31 Mac 2010

Samy Nafi Pengundi Hulu Selangor Tidak Berminat Dengan Calon MIC

BERNAMA - 30 Mac, 2010 16:33 PM
KLANG, 30 Mac (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu menolak dakwaan bahawa para pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak berminat dengan calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.Samy Vellu brkata beliau percaya keadaan di kawasan pilihan raya berkenaan telah pun berubah sejak pilihan raya umum 2008.
"Jika kita melihat kepada keutamaan pengundi, tidak ada satu tempat pun yang kaum India boleh bertanding di negara ini. Masyarakat India tidak mempunyai majoriti sama sekali di mana-mana jua kawasan pilihan raya untuk bertanding. Mereka hanya boleh kekal sebagai pengundi dan ini akan membawa kepada banyak masalah lain.
"Kami telah pun keluar daripada masalah itu sekarang dan saya harap masyarakat akan cuba melupakan apa yang telah berlaku sebelum ini. Jangan cuba untuk mengingatkan mereka... itu tidak baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru sekolah Tamil Jalan Tepi Sungai di sini pada Selasa.
Samy Vellu sebelum itu diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa pengundi di Hulu Selangor lebih menyukai seorang calon daripada UMNO berbanding MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Bekas Menteri Kerja Raya itu telah mencadangkan supaya Timbalan Presiden MIC Datuk G.Palanivel mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi berkenaan.Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lepas.Allahyarham memenangi kerusi itu setelah mengalahkan Palanivel dengan majoriti 198 undi pada pilihan raya umum 2008.
Palanivel merupakan Anggota Parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum kalah pada 2008.Ditanya sama ada beliau memikiran calon lain di samping Palanivel untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, Samy Vellu secara berseloroh berkata:
"Kami boleh mencari remaja lelaki berumur 18 atau 19 tahun untuk bertanding.
"Samy Vellu juga berkata cadangan MIC supaya Palanivel bertanding bagi kerusi berkenaan dilakukan berlandaskan kepada hierarki parti.
"Hierarki mesti dihormati, jika tidak masyarakat akan menyangka bahawa saya tidak menghormati keputusan majoriti."Palanivel adalah Timbalan Presiden parti pada hari ini disebabkan keputusan yang dibuat oleh majoriti.
"Samy Vellu berkata Palanivel mempunyai peluang yang baik untuk merampas kembali kerusi Hulu Selangor memandangkan beliau memperoleh sokongan memberangsangkan daripada bahagian MIC dalam kawasan pilihan raya itu dan pemimpin biasa dalam cawangan UMNO.
-- BERNAMA

Minum Teh Dengan Perdana Menteri

BERNAMA - 31 Mac, 2010 11:34 AM
Oleh Hazlinda Hamzah

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- "Kepada rakan-rakan FB saya, teruskan menjadi sahabat saya di masa depan."Mesej ringkas ini, daripada Perdana Menteri, disampaikan kepada 300 rakan Facebook beliau yang dijemput menghadiri majlis jamuan teh di kediaman rasminya di Sri Perdana, Putrajaya pada 13 Mac lalu.
Saya merupakan antara warga Malaysia yang bernasib baik sehingga dibenarkan untuk memandu masuk ke perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Precint 10.
Walaupun hujan turun renyai-renyai pada petang itu dan berlaku kesesakan lalu lintas, tiada siapa daripada kami yang mahu melepaskan peluang untuk bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
PETANG YANG SUKAR DILUPAKAN
"Saya teruja sangat. Hinggakan lupa hendak bawa kad nama saya. Saya tidak dapat tumpukan perhatian pada apa-apa selain majlis ini," kata Mahathir Mohd Tahir dari Kuala Lumpur semasa mengambil tempat duduk di Meja 5, satu meja dengan saya.
Faizah Abu Bakar, juga dari Lembah Klang, hadir dengan harapan dapat berinteraksi dengan rakan-rakan FB laman web 1Malaysia yang lain, ruangan yang dimulakan Perdana Menteri sendiri untuk mengikuti pendapat dan masalah yang dikemukakan orang ramai.
"Saya sudah sediakan segalanya di dalam beg saya ini. Ini satu peluang yang tidak akan saya lupakan, dan saya akan mengambil banyak gambar sebagai simpanan dan kenangan sepanjang hayat," kata Faizah.
Beliau memegang sebuah beg tangan hijau muda berjenama Channel yang sedondon dengan pakaiannya berwarna hijau, dari tudung hinggalah ke kasut.
Semua tetamu datang dengan berpakaian cantik dan bergaya. Ada juga yang datang dengan pakaian kebangsaan, selesa dan berwarna-warni.
MEMBAWA KENANGAN MANIS
Lim Yoke Lin, memilih untuk berkebaya hitam dan berkain batik. Bekas atlet negara ini, kini merupakan pensyarah sains sukan di sebuah universiti tempatan.
"Pemimpin-pemimpin perlu turun padang untuk bersama rakyat, bertemu rakyat," kata Lim yang kini dalam lingkungan usia 40-an dan datang ke majlis itu dengan satu lagi misi.
Lim merupakan penerima pertama biasiswa sukan persekutuan pada 1987 yang membolehkan beliau melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat. Najib pada masa itu merupakan Menteri Belia dan Sukan.
Lim dengan sabar menunggu giliran beliau untuk bertemu dengan Najib yang berkunjung dari meja ke meja untuk beramah mesra dengan hadirin.Bersama keratan akhbar di satu tangan, beliau berjabat tangan dengan Najib untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada beliau melanjutkan pengajian sehingga menjadi orang berjaya kini.
Dengan senyuman, Perdana Menteri menurunkan tandatangannya pada keratan akhbar itu.
TERIMA KASIH DARIPADA PERDANA MENTERI
Tetamu undangan pada majlis ini ialah warga Malaysia dari semua peringkat umur dengan 80 peratus daripada mereka berumur bawah 40 tahun.Perdana Menteri menjelaskan bahawa pemilihan itu diputuskan kerana golongan bawah 40 tahun lebih aktif menggunakan Internet.Sambil ketawa kecil, Najib memberitahu hadirin:
"Saya sebenarnya baru melepasi 40,..."Majlis gamat dengan gelak ketawa hadirin, kerana pertama kali bagi kebanyakan kami menyaksikan sikap lucu Perdana Menteri.
Sesi dua jam itu berakhir dengan cepat dan Perdana Menteri bergambar berkumpulan dengan kami semua dan beliau juga tidak menolak permintaan untuk bergambar secara individu dan menandatangan autograf.
Seminggu selepas pertemuan itu, beliau menghantar nota terima kasih menerusi e-mel kepada rakan-rakan FB beliau kerana meluangkan masa menghadiri majlis jamuan teh itu.
Saya terharu dan pasti hadirin lain juga mengalami perasaan yang sama, Perdana Menteri membuatkan kami merasa penting dan dihargai.
-- BERNAMA

ADUN Pembangkang Keluar Sidang DUN Perak

BERNAMA - 31 Mac, 2010 13:36 PM
IPOH, 31 Mac (Bernama) -- Kesemua 28 wakil rakyat pembangkang keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Perak, pada Rabu kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang masuk hari kedua.
Semua wakil daripada pakatan pembangkang meninggalkan dewan kira-kira sejam selepas persidangan bermula pada 10 pagi.Sebelum itu, sebaik sidang bermula dengan sesi soalan lisan, wakil-wakil pembangkang membuat kecoh membantah Speaker Datuk R. Ganesan sebagai tidak sah.
Sepanjang sesi berkenaan, wakil rakyat pembangkang terus membuat bising dan tidak mengambil bahagian bagi mengemukakan soalan hingga sesi berlangsung kira-kira 10.45 pagi. Hanya wakil Barisan Nasional mengemukakan soalan bagi sesi itu.Bercakap pada sidang akhbar di luar dewan, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pasir Panjang daripada PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata wakil rakyat pakatan pembangkang meninggalkan dewan kerana Ganesan gagal memainkan peranannya sebagai Speaker dan tidak mengikut Perintah Tetap.
Sementara itu, Datuk Shaahrani Mohamad (BN-Rungkup) mencadangkan supaya gelaran Datuk Seri dan Datuk yang masing-masing dikurniakan kepada Mohammad Nizar, yang juga bekas Menteri Besar, serta Adun Sitiawan daripada DAP Datuk Ngeh Koo Kam dilucutkan oleh Istana Perak.
Ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan perasmian sidang dewan oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah, beliau turut meminta supaya undian dibuat terhadap usul yang dikemukakannya itu.
-- BERNAMA

Kebijaksanaan kepimpinan satu kemestian bagi kerajaan: Raja Nazrin

BERNAMA - 2010/03/30
IPOH: Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah, hari ini bertitah kebijaksanaan kepimpinan adalah satu kemestian bagi sesebuah kerajaan untuk membolehkan ia mengimbangi keperluan rakyat yang berlatarbelakang pelbagai agama, budaya, etnik dan tahap pencapaian ekonomi.
"Setiap kerajaan berkewajipan memenuhi tanggungjawab besar menyempurnakan amanah yang ditentukan Ilahi, demikian juga memenuhi harapan yang disandarkan oleh rakyat.
"Asas-asas utama yang perlu dipenuhi adalah menjamin bahawa kerajaan diuruskan secara amanah lagi telus, adil lagi saksama, keselamatan negeri serta ketenteraman awam terjamin dan rakyat berada dalam kesejahteraan," titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Raja Nazrin bertitah, tekad kerajaan negeri untuk mentadbir urus secara saksama, telus lagi berhemah adalah sangat dihargai dan semua pihak perlu memperkukuhkan azam dan kesungguhan untuk menjadikan negeri Perak Darul Ridzuan terus aman, makmur dan sejahtera.
Baginda bertitah, iklim ekonomi dunia kini memperlihatkan tanda-tanda pemulihan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun keempat 2009 mencatat pertumbuhan positif 4.5 peratus dan berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, diunjurkan KDNK negara bagi tahun 2010 berupaya mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan lima peratus.
Titah baginda kerajaan negeri pada tahun lalu telah berjaya meningkatkan kutipan hasil daripada RM639.2 juta dalam tahun 2008 kepada RM642.2 juta dan tahun ini, dianggarkan kutipan hasil akan mencapai RM667 juta.
Pada 2009, pelaburan bernilai RM893 juta diluluskan bagi negeri Perak oleh Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida) manakala kerajaan negeri sendiri meluluskan beberapa cadangan pelaburan melibatkan pelaburan bernilai RM11.6 bilion yang merangkumi kilang memproses bijih besi, penghasilan produk farmasi, kilang spirulina, pengusahaan air bawah tanah, pengeluaran produk solar cell, pembinaan kolej perubatan berkembar dan limbungan pembinaan kapal.
"Dengan hasil negeri yang bertambah, lebih banyak program pembangunan untuk manfaat rakyat akan dapat dilaksanakan dengan program yang berteraskan rakyat akan diberi keutamaan."Program-program pembasmian kemiskinan, sifar setinggan, pencegahan banjir, pendidikan, taska, pengupayaan generasi muda, pembangunan Orang Asli dan pembangunan hal ehwal bukan Islam diberikan prioriti," titah Raja Nazrin.
Baginda mahu kerajaan negeri terus mengatur strategi pembangunan untuk mendapat sebaik-baik manfaat daripada perkembangan positif yang sedang berlaku itu. "Mengurus tadbir sesebuah Kerajaan adalah tanggung jawab kolektif yang memerlukan kerjasama, rangkaian kerja, perhubungan dan sokongan pelbagai pihak," titah baginda.
Baginda mahu kerajaan negeri terus menjalinkan hubungan kerjasama dan persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan, agensi Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan serta dengan sektor swasta.Raja Nazrin turut memuji rancangan kerajaan negeri merangka Gagasan Pelan Pembangunan Perak Amanjaya yang bermatlamatkan pembangunan stabil lagi sejahtera berteraskan kehidupan berkualiti, peluang berkualiti dan pendapatan berkualiti.
"Kerajaan Beta amat mengalu-alukan peranan badan-badan bukan Kerajaan, media massa, ulama, cendekiawan, akademia dan individu yang dapat membantu membangunkan Negeri Perak Darul Ridzuan dan memastikan Gagasan Pelan Pembangunan Perak Amanjaya menjadi realiti," titah baginda
.Pada sebelah pagi, Raja Nazrin berkenan memeriksa perbarisan kehormat oleh Pasukan Gerak Am (PGA) sempena istiadat pembukaan sidang.
/hwa-bharian.com.my

