28 Februari 2010

Anwar tidak jujur dengan Pas

MM - 28/02/10
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
BACHOK 27 Feb. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah jujur dalam menjalin hubungan dengan Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Nor berkata, Anwar mempunyai agendanya sendiri dalam menjalinkan kerjasama dengan Pas terutama ketika berdepan krisis moral.
Katanya, Anwar hanya mahu mempergunakan Pas semata-mata demi melepaskan diri daripada tuduhan meliwat.
``Bagi saya, istilah kejujuran itu tidak ada pada Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Ia bukan sahaja kes membabitkan Nik Aziz tetapi juga dalam kes lain, kes liwat dan sebagainya.
“Buktinya dalam kes Kelantan, semasa Anwar jadi Menteri Kewangan dulu, dia tidak meluluskan peruntukan yang diminta Nik Aziz ketika itu untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan, Menteri Kewangan selepasnya yang meluluskan perkara itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ezam berkata, bagi memastikan agenda politiknya terus hidup, Anwar menggunakan Pas untuk meraih simpati dan menyelesaikan masalah moral yang dihadapi.
``Anwar memang terdesak sekarang, orang macam Nik Aziz yang dilihat macam tok guru memang diperlukan oleh Anwar kerana dia menghadapi krisis moral, jadi Anwar akan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Beliau berkata, Pas kini dilihat sudah mula terpedaya dengan mainan politik Anwar sehingga sanggup menggadaikan prinsip utama parti untuk menubuhkan negara Islam.
``Kita tengok sekarang, Pas seperti sudah meninggalkan asas penubuhannya untuk menubuhkan negara Islam dan bagi saya, ini semua gara-gara Anwar yang memanipulasikan keadaan menyebabkan Pas tersepit.
``Sebagai contoh, DAP bersama Pas bukan kerana Pas tetapi kerana jaminan Anwar bahawa Pas tidak akan membawa negara Islam, sekarang saya hendak tanya adakah betul Pas tidak mahu lagi negara Islam," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencabar Pas supaya menyatakan pendiriannya adakah masih mahu menubuhkan negara Islam ataupun hanya mencari kuasa politik dengan mengorbankan dasar perjuangannya.
/hwa-utusan.

27 Februari 2010

Maulidur Rasul 2010

DATUK Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid (kanan) menerima plak daripada Timbalan Yang di-Pertuan, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Perdana pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, 26 Feb. - Utusan

25 Februari 2010

Muhyiddin hairan tindakan Ku Li berhubung isu royalti minyak

BERNAMA - 25/02/2010 2:04pm
PUTRAJAYA 25 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan tindakan serta kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan Persekutuan mengenai isu royalti minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.
Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu juga telah pun berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara tersebut.
"Saya dimaklumkan beliau (Tengku Razaleigh) telah berjumpa dengan Perdana Menteri, tetapi saya tidak tahu apakah sebab dia hendak teruskan langkah itu.
"(Tindakannya itu) seolah-olah macam beliau seorang saja yang memperjuangkan hak rakyat Kelantan... (seolah-olah) kita ini tiada langsung pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Transformasi Politeknik di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu, yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.
Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata, iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan.
/hwa-utusan.

Suhakam sahkan anak Raja Petra tidak didera

BH - 25/02/10
SUNGAI BULOH: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menafikan dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamarudin, bahawa anaknya, Raja Azman, didera dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh. Pesuruhjayanya, Datuk N Siva Subramaniam, berkata Raja Azman, 34, sendiri menyatakan pada pertemuan mereka tadi bahawa beliau menelan bilah pisau cukur sebagai protes selepas diasingkan daripada tahanan lain. Siva berkata, pengasingan itu perlu bagi tujuan siasatan terhadap Raja Azman kini ditahan reman kerana kes curi dan menunggu perbicaraan.
Beliau berkata, Raja Azman kini sudah pulih selepas menjalani proses pembuangan bilah mata pisau cukur itu Sabtu lalu. Raja Petra sebelum ini mendakwa anak keduanya itu cenderung mencederakan diri sendiri kerana didera kakitangan penjara dari segi mental dan fizikal.
/hwa-beita.

Pemuda UMNO nafi tampar Khoon Leng

UM - 25/02/10
PULAU PINANG 24 Feb. - Pemuda UMNO negeri menafikan ada ahlinya yang menampar Naib Ketua Pemuda Gerakan negeri, H'ng Khoon Leng pada mesyuarat Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Ketuanya, Norman Zahalan berkata, dakwaan Exco Pemuda Sosialis DAP negeri, Satees Muniandy bahawa kejadian itu pernah berlaku, ternyata suatu pembohongan.
"Saya nafikan perkara ini berlaku. Ini kerja pakatan pembangkang membuat fitnah, mereka berbohong kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Khoon Leng membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah Satees terhadapnya dalam laman sosial Facebook.
Satees dalam Facebook miliknya, menulis Khoon Leng telah ditampar oleh Pemuda UMNO negeri dalam mesyuarat berkenaan.
Menurut Norman, selama ini tidak pernah berlaku sebarang pertelingkahan di kalangan ahli-ahli semasa mesyuarat Pemuda BN.
"Jika ada pun, ia hanya perselisihan pendapat dan dapat diselesaikan secara muafakat," ujarnya.
Norman menambah, beliau mungkin akan membuat laporan polis dalam masa terdekat kerana menyifatkan dakwaan itu sebagai hasutan.
/hwa-utusan.

Sebat: Kit Siang jangan masuk campur

UM - 25/02/10
Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Penasihat DAP, Lim Kit Siang seolah-olah menafikan Islam sebagai agama rasmi apabila menyifatkan hukuman sebat ke atas tiga wanita Islam baru-baru ini memberi publisiti buruk kepada negara.
Presiden Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Datuk Nakhaie Ahmad berkata, pemimpin pembangkang berkenaan bukan setakat membuat kenyataan itu tetapi apa sahaja berkaitan undang-undang Islam yang dilaksanakan di negara ini akan ditolak.
Nakhaie mendakwa, tindakan itu seolah-olah menggambarkan Kit Siang mempunyai agenda supaya Perlembagaan negara dipinda untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular.
"Kit Siang sepatutnya melihat hukuman sebat itu sebagai sesuatu yang boleh menginsafkan dan bukan untuk menyeksa dan memberi azab kepada pesalah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kit Siang yang dibuat melalui portal propembangkang The Malaysian Insider bahawa hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam baru-baru ini kerana kesalahan seks haram mendatangkan publisiti buruk kepada negara yang mempunyai pelbagai kaum etnik.
Tegas Nakhaie, hukuman sebatan di bawah undang-undang syariah bukan bertujuan untuk menyeksa, sebaliknya mengajar pesalah supaya tidak mengulangi perbuatan yang tidak bermaruah dalam Islam.
Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar mahu Kit Siang tidak mencampuri hal ehwal undang-undang Islam sekiranya tidak arif mengenainya.
''Jika tidak faham hukum syarak dan undang-undang Islam, lebih baik dia diam.
''Dia sepatutnya hanya memberi perhatian terhadap undang-undang sivil. Lagi pun hukuman sebat tidak meliputi orang bukan Islam,'' katanya.
Menurut beliau, sebagai pemimpin parti politik, Kit Siang tidak sewajarnya membuat kenyataan mengikut nafsu untuk tujuan mencari populariti.
Dalam pada itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, kenyataan Kit Siang itu telah mencemar nama baik Islam di negara ini.
Jelasnya, hukuman sebat dilaksanakan bagi menjaga disiplin dan maruah umat Islam berikutan meningkatnya jumlah kes buang bayi serta perlakuan seks haram di kalangan golongan muda.
Menurut Amir, hukuman sebat itu membawa kebaikan kepada umat Islam dari segi moral dan ia tidak terdapat dalam agama lain.
"Orang Barat atau pelancong tidak perlu takut kerana hukuman itu hanya melibatkan orang Islam di negara ini.
"Mereka sepatutnya menghormati nilai-nilai agama lain dan bukan bimbang atau mencampuri apa-apa hukuman yang dilaksanakan dalam Islam," tegasnya.
/hwa-utusan.

"Saya tidak akan tarik balik kenyataan terhadap Guan Eng"

UM - 25/02/10
PETALING JAYA 24 Feb. - Anggota Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng tidak akan memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung tindakannya mengecam pentadbiran Guan Eng baru-baru ini.
Tee Beng yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Jelutong berkata, masalah beliau dengan Guan Eng akan diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti.
"Saya tidak akan tarik balik kenyataan terhadap Lim Guan Eng. Saya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin PKR menentukan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran kesnya di Ibu pejabat PKR di Damansara di sini hari ini.
Sebelum ini, Tee Beng mendakwa pentadbiran Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP meminggirkan wakil rakyat PKR dan menganggapnya sebagai sampah.
Tee Beng diberikan surat tunjuk sebab minggu lalu ekoran kenyataannya mengkritik Guan Eng termasuk Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali.
Dalam kenyataannya sebelum ini Tee Beng secara terang membidas dan mempertikaikan kedudukan Syed Husin sebagai timbalan presiden dan menggesa lembaga disiplin parti melakukan siasatan bagaimana Syed Husin boleh menyandang jawatan tersebut sedangkan mahkamah memutuskan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang dinaunginya masih wujud.
Tee Beng berkata demikian sebagai reaksi selepas Syed Husin menyarankan beliau supaya meninggalkan parti atas keceluparannya mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Beliau sebaliknya menggesa Syed Husin agar keluar parti kerana kedudukannya dalam PKR boleh dipertikaikan.
Tee Beng juga mengulangi pendiriannya bahawa tidak akan menarik balik atau berhenti membuat kenyataan mengenai 'keangkuhan' Guan Eng meskipun menerima satu SMS daripada Syed Husin supaya berbuat demikian.
Bagaimanapun selepas dua jam menghadap jawatankuasa disiplin, Tee Beng akhirnya bersetuju memohon maaf kepada timbalan presidennya dan bersedia membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik semula bidasan yang dibuatnya itu.
"Saya sebagai ahli PKR masih bersama PKR dan secara ikhlas saya mohon maaf kepada timbalan presiden Syed Husin Ali berhubung kenyataan media saya terhadapnya. Mungkin saya memberi reaksi yang keterlaluan dan terlalu emosional ketika itu," katanya.
Ditanya mengapa beliau sanggup memohon maaf kepada Syed Husin tetapi enggan berbuat demikian kepada Lim, Tan berkata, masalah dengan Syed Husin umpama masalah dalam keluarga dan lebih mudah diselesaikan berbanding isunya dengan Guan Eng.
"Ia umpama masalah keluarga (Syed Husin)...kami di bawah satu bumbung, rumah yang sama. DAP ialah jiran kami dalam taman yang sama, jadi biarlah mereka yang lebih kanan berbincang dengan pihak satu lagi...biar "bapa" menyelesaikan masalah itu," katanya.
/hwa-utusan.

Pahang senarai pembohongan pembangkang

UM - 25/02/10
KUANTAN 24 Feb. - Kerajaan Negeri Pahang sedang menyenaraikan pembohongan yang dibuat oleh parti pembangkang bagi menyedarkan rakyat termasuk peneroka Felda mengenai dakyah yang sengaja direka-reka oleh mereka untuk memburuk- burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah tersebut membolehkan kerajaan negeri menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata, antara pembohongan dan tohmahan yang sengaja dibuat oleh parti pembangkang ialah mengenai hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat dan belanjawan defisit kerajaan negeri.
Jelas beliau, kerajaan negeri berhutang kepada Kerajaan Persekutuan kerana hendak melaksanakan projek bekalan air dan perumahan demi kesejahteraan rakyat, bukannya seperti didakwa oleh pembangkang.
"Kita sedang senaraikan pembohongan yang dibuat oleh pihak pembangkang (dan) kita akan jawab," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik; Pengerusi Majlis Gabem Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail.
Adnan ditanya tentang tindakan PKR masuk ke tanah-tanah rancangan Felda bagi mendapatkan sokongan golongan peneroka terhadap mereka.
Beliau berkata, perkara tersebut adalah biasa kerana BN dan UMNO akan turut berbuat demikian tetapi mengikut pendekatan yang tersendiri.
"UMNO ada caranya. Selepas konvensyen (UMNO Pahang lalu), kita dapat suntikan semangat baru. Semua pemimpin dan ahli nampak bersatu dan semangat ahli UMNO Pahang kini sudah kuat," katanya.
Ditanya tentang usaha pembangkang yang berangan-angan menawan Pahang pada pilihan raya umum akan datang, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, pembangkang telah lama berangan-angan untuk merampas Pahang tetapi tidak pernah berjaya.
"Kita tidak takbur, Pahang akan jadi kubu kuat UMNO. Syaratnya, kita kerja kuat. Kita tahu ada kelemahan di satu dua kawasan, kita akan kerja kuat (untuk membaiki kelemahan tersebut)," katanya.
/hwa-utusan.

