31 Oktober 2009

PKR amal politik dendam – Badrul Hisham

[Utusan - 31/10/09]
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan HAFIZAHRIL HAMID
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mendedahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya mengamalkan politik berdendam terhadap pengundi yang tidak menyokong mereka.
Katanya, perkara itu menyebabkan beliau yang mengambil pendekatan terbuka dengan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira ‘bendera’ parti politik telah ditekan pucuk pimpinan.
Tekanan itu, katanya, datang dalam pelbagai bentuk seperti dianaktirikan dan dibiarkan ‘terkapai-kapai’ seorang diri tanpa sokongan parti.
Kemuncaknya, jelas beliau, apabila peruntukan pembangunan untuk DUN Pelabuhan Klang disalurkan melalui pihak ketiga pada April lalu.
‘‘Saya berjiwa demokrasi, di kalangan rakyat di Pelabuhan Klang ada yang ahli PKR, Pas, DAP, UMNO, MCA, MIC atau tidak berparti.
‘‘Mereka inilah yang mengundi saya, jadi saya perlu berterima kasih kepada semua kerana saya adalah wakil rakyat dan bukannya ketua parti,” katanya.
Beliau meluangkan masa bersama Utusan Malaysia kira-kira 20 minit sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi percutian yang dirahsiakan lokasinya di sini hari ini.
##

Isu moral: Ezam cabar Wan Azizah

[Utusan - 31/10/09]
Oleh HERMAN HAMID

pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Okt. – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dicabar menjawab persoalan moral yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah hingga menjadi punca beliau keluar parti.
Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd. Noor berkata, Wan Azizah tidak boleh lagi melindungi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya mesti bertanggungjawab kepada ahli yang resah menanti penjelasan berhubung persoalan moral yang menyelubungi Anwar.
Katanya, Wan Azizah harus sedar tindakan Anwar mengemukakan pelbagai permohonan hingga mahkamah terpaksa menangguhkan kes tersebut telah menimbulkan pelbagai kegusaran.
‘‘Betul, Wan Azizah sebagai isteri punya tanggungjawab kepada suami tetapi dia juga kena ingat yang dia adalah Presiden parti.
‘‘Dia patut bertanggungjawab kerana salah satu sebab Badrul tinggalkan PKR kerana persoalan moral termasuk meragui cara Anwar menangguhkan kes dakwaan liwatnya.
##

30 Oktober 2009

Lima kaedah percepat proses pembangunan desa

[BH - 30/10/09]

MUHYIDDIN dan Shafie bersama pemenang Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan dari Kampung Kilim Langkawi, Kedah pada majlis penutup dan penyampaian anugerah di Kampung Mawai Baru Kota Tinggi, semalam.

******

KOTA TINGGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan lima kaedah, termasuk penggubalan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional untuk memper-cepatkan proses pembangunan desa di seluruh negara.Timbalan Perdana Menteri berkata, pelan itu perlu kerana usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) melancarkan program Pelan Tindakan Desa tahun lalu, berjaya mengubah paradigma dan pendekatan dalam membangunkan komuniti desa.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyarankan supaya KKLBW mengambil langkah pragmatik untuk memantapkan program berkenaan supaya liputan pelaksanaannya diperluaskan ke semua kampung di seluruh negara dengan kadar segera.

"KKLBW perlu menggubal satu Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional yang menyediakan hala tuju, strategi dan dasar pembangunan luar bandar secara komprehensif, termasuk Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira pelan tindakan daerah dan pelan tindakan desa meliputi semua jabatan dan agensi kerajaan.

"Selain itu, menstruktur semula sistem perancangan desa pada peringkat daerah di mana Pejabat Daerah mengambil kira Pelan Tindakan Desa yang dihasilkan oleh penduduk kampung dalam perancangan pelan pembangunan daerah masing-masing bagi memastikan kejayaan yang dirangka penduduk, "katanya pada majlis penutup dan menyampaikan Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009 di Kampung Mawai Baru, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.Muhyiddin berkata, kaedah ketiga ialah membentuk Kumpulan Pembimbing Pelan Tindakan Desa daripada kalangan masyarakat kampung seperti guru sekolah, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), pesara kerajaan, ahli perniagaan dan individu yang berpotensi untuk menjadi pembimbing dalam pembentukan Pelan Tindakan Desa.

"Selain itu, meningkatkan sinergi antara institusi pengajian tinggi (IPT) dengan KKLBW bagi membolehkan mahasiswa merangka pelan komprehensif bagi manfaat semua rakyat luar bandar serta kaedah terakhir dengan melakukan pembangunan modal insan terutamanya pendidikan awal kanak-kanak di luar bandar," katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan Multaqa Guru Agama Kerajaan Negeri Johor dan Mesyuarat Agung Persatuan Kebangsaan Guru-guru Agama Malaysia Barat (KGGUMB) cawangan Johor di Dewan Jubli Intan, di sini petang semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mendaftarkan sekolah agama rakyat dan sekolah menengah agama negeri di Johor sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dengan pendaftaran sebagai SABK, sekolah agama akan menikmati bantuan modal bagi pembangunan fizikal, menerima guru terlatih, mengekalkan kurikulum Azhari, pengekalan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan guru menikmati skim saraan setimpal dengan kelulusan dan pengalaman.

"Saya berharap sekolah agama rakyat dan sekolah menengah agama negeri di negeri ini dapat didaftarkan segera untuk menikmati kemudahan berkenaan dan ia adalah lambang komitmen ikhlas kerajaan bagi memartabatkan pendidikan Islam di negara ini," katanya.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Besar Felda Sungai Mas, di sini, pula Muhyiddin menegaskan kerajaan tidak akan mengabaikan, malah terus meningkatkan usaha membawa pembangunan, termasuk ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata, meskipun pembangunan dalam pelbagai bidang sudah dilaksanakan oleh kerajaan, namun ramai lagi yang dahagakan pembangunan dan memerlukan sokongan daripada kerajaan untuk menikmati lebih banyak pembangunan.

##

'Tangan sulit' punca krisis Pas

[Utusan - 30/10/09]
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kemelut dalaman yang melanda pucuk pimpinan Pas berpunca daripada percaturan politik oleh 'tangan sulit' rakan parti itu dalam pakatan dan bukannya disebabkan UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sehubungan itu menegaskan, Pas tidak sepatutnya menyalahkan UMNO kerana ramai sedia maklum siapa yang menjadi punca krisis dalaman membabitkan pucuk pimpinan parti tersebut.
"Bukan UMNO dan idea kerajaan perpaduan yang menjadi faktor utama masalah dalaman Pas. Siapa sebenarnya 'di belakang' semua ini yang menjadi punca. Rakan dalam pakatan mereka juga.
"Jadi tidak timbul sebenarnya alasan, kenapa UMNO yang hendak dipersalahkan ekoran perpecahan yang berlaku di kalangan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pas yang menyalahkan UMNO dan idea kerajaan perpaduan, ekoran konflik dalaman terbaru selepas Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan Muktamar Agung Khas (EGM).
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Pas, kerana cuba menjadikan UMNO dan idea tersebut sebagai 'kambing hitam' sedangkan menurut beliau perkembangan semasa menunjukkan berlaku pertembungan kepentingan antara Nik Abdul Aziz dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mohd. Shafie bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang menjadi 'tangan sulit', sebaliknya beliau berkata, masyarakat mampu melihat dengan sendiri siapa individu yang dimaksudkan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberitahu, UMNO tidak perlu menari mengikut rentak Pas yang kini tertekan dan terdesak akibat kesilapan mereka sendiri.
"Biarlah Pas berdepan dengan kemelutnya. Kita tidak perlu terikut-ikut dengan rentak mereka," jelasnya.
Menurut beliau, apa yang penting ialah, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan usaha membangun dan memajukan negara agar semua lapisan rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup.
Katanya, masyarakat kini telah matang dalam menilai siapa yang layak memimpin mereka.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta Pas supaya berhenti melibatkan UMNO dalam pergeseran politik dalam mereka.
Beliau yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menegaskan UMNO tiada kena-mengena dengan masalah dalaman Pas.
##

