30 Jun 2010

SENYUM KAMBING

UM - 30/06/2010

'Jangan campur hal Selangor'

UM - 30/06/2010

SHAH ALAM 29 Jun - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua pihak agar tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran dan politik di Selangor termasuk mempersoalkan mengenai pengekalan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Dengan nada tidak puas hati beliau berkata, apa yang berlaku di Selangor sekarang adalah pembaharuan atau reformasi yang dibuat oleh pakatan pembangkang.

''Tak usah campur... Pasal letak jawatan, terima jawatan tak termasuk dalam agenda pakatan rakyat (pakatan pembangkang) .

''Yang masuk ialah memantapkan pertubuhan supaya bawa pembaharuan terhadap pentadbiran dan pakatan rakyat (pembangkang) akan membuat beberapa lagi perubahan dari semasa ke semasa sesuai dengan keadaan," kata beliau.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya desakan beberapa pihak yang mahu beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar memandangkan Selangor kini ditadbir dua pemimpin iaitu Azmin Ali yang menerajui politik dan beliau sendiri dalam hal pentadbiran.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini petang ini.

Ditanya adakah beliau yang kini tidak lagi menguruskan hal ehwal politik negeri akan turut meletakkan jawatannya di peringkat bahagian Abdul Khalid memberitahu, beliau akan terus menjadi pemimpin bahagian di Kuala Selangor.

Semalam, Abdul Khalid digesa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar agar pentadbiran di Selangor tidak kucar kacir ekoran perbezaan pendapat dalam pentadbiran dan politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu juga diminta meletakkan jawatan sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kuala Selangor kerana kepimpinannya tidak lagi mendapat sokongan sebahagian besar ahli akar umbi.

Timbalan Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar mendakwa, kebanyakan perwakilan bahagian sebenarnya tidak bersetuju dengan keputusan mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Ini kerana kata beliau, mereka bimbang Selangor akan semakin kucar kacir apabila pendapat dalam pentadbiran dan politik negeri yang sepatutnya seiring menjadi tidak selari ia dikhuatiri menimbulkan suasana kucar-kacir.

/hwa: www.utusan.com.my

Pelantikan Azmin ada agenda tersembunyi

UM - 30/06/2010

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan pelantikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor adalah satu usaha terancang bagi menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, Ketuanya, Rosnah Abd. Rashid Shirlin berpendapat, pelantikan berkenaan juga sebagai langkah menyediakan laluan kepada 'orang tertentu' untuk mengepalai kerajaan negeri yang kini diketuai oleh Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

"Agenda tersebut telah lama dirancang dan hanya menunggu masa sesuai untuk direalisasikan bagi memenuhi cita-cita orang penting Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang dilihat oleh pelbagai pihak boleh menimbulkan suasana kucar-kacir di negeri itu.

Rosnah turut menyifatkan tindakan melantik Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor memperkecilkan kebolehan Abdul Khalid yang merupakan bekas tokoh korporat.

"Umum juga tidak mengetahui apakah idea serta sumbangan Anwar untuk membangunkan ekonomi negeri jajahan PKR sejak pelantikan itu.

"Pelantikan Azmin ternyata menyerlahkan lagi agenda tersembunyi dan menunjukkan sikap tidak menghargai kepercayaan yang mereka berikan kepada Abdul Khalid ketika kerajaan negeri pakatan itu dibentuk," ujarnya.

Sehubungan itu, Rosnah mahu rakyat membuka mata melihat perkembangan politik Selangor yang jelas mementingkan agenda peribadi dan tidak menghormati orang lain.

"Akan ada lagi mangsa yang akan menjadi 'kambing hitam' semata-mata untuk memberi laluan kepada agenda peribadi kumpulan tersebut yang ingin mendominasi pakatan pembangkang.

" Kami juga hairan dengan rakan-rakan pakatan pembangkang yang seolah-olah tunduk terhadap peralihan pucuk pimpinan politik negeri tersebut," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Khalid hadapi krisis kepimpinan amat serius

UM - 30/06/2010

SHAH ALAM 29 Jun - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadapi krisis kepimpinan amat serius di negeri ini berikutan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini disandang oleh Naib Presiden parti itu, Azmin Ali.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, Menteri Besar sudah kehilangan mandat di peringkat parti dan sebarang keputusan yang dibuat Azmin selepas ini tidak semestinya dirujuk kepada Abdul Khalid selaku pemimpin negeri.

Beliau berkata, pengagihan kuasa itu menjadikan corak pentadbiran di Selangor umpama retak menanti belah dan akhirnya rakyat yang mengundi mereka pada pilihan raya umum lalu menanggung rugi.

''Sebagai seorang pemimpin parti, apabila Abdul Khalid digantikan oleh Azmin, ini menunjukkan kepada rakyat bahawa Menteri Besar sudah tidak mampu mentadbir parti dengan berkesan.

''Rakyat sudah hilang keyakinan dengan kredibiliti seorang Menteri Besar yang sepatutnya mentadbir negeri dengan kuasa mutlak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Struktur pentadbiran di Selangor berubah apabila Azmin dilantik ke jawatan tersebut yang membolehkan beliau menguasai PKR Selangor sepenuhnya termasuk mungkin melebihi kuasa Menteri Besar.

Kim Poo berkata, pergeseran dalaman PKR akan menjadi lebih buruk pada masa depan dan ketidakstabilan itu tidak baik untuk negeri Selangor.

Katanya, hubungan dingin antara pimpinan menyebabkan PKR Selangor akan berpecah kerana masing-masing bertindak tanpa kesepakatan serta tidak terkecuali memiliki agenda tersendiri dalam parti.

''Saya berasakan demi kepentingan rakyat negeri Selangor, sebaiknya Menteri Besar meletak jawatan dan menyelesaikan isu dalaman melibatkan beliau terlebih dahulu," ujarnya.

/hwa: www.utusan.com.my

Politik pulun, cakap tidak serupa bikin moto terbaru Anwar

UM - 30/06/2010

KUALA LUMPUR 29 Jun - Politik 'cakap tidak serupa bikin dan politik pulun' kini merupakan moto baru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, Anwar pada masa ini berada dalam situasi yang amat terdesak kerana mengetahui hasrat dan impiannya ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti amat mustahil untuk dicapai.

Sehubungan itu jelas beliau, pelbagai tindakan pelik dilakukan oleh Anwar yang berorientasikan kepada kepentingan agenda peribadi dan jauh sekali untuk membela keadilan serta kebajikan rakyat seperti yang dilaungkan sebelum ini.

"Sebab itulah saya kata, politik cakap tidak serupa bikin, politik pulun iaitu sapu bersih sebelum dapat kepada pihak lain kini diamalkan secara rakus oleh Anwar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Utusan Malaysia semalam melaporkan perubahan itu dilihat sebagai usaha untuk mengetepikan menteri besar kerana tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar.

Menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan politik cakap tidak serupa bikin, Zulkifli berkata, semasa konvensyen PKR di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini, Anwar memuji melangit kewibawaan Abdul Khalid yang kononnya amat diperlukan bagi memantapkan parti itu.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, kedudukan Abdul Khalid dalam PKR Selangor adalah terjamin kerana tiada sebab musabab untuk menggantikan beliau dengan pemimpin lain.

"Tetapi tidak sampai sebulan, lain pula ceritanya. Abdul Khalid dipecat dengan alasan kononnya bagi menguatkan parti. Dulu cakap lain sekarang bertindak lain. Inilah maksud saya politik cakap tidak serupa bikin.

"Ini adalah proses biasa apabila Anwar tidak lagi sukakan seseorang. Beliau akan membuat penolakan yang sebenarnya bermaksud supaya individu berkaitan faham-faham sendiri dan berhenti.

"Perkara sama turut terjadi kepada Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang terlebih dahulu dipecat daripada mengetuai PKR Pulau Pinang sebelum dipecat terus daripada parti itu," katanya.