Mahkamah tolak permohonan semakan Anwar

BH - 25/02/10
PUTRAJAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam cubaan terakhir bagi perintah untuk mendapatkan beberapa dokumen penting termasuk sampel DNA bekas pembantunya, Mohd Saiful Azlan Bukhari bagi pembelaan kes liwatnya. Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan kes berkenaan.
/hwa-berita.

Malaysia pulih lebih cepat

UM - 25/02/10
Oleh SARAH NADLIN ROHIM
sarah.rohim@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Krisis ekonomi global yang melanda Malaysia semakin hampir ke penghujungnya berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat di luar jangkaan.
Pakar dan para penganalisis ekonomi berkata, perkembangan positif itu dijangka mampu membantu peningkatan pertumbuhan ekonomi pada 2010.
Sebelum ini kerajaan menganjurkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak tiga hingga empat peratus. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula membuat sasaran peribadi sebanyak lima peratus.
Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, berdasarkan keputusan terbaru itu, kerajaan dijangka meningkatkan unjurkan KDNK negara.
''Dengan keputusan positif ini, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat berbanding jangkaan awal.
''Petunjuk ini sekali gus menunjukkan sentimen keyakinan pengguna semakin pulih, selain pasaran kerja yang semakin stabil dapat membantu pengukuhan ekonomi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kim Leng turut menyambut baik terhadap bayangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Tegas beliau, kadar faedah yang rendah adalah sangat berisiko dan akan hanya menyebabkan gelembung aset.
''Perubahan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat supaya tidak memberi kesan kepada kadar pinjaman yang akan dibuat oleh pengguna,'' jelasnya.
Malaysia mencatatkan KDNK sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2009, kenaikan 1.1 peratus daripada sasaran awal kerajaan 3.4 peratus.
Secara keseluruhannya, KDNK hanya mencatatkan penguncupan 1.7 peratus pada tahun lalu, iaitu lebih rendah daripada sasaran awal -3.0 peratus sebelum ini.
Ekonomi Malaysia menguncup pada suku pertama kepada -6.2 peratus, suku kedua -3.9 peratus dan suku ketiga -1.2 peratus.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin pula menyifatkan prestasi ekonomi negara itu memang sudah dijangkakan.
Malah, jelas beliau, prestasi itu seiring dengan kedudukan ekonomi di negara-negara serantau seperti Singapura, Korea dan China, meskipun berlaku kebimbangan dengan ketidakstabilan pasaran di Eropah.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak menganggu keseluruhan pemulihan ekonomi global.
Beliau berkata, pengukuhan ekonomi tersebut banyak disumbangkan oleh pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang berjalan lancar dan pantas.
Ditanya sama ada kerajaan perlu meneruskan pakej rangsangan ekonomi, beliau berkata: ''Ia tidak perlu kerana negara tidak boleh bergantung secara berterusan kepada program tersebut''.
Dr. Mahani menyifatkan langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan Bajet 2010 adalah baik kerana membolehkan kerajaan berbelanja dengan cekap dalam setiap ringgit yang dibelanjakan.
Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berpendapat, sasaran yang dibuat Perdana Menteri sebanyak lima peratus hanya boleh dicapai pada separuh pertama tahun ini tetapi dalam keadaan berhati-hati.
''Keadaan ekonomi global masih lagi belum pulih sepenuhnya kerana situasi ekonomi di negara-negara membangun masih lagi membimbangkan terutama Amerika Syarikat (AS) yang mengalami masalah pengangguran tinggi.
''Sesetengah pakar ekonomi masih tidak menolak risiko kemungkinan AS akan mengalami kemelesetan ekonomi berganda. Risiko tersebut berada pada kadar 30 peratus hingga 60 peratus,'' jelasnya.
Azrul berkata, prestasi ekonomi pada tahun lalu itu secara keseluruhan dibantu oleh pakej rangsangan ekonomi tetapi apabila kesan itu semakin berkurangan, ia dikhuatiri akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
''Negara perlu berhati-hati dalam menghadapi kehilangan kesan pakej rangsangan dan perlu bersedia berhadapan dengannya,'' jelasnya.
/hwa-utusan.

Nallakaruppan anggap Wan Azizah 'pelakon' hebat

UM - 25/02/10
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selayaknya diberi anugerah 'Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan 'lakonannya' ketika berhadapan dengan rakyat.
Datuk S. Nallakaruppan yang secara sinis mencadangkan pengurniaan itu, bersedia mengemukakannya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan.
Beliau yang juga bekas rakan karib Anwar berkata, anugerah itu kelak akan mampu menaikkan lagi reputasi Wan Azizah bagi membolehkannya menerima tawaran lumayan dari Hollywood.
"Saya amat yakin kelak Wan Azizah mampu meraih 'Anugerah Academy' di Hollywood," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nallakarupan mengulas kenyataan Wan Azizah dalam sebuah akhbar Australia semalam yang menyifatkan perbicaraan kes liwat suaminya merupakan sebahagian daripada usaha untuk menamatkan karier politik Ketua Pembangkang itu.
Dakwa beliau, Wan Azizah seorang wanita yang hebat kerana boleh melalui kes dakwaan berkaitan moral suaminya.
Malah dakwa beliau lagi, Presiden PKR itu juga berada pada satu tahap melebihi wanita lain di Malaysia kerana boleh melakukan apa sahaja demi menjaga kepentingan kerjaya suaminya.
"Wan Azizah kena tahu bahawa bukan semua isteri seperti beliau yang boleh menerima keadaan sedemikian. Ramai kalangan wanita di Malaysia tidak boleh terima dengan senang hati.
"Mereka juga tidak akan berpura-pura hanya sebab kepentingan kerjaya suami mereka. Hanya Wan Azizah sahaja yang sanggup buat semua ini," katanya.
Nallakaruppan percaya kesanggupan Wan Azizah itu berpunca daripada keyakinannya untuk mencapai cita-citanya satu hari kelak.
"Saya kasihan dengan mereka yang masih percaya dengan lakonan dan sandiwara Wan Azizah," katanya.
Mengenai perbicaraan Anwar, Nallakarupan berkata, bekas sahabat karibnya itu sepatutnya menjadi seorang lelaki budiman dengan berhadapan segala pertuduhan yang dikemukakan.
''Mangsa membuat laporan dan pendakwaan kata ada bukti. Kalau lelaki yang gentleman, dia bukan saja akan hadapi perbicaraan tetapi berharap ia dijalankan secepat mungkin kerana itu penting bagi membersihkan namanya,'' ujarnya.
/hwa-utusan.

22 Februari 2010

Cabaran politik Malaysia

UM - 22/02/10
Oleh KASSIM AHMAD
Politik di Malaysia kini kecamuk. Pakatan pembangkan yang memenangi dan menguasai lima negeri telah menampakkan apa yang kita sudah ketahui iaitu ketiadaan asas satu gabungan yang kukuh dan mantap.
Mereka sendiri sebenarnya tidak menyangka akan menang begitu besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Kemantapan dan kelangsungan pakatan pembangkang itu diselubungi tanda tanya. Idealisme yang bertanggungjawab bagi perubahan itu tidak boleh kekal tanpa realisme untuk melahirkan sistem yang lebih adil.
Mari kita selidik anasir-anasir yang bergabung untuk membawa perubahan dalam pilihan raya umum itu.
Pas asalnya serpihan daripada UMNO yang sudah berubah dari satu pimpinan yang progresif di bawah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Dzulkifli Muhammad dalam dekad-dekad 50-an dan 60-an melalui 'Islam Melayu' di bawah pimpinan Asri Muda kepada pimpinan yang konservatif iaitu agresif dan jumud di bawah 'pimpinan ulama' acuan Iran sejak Yusof Rawa mengambil alih pimpinan Pas.
Oleh kerana pandangan hidup mereka bertunjangkan akhirat, yang makna sebenarnya kabur dan mereka sendiri tidak tahu, maka tidak ada konsep dan dasar perkembangan ekonomi dalam sistem mereka.
DAP pula sebuah parti demokratik-sosial yang didominasi oleh kaum Cina dengan dasar cauvinis 'Malaysian Malaysia' warisan PAP di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Jika mereka berkuasa di peringkat pusat, maka Perlembagaan kita akan mereka ubah dan banyak dasar akan bertukar. Huru-hara akan berlaku. Kita katakan ini bukan untuk menakutkan rakyat Malaysia kepada pemerintahan DAP. Kita mahu melihat DAP mengubah ideologi dan dasarnya supaya lebih sesuai dengan realiti hidup bermasyarakat majmuk di Malaysia.
PKR pula lahir daripada 'gerakan reformasi' Anwar Ibrahim yang telah disingkir dari jawatan Timbalan Presiden UMNO. Gerakan reformasi itu menarik pelbagai aliran ideologi yang mahukan perubahan, termasuk anasir-anasir sosialis yang berpecah dari Parti Rakyat. Ia bergantung kepada karisma Anwar Ibrahim tanpa suatu ideologi perjuangan dan dasar yang jelas dan kukuh.
Gabungan 'cacamarba' itu bukan tidak boleh berkembang menjadi kukuh dan kuat, tetapi ia memerlukan lebih daripada karisma seorang individu dan tempelan serpihan satu sosialisme. Ia memerlukan rumusan sebuah falsafah politik nasional yang boleh menyatukan rakyat Malaysia dan mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik.
Dalam pada itu, kemampuan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bangkit semula masih belum jelas. Penyakit UMNO iaitu 'politik wang' adalah sebenarnya rasuah, pembaziran, pimpinan elitis yang terpisah daripada rakyat, suatu bentuk hegemoni.
Soalnya, bolehkah UMNO mengubati kesemua penyakit itu? Pimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan sedikit harapan. Jika beliau boleh mengikut jejak langkah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, pimpinannya mempunyai harapan yang cerah. Cogankatanya '1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' menarik dan sarat dengan makna dan kemungkinan.
Namun Najib menghadapi cabaran yang lebih besar daripada bapanya, kerana kemerosotan UMNO yang teruk dan krisis ekonomi dunia yang parah sekarang. Beberapa daya usahanya yang mengutamakan golongan miskin memberi sinar baru.
Amalannya 'pergi kepada rakyat' menggalakkan, tetapi beliau kena mengelak pembaziran seperti yang ditunjukkan dalam lawatannya ke Melaka, baru-baru ini. Malah beliau kena memberi arahan yang jelas dan tegas supaya kerajaan pimpinannya bukan sahaja menolak tetapi mahu menghapuskan pembaziran, baik dari segi wang atau guna tenaga. Pembaziran suatu daripada bentuk penyelewengan besar yang meruntun masyarakat kita ke bawah.
Pada dasarnya, hanya ada dua jenis politik dalam dunia ini iaitu politik puak humanisme yang berjuang untuk melaksanakan keadilan, dan puak oligarki (segelintir) yang menekan massa.
Kita tentu tahu sistem politik mana yang kita mahu. Kita mesti ada suatu falsafah politik nasional yang boleh mewujudkan sistem ini serta mendidik rakyat kita untuk mewujudkannya.
Falsafah ini mesti merangkumi semua aliran politik nasional dalam negara kita, iaitu nasionalisme Melayu, nasionalisme Malaysia, kerajaan yang adil berdasarkan permuafakatan nasional, dan internasionalisme dan humanisme yang tulen.
Sistem dwi-parti (kerajaan dan pembangkang) lahir dari sejarah Eropah yang tidak sama dengan sejarah Dunia Ketiga (yang kena jajah). Oleh itu, seruan supaya kita mewujudkan dwi-sistem (sistem dua parti) harus dicurigai. Sistem BN lebih mirip kepada sistem nasional yang kita sebut dan yang lebih sesuai dengan sejarah dan tradisi politik Dunia Ketiga.
Kita ambil iktibar dari politik Pas kini. Seperti yang telah kita sebutkan, Pas asalnya serpihan dari UMNO dan telah melalui tahap politik progresif di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin, politik keMelayuan di bawah pimpinan Asri Muda, dan politik 'pimpinan ulama' acuan Iran sejak Yusof Rawa memegang tampuk pimpinan hingga hari ini.
Oleh kerana kumpulan ini tidak mempunyai dasar ekonomi-politik yang boleh membangunkan rakyat, Kelantan yang mereka tadbir tidak boleh maju dan ketinggalan di belakang. Sekarang di dalam pakatan pembangkang, masih tidak jelas apakah dasar ekonomi-politik mereka. Kerjasama dengan DAP mengharuskan mereka menyokong dasar cauvinis parti itu. Keresahan timbul sekarang dalam Pas supaya mencari perpaduan dengan UMNO untuk mempertahankan Islam dan kepentingan orang Melayu.
Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mahathir, oleh kerana rakyat kurang percaya kepada parti-parti politik, baik kerajaan ataupun pembangkang, maka timbul badan-badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan yang lebih aktif menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat. Kelemahan NGO itu jelas, iaitu ketiadaan ideologi yang sama dan hanya wujud sebagai kumpulan pendesak yang tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara.
Kecamuk politik di Malaysia sekarang, dari satu segi merupakan refleksi kecamuk politik dunia. Kuasa-kuasa besar yang menguasai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu mengongkong Iran daripada menjadi kuasa nuklear.
Dahulu mereka takut Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein menjadi kuasa nuklear yang mengancam kewujudan anak emas mereka, Israel. Aneh dan malangnya pada waktu itu, Iran bersekongkol dengan Barat untuk menghapuskan Saddam Hussein. Berjaya dalam strategi itu, Barat sekarang menghadapkan kemarahannya dan ketidakadilannya kepada Iran pula. Akan berlakukah satu peperangan besar? Perang nuklear yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel di satu pihak, dan Iran dan sekutunya, di pihak lain?
Seperti di dunia antarabangsa, kecamuk politik kita boleh mengundang bahaya besar. Satu malapetaka besar semacam '13 Mei' atau lebih buruk boleh berlaku jika kecamuk politik ini berterusan.
Menjadi tugas besar Najib dan pimpinan UMNO-BN, termasuk para pemimpin dari pakatan pembangkang yang rasional untuk duduk semeja serta merumuskan satu falsafah politik nasional Malaysia yang lebih kukuh dan mantap bagi mengatasi kecamuk politik itu serta membolehkan Malaysia terus maju ke hadapan.
/hwa-utusan.

