30 Oktober 2010

PRK: DUN Galas - Profil Calon Barisan Nasional

Abdul Aziz Yusoff, 47, Setiausaha UMNO Gua Musang

Nama: Abdul Aziz Yusoff
Tarikh Lahir: 16 Jun 1961
Asal: Kampung Bertam Baru, Gua Musang
Warganegara: Malaysia
Status: Berkahwin mempunyai empat anak, tiga perempuan dan seorang lelaki
Kerjaya:
  • Pengurus Pejabat Operasi Kesedar: 2010 - kini (RPT Sungai Terah)
  • Pengurus Pejabat Operasi Kesedar: 1983 - 2009 (RPT Limau Kasturi)
  • Penyelia Rancangan Tanah Kesedar: 1980 - 1983
  • Jabatan Perangkaan: 1979 - 1980 Pendidikan:
    i) Sekolah Kebangsaan Bertam, Gua Musang, Kelantan
    ii) Sekolah Menengah Jerantut, Pahang Darul Makmur
    iii) Sekolah Menengah Teknik Kuantan

    Kelulusan: Sijil Pelajaran Malaysia

    Jawatan Dalam Parti:
    i) Setiausaha UMNO Bahagian: 2009 - kini
    ii) Bendahari UMNO Bahagian: 2003 - 2009
    iii) Naib Ketua Pemuda Bahagian: 1995 - 2005
    iv) Ketua Cawangan RPT Limau Kasturi: 1982 - kini

    Pertubuhan Bukan Kerajaan:
    i) Yang Dipertua PIBG SK Limau Kasturi: 1990 - kini
    ii) Timbalan Pengerusi Majlis Pemuafakatan: 2005 - kini
    iii) ALP Lembaga Pelawat Hospital Gua Musang: 2007 - kini
    iv) Bekas Pengerusi GB4B Kawasan Gua Musang: 2006 - 2008

    Anugerah:
    i) Pingat A.K. (Ahli Kelantan)
    ii) Pingat S.M.K (Seri Mahkota Kelantan)
    iii) Pingat P.P.N. (Pingat Pangkuan Negara)

  • /hwa: hmetro.com.my/

    Ansari sekali lagi jatuh ke laut

    BH - 2010/10/30

    ANSARI berpaut pada pelantar pejalan kaki yang runtuh menyebabkan beliau dan empat anggota jentera kempen terjatuh ke laut di Kampung Api-Api, Pulau Timbang, semalam.

    SANDAKAN: Seolah-olah sudah terkena sumpahan, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah semalam sekali lagi terjatuh ke dalam laut – kali ini bersama empat jentera pilihan raya PKR di Kampung Gas, dua hari selepas terjatuh ke dalam laut di Kampung Api-Api, Pulau Timbang, dekat sini.

    Jika pada Rabu lalu, Ansari dan pengurus kempennya, Oting Enchi serta seorang wartawan televisyen portal basah kuyup akibat terjatuh ke dalam laut apabila jeti di Kampung Api-Api runtuh ketika beliau dan rombongan jentera pilihan raya PKR berkempen, kali ini beliau dan empat lelaki terbabit terjatuh apabila pelantar pejalan kaki di sebuah rumah atas air runtuh.

    Jurucakap PKR berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Ansari dan rombongan jentera pilihan raya PKR, termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sedang berjalan ke rumah seorang penduduk kampung.

    “Menteri Besar Selangor sudah masuk ke dalam rumah. Bagaimanapun ketika Ansari dan empat anggota jentera kempen PKR yang masih berada di luar pintu rumah melangkah masuk ke dalam rumah, papan kecil yang menghubungkan rumah itu dengan pelantar pejalan kaki tiba-tiba runtuh.

    “Mereka terus terjatuh ke dalam laut. Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana ketika itu air surut. Anggota jentera kempen yang lain segera memberikan bantuan.

    “Ansari dan keempat-empat lelaki terbabit dibawa ke sebuah klinik di bandar ini untuk menerima rawatan. Ansari menjalani pemeriksaan X-ray di kaki kanannya yang cedera ringan,” katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

    Jurucakap itu berkata, Ansari tetap akan meneruskan kempen menjelang hari mengundi 4 November ini dan sama sekali tidak akan berputus asa dengan kejadian itu.

    Kampung Gas adalah antara kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong yang menjadi tumpuan kempen Barisan Nasional (BN), PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

    Kampung berkenaan kebanyakannya dihuni masyarakat berpendapatan rendah yang bergantung rezeki pada hasil laut. Rumah yang diperbuat daripada papan di atas air dihubungkan melalui pelantar pejalan kaki diperbuat daripada kayu.

    Ansari, 56, peguam terkemuka di Kota Kinabalu sebelum ini dilaporkan mengalami nasib malang yang sama di Kampung Api-Api, Pulau Timbang.

    Sementara itu di Kuala Lumpur, pengasas PKR yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti selama dua penggal, Ng Lum Yong mendakwa Ansari bukan calon pilihan akar umbi dan pucuk pimpinan Sabah sebaliknya pilihan ‘ahli emas’ parti peringkat pusat.

    Ng berkata, berikutan itu, seluruh jentera PKR Sabah tidak turun menjalankan gerak kerja kempen membantu Ansari yang disifatkannya bukan mewakili suara hati peringkat akar umbi dan kepemimpinan peringkat negeri.

    /hwa: bharian.com.my/

    Ku Li redah belantara 12 jam temui Orang Asli

    BH - 2010/10/30
    TENGKU Razaleigh bersalaman dengan masyarakat Orang Asli di Pos Hau ketika membantu calon BN berkempen, semalam.Oleh Zulkofli Jamaludin, Ismail Mat, Nazura Ngah, Norliza Wasilan, Haspaizi Mohd Zain, Ramli Ibrahim, Nor Hazwani Hamat, Paya Linda Yahya dan Mohd Fakri Awang Lah. bhnews@bharian.com.my


    Usia tak halang bersemuka pengundi, pastikan kemenangan BN

    GUA MUSANG: Usianya 73 tahun dan tugasnya Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) DUN Galas. Namun, Tengku Razaleigh Hamzah, seorang veteran dalam politik dan pernah menjadi Menteri Kewangan sanggup meredah belantara hampir 12 jam untuk bertemu lebih dekat dengan pengundi Orang Asli.

    Bagi memastikan BN mencapai kemenangan besar, `anak raja Kelantan’ itu menaiki pacuan empat roda berkonvoi bersama pasukan jentera BN seawal jam 8.30 pagi kelmarin melalui jalan tanah merah berdebu selama empat jam menuju ke Pos Balar.

    Walaupun menghadapi perjalanan yang sukar dengan beberapa kenderaan tersangkut dalam selut tanah merah, ia tidak mematahkan semangat Ahli Parlimen Gua Musang itu untuk mendengar rintihan dan keluhan masyarakat di situ.

    Dalam ucapannya ketika pertemuan dengan lebih 100 penduduk Orang Asli di Pos Balar, Tengku Razaleigh berkata kehadirannya adalah untuk meninjau lebih dekat permasalahan bagi memastikan mereka turut mendapat pembelaan sama seperti rakyat lain.

    "Kerajaan BN tidak pernah meminggirkan Orang Asli. Ia terbukti apabila kerajaan Pusat menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti klinik kesihatan dan sekolah serta peruntukan RM10.8 juta untuk pembangunan Orang Asli di Gua Musang," katanya.

    Beliau berkata, ia berbeza dengan kerajaan PAS Kelantan yang kononnya hendak menjaga kebajikan Orang Asli, tetapi sanggup menggadai tanah yang diduduki mereka kepada pihak lain bagi tujuan pembalakan dan Ladang Rakyat.

    "Kita akan berunding dengan kerajaan negeri supaya memberikan hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli untuk dijadikan tapak rumah, tanah perkuburan dan tanah pertanian supaya mereka juga mempunyai harta pusaka untuk diwariskan kepada generasi mereka.

    “Ladang rakyat yang kononnya dilaksanakan untuk kebaikan Orang Asli hanya karut kerana mereka hanya menjadi kuli dan sedangkan Orang Asli mahukan tanah sendiri," katanya.

    Selepas di situ selama sejam, Tengku Razaleigh ke Pos Hau, yang mengambil masa empat jam perjalanan lagi dengan laluan lebih sukar kerana hujan. Tanpa menghiraukan penat, beliau menunjukkan sikap pemimpin berjiwa rakyat melayan masyarakat di Pos Hau yang mempunyai kira-kira 200 penduduk.

    /hwa: bharian.com.my/

    Rutin harian Ab Aziz bertemu pengundi, penuhi program

    BH - 2010/10/30

    KEMPEN pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang memasuki hari keempat semalam memperlihatkan semangat juang tinggi calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff walaupun mengharungi jadual padat setiap hari bermula seawal jam 6 pagi.

