31 Januari 2010

Nik Aziz berucap 10 minit kerana uzur

Utusan - 31/01/10
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hadir berucap pada himpunan bersama Menteri Besar Kelantan di sini hari ini, terpaksa memendekkan ucapannya berikutan keadaannya yang uzur.
Beliau yang berucap kira-kira pukul 10.50 malam ini di Dewan Serbaguna, Taman Seri Keramat AU2, hanya sempat menyampaikan ucapannya kira-kira 10 minit sebelum memaklumkan kepada kira-kira 3,000 hadirin yang hadir bahawa beliau tidak sihat.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, beliau berdoa semoga pintu hati pimpinan UMNO dibuka oleh Allah untuk memberikan royalti minyak kepada Kelantan.
Menurutnya, tindakan pemimpin Kerajaan Pusat yang diterajui UMNO untuk memberikan wang ihsan kepada Kelantan dan bukannya royalti, adalah tidak patut.
''Kuala Lumpur tidak mempunyai minyak walaupun setitik.
''Kuala Lumpur ambil minyak kita dan kemudian bagi wang ihsan kepada kita, sepatutnya kitalah yang bagi wang ihsan kepada dia,'' katanya.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz mendakwa, tindakan UMNO yang mengambil wang royalti minyak Kelantan untuk digunakan dalam kempen pilihan raya juga tidak akan menguntungkan mereka.
''Walaupun menggunakan wang, saya yakin orang ramai yang berpegang pada ajaran Islam tidak akan beralih menyokong UMNO,'' ujarnya.
/hwa-utusan.

Program Juara Rakyat platform tambah ahli UMNO

Utusan - 31/01/10
PONTIAN 30 Jan. – Program Juara Rakyat (PJR) perlu dijadikan platform bagi menambah keahlian UMNO dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi pada pilihan raya selain menyemarakkan aktiviti-aktiviti lain.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara diminta menggunakan ruang tersebut apabila menganjurkan PJR.
Katanya, kini terdapat 600,000 ahli UMN0 yang belum mendaftar sebagai pemilih dan angka tersebut perlu dikurangkan bagi memastikan mereka boleh keluar mengundi seterusnya menyokong Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, urus setia UMNO di bahagian-bahagian hendaklah membuka dua kaunter ada setiap PJR supaya orang ramai boleh mendaftar sebagai ahli UMNO dan menjadi pemilih berdaftar.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam tadi juga telah diberikan taklimat oleh Pengerusi Keahlian UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai perkembangan ahli-ahli UMNO ketika ini.
“Kini terdapat 3.5 juta ahli UMNO di seluruh negara dan jumlah tersebut hendaklah ditambah melalui kaunter-kaunter di PJR,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas merasmikan Dewan Perancangan Pembangunan Kawasan (RPK) sempena Program Juara Rakyat Parlimen Pontian, di Mini Estet Parit Seraya, Benut, di sini, hari ini.
Dewan RPK tersebut dibina dengan kos RM100,000 melalui peruntukan daripada RISDA, manakala pengurusan Mini Estet Parit Seraya telah menyumbang sebanyak RM30,000 ribu.
PJR Peringkat Kebangsaan telah dilancarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 9 Januari lalu.
Sempena perasmian dewan tersebut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyampaikan hadiah kepada pelajar sekolah yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR pada tahun lalu.
/hwa-utusan.

Krisis politik pembangkang amat serius

Utusan - 31/01/10
Oleh YUSRI SAHAT utusanpahang@utusan.com.my
PEKAN 30 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan krisis politik pembangkang terutama di Pulau Pinang kini berada pada tahap amat serius yang menggambarkan penolakan jelas terhadap kepimpinan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
Sambil menegaskan krisis dalaman itu tiada kaitan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku bukan perselisihan pendapat sebaliknya merupakan perbalahan dan pergolakan di kalangan parti-parti pembangkang.
''Nampaknya kedudukan di kalangan parti pembangkang khususnya di Pulau Pinang sudah sampai pada satu peringkat yang begitu serius. Ini bukan perselisihan pendapat tetapi perbalahan amat serius yang sedang bergolak dalam pakatan pembangkang.
''Perbalahan ini merupakan satu tanda bahawa telah hilang keyakinan sama sekali di kalangan pemimpin pembangkang terhadap apa yang dilakukan di peringkat negeri.
''Ini bukan dibuat oleh UMNO atau BN tetapi ini adalah perpecahan yang begitu serius dan terbuka sekali di kalangan parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Digital Pekan 1Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Najib mengulas krisis pakatan pembangkang yang semakin serius dan merebak ke Pulau Pinang apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim secara keras menyerang Guan Eng.
Menggambarkan Guan Eng sebagai diktator dan cauvinis, Zahrain yang merupakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berkata, pakatan pembangkang perlu menghentikan sebarang tolak ansur dengan pemimpin itu setelah dia gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.
Najib yang juga Pengerusi BN menegaskan, krisis politik yang berlaku di Pulau Pinang menggambarkan wujudnya rasa tidak puas hati yang tidak dapat dibendung lagi di kalangan pemimpin pakatan pembangkang di negeri tersebut.
''Dasar dan pentadbiran kerajaan negeri menyebabkan sekumpulan pemimpin utama PKR mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai penolakan yang amat jelas terhadap apa yang dilakukan pimpinan sedia ada," jelasnya.
Perkara itu, tegas beliau, dibuktikan dengan peletakan jawatan beberapa pemimpin utama pembangkang termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim pada 7 Januari lalu.
''Setiausaha Agung PKR telah meletakkan jawatan dan selepas itu, di kalangan wakil Parlimen pun mereka bercanggah secara terbuka," katanya.
Najib tidak menolak kemungkinan krisis yang sedang melanda pakatan pembangkang itu akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain yang dikuasai pakatan pembangkang.
''Tidak dapat kita nafikan kesan dan tempiasnya mungkin menular ke tempat lain pula," katanya.
/hwa-utusan.

PKR perlu kaji kerjasama dengan DAP

Utusan - 31/01/10
PETALING JAYA 30 Jan. – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menggesa kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengkaji semula kedudukan dan kerjasama parti itu dengan DAP di Pulau Pinang.
Menurutnya, setelah mendedahkan sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai pemimpin cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya, kepimpinan tertinggi PKR perlu mengambil langkah terbaik demi kelangsungan parti itu.
Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, dasar yang dibawa Guan Eng sejak memerintah Pulau Pinang telah memberi masalah kepada pemimpin PKR di negeri itu yang kebanyakannya bertanggungjawab terhadap kawasan dan masyarakat Melayu.
‘‘Guan Eng kata dia khalifah, khalifah apa kalau gerai-gerai tanpa lesen milik peniaga Melayu ditarik balik dan premis mereka dirobohkan.
‘‘Tidak timbul persoalan mengenai tindakan saya seterusnya, cuma dengan pendedahan ini, saya serahkan kepada kepimpinan tertinggi PKR untuk mengkaji kedudukan PKR di Pulau Pinang,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
/hwa-utusan.

Roboh gerai: Kerajaan negeri Pulau Pinang perlu beri penjelasan

Utusan - 31/01/10
BORHAN Namat bersama isterinya, Che Nolia Hashim begitu sedih melihat gerai buah-buahan mereka yang telah beroperasi sejak 20 tahun lalu di Permatang Pauh dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, semalam. – mingguan/Sazali Che Din
*****

PULAU PINANG 30 Jan. – Kerajaan negeri didesak menyatakan status gerai milik bukan bumiputera yang banyak beroperasi tanpa mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi terlepas daripada sebarang tindakan.
Yang Dipertua Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), Yusoff Mohd. berkata, gerai-gerai itu beroperasi tanpa dipantau sehingga menimbulkan pelbagai masalah termasuk kesesakan lalu lintas dan kotor.
Menurutnya, beliau hairan dengan sikap kerajaan negeri yang seperti tutup mata terhadap keadaan tersebut sedangkan gerai-gerai kecil Melayu yang tidak mengikut garis panduan dirobohkan.
“Kami mahu kerajaan negeri beritahu kepada orang ramai kenapa gerai-gerai sedemikian tidak diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri sejak akhir-akhir ini merobohkan beberapa gerai milik peniaga kecil Melayu kerana didakwa beroperasi tanpa lesen.
Antaranya kedai makan atas pokok Do Re Mi di Tanjung Bunga, diikuti Three N Ikan Bakar di Bukit Dumbar dan banyak lagi gerai peniaga Melayu yang bakal menerima nasib sama selepas ini.
Bagaimanapun tinjauan Mingguan Malaysia di beberapa lokasi sekitar Georgetown mendapati, gerai-gerai bukan Melayu dibiarkan berniaga di bahu-bahu jalan sehingga mengganggu lalu lintas.
Malah terdapat juga penjaja yang membuang sisa-sisa makanan ke dalam longkang sehingga salurannya tersumbat sekali gus mencemarkan persekitaran.
Antara kawasan-kawasan berkenaan adalah sepanjang Jalan Weld Quay, Lebuh Chulia, Lebuh Kimberley, Lorong Baru, Jalan Macalister, Jalan Burma dan Sungai Dua.
Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sering melaung-laungkan keadilan dalam pentadbiran, amalan diskriminasi sedemikian sepatutnya tidak wujud.
Menurutnya, kekayaan ekonomi seharusnya dikongsi dan diagih secara sama rata antara semua kaum.
“Hak peniaga kecil atau besar wajib dipertahankan tanpa mengira bangsa.
“Kalau kerajaan negeri mahu bertindak mengikut undang-undang, ia patut dilaksanakan terhadap semua peniaga tidak mengira kaum.
“Jika tidak, macam mana pentadbiran Pulau Pinang boleh dikatakan kerajaan yang adil,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Sivamurugan, tindakan kerajaan negeri itu hanya akan melebarkan jurang kekayaan antara etnik di negara ini khususnya orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Beliau menambah, jika itu berlaku, sudah pasti ia akan menjejaskan ikatan perpaduan rakyat berbilang kaum.
/hwa-utusan.