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Mahu Siasatan Dipercepatkan

[Bernama - 29 Oktober, 2009 23:11 PM]
SHAH ALAM, 29 Okt (Bernama) -- Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad hari Khamis meminta siasatan ke atas PAS Selangor oleh Lembaga Disiplin parti dipercepatkan.
"Kita terima kalau nak dibawa ke Lembaga Disiplin... tidak ada masalah. Saya yakin PAS Selangor akan dapat membersihkan namanya dan saya minta supaya dalam kita membawanya ke Lembaga Disiplin kalau terbukti tidak benar segala dakwaan supaya mereka yang membawa dakwaan itu diambil tindakan tegas," katanya di sini hari Khamis.
Iskandar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor ketika diminta mengulas laporan berita PAS Selangor akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti.
Mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat PAS malam semalam memutuskan PAS Selangor dihadapkan ke Lembaga Disiplin berhubung isu-isu yang dibangkitkan Pesuruhjaya negeri itu Dr Hasan Ali.Ditanya sama ada PAS Selangor kini berpecah dan berpuak-puak, Iskandar berkata: "Saya tak tahu sebab itu orang spekulasi."
-- BERNAMA

Khalid tidak peduli

[Bernama - 30/10/09]
SHAH ALAM 29 Okt. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata, beliau tidak peduli jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi wakil rakyat Bebas atau melompat ke mana-mana parti.
"Saya tak kira... dia wakil rakyat, dia mewakili semua rakyat sebab dia sudah terpaksa buat kerja ... nak jadi Bebas, Keadilan, UMNO, MCA itu terpulang kepada dia, yang penting dia buat kerja," katanya ketika ditanya pandangan beliau jika Badrul Hisham memilih untuk menjadi seorang wakil rakyat Bebas di Selangor.
Abdul Khalid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor berkata, demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor di sini hari ini.
Bagi PKR, ia hanya sanggup menerima Badrul Hisham jika beliau sanggup bekerja menyempurnakan amanah yang diberikan rakyat kepadanya, kata beliau.
"Masalah dia kenapa dia ingin masuk pilihan raya berjanji kepada rakyat untuk tolong rakyat lepas tu dia tak nak buat kerja? Masalah dia nak pergi ke mana-mana tidak kira," katanya. - Bernama
Sebelum ini, Abdul Khalid menasihatkan Badrul Hisham supaya berhenti daripada menjadi wakil rakyat Pelabuhan Klang sekiranya tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya.
- Bernama

Tindakan bijak - Noh

[Utusan - 30/10/09]
SHAH ALAM 29 Okt. - Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN) merupakan tindakan bijak serta dapat membawa kebaikan kepada rakyat di kawasannya.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia juga menunjukkan Badrul Hisham telah sedar hanya BN satu-satunya parti yang dapat membantu membela rakyat di Pelabuhan Klang.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, BN juga bersedia menghulurkan bantuan dan bimbingan kerana Badrul Hisham mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan pembangunan di kawasannya.
''Sebagai wakil rakyat Badrul Hisham membuat keputusan bijak kerana tahu tidak ada sesiapa boleh memaksanya melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat walaupun cuba disingkirkan oleh partinya sendiri.
''Beliau juga memilih jalan betul dengan keluar dari PKR dan menyokong BN. Jika selepas ini Badrul Hisham memerlukan peruntukan kerajaan BN untuk membangunkan kawasannya beliau boleh membuat permohonan dengan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang merupakan agensi kerajaan BN di negeri ini," katanya ketika dihubungi petang ini.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Badrul Hisham mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR serta merta dan menjadi wakil Bebas yang menyokong BN.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula berkata, tindakan Badrul Hisham ini merupakan jalan penyelesaian terbaik walaupun dikaitkan dengan kontroversi tidak mampu memberikan khidmat kepada rakyat di kawasannya sebelum ini.
Katanya, masalah yang dihadapi oleh Badrul Hisham sebelum ini berkemungkinan berpunca daripada sikap serta pendirian parti yang diwakilinya sebelum ini yang lebih 'menghukum' keadaan ADUN itu dan bukan membantunya untuk menjadi seorang wakil rakyat yang baik.
''Bagi saya, keputusan Badrul Hisham adalah tepat untuk kebaikan dirinya dan rakyat kawasan Pelabuhan Klang.
Sementara itu, ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil pula menyambut baik keputusan Badrul Hisham yang disifatkannya mengutamakan kepentingan rakyat di Pelabuhan Klang.
Beliau juga gembira kerana Badrul Hisham kini menyokong kepimpinan BN dan sekali gus dapat bersama dengannya membela nasib rakyat di kawasan Klang.
##

Tindakan bijak - Noh

[Utusan - 30/10/09]
SHAH ALAM 29 Okt. - Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN) merupakan tindakan bijak serta dapat membawa kebaikan kepada rakyat di kawasannya.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia juga menunjukkan Badrul Hisham telah sedar hanya BN satu-satunya parti yang dapat membantu membela rakyat di Pelabuhan Klang.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, BN juga bersedia menghulurkan bantuan dan bimbingan kerana Badrul Hisham mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan pembangunan di kawasannya.
''Sebagai wakil rakyat Badrul Hisham membuat keputusan bijak kerana tahu tidak ada sesiapa boleh memaksanya melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat walaupun cuba disingkirkan oleh partinya sendiri.
''Beliau juga memilih jalan betul dengan keluar dari PKR dan menyokong BN. Jika selepas ini Badrul Hisham memerlukan peruntukan kerajaan BN untuk membangunkan kawasannya beliau boleh membuat permohonan dengan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang merupakan agensi kerajaan BN di negeri ini," katanya ketika dihubungi petang ini.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Badrul Hisham mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR serta merta dan menjadi wakil Bebas yang menyokong BN.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula berkata, tindakan Badrul Hisham ini merupakan jalan penyelesaian terbaik walaupun dikaitkan dengan kontroversi tidak mampu memberikan khidmat kepada rakyat di kawasannya sebelum ini.
Katanya, masalah yang dihadapi oleh Badrul Hisham sebelum ini berkemungkinan berpunca daripada sikap serta pendirian parti yang diwakilinya sebelum ini yang lebih 'menghukum' keadaan ADUN itu dan bukan membantunya untuk menjadi seorang wakil rakyat yang baik.
''Bagi saya, keputusan Badrul Hisham adalah tepat untuk kebaikan dirinya dan rakyat kawasan Pelabuhan Klang.
Sementara itu, ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil pula menyambut baik keputusan Badrul Hisham yang disifatkannya mengutamakan kepentingan rakyat di Pelabuhan Klang.
Beliau juga gembira kerana Badrul Hisham kini menyokong kepimpinan BN dan sekali gus dapat bersama dengannya membela nasib rakyat di kawasan Klang.
##

Nik Aziz puas hati 'petualang' dibincang

[Utusan - 30/10/09]
BACHOK 29 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpuas hati dengan keputusan mesyuarat khas yang diadakan semalam kerana masalah 'petualang' dalam parti itu yang merosakkan pakatan pembangkang dibincang secara mendalam.
Tanpa mengulas panjang mengenainya, beliau turut mengakui telah ditegur dalam mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun beliau menggangap isu yang ditimbulkan olehnya berdasarkan tulisan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari telah selesai.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau turut berpuas hati dengan mesyuarat berkenaan walaupun cadangannya mengenai pembersihan dalam parti ditolak dan digantikan dengan seminar.
''Saya puas hati juga, mana boleh kita hidup dalam dunia ini orang terima pandangan kita belaka. Ada masa orang terima, ada masa orang tolak.
''Dalam mesyuarat itu, mereka berbincang dengan meluas bagaimana hendak menyelesaikan petualang-petualang dalam Pas sendiri yang menghalang pakatan pembangkang,'' katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Kampung Bakong dekat sini hari ini.
Nik Abdul Aziz menambah, melalui seminar yang menggantikan EGM itu, rakyat negara ini akan terasa bahawa Pas Pusat tidak duduk diam sahaja.
Malam tadi, satu mesyuarat khas diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan cadangan Nik Abdul Aziz supaya EGM diadakan bagi membersihkan pemimpin prokerajaan perpaduan di dalam parti itu.
##

