalas di bahu beliau satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia UMNO membela untung nasib rakyat.
Justeru, beliau berharap permuafakatan yang terjalin antara tiga sayap parti – Pemuda, Wanita dan Puteri – dapat diteruskan sementara sokongan yang sama turut diberikan oleh ahli-ahli UMNO kepada bakal Timbalan Presiden yang baru kelak.
“Dengan penuh semangat saya yakin bahawa jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Ucapan yang fokus kepada peranan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO itu dimulakan dengan menyentuh jatuh bangunnya ahli-ahli ketiga-tiga pergerakan itu untuk berfungsi sebagai nadi perjuangan parti.
Dalam ucapan tersebut, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan dirinya bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwaris beliau itu telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung.
Beliau menamakan satu persatu tokoh negara bermula dengan Datuk Onn Jaafar, diikuti oleh Tunku Abdul Rahman, seterusnya Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disifatkan oleh beliau sebagai amat berbakti kepada negara.
Najib turut melahirkan rasa hiba kerana persidangan kali ini adalah yang terakhir bagi beliau sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan tiga sayap parti itu selepas lebih 33 tahun bersama.
“Alangkah hiba rasanya malam ini saya berdiri di hadapan saudara-saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Saya juga berasa terharu dan tawaduk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara,” katanya.
- Utusan, 24/03/09.

24 Mac 2009

Perhimpunan Agung Titik Tolak Transformasi Dalam Umno

Oleh Syarifah Hunaini Syed Ismail

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) - Mulai esok, pelbagai pihak di seluruh negara bakal menumpukan perhatian kepada Perhimpunan Agung Umno 2008 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Sejak sekian lama, perhimpunan itu menjadi peristiwa penting negara, apatah lagi kali ini berlakunya pemilihan pimpinan parti yang sekali gus bakal menjawat jawatan tertinggi negara.Menjelang perhimpunan, pelbagai pemerhati dan kalangan dalam Umno berpendapat perhimpunan ini bakal menjadi petunjuk titik tolak proses transformasi atau peremajaan semula Umno sebagai parti terbesar orang Melayu.
Seramai 4,885 orang perwakilan iaitu 2,509 perwakilan pada perhimpunan agung, Wanita (796), Pemuda (791) dan Puteri (789) akan bersidang selama lima hari di PWTC memikul tugas berat memilih barisan pimpinan baru Umno yang bakal diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak, pasca peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Yaakob Mohammad berkata segala persiapan berjalan lancar bagi perhimpunan yang dijangka dibanjiri kira-kira 60,000 orang, baik di dalam mahupun di persekitaran PTWC.Katanya kawalan keselamatan di PWTC akan dipertingkatkan, dengan kira-kira 2,000 anggota keselamatan, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang berlangsungnya perhimpunan.Najib serlaku timbalan presiden parti akan merasmikan serentak perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC malam esok, sebelum Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Perhimpunan Agung Umno Khamis.
Perhimpunan kali ini juga menyaksikan peralihan kuasa tanpa dicabar bagi jawatan presiden diteruskan lagi.Bermula peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak Hussein, tradisi itu dilangsungkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2003. Kali ini, tradisi itu sekali lagi akan diteruskan Abdullah kepada timbalannya Najib.
Seminggu sebelum perhimpunan, Lembaga Disiplin parti membuat keputusan mengejut apabila melarang calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam daripada bertanding atas kesalahan politik wang.Pertandingan jawatan itu kini hanya antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria turut menerima nasib samaIsnin apabila dilarang daripada bertanding jawatan Majlis Tertinggi.Lapan calon naib presiden ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Dr Rais Yatim; Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Selain itu, pertandingan bagi jawatan ketua ketiga-tiga sayap Umno juga menarik dengan Tan Sri Rafidah Aziz dicabar oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan ketua Wanita manakala jawatan Ketua Pemuda menjadi rebutan Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Jawatan Ketua Puteri pula menjadi rebutan enam calon iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd Khalid, Datuk Shahaniza Samsudin, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md Noor.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan pemilihan bagi jawatan dalam MT dijangka diketahui pukul 10 malam, 26 Mac manakala keputusan pemilihan jawatan-jawatan sayap dijangka diumumkan pukul 9 malam 25 Mac.
-- BERNAMA, 24/03/09.

Guru Kemas menangis

MURID-MURID Tabika Kemas terpaksa belajar di bawah khemah dan beralaskan tikar plastik.
*****
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED zainal.mohamed@kosmo.com.my
ALOR SETAR - "Apalah dosa anak murid saya sehingga diperlakukan begini."
Demikian rintihan guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Taman Rakyat Mergong di sini, Che Gayah Wahab, 42, berikutan 32 muridnya terpaksa belajar di luar kelas.
Kelmarin, pelajar tabika di taman itu terpaksa belajar beralaskan tikar getah namun semalam keadaan mereka semakin baik apabila diletakkan di bawah khemah dan berada di atas platform kayu.
Sambil menitiskan air mata, Che Gayah berkata, dia begitu sedih dan kecewa apabila melihat muridnya terpaksa belajar seperti orang pelarian yang merempat.
"Kelmarin mereka belajar tanpa bumbung dan akibatnya seorang daripada murid terbabit tidak dapat hadir kerana demam," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Kosmo! semalam melaporkan seramai 32 murid Tabika Kemas Taman Rakyat Mergong di sini terpaksa belajar beralaskan tikar getah apabila mereka diusir oleh Badan Amal Penduduk Islam

Taman Rakyat Mergong yang menguruskan bangunan dua tingkat yang menempatkan sebuah surau di tingkat atas.
Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk kawasan itu, Md. Suhaimi Abdul Aziz berkata, tindakan mengusir 32 murid terbabit tidak bermotifkan politik.
CHE GAYAH terharu melihat keadaan murid Tabika Kemas Taman Rakyat Mergong, Kedah semalam.
*****
Menurut beliau, pihaknya mempunyai alasan tersendiri mengapa Kemas terpaksa diusir dari bangunan yang ditadbir oleh badan berkenaan sejak setahun lalu.
Beliau mendakwa, selain bayaran sewa, Kemas langsung tidak melayan permohonan penduduk di situ yang mahukan prasarana rosak seperti tandas dibaiki.
- Kosmo!, 24/03/09.

23 Mac 2009

Najib benteng terakhir

Oleh ARSHAD KHAN
pengarang@utusan.com.my
PERKASA MELAYU Sebahagian hadirin mengangkat tangan melaungkan slogan 'Hidup Melayu' semasa Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara di Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur, semalam. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ucaptama pada perhimpunan tersebut. – Utusan / Mohd. Naim Aziz

