30 November 2009

Senyum Kambing


Antara tanda-tanda bahawa Nik Aziz sudah nyanyuk:

1. Berdoa agar bala diturunkan Allah kepada sesama Islam.

2. Dakwaan wuiudnya 'Kolonel Mat' yang menjadi dalang untuk menjatuhkan dirinya dan bila ditanya dia kata tak tahu pula.

3. Mendakwa tajaan Haji nya adalah sedekah bukan rasuah.

Dakwaan Nik Aziz diragui

Utusan - 30/11/09

  • Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berasa pelik dan tercari-cari akan kewujudan ‘Kolonel Mat’ yang didakwa mahu menjatuhkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
  • Hanya Nik Abdul Aziz seorang sahaja yang tahu atau lebih mengenali seseorang yang bernama ‘Kolonel Mat’.
  • Kata Harun, para pemimpin Pas lain juga tidak mengenali siapa sebenarnya ‘Kolonel Mat’.
    Nik Abdul Aziz pula enggan mendedahkan siapa ‘Kolonel Mat’ walaupun ketika diasak oleh pihak media.
  • Ketika ditanya dan diasak oleh pemberita Nik Abdul Aziz hanya berkata: "Cukuplah... cukup-cukup."

KUALA TERENGGANU 29 Nov. – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (gambar) berasa pelik bagaimana boleh wujud ‘Kolonel Mat’ untuk menjatuhkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Malah beliau masih tercari-cari siapa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai Kolonel Mat yang disifatkan dalang di sebalik konspirasi untuk menjatuhkan Menteri Besar dan kerajaan Pas Kelantan itu.
Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, mungkin Nik Abdul Aziz seorang sahaja yang tahu atau lebih mengenali seseorang yang bernama Kolonel Mat itu.
Malah beliau turut yakin, para pemimpin lain parti Pas juga tidak mengenali siapa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz itu.
“Saya rasa hanya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) seorang saja yang tahu dan kenal siapa sebenarnya Kolonel Mat, kalau tanya saya siapa dia (Kolonet Mat) saya memang tak tahu.
“Malah, saya rasa pemimpin Pas lain juga tak kenal atau tahu siapa Kolonel Mat ini, hanya Tok Guru saja yang tahu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Harun ditanya siapa sebenarnya Kolonel Mat yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz yang didakwa bertindak sebagai dalang di sebalik konspirasi untuk menjatuhkan Mursyidul Am Pas itu.
Ditanya mengenai kesahihan wujud konspirasi menjatuhkan Nik Abdul Aziz, Harun hanya menjawab: “Itu saya tidak tahu, saya tak ada maklumat mengenainya.’’

/...

29 November 2009

Saya kenal ‘Kolonel Mat’ – Kickdefella

Utusan - 29/11/09
KOTA BHARU 28 Nov. - Persoalan siapakah ‘Kolonel Mat’ yang didakwa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertanggungjawab merancang untuk menjatuhkan beliau dan Kerajaan Pas Kelantan masih menjadi teka-teki sama ada ia benar-benar wujud atau sekadar direka-reka.
Di saat semua pihak mencari siapakah ‘Kolonel Mat’, blogger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz membuat kejutan apabila mendakwa mengenalinya.
Bagaimanapun bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak menjelaskan sama ada ia individu yang sama atau tidak dengan apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas itu.
Syed Azidi ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, persoalan mengenai siapa ‘Kolonel Mat’ perlu dirungkai oleh Nik Abdul Aziz sendiri kerana tiada siapa yang mengetahui individu terbabit kerana ia muncul secara tiba-tiba.
“Seperti yang saya tulis dalam blog, ‘Kolonel Mat’ yang saya kenali ialah arwah ayah saya tetapi mungkin apa yang dikatakan oleh tok guru (Nik Abdul Aziz) adalah individu yang berbeza.
“Artikel itu ditulis sebab sebagai anak bekas tentera saya terasa kerana apa yang dikatakan oleh tok guru amat serius disebabkan ia satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
“Saya tidak ambil ini sebagai peribadi tetapi saya rasa satu penghinaan kepada tentera atau bekas tentera, jadi tok guru kena jelaskan dan pada masa yang sama Menteri Pertahanan kena siasat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujud konspirasi yang didalangi ‘Kolonel Mat’ untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.
Syed Azidi yang dipecat oleh menantu Nik Abdul Aziz daripada jawatannya kerana didakwa membuat ‘fitnah’ baru-baru ini berkata, Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab atas kenyataannya itu kerana pelbagai pihak di seluruh negara mahu mengetahui siapakah ‘Kolonel Mat’.
“Tok guru selalu lempar (kenyataan) tetapi dia suruh orang tolong jawab, orang lain kena baiki untuk dia, satu Malaysia hendak tahu harap tok guru tidak akan mengecewakan kita,” katanya.
Mengulas mengenai arwah bapanya yang dikenali dengan ‘Kolonel Mat’ itu, katanya, bapanya telah menyertai Pas ketika di penghujung usianya.
“Ayah saya sudah meninggal dunia, di hujung hidup dia menjadi ahli Pas seumur hidup dan sangat menyanjungi Nik Abdul Aziz.
“Tetapi sebelum itu, ayah saya tidak terlibat dalam politik, apabila menjadi ahli Pas, arwah banyak membantu menyediakan Pas dari segi kursus perang saraf dan strategi bersama rakan-rakan bekas tenteranya,” katanya.
Dalam tulisannya dalam blog tersebut, Syed Azidi menjelaskan ‘Kolonel Mat’ ialah anak kepada Allahyarham Abid Razak yang pernah menjadi dresser di Hospital Besar Kota Bharu.
Berikut sebahagian tulisannya: “Kolonel Mat menyertai tentera sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas menerima tauliah pelantikan, Kolonel Mat pulang ke Kelantan mengahwini anak sepupu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang bernama Tuan Bidah Tuan Long. Waktu itu Nik Abdul Aziz dikenali dengan panggilan Ayah Zit oleh saudara mara.
“Sewaktu lahir, beliau diberi nama Syed Abdul Aziz tetapi di kalangan saudara mara terutama sekali di kalangan keluarga sebelah ibu saya yang dari keturunan Raja Jembal, Syed Abdul Aziz dikenali dengan nama Syed Amat.
“Mungkin sebab beliau anak lelaki sulung, jadi di kampung yang sulung dipanggil Mat, kalau peringkat dewasa akan dipanggil Ayah Mat.
‘‘Pangkat tertingginya di dalam angkatan tentera ialah sebagai Leftenan Kolonel. Walaupun beliau tidak pernah diangkat ke pangkat Kolonel penuh, tetapi menjadi lumrah Leftenan Kolonel akan dipanggil Kolonel sahaja. Jadi di kampung, bagi orang yang kurang mesra dengannya, Syed Amat tadi disebut sebagai Kolonel Mat.”
/...

'Doa' Nik Aziz dikecam

BM - 29/11/09
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
Mohon masa depan PM binasa hanya kerana isu royalti minyak keterlaluan
KUALA LUMPUR: Tokoh agama dan ulama semalam membidas hasrat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.
Mereka mengingatkan Menteri Besar Kelantan itu bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam tanpa mengira pelakunya erpangkat dan berkedudukan, apatah lagi pihak dimaksudkan itu saudara seagama dan seorang pemimpin beragama Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.
Beliau berkata, umat Islam tanpa mengira kedudukan, pangkat, jawatan atau fahaman politik wajib mematuhi hukum Islam yang mengharamkan perbuatan mendoakan kemusnahan saudara seagamanya.
"Berdoa meminta Allah memusnahkan kehidupan dan masa depan orang lain tidak boleh, haram dan berdosa besar. Kalau kepada kafir harbi (tidak tunduk kepada pemerintahan kerajaan Islam) tidak mengapa. "Sesama Islam tidak boleh berdoa seperti itu. Kita digalakkan mendoakan kesejahteraan orang lain, terutama saudara seagama. Orang berdoa supaya Allah memusnahkan kehidupan orang lain perlu bertaubat dan perlu memohon maaf dengan orang yang dimaksudkan.
Kita tidak boleh putuskan silaturahim," katanya ketika dihubungi, semalam.
Nik Aziz kelmarin berkata, beliau dan penyokongnya sudah mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu, jika tidak beliau akan berdoa supaya Allah menghapuskan masa depan Najib dan Umno.
"Saya doa tadi ramai-ramai minta Allah SWT perbetulkan pemikiran Perdana Menteri, biar dia beri (royalti)... kalau tak, kita doa supaya Allah musnahkan masa depan dia, parti dia, kumpulan dia, proksi dia semua akan musnah, tak mustahil benda ini akan berlaku," katanya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata umat Islam yang berhajat supaya orang lain yang seagama dengannya menderita dan kehidupannya musnah sebenarnya mahu mencabar al-Quran yang menegaskan orang Islam bersaudara.
/...

'Kolonel Mat' hanya khayalan

Utusan - 29/11/09
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
KOTA BHARU 28 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya berkhayal dan mereka cerita bahawa wujud konspirasi yang dirancang oleh 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia disebabkan Mursyidul Am Pas itu mahu menutup pergolakan yang berlaku dalam Pas Kelantan termasuk isu tajaan haji dan menantunya dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang disebabkan kelemahan dirinya sendiri.
"Saya melihat dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujud 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya sebagai khayalan dan rekaan yang dibuat disebabkan pergolakan dalaman sejak akhir-akhir ini yang semakin menonjol.
"Disebabkan terlalu lama berkuasa emosinya bercelaru dan mengeluarkan kenyataan politik seperti menegur Presiden Pas dan mendesak supaya Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung dipecat sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkannya daripada jawatan Menteri Besar dan dalam Pas yang sudah lama dilakukan oleh pihak tertentu.
Beliau menyebut 'Kolonel Mat' adalah dalang di sebalik konspirasi tersebut, bagaimanapun enggan mendedahkan individu berkenaan.
Ibrahim berkata, pelbagai isu yang melanda Nik Abdul Aziz pada masa kini adalah disebabkan kegagalannya untuk melaksanakan tugas dengan baik dan mula menuding jari kepada orang lain.
"Yang menjadi mangsa adalah pemimpin UMNO sedangkan masalah itu adalah dari dalam parti Pas sendiri.
"Dia mula mengeluarkan kenyataan yang karut akhir-akhir ini. Boleh pula suruh orang ramai berdoa musnahkan seseorang atau kumpulan yang bertentangan dengannya.
"Dalam Islam mana boleh seorang pemimpin yang bergelar ulama berdoa untuk hancurkan orang lain, doa hanyalah untuk kebaikan," katanya.
Jelasnya, langkah Nik Abdul Aziz memuji anak didiknya, Datuk Husam Musa bahawa Allah menciptakannya bukan untuk rakyat Kelantan sahaja tetapi bagi Malaysia turut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Exco kerajaan negeri yang lain.
"Saya percaya Exco yang lain berasa kecil hati dengan tindakan Nik Abdul Aziz memuji 'anak emasnya' itu dan ia menyebabkan ada di antara Exco yang mendesaknya supaya menamakan bakal penggantinya.
"Sebenarnya mereka memberikan tekanan kepada Tok Guru dan menyebabkan Husam terpaksa secara terbuka menolak sekiranya dicalonkan sebagai bakal menteri besar," katanya.
/...

26 November 2009

Selamat Hari Raya Korban

Al-Kauther
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). (1) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (2) Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). / (3)

Nik Aziz Disaran Nilai Kedudukan

Bernama - 26/11/09
KOTA BAHARU, 24 Nov (Bernama) -- Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta menilai kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan berikutan kegagalannya menangani isu pelantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin, berkata sudah sampai masanya Nik Aziz melihat sama ada beliau masih layak memimpin kerana sudah ada anggota Pas yang tidak menghormatinya.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri Kijang di sini hari ini, beliau berkata kegagalan Nik Aziz menyelesaikan isu pelantikan menantunya Abdul Arifffahmi Abdul Rahman telah mendorong kepimpinan tertinggi Pas menasihatkan beliau supaya mengarahkan menantunya itu melepaskan jawatan berkenaan.
Dali berkata Umno khuatir jika isu itu berpanjangan ia boleh merugikan rakyat Kelantan.
/...

