30 Disember 2009

Dr. Rosli, isteri lari: Bapa mertua kecewa

UTUSAN - 30/12/09
Oleh Rodelio Junjun Taucan
rodelio.taucan@utusan.com.my
Dr. Rosli Allani Abdull Kadir dan isteri keduanya Illyani Mohd. Noor yang diperintahkan tinggal secara berasingan oleh mahkamah memasuki kereta untuk meninggalkan kediaman mereka di Kampung Telipot, Kota Bharu, semalam. – Utusan/Hafiz Johari
****
KOTA BHARU 29 Dis. – Walaupun ‘dikepung’ oleh keluarga isteri keduanya sejak semalam kerana didakwa ingkar perintah Mahkamah Tinggi Syariah, bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr. Rosli Allani Abdul Kadir dan isterinya, Ilyani Mohd. Noor hari ini berjaya melarikan diri ke tempat yang tidak diketahui dengan menaiki sebuah kenderaan.
Tindakan Rosli Allani itu menimbulkan kekecohan kira-kira pukul 10.30 pagi apabila bapa Ilyani, Mohd. Noor Che Man, 58, cuba menahan anak dan menantunya itu daripada meninggalkan rumah mereka di Kampung Telipot di sini.
Selain itu, Mohd. Noor juga menunjukkan surat perintah ‘mufarakah’ yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
Bagaimanapun, Rosli Allani, 35, dan isterinya yang berusia 30 tahun tidak menghiraukannya lalu bergegas meninggalkan rumah mereka menaiki sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Caldina.
Mohd. Noor, 58, ketika ditemui menganggap bekas ketua penerangan Pemuda Pas Kelantan itu telah melarikan anaknya dan beliau akan berusaha mencari mereka.
“Saya akan terus mencari mereka hingga ke lubang cacing bagi mengembalikan hak saya sebagai seorang bapa dan ketua keluarga,” katanya.
Semalam, Mohd Noor dan beberapa rakannya mengepung rumah yang didiami Rosli Allani dan Nor Ilyani kerana mengingkari arahan Mahkamah Tinggi Syariah supaya tinggal berasingan sementara atau mufarakah selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui kerana disyaki dijalankan oleh satu sindiket di Selangor.
Mohd. Noor juga melahirkan rasa kesal terhadap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) kerana tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Beliau mempersoalkan peranan JHEAIK kerana tidak bertindak semalam untuk menahan Rosli Allani dan anaknya walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah ‘mufarakah’ terhadap pasangan itu.
Katanya, sebaik sahaja mengetahui pasangan terbabit masih tinggal serumah, beliau bersama peguamnya segera ke pejabat JHEAIK untuk membuat aduan namun pelbagai alasan diberi termasuk memerlukan waran terlebih dahulu daripada mahkamah.
Rosli Allani dan Ilyani berkahwin di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008.
Bagaimanapun, berikutan timbul keraguan mengenai status perkahwinan mereka, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 9 November lalu mengeluarkan perintah ‘mufarakah’ melarang pasangan berkenaan tinggal bersama sehingga kes itu diselesaikan.
Surat perintah tersebut turut memberi kebenaran kepada penguat kuasa agama jajahan dan Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan jika mendapati pasangan itu masih tinggal bersama.

/...

29 Disember 2009

Hilang kerakyatan

UTUSAN - 29/12/09
Oleh NORAINI NORDIN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Dis. – Rakyat Malaysia yang memiliki atau menggunakan pasport negara lain untuk keluar negara berdepan dengan risiko dilucutkan status kerakyatan mereka.
Walaupun ada negara lain yang menerima kaedah tersebut namun undang-undang Malaysia tidak membenarkan rakyatnya mempunyai dua kewarganegaraan.
Sehubungan itu Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan pasport negara asing untuk ‘keluar masuk’ negara ini.
‘‘Jika perbuatan itu dikesan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen. Selain itu status kerakyatan mereka juga boleh ditarik,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas kecenderungan segelintir rakyat negara ini yang menggunakan pasport asing untuk ‘keluar masuk’ negara.
Golongan yang dipercayai menggunakan pasport asing itu terdiri daripada mereka yang disenarai hitam oleh pihak berkuasa termasuk Imigresen atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan jenayah.
Turut dikatakan memiliki dua kerakyatan itu ialah pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini dikehendaki oleh pihak polis berhubung dua kes fitnah melibatkannya.
Raja Petra didakwa bolos dari sempadan negara ini dan kini dipercayai berada di London.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sebelum ini pihak Imigresen telah mengesan beberapa kes menggunakan pasport negara asing untuk ‘keluar masuk’ di negara ini.
Katanya, individu terbabit telah dilucutkan kerakyatan mereka melalui proses undang-undang.
‘‘Bagaimanapun tindakan tersebut tidak dilakukan serta merta. Selain siasatan rapi dibuat, individu terbabit telah diberi peluang membuat pilihan untuk terus menjadi warga negara Malaysia atau sebaliknya ,’’ katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menjelaskan, bilangan kes yang dilucutkan kerakyatan kerana mempunyai status dua kerakyatan tidak ramai.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihak Imigresen sentiasa mengawal ketat semua pintu masuk negara sama ada jalan udara atau darat.
‘‘Pemantauan tidak dilakukan secara bermusim. Kita sentiasa memperketatkan kawalan. Kerjasama semua pihak sangat diharapkan,’’ katanya.
/...

Setiausaha akhbar, politik Nik Aziz letak jawatan

BERNAMA - 29/12/2009 6:55pm
KOTA BHARU 29 Dis. — Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengesahkan setiausaha politiknya, Annual Bakhri Haron dan setiausaha akhbar beliau, Mohd. Saiba Yaakub, telah meletakkan jawatan kerana masing-masing tamat tempoh kontrak dan bukannya kerana diberhentikan atas sebab tertentu ekoran kemelut politik dalaman Pas sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, kedua-dua jawatan itu adalah jawatan politik dan boleh diganti bila-bila masa dengan orang lain apabila sampai tempohnya.
"Saya boleh mengesahkan Annual Bakhri sudahpun menyerahkan surat peletakan jawatannya dan saya baru menerima pagi ini, begitu juga dengan Saiba,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan di sini hari ini.
/...

28 Disember 2009

Larangan program luar

UTUSAN - 28/12/09
Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kabinet mengeluarkan arahan tidak membenarkan anggota kerajaan dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadiri mesyuarat atau program tanpa kebenaran sewaktu persidangan Dewan Rakyat berlangsung.
Arahan itu termasuk tidak membenarkan lawatan ke luar negara oleh para menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen kecuali melibatkan program yang benar-benar penting sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu berikutan 'Peristiwa 14 Disember' lalu.
Peristiwa itu menyaksikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah bahagian iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.
Selain itu menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menegaskan soal kehadiran ke persidangan Dewan Rakyat akan menjadi antara perkiraan utama bagi menentukan pencalonan semula seseorang Ahli Parlimen pada pilihan raya umum.
''Pada mesyuarat Rabu lalu, Perdana Menteri telah meluahkan rasa marah terhadap Ahli-ahli Parlimen yang gagal hadir pada malam kejadian dan sebab itu, beliau selepas ini akan bertegas termasuk memantau sendiri kehadiran mereka di Dewan Rakyat.
''Bagi kehadiran menteri, beliau (Najib) sendiri akan memantau manakala timbalan menteri oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sementara Ahli Parlimen yang lain oleh sekretariat BN,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada malam 14 Disember lalu, Najib dan Muhyiddin terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada pukul 11.15 malam itu.
BN mempunyai 138 anggota di Dewan Rakyat tetapi pada malam tersebut hanya 66 orang hadir pada sesi bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.
Selain membawa implikasi besar kepada negara jika bajet tidak diluluskan, 'Peristiwa 14 Disember' itu juga boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan berdasarkan konvensyen atau amalan oleh beberapa negara Komanwel.
Sementara itu jelas Nazri, arahan terbaru Kabinet itu memberi mesej jelas kepada para penggubal undang-undang BN bahawa kehadiran mereka ke persidangan Dewan Rakyat tidak boleh diambil mudah pada masa depan.
Namun katanya, ia bukan bermakna Kabinet menghalang sama sekali program luar sewaktu persidangan Dewan Rakyat berlangsung kerana ia masih boleh diteruskan tetapi dengan kelulusan.
Menurut beliau, ini termasuk melibatkan lawatan ke luar negara yang boleh dilakukan dalam tempoh Dewan Rakyat bersidang tetapi mestilah melibatkan soal penting sahaja.
''Kalau yang benar-benar penting, mereka boleh lakukannya tetapi mesti mendapat kelulusan kerana BN akan bertegas dalam soal kehadiran.
''Mana yang tak penting tak akan diluluskan. Jadi aspek ini akan jadi salah satu perkiraan utama dalam menentukan prestasi Ahli Parlimen kita,'' jelasnya.
Berhubung cadangan supaya waktu persidangan Dewan Rakyat dihadkan agar tidak berlarutan ke lewat malam Mohamed Nazri berkata, perkara itu sebenarnya boleh ditentukan oleh Ahli Parlimen sendiri.
Katanya, jika mereka menggunakan masa sebenar dengan sebaiknya, maka tidak perlu mesyuarat bersambung pada sebelah malam.
''Dalam hal ini juga kita tak boleh sekat orang bercakap. Kalau nak tambah hari bersidang, lagi susah pada pandangan saya.
''Jadi, kalau ahli Parlimen rasa mereka nak balik awal, jangan bercakap panjang lebar. Itu saja,'' ujarnya.
/...

Lapan Pilihan Raya Kecil Warnai Politik Negara Pada 2009

BERNAMA - 27 Disember, 2009 11:42 AM
Oleh Syed Azwan Syed AliKUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Senario politik negara tahun ini diwarnai lapan pilihan raya kecil, dua bagi kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).Dan keputusan lapan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa demokrasi masih subur di negara ini kerana pakatan pembangkang terdiri DAP-PKR-PAS menang kedua-dua kerusi Parlimen dan empat daripada enam kerusi DUN itu.
Siri pilihan raya itu bermula bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail daripada Barisan Nasional akibat serangan jantung ketika sedang bermain badminton pada 28 Nov 2008.
Pada pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Jan 2009, Mohd Abdul Wahid Endut daripada Pas menewaskan Datuk Wan Abdul Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional dan calon bebas, Azharuddin Mamat, dengan majoriti 2,631 undi.
Kemudian pada 7 April, sejarah tercipta apabila tiga pilihan raya kecil dijalankan secara serentak iaitu bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak serta kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah dan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak.
Kerusi Bukit Gantang dan Batang Ai kosong kerana kematian wakil rakyat masing-masing manakala di Bukit Selambau, ia disebabkan ADUN di situ daripada PKR meletak jawatan.Satu rekod dicipta di Bukit Selambau apabila 15 calon bertanding.Kerusi itu dimenangi S.Manikumar daripada PKR. Kecuali calon BN, Datuk S.Ganesan, yang lain hilang wang pertaruhan.
Kerusi Bukit Gantang dimenangi wakil Pas manakala Batang Ai pula dikuasai BN.Akibat masalah dalaman politik di Pulau Pinang, kerusi DUN Penanti dikosongkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR.
BN membuat kejutan dengan memutuskan untuk tidak bertanding kerana menganggap kekosongan itu bukannya berlaku akibat kematian penyadang tetapi sengaja dikosongkan oleh PKR untuk membolehkan seorang wakilnya yang lain bertanding di situ.
Suhu politik negara kemudian dipanaskan dengan kekosongan kerusi DUN Manik Urai di Kelantan ekoran kematian penyandangnya Ismail Yaacob dari Pas akibat serangan jantung pada 22 Mei.
Berbanding Penanti yang tidak meriah, senario di Manik Urai menjadi tumpuan penganalisis politik bagi mengukur sejauh mana keupayaan BN untuk menembusi "kubu kuat" Pas itu.
Keputusan agak mengejutkan kerana calon BN Tuan Aziz Tuan Mat kalah dengan hanya 65 undi berbanding majoriti 1,352 yang diraih oleh Pas pada pilihan raya umum tahun lepas.
"Kejayaan" itu mendorong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berkata : "Inilah kali pertama saya terima ucapan tahniah kerana kita kalah.
"Sebulan kemudian, satu lagi kerusi DUN Pulau Pinang, Permatang Pasir, menjadi kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas, juga kerana sakit jantung. Dan dalam pilihan raya kecil kemudiannya, wakil parti itu Mohd Salleh Man menewaskan Rohaizat Othman daripada BN dengan majoriti 4,551 undi.
Selang beberapa minggu kemudiannya, kematian ADUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Azman Mohammad Noor daripada BN, membolehkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bertanding menentang Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar.
Seperti dijangka, Mohd Isa menang dengan yang memperoleh 8,013 undi menewaskan lawannya itu dengan majoriti 5,435 undi iaitu 110 peratus peningkatan berbanding majoriti 2,333 undi yang dicatat oleh BN pada pilihan raya umum lepas.
Pada 24 Nov lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat perintah Mahkamah Rayuan bagi penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kedah kawasan Kota Siputeh, ekoran kegagalan wakil rakyatnya, Datuk Abu Hassan Sarif daripada BN, menghadiri persidangan sebanyak dua kali berturut-turut.
/...