*****
KUALA LUMPUR 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memastikan mana-mana calon yang diketahui mengamalkan politik wang dan menang dalam pemilihan parti kali ini tidak dilantik menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.
Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Najib adalah peringkat terakhir pemulihan UMNO yang memegang kunci memastikan calon-calon pengamal politik wang tidak diberi ruang dan jawatan dalam Kabinet beliau.
Katanya, jika calon-calon pengamal politik wang masih terlepas dan terpilih untuk menang, maka UMNO akan hilang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Tambah beliau, pemulihan UMNO sebenarnya mempunyai empat peringkat sejak pilihan raya umum yang lalu namun dua daripadanya diketepikan.
Jelasnya, peringkat pertama sepatutnya bermula ketika mesyuarat bahagian berlangsung dengan semua bahagian memastikan pengamal politik wang tidak dicalonkan untuk bertanding sebarang jawatan.
“Kalau bahagian itu jujur, mereka akan calonkan orang yang tidak sogok wang, tetapi kita tahu bahagian-bahagian UMNO telah pilih calon yang terlibat dengan sogokan wang, ini peluang pertama hendak bersihkan UMNO yang sudah hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama sempena program Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) di sini hari ini. Hadir sama Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Peringkat kedua, kata Dr. Mahathir, ialah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Lembaga Disiplin UMNO dalam memastikan parti itu bersih sepenuhnya daripada calon-calon yang korup.
“Lembaga Disiplin juga tidak berhasil, mereka masih merestui politik wang, mereka sudah hilang peluang untuk membetulkan parti atas sebab-sebab yang kita tidak tahu,” katanya.
Menurut beliau, kredibiliti Lembaga Disiplin tercalar apabila calon yang melakukan kesalahan sama diberikan hukuman lain-lain.
“Ada yang bersalah tetapi boleh bertanding. Ada yang diketahui umum mengamalkan politik wang tetapi didapati tidak bersalah,” katanya.
Peringkat ketiga, pula tambahnya, adalah semasa pemilihan yang bakal berlangsung sempena Perhimpunan Agung UMNO minggu depan tetapi beliau bimbang perwakilan tidak menolak calon-calon yang rasuah.
Justeru, katanya, peringkat keempat ialah apabila Najib dilantik menjadi Perdana Menteri dan beliau perlu memastikan calon-calon pengamal politik wang tidak diberikan tempat.
“Peluang terakhir (membetul dan membersihkan UMNO) ada pada Najib. Kalau dia pilih orang seperti ini dalam Kabinet dia, maka peluang masa depan untuk UMNO telah luput,” katanya.
Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, beliau setakat ini tidak nampak UMNO boleh dipulihkan.
Ditanya apakah beliau melihat ada calon tertentu yang layak memegang sebarang jawatan peringkat Majlis Tertinggi, Dr. Mahathir berkata, salah seorang yang layak untuk memegang jawatan Naib Presiden ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
“Rais Yatim seorang yang layak jadi Naib Presiden, dia seorang yang berani,” jelasnya.
Bagi Ketua Wanita pula, beliau merasakan kedua-dua calon iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak layak mengetuai pergerakan itu.
Dr. Mahathir bagaimanapun tidak menamakan siapa yang layak pada pandangan beliau.
Dalam pada itu, beliau enggan mengulas banyak ketika ditanya peluang anaknya, Datuk Mukhriz untuk memenangi kerusi Ketua Pemuda UMNO.
“Saya tidak tahu, nasib dia kalau orang hendak pilih. Peluang dia ada, macam orang lain juga,” katanya.
Ditanya adakah sistem pemilihan UMNO kini yang menjadikannya terbuka kepada berlakunya korupsi, Dr. Mahathir menafikan perkara itu.
“Ia bukan soal sistem, kita sudah tukar dua kali, kita ada sistem bonus, ada yang boleh beli semua bonus-bonus. Kita ada sistem kouta, tetapi ada pihak yang boleh paksa supaya ada pihak yang tidak dapat.
“Ia macam sistem kewangan juga, tukar sistem tetapi penyangak diberi tanggungjawab, hilanglah semua duit. Ia bukan sistem tetapi budaya,” katanya.
Perubahan budaya itu, kata beliau, dapat dilihat apabila semasa dahulu wang tidak wujud dalam politik tetapi kini perwakilan mengambil duit dengan alasan “ada orang hendak beri, maka ambil saja”.
“Kalau orang itu jujur, dia tetap tidak akan ambil walaupun ada orang hendak beri tidak kira dulu atau sekarang,” katanya.
Jelas Dr. Mahathir, apa juga sistem pemilihan boleh dipakai jika ahli dan perwakilan bersikap jujur.
Sementara itu, katanya, beliau masih menimbangkan sama ada mahu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO minggu depan sebagai pemerhati atau sebaliknya.
- Utusan, 23/03/09.

Persembahkan semula UMNO kepada rakyat

SELEPAS beberapa kali membuat penafian mengenai kedudukan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang, akhirnya Mohamad Fairus Khairuddin tampil dengan kenyataan bahawa beliau meletak jawatan mulai 8 April ini.
Beliau tidak dipecat. Fairus juga meletak jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) tetapi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.
Sebenarnya 'pengunduran' Fairus bukanlah cerita yang menggemparkan kerana sebelum ini sudah ada tanda-tanda bahawa anak muda yang sekampung dengan penulis tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur itu tidak serasi dengan jawatannya. Portfolionya pernah bertukar.
Malahan semasa berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, sudah terdengar khabar bahawa beliau akan meletak jawatan.
Sebagai anak muda yang baru dalam politik, tiba-tiba menang dan diberi tanggungjawab besar, sudah pasti, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Maka tidak hairanlah, beliau juga pernah ditegur oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung prestasi kerjanya.
Mungkin meletak jawatan merupakan jalan terbaik bagi Fairus meninggalkan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan DAP-PKR itu.
Namun di peringkat negeri, beban Fairus mungkin sudah berakhir tetapi di peringkat Dewan Undangan Negeri, pengundi-pengundi masih memerlukannya.
Banyak masalah yang memerlukan perhatian dan tindakan beliau misalnya banjir kilat di kampung penulis di Guar Perahu, Bukit Mertajam yang tak pernah selesai sejak Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat BN kemudian isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR) dan kini sekali lagi Anwar atas tiket PKR.
Sudah letih jiran-jiran penulis di kampung menimba air yang masuk ke dalam rumah setiap kali hujan. Kalau sambil menimba dapat ikan keli atau haruan okey lah juga! Janganlah diabaikan kebajikan penduduk kerana label parti BN, PKR, Pas atau DAP.
Pastinya kerajaan negeri pimpinan DAP-PKR tidak mengamalkan sikap pilih kasih.
Justeru diharapkan dengan peletakan jawatan ini, Fairus lebih dekat dengan pengundi-pengundinya.
Fairus tentunya meletak jawatan secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak terutama dari parti komponen Barisan Nasional (BN). Tidak seperti kekalutan atau kesibukan di kalangan pemimpin pembangkang di Melaka - PKR dan Pas yang tumpang semangkuk mendesak Mohd. Ali Rustam meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.
Orang UMNO tak kalut dan tak kecoh tetapi orang PKR pula riuh rendah. Itulah gaya politik pembangkang yang suka mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Bak kata orang lebih sudu dari kuah.
Nasib baik Fairus dalam pakatan pembangkang, jika tidak, macam-macam cerita dan persepsi dibuat mengenai peletakan jawatannya.
Selepas ini entah apa pula yang diinginkan pembangkang setelah Perhimpunan Agung UMNO selesai memilih barisan kepimpinan parti yang dimulai dengan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pada hari Rabu dan diikuti Majlis Tertinggi (MT) termasuk jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada Khamis.
Justeru pemilihan kali ini mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan ahli-ahli UMNO dan parti-parti komponen BN tetapi juga mereka yang berada di luar - pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan atau mereka yang di atas pagar.
Oleh itu, para perwakilan yang diamanahkan memilih perlu membuat keputusan yang tepat pada kali ini. Ketepikan kepentingan peribadi atau agenda politik orang tertentu.
Utamakan kepentingan agama, bangsa dan negara. Ingatlah pesan Yang Dipertua UMNO yang pertama, Onn Jaafar bahawa "Melayu hanya boleh selamat apabila kuat dan kuat apabila bersatu padu'' Dan satu lagi ingatan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Dr. Ismail Abdul Rahman: ''UMNO boleh hancur oleh pergolakan dalamannya sendiri''.
Maknanya UMNO tidak boleh ditumbangkan dari luar sebaliknya yang boleh menghancurkan UMNO ialah percakaran sesama sendiri.
Para perwakilan harus ingat pesan ini dan bertanya pada diri mereka sama ada pada hari ini orang Melayu benar-benar kuat dan bersatu padu dan sama ada UMNO kini tenang tanpa pergolakan?
Janganlah ketika orang lain sedang ghairah mempertikaikan wibawa bangsa Melayu sebagai pribumi, ahli-ahli UMNO ghairah merebut jawatan.
Tidak salah bertanding tetapi biarlah jangan sampai 'menang sorak kampung tergadai' - menang jawatan dalam parti tetapi gagal mempertahankan negeri dan negara pada pilihan raya umum akan datang.
Seperti ingatan Muhyiddin Yassin kepada orang Melayu sebelum ini bahawa keputusan pilihan raya umum lalu meletakkan bangsa dalam 'zon amat bahaya'.
Maka, para perwakilan perlu memikirkan situasi hari ini bagi meremajakan UMNO, menyuntik semangat baru, membariskan kepimpinan bertenaga yang berwibawa yang dapat memberi kekuatan baru kepada parti - pemimpin yang boleh bekerja dan bertanggungjawab, amanah, tidak korup dan sedia berkorban masa dan tenaga.
Jangan menganggap jawatan itu sebagai batu loncatan mengejar kepentingan diri. Jangan melihat UMNO sebagai lombong emas yang boleh memberi kekayaan.
Bersama-samalah mereka membentuk semula sahsiah politik yang sihat dan baik yang bakal membuatkan orang terpegun dan terpesona dengan UMNO yang elok bahasanya, tidak angkuh sehingga mampu menarik orang berpusu-pusu menyertai UMNO.
Bukannya membuatkan orang meluat dan lari meninggalkan UMNO.
Akhirnya kepada 2,509 perwakilan, beranikan diri membuat perubahan untuk kebaikan. Anda semualah yang layak mempersembahkan semula kepada orang Melayu sebuah parti yang bukan sekadar dijenamakan semula tetapi mempunyai jiwa, semangat dan cara bekerja yang lebih bersungguh-sungguh demi kelangsungan bangsa Melayu.
Dan selepas ini, seluruh ahli UMNO perlu bersatu, lupakan sengketa dan jangan biarkan yang menang ambil semuanya. Meminjam pantun Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Zulhasnan Rafique pada majlis ramah mesra dan pertemuan calon-calon MT pada 13 Mac lalu: Dari Kangar ke Kota Kinabalu; Singgah sebentar di Putrajaya; Wahai perwakilan , pintaku satu; Rapatkan barisan, UMNO berjaya. Selamat bersidang!
- Utusan (Rencana), 23/03/09.