Mengenai 'politik pulun' pula, Zulkifli berkata, Anwar dan sekutunya memang mengetahui bahawa kekuasaan parti itu di Selangor akan berakhir pada pilihan raya umum akan datang dan sebelum terlambat mereka mengaut segala kekayaan negeri.

Dakwanya, Anwar sedar bahawa Abdul Khalid amat susah untuk memberikan sebarang kontrak kepada mana-mana individu yang tidak sependapat dan sehaluan dengan beliau.

"Oleh itu jalan terbaik, buang Abdul Khalid dan lantik Azmin. Agihkan segala kekayaan negeri sesama mereka sebelum terlambat. Mungkin bagi Anwar tidak salah membahagikan 'harta-harta rampasan perang'.

"Perjuangan Anwar kini bukan lagi untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. Semuanya demi agenda peribadi tetapi dikaburi atau dilapik dengan platform parti yang sudah pasti kononnya melibatkan semua ahli dan rakyat," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Karpal tidak wajar berprasangka terhadap Islam

UM - 30/06/2010

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak sewajarnya berprasangka terhadap keadilan Islam sehingga secara bulat-bulat menolak gagasan pembentukan konsep Negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, selayaknya bagi Karpal yang sudah mencecah usia 70 tahun mengimpikan sebuah kerajaan adil, telus dan saksama yang hanya boleh diperoleh melalui syariat Islam.

Menurut beliau, sejarah dan tamadun membuktikan bahawa segala ideologi ciptaan manusia seperti komunisme, sosialisme dan sekularisme telah gagal, keruntuhan akhlak dan moral; jenayah dan rasuah berleluasa semuanya berpunca daripada sistem ciptaan manusia.

"Jika Karpal menganggap fahaman sekular lebih baik daripada Islam, ia merupakan satu pendapat yang tidak wajar kerana sudah terbukti kehancuran tamadun dunia berpunca daripada ideologi yang membebaskan fikiran dan gaya hidup daripada ikatan agama.

"Hancurnya tamadun kerana agama tidak didaulatkan, syariat tidak digunakan secara menyeluruh hanya pada keperluan tertentu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas, sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Bagi beliau, Malaysia merupakan sebuah negara sekular berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan adalah mustahil bagi DAP mengubahnya menjadi sebuah negara Islam.

Nasihat Nasrudin kepada pimpinan pembangkang lain ialah supaya mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau membangkitkan isu yang boleh memberikan 'bola tanggung' kepada pihak lawan.

Tambah beliau, semua pihak perlu menerima Islam sebagai alternatif terbaik kepada kekosongan yang ditinggalkan oleh pelbagai ideologi yang gagal, sekali gus mengembalikan semula keagungan dan kecemerlangan agama ini.

"Beri peluang kepada Islam membuktikan keadilannya, jika tidak betul atau salah sila kemuka bukti mana silapnya. Tidak perlu terus lempar rasa sangsi terhadap Islam," tegas beliau.

----------------------------------

Bagaimanapun ketika ditanya sekiranya Karpal masih bertegas menolak konsep negara Islam Pas, adakah beliau sedia mendesak pimpinan parti mengkaji semula kerjasama dengan DAP, Nasrudin enggan menjawab sebaliknya menegaskan bahawa Pas pada setiap masa konsisten dengan dasar tersebut.

"Pas tetap dengan dasar kita selagi al-Quran dan sunah itu tidak berubah selagi itulah dasar kita terhadap menegakkan syariat Islam.

"DAP ada dasar dia, Pas pun sama, jika mereka tetap berkeras, begitu juga kita, akan tetap pertahankannya. Dasar kita tidak pernah berubah malah kerjasama pakatan pembangkang adalah berkaitan politik iaitu titik persamaan dalam beberapa isu yang disepakati seperti rasuah dan penyelewengan kuasa," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Anwar lebih berkuasa di Selangor

UM - 30/06/2010

SHAH ALAM 29 Jun - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) mengakui, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'pemerintah utama' di Selangor, walaupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar manakala Azmin Ali menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri.

Menurut Khalid, ia memandangkan, kedua-dua mereka perlu patuh dan mendengar segala nasihat dan pandangan Anwar memandangkan beliau adalah Penasihat PKR dan Penasihat Ekonomi Selangor.

''Anwar adalah sebagai pemerintah utama sementara Azmin dan Abdul Khalid sebagai 'jeneralnya' sahaja,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas pelantikan Azmin menggantikan Abdul Khalid sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang dilihat banyak pihak boleh mewujudkan keadaan kucar-kacir dalam pentadbiran negeri itu.

Ini memandangkan jawatan berkaitan pentadbiran negeri dan politik disandang oleh individu yang berbeza.

Menurut Khalid, apa yang dilakukan Anwar adalah sebagai salah satu strategi bagi mengatasi masalah dalaman parti itu di Selangor selain mahu mengukuhkan kuasa di satu-satunya negeri yang diterajui PKR.

"Memandangkan dalam pakatan pembangkang yang selalu menjadi sasaran dan mempunyai masalah dalaman seperti lompat parti adalah PKR, mungkin pengagihan kuasa ini adalah cara terbaik mereka untuk mengukuhkan kuasa.

"Sebab itu sebagai Penasihat PKR, Anwar akan over rule pemerintahan di Selangor dengan bantuan Azmin dan Abdul Khalid," katanya.

Seorang lagi pemimpin PKR berjawatan Ketua Bahagian yang enggan namanya disiarkan berkata, akhirnya nanti hanya Azmin dan Anwar yang akan memerintah Selangor sementara Abdul Khalid akan terus diketepikan.

Dakwanya, pengekalan jawatan Abdul Khalid juga hanyalah sementara bagi memberi ruang kepada Azmin untuk mengukuhkan pengaruh dan secara perlahan-lahan beliau akan mengambil alih tempat Menteri Besar.

"Terlalu banyak kelemahan Abdul Khalid dan pengekalan jawatannya sebagai Menteri Besar hanyalah bersifat sementara," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

29 Jun 2010

Anwar nafi ada agenda tersembunyi lantik Azmin

UM - 29/06/2010

KUALA LUMPUR 28 Jun - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik pelantikan Naib Presidennya, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Abdul Khalid melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MPN kerana mahu memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Menteri Besar untuk memimpin dan mentadbir negeri Selangor.

"Kita merasakan ada program parti di peringkat negeri yang perlu diuruskan oleh pemimpin lain memandangkan Abdul Khalid perlu menjalankan tugasnya memimpin dan mentadbir negeri," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Anwar mengulas perkara itu ekoran kenyataan Abdul Khalid sebelum ini yang menafikan bahawa beliau mengosongkan jawatan Pengerusi MPN Selangor selepas menerima desakan daripada beberapa pihak.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa wujudnya komplot menggulingkan kepimpinan Abdul Khalid oleh 15 Ahli Parlimen yang dikatakan turut membabitkan Azmin, Anwar berkata, perkara itu adalah tidak benar.

Sementara itu, Azmin ketika diminta mengulas perkara itu menegaskan, beliau sentiasa bekerja rapat dengan Abdul Khalid dan tidak wujud sebarang masalah antara mereka.

"Saya akan memberi sokongan penuh kepada Abdul Khalid dan akar umbi juga menyokong penuh pelantikan saya sebagai Pengerusi MPN Selangor," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

PKR Selangor cacamarba

UM - 29/06/2010

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bercelaru dan cacamarba, itu gambaran selayaknya bagi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang kini mempunyai dua nakhoda.

Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd. Nazmil Rosli berkata, adalah amat pelik apabila seorang Menteri Besar daripada sebuah parti yang menerajui kerajaan negeri tidak menjadi pengerusi struktur parti tersebut di peringkat negeri.

Menurut beliau, keadaan menjadi lebih rumit apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sememangnya Pengerusi PKR negeri, seolah-olah 'ditarik balik' kuasa yang berada di tangannya.

"Keadaan ini akan membuatkan pucuk pimpinan PKR Selangor lebih mudah bercelaru kerana mereka mempunyai dua ketua, sama ada mahu mengikut arahan ketua baru, Azmin Ali atau Abdul Khalid ?