Zahrain pertahan dakwaan

Utusan - 31/01/10
PULAU PINANG 30 Jan. – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim tetap mempertahankan kenyataannya yang mendakwa Ketua Menteri, Lim Guan Eng seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.
Menurut bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang itu, beliau tidak mempunyai sebarang agenda peribadi apabila mengeluarkan kenyataan tersebut sebaliknya mahu menjaga kepentingan negeri itu.
Tegasnya, jika ada pihak yang cuba menuduh tindakan tersebut bersifat peribadi atau mengaitkan keluarganya dalam pemberian tender bagi pengurusan Kelab Golf Bukit Jalil, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Menurutnya, beliau percaya ramai lagi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang bersetuju dalam perkara itu sekali gus menggesa mereka supaya tidak lagi berkompromi dengan Setiausaha Agung DAP itu.
‘‘Siapa yang kenal lama dengan Guan Eng pasti tahu apa yang saya cakap itu sememangnya benar, jadi cukup-cukuplah daripada nak terus mempertahankannya.
‘‘Ingin ditegaskan bahawa saya tidak obses dengan pangkat atau sebagainya, saya cakap apa yang betul, Pulau Pinang memang tak perlu orang macam itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau menyeru kepimpinan PKR tidak berkompromi dengan rakan lain dalam pakatan pembangkang semata-mata untuk mengejar jawatan Perdana Menteri.
Tegasnya, pemimpin PKR termasuk Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh lari daripada agenda yang telah dipersetujui sebelumnya, iaitu untuk melakukan reformasi dalam pelbagai bidang di negara ini.
/hwa-utusan.

Dr. Mahathir kecewa parti Melayu bantu kaum sendiri

Utusan - 31-01/10
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
DR. Mahathir Mohamad mengangkat keris tanda simbolik pelancaran Perkasa Selangor di Dewan Serbaguna MPAJ, Hulu Kelang, semalam. Turut hadir Noh Omar (dua dari kiri) dan Ibrahim Ali (tiga dari kiri).
*****
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlalu 'asyik' mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.
Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.
"Tidak perlu saya nyatakan apa yang menyebabkan kita berasa kecewa. Tetapi kita lihat orang yang dulu kata orang Islam jika berkawan dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang peluk cium orang bukan Islam dan dihalalkan segalanya bagi mereka kerana orang Melayu tetap akan bagi sokongan.
"Ia bukan tindakan yang bijak. Orang Melayu rasa tidak boleh lagi bergantung pada parti-parti politik, sebab itu ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hulu Kelang di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta beberapa pemimpin NGO Melayu.
Dr. Mahathir menambah, terdapat beberapa NGO Melayu yang menemuinya dan menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan dan parti-parti pembangkang.
"Tetapi apa yang mereka boleh buat. Mereka kata, jika terlampau giat suarakan pendirian orang Melayu, mereka akan dituduh rasis dan mungkin juga diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
"Akhirnya, mereka datang bertemu bekas Perdana Menteri yang sudah tidak bertaring. Mereka kecewa tetapi tidak dapat suarakan kepada pemimpin Melayu sama ada kerajaan atau parti lawan," ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan orang Melayu agar melakukan protes secara tertib dan tidak melakukan kekacauan sehingga menghancurkan keamanan negara.
"Kalau mereka tidak dengar, kita ada kuasa dalam pilihan raya. Jangan gunakan cara yang boleh merosakkan keamanan.
"Tetapi saya bimbang, sekiranya keadaan ini berterusan, orang Melayu yang sekian lama memendam kekecewaan akan 'meletup'," katanya.
/hwa-utusan

Suruhanjaya Antara Agama tidak perlu – Muhyiddin

Utusan - 31/01/10
Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kerana dialog tertutup yang diadakan bagi menangani isu-isu sensitif termasuk penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly sudah memadai.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses dialog adalah yang terbaik bagi mencari satu titik pertemuan, mewujudkan sifat saling hormat-menghormati serta memastikan tidak tercetus perasaan yang boleh membawa perkara kurang baik kepada negara.
‘‘Ketika ini saya tidak fikir ia sesuatu yang perlu untuk kita wujudkan Suruhanjaya Antara Agama, sebaliknya dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama, Islam dan bukan Islam boleh menjadi sesuatu yang berguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda dan melancarkan laman web peribadi beliau iaitu www.my-malaysia.com.my di Angkasapuri di sini hari ini.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan lebih 1,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pelbagai pihak sebelum ini telah menentang cadangan penubuhan IFC yang dibuat Majlis Peguam sejak 2003 kerana ia dikatakan akan melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan mengikut langkah Indonesia yang telah mewujudkan badan yang hampir sama dengan IFC kerana situasi di republik itu adalah berbeza.
‘‘Kalau di Indonesia mungkin dia satu rumpun tetapi kadang-kadang agama berbeza. Di sini kadang-kadang agama berhubung dan berkait dengan soal kaum.
‘‘Latar belakang daripada segi sosiobudaya antara kedua-dua negara tidak boleh dibandingkan, jadi kita akan uruskan situasi mengikut cara kita di Malaysia, mana yang lebih sesuai, ini yang kita gunakan,” katanya.
Mengenai isu kalimah Allah, Muhyiddin berkata, dialog secara tertutup antara kumpulan mewakili agama Islam dan Kristian sudah diadakan dan akan diteruskan.
‘‘Saya tidak payah cerita panjang-panjang sebab kita berpendapat proses sebegini adalah lebih baik bagi mencari kesepakatan untuk menyelesaikan isu sensitif seperti ini,” katanya.
Tambah Muhyiddin, dialog isu kalimah Allah itu tidak akan diadakan secara terbuka kerana tidak mahu masyarakat umum membuat tafsiran yang bermacam-macam.
‘‘Kita sudah buat. Sekarang ini orang pun tidak tahu. Biarlah dibuat secara senyap, kadang-kadang lebih baik begitu kerana ini cara berhemah, asalkan ia dibuat bukan kerana ada kepentingan politik, sebaliknya untuk mencari satu titik pertemuan bagi mewujudkan persefahaman dan melahirkan suasana aman,” ujarnya.
/hwa-utusan.

Khalid akur tetapi terus kritik

Utusan - 31/01/10
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akur dengan hukuman yang diterimanya semalam tetapi pada masa sama terus mengkritik pimpinan Pas yang didakwanya enggan menerima teguran rasmi secara 'dalaman' daripada ahli bawahan.
Malah adik kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad itu terus menggunakan medium blog beliau untuk terus 'mengusik' Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
Dalam entri terbarunya di www.khalidsamad.com, beliau menyatakan masih belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap hukuman itu tetapi cenderung untuk tidak melakukannya kerana tidak mementingkan jawatan dalam perjuangan politiknya.
Semalam, Jawatankuasa Disiplin Pas memutuskan Khalid digantung jawatan sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik Pas selama enam bulan berkuat kuasa semalam.
Beliau didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan imej parti serta mendedahkan kerahsiaan parti di dalam blognya itu.
Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut memutuskan Hasan sebagai bersalah tetapi hanya diberikan amaran bertulis atas tuduhan mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan Selangor.
Kedua-dua pemimpin itu juga dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan imej parti dan sekiranya ia berlaku, jawatankuasa akan bertindak mengikut peruntukan sedia ada.
Khalid di dalam blognya, berkata:
"Harap semua faham, saya dikenakan tindakan kerana cara saya menegur Datuk PJ (Hasan) dianggap memudaratkan Pas. Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil.
"Budaya wala' (setia kepada pemimpin) terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli. Akhirnya saya tiada pilihan kecuali berhadapan perbalahan secara terbuka. Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan 'tauke' kuli yang akan kena.
"Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini 'tauke' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi. Kalau terus dengan cara lamanya, saya tidak akan menyanggahnya lagi. Saya sendiri yang akan buat laporan kepada JK Disiplin. Seperti yang dibuatnya terhadap saya dalam kes ini. Itu caranya dan kita lihat pula sejauhmana kesungguhan amaran yang diberi," katanya.
Menyentuh lebih lanjut mengenai Hasan, Khalid menambah:
"Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai. Tindakan Datuk PJ selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar 'salah' dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejas pakatan pembangkang Selangor. Beliau tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi.
Sementara itu, Khalid juga secara terbuka mengkritik pimpinan Pas dengan menyatakan:
"Pas sememangnya mementingkan disiplin ahli, ketaatan kepada pemimpin, thiqah dan wala'. Saya tahu semua itu, tetapi semua telah saya usahakan. Bukan semakin baik, semakin parah.
"Akhirnya saya tiada pilihan kecuali melakukan apa yang pasti sukar diterima parti. Walaupun berasas tetapi akan dilihat melanggar disiplin," katanya.
Mengikut pendakwaan, Khalid dituduh mengkritik Hasan secara terbuka berhubung isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) serta menyiarkan minit mesyuarat Pas Selangor di dalam blognya pada 27 September 2009.
Hasan pula dituduh mengkritik prosedur pendengaran Selcat selain membuat kritikan terbuka terhadap pelantikan Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Low Siew Moi.
/hwa-utusan.