Pas Selangor didesak keluar Pakatan

UTUSAN - 28/12/09
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 27 Dis. - Sekumpulan penyokong Pas yang mengadakan perhimpunan di pejabat parti itu di sini hari ini mendesak agar Pas keluar daripada pakatan pembangkang di negeri ini.
Desakan tersebut dibuat oleh sekumpulan penyokong Pas itu yang bergerak atas nama Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas (GKPPNS) di hadapan Pejabat Perhubungan Pas Selangor pada pukul 11.30 pagi ini.
Jurucakap GKPPNS, Wan Hilman Wan Ibrahim yang juga ahli Pas cawangan Gombak berkata, tindakan itu diambil atas kesedaran mereka yang mahukan Pas terus kekal sebagai sebuah parti politik yang tidak perlu bersekutu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Ini yang kita (GKPPNS) tekankan kerana wujud rasa tidak puas hati kami sebagai penyokong dan pengundi Pas di peringkat akar umbi dalam banyak hal melibatkan kerjasama dengan PKR dan DAP.
"Kita tidak mahu Pas dipermain-mainkan oleh PKR dan DAP dalam membuat keputusan melibatkan pentabdiran negeri termasuklah dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kepentingan Melayu dan Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Hilman memberitahu, pihaknya turut mengemukakan 13 perkara dalam memorandum untuk mendesak parti itu keluar daripada pakatan pembangkang.
Antaranya, kata beliau, meminta kepimpinan Pas bersikap realistik dalam menyelesaikan isu orang Melayu dan Islam serta bukannya mengikut kehendak pakatan pembangkang yang didominasi oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, ujarnya, memorandum tersebut juga menyarankan kepimpinan Pas supaya mengambil iktibar dalam senario politik di negeri Perak supaya parti itu tidak dihukum oleh penyokong dan pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Malah, katanya lagi, kepimpinan Pas juga dituntut supaya melaksanakan prinsip perjuangan yang telus berdasarkan Perlembagaan dan mempertahankan hak Melayu serta kedudukan agama Islam di Selangor.
Bagaimanapun, jelasnya, memorandum tersebut gagal dikemukakan kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berikutan pejabat parti itu ditutup hari ini.
Wan Hilman turut menegaskan, tindakan mereka itu dibuat atas kesedaran mereka dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
/...

27 Disember 2009

Universiti, industri saling memerlukan maju negara

BM (Rencana) - 27/12/09
Oleh Khaled Nordin
IPT mesti dibantu institusi masyarakat untuk jadi ejen perubahan

PADA September lalu saya menyaksikan sebuah lagi universiti bertaraf antarabangsa muncul dengan kos pelaburan yang cukup besar. Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdul Aziz Al-Saud atau King Abdullah University of Science and Technology (KAUST) yang menelan belanja besar 10 bilion riyal berjaya dirasmikan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut hadir pada majlis perasmian yang penuh gemilang itu.Sebagai sebuah universiti yang menelan belanja besar, pastinya kelahiran KAUST membawa aspirasi dan agenda yang besar juga.
KAUST ditubuhkan bertujuan menjadi pusat penyelidikan yang tersohor, selain menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang menawarkan tempat kepada pelajar terbaik seluruh dunia. Meskipun KAUST bersifat mewah dan elit, universiti itu masih meletakkan misi sosial dengan menarik penyertaan pelajar terbaik dari negara miskin dan kurang membangun. Hal ini amat menarik kerana ia membuktikan KAUST amat komited dari segi akses kepada pengajian tinggi terutama kepada kumpulan yang kurang berkemampuan.
Sebagai permulaan, 400 pelajar dari seluruh dunia ditawarkan untuk belajar di KAUST. Seramai 74 ahli akademik sudah dipilih untuk berkhidmat dan menyumbang kepakaran dalam universiti elit itu. Sebagai permulaan, KAUST menawarkan 11 program akademik, antaranya Sains Komputer, Biosains, Sains Kimia, Matematik Gunaan, Sains Marin dan Kejuruteraan.
Soal prasarana dan kemudahan yang disediakan KAUST tentu sekali menarik perhatian. Padang golf, kelab perahu layar dan panggung wayang turut disediakan untuk kemudahan pelajar dan warga universiti. Malah dimaklumkan panggung wayang di KAUST adalah satu-satu seumpamanya di Arab Saudi. Sentuhan urbanisasi dan modenisasi ternyata mendominasi kampus KAUST, malah pelajar wanitanya dikatakan tidak wajib menutup aurat dan memakai abaya seperti wanita lain di luar kampus.
Kemunculan KAUST sebagai universiti elit yang menawarkan akses pengajian tinggi kepada pelajar seluruh dunia membawa beberapa persoalan penting. Antaranya, adakah KAUST bersedia menjadi enjin perubahan kepada negaranya sendiri, Arab Saudi yang terkenal dengan nilai dan amalan konservatif. Adakah KAUST boleh membawa idea perubahan dan mengubah landskap sosiopolitik Arab Saudi? Adakah KAUST pada akhirnya boleh mengubah sistem monarki kepada demokrasi?
Saya tidak berminat untuk menjawab persoalan itu dari sudut KAUST dan Arab Saudi. Perkara itu boleh menjadi persoalan umum yang boleh dihalakan kepada mana-mana pihak, termasuk kita di Malaysia. Ramai di kalangan kita bertanya, apakah universiti boleh berbuat sesuatu untuk melakukan perubahan untuk negara?
Ada kalanya persoalan yang diajukan terlalu berat sehingga seolah-olah universiti yang bertanggungjawab menentukan masa depan negara. Soalan yang hampir sama ditanya kepada saya sewaktu menjadi panel dalam Agenda Awani, di saluran Astro Awani, bulan lalu.
Soalan pengerusi acara kepada saya, apakah universiti bertanggungjawab menyediakan ekosistem yang baik untuk negara? Jawapan saya mudah saja iaitu universiti bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab menyediakan ekosistem itu, sebaliknya yang lebih penting ialah universiti mesti berada dalam ekosistem yang baik kerana dengan itu, ia boleh menyumbang secara efektif kepada pembangunan negara.
Mesej yang ingin saya sampaikan dalam hal ini amat mudah. Kita tidak boleh bergerak dan berfungsi secara terpisah. Universiti tidak boleh bergerak dengan sendirinya tanpa bantuan pihak lain. Dalam soal penyelidikan misalnya, universiti boleh menghasilkan penyelidikan yang bermutu dan berimpak tinggi. Namun ia masih memerlukan aktor lain seperti pihak industri untuk tujuan pengkomersialan. Jika tidak, hasil penyelidikan di universiti akan terbiar begitu saja dan perbelanjaan yang besar kita terhadap penyelidikan tidak berbaloi. Justeru, hubungan universiti dengan industri mesti diperkukuhkan, malah saya menggalakkan supaya industri menjadikan universiti sebagai pusat latihan mereka dalam kampus.
Saya sering kali mengingatkan kepada universiti supaya bersikap proaktif untuk menjual produk dan hasil penyelidikan mereka. Universiti tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga industri mendekati mereka. Kita mempunyai banyak hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh dibanggakan. Penemuan genom getah yang hasilkan oleh Pusat Biologi Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan penciptaan terowong angin untuk program aeroangkasa dan automotif, penyelidikan aerodinamik dan pembangunan produk berkaitan aerodinamik oleh Kuliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) antara inovasi tempatan bertaraf dunia yang boleh dikomersialkan oleh industri.
Saya percaya, jika produk dan hasil penyelidikan universiti kita berjaya dikomersialkan secara optimum, hasrat kerajaan untuk membawa model ekonomi baru berteraskan inovasi akan terlaksana.Baru-baru ini, saya bercakap mengenai persediaan dan perancangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Ada lapan strategi untuk memastikan jaminan masa depan negara melalui sektor pengajian tinggi. Saya sedar, beberapa idea yang dilontar dalam perancangan KPT untuk RMK 10 adalah besar.
Oleh itu, saya berpendapat bahawa KPT tidak boleh melakukan secara bersendiri dan perlu kerjasama beberapa pihak termasuk kementerian dan industri amat dialu-alukan. Saya juga percaya hal yang sama juga berlaku pada kementerian yang lain kerana dalam dunia yang global dan penuh cabaran ini, kita mesti bersatu dan berganding bahu.
Beberapa hari lalu, saya merasmikan Global Higher Education Forum (GHEF), anjuran KPT, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPTTN), Arab Saudi dan disokong oleh Association of African Universities (AAU), Consortium for North American Higher Education Collaboration (CONAHEC). Saya percaya GHEF boleh menjadi gelanggang utama ahli akademik dan penyelidik seluruh dunia untuk bersama-sama dan berkolaborasi dalam menangani isu pengajian tinggi masa kini.
GHEF yang mengambil tema trend semasa dan masa depan dalam pengajian tinggi negara membincangkan pelbagai isu yang berkaitan. Ia amat relevan kerana dalam kedudukan dunia yang global dan sudah terheret dengan isu pengantarabangsaan dan kuasa pasaran, sektor pengajian tinggi mesti berubah dan memugar paradigmanya.
Isu kerjasama antara institusi pengajian tinggi turut mendapat perhatian kerana seperti yang saya jelaskan sebentar tadi, kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah. Institusi pengajian tinggi negara mesti bersama-sama dalam satu wadah seperti yang ditunjukkan oleh beberapa negara lain.
Beberapa kolaborasi antara universiti seperti The Association of Southeast Institutions of Higher Learning (ASAIHL), The Association of African Universities (AAU), the European University Association (EUA) and the International Association of Universities (IAU) boleh dijadikan model dan contoh kepada perkongsian bijak antara institusi pengajian tinggi.
Selain itu, pengalaman Malaysia dalam mengendalikan sektor pengajian tinggi mesti dikongsi oleh negara lain. Komitmen Malaysia untuk membantu sektor pengajian tinggi di beberapa negara seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV) mesti disokong dan dibantu. Strategi serampang dua mata ini juga boleh menjadi sebahagian daripada dasar luar negara kita melalui strategi pengajian tinggi.
Kesimpulannya, masa depan universiti cukup hebat. Mereka berdepan dalam situasi globalisasi yang mencabar dan mendebarkan. Tiada cara yang terbaik melainkan berkongsi dan berkolaborasi. Dalam pada itu, permintaan terhadap pengajian tinggi juga meningkat.
Global Education Digest 2009 yang diterbitkan oleh Institut Statistik Unesco menunjukkan bahawa sejak 2000, 51.7 juta pelajar seluruh dunia sudah dan sedang melanjutkan pengajian pada peringkat pengajian tinggi. Daripada jumlah itu, 2.8 juta pelajar melanjutkan pengajian di luar negara mereka. Ini adalah satu statistik yang menarik dan cabarannya juga mengujakan.
/...
Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi

Politik 2010. Siapa kecundang?

