30 November 2010

Sultan Selangor kurang senang

UM - 30/11/10


Sultan Sharafuddin Idris Shah


SHAH ALAM 29 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan segelintir pihak yang berhijrah ke negeri ini, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Baginda bertitah, tindakan golongan terbabit mempersoalkan perkara-perkara itu adalah bertunjangkan matlamat supaya sistem Raja Berperlembagaan yang ada sekarang disemak dan dikaji semula.

Titah baginda, golongan berkenaan juga telah mengemukakan alasan yang amat tidak tepat untuk merasionalkan matlamat itu kononnya negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian.

"Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan 'Melayu' yang ada pada ungkapan 'Raja-Raja Melayu' hendaklah dihapuskan.

"Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka," titah baginda sewaktu berangkat ke majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-65 itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan kanan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa sedih dengan generasi Melayu sekarang yang malu untuk mengakui diri sebagai seorang Melayu.

Justeru baginda melontarkan persoalan adakah mereka tidak mempunyai perasaan bangga dan megah sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan 'Melayu' untuk dikorbankan sehingga lenyap dari dunia ini.

"Cuba kita baca sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris yang mana ada tertulis 'Tanah Melayu', 'Negeri-negeri Melayu Bersekutu' dan juga ada menyebut 'Raja-raja Melayu'.

"Ini menunjukkan penulis-penulis Barat ini mengiktiraf akan adanya Melayu yang memulakan sejarah di negara ini," titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan titahnya itu bukanlah bertujuan menyalakan api perkauman tetapi untuk menyatakan bahawa semua rakyat Selangor mesti berbangga dengan komposisi penduduk pelbagai keturunan di negeri itu.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya memahami sejarah negeri dan negara supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

"Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tumpah darah kita dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan," tegas baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bangga dan sukacita kerana kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah namun pada masa sama menegur rakyat Selangor yang dianggapnya kurang membaca buku berkaitannya.

"Beta dapati rakyat beta kurang minat untuk membaca buku sejarah, dalam erti kata lain, rakyat Selangor ini ramai yang buta sejarah.

"Beta berharap rakyat Selangor dapat mengubah sikap untuk membaca lebih banyak buku sejarah berkenaan negara kita dan jangan membuang masa membaca buku-buku atau majalah-majalah yang hanya mengandungi gosip yang tidak memberi manfaat kepada kita," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Hapus ketuanan Melayu beri implikasi kepada negara dan raja-raja

UM - 30/11/10

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Penghapusan konsep ketuanan Melayu akan membawa implikasi yang besar kepada negara dan kedudukan institusi raja-raja Melayu yang dipertahankan di dalam Perlembagaan Persekutuan

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ini kerana istilah ketuanan Melayu juga berpaksi kepada sejarah bahawa negara ini pernah diperintah oleh raja-raja Melayu yang merupakan tuan kepada Tanah Melayu.

''Justeru menghapuskan ketuanan Melayu juga akan mempunyai implikasi yang besar kepada institusi raja-raja Melayu yang dipertahankan di dalam Perlembagaan,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas ikrar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya semalam.

Sehubungan itu, Zainul Rijal mengingatkan semua pihak supaya memahami konsep ketuanan Melayu dalam perspektif sebenar dan bukan dalam tafsiran demi meraih keuntungan politik.

Katanya, ini kerana konsep itu tidak membawa erti tuan dan oleh itu apabila dikatakan ketuanan Melayu kononnya membawa maksud kekuasaan Melayu dalam konteks sehingga memperhambakan bangsa lain, ia adalah sangat tidak tepat.

Tambahnya, sedangkan istilah itu merujuk kepada perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang menganggap Semenanjung Tanah Melayu sebagai tanah pusaka yang diakui oleh British selain turut dirujuk sebagai kedaulatan serta kaitannya dengan kedudukan raja-raja Melayu.

Sementara itu pada masa sama, Zainul Rijal mengingatkan persaingan yang adil jika mahu diwujudkan perlu berlaku di dalam semua keadaan termasuk dalam sektor swasta dan perniagaan yang dimonopoli oleh bukan Melayu.

Katanya, dalam sektor tersebut, persaingan yang adil tidak berlaku kepada orang Melayu tetapi perkara itu tidakpun diperbesarkan.

Malah beliau menambah, kekayaan negara yang tidak seimbang juga jarang dibincangkan yang mana ia langsung tidak memihak kepada orang Melayu.

Justeru katanya, adalah amat tidak wajar kedudukan istimewa Melayu ini hendak dihapuskan tetapi pelaksanaan soal ini perlu dibuat dengan lebih telus agar semua orang Melayu khususnya di luar bandar yang miskin benar-benar menikmatinya.

''Kemunduran orang Melayu akan menjadi lebih nyata dengan penghapusan keistimewaan orang Melayu ini. Apa yang perlu dilakukan ialah memperbaiki pelaksanaan yang ada, bukan menyanggahnya,'' tegasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Ilmuan Pas wajar tegur

UM - 30/11/10

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Tokoh serta golongan bijak pandai agama dalam parti pembangkang khususnya Pas disaran menasihati kepimpinan di kalangan pakatan itu agar belajar menghormati ayat-ayat suci al-Quran dan bukannya menjadikannya 'bahan mainan.'

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Khazan Che Mat berkata, adalah tidak manis dan tidak wajar sekiranya golongan bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran apatah lagi maksud yang dibaca itu diterjemah secara membuta tuli dan lari daripada maksud sebenar.

Justeru beliau mempersoalkan ke mana perginya para pemimpin agama dan tokoh ulama yang dicanang serta dijulang di kalangan kepimpinan parti pembangkang sehingga peristiwa malang berkenaan terus berlaku.

"Kalau tidak silap saya perkara seumpama ini sudah berlaku sebelum ini namun tidak ada teguran. Mungkin atas alasan itu, (golongan) bukan Islam sesuka hati membaca dan mentafsir ayat al-Quran. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

"Saya percaya jika perkara yang sama dilakukan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN), berapi-rapi kutukan akan menyusul tetapi disebabkan yang menterjemah ayat-ayat suci al-Quran mengikut seleranya itu datang yang daripada kalangan mereka, terus sunyi sepi," katanya.

Beliau berkata demikian seperti dipetik daripada laman UMNO-Online hari ini.

Dalam perbahasannya, Subramanian telah mentafsir ayat 190 dan 191 dari surah Ali-Imran yang tunggang langgang dan keluar daripada konteks sebenar.

Khazan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu seterusnya berkata, kepimpinan agama parti-parti pembangkang selepas ini berkemungkinan akan mencari dalil dan hujah bagi menyokong tindakan berkenaan.

Justeru beliau percaya para pemimpin pembangkang akan menggunakan alasan seperti 'berdakwah' bagi menutup perkara berkenaan sedangkan hakikat yang sebenarnya adalah tidak betul dan tidak sepatutnya berlaku.

"Saya percaya, akan ada pembelaan daripada tokoh agama mereka dalam soal ini. Bagaimanakah mereka yang tidak percaya dengan al-Quran boleh menterjemah ayat-ayat suci itu?

"Janganlah kerana kepentingan politik, perkara yang terang-terangan salah dan mencemarkan kesucian Islam di depan mata tidak dihiraukan. Renung-renungkanlah soal maruah Islam dan bukannya nawaitu (niat) politik semata-mata," katanya.

/hwa: utusan.com.my

Bukan Islam tidak boleh guna ayat al-Quran

UM - 30/11/10

PUTRAJAYA 29 Nov. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu para pemimpin politik bukan Islam tidak sewenang- wenangnya mempergunakan ayat suci al-Quran untuk kepentingan politik mereka.

Tegas beliau, ahli politik bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan ayat suci al- Quran dalam ceramah mereka.

“Perkara itu sama seperti menghina Islam dan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat di negara ini.

“Kita perlu ingat bahawa al- Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam dan ayat suci al- Quran tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) beragama Islam yang sanggup membenarkan seorang perwakilan bukan Islam menghina kesucian al-Quran apabila tafsir yang digunakan tunggang-langgang dan terkeluar daripada konteks sebenar.

Ia terjadi semasa Perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK), K.Subramaniam membahaskan ucapan dasar Presiden pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya semalam apabila dia membaca tafsir daripada ayat 190 dan 191 surah Ali-Imran.

Tindakan beberapa ahli pakatan pembangkang menghina kesucian al-Quran bukan perkara baru di negara ini.

Tahun lepas, dalam satu ceramah politik Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan daripada PKR tanpa segan silu menggunakan ayat suci al-Quran bagi menarik perhatian penyokong parti itu.

Pada 4 April 2009 pula, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis daripada DAP, Nga Kor Ming turut melakukan perbuatan yang sama dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.

Harussani mengingatkan, jika dibiarkan perkara itu berlarutan, ia boleh mencemarkan imej Islam.

