30 Ogos 2009

'Abang belajar apa, tolong ajar aku'

Oleh Bennie Zie Fauzi dan Suzan Ahmad
bminggu@bharian.com.my
Zakaria terkenang azam Prof Dr Ismail kejar ilmu ketika kecil
JANJI Zakaria Md Salleh, 64, kepada ibunya dia akan menjaga adiknya sampai mati bukan cakap kosong.
Khamis lalu adalah penamat khidmat beliau sebagai pembantu peribadi yang juga abang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech, Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh. Ismail meninggal dunia dalam penerbangan dari China ke Singapura pagi Khamis lalu pada usia 61 tahun.
Pemergian mengejut Allahyarham adiknya itu akibat komplikasi serangan jantung banyak meninggalkan kenangan kepada beliau, apatah selaku "mata dan telinga" untuk adiknya itu, khususnya apabila mengingati ada perjuangan Allahyarham yang belum selesai. Masih kuat dalam ingatan, setiap kali pulang dari sekolah ketika kecil, Ismail akan setia menunggu dengan pelita tanah. Zakaria disapa dengan ayat: "Apa abang belajar hari ini, tolong ajar aku."
Demikianlah minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan ditunjukkan Allahyarham seawal usia lima tahun.
"Kesungguhan Allahyarham dan desakan hidup akibat kemiskinan ditambah persepsi masyarakat yang menghina serta memandang serong keluarga kami yang ada anak cacat penglihatan menguatkan lagi hati saya untuk berkorban apa saja demi masa depannya," katanya yang terpaksa memperlahankan aktiviti bersama Allahyarham tiga tahun lalu, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.
Walaupun hidup susah dalam rumah yang berdinding dan lantai buluh serta beratap rumbia, mereka sembilan beradik begitu bersyukur dengan ayah mereka, Md Salleh Yusof yang hanya petani, tetapi berpandangan jauh.
"Kami sekeluarga terpaksa menerima tohmahan dan umpat cerca orang kampung apabila ayah menempatkan Ismail di Sekolah Orang Buta Princess Elizabeth di Johor Bahru. Kata mereka kami sekeluarga nak cuci tangan daripada tanggungjawab membela anak kurang upaya, tidak kurang pula menyindir sanggup menjaga Ismail jika ayah tidak sanggup," katanya yang dibesarkan di Kampung Gua Salor, Pasir Mas, Kelantan.
Biarpun permulaan usaha untuk memastikan mutu pembelajaran diterima setimpal dengan kebijaksanaan Allahyarham, hakikatnya kemudahan untuk orang seperti Ismail pada awal 60-an hampir tiada cukup untuk perkara asas saja.
Sebagai abang yang memang cukup akrab dengan Allahyarham, kasih sayangnya terhadap adik beradik lain tidak dibeza-bezakan. Lumrah dalam hubungan adik beradik memang tidak dapat lari daripada berselisih faham, namun tidak bagi Zakaria dan Ismail.
"Susah untuk saya jelaskan, keakraban kami sebagai adik beradik sukar untuk diterjemahkan. Biarpun saya diibaratkan mata dan telinganya, saya tidak ambil hati langsung jika ditegur Allahyarham. Bagi saya, apa yang keluar dari mulutnya datang daripada Allah, bukan sembarangan. Gerak rasa, pemikirannya melangkaui insan normal, sangat luhur buat saya. "Adik beradik lain sangat memahami tumpuan yang perlu diberikan kepada Allahyarham. Mereka tidak pernah merungut, malah bersama-sama cuba membantu selagi terdaya," katanya yang sanggup meninggalkan perniagaan miliknya semata-mata untuk menjadi mata dan telinga kepada Allahyarham.
"Memang saya tinggalkan semuanya kerana dia. Saya tinggalkan perniagaan di kampung padahal orang kampung ketika itu banyak bergantung pada kedai itu. Sebelum saya kahwin, sayalah yang membacakan buku untuknya, tukang masak, tukang dobi, menguruskan makan minum, pemandu, pembantu dan macam-macam lagi. Apa saja, semuanya saya buat tanpa mengabaikan adik yang lain," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kantan, Kajang sekembali dari menziarahi pusara adiknya.
"Sebaik dia kembali dengan tiga ijazah dalam masa tujuh tahun, perubahan kehidupan mula dirasai. Inilah hasil yang diraih selepas pelbagai pengorbanan hingga Allahyarham dan kami adik beradik mampu menghantar dua lagi adik kami melanjutkan pelajaran ke Australia dan Amerika Syarikat," katanya.
Beliau mengakui Allahyarham amat tersentuh ketika membicarakan soal masa depan Melayu."Sebagai pakar ekonomi, dia sangat bimbang orang Melayu ketinggalan kerana padanya Tragedi 13 Mei 1969 berpunca daripada kemiskinan yang dihadapi Melayu."
Allahyarham berjuang untuk bangsa Melayu dan berjuang untuk membasmi kemiskinan. Usahanya selama ini tidak akan berkubur, malah pemergiannya bukan penghalang untuk memperjuangkan peningkatan akses terhadap infrastruktur orang kurang upaya (OKU) yang pada pendapatnya jauh ketinggalan berbanding di negara lain," katanya.
Syafiq Hanis , 19, anak keempat dan paling rapat dengan Allahyarham berkata, bapanya tidak pernah meninggikan suara, melenting apatah lagi memukul ketika mendidik anak.
"Biarpun ayah tegas, terutama dalam menentukan pendidikan anak, tetapi sekalipun ayah tidak pernah menguatkan suara setiap kali kami melakukan kesalahan. Malah, ayah ketawa apabila melihat emak menegur dan marahkan kami adik-beradik," katanya.
##

26 Ogos 2009

Sembilan ADUN UMNO Terengganu nafi sertai PKR

[Utusan - 26/08/2009 2:52pm]
KUALA TERENGGANU 26 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau dan lapan lagi ADUN bercadang meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata, laporan oleh portal The Malaysian Insider itu semata-mata untuk menjatuhkan imej UMNO di samping sebagai provokasi supaya mereka menyertai PKR.
Ketika ditemui pemberita pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini, Rosol berkata, beliau bersama ADUN UMNO yang lain itu tidak pernah pun berbincang mengenai perkara itu walaupun beliau mengakui masih wujud masalah dalaman dalam kalangan pemimpin parti itu di Terengganu.
“Perkara ini tidak akan berlaku dalam kumpulan kita. Khabar angin ini hanya untuk menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan wakil rakyat kita (UMNO).
“Apa yang pasti, kita masih lagi wakil rakyat BN... Itu tiada kompromi. Apa yang berlaku sebenarnya bagi memastikan kerajaan kita kuat dan kita yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak),” katanya.
##

23 Ogos 2009

Jahat!

Antara sepanduk yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertamandun. Angkara siapa?

ADUN Lunas Kedah Umum Keluar PKR

[Bernama - 23 Ogos, 2009]
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah kawasan Lunas Mohd Radzhi Salleh yang juga Anggota Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat Serta Sumber Tenaga Manusia, hari ini keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengisytiharkan dirinya wakil bebas kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR.
Beliau bagaimanapun masih mengekalkan jawatan Adun dan Exco.

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

[1Malaysia - Friday, 21 August 2009]
Dengan tibanya Ramadan, saya mengucapkan kepada semua masyarakat Islam di mana sahaja mereka berada, selamat menyambut bulan yang diberkati untuk berpuasa, beramal dan menyucikan diri. Bila saya merenungkannya kembali semalam, saya benar-benar kagum dengan kemeriahan sambutannya di seluruh dunia – hampir 1.4 bilion umat berpuasa dan beribadat di seluruh dunia bersempena dengan bulan yang mulia ini. Kita harus sedar bahawa ini adalah peluang untuk memperlihatkan semangat Islam yang sebenar kepada rakan-rakan bukan Muslim kita.
Apabila beduk dibunyikan, menandakan waktu berbuka, kita seronok bersama-sama sahabat handai, keluarga dan rakan sekerja untuk berbuka puasa. Saya masih teringat, waktu kecil-kecil dahulu, bau menyelerakan daripada masakan yang disediakan dan kegembiraan berada bersama-sama mereka yang akan berbuka. Setiap tahun, saya dan isteri sentiasa menunggu-nunggu untuk menerima jemputan berbuka puasa yang banyak dianjurkan di seluruh negara.
Pada hari pertama Ramadan, saya akan berbuka puasa dan bertarawih bersama keluarga, tetapi hari-hari berikutnya saya merancang untuk berbuka bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara. Berkumpul beramai-ramai dengan perasaan muhibah itulah yang sentiasa kita jaga dan hargai, namun janganlah sampai kita lupa akan makna sebenar Ramadan kepada setiap Muslimin. Kita memohon ke hadrat Allah agar membimbing kita ke arah amalan yang terbaik dan agar menerima ibadah dan puasa kita.
Ramadan juga adalah bulan untuk bersedekah. Saya menggalakkan sesiapa yang berkemampuan untuk melebihkan sedekah mereka pada tahun ini. Sewajarnya kita memenuhi tanggungjawab ke atas limpahan rezeki yang diterima dengan membantu mereka yang memerlukan di kalangan kita. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik. Kegawatan ekonomi telah mengundang musibah yang membebani ramai daripada rakan taulan dan jiran kita. Saya sering memikirkan akan keberkesanan kesan hasil daripada tindakan bermurah hati dan perhatian yang diberikan ke atas mereka yang kurang bernasib baik. Fikirkan manfaatnya jika kita berusaha untuk mengembangkan sifat dermawan tersebut di sepanjang tahun. Ramadan ialah waktu untuk meningkatkan kerohanian dan persaudaraan yang hebat, begitu juga dengan Malaysia yang mampu menjadi sebuah negara yang bebas dari kemiskinan jika kita komited untuk melakukannya.
Saya amat menyanjungi kemesraan dan keakraban yang dikongsi oleh semua rakyat Malaysia pada bulan Ramadan. Setiap tahun saya akan memerhatikan bagaimana rakan-rakan Cina dan India kita menikmati waktu berbuka puasa bersama-sama kita. Sama ada bersesak-sesak di gerai-gerai makanan, di rumah atau makan malam di salah satu bufet yang banyak terdapat di mana-mana sahaja, mereka yang bukan Islam di seluruh Malaysia berkongsi keramahan rakan Muslim mereka. Saya benar-benar tersentuh dengan sikap mereka yang hormat menanti waktu azan dilaungkan dan solat dilakukan sebelum mula menjamu selera. Ini adalah contoh yang baik bagaimana menghargai dan meraikan kekayaan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama di Malaysia dan perpaduan kita sebagai satu bangsa.
Kepada umat Islam di seluruh dunia, "Selamat Menunaikan Ibadah Puasa".
##