''Tidaklah mustahil sebarang keputusan yang dibuat di peringkat PKR negeri boleh ditolak oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh Abdul Khalid. Selesaikah kemelut mereka berdua ini?," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid yang kononnya atas permintaan Menteri Besar itu sendiri bagi menguatkan parti.

Tambah Mohd. Nazmil, pelantikan Azmin itu tetapi pada masa sama tidak pula menjejaskan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, jelas membuktikan bahawa DAP telah menguasai Anwar.

"Anwar hanya berani usik kedudukan Abdul Khalid dalam struktur parti sahaja tetapi tidak berani untuk menganggu gugat kedudukan beliau di peringkat kerajaan negeri kerana tunduk kepada kuasa DAP.

"Abdul Khalid lebih akrab dan mesra dengan wakil rakyat DAP berbanding pimpinan PKR Selangor terutamanya Ketua-Ketua Cabang PKR,'' katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, pelantikan Azmin akan membuatkan rakyat mempersoalkan sama ada Azmin akan melangkaui tugas Menteri Besar.

Beliau yakin konflik akan berlaku kelak kerana Abdul Khalid dan Azmin mempunyai kuasa dalam mentadbir dan berhak membuat segala keputusan untuk negeri berkenaan.

Katanya, sememangnya Menteri Besar adalah individu yang paling layak untuk memberi kata putus dalam semua perkara tetapi beliau juga perlu mendapatkan nasihat daripada Pengerusi PKR negeri.

''Senario itu lama-kelamaan akan menjadi buruk dan lebih parah lagi apabila tiada persefahaman antara kedua-dua pemimpin tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

/hwa: www.utusan.com.my

Khalid terus ditekan

UM - 29/06/2010

SHAH ALAM 28 Jun – Setelah melepaskan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor semalam, Tan Sri Khalid Ibrahim berhadapan dengan satu lagi desakan - meletakkan jawatan Menteri Besar.

Desakan terbaru tersebut meletakkan suasana politik di Selangor yang dikuasai oleh pakatan pembangkang semakin bercelaru dan bakal memburukkan pentadbiran kerajaan negeri, biarpun baru dua tahun memerintah.

Ramai di kalangan pemimpin PKR sendiri berpendapat sukar untuk Abdul Khalid menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar memandangkan kuasa politik dipegang oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang dilantik Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor.

Pada masa yang sama, Abdul Khalid tidak mempunyai kuasa dalam menentukan hala tuju ekonomi Selangor kerana peranan itu dipegang oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar yang mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar berkata, kebanyakan perwakilan bahagian sebenarnya tidak bersetuju dengan keputusan mengekalkan Abdul Khalid dalam jawatan tersebut.

Ini kerana, kata beliau, mereka bimbang Selangor akan semakin kucar-kacir apabila pendapat dalam pentadbiran dan politik negeri tidak seiring memandangkan jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Majlis Pimpinan negeri disandang oleh individu berbeza.

“Kita memang mengalu-alukan pelantikan Azmin, tetapi kita khuatir kerana jawatan Menteri Besar masih dipegang oleh Abdul Khalid yang nyata gagal menyelesaikan banyak isu rakyat di negeri ini serta belum menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum dilantik ke jawatan berkenaan.

/hwa: www.utusan.com.my

28 Jun 2010

Ibrahim 'gedebe politik' - Khairy

UM - 28/06/2010

REMBAU 27 Jun - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menarik balik perkataan 'jaguh kampung' yang diberi kepada Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, namun menggantikannya dengan 'gedebe politik' (samseng politik).

Beliau bagaimanapun bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya terhadap Ibrahim yang disifatkannya sebagai penghalang konsep 1Malaysia.

Jelasnya, gelaran terhadap Ibrahim itu memang tepat berdasarkan tindak-tanduk Ahli Parlimen Pasir Mas itu selama ini, justeru beliau tidak akan meminta maaf ataupun menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Ibrahim sejak beberapa hari lalu.

Khairy berkata, Ibrahim sebenarnya adalah ahli politik yang tidak laku dan apa saja yang dibuat oleh beliau sebenarnya adalah untuk dirinya sendiri.

"Saya menyesal panggil dia sebagai 'jaguh kampung' sebab apabila saya teliti betul-betul dia sebenarnya tidak layak dipanggil jaguh kampung sebab gelaran itu terlalu mulia baginya, tetapi hanya layak dipanggil 'gedebe politik' murahan.

"Dia perlu ingat bahawa kalau tidak kerana undi Pas dan UMNO, dia tidak akan menang sebagai calon Parlimen Bebas. Kalau kita lihat dia bertanding dulu di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir pada 2005, dia hilang deposit.

"Jadi macam mana dia kata perjuangannya adalah relevan, sedangkan dia tewas di kampungnya sendiri?" katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Serentak Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas dekat sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Rembau yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Ibrahim yang menyifatkan Khairy sebagai penyibuk berikutan tindakan Ketua Pemuda UMNO itu mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Khairy kemudiannya mempertahankan Ka Siong dan menggelarkan Ibrahim sebagai penghalang kepada konsep 1Malaysia yang diamalkan kerajaan dan 'jaguh kampung' ekoran isu itu.

Dalam kenyataan balasnya semalam, Ibrahim secara sinis mencadangkan agar Khairy dilantik sebagai wakil tetap negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertaraf menteri kerana beliau sahaja yang memahami konsep globalisasi.

Tegas Khairy, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dalam memperjuangkan hak orang Melayu, tetapi ia tidak perlu dilakukan dalam kaedah yang agresif.

Jelasnya, sekiranya UMNO tidak menjauhi gerak-geri dan rentak Ibrahim, ia akan mendatangkan implikasi buruk terhadap Barisan Nasional (BN).

"Kita kena pastikan bahawa sokongan terhadap BN datangnya dari semua pihak iaitu Melayu yang progresif serta Cina dan India.

"Ingin saya tegaskan yang kita tidak mahu terikut-ikut dengan cara Ibrahim yang boleh melukakan hati ramai pihak, bukan hanya orang Melayu tetapi kaum-kaum lain," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Khairy ketika dihubungi berkata, beliau tiada masalah dengan perjuangan Perkasa, tetapi sebagai pemimpin sebuah organisasi sebegitu, Ibrahim perlu mengubah pendekatan dalam menangani sebarang isu.

Jelasnya, sebagai seorang pemimpin muda, beliau berasa tercabar dengan 'serangan' terhadap dirinya dan pasti akan 'membalasnya' semula.

/hwa: www.utusan.com.my

Little Napoleon dalam UMNO lebih bahaya dari pembangkang

UM - 28/06/2010

BUKIT MERTAJAM 27 Jun - Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir hari ini mendedahkan kewujudan Little Napoleon dalam parti yang sentiasa cuba melaga-lagakan pemimpin untuk kepentingan diri sendiri.

Menurutnya, golongan tersebut sering menggunakan pengaruh pucuk pimpinan tertinggi parti untuk tujuan itu.

Lebih membimbangkan, tegas beliau, perbuatan itu lebih berbahaya daripada dakyah parti-parti pembangkang kerana ia sukar dikesan dan tidak disedari pemimpin dan ahli UMNO sendiri.

"Dalam UMNO memang wujud Little Napoleon yang kerja mereka bodek pemimpin, cium tangan pemimpin di tengah jalan.

"Mereka tidak peduli masa depan UMNO, hidup untuk mereka saja dan ini lebih bahaya daripada pembangkang.

"Mereka cuba mempengaruhi pemimpin dan apabila masuk mesyuarat-mesyuarat besar, nak laga-lagakan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang disempurnakan oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim.