Pelan Induk Mempercepatkan Pembangunan Desa

[Bernama - 29 Oktober, 2009 14:18 PM]
KOTA TINGGI, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diminta supaya menggubal satu Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional bagi mempercepatkan proses pembangunan desa di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan induk pembangunan itu akan menyediakan hala tuju, strategi dan dasar pembangunan luar bandar yang komprehensif termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Pelan Pembangunan itu hendaklah mengambil kira pelan tindakan daerah dan pelan tindakan desa, meliputi semua jabatan dan agensi kerajaan," katanya semasa merasmikan majlis penutup dan penyampaian Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009 di Kampung Mawai Baru di sini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata Penggubalan Pelan Induk Pembangunan itu juga merupakan satu daripada lima cadangan yang dikemukakannya kepada KKLW bagi membolehkan ia mencari jalan alternatif dan kaedah baru dalam usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar.
Katanya cadangan kedua pula melibatkan langkah kementerian berkenaan menstruktur semula sistem perancangan desa di peringkat daerah, dengan Pejabat Daerah mengambil kira Pelan Tindakan Desa yang dihasilkan oleh penduduk kampung dalam perancangan pembangunan daerah masing-masing.
Muhyiddin berkata beliau turut mencadangkan supaya kementerian itu membentuk Kumpulan Pembimbing Pelan Desa dari kalangan masyarakat kampung, dan melibatkan individu seperti guru sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, pesara kerajaan dan ahli perniagaan.
"Dengan cara ini proses penyediaan pelan tindakan dapat diperluaskan dengan lebih cepat," katanya.
Katanya beliau juga mengusulkan supaya kementerian itu memberi perhatian terhadap aspek berkaitan pembangunan modal insan dan mahukan supaya peluang pendidikan pra-sekolah kepada kanak-kanak luar bandar disediakan seluas-luasnya.
"Saya berharap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa memastikan mutu pengajaran dan ko-kurikulum yang bermutu kepada kanak-kanak di luar bandar selaras dengan program PERMATA," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau turut meminta supaya sinergi antara kementerian dan Institusi Pengajian Tinggi ditingkatkan bagi membolehkan mahasiswa memberikan sumbangan yang positif dalam membentuk dan merangka pelan yang komprehensif.
Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa mengutamakan pembangunan di luar bandar dengan menyediakan pelbagai peruntukan dan program untuk membangunkan masyarakat serta membasmi kemiskinan di kalangan mereka.
Terdahulu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam ucapannya pada majlis itu berkata bagi memastikan masyarakat desa terus membangun, kementerian itu akan memberikan perhatian secara menyeluruh dalam setiap aspek.
Beliau berkata dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar, kerajaan menerusi Bajet 2010 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyediakan peruntukan RM2.3 bilion khusus untuk pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Sementara itu Anugerah Ilham Desa tahun ini dimenangi oleh Kampung Kilim, Langkawi menerusi projek Ekonomi Nelayan Kilim, diikuti tempat kedua oleh Kampung Gong Guchil, Besut dengan projek Sanggar Budaya, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi menerusi projek Pembangunan Tanah Wakaf.
-- BERNAMA

PKR alami hakisan kepercayaan serius - Najib

[Utusan - 30/10/09]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah membuktikan parti itu mengalami hakisan kepercayaan yang serius sehingga mendorong beberapa pemimpinnya meletakkan jawatan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sehubungan itu beliau percaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri kenapa masalah ini boleh berlaku.
"Maknanya (itu menunjukkan) soal kurangnya keyakinan kepada parti itu semakin serius sehingga mendorong peletakan jawatan pemimpin mereka.
"Kenapa hilangnya keyakinan ini, saya pasti rakyat boleh buat penilaian mereka sendiri," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Inovasi Negara di sini hari ini.
Perdana Menteri diminta mengulas peletakan jawatan dua pemimpin kanan PKR Sabah termasuk Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang merupakan tamparan hebat kepada parti itu.
Tindakan Jeffrey meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR, anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota biro politik kemudiannya diikuti seorang lagi anggota MPP parti itu, Christina Liew.
Sementara itu ditanya mengenai tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletak jawatan, Najib berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, ini kerana Abdul Khalid tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang arahan sebaliknya terpulang kepada ADUN yang berkenaan untuk buat keputusan sendiri.
"Kita lihat dulu. Tak perlu nak cakap benda itu (sama ada Barisan Nasional sedia bertanding di DUN Pelabuhan Klang atau tidak).
"Ini kerana sama ada beliau (Badrul) nak letak jawatan atau tidak, adalah hak beliau untuk membuat keputusannya sendiri sama ada untuk meletakkan jawatan atau pun tidak," jelasnya.
##

Badrul keluar PKR

[Bernama - 30/10/09]

ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah ketika mengumumkan keluar daripada PKR pada sidang media khas di Hotel Vistana, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 29 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah hari ini mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta.
Pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di sini, Badrul Hisham, 49, berkata, beliau akan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, keputusannya keluar daripada PKR itu disebabkan sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti berkenaan.
“Keputusan ini saya buat dengan penuh kerelaan tanpa sebarang paksaan, ugutan atau pun apa-apa faedah kepada diri.
“Malah keputusan ini berasaskan kepada prinsip agama dan moral saya sebagai seorang Islam,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri isterinya, Ramiza Mazlan.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini meminta Badrul Hisham melepaskan jawatan kerana mendakwa beliau gagal melaksanakan tugasnya dengan berkesan.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, beliau tidak akan sesekali melepaskan jawatannya sebagai ADUN Pelabuhan Klang kerana dipilih oleh rakyat dan bukannya oleh Menteri Besar Selangor.
Katanya, tindakan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas dapat menjimatkan wang rakyat di samping mengelak tekanan daripada Khalid supaya beliau melepaskan jawatannya itu.
Ditanya sama ada beliau akan menyertai mana-mana parti politik selepas ini, Badrul Hisham berkata, setakat ini beliau belum memikirkannya.
“Saya ingin tegaskan, saya mahu berkhidmat dengan cemerlang untuk rakyat khususnya pengundi saya di Pelabuhan Klang.
“Malah saya yakin akan mampu berkhidmat dengan lebih baik sebagai wakil rakyat Bebas tanpa sebarang gangguan mainan politik oleh kerajaan pakatan (pembangkang) yang ada sekarang,” katanya.
Badrul Hisham berkata, keengganan pihak pentadbiran kerajaan Selangor membantunya dalam penyelarasan peruntukan kewangan bagi kawasan DUN Pelabuhan Klang seolah-olah menganaktirikan beliau berbanding dengan wakil rakyat lain.
Selain itu, katanya, tindakan kerajaan negeri menubuhkan Pusat Penyelaras Khidmat Rakyat di DUN Pelabuhan Klang dan diuruskan oleh wakil rakyat kawasan lain, merupakan tindakan yang membelakangkannya sebagai ADUN kawasan berkenaan.
Mengenai kenyataan Khalid yang mencadangkan beliau mendapatkan rawatan psikiatri dan menuduhnya mempunyai masalah kesihatan setelah pernah terlibat dengan kemalangan, Badrul Hisham berkata, perkara itu merupakan satu tohmahan dan fitnah.
“Apabila Menteri Besar Selangor menyatakan saya mempunyai masalah kekuatan otak, ianya merupakan satu penghinaan ke atas maruah diri saya dan juga keluarga saya.
“Tindakan beliau itu merupakan perbuatan tidak bermoral pemimpin PKR,” katanya.
Badrul Hisham juga menafikan kenyataan Khalid bahawa beliau tidak menjawab surat tunjuk sebab sedangkan suratnya yang bertarikh 28 Ogos 2009 telah diterima beserta cop rasmi pejabat Menteri Besar dan pejabat Setiausaha Agung PKR pada 2 September 2009.
– Bernama

29 Oktober 2009

Anwar diminta perjelas 'rahsia'