UTUSAN (Rencana) - 27/12/09
Tinggal beberapa hari lagi, tahun 2009 akan menutup tirainya dan kita akan melangkah ke tahun baru 2010.
Sepanjang tahun ini, pelbagai peristiwa suka dan duka mewarnai kehidupan di negara ini.
Awang bersyukur kerana 2009 menyaksikan banyak peningkatan dalam semua bidang terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.
Sokongan terhadap kerajaan yang sebelum ini sesuatu yang dianggap kritikal telah berubah menjadi jauh lebih baik.
Pada masa yang sama, pembangkang berdepan dengan banyak masalah dalaman dan kajian mendapati sokongan terhadap pembangkang termasuk daripada kalangan orang muda, merosot.
Isu-isu politik akan terus menjadi tumpuan pada tahun depan. Barisan Nasional (BN) kini menghadapi isu-isu tertunggak yang perlu diatasi termasuk kemelut MCA dan PPP. Formula terbaik, Presidennya, Ong Tee Keat wajar berundur dan perlu ada barisan kepimpinan baru.
Awang juga berharap kelesuan dalam Gerakan ekoran kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum lalu dapat dipulihkan. Tanda-tanda kebangkitan parti itu belum nampak. Timbul persoalan, apa yang Presidennya, Koh Tsu Koon lakukan? Jika beliau tidak agresif, lebih baik berundur dan beri peluang kepada pemimpin pelapis. Yang paling dinantikan ialah peralihan kepimpinan MIC daripada S. Samy Vellu kepada penggantinya. Samy sudah menerajui MIC terlalu lama dan tiada sebab BN perlu berkompromi untuk mengekalkan kedudukannya. Awang percaya tanpa Samy, potensi MIC untuk menarik sokongan masyarakat India jauh lebih besar. Parti itu sendiri harus merasa malu besar jika gagal memastikan peralihan seolah-olah pergantungan mereka kepada Samy terlalu luar biasa.
UMNO seimbas lalu kelihatan kukuh tetapi itu bukan jaminan parti tersebut boleh selesa. Ini kerana keberkesanan kebanyakan bahagian UMNO untuk mendampingi rakyat terutama golongan muda masih di takuk lama.
Desas-desus rombakan kecil bagi jawatan menteri dan timbalan menteri melibatkan beberapa pemimpin UMNO terus berlegar dan mungkin menjadi kenyataan pada tahun baru.
Antara nama yang disebut-sebut akan dilantik ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Kedudukan beliau di luar jawatan kerajaan seperti sekarang memberi kelebihan untuk melonjakkan misi parti. Tetapi jika dilantik, Awang percaya ia langkah yang tepat. Sama ada suka atau tidak, Khairy sememangnya berkebolehan dan boleh menjadi sandaran. Bagi pembangkang, 2009 pasti menjadi tahun yang amat mencabar. Kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Azlan Bukhari pasti menjadi tumpuan seluruh negara. Berdasarkan petunjuk terbaru, Anwar tidak lagi menerima sokongan padu daripada pembangkang. Sebahagian pemimpin Pas misalnya tidak lagi teruja mempertahankan beliau kerana tidak mahu parti itu terbabit dalam isu moralnya. Taktik beliau asyik menangguhkan kes itu juga mencetuskan persoalan besar semua pihak termasuk pembangkang - mengapa takut?
Perpecahan dalam Pas diramalkan oleh banyak pihak akan 'meletup' tahun depan. Kedudukan Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat makin goyah. Isu menantunya, tajaan haji dan pendirian pro kumpulan Erdogan dan DAP, mengheret beliau kepada kemerosotan sokongan yang belum pernah berlaku selama ini. PKR pula bertungkus lumus untuk membendung kejatuhan sokongan rakyat ekoran pelbagai isu terutama kelemahan dan kepincangan kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim. Keraguan terhadap Naib Presiden, Azmin Ali juga terus memuncak dan yang nyata, pergeseran dalaman PKR kian melemahkan parti tersebut. Dalam pada itu, DAP kelihatan terdesak untuk mengekalkan momentum sokongan kaum Cina dengan memainkan banyak isu perkauman dan hal-hal yang menyentuh Perlembagaan.
Pada Awang, DAP meneruskan rekodnya sebagai parti paling rasis bukan sahaja di Malaysia, malah di dunia.
Tetapi isu lebih kritikal yang melingkari pembangkang ialah kegagalan untuk membina pakatan sebenar kerana bimbang ada parti yang lebih dominan.
Memandangkan begitu banyak kepincangan pembangkang maka strategi mereka ialah memanipulasi isu-isu tertentu termasuk yang terbaru berkaitan kehilangan enjin pesawat TUDM. Awang lega kerana kerajaan komited kepada siasatan penuh untuk menghukum sesiapa yang bersalah.
Apa pun banyak persoalan berlegar terhadap isu politik tahun depan. Apakah pembangkang terutama PKR akan merudum teruk atas segala kepincangan atau sebaliknya BN tidak melonjak hanya kerana kesilapan dan kelalaiannya? Yang lebih menjadi perhatian, siapakah politikus yang akan kecundang? Apa pula doa dan harapan Awang bagi tahun 2010? Semoga negara diselamatkan daripada politikus musang berbulu ayam - yang berniat jahat, menjadi alat pihak asing dan yang mahu merungkai Perlembagaan negara.
/...

Ambil saja kerusi PKR

UTUSAN (Rencana) - 27/12/09
Oleh Zulkiflee Bakar
SEJAK 1990, apabila Pas mula memerintah Kelantan, ia dianggap kawasan selamat bagi Pas, oleh itu siapa sahaja yang diletakkan sebagai calon bagi bertanding kerusi Parlimen ia tidak ada masalah.
Pada masa ini terdapat tiga pemimpin Pas yang bukan berasal dari Kelantan tetapi menjadi Ahli Parlimen di negeri berkenaan, mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Bahcok), Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari Agung Pas, Dr.Hatta Ramli (Kuala Krai).
Tetapi apakah nasib mereka selepas ini, setelah wujudnya isu bahawa Pas Kelantan akan mempertimbangkan untuk mengutamakan calon anak tempatan bagi bertanding kerusi Parlimen di negeri itu.
Walaupun setakat ini, belum ada keputusan muktamad tetapi ia menjadi bualan ramai. Ada yang mengaitkan ia dengan hubungan dingin antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Nasharuddin, justeru timbul andaian bahawa antara ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut Nasharuddin paling tidak selamat.
Bagaimanapun adalah terlalu awal untuk membuat telahan memandangkan Nik Abdul Aziz sendiri sudah menyatakan bahawa, ''Di dalam Islam tidak ada perbezaan antara orang luar dan orang dalam.''
Penganalisis politik dan sosial, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, walaupun penentuan soal ini adalah hak eksklusif kerajaan Pas Kelantan tetapi Pas negeri itu sudah dianggap model kepada Pas negeri lain terutama dalam membentuk pentadbiran politik.
''Dasar sedia ada iaitu adanya orang luar menjadi wakil rakyat Pas di Kelantan adalah satu keunikan yang melambangkan sikap keterbukaan dan keberanian, inilah yang menjadi Pas Kelantan berbeza dengan Pas negeri lain,'' katanya.
Oleh itu kata beliau jika Pas Kelantan benar-benar hendak mengamalkan dasar tidak mahu lagi menerima orang luar ia perlu dijelaskan kepada penyokong parti itu.
Sememangnya itulah langkah yang harus dilakukan oleh Pas Kelantan bagi mengelakkan sebarang spekulasi dibuat, jika 'dasar tutup pintu' kepada orang luar tersebut dilaksanakan. Hakikatnya, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan terutamanya Nasharuddin dan Salahuddin bukanlah calang-calang pemimpin. Mereka dilihat pemimpin masa depan Pas. Nasharuddin dilihat cukup cemerlang di peringkat pusat.
Menumbangkan
Kejayaan menumbangkan Datuk Awang Adek Hussain di Bachok pada pilihan raya umum lalu sudah membuktikan bahawa penyokong Pas melihat bahawa ketokohan Nasharuddin tidak harus disia-siakan.
Begitu juga Salahuddin yang diterima baik oleh pengundi-pengundi Kubang Kerian kerana beliau melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan sehingga menyukarkan UMNO Kelantan menembusi kubu kuat Pas itu. Walaupun berasal dari Johor tetapi Salahuddin tidak pernah mengabaikan tanggungjawab di Kubang Kerian, sebab itulah jika Pas Kelantan tidak lagi membenarkan beliau bertanding di situ, ia bukan sahaja akan merugikan mereka tetapi juga Pas pusat.
Mungkin juga selepas memerintah 20 tahun, Pas Kelantan berasa masanya sudah tiba untuk anak tempatan diutamakan. Sebenarnya langkah itu tidak salah tetapi mereka perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang tafsiran bahawa ia ibarat perbuatan 'lepas manis sepah dibuang.'
Ia kerana setakat ini, orang luar yang menjadi Ahli Parlimen Pas di Kelantan telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan mereka berkhidmat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu seolah-olah itu negeri asal mereka. Janganlah kerana ada sedikit 'perselisihan faham' dalam pendirian politik, maka mereka hendak dikorbankan begitu sahaja tanpa memikirkan implikasinya bagi jangka masa panjang kepada Pas.
Menyentuh perkara itu, Ahmad Masrizal berkata, soalnya jika berbalik semula dengan formula baru iaitu Kelantan untuk orang Kelantan sahaja, dalam keadaan gelora politik yang tidak bertepian yang melanda Pas sekarang ini termasuk permasalahan integriti pentadbiran kerajaan negeri, apakah Pas mampu menjamin rekod kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?
Hujah seumpama ini seharusnya menyedarkan Pas bahawa cabaran untuk mereka terus menikmati kemenangan selesa seperti mana dalam pilihan raya umum lalu adalah terlalu getir.
Mungkin mereka merasakan Pas semakin selesa di Kelantan tetapi mereka tidak harus lupa bahawa dalam politik segalanya boleh berlaku. Pas negeri itu hakikatnya tidak sekebal mana, tersilap langkah mereka boleh kehilangan kuasa.
Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2004, apabila Nik Abdul Aziz terpaksa memerintah dengan kelebihan hanya dua kerusi sudah menjadi bukti bahawa kekuatan Pas bukannya tidak boleh diruntuhkan.
Apatah lagi, sama ada mereka hendak mengakui atau tidak, kekuatan Pas di Kelantan bergantung kepada Nik Abdul Aziz. Jika selepas ini Nik Abdul Aziz terpaksa berundur, maka pengunduran itu akan menyeret bersama kekuatan berkenaan.
Dalam memastikan ia tidak menjadi kenyataan, Pas Kelantan harus bijak berstrategi dan bukannya dengan mudah membuat sesuatu keputusan hanya semata-mata berlandaskan kepada pandangan satu dua pihak sahaja.
Mahu tidak mahu, Pas harus mengakui bahawa di peringkat Parlimen masih terdapat banyak kerusi di seluruh negara yang tidak selamat untuk pemimpin-pemimpin utamanya bertanding.
Tambahan pula dengan kesepakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ruang untuk Pas bertanding di kawasan-kawasan yang parti itu ada harapan adalah tipis.
Adalah lebih wajar jika Pas mengambil kembali tiga kerusi Parlimen miliknya di Kelantan yang sebelum ini diberikan kepada PKR iaitu di Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Itu lebih baik daripada mereka menyingkirkan orang mereka sendiri hanya kerana faktor orang luar.
Apatah lagi, di Kelantan kehadiran PKR ibarat hidup segan mati tak mahu. Parti itu tidak mempunyai apa-apa pengaruh, sebaliknya hanya bergantung kepada kekuatan Pas bagi meraih kemenangan dalam pilihan raya. Adalah wajar jika Pas bertanding di semua kawasan Parlimen manakala PKR hanya diberikan satu dua kerusi sahaja di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebelum ini pun kehadiran PKR tidak menyumbang apa-apa kepada Pas di Kelantan maknanya bak kata orang, ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi.
Apa pun Pas Kelantan mempunyai kata putus dengan restu Pas pusat bagi menentukan sama ada calon orang luar perlu terus diberi kebenaran bertanding di negeri itu atau tidak.
Tetapi apa yang pasti, kekuatan Pas di Kelantan tidaklah sehebat dulu, terlalu banyak peristiwa yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan bahawa lagi lama mereka memerintah lagi banyak kepincangan berlaku kerana Pas juga adalah parti politik.
/...