/hwa: www.utusan.com.my

Jika usaha drastik dilakukan tarik pengundi baru

UM - 28/06/2010

Rawang 27 Jun - Perpecahan dalam kerajaan Selangor ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan peluang terbaik buat UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali merampas negeri itu yang terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin UMNO dan parti komponen BN di peringkat akar umbi terutama di negeri berkenaan kini perlu memperkuat jentera parti masing-masing untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

"Itu sebabnya saya tekankan kita harus melakukan usaha lebih drastik bagi mendapatkan sokongan pengundi baru dan pengundi yang telah lari daripada kita pada pilihan raya umum dahulu (2008)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam ketika dihubungi mengakui wujud komplot di kalangan 15 Ahli Parlimen PKR untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Katanya, perkara itu berlaku kerana terdapat segelintir ahli Parlimen termasuk dari beberapa negeri lain tidak berpuas hati dengan cara dan tindakan Abdul Khalid mentadbir kerajaan dan politik Selangor.

Ahmad Zahid menambah, perkembangan dalam pakatan pembangkang yang menerajui negeri itu membuktikan perpecahan di kalangan PKR, Pas dan DAP kini adalah kritikal.

Bagaimanapun, katanya, para pemimpin pembangkang mempunyai kelebihan menyembunyikan setiap kelemahan serta perpecahan di antara mereka.

"Saya fikir sebenarnya perpecahan PKR lebih parah lagi, undi tidak percaya (terhadap Abdul Khalid) memang berlaku tetapi mereka sapu di bawah permaidani," ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, perpecahan di kalangan pemimpin UMNO Bahagian Rantau Panjang, Kelantan akan dibawa ke pengetahuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk tindakan lanjut.

Semalam, Ahmad Zahid terpaksa merasmikan dua mesyuarat UMNO Bahagian Rantau Panjang yang diadakan secara berasingan kerana perbezaan pendapat di kalangan beberapa pemimpin yang kalah dan menang pada pemilihan parti itu sebelum ini.

"Perpecahan bukan sahaja merosakkan imej individu malah parti juga turut terpalit," tegasnya.

/hwa: www.utusan.com.my

Sabah catat anggota UMNO teramai

BERNAMA - 28/06/2010

SEMPORNA 27 Jun - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti itu kini mempunyai 3,159,484 anggota di seluruh negara dan Sabah mencatatkan keanggotaan paling ramai dengan 449,805 orang.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, senarai baru itu yang telah melalui proses pembersihan juga menunjukkan Johor berada di tempat kedua dengan 428,663 anggota, diikuti Selangor (414,142).

"Selepas proses pembersihan, kita telah mengeluarkan daripada senarai hampir 300,000 orang termasuk yang telah meninggal dunia dan tidak dapat dikesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Semporna di sini hari ini.

Beliau berkata, UMNO sedang menjejaki anggota yang gagal dikesan bagi mendaftarkan semula mereka dan usaha itu harus dibantu cawangan dan bahagian di seluruh negara.

UMNO juga menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang berminat menyertai parti itu dan pada bulan ini sahaja hampir 2,000 orang didaftarkan sama ada menerusi talian atau cawangan, katanya.

Keanggotaan tertinggi adalah menerusi sayap Pemuda UMNO, kata beliau.

Terdahulu, semasa berucap Mohd. Shafie meminta anggota UMNO di bahagian itu agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bukan sahaja melaksanakan transformasi dalam kerajaan tetapi juga dalam parti.

Beliau berkata, kepimpinan UMNO pada masa kini lebih bersikap terbuka dalam mendengar pandangan dan teguran sama ada daripada anggotanya atau golongan lain demi perpaduan dan keutuhan parti.

/hwa: www.utusan.com.my

Zahid Hamidi hadir dua persidangan 'tidak sehaluan'

UM - 28/06/2010

RANTAU PANJANG 27 Jun - Krisis yang melanda UMNO Bahagian Rantau Panjang sejak 2008 mendapat harapan baru untuk pulih dengan kehadiran Naib Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke dua persidangan perwakilan yang diadakan di dua buah tempat berasingan secara serentak di sini, semalam.

Persidangan perwakilan tersebut berpecah dua ekoran krisis yang melanda antara Ketua Bahagiannya, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketuanya yang kini digantung keahlian UMNO, Datuk Mohamad Zain Ismail.

Keadaan ini menyebabkan persidangan berkenaan diadakan di dua tempat secara serentak iaitu di Lubok Jong, Rantau Panjang yang diketuai Abdullah dan di Dewan Yayasan Pembangunan Masyarakat, Lati, Pasir Mas di bawah pimpinan Mohamad.

Utusan Malaysia difahamkan, persidangan yang diadakan di Lubok Jong adalah sah mengikut perlembagaan UMNO, manakala kumpulan pimpinan Abdullah tidak sah.

Bagaimanapun, Zahid yang pada mulanya merasmikan persidangan di Lubok Jong pada pukul 2 petang kemudiannya meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan ahli-ahli UMNO yang berada di persidangan yang satu lagi.

Ketibaan beliau tepat pukul 4.45 petang semalam ternyata membawa harapan gembira kepada ahli-ahli UMNO di situ apabila mereka bersorak dan melaungkan 'hidup UMNO' berulang kali.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menyampaikan sebarang ucapan dan hanya beramah mesra dengan hadirin di situ serta berjumpa dan bercakap sesuatu kepada Abdullah.

Beliau yang ditemui pemberita sejurus selepas itu kemudiannya menyatakan telah menerima arahan daripada Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hadir ke kedua-dua tempat bagi menyelesaikan krisis yang melanda.

"Saya menasihatkan kepada semua pemimpin dan ahli di bahagian ini agar mengikut peraturan sedia ada dalam parti bagaimanapun saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan seterusnya ke Majlis Tertinggi jika perlu'' katanya.

Menurut sumber, perpecahan yang berlaku di bahagian itu bermula apabila empat pemimpin di bahagian itu digantung keahlian oleh Majlis Tertinggi pada 2008 iaitu Mohamad (bekas Ketua Bahagian); Ghazali Ismail (bekas bendahari bahagian); Fauzi Omar (bekas Ketua Pemuda bahagian) dan Pauziah Che Wook (bekas Ketua Wanita).

Selepas penggantungan tersebut, semua penjawat baru jawatan berkenaan didakwa dilantik tanpa mengadakan pertandingan menyebabkan ramai ahli tidak berpuas hati sehingga mewujudkan dua kumpulan UMNO di situ.

/hwa: www.utusan.com.my

Pelantikan Azmin cubaan awal ketepi Abdul Khalid

UM - 28/06/2010

SHAH ALAM 27 Jun – Pelantikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri ini menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menguatkan dakwaan wujudnya bibit-bibit rasa tidak senang pimpinan dan ahli akar umbi parti terhadap Menteri Besar Selangor berkenaan.

Ia didakwa sebahagian rancangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi ‘memantapkan’ parti itu di negeri ini dan keputusan Anwar dikatakan sesuatu yang ‘mesti disokong’ dan mesti diikut.

Walaupun Abdul Khalid mendakwa itu atas permintaannya tetapi bagi pemerhati politik dan beberapa pihak, ia menunjukkan Menteri Besar tersebut cuba diketepikan setelah tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar untuk mentadbir PKR di negeri ini yang semakin goyang.

Beberapa isu yang tercetus di negeri ini telah memperlihatkan kelemahan Abdul Khalid sebagai pemimpin parti dan negeri.

Ini termasuk ketidakpercayaan ahli akar umbi PKR terhadap kepimpinan Abdul Khalid di Kuala Selangor, penyelewengan penjualan pasir dan pengambilan tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang gagal ditangani baik sehingga menyumbang kepada kekalahan PKR dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail hari ini mengumumkan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor menggantikan Abdul Khalid, berkuat kuasa serta-merta.

Kemuncak kemelut kepimpinan Abdul Khalid adalah kewujudan komplot mengguling kepimpinan beliau oleh 15 Ahli Parlimen yang dikatakan turut melibatkan Azmin.

Justeru, pengumuman pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan negeri yang turut menyaksikan penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menggantikan Azmin di Wilayah Persekutuan, memperkuatkan kenyataan bahawa Abdul Khalid cuba dijatuhkan walaupun beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar.