Dewan Rakyat: 'Anwar intim dengan firma didakwa pro-Israel'

Oleh Sariha Mohd Ali, Hussain Saad dan Mohd Anwar Patho
Rohmanbhnews@bharian.com.my
BH - 2010/03/31
Penasihat PKR bersikap selektif dedah maklumat Apco: KhairyKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan rapat dengan tokoh yang menganggotai Majlis Penasihat syarikat perunding komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide.
Katanya, Anwar bersikap selektif dalam mendedahkan maklumat mengenai Apco Worldwide ketika memberi penjelasan di Dewan Rakyat, sedangkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan saja mengenali dan bersahabat dengan seorang tetapi enam tokoh dilantik syarikat itu menganggotai panel penasihatnya. Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, jika benar tuduhan Anwar bahawa Apco mempunyai hubungan terus dengan kerajaan Israel, maka Anwar juga mempunyai hubungan dengan Israel kerana hubungannya dengan enam tokoh terbabit.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen, semalam, berikutan desakan Anwar supaya kerajaan membatalkan kontrak perkhidmatan Apco yang dilantik bagi menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat firma itu yang didakwa menjejaskan keselamatan negara.
Anwar membuat penjelasan itu bagi menjawab tuntutan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan One Israel.
Khairy berkata, tindakan Anwar mengaitkan kerajaan dengan isu Apco bertujuan mengalih pandangan masyarakat terhadap kes mahkamah yang dihadapinya dan juga krisis dalaman parti yang diketuainya.“Anwar juga gagal menjelaskan bagaimana Apco terbabit menasihati kerajaan dalam membentuk gagasan 1Malaysia.
"1Malaysia mula disebut Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan sulung sebaik menjadi Perdana Menteri pada April tahun lalu, sedangkan kontrak lantikan Apco hanya pada Ogos," katanya.Mengulas peranan Ethos Consulting, Khairy berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan Anwar untuk memburukkan imej beliau.
Terdahulu, Anwar (PKR-Permatang Pauh) menggesa kerajaan membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Worldwide kerana didakwa menjejaskan keselamatan negara.Katanya, tindakan itu wajar disebabkan ancaman keselamatan kerana maklumat strategik negara terdedah kepada ejen perisik asing berikutan pegawai tertinggi firma perunding itu mempunyai kaitan langsung dengan rejim zionis.
Dakwanya, tiga tokoh utama Israel dalam Apco ialah Doron Bergerbest Eilon, iaitu bekas ketua perlindungan dan keselamatan, Agensi Keselamatan Israel (ISA); Itamar Rabinovich (bekas duta Israel ke Amerika Syarikat) dan Shimon Shein (bekas duta Israel ke Jerman).
“Apco dibayar RM20 juta untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh membabitkan pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
/hwa-bharian.com.my

Empat ciri jadi wakil rakyat disenangi penduduk

UM - 31/03/01
SUBANG 30 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat ciri untuk menjadi seorang wakil rakyat yang disenangi rakyat.
Empat ciri tersebut, kata beliau, adalah rajin menemui rakyat, mudah dihubungi, mampu menyelesaikan masalah rakyat dan tidak memungkiri janji.
Tegasnya, tanpa keempat-empat ciri tersebut adalah sukar seseorang wakil rakyat memberi khidmat terbaik kepada penduduk di kawasannya.
''Sebagai contoh, aktiviti berjumpa dengan rakyat atau lebih dikenali dengan turun ke padang. Program ini mudah dilakukan tetapi ada juga yang tidak dapat melaksanakannya dengan sepenuh hati.
''Selain itu, untuk menjadi wakil rakyat yang baik dan mudah didekati rakyat kita juga harus tahu apakah kehendak atau jangkaan rakyat kepada kita sebagai seorang pemimpin,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Malam Amal Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) di sini malam ini.
Turut hadir isteri beliau yang juga Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Naib Yang Dipertua Kasih, Prof. Datin Seri Aishah Salleh.
Kasih adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan untuk melaksanakan kerja-kerja berbentuk kebajikan khusus di Selangor.
Kasih dianggotai oleh isteri ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) .
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kesemua perkara yang disebutkan tadi merupakan kriteria penting yang perlu ada pada setiap wakil rakyat.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan kepentingan peranan isteri wakil rakyat dalam memberi sokongan kepada suami masing-masing dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin.
Perdana Menteri berkata, melalui peranan mereka sebagai pelengkap sudah tentu suami masing-masing dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh isteri wakil rakyat, katanya, adalah terlibat dengan kerja-kerja amal.
''Kasih adalah satu badan yang ditubuhkan untuk tujuan ini. Oleh itu kita sebagai suami harus reda sekiranya ketiadaan isteri kita di rumah kerana terlibat dengan kerja-kerja Kasih.
''Namun begitu jika ketiadaan mereka bukan sebab kerja-kerja Kasih, itu mereka perlu membuat permohonan lain," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh.
Najib turut menyentuh peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kasih untuk bersama-sama kerajaan melaksanakan Model Ekonomi Baru (MEB).
''Di dalam MEB kita akan melaksanakan sistem ekonomi bersifat inklusif dan saya kira NGO seperti Kasih boleh bersama-sama kerajaan menjayakan MEB.
''Kita tidak mahu satu kumpulan rakyat pun yang tertinggal. Maksud saya tidak ada mana-mana rakyat pun yang akan tersisih, tertinggal dan terpinggir. Semua orang tetap akan dapat manfaat terhadap pelaksanaan MEB," kata Najib.
Sementara itu Rosmah di dalam ucapannya berkata, Kasih akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja amal khususnya membantu golongan memerlukan di negeri Selangor.
Beliau berkata, Kasih perlu memainkan peranan itu bersungguh- sungguh supaya kewujudannya benar-benar memberi manfaat kepada golongan memerlukan antaranya golongan kurang upaya, warga tua dan ibu tunggal.
''Alhamdulillah pada malam ini kita berjaya mengumpul sebanyak RM2.8 juta iaitu hasil sumbangan dermawan. Wang ini akan kita salurkan kepada golongan yang dinyatakan tadi,'' katanya.
/hwa-utusan.com.my

30 Mac 2010

Benteng orang Melayu

UM (Rencana) - 30/03/10
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
KELANTANGAN Perkasa dalam mempertahankan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta agama Islam semakin mendapat kepercayaan orang Melayu.
*****
AKHBAR ini mendapat tepukan gemuruh daripada seisi dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sabtu lalu. Dianggarkan kira-kira 10,000 orang menghadiri mesyuarat pertama kali itu yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berkali-kali Presidennya, Datuk Ibrahim Ali menjulang nama Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang begitu lantang mempertahankan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu serta agama Islam. Ibrahim juga menyamakan nasib akhbar ini dengan Perkasa yang tidak henti-henti dijadikan tohmahan pihak tertentu kononnya membawa agenda rasis.
Akkbar ini yang sudah pun menjangkau usia 72 tahun sudah sangat terbiasa dan lali dengan tuduhan-tuduhan seperti itu. Maka, Perkasa yang baru berusia setahun jagung, untuk bertahan bagi tempoh yang lama, bersedialah dengan kecaman yang serupa atau mungkin lebih hebat lagi.
Kewujudan Perkasa yang ditubuhkan pada September 2008 benar-benar mendapat perhatian banyak pihak ketika ini. Dalam tempoh yang sangat singkat, Perkasa mengumpul sokongan luar biasa daripada orang Melayu dan bumiputera sehingga ke Sabah dan Sarawak. Pihak-pihak yang bebas menyentuh mengenai keistimewaan orang Melayu dan bumiputera sebelum ini juga mula berasa kurang senang.
Kelibat Ibrahim serta pemimpin Perkasa lainnya yang lantang dan sentiasa ke hadapan sedikit sebanyak menimbulkan rasa gerun. Orang Melayu sebenarnya sudah lupa jika mereka pernah ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang benar-benar mewakili kepentingan dan suara mereka. Sedangkan NGO berasaskan Melayu atau Islam dengan pelbagai nama dan matlamat perjuangan ketika ini cukup banyak.
Malangnya, tidak ada yang begitu berani ke hadapan dan lantang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam ketika ia dipijak- pijak.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, pelbagai desakan yang jelas tidak mengambil kira perasaan orang Melayu dan bumiputera serta Islam dibangkitkan. Hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti bahasa Melayu, biasiswa, kuota, dan banyak lagi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan cuba dinafikan. Begitu juga dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan agama Islam yang turut dipersoalkan.
Malah ada yang begitu berani membuat kenyataan bahawa kaum Melayu di bumi Malaysia ini sebenarnya adalah pendatang. Agak menghairankan tuntutan dan desakan seperti itu dibuat ketika kelebihan kaum bukan bumiputera tidak sedikit pun diganggu atau cuba dinafikan.
Semua kaum di negara ini tidak kira Cina, India atau kaum-kaum lain mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan. Malah dalam kebanyakan keadaan, kaum bukan bumiputera sebenarnya mengecapi kehidupan yang lebih baik berbanding dengan orang Melayu dan bumiputera.
Mereka menikmati kek ekonomi yang lebih besar meskipun merupakan penduduk minoriti. Mereka juga bebas mengamalkan kepercayaan dan bahasa masing-masing, meskipun agama Islam dan bahasa Melayu merupakan agama dan bahasa rasmi negara ini. Sistem pendidikan juga dibuka seluas-luasnya kepada semua kaum menerusi sekolah jenis aliran.
Meskipun seluruh rakyat Malaysia bersetuju bahawa sekolah aliran ini semakin menjarakkan hubungan antara kaum, namun kebebasan seperti itu masih dinikmati. Maka di mana sebenarnya ruang ketidakadilan yang boleh dipersoalkan? Mungkin selama 53 tahun negara merdeka, orang Melayu berasa selesa dengan UMNO.
Sepanjang tempoh itu, mereka melihat UMNO sebagai sebuah pertubuhan yang berjuang untuk mempertahan dan membela hak-hak orang Melayu. UMNO juga diletakkan harapan untuk mengubah dan melonjak kedudukan orang-orang Melayu agar menjadi lebih baik.
Tidak dinafikan, UMNO dan sudah semestinya kerajaan Barisan Nasional (BN), telah memainkan peranan yang sangat besar kepada bangsa dan negara sepanjang tempoh itu. Namun ibarat roda yang berputar, UMNO tidak selamanya dilihat sebagai pejuang orang Melayu.
Tempoh beberapa tahun kebelakangan ini misalnya, menyaksikan betapa parti itu semakin ditolak oleh rakyat. Kemuncaknya adalah pada pilihan raya umum lalu apabila UMNO dan BN hilang sokongan majoriti. Barangkali kerana kelemahan UMNO yang sering dilihat sebagai benteng orang Melayu, timbul keberanian luar biasa sesetengah pihak untuk mempersoalkan apa yang selama ini menjadi hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
Maka, kehadiran Perkasa sebagai pembela orang Melayu dan bumiputera sangat tepat ketika UMNO kini sedang mengalami proses pemulihan.
Namun dalam keadaan begitu, Perkasa bukanlah parti politik dan barangkali tidak mungkin akan menjadi parti politik atau dipandang sebagai parti politik. Ini kerana orang Melayu tidak memerlukan sebuah parti politik baru untuk mewakili mereka.
Kewujudan lebih banyak parti politik hanya akan memecah-belahkan orang Melayu. Sebaliknya adalah menjadi harapan sekiranya parti politik Melayu sedia ada terutamanya UMNO dan Pas dapat bekerjasama terutamanya dalam soal kepentingan Melayu dan agama Islam.
Perkara ini juga merupakan perhatian utama Perkasa apabila usul mengenainya diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan itu, Sabtu lalu. Turut diluluskan adalah usul memperkemaskan Perlembagaan bagi memastikan kalimah Allah hanya untuk umat Islam dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan terhadap mereka yang mempersendakan Islam.
Usul lain termasuk mengembalikan nisbah pengagihan biasiswa kepada nisbah 90:10 atau 67:33 berdasarkan komposisi kaum. Dari sudut ekonomi pula, Perkasa menggesa supaya Model Ekonomi Baru (MEB) dapat membentuk instrumen berkesan bagi memastikan orang Melayu dapat meningkatkan pemilikan bangunan dan premis.
Melihat agenda perjuangan Perkasa ini serta persekitaran semasa yang mana terlalu banyak ketidakadilan tanggapan dilemparkan terhadap Perlembagaan, maka wajarlah orang Melayu dan bumiputera untuk bersama-sama memberi sokongan. Bagi yang bukan Melayu pula, usahlah terlalu berasa bimbang.
Perjuangan Perkasa tidak akan menyimpang daripada apa yang digariskan oleh Perlembagaan. Selagi semua pihak menghormati apa yang termaktub di Perlembagaan, Perkasa juga tidak akan melenting yang bukan-bukan.
/hwa-utusan.com.my

