29 Jun 2009

Islam utamakan muzakarah berbanding debat: Harussani

[Bernama - 29/06/09]
KUALA LUMPUR: Islam lebih mengutamakan proses muzakarah atau perbincangan berbanding mujadalah atau berdebat dalam soal perpaduan ummah, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau berkata, Islam juga tidak menolak perdebatan untuk berhujah dan berdepan dengan individu atau kumpulan bukan Islam, khususnya dalam soal berkaitan akidah sepertimana ketika Nabi Musa berhadapan dengan Firaun.
"Dalam Islam lebih baik muzakarah (dalam soal perpaduan Ummah). Lebih baik duduk semeja dan berunding daripada berdebat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai cabaran Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk berdebat secara terbuka.
Nik Abdul Aziz mencabar Najib berdebat secara terbuka berikutan tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.Sebelum ini, cadangan muzakarah mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ditolak pakatan pembangkang.
Nik Abdul Aziz yang menentang keras idea kerajaan perpaduan dilaporkan berkata debat itu boleh dianggap cara nabi, pada zaman Nabi Musa berdepan dengan Firaun.
"Debat itu wajar kalau hendak hujah dengan bukan Islam contohnya tentang akidah tapi ini untuk mencari jalan kepada perpaduan (sesama Islam)... Jadi lebih baik utamakan muzakarah.
"Kalau hendak bincang soal polisi bolehlah berdebat tapi ini untuk mencari jalan dalam soal perpaduan," kata Harussani.Ramai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta Najib supaya tidak melayan cabaran berdebat dari Nik Aziz itu yang disifatkan sebagai membuang masa dan tidak mendatangkan faedah.
Bagi pensyarah media dan komunikasi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, kedua-dua proses muzakarah dan perdebatan adalah penting untuk mencari titik pertemuan dalam sebarang perkara.
"Ianya ibarat dua keretapi berhenti di stesen yang sama. Ia perlu dilihat sebagai proses bersekutu dan bukannya berseteru."Tamadun juga dibina atas dua proses ini (perbincangan dan perdebatan). Malah di Parlimen juga berasaskan kepada dua proses ini yang saling melengkapi," katanya.
Namun pensyarah media itu berkata proses itu hanya akan berjaya, jika kedua-dua pihak benar-benar ikhlas untuk mencari titik pertemuan dalam soal perpaduan itu."Soalnya, sejauh mana pihak terbabit terutama Pas melihat kepada kepentingan perpaduan Melayu ini," katanyn.
#

Tuan Aziz calon BN

[Kosmo - 29/06/09]
MUHYIDDIN (dua dari kanan) menjulang tangan Tuan Aziz (di tengah) selepas pengumuman pemilihan pegawai Kesedar itu sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai di Kuala Krai semalam.
Oleh ZAID MOHD. NOOR zaid.mohdnoor@kosmo.com.my
KUALA KRAI - Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Projek, Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 16 Julai ini.
Pemilihan beliau sebagai calon diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan ribuan penyokong BN di Pusat Operasi BN Manek Urai di sini petang semalam.
Tuan Aziz yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai merupakan siswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Pengurusan Teknologi.
Bekas pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yok Chai, Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra dan Sekolah Menengah Kebangsaan Yahya Petra, Kuala Krai itu dibesarkan di Kampung Guchil, Kuala Krai dan mula menyertai UMNO pada tahun 1988.
DUN Manek Urai mempunyai seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi ialah pemilih pos.
Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong pada 23 Mei lalu ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob yang mewakili Pas meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei kerana sakit jantung.
#

Tuan Aziz calon BN Manek Urai

[Utusan - 29/06/09]
KOTA BHARU 28 Jun - Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di Kampung Sungai Sok Luar, dekat sini petang ini.
Muhyiddin yakin Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai itu dapat memastikan BN menawan kerusi Manek Urai dan menjadikan ia sebagai titik permulaan kebangkitan parti itu di Kelantan.
"Kita yakin beliau berkemampuan, ada pengalaman dan kelulusan yang tinggi serta biasa dengan masyarakat setempat dan saya percaya beliau boleh menjadi wakil yang berkesan untuk seluruh pengundi di Manek Urai,'' katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman itu.
Malah katanya, pemilihan Tuan Aziz juga dilihat dapat membantu menarik lebih ramai sokongan kalangan muda yang dianggarkan sekitar 25 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Tuan Aziz adalah anak jati Kuala Krai yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yok Chai sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra dan seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra di bandar ini.
Selepas menamatkan pengajian di UTM, anak keempat dari enam beradik itu bertugas di beberapa buah syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Kuala Krai untuk berkhidmat bersama Kesedar pada tahun 1997.
#

Jangan layan Nik Aziz

[Utusan - 29/06/09]
KUALA LUMPUR 28 Jun - Pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melayan cabaran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdebat secara terbuka berhubung perbezaan dasar kedua-dua parti.
Menurut mereka, perdebatan itu hanya membuang masa dan akan menyebabkan lebih banyak perpecahan di kalangan orang Melayu apabila setiap pihak ingin mempertahankan pendapat masing-masing.
Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, kaedah terbaik yang sepatutnya dibuat ialah mengadakan dialog atau muzakarah antara pimpinan kedua-dua parti.
Beliau berkata, dialog itu harus membabitkan semua isu termasuk ekonomi, politik, pendidikan, dakwah serta masalah sosial yang dialami oleh orang Melayu sekarang.
''Pihak kami tidak bersetuju diadakan perdebatan kerana biasanya akan ada satu pihak yang kalah dan adalah tidak manis orang Melayu sama-sama Islam hendak berdebat.
''Sebaliknya dialog adalah lebih wajar kerana setiap pihak sama-sama memberi pandangan untuk kebaikan semua dan tidak ada siapa yang akan kalah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cabaran Nik Abdul Aziz untuk berdebat dengan Najib ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadapnya kerana mendakwa parti itu sama seperti ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng, dalam ceramahnya di Manek Urai baru-baru ini.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, perdebatan itu tidak harus diadakan kerana Mursyidul Am Pas bukan pejuang Islam yang sebenar.
''Beliau menuduh UMNO sebagai komunis dan bagi saya kata-kata seperti ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang individu yang mendakwa berjuang atas nama Islam dan mengaku dirinya seorang alim.
''Nik Abdul Aziz sebenarnya adalah seorang pejuang politik dan ini terbukti apabila beliau sanggup bekerjasama dengan DAP tetapi tidak mahu bersatu-padu dengan parti Melayu Islam," katanya.
#

Buang masa debat dengan Nik Aziz - Dr. M

[Utusan - 29/06/09]
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR 28 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu melayan pelawaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdebat secara terbuka kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, debat terbuka antara kedua-dua pemimpin parti politik terbesar Melayu itu jika diadakan hanya membazir masa dan akan menjadi satu bentuk hiburan semata-mata.
Malah, katanya, Malaysia mempunyai acuannya tersendiri dan tidak perlu mengikut amalan sesetengah negara luar yang mengadakan debat secara terbuka antara pemimpin parti politik dalam mempertahankan pendapat masing-masing.
"Hanya buang masa. Jadi satu hiburanlah, kita bukan lantik pemimpin untuk berhibur," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Beliau ditanya cabaran Nik Abdul Aziz yang mengajak Perdana Menteri berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan itu kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai amalan rasuah dalam UMNO, Mahathir berkata, parti itu akan mengalami kesukaran pada pilihan raya umum akan datang jika masih meletakkan calon yang mempunyai imej rasuah.
Beliau yang kecewa dengan keadaan rasuah dalam UMNO bagaimanapun berkata, pada masa ini terdapat usaha-usaha positif di kawasan tertentu untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, UMNO tidak boleh mengharapkan semata-mata kepada ahlinya untuk memenangi sesuatu pilihan raya, sebaliknya perlu meraih sokongan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Katanya, angka yang menunjukkan ahli UMNO pada masa ini iaitu kira-kira 3.5 juta bukan ukuran menjamin kemenangan jika parti itu gagal meraih sokongan padu daripada rakyat.
Justeru, jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membersihkan imejnya dan sentiasa mendekati rakyat supaya mendapat sokongan mereka yang berpuas hati dengan prestasi dan imej parti.
#