Selangor larang kursus BTN

Utusan - 26/11/09
Oleh ABDUL YAZID ALIAS pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 25 Nov. - Bimbang dengan pengaruh yang semakin merosot, kerajaan Selangor telah mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri ini daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta.
Langkah itu diambil kononnya kursus tersebut didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, surat arahan kepada semua jabatan, IPT serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri akan dikeluarkan segera.
"Kita merasakan kursus BTN adalah proses doktrinisasi BN yang menimbulkan fenomena perkauman dan seolah-olah memecah belahkan penduduk pelbagai bangsa dan agama.
"Peserta kursus juga dilaporkan diberi risalah mengandungi pelbagai perkara yang boleh menimbulkan kebencian kepada pembangkang,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Kerajaan Selangor hari ini berhadapan dengan pelbagai isu yang boleh menghapus keyakinan rakyat terhadap kerajaan pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ekoran beberapa kejadian yang gagal di tangani dengan sebaiknya.
Ia termasuk isu pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini yang membawa kepada insiden kepala lembu dan isu mengembalikan semula arak yang telah dirampas oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.
Halimah menjelaskan, antara institusi pengajian milik kerajaan negeri yang tertakluk kepada arahan tersebut ialah Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) serta Kolej Antarabangsa Inpens termasuk Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS).
Katanya, antara anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Beliau menambah, kursus tersebut sepatutnya digantikan dengan kursus yang mampu memupuk perpaduan di kalangan rakyat negeri ini.
/...

25 November 2009

Sindrom penafian, krisis kepimpinan Pas

Utusan (Rencana) - 25/11/09
Oleh NADZIR AWANG AHMAD
SEPERTI biasa, jika Pas mengalami sebarang isu, ia segera dinafikan oleh pemimpin-pemimpinnya. Inilah yang dikatakan 'sindrom penafian' yang sering kali digunakan oleh pemimpin Pas bagi menutup kelemahan parti.
Isu kerajaan perpaduan yang pada mulanya dicanang sendiri oleh pemimpin Pas antara detik awal bibit-bibit terjadinya krisis kepimpinan dalam Pas.
Satu pihak di dalam Pas yang memikirkan kepada perpaduan demi kepentingan Melayu-Islam berharap ia dapat direalisasikan.
Pihak yang satu lagi berfikiran demi kepentingan parti dan politik yang sempit, sanggup bersekongkol dengan parti yang sememangnya telah diketahui menidakkan 'ketuanan Melayu-Islam' yang akhirnya menyaksikan kerajaan perpaduan ini gagal.
Demi mengelirukan rakyat, Pas sekali lagi mengamalkan 'sindrom penafian' dengan menuduh UMNO yang mengutarakan isu kerajaan perpaduan.
Sindrom penafian pernah digunakan oleh Pas untuk menutup sesuatu isu seperti mana yang berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Manek Urai. Pas menafikan wujudnya 'krisis' antara Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Nasharuddin Mat Isa walaupun ramai yang mengatakan Timbalan Presiden Pas itu 'dihalang' datang dan berkempen semasa PRK tersebut.
Bagi mengaburi mata rakyat di kawasan tersebut, Nasharuddin dibenarkan pada saat-saat akhir datang dan gambarnya sedang makan bersama Nik Aziz disebarkan.
Ternyata 'sindrom penafian' ini berjaya menguntungkan Pas walaupun menang di DUN tersebut tetapi kemenangannya amat tipis dengan majoriti hanya 65 undi sahaja.
Sindrom penafian ini juga yang digunakan bagi menutup isu Nik Aziz yang mahu diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi 'membersihkan' pemimpin-pemimpin pro kerajaan perpaduan yang dilihat sebagai satu tindakan terdesak untuk memulihkan krisis kepimpinan yang berlaku dalam Pas.
Sekali lagi sindrom penafian ini digunakan oleh penyokong setia Pas dengan mengatakan isu EGM yang ditulis di dalam blog Nik Aziz (http://www.blogtokguru.com) bukan hasil tulisan beliau sendiri tetapi orang lain yang menulisnya. Namun isu sebenar yang melibatkan barisan kepimpinan tertinggi Pas, bukan isu kecil yang boleh ditutup dengan 'tudung saji' sahaja.
Terkini isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi yang juga menantu kepada Menteri Besar Kelantan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Sekali lagi rakyat dikelirukan dengan sindrom penafian ini. Di dalam Harakahdaily, 24 November 2009 bertajuk "Keputusan Nik Aziz bukti ketinggian integriti dan moral" yang memetik kenyataan Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub dalam satu sidang media bersama Nik Aziz.
Salahudin dikatakan yakin dengan tindakan Nik Aziz mengarahkan peletakan jawatan Ariffahmi itu bukan untuk kepentingan Menteri Besar itu dan keluarganya, sebaliknya mengutamakan masa depan dan perjuangan parti. Beliau amat menyanjung tinggi integriti yang ditunjukkan oleh Nik Aziz itu.
Kali ini nampaknya, 'sindrom penafian' yang diamalkan oleh Pas akan memakan diri sendiri. Pendedahan demi pendedahan masalah dalaman parti dan kemelut dalaman PMBK telah menidakkan sindrom penafian oleh Pas.
Rakyat seharusnya mulai sedar dengan apa yang diperkatakan oleh pembangkang di dalam ceramah-ceramah yang diadakan hanyalah sekadar untuk mengaburi mata rakyat kononnya parti pembangkang tidak ada masalah dan semuanya boleh diselesaikan secara musyawarah.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara Perlis.
/...

Namakan pengganti elak kekalutan

Utusan - 25/11/09
KOTA BHARU 24 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disaran agar menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan itu kelak.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) berpendapat, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.
''Dengan cara ini, bakal pengganti yang dinamakan boleh dipersiapkan dari segi kepimpinan melalui bimbingan dan nasihat bagi mengukuhkan keyakinan ahli serta rakyat keseluruhannya.
''Pandangan peribadi saya ini tidak harus dilihat sebagai saya mempunyai pertimbangan lain," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada Utusan Malaysia di sini hari ini berhubung beberapa isu yang tercetus kebelakangan ini yang menimbulkan polemik di kalangan ahli dan masyarakat.
Ini termasuk desas-desus mengenai wujudnya pergeseran di kalangan Exco dan kemelut dalam pentadbiran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang seolah-olah tidak begitu terarah kepada kepentingan rakyat.
Mohd. Amar berkata, berdasarkan pengalaman Pas, sesiapa sahaja yang diberi kepercayaan sebagai pemimpin akan diterima secara terbuka oleh ahli dan penyokong parti.
Beliau menegaskan, cadangan itu tidak harus disalahertikan sebagai satu gesaan.
''Cuma, saya tak ingin melihat beliau berhenti tanpa diketahui penggantinya lebih awal kerana proses itu tidak harus berlaku secara tiba-tiba.
''Bukan meminta beliau berundur, lebih baik menamakan pengganti dengan mengemukakan cadangan kepada pucuk pimpinan parti kerana itu pendekatan terbaik," ujarnya.
Mohd. Amar percaya dalam pemikiran Nik Abdul Aziz yang sudah hampir 20 tahun tahun menerajui negeri, sudah ada calon penggantinya tetapi keberatan untuk menamakannya kerana tidak mahu menjejaskan perasaan mana-mana pihak.
Beliau percaya sesiapa pun yang dinamakan oleh Nik Abdul Aziz dan kelak menerajui Pas atau kerajaan negeri, sokongan rakyat terhadap parti itu tidak akan terhakis.
"Beliau telah meletakkan Pas di landasan yang kukuh. Rakyat akan terus beri sokongan. Cuma mungkin kalau beliau berhenti sebelum masanya, rasa tidak puas hati atau reaksi berbeza mungkin wujud," katanya.
/...

Cermin ketidaktentuan Nik Aziz

Utusan - 25/11/09
PUTRAJAYA 24 Nov. - Peletakan jawatan Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mencerminkan ketidaktentuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam membuat keputusan dan pendirian.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mursyidul Am Pas itu juga sering bersikap memilih dalam membuat keputusan yang berhubung kait kepentingan peribadinya.
Keadaan itu, kata beliau, menyebabkan bukan sahaja rakyat Kelantan malah ahli-ahli Pas sendiri keliru dengan pendirian yang diambil Menteri Besar Kelantan itu.
''Macam soal tajaan haji ke Mekah, dia kata okey, selepas itu kata tidak akan pergi tetapi pula akan terima kalau ada tajaan pada tahun depan.
''Tak tahu dia pakai hukum apa, hukum dunia Nik Aziz sendiri.
''Inilah bukti kelemahan kepimpinan Pas," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-7 di sini hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Perhutanan Negara (MPN) Ke-22.
Beliau mengulas peletakan jawatan menantu Nik Abdul Aziz semalam setelah diarahkan oleh Menteri Besar itu sendiri.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz selepas mengadakan pertemuan dengan rombongan kepimpinan tertinggi parti itu yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli di kediaman rasminya, JKR 10 di Kota Bharu semalam.
Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai 9 November lalu.
Pada masa sama, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan untuk menunaikan haji bernilai RM65,000 yang turut disertai ahli keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.
Beberapa hari selepas itu, masalah dalaman PMBK menjadi bertambah parah apabila menantu Nik Abdul Aziz itu menamatkan kontrak Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz minggu lalu.
Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya, 'Kickdefella', pula dilihat antara orang kanan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
/...

'Asyik cari salah BN, rupanya Pas lebih teruk'

Utusan - 25/11/09
HULU TERENGGANU 24 Nov. - Pas yang asyik mencari salah Barisan Nasional (BN) rupa-rupanya dibelenggu krisis lebih teruk termasuk yang terbaru membawa peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkembangan melibatkan menantu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu tidak ubah seperti 'meludah ke langit terpercik ke muka sendiri'.
Menurutnya, ia membuktikan Pas sebenarnya lebih teruk berbanding tohmahan-tohmahan yang dilemparkan pimpinan parti itu terhadap BN atau UMNO selama ini.
"Mereka kata kerajaan BN teruk, tapi kali ini jelas parti itu (Pas) lebih teruk berbanding BN sendiri.
"Kepada parti pembangkang, janganlah asyik tuding jari kepada kita (BN), sekarang mereka terima balasannya malah lebih teruk," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di sekitar Kuala Berang dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengulas isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi selepas diarahkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
Akhbar hari ini melaporkan, Abdul Ariffahmi akur arahan Nik Abdul Aziz itu.
Shahrizat memberitahu, selama ini Pas terlalu asyik 'mengajar orang' sedangkan mereka sendiri tidak terlepas melakukan kesilapan malah lebih teruk.
/...