Cabaran untuk MCA, Soi Lek dan Tiong Lai

UM (Rencana) - 30/03/10.
PEMILIHAN bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA dan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai timbalannya diharapkan akan membuka era baru kepada parti tersebut. Seramai 2,315 perwakilan sudah pun membuat keputusan, tidak kiralah berapa jumlah majoriti yang dimenangi oleh kedua-dua pemimpin itu tetapi apa yang penting pemilihan telah dilaksanakan secara demokrasi.
Oleh itu, semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka seperti mana pendirian yang ditunjukkan oleh dua lagi calon Presiden yang tewas iaitu Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat.
Kini MCA perlu menumpukan perhatian kepada agenda yang lebih besar iaitu menyatukan semua ahli di dalam satu pasukan dan mengukuhkan MCA sebagai salah satu komponen terpenting dalam Barisan Nasional (BN).
Masa untuk berbalah dan bertelingkah sudah berlalu. Pemilihan yang dijalankan dianggap penyelesaian terbaik.
Oleh itu, pemimpin dan ahli MCA perlu menumpukan perhatian untuk berusaha mengembalikan parti tersebut sebagai sebuah parti yang digeruni lawan dan menjadi harapan kepada rakyat terutama masyarakat Cina khasnya.
Sudah menjadi adat pertandingan ada yang kalah dan ada yang menang, tetapi ini tidak bermakna yang kalah harus bermusuh dengan yang menang dan yang menang pula perlu membalas dendam kepada yang kalah.
Adalah lebih baik, jika kesemua pemimpin-pemimpin MCA bersatu hati dan berada dalam satu barisan kerana perjuangan yang lebih getir menanti mereka iaitu mengembalikan sokongan majoriti masyarakat Cina kepada BN.
MCA tidak harus selamanya berada dalam konflik, krisis dan kemelut. Oleh itu, adalah diharapkan Soi Lek dan Tiong Lai, biarpun sebelum ini dilihat berada di dalam kem berasingan akan bersatu hati melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan parti dan negara.

GLC memperkasa ekonomi

UM (Rencana) - 30/03/10.
HARI ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan salah satu daripada dua laporan Model Ekonomi Baru (MEB). MEB akan menjadi rangka kerja kita untuk mengorak perjalanan proses transformasi 10 tahun akan datang bagi menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.
Dalam masa beberapa tahun, kita akan memberikan tumpuan kepada kelebihan kompetitif yang dimiliki Malaysia, selain mewujudkan kelebihan yang baru.
Kita akan terus menggalakkan syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran dan cabaran baru dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk menjadi juara di peringkat serantau dan global.
Saya berbangga melihat jumlah syarikat Malaysia yang berjaya mencipta nama di pasaran global dan saya lebih berbangga apabila sebilangan daripada perusahaan yang berjaya merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Syarikat-syarikat berkenaan berjaya mencapai kedudukan tersebut pada hari ini selepas lahir dari sektor awam. Semua ini adalah hasil daripada langkah penswastaan kerajaan lebih 20 tahun yang lalu. Kita dapat melihat beberapa GLC melalui proses transformasi, penstrukturan model bisnes, memperluaskan sumber keuntungan dan mengukuhkan jenama dalam pasaran.
Syarikat-syarikat yang memiliki kemahiran teknikal dan pengurusan berkenaan juga sudah melalui ujian iaitu tiga episod krisis ekonomi. Selain itu, syarikat berkenaan juga menghadapi cabaran keadaan pasaran yang semakin kompetitif seiring dengan masa.
Kesemua syarikat itu mewujudkan nilai hebat kepada pemegang saham mereka.
Pencapaian itu diperoleh kerana kualiti bakat dan kemahiran yang ada pada syarikat GLC berkenaan.
Kesemua GLC tersebut turut membuat pelaburan yang besar dalam pembangunan modal insan mereka. Saya kagum melihat dalam masa lima tahun kebelakangan ini, GLC berkenaan menggunakan amalan dan standard pengurusan modal insan yang setanding dengan syarikat-syarikat terbaik di peringkat global.
Apa yang dimaksudkan adalah sistem penilaian prestasi melalui rangka Indeks Petunjuk Prestasi dan skim ganjaran yang kompetitif.
Salah satu daripada kelebihan kompetitif yang ada di Malaysia adalah kepelbagaian etniknya. Kelebihan itu menjadi satu sinergi yang sedia wujud dalam GLC berkenaan.
Selain itu, kepelbagaian kaum sudah terbukti memberi kekuatan kepada negara serta menjadi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi.
Kaum bumiputera terdiri daripada 61.4 peratus daripada penduduk Malaysia dan golongan ini mewakili 57 peratus daripada pengurusan kanan di GLC.
Beberapa GLC turut menggunakan kepakaran asing untuk mendapatkan ilmu dan membolehkan pengurus tempatan belajar.
Kelebihan paling utama Malaysia adalah kepelbagaian penduduknya dan kelebihan berkenaan dimanfaatkan oleh GLC. Kepelbagaian seperti inilah yang ingin kita lihat meningkat dalam ekonomi negara.
Kita perlu mengeksploitasikan sepenuhnya sinergi yang wujud dari kepelbagaian bakat dan kemahiran.
Ketika melawat beberapa pusat kewangan dunia iaitu London, Hong Kong dan New York, saya benar-benar kagum dengan kewujudan pelbagai bangsa yang terdapat dalam tenaga kerja di setiap destinasi bandar raya berkenaan.
Saya melihat golongan muda yang berbakat besar bekerja bersama, menghormati keupayaan intelektual masing-masing dan dinilai dengan satu penanda aras.
Mereka terdiri daripada orang kulit putih, Cina, India, Korea, Afrika, Amerika dan beberapa warga Malaysia.
Masing-masing begitu bangga dengan kualiti kerja yang disumbangkan dan selesa dengan kedudukan mereka dalam organisasi.
Amerika Syarikat (AS) masih belum menyelesaikan sepenuhnya isu perkauman yang dihadapi.
Bagaimanapun, apa yang mereka berjaya lakukan adalah menyedari bahawa sinergi ekonomi boleh diwujudkan melalui pergaulan tenaga pakar dan mahir dari pelbagai kaum utama dalam populasi AS.
Keadaan itu dapat dilihat secara jelas dalam industri muzik, filem dan sukan AS yang saya pasti semua orang tahu bernilai berjuta-juta bilion dolar AS.
Kita semua sedar bagaimana tarikan budaya boleh memainkan peranan penting dalam bisnes. Kebangkitan China, India, Indonesia dan kekayaan dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjadi pendorong kepada Malaysia untuk meluaskan hubungan ekonomi dan perdagangannya.
Kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam membina hubungan dengan kuasa-kuasa besar ekonomi. Tidak ada negara lain yang boleh membuat tawaran seperti yang Malaysia lakukan.
Dalam beberapa tahun akan datang, keperluan kita untuk melangkah ke hadapan dalam membangunkan modal insan adalah kritikal.
Oleh itu, kita perlu meluaskan ekonomi supaya menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Modal insan Malaysia perlu bersaing dengan bakat-bakat dan tenaga mahir yang lain di dunia.
Untuk memastikan Malaysia memenuhi penanda aras global, golongan muda negara perlulah meningkatkan tahap pemikiran, nilai dan pandangan mereka supaya selari dengan norma antarabangsa. Ini memerlukan anjakan bagaimana kita menyemai dan membangunkan kumpulan bakat dan kemahiran kita sendiri.
Sektor swasta boleh memainkan peranan penting untuk membangunkan bakat dan kemahiran yang kompeten di peringkat global. Latihan berasaskan merit yang direka khusus bagi objektif tertentu dan program- program pengurusan boleh distruktur untuk membangunkan pasukan elit yang tidak hanya memiliki kemahiran asas teknikal tetapi tarikan budaya dan kemahiran berunding di peringkat antarabangsa.
Ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) merupakan golongan yang paling sesuai dalam memimpin program-program sebegini yang bertujuan melahirkan bakat dan tenaga mahir terbaik yang boleh menguruskan pejabat-pejabat di luar negara satu masa nanti. Mereka ini juga akan menjadi sebahagian daripada pelan masa depan organisasi.
Perkara ini adalah wajar terutamanya apabila keuntungan dari operasi luar negara sesebuah organisasi mengatasi keuntungan yang dijana oleh operasi di peringkat domestik.
MEB akan membawa kita menjadi sebuah ekonomi dengan pendapatan per kapita dua kali ganda iaitu USD15,000 (RM49,500). Perkongsian pai ekonomi akan menjadi lebih adil dan sama rata.
Bagaimanapun untuk mencapai tahap itu, kita perlu sedar dan berusaha untuk membangunkan bakat-bakat tempatan bagi memenuhi keperluan masa akan datang. Ini hanya akan berlaku jika kita melipatgandakan usaha meningkatkan kepelbagaian kaum dalam aktiviti ekonomi dan memperkenalkan tahap kompetitif berbeza berdasarkan keadilan di tempat kerja.
Dengan populasi golongan muda iaitu berusia di bawah 14 tahun pada kadar 31.8 peratus dalam populasi negara dan mereka ini pula datang dari pelbagai budaya, latar belakang dan pengalaman, saya tidak fikir ada perkara lain yang lebih menarik dan boleh ada dalam mana-mana ekonomi, selain daripada golongan muda yang terdiri daripada pelbagai budaya dan mempunyai pelbagai bakat dalam memperkasakan pembangunan akan datang di negara kita yang tercinta.
Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ialah Menteri Kewangan II.
/hwa-utusan.com.my

'Cukuplah, kami tak mahu lagi ditipu PKR'