Pas cuba tutup pembohongan - Muhyiddin

[Utusan - 29/06/09]
KUALA KRAI 28 Jun - Tindakan Pas kembali mengkafirkan UMNO hanya suatu cubaan mengalih pandangan umat Islam terhadap pembohongan mereka yang mengorbankan prinsip perpaduan ummah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam landskap politik yang sudah berubah, penolakan mereka terhadap gagasan perpaduan seakan-akan rela membiarkan masa depan orang Melayu dan umat Islam keseluruhan dalam keadaan membimbangkan.
"Keputusan pilihan raya lalu menyedarkan sebahagian besar umat Islam tentang betapa penting, dalam keadaan mana sekali pun prinsip perpaduan ummah tidak boleh dikorbankan.
"Kita takut dengan situasi apabila tidak dikukuhkan orang Melayu, kita akan hanyut dan hancur mungkin dalam beberapa tahun akan datang, 'nauzubillah'," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Pusat Operasi Barisan Nasional di Kampung Sok Luar dekat sini petang ini.
Muhyiddin berkata, gagasan perpaduan umat Islam melalui cadangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disambut oleh pimpinan UMNO dengan penuh keikhlasan.
"Ini agar kekuatan umat Islam menjadi benteng daripada diserang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan parti-parti yang tidak memperjuangkan kepentingan negara," katanya.
Tambahnya, UMNO yang wujud lebih awal daripada Pas meletakkan Islam di depan dengan memasukkan dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah agama yang diperjuangkan dan syiarnya ditinggikan.
Malah jelas beliau, usaha UMNO yang menegakkan Islam dan meninggikan tahap kehidupan ummah dan rakyat keseluruhannya merupakan perjuangan untuk dunia dan akhirat.
"Niat kita (penerimaan) ikhlas, bukan politik kotor tetapi untuk menyatukan umat Islam sebagai suatu ibadat," katanya.
Namun tambah Muhyiddin, ekoran di kalangan puak mereka ada yang tidak secocok, mereka menolak kepentingan umat Islam sendiri dan kenyataan sebenar tanpa rasa bertanggungjawab.
Katanya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menentang keras cadangan kerajaan perpaduan itu turut memutarbelitkan kenyataan kononnya UMNO yang memainkan isu itu.
"Ada orang kata tak payah sentuh Nik Abdul Aziz tetapi sebagai manusia kadang-kadang membuat silap dan mungkin kemungkaran.
"Takkan tok guru sebagai manusia biasa tak lakukan kesalahan. Inilah sebabnya kita berada di sini bertanding untuk membawa obor perpaduan dalam kawasan Manek Urai," ujarnya.
#

28 Jun 2009

Tuan Aziz Direstui Pimpinan Parti, Akar Umbi

[Bernama - 28 Jun, 2009 18:33 PM]
KUALA KRAI, 28 Jun (Bernama) -- Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, 14 Julai ini.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Tuan Aziz, 39, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, pada satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manik Urai, di sini.
Muhyiddin ketika membuat pengumuman itu berkata pemilihan Tuan Aziz direstui dan mendapat sokongan padu pimpinan parti termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat Umno selain diterima baik anggota akar umbi.
"Mengikut perlembagaan parti, jika ada kerusi yang kosong dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan adanya pilihan raya, kita perlu runding untuk pilih calon, runding dengan (Umno) Negeri, bahagian.
"Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manik Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak. Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi," katanya.
Turut hadir, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pimpinan Umno dan parti komponen tempatan.
Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.
"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi."Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manik Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.
Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat.
"Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manik Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.
Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.
"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama."Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manik Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN," katanya.
PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Bahagian Kuala Krai pada malam Jumaat lepas.
Pilihan raya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.
Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.
#

Zambry pertahan Harussani

[Utusan - 28/06/09]
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI pengarang@utusan.com.my
IPOH 27 Jun - ''Apabila mufti tegur Barisan Nasional (BN), mereka tepuk tangan tetapi apabila tegur mereka, mufti kena hentam."
Itulah reaksi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) terhadap tindakan pengikut Pas yang membidas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria gara-gara kenyataan beliau tentang kerajaan perpaduan.
Zambry berkata, Mufti Perak bukan orang politik dan beliau membuat teguran sebagai seorang ulama yang cintakan kesejahteraan.
''Sikap penyokong Pas ini tidak melambangkan mereka mewakili parti Islam kerana Islam mementingkan keadilan,'' katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pemuda Pas Perak yang melahirkan rasa kecewa mereka terhadap pandangan Harussani ekoran kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO.
Harussani sebelum ini melahirkan rasa kecewanya dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi terlalu taksub sehingga sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik masing-masing.
Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyamakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan mengatakan parti itu lebih teruk daripada komunis, Zambry berkata, 'tok guru' juga manusia biasa dan tidak terlepas melakukan kesalahan.
Katanya, ini terbukti apabila Nik Aziz terpaksa membuat penjelasan bagi memperbetulkan kenyataannya dengan mendakwa ia hanya sekadar kiasan.
''Nik Aziz dianggap oleh pengikut beliau sebagai seorang yang alim dan semua orang menghormati beliau tetapi 'tok guru' juga perlu diperbetulkan.
''Tok guru pun melakukan kesilapan kerana dia cuma manusia biasa, bukannya maksum yang tidak melakukan sebarang kesalahan,'' katanya.
#

Desak minta maaf

[Utusan - 29/06/09]
PONTIAN 27 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu meminta maaf kepada UMNO kerana menyifatkan UMNO sebagai parti ajaran sesat seperti Ayah Pin dan sama dengan pengganas komunis, Chin Peng.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak wajar malah disifatkan keterlaluan kerana melabelkan UMNO sedemikian rupa hanya untuk meraih keuntungan politik semata-mata.
Katanya, Menteri Besar Kelantan itu perlu bertanggungjawab dan menarik balik kenyataan yang dibuat kerana tidak mungkin UMNO yang selama ini memperjuangkan nasib orang Melayu melindungi golongan berkenaan.
"UMNO menggesa Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada 1.3 juta ahli UMNO di seluruh negara kerana menyamakan UMNO dengan gelaran dan panggilan yang cukup menghiris hati orang Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Buku Lesen Sampan Kes Khas kepada nelayan Parlimen Pontian di Ayer Baloi di sini hari ini.
Tambah Ahmad, beliau juga meminta orang Melayu di Kelantan dan Dewan Undangan Negeri Manek Urai menilai sendiri kenyataan yang dibuat oleh seorang yang dipanggil Tok Guru.
"Saya berharap orang Melayu sedar tindak-tanduk yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz yang bukan sahaja menolak kerajaan perpaduan tetapi mencetuskan tindakan yang melampau," tegas beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurutnya, Nik Aziz akan terus mengeluarkan kenyataan kontroversi bagi menarik perhatian ahli Pas menjelang hari penamaan calon DUN Manek Urai.
Ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, beliau berkata, pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) merupakan golongan yang suka pada perpaduan di kalangan orang Melayu dan Islam.
"UMNO yakin para pengundi Melayu sedar akan tindak tanduk pemimpin Pas seperti Nik Abdul Aziz yang mengikut telunjuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP," jelasnya.
Beliau berharap, pengundi di DUN Manek Urai dapat membuat pilihan yang bijaksana dan memberi peluang kepada BN bagi membela masa depan mereka.
#

