27 April 2010

ADUN Pas pertikai kuasa sultan?

UM - 27/04/2010

ALOR SETAR 26 April – Tindakan seorang wakil rakyat Pas mengemukakan dua soalan kontroversi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini dilihat sebagai seolah-olah cuba mempertikai kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

Perbuatan itu dapat dilihat apabila Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) mengemukakan dua soalan bertulis kepada Dewan iaitu:

  • Sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat?
  • Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam?

    Menyedari perkara itu, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail kemudiannya bertindak menarik balik soalan tersebut dan mengakui beliau mungkin terlepas pandang selepas menerima bantahan pembangkang.

    Bagaimanapun, sebelum soalan itu ditarik balik, sidang DUN menjadi kecoh selama 20 minit akibat pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

    Ia bermula apabila soalan tersebut disanggah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mencadangkan kepada Abdul Isa supaya membatalkan soalan tersebut.

    Ini kerana, menurut Mahdzir, tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN Kedah yang membahaskan tentang sejauh mana kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini dan soalan tersebut seolah-olah mempertikaikan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam.

    “Kita tidak perlu penjelasan mengenai sejauh mana kuasa Tuanku Sultan dan kita seolah-olah hendak melibatkan Tuanku dalam masalah ini. Oleh itu, saya cadangkan agar soalan ini ditarik balik,” katanya.

  • /hwa-utusan.com.my

    'Bedah siasat' pengundi Cina sokong pembangkang

    UM - 27/04/2010

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana parti itu telah melakukan banyak perkara bagi membela nasib penduduk di Hulu Selangor termasuk kaum Cina sendiri.

    Malah tegas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan yang terbaik bagi mendapatkan sokongan penduduk di kawasan tersebut.

    ''BN menang tetapi majoritinya tidaklah seperti yang sepatutnya. Ini agak jelas dan kita nampak sokongan yang kurang daripada pengundi Cina.

    ''Bagaimanapun sokongan kaum Melayu dan India meningkat dan membolehkan BN mencapai kemenangan.

    ''Kita kena buat bedah siasat dan analisis supaya kita tahu apa masalahnya yang menyebabkan kita menang tetapi dengan majoriti yang tak seperti dijangkakan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada perbincangan "China Yang Kukuh - Implikasi dan Cabaran" anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.

    Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor semalam, calon BN, P. Kamalanathan berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi apabila memperoleh 24,997 undi.

    Mengulas mengenai kemenangan di Hulu Selangor, Dr. Mahathir berpendapat Najib telah berjaya menukar pandangan penduduk dan daya kepimpinannya kini diterima oleh segenap lapisan rakyat.

    Beliau turut menegaskan, kempen-kempen parti yang dikaitkan dengan perkauman sudah tidak lagi memberi kesan kerana dalam tempoh berkenaan mereka boleh bercakap apa sahaja.

    Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, biarpun ada yang berpendapat bahawa politik berasaskan kaum akan berkurangan selepas pilihan raya umum lalu namun jelas bahawa ia semakin kuat berbanding sebelum ini.

    Bagaimanapun, beliau percaya, harapan untuk melihat BN menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tetap ada.

    ''Ini kerana keputusan Pilihan Raya Umum 2008 bukan kerana parti BN tetapi kerana orang tertentu yang rakyat tidak suka,'' katanya lagi.

    /hwa-utusan.com.my

    26 April 2010

    BN tidak beli undi di Hulu Selangor - Najib

    BERNAMA - 26/04/2010 1:25pm

    PUTRAJAYA 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Barisan Nasional (BN) terbabit dengan perbuatan membeli undi untuk memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor semalam.

    Perdana Menteri berkata perlaksanaan projek-projek yang diumumkan di Hulu Selangor baru-baru ini adalah bagi menangani pelbagai yang dihadapi penduduk tempatan yang sudah berlarutan sekian lama.

    "Kami tidak beli undi, tapi kami selesaikan masalah orang ramai. Ia adalah masalah sebenar yang tidak ditangani sejak sekian lama, ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk.

    "Bukannya BN ke sana sini dan beritahu ”tengok sini, kami beri yang itu, kami beri yang ini”, tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 di sini.

    Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga penasihat Landskap Malaysia, bersama isterinya Tun Jeanne Abdullah yang merupakan pengerusi Landskap Malaysia.

    /hwa-utusan.com.my

    Siasatan SPRM terhadap Nik Aziz, menantu masih diteruskan

    BERNAMA - 26/04/2010 7:22pm

    KOTA BHARU 26 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

    Sambil menolak tanggapan kononnya kes itu ditutup atau siasatan sengaja dilewatkan, Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd. Nor berkata, beberapa orang akan dipanggil bagi membantu siasatan itu dalam masa terdekat ini.

    "Ada beberapa saksi akan dipanggil yang berkaitan dengan aduan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen “Perangi Pemberi Rasuah” di sini hari ini.

    Pada 7 April lepas, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian mendesak SPRM mendedahkan status siasatan tersebut.

    SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan terhadap Abdul Ariffahmi sejak November tahun lepas setelah timbul pelbagai dakwaan mengenai PMBK.

    Siasatan terhadap Nik Abdul Aziz pula dipercayai dilakukan setelah terdapat laporan yang beliau dan keluarganya menerima tajaan haji bernilai RM65,000 yang turut melibatkan Abdul Ariffahmi serta beberapa ahli keluarganya.

    /hwa-utusan.com.my

    Isu kuasa sultan: Sidang DUN Kedah bertukar “panas”

    BERNAMA - 26/04/2010 7:09pm

    ALOR SETAR 26 April – Kerajaan Negeri Kedah hari ini terpaksa menarik balik soalan bertulis seorang penyokongnya dari Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap menghina Sultan Kedah ekoran bantahan daripada beberapa anggota Barisan Nasional (BN).

    Speaker Datuk Dr. Abdul Isa Ismail membuat keputusan kedua-dua soalan berkenaan ditarik balik selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) selaku Ketua Pembangkang dan seorang anggota BN lain bangun membuat bantahan terhadap soalan-soalan tersebut yang dianggap mempertikaikan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam negeri.

    Pertikaman lidah tercetus selepas Mahdzir bangun meminta supaya soalan bertulis ketiga Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) ditarik balik.

    Anggota Pas itu bertanya sejauh manakah bidang kuasa sultan sebagai ketua agama Islam negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

    Mahdzir berkata, semasa BN mentadbir kerajaan negeri Kedah, soalan yang menyentuh bidang kuasa sultan tidak pernah dibangkitkan di DUN dan kuasa baginda juga tidak pernah dipertikaikan.

    Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Pas-Sungai Limau) berkata, soalan itu diajukan bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai bidang kuasa Sultan Kedah berkaitan hal ehwal agama Islam.

    Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) bagaimanapun bangun mempertikaikan kedua-dua soalan itu dengan menjelaskan bidang kuasa sultan telah termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.