UMNO dan BN sentiasa terbuka

UM - 22/02/10
PONTIAN 21 Feb. - UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap terbuka terhadap wakil rakyat yang keluar daripada parti pembangkang untuk menyertai mereka.Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun setakat ini wakil rakyat yang terlibat telah mengisytiharkan mereka menjadi wakil rakyat Bebas dengan menyokong BN.
''Terpulang kepada mereka untuk menentukan hala tuju politik masing-masing kerana UMNO dan BN tidak pernah memujuk wakil rakyat berkenaan untuk keluar daripada parti mereka.
"UMNO dan BN sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja dan terpulanglah kepada pucuk pimpinan tertinggi parti membuat keputusan mengenai mereka," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Titian Ilmu Anak Teknologi Pontian tahun 2010 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kampung Sungai Naga di sini hari ini.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, tindakan wakil rakyat berkenaan keluar daripada parti menunjukkan mereka telah menyedari kesilapan yang telah dilakukan.
Dalam pada itu, beliau yang baru pulang dari Jepun atas jemputan kerajaan negara tersebut meminta UMNO dan BN mempelajari sesuatu daripada kejatuhan kerajaan Parti Liberal Demokratik (LDP) setelah memerintah negara matahari terbit itu selama 60 tahun.
Katanya, daripada maklum balas yang diterima, salah satu punca kejatuhan parti tersebut adalah kerana kegagalan para pemimpin parti untuk mendekati rakyat yang selama ini telah memberikan sokongan kepada mereka.
Selain itu, menurut beliau, masalah birokrasi di kalangan pegawai-pegawai awam yang telah menyukarkan orang ramai untuk berurusan dan juga masalah rasuah serta penyalahgunaan kuasa turut menjadi kejatuhan parti berkenaan.
"Kejatuhan parti tersebut sewajarnya menjadi iktibar dan ingatan semua agar ia tidak berlaku kepada BN. Kita perlu sentiasa menganjurkan program bagi mendekati rakyat," ujarnya.
/hwa-utusan.

Riak tak puas hati mula ketara

UM - 22/02/10
KUALA KRAI 21 Feb. - Perasaan tidak puas hati di kalangan ahli dan penyokong Pas di negeri ini terhadap tindak tanduk pemimpin parti yang sanggup berkompromi dalam soal agama dan kepentingan bangsa demi kepentingan politik, dilihat semakin ketara.
Mereka menyatakan secara terbuka untuk beralih sokongan kepada UMNO walaupun boleh menjejaskan hubungan dengan masyarakat setempat yang masih teguh sokongan kepada Pas.
Selain di jajahan Machang dan Pasir Mas baru-baru ini, semalam, 82 bekas ahli dan penyokong Pas kawasan Bukit Sireh di sini pula menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Jurucakap kumpulan itu, Zamzuri Ismail, 40, berkata, apa guna sokongan terus diberi jika tumpuan parti hanya ingin merebut kuasa sedangkan aspek kebajikan dan kepentingan terabai.
Katanya, mereka juga dukacita dengan sikap wakil rakyat yang diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu kerana gagal berperanan setelah membandingkan dengan khidmat para pemimpin UMNO setempat.
"Semua orang boleh menilai dan membuat perbandingan sekarang. Saya jangka ramai lagi menyertai UMNO walaupun mereka tidak mahu beritahu secara terbuka," katanya.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Mustapa berkata, pemimpin Pas terutama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kerap mengeluarkan fatwa serta pandangan mengelirukan telah menyebabkan sebahagian daripada ahlinya kecewa.
Katanya, beberapa tindakan Nik Abdul Aziz seperti menganggap perarakan sambutan Maulidur Rasul tidak ada fadilat, seolah-olah mempertahankan apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang di Pulau Pinang.
Menurut beliau, ia menghiris perasaan umat Islam di negeri di bawah pemerintahan DAP itu sedangkan ia merupakan amalan yang baik.
"Oleh itu, dengan kemasukan ahli Pas ke dalam UMNO, memperlihatkan keyakinan pengikut Pas semakin terhakis kerana mereka percaya Pas akan terus tunduk kepada parti-parti dalam pakatan pembangkang walaupun ia tidak membawa kebaikan kepada umat Islam," ujarnya.
/hwa-utusan.

Kaedah 4M dekati rakyat

UM - 22/02/10
PETALING JAYA 21 Feb. - UMNO akan menggunakan kaedah '4M' iaitu Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik dan Media Maya dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai projek pembangunan yang dijalankan di setiap daerah menerusi program Satu Penerangan Satu Bahagian (SPSB).
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, kaedah 4M dilihat lebih berkesan bagi menghebahkan maklumat mengenai pelbagai projek pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan.
Menurutnya, kaedah berkenaan akan digunakan di 20,000 cawangan UMNO seluruh negara.
"Kalau boleh setiap bulan satu aktiviti kerana ini akan menggerakkan UMNO dari peringkat akar umbi dan program mesti berterusan supaya pemimpin sentiasa merakyatkan diri mereka," katanya selepas merasmikan Program Penerangan UMNO Bahagian Subang di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pemimpin-pemimpin UMNO bahagian perlu kreatif ketika menyampaikan penerangan kepada rakyat dan harus bergerak walaupun pada acara yang melibatkan jumlah pengunjung yang kecil.
"Boleh gunakan forum, seminar dan sebagainya untuk mendekati rakyat dan jangan tunggu pada majlis besar sahaja.
''Jika ada 200 orang pengunjung sekalipun, lakukan juga tugas kita," katanya.
Program itu dilancarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu sebagai usaha transformasi UMNO untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah Barisan Nasional.
Sementara itu, mengulas langkah kerajaan membeli iklan dalam surat khabar arus perdana bagi menjelaskan kepada rakyat isu tuntutan hasil petroleum kerajaan negeri Kelantan, Ahmad berkata, ia merupakan satu kaedah kreatif yang mungkin akan digunakan pada masa hadapan.
"Selepas ini, jika timbul isu besar, kita akan gunakan cara ini untuk jelaskan kepada rakyat dan jika pembangkang masih tidak mahu menerimanya, terpulang kepada mereka.
"Mereka cakap nak bawa ke mahkamah, teruskanlah kerana kita telah menjelaskan sebaik mungkin tapi mereka masih tidak mahu faham. Itulah sikap sebenar mereka," katanya.
/hwa-utusan.

20 Februari 2010

RAJA Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menunjukkan bakat mengait jala ketika berangkat pada majlis bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Pangkor, Pulau Pangkor, semalam. Turut hadir Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim (dua dari kanan), Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri) dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli. Pada majlis tersebut Raja Dr Nazrin Shah turut menyampaikan sumbangan kepada murid sekolah, warga tua dan orang kurang upaya. - Foto Bernama-Feb 20, 2010 7:41 am

Najib minta UMNO muhasabah diri

UM - 20-02-10
MARAN 19 Feb. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemimpin dan ahli parti itu bermuhasabah diri sebelum mereka dinilai oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, proses bermuhasabah itu bukan bertujuan mencari atau menuding jari mencari kesalahan pemimpin atau pihak lain sebaliknya mencari kelemahan diri sendiri.
"Menerusi proses muhasabah ini, kita perlu membuat kesimpulan apa bentuk kejayaan yang hendak diserlahkan oleh kita dan apa kelemahan yang perlu diperbaiki," katanya.
Beliau berucap merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka dekat sini hari ini.
Menurut beliau, pemimpin dan ahli UMNO perlu menilai diri sendiri daripada perspektif rakyat yang akan menentukan kerajaan pilihan mereka pada pilihan raya akan datang.
Beliau menegaskan, kegagalan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum lalu dan kalah di lima negeri bukan kerana pembangkang kuat sebaliknya UMNO dan BN lemah.
Menurutnya, UMNO mampu mencapai kejayaan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang tetapi dengan syarat pemimpin UMNO melakukan muhasabah.
Selain muhasabah kata beliau, UMNO perlu melakukan perubahan termasuk mengubah perlembagaan parti seperti yang telah dilakukan tahun lalu.
''Perubahan besar yang pernah dibuat ialah menghapuskan sistem kuota dan undi bonus.
''Kalau hendak (kekal) jadi Presiden, sepatutnya kena guna cara lama, tetapi ini bukan caranya untuk memberikan khidmat yang terbaik walaupun kuota dan bonus boleh saya gunakan jika ingin kekal menjadi Presiden," jelasnya.
Najib menambah, perubahan tidak dapat dielakkan agar parti tidak dilihat lemah dan tidak bermaya.
Beliau mengambil contoh bagaimana kejayaan Parti Kongres di India yang sebelum itu ditolak rakyat negara itu tetapi berjaya kembali berkuasa setelah melakukan pembaharuan.
''Parti Kongres telah menampilkan muka-muka baru dalam kawasan yang kalah tetapi mengekalkan orang lama di kawasan yang menang.
''Parti itu juga mementingkan orang miskin dan akhirnya mereka berjaya membentuk kerajaan dalam pilihan raya berikutnya," kata beliau.
Berdasarkan pengalaman Parti Kongres itu, Najib menambah, beliau memperkenalkan slogan ''Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" supaya parti mengutamakan kebajikan rakyat.
Beliau yakin UMNO dan BN mampu menang dengan majoriti lebih dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan tiga faktor iaitu kepimpinan negara, parti dan calon.
/hwa-utusan.

Tidak perlu sidang khas Dewan Rakyat - Najib

UM - 20/02/10
MARAN 19 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Dewan Rakyat tidak perlu sama sekali mengadakan sidang khas untuk membincangkan usul menggugurkan pendakwaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kes itu tidak ada kaitan dengan kerajaan dan kepentingan negara.
Tegas beliau, pendakwaan kes tersebut bersifat peribadi iaitu hanya membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25.
''Kes ini tidak melibatkan kerajaan. Ini sebenarnya soal antara Mohd. Saiful Bukhari dengan Anwar.
Jadi kalau apa-apa pun, perkara ini kena diselesaikan antara mereka berdua. Ia tidak melibatkan kerajaan, ia bersifat peribadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka di sini, hari ini.
Najib mengulas gesaan pakatan pembangkang semalam yang mahukan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan usul menggugurkan pendakwaan kes liwat Anwar.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sidang khas berkenaan perlu bagi menetapkan pendirian terhadap perbicaraan Anwar yang kini menjadi bahan jenaka masyarakat dunia.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, hanya Perdana Menteri selaku Ketua Majlis iaitu ketua kerajaan berhak memanggil sidang khas atau tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan sesuatu isu.
Najib menjelaskan, beliau hanya boleh memanggil sidang khas Dewan Rakyat jika berlaku sesuatu isu membabitkan kepentingan negara.
Sebaliknya, tegas beliau, kes pendakwaan liwat membabitkan pemimpin pembangkang itu tidak melibatkan dasar mahupun pendirian kerajaan.
''Ini berkaitan aduan seseorang yang bekerja di pejabatnya (Anwar). Ini soal peribadi. Lagi pun kes ini telah masuk mahkamah, mana boleh tarik kes," jelasnya.
Tambah Najib, pembangkang cuba mengalihkan pandangan rakyat seolah-olah kes tersebut ada kaitan dengan politik.
Mengulas tindakan 50 ahli Parlimen Australia yang mendesak supaya pendakwaan terhadap Anwar digugurkan, beliau berkata, kerajaan akan memberi penerangan berhubung kes tersebut bagi menjelaskan kedudukan sebenar.
Ini kerana, menurut beliau, kumpulan Ahli Parlimen negara tersebut hanya mendapat maklumat daripada pembangkang yang memanipulasikan isu berkenaan.
''Kita (kerajaan) kena terangkan sebab mereka (Ahli Parlimen Australia) tidak dapat maklumat sebenar. Maklumat diperoleh hanya daripada pembangkang," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib memberitahu, Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat (AS) telah menjelaskan kepada Washington mengenai kedudukan sebenar kes pendakwaan liwat tersebut.
/hwa-utusan.