    Rutin harian bertemu pengundi dan memenuhi program parti hanya berakhir jam 3 pagi setiap hari. Ikuti rutin harian Ab Aziz sepanjang berkempen:

  • 6 pagi – menunaikan solat Subuh di madrasah Taman Damar.
  • 8 pagi – melawat keluarga anggota bomba yang maut dalam kejadian langgar lari di Hospital Gua Musang.
  • 8.30 pagi – bersarapan bersama penduduk di Simpang Empat Kundur.
  • 9 pagi – melawat jentera Skuad Sayang Wanita UMNO di Kampung Kerinting dan bertemu dengan pengundi di kawasan berkenaan.
  • 11 pagi – menghadiri program futsal di Sungai Terah yang turut dihadiri Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
  • 12.30 tengah hari – menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Faiz Petra.
  • 2 petang – menghadiri jamuan bersama masyarakat Taman Wangi yang turut dihadiri Tengku Razaleigh.
  • 3 petang – bersama pekebun kecil di tokong berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
  • 4 petang – bersama masyarakat India di Bukit Cekati
  • 6 petang – melawat bilik gerakan polis.
  • 7 malam – solat Maghrib di Taman Mesra.
  • 8 malam – menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina di Restoran Kim Kee Kampung Baru.
  • 9 malam – melawat pos peti undi.

  • /hwa: bharian.com.my/

    PAS dikeluarkan daripada BN kerana mungkir janji: Rozali Isohak

    Bernama - 2010/10/30

    KUALA KRAI: Majlis Veteran UMNO Kelantan menyangkal kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa PAS telah "ditendang" keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekitar 70-an dan bukannya PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan UMNO ketika itu.

    Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak, berkata sebenarnya PAS mungkir dengan janjinya untuk tidak menubuhkan cawangan mereka di kawasan yang dikuasai oleh UMNO semasa bergabung dalam BN.

    "PAS juga berbalah sesama sendiri, sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan Mageran iaitu Majlis Keselamatan Negara di Kelantan dan dengan keadaan itu menyebabkan pemimpin UMNO merasai PAS tidak perlu bersama BN lagi," katanya.

    Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang dari satu aspek menyebut bahawa parti itu telah ditendang daripada BN pada tahun 70-an selepas dipelawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, dan bukannya PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO.

    Nik Aziz dalam ulasannya seperti yang tersiar dalam laman portal Harakah Daily yang diberi tajuk "Fatwa Ikut Suka PAS: UMNO Keliru dan Terus Keliru" yang antara lain menyebut bahawa PAS dengan ikhlas menyambut ajakan masuk bergabung ke dalam BN oleh Tun Razak pada 1973 yang kemudiannya menjadi perangkap bagi PAS.

    PAS, katanya, bergabung dengan UNO membentuk BN demi perpaduan, namun hasilnya PAS khususnya di Kelantan berpecah kepada empat iaitu PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa.

    PAS, menurut Menteri Besar Kelantan itu, hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut dan seterusnya membawa kepada peristiwa PAS ditendang daripada BN dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. - BERNAMA

    /hwa: bharian.com.my/

    Timbalan Ketua, Naib PKR Bahagian Batu Sapi keluar parti

    Bernama - 30/10/2010 3:40pm

    SANDAKAN 30 Okt. - Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Sapi, Amir Bak dan 200 anggota bahagian itu hari ini mengumumkan keluar PKR dan menyertai UMNO.

    Turut menyertai Amir ialah naib ketua PKR Batu Sapi, Abdullah Madu dan tujuh lagi anggota jawatankuasa bahagian berkenaan.

    Mereka menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Lupak Meluas di sini.

    Selain itu, 50 anggota Parti Maju Sabah (SAPP) dari lima cawangan di Batu Sapi turut mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.

    Bekas calon bebas pada pilihan raya umum 2008, Dr. Francis Chong pula mengumumkan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

    Anggota PKR dan SAPP berkenaan bertindak meninggalkan parti masing-masing kerana hilang kepercayaan kepada perjuangan parti asal mereka. - Bernama

    /hwa: utusan.com.my/

    UMNO bangkit pertahan Islam - Jamil Khir

    UM - 30/10/10

    GUA MUSANG 29 Okt. - Tuduhan Pas bahawa UMNO tidak memartabatkan Islam serta memperalatkan agama bagi tujuan politik merupakan satu fitnah yang sengaja dicetuskan untuk mengelirukan rakyat.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, perbuatan Pas itu sangat dimurkai Allah kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan rakyat sedangkan UMNO sejak merdeka lagi bersungguh- sungguh meningkatkan syiar Islam di negara ini.

    Kata beliau, kesungguhan UMNO itu terbukti dengan wujudnya pelbagai institusi dan agensi berteraskan Islam selain berusaha meningkatkan pendidikan Islam serta melahirkan lebih ramai para ilmuwan Islam.

    "Kesemua usaha ini hasil perjuangan UMNO yang berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Ini merupakan satu hakikat dan ini adalah satu sejarah. Perkara ini perlu diakui oleh semua pihak termasuk Pas.

    "Sejujurnya UMNO selama ini tidak pernah memperalatkan Islam sebagai satu modal politik sebaliknya kami yang bangkit mempertahankan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Beliau mengulas tuduhan Pas yang disiarkan dalam risalah kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas parti itu bagi bilangan keempat yang diedarkan kepada orang ramai semalam.

    Antara tuduhan Pas di dalam risalah tersebut di bawah tajuk 'Kenapa jangan sokong UMNO' ialah tindakan UMNO menjadikan Islam sebagai kuda tunggangan parti berkenaan.

    Pas turut menuduh UMNO tidak membela agama kerana gagal menangani masalah murtad serta peranan ulamanya yang hanya ditugaskan untuk melawan Pas.

    Menurut risalah itu, ulama di dalam UMNO juga ditugaskan membaca doa, tahlil dan marhaban.

    Jamil Khir berkata, beliau secara peribadi tidak hairan dengan tindakan tersebut kerana pemimpin-pemimpin Pas sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan politik mereka.

    Beliau berkata, demi politik mereka sanggup mempengaruhi rakyat dengan berita-berita berbentuk fitnah dan disebabkan politik juga pemimpin-pemimpin parti itu sanggup menyebarkan maklumat tidak benar.

    "Bukankah perbuatan mereka ini amat dilarang di dalam Islam. Saya pasti pemimpin-pemimpin mereka tahu mengenai hukum hakamnya kerana mereka di kalangan orang yang berilmu.

    "Saya ingin memetik satu maksud ayat al-Quran, kamu tahu bercakap tetapi kamu tidak pernah buat. Ini sebenarnya yang berlaku di dalam Pas," katanya.

    Beliau berkata, bukti yang jelas bagaimana proses membangunkan Islam di Kelantan sejak diperintah oleh Pas 20 tahun yang lalu tidak menunjukkan perubahan.

    "Semuanya masih ditakuk lama. Mereka hanya tahu bercakap tetapi apabila kita lihat Kelantan pembangunan Islamnya tidak sehebat manapun.

    "Berbanding dengan kita, UMNO telah membuktikan komitmennya menaikkan syiar Islam. Kerajaan mana yang menaikkan elaun 14,000 imam, 32,600 guru KAFA dan membina 22,000 buah masjid jika bukan UMNO dan BN," katanya lagi.

    Beliau dalam pada itu turut membidas Pas yang menuduh hubungan UMNO dan MCA adalah dilarang sebaliknya hubungan parti itu dan DAP diizinkan atas nama tahalluf siyasi.

    "Pada mereka, hubungan yang kita (UMNO) jalin dengan MCA dilarang tetapi Pas dengan DAP diizinkan oleh Islam. Inilah wajah sebenar Pas yang sering menghalalkan perbuatan yang mereka lakukan.

    "Meskipun kita tahu, akibat daripada persahabatan mereka itu sikap Pas kini semakin buruk," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Tokoh agama sifatkan Pas tidak amal akhlak Islam

    UM - 30/10/10

    GUA MUSANG 29 Okt. - Tindakan Pas yang sengaja melemparkan fitnah terhadap UMNO dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, jelas membuktikan parti itu gagal mengamalkan akhlak Islam.

    Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Hussein berkata, malah tidak keterlaluan sekiranya Pas dianggap sebagai parti yang sarat dengan emosi hingga ke peringkat sanggup mengetepikan ajaran Islam asalkan cita-cita politik mereka tercapai.

    Bagi beliau, Pas kini lebih mementingkan untung rugi politik daripada segala-galanya walaupun mereka sedar sesetengah perbuatan itu bertentangan dengan Islam.

    "Mereka menuduh UMNO tidak mengamalkan Islam. Mereka tuduh UMNO tidak bela Islam. Mereka menuduh UMNO tidak memperjuangkan Islam meskipun mereka sedar langkah kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan rakyat ini adalah kehendak Islam.

    "Saya yakin mereka faham dan mereka tahu. Namun disebabkan untung rugi politik mereka sanggup mengetepikan semua ini. Atas sebab itu mereka sanggup melakukan fitnah dan dakwaan tidak berasas demi meraih sokongan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

    Beliau mengulas tuduhan Pas yang disiarkan di dalam risalah kempen parti itu bagi bilangan keempat yang diedarkan kepada orang ramai, semalam.