    Dr. Abdul Isa, yang mengakui beliau mungkin terlepas pandang perkara tersebut, kemudian membuat keputusan supaya kedua-dua soalan bertulis itu ditarik balik.

    /hwa-utusan.com.my

    Dr. Mahathir yakin imej baru kepimpinan BN bawa kejayaan

    BERNAMA - 26/04/2010 6:50pm

    KUALA LUMPUR 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak telah dapat memperbaharui imej kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan ia berpeluang memperoleh kejayaan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau memuji peranan Najib dalam kemenangan calon BN P.Kamalanathan dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor semalam.

    "Saya fikir Datuk Seri Najib telah dapat tukar imej kepimpinan BN daripada yang terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucap tama pada satu forum anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

    Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata BN harus melakukan post mortem tentang kehilangan sokongan pengundi Cina manakala sokongan pengundi Melayu dan India telah meningkat.

    "PRU (pilihan raya umum) ke-13, ada kemungkinan kita menang, lebih dari kali ini. PRU 12 kalah bukan kerana BN, tapi orang tertentu yang rakyat tak suka,” katanya.

    /hwa-utusan.com.my

    Barisan Nasional

    Nama : Kamalanathan Panchanathan
    Umur : 44 tahun
    Asal : Taman Garing, Rawang, Selangor
    Kedudukan: Anak sulung dari tiga beradik
    Pekerjaan: Pegawai Perhubungan Awam, Syarikat Serba Wangi Sendirian Berhad
    Kelulusan:
    • Sarjana Muda Komunikasi Massa - Perhubungan Awam, Edith Cowan University, Australia
    • Diploma Perhubungan Awam, Institut Perhubungan Awam Malaysia
    • Diploma Penterjemahan Bahasa (Komunikasi), Dewan Bahasa dan Pustaka
    Pengalaman Politik: 26 tahun
    Jawatan: Ketua Penerangan MIC dan Ketua Penyelaras Putera MIC Pusat
    Isteri : Shobana Subramaniam
    Umur: 36 tahun
    Pekerjaan: Pengurus Pentadbiran

    Parti Keadilan Rakyat

    Nama :
    Datuk Zaid Ibrahim
    Umur :
    59 tahun
    Asal :
    Kelantan
    Kedudukan:
    Ijazah Undang-undang University of London
    Isteri :
    Suliana Shamsuddin
    Anak:
    Mohd Ezra, Alysha Azrin
    Kerjaya Politik:
    • Ketua Bahagian Umno Kota Bharu (2001)
    • Ahli Parlimen Kota Bharu (2004-2008)
    • Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan (2004)
    • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Dilantik pada Mac 2008)
    • Meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (September 2008)
    • Dipecat dari Umno (Disember 2008)
    • Menyertai Parti Keadilan Rakyat (2009)

    BN tawan semula Hulu Selangor

    P. Kamalanathan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) terdiri daripada Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Dr, Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon meraikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

    UM - 26/04/2010

    HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

    Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

    Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

    Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

    Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

    Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

    Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

    BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

    Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

    Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

    Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

    Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.

    /hwa-utusan.com.my

    25 April 2010

    BN rampas Parlimen Hulu Selangor

    P. Kamalanathan calon Barisan Nasional (BN)
    BH - 2010/04/25

    KUALA KUBU BHARU: Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya, P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

    Pengumuman keputusan penuh pilihan raya kecil itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan, tepat jam 9.15 malam di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Hulu Selangor, di sini.

    Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC Pusat memperoleh 24,997 undi manakala Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendapat 23,272 undi.

    Pada penamaan calon 17 April lalu, turut bertanding adalah Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, V S Chandran dan peniaga, Johan Mohd Diah, masing-masing calon Bebas tetapi menarik diri pada hari kedua berkempen.

    Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR yang meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
    /hwa-bharian.com.my

    Rasmi: Calon BN, P. Kamalanathan menang di Hulu Selangor

    UM -25/04/2010 9:19pm

    HULU SELANGOR 25 April - Berikut keputusan penuh dan rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR):

    P. Kamalanathan (BN) mendapat 24,997 undi, manakala Zaid Ibrahim (PKR) mendapat 23,272 undi, dengan majoriti memihak kepada BN sebanyak 1,725 undi.

    /hwa-utusan.com.my

    24 April 2010

    Kain rentang debat Najib–Anwar palsu


    BH - 2010/04/24

    KUALA KUBU BHARU: Pembangkang yang ketandusan isu untuk dijaja pada saat akhir pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, esok memasang kain rentang kononnya ada debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

    Tindakan itu adalah taktik jahat pembangkang yang mahu mengadakan cerita kononnya Perdana Menteri tidak sanggup untuk berdebat dengan Anwar.

    Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata tindakan itu membuktikan pembangkang ketandusan idea.
    /hwa-bharian.com.my

    Pok Amai-amai


    Pok amai-amai
    belalang kupu-kupu
    Dulu kata ramai
    sekarang kuar satu-satu.

    Kerakusan politik Penasihat PKR mula makan diri

    Oleh Jamhariah Jaafar
    BH - 2010/04/24

    Ramai keluar parti selepas sedar percaturan Anwar termasuk pemilihan Zaid bertanding di Hulu Selangor

    TERPAKU seketika melihat senarai nama sahabat meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan seorang blogger dan terngiang suara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bercerita mengenai bekas timbalannya itu pada kempen di Serendah, malam kelmarin.

    Persoalan yang tercetus ialah mengapa teman yang sanggup berkorban ketika dia susah, tiba-tiba dan satu demi satu meninggalkannya ketika dia bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat menuju ke Putrajaya.

    Lagi terkedu apabila seorang sahabat calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang ditemui ketika berkempen di Hulu Selangor, mengemukakan teori bahawa pencalonan peguam kaya raya ini mempunyai kaitan rapat dengan siapa orang paling layak menjadi ‘Perdana Menteri’, sekiranya Anwar ke penjara sekali lagi dan pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Blogger, Jebat Must Die (http://jebatmustdie.wordpress.com/) ketika menyenaraikan 38 orang kuat PKR meninggalkan parti itu kerana kecewa dan hilang kepercayaan terhadap Anwar, turut melemparkan persoalan yang wajar diberi perhatian iaitu:

    “Jika mereka (dalam senarai) yang pernah menjadi orang kuat dan panglima terkanan Anwar sudah meninggalkan PKR dan pakatan pembangkang, mengapa saudara saudari sekalian yang saya rasa tidak pernah mengenali Anwar secara dekat, yang hanya pernah melihat beliau dari jauh atau hanya dalam televisyen, atau mungkin pernah berjabat tangan hanya sekali dua dengan beliau, masih mahu menyokong Anwar?

    “Adakah anda semua pemimpin atau ahli politik bahagian PKR? Adakah saudara saudari pernah makan tengah hari dengan Anwar? Saudara saudari pernah berceloteh, bergurau senda dengan beliau? Saudara saudari kenal beliau secara dekat sudah bertahun-tahun? Saudara saudari sering berhubung melalui telefon dengan beliau?