TPM: Malaysia tidak tunduk desakan asing

UM - 20/02/10
PUTRAJAYA 19 Feb. - Malaysia tidak akan tunduk dengan tekanan termasuk dari negara asing yang mendesak agar kes pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan akan terus berpegang dengan prinsip amalan demokrasi yang tidak campur tangan dalam sistem kehakiman negara.
Justeru beliau berkata, proses perundangan yang sedang dilalui oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan diteruskan kerana negara ini menghormati sistem undang-undang yang sedia termaktub.
''Walaupun mereka (kuasa asing) berhak memberikan pandangan tetapi kita lebih berhak untuk menjunjung institusi keadilan yang telah kita amalkan selama ini.
''Kalau kita tunduk, bukan sahaja bermakna kita lemah, ia juga bermakna kita sudah lari daripada dasar negara ini yang amalkan demokrasi dan pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media asing baru-baru ini mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry yang mahu sistem kehakiman di Malaysia berhubung kes pertuduhan liwat terhadap Anwar dilakukan secara adil.
Sebelum ini, 50 ahli Parlimen Australia turut mendesak kes pertuduhan liwat Anwar digugurkan.
Muhyiddin berkata, negara asing termasuk AS dan Australia perlu menghormati sistem perundangan negara ini dan tidak hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu.
''Hanya kerana seorang manusia menghadapi mahkamah ada sesuatu (desakan) begitu, sedangkan proses perundangan kita telah berlangsung sekian lama, bukan seorang malah banyak lagi tetapi mengapa tidak diperjuangkan.
''Mengapa nampak berbeza, selama ini banyak yang dah dijatuhkan hukuman dan ada yang dibebaskan, itu kita telah amalkan selama ini," katanya.
Dalam hal ini, beliau melahirkan rasa 'tidak berapa faham' tentang sikap pihak asing yang mengaku mengamalkan demokrasi tetapi mendesak kerajaan campur tangan dalam urusan mahkamah.
''Dalam soal ini kita tidak boleh menghukum Anwar bersalah atau tidak, sebaliknya mahkamah yang akan putuskan.
''Tetapi mereka buat hukuman awal seolah-olah kita tidak melakukan keadilan kepada beliau (Anwar), saya fikir ini satu perkara yang tidak betul," katanya.
Mengenai saranan pakatan pembangkang agar sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan usul menggugurkan pendakwaan kes liwat terhadap Anwar, Muhyiddin berkata, kes itu telah berada di peringkat mahkamah dan ia bidang kuasa yang berbeza daripada legislatif.
''Bagaimana Lim Kit Siang (Penasihat DAP) mahu mencadangkan agar legislatif mempengaruhi kedudukan kehakiman. Ini sudah jadi kacau,"
Tambah beliau, pihaknya melihat pakatan pembangkang sudah agak bercelaru dan berasa kedudukan mereka agak tergugat.
''Kita jangan menjatuhkan hukuman awal-awal, seolah-olah orang itu sudah bersalah atau tidak bersalah.
''Saya fikir Ahli-ahli Parlimen tahu peranan mereka dan di mana peranan hakim serta mahkamah.
''Kenapa perlu dicampuradukkan kerana ia akan membawa kekeliruan kepada negara," katanya.
/hwa-utusan.

17 Februari 2010

Krisis pembangkang serius

ARKIB : 16/02/2010
Oleh Nadzir Awang Ahmad
Pendedahan dan kenyataan terbuka Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang yang menggesa kepimpinan tertinggi PKR mengkaji semula kedudukan dan kerjasama parti itu dengan DAP di Pulau Pinang baru-baru ini menerima komen dan pandangan daripada pelbagai pihak.
Perkara itu dibangkitkan ekoran pendedahan beliau mengenai sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai seorang pemimpin yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya. Pendedahan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Bagi penganalisis politik dan pemerhati politik tanah air yang sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa tanah air, keretakan pakatan pembangkang memang sudah dijangka. Hanya keadaan dan masa yang bakal menentukan pakatan ini akan berkubur.
Apa tidaknya, gabungan pembangkang yang terdiri daripada tiga komponen parti utamanya iaitu PKR, DAP dan Pas masing-masing mempunyai agenda dan ideologi yang berbeza. Bak kata pepatah, tidur sebantal, mimpi berbeza.
Pergeseran, perbalahan dan pergolakan
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataannya selepas melawat I-City seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan menyifatkan pakatan pembangkang merupakan marriage of convenience (perkahwinan mutaah) dan tidak akan kekal lama kerana tiada apa-apa persamaan antara PKR,DAP dan Pas.
Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan tersebut selepas diminta mengulas pergeseran antara Ahli Parlimen Kulim, Zulkifli Noordin dari PKR dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari Pas. Terkini, kemuncak pergeseran antara Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR dan Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP tidak dapat dibendung lagi. Maka lengkaplah pusingan pergeseran pendapat dan mungkin juga boleh disifatkan sebagai keretakan serius untuk ketiga-tiga parti gabungan dalam pakatan pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam kenyataannya kepada pemberita selepas melancarkan Digital Pekan 1Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah seperti mana dilaporkan oleh akhbar menyifatkan krisis politik pembangkang terutama di Pulau Pinang berada di tahap yang amat serius sekali gus menggambarkan penolakan yang amat jelas terhadap kepimpinan Guan Eng.
Najib juga menegaskan bahawa perbalahan dan pergolakan dalam pembangkang bukan sekadar perselisihan pendapat. Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tiada kaitan dengan apa yang sedang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang.
Seterusnya Najib menyifatkan perbalahan itu merupakan satu tanda bahawa keyakinan telah hilang di kalangan pemimpin pembangkang terhadap apa yang dilakukan di peringkat negeri dan beliau juga tidak menolak kemungkinan, krisis yang sedang melanda pakatan pembangkang itu akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain yang dikuasai pakatan pembangkang.
Tempoh yang begitu muda bagi pakatan pembangkang umpama jiwa muda yang masih bergelora. Justeru, tidak hairanlah bagi pemerhati politik meramalkan pengaruh pembangkang sebagaimana yang berlaku di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu tidak akan kekal momentumnya.
Mungkin tsunami politik yang melanda kerajaan BN berkemungkinan akan melanda pakatan pembangkang pada PRU Ke-13 yang akan datang.
Keluar parti dan lompat parti
Tindakan keluar parti oleh ahli-ahli PKR sudah tidak dianggap mengejutkan lagi. Jatuhnya kerajaan pakatan pembangkang di Perak yang diterajui oleh Pas berpunca daripada tindakan ADUN PKR iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering,Kapten (B) Mohd Osman mengisytiharkan diri menjadi ADUN Bebas.
ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh dan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah juga mengikut jejak yang dipelopori oleh rakan seperjuangan mereka di Perak.
Peletakan jawatan 11 anggota jawatankuasa serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Selangor secara berperingkat bermula dari November lalu sehingga minggu lalu atas alasan hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor dan Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Perhubungan PKR Selangor dilihat satu tamparan hebat bukan sahaja kepada Khalid, malah PKR itu sendiri yang menerajui kerajaan negeri pakatan pembangkang di Selangor.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia mengatakan bahawa trend peletakan jawatan ini akan berterusan dan seterusnya beliau percaya dan optimis ahli-ahli PKR akan keluar beramai-ramai dari parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Selanjutnya, Muhyiddin juga mengatakan bahawa ahli-ahli PKR semakin sedar kepimpinan parti itu lebih banyak bermain politik tetapi tidak berupaya memajukan negara atau menunjukkan kesungguhan memajukan rakyat.
Alasan yang hampir sama diberikan oleh Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR Sabah, Faizal Julaili dan Setiausaha PKR Bahagian Papar, Awang Mumin Awang Marali semasa bertindak keluar parti dan mengambil keputusan menyertai UMNO.
Selain daripada alasan hilang kepercayaan terhadap parti, seperti mana di dalam laporan akhbar Utusan Malaysia, beliau dipetik sebagai berkata keputusan yang dibuatnya itu bukan kerana melihat UMNO lebih banyak mendekati rakyat berbanding dengan PKR, sebaliknya kerana perubahan untuk membela rakyat tidak dilakukan oleh PKR.
Awang Mumin pula seperti mana dilaporkan oleh akhbar yang sama berkata PKR tidak melakukan sebarang perubahan untuk membela nasib rakyat di kawasan mereka. PKR hanya pandai berjanji tetapi tidak tahu melaksanakannya. Selanjutnya beliau berkata isu yang dimainkan oleh PKR hanya untuk kepentingan pemimpinnya dan bukannya untuk rakyat.
Peletakan jawatan dan tindakan keluar parti dari PKR sebelum ini juga melibatkan 'nama-nama besar', antaranya bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Annuar Shaari; bekas Ketua Penerangan, Ruslan Kassim; Dr. Chandra Muzaffar, Marina Yusof dan ramai lagi yang tidak tertulis jika diambil kira.
Selain itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR dan Biro Keahlian PKR Pahang.
Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ahli parti, Ahli Parlimen dan Ketua PKR Bahagian Indera Mahkota. Alasan tindakan beliau kerana kecewa dengan pentadbiran parti negeri. Laporan akhbar juga menyatakan beliau telah beberapa kali menegur pentadbiran PKR negeri berkaitan pengurusan kewangan, kutipan derma dan isu 'cah keting' yang berlaku di dalam parti itu.
Analisis kebarangkalian
Beberapa persoalan menarik yang boleh dianalisis atau kebarangkalian yang berlaku daripada rentetan tindakan keluar parti dalam PKR, adakah ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan '3A' iaitu Anwar, Azizah dan Azmin yang heboh diperkatakan sebelum ini kerana hampir ada persamaan alasan keluar parti yakni hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, adakah sindrom 'cah keting' berlaku di dalam parti seperti mana kenyataan Azan Ismail, adakah tradisi membela rakyat tidak dapat dipraktikkan selepas enak berjanji semasa kempen-kempen dahulu atau ahli-ahli parti semakin sedar dengan dasar perjuangan dan hala tuju parti yang kabur!
Konsep Middle Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP telah mencelikkan ramai pemimpin gabungan pembangkang terutamanya PKR dan Pas. Memetik kata Awang Selamat dalam tulisannya bertajuk, Ketua Menteri Diktator yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 31 Januari 2010, DAP tidak boleh dipercayai selagi pemimpinnya bermotifkan perjuangan ultra-rasis dan tidak menjunjung Perlembagaan Negara. Justeru, trend berterusan keluar parti dan krisis hilang kepercayaan ahli parti terhadap kepimpinan parti seharusnya 'membuka mata' kepada semua yang masih menyokong dan mendokong kepimpinan pakatan pembangkang kerana isu-isu yang diketengahkan ini tidak boleh dianggap sebagai isu picisan (remeh-temeh).
Jika ketika ini, di kalangan pemimpin pembangkang sudah mula hilang keyakinan dan berbalah sesama mereka dan di kalangan gabungan pakatan pembangkang seperti mana yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang, apakah rakyat yang berfikiran rasional masih mahu memberi undi dan peluang kepada pembangkang seperti mana yang berlaku pada PRU Ke-12 yang lalu untuk kekal memerintah yang telah terbukti gagal dalam menguru selia pentadbiran?
Lakukan perubahan dan gunakan kuasa keramat sebagai pengundi kerana ia bakal mengubah landskap politik kini. Fikir-fikirkanlah.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Perlis.
/hwa-utusan.