'Minta ampun kepada Tuhan'

[Utusan - 28/06/09]
Oleh LUQMAN HAZIQ dan KAMIL MASLIH pengarang@utusan.com.my
PAGOH 27 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak perlu memohon maaf kepada UMNO tetapi meminta ampun kepada Tuhan atas kenyataannya menyamakan parti itu seperti komunis dan ajaran sesat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri Besar Kelantan itu tidak perlu meminta maaf kepada UMNO walaupun ada pemimpin UMNO yang mendesak pemimpin Pas tersebut berbuat demikian.
"UMNO ini parti politik, walaupun ada kawan-kawan yang minta beliau minta maaf kepada UMNO tetapi bagi saya, dia tidak payah minta maaf kepada UMNO, dia kena minta ampun kepada Tuhan.
"Itu adalah tuduhan daripada seorang Islam kepada Islam yang lain dan ia adalah amat berdosa. Sama ada berdosa kecil atau berdosa besar, itu kita serah kepada Nik Aziz sendiri menilainya. Sebagai seorang ulama, mesti dia lebih tahu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda Negara (Pewaris) 2009 di Kampung Jayor dekat sini hari ini.
Mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menyamakan UMNO seperti komunis dan ajaran sesat, beliau berkata, UMNO adalah parti yang jauh lebih Islam daripada Pas dan telah lama memperjuangkan syiar Islam di negara ini.
"Dalam perlembagaan UMNO pun, kita letak syiar Islam dalam negara kita. Bila dia kata UMNO macam Ayah Pin, parti komunis, ini adalah tuduhan berat.
"Jangan hukum kita. Pas pun pernah kata UMNO ini kafir, tapi tak tahulah siapa yang kafir, siapa yang Islam. Bagi saya, dia bukan merapu tetapi lebih daripada merapu dan agaknya Pas sudah lari daripada perjuangan Islam yang diperkatakan diperjuangkan parti itu," katanya.
Menurutnya, mungkin kini adalah masa yang sesuai bagi golongan ulama yang tidak ada kepentingan politik bersuara dan membuat teguran untuk menyatupadukan orang Islam di negara ini.
"Ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegur kepincangan dalam parti politik tidak harus dianggap mencampuri urusan politik.
"Baru-baru ini saya berpeluang duduk dengan Harussani dan beliau menyampaikan pandangannya, ini mungkin masa paling sesuai bagi golongan ulama yang tidak mempunyai kepentingan politik membantu menyumbang kepada perpaduan Melayu," katanya.
#

Gelagat pembangkang

[Utusan - 28/06/09]
oleh Zulkiflee Bakar
KEPUTUSAN pakatan pembangkang menolak idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelas membuktikan bahawa mereka tidak akan menerima apa sahaja cadangan yang boleh dilihat mampu memberikan keuntungan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Walaupun idea itu dilahirkan oleh Abdul Hadi yang merupakan salah seorang Presiden kepada parti yang bergabung dalam pakatan berkenaan, namun ia tetap ditolak.
Tindakan pembangkang itu menunjukkan mereka terlalu yakin dengan kemampuan yang ada, justeru mereka berpendapat hanya mereka yang terbaik dan tidak perlu mewujudkan sebarang kerjasama dengan BN.
Isu kerajaan perpaduan dan sikap pembangkang itu hakikatnya, adalah lanjutan daripada tingkah laku mereka yang semakin memualkan dan ingin berpolitik sepanjang masa.
Sememangnya, senario politik negara jauh berbeza selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, kedudukan pembangkang yang semakin kukuh dan kehilangan majoriti dua pertiga BN serta terlepasnya 30 kerusi UMNO di Parlimen telah memungkinkan rakyat melihat suasana yang agak membimbangkan.
Kejayaan pembangkang di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan serta menguasai majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan telah mengakibatkan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Pas berasa begitu yakin bahawa mereka semakin diterima rakyat.
Tanpa mahu mengkaji dengan lebih mendalam kenapa BN mengalami kekalahan, pembangkang menganggap impian mereka untuk memerintah negara ini semakin hampir dan meletakkan sasaran Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai kemuncaknya.
Cita-cita dan impian mereka hanya satu iaitu menubuhkan kerajaan persekutuan, biarpun antara mereka acap kali berlaku pertentangan dari segi ideologi dan tindakan.
Sebenarnya tidak salah untuk pembangkang berbuat demikian tetapi mereka seharusnya bertindak profesional dan bukannya semakin menunjukkan belang politik mereka sehinggakan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN dianggap tidak betul.
Kekuatan yang dimiliki tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Mereka tidak menjadi kelompok pembangkang yang objektif, sebaliknya rakyat terus dihidangkan dengan sandiwara politiking pembangkang yang tiada kesudahannya. Walaupun pucuk pimpinan negara sudah berubah tetapi pembangkang tetap pembangkang.
Mereka berusaha meraih sokongan rakyat dengan menggambarkan seolah-olah apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah.
Senario
Bagi pembangkang, mereka sahaja yang sempurna, pakatan mereka sahaja yang hebat, mereka sahaja terdiri daripada pemimpin berwibawa dan tindakan mereka sahaja yang betul.
Sikap pembangkang ini dapat dikupas melalui beberapa senario yang berlaku sejak selepas pilihan raya umum lalu. Penulis mencatatkan senario tersebut sebagai panduan kepada semua pihak untuk menilai bahawa inilah sikap pembangkang yang sebenar.
Senarionya adalah seperti berikut;
l Apabila keputusan mahkamah menyebelahi mereka, ia akan dianggap melambangkan ketelusan badan kehakiman tetapi apabila keputusan sebaliknya, mahkamah akan dituduh berat sebelah dan berlaku campur tangan kerajaan.
l Apabila mereka merancang menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang pada 16 September lalu dengan cara hendak membeli 31 anggota BN, mereka anggap ia demokrasi. Tetapi apabila BN menubuhkan kerajaan di Perak setelah ada wakil rakyat pembangkang menjadi calon Bebas mereka kata ia pencabulan demokrasi dan terpekik terlolong mahukan DUN dibubarkan.
l Apabila ada pemimpin mereka didakwa di mahkamah, mereka anggap itu fitnah, tetapi apabila mereka menuduh pemimpin BN dengan niat memburukkan beliau, mereka kata ia demi keadilan.
l Apabila UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, mereka anggap ia perbuatan salah tetapi apabila mereka bekerjasama dengan DAP, mereka kata parti mereka untuk semua.
l Apabila ada pemimpin UMNO atau BN didakwa terlibat dengan kegiatan tidak moral, mereka desak letak jawatan tetapi apabila ada pemimpin mereka terlibat biarpun ada bukti, mereka kata ia konspirasi dan itu soal peribadi.
l Apabila media arus perdana menyiarkan sesuatu berita, mereka anggap itu permainan jahat media milik kerajaan tetapi apabila media mereka menyebarkan fitnah dan tohmahan mereka anggap itu kebebasan media.
l Apabila kerajaan menghantar anggota polis yang ramai ke kawasan pilihan raya mereka akan kata, itu usaha untuk menakutkan pengundi tetapi apabila mereka menang, mereka kata pasukan keselamatan telah menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.
l Apabila mereka menang pilihan raya, mereka akan kata rakyat semakin menolak BN tetapi apabila mereka kalah, mereka akan tuduh BN guna pengundi hantu dan SPR tidak telus.
l Apabila ada pihak terlalu ekstrem membuat tuntutan untuk kaum tertentu mereka anggap itu kebebasan bersuara tetapi apabila ada orang Melayu yang menyokong kerajaan menyeru hak Melayu dipertahankan mereka kata itu perkauman.
l Apabila mereka kemukakan idea sampai satu dunia pun tahu, mereka kata ia demi kepentingan rakyat dan negara tetapi apabila idea itu ditolak oleh rakan pembangkang sendiri mereka kata ia idea jahat UMNO dan tohmahan untuk melemahkan pembangkang.
l Apabila polis melarang daripada mengadakan demonstrasi haram demi menjaga ketenteraman awam, mereka tuduh ia menyekat hak asasi manusia tetapi apabila mereka lakukan juga dan polis bertindak mengikut lunas undang-undang mereka kata, polis kejam.
l Apabila UMNO hendak berbincang sesuatu isu dengan MCA atau MIC, mereka akan dakwa UMNO takut kepada kedua-dua parti itu tetapi apabila mereka hendak berbincang sesama sendiri, mereka kata ia melambangkan kesepakatan.
l Apabila UMNO berikrar terus perjuangkan hak orang Melayu berdasarkan Perlembagaan, mereka anggap UMNO perkauman tetapi apabila mereka beria-ia menuntut untuk kaum tertentu, mereka kata itu demi kesamarataan sebagai rakyat Malaysia.
l Apabila ada rakan dalam pembangkang menuduh BN macam-macam, mereka kata, itu bagus tetapi apabila kenyataan mereka disanggah oleh rakan sendiri mereka akan kata media putar belit fakta dan cuba melaga-lagakan pembangkang.
Mungkin melalui tindakan tanduk sedemikian, mereka yakin rakyat akan mempercayai apa yang mereka kata tetapi hakikatnya, mereka hanya mampu memperdayakan 'yang di bawah' tetapi 'yang di atas' mengetahui segala-galanya.
Suatu hari kelak pasti kebenaran akan terhasil juga kerana rakyat semakin bijak menilai, siapa sebenarnya hanya tahu berpolitik dan siapa pula bersedia berkhidmat untuk kesejahteraan mereka.
Bagaimanapun sehingga menanti pilihan raya umum akan datang, tindak tanduk pembangkang ini akan berterusan. Mereka akan mencari apa juga jalan memburukkan kerajaan BN.
Dalam soal ini terserahlah kepada rakyat untuk menilainya tetapi apa yang pasti sejarah politik negara telah membuktikan bahawa apabila rakyat berasa muak, maka mereka tahu apa yang harus dilakukan.
#