    “Saudara saudari begitu rapat dengan Anwar sehingga boleh dengan senang keluar masuk banglo mewah milik Anwar? Tidak pernahkan? Jadi mengapa saudara saudari masih ingin menyokong Anwar tatkala mereka di atas yang begitu rapat dengan beliau sudah meninggalkan beliau atas dasar hilang kepercayaan?

    “Apakah bendanya yang membuat saudara saudari begitu HADAP sekali dengan Anwar Ibrahim hinggakan saudara saudari sekalian masih mempercayai beliau, walaupun mereka yang begitu kasihkan Anwar suatu waktu dulu sudah meninggalkan beliau?”
    Dr Mahathir ketika berceramah di Serendah malam kelmarin, turut mengemukakan persoalan sama, terutama membabitkan orang pertama meninggalkan PKR, Dr Chandra Muzaffar yang ketika itu sudah menjadi Timbalan Presiden, tapi memutuskan hubungan kerana justifikasi parti itu untuk keadilan semakin terpesong daripada matlamat asal.

    Sahabat Zaid pula percaya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika menjadi ahli Umno tidak lama dulu, mempunyai impian untuk menjadi Perdana Menteri dan menyedari dia tidak akan mencapai impian itu jika kekal bersama Umno.

    “Cuba tengok arah aliran kepemimpinan yang ada dalam PKR sekarang. Dengan membuat andaian Anwar mungkin dipenjara kerana kes mahkamahnya... selain Azmin (Ali), siapa lagi calon terbaik bagi PKR untuk menjadi Perdana Menteri.

    “Kawan-kawan memang sedar, Zaid mempunyai cita-cita amat tinggi dan dia sudah nampak tidak dapat pergi jauh jika kekal bersama Umno. Kerana itu, dia menyertai PKR yang dianggap boleh menjadi platform untuk mencapai impian indah itu sekiranya PKR boleh menumbangkan kerajaan BN,” kata sumber ini.

    Tambahnya, dengan kekayaan yang dimiliki ketika bersama Umno membuatkan Zaid menjadi antara orang paling berpengaruh dalam PKR hari ini, apa lagi dengan kemampuannya dan Anwar untuk mendapatkan sokongan serta bantuan dana daripada kumpulan berpengaruh di dalam serta luar negara.

    “Kita perlu melihat perancangan terutama membabitkan pelan peralihan kuasa dalam PKR, sekiranya Anwar ditimpa kejadian tidak diingini. Azmin mungkin berasa dia lebih layak berasaskan kepada kesetiaannya kepada Anwar selama ini, tetapi Zaid memiliki kekayaan yang jauh melimpah ruah berbanding Azmin.

    “Antara Azmin dan Zaid, ramai yakin Anwar akan memilih Zaid sebagai penggantinya, kerana Zaid lebih lantang, berani dan berwibawa untuk menjadi pemimpin tertinggi,” kata sumber berkenaan.

    Kerana itu tambah sahabat ini, Zaid dipilih sebagai calon di Hulu Selangor – Anwar memerlukan seorang yang lantang dan berani untuk membantunya di Parlimen bagi tempoh dua tahun akan datang.

    Bekas Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Noordin, pernah menggelar Zaid sebagai antara Firaun Kecil dalam PKR dan membuat keputusan untuk keluar parti kerana tidak tahan dengan kerenah beberapa firaun kecil ini.

    “Dalam soal Zaid yang mahu saya dipecat daripada parti, saya tidak berminat melayan politikus hingusan dan opportunis macam dia. Saya hendak bertanya apakah pendirian dia mengenai hudud, kerana dulu dia pernah saman kerajaan Kelantan kerana hendak laksanakan hudud. Selepas itu Pas perlu buat pendirian terhadap orang macam ini. Kita hendak tahu sejauh mana Pas boleh berkompromi dengan soal Islam ini,” katanya ketika membuat keputusan keluar PKR baru-baru ini.

    INFO: Senarai keluar PKR:
  • Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional)
  • S Nalla Karuppan (Ketua Bahagian PKR Kepong)
  • Ezam Mohd Nor (Ketua Pemuda PKR)
  • Anuar Shaari (Setiausaha Anwar Ibrahim)
  • Fairus Khairuddin (Adun Penanti – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang)
  • Zahrain Mohd Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru)
  • Zulkifli Noordin (Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim)
  • Zainur Zakaria (bekas peguambela Anwar, AJK Parti Keadilan Nasional)
  • Ruslan Kassim (Ketua PKR Negeri Sembilan dan juga Ketua Penerangan PKR)
  • Nell Onn (Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional)
  • Jeffrey Kitingan (Naib Presiden PKR))
  • Marina Yussuf (Naib Presiden Parti Keadilan)
  • Lokman Noor Adam (Setiausaha Angkatan Muda Keadilan)
  • V. Arumugam (Adun Bukit Selambau)
  • Mohd Radzi Salleh (Adun Lunas)
  • Badrul Hisham Abdullah (Adun Pelabuhan Kelang)
  • Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal)
  • Sallehudin Hashim (Setiausaha Agung PKR)
  • Dr Halili Rahmat (Bendahari PKR Hulu Selangor)
  • Muhammad Zahid Md Arip (Naib Ketua Pemuda PKR)
  • Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai)
  • Hamdan Taha (Timbalan Pengarah Pilihan raya Keadilan)
  • Dr Abdul Wahid Ahmad Suhaimie (Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang)
  • Jamaludin Abu Hassan (Pemangku Ketua PKR Padang Serai)
  • Mohd Hanafiah Man (Ketua Pemuda Keadilan Perak)
  • Fakhrul Azman Abu Bakar (Exco Pemuda Keadilan)
  • Shamsul Bahari Shamsuddin (Exco Pemuda Keadilan)
  • Rosli Mohd Johar (Naib Ketua Pemuda Keadilan Wilayah Persekutuan)
  • Zainuddin Awang (Exco Pemuda Keadilan Terengganu)
  • Datuk Bujang Ulis (Keadilan Sarawak)
  • Rusli Mohd Shariff (Naib Ketua Pemuda Keadilan Negeri Sembilan)
  • Jeffry Nizam (Exco Pemuda Keadilan Pahang)
  • Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang)
  • Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Adun Changkat Jering)
  • Tan Wei Shu (Adun Bakar Arang)
  • Soraya Sulaiman (Ketua Penerangan Wanita PKR)
  • Roshanita Mohd Basir (Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai)
  • Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak (Naib Presiden PKR)
  • /hwa-bharian.com.my

    Saya suka jumpa rakyat dari berdebat dengan pembangkang - Najib

    BERNAMA - 24/04/2010 5:53pm

    HULU SELANGOR 24 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau lebih suka berjumpa rakyat daripada memikirkan mengenai cabaran berdebat dengan Ketua Pembangkang.

    Najib berkata, beliau tidak mengambil kisah mengenai cabaran tersebut kerana apa yang perlu diutamakan ketika ini adalah memberi masa depan yang terjamin untuk rakyat.