Fikiran saya kusut - Nik Aziz

Utusan - 25/11/09
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN dan ASMA HANIM MAHMOOD utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU 24 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui fikirannya kusut berikutan kemelut yang melibatkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Menurut Menteri Besar itu, keadaan tersebut menyebabkan beliau berdiam diri dan enggan mengulas perkara itu kepada pihak media sebelum ini kerana ingin mencari ketenangan.
Jelasnya, situasi yang sama pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak berhubung dengan orang ramai lebih sebulan apabila isteri baginda, Siti Aisyah difitnah.
"Kita sebagai manusia ada masa terganggu. Nabi Muhammad SAW lebih dari sebulan tak berjumpa dengan orang ramai bila timbul fitnah terhadap isterinya, Siti Aisyah. Peristiwa Al-Ifki itu begitu sekali mendukacitakan, mengecewakan sampai sebulan Nabi tak berhubung dengan orang ramai.
''Teruk saya ini sebenarnya, tapi begitulah. Kita bergantung dengan Allah, minta doa, sebelum subuh kita bangun, kalau boleh menangis sebagai saksi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan Pas Kelantan di sini hari ini.
Bagaimanapun kata Nik Abdul Aziz, beliau berasa lega sekarang kerana isu itu dianggapnya sudah selesai berikutan arahannya kepada Abdul Ariffahmi supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK semalam.
Beliau menafikan keputusan yang dibuatnya itu kerana tekanan kepimpinan Pas Pusat.
"Ini yang dipanggil berpakat, tegur menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya. Masa saya cadangkan EGM (mesyuarat agung luar biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat).
"(Saya) lega yang ini selesai. Ini satu, yang depan lagi Wallahu A'lam. Biasalah kita serang musuh, musuh serang kita. Kita jangan emosi," ujarnya.
Semalam, rombongan Pas Pusat terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli menemui Menteri Besar.
Mereka menasihatkan Nik Abdul Aziz agar mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan demi menjaga nama baik kepimpinan kerajaan negeri.
Ia berikutan pelbagai polemik dalam parti dan rakyat negeri ini yang mempertikai kewajaran menantu Menteri Besar itu dilantik ke jawatan tersebut yang boleh menjejaskan imej Pas dan kepimpinan negeri.
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Nik Abdul Aziz untuk menentukan tarikh sebenar peletakan jawatan Abdul Ariffahmi.
Katanya, ia adalah atas budi bicara Menteri Besar sebagai Pengerusi PMBK untuk menentukan perkara tersebut.
Dalam masa yang sama, Mohd. Zaki menolak dakwaan bahawa Pas Kelantan sudah tidak dapat memberi teguran kepada Nik Abdul Aziz sehingga memerlukan campur tangan Pas Pusat.
"Ini proses biasa dalam parti. Kita kena faham parti yang menguasai kerajaan, maknanya apa sahaja yang berlaku dalam negeri yang diperintah oleh Pas, kepimpinan Pusat berhak beri pandangan.
"Sebagaimana Tok Guru kata tadi, Pas Pusat berhak beri pandangan dan ada ketikanya Tok Guru sebagai Mursyidul Am berhak beri pandangan kepada presiden dan jawatankuasa Pas Pusat seperti isu EGM baru-baru ini,'' katanya.
Tambahnya, segala yang diputuskan dalam Pas berlaku secara kolektif dan semua pandangan dari setiap peringkat sama ada Pusat, negeri atau bawahan diambil kira./...

Pas Selangor tak terima sebarang surat letak jawatan: Hasan

Bernama - 24/11/09
SHAH ALAM: Pas Selangor tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana pemimpin sayap parti itu seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
Beliau berkata Pas Selangor berada dalam keadaan kukuh dari peringkat bawahan sehingga peringkat kepimpinan tanpa sebarang masalah termasuk hal berkaitan pengurusan serta aktiviti yang dirancang.
"Kita tidak ada masalah, malah saya boleh katakan Pas sekarang berada dalam keadaan yang sangat kukuh berbanding sebelum ini. "Semua aktiviti kita berjalan seperti biasa tanpa satupun yang tertangguh mahupun ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kemudahan Awam dan Lembu Korban oleh Worldwide Holdings Bhd di sini hari ini.
Mengenai surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kepadanya, Hasan berkata, beliau sudah menerimanya malah sudah menjawab kepada jawatankuasa itu Ahad lalu.
Surat tunjuk sebab itu diberikan kepada Hasan bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadap Pas Selangor melibatkan perkara seperti Pas negeri itu dikatakan gagal memantapkan kerjasama antara pakatan pembangkang negeri selain menyokong usaha kerajaan perpaduan antara Umno-Pas. - Bernama

24 November 2009

Chin Peng: Tiada maaf bagimu

Utusan - 24/11/2009 1:54pm
PUTRAJAYA 24 Nov. "Tiada maaf bagimu". Itulah jawapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pendirian kerajaan terhadap permohonan maaf Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara di sini hari ini.
/...

Lebih 2.5 juta umat Islam kini di Mekah

Utusan - 24/11/09
JEMAAH haji berkumpul di atas Jabal Nur sebelum memulakan ibadah haji di Mekah, semalam. Kota Mekah kelihatan bergemerlapan dengan cahaya lampu neon tatkala ia menerima kunjungan lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia sekarang. - AFP
****&
JEDDAH 23 Nov. - Berdepan dengan wabak selesema babi dan ketegangan antara Arab Saudi selaku tuan rumah dengan jemaah fahaman Syiah dari Iran, lebih 2.5 juta umat Islam berkumpul di bandar suci Mekah dan Madinah minggu ini untuk menunaikan haji.
Di bawah pemantauan kira-kira 20,000 kakitangan perubatan dan lebih 100,000 anggota keselamatan, acara haji yang merupakan ziarah tahunan terbesar di dunia ini akan bermula Rabu ini.
Empat kematian pertama di kalangan jemaah haji akibat jangkitan virus H1N1 yang diumumkan Sabtu lalu, menjadi peringatan kepada jemaah haji yang mengabaikan pemakaian topeng mulut dan langkah pencegahan lain.
Bagaimanapun angka tersebut jauh lebih rendah daripada yang dibimbangkan pihak berkuasa.
Umat Islam dari seluruh pelosok dunia membanjiri Arab Saudi melalui kapal terbang, bas dan kapal laut sejak Oktober lalu, untuk menunaikan haji yang biasanya dilakukan sekali seumur hidup.
Antara perkara lain yang menimbulkan kerisauan adalah seandainya berlaku insiden rempuhan yang meragut nyawa seperti yang terjadi pada tahun 2006, menyebabkan 364 jemaah terkorban.
Laluan pejalan kaki setinggi lima tingkat juga telah siap dibina bagi ibadah melontar jamrah di Mina, direka untuk mengelakkan kejadian panik yang pernah berlaku.
Jambatan sepanjang 950 meter dengan 80 meter lebar itu memakan belanja AS$1.2 bilion (RM4.1 bilion).
Selesema babi menjadi kebimbangan utama sejak ia menjadi wabak global awal tahun ini.
Sabtu lalu, hanya 20 jemaah didapati menghidap H1N1 dengan 12 daripada dirawat hingga sembuh, empat meninggal dunia dan empat lagi masih berada di hospital.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr. Khaled Marghlani berkata, empat mangsa itu yang terdiri dari tiga warga emas dan seorang remaja Nigeria, mempunyai masalah kesihatan seperti jangkitan paru-paru hingga kanser sekali gus menjadikan mereka mudah dijangkiti.
Selepas persidangan dengan pakar kesihatan antarabangsa pada Mei lalu, Arab Saudi memutuskan untuk tidak mengharamkan jemaah dari kumpulan berisiko seperti warga tua, kanak-kanak dan mereka yang sakit daripada menunaikan haji. - AFP
/...

Petanda Pas alami krisis tenat

Utusan - 24/11/09
CYBERJAYA 23 Nov. - Desas desus mengenai hasrat Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mahu meletakkan jawatan parti dan kerajaan petanda kegawatan politik sedang berlaku dalam Pas.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya percaya Pas menghadapi krisis kepimpinan yang tenat seperti terjadi dalam parti pembangkang lain.
Beliau berkata, meskipun perkara itu dinafikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi semakin banyak masalah terdedah di kalangan khalayak umum.
"Itu petanda tentang kegawatan politik yang banyak berlaku dalam parti pembangkang termasuk Pas dan yang jelas ia membuktikan ada krisis yang tenat.
"Pemimpin Pas tidak mahu menunjukkan mereka bermasalah tetapi ternyata daripada kenyataan pemimpin-pemimpin (Pas), mereka ada masalah yang besar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan Pusat Perkhidmatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sini hari ini.
Laporan muka depan Mingguan Malaysia semalam menyiarkan mengenai Husam yang dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan negeri.
Hasrat itu bagaimanapun tidak dipersetujui Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar dan Husam dipercayai diberi cuti selama lima hari bermula semalam untuk berehat kerana masalah tulang belakang.
Tindakan Husam melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
/...

Anwar amal sikap double standard dalam sesuatu isu

Utusan - 24/11/09
KUALA LUMPUR 23 Nov. - Tempoh yang panjang diambil oleh mahkamah untuk menyelesaikan sesuatu kes dijadikan modal oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menutup sebarang isu yang dihadapinya.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan saman juga merupakan senjata Anwar untuk menutup mulut sesiapa saja yang membuat tuduhan terhadapnya termasuk bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakarupan.
"Beliau tahu mahkamah ambil masa panjang untuk selesai kes. Justeru, sesiapa yang buat tuduhan terhadapnya akan disaman bagi menutup sementara isu itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Nallakarupan membekalkan butiran terperinci berhubung dakwaan bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada syarikat perjudian, Magnum Corporation Bhd. (Magnum).
Antara butiran yang perlu diserahkan dalam masa 14 hari itu adalah tarikh transaksi RM60 juta dibuat, siapa yang memberikannya dan tempat duit itu diserahkan.
Khaled menambah, tindakan Anwar juga jelas menunjukkan betapa beliau seorang yang mengamalkan sikap double standard dalam sesuatu isu.
"Dari satu sudut, mahkamah digunakan untuk menghalang mereka yang menuduhnya, tetapi apabila berdepan dengan tuduhan daripada Saiful Bukhari Azlan, beliau pertikai pula mahkamah dan berusaha melengahkan perbicaraan," katanya.
/...

Abdul Ariffahmi akur arahan letak jawatan

Utusan - 24/11/09
KOTA BHARU 23 Nov. - Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman akur dengan arahan bapa mertuanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Beliau bagaimanapun menegaskan arahan peletakan jawatan tersebut hanya dikeluarkan hari ini dan bukannya seperti yang dinyatakan oleh beberapa blog sebelum ini.
Menurut Abdul Ariffahmi, beliau tidak meletakkan jawatan lebih awal kerana mendengar nasihat Nik Abdul Aziz yang merupakan Menteri Besar supaya terus kekal menjalankan tugasnya seperti biasa.
''Pertama sekali saya ingin menyatakan saya menerima keputusan ini dengan hati yang lapang dan sedar keputusan dibuat untuk menjaga nama baik kepimpinan, Pas dan juga nama baik kerajaan negeri Kelantan.
''Saya akan tengok rekod cuti saya, berapa hari ada, lepas itu saya akan kira, saya akan buat keputusan bila tarikh yang sesuai untuk saya lepaskan jawatan,'' katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas arahan yang dikeluarkan oleh bapa mertuanya supaya melepaskan jawatan sebagai CEO perbadanan tersebut.
Sebelum ini, semua pihak melihat beliau menjadi punca kepada semua kemelut yang timbul dalam Pas serta kerajaan negeri.
Menurut Abdul Ariffahmi, sebelum ini beliau ada merujuk kepada Nik Abdul Aziz berhubung desakan supaya meletak jawatan, namun Menteri Besar memintanya meneruskan tugas sebagai CEO seperti biasa.
Beliau menegaskan, peletakan jawatannya adalah disebabkan fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu terutama penulis blog terhadap dirinya.
''Sebenarnya beberapa peguam sedang mengkaji semua tuduhan dan saya sedang menelitinya dan akan mendengar nasihat para peguam. Pada masa yang sesuai nanti kita akan lakukan apa yang patut.
''Saya nak ulang lagi, apa yang ditulis dalam blog tertentu sebelum ini bahawa saya telah diminta meletak jawatan dan rentetan itu arahan telah dikeluarkan dan saya tak terima arahan itu lalu pergi ke Kuala Lumpur merajuk, itu tak betul.
''Saya hanya terima arahan pada hari ini dan saya boleh terima keputusan ini dengan dada yang lapang dan saya akan sentiasa setia dan menghormati bapa mertua saya dan pemimpin kita semua," katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depannya katanya, beliau mungkin akan memulakan perniagaan.
/...