Polis ambil keterangan Adun Seri Kembangan

BERNAMA - 27/12/2009 4:46pm
KUALA LUMPUR 27 Dis. - Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis akan mengambil keterangan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berhubung kenyataannya yang cuba menakut-nakutkan polis.
"Kita akan memanggil Hian Wah dalam waktu terdekat untuk dirakam percakapannya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Adun itu dalam media yang mengarahkan polis menghentikan siasatan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah satu kesalahan dan seolah-olah cuba menakut-nakutkan pihak polis.
"Ingin saya tegaskan, Yang Berhormat jangan cuba menakut-nakutkan kita dengan memberi arahan supaya tidak meneruskan siasatan ke atas Guan Eng,” katanya kepada pemberita pada Hari Mesra Bersama Masyarakat Dengan Polis di Seri Kembangan di sini hari ini.
Sebelum ini, Khalid berkata, Guan Eng akan disoal siasat kerana mendakwa setiausaha politik Exco Selangor Teoh Beng Hock mati dibunuh, pada konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember di Shah Alam.
/...

Sani Express sedia pampasan untuk waris mangsa

BERNAMA - 27/12/09
KUALA LUMPUR: Sani Express Sdn Bhd sedia memberi pampasan kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Ipoh, awal pagi tadi bagi meringankan beban mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Mohammad, ketika dihubungi berkata sebagai tindakan segera, Sani Express akan menyediakan peruntukan khas untuk setiap keluarga mangsa.
Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi keluarga mereka yang terbabit bagi tujuan penyaluran bantuan tidak lama lagi.
Katanya, bas dua tingkat milik syrikat itu yang membawa 48 penumpang berada dalam keadaan baik sebelum ia memulakan perjalanan dari Klang, Selangor, pada 9 malam tadi menuju ke Kuala Perlis, Perlis.
"Bas berkeadaan baik dan diselenggara dengan baik. Bas itu juga dikunci had kelajuannnya pada 97 kilometer sejam dengan menggunakan alat khas 'speed limiter'," katanya.
Abu Bakar berkata, dengan menggunakan alat itu pemandu tidak boleh memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan atau mengubah alat terbabit untuk menambah kelajuan.
"Siasatan kami juga mendapati kelajuan bas yang dirakamkan sebelum kemalangan adalah 91 km sejam," katanya.
Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil syarikat terhadap pemandu bas yang didakwa terlelap, beliau berkata tindakan susulan akan dibuat setelah laporan daripada polis berhubung punca sebenar kejadian diperolehi.
"Tindakan selepas ini bergantung kepada hasil siasatan polis. Jadi kena tunggu laporan (polis) itu dahulu," katanya.
Abu Bakar berkata, operasi bas milik syarikat itu juga masih berjalan seperti biasa.
Dalam kejadian 1 pagi tadi, 10 penumpang bas dua tingkat Sani Express maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas itu terbabas dan melanggar pengadang jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.
/...

Penyokong Pas Selangor desak keluar pakatan

UTUSAN - 27/12/2009 2:05pm

Penyokong dan pengundi Pas membuat demonstrasi mendesak Pas keluar dari Pakatan Rakyat di hadapan Pejabat Pas negeri Selangor di Shah Alam. - Gambar: Saharuddin Abdullah

*****

SHAH ALAM 27 Dis. – Kira-kira 20 Pas Selangor hari ini berhimpun di sini bagi mendesak kepimpinan parti itu keluar daripada pakatan pembangkang.

Kumpulan tersebut mendakwa, Pas perlu mengambil tindakan itu secepat mungkin ekoran terlalu banyak keadaan yang tidak memihak kepada parti tersebut sama ada dalam pentadbiran di Selangor dan perjuangan Pas.

Malah kumpulan tersebut yang bergerak atas nama Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas (GKPPNS) itu turut menyatakan Pas sejak akhir-akhir ini dilihat menjadi boneka kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Keadaan itu kata mereka, boleh menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam yang dikhuatiri akan terus menggadaikan maruah parti itu.

Menurut jurucakap GKPPNS, Wan Hilman Wan Ibrahim, desakan yang dilakukan oleh pihaknya tercetus daripada kesedaran yang mahukan Pas terus kekal sebagai sebuah parti politik yang tidak perlu bersekutu dengan PKR dan DAP yang menolak konsep negara Islam yang diperjuangkan sebelum ini.
/...

Penyokong Pas Selangor desak keluar pakatan

UTUSAN - 27/12/2009 2:05pm
SHAH ALAM 27 Dis. – Kira-kira 20 Pas Selangor hari ini berhimpun di sini bagi mendesak kepimpinan parti itu keluar daripada pakatan pembangkang.

Kumpulan tersebut mendakwa, Pas perlu mengambil tindakan itu secepat mungkin ekoran terlalu banyak keadaan yang tidak memihak kepada parti tersebut sama ada dalam pentadbiran di Selangor dan perjuangan Pas.

Malah kumpulan tersebut yang bergerak atas nama Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas (GKPPNS) itu turut menyatakan Pas sejak akhir-akhir ini dilihat menjadi boneka kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Keadaan itu kata mereka, boleh menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam yang dikhuatiri akan terus menggadaikan maruah parti itu.

Menurut jurucakap GKPPNS, Wan Hilman Wan Ibrahim, desakan yang dilakukan oleh pihaknya tercetus daripada kesedaran yang mahukan Pas terus kekal sebagai sebuah parti politik yang tidak perlu bersekutu dengan PKR dan DAP yang menolak konsep negara Islam yang diperjuangkan sebelum ini.
/...

26 Disember 2009

MB Selangor lawat Kashmir

BERNAMA - 26/12/09
NEW DELHI: Dalam apa yang dilihat sebagai misi senyap untuk mengukuhkan hubungan antara Selangor dengan Kashmir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kini berada di negeri utara India itu. Khalid tiba di Kashmir, satu-satunya negeri di India yang manjoriti penduduknya beragama Islam, Rabu lalu dan kini menetap di rumah tetamu kerajaan. "Beliau berada di sini dan tinggal di Circuit Guest House dan akan menghadiri Festival Salji Kashmir," kata seorang pegawai kanan pelancongan kepada Bernama.
Menteri Besar itu juga dijangka bertemu dengan Menteri Tenaga Baru dan Diperbaharui India, Farooq Abdullah. Farooq juga adalah pemimpin Parti Persidangan Kebangsaan (NC) sementara anaknya Omar Abdullah adalah Ketua Menteri Jammu dan Kashmir sekarang. Kunjungan Khalid boleh menimbulkan persoalan di Malaysia kerana ahli politik dan diplomat Malaysia (dan mereka yang mempunyai pasport diplomatik) adalah dilarang daripada melawat Kashmir.
Ini berikutan keputusan yang dibuat oleh Kabinet Malaysia pada 1980-an yang bertujuan "meredakan" Pakistan berhubung pertikaian wilayah Kashmir. Namun sesetengah pemerhati berkata Menteri Besar Selangor itu boleh berhujah bahawa larangan tersebut tidak tertakluk kepada ahli politik pembangkang. Sebagai pemegang pasport biasa Malaysia, mereka boleh melawat Kashmir sebagai pelancong. Lembah Kashmir kini sedang merayakan Festival Salji dan beberapa acara sukan musim sejuk pada setiap kali musim salji pada Disember.
/...

PMR: SM Imtiaz sekolah terbaik di Terengganu

UTUSAN - 26/12/09
BESUT 25 Dis. - Sekolah Menengah Imtiaz Besut di sini muncul antara sekolah terbaik di Terengganu apabila 34 daripada 53 pelajarnya memperoleh 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan semalam.
Selain itu, 12 pelajarnya juga memperoleh 8A diikuti lima orang mendapat 7A dan masing-masing seorang yang memperoleh 6A dan 5A.
Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharudin Ibrahim berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud turut cemerlang dengan 100 daripada 209 pelajarnya mendapat 8A.
Katanya, seramai 45 pelajar sekolah itu turut memperoleh 7A, 20 orang (6A), 18 orang (5A) manakala 26 daripada 181 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq pula memperoleh 9A.
''Seramai 39 pelajar sekolah itu memperoleh 8A diikuti 30 orang (7A), 25 (6A) dan 18 (5A), manakala SMKA Wataniah mencatatkan sekolah ketiga terbaik di daerah Besut apabila 19 pelajarnya memperoleh 9A," katanya.
Seramai 30 pelajar SMKA Wataniah juga memperoleh 8A, selain 37 orang mendapat 7A diikuti 30 (6A) dan 34 orang pula memperoleh (5A) dalam peperiksaan tersebut.
Seramai 3554 calon dari 19 buah sekolah menengah di daerah ini menduduki PMR tahun ini dengan keseluruhan 95 orang mendapat 9A, 138 orang (8A) yang mencatatkan 232 orang memperoleh semua A dengan 6.56 peratus.
Sementara itu, seramai 51 daripada 156 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut memperoleh 8A dan 91 daripada 169 pelajar MRSM Kota Putera memperoleh 8A.
/...