[Utusan - 29/10/09]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil segera menjelaskan 'rahsianya' seperti diperkatakan beberapa individu kebelakangan ini.
Kata Mohd. Puad, penjelasan itu perlu kerana rakyat berhak mengetahuinya memandangkan beliau merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
"Semua orang kini tertanya-tanya mengenai Anwar, jadi 'rahsia' beliau perlu diketahui umum sama ada dari segi moral, kekayaan, peribadi ataupun rahsia perjalanan politiknya.
"Individu seperti Datuk Seri Hadi Awang (Presiden Pas), Ezam Mohd. Noor (Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan), Datuk S. Nallakarupan (bekas sahabat baik Anwar) atau Anwar sendiri harus segera menjelaskannya," katanya di sini.
Baru-baru ini, Ezam dan S. Nallakarupan mendakwa mereka mengetahui 'rahsia' Anwar tetapi masih belum bersedia mengemukakannya.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Hadi dan beberapa pemimpin Pas turut mengetahui rahsia Anwar itu tetapi tidak mendedahkannya demi kepentingan politik pembangkang.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad memberitahu, krisis dalaman Pas semakin ketara kini apabila perpecahan itu mula bersifat kenegerian.
##

Anuar: Jeffrey mangsa monopoli kuasa 3A

[Utusan - 29/10/09]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - "Jeffrey Kitingan merupakan antara mangsa monopoli kuasa pemimpin 3A Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ramai lagi akan kecundang," dakwa Anuar Shaari, bekas Setiausaha Sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anuar berkata, ini kerana pengaruh Jeffrey sebagai Naib Presiden PKR tidak disenangi salah satu atau kesemua tiga pemimpin serangkai tersebut - Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Anwar dan seorang lagi Naib Presiden, Azmin Ali.
Jelasnya, menjadi amalan Anwar, Azizah serta Azmin untuk mencantas kedudukan mana-mana pemimpin PKR yang meningkat naik kerana ketiga-tiga mereka berhasrat memanjangkan kesinambungan penguasaan 3A itu di pucuk kepimpinan parti.
"Ini bukan cerita baru, sebelum ini Datuk S. Nallakaruppan, Datuk Zaid (Ibrahim), Ezam dan termasuk saya antara yang menjadi mangsa paksi kekuasaan 3A itu.
"Ketiga-tiga (Anwar, Azizah dan Azmin) itu sama ada secara langsung atau halus akan memastikan para pemimpin berpotensi dalam parti dicantas segera," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anuar berkata demikian sebagai mengulas tindakan drastik Jeffrey meletakkan kesemua jawatannya dalam PKR semalam, kerana tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan tertinggi parti melayan kehendak PKR Sabah sejak sekian lama.
Jeffrey yang meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden, ahli Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak serta ahli Majlis Tertinggi (MT) PKR bagaimanapun kekal sebagai ahli biasa.
Anuar menambah, tindakan PKR menubuhkan Majlis Integrasi Nasional bagi Sabah dan Sarawak pada Ahad lalu merupakan usaha halus Anwar untuk 'melambakkan' mana-mana pemimpin yang difikirkan mampu menggugat kekuasaan 3A berkenaan.
Katanya, Anwar terpaksa mewujudkan organisasi baru dalam parti itu demi memberikan jawatan-jawatan kepada para pemimpin berpotensi tersebut bagi mengabui mata mereka.
"Pemimpin seperti Datuk Dr. Tan Kee Kwong dan Datuk Chua Jui Meng yang dilihat boleh mengancam struktur kepimpinan negeri akan ditawarkan menganggotai majlis ini," jelasnya.
##

Pembangkang iktiraf DUN – MB

[Utusan - 29/10/09]
IPOH 28 Okt. – Kehadiran wakil rakyat pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini secara tidak langsung menunjukkan mereka mengiktiraf Datuk R. Ganesan sebagai Speaker yang sah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mereka pada masa menandatangani kehadiran masing-masing untuk sidang tersebut dan duduk di kawasan pembangkang.
Beliau berkata, pada masa sama, pembangkang sengaja membuat kecoh dan ‘membentangkan bajet’ sewaktu sidang ditangguhkan selama sejam semata-mata untuk mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan oleh Speaker.
‘‘Mereka sengaja tunggu untuk masuk sewaktu sidang dewan ditangguhkan. Mereka buat kecoh kerana tahu tempoh itu dianggap tidak bersidang dan Speaker tidak boleh ambil apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2010 kerajaan negeri Perak pada Sidang DUN di sini hari ini.
Zambry berkata, pembangkang sedar kehadiran mereka itu dapat mengelakkan diri daripada dikenakan sebarang tindakan tegas seperti digantung menghadiri sidang Dewan akan datang.
‘‘Dulu Datuk Ngeh Koo Ham kata tak nak datang dan ia disokong oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Saya sudah beritahu kepada anda semua bahawa mereka pasti datang sidang DUN.
‘‘Cuma hari ini bezanya mereka hendak tunjukkan drama yang baru supaya dirakam dan dilihat kononnya mereka ditarik, dihalang malah dicekik oleh polis. Mereka perlu ‘mendramakan’ watak-watak itu,” katanya.
Sementara itu, Zambry juga dapat menjangkakan bahawa pembangkang akan terus berdrama selepas ini dengan mencabar kewibawaan kerajaan negeri ke mahkamah.
Katanya, selepas belajar daripada pengalaman lalu, pembangkang hari ini didapati tidak terlalu agresif sebagaimana yang berlaku pada sidang dewan lepas.
‘‘Dulu mereka begitu biadab dengan menyerang kita sampai tahap luar batasan dan naik atas meja. Apabila masyarakat tidak suka dengan perangai itu, kali ini mereka cuma menjerit-jerit sahaja.
‘‘Saya seperti biasa sentiasa senyum terhadap mereka. Malah Nizar bersalaman dengan saya dan sempat ambil gula-gula Hacks saya,” katanya.
##

Pas cuba jadikan UMNO ‘kambing hitam’

[Utusan - 29/10/09]
GENTING HIGHLANDS 28 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas Pas kerana cuba menjadikan UMNO dan idea kerajaan perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi mereka.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan perkembangan semasa sebenarnya berlaku pertembungan kepentingan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Sebab itu sekarang mereka nak bersilat dalam gelanggang, tepis sana tepis sini supaya mereka dapat atasi masalah mereka.
“Dia cari ‘kambing hitam’, ‘kambing hitam’ ini UMNOlah, sedangkan kita berniat baik dan ikhlas,’’ katanya.
Beliau mengulas kemelut dalam Pas yang tercetus apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan pemimpin parti itu yang dikategorikan prokerajaan perpaduan.
Mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.
Mengulas mengenai kerajaan perpaduan, Muhyiddin berkata, alasan yang digunakan Abdul Hadi semalam bahawa perkara itu hanya relevan sewaktu Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri adalah suatu dalih.
Tegasnya, Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah membuat kenyataan bahawa UMNO sentiasa terbuka terhadap idea itu.
“Datuk Seri Najib dan saya telah buat kenyataan terbuka, bahasa pun dalam bahasa Melayu yang agak asli, mudah difahami dan bukannya bercakap Arab.
“Tetapi kalau mereka kata tak mahu, tidak mengapalah, setidak-tidaknya kita menunjukkan hasrat yang baik dan jelas,” katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyerahkan kepada masyarakat Islam untuk menilai tindakan Pas yang menolak perpaduan ummah itu.
“Bagi saya perpaduan adalah baik, sesuai dan boleh kita teruskan tapi kalau pihak Pas kata tak payah, okey, kita tiada masalah.
“Kita hendak beritahu kepada masyarakat Islam bahawa UMNO adalah parti yang mendokong prinsip perpaduan ummah,” katanya.
##