/hwa: utusan.com.my/

Guan Eng dicabar dedah nilai tender bumiputera

UM - 30/11/10

BUKIT MERTAJAM 29 Nov. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dicabar mendedahkan secara terperinci nilai tender yang dianugerahkan kepada kontraktor bumiputera dan bukan bumiputera bagi membuktikan kepimpinannya benar-benar telus dalam mengagihkan projek kerajaan negeri.

Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan menegaskan, kenyataan Guan Eng bahawa 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri dimenangi kontraktor bumiputera tidak mencerminkan realiti sebenar pengagihan projek secara adil.

Ini kerana, kata beliau, sebanyak mana pun kontrak yang diterima kontraktor bumiputera, nilainya mungkin jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan habuan kontrak yang diterima kontraktor bukan bumiputera.

''Kalau Guan Eng mahu membuktikan sesuatu dengan menyatakan peratusan besar projek yang diterima kontraktor bumiputera, sila nyatakan sekali nilai projek yang diperolehi supaya orang ramai mendapat gambaran sebenar pengagihan projek yang dibuat.

''Tiada guna mengutarakan peratusan kononnya orang Melayu dapat banyak projek sedangkan nilainya mungkin tidak sebesar mana, perlu juga didedahkan siapa kontraktor bumiputera yang mendapat projek-projek kerajaan negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam kenyataannya kepada portal berita propembangkang Malaysiakini hari ini menyatakan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang menjadi amalan kerajaan negeri terbukti apabila lebih 70 peratus bidaan kontrak di Pulau Pinang berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

Guan Eng dipetik sebagai berkata, UMNO melalui lidahnya, Utusan Malaysia sering menggambarkan beliau sebagai anti-Melayu sedangkan kerajaan negeri pimpinannya memartabatkan usahawan bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-Perolehan.

Mohamed Fadzill yang juga Yang Dipertua PKMM Pulau Pinang berkata, tiada gunanya Guan Eng memberikan statistik dalam bentuk peratus jika ia hanya projek-projek mini kepada kontraktor kelas F yang hampir 100 peratus dimiliki bumiputera.

''Kita sudah nyatakan sebelum ini, kalau Guan Eng ikhlas, kita minta beliau dedahkan nilai serta siapa kontraktor bumiputera yang mendapat projek berkenaan tetapi sehingga hari ini kerajaan negeri tidak dedahkan.

''Kerajaan negeri menggambarkan kontraktor bukan bumiputera memperoleh tender yang sedikit tetapi ia benar dari segi peratusan tapi kita juga mahu tahu nilai projek yang mereka perolehi, barulah kita dapat gambaran sebenar," katanya.

Malah katanya, kontraktor bukan bumiputera juga mendapat faedah daripada projek yang ditawarkan kepada kontraktor Melayu memandangkan pasaran bahan-bahan binaan seperti simen, pasir dan besi didominasi oleh mereka.

/hwa: utusan.com.my/

Kuasa raja: Perkara 66 dicadang dipinda semula

UM - 30/11/10

SHAH ALAM 29 Nov. - Kuasa untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang oleh raja-raja dalam Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini telah dipinda perlu dikembalikan semula bagi memastikan sistem pemerintahan beraja di negara ini dapat dikekalkan.

Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, ini kerana perkara tersebut yang dipinda pada 1983 merupakan satu sistem yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan perlu dikekalkan sebagai kelangsungan survival Melayu sebagai penduduk asal.

Beliau berkata, ia juga merupakan identiti dan lambang bangsa Melayu.

"Jika kuasa itu dikembalikan ia dapat mengimbangi peranan penggubal undang-undang.

"Dengan kembalinya kuasa itu, raja-raja boleh semak dan imbang di situ," katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Sistem Raja Berperlembagaan: Keperluan dan Masa Depan pada Wacana: Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Mohammad Agus, bukan mudah untuk mengembalikan perkara itu kepada yang asal (pinda semula Perkara 66) kerana ia memerlukan undi majoriti dua per tiga Ahli Dewan Rakyat untuk kelulusan.

Kata beliau, untuk mendapat undi majoriti itu juga agak sukar kerana tidak mungkin Ahli Dewan Rakyat bukan Melayu akan menyokong perkara itu.

"Jadi saya rasa hanya raja-raja yang boleh meminta supaya kuasa itu dikembalikan kepada mereka dan saya yakin kalau raja yang minta pasti orang Melayu akan sokong," kata beliau.

/hwa: utusan.com.my/

Tak utamakan pribumi, orang Melayu perlu tinggalkan PKR

UM - 30/11/10

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Orang Melayu harus meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu kini tidak lagi mengutamakan kaum pribumi itu setelah menolak terang-terangan ketuanan Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sepatutnya PKR tidak lari daripada tanggungjawab memperjuangkan kuasa politik teratas dan terkuat menerusi formula politik ikut bilangan.

Malah, tegas beliau, apatah lagi orang Melayu mewakili 60 peratus komposisi penduduk negara ini sekali gus bermakna keutamaan dan keteguhan politiknya semestinya menjadi idaman setiap orang.

"Jadi, apabila mana-mana individu seperti Presiden PKR (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) tidak lagi berminat dengan kuasa Melayu menerusi politik, maka orang Melayu perlu segera tinggalkan parti itu.

"Dengan PKR tidak lagi berminat dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu serta kuasa raja-raja Melayu yang mempunyai kedaulatan dan keteguhan di bawah Perlembagaan Persekutuan, jadi apa perlu lagi ditunggu oleh orang Melayu dalam PKR," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais berkata, dengan perakuan dan ketegasan kedua-dua pemimpin PKR itu yang memperlekehkan ketuanan Melayu, ia sekali gus bermakna PKR tidak lagi relevan untuk orang Melayu.

Sementara itu, Timba-lan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, hasrat PKR untuk menghapuskan konsep ketuanan Melayu hanya menunjukkan parti itu juga tidak mampu mempertahankan hak-hak kaum itu seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Katanya, kebanyakan perkara yang termaktub dalam perlembagaan adalah untuk menjaga, melindungi kepentingan serta masa depan orang Melayu termasuk kuasa-kuasa raja Melayu.

''PKR faham perkara itu tetapi buat-buat tak faham. Ini kerana ketuanan Melayu bukan bermaksud Melayu menjadi tuan sebaliknya ia merujuk kepada raja-raja Melayu iaitu sampai bila-bila mengikut Perlembagaan, kedudukan sultan tidak boleh ditukar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan Wan Azizah adalah sangat jahil tentang kedudukan 'ketuanan Melayu' di dalam landskap perlembagaan negara.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hanya kerana terlalu 'kemaruk politik', Presiden PKR itu sanggup melancarkan propaganda politik yang menolak sama sekali teras perlembagaan negara selama ini.

''Kita tidaklah terlalu terperanjat, kerana dengan kedudukan PKR yang menjadi 'punca kelemahan' Pakatan Rakyat; parti tersebut memerlukan suatu propaganda yang lebih berkesan dan mampu menarik perhatian masyarakat,'' katanya.

Sehubungan itu, Reezal Merican mengingatkan Azmin bahawa 'perang' yang bakal Timbalan Presiden PKR tersebut jayakan bagi menentang 'ketuanan Melayu' akan disambut oleh Pemuda UMNO seluruh Negara.

/hwa: utusan.com.my/

Lagi pertikai Anwar 'anugerah Tuhan'

UM - 30/11/10

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pihak yang menggelar dan mempertahankan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anugerah Tuhan' layak digelar orang kurang siuman.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, orang Melayu yang waras tidak akan sesekali menggadaikan maruah bangsa daripada dikorbankan semata-mata untuk meraih kepentingan politik.

Menurutnya, kenyataan yang diucapkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail seperti sudah kehabisan modal hingga perlu memuji suami sendiri di depan khalayak ramai.

"Wan Azizah ini seperti pemimpin boneka yang tidak tahu apa yang dia cakap sehingga perlu memuji suami untuk mengembalikan keyakinan ahli PKR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhammad Zahid mengulas kenyataan Dr. Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar bagi merasmikan Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh yang menyifatkan Anwar sebagai 'anugerah Tuhan' bagi memimpin rakyat negara ini.

Menurut Dr. Wan Azizah, suaminya ialah seorang insan hebat yang bersifat amanah, tegas serta berani dan kewibawaannya terserlah sejak zaman remaja lagi.

Tambah Muhammad Zahid lagi, Anwar memang mengharapkan perwakilan memuji beliau untuk menunjukkan di mata ahli PKR bahawa beliau masih mempunyai sokongan teguh daripada akar umbi.

"Walaupun Wan Azizah tahu perangai buruk suaminya, dia tetap mahu menyokong kerana takut imej suaminya akan terus jatuh," ujarnya.

Sementara itu, bekas pemimpin PKR, Ruslan Kassim berkata, kenyataan Presiden PKR itu ibarat pihak yang terdesak kerana menyedari ramai ahlinya telah bertindak keluar parti.