Itulah Guan Eng sebenar

Utusan - 31/01/10
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH utusankedah@utusan.com.my
JITRA 30 Jan. – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bersetuju dengan dakwaan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah seorang pemimpin yang cauvinis dan diktator.
Menurutnya, Guan Eng bukan sahaja tidak disukai oleh penduduk Pulau Pinang selepas menerajui negeri itu, bahkan DAP Melaka dan orang negeri berkenaan pun tidak sukakannya.
Sebab itulah katanya, Guan Eng tewas ketika bertanding jawatankuasa DAP Melaka sebelum pilihan raya umum lalu.
“DAP Melaka pun tak nak beliau, orang Melaka pun tak nak dia. Mereka tahu Guan Eng seorang yang kasar, autokrasi, kuku besi, cakap dia sahaja yang betul dan cakap orang lain semua salah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Juara Rakyat 1Malaysia 2010 anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Wawasan di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang itu seorang diktator, Mohd. Ali berkata, itulah sifat Guan Eng yang sebenarnya.
Beliau turut memberikan beberapa contoh lain mengenai perangai kuku besi Guan Eng termasuk dalam isu gerai peniaga kecil Melayu di Pulau Pinang yang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dakwanya, Guan Eng juga bertindak ‘mencengkam’ para pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu sehingga mereka sukar untuk bersuara.
“Sebab itu Zahrain terpaksa bangun menyatakan rasa tidak puas hati beliau,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, elok Guan Eng melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana beliau tidak layak menerajui Pulau Pinang.
/hwa-utusan

KM dituduh berfikiran amat bahaya

Utusan - 31/01/10
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng amat berbahaya kerana beliau yang dikatakan mempunyai fikiran antiperlembagaan Persekutuan dan antisistem demokrasi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sinis berkata, dakwaan itu boleh dianggap benar selagi Guan Eng tidak menafikannya dan membuat laporan polis terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan ‘ledakan bom atom’ itu.
“Menuduh Guan Eng sebagai diktator mungkin dianggap biasa untuk orang politik yang tidak berpuas hati. Tetapi menuduh beliau sebagai cauvinis dan berfikiran bahaya sudah tentu mengejutkan dan boleh dianggap ledakan bom atom.
“Tuduhan itu amat berbahaya, Guan Eng layak buat laporan polis. Berfikiran demikian bermaksud Guan Eng sudah tentu mahu jadikan negara ini antiperlembagaan Persekutuan dan antisistem demokrasi,” katanya dalam blog, http://puadzarkashii.blogspot.com.
Kelmarin, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim secara keras menyerang Guan Eng yang digambarkan sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.
Zahrain menyatakan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP akan menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang sekiranya masih mengekalkan rentak pentadbiran yang diamalkan sekarang.
Tambah Mohd. Puad, kemelut terbaru itu jelas membuktikan pakatan pembangkang tidak mempunyai kesesuaian untuk bersama, jauh sekali membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan bersatu.
/hwa-utusan.

Ramai lompat keluar bila PKR hanyut

Utusan - 31/01/10
Oleh Ku Seman Ku Hussain
PERTELAGAHAN bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menambah catatan “menarik” dalam antologi PKR.
Kelantangan Zahrain terhadap isu Melayu adalah luar biasa dalam PKR sekaligus membahayakan kedudukan Zahrain.
Sebelum ini kelantangan Ahli Parlimen PKR Kulim – Bandar Baru Zulkifli Noordin terhadap Khalid Samad dari Pas. Zulkifli bakal mendepani tindakan oleh PKR sekalipun beliau bertegas tentang isu kalimah Allah. Zulkifli pula bersedia untuk dipecat apabila memilih kepentingan Islam daripada politik.
Sebelum ini banyak juga catatan menarik tentang pemimpin-pemimpin penting PKR yang mengambil tindakan keluar parti dan juga meletakkan jawatan dalam parti.
Pada Oktober tahun lalu Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan keluar parti. PKR mempunyai banyak alasan untuk menunjukkan kegembiraan mereka dengan tindakan pemimpin PKR yang keluar parti. Tetapi realitinya kegembiraan itu tidak begitu memukau orang kerana mereka berfikir PKR dalam situasi sebaliknya.
Tindakan keluar parti PKR sebenarnya bukan lagi menjadi isu kerana sudah banyak pemimpin PKR termasuk yang mengasaskan PKR pun mengambil tindakan yang sama. Cuma yang menjadi isu atau berita menarik ialah kemasukan tokoh parti lain dalam PKR. Ia menjadi menarik kerana tokoh yang menyertai PKR kebanyakan terdiri daripada mereka yang berada di tepi padang. Dalam kata lain mereka bukan pemain utama yang menjadi asas kekuatan parti sebelumnya. Maka mereka juga tidak menggantikan yang lari meninggalkan PKR.
Tentu kita masih ingat kepada Timbalan Presiden Chandra Muzaffar, Ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Zainur Zakaria dan Datuk S. Nallakarupan, Naib Presiden Marina Yusuf dan Setiausaha Agung Anuar Tahir telah keluar daripada PKR.
Keputusan
Naib Ketua Pemuda Muhammad Zahid Md Arip dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Keadilan Hamdan Taha juga mengambil keputusan meninggalkan PKR. Kenapa dengan mereka? Apa yang kurangnya PKR hingga membuatkan hati mereka tawar untuk terus bersama PKR?
Barangkali ada antara mereka ini sedar betapa sukarnya untuk berjalan dalam gelap yang tidak kelihatan langsung titik sasaran? Atau pun mereka tidak pantas menerima mimpi-mimpi besar dan mereka tertinggal kerana berfikir secara realistik.
Kita sebenarnya “bersimpati” dengan PKR yang koyak rabak di sana sini. Jaga di sana dan hilang di sini. Rakyat pula mulai bertanya tentang janji-janji pilihan raya yang tidak terlaksana. PKR telah kehilangan banyak darah dan ini menjadikan PKR tenat sekalipun hal ini ditutup dari mata rakyat.
Lebih menyayat hati lagi apabila ada yang bertanya, PKR wujud untuk siapa dan apa perjuangannya? Rakyat memang wajar bertanya apabila mereka sendiri keliru apakah tersalah memberi tanggungjawab kepada PKR dalam pilihan raya yang lalu.
Memperjuangkan keadilan? Itu memang bagus. Buktinya semua parti politik di seluruh dunia tidak kira di mana juga pasti terselit agenda perjuangan menuntut keadilan. Jadi, PKR kenalah perhalusi menuntut keadilan untuk siapa. Misalnya adakah Zulkifli Noordin diberi keadilan oleh PKR untuk memilih kepentingan agama mengatasi kepentingan PKR? Apabila Zulkifli mahu dikenakan tindakan oleh pemimpin tertinggi PKR kerana memilih kepentingan Islam, ini menunjukkan tidak ada keadilan dan menyekat kebebasan bersuara.
Ironiknya PKR yang banyak memperjuangkan kebebasan bersuara tetapi PKR sendiri menghalang pemimpinnya bersuara. PKR memperjuangkan kebebasan media, PKR juga yang memulaukan media yang bukan sealiran dengan politiknya.
Keadaan tenat PKR sekarang segera mengingatkan pada pagi 10 April 1999, Ballroom Hotel Renaissance Kuala Lumpur. Hari itu bagai pesta. Segenap sudut gemerlapan sementara di lobi dan laman hotel kedengaran laungan “reformasi” dan “Allahhuakbar.”
Orang berpusu-pusu untuk turut berada dalam detik “bersejarah” kelahiran sebuah parti politik yang baru, Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Semua ini adalah lanjutan episod gelegaknya politik negara selepas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tidak kenal
Ketika itu banyak yang tidak kenal apa itu parti Keadilan. Tetapi mereka memahami serba sedikit bahawa kelahiran parti itu adalah untuk menuntut keadilan bagi Anwar yang dikatakan menjadi mangsa konspirasi politik. Ketika itu juga perjuangan menuntut keadilan kelihatan sangat sinonim dengan Anwar, bukan
rakyat.
Pelancaran parti Keadilan berlangsung dalam suasana penuh meriah. Apabila lampu disuramkan, muzik ala filem Star Wars bergema memenuhi ruang dewan dan pancaran laser mencipta kehebatan pada indera siapa yang berada di situ.
Kemudian pada 17 Mei 2004, Keadilan “berkahwin” dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan lahirlah Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang ada sekarang ini. Semua orang tahu PKR adalah parti pelbagai kaum tetapi dalam banyak perkara pemimpin Melayu dalam PKR sangat toleran hingga kepada perkara-perkara yang menyentuh soal orang Melayu dan agama Islam.
Mengimbas kembali acara pelancaran Keadilan yang penuh gah, riwayat dan nafas sesebuah parti politik bukanlah terletak kepada kemilau dan gamatnya muzik ala Star Wars. Parti politik boleh saja menjadi hebat tanpa riuh rendah, sebaliknya hebat kerana laras perjuangan yang jelas dan ada prinsip teras. Apa teras PKR?
Setakat ini PKR masih belum terlepas daripada dilihat sebagai gelanggang memperjuangkan “keadilan” kepada Anwar. PKR tidak bercakap soal Melayu kerana ia
bukan parti orang Melayu, dan juga tidak bertegas dalam isu melibatkan Islam.
PKR belum melakukan “reformasi” kerana ia juga membunuh kebebasan bersuara pemimpin-pemimpinnya. Selepas satu dekad kalau diukur pada kelahiran Keadilan pada 1999, PKR sudah berada dalam keadaan tenat padahal PKR seharusnya sihat.
Apabila PKR kompromi dengan beberapa isu yang melibatkan agama Islam, ada juga yang menganggap PKR sekarang bukan lagi sesat tapi sudah hanyut. Kalau sesat masih ada harapan ke pangkal jalan. Tetapi apabila hanyut PKR terpaksa mengikut arus walaupun menghina Melayu dan Islam. Mereka yang meninggalkan PKR kerana tidak mahu ikut hanyut.
/hwa-utusan

Selamatkan Malaysia dari siapa?