Kongsi gelap: Ronnie belum terima arahan polis

[Utusan - 29/10/09]
SHAH ALAM 28 Okt. - Exco Selangor, Ronnie Liu berkata, beliau belum menerima sebarang arahan daripada polis untuk memberi keterangan berhubung siasatan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti kongsi gelap di negeri ini.
Sebaliknya, jelas beliau, polis hanya memanggil Pegawai Khasnya, Daniel Chong hari ini untuk memberi keterangan mengenai dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wee Choo Keong, itu.
"Tidak ada lagi buat masa ini (beri keterangan). Setakat ini saya tidak terima apa-apa makluman daripada polis untuk hadir bagi memberikan keterangan mengenai dakwaan itu.
"Malah, buku kedatangan pelawat pejabat saya yang diambil polis sebelum ini untuk membantu siasatan masih belum dipulangkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Ronnie diminta mengulas perkembangan siasatan dakwaan wujud Exco kerajaan negeri menggunakan pejabat mereka dengan aktiviti kongsi gelap.
Daniel dipanggil polis untuk memberikan keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi ini.
Setakat itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram negeri, Ean Yong Hian Wah serta seorang pembantu tadbir kepada Ronnie telah memberi keterangan kepada polis pada 17 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor menafikan pembabitannya dalam dakwaan berkenaan.
"Tidak logik jika kumpulan kongsi gelap gunakan pejabat Exco untuk adakan pertemuan antara mereka. Tidak ada... Saya fikir barangkali pejabat mereka (kongsi gelap) lebih canggih daripada pejabat Exco," ujarnya.
##

27 Oktober 2009

Nik Aziz berundurlah sebelum dikutuk - Dr. Mahathir

[Utusan - 27/10/09]
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta memahami bahawa kepimpinannya telah mula ditolak sama ada dari dalam mahupun luar parti yang memerlukan beliau berundur segera.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagi semua pemimpin politik, akan tiba masanya untuk berundur demi memastikan legasi pemerintahan mereka dikenang secara baik.
"Jika Nik Abdul Aziz memilih untuk tidak mendengar atau masih mahu berpegang kepada kuasa, ada kemungkinan beliau akan mula dikutuk masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) 2009 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, beliau memberikan nasihat itu berdasarkan pengalamannya semasa aktif dalam politik dahulu.
Justeru, menurutnya, beliau sendiri telah berundur ketika gesaan ke arah itu mula timbul.
"Sebelum orang mula berkata 'hey, orang tua ini bila dia nak pergi', sebelum orang kata macam itu, maka berundurlah kerana masa itu orang akan ingat kita.
"Kalau tunggu sampai orang 'tendang' kita, masa itu orang akan kata benda-benda yang teruk-teruk, nasib baiklah saya cukup pada masanya (berundur)," katanya.
Nik Abdul Aziz menyertai Pas pada 1960 sebagai ahli biasa dan menjadi Ahli Parlimen Hilir Kelantan pada 1967.
Jawatan Mursyidul Am dan Menteri Besar Kelantan pula dipegang beliau bermula pada tahun 1995 sehingga kini.
Nik Abdul Aziz beberapa hari lalu menulis dalam blognya meminta diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membersihkan parti daripada 'dua tiga kerat' pemimpin bermasalah.
Pemimpin berkenaan disifatkan beliau sebagai bersikap prokerajaan perpaduan.
Campur tangan para pemimpin Pas yang lain kemudiannya membawa kepada persetujuan agar cadangan itu diganti dengan Mesyuarat Khas Pas Pusat.
Mengulas mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas yang dikatakan menjadi punca Nik Abdul Aziz menulis mengenai pembersihan dalam partinya, Dr. Mahathir berkata, usaha untuk bersatu boleh dilakukan.
Namun pada Dr. Mahathir perkara itu agak sukar untuk dilakukan kerana untuk bersatu kedua-dua parti itu perlu bersatu dan ada prinsip yang sama.
##

Nik Aziz tak lagi relevan

[Utusan - 27/10/09]
BATU PAHAT 26 Okt. – Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz sebagai pemimpin yang tidak lagi relevan di kalangan generasi muda parti itu dan perlu mengundurkan diri serta-merta.
Menurut beliau, ini kerana cara pemikiran dan politik Nik Aziz telah ketinggalan zaman serta tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa terutama di kalangan kepimpinan generasi muda.
‘‘Ini terbukti apabila pengaruh Menteri Besar Kelantan itu semakin luntur di negeri yang dipimpinnya sehingga menyumbang kepada kemerosotan sokongan kepada Pas pada pilihan raya kecil Manek Urai, baru-baru ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata demikian selepas Majlis Deepavali Parlimen Batu Pahat, di Dewan Jubli Intan, di sini, malam tadi.
Ekoran itu, menurutnya, kini tiba masanya Nik Aziz mengundurkan diri secara terhormat dan tempatnya digantikan kepada pemimpin yang lebih berwibawa.
Mohd. Puad berkata, Nik Aziz juga harus sedar yang kepimpinannya tidak lagi diterima oleh majoriti rakyat Kelantan serta ahli Pas sendiri.
‘‘Ini terbukti apabila ramai orang Pas sudah tak mendengar cakapnya sehingga cadangannya untuk mengadakan satu Muktamar Agung Khas (EGM) tidak mendapat sokongan,” katanya.
Menurut beliau, EGM itu hendak diadakan semata-mata kerana Nik Aziz tidak dapat menerima keputusan muktamar parti itu baru-baru ini yang memilih Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden Pas.
‘‘Ini menunjukkan beliau tidak menghormati keputusan muktamar dan berharap EGM yang dicadangkannya itu akan menjatuhkan pemimpin yang telah diputuskan para perwakilan,” katanya.
Mohd. Puad berkata, beliau yakin perpecahan yang berlaku di peringkat pucuk pimpinan tertinggi Pas itu akan bertambah rumit kerana tindakan Nik Aziz yang mewujudkan dua puak dalam Pas.
##

Hadi pun tahu rahsia Anwar

[Utusan - 27/10/09]
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga antara individu yang mengetahui rahsia sebenar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun atas kepentingan untuk berkuasa katanya, para pemimpin Pas yang mengetahui 'sesuatu' mengenai Anwar sanggup 'menelan' rahsia itu.
Disebabkan faktor itu kata beliau, umum mengetahui bahawa Abdul Hadi tidak mempunyai kecenderungan untuk menyokong Anwar secara keterlaluan.
Katanya, jika senario politik Pas dinilai, maka penyokong terkuat Anwar daripada parti itu adalah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
''Nik Aziz adalah penyokong terkuat Anwar daripada Pas, Hadi tidak kuat sangat, mereka semua mengetahui sesuatu mengenai Anwar tetapi demi politik, mereka sanggup untuk melupakannya,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Konvensyen Pengurusan Kemudahan dan Harta Negara (Nafam) 2009 di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, salah seorang bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan juga pernah memberitahu bahawa ada rahsia di sebalik mengapa terdapat pemimpin dalam PKR yang dilihat mendapat layanan istimewa daripada Anwar.
Nallakarupan berkata, beliau akan mendedahkan rahsia itu apabila tiba masanya nanti.
Mengulas kemelut dalaman yang sedang melanda Pas pada masa ini, Dr. Mahathir berkata, disebabkan ketidakselesaan beberapa pemimpin parti itu, rahsia Anwar mungkin akan terbongkar tidak lama lagi.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan apakah rahsia yang mungkin diketahui para pemimpin tertinggi Pas termasuk Abdul Hadi.
Menurutnya, pakatan pembangkang akan gagal tidak lama lagi kerana mereka sebenarnya tidak serasi atau compatible dan akhirnya akan mula berkelahi antara satu sama lain.
''Mereka 'berkahwin' untuk kesenangan tetapi kini mereka tidak senang dan mula mencari kesalahan satu sama lain, Abdul Hadi tidak berapa gembira dengan Anwar,'' katanya.
Beliau menambah, pakatan itu semuanya berasal daripada kelompok yang sudah terlalu lama menjadi pembangkang dan itulah sahaja kerja yang mereka tahu buat iaitu membangkang.
''Sekarang mereka mula membangkang satu sama lain pula,'' katanya.
Jelas beliau, membangkang amat mudah daripada mentadbir negara dan baru kini, pakatan berkenaan mula terasa kebenaran kenyataan itu.
''Mungkin 100 tahun lagi baru mereka faham bagaimana untuk mentadbir sebuah negara,'' jelasnya.
##

Bukan pelik PKR parti 'bateri 3A'

