31 Ogos 2010

31 Ogos 2010

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, bersama-sama melaungkan 'Merdeka' pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil, hari ini. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

31 Ogos 2010

ORANG ramai mengibarkan Jalur Gemilang ketika lagu patrotik dimainkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. Sambutan bertemakan '1Malaysia Menjana Transformasi' mencatat sejarah kerana ia kali pertama diadakan di stadium tertutup. - Foto BERNAMA
Aug 31, 2010 5:24 pm

Tindakan terhadap Meng Chee

UM - 31/8/10

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee jika dia terbukti melakukan kesalahan ekoran penerbitan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) menegaskan, perkara sensitif sebegini tidak boleh dibiarkan dan merupakan satu langkah yang silap serta tidak boleh dimaafkan

“Saya telah mendapat taklimat daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengenai perkara tersebut dan sehubungan itu mengarahkan siasatan menyeluruh dibuat dengan mengambil kira segala aspek.

“Perbuatan seumpama itu tidak boleh dimaafkan jika terbukti dia mempersendakan isu berkaitan kaum sehingga mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia melalui e-mel ketika diminta mengulas mengenai tindakan Meng Chee yang menerbitkan klip video berunsur perkauman.

Hishammuddin ketika ini dalam rangka lawatan tugas rasmi di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi membincangkan soal-soal berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan kerja dua hari bermula semalam itu melibatkan pertemuannya dengan Tengku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan turut menghadap Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau memberitahu, seni persembahan tidak boleh dijadikan alasan kononnya Meng Chee memperjuangkan kebebasan bersuara, hak atau kesaksamaan.

“Jika Meng Chee sengaja mencetus kontroversi dan mempermainkan agenda kaum, ini menunjukkan sikap angkuh dan memualkan.

“Rakyat tanpa kira kaum sama ada Melayu, Cina atau India dan sebagainya di negara ini menolak sikap ekstrem yang tidak berkesudahan seperti ini,’’ ujar beliau.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki Surau Al-Huda, beliau berkata, umat Islam perlu tahu membezakan konteks lawatan ke masjid atau surau berbanding mempergunakan masjid bagi tujuan politik dalam keadaan tak beradab.

Di JOHOR BAHRU, empat laporan polis telah dibuat di negeri ini ekoran penerbitan klip video Namewee.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar berkata, laporan polis pertama dibuat pada pukul 3.20 petang, Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya manakala tiga lagi di Balai Polis Johor Jaya, Pasir Gudang dan Masai semalam.

Beliau berkata, satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal telah ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

/hwa: utusan.com.my/

Jangan jatuhkan maruah ummah

UM - 31/8/10


Raja Nazrin Shah


IPOH 30 Ogos – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam di negara ini yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.

Keadaan itu berlaku titah baginda, akibat pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.

Raja Dr. Nazrin bertitah, pemimpin sedemikian mungkin menyimpang daripada prinsip asas Islam yang sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah kerana merelakan agamanya dicemari dan umatnya dihina.

Mengambil contoh penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, titah baginda, ia bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam itu sendiri.

“Pencerobohan besar bermula daripada perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula daripada satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau doa.

“Ia bermula daripada pencerobohan kecil dan jika ketika itu orang Islam masih belum insaf, berdegil dan sombong mempertahankan ego serta memilih untuk bertelagah, mereka sebenarnya memberi petanda yang salah seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat dan institusi Islam,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Peringkat Negeri Perak serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, baginda meminta umat Islam supaya sedar, insaf serta wajib mengambil pengajaran sebelum “nasi menjadi bubur” kerana tiada pihak lain akan bersimpati jika mereka jatuh dan menjadi lemah.

“Masa depan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan mereka sendiri. Selagi kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak boleh meruntuh atau menjatuhkannya,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah, pemimpin wajib mengambil ingatan dan insaf bahawa selagi terdapat kumpulan fakir miskin di dalam negara, mereka masih menghadapi cabaran dan tanggung jawab besar untuk memastikan pengagihan sumber kekayaan negara berlaku secara adil dan saksama.

Malah tegas baginda, kewujudan fakir miskin harus menginsafkan warga yang hidup senang dan mendapat banyak nikmat serta kemudahan untuk tidak bersifat tamak, bernafsu membolot seluruh kekayaan tanpa menghiraukan penderitaan golongan miskin dan susah.

Baginda menyifatkan usaha membantu fakir miskin dan membasmi kemiskinan adalah jihad yang perlu diberi keutamaan pihak terbabit.

Dalam titahnya, baginda memuji langkah MAIPk yang memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada 15,000 fakir miskin di negeri ini termasuk 5,450 orang yang masih memerlukan bantuan bulanan.

Selain itu, baginda menggalakkan badan Islam lain mencontohi langkah Yapeim menyediakan anugerah kecemerlangan untuk warga bukan Islam kerana ia dapat memperlihatkan kemurnian ajaran agama selain memupuk perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

/hwa: utusan.com.my/

MERDEKA!

UM - 31/8/10

YANG Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin , Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Tmbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Menteri-Menteri Kabinet hadir pada majlis Sambutan Hari Merdeka ke-53 di Stadium Putra Bukit Jalil Kuala Lumpur, 31 Ogos. - Utusan/SAIFUL BAHARI ASHARI
JASMIT Kaur Badesha, 46, bersama-sama anaknya, Manisha, 15 dan Malvin, 11, berfesyen pada sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53, berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.31 Ogos. - Utusan/AMIN FARIJ HASAN.
DAYANG Mardhiyah Mohd Noor, Noor Shuhada Farhana Ibrahim, Zubaidah Idris, Norlizana Che Ngah, Wan Zainab Wan Mohd Amin dan Siti Meriam Harun mendukung bayi merdeka masing-masing yang dilahirkan sempena ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-53 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, 31 Ogos. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN

6,000 sambut detik 12 malam di Dataran Merdeka

UM - 31/8/10


Ribuan warga kota berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi untuk menyambut detik 12 malam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53.

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Meskipun tiada acara sambutan rasmi, kira-kira 6,000 warga kota tetap memenuhi Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi meraikan detik 12 malam sempena Hari Kemerdekaan ke-53 esok.

Mereka bagaimanapun hampa setelah jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad tidak langsung berdenting apabila tepat pukul 12 malam.

Keadaan itu menyebabkan tiada laungan merdeka kedengaran dan kebanyakan orang ramai beredar pulang selepas itu.

Keadaan serupa juga berlaku di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang hanya meriah dengan kehadiran ratusan warga kota tanpa laungan 'merdeka', nyanyian atau percikan bunga api.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai membanjiri pekarangan menara tersebut seawal jam 10 malam hanya datang untuk bersantai sambil menikmati keindahan pemandangan malam di situ.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berkata, walaupun tiada sambutan ambang kemerdekaan seperti tahun-tahun sebelum ini, mereka tetap mengenang hari bersejarah tersebut dengan cara yang tersendiri.

Lebih menarik, ada yang membawa keluarga menyertai majlis qiamulail di masjid As-Syakirin berdekatan KLCC.

Sementara itu di Genting Highlands kira-kira 10,000 orang tidak berganjak bagi menantikan detik 12 malam bagi menyambut Hari Kemerdekaan walaupun hujan turun dengan lebat.

Pelbagai aktiviti menarik seperti perarakan merdeka, persembahan tarian kebudayaan dan pertunjukkan bunga api disajikan kepada pengunjung sempena sambutan ambang merdeka kali ini.

Bagi memeriahkan sambutan, Genting Highlands memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk masuk secara percuma ke pekarangan taman temanya untuk sama-sama menghitung detik 12 malam.

Selain itu, Jalur Gemilang diberikan secara percuma kepada pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan kaum bagi menyuntik semangat patriotik kepada negara.

Turut hadir memeriahkan sambutan tersebut ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung.

/hwa: utusan.com.my/

Jangan persiakan kemerdekaan

Bernama - 31/8/10


SEMANGAT dan aspirasi merdeka perlu diterap dari peringkat kanak-kanak.

KANAK-KANAK yang menghiasi gambar muka depan Mega hari ini, Joan Antonia Lucas, satu tahun 10 bulan dari Pulau Pinang mungkin belum mengerti apa-apa mengenai erti sambutan Hari Kemerdekaan.

Namun, sikap ibu bapa yang mendedahkannya kepada sambutan itu sejak kecil termasuk mengibarkan Jalur Gemilang mampu mendidik dan melahirkan semangat cintakan negara.

Yang paling penting, diharapkan dengan didikan itu Lucas akan membesar sebagai indvidu yang menghargai kemerdekaan.

Mereka yang menghargai kemerdekaan secara tidak langsung turut menghargai perjuangan generasi dahulu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

“Hargailah dan jangan mempersiakan kemerdekaan yang dinikmati sekarang kerana perjuangan untuk memperolehnya bukan mudah memandangkan ia memerlukan pengorbanan yang besar,” demikian kata seorang veteran perang tempatan ketika Perang Dunia Kedua, Philip Mairon, 85, dari Penampang, Sabah.