24 Jun 2009

Pembangkang tidak jujur

[Utusan - 24/06/09]
KUALA LUMPUR 23 Jun - Keputusan pakatan pembangkang khususnya Pas menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan menggambarkan parti itu tidak jujur membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan orang Melayu di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pas dilihat lebih suka mengadakan perbincangan dengan DAP berbanding UMNO berhubung isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama seperti soal agama dan orang Melayu.
"Apa salahnya kalau kita bincang isu-isu ini bersama. Tindakan mereka menolak terus perbincangan itu telah memberikan gambaran sebenar berhubung kejujuran Pas dan pakatan pembangkang dalam soal ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.
Majlis pimpinan pakatan pembangkang dalam mesyuarat mereka di Parlimen semalam memutuskan untuk menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Ismail Sabri berkata, soal UMNO memfitnah pakatan pembangkang berhubung cadangan kerajaan perpaduan tidak timbul sama sekali kerana suara mengenai cadangan berkenaan sebenarnya datang daripada pakatan itu sendiri.
"Cadangan tersebut disuarakan oleh beberapa Ahli Parlimen Pas sendiri sebelum ini dan apabila mereka menerima tekanan dalaman, mereka tarik balik cadangan berkenaan dan mengatakan ia sebenarnya suatu fitnah daripada UMNO," katanya.
Seorang lagi Ahli MT UMNO, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, keputusan pakatan pembangkang menolak cadangan kerajaan perpaduan mendukacitakan UMNO khususnya orang-orang Islam.
"Saya tidak tahu apa yang telah terjadi, namun UMNO sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan perbincangan dengan pakatan pembangkang demi kepentingan bersama," katanya.
#

Rakyat nilai sendiri sikap Pas - Ahmad Zahid

[Utusan - 24/06/09]
Oleh WAN SYAMSUL AMLY pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 23 Jun - Rakyat diminta menilai sendiri sikap sebenar parti Pas yang tiba-tiba menarik balik cadangan mereka tentang kerajaan perpaduan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, idea kerajaan perpaduan yang diasaskan oleh Pas sendiri kini dilihat hanya usaha setengah jalan yang menolak kebaikan untuk rakyat negara ini.
Tegas beliau, tahap keikhlasan pakatan pembangkang kini diragui dan misi mereka yang selama ini kononnya memperjuangkan rakyat dilihat sudah berubah.
''Rakyat boleh nampak. Rakyat boleh lihat sendiri apa yang Pas kata sebelum ini boleh ditarik oleh pembangkang lain.
''Hasrat murni untuk mewujudkan kerajaan perpaduan kini seolah-olah dinafikan mereka dan sekali gus usaha mereka selama ini kini diragui," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pemilihan Berkomputer Pelatih-pelatih PLKN siri 7/2010 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Md. Zin dan Pengerusi PLKN, Datuk Dr. Tiki Lafe.
Beliau mengulas keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang semalam menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO yang disifatkan suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen, pakatan pembangkang menyifatkan idea itu sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang.
Tambah Ahmad Zahid, idea kerajaan perpaduan Pas-UMNO yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri semasa ucapan dasar mereka dilihat hanya gimik yang boleh dinafikan mereka dengan mudah.
''Itu ucapan dasar Abdul Hadi, tetapi tiba-tiba menafikannya pula.
''Kita sudah lali dengan situasi ini. Kita menyambut tangan yang dihulur untuk kebaikan, namun kita mahu rakyat sendiri menilai jika UMNO sudah 'ditampar' sebegini rupa," ujarnya.
#