Utusan - 31/01/10
TIBA-TIBA suhu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) naik mendadak menjelang perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2 Januari ini.
Semua usaha digerakkan. Selain Anwar melancarkan siri jelajah atau road show untuk pertahankan dirinya, penerbitan akhbar dan laman web parti berkenaan menyeru agar rakyat bangkit. Laporan utama di muka hadapan penerbitan rasmi parti itu bertajuk, Selamatkan Malaysia selain tulisan peguam bela Anwar, S. Sivarasa (Ahli Parlimen PKR) yang kononnya membuktikan beliau tidak bersalah. Seperti yang sudah dijangka, strategi Anwar ialah membakar sentimen rakyat.
Seingat Awang, tiada mana-mana personaliti dan tokoh dalam dunia yang mengadakan road show apabila mahu dihadapkan ke mahkamah. Tetapi Anwar unik. Beliau tetap mahu mengheret rakyat dalam kes moralnya dan mengaitkan segala-galanya sebagai konspirasi. Keghairahan Anwar mengadakan perbicaraan di luar mahkamah untuk memberikan perspektif keadilannya, adalah tidak wajar. Mengapa perlu gundah dan takut jika yakin di pihak yang benar?
Anwar adalah pemimpin sebuah parti menggunakan nama keadilan rakyat tetapi ternyata beliau hanya memikirkan keadilan untuk dirinya dan bukan untuk Saiful. Apakah kerana Saiful rakyat kecil, hak keadilan untuk beliau boleh dinafikan begitu sahaja.
Berdasarkan maklum balas yang diterima, sambutan terhadap road show tersebut tidaklah seberapa. Sentimen sudah berubah. Ramai penyokong Pas tidak lagi teruja dengan pemimpin PKR itu sebagaimana kes liwat pertamanya, sebelum ini. Sesi penjelasan Anwar bagi sebahagian yang hadir, kurang terkesan di hati mereka. Tetapi road show itu juga bertujuan membina momentum bagi menarik kehadiran ramai pada hari perbicaraan nanti, yang beliau sedia untuk melambaikan tangan kepada mereka.
Awang tidak kisah sama ada nanti Anwar menang atau kalah dalam perbicaraan, biarlah mahkamah menentukan. Yang penting ialah keberanian menghadapi kes itu dengan jiwa besar. Kalau Saiful boleh menampakkan ketenangannya, mengapa tidak Anwar.
Lebih menimbulkan persoalan mengapa beliau mahu menangguh-nangguhkan kes tersebut atas pelbagai alasan sehingga tidak boleh diterima dek akal? Akibatnya ada golongan pada awalnya menyokong beliau, kini turut ragu-ragu.
Dalam perkembangan terbaru, Anwar sudahpun mengemukakan 13 saksi alibi termasuk isterinya, Dr. Wan Azizah Ismail. Berikutan itu, polis telah mengambil keterangan Wan Azizah bagi kali kedua, baru-baru ini yang mencetuskan rasa tidak puas hati di pihak Anwar kerana polis pernah berbuat demikian dua tahun lalu. (Tanpa disedari kes Anwar ini sudah memakan masa begitu lama sejak aduan polis dibuat tetapi belum dapat dibicarakan).
Polis dalam kenyataannya menjelaskan, keterangan kali kedua terpaksa diambil kerana Sivarasa dalam laporan media, tidak ingat sama ada Wan Azizah telah dikemukakan sebagai saksi oleh pihaknya atau tidak. Dengan adanya saksi alibi, Awang tidak nampak mengapa Anwar perlu mencari jalan untuk menangguhkan lagi perbicaraan. Tiada alasan lagi. Memandangkan Anwar sentiasa mempolitikkan kes berkaitan isu moralnya ini, ia secara tidak langsung mengundang persepsi negatif terhadap beliau. Bahkan, semakin ramai melihat Anwar telah mempertaruhkan agama dan bangsa bagi menjayakan percaturan politiknya, yang keuntungan dinikmati oleh bukan Islam. Pendirian beliau dalam banyak isu kritikal seperti membenarkan Chin Peng pulang, menyokong agenda DAP menuntut hak kesamarataan, menolak semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi gereja Katholik, ternyata bermotif politik. Bahkan, sudah ada gerakan secara senyap-senyap melakukan sembahyang hajat dan mendoakan agar Malaysia diselamatkan daripada orang bernama Anwar Ibrahim.
/hwa-utusan(rencana)

Ketua Menteri diktator

Utusan - 31/01/10
TULISAN Awang dalam ruangan ini minggu lalu yang mempersoalkan agenda tersirat DAP di sebalik gagasan Middle Malaysia, mengundang reaksi balas pemimpin utamanya, Lim Kit Siang.
Seperti biasa Kit Siang menggunakan beberapa akhbar utama Cina untuk menghentam Awang. Beliau tidak dapat menerima realiti bahawa masyarakat Melayu tetap menolak DAP di sebalik gembar-gembur parti itu kononnya sokongan daripada Melayu meningkat.
Tetapi realitinya, semua tahu, sebahagian Melayu yang menyokong DAP adalah atas tiket sokongan mereka kepada PAS, bukannya teruja kepada DAP, seperti yang cuba dikelirukan.
Pada Awang, DAP tidak boleh dipercayai selagi pemimpinnya bermotifkan perjuangan ultra-rasis dan tidak menjunjung Perlembagaan negara.
Kini parti itu makin terdesak berikutan banyak perkembangan politik yang tidak memihak kepada pakatan pembangkang. Selain perpecahan, terdapat banyak kepincangan, kelemahan dan kecelaruan. Ini termasuk di Pulau Pinang, yang diperintah oleh DAP di bawah pimpinan anaknya, Lim Guan Eng. Semakin banyak pihak termasuk pembangkang kecewa dan marah.
Terbaru, yang panas dan menggegar ialah kritikan keras Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohd. Hashim yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang terhadap Guan Eng. Beliau menggambarkan Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis (laporan asal di akhbar The Star, 29 Januari lalu).
Zahrain mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu gagal menunaikan janji-janjinya termasuk untuk melaksanakan sistem tender terbuka dan pilihan raya Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas kepentingan politik. Menurut beliau, Guan Eng juga tidak boleh dikritik dan sesiapa yang mengkritiknya akan dituduh ejen UMNO. Malah Zahrain menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang. Awang tertarik dengan pendedahan beliau itu termasuk tindakan Guan Eng yang mempengerusikan sendiri lembaga tender. Wow. Mana pergi integriti yang dilaung-laungkan? Ada lagi pendedahan Zahrain, antaranya Guan Eng amalkan penganugerahan kontrak mengikut asas siapa kenal siapa dan hanya bertutur bahasa Mandarin ketika berucap pada konvensyen pakatan pembangkang yang turut dihadiri oleh pelbagai kaum. Awang geleng kepala tetapi tidak terkejut kerana itulah sebenarnya karakter DAP. Pemimpin parti itu hanya pandai mengkritik dan berjanji tetapi tidak pandai mentadbir. Paku dulang paku serpih, mengatakan orang, dia yang lebih. Memburukkan lagi keadaan, kepentingan Melayu semakin terhakis sejak Guan Eng memerintah. ''Kerajaan di bawah pakatan pembangkang lebih teruk, zalim dan kejam," kata Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader selepas demonstrasi aman 50 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Awang sedih melihat nasib orang Melayu yang terpaksa merayu agar mereka tidak ditindas.
Lebih menyedihkan melihat segelintir Melayu yang sebelum ini mudah termakan dengan muslihat DAP. Apabila pemimpin DAP memetik ayat al-Quran dalam ucapan, orang Melayu pun lembik lutut. Apabila Guan Eng asyik menobatkan falsafah Saidina Umar Abdul Aziz dalam ucapannya, ada Melayu yang teruja dan kelam minda. Dan apabila ada pemimpin pembangkang Melayu dipergunakan oleh DAP, Melayu menjadi leka. Ternyata percaturan parti itu semakin ketara untuk menguasai kaum majoriti Melayu dengan menulis semula perlembagaan. Sesungguhnya ada jerat besar dipasang oleh DAP mengundang keruntuhan Melayu, yang banyak petunjuk sudah jelas di depan mata. Ia bukan bayang-bayang lagi.
/hwa-utusan.

30 Januari 2010

Angkara Yahudi

BH - 30/01/10
Oleh Nurul Hazren Masitom
Usaha terancang Zionis untuk roboh al-AqsaMENGIKUT sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud 'Masjid Paling Jauh', terletak di Baitulmaqdis atau 'Jerusalem' bagi orang Yahudi.Masjid itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis.
Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj.
‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis.
Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam. Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran.
Masjid al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya.
Ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah. Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.
Masjid itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M), namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M.
Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada 1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula yang kekal sehingga hari ini.
Ketika tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan, mimbar, menara dan struktur dalaman.
Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam, Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa Palestin.
Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu, Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di selatan dan baratnya.Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong berhampiran bahagian barat masjid pada 1984.
Ketika memulakan projek penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis). Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi.
Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya akan rosak dek kerja penggalian itu.
Malah, apakah manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi agama. Pada Februari 2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba memusnahkan asas masjid.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel.
Dalam laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008, sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah Masjid al-Aqsa.
Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis.
Mereka menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.
Akhbar Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di kawasan yang disebut.Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam.
Mohammad Abu Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel.
Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam asas Masjid al-Aqsa.Dalam laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi.
Yayasan itu berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi, lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.” Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah, pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, termasuk di lorong Al-Sharif.
Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi yang diduduki Israel pada 1967.
Ia juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi.
Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat.
Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai Istana Umayyad.
Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke kawasan bawah tanah masjid berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam masjid.
Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat.
Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam.
Amaran itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA), Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan Israel di bawahnya.
Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan masjid.
“Israel perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan kawasan penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan.
Ulasannya berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah jalan Wadi Hilwah.
Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi, selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50 pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam bersolat.
Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa meter dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian berterusan Israel.
Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di mana penggalian bertumpu.Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada 2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera.
JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein.
Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di kawasan terbabit.
Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002; “Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa akibat runtuhan dinding masjid.”
Adakah umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa runtuh begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa diyahudikan? Inikah petanda akhir zaman?
Itulah antara persoalannya.
/hwa-BH/rencana