Philip terlibat dalam perjuangan membebaskan negara daripada tentera Jepun pada 1942 dengan menyertai pasukan gerila yang dikendalikan oleh Tentera Bersekutu Australia dan Britain.

Katanya, perjuangan untuk membebaskan negara daripada tentera Jepun ketika itu menjadi matlamat penting kerana tiadanya erti kebebasan ketika itu dan hidup pula dalam ketakutan.

Ketika menceritakan pengalamannya kepada Bernama, Philip berkata ia bermula apabila dia bersama 29 rakannya ditangkap oleh tentera Jepun di Kota Kinabalu yang ketika itu dikenali sebagai Jesselton. Kemudian mereka dibawa ke kawasan Buli Sim-Sim sebagai buruh untuk membuat kerja mengimpal kapal dan membina kapal tentera Jepun.

Katanya, beliau dan tahanan lain menjalani hidup yang penuh derita dan diugut hukuman pancung jika silap atau lambat membuat kerja.

“Hidup di kem tahanan itu membuatkan saya nekad untuk berjuang membebaskan diri dan membebaskan negara daripada penjajahan tentera Jepun ketika itu,” katanya yang ditemui ketika menghadiri Hari Peringatan Sandakan baru-baru ini.

Hari Peringatan Sandakan itu diadakan bagi memperingati tentera Australia dan Britain yang terkorban di Kem Tahanan Jepun dan Perjalanan Maut dari Sandakan ke Ranau.

Mengimbas semula pengalaman itu, Philip berkata pada suatu hari, dia bersama beberapa rakannya berjaya melarikan diri ke dalam hutan selepas tujuh hari bekerja di bawah tentera Jepun dengan matlamat mahu lari balik ke Jesselton untuk bertemu keluarga.

Setibanya di Kampung Muanad di Beluran, mereka bertemu seorang pemimpin di kampung itu dikenali sebagai OKK Khulang yang meminta mereka tidak meneruskan perjalanan ke Jesselton kerana setiap laluan telah dikuasai oleh tentera Jepun.

Philip bersama rakan-rakannya bersetuju dan menetap di kampung itu selama setahun sebelum menyertai pasukan gerila yang dikendalikan oleh Tentera Bersekutu Australia dan Britian.

Katanya penyertaan mereka dalam pasukan gerila bermatlamat mahu membebaskan negara daripada tentera Jepun ketika itu dan dia berjaya membunuh empat tentera Jepun dalam beberapa pertempuran.

Beliau tidak akan melupakan pengalaman itu dan bangga dapat memainkan peranan membantu mendapatkan kebebasan negara daripada tentera Jepun.

Setelah Jepun berundur dari negara ini, Philip diserapkan ke dalam pasukan polis sebelum bersara pada tahun 1974 dengan pangkat Ketua Inspektor.

Ketika negara dalam keadaan aman dan membangun dengan pesat pada masa sekarang, Philip meminta semua rakyat sama-sama menjaga keamanan dan menghargai erti kemerdekaan yang dikecapi itu.

“Perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bukannya satu kerja mudah dan ia memerlukan pengorbanan yang besar termasuk mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkannya,” katanya.

Biarpun telah berusia, beliau berkata semangat berkorban untuk negara masih ada pada dirinya dan sejarah perjuangannya menentang tentera Jepun turut dikongsi bersama cucu serta cicit supaya mereka dapat menghargai erti kemerdekaan.

Philip berkata kemerdekaan yang dinikmati negara pada masa sekarang membolehkan rakyat menikmati hidup yang aman dan selesa hasil daripada perjuangan generasi sepertinya.

Katanya bagi pejuang sepertinya, mereka tidak memerlukan jasa dan pengorbanan mereka dihargai tetapi cukuplah rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sama-sama menjaga kemerdekaan negara.

“Jangan biarkan anasir jahat merosakkan keamanan yang dinikmati sekarang kerana perjuangan mempertahankan negara sekarang berbeza berbanding zaman dahulu yang memerlukan kami memegang senjata dan bertempur dengan musuh di lapangan,” kata Philip.

/hwa: utusan.com.my/

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

UM - 31/8/10

AWANG sebenarnya tidak berminat untuk mengulas isu klip video kontroversi Wee Meng Chee ketika semua rakyat bersemangat menyambut ketibaan ulang tahun kemerdekaan negara.

Namun hati Awang meronta-ronta apabila membaca kenyataan Meng Chee yang lebih dikenali sebagai 'Namewee' kerana siri klip video kontroversinya. Terbaru, pembikinan klip video yang jelas mengulangi perbuatan biadab apabila menyentuh mengenai seorang pengetua yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman.

Kata Namewee kepada wartawan Utusan, dia menggunakan kata-kata kesat dan lucah dalam klip video terbarunya dalam usaha menarik perhatian orang ramai supaya tidak rasis.

Awang turut 'membilas' klip video terbabit - jelas wujud perkataan- perkataan yang tidak tergamak untuk Awang catatkan pada ruangan ini. Ia amat jijik!

Setelah mengikuti klip tersebut dan mengikuti ulasan Namewee, mesej Awang kepadanya mudah - kalau hendak mengajar orang lain supaya tidak rasis, hapuskan segala keburukan dalam diri sendiri dahulu. Bersihkan dahulu diri daripada kata-kata nista.

Apa pun tujuan klip video itu dibuat dan niat si pembikinnya, ia sama sekali tidak menghalalkan cara dan persembahannya yang jelas tidak bertamadun. Ingatlah negara kita telah lama merdeka.

Awang - Anak merdeka.

/hwa: utusan.com.my/

Pertahankan perpaduan nasional tonggak kestabilan negara

UM(rencana) 31/8/10

HARI ini genap 53 tahun negara kita, Malaysia mencapai kemerdekaan. Dalam tempoh lebih lima dekad inilah, semua rakyat berbilang kaum sama-sama mencurahkan keringat dan bakti untuk membangunkan negara ini.

Dalam fasa pertama 50 tahun, boleh dikatakan kita berjaya mengharungi dugaan dan cabaran untuk menikmati kesejahteraan hidup di negara yang merdeka.

Tetapi kenapa dalam memasuki fasa kedua 50 tahun, perpaduan kaum yang berjaya kita bina tiba-tiba mahu dipisah-pisahkan dan diasak dengan pelbagai tuntutan yang berbaur kepentingan politik.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kita hari ini, elok kita renungi kembali jerih perih pejuang menuntut kemerdekaan. Mereka juga terdiri daripada pelbagai kaum. Hayati semangat mereka untuk memakmurkan rakyat dan negara ini.

Bukan dahulu tiada berlaku perselisihan faham antara kaum, tetapi keadaannya tidak melampau seperti dibangkitkan sesetengah pihak sekarang.

Kalau ibu bapa dan datuk nenek semua kaum dahulu dapat menghormati dan bertolak ansur dalam membina kehidupan di Malaysia, kenapa generasi sekarang tidak dapat bersikap sedemikian.

Membaca perutusan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 ini, jadikanlah hari ini titik permulaan untuk semua kaum mengikis sikap melampau yang terjelma melalui isu perkauman dan agama.

Sebagaimana seruan dan peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa apa yang kita bina dan capai hari ini boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada.

Formula kejayaan dan kestabilan negara kita sejak lebih lima dekad lalu ialah perpaduan kaum. Hanya dengan 'resipi' ini dijangka kita dapat terus mencapai matlamat masa depan yang lebih baik.

Semua kaum dan rakyat Malaysia kena pertahankan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan negara kita selama ini.

Ingatlah, sesuatu perubahan yang ingin kita kecapi belum tentu membawa kebaikan, sebaliknya mungkin mendatangkan masalah lebih teruk.

Perhatikan negara-negara yang terlebih dahulu merdeka daripada kita, akibat perasaan prasangka dan permusuhan terhadap kaum lain, negara mereka tidak aman. Tahap kehidupan majoriti rakyatnya pun tidak begitu baik.

Di Malaysia, keunikan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kaum, bahasa dan agama tetapi hidup dalam aman menjadi model yang mahu dicontohi oleh masyarakat di negara lain.

Oleh itu, jangan kerana tamak kuasa, asas-asas integrasi rakyat Malaysia yang bersandarkan ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial negara mahu diganggu gugat dan diubah suai.

Ingatlah jika tiang seri negara ini yang menjadi kekuatan negara kita selama lebih 53 tahun, mengapa ia perlu diganti dengan yang baru yang belum tentu terjamin kestabilannya.

Elok kita hayati pesanan Perdana Menteri bahawa Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53.

/hwa: utusan.com.my/

Pakatan pembangkang tiada niat laksana hudud

UM - 31/8/10

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.

"Itu hanya mimpi Pas, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang Pas tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.

"Saya percaya ramai ahli akar umbi Pas tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Mufaraqahlah (berpisahlah) dalam blognya, www.zul4kulim.blogspot.com.

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan negara.

Jelas beliau, untuk melaksanakan hukum hudud, Pas perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain.