22 Mac 2009

Kaca Mata: Pembersihan dalam Umno tanggungjawab perwakilan

MOHD ALI (kanan) bersama dua calon Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin dan Muhammad pada majlis ramah mesra calon Timbalan Presiden Umno di Kota Kinabalu awal bulan ini.
*****
Oleh Hishammudin Aun
Tidak adil untuk sesiapa saja hanya menyalahkan Lembaga Disiplin

KEADAANNYA seolah-olah seluruh yang hadir di Dewan Bandaran Ipoh petang Selasa lalu, menanti dengan penuh debaran. Cuma seorang mempamerkan ketenangan atau sekurang-kurangnya mahu dilihat demikian.
Sejurus selepas jam 4 petang, mereka mendapat khabar yang dinanti-nantikan sambil Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, masih berupaya melemparkan senyuman terhadap sesiapa saja yang terfokus ke arahnya.
Didahului oleh pelbagai nada SMS yang masuk hampir serentak, disusuli oleh bisikan sesama hadirin, dewan berkenaan cukup hingar-bingar dengan khabar Ali sudah dibatalkan kelayakan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Perhimpunan Agung Umno, minggu depan.
Kebetulan, majlis memperkenalkan calon pelbagai jawatan dalam Umno kepada perwakilan dari seluruh Perak pada petang itu berlangsung serentak dengan sidang akhbar Lembaga Disiplin Umno oleh Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail, di ibu negara.
Bukan pun pengumuman itu mengejutkan. Desas-desas mengenai salah seorang calon Timbalan Presiden mungkin hilang kelayakan bertanding, sudah pun tersebar luas sejak beberapa hari sebelumnya. Mereka semua boleh mengagak ia berkisar kepada Ali.
Dalam pada itu, apabila ia benar-benar menjadi kenyataan, impak daripadanya bukan kecil. Dibandingkan dengan Tan Sri Isa Samad yang digantung hanya sesudah menang jawatan Naib Presiden sebelumnya, keputusan ke atas Ali yang dibuat terlalu hampir dengan pemilihan, menggoncang suasana pertandingan kali ini.
Masing-masing harus mempunyai tafsiran berbeza-beza. Sambil ada yang boleh menerima pembatalan kelayakan Ali, andaian bahawa ramai lagi yang terlepas daripada tindakan, dianggap sebagai menghakis keadilan yang hendak diserlahkan.
Ada yang cuba mengaitkannya dengan teori konspirasi dalam pada satu kajian rambang menonjolkan Ketua Menteri Melaka itu sebagai pendahulu di samping kononnya ada dalang di belakang keputusan itu.
Ali, dalam hendak mempertahankannya dirinya tidak bersalah, mahu terus menunjukkan beliau tidak lari daripada apa-apa dengan terus muncul pada majlis memperkenalkan calon kepada perwakilan.Kepada sesetengah pula, Ali daripada kedudukan front-runner kini sudah bertukar fungsi kepada kingmaker.
Apa pun, kurang seorang calon kini tetap tidak mengurangkan kehangatan bahang perebutan jawatan Timbalan Presiden di antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Daripada perebutan tiga penjuru yang kini tinggal perlawanan satu lawan satu, fokusnya harus berbeza. Masing-masing mempunyai perkiraan yang mungkin sama, mungkin juga sama sekali berbeza.
Sekonyong-konyong kepada sebilangan, perwakilan yang sebelumnya bermaksud untuk mengundi Ali akan beralih sokongan kepada Muhammad yang dikatakan bakal meraih laba paling besar daripada keputusan Lembaga Disiplin itu.
Kepada sebilangan lain, perlawanan satu lawan satu akan memaksa penyokong Ali berfikir semula secara saksama untuk mereka memberikan undi kepada siapa yang dirasakan lebih layak di antara kedua-duanya, untuk Muhyiddin sedikit berkelebihan.
Segala-galanya terserah kepada 2,500 perwakilan nanti menentukan pilihan sambil kedua-dua kem Muhyiddin dan Muhammad ketara mahu mengelakkan gambaran bakal mengeksploitasi perkembangan mutakhir itu.“
Kerja-kerja kempen dijalankan seperti biasa tanpa ada apa-apa yang berbeza, baik ketika ia masih pertandingan tiga penjuru atau satu lawan satu,” kata seorang penyokong Muhyiddin. "Kami hanya mengharapkan perwakilan membuat pilihan bijak dan bukan didasarkan kepada emosi. Dari kem berlawanan pula, penyokong Muhammad sudah menghidu peluang yang jauh meningkat daripada sebelumnya dengan andaian majoriti penyokong Ali akan memihak kepada mereka."
Apa saja boleh berlaku sekarang berbanding pertandingan tiga penjuru sebelum ini,” kata seorang ejen dari kem Muhammad. Memang kami ketinggalan sebelumnya tetapi hari demi hari, sokongan kepada kami sudah banyak meningkat.Muhyiddin sudah pun menafikan kononnya beliaulah dalang di sebalik pembatalan kelayakan Ali -- fakta yang diperkukuhkan oleh Ali sendiri bahawa tiada konspirasi di sebalik penyingkirannya.
Harus Muhammad juga sedar ia akan memerlukan lebih daripada keramahannya untuk memikat undi perwakilan tetapi dalam pertandingan satu lawan satu yang terjadi setelah seorang disingkirkan, memang apa saja berkemungkinan.
Lembaga Disiplin sudah pun melakukan tugasnya. Suka atau tidak suka, dengan keterbatasan waktu dan pelbagai kekangan yang dihadapinya, ia adalah yang terbaik dapat dilakukannya menjelang pemilihan kali ini.
Seperti diungkapkan oleh Tengku Rithauddeen, berdepan situasi dibuat salah, tak buat pun salah, tidak mungkin lembaga itu dapat memuaskan hati semua melainkan untuk membuat keputusan berdasarkan kekuatan aduan dan bukti yang dikemukakan kepadanya.
Bukan kerja lembaga itu untuk meningkatkan peluang seseorang calon sambil mengurangi atau menutup terus peluang calon lain.Kalaupun Lembaga Disiplin dilihat tempang dalam menangani lebih 900 aduan yang didepaninya, ia harus dipersalahkan kepada ahli Umno sendiri yang hanya lantang mengkritik tetapi tidak berbuat apa-apa apabila wang masuk ke kocek mereka.
Hakikat bahawa ramai yang bersorak tidak adil apabila hanya Ali yang dibatalkan kelayakan bertanding, menunjukkan mereka sendiri tahu lebih ramai seharusnya menerima nasib serupa.
Soalnya adakah mereka melakukan apa-apa atau berbuat secukupnya untuk mengubah keadaan itu?
Ahli-ahli Umno keseluruhannya masih belum terlewat untuk memperbetulkan keadaan serta memulihkan imej Umno yang terus tercemar dengan dakwaan politik wang.Datuk Seri Najib Razak yang bakal ditabalkan selaku Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini, sudah menggariskan kriteria mereka yang dapat membantunya melaksanakan agenda mengukuhkan parti dan kerajaan.
Perwakilan Umno kali ini harus cukup bijaksana untuk menilai dan menghayati apa yang dimaksudkannya dengan hanya memberi mandat kepada calon berdasarkan keupayaan, tidak rasuah dan berupaya menggerakkan perubahan.Benar, seperti suara-suara lantang di dalam Umno sendiri, Ali tidak harus dibiarkan bersendirian.
- BH (rencana), 22/03/09.