Menantu Nik Aziz diarah letak jawatan

Utusan - 24/11/09
  • Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat arahkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman letak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
  • Tindakan diambil selepas Pas Pusat diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan Nik Aziz supaya mengarahkan Ariffahmi meletak jawatan bagi menjaga nama baik parti.
  • Nik Aziz menafikan arahan dibuat ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantunya tetapi disebabkan fitnah yang disebarkan.
  • Ariffahmi akur tetapi bertegas ia angkara fitnah terutama oleh penulis blog.
  • Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bersyukur Nik Aziz menerima nasihat.
  • Bekas Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang juga penulis blog Kickdefella berharap peletakan jawatan Ariffahmi akan mengembalikan hak rakyat.

KOTA BHARU 23 Nov. – Kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sampai ke penghujungnya apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbadanan tersebut.
Ia dikatakan bagi membendung fitnah yang disebarkan oleh pihak tertentu terhadap kepimpinan Pas daripada terus merebak.
Arahan tersebut dikeluarkan Nik Abdul Aziz selepas mengadakan pertemuan dengan rombongan kepimpinan tertinggi parti itu yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli di kediaman rasminya, JKR 10 di sini, hari ini.
Abdul Ariffahmi yang turut hadir pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut mengesahkan akan melepaskan jawatannya selepas semua urusan berkaitan cuti tahunannya selesai.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, pada pertemuan tersebut beliau telah dinasihatkan oleh Pas Pusat supaya mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan bagi menjaga nama baik kepimpinan Islam khasnya parti itu sendiri.
Bagaimanapun beliau menafikan ia dikeluarkan kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantunya itu sebaliknya menegaskan ia disebabkan fitnah yang disebarkan.
‘‘Semuanya (rombongan tersebut) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya Pas sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundurkan diri dari PKMB.
‘‘Saya lantik dia (Abdul Ariffahmi) dulu dalam mesyuarat penuh yang turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri dan beliau tidak memberikan sebarang komen.
‘‘Tetapi oleh kerana fitnah melalui macam-macam surat layang dan sebagainya, maka saya dinasihatkan supaya elak diri dari fitnah ini dari terus berkembang.
‘‘Siasatan SPRM itu siasatlah... itu kerja dia tetapi fitnah itu yang jadi (punca suruh letak jawatan). Nabi kata fitnah ini benda tidur, siapa-siapa yang gerak dia akan dilaknat Allah. Itu fitnah punya fasal tetapi (letak jawatan) ini hendak jaga kepimpinan Parti Islam Semalaysia.,” katanya.
Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai SPRM dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai di sini pada 9 November lalu.
Pada masa yang sama, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan untuk menunaikan haji bernilai RM65,000 yang turut disertai ahli keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.
Beberapa hari selepas itu, masalah dalaman PMBK menjadi bertambah parah apabila menantu Nik Abdul Aziz itu menamatkan kontrak Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz minggu lalu.
Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat antara orang kanan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Malah kelmarin, timbul spekulasi Husam akan meletakkan kesemua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri berpunca daripada kemelut dalaman PMBK kerana pihak tertentu mendakwa beliau adalah dalang di sebalik masalah tersebut.
Terdahulu, sebuah portal dan akhbar melaporkan Husam mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkannya dengan melaga-lagakan beliau dengan mentornya, Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun pada pertemuan selama sejam itu, isu spekulasi peletakan jawatan Husam tidak dibincangkan kerana mereka beranggapan ia tidak pernah wujud.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, pada masa sekarang beliau masih belum memikirkan untuk melakukan rombakan dalam PMBK.
‘‘Itu masalah kedua. Masalah sekarang ini menantu saya itu terlalu banyak kecaman dilemparkan kepadanya oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau tidak mendapat sokongan daripada kepimpinan Pas Kelantan kerana tidak ada sokongan terbuka dibuat, katanya :
‘‘Itu tidak payah. Saya tidak perlu kenyataan (sokongan) terbuka begitu tetapi oleh kerana fitnah yang dibuat oleh blogger, semua orang boleh baca dan nama baik kepimpinan Islam akan menjadi cacat.”

/...

23 November 2009

Jamaludin seperti ‘pahlawan Melayu’ serah watikah kepada Obama

Utusan - 23/11/09
Dr. Jamaludin Jarjis memakai baju Melayu, bersamping dan bertanjak bergambar bersama Barack Obama selepas menyerahkan watikah pelantikannya sebagai duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat di White House pada 4 November lepas.Turut serta isteri Jamaluddin, Datin Sri Dr. Kalsom Ismail (dua dari kiri) dan anak-anak beliau Nur Anis dan Nurul Alia. – BERNAMA

NEW YORK 22 Nov. – Tarikh 4 November 2009 tentunya akan meninggalkan banyak kenangan kepada Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis yang secara rasmi menyerahkan watikah pelantikan sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) kepada Presiden Barack Obama.
Berbanding dengan tradisi diplomatik berpakaian sut sebelum ini, Jamaluddin memasuki White House seperti pahlawan Melayu dengan baju Melayu dan tanjak. Malah, beliau sempat bertutur dalam bahasa Melayu dengan Obama.
Katanya, beliau yang datang ke White House bersama isteri dan dua anaknya memilih berpakaian Melayu kerana merasakan Obama yang pernah tinggal di Indonesia lebih terbuka dengan adat masyarakat timur.
“Obama dalam reaksinya berkata beliau pernah melihat pakaian seperti itu. Ini merupakan satu penghormatan kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Sambutan Obama, kata Jamaludin yang juga Ahli Parlimen Rompin, sangat mesra yang memperlihatkan pemahamannya terhadap Malaysia dan Islam serta hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu dan perbualan telefon sebelum ini merupakan petanda baik bahawa hubungan Malaysia-AS kini menuju ke era baru.

/...

Anwar terus dibuai mimpi

Utusan(Rencana) - 23/11/09
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
GAYA kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang semakin diterima oleh rakyat telah meletakkan parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam keresahan.
Atas sebab itulah dari sehari ke sehari ada sahaja perkara yang cuba ditimbulkan oleh Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan kononnya mereka berupaya menumbangkan Barisan Nasional dan Najib pada pilihan raya akan datang.
Selepas mengisytiharkan 'perang' ke atas Najib ketika berucap pada Konvensyen PKR Selangor 15 November lalu, terbaru Anwar dengan penuh angkuh menyatakan, jika pada pilihan raya umum lalu, Kuala Lumpur menjadi milik pembangkang kini sasaran mereka ialah Putrajaya - pusat pentadbiran negara.
Nampaknya Anwar tidak pernah berputus asa untuk "terus bermimpi di siang hari", selepas impian bagi menubuhkan kerajaan pada 16 September tahun lalu hanya tinggal impian. Anwar membuat kenyataan bahawa pembangkang akan mampu memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang kerana menyedari sokongan rakyat kepada mereka tidak lagi sekukuh seperti mana Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Rakyat semakin menerima kepimpinan Najib dan kembali yakin bahawa BN adalah satu-satunya kerajaan yang mampu memberikan kesejahteraan kepada mereka. Malah gagasan 1Malaysia: "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" telah menjadi pemusnah bagi menghapuskan "virus-virus" yang dibawa oleh pembangkang bagi menghilangkan kepercayaan rakyat kepada BN.
Atas sebab itulah pada wawancara dengan Mingguan Malaysia, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menegaskan, situasi politik negara kini lebih tenang, sentimen umum dan kepercayaan orang ramai telah mula kembali menyebelahi kerajaan.
Inilah keadaan yang tidak disenangi oleh pembangkang terutamanya Anwar yang sememangnya bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau bimbang jika keyakinan rakyat kepada kerajaan pulih, maka musnahlah segala agenda politik mereka untuk berkuasa.
Anwar terlupa bahawa kegagalan BN untuk mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan tiga buah negeri (tidak termasuk Kelantan) kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu bukanlah satu penolakan oleh rakyat kepada BN.
Sebaliknya, ia sekadar satu undi protes selepas rakyat kecewa dengan pentadbiran BN ketika itu yang dilihat tidak memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.
Dalam kata mudah, pembangkang hanya bernasib baik untuk menang kerana rakyat yang berhasrat bagi mengajar BN dikatakan 'terlebih ajar'.
Kini rakyat sudah menyedari kesilapan mereka dan melihat pakatan pembangkang yang sebelum ini sentiasa sahaja menganggap diri mereka lebih baik daripada BN ternyata lebih buruk perangainya apabila diberi kuasa.
Kekalutan yang berlaku di Kedah, Perak (bagi tempoh 11 bulan) dan Selangor sudah menjadi bukti perkara itu.
Semua ini sebenarnya meresahkan Anwar. Dan ia ditambah pula dengan ramalan banyak pihak bahawa seandainya pilihan raya diadakan sekarang, BN bukan sahaja akan berupaya mendapat kembali majoriti dua pertiga di Parlimen malah akan merampas kembali negeri yang jatuh kepada pembangkang.
Ini belum lagi termasuk ramalan yang mengatakan, jumlah kerusi pembangkang dalam Parlimen akan merosot teruk berikutan kegagalan ahli-ahli Parlimen terutamanya daripada PKR menjalankan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing selepas pilihan raya.
Oleh itu mahu tidak mahu Anwar harus melakukan 'lakonan politik' bagi menggambarkan seolah-olah, biarpun Najib kini menerajui BN namun kekuatan pembangkang tidak pernah luntur.
Mungkin bagi penyokong tegar Anwar yang sentiasa menyanjung beliau semakin seorang pemimpin yang hebat, mereka begitu gembira dengan kenyataan terbaru Anwar bahawa pembangkang akan menguasai Putrajaya. Tetapi bagi sebahagian penyokong pembangkang sendiri terutamanya dalam Pas, mereka akan menyifatkan apa yang dikatakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu hanyalah 'omong kosong'.
Anwar pernah meletakkan negara dalam keresahan melalui "mimpi 16 September" yang tidak menjadi kenyataan. Oleh itu beliau tidak akan mampu 'memperdayakan' rakyat dengan mimpi keduanya.
Apatah lagi sehingga ke hari ini, bukan sahaja di kalangan sebahagian penyokong pembangkang malah di peringkat pemimpin pun mereka tertanya-tanya mengenai nasib Anwar apabila kes dakwaan liwat pembantunya berlangsung di mahkamah.
Sudah ada tafsiran di kalangan mereka bahawa segala gerakan politik yang Anwar lakukan sekarang semata-mata bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kes tersebut.
''Sebab itulah dari semasa ke semasa kita lihat ada sahaja isu yang dibangkitkan oleh Anwar sejak kebelakangan ini. Ia termasuklah pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melantik Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor dengan gaji RM1.
''Semua ini adalah manuver politik Anwar dan PKR bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap segala kepincangan yang berlaku dalam parti itu serta kes peribadi melibatkan Anwar," kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.
Menurut pemimpin muda itu, jika Anwar mahu rakyat meyakini pembangkang, beliau harus memastikan kesnya diselesaikan segera di mahkamah dan bukannya dilihat berusaha melengah-lengahkan kes itu dari semasa ke semasa.
''Sikap Anwar yang dilihat melengahkan kes tersebut mengakibatkan di kalangan penyokong pembangkang sendiri tertanya-tanya, apa sebenarnya Anwar hendak sembunyikan. Kalau beliau tidak bersalah, maka beliau tidak perlu takut untuk berhadapan dengan Mohd.Saiful Bukhari Azlan.
''Malah keberanian Anwar untuk membiarkan kes itu dibicarakan akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada beliau tetapi keadaan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, Anwar dilihat cuba mengelak daripada kes itu dibicarakan," katanya.
Seperkara lagi, selain impian untuk menguasai Putrajaya, Anwar juga memahami bahawa di dalam pembangkang sendiri terutamanya Pas, terdapat penolakan untuk mewujudkan sistem dua parti di negara ini.
Tetapi Anwar tetap beria-ia menyatakannya seolah-olah sistem itu dipersetujui oleh semua parti pembangkang.
Penulis difahamkan, sebahagian besar pemimpin Pas menentang cadangan berkenaan kerana jika sistem itu diwujudkan, ia bererti semua parti pembangkang akan bertanding dengan satu lambang dan satu manifesto.
''Jika itu berlaku bagaimana dengan perjuangan Islam dibawa oleh Pas, apakah PKR dan DAP akan bersetuju meletakkannya dalam manifesto pembangkang?
"Selain itu bagaimana pula dengan kedudukan orang Melayu yang turut menjadi perhatian Pas?
"Sebab itulah di dalam Pas sebahagian besar pemimpinnya menentang cadangan sistem dua parti ini kerana ia tidak akan menguntungkan umat Islam dan orang Melayu," kata seorang lagi pemimpin Pas daripada golongan ulama ketika dihubungi.
Berdasarkan apa yang diperkatakan adalah jelas, Anwar masih terus bermimpi untuk menguasai kerajaan pusat. Cita-cita beliau untuk menjadi pemimpin utama negara ternyata tidak pernah berkubur, biarpun pada dirinya dan pakatan pembangkang berlumuran dengan pelbagai masalah.
Namun apa yang diharapkan rakyat akan dapat berfikir dengan tenang dan tidak terpengaruh dengan sandiwara, lakonan dan manuver politik yang cuba dilakukan oleh Anwar dan pembangkang yang hanya mahu berkuasa semata-mata.
Sebaliknya ingatlah pesanan Daim: ''Kepada rakyat, kita berharap mereka akan melihat aspek-aspek positif dalam perkara yang sedang dilakukan oleh Najib, aspek-aspek yang berasaskan kepentingan negara dan bukan kepentingan peribadi."
PENULIS ialah Pengarang Rencana Mingguan Malaysia.