    Antaranya di bawah tajuk Kenapa jangan sokong UMNO, Pas menuduh UMNO menjadikan Islam sebagai kuda tunggangan parti berkenaan.

    Pas turut menuduh UMNO tidak membela agama kerana gagal menangani masalah murtad serta peranan ulamanya yang hanya ditugaskan untuk melawan Pas.

    Menurut risalah itu, ulama di dalam UMNO juga ditugaskan membaca doa, tahlil dan marhaban.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Yusof berkata, sekiranya benar UMNO tidak mahu menjalankan kerja-kerja agama sudah tentu Islam tidak berkembang seperti sekarang.

    Justeru beliau berkata, Pas tidak sewajarnya menuduh UMNO gagal memartabatkan Islam kerana jelas ia merupakan dakwaan tidak berasas.

    Beliau yang juga Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan dalam pada itu turut menasihatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan ucapan pemimpin-pemimpin Pas.

    "UMNO sepanjang pemerhatian saya telah berusaha sedaya upaya untuk membawa kemajuan kepada negara ini sama ada dalam bentuk duniawi mahupun ukhrawi iaitu dengan berbelanja berbilion ringgit bagi membangunkan Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya.

    Seorang lagi tokoh agama, Syed Ibrahim Syed Ahmad turut senada dengan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

    Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Pahang itu berkata, fitnah yang dilakukan oleh Pas itu disebabkan oleh emosi serta kegagalan mereka menghayati akhlak yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

    "Ini yang mengecewakan saya kerana apa yang dilakukan oleh Pas ini memberi gambaran yang buruk kepada orang lain sedangkan Rasulullah tidak pernah sesekali mengajar umatnya melakukan kerja-kerja seperti ini.

    "Sepatutnya sebagai seorang Islam kita menunjukkan akhlak yang baik serta tingkah laku yang benar-benar mencerminkan kita merupakan umat Islam yang akhirnya boleh dijadikan contoh dan ikutan kepada pihak lain," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Pas serang peribadi Ku Li

    UM - 30/10/10

    GUA MUSANG 29 Okt. - Pas telah memulakan serangan peribadi kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam siri kempennya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini.

    Perkembangan tersebut bertentangan dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang menyatakan Pas tidak menentang Tengku Razaleigh tetapi parti yang diwakilinya.

    Serangan tersebut bermula pada Ceramah Perdana kepemimpinan pakatan pembangkang di Sungai Terah malam tadi dan pada sidang akhbar harian parti itu di Markas Besar Pas di sini pagi ini.

    Penasihat Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada sidang akhbar tersebut menyifatkan Tengku Razaleigh sebagai pengkhianat.

    Beliau berkata, ini kerana Ahli Parlimen Gua Musang itu telah menghilangkan dokumen penting berkaitan masyarakat Orang Asli di negeri ini ketika kerajaan campuran Kelantan di antara Semangat 46 dan Pas berpecah kira-kira 14 tahun lalu.

    "Dulu masalah di Kelantan ini, kita banyak bergantung kepada Tengku Razaleigh dan Semangat 46 untuk semua permasalahan Orang Asli sebab ia melibatkan Gua Musang yang mengandungi satu kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri.

    "Jadi semua urusan kita serah kepada dia, bila Tengku Razaleigh hancurkan Semangat 46 dan masuk balik UMNO, kita tidak ada fail dan tidak tahu di mana hendak mula, ini satu pengkhianatan yang Tengku Razaleigh dan Semangat 46 buat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Kenyataan keras itu dikeluarkan ketika beliau diasak oleh pemberita mengenai isu yang membabitkan masyarakat Orang Asli di kawasan Gua Musang.

    Pada pilihan raya kecil ini, undi daripada masyarakat Orang Asli dilihat amat penting kerana ia menjadi faktor penentu kepada kemenangan kedua-dua pihak.

    Sementara itu, Wan Abdul Rahim berkata, pihaknya juga tidak mengeluarkan arahan khusus supaya isu royalti minyak tidak disentuh pada kempen pilihan raya kecil ini.

    "Tidak ada larangan secara total tapi oleh kerana benda ini di mahkamah biar mahkamah tentukan. Mungkin kalau Datuk Husam Musa datang, Pas akan bawa isu ini, bukan semua pemimpin Pas mampu buat olahan mengenai royalti minyak, dia memerlukan fakta dan tahap pengetahuan yang cukup tinggi.

    "Masalahnya orang Galas 'tak makan' (pedulikan isu) royalti minyak, orang sini mahu isu yang benar-benar menyentuh mereka seperti harga getah meningkat," katanya.

    Sementara itu, dalam Ceramah Perdana di Sungai Terah malam tadi, Setiausaha Pas Kelantan, Zaki Ibrahim mempertikaikan sumbangan Tengku Razaleigh dalam membangunkan kawasan ini biar pun telah lama menjadi wakil rakyat.

    "Barisan Nasional (BN) dalam ceramahnya kata kita tidak buat pembangunan. Saya nak tanya selama 40 tahun menjadi wakil rakyat di sini apa yang Ku Li (Tengku Razaleigh) buat?

    "Apa yang BN buat hanya tunjukkan kain pemidang buat pembangunan itu dan ini tapi pembangunan apa yang dia buat di sini," katanya.

    Ceramah Perdana itu turut dihadiri oleh Nik Abdul Aziz; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

    Pada ceramah tersebut juga, Nik Abdul Aziz, Anwar dan Guang Eng turut menyentuh mengenai pemberian royalti minyak yang dikatakan menjadi hak rakyat negeri ini.

    /hwa: utusan.com.my/

    Jentera PKR Sabah boikot kempen Batu Sapi?

    UM - 30/10/10

    KUALA LUMPUR 29 Okt. - Tidak sampai 10 peratus daripada kekuatan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah turun padang untuk membantu kempen calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi 4 November ini.

    Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Ng Lum Yong berkata, keadaan itu berlaku kerana ramai ahli dan pemimpin PKR Sabah tidak berpuas hati dengan calon parti itu, Ansari Abdullah.

    Memburukkan lagi keadaan, katanya, tindakan segolongan pihak atasan PKR yang digelarnya sebagai 'ahli emas' dalam memastikan pemilihan Ansari sebagai calon seperti membelakangi pemimpin PKR di peringkat akar umbi yang mempunyai pilihan lain.

    "Saya sedih tentang cara pemilihan Ansari itu kerana ia tidak melalui sistem yang konkrit, hanya dipilih oleh golongan 'ahli emas' dan ini telah berlaku dalam beberapa siri pilihan raya kecil lalu.

    "Oleh itu kita nampak selepas empat hari kempen berjalan, tidak sampai 10 peratus jentera PKR Sabah turun padang membantu calon mereka," katanya kepada pemberita di Ampang dekat sini hari ini.

    Baru-baru ini, beberapa blog melaporkan para penyokong Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Tamrin Jaini dan penyokong Ansari bertumbuk sesama sendiri di Lapangan Terbang Sandakan Sabah pada 26 Oktober lalu akibat tidak berpuas hati dengan pemilihan calon itu.

    Malah, blog The Unspinners melaporkan: "Sebaik sahaja Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Ansari sebagai calon, ramai penyokong Ahmad Tamrin bertindak keluar Dewan Komuniti Persatuan Hakka Sandakan sebagai memprotes pemilihan calon itu, walaupun ketika itu Anwar masih berada di dalam dewan tersebut."

    Lum Yong seterusnya meminta pimpinan PKR pusat memperhalusi sistem pemilihan calon parti itu pada pilihan raya akan datang.

    /hwa: utusan.com.my/

    Bukti usaha khianat PKR-DAP

    UM - 30/10/10

    KUALA LUMPUR 29 Okt. - Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mengenai perjanjian rahsia antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, merupakan bukti jelas kedua-dua parti itu berhasrat meminda dan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan.

    Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu amat serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh seluruh rakyat negara ini.

    Menurut beliau, kenyataan terbaru Zulkifli itu perlu dinilai secara bersama dengan pendedahan sama yang pernah dibangkitkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini tetapi bermati-matian dinafikan oleh parti yang terlibat.

    "Hari ini, PKR dan DAP secara bersungguh menafikan kenyataan Zulkifli dengan mempertikaikan kewibawaan dan kemampuannya sebagai wakil rakyat. Apakah seseorang yang pernah menjadi 'jagoan' mereka pada suatu ketika, sudah menjadi individu yang tidak perlu dihormati dan dihargai hanya kerana kenyataan yang tidak selari dengan kepentingan politik.

    "Kalau mufti juga pernah dianggap pembohong dan penipu, kita sama-sama dapat menilai 'adab politik' yang ada di kalangan pemimpin pembangkang seperti ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

    Beliau mengulas pendedahan Zulkifli di Dewan Rakyat semalam tentang satu perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik antara kedua-dua parti itu yang tidak diketahui oleh Pas.