Biar Anwar yang jelaskan - Guan Eng

PULAU PINANG 22 Mac — Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata biarlah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan dakwaan tentang konspirasi dalaman parti itu sehingga menyebabkan Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
“Baik tanya Anwar. Saya tidak mahu jelaskan perkara ini kerana ia melibatkan perkara dalaman PKR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam Lim mengumumkan peletakan jawatan Mohammad Fairus sebagai timbalan ketua menteri dan anggota exco berkuatkuasa 8 April.
Mohammad Fairus bagaimanapun masih kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti dan juga anggota PKR.
Akhbar hari ini pula melaporkan Mohammad Fairus mendakwa menjadi mangsa konspirasi dalaman parti.
Mengenai sebab peletakan jawatan timbalan ketua menteri oleh Mohammad Fairus, Lim juga menyerahkan kepada Mohammad Fairus sendiri untuk menyatakan sebabnya.
“Kita beri ruang kepada Mohammad Fairus untuk menjelaskan sendiri sebab-sebab beliau meletak jawatan,” katanya.
Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata beliau terkejut dengan kenyataan Mohammad Fairus berhubung dakwaan konspirasi tersebut.
“Selama ini saya yang mempertahankan beliau ketika pelbagai dakwaan dilemparkan terhadapnya,” katanya.
Beliau turut berkata sebarang penjelasan berhubung peletakan jawatan Mohammad Fairus perlu dirujuk kepada Anwar.
— BERNAMA, 22/03/2009 2:41pm

Penentu masa depan UMNO

Zulkiflee Bakar
APABILA hampir 2,500 perwakilan UMNO melangkah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai Selasa ini, mereka mempunyai dua pilihan. Pertama, bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan parti bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO atau kedua, menjadi salah seorang yang akan membantu meruntuhkan UMNO.
Hakikatnya, semua pihak tidak perlu lagi memberikan peringatan kepada perwakilan betapa pentingnya pemilihan kali ini. Mereka sendiri sudah memahami bagaimana kedudukan UMNO sekarang yang ditafsirkan berada dalam keadaan cukup kritikal. Pemilihan kali ini dianggap penentu kepada perjalanan hidup mati UMNO dan di tangan perwakilanlah terletak nasib parti, bangsa, agama dan negara.
Semua itu bergantung sejauh manakah mereka menginsafi dan menggunakan segala kebijaksanaan bagi membariskan satu pasukan yang benar-benar mantap dan berwibawa untuk mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui parti dan negara. Justeru, ketika hendak membuat pengundian segala sentimen apatah lagi berkaitan simpati, fitnah, tohmahan dan keuntungan peribadi harus dipinggirkan.
Dalam soal ini, jika senarai calon-calon yang bertanding bagi semua jawatan kecuali Presiden dikaji, adalah jelas pasukan idaman yang diinginkan oleh Najib sudah tersedia cuma menanti nama mereka dipilih sahaja oleh perwakilan. Seperti mana kata Najib, beliau berharap perwakilan akan memberikan set kepimpinan yang boleh mengemudi perubahan dan bersedia menghadapi cabaran. Ertinya, kata beliau pemimpin yang sebaik-baiknya dipilih untuk parti.
Berdasarkan nasihat itu, perwakilan UMNO tidak boleh menyenaraikan atau memilih pemimpin yang hakikatnya mampu membawa masalah kepada parti. Ia bermakna, apabila terpilih UMNO terpaksa menyeret bersama ‘bagasi’ masalah yang ada kepada pemimpin tersebut.
Pemilihan ini adalah untuk mencari barisan pemimpin yang bersih dan berwibawa, inilah ciri-ciri penting yang perlu ada dalam perwakilan membuat keputusan. Lebih tepat lagi, barisan yang dipilih haruslah dilihat mantap untuk parti dan sedap mata memandang bagi rakyat.
Tumpuan utama pemilihan sudah pastilah ke arah penentuan siapakah bakal menjadi gandingan Najib, iaitu bagi kedudukan Timbalan Presiden yang seterusnya akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia menyaksikan pertarungan antara dua menteri kabinet, seorang bertaraf Ahli Parlimen dan seorang lagi Senator. Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Senator Tan Sri Muhammad Muhd.Taib.
Dari segi pengalaman tidak dapat dinafikan kedua-dua mereka adalah bekas Menteri Besar yang berjaya memajukan negeri masing-masing, Muhyiddin di Johor manakala Muhammad di Selangor. Tetapi dalam Kabinet, Muhyiddin jauh lebih berpengalaman kerana pernah menjadi Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri serta menjadi menteri di empat kementerian termasuklah kini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dalam parti pula, Muhyiddin pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Johor, Ahli Majlis Tertinggi mulai 1985 dan dipilih sebagai Naib Presiden UMNO sejak tahun 1993 hingga sekarang.
Bagi Muhammad, beliau pernah menjadi Menteri Besar Selangor mulai 1986 hingga 1997, Naib Presiden UMNO (2000-2003) dan Ketua Penerangan UMNO (Mac 2008 - sekarang). Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Muhammad buat pertama kalinya dibawa ke dalam Kabinet sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Berdasarkan kepada pengalaman, di atas kertas rakyat, mereka sudah tahu siapa yang paling layak untuk digandingkan dengan Najib. Ini kerana Najib memerlukan seorang timbalan yang benar-benar mantap, berwibawa, tiada sejarah silam yang boleh mewujudkan persepsi buruk rakyat dan berkemampuan membantu menangani isu dalam dan luar negara. Namun sepanjang manapun rekod yang disenaraikan ia terserah kepada kebijaksanaan perwakilan menilainya. Apa yang pasti memetik kata seorang pemimpin kanan UMNO,‘‘ kriteria utama untuk menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri mestilah seorang yang sudah lama dalam kabinet dan parti.”
Bagi jawatan Naib Presiden pula, terdapat lapan calon yang bertanding iaitu Datuk Seri Mohd. Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Berdasarkan tinjauan, Zahid, Hishammuddin, Shafie dan Rais bersaing hebat bersama-sama dengan Khaled.
Dalam soal ini, perwakilan mempunyai dua pilihan iaitu memilih gandingan mereka yang berlatar belakang agama, generasi muda dan veteran atau agama dan generasi muda sahaja. Jika pilihan pertama diambil, kecuali bagi latar belakang agama yang sudah pasti memihak kepada Zahid, Hishammuddin pula dilihat sesuai untuk mewakili generasi muda bersaing dengan Khaled dan Shafie manakala Rais dilihat berpeluang cerah mewakili veteran.
Ini kerana UMNO dikatakan memerlukan seorang pemimpin veteran bagi mengimbangi perubahan yang sedang berlaku dalam parti. Bagaimanapun jika pertimbangan hanya ingin menggandingkan generasi muda dan agama, Hishammuddin, Shafie dan Zahid mempunyai peluang cerah. Selain kewibawaan sepanjang berada dalam Kabinet, tradisi Ketua Pemuda dipilih menjadi Naib Presiden akan membantu Hishammuddin, kehadiran sebagai ‘wakil tunggal’ dari Sabah dan mewakili Borneo secara keseluruhannya akan membolehkan Shafie menjadi pilihan.
Bagi Zahid pula yang dilihat sebagai calon favourite, selain mewakili latar belakang agama, sejak berada dalam Kabinet mulai Mac 2004, Zahid sentiasa dilihat mempamerkan prestasi cemerlang. Namun begitu saingan daripada Khaled tidak boleh diketepikan, ada juga pihak melihat beliau mampu mewakili generasi muda. Syed Hamid pula tetap berpeluang jika perwakilan mengambil kira ketegasan dan kemampuan mengendalikan Kementerian Dalam Negeri.
Walaupun kehadiran Isa dan Rahim tidak boleh dipinggirkan namun dalam situasi UMNO sekarang, perwakilan sudah pasti tahu apa pendirian mereka dalam menentukan nasib kedua-dua pemimpin itu.
Bagi jawatan Ketua Pemuda, persaingan sengit berlaku antara tiga calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Secara nyata, Mukhriz dianggap calon selesa untuk UMNO berdasarkan kepada latar belakangnya yang dikatakan masih belum terpalit dengan sebarang rekod dan persepsi. Ada tafsiran yang menyatakan dengan memilih Mukhriz, UMNO tidak perlu bersoal jawab banyak kenapa beliau dipilih. Tetapi ada juga hujah yang menyatakan Mukhriz dilihat pemimpin yang belum diuji sepenuhnya berbanding dengan pesaing-pesaingnya itu.
Justeru bukanlah sesuatu yang luar biasa, jika Khairy dan Mohamad Khir juga turut menjadi pertimbangan perwakilan Pemuda kerana kedua-dua mereka tidak harus dikorbankan hanya semata-mata kerana persepsi apatah lagi fitnah. Khairy contohnya, selain dikatakan berada dalam usia yang sesuai dengan Pemuda, beliau juga dikatakan berkeupayaan menerajui Pemuda kerana dilihat berjaya memainkan peranan membantu Hishammuddin ketika menjadi Naib Ketua.
Mohamad Khir pula dilihat pemimpin yang sudah teruji berikutan kedudukannya yang pernah menerajui Selangor sebagai Menteri Besar sebelum kehilangan kedudukan berkenaan akibat tsunami politik yang berlaku. Hakikatnya, ketiga-tiga calon mempunyai keupayaan memimpin Pemuda, oleh itu perwakilan Pemuda haruslah berfikir tenang dan tidak melihat seseorang calon dari sudut negatif sahaja atau menolak seseorang calon itu sebelum menilai keupayaan dan kekuatannya.
Ini kerana seperti mana kata seorang pemerhati politik, Pemuda UMNO memerlukan lonjakan dan pacuan bagi meninggalkan zon krisis untuk kembali ke zon selamat, oleh itu penilaian harus dilakukan berdasarkan kepada calon manakah paling sesuai untuk melakukan lonjakan tersebut.
Bagi Ketua Wanita pula, siapa yang bakal ‘mewarisi’ kedudukan itu secara demokrasi turut menjadi tumpuan kerana ia menyaksikan pertarungan antara dua orang kuat pergerakan berkenaan iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil.
Secara dasar, kegagalan Rafidah untuk merasionalkan kenapa perlu peralihan kuasa dilakukan sedikit sebanyak boleh menggugat kedudukan beliau yang dilihat ingin terus berkuasa.
Walaupun Rafidah menegaskan bahawa pelan itu dilakukan bagi mengelakkan perpecahan, ia dianggap hujah yang boleh dipertikaikan memandangkan cara terbaik ialah awal-awal lagi Rafidah menarik diri daripada bertanding dan membiarkan ahli Wanita menentukan siapa ketua baru mereka. Soal perpecahan jika pertandingan berlaku tidak perlu dibangkitkan kerana hujah ini, tidak pun digunakan oleh kepimpinan UMNO apabila jawatan kedua terpenting dalam parti turut dipertandingkan.
Peluang Rafidah untuk mengekalkan jawatannya juga agak mencabar memandangkan jika isu perubahan terus dimainkan, kelebihan akan memihak kepada Shahrizat. Mungkin Rafidah mempunyai tafsiran tersendiri berhubung istilah perubahan tersebut tetapi pada tanggapan sama ada orang di dalam atau luar parti, apa ertinya perubahan kalau wajah-wajah lama masih berkuasa sedangkan masanya sudah sampai kepimpinan baru diberi peluang membuktikan kemampuan mereka.
Tidak dinafikan bahawa Rafidah dilihat seorang pemimpin yang tegas dan berwibawa tetapi ini tidak bermakna mana-mana pihak harus memperkecilkan Shahrizat. Pengalaman selama lapan tahun menjadi Naib Ketua kepada Rafidah sudah pasti memberi peluang kepada beliau belajar bagaimana hendak mengemudi pergerakan berkenaan.
Apa pun keadaannya, mungkin apa yang dipaparkan di sini tidak akan menyenangkan hati sesetengah pihak, tetapi penulis melihat dari sudut pandangan seorang rakyat. Oleh itu buatlah keputusan yang bijak demi parti, bangsa, agama dan negara, jangan lepas peluang keemasan ini bagi memilih barisan kepimpinan yang benar-benar layak dan paling penting diterima oleh rakyat.
- Utusan, 22/03/09.