Kecewa kerajaan perpaduan ditolak

[Utusan - 24/06/09]
KUALA LUMPUR 23 Jun – Ahli Akademik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kecewa dan kesal apabila kerajaan perpaduan yang dicadangkan demi perpaduan orang Melayu akhirnya terkubur begitu sahaja.
Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan apabila pakatan pembangkang menolak cadangan itu.
“Kita teruja dan gembira sebelum ini kerana sudah nampak ada usaha perpaduan antara orang Melayu dan umat Islam apabila timbulnya cadangan ini terutama kerjasama antara UMNO dan Pas.
“Tetapi akhirnya ia jadi begini. Perasaan orang Melayu seolah-olah terus dipermainkan demi kepentingan politik pembangkang semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Pas sebelum ini bagi mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam, tetapi ditolak pakatan pembangkang semalam.
“Mereka (Pas) tidak fikir tentang agenda orang Melayu atau Islam. Saya lihat Pas kini sudah hilang kredibiliti sebagai parti Islam yang dihormati, tetapi hanya mahu berpolitik lebih daripada perjuangan asalnya.
“Lebih aneh, mereka menyalahkan UMNO pula kerana cuba mengeksploitasi isu ini. Setahu saya, cadangan ini datang daripada mereka (Pas). Ini ibarat ‘hujan naik ke langit’ pula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun yang turut kesal dengan kegagalan kerajaan perpaduan itu berkata, keadaan orang Melayu kini tidak boleh dibanggakan sangat.
Katanya, kaum itu perlu berbuat sesuatu untuk bersatu bagi mencapai kemajuan dalam segala aspek.
“Tetapi, apabila ada usaha seperti ini yang boleh memberi makna besar kepada perpaduan orang Melayu, ada pula yang seperti mahu ia tidak dilaksanakan,’’ katanya.
Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa Pas terus tunduk dengan arahan dan kata-kata DAP yang sesekali tidak akan membenarkan orang Melayu bersatu-padu.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad pula berkata, sikap Pas yang berdolak-dalik dalam isu tersebut amat dikesali kerana ia merugikan orang Melayu sendiri.
“GPMS yakin rakyat telah jelas dan faham tentang permainan politik Pas sejak dulu lagi. Kita percaya rakyat akan menolak sebarang cadangan daripada Pas lagi selepas ini walaupun atas nama agama dan kaum Melayu,” jelasnya.
Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula berkata, penolakan idea itu bertentangan dengan aspirasi rakyat yang telah lama menikmati hasil perpaduan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, ia dibuat di peringkat pemimpin politik sahaja tanpa mendengar pandangan akar umbi.
“Pakatan pembangkang selama ini mencanangkan mereka mewakili rakyat, tapi kenapa dalam hal ini mereka tidak mendengar suara rakyat terlebih dahulu,’’ katanya.
Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan Pas lebih mementingkan politik pilihan raya berbanding politik kepentingan ummah.
“Pada masa ini, Pas hanyalah parti ketiga dalam pakatan pembangkang. Jangan anggap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan beri peranan utama kepadanya apabila menang kelak, insaflah bahawa kepentingan ummah mengatasi segala-galanya,’’ katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kegagalan idea kerajaan perpaduan berpunca daripada penolakan PKR dan DAP.
Katanya, beliau yakin jauh di sudut hati Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahukan idea itu direalisasikan demi kepentingan Islam dan orang Melayu.
“Namun, akhirnya dia sedar kekuatan Pas tiada, jadi dia terpaksa ikut arus yang deras dalam pakatan pembangkang.
“Apa pun Pas tidak mahu mengakui mereka mengikut arus deras itu dan sebaliknya lantang menuduh UMNO,” katanya.
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), KS. Balakrisnan berkata, pakatan pembangkang dilihat agak goyah apabila isu berkaitan kerajaan perpaduan dibangkitkan.
Katanya, pihak pakatan mungkin takut atau bimbang sekiranya gabungan Pas dan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, kuasa politik dan sokongan masyarakat Islam kepada mereka akan terhakis.
#

23 Jun 2009

BN tetap teguh – Najib

[Utusan - 23/06/09]

Oleh ZULKIFLI JALIL, HASHNAN ABDULLAH dan THOMAS CHONG pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 22 Jun – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap berupaya mentadbir negara biarpun tanpa konsep kerajaan perpaduan yang cadangannya tiba-tiba muncul setelah diuar-uarkan dahulu oleh Pas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebenarnya tidak timbul isu pakatan pembangkang menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana idea itu bukannya datang dari BN.
Namun, kata beliau, oleh kerana Pas sendiri berhasrat merealisasikannya dan apatah lagi ia bertujuan kebaikan, maka BN menyambutnya secara terbuka.
“Tidak timbul (isu) kerajaan BN lemah sebab pelawaan itu (cadangan kerajaan perpaduan) datang daripada Pas dahulu.
“Maknanya kalau tidak ada kerajaan perpaduan ke, apa benda pun, kerajaan kita (BN) masih kukuh dan mampu melaksanakan agenda pembaharuan yang kita gariskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia Ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Perdana Menteri mengulas keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang hari ini menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO yang disifatkan suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen, pakatan pembangkang menyifatkan idea itu sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang.
“Semua parti dalam pakatan mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan pakatan pembangkang bagi membentuk Kerajaan Persekutuan,” menurut kenyataan yang ditandatangani pemimpin tiga parti pembangkang terbabit iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) dan Lim Kit Siang (DAP).
Mengulas lanjut, Najib berkata, apabila cadangan kerajaan perpaduan dicetuskan oleh Pas menerusi Abdul Hadi, kerajaan BN pimpinannya menyambutnya secara positif.
“Maknanya kita bersikap terbuka kalau sesuatu itu dibuat untuk tujuan mencari kebaikan. “(Selepas ini) kita tetap dengan pendirian bahawa apabila sesuatu yang baik itu untuk negara, ia mestilah diusahakan bersama walaupun idea itu datang dari pembangkang,” katanya.
Ditanya kemungkinan akan ada lagi cadangan ke arah kerajaan perpaduan pada masa depan, beliau berkata:”Siapa yang tahu apa yang akan terjadi pada masa depan, segalanya tidak mustahil dalam politik.”
Cadangan kerajaan perpaduan Pas-UMNO yang dicetuskan Abdul Hadi serta disokong timbalannya, Nasharudin Mat Isa bagaimanapun ditentang hebat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta semua sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.
#

22 Jun 2009

[BH - 23/06/09]
MAJLIS Pimpinan Pakatan Rakyat (dari kiri) Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang pada mesyuarat parti Pakatan Rakyat di Parlimen, hari ini sepakat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno/Barisan Nasional yang disifatkan suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka. - Foto Ghazali

Usah pertikai pelantikan Umno Terengganu: MB

[BH - 22/06/09]
HULU TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berharap pihak tertentu tidak mempertikaikan pelantikan baru bagi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri, yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, berkata pelantikan baru itu dikemukakan sendiri Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan negeri. "Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat dan sempurna. Pelantikan ini diharap dapat memberi kepuasan kepada semua pihak.
"Kalau saya tidak pertikai dengan pelantikan ini dan menerimanya dengan lapang dada, kenapa orang lain perlu pertikai," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan buku elektronik atau e-Book kepada sekolah di daerah Hulu Terengganu di Sekolah Kebangsaan Ajil, di sini hari ini. Semalam, Hishammuddin mengumumkan pelantikan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru, menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan. Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek, pula dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri, menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong, manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, pula dilantik sebagai Bendahari Umno negeri menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.
Ahmad berkata, sebelum pelantikan baru itu dibuat, mereka terlebih dahulu telah berbincang termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak. "Kita berjiwa besar dan ingin melihat Barisan Nasional (BN) meneruskan penguasaan di Terengganu dan menang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. Sebenarnya parti lebih penting, rakyat perlu diperjuangkan," katanya. Pada majlis itu, Ahmad menyampaikan 439 e-Book kepada pelajar Tahun Lima 10 sekolah di daerah Hulu Terengganu. Setakat ini, sebanyak 2,300 daripada 23,000 e-Book telah diagihkan kepada murid Tahun Lima di seluruh Terengganu.
#

18 Jun 2009

‘Perpecahan Melayu teruk’

[Utusan - 18/06/09]
Oleh ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 17 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah.
Membiarkan orang Melayu sendiri mentafsirkan apa yang dimaksudkannya daripada pengamatan suasana hari ini, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya hanya kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas sahaja boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di Malaysia.
‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan.
‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
#