22 Ogos 2009

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Utusan - 21/08/2009]
Isu masuk syurga: Transkrip kenyataan Nik Aziz
KUALA LUMPUR 20 Ogos – TV3 malam ini menyiarkan rakaman audio Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika sidang akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos lalu.
Berikut ialah transkrip rakaman audio yang disiarkan oleh Buletin Utama:
‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.
‘‘Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.’’
##

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Utusan - 21/08/2009]
Nik Aziz pertikai Jawatankuasa Muzakarah
KOTA BHARU 20 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya mengenai penyokong UMNO tidak masuk syurga kerana ia dibuat tanpa mendapat penjelasan beliau terlebih dahulu.
Beliau menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai tidak profesional dan keputusan itu telah dipengaruhi oleh pihak lain.
Pada masa sama, Menteri Besar Kelantan itu tetap berpegang dengan pendirian bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga disebabkan parti tersebut memisahkan agama dengan politik.
"Dia (Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan) dengar laporan daripada akhbar saja. Kenapa tidak tanya saya dulu, tak betul kerja dia tu, tidak profesional dan dipengaruhi oleh benda lain.
"Tak payah (jumpa jawatankuasa itu), dia nak penjelasan, dia beri surat kepada saya, kalau dia datang lebih baik. Saya bersedia bila-bila masa untuk memberikan penjelasan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin yang disiarkan media hari ini.
Jawatankuasa itu memutuskan kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa sesiapa yang menyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ia selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Selagi orang kacau saya, saya akan terang sampai dia puas hati. Dia nak terima atau tak, dia punya pasal. Kalau tak kena atau tak puas hati tanya saya, jangan tanya surat khabar.
"Apa yang orang nak kata pada saya katalah tetapi apa sudahnya, biarlah ada hujah, kalau betul saya terima. Kalau tak betul saya anggap mengumpat, saya tengok sebanyak mana jawapan surat khabar tidak ada hujah, saya nak tumpang ilmu pun tidak boleh," katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa yang menentukan jalan syurga atau neraka ialah Allah.
"Yang menentukan jalan syurga dan neraka ialah Allah dan yang memberitahu kepada kita ialah nabi dan apabila nabi mati tugasnya disambung oleh alim ulama.
"Saya bukan menentu syurga dan neraka yang menentu ialah Allah. Saya cuma penyambung tugas Nabi Muhammad SAW," katanya.
##

21 Ogos 2009

MB Selangor diarah bayar RM66.67 juta kepada Bank Islam

[Berita Harian - 21/08/09]
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Bank Islam (M) Berhad untuk mendapatkan perintah penghakiman terus terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tuntutan kontrak koletral.
Sehubungan itu, Abdul Khalid perlu membayar sebanyak AS$18.52juta (RM66.67 juta) kepada Bank Islam.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Abdul Khalid bagaimanapun berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan dan penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan itu awal minggu depan.
Malik berkata mahkamah bagaimanapun sudah membenarkan pengantungan semntara (interim) terhadap keputusan itu.

20 Ogos 2009

Selamat Datang Ramadhan Al Mubarak

Selamat Mengerja Ibadat Puasa di bulan Ramadhan 1430H/2009M

SEMANGAT MERDEKA...

Sebahagian kakitangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta pelbagai organisasi lain mengibarkan Jalur Gemilang semasa Program Menjalurgemilangkan Bandaraya Kuala Lumpur, yang dilancarkan hari ini. - UTUSAN/MOHD. HATIM MAZLAN

4 tokoh terima Anugerah Merdeka

[Utusan - 20/08/09]
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang diumumkan sebagai salah seorang daripada empat penerima Anugerah Merdeka 2009.
Beliau menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik berikutan sumbangannya dalam pelbagai inisiatif alam sekitar berkaitan bekalan air, kumbahan, pemuliharaan sungai dan ekologi industri.
Zaini, 44, merupakan penerima pertama kategori berkenaan selepas tahun lalu tiada tokoh yang memenuhi kriteria jawatankuasa pemilihan.
Senarai penerima Anugerah Merdeka 2009 diumumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican di sini hari ini.
Seorang Pensyarah Jabatan Kimia UTM, Profesor Dr. Halimaton Hamdan, 53, turut menerima Anugerah Merdeka kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi.
Ia mengiktiraf kejayaan Halimaton menghasilkan ‘Maerogel’ iaitu sejenis ‘aerogel’ daripada sekam padi sekali gus mengurangkan 80 peratus kos penghasilannya.
Bahan itu mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh diguna untuk mengurangkan suhu panas bangunan konkrit, menyerap tumpahan minyak serta pencemaran udara dan dijadikan panel kalis bom.
Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti pula dimenangi secara bersama oleh dua tokoh wanita iaitu Tun Fatimah Hashim dan Datuk Lim Phaik Ghan.
Fatimah, 85, merupakan wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kabinet dan tokoh pejuang hak wanita.
##

Sultan Selangor tolak

[Utusan - 20/08/09]
Oleh Nor Sedek Ismail
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini dengan tegas menolak sebarang cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan selain daripada membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri ini.
Sehubungan itu baginda tidak mahu pihak luar daripada pentadbiran Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencampuri hal ehwal pengurusan zakat di negeri ini.
Baginda juga berharap Jabatan Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dapat sama-sama berganding bahu memastikan pengurusan zakat dapat dijalankan dengan baik dan sempurna.
Titah baginda, pendekatan itu penting agar wang zakat dapat memberi manfaat kepada umat Islam di negeri ini dan diberkati Allah SWT.
“Beta tidak berkenan mereka yang luar daripada pentadbiran LZS campur tangan dalam pengurusan zakat di negeri ini,” titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor di sini.
Sultan Selangor bertitah, baginda sangat mengambil berat dan mengikuti pengurusan zakat di negeri ini kerana wang zakat dibayar oleh umat Islam bagi menunaikan salah satu daripada Rukun Islam.
Kenyataan Sultan Selangor itu sekali gus menjawab persoalan tentang penggunaan dana Baitulmal bagi tujuan-tujuan lain termasuk menampung kos pembangunan negeri.
##

19 Ogos 2009

Ramadan Al Mubarak

Nik Aziz lebih daripada manusia biasa: Dr Mahathir

[Bernama - 19/08/09]
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohammad menyifatkan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai "lebih daripada manusia biasa" kerana boleh menentukan kelayakan seseorang untuk masuk syurga atau neraka. Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga "berbangga" dengan kebolehan Menteri Besar Kelantan itu untuk mengetahui perkara sedemikian.
"Jadi dia satu orang yang cukup lebih daripada manusia biasa. Manusia biasa hanya bila mati boleh pergi syurga atau negara tetapi tidak akan dapat balik untuk cerita... kitapun tak tahu Nik Aziz akan ke syurga atau neraka, itu kita tidak boleh kata. "Jadi saya berbangga dengan kebolehan Nik Aziz untuk menentukan siapa pergi syurga dan neraka.
Sesiapa yang kenal baik beliau, pergilah tanya kepada beliau (sama ada akan ke syurga atau neraka)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz dua hari lepas bahawa penyokong Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu memisahkan Islam dan iman.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen International Medical University di sini hari ini, Dr Mahathir berkata sebagai manusia biasa apa yang boleh dilakukan ialah untuk menjadi manusia yang baik.
Mengenai cadangan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu, Dr Mahathir berkata ia tidak perlu kerana tidak ada manusia di dalam dunia ini yang boleh menentukan kelayakan seseorang untuk ke syurga atau neraka selepas meninggal dunia.
"Orang warak sekalipun jika ada niat yang tidak baik juga mungkin akan ke neraka," katanya.
Dalam isu lain, Dr Mahathir yang menerima Anugerah Kehormat Doktor Perubatan sempena majlis konvokesyen itu, bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menggugurkan ruangan "kaum" pada borang dan dokumen rasmi kerajaan. Beliau berkata, perkara itu sepatutnya sudah lama dibuat kerana dalam konteks Malaysia, soal kaum boleh ditentukan berdasarkan nama individu.
"Kita boleh tahu kaum seseorang itu daripada namanya. Kalau dia nama Mohamad takkanlah dia Cina... ada juga Cina nama Mohamad kalau dia masuk Islam... tapi itu tidak apalah. "Masalah dengan nama Cina ialah kita tidak tahu jantinanya...jika Melayu ada bin atau binti, India ada anak lelaki atau anak perempuan.
"Jadi, daripada segi jantina, mungkin kita kena tulis tetapi untuk kaum, ianya soal mengenal pasti mereka daripada nama masing-masing," katanya.
Ditanya sama ada beliau menjangka wujud sebarang kesukaran untuk kerajaan melaksanakan cadangan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan boleh melaksanakannya jika mahu kerana undang-undang boleh diubah dan dipinda.
Menyentuh mengenai penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini, Dr Mahathir berpendapat kerajaan boleh melakukan lebih banyak lagi termasuk meningkatkan publisiti dan kesedaran orang ramai mengenai bahaya wabak itu.
Katanya, rakyat juga harus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan pemakaian penutup mulut dan hidung selain mengamalkan isolasi jika perlu, katanya. Dr Mahathir juga berkata, seseorang doktor perubatan harus lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas merawat pesakit daripada mengejar keuntungan semata-mata.
"Profesion doktor berbeza dengan profesion lain, berkhidmat bukan sahaja untuk gaji tetapi lebih kepada memulih dan merawat pesakit," katanya.
Ketika diminta mengulas sikap segelintir doktor yang cuai dan bersikap kasar dengan pesakit ketika memberi rawatan, Dr Mahathir berkata: "Dulu doktor tak ramai, aduan pun tak banyak. Sekarang kita ada berpuluh ribu doktor, tentulah ada antara mereka yang tidak tahu membawa diri.
Masyarakat semakin besar maka adalah yang besar kepala tetapi tak semestinya semua doktor macam tu." Dr Mahathir berkata, terdapat juga doktor yang berkhidmat secara percuma dan melakukan kerja amal dengan membantu mereka yang sakit dan cedera di dalam dan luar negara.
"Seperti doktor Mercy (Malaysia), tak dapat duit apa-apa pun, begitu juga ada yang ke luar negeri yang menolong dan tinggal di tempat yang tidak selesa," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya ketika menerima anugerah itu, Dr Mahathir berkata tugas sebagai seorang doktor bukan saja dapat mengajar mendisiplinkan diri malah ia mengajar seseorang doktor untuk banyak bersabar melayan karenah pesakit dan bersimpati dengan apa yang berlaku.
Katanya, doktor di negara ini beruntung kerana tidak ramai yang berhadapan dengan tuntutan mahkamah dan saman daripada pesakit seperti doktor di luar negara.
Anugerah itu disampaikan kepada Dr Mahathir kerana pengorbanan beliau mentadbir negara hampir 22 tahun dan juga sebagai seorang doktor perubatan yang membuka klinik swasta pertama di negara ini iaitu Klinik Maha di Alor Setar, Kedah. Anugerah disampaikan Canselor IMU, Tan Sri Dr Sulaiman Daud.
Pada majlis itu seramai 95 graduan menerima ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Sains Perubatan.
##