"Ucapan Wan Azizah seperti cuba menegakkan benang yang basah kerana orang sudah tahu perkara sebenar dan tidak akan terus terpedaya lagi," jelasnya.

Menurutnya, PKR sedang menghadapi nilai krisis yang teruk dan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal menamatkan riwayat parti itu.

"Parti itu sekarang menghadapi masalah kepimpinan serta krisis keyakinan daripada ahli parti dan boleh dikatakan riwayat PKR sudah seperti nyawa-nyawa ikan," katanya.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula menyelar kenyataan Dr. Wan Azizah itu kerana berpandangan ia merupakan satu tindakan jahat ahli politik berkenaan yang bertujuan memecahbelah perpaduan dan semangat setiakawan seperti amalan pemimpin terdahulu.

"Kenyataan Datin Seri Dr. Wan Azizah menentang ketuanan Melayu secara terang-terangnya merupakan satu penghinaan yang besar terhadap raja-raja Melayu dan orang Melayu.

"JMM mengingatkan beliau supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana beliau juga pernah merasai nikmat hasil daripada ketuanan Melayu dengan diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran melalui kemudahan yang diterima," tegasnya.

Justeru katanya, JMM menyifatkan kenyataan Dr. Wan Azizah seiringan dengan tindakan Anwar yang sengaja menjalankan agenda provokasi isu-isu sensitif dengan menyentuh hal berkenaan kaum untuk memecahbelahkan perpaduan serta keharmonian negara.

/hwa: utusan.com.my/

28 November 2010

Benarkah Wujud "Kumpulan Empat Orang", PKR Ditanya Perwakilan

Bernama - 28 November, 2010 13:35 PM

PETALING JAYA, 28 Nov (Bernama) -- Seorang perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan sekiranya benar wujud "Kumpulan Empat" dalam parti itu yang boleh melemahkan parti.

Perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Abdul Hamid mengutarakan hal itu ketika membahaskan Usul Pemberdayaan Demokrasi pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-7 yang berakhir di sini Ahad.

Ahmad Nizam, yang juga Ketua Cabang PKR Temerloh, bimbang usaha "membersihkan parti" yang pernah disebut oleh pemimpin-pemimpin PKR sebelum ini akan memungkinkan wujudnya kumpulan seumpama itu.

"Kebimbangan saya dalam soal pembersihan ini juga, apakah sudah ada 'Kumpulan Empat' dalam parti kita ini sehingga sanggup mengeluarkan tindakan-tindakan sebegitu rupa. Jika ada 'Kumpulan Empat' ini, tunggu dan lihat, parti ini akan longgar sendi-sendinya," katanya.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Azman Abidin pula mencadangkan pucuk pimpinan menaikkan bayaran deposit untuk bertanding jawatan ketua cabang daripada RM20 kepada sekurang-kurang RM1,000.

Beliau turut mencadangkan supaya syarat untuk calon bertanding ketua cabang diperketatkan pada masa akan datang untuk mengurangkan jumlah mereka yang bertanding sehingga menyukarkan anggota untuk memilih.

Perwakilan Melaka, Mahani Maspan pula menggesa pucuk pimpinan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang melakukan kekecohan dengan mengadakan demonstrasi.

"Saya mintalah presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tidak mengambil mereka ini (mereka yang protes) menduduki jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP)."

Beliau juga menggesa pimpinan PKR tidak memandang remeh pada mereka yang secara terang-terangan mengkhianati parti.

"Mereka yang terang-terang masuk muka di surat khabar dengan orang yang nak tubuhkan parti baru, jelas terang-terangan dia menyokong. Ini perlu dipandang serius," katanya.

Beliau bagaimana pun tidak mendedahkan maksud "orang yang nak tubuh parti baru".

Perwakilan dari Angkatan Muda Keadilan (AMK), Erveana Ansari Abdullah pula mendesak pucuk pimpinan memecat mereka yang mengeluarkan kenyataan memburukkan pimpinan parti dan yang secara jelas melanggar perlembagaan parti.

/hwa: bernama.com.my/

Kunjungan Dr Sheikh Yusof Islam

DATUK Seri Najib Razak bersama Dr Sheikh Yusof Islam (tengah) yang dulunya dikenali sebagai Cat Stevens, dan isteri, Fauzia Mubarak Ali (kiri) ketika menerima kunjungan pendakwah Islam itu di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. Yusof yang dalam perjalanan ke Melbourne, Australia, singgah di Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. - Foto BERNAMA. Nov 26, 2010 8:07 pm

Mood Untuk Ke Putrajaya Semakin Lesu, Kata Perwakilan PKR

Bernama - 27 November, 2010 19:44 PM

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Seorang perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berkata mood di kalangan sesetengah anggota PKR untuk berjuang menawan Putrajaya sudah semakin lesu.

"Rakyat yang masih memasang angan-angan untuk melihat dan yakin kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sekarang ni mereka semua sudah menolak politik harapan," kata perwakilan Perak, Zulkifli Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa merasmikan Kongres Nasional Ketujuh parti itu di sini.

Zulkifli berkata kini sudah ada di kalangan anggota parti yang mempertikaikan apa bezanya kerajaan pakatan pembangkang yang memerintah sesebuah negeri dengan Kerajaan Pusat yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

"Ketua Umum (Anwar Ibrahim) dan kerajaan negeri kita bercakap pasal reform... nak reform itu dan ini, tapi pada hakikatnya parti sendiri gagal untuk direformasikan," katanya.

Zulkifli juga menuntut supaya para pemimpin parti memberi jawapan terhadap persoalan anggota parti mengenai perjalanan pilihan raya parti yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Beliau ingin para pemimpin menjawab sama ada JPP diberi kuasa penuh untuk melaksanakan pemilihan dan sama ada ia bersih, adil dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kita mengkritik kelemahan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang tidak adil dan tidak telus dan sepatutnya kita menjadi contoh menjalankan pilihan raya dengan adil," katanya.

Zulkifli berkata untuk kelangsungan hidup parti, Ketua Umum dan Presiden perlu menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh beliau yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak.

Masalah-masalah ini perlu diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin baru dan mereka juga diingatkan supaya jangan melupakan peringkat akar umbi yang menyokong mereka kerana tempoh tiga tahun perkhidmatan itu bukannya lama.

Beliau berkata sejak 12 tahun PKR ditubuhkan, para pemimpin khususnya wakil-wakil rakyat parti itu, jarang melawat anggota yang di bawah, kecuali jika dijemput dan kadang-kadang panggilan telefon pun tidak berjawab.

Sementara itu, Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail ketika membahaskan usul yang sama, menggesa agar anggota parti agar tidak menggunakan media massa sebagai medium untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pemimpin parti.

/hwa: bernama.com.my/

103 ahli, pemimpin PAS keluar parti

BM - 28/11/10

PASIR PUTEH: Seramai 103 ahli dan penyokong PAS cawangan Wakaf Bunut, di sini diketuai bekas ketuanya, Mohd Soleh Mat Hassan, 66, dan bekas setiausaha cawangan, Nordin Daud, 48, yang juga bekas Ketua Penerangan PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, keluar parti itu dan menyertai UMNO.

Nordin berkata, mereka meninggalkan PAS kerana menyedari perjuangan parti itu selama ini hanya sia-sia dan paling menyedihkan ia kini ke arah menghakis kuasa pada orang Melayu dan pada masa sama hanya pandai menabur janji tetapi tidak menunaikannya selepas diberi mandat oleh rakyat.

Beliau mengetuai kumpulan berkenaan menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman pada satu majlis, di sini malam kelmarin yang turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO bahagian, Rujhan Salleh dan Ketua Wanita, Karimah Mohd Noor.

Nordin yang menyertai PAS pada 1990 selepas bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mendakwa sepanjang dalam PAS termasuk ketika diberi tugas penting di kawasan Pasir Puteh khususnya Selising, beliau mendapati banyak berlaku perkara tidak betul dalam pentadbiran parti walaupun diberi peluang mentadbir negeri selama 20 tahun.

Mohd Soleh pula yang mengetuai PAS cawangan Wakaf Bunut selama 20 tahun, mendakwa disingkirkan selepas kemenangan PAS pada pilihan raya umum lalu tanpa alasan kukuh lalu mengambil keputusan menyertai UMNO tanpa sebarang paksaan atau imbuhan sebaliknya percaya hanya UMNO mampu membela nasib Islam dan orang Melayu di negara ini.

/hwa: bharian.com.my/

Hapuskan Ketuanan Melayu: Wan Azizah

BM - 28/11.10

Presiden PKR dakwa slogan diguna perdaya bangsa

PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu konsep Ketuanan Melayu dihapuskan yang menurutnya supaya anak-anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu Bermaruah’.

Isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau sebagai seorang Melayu beragama Islam yakin bahawa tidak akan ada satu bangsa pun akan menjadi agung dan dihormati hanya apabila menggelar diri sendiri sebagai ‘tuan’.

Sambil mendakwa Ketuanan Melayu adalah slogan digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu bagi kepentingan sendiri, beliau berkata: “Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan Bumiputera masih tetap terabai. Orang Melayu dan Bumiputera sedang mengalami nasib hidup sangat menyedihkan.

“Mereka dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan”.

Berucap menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini semalam, Dr Wan Azizah berkata, Anwar yang juga Penasihat PKR adalah ‘insan hebat yang memang dianugerahkan Tuhan kepada kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat’.

“Jika beliau insan biasa seperti kita, (Anwar) sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlaku,” katanya.

Beliau turut mengajak ahli PKR bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum sambil menyifatkan kongres kali ini mungkin yang terakhir sebelum tiba hari pengundian bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

“Kita berkumpul pada hari ini dalam kongres yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13... kalau desas-desus (pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh terdekat) yang kuat bertiup itu benar,” katanya.

/hwa: bharian.com.my/

Hampir pengsan bil hospital RM23,000

BM - 28/11/10

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my

Kakitangan swasta kecewa tak dimaklum caj melebihi jumlah maksimum ditanggung insurans

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan swasta dari Kluang, Johor, hampir pengsan apabila melihat bil perubatannya mencecah RM23,000 selepas 12 hari dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Batu Pahat kerana batuk selama dua minggu.

Roslan Husin, 46, mendakwa pakar di hospital swasta itu bagaimanapun gagal mengesan punca penyakitnya sejak dia ditahan di wad hospital itu 4 Febuari tahun lalu, selain mendakwa caj ubat dikenakan berjumlah RM9,852 mahal dan melampau.

Lebih menyedihkan, dia mendakwa kakitangan pusat perubatan swasta itu hanya memberitahu kos perubatannya melebihi jumlah maksimum perlindungan insuransnya iaitu RM15,000 selepas 11 hari ditahan di wad.

“Saya terkejut, marah dan hampir pengsan apabila diberitahu bil perubatan saya melebihi RM15,000 yang ditanggung syarikat insurans. Saya persoalkan kenapa hanya diberitahu selepas ia lebih daripada jumlah itu, kenapa tak beritahu awal,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Roslan berkata, dia pergi ke hospital swasta setelah dinasihatkan oleh doktor klinik panel syarikatnya kerana mereka gagal mengesan punca batuk dialaminya.

“Mereka periksa saya macam biasa, tidak buat apa-apa kecuali membuat imbasan x-ray dan masukkan wayar dalam hidung. Pakar di situ kata saya menghidap asma tetapi saya tak percaya, saya cuma batuk-batuk. Kemudian mereka datang dan beritahu bil perubatan saya mencecah RM23,000 menyebabkan saya terkejut,” katanya.

Dia tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan namun, pihak hospital yang gagal mengesan punca penyakit tetap memintanya tinggal di wad selama dua hari lagi.

“Saya tolak permintaan mereka menyebabkan doktor pusat perubatan pakar itu menulis surat untuk merujuk saya ke Hospital Kluang, tetapi doktor hospital kerajaan beritahu pada saya, kalau pakar pun tidak dapat kesan apa punca penyakit saya, tak guna untuk saya dimasukkan ke hospital kerajaan,” katanya.

Katanya, selepas keluar dari hospital swasta itu dia mencuba kaedah perubatan tradisional dan penyakitnya kini sembuh.

Isnin lalu, Berita Harian melaporkan 26 peratus daripada individu yang gagal membayar balik pinjaman bank dan kad kredit kerana menanggung beban hutang membiayai kos perubatan tinggi di hospital swasta.

/hwa: bharian.com.my/

‘Kuasa ketiga’ lahir daripada krisis PKR

MM - 28/11/10

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kemunculan pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘kuasa ketiga’ sehingga menimbulkan kebimbangan pakatan pembangkang adalah berpunca daripada krisis keyakinan yang serius di kalangan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini beliau tidak dapat membuat penilaian sama ada kewujudan kumpulan itu akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) kerana ia bergantung kepada keadaan.

“Situasi dalam PKR menjurus kepada satu keadaan di mana krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti itu.

“Sebab itu mereka menjadi kumpulan yang memilih untuk keluar PKR sama ada menjadi ‘kuasa ketiga’ atau masuk parti (bekas calon Timbalan Presiden PKR) Datuk Zaid Ibrahim atau masuk UMNO,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2010 (MAHA 2010) di sini hari ini.

Semalam Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali sewaktu berucap merasmikan Kongres Nasional Ketujuh Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR memberi amaran kewujudan kumpulan ‘kuasa ketiga’ itu boleh menyukarkan pakatan pembangkang menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

Syed Husin berkata, kumpulan berkenaan sebaliknya akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

/hwa: utusan.com.my/

Kos bina pondok rehat tidak masuk akal

MM - 28/11/10

KLANG 27 Nov. – Dua pihak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Exco Selangor, Ronnie Liu dan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Wendy Wong berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan dataran di Kompleks Sukan Pandamaran di sini.

Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) dan Pemuda MCA Klang membuat laporan itu selepas mendapati pembinaan dua pondok rehat di kompleks berkenaan menelan belanja tidak munasabah iaitu RM110,000.

Presiden PKIM, A. Prakash berkata, selain pondok rehat, laporan itu turut dibuat ekoran pembinaan tiga unit tandas lelaki, tiga unit tandas wanita dan satu unit tandas orang kurang upaya (OKU) yang melibatkan kos RM400,000.

“Kami kesal apabila Wendy dan Ronnie memberitahu sebelum ini bahawa mereka tidak tahu mengenai projek tersebut termasuklah jumlahnya sedangkan projek pembinaan pondok rehat dan tandas itu telah dibawa dalam mesyuarat penuh MPK September lalu.

“Paling menghairankan kami bagaimana Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran dan Ahli Majlis MPK boleh meluluskan projek berkenaan. Ia sesuatu yang tidak logik,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan kepada SPRM di sini.

Pada masa sama, Prakash turut menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal memantau projek itu yang menggunakan wang rakyat dengan jumlah besar.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr. Ching Eu Boon yang turut membuat laporan mengenai penyelewengan tersebut, menegaskan pihaknya menyokong projek naik taraf kompleks sukan di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau membantah pembinaan pondok rehat bernilai RM55,000 sebuah kerana kosnya tidak masuk akal.

/hwa: utusan.com.my/

PKR semakin hilang sokongan – Khairy

MM - 28/11/10

JOHOR BAHRU 27 Nov. – Kehadiran tidak sampai 10 peratus ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR di Petaling Jaya semalam membuktikan parti itu semakin hilang sokongan dan dilanda krisis kepimpinan yang serius.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, situasi itu menimbulkan persoalan dari segi moral apabila barisan kepimpinan yang dipilih itu tidak mewakili suara majoriti ahli.

“Bagaimana rakyat boleh anggap PKR sebagai sebuah parti yang serius jika Timbalan dan Naib Presiden serta barisan kepimpinan tertinggi parti dipilih dengan satu bilangan ahli yang begitu kecil iaitu hanya sembilan peratus dan tidak sampai 10 peratus.

“Sekiranya kepimpinan dipilih daripada sembilan peratus keahlian, maksudnya siapa yang dipilih adalah tidak sah dari segi moral. Jadi bagaimana kita nak letakkan kewibawaan moral kepada kepimpinan PKR kalau yang keluar mengundi tidak sampai 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Khatan Perdana anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Tebrau di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Masai 2, Pasir Gudang di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my/

Pas tak perlu apologetik perjuang Islam

MM - 28/11/10

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, parti itu tidak perlu apologetik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang didokongnya seperti pelaksanaan syariah Islamiah di negara ini.

Selain itu katanya, beliau juga tidak bersetuju Pas menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita-cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi.

“Ini kerana kelak kita akan dilihat berpura-pura (hipokrit). Kita memperjuangkan Islam dengan pakej asal yang tulen daripada Rasullullah SAW.

“Tiada pakej kedua atau ketiga sekalipun untuk berdepan dengan usaha meraih sokongan dan undi bukan Islam.

“Pakej perjuangan kita telah siap dan kekal iaitu al-Quran dan ia dibaca oleh seluruh umat manusia sejak 1400 tahun lalu tanpa sembunyi dan perlu disepikan lagi,” tegasnya.

Beliau menegaskan demikian dalam blognya episod sebuah perjuangan.

Nasrudin turut mengingatkan, kempen baru Pas dalam musim atau di luar musim pilihan raya mestilah tidak lagi menggunakan kaedah lama yang hanya membuat ahli sendiri berasa seronok sementara orang- orang atas pagar dan mereka yang berada di seberang pagar akan lari malahan tersinggung dengan cara parti itu.