16 Februari 2010

Maulidur Rasul: Umno Kelantan sifatkan kenyataan Nik Aziz satu kompromi politik

BERNAMA - 16/02/10
KOTA BHARU: Umno Kelantan menyifatkan kenyataan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini adalah kompromi demi politik. Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ini kerana tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama. "Umno Kelantan dukacita dengan kenyataan Nik Aziz kerana Maulidur Rasul telah menjadi amalan di negara ini.
"Beliau sanggup mengatakan tiada fadilat dalam sambutan itu semata-mata atas kehendak politik DAP dan membelakangkan amalan yang dibuat di negara kita, sambutan itu bukan sahaja diamalkan di negara kita malah ia juga diamalkan di negara-negara Islam lain," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pemimpin Umno Bahagian Kubang Kerian, di sini hari ini.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang antara lain dilaporkan sebagai berkata bulan ''Maulud'' tidak mempunyai fadilat atau sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.
Kenyataan Mursyidul Am Pas itu menimbulkan kontroversi memandangkan kerajaan Pulau Pinang yang diteraju DAP iaitu sekutu Pas dalam pakatan pembangkang sebelum ini dikecam kerana didakwa membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul di negeri berkenaan.
DAP bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mengeluarkan satu Pekeliling menyatakan sambutan akan diadakan. Mengulas lanjut, Mustapa berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu juga memperkecil-kecilkan sambutan Maulidur Rasul yang telah sekian lama diamalkan di negara ini. "Saya yakin umat Islam tidak setuju dengan pandangan (Nik Aziz) ini," katanya.
/hwa-berita harian.

Lembaga Disiplin PKR ada agenda jahat - Zulkifli

UM - 16/02/2010 3:11pm
KULIM 16 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin mempertikaikan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana menetapkan tarikh perbicaraan kesnya pada Khamis ini sewaktu beliau berada di Korea untuk menyertai Forum Kepimpinan Antarabangsa.
Katanya, pemilihan tarikh itu bagaikan mempunyai agenda jahat untuk mensabotaj beliau. “Sedangkan mereka telah sedia maklum tentang pemergian saya ke Korea atas urusan parti,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
/hwa-utusan.

Guan Eng bohong bukan Utusan - Ibrahim

UM - 16/02/10
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Pendedahan pekeliling pembatalan perarakan Maulidur Rasul seperti disiarkan Utusan Malaysia semalam membuktikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berbohong mengatakan arahan itu tidak pernah dikeluarkan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, apa yang terjadi ialah Guan Eng terpaksa menarik balik pembatalan itu selepas melihat tentangan kuat umat Islam di seluruh negara.
Menurutnya, beliau kesal dengan tuduhan mengatakan Utusan Malaysia membuat fitnah dalam isu itu sedangkan bukti yang ada jelas menunjukkan laporan akhbar berpengaruh itu adalah benar.
"Saya hari ini terkejut, beli akhbar Harakah dan tertulis di dalamnya 'Kerja jahat Utusan, fitnah berterusan terhadap Guan Eng, terkini isu Maulidur Rasul'.
"Hari ini juga saya baca dalam Utusan Malaysia dan disiarkan surat yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir. Itu bukti yang Guan Eng berbohong.
"Tetapi Harakah, sebuah akhbar yang didokong parti Islam boleh bela Guan Eng yang batal perarakan Maulud," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran sayap Wiranita, Wira dan Wirawati Perkasa di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya di sini semalam.
Turut hadir Naib Presidennya, Datuk Mokhtar Samad, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim dan ketiga-tiga pemimpin sayap Perkasa berkenaan.
Ibrahim menambah, tindakan dilakukan Guan Eng itu jelas menunjukkan bahawa beliau bersifat anti Melayu dan bersifat rasis.
"Pas beri gelaran kononnya Guan Eng seakan-akan Khalifah Umar Abdul Aziz. Khalifah Umar Abdul Aziz apa macam tu," katanya.
Beliau turut menempelak Pas yang disifatkannya seakan-akan menjadi alat kepada DAP bagi mencapai cita-cita politik mereka.
/hwa-utusan.

Guan Eng cuba tutup kesilapan

UM - 16/02/10
Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
PULAU PINANG 15 Feb. - Tindakan kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling terbaru pada Jumaat lalu mengenai keputusan mengadakan perarakan sempena Maulidur Rasul disifatkan sebagai langkah untuk menutupi kesilapan mereka.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan tersebut seolah-olah dibuat secara tergesa-gesa.
"Kenapa perlu tergesa-gesa buat dan hantar pekeliling yang bertarikh 12 Februari itu sedangkan keesokan harinya hingga Isnin orang tidak bekerja kerana hari cuti, kenapa tidak tunggu selepas itu, jadi ini jelas menunjukkan mereka cuba berterusan membohongi rakyat.
"Kita nak ingatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, jangan jadikan umat Islam di negara ini khususnya Pulau Pinang sebagai satu komoditi mainan, hari ini cakap lain esok pula cakap lain, dia berfikiran dangkal dan tidak faham amalan tradisi.
"Guan Eng terus menerus menipu dan tidak pernah sedikit pun ada rasa mahu meminta maaf dengan penipuan yang dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai isu perarakan Maulidur Rasul anjuran kerajaan negeri di Pejabat UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan.
Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan, kerajaan negeri memutuskan membatalkan perarakan itu melalui surat pekeliling bertarikh 5 Februari 2010 yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan keesokan harinya pula seorang ketua jabatan tampil menunjukkan bukti.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, penjelasan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim bahawa surat pekeliling bertarikh 5 Februari itu dihantar hanya untuk mendapatkan cetusan idea mengenai majlis sambutan tersebut juga meragukan.
"Kalau betul dia nak minta cetusan idea, kenapa dalam pekeliling itu perlu beritahu majlis perarakan sempena Maulidur Rasul dibatalkan dan pada masa sama mengapa pula surat itu turut dilampirkan dengan aturcara majlis sekali, bukan ke pelik?.
"Kerajaan negeri sepatutnya boleh menyatakan di dalam surat tersebut bahawa penganjuran kali ini berbeza dan tidak perlulah kata ia dibatalkan.
"Adakah mereka takut perarakan bertukar ganas dan apakah persepsi Abdul Malik yang juga orang Islam begitu dangkal dan hina terhadap kaum sendiri," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Guan Eng membuat penjelasan terbuka kepada rakyat terutama orang Islam berhubung perkara itu dan siapa sebenarnya yang mengarahkan perarakan tersebut dibatalkan.
"Sehingga hari ini, sesiapa pun tidak pernah menjawab siapa yang buat arahan untuk membatalkan perarakan itu, adakah Malik yang mengarahkan ia dibatalkan?
"Takkan mereka nak cakap Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri yang bertanggungjawab buat pembatalan," katanya.
/hwa-utusan.

Sikap kebudak-budakan

UM - 16/02/10
Kain rentang besar sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Baru Pandamaran, Klang pada 20 Februari sebelum diturunkan.
*****
SHAH ALAM 15 Feb. – Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS) menyelar tindakan kerajaan negeri yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Klang menurunkan kain rentang sempena sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kampung Baru Pandamaran, Klang, 20 Februari ini.
Pengerusinya, Datuk Mat Yasir Ikhsan berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana sambutan yang bakal diadakan itu sebenarnya akan memberi manfaat jangka panjang terhadap semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, perayaan Tahun Baru Cina tidak bermakna perayaan itu hanya untuk kaum Tionghua tetapi ia juga terbuka kepada semua kaum sama ada Melayu dan India untuk bersama-sama meraikan sambutan tersebut.
“Saya fikir, tindakan menurunkan kain rentang ini adalah satu bentuk pemikiran yang sempit dan sepatutnya tidak perlu diamalkan oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri seharusnya mengambil kira kepentingan rakyat dari semua kaum khususnya masyarakat Cina dengan bersama-sama menyertai sambutan itu bukannya menghalang dengan menurunkan kain rentang yang khusus dibuat untuk mengajak semua masyarakat menghadiri sambutan itu.
“Malah, penganjuran sambutan Tahun Baru Cinaperingkat kebangsaan itu juga tidak harus dipolitikkan oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang hanya kerana kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menurunkan kain rentang sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Kampung Baru Pandamaran, Klang yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Tindakan MPK itu dibuat pada kira-kira pukul 2 pagi pada 13 Februari lalu.
Sambutan itu juga secara kebetulan diadakan serentak dengan majlis rumah terbuka anjuran kerajaan negeri di Jenjarom, Banting, pada tarikh serta waktu yang sama.
Malah, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Teh Kim Poo ketika ditemui hari ini menyatakan pihaknya difahamkan terdapat beberapa wakil pakatan pembangkang telah meninjau ke kawasan kain rentang berkenaan termasuklah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago serta Yang Dipertua Pas Klang, Ismail Arsat yang menunjukkan isyarat ‘tidak bagus’
Dalam pada itu, Mat Yasir turut memberitahu, beliau amat kesal sekiranya sambutan yang akan diadakan di Pandamaran itu cuba dipolitikkan oleh kerajaan negeri yang jelasnya hanya mendatangkan implikasi negatif kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Katanya, perayaan Tahun Baru Cina yang disambut oleh di negara ini adalah sama seperti sambutan Aidilfitri dan Deepavali kerana semua kaum bersama-sama meraikan perayaan-perayaan tersebut.
“Kenapa kerajaan negeri mahu menyukarkan semangat perpaduan ini. Saya yakin semua orang khususnya masyarakat Cina di Pandamaran tidak akan menerima tindakan kerajaan negeri turunkan kain rentang untuk sambutan itu di kawasan mereka,” ujarnya.
/hwa-utusan.

Contohi Khalifah Umar retorik politik murahan Guan Eng

UM - 16/02/10
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyifatkan slogan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz hanyalah retorik politik murahan yang kosong dan mengelirukan rakyat.
Bukan itu sahaja, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengaitkan perbuatan Guan Eng yang cuba menutup kebenaran pembatalan perarakan Maulidur Rasul oleh kerajaan negeri itu sebagai sangat mengaibkan.
Beliau yang mengecam keras tindakan itu berkata, cubaan membatalkan perarakan membuktikan apa yang disebutkannya sebelum ini bahawa kepimpinan Guan Eng adalah bersikap cauvinis, ekstremis, rasis dan mempunyai agenda sempit perkauman yang jelas.
''Cubaan mereka untuk menutup kebenaran yang terbongkar sangatlah mengaibkan. Apakah ini yang dikatakan kerajaan yang telus dan ikhlas?
''Benarlah kata Rasulullah SAW, suatu ketika nanti akan datang zamannya umat Islam diratah oleh kafir-kafir yang bersatu, yang melunyai kita macam tempe dilenyek saja.
''Dan ia terjadi walaupun jumlah umat Islam terlalu ramai, tetapi jumlah yang banyak itu hanya umpama buih yang sedikit pun tidak membawa kesan. Kerana apa, kerana mereka terlalu sayangkan kedudukan, jawatan, habuan keduniaan mereka dan mereka takut kematian dan hilang semua nikmat duniawi ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk Musang Berbulu Ayam! dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com.
Dalam sesi Soal Jawab TV3 pada 8 Februari lalu, Zulkifli juga telah menyerang Guan Eng dengan menyifatkan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin sebagai contoh tindak-tanduk DAP yang menjadi 'duri dalam daging' bagi pakatan pembangkang.
Kelmarin, Guan Eng berkata, perarakan Maulidur Rasul akan terus diadakan dan dakwaan beberapa pihak bahawa program itu telah dibatalkan adalah satu pembohongan dan sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri berkenaan.
Namun kenyataan Setiausaha Agung DAP itu berbeza dengan pekeliling yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir bertarikh 5 Februari lalu yang menyebut mengenai pembatalan majlis perarakan berkenaan pada tahun ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, adalah sesuatu yang paling malang, apabila terdapat segelintir orang Melayu yang terpedaya dengan mainan politik silap mata yang menjijikkan oleh Guan Eng.
Malah katanya, golongan Melayu tersebut turut bersekongkol untuk menjahanamkan agama dan bangsa sendiri.
Bagaimanapun, katanya, Ketua Menteri itu seharusnya sedar bahawa bukan semua masyarakat Islam akan tunduk diam dengan perbuatannya.
''Yakin dan percayalah di luar sana masih ada umat yang tegas dan berani yang akan tetap mempertahankan akidah dan maruah agamanya tanpa takut sedikit pun kepada sebarang risiko yang bakal melanda.
''Kepada umat Islam khususnya di Pulau Pinang, termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan, terutama pegawai dan kakitangan jabatan agama, janganlah kamu takut dengan rejim cauvinis ini.
''Pertahankanlah agama kamu, janganlah kerana gaji yang tidak seberapa ini maka kamu biarkan agama Islam dipermainkan,'' ujarnya.
/hwa-utusan.