Kenyataan Nik Aziz menyeleweng: Majlis Fatwa

[BH - 19/08/09]
NILAI: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menyifatkan kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa seseorang Muslim ke syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata jawatankuasa berkenaan sebenarnya sudah membincangkan isu itu sejak tahun 2000 dan memutuskan ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah S.W.T.
Katanya, keputusan muzakarah itu juga sudah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya ke-188 pada 21 hingga 23 Mac 2001."Dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk ke syurga atau neraka adalah salah mengikut ajaran Islam.
"Jawatankuasa juga berpendapat sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar," katanya pada sidang media di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dekat sini.
Sehubungan itu, Abdul Shukor yang juga Naib Canselor Usim berkata, umat Islam terutama mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Islam dinasihat berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara yang tidak betul atau bida'ah yang boleh mengelirukan dan memecahkan umat Islam.
"Kepada orang ramai, saya ingin nyatakan bahawa dalam ajaran Islam sebenar, tidak sesiapa boleh menentukan seseorang itu berhak masuk syurga atau neraka kecuali Allah S.W.T sahaja yang mempunyai hak mutlak dan boleh memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu atau sebaliknya.
"Janganlah kita mudah terpengaruh dengan pandangan yang aneh, jauh dari kebenaran dan boleh menyesatkan kita," katanya.Abdul Shukor berkata, pihaknya berharap sebagai tokoh dan arif mengenai agama, Menteri Besar Kelantan membetulkan pandangannya bagi mengelakkan kekeliruan timbul di kalangan umat Islam.
"Saya mengharapkan politik itu tidak mengatasi agama. Jadi, agama itu kalau boleh dalam keadaan kita sekarang ini yang inginkan kepada perpaduan, amat penting kepada umat Islam kepada keharmonian.
"Saya harapkan juga supaya kita sama-sama tidak menggunakan Islam atau pandangan tertentu demi kepentingan politik, malah saya harapkan kita bersatu dan melupakan isu politik demi agama kerana isu agama itu lebih tinggi," katanya.
Bercakap kepada pemberita pada penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kelmarin, Nik Aziz menyatakan Islam yang dibawa Umno tidak boleh membawa seorang Muslim ke syurga.
Susulan tuduhan terbaru Menteri Besar Kelantan itu, ramai tokoh agama dan ahli akademik menyifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan kewibawaannya sebagai ulama.
Malah, ada yang berpendapat Mursyidul Am Pas itu sudah berada di tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij pada zaman kegemilangan sejarah Islam.
##

Tun Mahathir sindir Nik Aziz

[Utusan - 19/08/2009 2:16pm]
Oleh Tarmizi Abd. Rahim
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis menyatakan kebanggaan dan kekagumannya terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menjadi satu-satunya manusia yang boleh menentukan syurga atau neraka kepada manusia.
"Saya bangga dengan kebolehan Nik Aziz kerana boleh tentukan syurga atau neraka untuk sesiapa sahaja.
"Mungkin dia dah turun ke bawah, untuk melihat sendiri syurga dan neraka hingga boleh ceritakan siapa yang akan masuk.
"Setahu saya hanya mereka yang dah mati boleh tengok syurga atau neraka, itu pun tidak boleh balik ke dunia untuk ceritakan semula,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen International Medical University Malaysia (IMU) di sini hari ini.
##

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Berita - 19/08/09]
Nik Aziz ekstrem
Oleh Norfatimah Ahmad, Jami'ah Shukri dan Nazura Ngahbhnews@bharian.com.my
Tuduhan ajaran Islam diamalkan Umno tidak membawa ke syurga keterlaluan
KUALA LUMPUR: Tokoh agama dan ahli akademik menyifatkan tuduhan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa seseorang Muslim ke syurga sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan kewibawaannya sebagai ulama.
Malah, ada yang berpendapat Menteri Besar Kelantan itu sudah berada pada tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij pada zaman kegemilangan sejarah Islam. Ahli akademik yang pernah membuat kajian mengenai Pas, Dr Ibrahim Abu Bakar, berkata banyak kenyataan Nik Abdul Aziz sebenarnya dibuat bagi menakut-nakutkan masyarakat sebagai strategi politik bagi meraih sokongan terhadap Pas yang dilihat semakin malap, terutama menjelang pilihan kecil kecil DUN Permatang Pasir.
"Sebagai seorang Islam, kita tidak seharusnya menyatakan kita saja yang betul termasuk mengenai syurga." katanya ketika dihubungi Berita Harian. Ibrahim berkata, berdasarkan kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan itu sudah berada pada tahap ekstrim serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij.
Mengikut sejarah, kaum Khawarij adalah penyokong Saidina Ali yang berjuang menentang puak Muawiyah, tetapi tidak menerima majlis tahkim. Bagaimanapun, golongan itu belot dan membunuh Saidina Ali kerana memprotes kesediaan beliau menerima keputusan majlis tahkim. Kaum Khawarij juga berpendapat pelaku dosa besar adalah kafir dan mengkafir serta menghalalkan darah semua umat Islam yang berbeza kepercayaan. "Oleh itu, semakin jelas Pas sudah bersikap seperti kaum Khawarij yang menegaskan mereka (anggota Pas) saja yang betul dan orang lain salah atau kafir," katanya. Ibrahim berkata, dari segi analisis psikologi pula, kelantangan Nik Abdul Aziz mencerca Umno mungkin mempunyai kaitan dengan kemarahannya yang terus membara sejak bekas Yang Dipertua Pas, Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda, membawa masuk Pas ke dalam Barisan Nasional (BN).
"Justeru, tidak mustahil Nik Abdul Aziz kerap dilihat memberi kenyataan yang berbaur hasutan untuk membolehkan beliau terus mengukuhkan tempatnya di dalam politik, selain untuk meruntuhkan sokongan dan kesepaduan di dalam Umno," katanya.
Ibrahim juga berkata, Pas sudah menyimpang daripada perjuangannya apabila berebut-rebut untuk mendapatkan tempat serta kuasa menerusi platform politik. Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, pula berkata Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan agama dalam perspektif politiknya kerana ia boleh mengelirukan orang lain, terutama umat Islam. "Pandangan Tok Guru (Nik Aziz) mengenai politik yang berkaitan dengan agama ada kalanya menyebabkan sesetengah pihak salah faham kerana beliau mempunyai perspektif tersendiri. Oleh itu, tidak sesuai untuk beliau terus biarkan dirinya berbuat demikian," katanya.
Sementara itu, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu keterlaluan dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin agama daripada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.
"Islam adalah untuk semua umatnya, tiada batasan mana-mana puak atau kaum, parti atau organisasi. Kenyataan Nik Abdul Aziz seolah-olah terlalu membahagi-bahagikan dan mengkelaskan Islam, semacam memberi laluan mudah kepada pengikut dan ahli Pas," katanya.
##

18 Ogos 2009

Hishammuddin Nafi Umno Terengganu Berpecah

[Bernama - 17 Ogos, 2009 19:54 PM]
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno Terengganu kini berpecah dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.
Sebaliknya, Hishammuddin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan serta semangat anggota Umno negeri itu ketika ini begitu tinggi. "Sejak kebelakangan ini, ada tuduhan daripada pihak-pihak tertentu bahawa Umno Terengganu berpecah, pemimpin-pemimpin bertelagah dan bersengketa.
"Tuduhan itu tidak berasas kerana Umno masih lagi mendapat tempat bagi membela bangsa Melayu," katanya semasa melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu di hadapan kira-kira 5,000 anggota Umno empat peringkat di Stadium Negeri, di sini Isnin.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun mengakui bahawa sebelum ini wujud persengketaan di kalangan pemimpin Umno Terengganu namun perselisihan faham itu telah diselesaikan.
Katanya bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ketua-ketua Bahagian Umno di negeri itu, supaya mereka kembali memperkukuhkan parti. "Malah di peringkat akar umbi, mereka mahu melihat Umno Terengganu kembali bersatu dan utuh.
Maka, pemimpin-pemimpin Umno perlu rapatkan barisan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum (ke-13) akan datang," katanya. Dalam pada itu, beliau mahu anggota Umno Terengganu terus bersatu dan menunjukkan semangat luar biasa bagi memastikan parti itu terus relevan dalam membela nasib bangsa Melayu.
"Inilah harapan saya selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Oleh itu, mulai hari ini saya mengarahkan Umno Terengganu supaya bangkit dengan semangat dan kesedaran yang luar biasa (untuk memenangi hati rakyat)," katanya.
##