‘Detik mencabar dalam hidup’

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my
Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman selepas Mohd. Ali menyampaikan ceramah bertajuk Mengukuhkan Perpaduan Dan Kesetiaan Benteng Kekuatan Negara:Bersatu Teguh Bercerai Roboh pada kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara di PWTC semalam.– MINGGUAN MALAYSIA/Izham Jaafar

*****
MELAKA 21 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyifatkan keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden parti sebagai detik paling mencabar dalam tempoh 41 tahun beliau berkecimpung dalam parti.
Namun begitu, beliau yang menyertai parti sejak berusia 18 tahun boleh menghadapi serta menerima keputusan itu dengan tenang dan hati terbuka kerana niatnya ikhlas untuk berkhidmat kepada parti, rakyat dan negara.
“Saya fikir ini adalah detik yang mencabar. Saya telah melalui proses ini begitu lama daripada peringkat cawangan hingga ke Naib Presiden UMNO, jadi dah tengok banyak insiden dalam UMNO dan saya fikir adalah amat penting kita ikut niat kita.
“Saya fikir adalah amat penting kita ikut niat kita. Niat saya untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada parti, bangsa dan negara. Inilah pegangan saya, sebab itu kalau ada apa-apa berlaku saya sudah bersedia menghadapinya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan Alias Mihad, 23, dengan pasangannya Nurfadila Noorle, 21, di Taman Saujana Indah, Bukit Katil di sini hari ini.
Mohd. Ali mengulas keputusan Panel Rayuan UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zuki Kamaluddin semalam, menolak rayuannya untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin yang melarang beliau bertanding pada pemilihan parti minggu depan.
Zuki berkata, keputusan Lembaga Disiplin dikekalkan dan ia berkuat kuasa serta-merta seperti yang tertakluk di bawah Fasal 29C Perlembagaan UMNO.
Selasa lalu, Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen membuat keputusan melarang Mohd. Ali bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti minggu depan.
Beliau didapati bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya mengamalkan politik wang.
Mohd. Ali menjelaskan, beliau menerima keputusan Panel Rayuan menolak permohonannya untuk mengetepikan larangan Lembaga Disiplin daripada bertanding pada pemilihan parti minggu depan.
Menurutnya, beliau hanya mampu berdoa supaya rayuan itu diterima ketika menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, Lembaga Disiplin dan Panel Rayuan pada 18 Mac lalu.
Sehubungan itu beliau akan tetap menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bermula Selasa ini selain menjalankan tugas-tugas parti dan kerajaan seperti biasa.
“Saya menerima keputusan Panel Rayuan untuk meneruskan apa yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin sebelum ini dengan hati terbuka.
“Bagi saya tidak wujud rasa kecewa dengan keputusan ini. Saya sentiasa berpendapat kita perlu menghadapi sebarang keadaan,’’ katanya.
Beliau turut meminta penyokong agar bersikap tenang dan bersabar menerima keputusan yang dibuat oleh Panel Rayuan parti.
“Saya minta mereka semua menghadiri Perhimpunan Agung UMNO seperti biasa kerana saya juga akan hadir,” katanya.
Ditanya adakah karier politiknya sudah berakhir selepas gagal dalam rayuannya untuk bertanding, Mohd. Ali berkata:
“Ini saya serahkan kepada keadaan. Yang penting, saya nak berkhidmat kepada parti, negara dan rakyat sebaik mungkin untuk membela rakyat jelata.
“Inilah juga asas perjuangan UMNO untuk membela bangsa, agama dan tanah air. Yang lain-lain adalah perkara kedua.”
- Utusan, 22/03/09.