Cerita Sebelum Tidur Bina Daya Imaginasi Dan Kreativiti Anak Anda

Bernama - 20 November, 2009 14:00 PM
Oleh Zulkiple IbrahimKUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Antara cara yang digunakan ibu bapa untuk menidurkan anak-anak kecil mereka ialah dengan mendodoikan lagu dan bercerita.Dengan menggunakan buku cerita atau secara bersahaja, mereka akan 'mendodoikan' anak dengan kisah-kisah tauladan dan dongeng yang diharapkan dapat membuai anak ke alam mimpi.
Antara cerita yang selalu diperdengar kepada anak mereka ialah cerita versi Sang Kancil dan penglipur lara tempatan yang membawa mesej serta pengajaran yang baik seperti 'Arnab dan Kura-kura', 'Anjing dan Bayang-bayang' dan 'Gagak Yang Dahaga'.
Tidak kurang juga cerita dongeng dari luar negara termasuk yang berasal dari negara barat seperti 'Cinderella' dan 'Sleeping Beauty' serta Hikayat Seribu satu Malam.
DAYA IMAGINASI DAN KREATIVITI
Menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak, bercerita kepada anak sebelum tidur membawa bawa banyak kebaikan.
"Antara kebaikannya ialah ia dapat membuat anak-anak anda tenang dan berasa relaks. Cerita yang anda perdengar juga boleh membina daya imaginasi mereka dan apabila mereka meningkat usia, akan memberi daya kreativiti yang lebih tinggi," kata beliau.
Dengan bercerita kepada anak anda ketika mereka ingin tidur akan membuat mereka tertunggu-tunggu masa ini kerana mereka akan rasa lebih dekat dengan ibu bapa.
"Ia merupakan satu ketika yang akan diingati oleh anak anda seumur hidup beliau. Aktiviti bercerita kepada anak anda sebelum mereka tidur juga akan memupuk tabiat suka membaca anak-anak, selain memberi keseronokan kepada mereka.
"Ini merupakan satu masa yang amat berharga kerana anda boleh bersendirian bersama anak, dalam suasana yang tenang dan tiada gangguan," kata beliau.
CERITA YANG SESUAI
"Janganlah bercerita tentang cerita-cerita yang seram atau sedih kerana ini akan menggangu alam tidur mereka nanti umpamanya mereka akan bermimpi benda-benda yang menakutkan".Jadi apakah cerita yang sesuai?
Menurut pakar itu, tidak kira sama ada membaca daripada buku atau bercerita dengan bersahaja, cerita-cerita itu seeloknya mempunyai beberapa ciri seperti situasi yang ada persamaan, cerita tidak terlampau panjang dan juga ada kepelbagaian.
"Anda harus menyesuaikan cerita itu dengan sesuatu yang biasa dengan situasi anak anda. Contohnya seorang raja yang mempunyai putera yang nakal atau tentang seseorang yang mempunyai haiwan peliharaannya seperti arnab atau ikan yang boleh berkata-kata.
"Atau gambarkan situasi cerita seolah-olah hampir sama dengan tempat anak anda telah lawati seperti zoo atau taman haiwan atau mungkin juga sebuah stor yang menjual barang permainan dan sebagainya. Dengan berbuat begini anda akan membantu anak anda memperkaya imej di minda serta daya imaginasi dan kreativiti mereka".
Ceritanya pula janganlah terlalu panjang."Panjang ceritanya dalam linkungan 20 minit sahaja. Tujuan bercerita ialah untuk membantu anak anda tidur, jadi ia tidak perlu terlalu panjang. Anak-anak mahukan 'penamat' pada cerita itu, jadi kalau mereka tertidur sebelum cerita itu tamat, mereka akan rasa kecewa.
"Kalau membaca daripada buku yang mempunyai beberapa bab, cuba baca dari bahagian ke satu bahagian dan cuba hentikan cerita itu pada satu segmen yang boleh mendatangkan kesimpulan".
CERITA-CERITA LAIN
Anak anda biasanya gemar pada sesebuah buku atau beberapa cerita pendek. Anda mesti sabar bercerita walaupun anak anda meminta buku yang sama dibaca berulang kali atau juga juga cerita yang sama diperdengar berulang kali.
Mungkin juga anda boleh memberikan sedikit kepelbagaian dengan memperkenal cerita-cerita yang 'baru' atau boleh bercerita cerita kegemaran mereka berselang malam.
"Berikan anak anak anda pilihan dan mereka juga sudah tentu mahukan yang baru bila usia meningkat sedikit dan mereka juga akan menemui cerita kegemaran yang baru nanti".
BUKU BERGAMBAR
Bila usia anak semakin meningkat, mereka juga akan semakin pandai bercerita.Ketika ini masa bercerita sebelum tidur bukan lagi satu 'one man show' (dilakukan seorang) tetapi anak juga turut terlibat dalam bercerita
.Sebelum mereka pandai membaca, ada baiknya jika mereka diberi buku-buku yang mempunyai banyak gambar atau ilustrasi.Bila mereka mula belajar membaca, adakan banyak gerakan jari dan tunjuk tentang apa yang mereka baca serta juga dengar pertanyaan serta celoteh mereka. Anak kecil biasanya akan mengajukan banyak soalan.Interaksi sebegini penting untuk mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak."
Bila anak anda mula membaca tentang satu cerita, jangan ganggu mereka dan biarkan sahaja. Hindarkan daripada memberi komen negatif terhadap cerita mereka".Cerita sebelum tidur ialah satu momen penting bagi anak anda."Mimpilah yang indah".
/...

Nik Aziz tidak akan terima

Utusan - 23/11/09
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
KOTA BHARU 22 Nov. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menerima peletakan jawatan Datuk Husam Musa sekiranya Exco kanan kerajaan negeri itu benar-benar berhasrat mahu berbuat demikian.
Mursyidul Am Pas itu berkata, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan merupakan seorang pemimpin yang pintar, berpandangan jauh dan banyak membantu rakyat di negeri ini bahkan mampu mengubah landskap politik nasional.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan bahawa bekas Naib Presiden Pas itu pernah menyuarakan hasratnya untuk melepaskan jawatan dalam parti atau kerajaan negeri.
“Cerita mengenai hasrat Husam untuk meletakkan jawatan tidak berlaku langsung dan saya pun tidak beri kalau dia hendak letak jawatan kerana Kelantan dapat banyak manfaat daripadanya.
“Husam ini Allah buat bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk rakyat Malaysia, dia budak yang cerdik, pengalaman banyak dan pemikiran jauh ke depan.
“Rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam seperti ambil balik tanah Felcra yang banyak, wujudkan sistem kifalah yang memberi banyak manfaat kepada rakyat dan orang kurang upaya (OKU),” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini mengenai hasrat Husam yang dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan negeri.
Namun, hasrat tersebut tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am Pas dan Husam dipercayai diberikan cuti selama lima hari bermula semalam untuk berehat.
Tindakan Husam untuk melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan itu dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Spekulasi mengenai peletakan jawatan tersebut diperkuatkan dengan dakwaan Husam yang dilaporkan sebuah akhbar dan portal berita bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dengan melaga-lagakannya dengan mentornya, Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun, pada sidang akhbar tersebut Nik Abdul Aziz tidak mengulas punca timbulnya isu berkenaan sama ada ia berkaitan masalah dalaman PMBK.
Menteri Besar itu berkata, selama ini beliau tidak menyebut mengenai kebaikan Husam kerana bimbang Exco lain akan berkecil hati.
“Saya selama ini tidak sebut kerana takut kecil hati Exco lain sebab mereka ada portfolio masing-masing, tetapi portfolio Husam iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri banyak memberi manfaat kepada Kelantan. Banyak fikiran dia selamatkan politik Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan empat mata dengan Husam dan pemberian cuti selama lima hari, Nik Abdul Aziz berkata:
“Husam datang ke pejabat saya pada hari Selasa memberitahu doktor menasihatkan dia masuk hospital lima hari kerana tulang belakang ada masalah. Perkara hendak berundur tidak ada langsung dalam kepala dia atau kepala saya.
“Hari ini saya baca sebuah akhbar, saya berasa amat terkejut dengan laporan yang dibuat. Tajuknya ‘Husam letak jawatan?’ walaupun ada tanda tanya.
“Saya berasa dukacita kerana wartawan kita masih suka mengorek hal peribadi orang termasuk tuduh orang tertentu buat sesuatu yang mengejutkan. Wartawan kita suka cari berita panas, walaupun tidak betul.” katanya.
/...

Pas terbukti amal pilih kasih

Utusan - 23/11/09
SEGAMAT 22 Nov. – Pas dibelenggu amalan ‘pilih kasih’ apabila hanya individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin atasan diberi keistimewaan untuk menerajui jawatan penting.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tuduhan ‘kronisme’ yang selalu dilemparkan Pas bagi menyerang UMNO kini memakan diri sendiri apabila pelbagai kekalutan timbul berikutan kontroversi dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Katanya, pertembungan pelbagai personaliti dalam Pas juga seolah-olah menunjukkan demokrasi tidak wujud malah kepimpinan dalam parti itu tidak dapat lari daripada amalan pilih kasih.
“Saya bukannya hendak masuk campur dalam hal parti itu, tetapi apa yang berlaku sekarang membuktikan apa yang mereka katakan selama ini sebenarnya tidak benar dan mereka tidak sedar tuduhan dilemparkan terhadap UMNO sekarang memakan diri sendiri,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas ura-ura Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan negeri ekoran kemelut dalaman PMBK.
Menurut Mukhriz, pelbagai isu yang timbul dalam Pas tertumpu kepada hanya seorang individu iaitu Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am parti berkenaan.
“Saya bukannya hendak memberi komen lebih-lebih pasal parti orang lain atau pemimpin mereka.
‘‘Tetapi saya hanya ingin memberi contoh pendekatan yang diambil ayah saya dulu (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang mengambil keputusan untuk berundur ketika beliau berada di peringkat tertinggi parti dan kerajaan,” katanya.
Katanya, sudah tiba masanya ahli-ahli Pas membuat ketetapan tegas sekiranya tidak mahu terus menjadi mangsa keadaan.
/...