Kenyataan Zaid itu dikeluarkan ekoran pertelingkahan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini.

Sementara itu, Zulkifli yakin dan percaya kebanyakan ahli-ahli akar umbi Pas memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang mendesak supaya pakatan pembangkang menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah apabila memerintah negara kelak.

Tetapi malangnya, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu ditentang dan disangkal oleh pimpinan pembangkang termasuk daripada kalangan Pas sendiri.

"Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan minggu lepas memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli menyeru agar ahli-ahli Pas kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan negara Islam dan seterusnya menolak kerjasama dengan parti-parti yang tidak sehaluan seperti DAP dan PKR.

/hwa: utusan.com.my/

Pas terhegeh-hegeh jaga hati DAP - Khairy

UM - 31/8/10

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pemuda UMNO kecewa dengan sikap Pas yang terhegeh-hegeh menjaga hati DAP sedangkan parti itu langsung tidak menghormati mereka.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu jelas menunjukkan Pas langsung tidak bermaruah kerana sanggup mengetepikan perasaan orang Islam demi menjaga hati DAP.

Sedangkan, tegas beliau, DAP sendiri langsung tidak pernah menjaga hati dan perasaan serta menghormati orang-orang Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"DAP langsung tidak menghormati Pas, undang-undang hudud Pas pun ditolak mentah-mentah tanpa sebarang perbincangan dan perundingan.

"Malangnya, Pas sedia berlutut depan DAP untuk justifikasi semua kontroversi melibatkan parti itu seperti isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching masuk ke ruang solat, mendoakan Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat dan pembatalan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang mempertahankan tindakan Nie Ching menyampaikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, baru-baru ini.

Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan tindakan ahli Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam.

Malah, Nik Abdul Aziz turut menyifatkan desakan orang ramai supaya mengambil tindakan ke atas Nie Ching sebagai ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

Tambah Khairy, Pemuda UMNO amat kecewa dengan Nik Abdul Aziz yang mengeluarkan kenyataan itu, seolah-olah apa sahaja yang dibuat oleh DAP dihalalkan walaupun salah dari segi adab.

Beliau berpendapat, dalam kes Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang itu datang ke surau bukannya untuk mendekati Islam sebaliknya bertujuan mendapat sokongan politik.

"Nampak sangat Pas tiada maruah dan sanggup mengetepikan perasaan orang Islam demi menjaga hati DAP," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

30 Ogos 2010

KIBARKAN JALUR GEMILANG!

SEORANG pekerja binaan dibantu rakannya memasang bendera Jalur Gemilang di puncak kubah Masjid Universiti Islam Antarabangsa kampus Kuantan yang masih dalam pembinaan sebagai memperingati sambutan Hari Kemerdekaan ke-53, di Jalan Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, 30 Ogos. - Utusan/MAHATHIR ALI

Jangan biarkan isu perkauman hancurkan semua yang dibina: PM

Bernama - 2010/08/30
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu perkauman serta agama.

"Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada," kata Perdana Menteri dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan ke-53 yang akan disambut esok.

Beliau berkata, sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mentransformasikan negara supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ke arah itu, katanya, kerajaan telah memasakkan asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia tersebut.

Najib berkata, kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.

"Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.

"Hari ini tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan," katanya.

Menyingkap perjuangan tokoh ternama negara, Najib berkata bapa kepimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.

"Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata, setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional dan sudah tiba masanya untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada.

"Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah, berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur, hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang.

"Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga melibatkan pengaliran bebas modal insan," katanya.

Najib berkata, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini.

Untuk itu, katanya, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.

Najib turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada daripada ancaman dalam mahupun luaran.

"Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi," katanya.

Beliau menyeru warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik.

"Demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tengku Muhammad Ismail dimasyhur pemangku raja

YANG di-Pertuan Agong merangkap Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan menerima mengadap dan menjunjung duli dari anakandanya Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail sewaktu istiadat pemasyhuran Pemangku Raja dan Perlantikan Majlis Perwakilan Pemangku Raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto BERNAMA
Aug 30, 2010 2:43 pm

Memastikan kemerdekaan mapan untuk negara

BH(rencana) - 2010/08/30

Oleh Khaled Nordin

IPT bukan saja tempat pengisian ilmu, tetapi juga membina tamadun, peradaban bangsa

SETIAP tahun kita didatangi Ogos iaitu bulan kemerdekaan. Lazimnya, apabila menjelang bulan keramat ini, pelbagai acara dan program disusun bagi meraikan sambutan kemerdekaan negara, termasuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Kedatangan bulan kemerdekaan bukan menjadi alasan untuk kita merayakannya tanpa sebab dan matlamat, sebaliknya ia mesti menjadi satu pegangan dan peringatan betapa pentingnya nikmat dan anugerah kemerdekaan serta kewajipan kita untuk mengekalkannya.

Kita memerlukan kemerdekaan bukan untuk tempoh tertentu saja, sebaliknya biarlah kemerdekaan itu kekal abadi selagi ada bulan dan matahari.

Selepas 53 tahun merdeka, kita akui pelbagai pencapaian negara diperoleh. Misalnya baru-baru ini, Malaysia menduduki tempat ke-37 dalam senarai negara terbaik dunia dan ketiga di rantau Asia sebagai negara pilihan yang mampu menyediakan tempat untuk hidup lebih selesa, sejahtera dan maju. Perkembangan ini membuktikan Malaysia berupaya memberikan persekitaran dan kehidupan selamat kepada rakyatnya hasil kemerdekaan yang diperoleh sejak 1957 lagi.

Bagaimanapun, pencapaian yang diperoleh itu tidak akan kekal lama sekiranya kita terus lena dan alpa. Kita perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemerdekaan berkekalan. Konsep kemerdekaan mapan cukup penting kerana hanya kemerdekaan jangka panjang akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan.

Kemerdekaan mapan bukan saja boleh memenuhi keperluan semasa negara bahkan juga boleh menjamin kemajuan serta kesejahteraan negara dan rakyat pada masa depan. Dalam hal ini, kita percaya salah satu cara menjamin kemerdekaan lestari dan mapan ialah melalui pendidikan.

Dalam konteks sektor pengajian tinggi, kita sudah membina institusi pengajian tinggi (IPT) yang tujuan utamanya mengangkat pengetahuan masyarakat dan membina tamadun juga peradaban masyarakat dan bangsa.

Sebagai bangsa merdeka dan tidak terkongkong oleh kuasa penjajahan, penubuhan IPT amat signifikan terutama apabila kita mengaitkannya dengan proses perkembangan dan kemajuan ilmu yang mahu dipupuk mengikut acuan dan kehendak kita sendiri.

Peranan pengajian tinggi khususnya IPT dalam mengisi kemerdekaan cukup besar. Mereka bukan sekadar menjadi pusat perkembangan dan kemajuan ilmu untuk rakyat semata-mata, malah turut berfungsi sebagai alat berkesan dalam pembangunan negara khususnya memperkukuhkan jaringan sosio-ekonomi dan sosio-politik masyarakat, khususnya pada awal kemerdekaan.

Hal ini penting kerana seperti yang kita maklum, tahap perpaduan kaum masih belum kukuh pada era awal kemerdekaan terutama wujudnya ketidakseimbangan antara kaum khususnya dalam soal kedudukan ekonomi. Kewujudan universiti awam membuka akses besar kepada masyarakat, khususnya Bumiputera dan ini sekali gus merapatkan jurang perpaduan nasional apabila kedudukan mereka dapat dipertingkat melalui pendidikan.

Memperkasa identiti nasional

Kita percaya tumpuan universiti tidak seharusnya terbatas kepada perkara seperti pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pencapaian kebolehpasaran graduan dan kedudukan dalam ranking semata-mata.

Sebaliknya, mereka perlu mengangkat martabat dan kedudukan sebagai institusi keilmuan yang turut menyumbang kepada pembinaan bangsa. Hal ini boleh dicapai antaranya melalui komitmen IPT dalam memperkukuh dan membudayakan nilai moral dan etika supaya akhirnya mereka mampu melahirkan generasi yang mempunyai akal budi tinggi dan nilai kemanusiaan sejati.

Perlu diingat, tanpa nilai moral dan etika, kita tidak mampu melahirkan warga negara hebat kerana apalah maknanya jika berjaya menggapai kemajuan tetapi pada masa yang sama, jiwa masyarakat kosong malah bejat dari segi perilaku dan akhlak.

Pada masa yang sama, IPT juga mesti memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara yang luhur melalui pembinaan identiti nasional. Sehubungan itu, sudah tiba masanya IPT khususnya sektor swasta melihat dan menilai semula kandungan kursus ditawarkan supaya tidak meminggirkan elemen dan perspektif tempatan.