Isu agama wajar diselesai secara tertutup: Muhyidddin

BH - 30/01/10
KUALA LUMPUR: Isu sensitif membabitkan agama dan kaum di negara ini perlu diselesaikan secara tertutup melalui perbincangan dan dialog atau perundingan antara mereka yang berkepentingan dalam isu berkenaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, proses rundingan adalah cara terbaik menyelesaikan masalah berkenaan berbanding dibincang secara terbuka kerana ia membawa kepada pelbagai tafsiran oleh umum.
“Justeru, langkah yang diambil kerajaan sangat jelas berhubung isu ini (kalimah Allah), dan perundingan antara kumpulan yang mewakili agama Islam dan Kristian sudah pun berjalan. Ia nampaknya sudah diuruskan dengan baik sekali.
/hwa-BH

Biarpun digantung matlamat saya tercapai: Khalid Samad

BH - 30/01/10
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini berkata beliau tidak kecewa walaupun digantung jawatan sebagai Yang DiPertua Pas Shah Alam dan Ahli Lujnah Politik Pas Pusat selama enam bulan berkuatkuasa semalam kerana matlamatnya telah tercapai.
"Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai," katanya di dalam laman blog beliau www.khalidsamad.com hari ini.
"Tindakan Datuk PJ (Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali) selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar "salah" dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejaskan pakatan pembangkang Selangor," katanya.
/hwa-BH

Krisis politik pembangkang amat serius - PM

Utusan - 30/01/2010 1:23pm
Pekan 30 Jan. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan krisis politik pembangkang terutama di Pulau Pinang berada pada tahap amat serius.
Beliau menafikan UMNO menjadi dalang terhadap apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang.
/hwa-utusan.

Muhyiddin lancar laman web peribadi.

Utusan - 30/01/2010 2:31pm
KUALA LUMPURL 30 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan laman web peribadi beliau, www.my-malaysia.com.my bagi membolehkan orang ramai berinteraksi dengannya secara langsung di alam maya.
Sewaktu melancarkan laman web itu di Angkasapuri di sini, Muhyiddin berkata, beliau sedia menerima apa sahaja cadangan walaupun bersifat radikal sekiranya ia baik untuk kepentingan negara.
/hwa-utusan

Krisis politik pembangkang di Pulau Pinang di tahap amat serius: PM

BH - 30/01/10
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata krisis politik parti pembangkang terutama di Pulau Pinang kini di tahap amat serius dan bukan sekadar masalah dalaman sahaja.

Perdana Menteri berkata dakwaan pembangkang masalah dalaman yang dihadapi itu hanya disebabkan perselisihan pendapat adalah tidak benar tetapi membabitkan perbalahan serius antara pemimpin mereka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno menafikan bahawa Umno sebagai dalang terhadap apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang.
/...

17 Januari 2010

Nik Aziz akui PMBK ambil alih projek Bazar Tok Guru

BH - 16/01/10
Kerajaan Kelantan perlu bayar Jutaan ringgit batal perjanjianBACHOK: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam, mengaku kerajaan negeri terpaksa membayar Jutaan ringgit kepada sebuah syarikat, ekoran masalah berkaitan perjanjian Projek Bazar Tok Guru yang ditandatangani syarikat itu bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK).
Beliau berkata, sudah berlaku kesilapan teknikal mengenai perjanjian itu yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menarik semula perjanjian yang dibuat dengan syarikat terbabit sebelum ini.
"Kerajaan negeri terpaksa membeli semula projek berkenaan daripada syarikat terbabit yang kemudian akan dijualkan semula kepada peniaga yang dipindahkan dari Arked Uda dan Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
"Berhubung jumlah bayaran yang terpaksa dibayar kerajaan negeri yang sebelum ini dianggarkan RM23 juta, ia masih pada peringkat rundingan dengan pihak terbabit. "Rundingan itu diserahkan kepada jawatankuasa projek berkenaan dipengerusikan timbalan saya, Datuk Ahmad Yakob," katanya kepada media selepas merasmikan majlis Pesta Bubur Asyura Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, di Kampung Seri Kemunting, dekat sini, semalam.
Nik Aziz berkata, walaupun isu seperti itu berbangkit, peniaga yang terbabit dalam hal berkenaan tetap diberikan tingkat bawah seperti dijanjikan.Nik Aziz berkata demikian apabila diminta mengulas laporan dikeluarkan dalam laman blog Kickdefella, yang mengatakan kerajaan negeri dalam mesyuarat Exconya, memutuskan untuk membayar RM23 juta daripada wang hasil pendapatannya kepada sebuah syarikat swasta.
Menurut blog itu, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Nik Aziz bersetuju memberikan tingkat satu (bawah) Bazar Tok Guru sebagai tempat penempatan semula penjaja dan peniaga yang akan berpindah ke situ daripada tapak lamanya di Arked Uda dan Pasar Lama MPKB.
Bagaimanapun, perjanjian itu berubah apabila peniaga diarahkan membeli ruang niaga di tingkat dua dan tiga saja, manakala tingkat bawah diberikan kepada syarikat terbabit dalam perjanjian itu.
Akibat masalah itu, Kickdefella berkata, Exco kerajaan negeri terpaksa mencari penyelesaian terbaik melalui pembayaran itu bagi menyelamatkan maruah Nik Aziz sebagai Menteri Besar.Menurut blog itu, Nik Aziz jika gagal menghormati perjanjian yang dibuat antara syarikat itu dengan PBMK, yang kemelut berkenaan kini terpaksa ditanggung Ahmad.
/...

Ahmad selar pemimpin bahagian, cawangan malas

UTUSAN - 16/01/2010 7:14pm
KUALA LIPIS 16 Jan. – Sikap sambil lewa dan malas sesetengah pemimpin UMNO bahagian serta cawangan dalam menggerakkan aktiviti pendaftaran, merupakan salah satu punca seramai 4.3 juta penduduk berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pemilih baru.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, senario itu jika tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMN0 bahagian serta cawangan, boleh melemahkan kekuatan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
/...

Anwar cipta isu baru menjelang 25 Januari?

UTUSAN - 17/01/10
KUALA LUMPUR 15 Jan. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diramal mencipta satu lagi isu baru menjelang tarikh perbicaraan kes tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 25 Januari ini.
Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Azwanddin Hamzah yang membuat dakwaan itu berkata, isu baru memburukkan kepimpinan kerajaan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap perbicaraan kes berkenaan.
"Saya tidak terkejut jika muncul satu lagi isu baru yang menyerang kepimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kemudian mangsa serangan diberi label negatif tertentu sebelum 25 Januari ini.
"Taktik sebegini pernah dibuat sewaktu perbicaraan kesnya pada 1998 dengan menyerang dan melabelkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sebagai 'Mahafiraun' dan 'Mahazalim', akhirnya rakyat lebih banyak bercakap tentang dua label itu berbanding perjalanan kes," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azwanddin yang pernah berkhidmat di akhbar rasmi PKR, 'Suara Keadilan' dan memegang jawatan Ketua AMK Wilayah Persekutuan mendakwa 'masak' dengan pelbagai isu ciptaan Anwar.
Ia termasuk yang dilancarkan dari dalam penjara mengenai penggunaan racun arsenik kononnya untuk membunuhnya.
Katanya, semua anggota AMK diarah terus memainkan isu arsenik tersebut bagi menggoncang sentimen rakyat.
"Tapi sampai hari ini dia masih sihat, kalau sudah diracun arsenik pasti lain ceritanya," tegas Azwanddin.
Dalam pada itu Azwanddin mengemukakan beberapa isu yang diolah Anwar untuk mengabui mata masyarakat termasuk penubuhan kerajaan pakatan pembangkang pada 16 September 2008 dan serangan terhadap Biro Tatanegara (BTN).
Dakwanya, isu 16 September dicipta bagi mengalihkan perhatian terhadap pertentangan pendapat di kalangan PKR negeri berhubung kerjasama dengan parti pembangkang lain.
Sementara itu, isu BTN pula untuk mengalihkan perhatian masyarakat menjelang sebutan kes liwatnya.
"Bagaimanapun saya tidak pelik dengan sikap masyarakat untuk mempercayai apa jua penipuan Anwar.
"Ini kerana semua isu itu direka mengikut selera sekumpulan besar masyarakat yang sememangnya tidak berpuas hati dengan kerajaan," katanya.
/...

MB Selangor bertegas rampas tanah milik YBK

BH - 17/01/10
Oleh Bennie Zie Fauzi
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk merampas tanah seluas 526 hektar bernilai RM540 juta di Serendah, Rawang, milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) jika yayasan itu enggan membenarkan Kerajaan Selangor campur tangan dalam urusan operasi dan pentadbirannya.
Beliau berkata, tanah yang dirancang untuk pembangunan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu akan diberikan kepada yayasan lain yang sanggup bekerjasama dengan kerajaan negeri.
"Dalam mesyuarat sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk menyerahkan tanah itu bagi projek pembangunan YBK, walaupun rekod menunjukkan yayasan mempunyai cukai tertunggak RM5 juta sejak 2001.
"Bagaimanapun, disebabkan kegagalan YBK menjelaskan kepada kerajaan negeri bagaimana aset itu ditadbir dan diuruskan, selain penjelasan bagaimana hasil keuntungan pembinaan UiTM itu dapat disalur kepada rakyat Selangor, maka kerajaan bukan saja akan membekukan pembinaan pusat pengajian itu, tetapi akan mengambil semula tanah itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Riben Kedamaian, Keharmonian dan Kasih Sayang anjuran Persatuan Penduduk Bandar Utama (BURA) di One Utama, dekat sini, semalam.
Abdul Khalid berkata, perancangan membina kampus universiti itu hanya akan diteruskan jika YBK bersedia mengikut syarat kerajaan negeri, termasuk membenarkan campur tangan dalam pengurusan yayasan itu.
"Kerajaan negeri menetapkan YBK perlu memperincikan siapa yang bertanggungjawab mengenai sebarang projek dirancang, sumber bantuan serta pembiayaan yayasan itu. Jika syarat ini dipenuhi, kerajaan bersedia menyelesaikan sebarang isu berkaitan tanah itu," katanya.
Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 Oktober lalu menetapkan Menteri Besar perlu dilantik sebagai Pengerusi YBK, manakala seorang lagi wakil kerajaan negeri dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dengan portfolio kebajikan, namun sehingga kini tiada maklum balas positif daripada yayasan itu.Sementara itu, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika dihubungi semalam, berkata tanah itu adalah hak milik syarikat Permodalan YBK dan sudah mempunyai geran.
"Syarikat sudah menjelaskan cukai premium tanah sejak mengambil alih pada 1997 dan jika kerajaan negeri mahu mengambil balik tanah berkenaan mereka perlu melakukan proses pengambilan semula tanah," katanya.
Cukai tertunggak RM5 juta itu katanya, adalah cukai hasil tahunan yang tidak dijelaskan lagi kerana kawasan itu belum dibangunkan.
Beliau menyifatkan tindakan terbaru kerajaan negeri itu merugikan rakyat Selangor kerana pembangunan tidak dapat dijalankan di kawasan itu dan menafikan hak rakyat untuk menikmati kemakmuran ekonomi dan mendapat peluang pekerjaan daripada projek pembinaan UiTM.
/...