    Dakwa Zulkifli, melalui perjanjian rahsia itu DAP akan memiliki kuasa autonomi terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

    Tambah Reezal Merican, impak daripada pendedahan itu memberi satu kepercayaan kepada rakyat bahawa memang wujud cubaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menjaga, memelihara dan mengukuhkan cengkaman politik kaum tertentu dalam kerjasama pakatan pembangkang.

    "Apakah ini bukan suatu cubaan khianat kepada Perlembagaan? Tidakkah ini secara nyata menunjukkan bahawa Perlembagaan adalah 'matlamat politik sebenar' yang dimiliki oleh PKR dan DAP, berbanding mengutamakan khidmat kepada rakyat?" soal beliau.

    Tegas beliau, perancangan politik cuba meletakkan sempadan kaum di dalam pentadbiran negeri-negeri tertentu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal waras.

    /hwa: utusan.com.my/

    Kem Zaid Ibrahim minta proses pengundian PKR ditangguh

    UM - 30/10/10

    KUALA LUMPUR 29 Okt. - Para penyokong Datuk Zaid Ibrahim menggesa proses pengundian bagi pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermula hari ini ditangguhkan kerana mendakwa berlaku beberapa perkara mencurigakan.

    Memetik laporan portal berita dalam talian, freemalaysiatoday.com (FMT), ejen yang mewakili Zaid dalam kempen beliau merebut jawatan Timbalan Presiden parti meminta sekretariat pemilihan terlebih dahulu menyelesaikan masalah teknikal dan pentadbiran yang wujud sebelum meneruskan proses pemilihan berkenaan.

    "Kami khuatir dengan cara pemilihan PKR yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat dan sekretariat parti," kata ejen Zaid, Rashid Azad Khan dan pembantu politiknya, Muhammad Firdaus Christopher seperti dipetik FMT.

    Hari ini bermula proses pengundian PKR di 10 cabang iaitu di Kedah dan Kelantan dengan sekurang-kurang empat daripadanya didakwa berhadapan masalah teknikal dan pentadbiran.

    Empat cabang itu adalah Tumpat dan Kota Bharu di Kelantan serta Langkawi dan Alor Setar di Kedah.

    Difahamkan proses pengundian di empat cabang berkenaan lewat bermula akibat kelewatan kertas undi di pusat-pusat pengundian.

    Pemilihan menggunakan sistem langsung iaitu satu ahli satu undi yang pertama kali dilaksanakan PKR melibatkan sebanyak 69 cabang parti yang akan keluar membuang undi bermula hari ini hingga Ahad.

    Ia merupakan sebahagian daripada tiga peringkat pengundian setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad melibatkan 400,000 ahli yang dijadualkan selesai pada 21 November ini sebelum Kongres Kebangsaan PKR 2010 diadakan pada 27 November ini.

    Hari ini sebanyak 10 cabang dijadual membuang undi iaitu masing-masing lima di Kelantan dan Kedah. Cabang berkenaan adalah Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Chepa di Kelantan.

    Bagi Kedah pula melibatkan cabang Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

    Ahli-ahli PKR di cabang terlibat akan mengundi mulai 10 pagi hingga 4 petang dan proses pengiraan akan dibuat selepas itu di setiap cabang terbabit, tetapi keputusan rasmi hanya akan diumumkan ketika kongres parti akhir bulan depan.

    /hwa: utusan.com.my/

    Pendedahan Zulkifli tidak mengejutkan - Fairus

    UM - 30/10/10

    KUALA LUMPUR 29 Okt. - Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tentang perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang tidak diketahui oleh Pas, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

    Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, tidak mustahil perjanjian seperti itu wujud kerana beliau sudah lama mengenali Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang bersikap talam dua muka.

    ''Anwar sendiri dalam satu pertemuan tertutup ketika saya masih menjadi Timbalan Ketua Menteri pernah menyebut agar Pas tidak diberikan kuasa yang banyak di Pulau Pinang kerana parti itu akan membolot kuasa berkenaan.

    ''Justeru saya tidak terkejut dengan apa yang didedahkan oleh Zulkifli kerana kalau Anwar sendiri tidak percaya terhadap Pas, apatah lagi anak-anak buahnya,'' katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh laman web UMNO-Online di http://umno-online.com hari ini.

    Beliau mengulas pendedahan Zulkifli di Dewan Rakyat semalam tentang perjanjian rahsia yang memberikan kuasa autonomi kepada DAP terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

    Dalam pada itu, Mohammad Fairus menegaskan, Pas sebenarnya hanya menjadi kuda tunggangan dan korban untuk nafsu politik Anwar dan DAP.

    ''Terlalu banyak sandiwara berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini dan kepada saudara-saudara saya dalam kepimpinan Pas, renungkanlah perkara ini.

    ''Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan cuma amat berharap Pas berwaspada dan tengok-tengoklah rakan mereka terutama Anwar yang merupakan politik rakus yang sanggup memperalatkan sesiapa demi kepentingan dirinya sendiri,'' ujarnya.

    Tambah Mohammad Fairus, secara peribadi beliau tidak bersetuju Pas diperlakukan sedemikian rupa.

    ''Percayalah jika kepimpinan Pas mengabaikan apa yang didedahkan satu persatu hari ini, satu hari nanti Pas akan menjadi mangsa korban tikam belakang sekutu mereka sendiri,'' katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Perjanjian PKR-DAP: Orang Melayu diminta buka mata

    UM - 30/10/10

    KUALA LUMPUR 29 Okt. - Orang Melayu diminta membuka mata terhadap pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Nordin mengenai perjanjian rahsia di antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, persamaan ideologi yang terbentuk antara kedua-dua parti tersebut merupakan asas kukuh untuk mereka bertindak membelakangi Perlembagaan negara.

    Beliau berkata, jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara kelak, tidak mustahil orang Melayu akan ditindas dan kuasa memerintah negeri akan diserahkan kepada bangsa lain.

    "PKR dan DAP masing-masing mempunyai ideologi berasaskan sosialis yang sanggup membuat apa saja asalkan ideologi mereka dapat ditegakkan.

    "Apabila mereka berkuasa kelak, tidak mustahil kuasa raja-raja Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Zulkifli dalam Dewan Rakyat semalam yang membongkar kewujudan perjanjian rahsia di antara PKR dan DAP tanpa diketahui oleh Pas.

    Menurut Zulkifli, melalui perjanjian tersebut, DAP akan diberikan kuasa autonomi di Pulau Pinang dan wakilnya akan dilantik sebagai Menteri Besar di negeri-negeri yang dimenangi sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

    Tambah Ahmad Atory, perjanjian sulit yang berlaku antara kedua-dua parti tersebut bukan rahsia baru tetapi masih terdapat kalangan orang Melayu yang tidak menyedari risikonya.

    "Bangsa Melayu masih seperti dulu ketika zaman dijajah oleh kuasa asing, mereka lali, bermimpi dan tidak sedar bahaya yang bakal dihadapi," ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, sudah tiba masanya Zulkifli mendedahkan dalang dan membuktikan semua dakwaan yang dibuat tersebut supaya orang ramai sedar terhadap tindakan licik pakatan pembangkang.

    "Sebagai ahli Parlimen, beliau harus bertanggungjawab mendedahkan perkara tersebut demi kepentingan bangsa Melayu sendiri," tegasnya.

    Menurut Osman, jika perkara tersebut terbukti berlaku, kerajaan diminta siasat dan mengambil tindakan segera kerana secara jelas pihak berkenaan cuba mengubah Perlembagaan negara.

    "Kerajaan harus ambil tindakan seperti mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap dalangnya kerana isu tersebut sangat sensitif dan bahaya," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    29 Oktober 2010

    PRK: Galas 2010

    SEORANG penunggang motosikal melalui sebatang jalan raya yang dipenuhi dengan bendera parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, di Kampung Tiong, Gua Musang, Kelantan, 28 Okt. Pembuangan undi akan diadakan pada 4 November ini. - Utusan/NOORADZRENE MOHD NOOR

    Zul Noordin dedah perjanjian rahsia DAP, PKR

    UM - 29/10/10

    KUALA LUMPUR 28 Okt. – Hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP begitu rapat sehingga wujud satu perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik antara kedua-dua parti itu yang tidak diketahui oleh Pas.

    Perkara itu didedahkan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim/Bandar Baharu) yang berkata, melalui perjanjian rahsia itu DAP akan memiliki kuasa autonomi terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan.

    “Sebenarnya di antara kepimpinan DAP dan PKR, yang membuatkan mereka jadi rapat sebab adanya perjanjian sulit yang Pas sendiri tidak tahu.

    “Jika pakatan pembangkang menang dan ambil alih kerajaan Persekutuan, DAP akan diberi kuasa autonomi di Pulau Pinang,” katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

    Zulkifli berkata, sekiranya pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum, wakil DAP akan dilantik menjadi menteri besar di negeri-negeri yang dimenanginya sementara calon-calon Melayu akan diletakkan di Negeri Sembilan dan Perak jika mereka menang.

    Menurutnya, perkara itu sememangnya sudah dirancang kedua-dua parti itu bagi memastikan DAP mendominasi pakatan pembangkang.