Pendekatan kajian kes misalnya yang kini menjadi tumpuan dalam pembelajaran di IPT mesti mengambil kira kandungan dan contoh tempatan supaya pelajar mendapat gambaran mengenai realiti dan kedudukan negaranya. Hal ini penting kerana melalui pendekatan ini, kita mampu menjana penge tahuan dan kefahaman jelas di kalangan pelajar terhadap negaranya, sekali gus menimbulkan semangat kecintaan dan kekitaan yang tinggi. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

Pendek kata, kemerdekaan amat bergantung kepada sejauh mana rakyat mengenali dan memahami negara mereka sendiri. Kefahaman terhadap sejarah dan kedudukan negara akan menjadikan mereka warga negara rasional dan adil dalam setiap tindakan.

Ini cukup penting jika kita kaitkan Malaysia sebagai negara majmuk yang kaya dengan kepelbagaian. Sikap tolak ansur dan menghormati sensitiviti kaum misalnya akan memperkukuhkan lagi tahap perpaduan di negara ini.

Kesimpulannya, peranan universiti dalam menerajui pembangunan bangsa seterusnya mengekalkan kemerdekaan sememangnya penting dan tidak boleh dinafikan. Jika universiti berada pada landasan betul serta memainkan peranan seperti yang dibincangkan, maka harapan menentukan kemerdekaan mapan akan dapat direalisasikan.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi

/hwa: bharian.com.my/

Klip video Namewee: Empat laporan polis dibuat di Johor

Bernama - 30/08/2010 2:42pm

JOHOR BAHARU 30 Ogos — Polis mengesahkan telah menerima empat laporan berhubung klip video berbaur perkauman terbaru oleh pemuda dari Muar Johor, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee.

Laporan pertama dibuat kelmarin di IPD Kulaijaya dan tiga lagi laporan dibuat semalam di Johor Jaya, Pasir Gudang dan Masai, kata ketua polis Johor DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

"Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi kesalahan seterusnya pelaku boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun.

Beliau mengingatkan semua pihak agar membiarkan polis melakukan siasatan dan tidak perlu bagi mereka mempolitikkan perkara tersebut.

Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.

Namewee dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Selain itu Namewee dalam klip video di laman web Youtube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta baris perkataan tidak senonoh.

Sementara itu, polis masih lagi menyiasat kes individu yang menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan mencemar institusi diraja negeri ini di laman sosial Facebook.

Mokhtar berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan apa-apa butiran ketika ini kerana ia boleh mengganggu siasatan.

/hwa: utusan.com.my/

Tuntut royalti: Nik Aziz fail saman terhadap Petronas

UM - 30/08/2010 2:36pm

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menuntut ganti rugi berhubung royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.

Nik Aziz yang hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada pukul 9.20 pagi, memfailkan saman melalui peguam terkemuka, Tommy Thomas.

/hwa: utusan.com.my/

Tengku Muhammad Ismail dimasyhur pemangku raja

Bernama - 30/08/2010 2:57pm

KUALA TERENGGANU 30 Ogos – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan memasyhurkan anakanda baginda Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan sebagai pemangku Raja Terengganu berkuatkuasa Khamis lepas.

Dalam istiadat di Istana Maziah di sini hari ini, watikah pemasyhuran itu telah dibacakan oleh Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud yang disaksikan oleh Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah.

Pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail, 13, setelah baginda mukallaf iaitu boleh menjalankan tanggungjawabnya sendiri sepanjang Sultan Mizan Zainal Abidin menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini Tengku Muhammad Ismail merupakan Pemangku Raja Terengganu dengan pemerintahan kerajaan negeri adalah di bawah Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Setelah pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail hari ini, secara tidak langsung, Majlis Penasihat Pemangku Raja dibubarkan.

Memandangkan Pemangku Raja Terengganu akan berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran mulai esok, maka Sultan Terengganu berkenan melantik Majlis Perwakilan Pemangku Raja bagi menjalankan kewajipan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang kerajaan negeri Terengganu.

Tiga orang yang dilantik sebagai Majlis Perwakilan Pemangku Raja itu ialah Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

/hwa: utusan.com.my/

Hasan Ali cadang peraturan lebih terperinci masuk surau

Bernama - 30/08/2010 5:14pm

SHAH ALAM 30 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali hari ini mencadangkan supaya satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor.

Beliau berkata, peraturan yang lebih jelas seperti jenis pakaian yang sesuai serta jenis tudung yang dipakai juga perlu diperincikan bagi memudahkan ia difahami oleh pihak yang mengunjungi surau atau masjid.

"Mereka yang menjemput atau menganjur sepatutnya perlu memaklum perkara-perkara ini kepada orang yang dijemput (ke surau/masjid) lebih-lebih lagi bila membabitkan bukan Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu mengenai kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, di Surau Al-Huda di Kajang pada 22 Ogos.

Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Hasan berkata, beliau akan menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya menjaga sensitiviti awam sekiranya ingin melawat kawasan membabitkan rumah ibadat.

/hwa: utusan.com.my/

Pemimpin bertelagah menyimpang prinsip Islam – Raja Nazrin

Bernama - 30/08/2010 5:54pm

IPOH 30 Ogos – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, pemimpin Islam yang memilih untuk bertelagah dan bersaing mencari pengaruh, sehingga tergamak melakukan perkara-perkara ekstrem yang mencemar agama dan maruah ummah, sebagai golongan yang telah menyimpang dari prinsip asas Islam.

Ini kerana prinsip asas Islam sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah, titah baginda sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim) peringkat negeri serta sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) di sini hari ini.

Menurut baginda, penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di dunia terutama contoh-contoh ketara di Palestin, Afghanistan dan Iraq, bermula dari pemesongan yang berlaku di kalangan pemimpin hingga mereka sendiri membuka laluan yang membolehkan bukan Islam melakukan pencerobohan dan kemusnahan.

"Pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar.

"Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam,” titah baginda.

"Umat Islam di negara ini kini berada dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca, bagaikan bersedia berpaut kepada apa sahaja yang dapat dicapai untuk terus timbul dalam arus yang mungkin membawa mereka menuju kepada penghujung yang amat membimbangkan,” titah baginda.

Umat Islam wajib mengambil pengajaran sebelum nasi menjadi bubur, tegas baginda.

"Ingatlah! Sedarilah! Insaflah! ketika umat Islam jatuh dan menjadi lemah, janganlah diharap ada pihak yang akan bersimpati untuk membela nasib mereka.

“Masa hadapan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan umat Islam. Selagi umat Islam kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak yang boleh meruntuh atau menjatuhkannya.

Kejatuhan umat akan berlaku apabila umat memilih untuk tidak bersatu malah saban hari terus menghakiskan kekuatan di antara satu sama lain,” titah baginda.

/hwa: utusan.com.my/

Suntik kembali semangat Merdeka

UM(rencana) - 30/8/10

LELAKI yang berpengalaman luas berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri ini mengingati kembali detik manis tarikh 31 Ogos 1957.

Ketika itu dia yang baru menginjak 15 tahun berada di Kampung Jelebu, Negeri Sembilan sedang mengambil bahagian menyambut kemerdekaan di sekolah.

Pada malam tarikh itu, sebaik-baik sahaja berakhir majlis doa selamat, dilangsungkan pula acara larian merentas kampung. Setiap murid diwajibkan oleh guru untuk membawa bendera yang dilukis di atas kain dengan cara berlari dari satu kampung ke kampung sambil menyorakkan Merdeka! Merdeka!

"Memang pada masa itu yang kita tahu mengenai merdeka adalah bebas, tapi kita terasa ini kampung kita, jadi kita ambil bahagian. Demikian juga guru dan polis juga ambil bahagian.

''Saya terasa sangat sebab pada waktu itu kenduri-kendara juga diwujudkan di surau dan masjid. Ini semua terasa oleh rakyat tapi sekarang tidak ada lagi," kata Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengimbas pengalaman silam.

Begitu pun Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini yang ditemui Utusan Malaysia di Angkasapuri, Jumaat lalu tetap realistik.

Baginya, perayaan sambutan merdeka berbeza dari musim ke musim, dari satu pentadbiran ke satu pentadbiran.

''Kita tidak boleh simpulkan perayaan dan sambutan itu sebagai dalam satu kotak. Misalnya keghairahan untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 berbeza dengan kegembiraan untuk mewujudkan Malaysia pada 16 September 1963.

''Begitu juga perayaan selepasnya, apatah lagi sebahagian besar generasi Malaysia kita sekarang yang berumur 20-an, 30-an, 40-an, tidak kenal erti merdeka, lantaran itu mereka harus berbuat mengikut petak-petak dan acuan-acuan ini.

''Jadi, dengan keadaannya begitu kita harus realistik apa erti patriotisme dan tanggungjawab individu kepada masyarakat dan negaranya," kata beliau.

Dalam hal ini Rais percaya keghairahan menyambut Hari Kemerdekaan harus dijelmakan oleh sistem pendidikan. Tidak cukup dengan TV1, TV2, Astro atau TV3. Ia merupakan suatu penyaluran pemikiran yang perlu dilaksanakan segera.

''Jika tidak, saya berani menyatakan apabila generasi seperti kami termasuk Perdana Menteri telah tiada dalam arena, saya bimbang soal kemalaysianan, soal kejituan erti merdeka dan erti Malaysia mungkin sekadar 'dipatah-patahkan saja' oleh anak-anak muda kita dan mereka yang mendatang.