20 Mac 2009

Umno Di Penghujung Jalan, Perlukan Pembaharuan: Muhyiddin

Oleh Zulkefli Salleh, Ahmad Fuad Yahya dan Noor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno kini sudah sampai ke penghujung jalannya dan ia mesti segera menjalani perubahan dan pembaharuan untuk mengembalikan kekuatan dan pengaruhnya seperti dulu.
Parti itu, katanya, hanya mempunyai masa empat tahun untuk berubah sebelum diadili semula oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13, dan dalam masa yang sangat terbatas itu, semua pihak mesti komited menjayakan usaha memulihkan kembali imej parti itu termasuk sedia menerima perubahan.
"Ada orang kata Umno sudah sampai ke persimpangan jalan, saya kata Umno dah sampai ke penghujung jalan. Tempoh yang terakhir adalah empat tahun," katanya dalam satu temubual dengan Bernama di sini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan, mengakui bahawa tugas itu bukan mudah namun barisan pimpinan Umno harus bersedia melakukannya walaupun terpaksa berdepan dengan tentangan daripada pihak tertentu.
"Bagi saya kalau ikut tempoh masa pembaharuan ini, kita kena mula sebaik saja selepas perhimpunan agung. Katakanlah dalam tempoh dalam masa sembilan bulan selepas itu kita telah meletakkan asas-asas, pemimpin parti semua dibawa masuk bincang dalam Umno. Inilah pendekatan yang nak diambil oleh Datuk Seri Najib (Tun Razak yang akan mengambil alih telah teraju Umno daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), dibantu oleh saya dan rakan-rakan lain.
"Merencanakan jadual-jadual...pertama balik ke 'sekolah politik' iaitu kursus (bagi) semua pemimpin Umno, fahami asas perjuangan Umno supaya kita dilihat telah balik ke pangkal jalan, jangan ada lagi nilai-nilai negatif. Ini bukannya mudah," katanya.
Antara nilai negatif yang mesti dibuang daripada dalam diri ahli ialah sikap mengutamakan diri sendiri agar persepsi mereka mengenai ahli dan parti dapat diperbetulkan.Katanya usaha itu boleh dijayakan melalui penganjuran kursus dan program latihan besar-besaran bagi melatih semula semua peringkat dalam pelajaran politik.
"Sebab saya lihat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ni, kita agak lari, banyak orang lihat kita ini self-serving (utamakan diri), apa yang ada...mesti Umno dulu, ada kontrak...Umno dulu, kalau ada projek...Umno dulu.
"Sejarah Umno (semasa) Datuk Onn Jaafar dulu tak macam itu. Ada sesuatu dia bagi yang rakyat dulu. Kita ini sebagai pejuang tak apa kita hidup papa, yang luar mesti hidup selesa. Sekarang ini tidak, kita mesti pentingkan kita dulu, yang ketua bahagian mesti jaga ketua cawangan, mesti jadi ahli dulu, padahal ahli-ahli yang di bawah itu untuk bela nasib orang Melayu di luar," katanya.
Beliau berharap pembaharuan yang dilakukan itu akan dapat dirasai oleh masyarakat Melayu khususnya dalam tahun ketiga dan pada tahun keempat (dari sekarang) Umno sudah bersedia untuk berhadapan dengan rakyat pada pilihan raya.
Muhyiddin berkata Umno tidak harus hanya menjadi parti untuk ahli-ahlinya sahaja, sebaliknya juga parti yang memberi khidmat kepada orang Melayu yang bukan ahli serta masyarakat Malaysia keseluruhannya.
Sikap lama yang mengutamakan ahli untuk pemberian bantuan tertentu misalnya mesti diperbetulkan kerana selain ahli, orang Melayu yang bukan ahli dan orang bukan Melayu, juga mesti dibantu.
Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berkata beliau sedang cuba membuat pembaharuan di kawasan yang diwakilinya itu dengan meminta ahli Umno menyelesaikan masalah kaum lain dan begitu juga sebaliknya oleh kaum lain, bukan lagi seperti dulu iaitu masalah orang Melayu diselesaikan oleh Umno, masalah orang Cina diselesaikan oleh MCA dan masalah India diselesaikan oleh MIC.
"Sekarang saya pusing...bayangkan kalau Pemuda Umno buat gotong royong di kawasan Cina dan India, begitu juga sebaliknya, apa persepsi masyarakat. Mula-mula orang kata mengada-ngada, kalau dibuat selalu bukan mengada, atau kita dilihat sebagai membantu bukan saja puak-puak kita, tapi membantu semua.
"Ini bentuk format gerak kerja yang kita nak buat, sebab rakyat menilai kita daripada segi apa yang kita buat untuk mereka. Ini adalah kandungan pembaharuan dan perubahan. Jadi empat tahun cukup, tapi rakyat akan adili kita," katanya.
Muhyiddin berkata ahli-ahli Umno tidak mempunyai pilihan dan perlu bersedia menerima perubahan untuk survival parti."Kena ada muafakat antara pimpinan dan ahli tentang apa agenda kita dan dalam proses itu mesti dijelaskan kalau tak buat begini, ini kesannya risiko bagi kita.
"Yang paling bahaya kita hilang kuasa. Jadi kita kena beritahu inilah pilihan kita. Untuk pilihan ini kamu mesti bersedia untuk berkorban, ubah gaya yang tidak secocok dengan gaya baru," katanya.Muhyiddin berkata Umno tidak boleh menunggu 10 tahun lagi untuk berubah kerana pada masa itu ia sudah terlambat.
"Saya bayangkan kalau kita sudah hilang kuasa, nak dapatkan balik kuasa tu payah. Jadi apa pilihan kita, kamu nak terus kuasa dan berubah atau kamu nak hilang kuasa, tak ada pilihan. Umno dan BN tak banyak pilihan," katanya.
Muhyiddin juga berharap pergerakan Pemuda dan Puteri dapat memainkan peranan penting untuk menggerakkan parti ke arah yang lebih positif, terutamanya kerana pada masa ini golongan muda mewakili 50 hingga 60 peratus daripada pengundi.
Oleh itu adalah penting kedua-dua pergerakan dibariskan pimpinan yang bukan saja bersemangat, tetapi ada pengalaman, rasional, mempunyai ketokohan, pandai menilai situasi dan politik semasa, tahu cara-cara nak menyumbang kepada soal kepimpinan yang ada sekarang, memikirkan semangat kerjasama dan perpaduan dan mesti faham kehendak rakyat.
Beliau berpendapat kepimpinan golongan muda mesti berorientasikan hasil, mampu memberi kesan positif dan meningkatkan keyakinan golongan muda.
"Saya pernah sebutkan sebelum ini, setiap apa yang kita lakukan baik di Wanita, Pemuda atau Puteri, kita mesti lihat kepada dividen politik, bukan kelebihan tapi dividen.
"Kita biar belanja RM1, tapi dividennya RM10. Kita tak boleh macam dulu, seronok, syok-syok sendiri, lepas itu akhirnya harap orang itu akan sokong kita. Sekarang kita buat sesuatu nilai dulu, apa impak kalau ini yang aku buat kesannya kepada kita, kesan kepada masyarakat," katanya.
-- BERNAMA, 20/03/09.

"Saya nakhoda Pas" - Nik Aziz

KOTA BAHARU 20 Mac - Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan dirinya sebagai nakhoda kapal dalam kepimpinan parti itu dan mengingatkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, agar berbincang dengan beliau dahulu sebelum membuat keputusan mengenai penubuhan kerajaan campuran.
Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau tidak mahu terdapat ramai nakhoda dalam satu kapal yang mengeluarkan arahan berbeza sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti dan menjejaskan kredibiliti Pas.
- Bernama, 20/03/2009 5:23pm

Doa Ahli UMNO Termakbul

Selepas Pilihanraya Umum ke-11 setahun berlalu, Barisan Nasional menerima tamparan hebat di parlimen dan dibeberapa buah negeri.
Kemerosotan sokongan kepada parti pemerintah pada pilihanraya pada tahun 2008 adalah diluar dugaan setelah mencipta kecemerlangan dalam pilihanraya umum sebelumnya pada tahun 2004.
UMNO sebagai parti yang menjadi wadah perjuangan orang-orang melayu menerima bukan sahaja tempias, tetapi semacam 'tsunami' melanda dalam parti.
Pemilihan jawatan dalam parti pada tahun 2008 yang melibatkan semua jawatan dalam sayap UMNO dari akar umbi iaitu di Cawangan, Bahagian dan Pusat tidak dapat dinafikan berlaku pepecahan dalam UMNO walaupun ianya berlaku dalam tempoh tertentu mengikut perlembagaan parti berkenaan.
Tahun 2008 lebih dirasakan kehangatan bahangnya bila YAB. Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi selaku Presiden parti yang juga Perdana Menteri Malaysia mengumunkan peralihan kuasa kepada Timbahannya Datuk Seri Mohd Najid Tun Razak.
Kekosongan jawatan no. 2 dalam parti rupanya menjadi perebutan hebat bila tiga calon menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan. Ini pun kerana sekatan kuota percalonan, kalau tidak lebih ramai lagi akan bertarung bagi jawatan ini.
Dalam senario parti masih dipertikai relevan atau tidak dalam situasi semasa, dua jawatan tertinggi dalam parti iaitu Presiden dan Timbalan sewajarnya tidak diperandingkan dan kepimpinan yang berminat sewajarnya mempunyai maufakat dan bulat hati untuk menjaga kestabilan parti untuk kembali dalam landasan, nampaknya formula ini seolah-olah tidak penting. Jawatan Timbalan Presiden berlaku pertandingan dan sudah tentu kempen mega oleh calon-calon berkenaan.
Sebagaimana biasa walaupun amaran dan larangan dikeluarkan, ianya masih tidak mampu menakutkan calon-calon dan penyokongnya untuk melakukan kesalahan.
Sesuatu harus diingat, ramai ahli-ahli UMNO diseluruh negara berdoa agar dua jawatan tertinggi ini janganlah pertandingkan. Alhamdulillah doa ahli UMNO didengari oleh Allah SWT, kini cuma tinggal 2 calon dan marilah kita sama-sama berdoa salah sorang manarik diri bagi memberi kekuatan baru kepada UMNO.
Hidup UMNO... dulu, kini dan selamanya. Insya'Allah.
- Krisputra, Jumaat, 20/03/09.