    Zulkifli bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai dakwaannya itu kerana masa perbahasannya sudah tamat.

    /hwa: utusan.com.my/

    Orang muda buta sejarah!

    UM - 29/10/10



    KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pasti ramai terkejut dengan hakikat bahawa remaja hari ini tidak tahu siapa Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

    Tidak cukup dengan itu, bayangkan bagaimanalah tahap patriotisme remaja masa kini kalau tarikh Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 yang disambut pada setiap tahun, pun boleh dilupakan.

    Dalam satu soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini, ada remaja menjawab Tun Razak Hussein sebagai Perdana Menteri pertama.

    Hari Kemerdekaan pula dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden. Antaranya 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957.

    Walaupun keseluruhan responden berumur dari 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun, khususnya antara 16 dan 20 tahun.

    Daripada situ, ia menjadi bukti bahawa ramai remaja generasi kini dan segelintir orang dewasa bukan saja buta sejarah malah bersikap tidak ambil tahu dan memandang remeh fakta-fakta penting bangsa dan negara.

    Sudah pasti mereka selalu mendengar nama dan melihat wajah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak yang kerap diulang tayang di televisyen atau disiar di akhbar-akhbar.

    Namun, apabila ada sikap tidak ambil peduli dan tidak berminat, jika hari-hari pun mereka diajar bahawa Tunku Abdul Rahman itu adalah Perdana Menteri pertama, mereka tetap tidak akan ingat.

    Begitu juga dengan Hari Kemerdekaan, sungguhpun tarikh itu terdapat dalam lagu dan diuar-uarkan secara meluas malah dicetak dalam setiap kalendar tahunan, mereka 'tidak ambil pusing' semua itu.

    Kalau jumlah yang tidak mengetahui nama Perdana Menteri pertama itu adalah sembilan peratus, tidak hairanlah kalau 49 peratus daripada 200 responden itu tidak mengetahui bila tarikh penubuhan Malaysia.

    Mereka yang tidak mengetahui tarikh Hari Kemerdekaan pula seramai 17 responden atau 8.5 peratus.

    Begitulah realitinya generasi masa kini. Siapa yang salah? Ibu bapa, generasi terdahulu atau sistem pendidikan? Ataupun, sikap orang muda yang memang tidak berminat dengan sejarah negara?

    Soal selidik ini bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi sekadar mendedahkan tentang suatu fenomena yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini iaitu tentang ramainya anak muda yang buta sejarah.

    Hasilnya, daripada 10 soalan yang diajukan, tiada seorang pun di kalangan responden kelompok di bawah 30 tahun yang berjaya menjawab kesemua soalan itu.

    Kajian soal selidik tersebut berkisar tentang pengetahuan umum dan sejarah negara.

    Bagi kelompok umur 31 hingga melebihi 51 tahun termasuk seorang responden berusia 55 tahun, semua berjaya dijawab kecuali bagi tiga soalan iaitu tarikh Hari Malaysia, cogan kata negara dan prinsip ketiga Rukun Negara.

    Seramai 141 responden atau 70.5 peratus daripadanya tidak mengetahui tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

    Tiada alasan untuk melupakan tema '1Malaysia Menjana Transformasi' kerana Bulan Kemerdekaan negara baru saja diraikan.

    Ketika ditanya tentang tarikh penubuhan Malaysia diajukan, hanya 102 responden yang menjawab dengan tepat sedangkan hari tersebut telah diumumkan sebagai cuti umum di negara ini.

    Amat mengejutkan juga apabila sebahagian responden mempersoalkan tentang benarkah wujud cogan kata negara. Hakikatnya ia dilihat di mana-mana termasuk pada kulit belakang buku latihan sekolah.

    Lantas, disebabkan tidak tahu, mereka menjawab cincai. Seramai 126 responden menyenaraikan jawapan yang tidak masuk akal seperti 'Hip Hip Hooray'. Selain itu adalah Malaysia Boleh, Berkhidmat untuk Negara, Majulah Sukan untuk Negara.

    Menurut mereka, ketika diajukan soalan itu adalah kali pertama mendengar tentang cogan kata sebenar iaitu 'Bersekutu, Bertambah Mutu'.

    Reaksi sama diterima berhubung nama bendera kebangsaan Malaysia. Biarpun Jalur Gemilang berkibar megah di mana-mana namun sukar dipercayai, 15 responden atau 7.5 peratus tidak mengetahui nama bendera kebangsaan itu.

    Tambah memalukan, ada yang tergamak menamakan Jalur Gemilang sebagai 'Belang'. Ini sekali gus menggambarkan rendahnya moral golongan muda di negara ini yang boleh mempersenda bendera negara sendiri.

    Nasib baiklah nama lagu kebangsaan, Negaraku diingati hampir semua responden kecuali empat orang.

    Kajian tersebut turut mendapati, 40 responden tidak mengetahui bilangan negeri di Malaysia sehingga ada yang meneka Malaysia terdiri daripada 23, 17 dan 12 negeri.

    Bagi soalan prinsip ketiga Rukun Negara dan juga nama Perdana Menteri keenam, iaitu perdana menteri sekarang, masing-masing 29 dan 19 responden gagal menjawab dengan tepat.

    Sekali lagi diulangi dan ditegaskan, kebanyakan yang gagal menjawab soalan-soalan berkaitan sejarah dan pengetahuan am ini adalah mereka berusia di bawah 30 tahun serta kebanyakannya antara 16 dan 20 tahun.

    Walaupun pelbagai kempen diadakan serta sukatan baru diperkenalkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah namun masalah ini nampaknya terus berlaku.

    Kesimpulan daripada kajian dan soal selidik ini adalah:

    - Remaja masa kini buta sejarah.

    - Remaja masa kini tidak minat mengingati peristiwa lalu.

    - Remaja masa kini tidak peduli soal-soal kenegaraan.

    - Remaja masa kini tidak suka ilmu pengetahuan am.

    - Remaja masa kini ambil mudah patriotisme.

    - Remaja masa kini terlalu memandang ke depan.

    - Remaja masa kini tidak dipupuk penghayatan, sebaliknya menghafal sejarah.

    /hwa: utusan.com.my/

    Halau Melayu secara terancang?

    UM - 29/10/10

    PULAU PINANG 28 Okt. - Trend kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil-alih tanah didiami orang Melayu khususnya di bahagian pulau atas alasan kegunaan awam dibimbangi sebagai strategi untuk menghalau mereka secara terancang.

    Setiausaha Kelab Warisan Malaysia (Keris) Pulau Pinang, Azman Hassan berkata, beliau khuatir tanah yang diambil itu nanti dijual kepada pemaju untuk dibangunkan dengan projek berharga jutaan ringgit.

    Menurutnya, senario tersebut boleh dilihat sejak kebelakangan ini yang mana banyak pemaju semakin berani mengambil tanah-tanah milik rakyat khususnya yang didiami orang Melayu untuk dibangunkan.

    "Adalah menjadi kebimbangan strategi pengambilan tanah atas alasan kegunaan awam atau pendidikan, tetapi akhirnya tanah tersebut dijual kepada pemaju perumahan dan dibangunkan dengan projek berharga jutaan ringgit pula.

    "Inilah perancangan bagaimana mereka mahu menghalau orang Melayu dari bahagian pulau," katanya dalam kenyataan yang dikirimkan kepada Utusan Malaysia menerusi e-mel di sini hari ini.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-16 baru-baru ini, wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad membangkitkan isu tindakan kerajaan negeri yang semakin melampau apabila membuka kawasan yang selama ini dipertahankan daripada dibangunkan.

    Muhamad Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong mahu Kerajaan Pusat memandang serius perkara itu dengan menghalang kegiatan 'membuka' kawasan-kawasan yang dahulunya digazetkan untuk tujuan tertentu.

    Antaranya pengambilan tanah di beberapa kawasan seluas kira-kira 40 hektar di Balik Pulau untuk pembinaan sebuah universiti dari Singapura.

    Selain itu, pembelian tanah-tanah orang Melayu di Seberang Perai dan Kepala Batas dengan keluasan kecil tetapi di banyak tempat.

    "Lihat saja di Kepala Batas di mana pemaju swasta membina projek perumahan dalam skala kecil, kurang 40 buah.

    "Sudah tentu kawasan perumahan tersebut tidak memerlukan padang permainan, dewan orang ramai dan tiada tapak untuk surau.

    "Rumah pula berharga RM300,000 ke atas dan sering diutamakan pembeli bukan Melayu," kata Azman.

    Justeru, beliau menasihatkan orang Melayu supaya tidak gelap mata dengan umpanan wang ringgit yang banyak sehingga tanah sendiri tergadai dan dihalau.

    Beliau menambah, para pemimpin juga diharap dapat memberi kesedaran kepada orang Melayu khususnya di kampung-kampung supaya tidak menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda jahat.

    /hwa: utusan.com.my/

    Termakan janji manis DAP

    UM - 28/10/10

    PULAU PINANG 28 Okt. - Akibat termakan janji-janji manis Kerajaan DAP Pulau Pinang, penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini akhirnya terpaksa menanggung kerugian.