UM - 30/03/10
SUNGAI PETANI 29 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini dilanda pelbagai kemelut terus menerima tamparan apabila satu lagi cawangannya di Kedah iaitu di Kampung Pengkalan Lebai Man di sini yang dianggotai oleh 217 ahli masyarakat India dibubarkan malam tadi.
Pembubaran dan pengisytiharan keluar parti itu didorong rasa tidak puas hati terhadap tindak-tanduk Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PKR Bahagian Sungai Petani yang tidak ikhlas memperjuangkan nasib kaum India.
Ketua PKR Cawangan Pengkalan Lebai Man, Mohd. Rahim Prabakaran Abdullah mendakwa, mereka tiada pilihan selain meninggalkan parti tersebut kerana kepimpinan sudah dikuasai oleh golongan yang mementingkan kedudukan manakala golongan bawahan disisihkan.
Malah katanya, rata-rata masyarakat India di situ tidak yakin lagi dengan perjuangan PKR yang sebelum ini hanya pandai berjanji namun gagal menunaikannya.
"Masalah rakyat gagal diselesaikan, malah pemimpin PKR seperti Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Tan Chow Kang yang kami pilih sebelum ini, langsung tidak mempedulikan kebajikan penduduk.
"Apabila kita ajukan masalah, mereka hanya pandai berjanji tetapi tidak laksanakannya. Kini sudah dua tahun kami dijanjikan macam-macam tetapi apa pun tak nampak. Cukuplah, kami tak mahu ditipu PKR lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis pembubaran tersebut.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pegawai Penyelaras Parlimen Sungai Petani, Ali Yahaya dan bekas Pengerusi MIC Kedah, Datuk V. Saravanan.
/hwa-utusan.com.my

KELUAR PKR BERAMAI-RAMAI

UM - 30/03/10
V. SUBRAMANIAM bersama sebahagian daripada 300 ahli PKR yang hadir melaungkan kata-kata semangat untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Tengku Hussein Hujung, Manjoi, Ipoh, Perak, kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor
*****
KECEWA dengan sikap dan cakap tidak serupa bikin para pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan seramai 700 ahli Pemudanya dari Bahagian Ipoh Barat bertindak keluar parti itu beramai-ramai, kelmarin.
Ketua Pemudanya, V. Subramaniam menjangkakan lebih ramai ahli parti itu akan keluar kerana telah sedar dengan apa yang berlaku.
Pengumuman keluar parti itu dilakukan di Kampung Tengku Hussein Hujung, Manjoi, Ipoh.
Hadir sama ialah Naib Ketuanya, Sherol Aizam Mohd. Damanhuri; Ketua Penerangan, Mokhtar Kodin dan Setiausaha, S. Vikneswaran.
Pemuda PKR Ipoh Barat ketika ini mempunyai kira-kira 900 ahli.Menurut Subramaniam, pemimpin PKR bukan sahaja bersikap 'cakap tidak serupa bikin,' malah mendakwa turut tidak menghormati agama lain.
/hwa-utusan.com.my

MEB jadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi

BERNAMA - 30/03/2010 11:49am
KUALA LUMPUR 30 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang sememangnya dinanti-nantikan akan mengubah ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata MEB akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif pada peringkat serantau dan global yang menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita masing-masing boleh meningkat kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad, daripada AS$7,000 sekarang ini.
Di bawah MEB itu, katanya kerajaan tidak lagi boleh menerima amalan perbuatan merentir dan “patronage”, yang telah lama mencemar matlamat membantu golongan sasaran di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
MEB bakal menjadi inklusif di mana semua rakyat Malaysia menyumbang dan mendapat manfaat dari pertumbuhan ekonomi yang mesti merupakan elemen fundamental sebarang pendekatan ekonomi baharu,” katanya semasa berucap pada persidangan “Invest Malaysia 2010” di sini.
/hwa-utusan.com.my

Intipati Model Ekonomi Baru (MEB)

UM - 30/03/2010 12:17pm

KUALA LUMPUR 30 Mac - Berikut antara intipati Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:

  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dibenar melabur lebih bahyak lagi di dalam aset di seberang laut.
  • Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) akan dikorporatkan dan akan dinamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk membolehkannya lebih efektif sebagai satu agensi promosi pelaburan.
  • Kerajaan dan KWSP akan membentuk usahasama bagi menggalakkan pembangunan tanah seluas 1,200 hektar (3,000 ekar) di Sungai Buloh untuk menjadi satu hab baharu bagi Lembah Klang.
  • Beberapa bidang tanah di Jalan Stonor, Jln Ampang, Jln Lidcol di Kuala Lumpur akan ditender dan dimajukan oleh sektor swasta, yang jika gagal akan merupakan satu pembaziran kerana kerajaan membelanjakan kos penyelenggaraannya.
  • Pembangunan tanah di Sungai Buloh dan pembangunan beberapa bidang tanah di bandar raya ini dijangka menjana pelaburan baharu bernilai lebih RM5 bilion.
  • Syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan seperti Percetakan Nasional Malaysia, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Nine Bio Sdn. Bhd. dan Innobio kemungkinan diswastakan.
  • Petronas telah mengenal pasti dua subsidiari yang agak besar dengan rekod prestasi yang baik untuk disenaraikan pada tahun ini di Bursa Malaysia, yang akan mengurangkan kehadiran kerajaan di dalam perniagaan dan meningkatkan peranan sektor swasta.
  • Khazanah Nasional Bhd. akan melupuskan kawalan kepentingan 32 peratusnya di dalam Pos Malaysia Bhd melalui proses pelupusan strategik dua peringkat.
/hwa-utusan.com.my

Kehendak pengundi kriteria utama pilih calon BN Hulu Selangor – PM

UM - 30/03/10
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Mac – Kehendak dan suara hati pengundi akan menjadi kriteria utama bagi memilih calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor nanti, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kriteria itu penting bagi menjamin kemenangan BN sekali gus merampas semula kerusi Hulu Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kita akan rasai denyut nadi dan kenal pasti kehendak mereka kerana kerajaan sentiasa menekankan supaya rakyat didahulukan termasuk dalam isu pemilihan calon,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada BN bersedia untuk meletakkan calon daripada UMNO seperti yang dikehendaki oleh majoriti pengundi di kawasan tersebut.
Orang Melayu merupakan pengundi majoriti di kawasan Hulu Selangor iaitu sebanyak 53 peratus, pengundi Cina 27 peratus dan India 19 peratus.
Sabtu lalu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu telah menamakan timbalannya, Datuk G. Palanivel sebagai calon parti itu bagi mewakili BN.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak Khamis lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Allahyarham memenangi kerusi itu dengan majoriti 198 undi menewaskan Palanivel.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau memerlukan sedikit masa sebelum memutuskan calon BN kerana perlu mengkaji semua perkembangan politik semasa.
“Saya nak kena buat keputusan yang tepat kerana yang saya utamakan adalah kemenangan BN,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, ketika diminta mengulas keputusan Ahli Jawatankuasa UMNO Bukit Bendera meletakkan jawatan secara beramai-ramai bagi membolehkan bekas Ketua Bahagiannya, Datuk Ahmad Ismail kembali kepada UMNO, Najib berkata: “Apa pun tindakan, ia mesti berlandaskan perlembagaan parti’'.
Tambah beliau, pada masa yang sama, pengurusan tertinggi UMNO juga akan memerhati perkembangan mutakhir tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Abdul Jalil Ariffin hari ini dilaporkan berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan beramai-ramai itu dicapai minggu lalu dan akan dimaklumkan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri dalam waktu terdekat.
Katanya, keputusan itu diambil bagi membolehkan pemilihan semula dibuat kerana harapan ahli-ahli UMNO kawasan tersebut yang ingin melihat Ahmad Ismail kembali kepada UMNO.
Ahmad Ismail digantung keahlian dan dilucutkan hak-haknya dalam parti itu selama tiga tahun selepas didakwa menggelarkan masyarakat Cina adalah pendatang di negara ini dan tidak layak menuntut hak yang sama pada satu ceramah 23 Ogos 2008 dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi Ahmad enggan berbuat demikian.
/hwa-utusan.com.my

Choo Keong selar Little Napoleon PKR

UM - 30/03/10
KUALA LUMPUR 29 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang bercelaru walaupun secara konsisten dinafikan. Ironinya, bukan pihak lain yang menghuru-harakan mereka tetapi kalangan mereka sendiri yang berbuat demikian.
Terbaru, Wee Choo Keong (PKR- Wangsa Maju) secara terbuka di Dewan Rakyat hari ini menyatakan perasaan dukacitanya dengan perbuatan Little Napoleon di kalangan pembangkang yang cukup pintar iaitu melempar batu dan cekap pula menyembunyikan tangan.
Segelintir mereka itu, katanya, sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat pelbagai fitnah dan penipuan seperti menipu gambar dengan menggunakan teknik super imposed dan diterbitkan dalam Internet untuk mengaibkan tokoh politik negara.
"Tindakan fitnah ini telah diakui oleh Little Napoleon, tetapi tiada tindakan diambil terhadap dia. Sebaliknya tindakan disiplin diambil terhadap pemimpin lain atas perkara remeh-temeh.
"Jika mereka dibenar melakukan perkara sedemikian atas alasan kepentingan politik, tiada lagi perkara di dunia ini yang akan menghentikan mereka daripada menghancurkan negara ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Choo Keong, beliau juga amat kesal dengan tingkah laku Little Napoleon terhadap isu-isu yang dibangkitkan terhadap peristiwa 16 September atau perkara lain sama ada dalam atau luar Parlimen, yang langsung tidak dijawab oleh mereka.
Sebaliknya, kata beliau, jawapan Little Napoleon adalah merupakan serangan peribadi sahaja dengan harapan segalanya akan kembali pulih seperti biasa dan masyarakat sekali lagi diperbodohkan oleh mereka.
"Little Napoleon, nasihat saya adalah, jika kamu tidak mempunyai jawapan terhadap segala isu adalah lebih baik bersembunyi sahaja kerana Silence is Golden (Diam amat bernilai).
"Saya juga berharap Little Napoleon tersebut jangan memaksa saya untuk membongkarkan politics of deceit (politik penipuan), politics of expediencies (politik kewajaran) mereka dan politik cakap tidak serupa bikin atau politik bermusim," katanya.
Choo Keong berharap Little Napoleon menghentikan kegiatan politik kotor dan fitnah-memfitnah mereka melalui Internet atau medium lain untuk satu matlamat politik sempit yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.
"Jika kegiatan ini berterusan maka parti kita akan hancur, perjuangan akan jadi sia-sia sahaja dan dua sistem parti akan menjadi bayangan dan impian semata-mata," katanya.
/hwa.utusan.com.my

Sidang DUN Perak berjalan lancar

Bernama - 30/03/2010 10:27am
IPOH 30 Mac - Mesyuarat pertama penggal ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berjalan lancar dengan istiadat pembukaan berlangsung di pekarangan bangunan Perak Darul Ridzwan pagi ini.
Istiadat bermula pada kira-kira pukul 9.35 pagi dengan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat Pasukan Gerak Am (PGA).
Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Speaker Datuk R. Ganesan serta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Bebas dan parti pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Pas mula tiba pada pukul 8.50 pagi dan menunggu di tempat masing-masing.
Kesemua 28 ADUN pembangkang tiba secara berkumpulan terlebih dahulu, diikuti Ganesan pada pukul 9.15 pagi dan Dr. Zambry 10 minit kemudian.
Suasana sekitar kawasan berkenaan berjalan seperti biasa meskipun dikawal ketat oleh polis yang mengadakan beberapa sekatan jalan masuk menuju kawasan berkenaan.
/hwa-utusan.com.my

28 Mac 2010

Senarai pimpinan baru MCA

Bernama - 2010/03/28
KUALA LUMPUR: Berikut ialah senarai pimpinan baru MCA selepas pemilihan parti hari ini:
PRESIDEN
1. Datuk Seri Dr Chua Soi Lek - 901 undi
TIMBALAN PRESIDEN
1. Datuk Seri Liow Tiong Lai - 1,171 undi
NAIB PRESIDEN
1. Datuk Seri Ng Yen Yen (1,528 undi)
2. Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469)
3. Datuk Chor Chee Heung (1,202)
4. Gan Ping Sieu (1,202)
ANGGOTA JAWATANKUASA PUSAT (CC)
1. Datuk Lee Chee Leong (1,430 undi)
2. Dr Hou Kok Chung (1,312)
3. Senator Heng Seai Kie (1,267)
4. Datuk Wee Jeck Seng (1,175)
5. Toh Chin Yaw (1,142)
6. Tee Siew Kiong (1,141)
7. Datuk Gan Tian Loo (1,117)
8. Datuk Seri Tan Chai Ho (1,114)
9. Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,104)
10. Lee Wei Kiat (1,100)
11. Loh Seng Kok (1,086)
12. Hoh Khai Mun (1,077)
13. Datuk Liew Yuen Keong (1,059)
14. Tan Cheng Liang (1,054)
15. Koh Nai Kwong (1,040)
16. Dr Por Choo Chor (1,037)
17. Tan Ken Ten (999)
18. Kong Sing Chu (981)
19. Datuk Chong Itt Chew (975)
20. Yoo Wei How (974)
21. Tan Ah Eng (969)
22. Wong Koon Mun (953)
23. Datuk Ti Lian Ker (929)
24. Teh Kim Poo (864)
25. Chuah Poh Khiang (851)
/hwa-bharian.com.my

Nik Aziz subahat cubaan jatuhkan kerajaan: Dr M

Oleh Mohd Azis Ngah dan Khairul Azran Hussin
bminggu@bharian.com.my 2010/03/28

Tindakan selar Zahrain bukti Mursyidul Am Pas sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai bersubahat dalam isu cubaan menjatuhkan kerajaan melalui rampasan kuasa 16 September 2008 kerana melarang sebarang pendedahan mengenainya dibuat kepada umum.