''Tambahan pula, sistem politik kita sedemikian rupa yang mana mereka yang berada dalam kancah politik pembangkang tidak kisah sangat tentang patritiotisme dan sentiasa mengecil kecilkan apa yang kita perjuangkan," kata beliau.

Bagaimanapun, Rais mengingatkan semua pihak agar jangan cepat putus asa. Ini kerana dalam masa 10 tahun akan datang, sementara kerajaan membina Gasasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, semua lapisan rakyat harus memancang dan menentukan pagar-pagar kepentingan patriotisme. Ertinya, menerusi pendidikan dan sistem penguatkuasaan perundangan negara.

Ketiga-tiga itu mesti dipancang dan ditentukan dengan jelas. Dengan lain perkataan, Jalur Gemilang mesti dikibarkan di semua sekolah, jabatan dan badan-badan bukan kerajaan serta premis perniagaan.

''Dimestikan itu bererti ia ditanam di dalam sistem tersebut, tidak semestinya dengan penguatkuasaan undang-undang. Kalau kita paksa orang untuk berpatriotik, maka mereka akan terasa dalam hati.

''Kalau difikir-fikirkan, sengaja Jawatankuasa Induk Perayaan Merdeka nak uji setakat mana bendera tahun lalu disimpan oleh orang untuk dikibar. Tampaknya tidak banyak, bendera itu sudah lapuk dan tidak lagi diganti. Justeru, kita tidak dapat teruskan.

"Namun seharusnya bendera tahun lalu itu boleh dilipat dan sekarang dikibarkan semula," kata beliau.

Rais menarik perhatian bagaimana kedudukan mata pelajaran Sejarah di sekolah boleh memainkan peranan teramat penting dalam menaikkan semangat patriotisme dan penghayatannya di kalangan generasi muda sekarang.

''Mungkin tidak patut saya kata begitu, tapi soalnya kedudukan mata pelajaran Sejarah dalam sekolah kita begitu remeh. Ini kerana kita tidak menginduksikan sejarah untuk kepentingan negara," kata beliau.

Justeru bagaimana caranya untuk menarik penglibatan murid dalam pembelajaran subjek Sejarah yang lebih berkesan? Bagi Rais, teknik ini boleh dilakukan.

''Mungkin kita boleh pamerkan gambar Perdana Menteri terdahulu. Dan dikenalkan siapa musuh negara kita, siapa Chin Peng (setiausaha agung Parti Komunis Malaya).

''Isu tidak kenal siapa pejuang negara dan musuh negara terjadi kerana kita terlalu tumpukan kepada pendidikan yang dibawa dari barat sehingga lupa siapa kita ini," kata beliau.

Dalam soal ini, menteri paling kanan itu menyuarakan rasa khuatirnya dengan trend baru anak muda negara dalam tempoh terdekat.

''Beribu-ribu murid yang dahulu belajar di sekolah rendah dan menengah Malaysia sekarang sudah pulang dari seberang laut dengan dalam pemikiran mereka sama ada politik ultra dari Mesir atau politik liberal Amerika dan United Kingdom.

''Tetapi yang pulang dari Jepun dan Korea hasil daripada Dasar Pandang Ke Timur berbeza lebih, hasil daripada mereka yang datang daripada tempat-tempat tertentu dari Barat dan membawa politik leftis dari Mesir untuk pulang ke tanah air," katanya.

Sambung Rais: ''Saya risau dalam keadaan ini suatu hari akan meletus sebagai bisul yang tak dapat diubat.

''Tapi masa masih ada di tangan kita untuk mengubah sedikit sebanyak bagi jangkauan 20 tahun akan datang."

/hwa: utusan.com.my/

Kenapa semua ini berlaku selepas 53 tahun negara kita merdeka

UM(rencana) - 30/8/10

HARI ini genap 20 hari umat Islam menunaikan ibadah puasa. Maknanya kurang 10 hari lagi kita akan menyambut ‘hari kemenangan’ melawan hawa nafsu. Sementara menunggu ‘hari kemenangan’ itu, jangan lupa, esok juga merupakan ‘hari kemenangan’ bagi rakyat Malaysia.

Esok kita akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53. Jika Malaysia boleh diumpamakan seorang insan, sudah pasti ia begitu matang dan semakin menghampiri usia persaraan dalam perkhidmatan awam. Tetapi Malaysia bukanlah manusia yang mampu mencorakkan dirinya sendiri. Manusia yang melata di muka bumi Malaysia inilah yang mampu membentuk ke mana hala tuju negara ini dalam usia yang semakin meningkat itu.

Rupa bentuk ‘hayat’ Malaysia ditentukan oleh manusia di dalamnya. Maknanya, kitalah yang akan menentukan corak masa depan negara ini. Apakah kita mahu ia terus maju mengisi kemerdekaan atau dibiarkan terlingkup dalam sekelip mata? Berjuang mencapai kemerdekaan bukanlah senang tetapi untuk menjahanamkannya terlalu mudah. Ibarat meruntuhkan sebuah bangunan lama, cukup dengan pemasangan bahan peledak, maka runtuhlah bangunan itu menyembah bumi. Malahan dengan teknologi yang ada, bangunan itu boleh diruntuhkan secara senyap. Itu bangunan.

Tetapi bagi sesebuah negara, manusia memainkan peranan penting sama ada untuk mempertahankan keharmonian yang ada atau mahu memusnahkannya secara senyap bagi mencari ‘kemerdekaan baru’.

Merdeka membawa maksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan; lepas daripada tebusan, tuntutan; berdiri sendiri atau tidak bergantung kepada yang lain.

Bebas daripada penjajahan telah kita nikmati pada tanggal 31 Ogos 1957. Sejak detik itu, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama hidup harmoni sehinggalah pada 13 Mei 1969, tercatat peristiwa hitam akibat perselisihan antara kaum.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk meredakan ketegangan. Tetapi sudah lumrah manusia yang cepat lupa sejarah apabila mereka dalam keadaan selesa. Mungkin ada yang menganggap sejarah tidak lagi relevan. Akibatnya ada pihak yang mendakwa seolah-olah mereka dijajah dan mahu mencari kebebasan atau kemerdekaan baru. Mereka membuat pelbagai tuntutan untuk mencari ‘kebebasan dan keadilan’ sebagai warganegara. Kontrak sosial yang disepakati sejak merdeka cuba dirobek. Perlembagaan cuba digugat. Malahan mahu dirangka Perlembagaan baru.

Kita lupa bahawa tindakan seumpama itu boleh menyakiti hati orang lain malahan boleh merosakkan perpaduan dan kesepakatan yang sedia terjalin. Ditambah pula dengan gelora politik yang boleh mengancam kemerdekaan.

Tanyalah diri anda, adakah kemerdekaan yang berusia 53 tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada ‘kebebasan’ kehidupan selama ini? Selepas 53 tahun, adakah perpaduan kita semakin mantap atau bertambah rapuh dan longgar?

Dalam usia 53 tahun ini, semakin ramai bercakap mengenai hak mereka yang dulunya tidak pernah kedengaran.

Persoalannya kenapa tiba-tiba sahaja isu ini dibangkitkan? Dulu tidak ada yang berani mempermainkan lagu Negaraku dan mempersendakan Jalur Gemilang. Satu persatu prinsip Rukun Negara juga cuba diabaikan.

Adakah perpaduan kita sudah terlalu kukuh untuk bereksperimen bagi mencari kebebasan baru dalam sebuah negara merdeka ini?

Seperti yang diselak minggu lalu, kenapa perlu ada Melayu demonstrasi pijak kepala lembu? Kenapa ada Melayu bakar gereja? Kenapa Melayu seperti Ahmad Ismail, Nasir Safar dan Cikgu Siti Aishah Mansor tiba-tiba saja muncul dan didakwa bercakap atau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman? Kenapa NGO Melayu seperti Perkasa pimpinan Ibrahim Ali muncul begitu lantang, ‘cemas dan kalut’ memperjuangkan hak Melayu? Kenapa Melayu Pulau Pinang seperti Pak Pak Ali berani menepuk bahu Guan Eng dan kenapa ada Melayu ‘serang’ Guan Eng semasa ke majlis berbuka puasa?

Semuanya ini ada puncanya. Mereka bukan suka-suka bertindak atau bercakap. Hati mereka terluka dan dilukai angkara tindak tanduk pihak yang berani menjolok sarang tebuan.

Maka berhati-hatilah ketika berkata-kata dan bertindak. Jangan ada di kalangan pemimpin politik yang bertindak seperti gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam atau musuh dalam selimut sehingga mewujudkan api dalam sekam.