Anwar juga cuba menutup rancangannya mengetepikan Abdul Khalid dengan memberitahu akan merombak kepimpinan PKR di dua lagi negeri tetapi tidak mengumumkan nama negeri dan bila ia akan dilakukan.

Sementara itu, seorang pemimpin PKR yang mempunyai ‘masalah’ dan kerap meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Abdul Khalid, S. Manikavasagam mengakui pelantikan Azmin di Selangor sebahagian rancangan Anwar.

Beliau mendakwa, pelantikan itu merupakan keputusan yang mesti disokong sebulat suara pemimpin PKR negeri termasuk dirinya.

Manikavasagam berkata, beliau yakin pengalaman Azmin dalam politik termasuk semasa menjadi Setiausaha Politik kepada Anwar dapat membawa perubahan kepada PKR Selangor.

“Anwar memang ada rancangan untuk kebaikan PKR dan negeri serta persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita mahu pemimpin yang memberi tumpuan penuh kepada parti di Selangor,” kata beliau ketika dihubungi petang ini.

Walaupun begitu, kata Manikavasagam, beliau tidak mahu terlalu memuji kerana perlu melihat bagaimana Azmin menguruskan parti.

“Kita tunggu dan lihat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Manikavasagam hari ini menafikan beliau terlibat dalam komplot bersama 14 lagi Ahli Parlimen di Selangor untuk menjatuhkan Abdul Khalid.

“Memang ada yang tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Abdul Khalid tetapi tidaklah sampai berkomplot menjatuhkannya atau sesiapa,” dakwa beliau.

/hwa: www.utusan.com.my

27 Jun 2010

Ulama bersama UMNO

FADLAN Mohd. Othman mewakili 40 ulama menyerahkan borang keahlian UMNO mereka kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, di PWTC Kuala Lumpur, 26 Jun. Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan). - Utusan/SHAIFUDIN MOHD. NOR

Jangan rasa selesa - Khairy

MM - 27/06/2010

JOHOR BAHRU 26 Jun - Ahli Pemuda dan Puteri UMNO negeri perlu mengikis sikap selesa dengan kedudukan Johor sebagai kubu kuat UMNO kerana parti pembangkang sentiasa mengintai peluang untuk menggugat penguasaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, mereka sebaliknya perlu bekerja lebih keras termasuk turun padang bagi mendekati rakyat dan mencari pengundi baru bagi memperkukuhkan sokongan terhadap BN.

"Setiap daripada kita perlu ada perasaan cemas. Jangan ingat sebagai kubu kuat, pembangkang tidak serang Johor. Orang kita hanya rasa cemas waktu UMNO dibubarkan dahulu dan kemudian leka.

"Jadi, kita perlu turun ke akar umbi seperti yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sering bertemu dan beramah mesra dengan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Gelang Patah di Skudai di sini hari ini.

/hwa: www.utusan.com.my

Komplot jatuhkan MB Selangor

MM - 27/06/2010

SHAH ALAM 26 Jun – Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mengakui wujud komplot di kalangan 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, perkara itu telah diketahuinya memandangkan ada segelintir ahli Parlimen termasuk dari beberapa negeri lain tidak berpuas hati dengan cara dan tindakan Abdul Khalid dalam mentadbir kerajaan dan politik negeri ini.

Bagaimanapun, Manikavasagam menafikan terlibat dalam komplot berkenaan dan tidak mahu dikaitkan dengan perkara itu.

Ini kerana katanya, hubungannya dengan Khalid pernah tegang berikutan isu penyelewengan aktiviti perlombongan pasir melibatkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang ditubuhkan oleh Khalid sendiri.

“Memang saya dengar ada gerakan ini (15 Ahli Parlimen untuk jatuhkan Khalid Ibrahim) dan saya tidak mahu terlibat dalam perkara ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Sementara itu, Khalid menegaskan beliau tidak terfikir untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar meskipun jika ada usul daripada pemimpin parti itu yang mahunya berbuat demikian.

Beliau sebaliknya berkata, usul berkenaan sama ada wujud atau tidak, ia tidak seharusnya diperbesar-besarkan.

Katanya, ini kerana perkara sedemikian perlu melibatkan perbincangan selain mendapatkan persetujuan bersama melibatkan semua peringkat kepimpinan tertinggi PKR.

“Wujud atau tidak usul seperti itu, kita adakan perbincangan. Perkara seperti ini merupakan masalah dalaman yang perlu kita bawa dalam parti sehinggalah kita dapat persetujuan bersama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Kelab Belia India Malaysia (MIYC) negeri Selangor di sini.

/hwa: www.utusan.com.my

26 Jun 2010

Ulama masuk UMNO bukti parti tegak Islam - Najib

UM - 26/06/2010 2:59pm

KUANTAN 26 Jun – Penyertaan 40 ulama ke dalam UMNO tidak akan menjadikan parti itu sebagai kumpulan yang ekstrem terhadap perjuangan Islam.

Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kemasukan golongan tersebut dalam UMNO membuktikan dasar perjuangan parti itu menegakkan Islam di negara ini selama ini diiktiraf oleh golongan cendekiawan agama.

/hwa: www.utusan.com.my

SENYUM KAMBING

Sabtu, 26 Jun 2010

40 ulama muda sertai UMNO

UM - 26/06/2010


FADLAN Mohd. Othman menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diperhatikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 25 Jun – Seramai 40 orang terdiri daripada ulama muda dari seluruh negara hari ini menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penyerahan borang keahlian dilakukan di hadapan Galeri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bermula.

Ia turut disaksikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli MT yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Wakil kumpulan ulama itu, Dr. Fadlan Mohd. Othman, 35, berkata, penyertaan mereka bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu dalam perkara yang berkaitan keagamaan dan kerohanian.

“Banyak perbincangan telah dibuat (mengenai persetujuan untuk menyertai UMNO), cuma kita berharap penyertaan ini akan dapat menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan yang sedia ada dalam parti.

“Kemasukan ini bukan berlandaskan politik dan bukan bertujuan untuk melaga-lagakan mana-mana pihak.

“Kami optimis terhadap ruang-ruang yang boleh dilaksanakan untuk mendekati dan membina jati diri golongan muda,” kata Fadlan yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan borang itu.

Ditanya mengapa tidak memilih untuk menyertai Pas, Fadlan berkata: “Dalam Pas pun sudah banyak ulama.”

Turut menyertai kumpulan itu ialah dua anak kepada bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya Hussin iaitu Fathul Bari dan Mohd. Khairi.

Dalam pada itu, Fathul Bari, 29, berkata, langkah mereka menyertai UMNO berikutan janji parti itu untuk memastikan pihak ilmuwan dapat meneruskan kerja-kerja dakwah mereka.

“Tawaran seperti ini memang dinantikan oleh sesiapa sahaja. Sebagai seorang penuntut ilmu dan pemberi ilmu memang menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga penasihat agama Institut Jantung Negara berkata, penyertaan mereka juga membolehkan kumpulan itu memberi cadangan kepada UMNO mengenai penambahbaikan program-program keagamaan yang sedia ada.

Sementara itu, Shahidan berkata, kehadiran ulama tersebut bukan bertujuan untuk mengancam mana-mana pihak tetapi patut dilihat sebagai platform membina golongan muda yang mempunyai jati diri positif.

“Ini sedikit sumbangan ke arah membina masa depan yang baik. Mereka masuk UMNO sebab diberikan ruang berdakwah yang luas dan kemas,” katanya.

Asri akan ikut

Ditanya mengenai ura-ura bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk menganggotai UMNO, Shahidan berkata, Mohd. Asri akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Beliau menambah, seramai 10 lagi ulama dijangka menyerahkan borang keahlian UMNO dalam tempoh terdekat.

/hwa: www.utusan.com.my

Kerajaan komited tingkat pemilikan bumiputera

UM - 26/06/2010

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kerajaan komited memastikan golongan bumiputera menguasai lebih 30 peratus kekayaan negara melalui pemilikan ekuiti hartanah, harta intelek dan guna tenaga profesional.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru mengajak masyarakat usahawan bumiputera bersama-sama kerajaan mencari jalan dan formula mendefinisikan semula dasar afirmatif bagi menjayakan hasrat berkenaan.