Bekas Perdana Menteri berkata, pendirian Mursyidul Am Pas itu dilihat jelas melalui tindakannya menyelar Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas rakan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membongkar rancangan jahat berkenaan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, tindakan Nik Aziz itu menggambarkan beliau sebenarnya tahu mengenai rancangan berkenaan dan menyokong tindakan Anwar dalam usaha menawan Putrajaya.

“Nik Aziz kata Zahrain tak patut dedahkan perbuatan jahat yang dilakukan... itu tidak baik, itu subahat dan jahat, sedangkan kita tahu semua itu (rancangan)... kira macam subahatlah.

“Beliau sokong supaya jangan dedahkan perihal (rancangan) Anwar. Itulah (sebab) dia subahat dengan Anwar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa Kali Pertama 2010 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Kira-kira 10,000 ahli Perkasa dari seluruh negara menghadiri perhimpunan itu. Hadir sama, badan bukan kerajaan (NGO) itu, Datuk Ibrahim Ali.

Dr Mahathir mengulas mengenai budaya berbohong dan fitnah yang kini dikatakan semakin menular dalam Pakatan Rakyat.

Zahrain yang menjadi wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pendedahan dengan mendakwa Anwar berbohong kononnya Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera merestui rancangan pembangkang mengambil alih kuasa pada 16 September 2008.

Mengulas pandangan serong sesetengah pihak berhubung pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah syariah, Dr Mahathir berkata, perkara itu patut dikaji semula.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menyifatkan tempoh tahun pertama Datuk Seri Najib Razak memerintah sebagai Perdana Menteri jauh lebih baik daripada pemimpin sebelum ini dan bersifat lebih liberal dalam tindakannya.

“Dia ada idea dan harapan saya beliau dapat melaksanakan dengan lebih baik. Saya juga tidak lagi dilarang untuk berucap di mana-mana, sesiapa saja boleh jemput,” katanya berseloroh.
/hwa-bharian.com.my

Zahrain hantar notis tuntutan kepada Guan Eng

ARKIB : UM - 26/03/2010
KUALA LUMPUR 25 Mac - Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (gambar) akan menghantar notis tuntutan terhadap Lim Guan Eng esok berhubung dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bahawa beliau terlibat dalam urusan tender projek Bukit Jambul Golf Resort.
Beliau berkata, notis tersebut yang merupakan langkah pertama dalam tindakan undang-undang akan dihantar peguamnya, Hanif Khatri Abdullah ke pejabat Guan Eng di Pulau Pinang esok dan Setiausaha Agung DAP itu perlu menjawabnya dalam masa tujuh hari.
"Peguam saya beritahu bahawa saya ada kes. Jadi saya sudah minta peguam saya menyerahkan notis tuntutan kepada Guan Eng dan selepas itu kita tengok apa maklum balas," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini Guan Eng telah membuat kenyataan bahawa Zahrain keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort di Pulau Pinang menerusi sebuah syarikat RM2.
Zahrain berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terus-menerus membuat fitnah terhadapnya.
"Perbuatan ini perlu dihentikan jika tidak ia akan menjadi budaya yang kotor. Sekarang ini pun ia seperti sudah menjadi lumrah yang akan merosakkan negara," katanya.
Menurut Zahrain, beliau akan terus membersihkan namanya daripada tuduhan fitnah yang tidak berasas itu.
/hwa-utusan.

Polis siasat pendedahan Zulkifli Noordin

ARKIB : UM - 26/03/2010
KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis akan siasat pendedahan mengejut yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin semalam mengenai ganjaran lumayan yang ditawarkan pihak tertentu untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, ini kerana pendedahan Zulkifli itu merupakan maklumat baru kepada polis dan orang ramai, justeru, ia perlu disiasat kesahihannya.
"Sudah tentu apabila ada maklumat baru yang diperoleh polis, maka siasatan akan dijalankan sama ada ia benar atau sebaliknya.
"Polis akan mengenal pasti jika ada mana-mana pihak atau individu yang boleh tampil mengesahkan maklumat yang didedahkan itu," katanya pada sidang akhbar selepas sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Semalam pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong mendakwa, beliau diberi tugasan oleh pihak tertentu yang bagaimanapun tidak didedahkan identitinya, untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Antaranya, beliau diminta untuk mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Kejutan berterusan di Parlimen apabila wakil rakyat Bebas itu membuat satu lagi pendedahan bahawa dia juga diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung satu kes pembunuhan pada tahun 2004.
Pendedahan Zulkifli telah menggemparkan arena politik negara kerana ia hadir hanya seminggu selepas bekas rakan partinya iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memecahkan tembelang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.
/hwa-utusan.

Anwar melenting diajukan soalan

ARKIB : UM - 26/03/2010
KUALA LUMPUR 25 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melenting apabila ditanya tentang dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tentang usaha mengaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Malah ketua pembangkang itu menuduh wartawan yang bertanyakan soalan tersebut telah dibayar oleh pihak tertentu.
Anwar yang dikerumuni wartawan sebaik sahaja keluar dari Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, beliau tidak perlu menjawab soalan itu sebaliknya menegaskan dakwaan tersebut sepatutnya dijawab sendiri oleh Zulkifli.
"Kenapa awak nak tanya saya? Lebih baik awak tanya Zulkifli sendiri berhubung dakwaan itu, dia tidak sebut nama saya semasa membahaskan ucapannya di Parlimen semalam.
"Berapa banyak dakwaan dia pun saya tak tahu. Anda sebagai wartawan sepatutnya bertanya kepada Zulkifli bukan bertanya kepada saya.
"Pertanyaan ini tidak mematuhi etika kewartawanan. Siapa yang membayar anda untuk menanyakan soalan ini?" katanya ketika ditemui selepas sebutan kes liwatnya terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Semalam, Zulkifli semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat membuat pendedahan yang beliau pernah diberi tawaran supaya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.
Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Sementara itu, pada Rabu minggu lalu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) juga menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila 'memecahkan tembelang' Anwar berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
/hwa-utusan.

Pendedahan Zulkifli: Ezam tawar bantu polis siasat

ARKIB : UM - 27/03/2010
KULIM 27 Mac – Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor menawarkan diri untuk membantu polis menyiasat pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung tawaran ganjaran lumayan pihak tertentu bagi memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Mohamad Ezam berkata, beliau sedia dipanggil oleh pihak polis pada bila-bila masa bagi tujuan itu.
“Pendedahan ini suatu dakwaan serius tapi tidak memeranjatkan kerana semasa saya masih bersama PKR isu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu telahpun berlaku,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Mohamad Ezam berkata, beliau pernah meminta pihak yang berkenaan agar mengemukakan bukti dan fakta berhubung isu itu, namun diberikan arahan yang berbunyi: “kamu bedallah dulu”.
"Saya masih ingat lagi kata-katanya (pihak berkenaan) itu,” katanya.
/hwa-Bernama.

15 Mac 2010

Taraf Ketua Pembangkang jadi perhatian

Oleh Kamal Ahmad
BH - 2010/03/15
Sidang Dewan Rakyat hari ini perlihat pemimpin pembangkang berdepan wakil BebasMESYUARAT pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 dijadual dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada jam 10 pagi hari ini.
Upacara dalam Dewan Rakyat kemudian selesai selepas baginda menyampaikan titah perasmian dan esok wakil rakyat akan mula membahaskan titah ucapan itu. Suasana hari ini kemudian tertumpu di luar dewan khususnya di lobi Parlimen. Di ruang rehat Ahli Parlimen, menyaksikan mereka minum teh tarik bersama selain ruang di kantin awam yang pasti riuh. Hari ini tiada perbahasan dan tiada pertanyaan untuk dijawab secara lisan oleh menteri atau timbalannya.
Pastinya, esok akan menyaksikan ‘perbahasan dan perbalahan’ sengit membabitkan beberapa wakil rakyat. Pembangkang akan membangkitkan sentimen panas untuk mengheret perbahasan kepada persoalan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) yang pasti dikaitkan dengan Majlis Perundingan Melayu (MPM). Kes kehilangan dua enjin jet pejuang yang kini ada di Uruguay pula akan mencabar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pendidikan serta ekonomi seperti Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009 (GST) yang akan dibaca untuk kali pertama pasti akan dikupas mengikut persepsi pembangkang yang sedaya upaya mengeksploitasi untuk mendapat ruang dalam liputan media massa. Sejumlah 75 pertanyaan untuk dijawab lisan akan dikemukakan esok. Sebahagiannya soalan wakil rakyat parti pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat kedua mengemukakan pertanyaan bagi dijawab secara lisan dan mungkin hilang status sebagai Ketua Pembangkang. Beliau terpaksa melepaskan jawatan itu jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau anaknya, Lim Guan Eng menuntut jawatan berkenaan dengan alasan paling mudah iaitu DAP kini mempunyai kerusi terbanyak (28 kerusi) berbanding PKR (27) dan Pas (23).
Jika DAP tidak menuntut jawatan itu, maka ini mengesahkan Kit Siang atau Guan Eng tidak berupaya memimpin pembangkang di Dewan Rakyat. Persepsi lain mengenai keengganan DAP menuntut jawatan itu ialah ‘faktor Anwar’ dalam mengekalkan kesepakatan parti pembangkang yang boleh terlerai atau berkecai bila-bila masa.
Ringkasnya, DAP dan Pas memperalat serta menunggang Anwar untuk membolehkan sebahagian pengundi kekal menyokong kedua-dua parti itu. Anwar pula memperalat DAP dan Pas untuk merealisasikan impian duduk di kerusi Perdana Menteri tanpa mengira apa syarat sekalipun.
Jika Anwar kekal sebagai Ketua Pembangkang bermakna DAP dan Pas sebenarnya taat untuk tunduk di bawah ‘jajahan dan takluk’ ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Di mana maruah DAP jika kekal di bawah telunjuk Anwar sedangkan kini tiba pula masanya Anwar di bawah telunjuk mereka? Seperti dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, baru-baru ini, Anwar boleh terus menjadi Ketua Pembangkang selagi beliau mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang.
Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, masing-masing menyatakan mereka tidak akan berebut jawatan itu. Namun, jawatan itu tetap bakal menjadi perhatian apabila dewan bersidang hari ini dan ‘menampakkan belang sebenar’ mulai esok.
Tumpuan mulai esok juga pastinya kemunculan empat ahli Bebas baru (menjadikan jumlahnya tujuh) iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) masing-masing keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan tertinggi, manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) pula dipecat parti itu.
Kehadiran ahli Bebas terutama empat bekas pemimpin PKR itu menyulitkan serangan pembangkang khususnya Anwar terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia akan mewujudkan satu bentuk ‘check and balance’ yang baru. Sikap, pendirian dan kecenderungan wakil rakyat Bebas khasnya bekas pemimpin PKR itu akan menjadi perhatian sama ada mereka mungkin lebih condong memihak kepada BN dan dalam aspek atau skop bagaimana mereka akan membela pembangkang.
Ketika Zahrain mengenali Anwar lebih 30 tahun, manakala Zulkifli menjadi sebahagian tulang belakang dan saraf Anwar sejak 12 tahun lalu, hakikat ini merencatkan tindak-tanduk Anwar di Dewan Rakyat sekali gus melemahkan sebahagian lagi sendi PKR yang kini cuma menanti hari untuk lumpuh.
Merujuk kepada Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul esok, Zulkifli mencadangkan 21 usul daripada 48 usul yang dicadangkan kepada Dewan Rakyat khususnya membabitkan pindaan Perlembagaan bagi menjelaskan lagi status agama Islam dan perundangan syariah di negara ini.
Beliau turut mencadangkan diwujudkan jawatan Mufti Negara dengan kuasa serta tanggungjawab dan menjawab hanya kepada Yang di-Pertuan Agong.
/hwa-bharian.