Nik Aziz bidas Nasharudin

[Utusan - 18/06/09]
Oleh AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my
KOTA BHARU 17 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
Nik Abdul Aziz turut meminta Nasharudin supaya keluar daripada Pas dan menyertai UMNO kerana tindak-tanduknya itu lebih banyak menimbulkan kecelaruan kepada ahli parti itu.
Beliau dengan nada marah menyifatkan pemimpin nombor dua Pas itu sebagai tidak bermoral kerana telah membuat ‘sampah’ dalam parti tersebut.
Berikut ialah transkrip kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai kerajaan perpaduan pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini:
Komen Tok Guru kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang yakin dengan keikhlasan Pas berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dan reaksi balas Timbalan Presiden Pas hari ini?
Pertama sekali saya nak ulangi kenyataan saya dulu bahawa isu perpaduan ini bukan datang daripada Pas tetapi lontaran (idea) daripada peribadi tertentu. Bukan daripada Pas.
Kalau Perdana Menteri kata ianya dari Pas, itu tak betul. Itu lontaran peribadi dan tidak masuk dalam kertas agenda mesyuarat parti dan juga kertas agenda mesyuarat pakatan (pembangkang). Sebab itu pakatan tidak tahu. Maka bagaimana hendak sebut Pas setuju... tidak boleh.
Kalau setakat hendak berunding untuk kerjasama sahaja dan bukan untuk kerajaan perpaduan bagaimana pendapat Tok Guru?
Bawa benda ini dalam mesyuarat parti dan yang kedua kepada pakatan. Kalau Pas setuju dan pakatan setuju, lain masalahnya.
Pas tidak bincang, pakatan pun tidak bincang. Mana boleh kita hendak bercakap benda ini sebab itu saya kata ini kerja boneka UMNO. Saya ulangi lagi ini kerja boneka UMNO.
Kalau benar Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa hendak setuju, lebih baik masuk UMNO, terang. Saya sebut lebih baik masuk UMNO, letak jawatan di Bachok dan bertanding (semula).
Apa yang duduk buat sampah ini, menyusahkan orang. Dia tidak tahu bagaimana susahnya saya ada yang telefon, datang jumpa sendiri menangis-nangis dan sebak dari dalam dan luar Kelantan. Malah ada setengah yang datang jumpa saya sebak tidak boleh kata apa, tidak boleh cerita.
Apa cerita ini, dia masuk UMNO senanglah daripada duduk bertenggek dalam Pas. Tidak ada moral orang panggil, tidak boleh macam ini.
Kalau semua setuju, pakatan setuju, Pas setuju. Semua jadi anggota kerajaan, DAP jadi menteri, Pas jadi menteri, Keadilan jadi menteri, baru benar-benar perpaduan.
Ini bukan perpaduan tetapi perpecahan. UMNO sekarang berpesta. Pesta bahawa Pas sudah masuk perangkap. Pas sama Pas kalut, Pas dengan pakatan bergaduh. Pas sudah bercelaru, Pas dengan pakatan pun bercelaru. UMNO sudah berjaya pecah belahkan orang Pas tetapi Alhamdulillah dapat dibendung dengan kenyataan saya baru-baru ini. Tidak boleh terima orang ini, boneka UMNO.
Tok Guru akan terus beri nasihat kepada orang Pas yang menyokong kerajaan perpaduan?
Hendak nasihat apa lagi orang ini, boneka UMNO.
Nasihat kepada ahli Pas yang memahami isu perpaduan ini?
Saya ucapkan terima kasih sebab semua orang sudah faham selepas saya buat kenyataan dulu. Cukuplah setakat ini.
#

17 Jun 2009

LPT fasa 2 siap lewat setahun dari jangkaan awal

[Bernama - 17/06/2009]
KUALA TERENGGANU 17 Jun — Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi kerana dua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu menarik diri.
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.
Beliau berkata setakat ini seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses untuk berbuat demikian.
“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.
Fasa Dua LPT yang melibatkan 11 pakej pembinaan bermula dari laluan Jabor sehingga ke Kampung Gemuroh, membabitkan kos keseluruhan RM3.7 bilion.
Ahmad berkata berikutan penarikan diri dua kontraktor itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuka tender bagi mendapatkan kontraktor baru.
Sebelum ini pembinaan lebuh raya itu sudah beberapa kali terganggu antara tiga dan empat bulan disebabkan bahan binaan yang tinggi, namun projek itu diteruskan semula setelah harga bahan itu kembali stabil.
Sementara itu Ahmad berkata kerajaan merancang untuk menyusun semula bandar raya Kuala Terengganu, dengan mengambil alih tanah di Kampung Ladang hingga Kampung Tanjung di sini.
Beliau berkata bagi peringkat pertama, kerajaan negeri meluluskan untuk mengambil kembali tanah seluas kira-kira empat hektar, di sekitar Kampung Ladang Tok Pelam, manakala peringkat kedua membabitkan kira-kira empat hektar lagi dari Kampung Tanjung hingga ke pusat beli belah Astaka.
“Saya sudah arahkan Pejabat Tanah dan Galian menyelesaikan pengambilalihan tanah bagi peringkat kedua itu dalam tempoh dua bulan dari sekarang,” katanya.
#

Nik Aziz minta Nasharudin lepas jawatan

[Utusan - 17/06/2009]
KOTA BAHARU 17 Jun — Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik hari ini meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.
“Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada Pas, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda Pas mahupun dalam kertas pakatan pembangkang.
“Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk UMNO, letak jawatan timbalan (presiden Pas) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini. - Bernama
#

16 Jun 2009

Kerja Orang Tak Berakal!

MOHAMMAD NIZAR (kiri), Ngeh Koo Ham dan Ngo Kor Ming diarah keluar Dewan kerana enggan membuka lilitan kain di kepala bertulis 'Bubar DUN' pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Nizar, 6 wakil pembangkang digantung

[BH- 16/06/09]
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen serta enam lagi anggota pembangkang, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari bermula semalam kerana enggan mematuhi peraturan mesyuarat.
Mohammad Nizar, yang menang kerusi Bukit Gantang pada pilihan raya kecil 7 April lalu dan enam anggota pembangkang itu diarah keluar oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, selepas mereka tidak menghiraukan arahan supaya membuka lilitan pada songkok, kepala atau lengan bertulis "Bubar DUN".
Selain Mohammad Nizar, turut digantung ialah Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Ngo Kor Ming (DAP-Taiping), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena), Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai), Kira-kira 20 penyokong parti pembangkang di galeri pemerhati yang turut memakai lilitan itu, juga diarah keluar Dewan.
Bagaimanapun, kira-kira setengah jam kemudian Ngeh dan Dr Dzulkefly kembali memasuki Dewan, tetapi keluar semula selepas ditegur Speaker.Kekecohan itu berlaku kira-kira lima minit selepas persidangan bermula apabila Mohamad Nizar, yang memakai lilitan pada songkoknya sebaik selesai mengangkat sumpah, melaungkan "Hidup, Hidup, Hidup Rakyat, Bubar, Bubar, Bubar DUN Perak" serta Pandikar Amin ketika mengeluarkan arahan itu berkata: "Secara tradisi, apabila seorang Yang Berhormat mengangkat sumpah, tugas pertama Yang Dipertua ialah mengalu-alukan kehadirannya dengan harapan dia menyumbang bukan saja dari segi perbahasan tetapi juga tatacara, cara bercakap, berdiri, tetapi hari ini seorang wakil rakyat yang juga bekas Menteri Besar gagal berbuat demikian.
"Apa juga gelagat di luar dewan, saya tidak kisah tetapi jangan buat gelagat di dalam dewan yang di luar daripada Peraturan Mesyuarat." Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Pandikar Amin menegaskan semua pihak termasuk wakil rakyat harus menghormati peraturan mesyuarat Dewan Rakyat."
Parlimen Malaysia tidak membenarkan mana-mana anggotanya memakai lilitan kepala ketika memasuki Dewan Rakyat. Ini bukan budaya kita. "Pada persidangan hari ini, pembangkang membazirkan masa selama 24 minit menyebabkan banyak perkara yang seharusnya diteruskan terganggu. Dewan Rakyat bukan pasar, ia adalah institusi tertinggi yang membincangkan pelbagai perkara," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, menyifatkan tindakan Mohammad Nizar sebagai reaksi spontan kerana kemungkinan dia masih tidak berpuas hati dengan isu DUN Perak.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada sidang medianya menyifatkan tindakan Mohammad Nizar sungguh memalukan dan mengecewakan wakil rakyat lain.
"Mohammad Nizar mungkin masih fikir ini (Dewan Rakyat) adalah Dewan Undangan Negeri Perak. Selama empat penggal berada dalam Dewan Rakyat, saya tidak pernah melihat tindakan seperti ini," katanya.
Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Mohammad Nizar tidak seharusnya bertindak samseng dalam Dewan Rakyat."Beliau perlu faham Parlimen ada undang-undang dan perlu menghormatinya. Mohammad Nizar juga perlu menghormati Speaker dan tidak seharusnya menjerit dalam Parlimen.
"Sebagai seorang pemimpin politik tidak kira parti mana Mohammad Nizar wakili, beliau seharusnya menunjukkan contoh yang baik, tetapi kelakuan beliau sungguh memalukan," katanya.
Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) juga menyifatkan kejadian itu memalukan dan diibaratkan seperti 'meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri'. "Kalau mahu anak muda menjadi contoh dan memiliki jati diri, kita kena tunjuk teladan.
Kalau tidak puas hati, kita boleh berhujah. Apa yang berlaku pagi tadi tidak boleh memberi contoh kepada masyarakat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008.
Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata wakil rakyat perlu menjadi pemimpin yang berwibawa dan bukan gila kuasa."Rakyat kena berfikir pada pilihan raya akan datang, jangan lagi pilih orang seperti ini... ini bukan memberi kebaikan pada negara, sebaliknya hanya mendatangkan keburukan," katanya.Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, kejadian itu menjijikkan dan tidak sepatutnya dijadikan contoh masyarakat dalam dan luar negara. "Program Latihan Khidmat Negara memupuk nilai, bukannya seperti yang ditunjukkan dalam dewan pagi tadi, ia memalukan," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd Rahman, berkata beliau terkejut dengan tindakan Mohammad Nizar tidak menghormati Dewan Rakyat."Saya hairan bagaimana individu sepertinya boleh berada di Dewan ini. Tindakan beliau sudah melanggar perundangan dan perlembagaan negara," katanya.
#