"Kita tidak malu mengakui wujud ketirisan dan kegagalan dalam pelaksanaan dasar-dasar pengagihan sebelum ini.

"Oleh itu, kita komited untuk melihat satu dasar pembaharuan yang seharusnya diterima secara bona fide (baik) dalam model baru ekonomi yang hendak dilaksanakan kerajaan," katanya.

Teks ucapan beliau sempena perasmian mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ke-45 di sini, malam ini, dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Turut hadir, Presiden DPMM, Datuk Syed Ali AlAttas, beberapa duta asing dan ahli-ahli DPMM negeri dan wakil DPMM negeri-negeri.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara paling penting sekarang mengelakkan isu-isu seperti ketirisan dan ali baba yang sentiasa menghambat usahawan Melayu daripada berulang.

"Zaman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menjadi laluan kepada permohonan projek sudah berlalu.

"Saya menyeru DPMM dan semua NGO ekonomi Melayu lain melakukan proses transformasi selaras dengan proses transformasi kerajaan," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan tidak pernah meminggirkan agenda pembangunan ekonomi orang Melayu sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1970 bagi menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

"Namun saya menyedari kegelisahan membelenggu orang Melayu yang takut terpinggir dalam arus ekonomi deras yang dipacu sektor swasta.

"Usahawan baru yang kurang berjaya serta kurang berkemampuan tidak harus diabaikan. Kerajaan telah menzahirkan komitmennya untuk memberi ruang kepada mereka yang gagal melalui program peluang kedua," tegasnya.

/hwa: www.utusan.com.my

Tiada lesen pertaruhan sukan

UM - 26/06/2010

KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat yang secara jelas tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan di peringkat dasar untuk memberi kelulusan sebelum ini.

“Walaupun ada pihak menyokong dan menentang perkara itu, kerajaan mendapati secara jelas majoriti masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut dikeluarkan.

“Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengumumkan keputusan berkenaan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini malam ini.

Polemik isu itu bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek membuat kenyataan di Dewan Negara pada 6 Mei lalu bahawa kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen judi bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian haram di negara ini.

Pengumuman berkenaan mendapat bantahan pelbagai pihak antaranya Badan Perhubungan UMNO Johor, Perak dan Kedah, Pergerakan Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu menegaskan, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, keputusan berkenaan disokong sepenuhnya MT UMNO dalam perbincangan malam ini.

“Keputusan itu dibuat sebulat suara, walaupun ada satu dua pendapat berbeza pada peringkat awal tetapi semua akur dan menerima,” katanya.

Mengenai lesen yang pernah dikeluarkan kepada Ascot Sports, Perdana Menteri berkata, ia diluluskan pada 1989 tetapi syarikat tersebut telah menyerahkannya semula pada 1990 kerana menghadapi kerugian besar.

Katanya, sejak tarikh itu Ascot Sports beberapa kali cuba memperbaharuinya dan baru-baru ini kerajaan pada dasarnya memberi kelulusan dengan syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

“Selain itu, kerajaan pada masa sama ingin mendapatkan pandangan umum sebelum lesen dikeluarkan memandangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka sendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial

“Walaupun niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram dan pertaruhan sukan haram yang ditaksirkan begitu besar sehingga ada yang kata perjudian haram itu melebihi RM10 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang lain” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menjelaskan, kerajaan juga mengambil keputusan bahawa dalam apa keadaan sekalipun, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat berkaitannya.

“Syarat-syarat ini adalah sesuatu yang begitu tegas ditentukan kerajaan,” katanya.

Mengenai reaksi parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib berkata, beliau percaya keputusan itu dapat diterima kerana ia lebih mengutamakan rakyat.

Beliau turut memberitahu, Ascot Sports juga tidak akan diberikan sebarang pampasan kerana di bawah akta yang diperuntukkan, Menteri Kewangan pada bila-bila masa mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen pertaruhan itu.

/hwa: www.utusan.com.my

Pertahan nasib Melayu - Mohd. Ali Rustam

UM - 26/06/2010

BALING 25 Jun - Kedudukan dan nasib orang Melayu di negara ini perlu dipertahankan berikutan perkembangan terkini menunjukkan ada kalangan kaum itu mendokong parti-parti yang tidak menunjangi perjuangan Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd. Ali Rustam berkata, terdapat parti yang dipimpin oleh orang Melayu tetapi semakin sukar untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu.

"Inilah yang kita bimbang kedudukan dan nasib orang Melayu apabila ada golongan Melayu yang tidak lagi boleh diharap membawa perjuangan bangsa ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Baling di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Wanita bahagian itu, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka dalam pada itu turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan sengaja mengada-adakan isu ancaman Jemaah Islamiah (JI).

"Apa yang didedahkan kerajaan semata-mata untuk menjaga soal keselamatan negara bukan untuk mengalih pandangan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali berkata, pihak pembangkang sengaja memperbesar-besarkan isu judi untuk kepentingan politik mereka.

"Kalau sudah tidak suka kegiatan judi, tutup semua premis judi di negeri yang dikuasai mereka," cabar beliau.

/hwa: www.utusan.com.my

24 Jun 2010

40 ulama Ph.D sertai UMNO esok - Shahidan

UM - 24/06/2010

KANGAR 23 Jun - Seramai 40 ulama berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) akan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh kumpulan ulama berkenaan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan mereka di ibu negara kelmarin.

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan 40 ulama berkelulusan Phd itu. Mereka menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO. Para ulama berkenaan mahu menyerahkan borang menyertai UMNO Jumaat ini kepada Perdana Menteri sendiri di Kuala Lumpur.

"Mereka menyatakan pendirian mahu berada dalam UMNO untuk terus menggerakkan dakwah. Jika UMNO silap mereka akan tegur dan jika yang baik mereka akan memuji," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, daripada 40 ulama itu, dua daripadanya adalah rakyat Perlis dan mereka adalah antara ulama terkenal di negeri ini.

"UMNO Bahagian Arau sedang berusaha untuk mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO di bahagian ini dan jika itu berlaku, maka mereka akan diberikan jawatan dalam dalam Biro Agama Islam," ujarnya.

Menyentuh mengenai kemungkinan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin yang disebut-sebut antara ulama terkenal yang akan menyertai UMNO Jumaat ini, Shahidan berkata, beliau memang mengalu-alukan kemasukannya jika perkara itu benar.

"Saya amat alu-alukan kemasukan mereka ke dalam UMNO. Bekas Mufti Perlis itu sama ada masuk atau tidak ke dalam UMNO, beliau adalah rakan saya," ujarnya.

Shahidan percaya, kemasukan begitu ramai ulama ke dalam UMNO amat tidak disenangi oleh sesetengah parti politik yang selama ini mendakwa hanya parti tersebut berjuang untuk menegakkan Islam.

"Apa yang pasti mereka yang akan menyertai UMNO itu nanti adalah ulama berkelulusan tinggi," jelasnya yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

/hwa: www.utusan.com.my

Ramai ulama dalam UMNO

UM - 24/06/2010

DR. MAHATHIR Mohamad memberi tepukan kepada pelajar Kolej Tunku Kurshiah yang muncul pemenang kategori menengah pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Projek Pendidikan Kebangsaan 2010 di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 23 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyertaan ulama dalam UMNO bukan suatu yang baru kerana parti itu sentiasa mempunyai ramai golongan agama sejak dahulu lagi.

Justeru bekas Perdana Menteri berkata, desas-desus tentang kemungkinan bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin bersama puluhan lagi ulama muda menyertai UMNO dalam masa terdekat bukan satu usaha terbaru parti itu untuk menyaingi parti lain termasuk Pas.

Malah, kata beliau, para pengasas Pas sendiri merupakan tokoh ulama yang asalnya berada dalam UMNO tetapi kemudian keluar parti setelah kalah dalam pemilihan.