Anak perempuan Nik Aziz disanggah pemimpin negeri

BH - 26/12/09
KOTA BHARU: Seorang pemimpin Pas Kelantan semalam, menyanggah kenyataan anak Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Amalina, yang mendakwa pemimpin Pas negeri itu hanya berdiam diri dan membiarkan bapanya yang juga Menteri Besar, sendirian mendepani serangan terhadap parti dan kerajaan negeri diterajuinya.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron, berkata setiap minggu, pemimpin parti bersama Nik Aziz berbincang dan hasil keputusan itu, tidak semua pemimpin mengeluarkan kenyataan. "Dalam mengeluarkan kenyataan, kita (pemimpin Pas negeri) serah kepada tok guru (Nik Aziz) selepas sesuatu isu itu difikir dan dibincang secara bersama.
"Usaha Nik Amalina membela suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, yang berdepan dengan desakan supaya meletak jawatan boleh diterima kerana kedudukannya sebagai isteri," katanya ketika ditemui, semalam.
Abdul Fatah berkata, menulis di blog adalah kebebasan individu, tetapi kalau menyentuh perkara yang menyebabkan ia perlu dijawab oleh orang lain, ia perlu diambil perhatian oleh penulis terutama ahli keluarga Nik Aziz. Katanya, tindakan Amalina menuduh pemimpin Pas lain tidak membela Nik Aziz adalah salah.
Kelmarin, Nik Amalina menerusi laman blognya, mendakwa pemimpin Pas di negeri itu hanya berdiam diri dan membiarkan bapanya sendirian berdepan serangan terhadap kerajaan dan parti itu kebelakangan ini. "Kenapa harus tok guru saja yang bangun mempertahankan setiap apa yang berlaku. Bangunlah wahai pimpinan.
Tunjukkan bahawa anda bersatu, buktikan dengan tindakan, jangan hanya suara dari belakang, yang anda juga menyayangi tok guru dan sudah tentu kerajaan Islam hari ini," katanya. Abdul Fatah berkata, semua pihak sama ada pimpinan parti dan kerajaan negeri serta ahli keluarga Nik Aziz sendiri, perlu meredakan keadaan dan bermuhasabah diri bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung pergolakan dalam parti itu kebelakangan ini.
"Biarlah tok guru menyelesaikannya sama ada masalah dalaman keluarga, politik dan pentadbiran negeri," katanya.
/...

Pas Kelantan tolak YB import

BH - 25/12/09
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
Wakil rakyat bukan anak tempatan diminta bertanding di negeri masing-masingKOTA BHARU: Pemimpin Pas Kelantan kini sependapat, sudah tiba masanya Ahli Parlimen 'import' parti itu, kini dieksport kembali bertanding di negeri masing-masing pada pilihan raya akan datang, sekali gus membolehkan semua kerusi negeri itu diwakili anak tempatan.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, berkata Pas negeri akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu selaras kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kelmarin, yang bersedia meneliti cadangan berkenaan.
"Sebelum ini, Pas Kelantan membuat ketetapan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti diisi anak tempatan dan kini tiba masanya kerusi Parlimen juga dikembalikan sepenuhnya kepada anak Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.Mohd Zaki yang juga Timbalan Yang Dipertua DUN Kelantan, berkata berdasarkan pengalaman, semua Ahli Parlimen yang bukan anak tempatan wajar bertanding di kawasan sendiri dalam usaha memperluaskan pengaruh Pas di negeri lain.
"Kalau sebelum ini kita import calon luar, bagi saya sudah tiba masanya kita eksport mereka balik ke negeri asal untuk mengukuhkan kedudukan Pas di negeri lain. Mereka mempunyai kredibiliti dan pengalaman luas serta sudah ada nama.
"Malah semua Ahli Parlimen bukan anak Kelantan ini adalah pemimpin Pas pada peringkat Pusat, sudah tentu mereka layak bertanding di kawasan sendiri dan saya yakin pengundi dapat menerima mereka," katanya.
Antara pemimpin luar yang kini menjadi Ahli Parlimen di Kelantan termasuk Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Bachok); Naib Presiden, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).
Selasa lalu, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud, mencadangkan supaya anak Kelantan diberi keutamaan dalam pemilihan calon pada pilihan raya umum akan datang.Mohamad dilaporkan mengambil contoh imam di masjid yang tentunya imam tempatan didahulukan sebelum mengambil imam dari luar bagi memikul tanggungjawab berkenaan.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebelum ini kepemimpinan parti itu di negeri ini memberi peluang kepada pemimpin terbabit bertanding di Kelantan disebabkan sokongan terhadap Pas di negeri lain kurang memberangsangkan.
"Tetapi keadaan sebarang sudah berubah, Pas semakin diterima di negeri lain, jadi mungkin mereka boleh bertanding di kawasan sendiri pada pilihan raya umum akan datang. Bagi saya, elok juga kita bagi peluang kepada anak tempatan," katanya.
/...

Jangan kompromi dengan Guan Eng

UTUSAN - 26/12/09
KUALA LUMPUR 25 Dis. – Kerajaan digesa tidak berkompromi dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membuat dakwaan Setiausaha Politik seorang anggota Exco negeri Selangor, Teoh Beng Hock mati akibat dibunuh.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tindakan tegas wajar diambil ke atas Guan Eng kerana sengaja mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
‘‘Saya menyokong ketegasan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam menjalankan tanggungjawabnya. Oleh itu saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Guan Eng.
‘‘Sepatutnya Guan Eng sebagai seorang pemimpin tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang mendahului proses mahkamah. Jika Guan Eng terus bersikap sedemikian kita bimbang ia akan mengakibatkan pergolakan sesama kaum pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Khalid yang memberitahu, Setiausaha Agung DAP itu mungkin diambil tindakan mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan kononnya Beng Hock mati dibunuh./...

Terengganu cemerlang

BH - 25/12/09
PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Mohd Fariz Hafizi yang mengalami kecacatan mata buta sebelah kanan dan penglihatan kabur mata kiri melihat keputusan PMR dengan kanta pembesar.
*****
KUALA LUMPUR: Terengganu mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dengan mencatatkan gred purata negeri 2.60, lebih baik daripada gred purata nasional pada 2.78. Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong, berkata daripada 22,954 calon yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, 7.1 peratus atau seramai 1,630 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran manakala pencapaian minimum D atau lulus meningkat sebanyak satu peratus daripada 62.4 peratus tahun lalu kepada 63.4 peratus tahun ini. Selain itu, katanya, tiga pelajar kurang upaya (OKU) turut mencatatkan keputusan cemerlang antaranya Mohd Fariz Hafizi Mohd Sepai dari SMK Sultan Sulaiman yang cacat penglihatan mencatatkan keputusan 7A 1B, Hani Nadhrah Muhamad Taufik dari SMK Padang Negara, Kuala Terengganu yang cacat fizikal (6A 2B) dan Muhamad Syukri Abdullah yang bermasalah pembelajaran dari SMK Tok Dor, Besut mendapat 5A 3B.
Sementara itu, 10 sekolah di Kelantan, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Maher; Maktab Sultan Ismail; SMK Zainab; SMKA Naim Lil Banat dan SMK Kubang Bemban, mencatatkan kelulusan 100 peratus. Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, sebanyak 16 sekolah di seluruh Pahang mencatatkan keputusan cemerlang dengan lulus 100 peratus, meningkat berbanding 13 sekolah tahun lalu. Ketua Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Perak, Abdul Ghani Mohamad Niza berkata, seramai 2,746 pelajar atau 6.44 peratus berjaya mencatatkan keputusan semua A, meningkat berbanding 2,591 pelajar atau 6.11 peratus tahun lalu.
Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad, berkata daripada 145 calon memperoleh 9A, 1,366 calon (8A) dan 465 calon (7A) dalam PMR manakala 1,369 calon di Kedah mencapai 8A.

'Saya tidak akan buat rayuan jika digantung keahlian'

UTUSAN - 26/12/09
SHAH ALAM 25 Dis. - Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad tidak akan mengemukakan rayuan sekiranya Jawatankuasa Disiplin parti itu mengenakan tindakan terhadapnya termasuk menggantung keahlian untuk tempoh tertentu.
Menurutnya, jika jawatankuasa itu mempunyai fakta atau bukti kukuh untuk mensabitkan beliau atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan peraturan parti, beliau sedia menerima apa jua tindakan.
''Kalau saya benar-benar didapati bersalah dan ada fakta-fakta yang jelas, saya sedia terima apa juga bentuk tindakan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin Pas. Saya tidak akan buat sebarang rayuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam itu bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai keputusan kes berkenaan.
''Saya akan beri penjelasan kepada Jawatankuasa Disiplin Pas (pada 7 Januari). Terpulanglah kepada mereka untuk menentukan keputusannya.
''Namun, saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana saya tidak mahu kes melibatkan perbezaan pendapat (dalam Pas) ini menganggu tugas dengan rakyat," jelasnya.
Sebuah portal berita propembangkang Malaysian Insider menyiarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan bahawa jawatan kuasa itu telah mengenal pasti wujudnya kes kukuh terhadap dua pemimpin Pas Selangor yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menjejaskan imej parti.
Menurut portal berita propembangkang itu, Hasan menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan sekiranya jawatankuasa disiplin parti mahu beliau berbuat demikian .
Bagaimanapun, Hasan yang juga Exco kerajaan negeri Selangor tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan mengenai kenyataan tersebut.
/...

Hasan, Khalid dipanggil lagi

UTUSAN - 26/12/09
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Timbalannya, Khalid Samad akan dipanggil Jawatankuasa Disiplin parti itu sekali lagi untuk memberi penjelasan lanjut pada 7 dan 9 Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam pertemuan malam kelmarin, jawatankuasa itu berpuas hati dengan laporan bertulis yang telah dihantar kedua pemimpin tersebut tetapi memerlukan penjelasan lanjut daripada mereka.
''Kami berpuas hati dengan penjelasan bertulis itu tetapi memutuskan untuk memanggil mereka supaya memberi penjelasan lisan berhubung beberapa aspek.
''Ia merupakan prosedur di dalam Pas yang mana kita akan menerima laporan, selepas itu analisis laporan, hantar surat dan tertuduh diminta menjawab kembali surat itu.
''Kita akan teliti surat yang dijawab dan akan memanggil tertuduh sekiranya memerlukan maklumat tambahan. Selepas itu barulah tindakan akan diambil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan aspek yang memerlukan penjelasan lanjut itu.
Hasan dan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menjejaskan imej parti.
Antara bukti yang diserahkan ialah rakaman audio seorang pemimpin Pas yang didakwa memperlekeh kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang.
Tuan Ibrahim menjelaskan, bentuk hukuman bergantung pada penjelasan susulan mereka.
Katanya, menurut Perkara 75 perlembagaan parti, Jawatankuasa Disiplin mempunyai tiga pilihan hukuman iaitu memberi amaran bertulis, menggantung jawatan yang disandang ataupun memecat daripada parti.
''Bagaimanapun sekiranya disabit kesalahan mereka masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa Pusat parti dan Majlis Syura Ulama," katanya.
Tambahnya, setakat ini belum ada keputusan untuk memanggil saksi-saksi lain.
Beliau juga menafikan khabar angin bahawa hukuman terhadap Hasan sudah diputuskan ketika pertemuan itu kelmarin.
''Kami masih di peringkat mengkaji penjelasan mereka, jadi hukuman belum diputuskan," katanya.
/...