JAIS persoal Exco lulus bina kuil

[Utusan - 18/08/09]
Oleh ABDUL YAZID ALIAS pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 17 Ogos – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjelaskan keputusan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu termasuk di Seksyen 23 di sini yang mendapat bantahan penduduk Islam ditentukan oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Exco berkaitan portfolio berkenaan.
Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, amalan itu adalah berbeza dengan dahulu iaitu sebarang pembinaan rumah ibadat bukan Islam sama ada kuil, tokong dan sebagainya diputuskan oleh jawatankuasa negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sendiri.
Ekoran itu jelasnya, selepas Selangor diperintah kerajaan campuran urusan berkaitan pembinaan rumah ibadat bukan Islam diputuskan oleh Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam yang dipengerusikan oleh Dr. Xavier Jayakumar.
Xavier adalah juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor.
‘‘Maka itu dalam soal cadangan pembinaan kuil di kawasan majoriti Islam di Seksyen 23, kita mahu supaya kerajaan negeri menimbang semula pembinaan kuil di kawasan berkenaan.
‘‘Pertimbangan sedemikian perlu dibuat kerana isu pembinaan rumah ibadat itu dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat di Selangor terutamanya melibatkan soal agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammed Khusrin menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri mahu membina sebuah kuil di seksyen tersebut.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan penduduk dan menuntut kerajaan negeri memberi kewajarannya kerana hanya terdapat 40 penghuni India di situ berbanding kira-kira 400 orang Islam tinggal di kawasan tersebut.
Beliau menambah, walaupun terdapat perubahan dari segi amalan pentadbiran tetapi pembinaan rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti umat Islam perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan rasa tidak puas hati sehingga mengundang perkara-perkara yang tidak diingini.
Namun beliau berharap penduduk Islam di kawasan terlibat khususnya tidak bertindak di luar batasan agama dan undang-undang ekoran bantahan itu sebaliknya menghormati antara satu sama lain tidak mengira apa kaum dan agama yang dianuti.
##

17 Ogos 2009

Zambry Beri Amaran Supaya Pembangkang Jangan Lagak Samseng

[Bernama - 17 Ogos, 2009 21:39 PM]
IPOH, 17 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Isnin memberi amaran kepada pembangkan supaya jangan berlagak samseng dengan mengganggu urusan kerajan negeri Barisan Nasional (BN) menunaikan tanggungjawab kepada rakyat di negeri itu.
Katanya tindakan pembangkang mengganggu majlis penyerahan borang 5A kepada 188 penduduk untuk membayar premium dan seterusnya mendapat hak milik tanah di Taiping tengah hari tadi sebagai perbuatan yang sangat mendesak.
"Jangan anggap saya pengecut atau penakut. Sebagai Menteri Besar, saya bertanggungjawab memastikan supaya kejadian yang tidak diingini tidak berlaku," katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Beliau mengulas tindakan Angota Parlimen Taiping Nga Kor Ming, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Yew Tian Hoe dan ADUN Pokok Assam, Yee Seu Kai bersama 20 penyokong mengganggu majlis tersebut di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Ketiga-tiga pemimpin DAP itu bersama penyokong mereka memegang kain rentang yang tertulis "MB Haram, Malu, Malu, Malu, Malu" di perkarangan dewan itu sambil melaungkan kata-kata kesat.
Bagaimanapun, Zambry tidak hadir pada majlis itu dan sebaliknya mewakilkan ahli exco negeri Mohd Zahir Abdul Khalid, untuk menyampaikan borang itu kepada penerima dari Kampung Kaki Bukit Jana, Kampung Aulong Baru Tambahan, Kampung Ayer Kuning dan Kampung Batu 14 Trong.
Zambry berkata beliau terpaksa membatalkan kehadirannya pada majlis itu atas nasihat pihak keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan memohon maaf kepada hadiran.
Ditanya mengenai dakwaan pembangkang bahawa pemberian hak milik tanah itu sebenarnya diusahakan oleh mereka ketika memerintah Perak selama 11 bulan sebelum BN mengambil alih kerajaan negeri, Zambry meminta perkara itu disemak di pejabat tanah.
"Tak perlu kita berlawan. Pergilah ke pejabat tanah, lihat siapa yang memulakan (usaha pemberian hak milik tanah kepada rakyat). Apa yang penting bagi kita sekarang, kita ingin tunaikan janji kita kepada rakyat," katanya.
##

Tindakan Gobalakrishnan Memalukan Anggota Parlimen, Kata Muhyiddin

[Bernama - 17 Ogos, 2009 20:54 PM]
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Tindakan anggota Parlimen pembangkang N.Gobalakrishnan menimbulkan kekecohan semasa penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir hari ini adalah seperti individu yang tidak tahu undang-undang dan memalukan Parlimen, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan seolah-olah sengaja hendak menunjukkan kejaguhan di tempat yang salah.
Beliau berkata hari pertama proses pilihan raya kecil yang sepatutnya berlangsung dalam keadaan tenang dan aman telah dicemari oleh insiden itu
."Ini hari yang pertama, sebelum kita tahu siapa calon nak bertanding, dia sudah buat peel (perangai) yang tak senonoh.
"Saya fikir, ahli Parlimen itu sepatutnya faham, bijak. Saya tidak tahu kenapa bertindak sebegitu rupa. Apa lagi terlibat dengan pihak berkuasa yang menjaga keselamatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan My Tuition di Taman Bukit Angkasa di sini.
Beliau berkata rakyat sepatutnya sedar akan tindakan sesetengah pemimpin pembangkang yang cuba mencabar undang-undang dengan bertindak sesuka hati serta mencetuskan huru-hara.
"Ini nak provokasi supaya esok dia boleh pergilah kempen ke bawah (dan berkata)... inilah polis tidak bertanggungjawab," katanya.
Muhyiddin berkata polis setakat ini telah menjalankan tugas secara berhemah untuk mengawal keselamatan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
"Tadi suasana cukup aman dan baik. Kita lihat orang berlari-lari nak tengok apa hal berlaku, rupanya ianya perbuatan bodoh, tak hormat undang-undang," katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan pembangkang supaya menasihatkan anggota dan penyokong parti itu agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang serta menimbulkan kekecohan sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.
Beliau berkata suasana aman dan tenteram boleh membantu pengundi di Permatang Pasir membuat pertimbangan yang rasional dengan tidak diganggu-gugat oleh tindakan yang melanggar undang-undang.
"Jadi kalau itu dapat kita wujudkan, mereka akan membuat keputusan yang rasional. Mereka tidak akan rasa takut, dan ramai-ramai akan keluar pada hari mengundi," katanya.
Kekecohan berlaku apabila Gobalakrishnan yang juga anggota Parlimen Padang Serai mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.
Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam.
Pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 25 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Rohaizat Othman, 38, dan Mohd Salleh Man Mat Aji, 52, daripada PAS.
##

Keluarga Rohaizat Bantu Berkempen Raih Undi Untuk BN

[Bernama - 17 Ogos, 2009 16:37 PM]
BUKIT MERTAJAM, 17 Ogos (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman bukan sekadar mendapat sokongan dan bantuan daripada rakan dan sahabat, malah seluruh keluarganya juga akan turun berkempen untuk meraih undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir 25 Ogos ini.
Bapa Rohaizat, Othman Ishak, 68, berkata beliau akan turun untuk berkempen dan membantu anaknya yang pertama kali terpilih sebagai calon pilihan raya itu.
Othman, pesara kerajaan berkata, beliau memahami cita-cita anaknya untuk menjadi pemimpin sejak kecil lagi dan berharap cita-cita itu akan menjadi kenyataan.
"Sejak kecil dia bercita-cita mahu jadi pemimpin tetapi saya tidak sangka dia mampu menjadi pemimpin dalam usia yang muda," kata beliau kepada pemberita di sini pada hari Isnin.
Othman dan isteri Siti Fatimah Mat Akib, 60, turut menyertai rombongan mengiringi Rohaizat ke pusat penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini.
Isteri Rohaizat, Khairul Niza Abdul Razak, 38, seorang pensyarah di Pusat pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) berkata beliau juga akan membantu suaminya sepanjang tempoh berkempen.
Khairul Niza berharap suaminya dapat memenangi kerusi DUN tersebut bagi membuktikan calon muda juga mampu memberi saingan di kubu kuat PAS di negeri itu.
##

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Bernama - 17/08/2009 2:55pm]
NIK AZIZ KATA AHLI UMNO TAK AKAN MASUK SYURGA
BUKIT MERTAJAM 17 Ogos — Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.
Katanya, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.
“Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka,” katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.
Pengundian ialah pada 25 Ogos ini.
Pilihan raya kecil itu melibatkan calon Pas, Mohd Salleh Man, 52, yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, dan calon Barisan Nasional Rohaizat Othman, 38.
Kawasan itu mempunyai 20,290 pengundi berdaftar.
##

15 Ogos 2009

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Utusan - 15/08/2009 5:13pm]
Nik Aziz tiada pendirian tetap
KUALA LIPIS 15 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai tidak mempunyai pendirian konsisten apabila menghalalkan pemimpin DAP menghina Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, tindakan Menteri Besar Kelantan itu boleh menyebabkan akidah umat Islam terpesong.
Malah, tegasnya, penghinaan terhadap Islam oleh pemimpin DAP yang dihalalkan oleh Nik Aziz dianggap satu fenomena yang amat membimbangkan.
##

Rohaizat calon Barisan Nasional

[Utusan - 15/08/09]
BUKIT MERTAJAM 14 Ogos - Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.
Pemilihan Rohaizat diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dihadapan ribuan penyokong BN di Pusat Operasi BN di Taman Bukit Merah di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Rohaizat menerima pendidikan awal di Sekolah Agama Al-Mashoor Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sehingga tahun 1995.
Sebaik tamat pengajian, Rohaizat mula melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain aktif dalam program-program komuniti termasuk menjadi Setiausaha Kelab Sukan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Rohaizat juga merupakan Pengerusi Koperasi Gerakan Desa Wawasan (GDW) Mengkuang Berhad sejak tahun 2004 selain menjadi Exco Persatuan Homestay Malaysia sejak tahun 2003 dan pernah menjawat Pengarah Penerbitan Direktori Wakil Pilihan Rakyat.
Selain itu, beliau juga dilantik Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sejak tahun 2003.
Rohaizat mula bergiat dalam politik dengan memegang jawatan Ketua Pemuda Cawangan Mengkuang Titi sejak tahun 1996 sebelum menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh dari tahun 1999 hingga 2002.
Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Khairul Niza Abdul Kadir, 38, pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM), Rohaizat dikurniakan seorang anak, Aiman Hidayat, 9 tahun.
Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman, 63, dari Pas pada 31 Julai lalu akibat sakit jantung.
Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Hamdan, yang menyandang kerusi itu sejak tahun 1999, memperoleh 11,004 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 Ogos ini untuk hari penamaan calon dan 25 Ogos sebagai tarikh pengundian.
DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi termasuk seorang pengundi pos.