“Sedangkan kempen adalah untuk mendekatkan orang kepada kita. Kaedah lama seperti perkataan kasar penuh emosi yang dilontarkan mungkin berbalas takbir yang bergema daripada kalangan sendiri tetapi ia menambah liar hati orang ramai kepada perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata, Islam yang diperjuangkan oleh Pas adalah agama yang sesuai dan relevan sepanjang zaman.

“Biarpun al-Quran diturunkan lebih 1400 tahun lalu namun prinsip, kaedah, iktibar, nasihat, hukum dan isu yang dibawa masih segar dan hidup.

“(Oleh itu) selama mana perjuangan ini berlandaskan kaedah dan hikmah al-Quran maka selama itulah perjuangan ini terus segar, baru, sesuai sepanjang zaman,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Kongres PKR terus ‘dihiasi’ demonstrasi

MM - 28/11/10

PETALING JAYA 27 Nov. – Hari kedua Kongres Tahunan Ketujuh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini terus dicemari dengan siri demonstrasi dan kekecohan oleh hampir 100 individu yang tidak berpuas hati dengan pemilihan parti yang berakhir baru-baru ini.

Demonstrasi itu berlangsung semasa sebahagian perwakilan memasuki Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini ketika Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail membentangkan laporannya kira-kira pukul 9 pagi.

Pada mulanya demonstrasi itu diadakan secara aman dengan kumpulan yang diketuai oleh bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan membawa beberapa sepanduk yang mengkritik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta proses pemilihan yang baru berlalu kerana didakwa berlaku banyak penipuan.

Keadaan bertukar kecoh apabila sekumpulan anggota keselamatan PKR yang memakai baju T berwarna kelabu dengan tulisan ‘SKUAD’ di belakang mereka cuba menghentikan demonstrasi aman itu.

Memburukkan keadaan, pasukan itu turut mengugut para pemberita yang mereka tidak akan dibenarkan masuk ke dalam dewan bagi mengikuti kongres PKR jika meneruskan liputan ke atas kumpulan Kottapan.

Pertengkaran kecil turut berlaku di antara anggota pasukan itu dengan seorang petugas Agenda Daily, Helme Hanafi, 31, sehingga mereka cuba merampas kad perakuan media miliknya, namun berjaya ditepis.

Kottapan yang ditemui selepas demonstrasi itu berkata, beliau terkilan dengan kejadian tersebut kerana undang-undang PKR sebenarnya membenarkan ahli-ahli parti melangsungkan demonstrasi aman demi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Namun dakwanya, pasukan yang didalangi oleh kumpulan pengikut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. A. Xavier Jayakumar bertindak melampaui batas dengan menghalau mereka.

/hwa: utusan.com.my/

25 November 2010

Usah percaya perjuangan yang terpesong: Muhyiddin

Bernama - 2010/11/25

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini meminta generasi muda supaya tidak membiarkan diri mereka terikat dengan kumpulan yang berkepentingan tersendiri walaupun kumpulan itu membawa ideologi atau perjuangan yang indah bunyinya.

Berucap merasmikan seminar Pemimpin Muda Malaysia di Parlimen di sini hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemimpin muda seharusnya tidak mudah terpedaya untuk mempercayai perjuangan yang telah dipesongkan kebenarannya.

"Kebelakangan ini Malaysia menyaksikan beberapa isu yang disensasikan dan dipolitikkan di mana kebenarannya boleh dipertikaikan. Isu berkaitan agama, undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hubungan kaum dan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang menjadi perkara mutlak yang hangat dibincangkan dan secara tidak langsung membawa kepada keadaan hubungan tidak baik antara kaum dan boleh mencetuskan ketidaktenteraman.

"Pemimpin muda jangan biarkan diri anda dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Muhyiddin berkata, pemimpin muda sebaliknya hendaklah menggerakkan tenaga mereka ke arah mencadangkan jalan penyelesaian isu relevan yang boleh menjana negara ke arah Malaysia maju.

"Pemimpin muda hendaklah bertindak dengan cara yang progresif dan bercirikan sikap yang betul di mana mereka dapat meluahkan potensi yang setimpal untuk kemajuan ekonomi, sosial, politik, agama, pelajaran dan sebagainya serta menggunakan tenaga dan hasrat murni dalam membina negara," katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk generasi muda dalam memastikan negara ini mempunyai modal insan yang berintegriti.

"Kerajaan telah melandaskan sebuah sistem demokrasi untuk diwarisi, maka generasi muda pada hari inilah yang bertanggungjawab untuk kesinambungan generasi akan datang," katanya.

Justeru, Muhyiddin mahu pemimpin muda pada hari ini untuk menyahut cabaran dan mengambil peluang untuk menjadikan diri mereka dan negara maju ke tahap yang lebih tinggi dan terus berbangga dengan kejayaan yang dicapai.

Muhyiddin berkata, kerajaan memang mengambil berat tentang pembangunan generasi muda di mana pada masa kini, terdapat kira-kira 11.9 juta golongan belia berusia 15 hingga 40 tahun.

"Oleh itu pengiktirafan kerajaan kepada golongan muda ini adalah penting supaya mereka dapat memberikan sumbangan secara positif dan menjadi teras kepada pembangunan negara.

"Anda semua adalah orang penting yang bertindak sebagai penaksir, moderator dan ejen dalam mencapai standard modal insan yang berfikiran positif selari dengan kemajuan dunia.

"Adalah menjadi harapan kita semua pemimpin pelajar muda seperti anda dapat terus memikirkan apa yang dikira sebagai rasional dan objektif dan tidak mudah dipengarusi oleh sebarang unsur luaran negatif," katanya.

Seminar sehari bertemakan "Pemimpin Muda Malaysia-Membina Rasa Kebersamaan" itu dianjurkan Jabatan Parlimen bertujuan memasyarakatkan pemimpin pelajar dengan pemahaman mengenai asas negara Malaysia di mana Parlimen adalah sebuah badan yang mempertahankan demokrasi untuk seluruh rakyat amnya dan negara khususnya. - BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

Kerajaan perkenal 10 pendekatan model baru ekonomi luar bandar

Bernama - 2010/11/25

BANGI: Sebanyak 10 pendekatan strategik dengan 17 inisiatif ekonomi di bawah Model Baru Ekonomi Luar Bandar (MBELB) dikenal pasti untuk dipergiatkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pendekatan itu akan menjadi landasan ke arah perubahan lanskap ekonomi luar bandar serta bagi mewujudkan masyarakat luar bandar yang berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, antara pendekatan strategi itu ialah menggalakkan pengurusan dan pengendalian aktiviti ekonomi desa secara kreatif dan inovatif.

"Sesungguhnya pendekatan kepada produktiviti dan inovasi dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi luar bandar perlu dilaksanakan di setiap rantaian nilai perniagaan yang meliputi peringkat asas seperti penanaman, pemprosesan, pelabelan, pengedaran dan pemasaran," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian dalam ucapan pada majlis Anugerah Ilham Desa Peringkat Zon 2010 di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Mohd Shafie berkata, aktiviti ekonomi yang dilaksanakan melalui pendekatan itu bakal memberi impak yang berupaya mengurangkan kos serta penjimatan daripada segi masa dan tenaga selain dapat meningkatkan kualiti produk dan kepuasan kepada pengguna.

Namun, katanya, bagi mencapai objektif yang digariskan dalam MBELB, ia memerlukan kepada pengembelingan kekuatan sumber ekonomi luar bandar secara menyeluruh, berorientasikan pasaran dan diselaraskan secara bersepadu bersama agensi kerajaan dan swasta.

"Terdapat juga beberapa isu dan cabaran yang telah dikenal pasti yang perlu difikirkan dan ditangani secara bersama bagi memastikan pembangunan ini mencapai matlamatnya," katanya.

Beliau berkata, antara isu dan cabaran itu ialah tahap penggunaan aplikasi dan inovasi di luar bandar di samping bagi mengurangkan kos dan meningkatkan hasil pengeluaran, masih rendah.

Selain itu, katanya, ekonomi luar bandar khususnya saiz pemilikan tanah yang kecil dan tidak ekonomik untuk kegiatan ekonomi secara komersial.

Beliau berkata, oleh kerana pentingnya inovasi sebagai sebahagian agenda utama pembangunan negara, pihaknya perlu bekerja keras untuk memajukan inovasi dalam pembangunan luar bandar.

"Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan agar Unit Inovasi yang sedia ada di kementerian diperluaskan skop fungsinya meliputi tanggungjawab membangun dan memantau pelaksanaan inovasi bagi program, projek dan aktiviti kementerian serta agensi di bawahnya.

"Dengan demikian, saya percaya pelaksanaan program ilham desa dan lain-lain program pembangunan sosio-ekonomi desa akan dapat dimantapkan," katanya.