50 ahli PKR pulau mesyuarat dipengerusikan MB

UM - 15/03/10
KUALA SELANGOR 14 Mac - Kira-kira 50 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor bertindak meninggalkan mesyuarat agung tahunan bahagian itu kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Sungai Buloh, Jeram di sini petang ini.
Mereka keluar beramai-ramai ketika sesi soal jawab dengan ahli jawatan kuasa (AJK) yang diketuai Ketua Bahagian PKR Kuala Selangor yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang berjalan.
Antara perkara yang tidak memuaskan hati mereka ialah cara ahli-ahli dipanggil datang ke mesyuarat agung dan isi kandungan minit mesyuarat yang diedarkan kepada semua yang hadir kerana didakwa tidak mengikut tertib dan melanggar perlembagaan parti.
Salah seorang ahli PKR yang keluar mesyuarat, Mazli Saring, 42, ketika ditemui berkata, ahli-ahli tidak diberitahu mengenai mesyuarat seperti yang sepatutnya iaitu dalam tempoh 14 hari sebelum mesyuarat berlangsung.
Kata beliau, cara pemberitahuan juga tidak melalui surat tetapi hanya iklan kecil di akhbar kira-kira lima hari sebelum mesyuarat berlangsung.
Ujarnya, minit mesyuarat juga boleh dipertikaikan kesahihannya kerana tiada notis pemberitahuan mesyuarat dan penyata tahunan yang dibentang juga tidak mengikut peraturan.
"Bila saya bangun mengutarakan masalah ini, mereka mencelah seolah-olah tidak mahu saya terus bercakap dan kemudian memberikan jawapan yang memang tidak selari dengan soalan saya.
"Mikrofon untuk ahli bercakap juga dipegang oleh 'orang' AJK dan bila mahu bercakap kena minta daripada mereka dan bila mereka nak suruh saya berhenti mereka terus ambil walaupun saya belum habis bercakap.
"Oleh itu saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk keluar kerana perbuatan itu seolah-olah mahu menyekat ahli-ahli daripada terus bersuara," katanya.
Seorang lagi ahli, Khalid Wahab, 40, berkata, beliau tidak berpuas hati kerana sebelum mesyuarat diadakan, terdapat cubaan mengehadkan kehadiran ahli-ahli ke mesyuarat agung kerana mewajibkan cawangan menghantar 10 orang sahaja menghadiri mesyuarat.
"Saya ada bukti kerana di cawangan Puncak Alam kami mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyuruh menghantar 10 orang sahaja. SMS itu dihantar kepada mereka yang menyokong AJK," katanya sambil menunjukkan SMS tersebut kepada wartawan.
Sementara seorang lagi ahli, Ibrahim Mahidin yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Kuala Selangor pula berkata, sikap Abdul Khalid yang tidak mengambil tindakan terhadap 'orang kanannya' dalam AJK walaupun individu itu didapati muflis juga amat mengecewakan.
Jelasnya, Abdul Khalid menunjukkan ketegasan sebelum ini apabila memecat seorang AJK iaitu Azmi Mohamad kerana muflis.
''Tetapi bila orang yang rapat dengannya menghadapi masalah, beliau boleh tutup mata dan benarkan orang itu memegang jawatan walaupun tahu ia menyalahi perlembagaan parti.
''Inilah sikap pemimpin nombor satu Selangor," kata beliau.
Mesyuarat agung kali ini yang berjalan selama dua jam bermula pukul 2.30 petang juga menyaksikan tiada sesi pemilihan AJK baru bahagian dibuat kerana memberikan ruang kepada proses perlembagaan baru PKR dan pemilihan hanya akan dilakukan penghujung tahun ini.
Menurut Abdul Khalid, seramai 300 lebih ahli menghadiri mesyuarat hari ini yang mewakili 4,800 ahli PKR di bahagian Kuala Selangor.
/hwa-utusan.

Tuanku Mizan sifatkan MEB sebagai berpandangan jauh

BERNAMA - 15/03/2010 12:39pm
KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa langkah kerajaan memperkenalkan model ekonomi baru (MEB) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju adalah satu langkah berpandangan jauh.
Seri Paduka bertitah, model tersebut memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi.
"Beta menyeru semua pihak supaya bersama-sama menjayakan matlamat tersebut demi negara tercinta,” titah baginda semasa merasmikan Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di sini hari ini.
Baginda bertitah, tumpuan akan terus diberi kepada bidang-bidang yang negara mempunyai kelebihan, berpotensi dan rantaian nilai tambah yang tinggi serta dapat menjana pulangan yang lebih besar.
"Ini termasuk sektor perkhidmatan terutama kewangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.
“Pada masa yang sama, sektor-sektor lain seperti pembuatan, pertanian dan komoditi akan terus diberi keutamaan,” titah baginda.
/hwa-utusan.

Agong tegur Ahli Parlimen gagal pamer tingkah laku terpuji

UM - 15/03/2010 11:53am
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin hari ini menegur Ahli-Ahli Parlimen (MP) kerana mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat.
Titah baginda, segala perbuatan dan tindakan wakil rakyat sentiasa diperhatikan oleh rakyat, maka Ahli-Ahli Parlimen hendaklah berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh yang boleh menjejaskan maruah sendiri dan kemuliaan dewan.
"Sejak dua penggal berturut-turut sebelum ini, Beta telah mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji dan dalam dewan yang mulia ini.
"Beta dukacita masih terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat," titah baginda.
Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.
/hwa-utusan.

11 Mac 2010

Anwar gelar ahli lompat parti 'katak'

UM (Rencana) - 11/03/10
SEREMBAN 10 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mereka yang keluar daripada parti itu sebagai 'katak' dan bukan manusia.
Sambil menegaskan tindakan parti itu adalah benar dan tepat dalam isu pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, beliau menegaskan tidak akan tunduk kepada mereka.
"Sebab itu apabila ditanya mengapa kita pilih untuk memecat ahli-ahli Parlimen walaupun jumlah kita semakin menurun, kita (katakan) masih pecat sebab kita mesti berani mengambil keputusan yang tepat dan benar dan tidak tunduk kepada mereka.
''Orang kena tahu, kita masuk (PKR) berjuang kerana prinsip, bukan kerana dapat projek dan wang atau jawatan. Jadi bila tak dapat (projek), lompat parti, itu kerja katak bukan kerja manusia," katanya.
Anwar berkata demikian dalam ceramahnya di kawasan Perindustrian Oakland dekat sini malam tadi.
Terdahulu Ketua Pembangkang itu sekali lagi menggunakan pentas ceramah untuk melemparkan tuduhan kepada pemimpin negara.
Beliau menggunakan tempoh sejam itu mengkritik dasar kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menggunakan perkataan kesat seperti 'bahlul', 'poodah', 'kepala bxxxx kau' dan 'kepala oxxx kau'.
Anwar turut mengulangi keputusan pakatan pembangkang yang mahu beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang sungguhpun PKR bukan lagi pemegang kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

/hwa-utusan.

Jika pilihan raya diadakan sekarang PKR akan kalah teruk – Zulkifli Noordin

UM (Rencana) - 11/03/10
KUALA LUMPUR 10 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu muhasabah diri dan mengelak daripada menyalahkan pihak lain sebagai dalang dalam setiap krisis dalaman yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, pimpinan parti itu tidak perlu terlalu cepat melatah dengan menuduh UMNO kononnya telah menawarkan sejumlah ganjaran kepada ahli-ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti.
“Adalah lebih baik PKR dan pakatan pembangkang melihat muka masing-masing di cermin, bermuhasabahlah daripada menyalahkan orang lain di atas kekurangan dan kelemahan sendiri,” katanya dalam program NST Live Chat secara maya selama kira-kira dua jam hari ini.
Zulkifli berkata, masalah kronik yang melanda PKR segalanya berpunca daripada peranan firaun kecil yang disifatkan sebagai anai-anai yang merosakkan keteguhan parti secara perlahan-lahan.
Beliau berkata, sekiranya tiada langkah drastik dilakukan dan ‘firaun kecil’ dibiarkan terus menguasai parti, PKR tidak perlu menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 untuk hancur.
“Malah jika diadakan PRU sekarang, saya pasti PKR akan kalah teruk, mereka sedang menggali kubur sendiri dengan cita-cita besar menuju ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti bakal beralih arah ke Penjara Sungai Buloh!” katanya.
Mengulas mengenai tindakan beliau menarik diri daripada mewakili Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam permohonan qazaf, Zulkifli berkata, ia merupakan tindakan profesional yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan peribadi.
“Seorang peguam perlu memiliki hubungan baik penuh profesional dan kepercayaan dengan pelanggan bagi membolehkan pembelaan dilakukan secara penuh jujur,” katanya.
/hwa-utusan.