##

14 Ogos 2009

Rohaizat Othman calon BN untuk Permatang Pasir

[BH - 14/08/09]
PERMATANG PAUH: Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Pemilihan beliau diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, akan mengumumkan calon parti itu malam ini.
Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat, sudah menyatakan hasrat bertanding di kubu kuat Pas itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pilihan raya kecil itu pada Isnin depan manakala hari mengundi pada 25 Ogos ini.
##

Calon BN Permatang Pasir

CALON BN: Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjulang tangan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, (tengah) selepas pengumuman calon di Permatang Pasir, petang ini. - Foto Rosli Ahmad
BH - Aug 14, 2009 6:08 pm

Rohaizad calon BN Permatang Pasir

[Utusan - 14/08/2009 5:39pm]
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Setiausaha Agung UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizad Othman diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang dijadualkan berlangsung pada 25 Ogos ini.
Demikian diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini petang ini.
##

Fikir dulu sebelum minta hapus ISA - Hishammuddin

[Bernama - 14/08/2009 3:01pm]
KOTA BAHARU 14 Ogos — Rakyat perlu berfikir dengan waras dan tidak terpengaruh dengan permainan politik dangkal sesetengah pihak sebelum meminta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, dalam keadaan negara maju yang sebelum ini melaungkan demokrasi dan kebebasan bersuara pun sudah menerima pakai akta keselamatan seperti ISA, masih ada pihak di negara ini yang mengambil pendirian enggan menerima kepentingan akta itu.
“Di Amerika Syarikat pun sudah ada akta patriotiknya, United Kingdom pun sudah ada akta antiterorrisme, di Melbourne (Australia) baru-baru ini pun lima pengganas berasal dari Somalia (ditangkap).
“(Tetapi), kita pula mengarut di tepi jalan nak hapuskan ISA. Negara lain pun sekarang ini cari jalan bagaimana nak kukuhkan undang-undang yang mereka tak ada, tetapi kita ada. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kubang Kerian di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan negara berhadapan ancaman keganasan pihak yang ingin membalas dendam berikutan kegagalan menahan penjenayah paling dikehendaki di rantau Asia, Noordin Mohammad Top.
Hishammuddin berkata kemungkinan itu sentiasa ada namun negara bertuah kerana rakyat negara ini menolak sebarang bentuk keganasan.
“Saya selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri, saya nak beri jaminan kepada orang ramai, Insya-Allah keadaan terkawal. Ini yang kita fikir bila kita nak pinda ISA,” katanya.
##

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Utusan - 14/08/09]
Pendirian MB Kelantan mengelirukan
SETIU 13 Ogos - Pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering berubah-ubah berkaitan hukum agama dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap Nik Abdul Aziz yang tidak konsisten termasuk dalam isu penghinaan terhadap Islam oleh DAP jelas boleh memesongkan fahaman dalam Islam.
Beliau turut mempertikaikan keupayaan parti tersebut untuk menegakkan hukum hudud sedangkan pendirian pemimpinnya masih tidak tetap dan berubah-ubah.
"Kita bimbang, penghinaan terhadap agama (oleh DAP terhadap Islam) telah dihalalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim di sini hari ini.
Shafie mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana bagi Menteri Besar Kelantan itu, DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka mengenai Islam tidak mendalam.
Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan kesuciannya telah disalahertikan oleh bukan Islam.
Bercakap perkara sama ketika berucap pada majlis itu, Shafie dengan sinis berkata, pemimpin Pas hanya tahu apa yang berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan masalah dalaman yang melanda parti pembangkang dipandang sebelah mata.
"Dia tak nampak apa yang Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat, atau apa yang DAP atau Pas buat.
"Mereka tak pula mempersoalkan pendirian Anwar yang masih membisu berhubung isu arak di Selangor," ujarnya.
##

BBPM: Penghina Islam wajar diperangi

[Utusan - 14/08/09]
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membenarkan pemimpin DAP menghina Islam, membuktikan parti itu sanggup berbuat apa sahaja demi menjaga kepentingan politik mereka.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, Nik Abdul Aziz adalah seorang 'tok guru' yang 'serba boleh' apabila ia bersangkutan dengan kepentingan pakatan pembangkang.
"Adalah tidak wajar kita membenarkan sesiapa pun menghina agama Islam. Pihak yang menghina Islam wajib diperangi.
"Zaman Nabi dahulu, umat Islam sanggup berperang apabila Islam dihina, tetapi ulama besar parti Islam itu kini boleh pula membenarkan kesucian Islam dihina," katanya.
Beliau diminta mengulas keengganan Nik Abdul Aziz mengecam tindakan segelintir pemimpin DAP memberi reaksi melampau terhadap beberapa isu sehingga menghina Islam termasuk mengaitkan dengan ekstremis.
Semalam, Mursyidul Am Pas itu menjelaskan beliau tidak akan membantah tindakan segelintir pemimpin DAP yang dilihat menghina Islam.
Sebaliknya, Nik Abdul Aziz menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.
Menurut Osman, pihak yang tidak memahami Islam secara mendalam sepatutnya 'tutup mulut' dan bukannya menghina agama itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap sesiapa sahaja yang menghina Islam bagi memberi pengajaran kepada pihak lain.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kecewa dengan sikap Nik Abdul Aziz yang meletakkan politik lebih penting daripada agama.
"Saya kecewa, terkejut dan sedih apabila Menteri Besar Kelantan tidak mengutuk, apatah mengecam tindakan segelintir pemimpin DAP.
"Janganlah kerana Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dan demi menjaga hati DAP, Islam dihina pun tidak membantah," ujarnya.
Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Roshdan Sujak Rafie pula berkata, Nik Abdul Aziz tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu dan harus memikirkan sensitiviti masyarakat di negara ini.
"Pemimpin sesama Islam dan bukan Islam perlu belajar untuk memahami sensitiviti berhubung perkara berkenaan dan jangan terlalu ghairah memberi kenyataan sehingga mencetuskan kontroversi serta konflik di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.
##

TPM hairan kenyataan Nik Aziz

[Bernama - 14/08/09]
MUHYIDDIN Yassin meletakkan balang berisi ikan semasa merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, semalam sambil diperhatikan oleh Noh Omar dan Mohd. Ali Rustam.
*****
MELAKA 13 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membiarkan segelintir pemimpin DAP menghina Islam.
Beliau berkata, sebagai seorang tokoh agama dan ketua kerajaan negeri, Nik Abdul Aziz sepatutnya mempertahankan Islam daripada dihina.
“Saya pun hairan dan takjub (berasa aneh), seorang tokoh agama (Islam) boleh menghalalkan orang lain menghina Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sikap Nik Abdul Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana beliau (Nik Aziz) berpendapat DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap agama rasmi Persekutuan itu mungkin tidak mendalam.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perbuatan menghina agama sama ada Islam atau bukan Islam tidak harus dilakukan kerana ia boleh merosakkan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.
“Di Malaysia ini keadaan, negara yang stabil, aman kerana kita menghormati antara lain soal budaya dan agama, kita sudah lama buat, sudah hampir... tak lama lagi 52 tahun negara merdeka, satunya teras ialah menghormati agama, budaya, kaum yang ada dalam negara kita,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya “fatwa” Nik Abdul Aziz itu boleh diguna pakai maka akan berlaku huru-hara dan akhirnya rosak Malaysia.
“Jadi saya percaya, kalau pun untuk raih sokongan, nak popular, soal Islam tidak boleh dikorban, soal maruah dan martabat agama mesti dipertahankan,” katanya.
Katanya, Pas bukan sebuah parti yang mempertahankan agama Islam walaupun pemimpin mereka melaungkan slogan membangun bersama Islam.
“Ini yang saya cukup bimbang pemimpin Melayu yang berkata juara pertahankan Islam tetapi dia tidak menunjukkan sikap yang bertanggungjawab, bahaya itu.
“Saya nak beri amaran kepada orang Melayu jangan dengar cakap pemimpin Pas yang cakap tidak serupa bikin, dia kata nak membangun bersama Islam tetapi dia buat hal-hal yang membawa kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.
Muhyiddin berkata, Nik Abdul Aziz yang dikatakan tokoh agama, sepatutnya memberi amaran atau menasihati kalangan pemimpin DAP terbabit supaya jangan menghina Islam.
Beliau yang bimbang dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu berkata, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan agama.
##