    "Mana ada dalam perancangan nak berdebat dengan Anwar Ibrahim di Kuala Kubu Baru. Tak ada. Saya lebih suka kalau dapat jumpa dengan anda kerana lebih banyak faedah yang diperolehi daripada berjumpa dengannya.

    "Oleh itu kita jangan ambil kisah apa yang dilakukan pembangkang kerana mereka lebih mementingkan politik daripada memperjuangkan agenda rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat di Kampung Melayu Rasa di sini, hari ini.

    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negri (ADUN) Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim.

    Beberapa kain rentang dipasang di sekitar pekan Kuala Kubu Baru (KKB) yang mendakwa Perdana Menteri akan menyertai debat perdana dengan Anwar di stadium mini Kuala Kubu Baru pukul 9 malam ini.

    Najib berkata, perdebatan seperti itu jelas tidak akan menguntungkan mana-mana pihak malah rakyat juga tidak seharusnya dilibatkan dalam permainan serta helah politik pembangkang yang tiada kesudahan.

    "Tidak ada gunanya saya menyertai debat yang tidak bertujuan dan belum pasti apa faedahnya. Kita ada gagasan, kita ada dasar, kita ada kemahuan yang telah pun dibuat. Saya akan teruskan pembaharuan ini,”katanya.

    /hwa-utusan.com.my

    Nik Aziz lakukan 'pengingkaran serius' pertikai titah Sultan Selangor: PM

    BH - 2010/04/24

    ULU BERNAM: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, melakukan "pengingkaran yang serius" kerana mempertikai titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid sebagai pentas politik.

    Perdana Menteri berkata, ia juga penghinaan kepada Sultan sekali gus akan mengguris hati rakyat Selangor khususnya di Parlimen Hulu Selangor.

    "Ini menunjukkan (Nik Aziz) tidak menghormati sama sekali apa yang ditetapkan Perlembagaan negara dan kehendak agama Islam.

    "Larangan Sultan Selangor itu kita perlu hormati dan ikuti titahnya," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sarapan 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang di sini, sebentar tadi.
    /hwa-bharian.com.my

    Najib mahu pengundi beri mandat kepada BN

    UM - 24/04/2010

    HULU SELANGOR 23 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perubahan politik di negeri ini bermula dengan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad ini.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, sokongan padu rakyat di kawasan itu amat dituntut kerana Selangor begitu penting kepada masa depan negara yang sedang menuju proses perubahan menerusi pendekatan 1Malaysia.

    Beliau berkata, bagaimanapun bagi melahirkan sebuah negara maju dan harmoni, kaum Melayu, Cina dan India tidak boleh membawa haluan masing-masing tetapi hendaklah bergerak maju bersama 1Malaysia.

    "Ekoran itu saya kini memerlukan mandat penduduk Hulu Selangor dan jika mahu perubahan yang dirancang, maka perlu sokong dan undi calon BN.

    "Calonnya, Kamalanathan sudah berjanji mahu bekerja siang dan malam untuk membantu masyarakat di sini.

    "Ini kerana kita tidak mahu Malaysia hanya menjadi sebuah negara sederhana tetapi melonjak menjadi sebuah negara hebat," katanya ketika berucap dalam perjumpaan dengan masyarakat Cina di pekan Hulu Yam Baru di sini hari ini.

    Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Kamalanathan.

    Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bantuan kepada Kelab Hokkien, Persatuan Muhibbah serta Persatuan Kwantung sebanyak RM90,000 bagi membina jalan dan longkang untuk kawasan Tanah Perkuburan Cina Hulu Yam.

    Najib yang juga Pengerusi BN negeri memberi jaminan akan memastikan semua janji ditunaikan demi masa depan rakyat.

    "Kita bukan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), impian mereka dengan Pas dan DAP berbeza. Mereka hipokrit cuma baik di depan sahaja dan PKR janji macam-macam tetapi habuk pun tak ada," jelasnya.

    Sebaliknya, dalam BN tegas Najib, kerajaan akan buktikan berjaya membawa perubahan untuk kemajuan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

    /hwa-utusan.com.my

    Selamatkan Malaysia daripada Anwar - Muhyiddin

    UM - 24/04/2010

    HULU SELANGOR 23 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, slogan 'Selamatkan Malaysia' yang dilaung-laungkan pembangkang sepatutnya ditukar kepada 'Selamatkan Malaysia daripada Anwar Ibrahim' kerana ketua pembangkang itu terlalu banyak melakukan fitnah dan pembohongan.

    Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Anwar menuduh rakyat zalim dan tidak adil hanya semata-mata kerana beliau (Anwar) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat.

    Katanya, kes itu tidak melibatkan kerajaan kerana merupakan kes peribadi antara Anwar dengan Saiful Bukhari Azlan dan dibicarakan selepas bekas pembantunya itu membuat laporan polis.

    ''Apakah itu salah kerajaan? Apakah itu menunjukkan kita zalim sehingga dia pergi ke seluruh dunia dan buat cerita bukan-bukan termasuk kepada ahli Parlimen Australia," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Taman Sentosa, di sini, malam ini.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar turut membuat dakwaan bahawa semua institusi yang dibentuk oleh kerajaan sejak dahulu tidak adil dan tidak saksama.

    Selain itu, kata Muhyiddin, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bersama Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin pembangkang lain sering memutarbelitkan fakta terhadap apa juga tindakan yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan.

    ''Semuanya dianggap tidak memberi manfaat kepada rakyat sedangkan mereka sendiri tidak menggariskan hala tuju bagi masa depan rakyat," katanya.

    Muhyiddin berkata, rakyat tidak harus terperdaya dengan hasutan dan fitnah yang dibuat oleh pembangkang kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi meraih kuasa.

    /hwa-utusan.com.my

    Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Parlimen

    BERNAMA - 24/04/2010 1:42pm

    HULU SELANGOR 24 April - Keputusan Dewan Rakyat untuk merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung konsep 1Malaysia dan Apco Worldwide membuktikan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap adil walaupun dengan pembangkang.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN boleh menggunakan kuasa majoriti di Dewan Rakyat dengan terus menghukum dan menggantung keanggotaan Anwar tetapi BN mengambil jalan memberi peluang kepada anggota Parlimen Permatang Pauh itu untuk membela diri.

    "Kalau kita (BN) gunakan kuasa majoriti, kita boleh terus hukum dia dan gantung keanggotaannya tetapi kita tak (guna) jalan tersebut.

    “Kita sebaliknya beri dia peluang untuk bela diri, mengeluarkan sebarang hujah dan selepas itu, dia akan ditentukan dan diadili oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sarapan 1Malaysia di padang Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang di sini hari ini.

    Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, timbalannya Heng Seai Kie, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan dan isteri, S.Shobana.

    Pada Khamis lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan dasar gagasan 1Malaysia dengan Apco Worldwide, sebuah syarikat perhubungan awam dan strategi yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel.