Nik Aziz sudah terlalu takbur

Utusan - 23/11/09
TUMPAT 22 Nov. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu bertanggungjawab terhadap kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan mengenai agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.
Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah, 64, berkata, beliau membuat teguran secara terbuka itu biarpun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas itu sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan beliau mentafsirkan al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.
''Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di madrasahnya di sini baru-baru ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, teguran yang dibuat oleh Persatuan Pondok Kelantan ditolak mentah-mentah oleh Menteri Besar Kelantan itu termasuk memorandum yang dihantar kepadanya pada penghujung tahun lepas.
"Teguran dibuat agar beliau lebih berhati-hati supaya tidak memesongkan akidah, tetapi beliau seolah-olah menyamakan kami dengan ahli UMNO sedangkan kami berjumpa dengannya penuh rasa hormat.
"Malah, saya sendiri pernah dua kali mengunjungi rumahnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi semasa tetapi gagal menemuinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Nik Abdul Aziz sebelum ini dalam memberi gambaran terhadap sifat Allah dan Nabi Muhamad SAW.
Ia juga berhubung penolakan Nik Abdul Aziz terhadap pembentukan kerajaan perpaduan, penghargaan terhadap orang bukan Islam membaca al-Quran dan isu penjualan arak yang berleluasa di Selangor.
Terbaru ialah mengenai isu Nik Abdul Aziz menerima tajaan untuk menunaikan haji pada musim ini dan soal orang ramai cuba mengambil keberkatan melalui dirinya.
Abdullah menarik perhatian bahawa kebanyakan kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz tidak selari sama sekali dengan aliran Sunnah Wal Jamaah malah lebih bersifat Wahabi.
"Nik Abdul Aziz berasa alim disebabkan dia mempunyai ijazah sarjana tetapi bab keseluruhan agama seperti akidah, tasawur, fikah dan usuluddin (dia) terlalu jahil, dia bukan Mursyidul Am," katanya.
"Madrasah saya terikat kerana masalah dasar saja iaitu al-Quran dan hadis. Dari situ saya muafakat (dengan Pas) tetapi pembawaan Nik Abdul Aziz dari segi akidah dan fikah saya menentang selama-lamanya dan habis-habisan.
"Bukan saya suka nak memecah-belah atau menghuru-harakan masyarakat, kita berani dan bersedia nak berdebat dengannya seperti dalam ceramahnya sebelum ini yang menyatakan Nabi Muhammad SAW masa kecil sama dengan orang kampung seperti kita," katanya.
Beliau juga amat kecewa dengan tindakan melulu Nik Abdul Aziz menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan sedangkan ia menyentuh kepentingan umat Islam dan kuasa politik Islam.
Katanya, dalam keadaan sebegini, tentunya wajib bagi Pas dan UMNO bekerjasama bagi menjaga kedaulatan agama kerana situasi politik pada masa kini amat membimbangkan apatah lagi rakan politik Pas secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam.
"Beliau terlalu takbur, tanpa sebarang perbincangan beliau telah menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana syak wasangka. Perkara yang lepas (Pas keluar dari UMNO) biarlah berlalu, sekarang orang lain yang menerajui UMNO.
"Kita wajib mempertahankan kedaulatan orang Islam walaupun kita kata mereka (UMNO) tidak berdasarkan Islam.
"Dasar UMNO begitu disebabkan terdesak pada mula-mula penubuhannya disebabkan tekanan British dan kurang pengalaman dalam agama,'' ujarnya.
Menurutnya, selepas 50 tahun mentadbir negara, UMNO yang menjadi tulang belakang perkembangan Islam di Malaysia terus berada di barisan hadapan pemerintahan.
/...

Hadi, Nik Aziz bincang isu Husam di KB

Utusan - 23/11/09
ALOR SETAR 22 Nov. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membincangkan hasrat Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang dikatakan mahu melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti dan kerajaan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kunjungannya ke Kelantan Khamis ini.
Menurut Abdul Hadi, setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut dan hanya membaca menerusi laporan media.
"Saya tidak tahu menahu, cuma mengetahui mengenainya daripada laporan media dan saya kena tunggu maklumat sebenarnya," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melihat sesi perbahasan sebelah pagi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan keputusan Husam Musa yang disifatkan sebagai satu lagi episod menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.
Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sebaliknya memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga Exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.
Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
/...

Ketua Menteri Perjelas Kedudukan Adun Sungai Puyu

Bernama - 22 November, 2009 22:18 PM
PULAU PINANG, 22 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada hari Ahad menjelaskan bahawa Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Puyu Phee Boon Poh tidak meletak kesemua jawatannya dalam DAP.
Beliau berkata Phee telah pun menarik balik peletakan jawatannya berikutan campur tangan beliau (Lim) dan terus memegang jawatan sebagai anggota jawatankuasa DAP negeri, naib pengerusi bahagian Bagan serta pengerusi cawangan Bagan Jermal.
Lim berkata terdapat kesilapan komunikasi dalam kalangan parti tidak lama dahulu tetapi perkara itu telah pun diselesaikan menerusi campur tangan beliau.Beliau turut menjelaskan bahawa tidak berlaku sebarang kesilapan komunikasi antara beliau dan Phee.
Lim mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa Phee telah meletak kesemua jawatannya dalam parti di Pulau Pinang.
/...

22 November 2009

Umno Kelantan Masih Ada Peluang Dapatkan Sokongan Rakyat

Bernama - 22 November, 2009 10:52 AM
PASIR MAS, 22 Nov (Bernama) -- Umno Kelantan masih mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan rakyat memandangkan banyak kelemahan pada pihak PAS yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata bagi tujuan itu Umno perlulah meningkatkan jentera penerangannya dan harus merebut peluang akan kemelut yang melanda PAS.
"Umno di Kelantan kini underdog (tidak mendapat sokongan) tetapi jangan lupa Manik Urai... keputusan pilihan raya di kawasan itu baru-baru ini jelas menunjukkan rakyat Kelantan mahu berubah," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata perlu bagi Umno untuk terus bekerja keras bagi memperkasakan parti itu agar terus mendapat sokongan rakyat.
"Saya mengarahkan Bahagian Penerangan untuk bermuzakarah mengenai isu-isu semasa kepada ahli sebulan sekali, supaya mereka faham isu-isu semasa di samping dapat merapatkan hubungan sesama ahli," katanya.
/...

Nik Aziz nafi Husam mahu letak jawatan

BH - 22/11/09
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan Exco Kanan, Datuk Husam Musa akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri itu.
Mursyidul Am Pas itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.
Beliau menyifatkan tindakan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan itu hari ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan Pas dan melariskan jualan akhbar berkenaan.
"Saya baru baca sebuah akhbar rasa terlalu amat terkejut dengan siaran tajuk Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Laporan itu memetik beberapa sumber sebagai berkata hasrat Husam itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sekali gus memberikan Husan cuti lima hari bermula hari ini untuk berehat dan menenangkan fikirannya.
/...

Nilai Najib secara ikhlas

Utusan (Rencana) - 22/11/09

TUN Daim Zainuddin menyertai kabinet Tun Dr. Mahathir sebagai Menteri Kewangan pada 1984 kemudian meletakkan jawatan tahun 1991. Kemudian pada 1999 sekali lagi beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan tetapi mengambil keputusan meletakkan jawatan dua tahun kemudian.
*****