[Utusan - 27/10/09]
Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Datuk S. Nallakarupan menegaskan beliau tidak pelik dengan gelaran parti 'bateri 3A' yang diberi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ini kerana, kata beliau, parti itu memang berkisar kepada tiga individu iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali.
Bekas rakan karib Anwar itu berkata, ketiga-tiga mereka akan menentukan apa sahaja perkara dalam PKR sehingga beliau sendiri yang bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun sanggup diketepikan.
''Sebab itu banyak pemimpin terdahulu yang bertindak meninggalkan PKR kerana melihat parti itu hanya berkisar kepada tiga orang itu sahaja. Itulah hakikatnya.
''PKR hanya parti tiga orang A ini saja. Lihatlah saya sendiri, 30 tahun saya dengan Anwar, malah pernah masuk penjara kerana dia, tapi akhirnya dia tak pedulikan pun semua itu sampailah saya keluar PKR.
''Jadi kalau saya yang 30 tahun bersama Anwar boleh diperlakukan seperti ini, bayangkanlah pemimpin PKR lain. Bila-bila masa boleh dilupakan macam itu saja,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini menyifatkan PKR parti 'bateri bersaiz 3A' kerana kekuatannya hanya ditentukan oleh Anwar, Azizah dan Azmin.
Diminta mengulas pelantikan Azmin selaku Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang baru, Nallakarupan berkata, ia menunjukkan Azmin mempunyai kedudukan istimewa di mata Anwar.
Kata beliau, ia merupakan satu keputusan besar kerana pelantikan Azmin adalah untuk menggantikan seorang lagi pemimpin kanan PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pelantikan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu bermakna Azmin menggantikan kedudukan Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak selain Menteri Besar Selangor.
''Azmin bukan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Abdul Khalid dan ini memperlihatkan siapa yang lebih penting di antara dua pemimpin itu kepada Anwar.
''Ini memang sudah dijangkakan. Walaupun atas sebab tertentu terpaksa digugurkan menerajui PKR Sabah, Anwar tidak mungkin tinggalkan Azmin yang tahu banyak mengenai Anwar.
''Bagi Azmin, ini satu cara penting untuk beliau mengukuhkan kedudukan politiknya terutama dalam PKR walaupun ia menyentuh jawatan Abdul Khalid,'' jelasnya.
Nallakarupan juga tidak hairan atas apa yang berlaku pada Abdul Khalid kerana beliau sendiri pernah diperlakukan sedemikian rupa bagi mengukuhkan kedudukan Azmin.
Dakwanya, ia berlaku pada pemilihan PKR suatu masa dahulu apabila beliau diminta oleh Anwar untuk menarik diri bertanding jawatan Naib Presiden walaupun mendapat pencalonan kedua tertinggi demi mengukuhkan kedudukan Azmin.
''Saya tak bercakap bohong, saya berani ke kuil untuk ulangi apa yang saya cakap ini. Anwar sendiri pada waktu itu minta saya tarik diri sebab Azmin mahu bertanding.
''Namun apabila saya tanya kepada Wan Azizah, beliau tidak pula tahu perkara tersebut,'' jelasnya.
##

7 Oktober 2009

Semalam di Teluk Kemang: Tomyam dan penglipur lara

[Utusan - 07/10/09]
SEMALAM di Teluk Kemang cukup mengasyikkan. Angin sepoi-sepoi bahasa menenangkan dan mengimbau kenangan muda-muda dulu semasa berkelah di situ. Memandu ke Port Dickson ini tidaklah terlalu sukar. Sekitar 45 minit memandu secara santai melalui Lebuh Raya KL-Seremban-PD sampailah kita ke pusat peranginan tepi pantai yang cukup terkenal di Malaysia itu.
Setelah lama tidak ke situ, saya melihat kemajuannya cukup baik. Banyak hotel dan gerai perniagaan yang baru dibina di sepanjang kiri-kanan jalan di pesisir pantai Teluk Kemang itu.
Bertolak dari pejabat pukul 8.30 malam kelmarin, saya sempat singgah makan malam dengan beberapa rakan di PD. Sengaja saya berbuka puasa enam di pejabat hanya dengan minuman kerana mahu menjamu selera di tepi pantai itu. Tomyam udang galahnya ternyata cukup rasa dan sedap sekali.
Sambil menghirup sup masam pembuka selera itu mata memerhati ke setiap meja lain. Ramai yang tengah rancak berbincang. Ada berbincang secara tenang, ada yang serius. Sambil mata memerhati mereka, mereka juga memerhati ke arah kita. Masing-masing bertanya di dalam fikiran siapa agaknya mereka ini? Ada yang berkopiah putih ala Pas, ada yang memakai kemeja tangan pendek lepas ala orang UMNO, ada juga yang macam polis SB - pendek kata semua ada di situ.
Biasanya di kedai makan tiada tembok politik. Tak kira siapa, semua mahu makan. Jika sedap makanan maka tumpuan adalah kepada hidangan, kurang cakap, lebih makan.
Meja saya pun tak terkecuali, sambil menyuap ke mulut kami bercakap-cakap mengenai politik Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang dalam kawasan PD ini. Macam-macam juga yang diulas. Tapi kerana makanan sedap, masing-masing kurang bercakap.
Sebagai wartawan yang sudah terlalu kerap membuat liputan politik, terutamanya pilihan raya dan pilihan raya kecil saya boleh rasakan ia sama sahaja seperti yang lain-lainnya.
Namun bagi saya pilihan raya di Bagan Pinang ini lain sedikit. Ia amat istimewa. Istimewa kerana BN kena menang. Setelah tujuh pilihan raya kecil berturut-turut BN kalah, Bagan Pinang kena menang.
Apa cara pun BN kena menang. Pasal itulah BN memilih Tan Sri Isa Samad (ceramah Pas menyebutnya sebagai I.S.A) sebagai calon. Beliau cukup diterima di PD ini. Kerana itu jugalah Pas dalam ceramahnya terpaksa memburuk-burukkan beliau.
Selalunya jika calon tidak kuat, calon itu tidak akan menjadi habuan untuk diburuk-burukkan. Tapi dalam kes Isa ini karakternya perlu diburuk-burukkan dan dibunuh kerana beliau kuat dan popular di situ. Malah asal usulnya turut diulas oleh penceramah pembangkang bagi membangkitkan rasa berbelah bagi pengundi.
Saya sempat memasuki ke satu kampung dekat Si Rusa untuk mengikuti ceramah pakatan pembangkang yang dihadiri oleh penceramah-penceramah hebatnya.
Tapi saya tertarik mengikuti ceramah oleh seorang pemimpin kuat PKR, Dr. Badrul Amin Bahrun yang dikenali sebagai pengikut totok Anwar Ibrahim. Beliau ini dikenali sebagai pemimpin yang sanggup berbuat apa sahaja demi Anwar. Mungkin kerana Anwarlah beliau dulu menjadi popular sebagai penceramah di TV dan menjawat jawatan di Universiti Islam Malaysia.
Suara Badrul ini cukup lantang. Beliau ialah penceramah ala Anwar yang nyaring dan bertenaga suaranya. Ceritanya banyak diselitkan dengan fakta-fakta yang disensasikan dan dibesar-besarkan untuk memancing undi.
Beliau bercerita mengenai beberapa isu. Katanya, UMNO kini bukan lagi parti yang memegang amanah rakyat. Oleh itu beliau meminta semua pihak, termasuk isterinya jika ada yang berkeluargakan orang UMNO supaya memutuskan hubungan saudara dengan mereka.
''Putuskan juga hubungan saudara dengan mana-mana saudara yang menjadi polis'' dan sesiapa yang ada hubungan dengan orang UMNO. Pak-pak haji berkopiah putih yang mendengarnya terangguk-angguk sambil tangan menyuap kacang rebus.
Bagi pendengar yang lurus, mereka akan terikut cakapnya tanpa melihat bagaimana amanah rakyat di Selangor misalnya sedang diperkotak-katikkan oleh pakatan pembangkang yang memerintah negeri itu. Malah Pas Selangor kini terpaksa bersilat dengan pakatannya yang 'dikuasai' oleh DAP berhubung beberapa isu.
Tidak tahulah sekiranya Badrul tidak sedar mengenai hal itu? Badrul ini dulu disebut-sebut bakal dilantik sebagai Speaker Selangor yang kemudiannya terpaksa melepas kepada wakil DAP, Teng Chang Khim. Beliau pada pilihan raya umum lalu bertanding di Parlimen Sabak Bernam dan DUN Kuang, tapi tewas kedua-duanya sekali.
Beliau juga membangkitkan soal kes liwat Anwar. Tanpa menyebut sepatah pun yang Anwar sedang berada di Amerika untuk menghadap sifunya Al Gore di Amerika Syarikat bagi 'memperbaharui sokongan' ke atasnya, Badrul bercerita mengenai Saiful yang menuduh Anwar meliwatnya.
''Empat doktor mengesahkan anu Saiful masih dara." Satu lagi cubaan untuk merosakkan Anwar, jerit Badrul bersungguh-sungguh bagi menarik tumpuan hadirin.
Beliau yang mendabik dada sebagai bekas profesor undang-undang itu mendakwa sudah dapat mengagak hukuman bakal dihadapi oleh Anwar dalam perbicaraan, yang sudah ditangguhkan beberapa kali oleh peguam-peguam Anwar - atas pelbagai alasan.
Jika itulah yang berlaku, katanya, kita perlu sekali lagi berjuang mempertahankannya.
Rakyat harus bangkit sebagaimana kita lakukan pada 1998. Pada 1998 para pengikut Anwar yang taksub dan fanatik, termasuk Badrul, merusuh di jalanan di Kuala Lumpur bagi mempertahankan Anwar atas nama reformasi, satu slogan yang turut digunakan di Jakarta untuk menjatuhkan Suharto. Ia berlaku ekoran tindakan MT UMNO pada 2 September 1998 memutuskan untuk memecat Anwar.
Rusuhan itu berterusan sehinggalah pada satu malam 16 November 1998 apabila rakan baik Anwar, Al Gore berada di KL dan menghadiri majlis makan malam para pemimpin APEC di PWTC.
Al Gore (pada masa itu Naib Presiden Amerika) mengambil kesempatan semasa berucap mengecam kerajaan Malaysia kerana memecat Anwar dan memuji-muji keberanian rakyat Malaysia yang ketika itu berarak di jalan raya menyokong perjuangan reformasi bagi menentang kerajaan Mahathir.
Hubungan Al Gore dan beberapa pemimpin Amerika dengan Anwar cukup akrab. Dan fakta ini tidak pernah berani dibangkitkan oleh orang seperti Badrul di khalayak ramai.
Seorang rakan yang bersama-sama saya mengikuti ceramah itu mengeleng-geleng kepala mendengar sandiwara Badrul itu, termasuklah manipulasinya terhadap fakta kes inkues Teoh Beng Hock.
Kesimpulannya, kunjungan pendek malam kelmarin itu cukup bernilai untuk melihat cara berpolitik orang-orang politik ini. Ceramah atas asas sekitar soal itu sahaja tidak lebih hanyalah sebagai ''penyedap bagi jiwa yang kosong''. Tapi apakah orang PD jiwanya kosong?
Secara zahirnya, jumlah hadirin yang mengikuti ceramah itu tidak ramai. Bukan macam di Terengganu, Kedah mahupun negeri-negeri lain, yang ceramah seumpama itu merupakan penglipur lara bagi mereka.
Orang PD nampaknya tidak begitu berminat mengikuti ceramah seumpama itu, agaknya?
##