    Najib berkata, beliau percaya bahawa jawatankuasa itu akan meneliti secara mendalam mengenai dakwaan Anwar itu.

    /hwa-utusan.com.my

    Add to Google

    Pemimpin Pas diminta kembali kepada perjuangan Islam

    UM - 24/04/2010 2:06pm

    KUALA LUMPUR 24 April – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin meminta para pejuang Islam dalam Pas meletakkan kembali Islam sebagai asas perjuangan mereka dengan mengamalkan slogan Satu Islam: Aqidah didahulukan, Syariat dimartabatkan.

    Beliau menyeru mereka menjadikan Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor sebagai bukti dan persaksian di hadapan Allah S.W.T bahawa ahli Pas meletakkan Islam dahulu dan politik kemudian.

    "Hari ini kelihatan seolah-olah perjuangan Dewan Pemuda Pas dan Dewan Ulama Pas yang menentang Kumpulan Artikel 11 pada 2008 telah dilupakan,’’ katanya.

    Katanya, penentangan Pas terhadap kumpulan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin Pas di Pulau Pinang telah ditahan pihak berkuasa dan didakwa di mahkamah kerana menentang forum kumpulan tersebut.

    Menurutnya, Datuk Zaid Ibrahim adalah antara yang terlibat dalam Kumpulan Artikel 11 yang dianggap sebagai kumpulan yang cuba menghidupkan semula usaha penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang telah dihentikan kerajaan pada 2004.

    "Ya, Zaid Ibrahim, `calon pengantin’ yang kini hebat dikompangkan oleh Pakatan Rakyat dan ditakbirkan oleh segelintir pemuda Pas di dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor sebagai "calon berwibawa" mereka,'' katanya.

    Beliau yang kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu berkata demikian dalam tulisan terbarunya di dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com.

    /hwa-utusan.com.my

    ITU namakan Najib salah seorang tiga tokoh terkemuka

    BERNAMA - 2010/04/24

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinamakan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sebagai seorang daripada tiga tokoh terkemuka yang banyak menyumbang terhadap revolusi digital masa kini.

    Dua lagi ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) China Mobile, Wang Jianzhou dan Robert Kahn, seorang daripada perintis awal Internet.

    Mereka dianugerah Anugerah Persatuan Telekomunikasi dan Maklumat Dunia ITU 2010 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam menggalakkan penggunaan ICT sebagai wadah yang menyediakan kehidupan lebih baik kepada manusia.

    Anugerah itu diumumkan pada majlis penutupan sesi tahunan Majlis ITU di Geneva, Switzerland.

    ITU, yang menyambut ulang tahun ke-145 penubuhannya pada 17 Mei tahun ini, berkata anugerah itu akan disampaikan pada Ekspo Dunia 2010 di Shanghai, China pada 17 Mei.

    Semasa membuat pengumuman itu, Setiausaha Agung ITU Dr Hamadoun Touré memberikan penghargaan kepada ketiga-tiga tokoh terkemuka itu, yang banyak menyumbang dalam menghubungkan dunia melalui Internet dan telefon bimbit dan menjadikan ruang siber sebagai tempat yang selamat untuk pengguna di mana-mana sahaja.

    "Sempena ulang tahun ke-145 ITU, saya berbesar hati memberikan penghargaan dan penghormatan kepada mereka ini yang telah banyak menyumbang melalui wawasan dan komitmen mereka untuk memanfaatkan potensi ICT untuk menjadikan dunia sebagai tempat tinggal yang lebih baik.

    "ICT telah menjadi wadah yang penting dalam membuka laluan bagi masa depan yang lebih baik, penting dalam menentukan gaya hidup dan corak tingkah laku, menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan dan perniagaan, menambah baik tadbir urus dan perkhidmatan perbandaran, dan mencetuskan revolusi dunia hiburan melalui pembangunan pesat komunikasi," kata Dr Toure.

    Menurut ITU, Najib telah menjadikan jaringan hubungan melalui internet sebagai satu daripada keutamaan dalam pentadbirannya.

    "Sebagai sebahagian Model Ekonomi Baru bagi Malaysia, beliau telah memberikan keutamaan untuk meningkatkan infrastruktur ICT. Pentadbiran beliau telah memberikan sokongan padu terhadap usaha ITU dalam meningkatkan keselamatan siber global melalui Pusat IMPACT di Cyberjaya dekat Kuala Lumpur," katanya.

    Wang ialah Pengarah Eksekutif, Pengerusi dan CEO China Mobile, yang mengendalikan rangkaian telefon bimbit terbesar di dunia dengan lebih 500 juta pelanggan.

    Rangkaian China Mobile meliputi semua bandaraya utama di China serta daerah-daerah dan kawasan pedalaman negara itu.

    Kahn, Presiden dan CEO Corporation for National Research Initiatives (CNRI), telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Internet berikutan beliau telah menyediakan asas protokol TCP/IP, iaitu ciri operasi standard bagi Internet.

    CNRI ialah sebuah organisasi yang bukan mencari keuntungan yang menumpukan pada pembangunan strategik teknologi maklumat berasaskan rangkaian dan Kahn tanpa mengenal penat dan jemu terus membangunkan evolusi Internet, menerajui pembangunan piawaian-piawaian baru.
    /hwa-bharian.com.my

    23 April 2010

    'South Park' hina Nabi Muhammad

    BH - 2010/04/23

    Pergerakan Islam bantah gambaran kartun Rasulullah pakai kostum beruang

    LOS ANGELES: Pencipta rancangan kartun televisyen South Park diberikan amaran bahawa mereka mungkin akan menghadapi tindakan ganas kerana menghina Nabi Muhamad apabila menunjukkan Rasulullah memakai kostum beruang.

    Laman web kumpulan Revolution Muslim di Amerika Syarikat memberitahu Matt Stone dan Trey Parker bahawa mereka mungkin akan menerima nasib seperti Theo Van Gogh.

    Penerbit filem Belanda kontroversial itu ditembak dan ditikam hingga mati pada 2004 oleh seorang Islam yang marah kerana filem beliau mengenai keadaan wanita Islam.

    Laman web berkenaan turut memberi maklumat mengenai lokasi rumah Stone dan Parker.

    Ia turut menyenaraikan alamat pejabat penerbitan mereka di California dan pejabat penyiaran South Park di New York, Comedy Central.

    “Kami memberi amaran kepada Matt dan Trey bahawa apa yang dilakukan mereka adalah bodoh dan mereka akan menerima nasib yang sama seperti Theo Van Gogh kerana menyiarkan rancangan ini,” kata penulis artikel, Abu Talhah Al-Amrikee.

    “Ini bukan satu ancaman tetapi satu amaran kepada realiti mengenai apa yang akan berlaku kepada mereka,” katanya.

    Al-Amrikee kemudian memberitahu Associated Press bahawa kiriman terbabit bukan bertujuan untuk mencetuskan rusuhan. Ia disiarkan untuk memberikan kesedaran mengenai isu itu dan melihat ia tidak akan berlaku lagi, katanya.