Pada majlis itu, johan bagi Zon Utara ialah Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah; Kampung Terusan Ulu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (Zon Tengah/Selatan); Kampung Telok Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu (Zon Timur); Kampung Lubuk Temiang, Labuan (Zon Sabah/Wilayah Persekutuan Labuan) dan Kampung Long Tuma, Lawas, Sarawak (Zon Sarawak). - BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

‘Anwar jangan sama dirinya Suu Kyi’

UM - 25/11/10

Oleh SAFINA RAMLI, utusankedah@utusan.com.my

KUBANG PASU 24 Nov. – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menyamakan dirinya dengan pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana di negara ini beliau bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja tanpa sebarang sekatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Anwar tidak sepatutnya mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bahawa nasibnya sama dengan Suu Kyi.

“Macam mana Anwar kata dia macam Suu Kyi sedangkan dia bebas ke sana-sini adakan ceramah politik. Orang ramai boleh nilai perkara ini sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah.

Anwar baru-baru ini dilaporkan mengadakan ceramah di luar negara dan mendakwa negara ini tidak mengamalkan demokrasi serta menyamakan dirinya seperti Suu Kyi.

Hishammuddin berkata, Anwar cuba meletakkan dirinya sebagai hero di mata masyarakat negara ini sedangkan perkara sebaliknya berlaku.

“Yang penting ialah siapa yang benar dan ikhlas akan tetap diketahui juga dan pihak kami akan terus menjalankan tugas untuk menjamin keselamatan negara.

“Boleh saya katakan di sini negara kita dalam keadaan yang selamat sekarang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun indeks jenayah di negara ini semakin berkurangan, persepsi masyarakat bahawa mereka masih tidak selamat ketika berada di luar, tetap ada.

“Di kawasan-kawasan panas di mana kita beri tumpuan di bawah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk pastikan kadar jenayah jalanan dan jenayah keseluruhan menurun, kalau pergi ke kawasan-kawasan itu, rakyat akan kata banyak perubahan.

“Tetapi persepsi negatif kadang-kala boleh wujud dengan satu kes sensasi, satu jenayah kejam. Cara pertama nak mengatasinya adalah dengan kerjasama masyarakat, dan kedua, pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Tambahnya, dalam usaha mendapatkan penyertaan masyarakat, Rukun Tetangga dan badan-badan sukarela lain akan digerakkan seperti Rakan Cop yang mana keanggotaan ketika ini mencapai ratusan ribu akan diperhebatkan manakala Ikatan Relawan Rakyat pula akan diberi nilai tambah.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar gagal lagi

UM - 25/11/10

Oleh AMIRUDDIN HARUN, pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah ke atas pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bagaimanapun membenarkan Ketua Pembangkang itu dibekalkan dengan borang protokol perubatan (pro forma) yang disediakan oleh Sheue Feng berhubung butiran perubatan ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Beliau menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah setelah berpendapat bahawa apa yang dilakukan oleh saksi tersebut tidak boleh dikira sebagai campur tangan dalam aspek keadilan mahupun boleh ditahan kerana menghina mahkamah atau disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Peguam bela utama Anwar, Karpal Singh semalam mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dokumen tersebut dan perintah menghina mahkamah terhadap Sheue Feng kerana tindakannya yang merujuk kepada pro forma yang disediakannya itu semasa prosiding berhenti rehat.

Dalam keputusannya, Hakim Mohamad Zabidin menyatakan, beliau bersetuju bahawa mengikut Seksyen 159 Akta Keterangan, perkataan 'semasa dalam pemeriksaan' turut merujuk kepada keadaan sewaktu mahkamah berhenti rehat.

''Ini kerana untuk membuat kesimpulan sebaliknya hanya akan menyebabkan ketidakadilan memandangkan saksi boleh melihat apa sahaja (dokumen) dan ini menafikan hak pihak pembelaan di bawah Seksyen 160 Akta Keterangan.

''Dengan ini, saya membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya pro forma ini dikemukakan dan ditunjukkan kepada mereka mengikut peruntukan Seksyen 159 akta tersebut,'' katanya.

Sheue Feng ketika disoal balas oleh Karpal semalam mengakui merujuk kepada pro forma sewaktu mahkamah ditangguhkan seketika untuk menyegarkan semula ingatannya sedangkan beliau enggan berbuat demikian semasa memberi keterangan di mahkamah walaupun berkali-kali diminta oleh Karpal.

Pro forma merupakan borang yang mengandungi soalan-soalan berkaitan butiran-butiran peribadi dan kejadian yang perlu diisi oleh doktor yang mengendalikan kes-kes kesalahan seksual.

Sheue Feng, 40, merupakan saksi pendakwa ketiga dalam kes liwat yang dihadapi oleh Anwar, 63, terhadap Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Selepas keputusan itu diumumkan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden meminta penjelasan sama ada pro forma sepenuhnya diberikan kepada pihak pembelaan sedangkan saksi itu tidak merujuk keseluruhan dokumen tersebut.

Ujar beliau lagi, tiada soalan ditanya kepada Sheue Feng semasa pemeriksaan balas berkenaan perkara yang dirujuk oleh saksi tersebut.

Hakim Mohamad Zabidin bagaimanapun menyatakan, saksi itu telah mengaku merujuk kepada pro forma tersebut dan dalam apa pun jua keadaan, arahannya adalah supaya dokumen itu dibekalkan kepada pihak pembelaan.

Mohd. Yusof kemudian akur dengan arahan berkenaan dan menyatakan dokumen itu ada pada Sheue Feng apabila Karpal menghendakinya pada masa tersebut.

Bagaimanapun apabila saksi itu dipanggil, mahkamah dimaklumkan bahawa Sheue Feng berada di dalam tandas.

Hakim Mohamad Zabidin kemudian meminta perbicaraan disambung semula tetapi Karpal menegaskan bahawa adalah tidak wajar soal balas saksi diteruskan kerana terdapat permohonan supaya hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes itu.

Mohd. Yusof pula menegaskan bahawa sehingga permohonan rasmi belum dikemukakan, soal balas saksi itu boleh diteruskan.

Karpal kemudian memberitahu Anwar baru sahaja memfailkan notis usul dan afidavit bagi menyokong permohonan tersebut hari ini.

Menurutnya, permohonan itu dikemukakan oleh Anwar dengan alasan hakim berkenaan telah membuat ugutan kepada beliau (Karpal) sehingga menyebabkan anak guamnya bimbang tidak akan memperoleh perbicaraan yang adil.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk mendengar permohonan tersebut.

Sementara itu, dalam afidavitnya, Anwar menyatakan, Karpal telah meminta hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes itu dengan alasan tidak mematuhi keputusan Mahkamah Agung pada 1993 semasa menolak permohonan beliau untuk dibekalkan dengan pro forma, semalam.

Dakwanya, hakim berkenaan telah menjawab bahawa apa yang dinyatakan oleh peguam itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan mahkamah sebelum Karpal menegaskan persoalan tersebut tidak timbul dan membangkitkan bahawa beliau (Anwar) tidak diberikan perbicaraan yang adil.

Berikutan ugutan terhadap peguamnya itu, Anwar mendakwa beliau amat bimbang tidak akan diberikan perbicaraan yang adil mengikut Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

/hwa: utusan.com.my/

16 November 2010

Haji 2010

SEBAHAGIAN daripada 2.5 juta jemaah haji wukuf di Arafah, di selatan Kota Suci Makkah hari ini, iaitu tempat Nabi Muhammad SAW memberi amanat terakhirnya. Selepas itu, jemaah akan pulang ke Mina selepas bermalam di Muzdalifah sebelum melontar batu di Jamrah dan melakukan korban sempena tibanya Hari Raya Aidiladha, esok. - foto AF. Nov 15, 2010 6:47 pm

Semua turun padang

HM - 16/11/10

JERTIH: Program Qurban Perdana Harian Metro yang akan diadakan di Kampung Kubang Bemban dekat sini, terus mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan di daerah Besut.

Bagi membantu komuniti setempat menjalankan persiapan tempat, Pejabat Daerah Besut (PDB), Majlis Daerah Besut (MDB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Besut, turun padang semalam menjalankan kerja gotong-royong membersih kawasan lokasi program.


Pengerusi JKKK, Kampung Kubang Bemban, Zakaria Jusoh berkata, pihaknya bangga dengan pembabitan kakitangan jabatan bersama penduduk dalam persiapan akhir membersih kawasan penyembelihan lembu Qurban.

Menurutnya, ia mungkin sukar bagi penduduk untuk menyiapkan kerja berkenaan kerana ia program terbesar yang akan diadakan akhbar ini bersama penduduk 10 kampung di kawasan itu.


Beliau berkata, kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat disertai empat anggota dari balai Kampung Raja, membantu membersih dewan menggunakan pancutan air dari kenderaan jabatan berkenaan.