Di samping itu, isu-isu berkaitan agama jangan dipermainkan. Walaupun ada pihak yang mempertahankan dengan hujah masing-masing tetapi hakikatnya, majoriti menolak. Katalah mereka cetek agama, kolot atau sebagainya tetapi majoriti tidak dapat menerima alasan yang diberi kecuali selepas diasak atau dipengaruhi kepentingan politik. Sejak kecil kita dididik mengenai adab di dalam masjid. Ada juga yang mencipta had atau batasan tertentu kepada anak-anak kecil kita - lelaki dan perempuan - yang beragama Islam ketika di dalam masjid. Anak gadis dan isteri kita yang di dalam keadaan ‘kotor’ juga dilarang masuk ke ruang solat itu. Adakah peraturan yang ada tiba-tiba dikorbankan hanya kerana politik? Adakah kerana ia bukan Islam, semuanya dimaafkan? Kenapa berpakaian menampakkan susuk tubuh, tidak menutup aurat dibolehkan dan suara wanita bukan lagi dianggap sebagai aurat?

Sebenarnya banyak perkara yang jijik ‘dihalal atau dibolehkan’ hanya kerana politik. Memaki hamun, memfitnah dan macam-macam lagi yang mengaibkan seseorang dibenarkan kerana politik.

Begitu juga dengan mendoakan kesejahteraan orang bukan Islam dalam khutbah Jumaat. Kenapa bukan Islam? Masih banyak umat Islam yang perlu didoa dan didakwah supaya mereka mendapat hidayah. Kenapa tidak didoakan supaya seluruh bukan Islam menerima hukum hudud?

Doa belum pasti dimakbulkan. Banyak doa ditolak kerana kesilapan dan kekurangan orang yang berdoa itu sendiri. Sudah lama umat Islam berdoa agar Palestin bebas merdeka tetapi apakah kesudahannya? Doa tanpa ikhtiar dan doa tanpa ‘membersihkan’ diri sendiri tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Zaman sudah berubah. Penulis dilahirkan selepas merdeka. Pastinya Melayu sebelum merdeka tidak sama seperti Melayu sekarang. Begitu jugalah orang Cina dan India.

Penulis tidak hidup pada zaman Arab jahiliah atau Arab zaman Rasulullah SAW. Tetapi sudah tentu orang Arab jahiliah dan Arab zaman Rasulullah SAW sama ada dari segi perwatakan dan pemakaiannya tidak sama dengan orang Arab masa kini. Begitu jugalah rupa bentuk masjid dan surau tidak sama dengan apa yang ada hari ini. Tetapi wajarkah peraturan dan adab sopan diubah? Benar perubahan sentiasa berlaku. Pas juga berubah. Lebih terbuka, lebih moden, lebih bebas berbanding pada masa lalu.

Selamat menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

/hwa: utusan.com.my/

Bila bukan Islam dipuji, sesama Muslim dicaci!

UM(rencana) - 30/8/10

Kita tidak nafikan bahawa ilmuwan Islam berselisih pandangan tentang hukum bukan Muslim masuk ke masjid. Ada yang membenarkan secara mutlak. Ada juga yang melarangnya secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang membezakan antara masjid di tanah haram dengan tanah halal.

Jika masyarakat kita selesa dengan mazhab al-Syafi'e, saya bawakan di sini kenyataan seorang pendokong mazhab ini iaitu Al-Imam al-Nawawi di mana beliau menyatakan bahawa mazhab al-Syafie mengharuskan bagi bukan Islam masuk ke semua masjid kecuali di masjid al-Haram dan sekitarnya (yakni di tanah haram Mekah).

Bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke tanah haram Mekah, ada pun selain dari Mekah diperbolehkan dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: "Dan sekiranya bukan Islam itu dalam keadaan berhadas besar, bolehkah dia berdiam di dalam masjid? Ada dua pandangan, dan yang paling shahih adalah dibenarkan." (lihat Majmu' Syarh al-Muhazdzab, karya al-Imam al-Nawawi 19/437).

Adapun firman Allah, maksudnya: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka mereka tidak dibenarkn mendekati masjid al-Haram selepas tahun ini". (surah al-Taubah, 9:27),

Bukan bererti zahir najis tubuh mereka, sebaliknya larangan memasuki masjid al-Haram kerana perbuatan mereka yang suka mempraktikkan adat-adat Arab jahiliyyah seperti bertawaf dalam keadaan telanjang. Bahkan larangan ini khusus untuk masjid al-Haram dan tanah haram Mekah secara umumnya.

Perlu diingatkan para ulama telah bersepakat; bukan Islam dibenarkan untuk masuk ke masjid kerana keperluan seperti inginkan bantuan atau mendengar dakwah Islam. Dan hal ini perlu. mendapat keizinan daripada pemerintah Islam.

Al-Syeikh Soleh al-Munajjid yang merupakan ulama terkenal di Saudi Arabia merangkap penyelia bagi laman web soal jawab Islam terkenal, iaitu www.islamqa.com, menyatakan: "Ada pun masuknya bukan Islam untuk sekadar lawatan melihat masjid dan bersama-sama dengan mereka para wanita yang tidak menutup aurat, membawa kamera, serta masuknya mereka ke masjid tanpa penghormatan, maka hal ini merupakan perkara mungkar lagi tercela. Tidak boleh membenarkan mereka masuk." (no. fatwa: 9444).

Saya katakan, sedangkan Nabi pernah menghalau seorang wanita yang bersuami kerana memakai wangian ketika datang ke masjid. Bahkan Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan mencuci wangian itu (riwayat Ibnu Khuzaimah).

Jelas, larangan Nabi SAW kerana dibimbangi wangian tersebut mengganggu penumpuan jemaah masjid, apatah lagi memasuki masjid dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada masyarakat tempatan yang agak sensitif dengan isu seperti ini. Setiap adat yang tidak bercanggah dengan syariat, perlu dihormati.

Kaedah fiqh jelas menyatakan bahawa "al- 'aadah muhakkamah' iaitu adat yang tidak menyanggahi hukum syarak harus dipraktikkan. Dan perkara ini perlu dirujuk kepada pemerintah Muslim.

Memang Nabi SAW pernah membenarkan deligasi dari kabilah Thaqif masuk ke masjid sedangkan mereka itu bukan Islam (riwayat al-Thobrani). Begitu juga Tsumamah bin Utsal yang masuk ke masjid sebelum memeluk Islam (riwayat al-Bukhari).

Bahkan masjid di zaman Nabi SAW dibuka untuk semua manusia agar dakwah Islam dikenali dan diterima. Deligasi atau individu bukan Islam diberi peluang untuk memasuki masjid agar dapat melihat akhlak dan kebaikan Islam seterusnya membuatkan mereka tertarik untuk menerima dakwah Islam.

Tetapi apa yang berlaku hari ini amat berbeza, bukan Islam yang jelas menentang secara terang hukum Allah bahkan secara dasarnya parti mereka tidak akan menerima 'gelaran' negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia, diberi peluang untuk berucap di dalam ruangan solat dan mendapat layanan mesra daripada umat Islam.

Sedangkan apabila orang Islam yang berlainan parti ingin memberi sumbangan dan bantuan, masing-masing menolak kerana takut parti yang bertentangan dapat meraih populariti. Subhanallaah. Inikah sikap Muslim dengan saudaranya sendiri?.

Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi yang diketuai oleh al-Syeikh Abdurrazzaaq 'Afifi (pada ketika itu) telah mengeluarkan fatwa tentang hal ini: "Pihak ahli majlis fatwa telah bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali." (lihat Keputusan Fatwa no: 28, tarikh, 21 Syawal 1400H)

Dua perkara yang perlu ditekankan di sini adalah; pertama bagi pihak yang meminta bantuan, mereka perlu lebih berhati-hati agar tidak melanggar dasar-dasar dan prinsip-prinsip Islam. Kedua, bagi Muslim yang berkemampuan, janganlah terlalu memilih untuk membantu. Difokus kepada partinya, diabaikan lawannya. Begitu juga sikap ingin glamour dan popular perlu dihapuskan daripada jiwa kita.

Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram. Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah. Cuba bayangkan jika suasana bersedekah ini dipraktikkan oleh umat Islam, nescaya kita mampu mencipta perpaduan yang kukuh lagi utuh. Lihatlah, jika kita mengabaikan umat Islam, bukan Islam dipuji manakala Muslim dicaci.

Saya tidak nafikan bahawa umat Islam wajib melindungi hak-hak bukan Islam di negara ini kerana mereka adalah ahlul dzimmah (yang dilindungi kerana perjanjian).

Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah. Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama.

Wallaahua'alam.

FATHUL BARI MAT JAHYA, Penasihat Agama Institut Jantung Negara.

/hwa: utusan.com.my/

Kecelaruan fikiran politik Nik Aziz

UM(rencana) - 30/8/10

APABILA Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas, penulis teringat pesanan seorang pemimpin muda Pas.

Kata pemimpin berkenaan, kalau kita tidak mahu rakyat keliru terhadap sesuatu isu berkaitan orang Melayu dan umat Islam, jangan sesekali media mendapatkan pandangan Nik Abdul Aziz. Ia kerana mereka pasti akan mendapat jawapan yang boleh mewujudkan kekeliruan.