    Jurucakap Comedy Central berkata, rangkaian itu tidak mempunyai sebarang ulasan.

    Dalam episod ke 200 South Park yang disiarkan di Amerika dan United Kingdom minggu lalu menunjukkan Muhammad muncul beberapa kali dalam satu kostum beruang. Utusan agama lain juga turut digunakan termasuk Buddha.

    Bercakap dalam satu temubual laman web Boing Boing sebelum rancangan ke 200 disiarkan, South Park mempertahankan adegan berkenaan.

    “Kami bersikap hipokritikal terhadap mesej kami, pemikiran kami, jika kami katakan ok bermakna jangan jadikan jenaka dengannya kerana ia tidak akan melukakan kita,” kata Parker. – Agensi

    Hassan Ali derhaka titah Sultan Selangor: Zahid

    BERNAMA -C2010/04/23

    HULU SELANGOR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tindakan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyampaikan khutbah berbaur politik di sebuah masjid di Bukit Sentosa hari ini sebagai menderhaka kepada titah Sultan.

    Ahmad Zahid berkata, Dr Hasan sepatutnya bijak membuat pertimbangan dan tidak mengambil kesempatan semasa kempen pilihan raya yang sedang berlangsung untuk menyampaikan mesej perjuangan sehingga sanggup mengetepikan perintah Sultan.

    "Dr Hassan Ali adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama. Beliau sepatutnya mematuhi apa yang dititahkan oleh tuanku Sultan. Bukan menyanggah apa yang dititahkan.

    "Sultan adalah ketua agama dan titah baginda harus dipatuhi. Tuanku dah titahkan bahawa masjid jangan digunakan sebagai tempat untuk berpolitik. Ini maknanya dia derhaka pada tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah)," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan pelancaran Kad Pintar PLKN di Kem PLKN Pelangi Hill Resort di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri itu yang didakwa menyampaikan khutbah berunsur politik sehingga terlupa membaca selawat nabi ketika menjadi khatib di masjid itu.

    Ahmad Zahid berkata, kejadian terlupa membaca selawat nabi yang juga rukun khutbah perlu dijadikan iktibar kerana ia mungkin berlaku akibat keangkuhan mereka untuk terus berkuasa.

    "Hari ini dalam bacaan khutbah oleh Hassan Ali, rukun khutbah pun tak dibacanya. Selawat pun tak baca. Khutbah itu tidak sah.

    "Apa ni...sebabnya kerana Tuhan menguji kerana dia riak dan angkuh. Jadi tuhan alpakan, itulah jadinya,"katanya.

    Beliau berkata, sudahlah perbuatan itu dikira menderhaka, jemaah masjid itu juga terpaksa menanggung akibat kerana sembahyang mereka dikira tidak sah.

    Katanya, disebabkan kealpaan tersebut, ramai daripada jemaah terpaksa menggantikannya dengan bersolat Zohor.

    Sultan Sharafuddin dalam titah baginda pada Oktober tahun lalu mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di negeri Selangor supaya memastikan rumat ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.

    Hari ini Baginda mengulangi titah supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan tempat untuk mengadakan demonstrasi negatif.

    Mengenai dakwaan pembangkang kedatangan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bagi berkempen di Hulu Selangor bakal mengubah fikiran rakyat, khususnya orang Melayu untuk mengundi mereka, Ahmad Zahid berkata beliau tidak fikir kedatangan Mursyidul Am Pas itu berupaya mengubah keadaan sehingga sebegitu rupa.

    "Nik Aziz tu siapa, malaikat ka. Dia datang saja boleh mengubah (fikiran) orang. Saya tak fikir begitu. Dia mana boleh mengubah pemikiran orang, tak adalah. Jangan percaya kata dia. Dia bukan malaikat," katanya.

    Sehubungan itu, beliau meminta pengundi agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerana apa yang lebih utama adalah mereka perlu memikirkan pembangunan yang akan diberikan sekiranya mengundi Barisan Nasional (BN).

    Menurut kaji selidik terbaru yang dikeluarkan oleh Ilham Centre, kajian mendapati pengundi Melayu berpendapat BN akan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Ahad ini.
    /hwa-bharian.com.my