Pulih nama Umno: Najib

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my
Parti perlu tegas atau biarkan kegiatan tak beretika berterusan
*****
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mahu ahli Umno membuat pendirian tegas sama ada mahu memulihkan nama baik parti atau terus membiarkan kegiatan tidak beretika setiap kali berlaku perebutan jawatan, berterusan.
Timbalan Presiden Umno itu menegaskan, jika ahli benar-benar ikhlas mahu melihat parti dibersihkan, mereka perlu memberi kepercayaan kepada Lembaga Disiplin dalam melaksanakan tanggungjawabnya.“
Jadi kita kena buat pendirian tegas sama ada kita nak jaga nama baik Umno atau nak biarkan kegiatan apa saja dilakukan untuk merebut jawatan dalam Umno. Kita tak boleh berdolak-dalik, kalau kita nak bersihkan Umno. “
Jadi kita kena beri kepercayaan kepada Lembaga Disiplin. Saya percaya Lembaga Disiplin bukanlah satu kerja yang menyeronokkan. Ini satu beban yang mereka pikul dan mereka menghabiskan banyak masa untuk menjalankan tugas sebagai anggota lembaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Perkhidmatan Elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kalangan tertentu menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijadikan kambing hitam apabila dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden oleh Lembaga Disiplin Selasa lalu kerana bersalah dalam politik wang.
"Tidak, tidak. Beliau bukan jadi kambing hitam. Ini bukan persoalannya. Kita sudah pilih mereka dan diberi amanah untuk menjalankan tugas sebagai anggota Lembaga Disiplin, kata Najib.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin dengan kredibiliti Lembaga Disiplin kerana ia diwujudkan selepas Umno mengadakan persidangan khas serta meluluskan etika parti.“
Lembaga Disiplin membuat siasatan dan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima. Kalau kita rasa mereka buat kesalahan tapi tak ada maklumat, mereka tidak boleh mengambil tindakan.“
Tidak wajar untuk mempersoalkan sama ada lembaga itu mempunyai agenda tertentu kerana sekiranya parti mula mempersoalkan kewibawaan dan niat mereka, maka akan timbul banyak implikasi, katanya.
Ditanya mengapa Lembaga Disiplin mengambil tindakan berbeza terhadap ahli yang didapati bersalah, iaitu dilarang bertanding, digantung atau cuma diberi amaran, Najib berkata itu semua adalah pertimbangan lembaga berkenaan.
"Mereka adalah badan bebas. Sebarang keputusan berhubung urusan disiplin kena rujuk kepada lembaga. Kita tak campur tangan dalam urusan Lembaga Disiplin," katanya.
Mengenai peranan Mohd Ali sebagai ketua jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang dalam Parlimen Bukit Gantang, Najib berkata, buat masa ini Naib Presiden Umno itu akan terus meneruskan tugas berkenaan sehingga kepimpinan parti menyemak semula keputusan Lembaga Disiplin.“
Saya pun tak tahu apa keputusan itu... satu satu dulu. Marilah kita lalui pilihan raya kecil ini dan selepas itu kita tengok dari situ dan buat masa ini beliau masih menjalankan tugas di Bukit Gantang," katanya.Mengenai persepsi terhadap Mohd Ali selepas didapati bersalah mengamalkan politik wang tetapi masih memegang jawatan Ketua Menteri, Najib berkata fakta yang membabitkan pemimpin itu adalah berlainan dan perbuatan politik wang itu dilakukan oleh orang tertentu.
"Sebab itu berdasarkan fakta, lembaga buat keputusan beliau boleh memegang jawatan Ketua Menteri," katanya.
Mengulas desakan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti tidak melayan rayuan mereka yang terbabit, Najib berkata:"Dalam apa-apa kes lain pun, ada rayuan. Kita tidak boleh menafikan hak untuk orang membuat rayuan dan sama ada rayuan itu berjaya atau tidak, terpulang kepada Lembaga Rayuan untuk membuat keputusan."
- BH, 20/03/09.

Tiada konspirasi – Najib

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 19 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak menolak unsur sabotaj dan ‘kambing hitam’ dalam tindakan Lembaga Disiplin terhadap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berhubung politik wang.
Timbalan Perdana Menteri yakin dengan kewibawaan badan yang diketuai Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail itu dalam memastikan UMNO bebas dari sebarang unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.
‘‘Kita tidak boleh berdolak-dalik, kalau hendak bersihkan UMNO (dari politik wang), kita kena beri kepercayaan kepada Lembaga Disiplin.
‘‘Anggotanya telah diberi amanah, kena buat pendirian tegas, sama ada nak jaga nama baik UMNO atau membiarkan apa sahaja kegiatan dilakukan untuk berebut jawatan. Kalau sudah mula persoalkan niat dan nawaitu Lembaga Disiplin, nanti akan timbul implikasi,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen perkhidmatan elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Beliau ditanya pendiriannya terhadap Lembaga Disiplin di sebalik cakap-cakap segelintir pihak yang meragui ketelusan lembaga itu melarang Mohd. Ali bertanding jawatan Timbalan Presiden setelah tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.
Mohd. Ali semalam menerima dengan hati terbuka hukuman Lembaga Disiplin terhadapnya dan akan mengemukakan rayuan kepada Panel Rayuan UMNO untuk membolehkannya meneruskan hasrat bertanding.
Ditanya mengapa Mohd. Ali masih terus menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka kerana dikhuatiri akan memberi gambaran salah bahawa individu yang korup masih dibenarkan menerajui sebuah kerajaan negeri, Najib berkata:
‘‘Faktanya berlainan sebab kerja-kerja ini (politik wang) dilakukan oleh orang tertentu.
‘‘Sebab itu berdasarkan fakta, maka Lembaga Disiplin buat keputusan dia (masih terus) pegang jawatan (Ketua Menteri),” katanya.
Tiga ejen Mohd. Ali digantung keahlian selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin kerana kesalahan politik wang. Mereka ialah Setiausaha Politik beliau, Saadun Basirun; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hasan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.
Sementara itu, Najib yang ditanya mengenai kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya Lembaga Disiplin jangan melayan sebarang rayuan terhadap mereka yang bersalah kerana ia hanya menjejaskan kredibiliti parti berkata:
‘‘Tak apalah, dia (mereka yang bersalah) ada hak untuk merayu, sama ada rayuan itu berjaya atau tidak, ia bergantung kepada Panel Rayuan.
‘‘Kita tidak boleh nafikan hak untuk seseorang itu membuat rayuan.”
- Utusan, 20/03/09.

Kalimah Allah: MAIS mahu saman Majlis Peguam

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 19 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam kerana mengadakan tinjauan pendapat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam laman web badan itu baru-baru ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, penyiaran tinjauan pendapat tersebut adalah subjudis kerana pengunaan kalimah itu masih lagi belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Katanya, pengunaan kalimah itu oleh badan berkenaan juga dikhuatiri boleh menggugat sensitiviti umat Islam serta melanggar undang-undang agama Islam Selangor yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Tindakan badan ini (Majlis Peguam) adalah subjudis kerana persoalan berhubung kalimah itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam permohonan semakan kehakiman oleh Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur terhadap Kementerian Dalam Negeri, kerajaan Malaysia dan majlis agama Islam negeri-negeri.
“Maka, MAIS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam kerana penyiaran undian ini menyentuh sensitiviti umat Islam dan menyalahi Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran Di kalangan Orang Islam) 1998.
“Ini kerana, berdasarkan Seksyen 9 di bawah Enakmen itu menyebut, adalah satu kesalahan sekiranya ada mana-mana orang sama ada Islam atau bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam memperihalkan kepercayaan sesuatu agama bukan Islam,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Adzib menjelaskan, MAIS juga telah mengharamkan sebarang bentuk penyiaran atau dendangan lagu Allah Peduli yang dinyanyikan oleh penyanyi Indonesia, Agnes Monica di negeri itu.
Katanya, pengharaman itu dibuat kerana mendapati lirik dalam lagu tersebut sama seperti Allah bagi penganut umat Islam.
Bagaimanapun, pada akhir lirik lagu berkenaan terselit ungkapan Allah Yesusku yang membuktikan bahawa Allah yang dimaksudkan dalam lagu itu ialah Allah yang memperanakkan Jesus iaitu kepercayaan penganut Kristian.
“Ini merupakan salah satu penyelewengan kepada kalimah Allah yang merupakan zat Maha Suci lagi Esa yang dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam,” jelasnya.
- Utusan, 20/03/09.