Sebagai tokoh politik yang sekaligus tokoh korporat, pandangan Daim tentang kedua-dua bidang ini sentiasa ditunggu-tunggu. Beliau tetap menjadi rujukan untuk mendapatkan reaksi perkembangan politik dan juga percaturan turun naik ekonomi dalam dan luar negara. Daim mempunyai pandangan tersendiri tentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kemelut politik semasa dan juga tentang dasar ekonomi negara.
“Beliau lebih peka dan sedia untuk mendengar dan memahami kehendak dan keutamaan masyarakat Malaysia moden.” Demikian tegas Daim apabila ditanya tentang Najib dalam wawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia ZIN MAHMUD, KU SEMAN KU HUSSAIN, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID di pejabatnya di Wisma YPR di Kuala Lumpur semalam.
Wawancara berlangsung selama sejam 30 minit dalam suasana santai di pejabat yang dipenuhi dengan lukisan karya pelukis-pelukis tersohor umpama galeri itu. Daim yang berpakaian ringkas menjawab semua soalan yang diajukan dengan jelas, bernas dan tidak berselindung. Mengenai gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak, Daim secara tegas berkata, “Saya melihat ini gagasan yang sesuai dan berlaku tepat pada waktunya. Asas-asas yang diperlukan untuk melaksanakan gagasan ini sudah siap.”
MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat corak pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang?
DAIM: Beliau menyambung corak pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan juga Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak iaitu corak pemerintahan yang boleh menyatukan sebuah negara bermasyarakat pelbagai etnik untuk melangkah ke masa hadapan yang makmur.
Bagaimanapun yang agak berbeza ialah gaya kepimpinan beliau. Walaupun berusaha untuk mencapai objektif dan matlamat yang sama, objektif dan matlamat yang diburu oleh Perdana Menteri sebelumnya - beliau mempunyai gaya kepimpinan yang boleh disikapkan sebagai lebih bersenang hati dan terbuka. Saya melihat beliau menonjolkan sikap lebih toleransi dan bertolak ansur terhadap pelbagai isu-isu sensitif termasuk yang menyentuh perkara etnik dan agama.
Beliau saya lihat lebih peka dan sedia untuk mendengar dan memahami kehendak dan keutamaan masyarakat Malaysia moden. Barangkali ini adalah hasil daripada generasi beliau, generasi selepas merdeka yang mempunyai faedah dan hasil perjuangan pemimpin sebelumnya. Pandangan beliau yang populis dan kontemporari, termasuk gagasan 1Malaysia - iaitu konsep kebangsaan dan kesatuan di bawah satu bendera tanpa mengira soal etnik adalah pandangan moden yang serasi dengan tahap kemajuan yang telah dicapai kini, kemajuan yang diperolehi setelah infrastruktur sosial, kebudayaan dan asas-asas ekonomi moden dibina oleh Tunku dan Tun Razak, dan dijana dengan bersungguh- sungguh oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
1Malaysia bermula dengan baik. Ia tiba ketika negara dibelenggu dengan kemelut politik dan ekonomi. Lebih setahun rakyat dibebani krisis politik berpanjangan, membangkitkan keresahan dan kekecewaan terhadap sistem politik.
Telah banyak pembaharuan dilakukan beliau antaranya dasar liberalisasi dan pemansuhan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), apa pandangan Tun?
DAIM: Beliau jelas menunjukkan wawasan yang dibentangkan dan dimulakan oleh Dr. Mahathir. Apabila Dr. Mahathir memperkenalkan polisi untuk membuka dan mengembangkan ekonomi negara ini, perkara yang tidak difahami dengan jelas oleh ramai rakyat Malaysia, terutama golongan Melayu-adalah tujuan sebenar polisi tersebut, iaitu untuk membangun dan membaharui ekonomi negara dari sebuah ekonomi berdasarkan pertanian dan komoditi ke sebuah ekonomi moden yang berteraskan perindustrian.
Dan pada masa itu ekonomi pertanian negara ini diterokai dan diterajui terutamanya oleh golongan Melayu. Jadi semestinya golongan yang memerlukan pertolongan terbanyak untuk mengharungi perubahan paradigma ini adalah golongan Melayu. Oleh itu polisi diskriminasi positif (affirmative action) terhadap golongan Melayu yang dilaksanakan itu adalah suatu kebetulan (incidental) dan bukan polisi berasaskan prinsip pemeliharaan hak khusus sesuatu golongan etnik. Matlamat sebenar polisi tersebut adalah untuk meningkatkan pendapatan dan perseimbangan taraf hidup keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan untuk mana-mana golongan sahaja. Keseimbangan pendapatan individu adalah faktor penting bagi mencapai harmoni dalam masyarakat pelbagai etnik seperti yang terdapat di negara ini.
Tetapi strategi yang perlu difikirkan dan dilaksanakan untuk mencapai matlamat itu tentulah sangat mencabar. Untuk menghasilkan sebuah ekonomi moden berasaskan perindustrian dari latar belakang agrarian atau pertanian memerlukan sektor kewangan dan kredit yang luas dan kukuh. Keperluan ini memang perkara asing kepada golongan Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan. Skim Amanah Saham Nasional adalah sebuah daripada beberapa institusi kewangan yang diperkenalkan untuk melibatkan dan mendidik golongan Melayu di dalam industri ini. Jawatankuasa pelaburan asing (FIC) digunakan dalam semangat begini juga, untuk membantu golongan Melayu menyertai aktiviti ekonomi moden. Saya percaya ramai rakyat Malaysia tidak tahu tentang FIC. Orang luar bandar mungkin tidak pernah dengar.
Dengan peningkatan penglibatan golongan Melayu dalam industri kewangan, generasi muda golongan Melayu dapat dilahirkan - golongan Melayu yang terdidik dan berupaya dalam hal-hal kewangan. Situasi masa kini telah jelas berubah dari situasi golongan Melayu selepas kemerdekaan dan seterusnya pada masa Dr. Mahathir, di mana pembaharuan ekonomi yang dimulai dengan hebat berdasarkan pembangunan ekonomi sebagai satu faktor amat penting untuk menyatupadukan rakyat.
Pada masa ini perubahan tersebut amat jelas. Rakyat Malaysia yang dihadapi oleh Najib adalah rakyat yang terdidik dan terbuka kepada konsep tidak ortodoks. Konsep-konsep tidak ortodoks termasuk yang membelakangkan faktor etnik tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat Malaysia 40 tahun dahulu.
Di kalangan orang Melayu tindakan sebegini dilihat sebagai langkah untuk mengurangkan penguasaan mereka dan di pihak orang bukan Melayu pula mereka lihat ia tidak mencukupi?
DAIM: Di kalangan orang Melayu hanya individu Melayu yang tidak berfikiran moden dan tidak berfikiran global akan berpendapat begitu. Mereka adalah kumpulan kecil. Dari era Tunku dan Tun Razak, dasar pembangunan sumber manusia di kalangan golongan Melayu melalui pendidikan menjadi keutamaan kerana majoriti orang Melayu ketika itu tidak terdedah kepada pendidikan moden. Jadi penekanan begitu adalah kewajaran pada waktu itu. Dan kerana usaha begitu kebanyakan pekerja sektor awam kita kini berpelajaran dan dapat menduduki status sosial yang tinggi dan berpengaruh. Jelas bahawa kuasa atau pengaruh yang dinikmati orang Melayu bukan kerana ia etnik Melayu semata-mata tetapi juga kerana ada pelajaran moden.
Kumpulan kecil yang tidak dapat lihat perkara ini tidak mengerti bagaimana sesuatu negara dilahirkan dan definasi sebenar perkataan “negara” atau “nation”. Sebuah negara adalah suatu kesatuan yang mantap yang dipupuk dan dibina bukan dilahirkan.
Sebenarnya saya lihat kebanyakan orang Melayu yang berjaya dalam perniagaan mereka hari ini berjaya kerana kerjasama erat dengan kaum Cina dan India juga. Begitu juga ramai orang Cina dan India berjaya kerana bergabung atau bekerjasama dengan orang Melayu. Jadi bagai aur dengan tebing saling menguatkan.
Hari ini orang Melayu mempunyai pengaruh lebih bermakna dalam aktiviti ekonomi negara berbanding 50 tahun dahulu. Untuk berjaya dan kekal bersaing dalam ekonomi global orang Melayu tidak boleh terus bertongkat kepada hak istimewa tetapi kena bekerja keras, banyak ilmu dan sentiasa kompetitif. Jika tidak mereka bukan sahaja akan kembali ketinggalan tetapi akan dihanyutkan oleh arus deras globalisasi yang tidak mungkin dibendung oleh sesiapa pun.
Golongan bukan Melayu yang anggap perubahan yang dilakukan itu kecil dan mahukan perubahan yang lebih besar itu pun bukan jumlah besar. Kita sebaliknya perlu memberi perhatian kepada golongan bukan Melayu yang berpendapatan kecil dan membantu mereka secara khusus.
Apakah Tun melihat usaha-usaha untuk merapatkan jurang di kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera masih relevan?
DAIM: Dalam setiap golongan etnik masih ada kumpulan kaya dan miskin. Ketidaksamaan pendapatan dan taraf hidup boleh dilihat di dalam semua golongan etnik sama ada Bumiputera atau tidak. Kerajaan semasa harus mengecilkan jurang pendapatan dan jurang kemakmuran di antara rakyat Malaysia secara keseluruhan, di antara golongan Melayu yang kaya dan miskin, di antara Cina yang kaya dan miskin, di antara golongan India yang kaya dan miskin.
Usaha mempertingkatkan taraf hidup seseorang adalah perkara yang relevan buat selama-lamanya bagi semua warga kita. Soalannya ialah apakah cara yang terbaik untuk memperbaiki dengan secara berterusan taraf hidup rakyat Malaysia? Memang ada pelbagai aspek hidup rakyat yang perlu diberi perhatian utama seperti soal kesihatan, taraf kualiti udara dan pencemaran alam sekitar. Perkara-perkara seperti ini adalah kepentingan yang relevan buat semua rakyat Malaysia. Yang berbeza ialah caranya. Cara sekarang perlu relevan dan diterima oleh semua warga terutama generasi muda. Generasi muda dari semua etnik perlu mendapat pekerjaan sesuai dengan pendidikan yang mereka terima dan di dalam pasaran guna tenaga yang sempurna. Sebarang manipulasi dan campur tangan politik akan menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada kerajaan.
Bagaimanakah Tun melihat gagasan 1Malaysia
DAIM: Saya melihat ini gagasan yang sesuai dan berlaku tepat pada masanya. Dari segi sifat kesatuan dan kenegaraan yang dihasratkan di bawah gagasan ini, Republik Indonesia adalah contoh utama.
Rakyat Malaysia seharusnya mengerti dan menerima apa itu yang menubuhkan suatu “negara”. Kita akan mencapai taraf sebuah negara tulen apabila rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa Malaysia yang diduduki mereka adalah negara pelbagai golongan etnik, suatu negara dengan kekuatan dan juga kekurangan tertentu dan suatu negara yang mempunyai perlembagaan dan rukun negara tersendiri. Sebuah negara mencapai taraf sebuah negara sebenar apabila ia tidak mengidentifikasi rakyatnya menurut golongan etnik serta mempunyai satu bahasa nasional yang tidak diperkotak-katikkan lagi.
Jika tiada prinsip penerimaan, kesaksamaan, perkongsian - seperti yang dimaktubkan di dalam perlembagaan kita sebagai rakyat Malaysia tidak akan mencapai kenegaraan yang sebenarnya. Jadi yang lebih penting daripada slogan 1Malaysia itu ialah kesungguhan kita dan upaya kita untuk merealisasikannya. Apakah kita berupaya untuk menghapuskan benteng-benteng yang menghalang terhayatnya gagasan itu? Misalnya kita harus gugurkan semua pernyataan identiti mengikut etnik yang ada pada semua borang rasmi kerajaan. Dalam kad pengenalan kita misalnya soal bangsa perlu digugurkan dan diganti hanya dengan warganegara. Jika kita serius perkara ini perlu dilaksanakan segera.
Apa komen Tun mengenai Indeks Pencapai Utama (KPI)?
DAIM: Ini suatu inisiatif yang bagus, jika ia boleh dilaksanakan dan dipantau dengan sempurna. Sebenarnya inisiatif ini tidak perlu jika menteri-menteri dan wakil rakyat memiliki hati nurani (conscience) dan melaksanakan tugas mereka dengan tujuan murni yakni berkhidmat untuk rakyat dan negeri dengan jujur dan ikhlas.
Apa yang mendorong mereka untuk menjadi menteri atau timbalan menteri? Jika mereka bermaruah dan pendorong mereka adalah conscience mereka yang ikhlas dan tulus mereka akan memberikan khidmat yang terbaik tanpa perlu sebarang indeks.
Jika menteri-menteri dan wakil rakyat kita sebegitu, kita akan mempunyai sebuah negara Malaysia yang lebih baik. Rakyat negara Malaysia juga akan hidup lebih baik. Harapan saya adalah individu yang membabitkan diri mereka dalam kepimpinan politik tidak melihat ‘KPI’ mereka sahaja untuk meningkat prestasi, tetapi melihat hati nurani untuk mendorong peningkatan prestasi mereka.
Mereka harus ingat tugas sebenar mereka - iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia dengan penuh amanah. Melihat ke dalam hati nurani boleh menolong dan membantu bukan sahaja mereka tetapi semua pengikut yang dipimpin, untuk mengelakkan diri mereka daripada kejahatan serius termasuk rasuah.

/...