UMNO desak dedah laporan kewangan negeri

BH - 26/12/09
Oleh ABDUL YAZID ALIAS

pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 25 Dis. - UMNO Selangor mendesak kerajaan negeri mendedahkan laporan kedudukan kewangan negeri kepada setiap wakil rakyat bagi memastikan tidak wujud masalah seperti yang didakwa.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, pendedahan itu amat penting berikutan wujudnya dakwaan kerajaan negeri gagal mencapai sasaran pendapatan yang sepatutnya.
Sebagai sebahagian daripada pembuat dasar katanya, setiap wakil rakyat tidak kira sama ada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang, mereka mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan sebenar kewangan untuk tahun semasa.
"Kita melihat dengan serius perkara ini kerana ia boleh memberi kesan terhadap rancangan pembangunan di Selangor khususnya yang melibatkan kebajikan rakyat.
"Saya yakin tidak semua wakil rakyat mengetahui kedudukan semasa kewangan negeri. Oleh itu, kita minta kerajaan negeri mendedahkan kedudukan sebenar kewangan negeri tanpa sebarang pengecualian selaras dengan prinsip ketelusan yang diuar-uarkan oleh mereka.
"Kita juga minta kerajaan negeri mendedahkan aktiviti perlombongan pasir berikutan banyak laporan mengenai kegiatan itu yang didakwa tidak memberi keuntungan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang mengaitkan masalah kedudukan kewangan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas ketika ini.
Berdasarkan laporan blog http://www.mykmu.net, kerajaan negeri didakwa menghadapi krisis kewangan yang dikira agak membimbangkan berikutan anggaran pendapatan negeri bagi tahun 2009 sejumlah RM1.4 billion tidak mencapai sasaran yang dijangkakan.
Menurut laman blog itu, sehingga 15 Oktober 2009 jumlah kutipan yang berupaya diperolehi oleh kerajaan negeri hanya RM938 juta sahaja daripada anggaran RM1.16 billion yang sepatutnya diperolehi dalam tempoh yang sama.
Malah sepanjang tahun ini juga kerajaan negeri didakwa terpaksa meluluskan dua kali tambahan hingga bajet Selangor mencecah RM1.9 billion daripada peruntukan asal bajet berkenaan iaitu RM1.4 billion.
Selain itu, laman blog berkenaan turut mempersoalkan langkah kerajaan negeri yang terlalu banyak menggunakan rizab negeri daripada pentabdiran BN lalu antara RM1.3 hingga 1.5 billion sebelum peralihan kuasa di negeri itu pada Mac 2008 untuk 'disuntik' dalam bajet Selangor 2009.
Tindakan menggunakan rizab berkenaan dilihat tidak rasional kerana kerajaan negeri sepatutnya berusaha untuk mencapai sasaran perolehan sebanyak jumlah yang disasarkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang turut memberitahu, langkah menggunakan rizab kerajaan negeri secara keterlaluan dilihat sebagai satu jalan mudah untuk menampung kekurangan kewangan negeri.
''Mereka bertindak demikian sebagai langkah mudah untuk menampung kekurangan peruntukan.
''Sepatutnya kerajaan negeri berusaha menambahkan rizab negeri untuk tujuan pembangunan rakyat, bukan menghabiskannya untuk tujuan-tujuan lain yang tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat seperti membeli hutang syarikat Talam Corporation berjumlah RM391 juta," ujarnya.
/...

Guan Eng disiasat

UTUSAN - 26/12/09
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 25 Dis. – Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana mengeluarkan kenyataan baru-baru ini, kononnya Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis juga telah merakam keterangan daripada beberapa saksi yang mendengar dakwaan Setiausaha Agung DAP itu.
“Kertas siasatan telah dibuka dan kita juga telah merakam keterangan daripada beberapa saksi yang mendengarnya.
“Kita akan memanggil Yang Berhormat (Guan Eng) pada minggu depan untuk diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Guan Eng didakwa mengeluarkan kenyataan berbau hasutan mengenai kematian Beng Hock pada persidangan Konvensyen Pakatan Rakyat, baru-baru ini.
Sehubungan itu, satu laporan telah dibuat oleh polis sendiri di sebuah balai polis di Selangor.
Akibat kenyataan tersebut, Khalid menasihatkan Guan Eng supaya tidak bercakap dengan sesuka hati tentang kes berkenaan yang masih dalam inkues.
/...

25 Disember 2009

Guan Eng jangan cakap sedap mulut - Khalid

UTUSAN - 25/12/09
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mungkin diambil tindakan mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan kononnya Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut pada persidangan Konvensyen Pakatan Rakyat, baru- baru ini.
Sehubungan itu, satu laporan telah dibuat oleh polis sendiri di sebuah balai polis di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, sesiapa pun termasuk Guan Eng tidak mempunyai hak untuk membincangkan mana-mana perkara yang masih dalam inkues.
"Saya nasihatkan Yang Berhormat supaya tidak bercakap sesedap mulut. Bila bercakap pasal bunuh, ia boleh menghasut orang mempercayai yang mangsa dibunuh walhal inkues masih dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang ke-54 di Pangkalan PSP di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Khalid meminta Setiausaha Agung DAP itu supaya tidak mengganggu perkara yang belum diputuskan.
Kata beliau, tindakan Guan Eng itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Hasutan.
/...

24 Disember 2009

Soal utama calon tempatan bagi Parlimen akan dibincang

UTUSAN - 24/12/09
KOTA BHARU 23 Dis - Pas Kelantan yang berpendirian lebih terbuka sebelum ini akan mempertimbangkan cadangan agar anak kelahiran tempatan diberi keutamaan menjadi calon Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara yang berbangkit akan dipanjangkan dalam mesyuarat untuk diteliti tentang kewajarannya.
''Di dalam Islam tidak ada perbezaan antara orang dalam dan orang luar, bagaimana pun cadangan tersebut akan difikir dan dibincangkan semula dalam mesyuarat," katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan demikian di sini hari ini ketika diminta mengulas pendapat Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Muhammad Daud.
Menurut Muhammad Daud, wajar anak tempatan diberi keutamaan dalam pemilihan calon bagi kerusi Parlimen ketika menghadapi pilihan raya umum kelak.
Muhammad dilaporkan mengambil contoh imam di masjid yang tentunya imam tempatan didahulukan sebelum mengambil imam dari luar bagi memikul tanggungjawab tersebut.
Dalam pilihan raya umum lalu, Kelantan membuka ruang kepada pemimpin Pas dari luar negeri ini untuk bertapak dengan menjadi calon-calon Parlimen.
Ini termasuk Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Parlimen Bachok), Naib Presiden, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Bendahari Pas, Dr. Mohd. Hatta Md Ramli (Kuala Krai) di samping Saifuddin Nasution Ismail (Machang) atas tiket Parti keadilan Rakyat.
Kesemua mereka yang mengisi sebahagian daripada 14 kerusi Parlimen menang dalam pilihan raya umum lalu.
Ditanya mengenai langkah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr. Rosli Allani Abd Kadir semalam ekoran isu poligami yang menjadi kes mahkamah, beliau enggan campur dalam urusan peribadi.
Bagaimanapun Nik Abdul Aziz mengajak orang ramai supaya berdoa kepada Allah supaya mana-mana pihak yang pernah 'rebah' agar berusaha untuk kembali kepada keadaan sedia kala.
''Masalah yang berlaku ikut dialah, itu masalah peribadi cuma kita berdoa kepada Allah agar orang yang tergelincir bangun semula," katanya kepada media di sini hari ini.
Ditanya mengenai desas-desus berhubung tunggakan lebih RM1 juta kos rawatan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra di Singapura, Nik Abdul Aziz enggan mengulas.
Katanya, isu tersebut terlalu peribadi untuk dihebahkan di media.
''Isu yang didakwa itu masalah rumahtangga lebih-lebih lagi membabitkan istana, kita tidak akan pergi kepada media. Lagi pun perkara tidak manis disebut-sebut kepada orang ramai," ujarnya.
/...

Kedatangan Islam berdasar Batu Bersurat Terengganu perlu dikaji

BH - 24/12/09
Oleh Jamudin Idris
rencanabh@bharian.com.my
KEPUTUSAN Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mengiktiraf Batu Bersurat Terengganu di bawah kategori Daftar Memori Dunia Antarabangsa (MWIR) harus mengundang sejarawan Malaysia untuk mengkaji secara ilmiah kedatangan Islam ke negara ini berdasarkan Batu Bersurat bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah atau 22 Februari 1303 itu.
Pengiktirafan itu cukup bermakna kepada negara dan wajar dilakukan kajian terperinci untuk membuktikan kedatangan Islam ke negara ini seawal 1303 kerana ada yang mengaitkan kedatangan Islam dengan kerajaan Melayu Melaka.
Kajian itu tentunya menarik jika dapat dikaitkan dengan kedatangan Islam di dunia Melayu kerana Kerajaan Samudera Pasai mendakwa kedatangan Islam di sana pada 1242 atau 1292 ketika Majapahit dan Sriwijaya masih berpegang kepada agama Hindu Buddha.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sudah lama meminta penulisan ilmiah berkaitan kedatangan Islam dan Batu Bersurat itu dilakukan dan pengiktirafan Unesco itu sepatutnya mempercepatkan lagi penulisan mengenainya.
Apa yang penting daripada pengiktirafan itu membuktikan kewujudan tulisan jawi dalam dunia Melayu Islam di Asia Tenggara selain diharapkan wujud kesedaran kecintaan dan bangga pada warisan kita.
Rais berkata, Malaysia wajar berbangga kerana termasuk dalam kelompok 76 negara yang sudah mendapat pengiktirafan Unesco dan jumlah warisan yang sudah didaftarkan di bawah MWIR ialah 193 sehingga 2009. Ini pengiktirafan keempat yang diperoleh Malaysia selepas pengiktirafan kepada Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat Sultan Abdul Hamid, semua pada 2001.
Sebahagian besar pengiktirafan yang diberikan Unesco di bawah kategori MWIR ialah manuskrip dan batu bersurat. Bagi negara Islam, banyak pengiktirafan diberi berkaitan manuskrip. Rais berkata, Jabatan Warisan Negara akan terus mengenal pasti warisan lain untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC) di Unesco supaya lebih banyak warisan negara dapat diketengahkan pada masa depan.
Pada Mac 2008, kementerian menerusi Jabatan Warisan Negara dengan bantuan pakar tempatan mengemukakan dua pencalonan iaitu Batu Bersurat Terengganu dan Poskad Negeri-negeri Selat untuk dipertimbangkan IAC yang bermesyuarat di Barbados pada 31 Julai lalu. Bagaimanapun Batu Bersurat Terengganu yang diterima. Ia pengiktirafan pada khazanah warisan negara berbentuk dokumentasi yang mempunyai kepentingan pada peringkat dunia.
Antara perkara yang dinilai Unesco dalam memberi pengiktirafan termasuk kerana mempunyai keunikan dan kepentingan peringkat dunia, warisan yang perlu dibuktikan keasliannya serta memenuhi salah satu kriteria yang dikaitkan sama ada dari segi masa atau zaman, tempat, masyarakat, perkara atau tema, gaya atau tatacara.
Batu Bersurat itu dari segi keasliannya, ialah satu-satunya bentuk yang ada dalam jenisnya di Asia Tenggara. Ia juga menjadi bukti utama sumber rujukan penyelidik mengenai keislaman dan ekonomi global di Asia Tenggara. Dengan keunikan dan pertama seumpamanya, Batu Bersurat Terengganu dapat dianggap mempunyai kepentingan tambahan terutama sekali dalam konteks pemahaman politik dan sejarah sosial Asia Tenggara, perubahan keagamaan dan kehidupan ekonomi masyarakatnya.
Batu Bersurat Terengganu yang mempunyai ketinggian 86 sentimeter, lebar 53 sentimeter di bahagian atas dan 24 sentimeter di bahagian bawah seberat 214.8 kilogram dijumpai seorang peniaga, Saiyed Husin Ghulam Al Bukhari pada 1902.
Beliau menyedarinya ketika sedang mengambil wuduk untuk solat Zuhur di sebuah surau di Kampung Buluh, Kuala Berang yang mana batu itu dijadikan alas kaki. Seterusnya dengan bantuan penduduk, ia dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III. Batu itu patah di bahagian atasnya (masih belum dijumpai sehingga kini) pada asalnya dijumpai selepas banjir surut di tebing Sungai Tara, Kuala Berang.
Ada beberapa pendapat mengenai tarikh sebenar ia dijumpai. Namun begitu, tarikh yang masyhur ialah pada 1887 dan 1899. Batu Bersurat itu dipinjamkan kepada Muzium Singapura pada 1923. Selepas Muzium Negara siap dibina, ia dipulangkan ke Kuala Lumpur. Apabila Kerajaan Terengganu memohon ia dipulangkan padanya pada 1987, jemaah Menteri bersetuju memulangnya pada 1991.
Sempena pengiktirafan itu, Jabatan Warisan Negara mengadakan pameran replika Batu Bersurat berkenaan di Bangunan Sultan Abdul Samad baru-baru ini. Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf; Timbalannya, Datuk Mohammad Mohd Daud dan Pesuruhjaya Jabatan Warisan, Prof Emeritus Datin Zuraina Majid.
Sementara itu, Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah, berkata pihaknya memohon pengiktirafan dibuat memandangkan manuskrip yang terkemudian diterima seperti Sejarah Melayu sudah diterima Unesco dan kerana itu Batu Bersurat Terengganu amat wajar dikemukakan. Pihaknya gembira dengan pengiktirafan itu dan ia secara tidak langsung mengiktiraf sumbangan Terengganu dan Islam selain akan menarik pelawat ke negeri berkenaan.
Penulis ialah bekas wartawan dan kini perunding media