Nik Aziz akui 'cah keting'

UTUSAN - 17/01/10
Oleh RAHANA MOHD DAHARI
pengarang@utusan.com.my
KOTA BHARU 16 Jan. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini secara terbuka mengakui wujud budaya 'cah keting' atau cantas mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas itu tidak menjelaskan secara mendalam sejauh mana seriusnya perkara itu sehingga menyebabkan beliau membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan 'cah keting' semalam.
''Kepincangan tidak hari ini sahaja, sejak anak nabi Adam lagi apabila Qabil bunuh adiknya sendiri, Habil dan sampai sekarang, manusia memuja nafsu dan memuja Allah.
''Susah hendak mencari manusia yang hanya memuja nafsu atau memuja Allah semata-mata selagi ada perjuangan dan pergelutan di antara nafsu baik dan nafsu jahat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan dan Zakat Kepada Pesakit Kusta anjuran Persatuan Kusta Kelantan di sini hari ini.
Semalam, selepas kuliah mingguannya, Nik Abdul Aziz membacakan doa memohon agar Allah melindunginya dan rakyat daripada orang yang mengamalkan sikap 'cah keting'.
Bacaan doa tersebut menimbulkan tanda tanya banyak pihak kerana pada masa kini, Pas dan kerajaan negeri menghadapi krisis dalaman termasuk isu berkaitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Sementara itu Nik Abdul Aziz berkata, umat Islam seharusnya berdoa bagi memohon perlindungan daripada pelbagai masalah dan kejahatan.
''Doa seperti kita makan nasi tetapi kita lama sangat hidup dalam tradisi, maka doa kita pun bermusim, lepas solat, masa kenduri kita berdoa.
''Ini tidak betul kerana ini budaya Melayu jahil, kita tidak mahu budaya Melayu, kita mahu budaya Islam yang berdoa pada bila-bila masa, makan, minum, tidur, bangun, masuk pejabat, pergi pasar dan doa tidak khusus lepas solat sahaja," ujarnya.
Mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menolak permohonannya untuk menuntut royalti minyak di kawasan bertindih Kelantan dan Terengganu, beliau berkata, kerajaan negeri tetap berhak membuat tuntutan.
''Itu hak Datuk Seri Mustapa namun dia tidak ada hak untuk menentukan rezeki orang lain. Petrol di Kelantan ini adalah hak Kelantan, ada undang-undang atau tidak, ia tetap hak kelantan," katanya.
/...

15 Januari 2010

Tekad TPM atasi isu kalimah Allah

BERNAMA - 15/01/10
Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang diiringi Pengarah Oxford Centre for Islamic Studies, Dr. Farhan Nizami (kanan) tertarik melihat gambar tapak projek baru yang bakal menempatkan pusat pengajian Islam itu di London, semalam. – Bernama
*****
LONDON 14 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan membenarkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berulang lagi pada masa depan.
“Kita tidak akan membenarkan sesiapa untuk memainkan isu ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin selepas menyampaikan syarahan bertajuk Islam dan Cabaran Kritikal di Malaysia yang mempunyai Pelbagai Agama” di Oxford Centre for Islamic Studies (OCFIS) di sini.
Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyebut bahawa proses perundangan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah itu dan mungkin ada cara lain.
“Saya setuju setakat peringkat tertentu, apa yang penting adalah untuk menangani keadaan. Beberapa perkara yang telah berlaku telah pun berlaku dan kita berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa depan,” katanya.
Menurutnya, beliau menerima sejumlah besar mesej daripada kawan bukan Islam di Sabah dan Sarawak yang menyatakan ada penganut Kristian berpendapat banyak perkara yang berlaku tidak akan berlaku pada awalnya “jika kita, penganut Kristian menyatakan tidak akan menggunakan kalimah Allah.”
Beberapa pemimpin hebat dunia seperti Nelson Mandela, Dr. Mahathir, Kofi Annan, Sonia Gandhi dan Putera Charles pernah menyampaikan syarahan mereka di pusat ini.
Sebelum itu, semasa menyampaikan syarahannya, Muhyiddin berkata, beliau mesti mengakui bahawa sebagai sebuah negara berbilang agama, Malaysia akan terus berdepan cabaran dalam menggalakkan toleransi beragama dan mengekalkan keharmonian beragama.
“Ini cabaran yang kekal dan berterusan. Ada keributan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan sebuah penerbitan Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam buletinnya.
“Walau apa pun pandangan peribadi kita berhubung isu ini, sama ada kita fikir bahawa ia adalah hak orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan Kristian atau ia adalah hak eksklusif orang Islam bagi menuntut pemilikan kalimah itu, kita perlu mengakui bahawa insiden itu menyebabkan perbalahan dalam sebuah negara yang berbilang agama,” katanya.
Muhyiddin berkata, ia hanya satu daripada beberapa contoh perbalahan yang timbul daripada pertikaian berhubung hak masyarakat beragama.
/...

Nik Sapeia dipenjara 6 bulan

UTUSAN - 15/01/10
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KOTA BHARU 14 Jan. - Ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff dihukum penjara enam bulan setelah didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan tiga individu lain, dengan menyembur bahan berbahaya empat tahun lalu.
Majistret Azman Mustapha bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan selesai dikemukakan oleh tertuduh yang juga seorang ahli politik.
Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas Azman selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding yang berlangsung selama sejam di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
"Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, saya mendapati tertuduh telah bertindak secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan kepada beberapa individu. Oleh itu kamu dihukum penjara selama enam bulan," tegas beliau.
Menurut Azman, keputusan tersebut dibuat demi kepentingan awam dan juga sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Nik Sapeia, 56, tenang ketika Azman menjatuhkan hukuman dan kelihatan tersenyum selepas mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan.
Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.
Selain Dr. Mahathir, Nik Sapeia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Datuk Ibrahim Ali, 58; Mohd. Nasir Muda, 48; dan Suberi Sahidan, 50.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Nik Sapeia tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi ditemani isteri dan ahli keluarga serta beberapa penyokongnya. Dia diwakili tiga peguam bela iaitu Saseedharan Menon, Zainal Abidin Mustaffa dan Shamsul Bahrian Ibrahim.
Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, Saseedharan bingkas bangun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman.
Permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani dengan alasan mahkamah perlu mengambil kira faktor-faktor yang relevan dan kesalahan tersebut amat serius.
Semasa rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Saseedharan memohon mahkamah mengambil kira peranan dan sumbangan tertuduh kepada masyarakat.
"Sebagai seorang ahli perniagaan, tertuduh sangat mengambil berat terhadap masyarakat malah dia juga disanjung tinggi kerana peranannya dalam politik tanah air.
"Malah disebabkan peribadi baiknya ini, mangsa dalam kes ini iaitu Dr. Mahathir sendiri mengesyorkan agar dia menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk," katanya.
Menurut beliau, tertuduh juga merupakan ikon ahli perniagaan Melayu yang berjaya dan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya kepada keluarga.
Kejadian berkenaan, ujar beliau, adalah satu 'titik hitam' yang berlaku secara tidak sengaja dalam kehidupan tertuduh sehingga menyebabkan keluarganya mengalami trauma.
Sementara itu, Idham dalam hujahan bertulis setebal lapan muka surat memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana melakukan perbuatan itu demi kepentingan sendiri.
"Mahkamah akan dilihat gagal dalam menjalankan tugasnya sekiranya meletakkan kebajikan pesalah sebagai syarat utama menjatuhkan sesuatu hukuman.
"Hukuman penjara adalah yang sewajarnya terhadap tertuduh kerana dia pada bila-bila masa tidak berada dalam keadaan berbahaya atau nyawanya terancam sehingga mendorongnya bertindak sedemikian," tegasnya.
/...