5 Oktober 2009

Anwar mulai panik disindir media Yahudi

[Utusan - 04/10/09]
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Bekas pembantu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan (gambar) berkata, bekas majikannya itu mulai panik apabila media milik Yahudi mulai menyindirnya.
Katanya, sebuah majalah milik Yahudi, The Economist baru-baru ini menggelar Anwar sebagai Malaysia's Chameleon atau Sesumpah Malaysia apabila gagal menarik sokongan umat Islam terhadap Amerika Syarikat (AS).
"Amerika mengharapkan beliau membawa dan mengekalkan imej Islamik (bagi menarik sokongan masyarakat Islam terhadap AS) namun yang terjadi sebaliknya.
"Kini, dikhabarkan beliau (Anwar) sedang cuba meyakinkan mereka (AS) kembali serta memohon pertolongan daripada mereka untuk kes moralnya, buat kali kedua," katanya dalam blognya, http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.
Anwar kini berhadapan dengan tuduhan meliwat Mohd. Saiful namun kes tersebut masih tertangguh sehingga kini.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kini dilaporkan masih berada di AS sejak beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu untuk bertemu dengan beberapa pemimpin di sana termasuk bekas Naib Presiden negara itu, Al Gore.
Dalam pada itu, Mohd. Saiful dalam blognya turut mengajak rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Wilayah Sumatera Barat, Indonesia yang berlaku baru-baru ini.
Walaupun sedang berjuang demi keadilan untuk dirinya, Mohd. Saiful masih sempat meminta masyarakat negara ini melupakan sebentar isu dan kontroversi mengaitkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini, sebaliknya tampil membantu mangsa gempa bumi di Sumatera.
"Usahlah tersentuh atau terpedaya dengan mainan politikus dan "tangan ghaib" di sebalik pergerakan-pergerakan tertentu yang hanya mahu merosakkan keharmonian rantau ini demi agenda sempit mereka.
"Atas semangat kemanusiaan dan juga serumpun, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan serta doa buat mangsa gempa sana," katanya.
##

4 Oktober 2009

Doa demi kesejahteraan - PM

[Utusan - 04/10/09]
Oleh YUSRI SAHAT
pengarang@utusan.com.my
PEKAN 3 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua bakal haji ketika berada di Tanah Suci mendoakan kesejahteraan negara ini supaya tidak ditimpa musibah dan bencana alam yang dahsyat.
Perdana Menteri berkata, doa itu juga merupakan tanda kesyukuran kerana negara tidak ditimpa musibah yang besar sebagaimana berlaku di negara-negara jiran sejak akhir-akhir ini.
''Apabila berada di Tanah Suci nanti, tolong doakan kesejahteraan supaya Malaysia terlepas daripada bencana dan musibah yang besar.
''Kita seharusnya bersyukur kerana Allah memberi perlindungan kepada kita semua apabila tidak ditimpa bencana alam yang dahsyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 190 bakal haji dalam Parlimen Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.
Dalam tempoh seminggu ini, dua negara jiran iaitu Indonesia dan Filipina dilanda bencana alam sehingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda.
Rabu lalu, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter menggegarkan Padang, Sumatera Barat sehingga mengorbankan lebih 770 orang dan 295 lagi parah setakat semalam.
Sementara itu, sehingga 30 September lalu pula, kira-kira 83 terbunuh, manakala lebih 330,000 rakyat kehilangan tempat tinggal selepas di badai taufan 'Ondoy' yang mengakibatkan banjir besar di Metro Manila, Filipina dan kawasan sekitarnya.
Najib memberitahu, oleh kerana Malaysia terselamat daripada malapetaka sedemikian, umat Islam di negara ini dapat menunaikan fardu haji dengan aman dan selesa.
Keadaan itu, jelas beliau, ditambah pula dengan sokongan padu rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang memudahkan lagi mereka menunaikan Rukun Islam kelima itu ke Tanah Suci.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus membantu kebajikan jemaah haji Malaysia termasuk meningkatkan lagi kuota bilangan ke Mekah.
''Pada masa ini, kuota bilangan jemaah ialah kira-kira 20,000 orang dan kita akan berusaha meningkatkan lagi kuota itu pada masa akan datang.
''Kita mahu mengurangkan lagi tunggakan penantian pemohon untuk pergi haji kerana ada yang terpaksa menunggu selama 15 tahun untuk ke Tanah Suci," jelasnya.
Beliau juga menasihati bakal haji supaya menjaga disiplin dan menggunakan sepenuh masa di Masjidil Haram, Mekah untuk melakukan ibadat.
Selama ini, tambah beliau, kerajaan Arab Saudi menyifatkan jemaah Malaysia sebagai yang terbaik berikutan disiplin mereka yang tinggi sepanjang musim haji.
''Semasa saya menghadap Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud baru-baru ini, baginda memuji jemaah Malaysia yang dianggap terbaik apabila tekun beribadat dan tertib," ujarnya.
##

Apabila Gobala memetik ayat al-Quran...