/hwa: hmetro.com.my/

Jadikan nasib Zaid sebagai teladan - Zulkifli Noordin

UM - 16/11/10

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Nasib yang menimpa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim perlu dijadikan teladan oleh semua pihak supaya jangan terlalu percaya dengan janji-janji manis Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, 'tragedi' yang menimpa Zaid sejak beliau mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR membuktikan Anwar seorang politikus yang sanggup menghalalkan apa sahaja perkara termasuk menipu.

"Kita jangan lupa inilah orangnya yang apabila ditanya adakah beliau akan mencabar Allahyarham Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO, dia kata 'Pak Ghafar macam ayah saya, takkan saya nak lawan dia'.

"Namun, tidak sampai beberapa hari, dia kumpul semua ahli-ahli UMNO dan umum lawan Tun Ghafar. Kesian Tun Ghafar, terkial-kial dibuatnya," katanya dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com, hari ini.

Beliau mengulas kritikan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin terhadap Anwar walaupun selama ini beliau dikenali sebagai penyokong kuat Penasihat PKR itu sehingga sanggup melemparkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan.

Raja Petra yang kini bersembunyi di London menyifatkan Anwar juga seorang 'kuda trojan' dan pengacau apabila bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1982 walaupun tidak sampai setahun menyertai UMNO sama seperti label yang dilemparkan terhadap Zaid.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli menyeru semua pihak yang selama ini terlalu taksub dengan Anwar supaya kembali ke pangkal jalan kerana keghairahan untuk menawan Putrajaya dibimbangi akan terjadi 'menang sorak kampung tergadai'.

"Janganlah kerana seronok nak ke Putrajaya, akhirnya prinsip perjuangan dicampak dalam jamban (tandas) sahaja, kembalilah kepada perjuangan Islam, tanggalkan segala jubah kemungkaran dan maksiat politik yang sedang menyelimuti kamu," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

UMNO tidak terdesak berbaik dengan Pas

UM - 16/11/10

KUALA LUMPUR 15 Nov. - UMNO bukannya terlalu lemah dan terdesak hingga terpaksa bergantung kepada Pas bagi menjadi wadah terbaik meneruskan survival Melayu dan agama Islam di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, UMNO yang menjadi parti teras kekuatan Barisan Nasional (BN) masih relevan dan terbukti berjaya membawa banyak perubahan kepada bangsa, agama dan rakyat pelbagai kaum.

Sebaliknya, tegas beliau, Pas merupakan parti tidak berprinsip yang jauh tersasar daripada perjuangan Islam, sekali gus menafikan tanggapan bahawa ia parti terbesar orang Melayu kerana sanggup menjadi 'kuda politik' DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Mengajak Pas menyertai UMNO pada masa sekarang seperti mengesahkan parti ini takut menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Apakah kerana kita takut maka kita terpaksa berbaik dengan Pas?, pada saya UMNO tidak wajar berbuat demikian kerana kita masih kuat dan mampu kekal sebagai peneraju kerajaan BN," katanya dalam blognya, umnobahagiancheras.blogspot.com.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang mengajak Pas menyertai UMNO.

Tegas Syed Ali, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini dengan sifat angkuhnya menentang keras perpaduan orang Melayu UMNO dengan Pas.

"Pemimpin Pas termasuk Nik Aziz lebih rela menjadi alat kepada DAP daripada berbaik dengan UMNO, jadi tidak ada faedahnya perkara itu dibangkitkan semula.

"Malah, Menteri Besar Kelantan itu secara jelas telah menyelewengkan perjuangan sebenar Pas sehingga umat Islam di negara ini berpecah. UMNO sesekali tidak perlu mengulangi mengajak Pas menyertai UMNO kerana perbuatan itu hanya sia-sia," katanya.

Selain itu, tambah Syed Ali, terdapat beberapa faktor yang mewajarkan Pas ditolak daripada dipelawa menyertai UMNO, antaranya:

l Pas merupakan parti perosak umat Islam kerana sanggup menjadi tali barut DAP dan PKR dengan memperalatkan agama demi agenda politik.

l Pemimpin Pas telah melabelkan pelbagai gelaran kepada ahli-ahli UMNO termasuk sebagai kafir dan tidak akan masuk syurga.

/hwa: utusan.com.my/

Dedahkan 'wajah' sebenar Anwar

UM - 16/11/10

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pas dicabar supaya menerima pelawaan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pemimpin parti itu bagi mendedahkan 'wajah' sebenar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd. Nazmi Rosli berkata, sebagai sebuah parti Islam, Pas perlu bersikap adil dengan mendengar daripada semua pihak mengenai sikap Anwar dan tidak lena dibuai 'lagu' yang dinyanyikan Ketua Pembangkang itu sahaja.

"Penipuan Anwar telah banyak didedahkan oleh bekas ahli PKR seperti Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, namun pimpinan Pas hanya memekakkan telinga dan membutakan mata.

"Inilah peluang untuk pimpinan Pas yang selama ini menjulang Anwar sebagai 'bos besar' mereka untuk mendengar penjelasan Nallakaruppan yang merupakan bekas rakan karib Anwar selama 30 tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nallakaruppan semalam yang beliau malu apabila melihat pucuk pimpinan Pas masih taksub kepada Anwar walaupun pelbagai tembelang Ketua Pembangkang itu telah terdedah.

Sehubungan itu, bekas rakan karib Anwar itu bersedia untuk bertemu pemimpin Pas jika mereka berminat untuk mengetahui 'wajah' sebenar Ketua Pembangkang tersebut.

Mohd. Nazmi berkata, pimpinan Pas seharusnya menghormati pelawaan itu berikutan Nallakaruppan menyebut bahawa pertemuan tersebut adalah sebagai dasar hormat kepada Pas yang dianggotai oleh orang alim.

"Secara peribadi saya berpendapat maruah Pas tercabar apabila Nallakaruppan melahirkan rasa malu beliau kerana pimpinan parti itu yang dipimpin oleh alim ulama boleh taksub dengan Anwar sedangkan mereka (Pas) tidak pernah tahu kelakuan Anwar yang sebenar.

"Pimpinan Pas harus memberi peluang kepada diri mereka untuk mendengar kisah benar yang banyak disimpan oleh Nallakaruppan seterusnya tidak lagi taksub kepada Ketua Pembangkang itu," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Dahulukan Rakyat' slogan baru UMNO

UM - 16/11/10

KOTA TINGGI 15 Nov. - 'Dahulukan Rakyat' dipilih sebagai slogan baru UMNO bagi menggantikan 'Dulu, Kini dan Selamanya' supaya relevan dengan suasana dan perkembangan semasa negara.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, slogan 'Dulu, Kini dan Selamanya' yang diguna pakai sejak sekian lama kini akan menjadi sejarah selepas pemilihan slogan baru itu.

Menurutnya, slogan 'Dahulukan Rakyat' dianggap lebih menjurus kepada membina asas perjuangan dan kekuatan parti bagi perjuangan akan datang.

"Slogan tersebut adalah tema yang paling sesuai seperti model transformasi yang telah dinyatakan oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Peti Undi Parlimen Pengerang di Dewan Serbaguna Felda Semenchu, dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan timbalannya, Datuk Harun Abdullah.

/hwa: utusan.com.my/

Pas nafi tanggapan terlalu taksub

UM - 16/11/10

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pas menafikan sekeras-kerasnya tanggapan sesetengah pihak bahawa pucuk pimpinan parti itu terlalu taksub kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pelbagai tembelang beliau sudah pecah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu tidak pernah mengajar ahlinya untuk taksub kepada sesiapa pun.

"Pimpinan Pas tidak pernah taksub dan tidak pernah ajar pengikutnya taksub pada sesiapa. Pas ada cara untuk menangani sesuatu isu, kita tidak perlu pakai resipi orang lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mustafa diminta mengulas kenyataan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan perasaan malunya apabila melihat pucuk pimpinan Pas masih taksub kepada Anwar.

Beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar bersedia untuk bertemu pemimpin Pas jika mereka berminat untuk mengetahui 'wajah' sebenar pemimpin itu.

Selain itu, Nallakaruppan juga menyatakan kesediaannya bertemu pemimpin DAP untuk tujuan sama demi menegakkan kebenaran.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw ketika diminta reaksinya mengenai kesediaan Nallakaruppan itu sekadar mengucapkan terima kasih.

Jelas beliau, pemilihan Anwar sebagai pemimpin pakatan pembangkang dibuat berdasarkan pelbagai faktor pro dan kontra yang diambil kira oleh semua pihak dalam pakatan itu.