Dua cendekiawan Islam tegur Nik Aziz

[Utusan - 14/08/09]
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ‘menghalalkan’ tindakan DAP menghina Islam merupakan satu kenyataan yang dipengaruhi oleh pendirian politik dan tidak berdasarkan kepada kearifan ilmu agamanya.
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid menegaskan, perkara itu amat serius kerana apabila dibiar berterusan akan menjadikan sesuatu yang menghina Islam sebagai perkara biasa pada akhirnya.
“Bagi saya, pendapat Nik Abdul Aziz itu sangat dipengaruhi oleh pendirian politik. Ia adalah amat membimbangkan kerana akan menghakis terus perasaan sensitiviti terhadap kesucian agama Islam.
“Apabila dihina, kita hanya senyap dan pada masa yang sama seperti mengizinkan. Lama-kelamaan ia akan menjadi seperti perkara biasa dan kalis serta jika berlaku, adalah sesuatu yang amat malang bagi umat Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana berpendapat parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.
Tegas Mahmood Zuhdi, dalam setiap isu berkaitan dengan agama, tidak sepatutnya dipolitikkan kerana dibimbangi akan menjejaskan kesucian Islam itu sendiri.
Justeru, beliau yakin sekiranya Nik Abdul Aziz tidak berada pada kedudukan sekarang sebaliknya sebagai ulama biasa, pasti akan berasa sensitif dengan penghinaan dan cacian terhadap Islam yang dihamburkan oleh orang bukan Islam.
“Inilah bahayanya apabila orang- orang agama memakai topi atau pakaian politik. Saya berpendapat mungkin Nik Abdul Aziz sedikit terkeliru kerana tidak mendapat maklumat tepat dalam perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain menegur Nik Abdul Aziz yang terlalu memberi ‘muka’ kepada DAP atas alasan mereka tidak memahami Islam secara mendalam.
“Kenyataan itu adalah jelas tidak tepat kerana saya percaya orang bukan Islam di negara ini sebenarnya sudah cukup faham dengan Islam. Cuma mereka tidak mahukan syariat Islam ditegakkan di negara ini.
“Kalau mereka tidak faham, maka sudah pasti mereka tidak akan mengeluarkan sebarang komen mengenai undang-undang Hudud seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pemimpin mereka dahulu iaitu, ‘langkah mayat aku dahulu’,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz sepatutnya membetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap ajaran Islam dan bukannya menambah kekeliruan mereka.
Mohammad Yusoff berkata, Nik Abdul Aziz seharunya mengutamakan objektif dan bukan menekankan kepada perkara subjektif iaitu kepentingan politik sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Jangan menyokong DAP hanya kerana mereka bersekongkol atau berada sekumpulan dengan kita dengan membuat pelbagai cara untuk menghalalkan apa yang mereka cakap.
“Tidak bolehlah membutakan mata, memekakkan telinga demi kepentingan golongan yang diwakili, kerana secara tidak langsung Nik Abdul Aziz telah menyokong golongan menghina Islam,” katanya yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan.
##

13 Ogos 2009

Cintai Bendera Kebangsaan, Kibarkan Jalur Gemilang

[Bernama - 13/08/09]
Oleh Zulkiple Ibrahim

Sempena sambutan bulan Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Ogos bagi rakyat Malaysia, ialah Bulan Kemerdekaan dan pada 31 Ogos, sebagai rakyat Malaysia mereka akan menyambut ulang tahun kelahiran negara ini di peta dunia sebagai sebuah negara yang merdeka daripada penjajahan.

Dengan pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan, beratus-ratus malahan beribu bendera kebangsaan Jalur Gemilang akan berkibaran di sepanjang jalan di bandar dan kota di seluruh negara serta juga di bangunan-bangunan termasuk kompleks membeli belah dan pejabat kerajaan.

"(Kadang-kadang) terkilan juga, ada juga rakyat Malaysia yang berasa bangga dengan bendera kebangsan pada musim perayaan Bulan Kemerdekaan sahaja," kata seorang kenalan penulis, Wee, yang berasal dari Kelantan.Kenapa pula? tanya penulis.

"Pada masa-masa yang lepas, ada di antara kita yang begitu bersemangat mengibarkan bendera kebangsaan. Kemuncaknya ialah pada 31 Ogos. Tapi apa jadi selepas itu?"

Setelah selesai upacara sambutan, bendera-bendera (kebangsaan) yang kecil dibiarkan bertaburan terutama yang dilekatkan di atas bumbung kereta dan tercabut. Bendera di atas bangunan dibiarkan lusuh hingga koyak disebabkan cuaca di Malaysia. Bendera ini dibiarkan sebegitu rupa hinggalah musim perayaan tahun depan bila ia ditukar baru.

"Sepatutnya kita bangga dengan bendera kebangsaan kita setiap masa. Bagi rakyat Malaysia, kita patut bersikap patriotik sepanjang masa dan bukan mengikut musim," kata Wee.

Kata-kata itu membuatkan penulis terdiam dan memikirkan senario yang beliau maksudkan.


PATRIOTISME

Kemudian, pada malamnya. Satu iklan tentang Hari Merdeka di telivisyen, menarik perhatian penulis.Iklan itu menunjukkan seorang penunggang motosikal lelaki separuh umur mencari perlindungan dari hujan lebat. Beliau yang basah kuyup, kemudian berlindung di satu perhentian bas yang turut ditumpangi beberapa anak muda lelaki.

Lelaki separuh umur tadi kemudian terlihat sehelai Jalur Gemilang yang diterbangkan angin dari sebatang tiang berdekatan, ke tengah jalan sebelum terdampar di atas permukaan konkrit dalam hujan lebat itu.

Walaupun beliau nampak sebuah kereta menuju ke arah bendera itu, lelaki berkenaan berlari untuk 'menyelamatkan'nya. Anak muda yang berlindung di situ hanya memerhatikan sahaja.

"Begitulah hendaknya. Kita sebagai rakyat Malaysia, mestilah menghormati, menghargai dan sanggup berjuang untuk mempertahan Jalur Gemilang walau di mana saja", kata Kapten (bersara) Abu Bakar Ibrahim memberi komen mengenai iklan itu.


JALUR GEMILANG

Menurut Arkib Negara, corak bendera Persekutuan Tanah Melayu direka oleh Mohamad Hamzah, arkitek jabatan kerajaan di Johor.Pada 19 Mei 1950, King George VI memberikan persetujuan beliau terhadap rekaan bendera itu.

Bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Selangor disaksikan Raja-Raja Melayu dan wakil King George VI.Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia bermakna bendera kebangsaan harus diubahsuai dari segi coraknya.Bendera Malaysia dikibarkan secara rasminya dengan lahirnya negara Malaysia pada 16 Sept 1963.

Jalur Gemilang sebagai nama bendera Malaysia diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40 di Dataran Merdeka.Perkataan Jalur menggambarkan bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih (melambangkan empat belas negeri di Malaysia).

Jalur ini juga menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dipegang oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.Perkataan Gemilang bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.

Bendera Malaysia Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa jua bidang kehidupan sekali pun di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, dengan penuh tekun, patriotik, kuat dan bersemangat, demi bangsa, negara dan agama.

"Sayangi dan hormati Jalur Gemilang di mana saja. Biarkan ia terus berkibar".

##

Perhimpunan laungkan Anwar pengkhianat esok

[Utusan - 13/08/09]
PENGKIANAT!
Oleh SAHBULAH DARWI utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 12 Ogos - Lebih 10,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan raksasa bagi melaungkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa di Padang Merdeka Batu Pahat, dekat sini Jumaat ini.
Perhimpunan anjuran bahagian-bahagian UMNO Johor itu juga bertujuan menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan Anwar sebagai pengkhianat bangsa.
Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Adam Hamid berkata, UMNO Bahagian Batu Pahat dan UMNO Bahagian Sri Gading bersetuju menjadi tuan rumah perhimpunan yang bermula pukul 5 petang itu.
"Batu Pahat dipilih kerana di situlah pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar pertama kali mengumpulkan orang Melayu untuk keluar beramai-ramai membawa sepanduk untuk menentang Malayan Union," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Adam berkata, beberapa pemimpin masyarakat termasuk Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Puad Zarkashi dan Ketua UMNO Bahagian Seri Gading, Datuk Mohamed Aziz akan menyampaikan ucapan.
"Kita menjemput semua pihak untuk menyertai perhimpunan itu untuk sama-sama melaungkan Anwar pengkhianat bangsa dan kita lihat berapa ramai pula yang Anwar hendak saman," katanya.
Adam menambah, perhimpunan itu juga bertujuan memberi isyarat bahawa UMNO sangat mementingkan kestabilan politik dan keselamatan negara berbanding kepentingan politik individu tertentu.
"Apabila Anwar berada dalam penjara, suasana lebih aman tetapi sejak kebelakangan ini, wujud demonstrasi jalanan dan orang menunjuk kuasa di jalan, keadaan ini mesti kita bendung,'' katanya.

#

11 Ogos 2009

Negara dalam bahaya - Azlan

[Utusan - 11/08/09]
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sultan Azlan Shah memberi amaran bahawa negara berada dalam bahaya jika undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila ia menyebelahi diri atau kumpulan sendiri sebaliknya ia ditolak jika keputusannya memihak kepada pihak lawan.
Sultan Perak menegaskan, negara juga terdedah kepada bahaya jika undang-undang dan penguatkuasanya mahu diketepikan manakala rakyat pula mula mengambil tindakan dengan tangan sendiri berasaskan emosi, sentimen dan hawa nafsu.
Titah baginda, jika tidak dibendung secara berkesan, keadaan itu akan meruntuhkan 'budaya bernegara' secara sivil untuk diambil alih oleh 'kaedah bernegara' yang mengamalkan budaya hukum rimba dengan yang lemah menjadi 'makanan' kepada yang kuat.
"Oleh itu, undang-undang perlu dipertahankan sebagai instrumen penimbang tara, tidak harus sama sekali dijadikan instrumen politik atau dipolitikkan.
"Kriteria pertimbangan untuk menggubal, menghapus atau meminda undang-undang hendaklah diasaskan kepada kepentingan negara, kepentingan keselamatan dan kepentingan rakyat jelata," titah baginda.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian sewaktu merasmikan Istiadat Konvokesyen UM Ke-48 di Dewan Tunku Canselor, UM di sini hari ini.
Hadir sama tiga Pro-Canselor UM, Raja Dr. Nazrin Shah, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Tan Sri Siti Norma Yaakob serta Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Naib Canselor UM, Datuk Dr. Ghauth Jasmon.
Sempena istiadat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kemanusiaan) bagi menghargai jasanya kepada negara.
Istiadat enam hari itu menganugerahkan ijazah kepada 6,863 graduan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma.
Dalam pada itu, Sultan Azlan menjelaskan, kedaulatan undang-undang adalah suatu istilah lumrah, mudah disebut dan enak didengar namun susah hendak ditakrif serta diimplementasi malah amat sukar pula difahami dalam erti kata sebenar.
Tegas baginda, istilah kedaulatan undang-undang kadang kala diberi takrifan yang mengandungi unsur-unsur emosi untuk menyesuaikan dengan kehendak sesuatu pihak dan bukannya takrifan yang adil, benar, tepat dan berani berpandukan prinsip undang-undang.
"Lalu berlaku amalan menyimpang daripada semangat pemerintahan yang adil dan saksama hingga membolehkan terjadinya perbuatan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan penindasan.
"Di pihak rakyat jelata pula, berlaku perbuatan yang bukan saja tidak menghormati undang-undang malah secara provokatif mencabarnya dengan tujuan mencetuskan huru-hara dan kekacauan agar kerajaan yang sah tidak dapat berfungsi secara berkesan," titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Azlan menitahkan rakyat supaya membuat pertimbangan secara arif berhubung peristiwa-peristiwa yang dicetuskan secara tersurat dengan niat tersembunyi yang tersirat.
"Warga yang arif dan bijaksana perlu melihat sesuatu isu yang dibangkitkan dan tindak-tanduk politik yang sedang berlaku dari segi konsistensi suara dan perjuangan.
"Ia supaya negara yang aman lagi makmur ini tidak terjerumus dalam kancah huru-hara yang berterusan hingga sumber negara menjadi kurang produktif," titah baginda.
##