    Mereka sebelum ini dijanjikan pangsapuri kos sederhana sebagai pampasan berikutan rumah masing-masing diambil oleh pemaju untuk projek pembangunan, namun apa yang diberikan hanya kediaman bertaraf kos rendah.

    Lebih dikesalkan, jelas Pengerusi Persatuan Penduduk kampung berkenaan, Mohd. Khir Mohd. Said, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang membuat janji tersebut secara lisan hanya berdiam diri dan mengelak apabila mahu ditemui.

    Beliau menambah, ternyata Guan Eng hanya pandai membuat janji-janji dan tidak bersungguh-sungguh mahu membantu orang Melayu.

    "Beberapa hari sebelum bulan puasa lalu, dia (Guan Eng) jumpa kami dan berjanji untuk membela nasib semua penduduk kampung ini.

    "Dia minta kami supaya tidak risau dan mahu kami menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang bulan mulia itu.

    "Namun, itu semua hanyalah janji palsu dia," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

    Pada 1 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen di sini memutuskan menolak untuk melanjutkan tempoh penangguhan pelaksanaan arahan pengosongan dan merobohkan rumah penduduk Kampung Jalan Pokok Asam oleh pemaju.

    Mereka diarah keluar dari kediaman masing-masing selewat-lewatnya semalam dan pemaju dengan kebenaran mahkamah berhak menghalau penduduk terbabit selepas tarikh tersebut.

    Difahamkan, kampung berkenaan yang berusia kira-kira 100 tahun akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 sebuah oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

    Mohd. Khir memberitahu, walaupun tidak bersetuju dengan tawaran tersebut, semua penduduk terbabit terpaksa menandatangani perjanjian dengan pemaju sebagai persetujuan menerima pampasan kerana tidak mahu menanggung sebarang kerugian.

    Menurutnya, dalam perjanjian itu, mereka diberikan pampasan berupa kediaman bersaiz 60 meter persegi dalam radius lima kilometer dari kampung berkenaan yang dijadualkan siap selama tiga tahun.

    "Kami juga diarah mencari rumah sewa dalam tempoh 30 hari selepas menandatangani perjanjian dan diberikan RM500 sebulan untuk bayaran sewa," jelasnya.

    Bagaimanapun, katanya, terdapat lima buah rumah tidak bernombor tidak ditawarkan pampasan oleh pemaju seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri.

    "Dalam setiap rumah tersebut terdapat sekurang-kurangnya dua kelamin dan mereka boleh dihalau keluar oleh pemaju pada bila-bila masa," ujarnya.

    Beliau berkata, pihaknya juga telah mengemukakan rayuan mengenai nasib para penghuni rumah tidak bernombor itu kepada kerajaan negeri tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas.

    /hwa: utusan.com.my/

    Pemuda Pas diminta disiplinkan ahli

    UM - 28/10/10

    GUA MUSANG 28 Okt. - Dewan Pemuda Pas diminta supaya mendisiplinkan ahli-ahlinya agar mereka tidak bertindak agresif ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sepertimana kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) di Kampung Lembaga semalam.

    Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan tersebut seolah-olah mencerminkan Pas begitu terdesak kerana tiada isu yang hendak diketengahkan dalam pilihan raya kecil itu.

    Beliau berkata, tindakan tersebut telah mencetuskan ketegangan dan mengganggu gugat keharmonian penduduk setempat.

    "Jika Pemuda UMNO boleh mengawal disiplin ahlinya, kenapa Pas tidak boleh perkara yang serupa? Adalah diingatkan suasana di sini tidak sama di tempat lain.

    "Saya berharap agar pasukan keselamatan dan Ketua Pemuda Pas dapat memantau perbuatan sebegini agar tidak berulang lagi, jangan ia menjadi keruh," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan orang ramai di Stesen Keretapi Gua Musang di sini hari ini.

    Khairy berkata, sebelum ini, beliau melihat jurang permusuhan antara Pas dan BN di Galas amat kecil berbanding di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

    Katanya, ia dapat dilihat apabila mereka boleh duduk semeja di kedai kopi bersembang seperti tiada perbalahan, walaupun berlainan fahaman politik.

    "Sepanjang pemerhatian saya sejak Ahad lalu, mereka ini (petugas BN dan Pas) mesra antara satu sama lain dan ini tidak boleh dinafi oleh mana-mana pihak,'' jelasnya.

    "Hanya dua hari lalu perubahan ini berlaku, apabila Pemuda Pas dipercayai dari luar Gua Musang tiba ke kawasan ini, dan mula bertindak 'nakal' dengan cuba menimbulkan suasana tegang," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahari Abdullah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

    "Bukan untuk kes ini sahaja malah sejak Selasa lalu kita tidak terima sebarang laporan berhubung mana-mana kejadian dalam tempoh berkempen untuk pilihan raya kecil ini.

    "Kami berharap perkara ini berterusan sehingga hari mengundi pada 4 November nanti dan menjadi kempen terbersih serta hormat antara satu sama lain dalam pilihan raya kali ini," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Shafie bidas sikap ahli Pas Kelantan

    UM - 28/10/10

    GUA MUSANG 28 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan dibidas kerana mempertikaikan sumbangan Kerajaan Pusat kepada masyarakat Orang Asli sedangkan mereka sendiri tidak memberi sebarang bantuan.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebagai kerajaan negeri, Pas sepatutnya membantu golongan itu supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

    Beliau berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Pusat selama ini sewajarnya dibantu oleh kerajaan negeri bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

    "Kerajaan Pas Kelantan pertikaikan apa yang kita beri tetapi apa yang dia buat untuk masyarakat Orang Asli? Mana ada pertolongan yang diberi malah tanah yang diberikan telah merosakkan bekalan air.

    "Bukan itu sahaja, tindak tanduk mereka ini juga telah merosakkan rundingan kita untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli," katanya kepada pemberita ketika melawat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Balar di sini hari ini.

    Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Pas hanya pandai membuat janji tetapi tidak pernah menunaikannya biarpun rakyat hidup dalam kesusahan.

    "Setiap kali pilihan raya mereka janji untuk beri tanah kepada masyarakat Orang Asli, tetapi sampai hari ini tidak ditunaikan, sekarang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas, mereka janji lagi. Asyik berbohong saja, janji tidak pernah ditunaikan," katanya.

    Menurut beliau, Kerajaan Pusat telah memberi pelbagai bantuan Orang Asli dalam bidang ekonomi serta pendidikan bagi mengubah taraf hidup mereka dan usaha itu diperkukuhkan dengan peruntukan besar kepada JHEOA.

    /hwa: utusan.com.my/

    'PKR, kalau tak terjun laut.., mereka bergaduh'

    UM - 28/10/10

    SANDAKAN 28 Okt. - "Itulah Parti Keadilan Rakyat (PKR), kalau tidak terjun laut.., mereka bergaduh sesama sendiri," sindir Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang juga calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi.

    Sindiran itu ditujukan kepada calon PKR, Ansari Abdullah yang terjatuh ke laut bersama dua yang lain apabila jeti dilalui mereka runtuh selepas pulang berkempen dari Pulau Api-Api semalam dan memperbesarkan insiden tersebut.

    Teck Lee berkata, walaupun bersimpati, namun setiap calon perlu tahu risiko yang bakal dihadapi ketika berkempen tanpa perlu dihebohkan jika berlaku insiden seperti yang menimpa Ansari semalam.

    "Saya pernah pergi ke beberapa pulau sebelum ini, memang saya nampak ada jambatan dan jeti yang sudah usang, begitu juga rumah yang senget, jadi kita kena pandai-pandailah.

    "Saya kasihan (ke atas nasibnya) sebagai sama-sama calon.., tapi macam saya dan jentera SAPP sewaktu berkempen di kawasan Sundang pada tengah malam, kita pandai-pandai jagalah," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan SAPP di Bandar Leila, Batu Sapi dekat sini hari ini.

    Mengulas cabaran Ansari yang mengajaknya dan calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Thau Lin berdebat Ahad ini, Teck Lee berkata, beliau hanya bersedia berdebat berhubung apa juga isu jika cabaran itu dilontarkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    "Siapa Ansari, dia cuma Ketua PKR Cabang Tuaran. Beliau mahu cakap bagi pihak siapa? Saya presiden parti, boleh cakap untuk SAPP.

    "Tapi jika pasal Batu Sapi, orang lain yang ketua cabang PKR di sini. Mungkin Ansari nak cakap pasal jeti?'' kata Teck Lee sinis.

    Dalam pada itu, Teck Lee memanggil sidang akhbar berkenaan bagi mengajak Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berdebat berhubung isu Sabah untuk rakyat Sabah dan hak autonomi negeri itu yang dianggap lapuk oleh BN.