15 Februari 2010

Penafian Guan Eng perkecilkan pegawai

UM - 15/02/10
PONTIAN 14 Feb. – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan kerajaan negeri membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul di negeri itu sebelum ini disifatkan memperkecilkan kedudukan pegawai yang menandatangani pekeliling bertarikh 5 Februari itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana pegawai yang menandatangani surat itu berpangkat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan).
Justeru menurutnya, Guan Eng perlu menjelaskan kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang mengenai tindakannya itu.
“Sekiranya tiada pendedahan dan desakan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pulau Pinang, pembatalan perarakan sempena Maulidur Rasul mungkin menjadi kenyataan.
“Jadi, di mana letaknya tanggungjawab dan maruah pemimpin Islam dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas bagi membela dan mempertahankan sambutan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong di sini hari ini.
/hwa-utusan.

Tindakan Zahrain beri kesan besar kepada PKR: Ezam

BERNAMA - 15/02/10
JASIN: Tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memberi kesan besar kepada parti itu, kata bekas Ketua Angkatan Muda parti, Mohamad Ezam Mohd Nor. Katanya, bekas pemimpin PKR di Pulau Pinang itu amat rapat dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus membawa tanggapan tindakan Zahrain tersebut berasaskan faktor yang kukuh. "Saya ingin tegaskan Zahrain bukan calang-calang ahli politik, saya antara orang yang terlibat menubuhkan PKR, saya tahu semua pemimpin PKR dan saya boleh nyatakan Zahrain merupakan pemimpin PKR yang cukup matang, yang halus pertimbangan politiknya, yang berprinsip dan cukup tajam dalam pengamatan realiti dan cabaran politik.
"Justeru apabila Zahrain membuat keputusan keluar parti, saya percaya ia memberi kesan yang besar kepada parti PKR," katanya selepas berucap pada majlis Ceramah Perdana di sini, malam semalam. Zahrain, yang jugas bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang mengumumkan keluar daripada parti itu, Jumaat lalu selepas tidak berpuas hati dengan sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP. Mohamad Ezam juga percaya jejak langkah Zahrain akan diikuti oleh pemimpin lain dalam PKR.
/hwa-utusan.

14 Februari 2010

Selamat Tahun Baru Cina

Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Datin Seri Rosmah Mansor hadir semasa rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA,Kuala Lumpur, 14 Februari.- Utusan/SHAIFUDIN MOHD. NOR

Hampir 60% murid belum kuasai kemahiran asas 3M

MM - 14/02/10
BESUT 13 Feb. - Hampir 60 peratus pelajar tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) di sekolah seluruh negara setakat ini masih belum dapat menguasai kemahiran asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, menyedari hakikat itulah Kementerian Pelajaran merangka beberapa program termasuk memastikan mereka yang kurang berkeupayaan mengikuti kelas pra-sekolah bagi meningkatkan penyertaan kepada 87 peratus menjelang tahun 2012.
Beliau berkata, ini sejajar dengan langkah kerajaan menggariskan beberapa sasaran penting di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.
''Pencapaian kini hanya pada tahap 60 peratus dan kita akan meningkatkan kadar penyertaan murid kepada 87 peratus menjelang tahun 2012," katanya semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Bahagian Besut di Dewan Gong Kemuntong Jerteh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga akan memperkasakan pendidikan pra-sekolah dalam usaha memastikan semua murid pra-sekolah di negara ini berpeluang mendapat pendidikan asas lebih sempurna.
Katanya, selain melatih dan mengambil lebih ramai guru pra-sekolah kerajaan juga akan menyediakan peruntukkan besar bagi memastikan peluang diberi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Ditanya mengenai aduan sesetengah pengetua kononnya mereka masih berada tahap Gred Memangku DG 48, sedangkan kementerian berjanji menyelesaikan sejak tahun 2008,Muhyiddin berkata pihaknya akan membuat kajian secara menyeluruh berhubung aduan itu.
Katanya, ini penting sejajar dengan hasrat kementerian merangka program menarik untuk memberikan insentif setimpal kepada pengetua, guru besar dan kakitangan sekolah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing.
Mengenai pemilihan pengetua cemerlang, beliau berkata, pemilihan mereka dibuat secara adil dan telus tanpa mengira sama ada di sekolah terpilih atau luar bandar.
''Ada juga persatuan memberi maklum balas tentang guru tersebut dan kementerian sudah ambil usaha untuk memartabatkan profesion pendidikan," katanya.
Mengulas tentang dakwaan sesetengah pihak yang menganggap 20 sekolah yang diumumkan menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini sebagai elitist, beliau menegaskan ia adalah dakwaan yang tidak benar.
Ujar Muhyiddin, langkah tersebut adalah sebagai usaha mengiktiraf pencapaian sekolah dan guru besar sekolah tersebut selain menjadi penanda aras kepada kecemerlangan yang membolehkan sekolah itu dijadikan contoh oleh sekolah lain untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.
Tambahnya, bagi proses jangka masa panjang, kerajaan juga akan menjadikan semua sekolah di seluruh negeri sebagai sekolah cemerlang dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
"Dalam tahun ini juga kita merancang akan mengadakan penambahbaikan terhadap semua sekolah..jadi tidak akan timbul lagi isu ibu bapa yang berebut-rebut ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.
"Jika sekolah itu tidak sampai hingga ke peringkat cemerlang sekalipun kita akan memastikan ia akan mencapai tahap yang lebih baik.
"Justeru itu jika tahun ini kita hanya 20 buah sekolah sahaja dijadikan sebagai SBT, tahun depan kita jadikan 30 buah manakala tahun depan lagi kita jadikan 50 buah pula bagi membolehkan semua anak-anak dapat belajar di SBT," jelasnya.
/hwa-utusan.

Kerapuhan PKR serlah 'kekuasaan' DAP

BM (Rencana) - 14/02/10
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Tindakan Zahrain keluar parti selepas bidas Guan Eng sudah dijangka
TINDAKAN Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah dijangkakan selepas parti itu mahu merujuk beliau ke Lembaga Disiplin kerana mengkritik hebat kepemimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Namun, ada juga pihak yang terkejut dengan tindakan berani Zahrain itu walaupun mereka tahu beliau sememangnya berani dan lantang kata-katanya dalam menegakkan perjuangannya.
Penganalisis politik menjangkakan lebih ramai yang akan mengikut jejak Zahrain seperti Ahli Parlimen Kulim, Zulkifli Nordin yang begitu lantang mengkritik rakan sekutu PKR dan DAP dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung di TV3, Isnin lalu.
Beberapa nama lain turut disebut mengikut jejak Zahrain seperti Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Ben, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne.
Bagaimanapun, Manikavasagam dan Loh awal-awal lagi menidakkan jangkaan itu dan menegaskan mereka akan tetap setia bersama PKR, sekali gus tidak akan mengikut langkah Zahrain yang bertindak keluar parti berkenaan.
Sehingga artikel ini ditulis, Zulkifli tidak memberikan sebarang jawapan berhubung perkara itu, manakala Tan yang turut mengkritik kepemimpinan Guan Eng, sebagai sokongan kepada Zahrain, membayangkan beliau akan membuat keputusan selepas sambutan Tahun Baru Cina.Anwar dalam reaksinya mengakui kecewa dengan tindakan Zahrain, namun menegaskan beliau tidak boleh terima tindakan Zahrain menghukum Guan Eng dengan kata-kata kesat.
Sebagai penasihat, Anwar sepatutnya mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan Zahrain dan menyelesaikan apa yang dibangkitkan Ahli Parlimen Bayan Baru itu secara dalaman, namun sebaliknya Anwar seakan-akan takut dengan DAP yang bertindak sebagai "tuan tanah" kerajaan campuran di Pulau Pinang, sebaliknya menghalakan kecaman secara terbuka kepada Zahrain.
Ada sesetengah pendapat menyatakan Anwar dilihat tidak pandai menjaga hati ahlinya kerana lebih sibuk mahu mendapat sokongan rakan sekutu daripada pakatan pembangkang, selain jadual ketat menghadapi perbicaraan liwatnya di mahkamah. Bagi rakan sekutu Anwar yang juga peguam bela dalam kes liwatnya, Karpal Singh menganggap tindakan Zahrain tidak memberikan kesan kepada pakatan pembangkang kerana Zahrain bukan pemimpin besar.
Jelas di sini, DAP sememangnya tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada parti sekutunya, sebaliknya menganggap ia masalah kecil kerana yang keluar parti pemimpin kecil. Bagaimana pula dengan tindakan ahli kecil PKR yang sejak kebelakangan ini semakin ramai mengumumkan keluar parti kerana tidak lagi percaya kepada kepemimpinan PKR. Adakah ia perkara kecil bagi Karpal? Dalam pada itu, ada yang menyatakan tindakan Zahrain membuktikan PKR menghadapi masalah dalaman. Persoalannya benarkah wujud perpecahan dan masalah dalaman di dalam PKR atau parti itu ada masalah dengan rakan sekutu dalam pakatan pembangkang.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bingkas menafikannya dan gambaran PKR sedang menghadapi kemelut dalaman serta digambarkan berdepan krisis antara parti amat tidak tepat. "PKR dan pakatan pembangkang menganggap gambaran sebegini sebagai sebahagian cabaran yang akan terus dihadapi sejak lahirnya PKR dan bermulanya kerjasama pembangkang," katanya dalam blog parti itu, baru-baru ini.
Jelaslah, Saifuddin cuba membuktikan bahawa apa saja masalah yang wujud dalam PKR sebagai lumrah dalam berpolitik dan hakikatnya parti itu sebenarnya masih ada sokongan berdasarkan sejarah parti yang dibuktikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Beliau cuba menerangkan walau apa pun tuduhan dan gambaran diberikan media dan orang luar parti itu, hakikatnya parti itu sebenarnya masih ada sokongan dan mampu membawa perubahan kepada rakyat.Benarkah seperti yang didakwa itu kerana ia datang daripada orang di dalam parti atau ia sekadar kata-kata penafian untuk meyakinkan ahli parti dan masyarakat umum atau usaha menutup "pekung di dada".
Bagaimana pula pandangan orang yang sudah keluar parti itu seperti Zahrain dan beberapa pemimpin lain seperti bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamed Ezam Mohd Nor dan bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Zahid Mat Arip.
Apa yang jelas Zahrain dalam sidang media mengumumkan keluar parti itu kelmarin berkata keputusan keluar parti di buat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang yang dipimpin Guan Eng yang dianggap diktator dan berfikiran ala komunis.
Bagi penganalisis politik, perkembangan terbaru dalam PKR jelas menunjukkan pemimpin parti berkenaan masih tidak matang dalam berpolitik dan tiada disiplin menyebabkan kedudukannya masih goyah.
Prof Madya Dr Ahmad Nizammuddin Sulaiman, berkata parti itu yang dipimpin Anwar, tidak mampu melahirkan pemimpin yang berdisiplin serta matang dalam perjuangannya.
Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak pula berpendapat, tindakan Zahrain keluar parti kerana tidak lagi yakin dengan PKR yang tidak dapat membentuk persefahaman dan hala tuju yang sama dalam perjuangan pakatan pembangkang.
Hakikatnya, PKR dan pakatan pembangkang yang dibentuk ketika pilihan raya umum lalu masih pada peringkat rebung dan sukar menandingi kehebatan Barisan Nasional (BN) yang jauh lebih matang kerana sudah bersama lebih 50 tahun.
Pemimpin dalam PKR, parti yang usianya mencecah tujuh tahun selepas bergabung dengan PRM, iaitu usia kanak-kanak baru masuk sekolah sudah tentunya menjadi halangan besar kepada parti itu untuk terus berdisiplin dan matang menghadapi onak duri dalaman parti serta kehadirannya dalam pakatan pembangkang.
PKR harus sedar mereka tidak sepatutnya tunduk kepada rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang seperti DAP yang lebih suka bertindak sebagai ketua walaupun jumlah wakil mereka di Dewan Rakyat lebih sedikit berbanding PKR.
/hwa-berita minggu.