Melayu dipersenda lagi

BH - 2010/03/11
Oleh Rejal Arbee

Penubuhan MBM bela bangsa, Islam dipersoal bukan Bumiputera USAHA untuk memperlekehkan Melayu masih berterusan. Terakhir dua penulisan, satu dalam sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Sin Chew Jit Poh dan sebuah lagi di portal Malaysia Today.
Penulisan pertama oleh Timbalan Ketua Pengarang akhbar berbahasa Cina itu, Tay Ting Yan dengan nada yang amat meloyakan memperlekehkan perjumpaan 76 NGO Melayu termasuk GPMS, Mubarak dan Perkasa yang menubuhkan Majlis Perunding Melayu (MBM) dan menganggap mereka masih bermimpi dan berkhayal kerana mahu perjuangkan hak Melayu yang telahpun mendapat pelbagai keistimewaan.
Malah katanya, kalau pada 1946 dulu apabila Melayu bergabung untuk menentang penubuhan Malayan Union oleh penjajah British yang dianggap boleh menghakis kedudukan Melayu dan Raja-Rajanya serta kedudukan agama Islam, ia boleh difahami.
Tetapi kini, ketika penjajah telah lama ‘berambus’ dengan Perikatan/Barisan Nasional (BN) tidak pernah hilang kuasa memerintah lebih 40 tahun dengan orang Melayu sudah pun berkuasa, berkedudukan, berpengalaman dan menjadi bangsa yang bermartabat, apa lagi yang mereka mahu? Penubuhan MBM diandaikannya seperti orang kulit putih Amerika menubuhkan suatu organisasi untuk mempertahankan kedudukan mereka terhadap hak rakyat minoritinya seperti Red Indian ataupun NGO di China mempertahankan hak kaum Cina Han (puak majoriti) supaya tidak dianiaya oleh kaum minoriti seperti orang Tibet atau orang Uighur di Sinkiang.
Dia mendakwa apa yang berlaku di kedua-dua negeri itu ialah orang Amerika sendiri (puak majoriti) yang menubuhkan NGO untuk pertahankan hak Red Indian manakala di negeri China, sebilangan orang Cina sebagai kaum majoriti yang sedar telah pertahankan hak-hak rakyat minoritinya orang Tibet atau orang Uighur.
Tay juga bertanya apa perlunya suatu pertubuhan kaum majoriti yang telahpun menikmati segala keistimewaan untuk menjuarai hak yang sudahpun wujud? Beliau mengandaikan usaha itu sebagai usaha sia-sia (Quixotic) semata-mata untuk memenuhi kerakusan dan impian diri sendiri.
Tetapi sebenarnya dia telah membutakan dirinya terhadap beberapa perkara akhir-akhir ini hingga membawa kepada tertubuhnya MBM sebagai suatu gabungan NGO Melayu yang prihatin terhadap pelbagai tekanan ke atas hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini serta kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu.
MBM sendiri telah menjelaskan bahawa ia hanyalah untuk menjadi sebuah medium mengumpulkan NGO Melayu bagi menangani tekanan yang dihadapi orang Melayu, agama Islam, Kesultanan Melayu termasuk juga keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Satu lagi tulisan oleh seorang yang menamakan dirinya Michael Chick di portal Malaysia Today menyebut bahawa nama Tanah Melayu tidak pernah wujud di mana-mana sebelum kedatangan British menjajah Semenanjung. Malah orang Arab menamakan Semenanjung ini sebagai ‘Barr Chin’ (Tanah Cina) seperti dalam peta Arab.
Apa niatnya kalau bukan hendak perkecilkan Melayu seolah-olah Melayu tidak wujud waktu itu dan Melayu juga pendatang. Walaupun nama Semenanjung mengikut peta Arab lama itu adalah Barr Chin tetapi sejarah jelas menunjukkan ia tidak pula didiami oleh orang Cina tetapi orang Melayu.
Kiranya kawasan ini didiami orang Cina kenapa pula kerajaan lama terdiri dari kerajaan Hindu, seperti Langkasuka, Sriwijaya dan Champa bukannya kerajaan yang dipengaruhi atau di kuasai Cina? Bahasa yang digunakan di kawasan selatan dari Segenting Kra hingga ke Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi adalah Bahasa Melayu walau pun berpuak dan bersuku baik Aceh, Minang, Bugis, Banjar dan sebagainya.
Budaya mereka juga budaya Melayu mulanya dipengaruhi Hindu dan selepas Kesultanan Melayu wujud di pengaruhi Islam. Sekali pun nama Semenanjung Tanah Melayu suatu yang baru tetapi hakikatnya kawasan ini adalah sebahagian daripada gagasan yang dikenali sebagai Nusantara atau Alam Melayu yang merangkumi Semenanjung serta kepulauan Indonesia dan Filipina.
Kawasan ini memang diakui telah didiami orang Melayu sejak berzaman dan mereka ini juga berpindah randah antara kawasan kepulauan dan Semenanjung.Ketika penjajahan Inggeris ramai rakyat Cina dibawa masuk ke mari untuk mengusahakan lombong bijih sebagaimana juga orang India di bawa dari Tamil Nadu untuk bekerja di ladang getah mereka.
Mereka ini berterusan mengamalkan cara hidup dan budaya sendiri malah bertutur bahasa ibunda mereka. Maka itu tidaklah berlaku penyerapan untuk menjadi sebagai sebahagian daripada rakyat majoriti iaitu Melayu. Dan apabila negara mencapai kemerdekaan warga negara ini yang berketurunan Cina dan India diiktiraf demikian.
Malah hingga sekarang ini pun selepas merdeka lebih daripada 52 tahun masih ada di antara mereka ini yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Maka tidak menghairankan ada guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mempersoalkan kenapa mereka perlu menyediakan laporan untuk Jabatan Pelajaran juga dalam bahasa Melayu selain dari Mandarin.
Ada pula yang berpendapat sepatutnya pegawai pelajaran perlu faham bahasa Mandarin. Inilah dia rakyat negara ini yang tidak sedikit pun mahu menghormati bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Mereka sepatutnya tidak dibenarkan menggunakan bahasa Mandarin dalam laporan kepada Jabatan Pelajaran.
Seorang sarjana, Prof Lim Swee Tin dari Universiti Putra Malaysia pernah menulis bahawa tohmahan Melayu pendatang adalah suatu pemesongan fakta sebab jelas telah wujud Kerajaan Melaka yang didiami dan dikuasai Melayu. Orang Melayu bukan saja gemilang di Melaka, malahan bertebaran di seluruh Nusantara. Dengan yang demikian, tanpa diragukan merekalah penduduk asalnya.
Pendatang katanya tidak menubuhkan kerajaan. Beliau juga menjelaskan bahawa Melayu harus difahami bukan dalam konteks ras atau kaum. Melayu itu juga bukan lagi satu etnik. Melayu sudah mencakupi satu entiti budaya. Konsep Melayu ialah konsep budaya dan entiti budaya itu.
Ia tidak bergantung pada kapasiti ras, etnik atau kaum lagi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
/hwa-bharian.

9 Mac 2010

Tidak mampu jalankan tugas

SEMALAM genaplah dua tahun, tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 berada dalam genggaman pakatan pembangkang.Kedah diketuai oleh Pas, Pulau Pinang (DAP) dan Selangor (PKR). Jika sebelum ini apabila genap setahun memerintah, mereka menganggap tidak wajar kepimpinan mereka dinilai kerana dianggap masih baru tetapi bagaimana setelah dua tahun?Apakah segala yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu sudah ditunaikan? Atau ia sekadar janji kosong bagi meraih undi dan kekuasaan?
*****
UM (Rencana) - 09/03/10
Laporan Khas kali ini yang disediakan oleh ZAINUL AZHAR ASHAARI, NOR SEDEK ISMAIL, ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN,NAZARUDIN SHAHARI, ABDUL YAZID ALIAS, NURUL HUDA HASSAN, MOHD. RAFIE AZIMI dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA meninjau perkembangan pemerintahan di ketiga-tiga negeri.
KUALA LUMPUR 8 Mac - Tempoh dua tahun yang diberi kepada pakatan pembangkang bagi mentadbir beberapa negeri membuktikan pakatan rapuh itu tidak bersedia menjalankan tugas selaku kerajaan.
Sebaliknya pemimpin kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di beberapa negeri dilihat lupa menjalankan tugas sebagai parti pemerintah apabila fokus utama mereka adalah terus mengkritik Barisan Nasional (BN).
Semua mereka juga yakin rakyat di negeri dikuasai pembangkang akan kembali menyokong BN apatah lagi dengan transformasi kepada kerajaan dan parti yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau percaya kemenangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu didorong rasa tidak puas hati rakyat yang kemudiannya berjaya dimanipulasi pembangkang.
Namun, katanya, rakyat mula sedar pakatan itu mula pincang sehinggakan kerajaan campuran di beberapa buah negeri gagal menunaikan janji untuk bersikap adil dan menjaga kebajikan semua rakyat.
"Jadi ini peluang terbaik untuk BN menarik semula sokongan rakyat. BN perlu berusaha keras untuk kembali menjadi nadi kepada kemakmuran dan kemajuan rakyat agar sokongan terhadap kita akan terus kukuh.
"Kita mempunyai pemimpin yang kuat dan rapat dengan rakyat. Tidak pernah saya lihat Perdana Menteri yang begitu dekat dengan rakyat seperti Najib selepas era pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra," katanya.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, kerajaan pakatan pembangkang jelas tidak mempunyai perancangan konkrit untuk membangunkan negeri yang dikuasai terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor.
Menurutnya, kerajaan di negeri-negeri itu lebih gemar menyerang Kerajaan Pusat dengan menabur fitnah di samping menyalahkan kerajaan negeri terdahulu di atas apa jua masalah bagi menutup kelemahan sendiri.
Jelasnya, tindakan kerajaan negeri terlibat yang lebih gemar bertindak sebagai pembangkang bukanlah kerana mereka keliru, sebaliknya sengaja dilakukan untuk mengelirukan rakyat.
"Mereka tidak menjalankan tugas selaku parti pemerintah sebaliknya terus mengkritik parti lain seolah-olah mereka itu pembangkang. Itu dilakukan semata-mata kerana mereka tidak mampu menjalankan tugas untuk rakyat.
"Kalau perintah negeri pun tidak mampu, bagaimana mahu mentadbir Pusat? Saya yakin sokongan kepada mereka akan terus luntur dan mereka tidak akan diberi peluang sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang," ujarnya.
Pandangan Foon Meng disokong Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn, yang menyifatkan kelangsungan pakatan pembangkang hari ini bukanlah kerana kekuatan dimiliki mereka sebaliknya kerana fitnah serta serangan yang dilakukan ke atas BN.
"Kekuatan mereka juga hanya bergantung kepada personaliti pemimpin tertentu seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia jelas hanya bersifat oportunis dan tidak akan bertahan lama.
"Di Pulau Pinang pun, Ketua Menteri, Lim Guan Eng asyik memuji diri sendiri dan memutar belit kononnya Pulau Pinang hari ini lebih baik berbanding dahulu.
"Hakikatnya, prestasi kerajaan Pulau Pinang hari ini adalah lebih teruk terutama dari sudut ekonomi. PKR pula berpecah teruk di negeri itu. Jadi bagaimana boleh dikatakan mereka mentadbir negeri dengan baik?" soalnya sinis.
Bagi Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas, perumpamaan paling mudah untuk menggambarkan pemerintahan pembangkang di beberapa buah negeri adalah 'ibarat kera mendapat bunga'.
"Mereka tidak bersedia untuk memerintah. Kebanyakan dilakukan mereka mempunyai agenda tersirat dan mencemar nama negara di mata dunia, tiada langsung yang membanggakan.
"Rakyat yang meletak harapan kepada mereka terbukti silap. Adalah lebih baik kita bersatu di bawah payung BN daripada memberi mandat kepada parti yang tidak berminat langsung untuk memerintah negara," katanya.
/hwa-utusan.

Tokoh ulama sokong Harussani

BERNAMA - 09/03/10
TUMPAT 8 Mac - Tokoh ulama terkenal Kelantan, Abdullah Saamah, mahu umat Islam melihat kenyataan oleh pemimpin agama, termasuk mufti yang dilantik kerajaan, dalam konteks yang lebih luas dan bukan melihat dari sudut politik sahaja.
Abdullah, yang juga pengetua sekolah pondok, Madrasah Al-Najmiah Tebing, Pengkalan Kubor di sini, berkata, menjadi tanggungjawab seseorang ulama menyampaikan ajarannya berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada walaupun ia dilihat lebih condong kepada parti pemerintah.
Menurutnya, anggapan pihak tertentu kononnya ulama yang menyokong kerajaan sebagai ejen sesebuah parti politik adalah tidak wajar dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenarnya.
Beliau menyokong kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilihatnya lebih menjurus ke arah perpaduan umat Islam walaupun tidak disenangi parti pembangkang.
"Saya menyokong pandangan Mufti Perak itu kerana dia bercakap berasaskan kepada kebenaran mengikut ajaran Islam dan bukannya berpihak kepada sesebuah parti politik," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang menyifatkan Harussani sebagai ejen UMNO kerana Mufti Perak itu mempersoalkan keengganan Pas menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan Barisan Nasional di Perak selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.
Menurut Abdullah, mereka yang menganggap Harussani sebagai ejen UMNO lebih condong kepada politik kepartian.
Beliau berkata, mereka yang melihat sesuatu perkara daripada aspek politik sempit akan hanya menerima pandangan puak mereka sahaja.
/hwa-utusan.