Anwar tidak boleh "pancing maklumat" daripada pendakwaan

BERNAMA - 24/12/2009 6:25pm
PUTRAJAYA 24 Dis. - Seseorang tertuduh yang menghadapi dakwaan jenayah tidak dibenarkan “memancing maklumat” kepunyaan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 6 November ketika membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya dokumen dan maklumat lain yang diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Prosedur Jenayah dibekalkan untuk beliau menyediakan pembelaan terhadap tuduhan liwat terhadapnya.
Dalam penghakiman bertulis bertarikh 21 Disember yang diperoleh media hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hasan Lah memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan pendakwaan supaya membekalkan dokumen dan bahan berkenaan kepada Anwar.
Mahkamah Rayuan berkata, ia mentafsirkan dengan tegas Seksyen 51 kanun berkenaan dan mengehadkan kuasa budi bicaranya berhubung permohonan untuk memperoleh dokumen berkenaan di peringkat pra perbicaraan.
"Melainkan apa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 51A kanun berkenaan, responden tidak berhak untuk memperoleh atau memeriksa keterangan atau bahan yang berada dalam pemilikan pendakwaan sebelum perbicaraan bermula,” kata Hakim Hasan.
/...

Rosli letak jawatan: Tempelak buat Nik Aziz

UTUSAN - 24/12/09
KOTA BHARU 23 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO negeri menyifatkan langkah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kadir meletakkan jawatan sebagai suatu tempelak kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ketuanya, Anuar Sapian berkata, beliau percaya Rosli bertindak demikian kerana masalah peribadi yang tercetus ekoran kes poligami beliau dan mungkin ia tidak memberi banyak kesan kepada parti itu.
Namun, katanya, tindakan Rosli itu telah memperlihatkan bahawa beliau mempunyai prinsip dan tanggungjawab untuk menjaga integriti parti.
"Secara tidak langsung ia menempelak Nik Abdul Aziz yang masih mempertahankan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Abd. Rahman walaupun banyak pihak dalam Pas sendiri mahu beliau segera berundur," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu sepatutnya meletakkan kepentingan kerajaan dan imej bapa mertuanya lebih tinggi dalam pelan peletakan jawatan yang hanya ditetapkannya pada Mac depan.
Bagaimanapun beliau yakin Abdul Ariffahmi yang juga anggota dewan Pemuda Pas tidak akan berganjak.
"Peletakan jawatan Rosli mungkin dianggap 'balasan' pendedahan dalam media Ahad lalu mengenai cadangan gesaan Dewan Pemuda Pas negeri agar Abdul Ariffahmi segera berundur," katanya.
Abdul Ariffahmi terseret dalam kemelut politik negeri ekoran isu menunaikan haji bersama Nik Abdul Aziz melalui tajaan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di PMBK dan masalah dalaman pentadbiran syarikat milik kerajaan negeri itu.
Rosli mengumumkan peletakan jawatannya semalam ekoran Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu kelmarin mengarahkan beliau tinggal berasingan dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd. Noor, 30, kerana status perkahwinan mereka pada Disember tahun lalu diragui.
Bekas Pegawai Khas kepada seorang Exco kerajaan negeri tersebut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan dan menegaskan, dalam kes yang dibawa ke mahkamah oleh mertuanya itu, beliau berada di pihak yang benar.
Menurut Anuar, Pemuda UMNO membuat gesaan lebih awal agar Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatan dengan harapan tidak menjejaskan tumpuan sebenar kerajaan negeri.
"Kita tidak mencari kesempatan politik dalam soal itu tetapi bagi memastikan tumpuan terhadap kepentingan rakyat tidak terjejas dengan kemelut berlarutan," ujarnya.
/...

19 Disember 2009

Pakatan Rakyat Bagai Dunia Baru Untuk Nik Aziz

BERNAMA - 19 Disember, 2009 22:24 PM
SHAH ALAM, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merasa seperti berada di dalam dunia baru ekoran kerjasama PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat dalam Pakatan Rakyat.
Saya rasa berada dalam dunia baru, sesuai dengan pengajian dan akidah saya," katanya dalam ucapan rumusan pada Konvensyen Sulung Pakatan Rakyat di sini hari Sabtu.
Beliau berkata sebelum ini PAS pernah bersama Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian dikhianati oleh UMNO.Mursyidul Am PAS itu juga berkata beliau merasa jijik dengan UMNO apatah lagi selepas Perak yang sebelum ini di bawah Pakatan Rakyat diambil kembali oleh BN.
Bagaimanapun, beliau berkata mudah-mudahan tidak ada karenah yang bakal dihadapi PAS semasa bersama Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berkata parti itu menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pemimpin Umum Pakatan Rakyat. Ekoran itu, katanya beliau akan menggunakan segala pengalamannya selama 40 tahun dalam bidang guaman untuk membela dan memastikan Anwar tidak dipenjarakan ekoran tuduhan yang dihadapi di mahkamah sekarang.
Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berhadapan dengan tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada awal tahun depan.
/...

Perjelas isu kos rawatan Sultan Kelantan

UTUSAN - 19/12/09
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
pengarang@utusan.com.my
KOTA BHARU 18 Dis. - Kerajaan negeri diminta memberi penjelasan berhubung desas-desus yang bayaran kos rawatan Sultan Kelantan di Singapura tertunggak lebih RM1 juta.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Hussin berkata, sekiranya benar masalah itu berbangkit adalah wajar kepimpinan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikannya.
Beliau berkata, ia tentunya mengecewakan baginda, pihak istana malah rakyat sendiri dan juga boleh memberi gambaran yang amat tidak menyenangkan serta menjejaskan institusi istana yang amat dihormati.
''Kita berharap desas-desus ini tidak benar, apatah lagi ketika baginda masih mendapat rawatan dan mendoakan baginda pulih dan kembali ke Kelantan," ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin berhubung penafian Nik Abdul Aziz tentang desas-desus beberapa pegawai utama negeri akan digugurkan daripada jawatan ekoran kemelut pentadbiran yang dikatakan mula wujud.
Desas-desus itu dikaitkan dengan isu layanan pihak pentadbiran negeri yang dikatakan tidak begitu menyenangkan terhadap Sultan Kelantan sepanjang baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura.
Tuanku Ismail Petra mendapat rawatan di sana Mei lalu dan anakanda baginda, Tengku Muhamad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja sehingga baginda pulih.
Nik Abdul Aziz sebelum ini turut dilaporkan berkata, kerajaan negeri telah memutuskan memohon agar Tuanku Ismail Petra kembali mendapat rawatan di tanah air namun bergantung kepada tahap kesihatan baginda.
"Faktor kewangan adalah perkara kedua, tetapi yang pertama psikologi rakyat, seorang raja perlu ada dalam negeri," ujar Nik Abdul Aziz.
Dali juga berharap kerajaan negeri memaklumkan dari semasa ke semasa mengenai status kesihatan baginda agar rakyat tidak tertanya-tanya.
/...

Siapa sebenarnya penjahat?

UTUSAN (Rencana) - 18/12/09
Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Aksi Lim Guan Eng cuba melompat melepasi gambar poster tiga ADUN Bebas semasa menghadiri Konvensyen DAP di Ipoh, pada 29 November lalu.
*****