    22 April 2010

    Gambaran sebenar Apco

    UM (Rencana) - 22/04/2010
    Oleh ROHANI IBRAHIM
    rencana@utusan.com.my
    BIARPUN berhadapan dengan tindakan beberapa penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti kebelakangan ini, kreativiti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghasut dan meracuni fikiran rakyat tidak pernah luntur.
    Semua ini dilakukan demi mengelirukan rakyat dan meraih sokongan untuk mencapai matlamat peribadi yang diidam-idamkan selama ini.
    Anwar mendakwa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipengaruhi oleh Israel melalui khidmat syarikat perunding komunikasi antarabangsa Apco Worldwide (Apco) yang dipilih kerajaan.
    Ini ditambah pula dengan dakwaan ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dalam satu artikel yang dihasilkan bersama Unit Penyelidikan Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KPRU) dan disiarkan dalam Malaysian Insider.
    Artikel tersebut mendakwa ketuanan Melayu yang pe rnah dilaungkan UMNO sebagai mempunyai persamaan dengan Zionis di Israel.
    Isu Apco memberikan ruang kepada beberapa pihak untuk mengambil kesempatan menangguk di air keruh untuk menyerang dan menyemai kebencian kepada UMNO.
    Terdapat gerakan di laman web sosial facebook seperti gerakan sejuta rakyat yang mahukan Apco keluar dari Malaysia serta UMNO Love Apco & Israel yang menyifatkan UMNO sebagai pihak yang bertanggungjawab memberi ruang kepada Apco untuk masuk ke Malaysia.
    Dakwaan in dilontarkan ekoran tindakan kerajaan menggunakan khidmat perunding komunikasi global Apco dalam menyalurkan maklumat mengenai segala misi dan visinya.
    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi baru-baru ini berkata, pembangkang akan terus mengaitkan pelbagai tindakan kerajaan dengan Israel seperti mana yang dilakukan dalam isu Apco.
    ''Sebelum ini terdapat tuduhan ada perisik Israel di Bukit Aman. Itu tidak benar," katanya lagi.
    Apco yang membuka pejabatnya di Malaysia pada tahun lalu mempunyai pengalaman 25 tahun dalam memberikan khidmat komunikasi strategik kepada 29 buah negara dan organisasi seperti Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah (EU) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
    Apco mempunyai seramai 50 anggota Majlis Penasihat Antarabagsa (IAC) dari pelbagai latar belakang dan pengalaman termasuklah bekas duta, pemimpin negara dan penasihat pelbagai badan dan organisasi dunia.
    Daripada 50 anggota berkenaan, tiga penasihat mempunyai pengalaman bekerja dengan Israel iaitu Doron Bergerbest-Eilon yang pernah menjadi pegawai kanan di Agensi Keselamatan Israel, Itamar Rabinovich yang pernah berkhidmat sebagai duta Israel ke AS dan menjadi presiden Tel Aviv University dan Shimon Stein iaitu bekas Duta Israel ke Jerman.
    Tiga penasihat ini menjadi sasaran pembangkang untuk mengaitkan Apco dengan Israel. Bagaimanapun, majoriti daripada mereka iaitu lebih 40 penasihat Apco yang lain mempunyai latar belakang yang pelbagai.
    Antara penasihat Apco yang lain ialah bekas Menteri Rusia, Igor V.Kostikov; bekas presiden Poland, Aleksander Kwasniewski; bekas Duta India ke AS, Lalit Mansingh dan bekas Duta Mexico ke United Kingdom (UK), Andres Rozental.
    Penasihat lain ialah bekas Pengerusi China Ocean Shipping Company America, Gao Weijie; bekas Duta Mexico ke United Kingdom, Andres Rozental dan bekas Duta Sri Lanka ke AS, Devinda R.Subasinghe.
    Turut menjadi penasihat Apco ialah pensyarah felo di London School of Economics and Political Science, Maurice Fraser; bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Kellogg, Carlos Gutierrez dan bekas pengerusi majlis Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Sergio Marchi.
    Apco juga pernah menafikan kaitannya dengan Israel dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web www.apcoworldwide.com bertarikh 18 Mac 2010.
    Apco menjelaskan bahawa syarikat berkenaan tidak pernah mewakili kerajaan Israel mahupun Perdana Menteri, Ehud Barak.
    ''Apco tidak pernah terlibat dalam kempen perhubungan awam berkaitan konsep One Israel dan segala kenyataan yang dikeluarkan di Parlimen Malaysia mengenai penglibatan Apco dalam kempen tersebut adalah palsu," tambah kenyataan berkenaan.
    Jelas kenyataan tersebut, dalam tahun 2009 Apco diminta untuk membantu kerajaan Malaysia selain berkongsi pengalaman mengenai pembangunan komunikasi strategik di Eropah, Amerika Utara dan Afrika.
    ''Tugas-tugas yang dilaksanakan Apco termasuklah memberikan khidmat sokongan komunikasi dalam pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan Malaysia termasuklah mewujudkan pekerjaan, mempromosikan pendidikan dan memantapkan penyampaian pelbagai bentuk khidmat kepada rakyat.
    ''Apco rasa bangga dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dalam membantu melaksanakan tugas penting ini," tambahnya.
    Kata kenyataan yang sama, 1Malaysia dilahirkan oleh Perdana Menteri sebelum menggunakan khidmat Apco.
    ''Apco tidak memainkan sebarang peranan dalam mewujudkan konsep 1Malaysia, konsep berkenaan digubal dan diumumkan sebelum khidmat Apco diambil," jelasnya.
    Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web Apco, khidmat syarikat berkenaan di Tel Aviv, Israel ialah membantu syarikat-syarikat Israel dalam menstrukturkan pelaburan, menjalankan tanggungjawab korporat dan pemantauan media melalui penyelidikan serta khidmat analisis.
    Tidak ada maklumat yang menyatakan mengenai One Israel.
    ''Apco menjalankan peranan mewujudkan jaringan di antara masyarakat Yahudi di seluruh dunia. Kami menawarkan khidmat memberikan kefahaman mengenai perhubungan awam masyarakat Yahudi, membantu pelanggan berhubung dengan rakan yang sesuai dan menyatakan mesej mereka secara kreatif dan efisien," jelas kenyataan tersebut.
    Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak hairan dengan langkah pembangkang yang terus memainkan isu Apco dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan.
    "Apco adalah sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang dilantik oleh kerajaan bagi membolehkan Malaysia lebih dikenali dunia. Syarikat itu bukan syarikat zionis atau Israel. Untuk melakukan tugas memperkenalkan Malaysia, ia bukanlah satu tugas yang mudah, oleh itu kita memerlukan syarikat yang profesional melakukannya.
    "Kita hendak memberikan gambaran yang betul kepada dunia, apa itu Malaysia sebenarnya. Pembangkang sengaja memutar-belitkan fakta jadi mereka sebarkan dakyah kononnya 1Malaysia sama dengan One Israel dengan mengaitkan Apco," katanya.
    Sebagai sebuah organisasi berteraskan komunikasi dan perhubungan awam Apco semestinya mengutamakan profesional tanpa dipengaruhi sebarang ideologi.
    Tidak dinafikan terdapat penasihat yang mempunyai kaitan dengan Israel dalam Apco. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud Apco merupakan satu organisasi yang berorientasikan Israel.
    Sebahagian besar daripada penasihat Apco ialah profesional AS yang berjaya dalam pelbagai pengkhususan. Namun masih belum pasti sama ada mereka penyokong kuat rejim Zionis atau sebaliknya.
    Ini kerana di kalangan masyarakat AS sendiri ada yang menyokong kebebasan warga Palestin melalui gerakan Americans United for Palestinian Human Rights.
    Justeru, tindakan melabelkan Apco sebagai syarikat berkaitan Israel hanya kerana tiga penasihatnya berkenaan tidak lebih dari bertujuan menghasut rakyat.
    /hwa-utusan.com.my

    Medan penting saya - Najib

    UM - 22/04/2010
    Oleh NOR SEDEK ISMAIL dan MOHD. ASRON MUSTAPA

    Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bersama calon Barisan Nasional, P. Kamalanathan (tengah) mengangkat tangan di pusat gerakan Barisan Nasional di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, semalam.

    HULU SELANGOR 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor merupakan medan penting bagi menilai penerimaan rakyat terhadap pembaharuan dan transformasi yang diperkenalkan kepimpinan beliau melalui gagasan 1Malaysia.
    Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan pada Ahad ini, bakal menentukan sama ada dasar yang diperkenalkan bagi membangunkan negara menerusi Model Ekonomi Baru (MEB) dan pendekatan 1Malaysia, diterima atau tidak oleh masyarakat.
    Pada masa yang sama, beliau berkata, pilihan raya itu juga menjadi penentu sama ada kepimpinan baharu MCA diterima dan mampu mengembalikan semula sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN).
    '' Walaupun MCA bukan calon di Parlimen Hulu Selangor tetapi mereka mesti bekerja keras dan komited untuk menarik sokongan masyarakat Cina kerana saya mahu mereka bersama-sama kerajaan dalam memajukan negara," katanya semasa berucap ketika melawat Bilik Gerakan MCA di Kuala Kubu Baru di sini malam ini.
    Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim serta calon BN, P. Kamalanathan.
    Mengulas lanjut, Najib berkata, semua pihak perlu bekerja keras dalam tempoh kempen yang hanya tinggal tiga hari lagi bagi memastikan kemenangan BN kerana pilihan raya kecil ini juga dijadikan ujian bagi pihak pembangkang.
    Dalam pada itu, beliau berkata, kehadirannya bagi menjayakan kempen di Hulu Selangor bukan merupakan suatu kelaziman untuk Pengerusi BN kerana tanggungjawab itu dipikul oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi ia dilaksanakan bagi menaikkan semangat dan sokongan kepada jentera parti.
    ''Hulu Selangor ini unik kerana saya juga merupakan Pengerusi BN Selangor dan seharusnya saya berada di sini," ujarnya.
    /hwa-utusan.com.my