/hwa: utusan.com.my/

15 November 2010

MB Kedah halang media

AHLI-AHLI Dewan Undangan Negeri Kedah dari Barisan Nasional menemui para wartawan yang dihalang daripada membuat liputan perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri penggal ketiga oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di luar Wisma Darul Aman, Alor Setar, 14 Nov. - Utusan/HALIM KHALID

Puteri Bantu Mangsa Banjir

KETUA Puteri UMNO Bahagian Pandan, Zahida Zarik Khan (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir, Hasful Marlina Hassan sambil diperhatikan oleh Ketua Puteri UMNO Perlis, Asmaiza Ahmad (kanan) pada program penyerahan bantuan Puteri UMNO Bahagian Pandan kepada mangsa-mangsa banjir, di Masjid Kampung Lomboh, Arau, 14 Nov. - Utusan

Aktiviti sampingan dekati penduduk

HM - 15/11/10

BESUT: Pelbagai aktiviti sampingan diadakan oleh penduduk di kawasan Peti Undi Kampung Kubang Bemban, di sini, sebagai usaha mendekati komuniti setempat dalam program Qurban Harian Metro 2010 sempena sambutan 20 tahun akhbar itu.

Jawatankuasa Penyelaras Tabika Kemas Kampung Gong Mat Som, tidak ketinggalan mengadakan program dengan menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada kanak-kanak di kelas kampung itu, kelmarin.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Yusof Mohamad berkata, seramai 30 murid tabika berkenaan diraikan sempena sambutan majlis itu selain menghebahkan program kepada penduduk kampung terbabit.

Selain Kampung Gong Mat Som, sembilan lagi kampung di kawasan Peti Undi Kubang Bemban terbabit bagi menjayakan program julung kali membabitkan 12 lembu sumbangan Harian Metro dan Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).


Yusof berkata, penduduk kampung itu yang ditugaskan mengawal keselamatan sempena program itu sudah bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab diamanahkan pihak penganjur.


“JKKK sudah memaklumkan kepada semua penduduk dan komuniti setempat mengenai program itu dan berharap kehadiran mereka dapat memeriahkan lagi majlis,” katanya pada majlis meraikan kanak-kanak Tabika Kemas kampung itu kelmarin.

/hwa: hmetro.com.my/

UMNO Selangor desak Abdul Khalid letak jawatan

UM - 15/11/10

PETALING JAYA 14 Nov. – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Selangor berikutan kegagalannya untuk memantau pembaziran yang dilakukan oleh pengurusan badan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Abdul Khalid tidak layak memimpin yayasan itu kerana beliau hanya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk melakukan apa sahaja tanpa perlu memaklumkan kepadanya.

‘‘Abdul Khalid telah memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa beliau tidak diberitahu mengenai majlis sambutan ulang tahun ini dan kos yang terbabit.

‘‘Kami amat kesal dengan kenyataan seperti ini. Beginikah cara kita mentadbir sebuah yayasan kerajaan negeri apabila menyerahkan kepada pegawai hendak buat apa yang mereka suka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-58 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Bahagian Selangor di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud memaklumkan Sultan Sharafuddin telah membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Isnin ini kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya yang melebihi RM300,000.

Menurut Ramli, Sultan Selangor menyifatkan kos yang amat tinggi itu sebagai pembaziran dan berpendapat wang itu lebih berfaedah jika digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan golongan kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Noh berkata, beliau turut kesal dengan kebiadapan Abdul Khalid yang merujuk Sultan Sharafuddin dengan ganti nama ‘beliau’ pada satu sidang akhbar semalam dan ia telah disiarkan menerusi Buletin Utama TV3, malam tadi.

‘‘Kita telah diajar di sekolah supaya menggunakan perkataan patik bagi merujuk kepada diri sendiri dan memanggil sultan dengan ganti nama baginda atau tuanku. Apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid jelas sekali bertentangan dengan budaya Melayu.

‘‘Inilah akibatnya apabila Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terlampau asyik berkawan dengan DAP sehingga lupa adat budaya kaum kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh tetap mempertahankan kenyataannya semalam bahawa kos sebenar penganjuran majlis sambutan ulang tahun itu adalah melebihi RM800,000.

‘‘Saya difahamkan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki semalam telah membuat penafian dengan menyatakan bahawa kos penganjuran hanya RM285,000, jadi kita akan serahkan bukti kepada pihak yang akan melakukan audit terhadap pengurusan dan kewangan yayasan ini.

/hwa: utusan.com.my/

Gagasan Melayu Perak sifatkan DAP 'penakut'

UM - 15/11/10

IPOH 14 Nov. - Gagasan Melayu Perak (GMP) menyifatkan DAP 'penakut' kerana menentang cadangan untuk menjadikan 13 Mei sebagai tarikh memperingati salah satu daripada peristiwa bersejarah di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, DAP tidak perlu memberi pelbagai alasan untuk menggagalkan hasrat tersebut jika mereka berani berhadapan dengan kebenaran.

''Saya tidak melihat mengapa DAP dan beberapa pemimpin parti politik lain menentang pelajaran Sejarah diwajibkan atau memperingati hari sedemikian (13 Mei) selain mereka takut jika fakta sejarah ini diketahui oleh rakyat," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini menuduh cadangan kolumnis Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menerusi ruangan Cuit supaya tarikh berdarah itu disambut sebagai 'Hari Muhibah' setiap tahun kononnya bertujuan menghasut dan berbaur perkauman.

Khamis lalu, Kit Siang semasa sidang Dewan Rakyat dipetik sebagai berkata: ''Bukankah ini satu hasutan dan sangat berbahaya? Adakah ia satu tajuk berita yang perlu dikaji oleh Jawatankuasa Sensitiviti? Bolehkah ada satu sikap yang serius untuk mengutuk laporan seperti ini."

Semalam, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dalam blognya berkata, tindakan DAP itu mudah difahami kerana parti tersebut tahu siapa yang sebenarnya memulakan provokasi melampau terhadap orang Melayu sehingga mencetuskan pergaduhan berdarah 13 Mei.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan 'Hari Mahabbah' (Hari Kasih Sayang) bagi mendidik generasi sekarang dan seterusnya agar sentiasa mengingati tarikh tersebut demi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, Singapura meraikan 21 Julai sebagai 'Hari Harmoni Kaum' dalam usaha republik itu memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum dan agama pada 21 Julai 1964 ketika orang Melayu sedang menyambut Maulidur Rasul.

Hal yang sama turut dilakukan Jepun yang meraikan 6 dan 9 Ogos sebagai 'Hari Keamanan' bagi memperingati peristiwa pembunuhan pada 1945 apabila Amerika Syarikat meletupkan dua bom atom di bandar Hiroshima dan Nagasaki.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Hilmi, pemimpin DAP cuba menyembunyikan sejarah sebenar kerana mungkin mereka takut dibayangi kesilapan lalu.

''Jika sejarah hitam 13 Mei ini terbongkar bahawa siapa yang bertanggungjawab, mungkin ada pihak-pihak tertentu tidak senang," katanya.

Mohd. Hilmi berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut dengan sebaik mungkin kerana beliau yakin, majoriti rakyat akan menyokong segala usaha yang membawa kebaikan kepada negara.

''Kita tak boleh sembunyikan sejarah hitam. Apabila diketahui, diinsafi sudah tentu kita tidak mahu mengulangi sebaliknya akan menjadikan ia pengajaran dan akan terus mengambil ingatan.

''Ini sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian negara," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Nallakarupan sedia bertemu Pas, DAP

UM - 15/11/10

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Datuk S. Nallakaruppan berkata, beliau malu apabila melihat pucuk pimpinan Pas masih taksub kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pelbagai tembelang Ketua Pembangkang itu telah terdedah.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar bersedia untuk bertemu pemimpin Pas jika mereka berminat untuk mengetahui wajah sebenar pemimpin itu.

Katanya, cadangan pertemuan itu adalah atas dasar hormat kepada Pas yang disifatkannya sebagai sebuah parti yang dianggotai orang alim.

"Pada bila-bila masa dan di mana sahaja saya bersedia untuk bertemu pemimpin Pas bagi mendedahkan wajah sebenar Anwar dan kenapa dia terlalu sayang kepada Azmin sehingga boleh menjejaskan masa depan pakatan pembangkang sendiri.

"Saya malu bila tengok pemimpin Pas yang alim boleh terpengaruh dengan Anwar dan saya tidak kisah mereka tidak mahu menerima pandangan saya selepas pertemuan kelak asalkan saya telah melunaskan tanggungjawab untuk menyatakan kebenaran.

"Hasrat ini adalah kerana saya amat menghormati pemimpin Pas dan sebagai bukti sehingga hari ini saya tidak pernah membuat kenyataan mempertikaikan mereka," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nallakarupan berkata beliau juga bersedia untuk bertemu pemimpin DAP untuk tujuan yang sama demi menegakkan kebenaran.

"Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah berkongsi sel yang sama di Penjara Kajang, pada masa itu kami banyak bertukar pandangan.

"Sebagai seorang rakan, saya menasihatkan Guan Eng supaya berfikir masak-masak sebelum meneruskan kerjasama dengan Anwar, saya khuatir DAP yang tanggung padah dengan permainan politik licik Anwar," katanya.

/hwa: utusan.com.my/