Mufti Perak jadi ejen perpaduan, perdamaian umat Melayu

UM - 09/03/10
IPOH 8 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih layak digelar ejen perpecahan berbanding tindakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu menyatupadukan umat Islam menerusi cadangan pembentukan kerajaan campuran di Perak.
Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya muhasabah peranan yang dimainkan dirinya untuk perpaduan umat Islam daripada menghina Mufti Perak.
"Nik Abdul Aziz memperlekehkan Harussani sebab beliau tidak dapat membezakan peranan mufti sebagai penasihat dalam urusan agama dan bukannya ejen UMNO.
"Mufti memainkan peranan menyatupadukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik tetapi berdasarkan kenyataan Nik Abdul Aziz dan para pemimpin Pas yang menolak perpaduan, merekalah ejen perpecahan umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Hamdi berkata, sebagai seorang yang digelar tok guru oleh penyokong Pas, Nik Abdul Aziz sewajarnya menerima kenyataan Mufti Perak sebagai satu teguran dan bukannya bersikap melenting.
Katanya, janganlah hanya kerana digelar ulama dan tok guru, Nik Abdul Aziz mengatakan orang lain sering melakukan kesilapan dan tidak pula melihat kesilapan diri sendiri.
"Kita tidak pernah melenting semasa Mufti Perak tegur UMNO.
"Semasa Mufti Perak tegur UMNO, orang Pas kata Harussani penyokong Pas tetapi apabila mereka pula ditegur, mereka tuduh Mufti Perak ejen UMNO," katanya.
Sebelum ini, Harussani mendedahkan keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan tertinggi parti.
"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya Pas Perak (ketika itu), Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP)," kata Harussani.
Sementara itu, Penasihat Hal Ehwal Agama Kepada Menteri Besar Perak, Datuk Mohd. Najmuddin Elias Al-Hafiz menafikan Harussani adalah ejen UMNO seperti yang didakwa Menteri Besar Kelantan itu.
''Tuduhan itu agak melampau, mufti bukan orang UMNO dan tidak bergiat dalam UMNO pun. Sebagai mufti, beliau ditugaskan untuk menyatupadukan umat Islam.
''Apabila Harussani melihat perpecahan di Perak, beliau mengambil jalan tengah untuk mendamaikan kedua-dua pihak iaitu melibatkan dua parti Melayu terbesar - UMNO dan Pas.
''Ini bermakna, beliau bukan ejen UMNO tetapi ejen perpaduan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Najmuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau berkata, beliau hairan mengapa sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam sanggup menolak usaha itu.
''Kita hairan apabila kepimpinan tertinggi Pas pada dasarnya telah bersetuju untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di Perak tetapi ditentang oleh beberapa pemimpinnya.
''Islam sendiri kata umat Islam bersaudara, jadi menjadi tanggungjawab orang beriman untuk menggalakkan perpaduan. Ini kerana kekuatan orang Islam terletak pada perpaduan," katanya.
/hwa-utusan.

MB Kelantan tidak faham peranan mufti

UM - 09/03/10
ROMPIN 8 Mac - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengamalkan fahaman politik sempit dan tidak memahami fungsi serta peranan sebenar mufti sehingga sanggup menggelar mereka sebagai ejen parti politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tugas seseorang mufti adalah melaksanakan segala titah sultan atau raja yang berkaitan dengan soal keagamaan termasuk kepimpinan sesebuah negeri.
"Mufti ialah orang yang dilantik oleh sultan atau raja. Apa-apa titah yang berkaitan negeri dan keagamaan, tentulah ia sesuatu yang dijunjung oleh mufti.
"Jadi tidak boleh jika mufti bercakap mengenai kepimpinan negeri, lalu kita mengatakan mufti itu ejen parti politik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menggelarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di negeri itu.
Nik Abdul Aziz berkata, peranan Harussani selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) terutama dalam soal pembentukan kerajaan campuran di Perak telah merendahkan martabatnya sebagai mufti malah ulama itu tidak layak lagi memakai gelaran tersebut.
Jamil Khir menegaskan, peranan mufti di sesebuah negeri bukan sekadar mengeluarkan fatwa semata-mata, bahkan tugasnya turut menyentuh soal kepimpinan berdasarkan apa yang dititahkan oleh pemerintah kepadanya.
"Hal-hal yang berkaitan soal keagamaan dan titah tuanku adalah tanggungjawab mufti.
"Islam juga merupakan agama yang menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan meliputi politik," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Nik Abdul Aziz berhenti menggelar Harussani sebagai ejen UMNO kerana ulama itu menjalankan tanggungjawab seperti dititahkan oleh Sultan Perak kepadanya.
"Kalau mufti bercakap politik, ulama itu tidak boleh digelar sebagai ejen parti politik. Ini persepsi yang merendahkan kedudukan mufti," tegasnya.
/hwa-utusan.

Guan Eng malu besar?

UM - 09/03/10
PULAU PINANG 8 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendapat malu besar apabila golongan warga emas menyifatkan pemberian RM100 kepada mereka seperti diumum kerajaan negeri baru-baru ini sebagai satu unsur rasuah.
Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong yang mendedahkan mengenai kejadian itu berkata, saat-saat memalukan itu berlaku pada satu majlis makan malam yang dihadiri Guan Eng di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini kelmarin.
Menurutnya, pada malam itu, Ketua Menteri dalam ucapannya bertanya kepada para hadirin yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas sama ada pemberian wang itu adalah rasuah.
"Beliau bertanya soalan itu sebanyak tiga kali dan setiap kali perkara itu diajukan, kumpulan warga emas yang hadir bertindak bangun lalu berkata: "Ya, itu adalah rasuah."
"Kejadian itu merupakan satu tamparan hebat dan saat-saat itu juga merupakan waktu yang sangat memalukan kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bagaimanapun, dakwanya Guan Eng yang kononnya tidak mendengar jawapan yang diberikan itu berkata, langkah kerajaan negeri berbuat demikian adalah kerana mahu berkongsi kekayaan dengan rakyat.
Ekoran insiden itu, Tong Keong mencadangkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada 'niat baik' kerajaan negeri itu merupakan amalan rasuah atau sebaliknya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Gerakan menyambut baik langkah kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban golongan warga emas dengan pemberian wang tersebut.
Namun, katanya, polisi yang diguna pakai serta niat kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini perlu ikhlas sekali gus manfaat yang diberikan itu dapat dinikmati bersama dan bukan dibuat kerana politik.
/hwa-utusan.

Wakil rakyat sendiri pun tak puas hati apatah lagi rakyat

UM - 09/03/10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Setelah dua tahun diberi peluang memerintah di beberapa buah negeri, pakatan pembangkang seharusnya sedar betapa tugas itu tidak semudah yang disangka.
Kesukaran itu terbukti apabila kerajaan pakatan pembangkang tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak seperti dicanang sebelum ini termasuk kalangan wakil rakyat mereka sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak dinafikan, adalah sesuatu yang mudah untuk pakatan pembangkang menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) terhadap setiap perkara yang tidak elok dari kaca mata mereka.
"Namun, tidak sampai beberapa ketika memerintah, mereka sendiri yang mengalami perpecahan dan keretakan. Itu menunjukkan mereka tidak mampu menjalankan tugas tersebut.
"Sedangkan wakil rakyat mereka sendiri tidak puas hati, bayangkanlah pula apa perasaan rakyat. Justeru saya mengharapkan agar BN terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat kerana pembangkang jelas tidak dapat menjalankan tugas mereka," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula menyifatkan pentadbiran pembangkang di beberapa buah negeri terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang sebagai bercelaru.
Menurutnya, sepanjang dua tahun memerintah, pakatan itu jelas gagal mencari kata sepakat dalam beberapa isu berkaitan agama dan ketelusan sehingga gagal memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.
"Saya beranggapan masalah itu berpunca daripada kurang pengalaman di kalangan pakatan pembangkang selain kegagalan mereka untuk mencapai kata muafakat dalam satu-satu isu.
"Dua tahun cukup lama untuk rakyat menilai kemampuan pakatan itu. Pakatan pembangkang tiada dasar konsisten untuk mentadbir negeri dan itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak layak untuk mentadbir negeri," katanya.
Diminta mengulas trend wakil rakyat daripada parti pembangkang yang cenderung untuk keluar parti kebelakangan ini, Khairy menjelaskan, ia memberi petunjuk betapa keyakinan terhadap kepimpinan pakatan itu kian terhakis sedikit demi sedikit.
"Tetapi sebagaimana biasa, pemimpin-pemimpin pembangkang akan mengatakan semua itu kerja UMNO. Kononnya, UMNO mempengaruhi wakil-wakil rakyat itu dan menyediakan wang untuk membeli mereka.
"Saya ingin jelaskan bahawa semua itu tidak ada kena mengena dengan UMNO. Kita tidak mengamalkan dasar membeli wakil rakyat mereka dan tindakan keluar parti itu dilakukan secara sukarela kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan pembangkang.
"Lagipun, dalam ramai-ramai yang keluar kebelakangan ini, cuma bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang menyertai UMNO. Ia membuktikan kita tidak mempengaruhi apatah lagi membeli mereka," tegasnya.
/hwa-utusan.

PKR amal politik tidak bertamadun

UM - 09/03/10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin mendedahkan terdapat beberapa pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengamalkan taktik politik tidak bertamadun untuk membolot semua jawatan dalam parti dan kerajaan.
Beliau memberitahu, individu-individu ini yang boleh dikatakan 'firaun-firaun kecil' menjalankan gerakan untuk menjatuhkan rakan- rakan dalam PKR bagi membolehkan mereka mendapat jawatan yang amat diidam-idamkan.
"Sepatutnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, rakyat telah menentukan wakil mereka, maka kita tumpukan kepada kerja untuk membela rakyat, malangnya apa yang berlaku dalam PKR ialah pemimpin-pemimpin ini mula menjalankan gerakan mengaibkan rakan di dalam parti.
"Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa terdapat 'firaun-firaun kecil' yang ingin menjatuhkan beliau, perkara ini telah berlaku kepada saya terlebih dahulu kerana mereka idamkan jawatan yang dipegang pada masa itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini.
Fairus memberitahu, tindakan beliau melepaskan jawatan dalam PKR dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti kerana diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menstabilkan parti kerana gerakan yang dilakukan oleh 'firaun-firaun kecil' itu.
Tegasnya, sebagai seorang ahli yang taat kepada perjuangan parti, beliau telah bertindak melepaskan kedua-dua jawatan kerana tidak mahu parti bergolak.
"Itu adalah prinsip yang saya pegang, taat setia kepada prinsip perjuangan parti, yang penting ialah parti bukan pemimpin seperti saya, selama setahun (saya) memerhatikan dari luar apa yang berlaku di dalam PKR," katanya.
Fairus yang terlibat dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu pada tahun 1998 menegaskan bahawa beliau keluar dari parti dan memasuki UMNO kerana prinsip-prinsip perjuangan parti pembangkang itu telah berubah terutama dalam memperjuangkan bangsa dan agama.
"Apa yang berlaku dalam PKR baru setahun jagung memerintah tetapi ketamakan politik amat luas sampai ke tahap bawahan sehinggakan perjuangan tersasar yang menyebabkan saya kecewa.
"Perjuangan memartabatkan bangsa dan agama, raja-raja Melayu yang telah disepakati dulu kini hancur di PKR, sebab itulah saya memilih wadah baru untuk berjuang di dalam UMNO atas prinsip untuk memperjuangkan bangsa serta agama," katanya.
Beliau menafikan terdapat tawaran berjuta-juta ringgit atau pelbagai lagi imbuhan daripada UMNO kalau menyertai parti itu tetapi apa yang ditawarkan ialah untuk terus berjuang memartabatkan bangsa serta negara.
Fairus juga merasa kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin PKR yang menyerang peribadi bekas pemimpin-pemimpin yang keluar dari parti tersebut.
"Inilah PKR yang cukup rendah martabat moralnya, politik yang mencemarkan maruah dan merupakan amalan politik kasar yang begitu hina," katanya.
/hwa-utusan.