19 Mac 2009

Jangan layan rayuan - Dr. M

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Mac - Lembaga Disiplin UMNO perlu tegas dalam setiap keputusan yang dibuat dan tidak perlu melayan sebarang rayuan kerana ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej parti.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, segala keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga semalam wajar dikekalkan sebagai bukti kesungguhan UMNO membanteras gejala politik wang.
Katanya, sebarang rayuan untuk membolehkan mereka yang dihukum bertanding semula tidak perlu dilayan.
''Memang orang bersalah ada hak untuk merayu tetapi semua pihak tahu yang dia ini bersalah. Sekiranya dengan tiba-tiba orang seperti ini diberi kelonggaran, ia akan menyebabkan kredibiliti UMNO dan jawatankuasa disiplin hancur sama sekali.
''Jangan ganggu keputusan ini. Jika Majlis Tertinggi (MT) kata lain, tidak ada gunanya wujud jawatankuasa disiplin,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai akan berlakunya beberapa kemungkinan ekoran keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin semalam.
Antara keputusannya ialah melarang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih merebut jawatan Timbalan Presiden selepas pihak lembaga mendapati tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.
Pengerusi lembaga berkenaan, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bersalah di bawah perkara yang sama tetapi dikenakan tindakan amaran.
Sementara itu Dr. Mahathir berkata, dalam apa jua keadaan terutama ketika dikenakan hukuman, seorang pemimpin seperti Mohd. Ali wajar mengutamakan kepentingan parti lebih daripada kepentingannya sendiri.
Ujar beliau, dengan kata lain inilah masanya Mohd. Ali menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada parti.
''Jika dia betul-betul jujur dan setia kepada parti, inilah masanya dia tunjukkan kesetiaan kerana dengan dia disingkir, parti terselamat.
"Namun begitu jika dia fikir kepentingannya sahaja ini bermakna kualiti kepimpinan UMNO sudah merosot,'' katanya.
Begitu juga dengan pihak yang bersimpati dengan hukuman yang diterima oleh Mohd. Ali, Dr. Mahathir berkata, mereka merupakan golongan yang menyokong gejala rasuah.
''Jika mereka kata simpati, ini bermakna mereka sokong rasuah. Dalam kes ini bukan Lembaga Disiplin sahaja tahu malah semua orang tahu apa yang berlaku.
''Orang yang menyokong rasuah akan memburukkan lagi UMNO dan akan menyebabkan UMNO kalah dan secara tidak langsung mereka mengkhianati UMNO,'' ujarnya.
Dr. Mahathir berkata, sebagai ahli UMNO yang ikhlas dengan perjuangan, mereka sepatutnya akur dengan setiap keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga.
''Jangan apabila tiba kena batang hidung sendiri tidak mahu sokong tetapi bila kena orang lain hendak sokong pula. Ahli UMNO kena akur dengan keputusan Lembaga Disiplin," katanya.
''Mereka perlu menolak gejala rasuah tidak kira siapa pun yang melakukannya sama ada kena pada pihaknya atau pihak orang lain,'' ujarnya.
- Utusan, 19/03/09.

Ali Rustam bukan mangsa 'kambing hitam': Najib

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata Datuk Seri Mohd Ali Rustam bukan dijadikan 'kambing hitam' dalam siasatan Lembaga Disiplin Umno berkaitan politik wang.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan e-LHDN, di Kementerian Kewangan, di sini, pagi tadi. Kelmarin, Mohd Ali dikenakan larangan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, pada pemilihan minggu depan selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang.
- BH, 19/03/09.

'Fitnah paling buruk'

KUALA LUMPUR 18 Mac - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan bahawa beliau melakukan konspirasi bagi memastikan calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd.Ali Rustam tidak layak bertanding pada pemilihan parti minggu depan sebagai satu tohmahan dan fitnah.
Sambil menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya, Muhyiddin yang turut bertanding jawatan berkenaan berkata, perwakilan seharusnya tidak terpengaruh dengan dakyah tersebut kerana ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan dan kebebasan Lembaga Disiplin UMNO yang menjatuhkan hukuman ke atas Ketua Menteri Melaka itu.
"Kenapa perlu mempersoalkan kewibawaan Lembaga Disiplin, seolah-olah kalau Muhyiddin suruh, dia buat (jatuh hukuman), kalau Muhyiddin tak suruh, dia tak buat. Siapalah saya? Perwakilan kena fikir, mereka tidak harus terpengaruh begitu, apakah Lembaga Disiplin tidak ada status bebas dan berwibawa sehingga mudah terpengaruh dengan orang sekerdil saya ini bagi menentukan hukuman?
"Dalam soal ini, mereka yang terlibat harus lihat pada diri sendiri dan bukannya bila hukuman dijatuhkan maka orang lain disalahkan sedangkan orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah tidak bersalah," katanya dalam pertemuan khas dengan Utusan Malaysia di kediamannya, di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tersebar sejak semalam yang mendakwa beliau melakukan konspirasi bagi membolehkan Mohd.Ali dijatuhkan hukuman tidak dibenarkan bertanding kerana tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang menyifatkan perbuatan memfitnah yang dialami itu sebagai usaha paling buruk mencemarkan nama baiknya sepanjang terlibat dalam politik berkata, beliau tidak tahu kenapa beliau yang menjadi sasaran apabila hukuman ke atas Mohd. Ali dijatuhkan.
"Mungkin kerana saya pesaing utama, maka ini dilakukan bagi menjatuhkan imej dan nama baik saya sedangkan ramai perwakilan tahu siapa saya.
"Saya mengelakkan daripada amalan rasuah politik kerana saya tidak mahu sejarah pengorbanan saya selama 40 tahun dalam politik tercemar kerana perbuatan itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, dalam berhadapan dengan dakwaan ini, semua pihak termasuk perwakilan menilai keputusan Lembaga Disiplin yang dibuat atas budi bicara berdasarkan kepada hak dan kuasa yang diberikan oleh Majlis Tertinggi UMNO.
"Sejak dulu pun ada hukuman, kenapa kes-kes lain tidak dikaitkan dengan saya, apa kerana saya juga bertanding jawatan yang sama maka saya dijadikan sasaran? Bagi saya ini adalah sesuatu yang tidak adil," katanya.
Muhyiddin yang ternyata kecewa dengan perkembangan tersebut turut kesal kerana dikaitkan pengeluaran Permit Import (AP) kepada orang tertentu.
"Kementerian saya memang mengeluarkan AP bukan saya, itu sudah lama sejak zaman Tan Sri Rafidah Aziz lagi dan ia diberikan kepada syarikat yang layak, itu saja, bukan ada orang lain.
"Malah baru-baru ini kita mengkaji semula pemberian AP supaya mereka yang tidak buat betul, kita kurangkan jumlahnya, ada yang tidak puas hati tetapi itu untuk memperkemaskan pengurusan, kenapa dikaitkan dengan pemilihan parti," tegasnya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Muhyiddin berkata, beliau akan meneliti sama ada fitnah itu akan berterusan atau tidak dalam usaha pihak tertentu mencemarkan nama baik dan menjejaskan peluangnya untuk terpilih dalam pemilihan kali ini.
"Dalam etika pemilihan sudah dinyatakan dengan jelas supaya kita tidak boleh membuat fitnah dan tohmahan, kalau betul saya terlibat buktikan, jangan membuat tuduhan melulu," katanya.
habis.
- Utusan, 19/03/09.

18 Mac 2009

Muhkriz Tidak Anggap Hukuman Terhadap Khairy Beri Kelebihan Kepadanya

By: Ramjit
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini tidak menganggap hukuman terhadap pencabarnya Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana terbabit dengan politik wang bakal memberikan kelebihan kepadanya.
Mukhriz, yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata jawatan itu akan tetap menyaksikan pertandingan walaupun Khairy serta seorang lagi calon Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah disiasat oleh Lembaga Disiplin.
Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tata Etika Ahli Umno oleh Lembaga Disiplin parti semalam kerana terlibat dengan politik wang dan diberikan amaran manakala Mohamad Khir tidak disabitkan kesalahan.
"Saya tidak fikir ianya satu kelebihan dalam kita bertanding kerana dalam mana-mana pertandingan biarlah ada orang yang bertanding... kerana sebagai "gentleman", saya rasa lebih elok seseorang itu menang dengan cara bertanding. Apa yang dilaporkan hari ini menjadi satu perkara yang diterima semua pihak dan saya tiada sebarang pendirian mengenai apa yang sudah berlaku.
"Kita akan buat seperti biasa sahaja untuk meyakinkan Pemuda terhadap apa yang hendak kita bawa dalam pergerakan ini iaitu masih tiga (persaingan tiga penjuru), tiada perubahan dalam hal itu," katanya pada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Rabu.
Mukhriz berkata beliau mengharapkan perwakilan khususnya golongan atas pagar dan masih belum membuat keputusan agar memberi pertimbangan sewajarnya dalam soal ini terutamanya menjelang saat-saat akhir pemilihan agung parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mac hingga 28 Mac ini.
Beliau juga tidak pasti sama ada perkembangan terkini itu memberi kesan terhadap pemilihan parti tetapi beliau yakin perwakilan cukup matang untuk membuat keputusan dan menilai calon, sekali gus mencerminkan kehendak akar umbi.
Ditanya sama ada mungkin akan ada lagi calon yang didakwa dan dikaitkan dengan politik wang, beliau berkata, tidak mustahil perkara itu akan berlaku kerana lembaga menjalankan amanah parti.Ketika ditanya kemungkinan keputusan yang diumumkan semalam itu dipengaruhi pihak tertentu, Mukhriz berkata beliau percaya lembaga itu bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana pihak.
"Saya percaya lembaga membuat pertimbangan berdasarkan siasatan mendalam dan saya kira mereka lebih tahu daripada kita. Oleh itu saya tidak mempertikaikan apa yang diumumkan.
"Kita mahu rakyat tahu Umno serius dalam memerangi gejala ini dan terbukti apa yang berlaku kelmarin, kita mempunyai cara untuk menyelesaikan masalah dalaman," katanya.
- BERNAMA, 18/03/09.