‘‘Saya tidak fikir begitu (usaha UMNO tarik penyertaan ulama) kerana UMNO sentiasa mempunyai ulama meskipun mereka tidak mempamerkan diri sebagai ulama.

‘‘Mereka itu (ulama UMNO) mempunyai ilmu mendalam dan mengamalkan ajaran agama serta memberikan pandangan agama tanpa mengira apa yang dilakukan oleh UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Projek Pendidikan Kebangsaan 2010 di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini hari ini.

Pertandingan anjuran YKP dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Oracle dan Kementerian Pelajaran itu menampilkan kajian, wawancara dan kaji selidik secara dalam talian melibatkan penyertaan para pelajar sekolah dari seluruh negara dengan tema ‘Pelajari daripada Sejarah dan Kepimpinan Negara’.

Hadir sama Pengarah Eksekutif YKP, Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaacob.

Bekas Presiden UMNO itu diminta mengulas laporan media sejak Ahad lalu mengenai kemungkinan Asri bersama 100 lagi ulama termasuk golongan akademik menyertai UMNO Jumaat ini.

Bagaimanapun Asri dilaporkan berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Dr. Mahathir mengingatkan golongan pelajar supaya tidak hanya mempelajari tentang kejayaan yang dicapai oleh kepimpinan negara sebelum ini.

Sebaliknya, kata beliau, generasi muda juga perlu mempelajari segala kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini dan segala bentuk kesilapan yang dicatatkan oleh sejarah negara.

‘‘Tolong jangan sangka apa yang anda belajar itu sentiasa baik untuk anda semua, kita juga mesti menerima bahawa terdapat banyak kesilapan.

‘‘Jadi kita juga perlu belajar tentang kesilapan, bukan belajar yang betul sahaja. Ini bagi mengelakkan kita daripada mengulangi kesilapan yang dilakukan pemimpin terdahulu,” katanya.

Menurutnya, keadaan yang serupa berlaku apabila satu ketika beliau ditanya adakah Dasar Pandang Ke Timur yang dilaksanakan oleh Malaysia masih merujuk kepada Jepun sedangkan negara matahari terbit itu mula menunjukkan kemerosotan.

‘‘Saya jawab ya, kami masih merujuk kepada Jepun, iaitu kami mempelajari apa bentuk kesilapan yang telah dilakukan oleh negara itu,” katanya.

Terdahulu, Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan berkenaan yang menyaksikan pasukan dari Sekolah Kebangsaan Jasin, Melaka, muncul juara kategori rendah; Sekolah Menengah Abdullah Munshi, Pulau Pinang (menengah); dan Kolej Tunku Khursiah, Seremban (menengah atas).

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, piala dan buku.

Tempat kedua pula dimenangi Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), Sekolah Menengah Rahman Talib, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jelai, Negeri Sembilan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan buku.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Terengganu pula memenangi kategori khas dengan memperoleh hadiah wang tunai RM500.

/hwa: www.utusan.com.my

23 Jun 2010

UMNO tak halang sesiapa jadi ahli

UM - 23/06/2010

PUTRAJAYA 22 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO tidak pernah menghalang atau menyekat sesiapa yang ingin menjadi ahli parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana secara prinsipnya UMNO akan menerima dengan hati terbuka, lebih-lebih lagi jika individu itu berpendidikan tinggi, berilmu dan berkemahiran.

‘‘ UMNO tidak pernah menghalang sesiapa yang nak jadi ahli parti dan tidak kira Dr. Mohd Asri ke, (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang ke atau sesiapa sahaja, kita tak pernah sekat atau kata tidak boleh.

‘‘Lebih-lebih lagi kalau orang itu berpendidikan tinggi, berilmu dan berkemahiran kerana mungkin dengan penyertaan mereka itu, kita akan dapat memperkuatkan kedudukan parti dan perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Laporan akhbar baru-baru ini menyebut bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin bersama 100 ulama berkelulusan tinggi dijangka menyertai UMNO Jumaat ini.

Mengenai pandangan UMNO Johor yang menolak sebarang pertaruhan dalam bidang sukan termasuk bola sepak, Muhyiddin berkata, ia adalah hak mereka untuk menyuarakan pandangan mengenai apa jua isu yang timbul.

‘‘Itu pandangan mereka dan kepimpinan tentu akan mengambil perhatian perkara-perkara seperti itu dan apa-apa pun itu hak ahli UMNO untuk suarakan pandangan mereka,” katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

21 Jun 2010

Saya akan cerita segala-galanya hal Anwar - Nallakaruppan

UM - 21/06/2010

JOHOR BAHRU 20 Jun - ''Saya akan cerita segala-galanya mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya dan ketika itu rakyat Malaysia akan tahu siapa Anwar yang sebenarnya."

Demikian janji Datuk S. Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP).

Katanya, pendedahan itu merupakan satu daripada usaha untuk membantu 'menyelamatkan' negara.

"Ini bukan lawak atau bohong. Anwar banyak menimbulkan masalah kepada negara dan fokus utamanya adalah untuk menjadi Perdana Menteri semata-mata," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MIUP di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hamzah Zainudin serta Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor.

Nallakaruppan juga menyatakan kesediaannya untuk berhadapan dengan Anwar di mahkamah sambil menyifatkan 'pertemuan' itu sebagai hari yang menggembirakan.

"Saya akan menunggu hari indah itu kerana ia merupakan hari yang sangat menggembirakan saya berbanding hari-hari lain. Bagaimanapun, dia perlu menyelesaikan dulu kes liwatnya sebelum boleh bercerita mengenai hal-hal lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berhasrat untuk menjadikan MIUP sebagai sebahagian daripada parti komponen BN pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan untuk menyertai BN pada tahun lalu dan masih menunggu keputusan mengenainya.

/hwa: www.utusan.com.my

DAP mahu Zaid ganti Anwar?

UM - 21/06/2010

KUALA LUMPUR 20 Jun – DAP didakwa memulakan langkah untuk mencari pemimpin baru untuk memimpin pakatan pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin akan dihukum penjara kerana kes liwat.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendakwa, calon utama yang disokong serta dipromosikan oleh DAP sebagai Ketua Pembangkang yang baru ialah Datuk Zaid Ibrahim.

Dakwa Zulkifli, ini kerana Zaid dilihat mempunyai perwatakan yang sama dengan Anwar iaitu liberal serta tidak tebal semangat Islam dan kemelayuannya.

“Sebab itulah seorang pemimpin pakatan dari DAP mahukan seorang ahli Parlimen daripada parti itu mengosongkan kerusinya.

“Dalam hal ini timbullah kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berpendapat Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua hilang kelayakan serta satu pilihan raya mesti diadakan.

“DAP melihat inilah peluang sekali lagi untuk menobatkan Zaid jika kerusi Parlimen Batu dikosongkan. Ini bagi memberi laluan kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mencuba nasib sekali lagi untuk menjadi ahli Parlimen,'' dakwanya dalam entri terbaru di dalam blog beliau, http://zul4kulim.blogspot.com.

Dakwa Zulkifli, beliau juga mendapat maklumat, jika ada ahli Parlimen yang disabit kesalahan yang boleh membatalkan kelayakan, maka eloklah kerusi itu dikosongkan.

Sebab itulah, dakwa Zulkifli lagi, Karpal mengeluarkan pendapat bahawa Tian Chua sudah hilang kelayakan dan kerusi Parlimen Batu mesti dikosongkan.

“Apakah Ahli Parlimen Padang Serai, Kedah, N. Gobalakrishnan akan terpaksa mengosongkan kerusinya? Yang pastinya Gobalakrishnan juga telah dihukum dengan hukuman yang boleh membatalkan kelayakan beliau sebagai ahli Parlimen.

“Malah tersebar bisik-bisik di kalangan mereka kemungkinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan diminta mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi laluan kepada Zaid dan Khalid memberi tumpuan kepada Selangor,” dakwanya.