Anwar dan kebenaran

UM - 14/02/10
Awang bersyukur kebenaran akhirnya terjelma. Tuduhan liar dan kata-kata cerca Anwar Ibrahim terhadap Utusan Malaysia berkaitan laporan perbicaraan kes liwat terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, ternyata tidak berasas.
Dalam ruangan ini, minggu lalu Awang mengulas tentang dakwaan Anwar dan barisan peguamnya terutama Karpal Singh bahawa tajuk utama laporan hari pertama perbicaraan, adalah salah dan berniat jahat. Gambar katil yang disiarkan oleh Utusan selain beberapa akhbar lain, turut dipersalahkan. Anwar telah meminta akhbar berkenaan disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah. Cubaan itu ditolak oleh hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah kerana tiada asas. Menerusi portal pro pembangkang seperti Malaysiakini, Anwar melabelkan Utusan sebagai biadab, kotor dan jijik. Nampaknya Utusan menjadi kambing hitam bagi menjayakan strategi Anwar melengah-lengahkan perbicaraan yang makin panas dengan fakta-fakta, yang beliau amat tidak selesa. Usaha Anwar memohon hakim ditukarkan kononnya kerana bias sudah dijangka. Ketegasan Mohamad Zabidin menyebabkan Anwar merasa goyah.
Rabu lalu dalam perbicaraan yang sama, mahkamah diberitahu oleh Peguam Cara Negara II, Mohd. Yusof Zainal Abiden bahawa laporan Utusan adalah benar berdasarkan nota prosiding.
Malah beliau menyatakan bahawa Anwar dan barisan peguamnya perlu memohon maaf kepada Utusan. Pertanyaan Awang, apakah wajar Anwar menuduh Utusan yang melaporkan kebenaran sebagai biadab, kotor dan jijik? Pun begitu, Awang tidak akan tergamak mengucapkan kata-kata itu terhadap beliau dalam kaitan apa sekalipun. Awang juga tidak akan teruja mengharapkan Anwar memohon maaf. Cukuplah sekadar ia menjadi pengajaran kepada Anwar. Janganlah terbawa-bawa dengan sentimen liar, yang hanya memburukkan lagi reputasi beliau.
Di luar mahkamah, banyak petunjuk menampakkan Anwar makin terdesak. Lebih-lebih lagi selepas gagal dalam usaha untuk mengheret rakyat menyokong beliau sebagaimana kes liwat pertama 10 tahun lalu. Rakyat malah ramai penyokong pembangkang tidak mahu terjebak dalam isu moralnya. Kerana menyedari tiada sokongan, Anwar mendapatkan bantuan negara luar. Kenapa sampai begitu sekali? Tidakkah kita belajar daripada sejarah lampau betapa padah yang bakal menimpa jika ada pembesar dan pemimpin mengundang campur tangan asing? Sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri, berapakah harga yang perlu dibayar untuk semua itu? Awang pasti terlalu besar nilai balasannya yang kedaulatan negara menjadi pertaruhan. Sebab itu, Awang bengang apabila 50 ahli Parlimen Australia menuntut agar pertuduhan terhadap Anwar ditarik balik. Ia adalah tindakan angkuh dan bermotif jahat. Janganlah jadi anjing yang suka menyalak. Tetapi tidak adil menyalahkan kumpulan ahli parlimen itu, semata-mata. Anwar juga perlu dipertanggungjawabkan. Gerakan beliau sejak tahun lalu bagi melobi mendapatkan simpati dan bantuan asing berhubung kes mahkamahnya, bukan rahsia lagi.
Tidak cukup setakat itu, kini digerakkan pula kempen Selamatkan Malaysia di dalam negara, yang turut memaparkan gambar beliau pada pemidang dan papan iklan. Ceramah yang menyentuh kes liwat itu turut diatur oleh PKR sedangkan perbicaraan sebenar masih berjalan. Ia ternyata menghina mahkamah. Pertanyaan Awang apakah itu semua dilakukan untuk menyelamatkan Malaysia atau sebenarnya menyelamatkan Anwar?
/hwa-utusan.

Parti kecewakan rakyat

14/02/10
Oleh Zin Mahmud
Ahli Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim Jumaat lalu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan perjuangan parti dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bayangkan beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang mendapat jawatan itu kerana diberi kepercayaan oleh partinya bertanding mewakili parti itu di kawasan Bayan Baru. tentunya kepercayaan yang diberikan oleh PKR adalah kerana parti itu yakin bahawa Zahrain percaya kepada perjuangan parti itu.
Apakah perjuangan PKR yang dipercayai oleh Zahrain hinggakan parti itu memilih beliau untuk bertanding di Bayan Baru? Kalau mengikut nama parti itu, iaitu Keadilan Rakyat, maka dapat diandaikan bahawa selama ini Zahrain percaya bahawa PKR memperjuangkan Keadilan Rakyat.
Bagaimanapun apabila beliau keluar dari PKR kerana kepercayaannya sudah hilang, dapatlah dirumuskan bahawa menurut pandangannya PKR sudah tidak memperjuangkan Keadilan Rakyat.
Prinsip perjuangan hanyalah salah satu daripada tiga sisi bagi sesebuah parti. Dua lagi sisi ialah organisasi dan kepimpinan. Jika baik manapun perjuangan sesebuah parti, tetapi ia tidak dilengkapkan dengan organisasi yang kemas serta kepimpinan berkesan, maka parti itu tidak akan ke mana.
Begitu juga jika baik macam mana pun organisasi sesebuah parti, tetapi jika prinsip perjuangan tidak bagus dengan kepimpinan lemah, maka tidak ada masa depan bagi parti itu.
Kalaupun ada kepimpinan yang baik, tetapi organisasi serta prinsip perjuangan yang tidak menentu, parti itu akan gagal.
Hujah ini nampak simplistik. Tetapi ada logiknya. Idealisme perjuangan, organisasi dan kepimpinan adalah tiga syarat yang perlu ada bagi kejayaan parti. Lemah salah satu, maka akan gagal semua. Ia merupakan tiga serangkai yang wajib.
kejayaan
Tetapi memang benar bahawa ada parti yang lemah kepimpinannya tetap berjaya mengalahkan lawannya. Dalam hal ini wajar dilihat bahawa kejayaan sesebuah parti bergantung kepada kedudukan lawannya. Jika lawannya lebih lemah, maka parti yang kurang lemah akan menang. Justeru persaingan dalam politik antara dua pihak parti akan ditentukan siapa lebih kuat akan menang, dan siapa lebih lemah akan kalah.
Dalam hal Zahrain, beliau tidak menyentuh soal organisasi parti. Tetapi kekecewaan yang ditunjukkan adalah pada prinsip perjuangan PKR dan kepimpinannya, yang ditujukan kepada Anwar.
PKR merupakan parti yang pelik dari segi struktur organisasi. Walaupun Anwar hanyalah seorang penasihat parti, tetapi kekuasaannya adalah dia diketahui merupakan ketua bagi PKR. Sedangkan presidennya, iaitu isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilihat tidak mempunyai kuasa.
Untuk membahaskan apakah yang dimaksudkan oleh Zahrain sebagai kekecewaan kepada prinsip perjuangan parti, ia memerlukan penelitian lebih mendalam. Adakah beliau sudah menolak apa yang disebut sebagai Keadilan Rakyat? Atau PKR dilihat telah gagal memperjuangkan Keadilan rakyat. Tetapi apakah itu Keadilan Rakyat? Jadi panjang ceritanya.
Persoalan juga timbul, siapakah Zahrain dan apakah asal usul perjuangan politiknya? Mengapakah beliau menyertai PKR? Adakah kerana perjuangan Keadilan rakyat atau Anwar?
Jadi lebih mudah untuk membahaskan tentang kekecewaannya terhadap kepimpinan Anwar.
Ini kerana sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, dapat dilihat bagaimana cara Anwar memimpin. Pada keseluruhannya adalah tidak boleh menyalahkan sesiapa pun jika para penyokong PKR berasa kecewa dengan kegagalan ketua mereka memimpin parti.
Dengan pelbagai masalah yang dihadapi oleh Anwar, maka sudah tentu keberkesanan beliau untuk memimpin parti amat terhad kalaupun tidak lumpuh langsung.
Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Anwar telah gagal memimpin PKR. Jika dibuat senarai kegagalan PKR sejak 8 Mac itu dapat disenaraikan satu demi satu kegagalan beliau.
Antara kegagalan yang jelas ialah kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat akibat keluarnya dua Ahli Undangan Negeri daripada PKR. Itu sudah jelas boleh disalahkan kepada Anwar. Bagaimana tidak disiplinnya wakil-wakil yang dipilih oleh PKR.
Kalaulah ahli-ahli PKR yang berasa kuat dengan prinsip perjuangan mereka tetapi kecewa dengan kepimpinan Anwar, maka sewajarnya mereka bertindak mengubah kepimpinan parti mereka.
Mereka wajar mempersoalkan mengapakah seorang penasihat parti boleh memimpin mereka tetapi ke jalan kehancuran.
Banyak andaian yang melihat bahawa Anwar adalah seorang tokoh dan pemimpin berkarisma. Tetapi tidakkah ia merupakan satu mitos? Seorang pemimpin yang banyak diberi kepercayaan oleh pelbagai pihak tetapi bukan saja gagal memenuhi kepercayaan itu, tetapi hanya memberikan kekecewaan, kehancuran dan kesusahan.
kegagalan
Tidak sukar untuk mengukur kegagalan Anwar. Kiralah berapa banyak manusia yang lari kerana kecewa kepadanya. zahrain hanyalah salah seorang yang terbaru kecewa dengannya. Tetapi sebelum ini sudah ramai yang merasakannya. Mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan Anwar.
Bertambah malang lagi, apa yang dilakukan oleh Anwar ini bukan saja mengheret dan menyusahkan PKR sebagai parti tetapi juga pihak-pihak lain. Kepimpinannya mengheret jatuh DAP dan Pas sendiri melalui Pakatan Rakyat. Bukan itu saja, kepimpinan Anwar itu telah menyusahkan banyak orang baik negeri-negeri yang ditadbir pembangkang seperti Pulau Pinang dan Selangor tetapi juga Malaysia pada keseluruhannya.
Kalau Zahrain kecewa dengan perjuangan PKR dan kepimpinan Anwar, apatah lagi rakyat Malaysia umumnya. Bukan saja yang mengundi dan menyokong parti-parti pembangkang pada 8 Mac lalu, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.
Para penyokong-penyokong pembangkang dalam pilihan raya 8 Mac lalu tentu mengharapkan sesuatu yang baru dan baik hasil daripada pilihan mereka. Kemenangan parti-parti pembangkang di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan diharapkan dapat memberikan pembaharuan dalam cara berpolitik negara ini. Tetapi nampaknya apa yang diperoleh adalah pertelingkahan yang membosankan bukanlah antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat saja, itu dapatlah difahami, tetapi yang menyukarkan semua ialah perselisihan yang berbentuk pelbagai dimensi dalam Pakatan Rakyat. PKR lawan DAP dan DAP lawan Pas. Bukan itu saja, perselisihan teruk juga berlaku dalam parti masing-masing. DAP berkelahi sesama dalam DAP. PKR juga berkelahi sesama sendiri. Pas seperti yang dilihat di Kelantan dan juga isu Kerajaan Perpaduan dan Erdogan memperlihatkan percanggahan sesama sendiri.
Pergolakan ini tentu memualkan para penyokong pembangkang. Ia juga menunjukkan kegagalan pemimpin-pemimpin mereka. Bukan saja Anwar, tetapi juga Lim Guan Eng dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Di pihak penyokong Barisan Nasional pula, memanglah mereka kecewa dengan kegagalan parti mereka semasa pilihan raya umum 8 Mac lalu. Tentunya mereka mahukan Barisan Nasional memenangi kembali kerusi-kerusi yang hilang.
Para penyokong Barisan Nasional tentu mengalu-alukan usaha kepimpinan UMNO melaksanakan pelbagai program bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti mereka. Antara program itu adalah seperti Juara Rakyat.
Tetapi dalam kehidupan seharian, mereka tidaklah mahu politik yang merosakkan. Persaingan politik antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat wajar dilakukan secara demokratik dan positif.
Ini kerana tentu banyak pendokong Barisan Nasional yang terpaksa hidup dalam pentadbiran Pakatan Rakyat. Mereka juga mahu kerajaan-kerajaan negeri yang stabil.
Biarlah persaingan politik berlaku melalui pilihan raya di mana rakyat akan menilai siapa yang mampu mentadbir negeri dengan baik dan berkesan.
Rakyat, tidak kira penyokong Pakatan Rakyat, atau Barisan Nasional mahukan kehidupan seharian yang licin dan harmoni. Mereka tidak mahu merasakan kesukaran hidup kerana ahli-ahli politik bertelagah tanpa menghiraukan kesusahan rakyat menjalani kehidupan seharian.
Tetapi malangnya inilah yang berlaku sekarang. Pergolakan dalam parti-parti PKR, Pas dan DAP di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan kelantan menyusahkan kehidupan rakyat. Adakah ini demokrasi yang hendak ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat.
Yang perlu disalahkan dalam hal ini ialah ahli-ahli politik dalam parti-parti pembangkang itu. Zahrain tidak terkecuali dalam hal ini. Begitu juga Zulkifli Nordin, Wee Choo Keong, Lim Guan Eng, Khalid Samad dan banyak lagi. Gelagat mereka hanya menyusahkan rakyat.
Dan di atas mereka pula, pemimpin- pemimpin parti, daripada Anwar, Guan Eng dan Abdul Hadi memang ternyata gagal memimpin parti masing-masing.
/hwa-utusan.