[Utusan - 04/10/09]
Awang semak perut setiap kali berlangsung pilihan raya kecil. Kekasaran, ketegangan dan pergaduhan pasti akan berlaku sama ada ketika penamaan calon mahupun sepanjang tempoh kempen. Bukanlah Awang mahu memihak tetapi berdasarkan pengalaman dan pengamatan sendiri mengikuti banyak pilihan raya serta maklumat daripada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia banyak berpunca daripada budaya kekasaran yang sudah meresap kuat di kalangan sebahagian ahli dan penyokong tegar pembangkang.
Dengan kata lain, golongan tersebut akan menjadi begitu provokatif dan agresif setiap kali berkempen. Awang melihat ini angkara ketaksuban dan juga boleh ditafsir sebagai kerendahan budaya politik. Menang pilihan raya satu hal tetapi penilaian rakyat terhadap tingkah laku sesebuah parti politik ketika berkempen adalah hal yang akan menjadi pertimbangan utama. Selagi pembangkang mengamalkan budaya sedemikian, selagi itu ia terus merugikan mereka.
Sebab itu, Awang melihat pembangkang gagal mengekalkan momentum sokongan rakyat selepas pilihan raya umum lalu dan biarpun memenangi beberapa pilihan raya kecil. Dengan kata lain, tiada gelombang rasa teruja ke atas pembangkang yang sepatutnya boleh tercetus dengan sendirinya jika pembangkang lebih sederhana dan harmoni dalam pendekatan mereka. Akibatnya, sokongan kepada pembangkang bukan sahaja tidak meningkat malah merosot, yang juga disebabkan pelbagai isu kebelakangan ini.
Semalam, penamaan calon bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang di Port Dickson turut tegang sehingga ada pemimpin UMNO dikasari dan ditumbuk. (Mungkin sudah sampai masanya sistem penamaan calon yang ada termasuk perhimpunan diharamkan. Cukup sekadar calon dan wakilnya mendaftar kepada SPR dalam tempoh tertentu yang tidak semestinya serentak sebagaimana dilaksanakan di sebahagian negara).
Awang percaya sebahagian rakyat sudah muak dengan suasana tidak menyenangkan pada pilihan raya kecil meskipun proses itu terpaksa dilaksanakan atas tuntutan demokrasi.
Tetapi yang membuatkan Awang lebih meluat ialah trend pemimpin pembangkang bukan Islam yang ghairah menggunakan ayat al-Quran pada kempen pilihan raya. Kali ini, seorang pemimpin PKR, N. Gobalakrishnan membaca sepotong ayat suci itu ketika ceramahnya di Bagan Pinang malam semalam. Ramai kenal siapa Gobalakrishnan yang merupakan politikus yang suka membuat gimik murahan dan provokasi seperti menerpa untuk memanjat meja Speaker Dewan Rakyat dan membuat kecoh dengan cuba menumbuk polis pada pilihan raya kecil Permatang Pasir selain gemar berdemonstrasi liar.
Orang seperti beliau memetik ayat Ali Imran ayat 54 yang bermaksud, Orang-orang kafir itu membuat tipu daya dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.

2 Oktober 2009

Poster

SEORANG petugas jentera pilihan raya Barisan Nasional mula memasang bendera parti menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini, di Bilik Gerakan Peti Undi UMNO Cawangan Si Rusa N31 DUN Bagan Pinang, semalam. - UTUSAN

1 Oktober 2009

Gempa bumi lagi

[Utusan - 01/10/09]
Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my
Mangsa yang terselamat menerima rawatan di Hospital Padang Panjang, Sumatera Barat selepas gempa bumi kuat melanda Indonesia Barat semalam.
Wilayah Sumatera Barat, Indonesia digegarkan gempa berukuran 7.9 skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh.
Gegaran memusnahkan bangunan, ratusan rumah, hotel, jambatan dan menyebabkan kebakaran di bandar Padang.
330 pelajar Malaysia di Padang selamat.
Orang ramai di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Johor Bahru mengosongkan bangunan tinggi ekoran gegaran gempa bumi itu.
Pada masa sama, ribut merosakkan lebih 100 buah rumah masing-masing di pesisir pantai Kelantan dan Terengganu.
Seorang remaja perempuan maut ditimpa pokok di Pantai Kemayang, Bachok dan empat parah di Pengkalan Chepa. Sebanyak 10 rumah turut rosak di Kepala Batas.
Lima kampung di Tembeling Tengah, Jerantut dilanda hujan air batu sebesar penumbuk.
Di kepulauan Samoa dan Tonga, sekurang-kurangnya 113 orang terkorban akibat tsunami berpunca daripada gempa bumi kuat di Lautan Pasifik awal pagi ini.
JAKARTA 30 Sept. – Indonesia sekali lagi dilanda gempa bumi kuat, kali ini wilayah Sumatera Barat digegarkan dengan gempa berukuran 7.9 pada skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh dan beratus-ratus rumah musnah.
Bencana tersebut dilaporkan turut menyebabkan kebakaran di bandar Padang dan bekalan elektrik terputus mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Gempa yang berpusat di Kilometer 57, Padang Pariaman dengan kedalaman 87 kilometer di bawah laut itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (pukul 6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang.
Gempa di Sumatera Barat itu berlaku hampir sebulan selepas Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat digegarkan dengan gempa kuat yang mengorbankan 123 orang.
Ia juga berlaku selang sehari selepas gempa kuat menggegarkan Lautan Pasifik yang mencetuskan tsunami di kepulauan Samoa, American Samoa dan Tonga awal pagi ini menyebabkan 113 orang terkorban, manakala 50 yang lain cedera dan berpuluh-puluh lagi dilaporkan masih hilang.
Gempa di Lautan Pasifik tersebut mencetuskan ombak setinggi 4.5 hingga 6 meter menyebabkan banyak kampung di kepulauan tersebut musnah atau ditenggelami air dan ramai pekerja hilang di sebuah taman negara di American Samoa.
Di Sumatera Barat, pasukan mencari dan menyelamat dari Medan, Aceh, Palembang dan Pekanbaru telah dikerahkan ke lokasi gempa membawa peralatan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, televisyen tempatan melaporkan jalan di Kota Padang terputus sama sekali dan bekalan elektrik serta komunikasi juga terputus.
Sumatera Barat dilanda gempa kedua berukuran 6.2 pada skala Richter pada pukul 5.38 petang yang turut menggegarkan kawasan Pariaman di kedalaman 110 kilometer dari dasar laut.
Reuters melaporkan gempa menyebabkan sejumlah rumah dan jambatan rosak serta berlaku kebakaran di Padang.
“Ratusan rumah rosak sepanjang jalan. Juga ada kebakaran, jambatan terputus dan kepanikan luar biasa terjadi kerana paip air bocor sehingga membanjiri jalan,” ujar seorang saksi.
Pusat Peringatan Tsunami Pasifik sebelum itu telah mengeluarkan amaran tsunami kepada Indonesia, Thailand, Malaysia dan India, tetapi kemudiannya menarik balik amaran tersebut.
Agensi berita AFP yang memetik jurucakap Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Rahmat Triyono berkata, beberapa buah hotel di Padang dilaporkan turut musnah.
“Pada masa ini kami tidak dapat menghubungi Padang kerana komunikasi terputus sama sekali," kata Rahmat.
Di Jakarta yang terletak kira-kira 950 kilometer dari lokasi kejadian turut dirasakan gegaran tetapi tidak sekuat gempa yang melanda Tasikmalaya awal bulan ini.
Gegeran akibat gempa tersebut turut dirasai di bangunan-bangunan tinggi di Malaysia termasuk di ibu negara, Kuala Lumpur.
Indonesia terletak di kawalan lingkaran gunung berapi dan Aceh sendiri pernah dilanda gempa dan tsunami pada 2004 yang mengorbankan 220,000 orang.
##