Siasat pihak hina Islam

[Utusan - 11/08/09]
Oleh HERMAN HAMID herman@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa menyiasat segera kenyataan berbentuk penghinaan terhadap agama Islam seperti yang disiarkan di sebuah laman blog baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, jika didapati ada asas, pihak terlibat boleh didakwa kerana melakukan kesalahan hasutan memandangkan kenyataan sedemikian nyata membangkitkan ketegangan di antara kaum.
“Apa-apa pun kita ada undang-undang dan salah satu undang-undang itu adalah (Akta) Hasutan, dan hasutan ini bukan saja menghala kepada Islam tapi untuk semua agama dan kaum dalam negara kita.
“Kalau kita menghina sesiapa dan penghinaan itu boleh menyebabkan ketegangan maka tindakan boleh diambil di sisi undang-undang hasutan.
“Ini saya minta pihak berkuasa menyiasat dan sekiranya didapati ada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah undang-undang ini maka tindakan perlu diambil terhadap sesiapapun yang menyebabkan perkara yang boleh dikaitkan sebagai perbuatan hasutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib diminta mengulas kenyataan menghina agama Islam oleh pihak tertentu sebagai reaksi terhadap pandangan penceramah bebas, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berhubung isu anak luar nikah.
Selain kritikan balas oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang lebih menjurus kepada serangan peribadi, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila wujudnya reaksi melampau dalam laman blog sehingga ke tahap menghina agama Islam.
Berikutan itu pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO dan pembangkang Islam mendesak supaya pihak berkenaan dikenakan tindakan segera kerana ia boleh menimbulkan situasi tegang di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.
Malah, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin turut mendesak Siew Fook meminta maaf kepada Mohd. Ridhuan Tee yang juga pemimpin Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan umat Islam secara umum ekoran isu tersebut.
Mengulas perkara yang sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan memastikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tindakan tegas perlu kerana perbuatan seumpama itu sudah mencapai tahap yang melampau.
“Ini bukan lagi amaran. Ia jelas salah, cuma kita perlu pastikan siasatan terperinci sebelum tindakan diambil.
“Kita ada cara untuk memastikan tindakan kepada pihak yang melakukannya. Apabila dapat bukti kita akan bertindak,” tegasnya yang ditemui selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
##

Pengkhianat Melayu perlu ditentang – Muhyiddin

[Utusan - 11/08/09]
Sebahagian daripada 500 wakil badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, semalam menyatakan sokongan terhadap kenyataan Muhyiddin Yassin melabelkan Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa Melayu. – UTUSAN/Izham Jaafar
*****
KUALA LUMPUR 10 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak gentar walaupun menghadapi saman beratus juta ringgit malah akan menentang habis-habisan puak penderhaka bangsa Melayu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, urusan masa depan orang Melayu belum lagi selesai dan beliau tidak boleh menerima masa depan bangsanya dipertaruhkan semata-mata kerana nafsu serakah politik pihak tertentu.
Beliau menyifatkan bahaya kini berlegar-legar sebelum menimpa bangsa Melayu.
Sehubungan itu, beliau menyanggah keras sikap pihak berkenaan yang menjaja cerita di seluruh negara kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi berminat membantu orang Melayu sebaliknya hanya mementingkan keperluan kaum lain.
“Seolah-olah kita berkompromi terlalu banyak (untuk kaum lain), ingatan tegas daripada saya bahawa, itu adalah tidak betul dan selagi UMNO dan BN mentadbir negara, ia tidak akan berlaku.
“Sekarang ini ada Melayu tidak mahu menolong Melayu tetapi mengkhianati Melayu,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini hari ini.
Beliau menegaskan, kenyataannya mengenai kedudukan orang Melayu terbit daripada keikhlasan dalam dirinya dan bukan kenyataan bagi meraih simpati politik.
“Saya sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya sudah tidak ada apa lagi, tetapi saudara-saudara semua ini yang saya risau,” katanya.
Muhyiddin bakal berhadapan dengan tindakan saman berjumlah RM100 juta daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilabelnya sebagai pengkhianat Melayu.
Kenyataan Muhyiddin itu disokong beberapa individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd. Nor yang menyatakan kesediaannya menjadi saksi utama dalam kes tersebut.
Sokongan terhadap kenyataan Muhyiddin itu juga kini bergema di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri menambah, selepas pilihan raya umum tahun lalu, muncul juga orang Melayu yang sudah berjaya tetapi bersungguh-sungguh menuduh kerajaan yang ada kini sudah lupa tujuan kewujudannya.
Dalam konteks itu, beliau mempersoalkan apakah dalam tempoh 52 tahun kemerdekaan negara, UMNO tidak pernah menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini.
Jika UMNO tidak berjasa kata beliau, bagaimana boleh wujud masyarakat Melayu yang berjaya dan hidup senang pada hari ini.
Beliau berkata, UMNO memberikan perhatian kepada orang Melayu di semua peringkat termasuk golongan usahawan dan sentiasa berusaha memastikan kelompok itu terselamat apabila ekonomi mula merudum.
Muhyiddin juga mahu rakyat berfikir apakah UMNO dan BN akan mencabuli Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang asalnya diwujudkan atas dasar persefahaman dan muafakat bersama.
“Takkan kita hendak mencabuli DEB, mencabuli kontrak sosial kita selama ini,” katanya.
Beliau berkata, pemikiran memburukkan kerajaan wujud daripada benih-benih kebencian yang ditanamkan pembangkang.
“Kalau ada pihak-pihak seperti ini, yang hendak meraih peluang menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang, dia hanya mahu memenuhi nafsu politik sendiri yang rakus,” katanya.
##

9 Ogos 2009

Apabila binatang jadi YB

Sidang DUN Kedah kecoh BN digelar 'paria'
[Bernama - 09/08/2009 5:37pm]
ALOR SETAR 9 Ogos - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kecoh apabila seorang ahli pakatan pembangkang menyamakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Kedah sebelum pilihan raya umum tahun lepas sebagai ’paria’.
Keadaan menjadi riuh rendah apabila Lim Soo Nee (PKR-Kulim) menyebut ’kerajaan BN paria semasa berkuasa” ketika membahaskan isu pusat penyembelihan babi sebaik Datuk Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) selesai menjawab soalan tambahan Dr Cheah Soon Hai (BN-Derga) mengenai perkara itu.
Tindakannya mendapat reaksi segera Datuk Syed Sobri Syed Hashim (BN-Kuala Nerang), Tajuddin Abdullah (BN-Belantek), Mohd Rawi Abdul Hamid (BN-Air Hangat) dan lain-lain wakil rakyat BN yang meminta beliau menarik balik perkataan itu yang disifatkan sebagai kasar.
Paria merujuk kepada orang atau golongan paling rendah kastanya dalam masyarakat India.
Lim yang pada awalnya enggan menarik balik ungkapannya dengan berkata ’paria tidak kasar sangat’, bagaimanapun menarik balik perkataan itu selepas Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail berkata perkataan “paria” menjadi kasar bergantung kepada orang yang mendengarnya.
Suasana hangat itu tidak terhenti di situ apabila Mohd Rawi sekali lagi menempelak Lim semasa membahaskan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan dan Taman Perindustrian Teknoloji Tinggi Kulim.
“Inilah kali pertama perkataan yang tidak sepatutnya digunakan dalam Dewan Yang Mulia ini diucapkan oleh wakil rakyat dari PKR,” katanya.
Sebelum itu, Amiruddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bioteknoloji dan Pembangunan Usahawan negeri berkata pusat penyembelihan babi di Kampung Tok Pawang, Gurun hanya menunggu kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Katanya kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju dengan pemilihan tapak tersebut yang akan menggunakan sistem moden dengan mengitar semula bahan buangan.
##

Perwakilan UMNO JB serentak laung “Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa"

[Bernama - 09/08/2009 9:12pm]
JOHOR BAHRU 9 Ogos - Anggota perwakilan UMNO Johor Bahru yang menghadiri persidangan perwakilan bahagian hari ini mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya turut menyaman mereka selepas secara serentak melaungkan “Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa”.
Laungan sebulat suara itu dilakukan 398 anggota perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru dari 84 cawangan yang bersidang ketika Ketua UMNO bahagian, Datuk Shahrir Abdul Samad menyampaikan ucapan perasmian.
“Mari kita bangun melaungkan ’Anwar Ibrahim Pengkhianat Bangsa’, supaya Anwar boleh turut sama mengambil tindakan undang-undang menyaman kita semua, UMNO Johor Bahru sanggup menghadapi tindakan saman itu,” katanya di sini hari ini.
Serentak dengan itu, semua 398 perwakilan UMNO Johor Bahru bangun dan bersama-sama melaungkan ayat ’Anwar Ibrahim Pengkhianat Bangsa’.
Shahrir berkata UMNO Johor Bahru bersama-sama dengan Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyuarakan pandangan yang terbuku dalam hati semua anggota UMNO Johor Bahru selama ini.
#

Kaedah baru pilih pemimpin

[Utusan - 09/08/09]
Oleh YUSRI SAHAT dan YULPISMAN ASLI utusanpahang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak memeriksa perbarisan anggota Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pekan, semalam.