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng seharusnya mencermin diri dan parti itu terlebih dahulu sebelum dengan mudah menyamakan Utusan Malaysia seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana mendakwa ia bersikap perkauman dan menyebarkan fitnah.
Sebenarnya, tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kenyataan Guan Eng itu kerana kalau dikaji, orang ramai boleh menilai siapa sebenarnya seperti penjahat.
Jika Guan Eng menuduh Utusan Malaysia bersikap perkauman, bagaimana dengan parti DAP itu sendiri, apakah selama ini mereka tidak bersikap perkauman? Bagaimana dengan tindakan mereka ketika pilihan raya umum lalu yang berkempen bahawa kalau mengundi Gerakan dan MCA di Pulau Pinang ia sama seperti memberi kuasa kepada UMNO.
Apakah bukan satu tindakan seperti penjahat, apabila berkuasa sahaja Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Guan Eng melarang akhbar Utusan Malaysia dan sebuah lagi akhbar arus perdana daripada menghadiri acara-acara kerajaan negeri?
Tidakkah tindakan tersebut boleh dianggap seperti penjahat kerana menghalang kebebasan media sedangkan Guan Eng dan rakan-rakannya dalam pakatan pembangkanglah yang begitu beria-ia bercakap soal kebebasan tersebut.
Kalau Guan Eng berfikiran terbuka sudah tentulah, beliau tidak akan menghalang mana-mana media untuk membuat liputan. Malah tindakan yang sama juga berlaku apabila pembangkang menguasai Perak selama 11 bulan. Sepanjang tempoh itu, DAP bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menghalang akhbar ini menghadiri majlis Kerajaan Negeri Perak.
Apakah boleh diterima apabila Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang dari parti itu, Koid Teng Guan yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas memperlekeh dan menghina Barisan Nasional (BN) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sedang rancak berjalan, baru-baru ini.
Tidakkah perbuatan Teng Guan boleh menyinggung perasaan orang apabila dalam SMS yang ditulis dalam bahasa Cina, dia menyeru rakyat Pulau Pinang untuk 'kebumikan' BN dan bersembahyang untuk roh mereka pada perayaan 'Qing Ming'.
Walaupun Teng Guan sudah memohon maaf tetapi adakah Guan Eng yang ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abd. Aziz membiarkan sahaja wakil rakyat seumpama itu?
Apakah seseorang itu tidak boleh disamakan seperti penjahat apabila sebagai seorang yang berkuasa dalam sesebuah parti membiarkan sahaja ahli-ahlinya melakukan perbuatan biadap memijak gambar-gambar wakil rakyat yang mengisytiharkan diri menjadi wakil rakyat Bebas di Perak.
Penulis hanya mengambil beberapa contoh bagi menunjukkan bagaimana Guan Eng tidak layak untuk sewenang-wenangnya menyamakan mana-mana pihak termasuk akhbar ini seperti penjahat.
Hakikatnya, Guan Eng harus mengaku sahaja bahawa beliau sebenarnya bimbang dengan laporan-laporan akhbar seperti Utusan Malaysia yang boleh membuatkan rakyat mengetahui fakta sebenarnya.
Kalau hendak bercakap soal perkauman, Guan Eng sepatutnya mengkaji dahulu laporan-laporan akhbar Cina, apakah mereka itu tidak perkauman? Adakah kerana memperjuangkan nasib sesuatu kaum itu apatah lagi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara dianggap perkauman? Bagaimana pula dengan akhbar-akhbar Tamil yang turut memaparkan masalah masyarakat India, adakah itu tidak perkauman?
Menuduh sesuatu media mengamalkan perkauman adalah taktik yang acap kali digunakan oleh parti pembangkang bagi mengelakkan rakyat terus membaca akhbar-akhbar arus perdana yang hanya menyiarkan kebenaran dan fakta sebenar berhubung sesuatu perkara serta mendedahkan dakyah pembangkang.
Oleh itu, istilah perkauman dan fitnah yang digunakan oleh Guan Eng boleh dipertikaikan kerana sasaran serangan Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya kepada Utusan Malaysia bukannya akhbar-akhbar berbahasa Cina atau Tamil.
Kalau Guan Eng berniat baik hendak menasihatkan orang supaya 'menjauhi penjahat', maka beliau juga harus bersedia bersikap baik bagi memperbetulkan semula kenyataannya berhubung perkara itu.
Ia memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz telah menafikan bahawa beliau hanya menegur Utusan Malaysia berkenaan isu perkauman, sebaliknya peringatan supaya menjaga sensitiviti kaum itu ditujukan kepada semua pengamal media di negara itu.
Bukankah kenyataan bahawa Utusan Malaysia seperti penjahat yang perlu dijauhi dibuat bagi mengulas kenyataan Nazri yang terdahulu?
Seperkara lagi, tidak perlulah Guan Eng berfikiran dangkal apabila mendakwa tindakan akhbar ini telah mempengaruhi media massa lain sehingga sesetengah blog kini turut menyebarkan berita dan artikel berunsur fitnah.
Inilah sikap yang bak kata orang, 'gajah di seberang nampak, kuman di depan mata tidak nampak'. Guan Eng harus lebih banyak menghabiskan masa untuk mengkaji blog- blog. Melalui tindakan itu beliau akan mendapati berapa banyak blog pro pembangkang yang menyebarkan fitnah kepada kerajaan dan media arus perdana.
Tetapi malangnya Guan Eng mungkin tidak akan berbuat demikian kerana beliau tahu terdapat banyak blog dan media baru yang bukan sahaja menyokong DAP serta parti pembangkang tetapi lebih banyak menyiarkan artikel-artikel bersikap perkauman.
Berdasarkan hujah itu, seruan Guan Eng supaya akhbar ini lebih bertanggungjawab kerana laporan yang dibuat boleh merosakkan perpaduan negara tidak perlu dilayan.
Biarlah Guan Eng fikirkan sendiri wajar atau tidak kenyataan sedemikian, sedangkan pada masa yang sama lebih banyak media lain yang dilihat bersikap perkauman.
Apa pun hujahnya, demikianlah sikap pemimpin-pemimpin DAP dan parti pembangkang. Mereka lebih suka mencari salah orang lain daripada mengkaji kelemahan diri sendiri.
Bagi pemimpin seperti Guan Eng dalam apa juga hal hanya mereka sahaja yang betul, mereka sahaja tidak perkauman dan mereka sahaja bercakap benar.
Tetapi Guan Eng tidak harus lupa banyak tindak-tanduk DAP sama ada di peringkat pusat mahupun di Pulau Pinang boleh membuka laluan untuk mana-mana pihak (termasuk dalam blog-blog dan ahli politik) untuk menyamakan parti itu ''seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana ia bersikap perkauman dan menyebarkan fitnah.''
Sama ada persepsi itu benar atau tidak, ia soal kedua memandangkan persepsilah yang memungkinkan parti pembangkang memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu termasuk di Pulau Pinang.
/...

Pura-pura tidak tahu

UTUSAN - 18/12/09
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Utusan Malaysia seperti penjahat yang perlu dijauhi, menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpura-pura tidak tahu peranan akhbar vernakular di negara ini.
Pakar bahasa dan perpaduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong berkata, kenyataan Guan Eng itu memperlihatkan kelicikan beliau sebagai pemimpin parti politik yang sentiasa bersedia mensensasikan sesuatu isu.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM menjelaskan, para pembaca akhbar di negara ini termasuk Guan Eng pasti memahami kecenderungan sesebuah akhbar vernakular memperjuangkan isu berkaitan bangsa diwakili.
"Apa yang peliknya apabila Utusan perjuangkan kepentingan Melayu seperti China Press memperjuangkan nasib Cina manakala Tamil Nesan mengutarakan isu-isu kaum Tamil?
"Tapi persoalannya mengapa Guan Eng hanya memfokus kepada Utusan Malaysia? Dia pasti sedar peranan akhbar lain yang berasaskan kaum. Ini yang dikatakan ahli politik, pura-pura tak tahu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kok Seong mengulas kenyataan Guan Eng menyamakan akhbar ini seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana mendakwa ia sering menyiarkan artikel fitnah serta menyemarakkan sifat perkauman di negara ini.
Semalam, Guan Eng menyokong tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam portal berita propembangkang The Malaysian Insider yang meminta Utusan Malaysia menghentikan propaganda perkauman.
Bagaimanapun, Mohamed Nazri yang ditemui Utusan Malaysia kemudian menjelaskan laporan The Malaysian Insider itu tidak tepat kerana teguran tersebut ditujukan kepada semua organisasi berita di negara ini.
Kok Seong menambah, tindakan Guan Eng itu menyemarakkan sifat perkauman di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Lagipun, mengapa Utusan digelar sebegitu (penjahat) sedangkan semua orang yang banyak membaca tahu peranan akhbar itu memperjuangkan nasib kaum Melayu sejak sebelum merdeka lagi, ia bukan perkauman," tegasnya.
Pensyarah Pusat Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff menegaskan kenyataan Guan Eng itu tidak berasas tetapi menunjukkan sifat perkauman beliau yang menebal.
Katanya, walaupun Guan Eng mengetahui peranan akhbar ini dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan Melayu, beliau tetap mempersoalkannya.
"Inilah sikap dan persepsi pemimpin pembangkang yang akan mempersoal setiap perkara apabila tidak menyebelahi atau boleh dimanipulasi mereka.
"Utusan tidak harus tunduk kerana apa yang diperjuangkan adalah demi kepentingan Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya selagi tidak mengusik hak kaum lain," katanya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, Guan Eng patut mencermin diri dahulu sebelum melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif seperti penjahat.
"Guan Eng merupakan Ketua Menteri pertama dalam sejarah Malaysia yang memijak atau melangkah gambar pemimpin Melayu baru-baru ini, jadi tanya dia siapa lagi jahat dan perkauman," soalnya.
/...

Negara maju perlu sediakan dana

BERNAMA - 19/12/09
Oleh Mustafa Kamal Basri
NAJIB Tun Razak semasa berucap pada Persidangan Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, semalam. – BERNAMA
*****
COPENHAGEN 18 Dis. – Negara-negara maju merupakan penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon yang mengakibatkan pemanasan global dan mereka harus bersedia menebus kembali hutang itu dengan menyediakan dana mencukupi untuk menangani krisis perubahan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dari segi prinsipnya adalah adil dan wajar negara-negara maju membayar balik hutang kepada dunia sekarang kerana merekalah penyebab utama kepada pemanasan global.
Najib berkata, negara-negara maju perlu komited menyediakan dana permulaan berjumlah AS$200 bilion setahun sehingga 2012 bagi membantu negara-negara membangun mengurangkan pelepasan karbon, jika tidak ia hanyalah sesuatu usaha yang retorik semata-mata.
“Pemimpin-pemimpin negara membangun sedar negara-negara maju juga mempunyai komitmen yang besar di negara mereka, bagaimanapun, negara-negara maju harus bertanggungjawab dan ini menuntut sedikit pengorbanan daripada mereka,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini malam tadi.
Ketika berucap pada persidangan itu semalam, Najib telah mencadangkan supaya negara-negara maju menyediakan dana berjumlah AS$200 bilion setahun dalam usaha itu dan meningkatkannya kepada AS$800 bilion setahun selepas tempoh itu.
Menurut Perdana Menteri, dana sebanyak AS$10 bilion yang dicadangkan oleh negara-negara maju sebelum ini untuk membantu negara-negara membangun menangani masalah itu adalah terlalu kecil.
Ditanya reaksi pemimpin-pemimpin dunia terhadap ucapannya, Najib berkata, banyak pemimpin negara membangun mengucapkan syabas atas pendirian Malaysia.
“Secara keseluruhannya kita tidak tahu lagi apa reaksi mereka (pemimpin dunia terhadap ucapannya). Kita tengoklah dalam sehari dua ini apa reaksi mereka (kepada ucapannya) tetapi saya cuba untuk melakarkannya bukan sahaja dari segi perspektif Malaysia tetapi juga negara-negara membangun,” katanya.
Mengenai tindakan kerajaan sekiranya negara-negara maju bersedia menyediakan dana kepada Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, Najib berkata, kerajaan perlu membuat perancangan dalam bentuk menyediakan tenaga yang berkesan, tenaga yang boleh diperbaharui, teknologi hijau, mengawal penebangan hutan dan pelbagai cara lagi.
Perdana menteri mengulangi kebimbangannya bahawa persidangan ini gagal mencapai kata sepakat ke arah satu perjanjian yang dipersetujui semua pihak.
“Saya lihat masih terdapat banyak perbezaan pendapat yang agak ketara antara negara-negara membangun dengan negara-negara maju, bagaimanapun ia tertakluk kepada apa yang akan berlaku dalam tempoh 24 jam ini.
“Setakat ini, nampaknya sukar untuk dicapai suatu persetujuan yang mengikat,” tambah beliau.
Najib bagaimanapun tidak menolak kemungkinan semua negara boleh mencapai komitmen politik, tetapi ia mestilah disusuli dengan satu perjumpaan dalam masa terdekat iaitu pada tahun depan supaya satu perjanjian dapat dimeterai antara semua negara.
/...

Tokoh Maal Hijrah

BERNAMA - 19/12/09
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua dari kiri) berkenan melihat pingat anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah yang diperoleh Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor (kanan) selepas menyampaikan anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Kuala Lumpur, semalam.
*****

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (kiri) juga merupakan penerima anugerah itu. Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.
Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan.
/...

18 Disember 2009

Selamat Tahun Baru Hijrah

BH - 18/12/09
Doa awal tahun di Masjid Negara: Umat Islam menyertai bacaan doa akhir dan awal tahun di Masjid Negara, Kuala Lumpur, malam tadi sempena menyambut ketibaan Maal Hijrah 1431, hari ini.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom. - Foto Aizuddin Saad