Valentine bukan budaya Islam

UM - 14/02/10
Mukadimah
PENGLIBATAN pasangan remaja Islam dalam sambutan Hari Kekasih pada setiap 14 Februari dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang mengikut peredaran masa. Bagi mereka, tidak ada salahnya menyambut satu hari untuk menyatakan rasa kasih sayang terutama bagi pasangan merpati dua sejoli.
Sebab itu, mereka sentiasa tertunggu-tunggu kedatangan Hari Kekasih sebagai saat menyatakan cinta agung kepada pasangan masing-masing. Kerana terlalu obses kepada hari ini, kita dapati ada sebilangan pasangan Muslim yang ‘hanyut’ sehinggakan turut melakukan dosa seperti berpeluk cium antara bukan mahram.
Sedangkan, sambutan Hari Kekasih di negara Barat adalah lebih beradab di mana mereka menghimpunkan ahli keluarga untuk menyatakan rasa kasih sesama sendiri.
Oleh itu, Sembang Utusan Online mengadakan temu bual dengan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, PROF. MADYA DR. KHADIJAH MOHD. KHAMBALI @ HAMBALI dan Pegawai Perancang Bahasa (Bahasa Arab dan Tamadun Islam), Dewan Bahasa dan Pustaka, MOHAMAD SALAHUDDIN MOHAMED bagi mengupas isu ini.
Sembang Online yang diadakan Jumaat lalu dikendalikan oleh dua pemudah cara iaitu Pengarang Agama Utusan Malaysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan Wartawan Online, NURULANUAR MANSOR.
-------------------------------------------
MINGGUAN: Bagaimana Islam melihat kasih sayang sesama insan?
MOHD. SALAHUDDIN:
Dari segi agama Islam, ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah pun dah mengajar banyak aspek-aspek untuk menaikkan nilai-nilai kasih sayang dalam kehidupan kita kerana Islam mengutamakan ukhuwah.
Kita tengok Rasulullah SAW berdakwah pun menyebarkan kepada penyatuan kasih sayang. Sebab itu Islam tidak berkembang dengan cara kekerasan, Islam tidak suka kepada kekerasan.
Dari segi konsep cinta dan kasih sayang, sebagaimana diterangkan sesetengah ulama dalam kita 'Al-Asyiq', cinta ini dikatakan sebagai air kehidupan dan makanan kepada rohani. Seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan manusia.
Cuma yang berlaku sekarang berkaitan Hari Valentine adalah masalah budaya masyarakat kita. Di seluruh dunia juga mempunyai masalah kekurangan kasih sayang dalam kehidupan.
Masalah inilah yang menjadi titik tolak menyebabkan sekarang ini mereka memainkan elemen-elemen untuk mendedahkan nilai kasih sayang kepada tarif tertentu.
Tetapi dari perspektif Islam, Rasulullah pernah menyebut bahawa kalimah yang baik itu merupakan satu sedekah. Rasulullah kata, kamu amalkan dalam kehidupan kamu.
Apabila para sahabat mendengar perkataan itu, mereka nak bermusafir pun menggunakan syair-syair yang manis. Bermakna Islam sudah ajar dari awal betapa kasih sayang itu perlu diterap, cuma cara kita mengolah dalam masyarakat bagaimana kita nak kembangkan nilai kasih sayang itu sendiri.
Berlaku kejahilan di kalangan kita sendiri bagaimana mahu hidupkan nilai kasih sayang dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Bukan kita hanya laungkan slogan tetapi apa yang penting adalah pengisian yang perlu kita buat.
Pendekatan kita barangkali tidak begitu kena dalam menerapkan nilai kasih sayang hingga membuatkan ramai orang suka menyambut hari kekasih ini secara membuta tuli. Boleh Dr. jelaskan apa maksudnya Hari Valentine ini?
DR. KHADIJAH: Hari Valentine ini diambil dari nama seorang paderi dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau sebenarnya ialah seorang bishop.
Beliau cuba menyebarkan ajaran Kristian di Rom. Sebenarnya di Rom, pada masa itu mereka telah menyambut perayaan kasih sayang pada setiap 15 Februari. Ketika itu masyarakat Rom menyembah tuhan Lupercus. Lupercus menjaga pertanian dan kebajikan masyarakat Rom.
Selepas melakukan musim menuai, ia seakan-akan satu dedikasi kepada tuhan mereka itu, mereka akan menyambutnya dengan penuh kasih sayang dan disambut dengan penuh kesyukuran dan rasa terima kasih. Ketika itu juga satu medan untuk mereka cari pasangan hidup.
Apabila mereka bertukar pula pada tuhan Juno iaitu tuhan perkahwinan, pada peringkat itu perayaan dimulakan dengan meletak nama dalam peti undi dan kemudian diundi. Nama pasangan yang diundi pula dikatakan akan bahagia kerana kononnya direstui Juno.
Jadi apabila St. Valentino datang ke Rom untuk sebarkan Kristian, ketika itu juga pemerintah Rom kenakan desakan ketenteraan yang minta para remaja yang belum berkahwin mengikuti latihan ketenteraan dan seterusnya pertahankan negara Rom.
Mereka yang bercinta ketika itu tidak sanggup meninggalkan kekasih masing-masing tetapi ketika itu tiada siapa yang berani mengahwinkan mereka kerana sesiapa yang berbuat demikian akan dibunuh.
Justeru mereka menemui St. Valentino dan beliau pada masa itu menyebarkan bentuk kasih sayang dalam agama Kristian dengan mengahwinkan mereka mengikut upacara perkahwinan kristian.
Apabila remaja berkenaan begitu prihatin terhadap ikatan kasih sayang mereka, maka mereka hebohkan perkara itu dan semakin ramai yang menemui St. Valentino untuk berkahwin dan tidak mengikuti latihan ketenteraan.
Apabila perkara ini diketahui pemerintah Rom, St. Valentino dipenjarakan dan akhirnya dibunuh. Tetapi sebelum beliau dibunuh, beliau telah ditemui salah seorang pengawal penjara yang anaknya buta.
Anaknya yang buta itu tertarik dengan kisah St. Valentino walaupun belum pernah bertemu dengannya. Sebelum St. Valentino dibunuh, beliau sempat memberi kata-kata perangsang kepada anak pengawal itu yang buta untuk terus hidup. Pada awalnya, gadis itu mahu membunuh diri.
Bermula dari kisah itu, sebagai memperingati jasa St. Valentino ini, maka satu perayaan apabila kebanyakan masyarakat Rom telah memeluk agama Kristian, maka perayaan kepada tuhan Lupercus dan tuhan Juno disimbolikkan dalam perayaan kasih sayang Valentine's Day.
Itu sebenarnya kasih sayang itu adalah bertitik tolak daripada penyebaran agama Kristian berdasarkan kepada akidah trinity. Maknanya kasih sayang itu mesti disebarkan atas sebab keyakinan dan kecintaan mereka terhadap 'holy spirit', 'Jesus Christ' dan juga 'Father'.
Dari penjelasan itu tadi bermakna kasih sayang dalam Valentine's day ini bukanlah sejati tetapi ada sebab kenapa berlaku begitu. Mungkin Dr. boleh jelaskan lebih lanjut?
DR. KHADIJAH: Kalau kita kembali kepada sejarah dalam agama Pagan di kalangan masyarakat Rom, apabila mereka dipilih melalui cabutan undi, mereka diberi tempoh setahun untuk berkasih sayang, jika mereka rasakan tidak sesuai, mereka boleh berpisah.
Soalnya, bagaimana mereka hendak cambahkan kasih sayang dalam diri kalau ada tempoh-tempoh tertentu. Bererti kasih sayang yang lahir itu seolah-olah terpaksa dan bukan datang daripada hati nurani.
Apabila perkara ini berlaku, kita yang tidak faham ini pun mengambil sambutan itu dan diterapkan dalam budaya masyarakat Melayu Muslim.
Kebanyakan remaja yang menyambut perayaan ini pun tak faham apa maksud Hari Valentine dan menganggap ia hanya berkonsepkan kasih sayang.
Melalui kajian yang saya lakukan, apabila ditanya mengapa mereka (remaja) menyambut perayaan itu, mereka kata kadang-kadang mereka ini ada 'secret admire'. Ketika inilah masanya untuk meluahkan isi hati mereka kerana mereka tidak mahu jika cinta mereka itu ditolak.
Mereka rasakan ini medan terbaik untuk meluahkan kasih sayang dengan pemberian 'teddy bear', coklat dan bunga. Sedangkan apa yang dilihat dari St. Valentino adalah penyebaran agama Kristian yang diasaskan kepada kasih sayang.
Maksudnya, jika mereka tidak percaya pada Jesus, mereka hanya percaya pada tuhan bapa, atau hanya percaya kepada salah satu daripada yang tiga itu, mereka tidak dianggap sebagai penganut Kristian tulen.
Jadi mereka perlu percaya kepada ketiga-tiganya, barulah lahirnya kasih sayang Jesus kepada penganut agama Kristian. Jika mereka tak yakin dengan pensaliban Jesus yang mengorbankan dirinya atas dasar kasih sayang untuk hapuskan dosa warisan (itu juga titik tolak kasih sayang), bererti kasih sayang disebarkan St. Valentino itu belum lagi boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Maknanya, konsep kasih sayang dalam Kristian bukanlah seperti dalam Islam yang tidak ada batasan. Kalau dalam Kristian, perlu sayang pada Jesus, baru boleh sayang pada orang lain sedangkan dalam Islam tiada batasan.
Boleh Dr. beritahu bagaimana cara masyarakat barat menyambut Valentine berbanding orang kita di sini?
DR. KHADIJAH: Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Ketika saya menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat, saya dijemput salah seorang pensyarah untuk hadir ke rumahnya pada Hari Valentine.
Majlis itu dihadiri anak-anak angkatnya serta beberapa kenalan beliau. Pada majlis itu, ada beberapa keluarga yang menasihatkan agar anak-anak yang nakal untuk ke gereja kerana mereka kata pada Hari Valentine semua orang perlu ingat balik pada Jesus, pengorbanannya, Jesus sebagai penyelamat... Perkara-perkara itu yang ditekankan.
Itu bermakna, sambutan mereka lebih bermoral berbanding kita di sini. Kalau di sini, berdasarkan kajian dan pemerhatian saya, remaja muslim biasanya tanpa segan silu selepas beri kad ucapan berpeluk, bercium sedangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam dan adat ketimuran kita.
Adakah itu sebenarnya masyarakat Melayu? Sedangkan apa yang berlaku di negara barat lebih bermoral dan saya rasa pada 14 Februari itulah yang biasanya ramai remaja kita ditangkap kerana berkhalwat.
Pada hari Valentine, biasanya ada hadiah, perlu peluk-memeluk, perlu cium. Adakah itu menunjukkan kekurangan aspek-aspek fizikal untuk menunjukkan ekspresi cinta dalam Islam menyebabkan remaja lebih suka kepada konsep sambutan Valentine's ini?
MOHD. SALAHUDDIN: Sebenarnya, untuk terapkan aspek fizikal dalam kasih sayang ini, Rasulullah sudah tunjukkan contoh tetapi masalahnya kini budaya kita. Islam sebenarnya kalau kita lihat Rasulullah hendak menyelesaikan masalah dalam isu isteri yang datang haid. Ketika itu masyarakat Arab anggap gelas yang diminum isterinya masih kotor dan tidak boleh dikongsi hatta disentuh.
Itu seakan menghina isteri, justeru Rasulullah mendidik dengan cara apabila Aisyah minum air, Rasulullah mengambil gelas itu dan mencari di mana kesan bibir Aisyah. Kemudian Rasulullah terus minum di tempat itu.
Ini bermakna, Islam sudah menerapkan nilai kasih sayang secara halus supaya Islam lebih romantik daripada apa yang dianjurkan oleh Barat.
Kalau kita lihat, St. Valentino pun mengambil kesempatan daripada perayaan masyarakat Rom sendiri.
Di sinilah Kristian menerap masuk secara halus di mana akhirnya, amalan masyarakat Rom menjadi seolah-olah amalan agama Kristian.
Tidak dinafikan ada paderi-paderi menentang kerana mereka kata sambutan hari Valentine ini menyebabkan berlaku kerosakan remaja sehingga akhirnya dihentikan.
Bagaimanapun dihidupkan semula oleh golongan tertentu yang hendak kembangkan kasih sayang.
Ikuti video wawancara Sembang Utusan Online ini di www.utusan.com.my.
hwa-utusan.