*****
PEKAN 8 Ogos - UMNO akan membuat keputusan berhubung dua kaedah pemilihan jawatan tertinggi dalam pindaan perlembagaan parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula 13 hingga 16 Oktober ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dua kaedah itu ialah proses pemilihan ditentukan oleh 60,000 perwakilan di peringkat bahagian dan menerusi 'pilihan raya' membabitkan tiga juta ahli di peringkat cawangan.
Menurut beliau, pindaan perlembagaan itu dilihat dapat menutup ruang berlakunya politik wang dalam kalangan calon yang bertanding pada setiap kali pemilihan parti.
''Pemilihan akan dibuat sama ada daripada 60,000 perwakilan bahagian atau dibuat secara terbuka kepada tiga juta ahli UMNO di akar umbi.
''Apa yang penting, jangan beri ruang kepada politik wang membudaya dalam UMNO," katanya.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika menggulung perbahasan dalam persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Perhimpunan Agung Khas berhubung pindaan perlembagaan UMNO akan diadakan sebelum perhimpunan agung parti itu pada 13 Oktober ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO memberitahu, perhimpunan khas itu bagi mendapatkan pandangan dan cadangan semua bahagian sebelum perlembagaan itu dipinda pada perhimpunan agung tersebut.
Najib menegaskan, proses pemilihan jawatan tertinggi yang dilakukan oleh kira-kira 2,500 perwakilan yang diamalkan sekarang tidak menggambarkan aspirasi tiga juta ahli parti di peringkat akar umbi.
Proses tersebut, jelasnya, boleh memberi ruang kepada calon-calon jawatan tertinggi terbabit dalam politik wang.
Lebih mendukacitakan, katanya lagi, ada calon terlepas daripada hukuman, manakala sebahagian yang lain dikenakan tindakan disiplin.
''Ada calon merasa tidak adil kerana ada yang terlepas daripada hukuman," jelas beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan.
Sehubungan itu, tegas Najib, pindaan perlembagaan parti bertujuan memperkasakan semula UMNO sekali gus membersihkan imej parti daripada terus dipandang negatif oleh rakyat.
''Rakyat telah melihat UMNO sebagai parti yang tidak bersih dan proses pemilihan pemimpinnya juga sukar diterima oleh mereka.
''Oleh itu, kita bukan sahaja mahu proses pemilihan yang bersih, tetapi parti juga mahu dilihat bersih," tegasnya.
Beliau menambah, pindaan perlembagaan itu akan memastikan proses pemilihan parti yang lebih demokratik, bersih dan memberi lebih banyak kuasa kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan ahli-ahli parti supaya membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
''Segala persiapan dari segi strategi dan pelaksanaan perlu diatur bermula daripada sekarang dengan mendampingi rakyat," katanya.
Tegas beliau, UMNO tidak mempunyai kekebalan dalam sistem demokrasi yang boleh menyebabkan rakyat tidak lagi memilih parti itu pada pilihan raya akan datang.

##

Pakatan pembangkang bagaikan retak menanti belah

[Bernama - 09/08/2009 12:51pm]
PERTH 9 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan pakatan pembangkang boleh diibaratkan seperti “retak menanti belah” berikutan polemik serta pelbagai masalah yang dihadapi antara parti-parti dalam gagasan pembangkang itu.
“Retak tunggu belah... ramalan saya mungkin dalam satu dua tahun ini terburai. Menjelang pilihan raya akan datang situasinya... mereka tidak boleh kekal,” katanya ketika ditanya mengenai perbalahan antara Pas dan DAP di Selangor berhubung isu penjualan arak.
Katanya, sejak dari mula lagi pakatan pembangkang tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat seperti terbukti melalui pelbagai peristiwa yang berlaku di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), menyifatkan pakatan pembangkang sebagai sebuah gagasan yang longgar tidak seperti BN yang mempunyai perlembagaan serta semua parti komponen memikul tanggungjawab secara bersama.
“Jadi saya melihat petanda keretakan yang jelas awal-awal lagi. Nampak dalam banyak perkara mereka tidak bersetuju (antara satu sama lain) tapi kesan paling buruk adalah pada rakyat (akibat perbalahan mereka),” katanya.
Justeru, katanya, rakyat perlu sedar dan faham bahawa mereka tidak harus mengorbankan masa depan mereka dengan menyokong pakatan pembangkang semata-mata mereka tidak puas hati dengan beberapa isu.
##

Catatan mengenai sejarah Melayu

[Mingguan Malaysia - 09/08/09]
DUNIA Melayu begitu kompleks. Sempadan-sempadannya tidak dapat ditakrif dengan jelas sekali. Demikian dicatat antara lainnya dalam sebuah terbitan mengenai sejarah orang Melayu Singapura selama kira-kira 150 tahun.
Lalu disebut mengenai orang-orang Minangkabau, Mandaleng, Kerinci, Aceh, Palembang, Jambi di Sumatera dari Riau. Sulawesi, Bawean dan Banjar dari Kalimantan.
Juga dicatat perihal Orang Laut yang dikatakan melaksanakan peranan penting dalam kenaikan dan kejatuhan negeri-negeri Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Dari kalangan mereka muncul kemudiannya. Orang Suku Gelam, Orang Kallang dan Orang Seletar di Singapura.
Terbitan berkenaan berjudul Malays/Muslims in Singapore 1918-1965 (Pelanduk Publications) hasil dorongan dari Association of Muslim Professionals (AMP) Singapura.
Ia mengandungi makalah-makalah oleh pelbagai penulis, termasuk dari Universiti Singapura dan Universiti Tekonologi Nanyang. Mengisi kata-kata pendahuluan ialah Profesor Wang Gungwu dan Profesor Khoo Kay Kim.
Antara tajuk pelbagai makalah pula: Kenapa Tengku Hussein menandatangani Perjanjian 1819 dengan Stamford Raffles? Soldadu Melayu di Singapura 1910-1942. Kegiatan-kegiatan politik Melayu Singapura 1945-1959 dan dari kerajaan sendiri hingga kemerdekaan: UMNO dan Politik Melayu di Singapura 1959-1965.
Profesor Khoo Kay Kim memberi penjelasan mengenai nama "British Malaya" (Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura) yang diguna pada masa lampau.
Juga dijelaskan mengenai takrif "Melayu" yang digunakan oleh pihak Inggeris manakala meluluskan Malay Land Reservation Act pada tahun 1913. Paling penting ialah Melayu bererti beragama Islam. Dua lagi syarat ialah berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.
Keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu dipanggil Jawi peranakan atau ringkasnya Jawi Pekan. Istilah "Jawi" digunakan oleh orang-orang Arab pada masa dulu mengenai orang Melayu. Antara lain-lain catatan:
l Presiden Pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan di Ipoh pada tahun 1945 ialah Mokhtharuddin Lasso, seorang komunis dari Sumatera.
l Singapura menjadi pusat kegiatan- kegiatan sastera dan kewartawanan Melayu. Ia juga menjadi pusat industri filem Melayu.
Menarik perhatian ialah makalah oleh Elina Abdullah mengenai penghijrahan bebas pelbagai golongan etnik Gugusan Kepulauan Melayu selama beberapa abad. Lalu disebut betapa perkataan "Malay" digunakan oleh orang-orang Eropah mulai abad ke-16.
Dari segi politik Orang Laut memainkan peranan penting kerana kehandalan mereka mengharungi lautan dan ketangkasan sebagai pejuang. Ertinya jika seseorang raja memperoleh sokongan taat setia Orang Laut, maka mereka akan mempertahankan kawasan-kawasan dagangan raja berkenaan. Ini berlaku sejak empayar Srivijaya.
Dicatit selanjutnya ialah penghijrahan Melayu dari Riau. Dari Semenanjung Tanah Melayu termasuk kedatangan orang-orang Melayu Melaka walaupun cuba dihalang oleh pihak Belanda. Juga kedatangan orang-orang Bugis selepas tahun 1819 dan orang Jawa.
Peniaga
Sementara itu ialah kedatangan peniaga- peniaga dari Kelantan, Pahang, Terengganu, Brunei, Sulewasi dan Riau. Di samping itu ialah peniaga-peniaga Arab dan India.
Mengenai orang-orang Bugis diceritakan betapa antara yang dibawa oleh mereka mulai abad ke-16 ialah hamba abdi. "Pada abad ke-17 dan berikutnya, orang-orang Bugis menjual orang-orang yang mereka tawan dalam serbuan demi serbuan di Pulau Sunda, Mindanao, Sulu dan Broneo untuk bekerja di ladang-ladang di Malaya, Sumatera dan Jawa.
Penjualan hamba abdi itu begitu menguntungkan hingga orang Bugis sendiri ditawan dan dijual sebagai hamba abdi. Lelaki, wanita dan kanak-kanak tiba di Singapura dengan kapal. Demikian kisah orang-orang Bugis menjual hamba abdi. Peniaga-peniaga Arab pula melaksanakan peranan penting sejak abad ke-14. Majoriti ialah dari Handhramout. Peniaga Arab di Singapura menguasai urusan menunaikan haji.
Turut mendapat perhatian ialah kemunculan bangsawan yang melahirkan pelakon-pelakon lelaki dan wanita di Singapura dan di Tanah Melayu kemudiannya di Indonesia. Lantas bagi kali pertama alat-alat muzik Barat seperti piano, biola, dan gendang menjadi alat-alat hiburan.
Antara tuan-tuan punya bangsawan ialah Arab Peranakan, China, Filipina, Ceylon dan Serani. turut mengambil sebahagian dalam pementasan bangsawan ialah ahli-ahli muzik Filipina.
Selanjutnya dicatit ialah pengalaman Dato' Onn, pelopor nasionalisme Melayu "yang berlindung di Singapura pada tahun 1927 setelah dibuang negeri dari Johor oleh Sultan Johor kerana pelbagai kritikannya. Beliau meneruskan kritik mengenai pelbagai aspek raja-raja Melayu dan golongan aristokrat dalam akhbar Warta Malaya.
Akhbar tersebut dibiayai ialah Syed Hussein Alsagoff dan keluarganya di Singapura. Mereka kemudian membiayai akhbar Lembaga Melayu pada tahun 1934.
Demikian antara catatan sejarah Malays/Muslims in Singapore 1819-1965.
Kisah bersambung adanya.
* Tan Sri Mazlan Nordin ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.
##