Beliau mendakwa, DAP membuat perkara ini memandangkan mereka sebenarnya tahu Anwar akan dihukum penjara atas pertuduhan liwat dan kali ini hukuman lebih lama dari tempoh enam tahun iaitu hukuman yang telah dijalani sebelum ini.

Dakwanya, DAP perlu menyokong Zaid memandangkan pakatan tidak mempunyai alternatif lain di mana Pas tidak boleh menerima kepimpinan Lim Kit Siang yang mempunyai paling ramai ahli Parlimen iaitu 28 orang.

Beliau turut mendakwa, DAP juga tidak boleh menerima sekiranya kepimpinan pakatan pembangkang diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kalau adapun alternatif ialah Naib Presiden PKR, Azmin Ali tetapi Pas dan DAP tidak pernah terfikir pun pakatan itu akan dipimpin oleh Azmin kerana usianya yang masih muda walaupun beliau berkaliber.

“Calon yang boleh diterima oleh DAP serta Pas ialah Zaid yang merupakan anak emas kepada DAP untuk menggantikan Anwar dan kehendak parti itu mesti dituruti kerana mereka yang dominan dalam pakatan sekarang,” dakwanya.

Zulkifli juga mendakwa, memang menjadi stail kepimpinan pakatan terutama di kalangan firaun-firaun kecil yang mahu setiap masa ada isu demi survival politik dan dengan lebih banyak pilihan raya kecil lebih baik bagi mereka.

/hwa: www.utusan.com.my

‘Gila dan tidak bertanggungjawab’

UM - 21/06/2010

HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah dan Ahmad Shabery Cheek (kanan) memotong pulut kuning sempena sambutan Hari Bapa pada Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong di Kluang, semalam.


KLUANG 20 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin terdesak sehingga sanggup menjadikan isu keselamatan negara sebagai mainan politik dengan mengeluarkan kenyataan yang dianggap ‘gila dan tidak bertanggungjawab’ untuk memenuhi cita-cita peribadinya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa isu Jemaah Islamiah (JI) hanya helah Barisan Nasional (BN) untuk mengalih perhatian rakyat menunjukkan Anwar cuba menafikan apa yang telah dilakukan pihak berkuasa dalam memerangi ancaman pengganas.

“Jikalau itu pun dia (Anwar) boleh tuduh kita mereka-reka, satu hari nanti jika JI (Jemaah Islamiah) meletupkan rumah dia, itu pun dia akan tuduh UMNO juga.

“Gila punya statement (kenyataan), sampai terrorist (pengganas) pun nak dipolitikkan. Kenyataan yang tak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong di sini hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hishammuddin berkata, kenyataan Anwar mengenai JI hanya akan menyebabkan orang ramai semakin menyedari bahawa pemimpin pembangkang itu sanggup melakukan apa sahaja termasuk menafikan usaha murni kerajaan demi memuaskan kerakusan nafsu politiknya.

“Kita sentiasa berusaha dan bersedia menjaga keselamatan negara supaya semua rakyat Malaysia termasuk Anwar dapat tidur lena,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan usaha pemimpin pembangkang itu untuk memperlekehkan pentadbiran BN dengan memutarbelitkan fakta dan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas.

/hwa: www.utusan.com.my

Ahli UMNO disaran berani lakukan serang balas

UM - 21/06/2010

Najib Tun Razak menerima tepukan gemuruh daripada para perwakilan semasa hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Hutan Melintang, Perak, semalam.


BAGAN DATOH 20 Jun - Ahli-ahli UMNO diminta supaya berani melakukan serangan balas untuk memperbetulkan persepsi salah yang yang dilemparkan pihak pembangkang terhadap parti itu dan kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ahli-ahli UMNO tidak boleh hanya dalam posisi mempertahankan sebaliknya perlu melakukan serangan balik untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

"Macam kita tengok Piala Dunia sekarang ini. Boleh tengok, tapi bukan hanya untuk keseronokan semata-mata. Tengok dan cuba jadikannya dalam konteks politik.

"Jangan asyik mempertahankan benteng sahaja kerana kadang kala boleh bolos. Perlu ada pertahanan dan serangan balik untuk menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2010 di sini hari ini.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli UMNO untuk memperbetulkan segala persepsi salah yang dibuat oleh pembangkang dan tidak tunduk dengan sebarang ancaman.

Tegas Perdana Menteri, perlu ada barisan yang ampuh untuk mempertahankan perjuangan UMNO dan mengembalikan kejayaan parti itu seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

"Bukan Barisan Nasional (BN) atau UMNO tidak baik, tetapi mainan persepsi pembangkang menyebabkan rakyat menjauhkan diri.

"Berbanding suasana politik pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, bila kita bagi peruntukan sahaja, rakyat sudah boleh menerimanya. Tetapi sekarang lain, mereka masih ada rasa tidak puas hati. Jadi ini yang perlu kita perbetulkan" katanya.

Tambah beliau, prestasi merosot UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu pula bukan kerana rakyat tidak berpihak pada parti itu tetapi kerana mereka menolak pemimpin yang tidak dekat di hati rakyat, tidak menunaikan janji serta bongkak.

Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat katanya, UMNO tidak boleh ketinggalan dengan metodologi lama sebaliknya perlu menggunakan metodologi terkini supaya dilihat sebagai parti yang dinamik dan berkesan.

"UMNO adalah parti yang terlalu lama, jadi saya nampak pembaharuan adalah sangat perlu.

"Kita perlu cari jalan untuk menjadikan 'barang' yang lama itu lebih baik untuk dipandang dan kembali disukai," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

20 Jun 2010

Berubah jika mahu kekal berkuasa

MM - 20/06/2010

MUHYIDDIN Yassin dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut para perwakilan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh, Johor, semalam. – Bernama

MUAR 19 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa kuasa dan kedudukan kerajaan tidak akan kekal sekiranya semua ahli parti tidak mengambil langkah berani untuk berubah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ekosistem dan landskap politik kini boleh mengancam kedudukan BN sebagai parti pemerintah apatah lagi beberapa negeri telah dikuasai parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

“Tiada jaminan kedudukan yang ada hari ini terus kekal sekiranya kita tidak bersedia mengambil langkah lebih berani. Saya mengajak pimpinan muda untuk melihat ini sebagai satu ancam kepada keberkekalan kuasa politik kita.

“UMNO dan BN perlu prihatin kepada situasi yang kritikal ini. Dalam tinjauan saya, masih ada orang menganggap situasi ini macam biasa, boleh relaks, seolah-olah tak rasa situasi lebih terancam dari dulu,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Dewan Sri Pekembar, Pagoh, dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata, semua pemimpin di setiap peringkat dalam parti komponen BN tidak boleh mengambil sikap seolah-olah ‘tahu segala-galanya’ sehingga mengabaikan keperluan sebenar masyarakat.

“Jangan ada lompang yang begitu ketara sehingga persepsi masyarakat tidak serupa tentang apa yang kita fikir tentang diri kita dan parti kita.

“Kita tidak boleh dilihat bersikap sombong, kita tidak boleh bersikap tahu segala-galanya sedangkan persepsi rakyat tidak seperti yang apa yang kita rasa. Sikap seperti itu perlu diubah,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, persepsi negatif itu akan digunakan oleh parti pembangkang bagi memburukkan BN walaupun ia tidak mencerminkan realiti sebenar matlamat perjuangan BN.

Sehubungan itu, Muhyiddin meletakkan hasrat supaya BN terus kekal di hadapan selaku parti yang memperjuangkan nasib setiap kaum dalam menangkis segala dakyah yang dilontarkan parti pembangkang.

“Kalaulah BN ini mewakili semua kaum, maka semua parti di dalamnya mestilah mewakili nasib semua kaum... maka barulah transformasi dapat dibuat,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO untuk sentiasa bersiap sedia dalam menggalas cabaran memulihkan kembali kekuatan UMNO dan BN.

Timbalan Perdana Menteri turut menggesa ahli UMNO dan BN melakukan transformasi politik bergerak seiring dengan transformasi yang dilaksanakan kerajaan untuk mengukuhkan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah itu.

/hwa: www.utusan.com.my