    "Dokumen Perjanjian Malaysia menyatakan hak Sabah namun malangnya ia semakin terhakis dan oleh itu saya ajak Ketua Menteri berdebat Ahad ini di Dewan Hakka sama ada benar isu ini lapuk atau ia isu tertunggak yang masih belum diselesaikan," ujarnya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Ingat Perjanjian 20 Perkara

    UM - 28/10/10

    KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pemimpin semua parti yang ghairah memancing undi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Sabah diingatkan supaya tidak mengkhianati Perjanjian 20 Perkara yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka sepatutnya memahami sejarah dan menghayati maksud perjanjian itu yang menyaksikan rakyat Sabah bersetuju untuk menyertai Malaysia menerusi pungutan suara.

    Justeru beliau menegaskan, kementerian bersedia untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana ahli politik atau pihak berkepentingan yang cuba merombak perjanjian itu serta menggugat keselamatan Sabah seperti diperuntukkan dalam undang-undang negara.

    "Saya fikir kalau mereka bersedia untuk membayar harga yang mahal dan membangkitkan perkara ini sebagai galang-gantinya, saya fikir mereka harus lebih berhati-hati dalam memancing undi.

    "Saya harap perkara ini tidak diulangi, berkempen dengan cara yang baik, gunakan isu-isu yang tidak sensitif dan jangan sentuh perkara-perkara yang telah mendapat persetujuan bersama," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat Diraja Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

    Ahmad Zahid mengulas pendekatan kempen Parti Maju Sabah (SAPP) yang memperjuangkan konsep Sabah untuk Sabah dan autonomi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi yang sedang berlangsung.

    Kelmarin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, konsep SAPP itu tidak lagi relevan kerana semua rakyat termasuk di negeri berkenaan kini hidup dalam keadaan aman dan harmoni di bawah Malaysia.

    Dalam perkembangan lain Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan Thailand sepakat untuk mengeratkan lagi hubungan ketenteraan di antara kedua-dua negara terutama dalam hal keselamatan di sepanjang sempadan.

    Bagaimanapun katanya, Malaysia sentiasa menghormati Thailand dengan berikrar untuk tidak mencampuri urusan politiknya termasuk perkembangan di selatan negara itu.

    /hwa: utusan.com.my/

    Slogan SAPP negatif

    UM - 28/10/10

    SANDAKAN 28 Okt. - Slogan 'Sabah untuk Sabah' yang dilaungkan Parti Maju Sabah (SAPP) tidak akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, sebaliknya membawa kesan negatif.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, justeru seluruh rakyat Sabah diminta tidak terpengaruh dengan permainan politik parti itu.

    "Kalau Sabah untuk Sabah susah kita kerana kalau kita luar daripada Barisan Nasional (BN) kita tidak dapat apa-apa (peruntukan yang besar).

    "Slogan Teck Lee Sabah untuk Sabah, bolehkan dia bangunkan sekolah sendiri, bangunkan hospital sendiri, ini kerja kerajaan Pusat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program 'Mengkoperasikan Rakyat Wilayah Sandakan' di sini hari ini.

    Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan menteri-menteri Kabinet Sabah.

    Menurut Musa, hubungan parti komponen BN yang baik dengan kerajaan Pusat menyebabkan segala permintaan Sabah diberi perhatian yang besar.

    Dalam pada itu, Musa berkata, tindakan Teck Lee menggunakan isu autonomi hanyalah kerana kepentingan politik semata-mata.

    Katanya, tindakan Presiden SAPP itu yang membangkitkan isu pemilikan tanah juga amat menghairankan kerana semasa Teck Lee menjadi Ketua Menteri begitu banyak tanah rizab diberikan kepada pihak luar.

    "Apabila dia jadi Ketua Menteri tidak pernah dia cakap autonomi tetapi bila tidak jadi Ketua Menteri macam-macam, yang dia mahu hanya jadi Ketua Menteri sahaja," ujarnya.

    /hwa: utusan.com.my/

    PRU ke-13 akan pengaruhi persekitaran ekonomi

    UM - 28/10/10

    KUALA LUMPUR 28 Okt. - Persekitaran ekonomi negara pada tahun depan akan lebih dipengaruhi oleh persediaan kerajaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

    Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Asset Management Bhd. (MIDF Amanah), Scott Lim berkata, ini dapat dilihat dalam beberapa keputusan berkaitan ekonomi semasa dan juga pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini.

    Katanya, mungkin beberapa keputusan yang menarik berkaitan perniagaan bakal diumumkan kelak dalam usaha pemerintah mengekalkan kuasa termasuk penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

    "Ekonomi negara juga akan terus berkembang dipengaruhi situasi ekonomi global ketika ini yang menggambarkan peningkatan prestasi negara-negara Asia seperti peningkatan perdagangan sesama negara Asia.

    Beliau berkata demikian selepas membentangkan pandangannya tentang jangkaan ekonomi negara dalam seminar anjuran MIDF Amanah di sini hari ini.

    Seminar yang sama akan turut diadakan di beberapa lokasi lain dalam negara mulai esok iaitu di Pulau Pinang, Kuching (11 November) dan Kota Kinabalu (15 November).

    Jelas Lim, walaupun Bajet 2011 tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang wujud ketika ini seperti kemiskinan dan kekurangan tenaga pakar tetapi terdapat usaha yang dilakukan untuk menanganinya.

    Katanya, perancangan kerajaan bagi menyediakan pelbagai infrastruktur tidak merugikan kerana ia menggalakkan ekonomi.

    "Apa yang harus ditekankan ialah ketelusan dalam membuat keputusan kerana ia lebih mempengaruhi keberkesanan terhadap pelbagai dasar ekonomi yang dirancang," ujarnya.

    Pada masa sama, beliau berpandangan, setiap pelabur yang ingin mencari peluang keuntungan perlu mempelbagaikan pelaburan mereka termasuk melabur di dalam dan luar negara.

    /hwa: utusan.com.my/

    25 Oktober 2010

    Perhimpunan Agung UMNO 2010

    PRESIDEN UMNO Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mencuba kamera video semasa melawat pusat operasi media Astro Awani pada Perhimpunan Agung 2010 di Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC), 23 Okt. 2010. - Utusan/ASREKUZAIREY SALIM

    10 kementerian, 4 jabatan capai tahap cemerlang dalam pengurusan kewangan 2009: Audit Negara

    Bernama - 2010/10/25

    KUALA LUMPUR: 10 kementerian dan empat jabatan mencapai tahap cemerlang dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperolehi 90 markah ke atas berbanding dengan hanya empat kementerian dan dua jabatan pada tahun sebelumnya.

    Laporan Ketua Audit Negara 2009, yang dikeluarkan hari ini, berkata kementerian yang dinilai cemerlang ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

    Kementerian lain ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

    Jabatan yang mendapat markah cemerlang pula ialah Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

    Sementara itu, 15 kementerian dinilai sebagai baik dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperoleh markah antara 80 dan 89, manakala 36 jabatan/agensi memperoleh antara 70 dan 89 markah.

    Tiga jabatan memperoleh tahap memuaskan dalam pengurusan kewangan dengan markah antara 60 dan 70 bagi tahun 2009.

    Pada keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian dan jabatan bagi 2009 bertambah baik berbanding 2008, kata laporan itu.

    Semakan Audit selanjutnya terhadap 25 kementerian mendapati secara umumnya, tiga daripada enam kawalan utama berada pada tahap cemerlang iaitu Kawalan Pengurusan, Perbelanjaan dan Terimaan manakala Kawalan Bajet, Pengurusan dan Akaun Amanah/ Kumpulan Wang Amanah dan Deposit serta Pengurusan Aset dan Stor didapati pada tahap baik.

    Bagi 44 Jabatan pula, lima kawalan utama kecuali Pengurusan Aset dan Stor mendapat tahap baik. Pengurusan Aset dan Stor hanya mencapai tahap memuaskan.

    Laporan Audit itu turut mengesyorkan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan termasuk Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan mengambil tindakan "corrective dan preventive" (membetulkan dan mencegah) terhadap kelemahan yang dibangkitkan Jabatan Audit Negara dan mempertingkatkan penglibatan pegawai pengawal dan ketua jabatan secara "hands-on" dalam perkara ini.

    Ia juga mengesyorkan tindakan surcaj atau tatatertib dikenakan terhadap mereka yang gagal memungut hasil atau membuat bayaran yang tidak teratur. - BERNAMA

    /hwa: bharian.com.my/

    Abdul Aziz Anggap Pemilihannya Bukan Anugerah Tetapi Tanggungjawab

    Bernama - 24 Oktober, 2010 18:44 PM


    Abdul Aziz Yusoff, 49, adalah calon BN pada pilihanraya kecil DUN Galas, Kelantan. Foto: Zahari Razak
    GUA MUSANG, 24 Okt (Bernama) -- Setiausaha Umno bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusoff menganggap pemilihannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bukan anugerah sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

    Abdul Aziz, 49, berkata beliau tidak akan mampu membawa kemenangan kepada BN jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

    Justeru beliau mengharapkan semua pihak agar redha dengan pemilihannya dan berkerjasama bagi merampas kembali kerusi DUN itu.