Pas bawa pendekatan politik samseng

[UTUSAN - 16/06/09]
KOTA BHARU 15 Jun - Pemuda Barisan Nasional (BN) Kelantan menganggap kandungan ceramah pemimpin Pas yang sanggup 'bertumpah darah' untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sebagai satu pendekatan politik samseng.
Ketuanya, Annuar Sufian berkata, kenyataan seumpama itu adalah satu bentuk provokasi yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram, malah boleh menakutkan para pengundi.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda BN tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya cubaan terdesak dengan membakar semangat penyokong secara keterlaluan itu berulang.
"Kita menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk pendekatan samseng, sebarang bentuk provokasi yang cuba ditimbulkan dalam siri ceramah mereka di Manek Urai.
"Mereka adalah sebuah parti yang dilabel sebagai Islam, tetapi kenyataan yang dikeluarkan ini bertujuan untuk menghuru-harakan pengundi di situ," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pemuda BN negeri di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pemuda MCA negeri; Gah Han Chuan, Ketua Pemuda Gerakan negeri; Raja Muharini Raja Muhamad dan beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian.
Annuar yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri berkata, Pas sepatutnya mencontohi UMNO yang mengamalkan konsep perpaduan untuk menarik sokongan pengundi.
Tegasnya, Pemuda BN tidak akan terikut dengan 'rentak' Pas dan percaya pengundi tidak mudah dipengaruhi ajakan yang tidak selaras dengan budaya dan agama.
Mengulas mengenai peranan Pemuda BN di Manek Urai, jelas beliau, mesyuarat itu memutuskan semua parti komponen pergerakan tersebut bersama-sama turun ke Manek Urai untuk membantu kemenangan BN.
Katanya, Pemuda BN akan memberi keutamaan untuk meraih sokongan daripada pengundi muda di Manek Urai memilih calon BN sebagai wakil rakyat mereka.
Tambahnya, tinjauan terbaru menunjukkan ramai penyokong muda Pas kini mula mendekati BN selepas kecewa dengan pimpinan kerajaan negeri yang gagal menyediakan pembangunan.
#

15 Jun 2009

Polis surai kira-kira 500 warga Iran

[BERITA - 15/06/09]
KUALA LUMPUR; Kekecohan berlaku di hadapan Wisma UN apabila kira-kira 500 warga Iran mengadakan perhimpunan haram membantah kemenangan Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada pilihan raya presiden Jumaat lalu. Susulan kekecohan itu, polis terpaksa melepaskan empat das gas pemedih mata bagi menyuraikan semua penunjuk perasaan terbabit.
#

Dewan Rakyat bukan pasar: Pandikar Amin

[BERITA - 15/06/09]
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata wakil rakyat pembangkang perlu menghormati peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.Beliau berkata, Parlimen Malaysia tidak membenarkan wakil rakyat memakai lilitan kepala atau lengan ketika memasuki Dewan Rakyat.
Pandikar Amin berkata, wakil rakyat pembangkang pada sidang Dewan Rakyat hari ini membazirkan masa selama 24 minit pada sesi pagi.
"Dewan Rakyat bukannya pasar sebaliknya institusi tertinggi negara membincangkan pelbagai perkara penting," katanya kepada ketika ditemui pemberita di pejabatnya sebentar tadi.
Beliau diminta mengulas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertahankan tindakan wakil pembangkang memakai lilitan kepala dan lengan bertulis "Bubar DUN".
#

Pas kuda tunggangan DAP, PKR

[UTUSAN - 15/06/09]
KLANG 14 Jun - Pas sukar untuk menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang menyebabkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perkembangan sekarang menyaksikan Pas hanya menjadi kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun parti itu mempunyai pengaruh lebih besar berbanding kedua-dua rakan dalam pakatan itu.
Tambahnya, Pas sedar jika keadaan tersebut dibiarkan pemimpin dari parti itu tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan tersebut memenangi pilihan raya umum akan datang.
''Kedudukan Pas hanya boleh jadi nombor dua atau tiga dalam pakatan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menyatakan demikian kepada pemberita selepas menutup program Merakyatkan Seni Budaya dan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Meru di sini hari ini.
Namun katanya, UMNO dan Pas perlu meneruskan rundingan berhubung penubuhan kerajaan perpaduan kerana persamaan wujud antara kedua-dua parti.
#

Sister In Islam: Khalid akui kesilapan

[UTUSAN - 15/06/09]
SHAH ALAM 14 Jun - Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abd. Samad mengakui beliau tidak menyemak dan meneliti semula usul yang meminta supaya pertubuhan Sister In Islam (SIS) diharamkan jika bertentangan dengan syariat Islam.
Beliau berkata, usul daripada Dewan Muslimat Pas Shah Alam itu tidak bermaksud untuk menghukum pertubuhan tersebut seperti yang dicatatkan dan usul itu kemudiannya diluluskan tanpa bahas semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di sini, minggu lalu.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menjelaskan, Dewan Muslimat sebenarnya mahu menyatakan pandangan SIS sepatutnya diselidik mengikut syariat Islam termasuk diadakan perbincangan dan perdebatan mengenai sesuatu isu yang diperjuangkan oleh pertubuhan tersebut.
Usul itu mencetuskan kontroversi kerana terdapat ungkapan iaitu mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam.
''Usul ini asalnya dibangkitkan semasa mesyuarat Dewan Muslimat pada 12 April dan kesilapan ungkapan itu saya sedari semasa ia dinyatakan pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan pada 23 April lalu dan meminta ayat tersebut dipinda tetapi ia tidak berlaku seperti itu.
''Silap saya kerana tidak menyemak semula versi akhir usul yang dihantar ke AJK Pas Pusat dan hanya menyedari kesilapan tersebut apabila ia diluluskan tanpa bahas pada hari akhir muktamar tersebut,'' katanya.
Beliau memberi penjelasan demikian kepada sidang akhbar khas berhubung isu usul itu pejabatnya di sini hari ini.
Katanya, usul itu diluluskan tanpa dibahaskan pada muktamar kerana kesuntukan masa.
Usul berkenaan mendapat bantahan daripada kalangan pemimpin pakatan pembangkang, badan bukan kerajaan dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Khalid memberitahu, kesibukan tugas dan pelbagai perkara perlu dilakukan dalam memastikan muktamar itu berjalan lancar menyebabkannya tidak sempat menyemak versi akhir usul berkenaan.
Menurutnya, beliau akan menulis surat kepada Pas Pusat esok untuk memberi penjelasan serta mendapatkan pandangan dan tindakan yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah itu dengan baik.
''Tetapi secara teknikalnya usul diluluskan tanpa bahas dan disebabkan kesilapan tersebut susah untuk ditarik balik.
''Namun jika ia boleh ditarik balik ia adalah satu langkah yang baik,'' katanya yang mengakui imej Pas sedikit terjejas ekoran isu itu.
Beliau memberitahu, sejak isu itu timbul, Pengurus Kanan SIS, Maria Chin Abdullah ada menghubunginya dan beliau telah memberi penerangan mengenai kesilapan tersebut.
''Kita juga akan mengadakan dialog dengan SIS bagi memberi penerangan lebih jelas dan menyelesaikan masalah ini tetapi tarikhnya belum ditetapkan lagi,'' jelasnya.
#