14 Januari 2010

'Pesanan keramat ibu' amanat akhir SUK Terengganu

UTUSAN - 14/01/10
MOKHTAR Nong (kiri) bersalaman dengan kakitangan awam kerajaan negeri sempena majlis persaraannya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
*****

KUALA TERENGGANU 13 Jan. - Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong, hanya mampu berucap kira-kira tiga minit sewaktu menyampaikan amanat terakhir kepada kakitangan kerajaan negeri sebelum cuti bersara mulai esok.
'Pesanan keramat ibunya' yang cuba disampaikan sebagai peringatan kepada pegawai kanan dan kakitangan awam berbunyi: "Setinggi mana pangkat yang kamu sandang, jangan lupa orang di bawah kamu kerana mereka juga perlu diberikan perhatian", menyebabkan beliau sebak dan gagal meneruskan ucapan.
Mokhtar yang diraikan dalam majlis khas sempena majlis persaraannya di Wisma Darul Iman hari ini, menasihatkan pegawai kanan kerajaan dan kakitangannya supaya tidak berbangga dengan jawatan masingmasing sebaliknya perlu menjaga kebajikan kakitangan bawahan.
Beliau lalu mengaitkan perkara itu dengan pesanan ibunya yang masih diingati hingga saat ini.
Bagaimanapun, sebaik saja Mokhtar mula mengingati pesanan arwah ibunya, beliau tidak mampu menyebutnya hingga habis dan mengambil masa beberapa minit kerana menahan sebak.
Beliau bagaimanapun cuba menggagahkan dirinya dan dalam keadaan teresak-esak sambil mengelap air mata dengan sapu tangan, Mokhtar akhirnya menghabiskan pesanan ibunya itu.
Selepas itu, beliau sekali lagi sebak dan memohon maaf kepada hadirin kerana tidak dapat meneruskan ucapannya.
Walaupun pesanan tersebut hanya sebaris ayat, ia menyentuh hati pegawai kanan dan kakitangan awam yang memenuhi Dewan Besar Wisma Darul Iman.
Sebahagian besar daripada mereka didapati turut menangis bersama-sama Mokhtar yang tidak mampu meneruskan ucapannya.
Beliau kelihatan begitu terharu apabila mengenangkan pesanan berkenaan serta pilu meninggalkan rakan-rakan lama yang masih dalam perkhidmatan serta kakitangan bawahannya.
Mokhtar yang mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 1978, mula bercuti esok sebelum bersara 15 April depan.
Sepanjang ketiadaan beliau, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah akan memangku jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Mokhtar menjalankan tugas terakhirnya selepas berkhidmat sebagai SUK selama dua tahun, dengan menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.
Sebelum itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Husain Embong menyifatkan persaraan Mokhtar merupakan satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri kerana beliau sentiasa komited dalam kerja.
Katanya, Mokhtar seorang pentadbir negeri yang mudah didekati semua pihak, bukan sahaja pegawai atasan malah kakitangan bawahan.
''Sepanjang perkhidmatannya, Mokhtar melakukan pelbagai pendekatan bagi menaikkan imej dan produktiviti pentadbiran negeri ini.
''Mokhtar telah berjaya menjalankan tugas dengan sempurna dan kerajaan percaya penggantinya selepas ini akan melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang," katanya.
/...

Lagi tokoh Kristian gesa gugur kalimah Allah

UTUSAN - 14/01/10
Oleh ZULHISHAM ISHAK
pengarang@utusan.com.my
KOTA KINABALU 13 Jan. - Seorang lagi tokoh Kristian dari negeri ini, Webley Disim, yang juga Yang Dipertua Dewan Usahawan Bumiputera Sabah hari ini menggesa akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah.
Tegasnya, langkah itu, penyelesaian terbaik bagi mengelak pertelingkahan atau konflik antara agama terus berlaku sehingga mencetuskan ketegangan.
"Sebagai tanda hormat kepada agama rasmi negara ini iaitu Islam dan juga masyarakat pelbagai kaum, Herald-The Catholic Weekly wajar menimbang tindakan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahad lalu, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun menyarankan akhbar itu menggugurkan kes berkenaan sebagai jalan penyelesaian yang terbaik.
Menurut tokoh Kristian dari Sabah itu, tindakan tersebut perlu, memandangkan perkembangan isu berkenaan semakin membimbangkan sehingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar dan turut menerima ugutan.
Webley yang juga Naib Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Malaysia mengakui, tindakan akhbar itu sememangnya mempunyai motif untuk menarik penganut Islam kepada Kristian.
"Saya difahamkan oleh rakan-rakan dari Kuala Lumpur, tindakan akhbar itu adalah untuk menguji orang Melayu dan Islam, dengan menyatakan 'kita' menyembah tuhan yang sama iaitu Allah," katanya.
Menurutnya, perbuatan tersebut akan mengelirukan umat Islam kerana Allah bagi penganut Islam dan Kristian adalah berbeza mengikut kepercayaan masing-masing.
"Ini tidak baik, kenapa perlu menarik orang yang sudah beragama, sepatutnya kita (Kristian) menarik orang yang masih tiada agama seperti Orang Asli di Semenanjung atau Bumiputera di Sabah atau Sarawak," katanya.
Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Joseph Pairin Kitingan ketika menjadi Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun tidak bersetuju jika penggunaan kalimah Allah diharamkan terus dalam agama Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganut agama itu pula.
"Saya bersetuju jika akhbar tersebut menggugurkan tuntutan itu tetapi tidak secara keseluruhan, maksudnya dalam upacara-upacara sembahyang di gereja, kalimah Allah masih boleh digunakan," katanya.
Webley menggesa semua pihak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya rakyat Malaysia bertenang dan menghormati semua rumah ibadat.
Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira agama perlu berterima kasih kepada kerajaan atas kebebasan beragama yang mereka nikmati sejak pembentukan Malaysia.
/...

13 Januari 2010

BN ada bukti Pas bersalah

UTUSAN - 13/01/10
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 Jan. – Barisan Nasional (BN) Kelantan mempunyai bukti lengkap menunjukkan kes ganti rugi RM800 juta yang perlu dibayar kerajaan negeri kepada sebuah syarikat bukan berpunca daripada kesilapan pentadbiran kerajaan BN sewaktu memerintah negeri itu sebelum ini.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun pimpinan kerajaan Pas Kelantan hari ini meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan BN namun fakta yang ada menunjukkan sebaliknya.
“Kita ada maklumat lengkap bahawa Pas memang bersalah dalam isu ini dan kerajaan juga sedang mengumpul pelbagai maklumat lain lagi. Semua fakta yang ada menunjukkan mereka bersalah,” katanya.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Perdagangan dan Industri Mesir, Eng Rachid Mohamed Rachid di Menara Matrade di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengulas pengakuan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, bahawa UMNO tidak bersalah sepenuhnya dalam isu itu.
Semalam, Husam berkata, kerajaan negeri tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas bahu pemimpin UMNO yang mentadbir Kelantan pada era sebelum Pas.
Sebaliknya, kata Husam, kerajaan negeri semasa akan bertanggungjawab mencari penyelesaian melalui mahkamah untuk menghadapi kes itu.
Kenyataan itu berbeza dengan pendirian Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyalahkan kerajaan BN kerana Pas terpaksa mewarisi kesilapan tersebut.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berikutan kenyataan Husam itu, kerajaan Pas Kelantan kini terpaksa menelan malu setelah Nik Aziz dan Mohd. Amar sebelum itu membuat tuduhan sebaliknya.
“Ini bukan kali pertama Pas membuat kenyataan menyalahkan BN atas masalah yang mereka tanggung.
“Mereka membuat secara melulu sehingga akhirnya wujud percanggahan pendapat di kalangan mereka sendiri kerana fakta menunjukkan sebaliknya.
“Itulah cara Pas berpolitik. Mereka politikkan semua isu bagi meraih sokongan rakyat walaupun sebagai kerajaan negeri, parti itu perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah bukan menuding jari kepada pihak lain,” katanya.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar kontrak pada tahun 1964.
/...

'Jangan terperangkap, Anwar makin terdesak'

UTUSAN - 13/01/10
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Umat Islam dan rakyat negara ini diingatkan supaya tidak terperangkap dengan permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor (gambar) mendakwa, pendirian semasa Penasihat PKR itu berhubung isu itu disebabkan beliau semakin terdesak dengan tarikh perbicaraan kes tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang semakin hampir.
Dalam masa sama, dakwa beliau, Anwar juga mahu menggunakan isu itu untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.
"Saya menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia tidak terperangkap dalam permainan politik Anwar yang semakin terdesak.
"Anwar yang terdesak kerana tuduhan meliwat itu akan melakukan apa saja untuk merosakkan keharmonian negara serta mengalihkan perhatian rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 5 Januari lalu, Anwar melalui laman blognya anwaribrahimblog.com menyiarkan kenyataan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr. Muhd. Nur Manuty yang mewakili pendirian parti itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Menurut kenyataan itu, PKR berpendirian keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah perkembangan positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak tertentu mengambil kesempatan menjadikannya agenda politik untuk menampakkan merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.
Sementara itu, Ezam mendakwa agenda jahat Anwar itu boleh dilihat melalui kecaman Penasihat PKR itu terhadap negara Islam yang didakwanya menzalimi kelompok minoriti pada awal Disember 2009 di Australia.
Dakwa Ezam, kecaman Anwar itu disiarkan dalam media Australia termasuk The Age pada 6 Disember lalu.
"Dan hari ini dia bakar sentimen Kristian di Malaysia dalam isu kalimah Allah, Anwar memang pemimpin yang sanggup lakukan apa saja demi kepentingan peribadi.
"Dan kenyataan dia di Australia sebulan sebelum isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia meletus memaparkan agenda jahatnya," katanya.
/...

12 Januari 2010

Allah untuk Islam – Sultan

UTUSAN - 12/01/10
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 11 Jan. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.
Katanya, turut menghadap baginda ekoran isu pengunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly ialah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin serta Penasihat Undang-undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin di Istana Mestika di sini.
Menurut beliau, baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.
“Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli-ahli MAIS.
“Sebagai Ketua Agama Islam negeri, baginda mahu semua peringkat berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri di sini hari ini.
Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.
Menurutnya, larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.
Malah, jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.
Ekoran keputusan jawatankuasa itu serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan larangan tersebut pada Mei 2008, beliau menegaskan, MAIS membuat 14 ketetapan berhubung isu tersebut.
Menurutnya, antara ketetapan itu ialah istilah Allah bermaksud Tuhan Yang Maha Esa dan berlainan dengan maksud God dalam agama Kristian yang berkonsepkan Triniti (tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus).
“Jika kalimah Allah dibenar digunakan dalam ajaran Kristian, ia mendatangkan pelbagai implikasi membahayakan umat Islam pada masa depan kerana ia mengelirukan,” katanya.
Selain itu, Mohamad Adzib berkata, MAIS berpendirian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara, katanya.
Beliau menegaskan, penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai membincangkannya memandangkan ia perkara ‘non-justiciable’ di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.
Beliau turut memohon campur tangan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam negeri-negeri selaras sumpah raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.
“Selain itu ialah mendesak Kerajaan Persekutuan menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam,” katanya.
/...