Ternyata Nik Abdul Aziz yang disanjung sebagai ulama unggul dalam Pas terus menimbulkan persoalan apakah sesuatu kenyataan yang beliau keluarkan itu berdasarkan kedudukannya sebagai ahli politik berlidah ulama atau ulama berlidah ahli politik?

Ia kerana apabila timbul isu berkaitan Islam melibatkan pemimpin bukan Islam daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi rakan sekutu Pas dalam pakatan pembangkang, Nik Abdul Aziz akan cuba mempertahankan mereka.

Beliau akan mengeluarkan segala hujah dan nas bagi menyatakan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan adalah betul, biarpun umat Islam berpandangan sebaliknya. Ia termasuklah sebelum ini, isu penggunaan ayat-ayat suci al-Quran oleh pemimpin PKR dan DAP ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang tidak lama dulu.

Ketika itu, walaupun semua umat Islam menganggap penggunaan ayat berkenaan seolah-olah mempermainkan kitab suci al-Quran tetapi Nik Abdul Aziz berkata, ia satu perkara yang baik bagi mendekatkan orang bukan Islam dengan agama Islam.

Hujah yang sama digunakan dalam isu Ahli Parlimen Serdang tersebut dan lebih menarik Nik Abdul Aziz dengan angkuh berkata, tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenarkan tidur, makan dan minum.

Pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor April lalu, Nik Abdul Aziz turut tidak bersetuju dengan larangan berpolitik di masjid dan surau, walaupun larangan itu dilakukan oleh Sultan Selangor bagi mengelakkan umat Islam terus berpecah belah kerana ideologi politik.

Kalau beginilah sikap Nik Abdul Aziz, kita tidak perlu hairan jika selepas ini, pemimpin-pemimpin Pas akan turut mempertahankan jika ada pemimpin bukan Islam daripada PKR dan DAP berucap di mimbar masjid pula atas alasan ia baik untuk mendekatkan mereka dengan Islam.

Namun begitu seperkara kita tidak boleh lupa mengenai Nik Abdul Aziz ialah beliau akan berusaha mengeluarkan apa juga hujah dan nas bagi memperkukuhkan kenyataannya mempertahankan rakan-rakan politiknya. Suatu ketika dahulu beliau pernah menyatakan ‘Allah lagi samseng’ dan menganggap undi Pas masuk syurga.

Sebenarnya, semakin lama Nik Abdul Aziz menjadi Mursyidul Am Pas, ia semakin membebankan parti berkenaan. Imej Pas banyak dicemari oleh kenyataan-kenyataan kontroversi Nik Abdul Aziz. Ia bukan baru berlaku malah sudah terjadi sejak tahun 1994 lagi, apabila ketika itu Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa menentang Pas adalah haram mengikut Islam.

‘Kecelaruan’ pemikiran politik Nik Abdul Aziz semakin terserlah sejak Pas berkawan rapat dengan PKR dan DAP. Sebab itulah pemimpin-pemimpin bukan Melayu dalam kedua-dua parti itu tidak akan teragak-agak melakukan tindakan yang mengguris perasaan orang Melayu dan Islam kerana mereka tahu ada seorang mursyidul am yang akan membela mereka.

/hwa: utusan.com.my/

Pas parti ekstrem - Zam

UM - 30/8/10

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pas yang kini dilihat mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik sebenarnya sebuah parti ekstrem yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin ketika mendedahkan perkara itu berkata, parti berkenaan juga pernah menyokong Indonesia mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, kata beliau, tindakan itu mencerminkan Pas merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan.

"Ini permainan politik mereka. Mana ada mahu laksanakan hukum hudud sedangkan seorang wanita yang bogel dan terdedah di khalayak walhal berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh Nik Aziz sebagai satu keharusan, skandal dan sebagainya.

"Bagaimana Pas boleh sesuaikan diri dengan aspek tidak bermoral begini?" soalnya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO-online.com yang disiarkan portal itu hari ini.

Selain menyelar Pas, Zainuddin menyifatkan kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini penuh dengan kepura-puraan dalam mewujudkan kerjasama politik antara pakatan pembangkang.

Beliau memberitahu, UMNO telah menentang keras pendirian ekstrem Pas itu dan mendedahkan ketaksuban parti itu dalam hal keagamaan seperti kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah 'mengkafirkan' ahli-ahli UMNO.

"Selepas pendedahan ini, kita jadikan mereka (Pas) lebih beradab dan bersopan. Mengapa sekarang mereka nak menuduh kita (UMNO) perkauman sedangkan kita sudah biasa buat penyesuaian melalui perpaduan Cina, Melayu, India dan kaum lain dengan lebih besar," tegasnya.

Justeru, katanya, UMNO bukan baru hari ini percaya kepada konsep liberalisme tetapi bersifat liberal sejak awal penubuhan negara lagi.

Mengenai DAP pula, katanya, parti itu yang kononnya mahu mencontohi PAP di Singapura tidak mampu berbuat demikian kerana PAP mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang didapati terlibat dalam salah laku moral.

"Menterinya (Singapura) yang terlibat akan dibuang dan jika diketahui rasuah, ada yang belum bicara lagi sudah bunuh diri. Bagaimana pula dengan DAP?" soalnya.

Baginya, PKR pula adalah sebuah parti yang hanya mahukan kuasa dengan kegilaan tersebut berkisar ke arah perjuangan seorang individu sahaja.

"PKR parti yang belum matang di peringkat bawah dengan perjuangan yang tidak berprinsip iaitu cuba menyesuaikan diri dengan DAP apabila bersama parti itu dan menukarkan watak apabila bersama dengan Pas.

"Asal saja ia memberi pulangan kepada pemimpin atasannya untuk naik ke atas," tegasnya.

/hwa: utusan.com.my/

29 Ogos 2010

Susilo kirim surat damai

Kosmo - 29/8/10


SUSILO Bambang Yudhoyono dan isterinya, Ani Yudhoyono dirakamkan pada sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-65 di Jakarta pada 17 Ogos lalu.


JAKARTA - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono telah mengirim sepucuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ketegangan hubungan kedua-dua negara, lapor akhbar Kompas semalam.

Melalui suratnya, Pemerintah Indonesia berkenaan mengajak Malaysia supaya menyelesaikan masalah bilateral secara damai.

Perkara itu dinyatakan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keamanan, Djoko Suyanto ketika ditemui wartawan dalam satu majlis berbuka puasa di sini semalam.

"Antara kandungan surat itu, Susilo telah mengundang Perdana Menteri Malaysia untuk menyelesaikan masalah bersama secara kekeluargaan bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini," kata Djoko.

"Presiden Susilo juga menyuarakan hasrat untuk membincangkan tentang isu sempadan. Itu adalah isu yang paling penting. Itulah dua intipati penting dalam surat itu," katanya.

Jelas menteri berkenaan, Susilo meminta agar isu-isu dua hala dapat diselesaikan secara damai sekali gus menghidupkan kembali semangat persahabatan hubungan Indonesia-Malaysia.

Menurutnya, rundingan terperinci tentang isu sempadan dengan Malaysia akan berlangsung pada pertemuan peringkat Menteri Luar pada 6 September depan. - Agensi

/hwa: kosmo.com.my/

Cabaran 53 tahun merdeka

MM(Rencana) - 29/8/10

TIGA tahun lalu, sewaktu rakyat Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-50, ramai yang menarik nafas lega betapa akhirnya kita berjaya sampai ke tahap itu. Betapa segala liku, onak dan duri dapat ditempuh terutama dalam hal-hal berkaitan perpaduan kaum yang sentiasa menjadi umpama duri dalam daging. Perasaan bangga juga terserlah lantaran di sebalik pelbagai isu, fasa pertama kemerdekaan tanah air dapat dilalui dengan hanya satu insiden pada 13 Mei 1969 yang disifatkan sebagai mencabar perpaduan antara kaum di negara ini.

Namun selepas tiga tahun melepasi tahap itu, kelihatannya masih ada yang tidak selesai. Malah, adakalanya ada isu yang semakin mengusut seolah-olah tidak ada penghujungnya. Membimbangkan isu tersebut bersangkutan dengan perkauman. Pasti apabila bercakap mengenai perkauman tragedi 13 Mei bermain di benak fikiran setiap rakyat Malaysia yang tidak mahu mengizinkannya daripada berlaku sekali lagi.

Sebagai negara yang masyarakatnya berbilang kaum, apa saja berkaitan dengan perkauman tentunya tidak boleh dipandang ringan. Lantaran sedikit percikan api perkauman mampu membakar tali yang mengikat perpaduan antara kaum-kaum di negara ini. Persoalannya kebimbangan timbulnya isu perkauman tidak pernah menghalang pihak tertentu untuk membangkitkan perihal hak keistimewaan Melayu yang sememangnya boleh mencetuskan bara kemarahan dan seterusnya menyalakan api permusuhan di antara kaum-kaum di negara ini. Dalam kesungguhan kerajaan untuk memelihara hubungan antara kaum, ada saja suara mencuri perhatian rakyat tentang isu yang telah disepakati sejak negara mencapai kemerdekaan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan. Sampai bila perkara itu mahu dijadikan isu? Matangkah rakyat Malaysia untuk terus membangkitkan perkara tersebut selepas usia kemerdekaan mencapai 53 tahun. Lebih penting lagi segala keistimewaan yang tertera belum melayakkan bangsa yang dicemburui untuk mendapat apa yang dikuasai oleh kaum lain.