Bisik-Bisik Mingguan

Utusan - 22/11/09
TERLUPA yang di bawah...
Apa sudah jadi dengan kualiti jalan raya di Kuala Lumpur? Berkeretalah atau tunggang motosikal di ibu negara dan sekitarnya, anda pasti selalu terlanggar permukaan jalan raya yang tidak rata, berlubang dan bercompang-camping.
Keadaan tersebut sukar disaksikan jika menyusuri jalan-jalan yang biasa digunakan oleh pemimpin negara dan orang kenamaan (VIP) tetapi cukup ketara di laluan yang menjadi tumpuan rakyat. Jalan Genting Kelang dekat Setapak misalnya asyik berlubang dan tidak rata hampir sepanjang tahun. Banyak lagi jalan yang sibuk dengan kenderaan terutama menghubungkan ke taman-taman perumahan, berkualiti rendah.
Adakalanya Awang tidak percaya bahawa keadaan jalan-jalan seperti itu terletak di ibu negara yang mahu dijadikan bandar raya bertaraf dunia.
Bagi penunggang motosikal, ia umpama jerangkap samar, yang boleh mengakibatkan mereka terjatuh atau terlibat dengan nahas apabila cuba mengelak lubang, lebih-lebih lagi ketika hujan dan waktu malam.
Jika kita berpeluang meninjau keadaan jalan raya di Jakarta dan Bangkok, sukar untuk melihat jalan yang berlubang, tidak rata dan rosak di laluan-laluan yang penting dan sibuk.
Itu belum bercakap tentang perbandingan dengan kota Singapura, yang Awang sentiasa cuba elakkan.
Lebih aneh, kerosakan jalan biasanya berlaku setiap kali selepas kerja-kerja pengorekan permukaan jalan oleh kontraktor mewakili pelbagai agensi. Penurapan semula yang dilakukan tidak berkualiti, menjadikan jalan mudah rosak.
Sekali lagi yang aneh, ia seperti tidak dipantau oleh PBT dan jika dipantau sekalipun, ia tidak dilakukan dengan tegas. Manakan tidak, banyak laluan di lorong kiri (daripada dua lorong) sentiasa cuba dielak oleh kenderaan kerana selalu menjadi mangsa kualiti turapan buruk para kontraktor, menyebabkan pemandu bertumpu di lorong kanan. Permukaan jalan sebegitu hanya sesuai untuk kenderaan lasak pacuan empat roda. Sepatutnya kontraktor yang gagal menurap jalan dengan kemas dan baik, didenda selain ditamatkan kontrak mereka.
Berdasarkan pengamatan Awang, banyak jalan yang rosak itu terpaksa diturap secara menyeluruh oleh DBKL apabila ia semakin teruk dan berbahaya. Tetapi tidak lama selepas diturap, kerja pengorekan jalan dilakukan maka berulang lagi kerosakan.
Bayangkan berapa banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk projek membaik pulih jalan yang rosak di ibu negara? Siapa yang untung untuk projek penurapan berulang kali ini?
Bercakap tentang isu korek jalan dan kualiti jalan di bandar-bandar Lembah Klang, ia memang menyakitkan hati sejak dahulu lagi. Anak-anak remaja pun boleh bertanya kenapa sampai begitu keadaannya? Mengapa PBT kita tidak mahir menurap jalan atau gagal menjaga kualiti turapan kontraktor?
Kita mungkin berbangga dengan kepesatan fizikal Kuala Lumpur termasuk dari segi bangunan pencakar langit tetapi dalam soal pengurusan kualiti jalan rayanya, kita masih ketinggalan.
Aduan mengenai jalan rosak dan berlubang adalah antara yang terbanyak disalurkan oleh warga kota tetapi penyelesaiannya tidak ke mana. Sedangkan antara perkara paling asas untuk menilai imej sesebuah bandar raya ialah kualiti jalan rayanya.
Awang cadangkan seluruh barisan anggota Kabinet menaiki kenderaan secara konvoi mengelilingi Kuala Lumpur dan perhatikan sendiri kualiti jalan di merata pelosok. Mungkin kita asyik mendongak ke atas dan terlupa memberi perhatian kepada yang di bawah. Silakan...
Ezam, Anwar dan kisah pemimpin terlampau?
Ada seorang kenalan mengirimkan sebuah video koleksi ucapan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Nor bertajuk Hakikat Sebuah Keputusan.
Isu-isu yang dibangkitkan bukanlah terlalu baru tetapi apabila dirangkumkan dalam koleksi, ia kelihatan menarik. Awang lebih teruja dengan kandungan ucapan beliau, kesemuanya berlegar kepada isu integriti dan moral pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim.
Ezam antara lain mendedahkan soal muslihat, pembohongan dan pengkhianatan Anwar dalam banyak perkara termasuk isu kes liwat terhadap pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Beliau juga menyentuh tentang tindakannya keluar PKR.
‘‘Demi Allah, saya tinggalkan Anwar kerana prinsip saya sebagai seorang Islam yang tidak membenarkan saya terus bersamanya sebagai ketua saya. Antara Islam dan Anwar, saya pilih Islam,” kata Ezam.
Isu Anwar kini menjadi perhatian. Ia bukan setakat kes tuduhan liwat terhadap Mohd. Saiful sedikit masa lagi, bahkan tentang masa depan politiknya.
Tindakan Anwar asyik mahu menangguhkan kes mahkamah itu mencetuskan persoalan apakah beliau takut menghadapi kebenaran dan keadilan? Seorang yang mendabik dada sebagai pejuang tiba-tiba seperti tikus mahu melarikan diri. Awang percaya Anwar boleh hidu bahawa pasukan pendakwaan mempunyai bukti lebih kukuh kali ini berbanding kes liwat pertamanya dahulu.
Sebelum ini beliau diragui oleh banyak pihak kerana enggan melafazkan muhabalah atau sumpah laknat di masjid sebagaimana yang dilakukan oleh Mohd. Saiful. Anwar sebaliknya menggunakan pentas politik termasuk di luar negara bagi mempertahankan diri dan seperti biasa mendakwa menjadi mangsa konspirasi.
Selain bertarung dalam kes mahkamahnya, Anwar kini berdepan dengan kedudukan PKR yang kian goyah. Makin ramai pemimpin dan aktivis PKR keluar parti. Isu dalaman parti itu makin serius dengan menyaksikan perpecahan terutama di Sabah dan Selangor.
Khabarnya, Anwar turut resah kerana para pemimpin Pas sudah tidak bulat menyokong beliau termasuk dalam isu moral dan kes liwatnya. Selain itu, tinjauan rambang beberapa pihak mendapati sokongan rakyat dan badan bukan kerajaan Melayu (NGO) terhadap Anwar merosot. Ia ada kaitan dengan kekecewaan orang Melayu terhadap beliau yang didakwa telah menggugat insitusi Melayu selain merosakkan asas kenegaraan dan semangat perlembagaan, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah.
Pada masa yang sama, Ezam, Anuar Shaari, S. Nallakarupan, Lokman Noor Adam, dan puluhan lagi bekas pemimpin PKR yang telah meninggalkan parti itu kini mendedahkan hipokrasi Anwar termasuk dalam isu rasuah dan salah guna kuasa. PKR yang masih baru usianya menyaksikan paling ramai pemimpin kanannya keluar termasuk Chandra Muzaffar, tokoh yang disegani dalam dunia keilmuan.
Kerana menyedari keadaan semakin tidak memihak kepadanya, beliau bertindak sekali lagi melancarkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Ada yang melihat ia sebagai helah Anwar untuk mengalihkan perhatian daripada kes liwatnya dan masalah PKR.
Salah satu isu dalaman ialah kritikan terhadap Anwar kerana terlalu memihak dan mendengar nasihat Naib Presiden, Azmin Ali, sehingga mengguris hati banyak pemimpin lain. Mengapa Azmin mendapat kelebihan itu, Anwar sahaja ada jawapannya.
Bukan setakat isu Azmin, banyak rahsia kepincangan Anwar, juga di tangan Ezam. ‘‘Dia tahu bahawa saya tahu...” kata Ezam.
Persoalannya apa akan jadi jika Anwar dipenjarakan kerana didapati bersalah dalam kes liwatnya? Seandainya itu berlaku beliau akan terlingkung dalam kisah pemimpin terlampau yang terpahat dalam sejarah. Awang melihat masa depan politik beliau kian suram jika beliau tidak dihadapkan ke mahkamah sekalipun. Sesungguhnya, Anwar sudah mula terhukum dengan sendiri. Sudah banyak petunjuk, yang satu demi satu menyerlahkan kebenaran. Realitinya, persekitaran dan kesedaran rakyat ternyata makin tidak menyebelahi beliau. Sehebat mana beliau merancang ia tidak akan mengatasi perancangan Allah. Anwar tentu tahu dan Wan Azizah Wan Ismail, isterinya yang juga Presiden PKR, pasti lebih tahu. Mungkin ada kepincangan yang Wan Azizah juga tahu tetapi tidak terlerai, sekadar tersimpul dalam senyuman manisnya.
/...

Rakyat kembali yakin kepada kerajaan

Utusan (Rencana) - 22/11/09
KEPUTUSAN pilihan raya lalu jelas menunjukkan berlakunya penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN, adakah Tun berpendapat apa yang dilakukan oleh Najib mampu memulihkan kembali sokongan rakyat?
DAIM: Keputusan pilihan raya lalu bukan penolakan BN oleh rakyat Malaysia. Apakah sebab utama perubahan pendapat di kalangan pengundi? Dr. Mahathir, dialah faktor utama di sebalik perubahan keputusan para pengundi.
Dr. Mahathir dengan secara terbuka dan tegas membangkitkan isu Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Apabila Dr. Mahathir, seorang tokoh politik yang terus dihormati oleh kebanyakan rakyat Malaysia menyuarakan ketidakyakinan beliau terhadap kepimpinan BN, ia suatu hentaman kuat bagi kerajaan semasa.
Ramai para pengundi berasa hampa. Para pengundi yang ingin mengundi, terus mengundi parti lain daripada parti-parti komponen BN. Itulah situasi di Kedah dan Perak. Negeri-negeri di mana BN ditewaskan bukanlah swing states. Mereka hanya mengikut jejak langkah pemimpin iaitu Dr. Mahathir. Jika ada pertentangan pendapat di dalam golongan UMNO, hasilnya tak akan begitu di negeri-negeri tersebut. Kenapa Johor masih kekal dipegang oleh BN? Sebab Johor mempunyai ramai pemimpin taraf nasional yang masih berpengaruh dan berwibawa.
Keputusan pilihan raya lalu adalah kenyataan para pengundi yang selama ini menyokong BN terhadap kegagalan Pengerusi BN pada masa itu menangani hubungannya dengan Dr. Mahathir. Kerana itu UMNO dihentam paling teruk. Parti komponen lain seperti MCA dari dahulu adalah parti untuk para pengundi bandar dan tidak pernah menonjol. Selangor dan Perak jatuh kerana faktor ini. Pada masa yang sama para pengundi generasi muda yang memperolehi faedah dari era Dr. Mahathir dengan tiba-tiba merasakan diri mereka terkandas tanpa pemimpin. Mereka yang tidak suka kepada Dr. Mahathir memang tidak menyokong UMNO dan BN, tetapi mereka yang terus mengikuti dan menghormati Dr. Mahathir terus membandingkan Abdullah dengan Dr. Mahathir.
Akhirnya golongan pengundi muda ini mengundi parti apa saja atau siapa saja calon, asalkan ia bukan daripada komponen BN. Lain-lain sebab telah diperkatakan. BN sombong, terlalu yakin (over confident) dan tidak tunai janji dan bila hendak menghadapi pilihan raya kita jangan mencipta isu, kita mesti selesaikan isu. Ini dinaikkan harga minyak, isu video Lingam, demokrasi dibiarkan dan tidak dikawal serta perkara lain yang disebutkan tadi.
Ternyata bagi saya bahawa keputusan pilihan raya dahulu bukan penolakan terhadap BN atau UMNO secara mutlak, tetapi reaksi kepada aksi Dr. Mahathir, jika analisis ini betul, ia akan terbukti pada pilihan raya yang berikutnya.
Najib muncul daripada keruntuhan puing-puing dan serpihan pilihan raya. Masih terlalu awal untuk melihat impak penuh polisi beliau. Pendapat saya ialah beliau telah mengambil laluan betul dan kebanyakan rakyat Malaysia yang bersuara lantang mengkritik Abdullah sekarang memerhati dan meneliti situasi Najib.
Secara keseluruhan bagaimana Tun melihat senario politik negara sejak pilihan raya lepas?
DAIM: Saya bukan penganalisis politik sekadar bercakap berasaskan pengalaman. Tugas pembangkang ialah mencetuskan mood negatif supaya rakyat resah. Apabila harga petrol naik mendadak pada tahun 2006 dan 2007, pembangkang sambar peluang bagi menyemai dan menyemarakkan mood negatif dengan memberi gambaran kerajaan tidak mampu mengatasi keresahan mereka, BN jadi 'barang naik', namun mood negatif ini kian reda. Kita dapati sokongan orang Melayu dan India kepada kerajaan semakin meningkat.
Situasi politik lebih tenang sekarang, sentimen umum dan kepercayaan kepada orang ramai telah mula kembali menyebelahi kerajaan. Berhubung dengan polemik yang ditimbulkan oleh pembangkang, ia bukan perkara baru. Polemik mereka berasaskan isu-isu lama termasuk isu golongan etnik dan agama. Tidak ada isu baru yang dikemukakan oleh parti pembangkang. Membuat tuduh korupsi dan pemborosan wang terhadap kerajaan sebelumnya? Ini semua bukan perkara baru.
Perkara-perkara dan isu-isu ini akan terus hidup buat kepentingan ahli politik. Tanpa isu-isu begini, parti pembangkang tidak akan hidup lama. Polisi apakah yang telah ditukar atau diubah-ubah umpamanya di negeri Selangor? Malah BN (kini di pihak pembangkang) lebih menentang polisi mereka yang terdahulu! Ini yang memberikan warna-warni politik dalam kehidupan masyarakat umum. Kadang-kala ahli politik adalah umpama badut jadi biar mereka berkelakuan sedemikian untuk menghiburkan masyarakat. Lihat mereka di kaca televisyen, terdapat mereka yang pernah menduduki kerusi tertinggi namun sekarang berada di pihak pembangkang dan mengkritik apa yang telah mereka lakukan sebelum ini di dalam kerajaan.
Apakah harapan Tun kepada Perdana Menteri serta rakyat negara ini?
DAIM: Terus membawa perubahan-perubahan yang positif terhadap kehidupan rakyat terutama kepada golongan miskin dan terus mencuba untuk merobohkan benteng-benteng yang menghalang perpaduan rakyat. Matlamat kita ialah mengukuhkan negara Malaysia yang berdaulat dan bermaruah yang mempunyai satu warga - warga Malaysia. Soal etnik tidak akan terhapus tetapi hadirnya biar di peringkat separa sedar (subconscious) saja.
Rasuah harus diperangi habis-habisan. Rakyat resah kerana political class terlalu berkuasa dan bijak menjana sumber kekayaan tanpa menambah nilai atau tanpa sebarang produk.
Kita harap Perdana Menteri akan sentiasa mendengar pandangan-pandangan dari bawah. Harus membuat perubahan untuk rakyat dan mesti mempunyai pandangan global yang lebih meluas.
Kepada rakyat, kita berharap mereka akan melihat aspek-aspek positif dalam perkara yang sedang dilakukan oleh Najib, aspek-aspek yang berasaskan kepentingan negara dan bukan kepentingan peribadi.
/...