Saifuddin ahli Pas atau PKR?

UTUSAN - 12/01/10
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Hanya 24 jam selepas Saifuddin Nasution Ismail diumumkan Setiausaha Agung baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa 1 Februari ini, kini tercetus persoalan parti mana yang dianggotainya.
Ini kerana Ahli Parlimen Machang itu yang menjadi ahli Pas Kawasan Pokok Sena, Kedah pada Januari 2007 tidak pernah mengumumkan keluar parti sekutu PKR tersebut.
Keadaan itu mengundang tanda tanya di kalangan segelintir pemimpin dan ahli kedua-dua parti mengenai kedudukan Saifuddin berikutan pengumuman jawatannya sebagai Setiausaha Agung baru dalam PKR.
Sehubungan itu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menjelaskan status keahlian Saifuddin dalam parti itu.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim mendakwa, sehingga kini Saifuddin tidak pernah mengumumkan keluar daripada Pas walaupun selepas dilantik sebagai Pengarah Strategi PKR pada konvensyen parti itu di Seremban pada Mei 2007.
/...

Nik Abduh mahu lepaskan semua jawatan

UTUSAN - 12/01/10
KOTA BHARU 11 Jan. - Anak Menteri Besar, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) hari ini mengesahkan mahu melepaskan dua jawatannya dalam pentadbiran negeri yang dibuat secara lantikan politik.
Dua jawatan berkenaan ialah ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Pengarah Binaraya PKINK Sdn. Bhd. (Binaraya), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Bagi jawatan di Binaraya, Nik Mohd. Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat berkata, beliau akan berkhidmat sehingga kontraknya tamat pada tahun ini.
Menurut Nik Mohd. Abduh, keputusan itu bagi membolehkan beliau menumpukan kepada pelajaran dan perniagaan yang kini menyebabkan beliau terpaksa berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
"Jika ada tawaran baru, saya akan melepaskannya (menolak) kerana kebiasaannya lantikan ini disambung setiap tahun.
"Tahun ini saya sibuk dengan pelajaran selain mulakan perniagaan. Saya takut mengganggu, saya tidak dapat hadir semua mesyuarat MPKB-BRI dan Binaraya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ketidakhadirannya pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPKB-BRI di sini hari ini.
Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditanya pemberita tentang kedudukan Nik Mohd. Abduh memberitahu, anak Mursyidul Am Pas itu telah dilantik semula ke jawatan itu.
Bagaimanapun, menurut Takiyuddin, beliau tidak tahu mengapa Nik Mohd. Abduh tidak hadir pada majlis itu.
Pada majlis itu, 18 daripada 25 ahli majlis mengangkat sumpah penerimaan jawatan di hadapan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Pada 25 November lalu, ketika isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang membabitkan iparnya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman memuncak, Nik Mohd. Abduh dalam blognya menyatakan hasrat melepaskan semua jawatan lantikan politiknya dalam kerajaan negeri.
Alasan yang diberikannya ialah kerana ingin melanjutkan pelajaran.
Bagaimanapun, ramai pihak melihat pengunduran Nik Mohd. Abduh mempunyai kaitan dengan kemelut yang melanda keluarganya itu.
Sementara itu, Nik Abduh berkata, beliau telah memaklumkan hasratnya tidak menerima pelantikan sebagai ahli MPKB-BRI kepada parti secara lisan sebelum disusuli dengan surat rasmi.
"Pelantikan ini biasanya dimaklumkan secara lisan terlebih dahulu sebelum surat rasmi dikeluarkan.
"Saya telah memaklumkan secara lisan dan surat lewat dihantar kerana surat tawaran daripada MPKB-BRI juga lewat (dihantar)," katanya.
/...

Bukan salah BN sepenuhnya - Husam

UTUSAN - 12/01/10
KOTA BHARU 11 Jan. - Selepas mendakwa kes ganti rugi RM800 juta yang perlu dibayar kerajaan negeri kepada sebuah syarikat berpunca daripada masalah yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri hari ini melembutkan pendirian berhubung perkara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini berkata, kerajaan negeri tidak meletakkan sepenuh kesalahan ke atas bahu pemimpin UMNO yang mentadbir negeri pada era sebelum Pas.
''Kita bukan nak salahkan sesiapa, tetapi kita bertanggungjawab cari penyelesaian melalui mahkamah untuk menghadapi kes ini walaupun kita mewarisinya daripada kerajaan sebelumnya.
''Tetapi bukan saya nak kata UMNO punca masalah semata-mata, cuma dari rekod perkembangannya begitu dan surat-menyurat penyelesaian pun berlaku semasa Allahyarham Tan Sri Mohamed Yaacob menjadi Menteri Besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin negeri itu termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyalahkan BN kerana terpaksa membayar ganti rugi RM800 juta.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan kerajaan negeri membayar RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd. kerana melanggar perjanjian yang dimeterai kedua-dua belah pihak pada 1964.
Jumlah itu termasuk ganti rugi khas sejumlah RM13.5 juta, pembayaran gaji pekerja RM1.7 juta dan ganti rugi sebanyak RM2,000 seekar untuk 280,000 ekar (112,000 hektar) berjumlah RM560 juta dan faedah lapan peratus daripada tarikh pemfailan.
Pada 1975, kerajaan BN yang ditunjangi Pas telah membatalkan perjanjian dengan Timbermine yang diberikan kuasa untuk mengeluarkan balak di kawasan seluas 204,095 hektar di Hulu Kelantan.
Ekoran itu, Nik Abdul Aziz dalam kuliah Jumaat baru-baru ini menyalahkan kerajaan BN kerana Pas terpaksa mewarisi kesilapan tersebut.
Kenyataan sama juga dikeluarkan oleh Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dalam ceramah perdana isu-isu semasa di Pejabat Pas Kelantan.
Pada sidang akhbar tersebut, Husam tidak menyatakan punca sebenar kerajaan negeri di bawah Pas sejak 1990 tidak cuba menyelesaikan perkara tersebut walaupun mengaku menerima surat sekali lagi dari Timbermine pada 1995.
''Berlaku surat menyurat yang panjang dari 1982 hingga 1989, kemudian lepas kerajaan (Pas) ambil alih, pada 1995 baru dia (Timbermind) tulis balik (surat).
''Tapi kita bergantung kepada keputusan sebelum itu, jadi sekarang biar kerajaan negeri dapat peluang buat rayuan," katanya.
Tambahnya, dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Rabu ini, Penasihat Undang-Undang negeri akan diminta memfailkan rayuan secepat mungkin.
Selepas itu katanya, 'peguam yang handal' akan dilantik untuk mempertahankan kerajaan negeri di mahkamah kelak.
/...

10 Januari 2010

Juara Rakyat bantu semua kaum

UTUSAN - 10/01/10
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAMdan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
HULU SELANGOR 9 Jan. – Pengisian Program Juara Rakyat yang dilancarkan hari ini tidak terhad kepada usaha membantu orang Melayu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata Perdana Menteri, walaupun ia inisiatif UMNO, Program Juara Rakyat dirangka dengan semangat memperjuangkan nasib kaum-kaum lain selaras dengan gagasan 1Malaysia.
Sebagai sokongan kepada UMNO, beliau menyarankan parti komponen Barisan Nasional (BN) mendokong tema yang sama dalam program anjuran mereka.
“Malah lagu juara rakyat yang kita perdengarkan buat pertama kali tadi turut menggunakan bahasa lain (Mandarin, Tamil, Inggeris, Iban dan Kadazan) untuk menggambarkan walaupun UMNO mempelopori konsep ini ia tetap memperjuangkan kepentingan semua kaum.
“Jadi apabila membuka pusat khidmat atau membuat program, kita mahu ia bercorak penyertaan semua kaum,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa yang dihadiri oleh kira-kira 20,000 rakyat jelata di sini hari ini.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Pengerusi Pelaksana Program Juara Rakyat, Datuk Ahmad Maslan serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan BN.
Program Juara Rakyat yang berlangsung tiga hari bermula semalam itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik di samping pameran dan jualan melibatkan 125 gerai.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, semua 191 bahagian UMNO di seluruh negara diwajibkan menganjur satu Program Juara Rakyat pada setiap bulan berdasarkan 12 bidang yang digariskan.
Jelasnya, antara bidang itu ialah pendidikan, kebajikan, wanita, keluarga, belia, pertanian, pekerjaan, kesihatan dan kerohanian.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu akan dipantau dan mana-mana bahagian yang gagal memenuhi kuota akan ditegur oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik mengawasi bahagian berkaitan.
Katanya, dengan cara itu UMNO dapat mengaktifkan jentera parti supaya lebih dekat dengan rakyat dan seterusnya memenuhi peranan UMNO dan BN sebagai pendokong cita-cita rakyat.
“Kita mahu pemimpin UMNO peka kepada permasalahan rakyat dan sanggup mengambil tindakan menyelesaikan masalah mereka.
“Ini bukan bererti semua masalah boleh diselesaikan dalam sekelip mata tetapi lebih penting ialah soal keprihatinan kita terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.
Mengenai kempen memburuk-burukkan UMNO yang mahu dilancarkan Pas, Perdana Menteri berkata ia terpulang kepada parti Islam itu jika mahu berkempen secara negatif.
Katanya, UMNO juga boleh berkempen secara negatif terhadap Pas namun ia tidak dilakukan bagi mengelakkan rekod perkhidmatan UMNO yang baik sebelum ini terjejas.
/...