Keadaan itu terbukti. Tidak perlu berulangkali bangkitkan contoh-contoh yang terbentang di hadapan mata. Sesiapa saja boleh melihat lantaran fakta bahawa pencapaian bangsa Melayu yang dilaungkan memiliki segala keistimewaan masih tertinggal jauh tidak pernah disorok jauh sekali mahu ditutup.

Susah benarkan mahu berpadu, atau isu perkauman hanya melingkari barisan pemimpin atasan manakala rakyat bawahan menjalani kehidupan seharian tanpa ada syak wasangka malah dalam banyak hal saling bergantungan. Lihatlah bagaimana eratnya masyarakat di bandar atau luar bandar berurus-niaga. Biar pun berlainan bangsa namun satu kaum memakmurkan kaum yang satu lagi.

Kaum Cina yang terkenal dengan kepintaran bisnesnya melata di sana-sini mengembangkan perniagaan. Di kampung-kampung ada saja kedai runcit yang menyediakan keperluan untuk orang kampung. Tidak timbul isu perkauman lantaran orang kampung membeli tanpa ada rasa syak wasangka. Ada peniaga berbangsa Tionghua membawa van masuk ke pelosok kampung yang rata-rata penduduknya Melayu setiap hari menjual ikan dan sayur-sayuran. Kepada peniaga itu juga orang Melayu sering memesan daging dan ayam. Tidak ada prasangka dan syak-wasangka. Peniaga itu jujur membekalkan sumber halal mengekalkan kepercayaan penduduk kampung sejak dia memulakan perniagaan hampir 30 tahun lalu. Dalam masyarakat Melayu yang terselit beberapa keluarga berketurunan Tionghua tidak pernah merungut terganggu dek laungan azan. Jiran-jiran Melayu tidak pernah mengeluh bau asap colok dan upacara membakar kertas untuk memperingati si mati. Masing-masing memakmurkan jiran lantaran tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Di bandar-bandar besar juga begitu.

Perniagaan

''Kita tengok pada musim perayaan ini, orang Melayu membeli-belah tanpa mengira perniagaan itu milik siapa. Jika ada tawaran diskaun, mereka akan berpusu-pusu, langsung tidak timbul siapa tauke bisnes tersebut,'' kata Dr. Zulkanain Abdul Rahman, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) Fakulti Sastera, Universiti Malaya.

Kesemuanya itu, menurut beliau, hasil kemakmuran dan toleransi kaum yang dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan. Ia juga melambangkan perpaduan rakyat negara ini telah berjaya dipupuk walaupun belum seratus peratus jitu. Peratusan kecil yang belum dicapai itu hakikatnya menjadi cabaran besar, lantaran ia boleh saja menggugat kesungguhan kerajaan memupuk perpaduan antara kaum sejak Malaysia merdeka. Beliau menarik perhatian tentang tuntutan berbaur perkauman yang biarpun dilihat kecil namun boleh saja mencetuskan suasana tidak harmoni sekali gus menghakis sedikit demi sedikit perpaduan yang telah dibentuk.

Katanya, jika ditanya apa pencapaian paling besar sepanjang 53 tahun negara mencapai kemerdekaan beliau akan menjawab: ''Perpaduan antara kaum.''

''Bukan Menara Berkembar Petronas atau Putrajaya atau bangunan pencakar langit menjadi ukuran kegemilangan 53 tahun merdeka.''

Katanya, kemerdekaan hanya sekali justeru semangat perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air yang merdeka mesti ditunjukkan dalam bentuk apa sekali pun termasuk mengibarkan Jalur Gemilang. ''Jika ada yang mempersoalkan gesaan supaya dikibarkan Jalur Gemilang di rumah dan bangunan, serta mengaitkannya sebagai hanya cebisan kain, maka ini petanda bahawa ada yang tidak menghargai konsep bernegara dan kemerdekaan yang kita kecapi.

''Lucutkan saja kerakyatan orang yang tergamak melontarkan pandangan sedemikian,'' katanya.

Menurut Zulkanain, tanggal 31 Ogos amat istimewa, justeru tidak sepatutnya timbul sebarang tanda soal jika ada permintaan supaya ia diraikan. Malah menunggu arahan, gesaan atau permintaan supaya ulang tahun kemerdekaan tanah air diraikan pun sudah menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah ada rasa terpaksa untuk mengibarkan bendera (satu-satunya lambang) yang kekal selagi negara ini berjaya mengekalkan kemerdekaannya.

Beliau menekankan tentang pentingnya rakyat terutama generasi muda faham tentang nikmat sebuah negara merdeka. Katanya, golongan yang lahir selepas merdeka selalu lupa hakikat itu lantas mereka sering bertindak melangkaui batas. Apabila ada suara membuat tuntutan berbaur perkauman, maka golongan muda tanpa usul periksa meminggirkan fakta sejarah menyokong bulat-bulat. Sedangkan, menurut beliau, apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan (tuntutan paling kerap) semuanya diputuskan atas dasar permuafakatan dan toleransi kaum.

Bumiputera

''Malangnya kerana tidak faham sejarah atau sengaja tidak mahu faham, tuntutan berkaitan hak bumiputera terus berkumandang dan semakin kerap dilontarkan kebelakangan ini, seolah-olah apa yang telah termaktub itu rasis sifatnya'' katanya.

Sedangkan, menurut beliau, Perlembagaan itu adalah bukti paling jelas toleransi dan permuafakatan antara kaum yang telah berjaya membawa Malaysia sampai ke tahap sekarang ini. Beliau hairan mengapa tuntutan-tuntutan supaya keistimewaan di sisi Perlembagaan dihapuskan tidak pernah reda sedangkan perkara tersebut dicapai atas semangat toleransi dan perpaduan sejak sebelum merdeka lagi.

Kepada pihak yang tidak berhenti membuat tuntutan seumpama itu Zulkanain bertanya: ''Mengapa tidak dibangkitkan soal kewarganegaraan yang diputuskan juga atas toleransi kaum.''

Katanya, status warganegara melayakkan seseorang bertanding dalam pilihan raya, mendapat pendidikan dan pelbagai keistimewaan lagi. Perkara itu tidak pernah dibangkitkan oleh kaum bumiputera yang telah menunjukkan sikap tolak-ansur amat besar ketika rundingan mengenainya dijalankan.

Apabila negara melangkah ke usia 53 tahun merdeka, sepatutnya isu-isu yang sememangnya telah termaktub dalam Perlembagaan tidak lagi dipersoalkan. Cabaran untuk memastikan usia kemerdekaan itu sentiasa malar mesti digerakkan tanpa mengira kaum. Dalam usaha kaum bukan bumiputera untuk melangkah mengukuhkan kedudukan mereka di tanah air tercinta ini, tidak perlu digugat hak-hak bumiputera yang telah disepakati dan dipersetujui.

Kaum bukan bumiputera tidak dihalang untuk terus menguasai apa juga bidang terutamanya ekonomi. Biar pun diketahui jurang ekonomi antara faktor yang boleh menggugat perpaduan antara kaum. Mereka juga bebas mencipta nama dan kekayaan atas tiket warganegara yang dikecapi juga atas nama permuafakatan. Setiap usaha kerajaan untuk merapatkan perpaduan sepatutnya dialu-alukan dan diberi sokongan. Contoh paling mudah adalah peranan pendidikan sebagai alat untuk menyatukan kaum-kaum di negara ini. Usaha tersebut tidak pernah mendapat sambutan, malah perjuangan menuntut pendidikan aliran sendiri sentiasa menjadi keutamaan. Jadi di mana rasionalnya tuntutan menyisihkan hak bumiputera dilaungkan sedemikian rupa tetap pada masa yang sama kaum bukan bumiputera tidak pernah mahu bertolak-ansur dalam soal pendidikan yang sehingga kini menjadi punca jurang antara kaum dalam soal perpaduan semakin melebar.

Mungkin ramai yang tidak percaya jika didedahkan bahawa kalangan pelajar universiti kini tidak betah duduk sebilik dengan kaum yang berlainan. Kegiatan kokurikulum juga menyaksikan pelajar bumiputera berada dalam kelompok masing-masing. Ada kajian menunjukkan dapatan itu. Betapa dalam kita meniti usia kemerdekaan 53 tahun, perkara yang tidak sepatutnya berlaku semakin berleluasa menunjukkan ada yang tidak kena dan mesti segera diperbetulkan. .

Justeru, jadilah warganegara yang mempunyai jati diri, kenali siapa diri kita, bumi yang kita pijak serta langit yang kita junjung. Bukan menjadi warganegara hanya untuk kepentingan diri - kekayaan ditarah, tetapi kesetiaan berbelah-bahagi.

/hwa: utusan.com.my/