    "Saya redha dengan ketetapan ini (terpilih sebagai calon) dan saya harap semua pihak juga redha.

    "Tetapi saya bukan faktor utama untuk mencapai kemenangan, saya memerlukan sokongan daripada semua," katanya ketika berucap selepas diumum sebagai calon kerusi DUN Galas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.

    Abdul Aziz, dari Kampung Bertam Baru di sini juga berharap tunjuk ajar Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan membantunya dalam kempen pilihan raya kecil itu.

    Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta anggota Umno dan BN bersatu hati dalam memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

    "Kita mahu kemenangan besar, bagilah sokongan bulat kepada calon yang dipilih," katanya.

    Beliau berkata pilihan raya kecil itu perlu dijadikan sebagai titik permulaan untuk mengubah negeri Kelantan untuk masa depan yang lebih baik.

    /hwa: utusan.com.my/

    Dua Calon Dekat Di Hati Rakyat Bertarung Di Galas

    Bernama - 24 Oktober, 2010 22:23 PM

    Oleh Mohd Razman Abdullah

    GUA MUSANG, 24 Okt (Bernama) -- Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menyaksikan pertarungan dua calon yang dekat di hati rakyat serta berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Gua Musang.

    Barisan Nasional (BN) memilih Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi Menteri Kewangan.

    Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, perlu melepaskan jawatannya dalam Kesedar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

    Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh di sini, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

    Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Abdul Aziz sebagai muka baru yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno.

    PAS pula meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku Yang Dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil 4 Nov itu.

    Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

    Dr Zulkefli merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang.

    Berbeza dengan calon BN, beliau adalah muka lama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali, iaitu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, namun tewas di tangan Tengku Razaleigh.

    Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinan kukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkan Ketua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317 undi.

    Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

    /hwa: bernama.com.my/

    PKR, DAP tidak boleh kibarkan bendera ketika kempen di Galas

    Bernama - 2010/10/25

    GUA MUSANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak dibenarkan mengibarkan bendera parti masing-masing ketika proses pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas.

    Timbalan Setiausaha (Operasi) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Noordin Che Ngah, berkata pihaknya hanya membenarkan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu sahaja mengibarkan simbol parti masing-masing.

    "Barisan Nasional (BN) dibenarkan mengibarkan simbol parti-parti komponen mereka kerana BN berdaftar dengan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia.

    "PKR dan DAP, biarpun mendakwa sebagai pakatan pembangkang, mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Maka PKR dan DAP tidak boleh mengibarkan simbol parti masing-masing, kecuali PAS," katanya selepas taklimat pilihan raya kecil DUN Galas kepada media di sini hari ini.

    Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lalu.

    Semalam, BN mengumumkan Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff, sebagai calonnya manakala PAS pula menamakan pengamal perubatan yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad untuk mewakili parti itu.

    Noordin berkata, SPR akan mengambil tindakan menurunkan bendera bendera atau bahan kempen yang merujuk simbol parti tidak bertanding.
    Sehubungan itu, beliau mahu semua parti bertanding mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah.

    Mengulas sama ada SPR akan mengambil tindakan terhadap invidivu yang mengibarkan simbol parti tidak bertanding dalam kawasan rumah mereka, Noordin berkata, sukar untuk pihaknya mengambil tindakan jika mereka meletakkannya di rumah masing-masing. - BERNAMA

    /hwa: bharian.com.my/

    Wanita UMNO guna pendekatan sederhana, ikhlas pikat pengundi Galas

    Bernama - 2010/10/25

    SHAH ALAM: Pergerakan Wanita UMNO akan mengamalkan pendekatan serba sederhana dan ikhlas bagi memikat hati pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kata Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

    Beliau berkata, jentera pergerakan itu sudahpun membuat persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 4 November ini dan akan mengetengahkan jentera yang kuat bagi menjalankan gerak kerja parti di kawasan itu.

    "Wanita Umno ikhlas dalam perjuangan dan perjuangan ini adalah untuk jangka masa panjang," katanya pada pada satu persidangan media selepas melancarkan Elaun Bulanan 1Azam di Pejabat Pos Besar dekat sini, hari ini.

    Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS, akibat kanser usus pada 27 September lalu.

    /hwa: bharian.com.my/

    Aziz calon BN DUN Galas

    UM - 25/10/10

    GUA MUSANG 24 Okt. - Bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini.

    Pemilihan Aziz, 49, yang merupakan anak jati Gua Musang, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 2,000 ahli dan pemimpin UMNO serta parti komponen di Bilik Gerakan BN Bukit Cekati dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang ini.

    Antara yang hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Galas yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Muhyiddin berkata, pemilihan Abdul Aziz mendapat persetujuan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah mengadakan perbincangan dan konsultasi di peringkat UMNO bahagian.

    Beliau sehubungan itu berharap, semua jentera parti memberikan sokongan padu kepada Abdul Aziz bagi membolehkan BN merampas kembali kerusi DUN Galas yang terlepas kepada Pas pada Pilihan Raya Umum 2008.

    "Paling penting, kita berpegang teguh kesetiaan kepada parti dan mengetepikan sentimen peribadi dengan mengutamakan kemenangan BN.

    "Saya berharap jentera Pemuda, Wanita dan Puteri turun padang menemui lebih 11,000 pengundi kerana sudah ada yang menunggu sentuhan ajaib BN," katanya berucap pada majlis pengumuman calon tersebut di sini hari ini.

    Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO yakin Abdul Aziz akan mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi Galas bagi membolehkan kerajaan BN membawa lebih banyak kemajuan ke kawasan berkenaan.

    Katanya, Kerajaan Pusat yang diterajui oleh BN lebih berkemampuan untuk melaksanakan rancangan pembangunan besar di Kelantan khususnya di Galas.

    Mengulas dakwaan pembangkang kemenangan BN di Galas kelak tidak akan membawa sebarang makna, Muhyiddin menegaskan, perkara itu mungkin tidak penting kepada Pas, tetapi sebaliknya untuk UMNO kerana ia melibatkan masa depan rakyat yang perlukan pembelaan.

    Beliau sehubungan itu meminta pengundi memilih calon daripada parti yang terbukti boleh dan mampu melaksanakan program pembangunan untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa.

    Mengulas lanjut mengenai keputusan BN untuk bertanding, beliau berkata, ia untuk membolehkan rakyat Galas mendapat pembelaan menerusi calon yang berkaliber, mesra rakyat dan mempunyai latar belakang baik bagi mengisi kekosongan kerusi DUN berkenaan.

    Ia juga sebagai satu sokongan kepada usaha Perdana Menteri dalam membawa transformasi ekonomi kepada negara, katanya.

    Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Muhyiddin berkata, sokongan yang bakal diberikan oleh pengundi kepada Abdul Aziz akan memberi mesej yang kuat kepada rakyat di seluruh negara bahawa mereka mahukan pembangunan yang gagal dilakukan oleh kerajaan Pas.

    /hwa: utusan.com.my/

    Linda Tsen calon BN Batu Sapi

    UM - 25/10/10


    MUSA Aman berganding tangan dengan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Linda Tsen Thau Lin (tengah) ketika sidang akhbar di Sandakan, semalam. Turut sama Joseph Pairin Kitingan (dua, kiri), Presiden Parti LDP, Datuk VK Liew dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.


    SANDAKAN 24 Okt. - Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini.

    Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pemilihan Linda Tsen dibuat berasaskan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu kepada empat anak itu.

    ''Beliau bukan asing di Batu Sapi dan bukan juga asing dalam bidang politik.

    ''Apa yang lebih penting beliau sedia berkhidmat untuk rakyat Batu Sapi sekali gus meneruskan perjuangan mendiang suaminya," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon BN di Hotel Sanbay di sini hari ini.

    Hadir sama Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan timbalannya, Datuk Yee Moh Chai serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.

    Musa yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Batu Sapi memberitahu selain aktif dalam politik sebagai Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura, Linda Tsen juga banyak terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan di daerah ini.

    Menurutnya, pemilihan beliau juga adalah isyarat jelas kerajaan dalam mengiktiraf keupayaan seorang wanita di negeri ini.

    ''Di negara ini telah terbukti ramai wanita yang layak dan mempunyai keupayaan untuk menjadi pemimpin yang baik dan sehebat lelaki," katanya.

    Ditanya sama ada pemilihan Linda Tsen sebagai satu strategi meraih simpati pengundi, Musa berkata, terpulang kepada pengundi untuk membuat tafsiran.

    ''Apa yang penting adalah dia boleh bekerja dan ada pengalaman dalam politik," katanya.

    Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi akan diadakan pada 4 November ini manakala proses penamaan calon akan diadakan pada 26 Oktober di Dewan Masyarakat di sini.

    Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih termasuk pengundi pos.

    Daripada jumlah itu 15,099 orang atau 59 peratus merupakan bumiputera Islam, 9,737 atau 38 peratus Cina, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam dan 57 orang etnik lain.

    Sehingga kini sebanyak tiga parti politik termasuk BN telah mengumumkan calon masing-masing.

    /hwa: utusan.com.my/