Pas 'tunduk' kepada DAP

[UTUSAN - 15/06/09]
KUALA LUMPUR 14 Jun - Kecaman demi kecaman daripada sekutu pakatan pembangkang terutamanya DAP menyebabkan Pas 'tunduk' kepada parti itu dalam isu kerajaan perpaduan.
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat sesi 2009/2011 yang berlangsung di sini pada Khamis lalu, secara rasmi membuat keputusan supaya pimpinan parti itu 'tutup mulut' daripada membuat sebarang ulasan mengenainya.
Beberapa pemimpin Pas yang dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan berhubung tindakan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas pimpinan parti yang mempertahankan idea berkenaan sebagai 'boneka UMNO' juga gagal.
''Pas Pusat sudah membuat keputusan supaya kita hentikan sebarang polemik mengenai kerajaan perpaduan.
''Jadi saya pun no comment, kita dah diarah supaya 'tutup buku', makin kita bercakap makin keliru, masalah tidak selesai kerana mesej tidak sampai.
''Demi kebaikan semua dan demi mengharmonikan keadaan kita tidak bercakap sehinggalah masa akan datang (sekiranya) suasana politik berubah. Wallahua'lam,'' tegas Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hasan Tantawi.
DAP secara konsisten menyerang Pas sejak idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembali diperkatakan pada Muktamar Pas ke-55, hujung minggu lalu.
Terbaru kelmarin, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata Abdul Hadi perlu meminta maaf kepada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Nik Abdul Aziz sendiri kerana mencadangkan perbincangan isu kerajaan perpaduan dengan UMNO.
#

'Boneka UMNO' nasihat awal - Nik Aziz

[UTUSAN - 15 Jun 2008]
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN rodelio.taucan@utusan.com.my
Nik Abdul Aziz Nik Mat bersalaman dengan Lee Kuan Yew yang melakukan kunjungan hormat di pejabatnya di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 14 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan kenyataan kerasnya terhadap mereka yang menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya merupakan nasihat awal.
Namun beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai 'ilham' UMNO.
Beliau berkata, gelaran 'boneka UMNO' yang diberikan kepada kalangan pemimpin Pas yang menyokong idea itu hanyalah merupakan kaedah pertama untuk menasihati golongan tersebut.
''Tidak ada manusia di dunia yang tidak buat silap. Isteri boleh salah kepada suami, suami boleh salah kepada isteri begitu juga ketua boleh salah kepada orang bawahannya.
''Maka kaedah pertama saya bagi adalah nasihat. Sesiapa yang setuju kerajaan perpaduan ini adalah 'boneka UMNO','' tegasnya.
Beliau bercakap demikian selepas menerima kunjungan yang julung kalinya ke negeri ini oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini hari ini.
Rombongan dari republik itu turut disertai oleh Menteri Kewangan Singapura; Tharman Shanmugaratnam, Menteri Pendidikan; Dr. Ng Eng Han dan Setiausaha Parlimen Kanan, Masagos Zulkifli Masagas Mohamad.
Kelmarin akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan membidas mereka yang mempertahankan cadangan itu sebagai boneka UMNO.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka supaya mengikuti nasihatnya jika tidak ingin terus digelar sebagai 'boneka UMNO'.
Nik Abdul Aziz yang pernah menyifatkan dirinya sebagai nakhoda Pas mendakwa mempunyai hujah yang cukup untuk membidas idea penubuhan itu.
''Semua orang mesti dengar. Itu nasihat dan saya ada hujah cukup tetapi saya tidak mahu bercakap lanjut mengenainya,'' jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah berlaku krisis keyakinan terhadap pimpinan Pas dan sama ada beliau sudah tidak lagi mempercayai pemimpin-pemimpin ini, beliau enggan mengulas lanjut.
Ditanya mengapa mereka seolah-olah masih membelakangi bantahan beliau sebelum ini, Nik Abdul Aziz berkata: ''Kenyataan pertama saya baru-baru ini cukup.''
Mengulas mengenai pertemuan dengan Kuan Yew, katanya, tujuan delegasi Singapura itu tidak lebih daripada sekadar ingin melihat keadaan di negeri ini.
Katanya, pertemuan selama kira-kira sejam itu berjalan lancar dan beliau mengambil kesempatan menerangkan kepada Kuan Yew bahawa corak pemerintahan Pas di negeri ini adalah berkonsepkan Islam sepenuhnya.
Tambahnya, beliau tidak membincangkan mengenai isu hubungan politik antara kedua-dua negara kerana ada pihak lain yang lebih arif untuk bercakap mengenainya.
#

Nizar, rakan diarah keluar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, dan beberapa rakan Pembangkang lain diperintah keluar Dewan Rakyat selepas ingkar arahan Speaker supaya tidak memakai pelilit kepala bertulis "Bubar Dun".
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan demikian selepas mereka enggan mematuhi arahannya supaya membuka pelilit kepala berkenaan.Sebelum itu, Nizar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.
#

Nizar, rakan buat kecoh di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, melaungkan "Bubar DUN Perak" sejurus mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Rakan beliau dari Perak, Datuk Ngeh Kor Ham (DAP-Beruas) dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) lantas mengikut dengan melaungkan slogan sama dan memakai lilit kepala hitam dengan tulisan "Bubar DUN" di ikuti beberapa rakan lain.
Suasana Dewan Rakyat terus riuh dan kecoh apabila Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertikam lidah dengan wakil Pembangkang.Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia lantas menegur sikap wakil pembangkang itu yang jelas melanggar peraturan Dewan Rakyat dan mengarahkan mereka berhenti.Beliau mengingatkan mereka bahawa Dewan Rakyat bukan seperti Dewan Undangan Negeri Perak yang boleh mereka perlakukan sedemikian rupa.
Apabila Ngeh dan Nga ingkar, Pandikar Amin memerintahkan mereka keluar Dewan. Beliau juga mengarahkan Nizar yang memulakan kekecohan itu untuk turut sama keluar.
Namun, ia tidak meredakan keadaan apabila beberapa wakil pembangkang lain, termasuk Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), menyambung perbuatan rakan mereka.Pandikar Amin kemudian mengarahkan wakil pembangkang yang enggan menanggalkan lilit kepala atau lengan berkenaan supaya meninggalkan Dewan Rakyat.
Antara mereka yang memilih untuk keluar ialah Khalid Samad (Pas-Shah Alam), Chong Cheing Jen (DAP-Kuching), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) dan Teo Nie Cheng (DAP-Serdang).Dewan Rakyat kemudian kembali tenang untuk sesi soal jawab dimulakan.
#