    Jaminan PM kepada pengundi

    UM - 22/04/2010
    Oleh ZULKIFLEE BAKAR dan SAIFUL HAIZAN HUSAM
    pengarang@utusan.com.my
    HULU SELANGOR 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kepada para pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor bahawa Barisan Nasional (BN) akan menunaikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya kecil kawasan itu diadakan.
    Untuk menunjukkan keseriusan kerajaan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN melantik Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Noh Omar sebagai pengawas yang akan memastikan semua janji itu ditunaikan.
    Beliau berkata, langkah tersebut dilakukan kerana salah satu isu di kawasan Parlimen berkenaan ialah pengundi bimbang jika janji yang dibuat tidak ditunaikan walaupun pelbagai pengumuman dibuat.
    "Saya hendak beritahu kepada pengundi di Hulu Selangor, jangan gusar BN akan tetap tunaikan semua janji. Selama ini, rekod kita menunjukkan apabila ada pilihan raya kecil, kita berjanji, kita tunaikan," katanya.
    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan dengan jentera BN Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Bukit Sentosa, di sini, hari ini.
    Dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan Ahad ini, calon BN, P. Kamalanathan akan berhadapan satu lawan satu dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.
    Perdana Menteri berkata, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani akan turun padang bagi memastikan segala janji yang telah dibuat oleh kerajaan dilaksanakan.
    ''Jika tidak cukup peruntukan, saya sebagai Menteri Kewangan akan meluluskan peruntukan bagi membolehkan apa yang dijanjikan itu dilaksanakan," katanya.
    Najib berkata, langkah melantik Noh dilakukan bagi memberi keyakinan kepada pengundi-pengundi di Hulu Selangor bahawa kerajaan BN akan menunaikan janji yang dibuat.
    ''Inilah isu utama di sini iaitu sama ada BN mampu menyelesaikan masalah pengundi atau tidak, maka saya memberi jaminan pada malam ini sebagai ketua kerajaan, kita tetap akan melaksanakan semua janji kepada pengundi.
    ''Tolong sampaikan perkara ini, pemberita-pemberita tolong laporkan, inilah janji kita," katanya sambil menyifatkan isu-isu lain seperti cabar-mencabar dan tuduhan oleh pembangkang bukanlah isu utama.
    Beliau berkata, ketika ini permuafakatan antara parti komponen BN amat baik kerana boleh bertolak ansur walaupun Parlimen Hulu Selangor mempunyai 53 peratus pengundi Melayu.
    ''Tetapi kita bagi kepada MIC kerana kalau hendak kira majoriti, tidak ada satu pun kerusi Parlimen yang orang India menjadi majoriti, oleh itu sampai bilakah mereka akan mempunyai wakil di Parlimen, sampai kiamat pun mereka tidak ada wakil," katanya.
    Najib berkata, berdasarkan kepada perkiraan itu, BN membenarkan calon MIC bertanding kerana kerusi seperti Hulu Selangor amat berharga jika MIC mahu mendapat pengaruh dalam politik negara.
    ''Semua warganegara Malaysia berketurunan India mesti sokong calon kita (BN) kerana mereka tidak ada banyak kerusi Parlimen," katanya.
    Dalam ucapan itu, Perdana Menteri menasihatkan orang Melayu dan kaum Cina supaya tidak bimbang memandangkan Kamalanathan ialah calon untuk semua kaum.
    ''Orang Melayu sudah ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Hulu Bernam dan Batang Kali), orang Cina ada satu ADUN (Kuala Kubu Baru) di kawasan Parlimen ini, maknanya lengkap Malaysia, Parlimen ada, DUN ada," katanya.
    Dalam ucapan itu juga, Najib berkata, BN kini berada dalam keadaan yang cukup baik bagi berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya kecil tersebut.
    ''Oleh itu kita jangan fikir hal lain sebab PKR sekarang dalam keadaan 'libang-libu' (kelam-kabut), sebab kita sudah tahu semua rahsia PKR. Semasa lawatan ke Washington dua ahli Parlimen Bebas iaitu Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ikut bersama-sama saya.
    ''Malam-malam selepas program rasmi, mereka datang ke bilik saya, dia buka segala-gala cerita. Sekarang ini saya sudah tahu segala-galanya. Jadi janganlah tembelang, janganlah tipu, kerana saya tahu semuanya," kata beliau.
    Najib berkata, berdasarkan apa yang diceritakan, beliau sudah mengetahui bagaimana Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang melakukan fitnah dan politik pembunuhan karakter ke atas beliau.
    ''Tetapi saya tidak mahu huraikan kerana biarlah saya tahu, dia tahu dan Allah tahu," katanya.
    /hwa-utusan.com.my

    ‘Anwar boneka Israel’

    UM - 22/04/2010
    Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
    mohdasron.mustapha@utusan.com.my
    HULU SELANGOR 21 April – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Noor berkata, beliau telah mengumpulkan segala bukti mengenai kaitan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin-pemimpin Yahudi.
    Beliau berkata, ‘dossier’ (maklumat) itu akan diserahkan kepada ahli-ahli Parlimen esok.
    Dakwanya, antara dokumen tersebut ialah surat bertarikh 1 Oktober 2006 yang ditulis oleh Anwar selaku Pengerusi Foundation for the Future kepada Kaunselor Bank Dunia, Robin Cleveland bagi memohon agar teman wanita bekas Presiden Bank Dunia, Paul D. Wolfowitz, iaitu Shaha Ali Riza, dipinjamkan ke yayasan tersebut.
    Beliau berkata, surat itu membuktikan Anwar sanggup menjadi boneka kepada Israel demi menutup skandal Wolfowitz walaupun umum mengetahui bekas Presiden Bank Dunia itu merupakan bangsa Yahudi yang bertanggungjawab menjadi arkitek perang Iraq sehingga membunuh ratusan ribu umat Islam di negara tersebut.
    ‘‘Anwar duduk di Foundation for the Future untuk kepentingan Israel dan Yahudi. Saya cabar Anwar untuk jawab ini,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Kubu Bahru dekat sini.
    Ezam mengulas mengenai tindakan pembangkang yang menyerang gagasan 1Malaysia secara konsisten, pada sesi ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dengan mendakwa gagasan itu kononnya ditiru daripada konsep One Israel walaupun Apco telah berulang kali menafikan mereka terbabit dalam merangka gagasan dan konsep itu.
    Ditanya mengenai kesediaannya untuk menjadi saksi terhadap semua dakwaan itu, Ezam menjelaskan, beliau sedia untuk berbuat demikian.
    ‘‘Saya sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana mahkamah dan juga Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi menyiasat kenyataan Anwar berhubung gagasan 1Malaysia dan Apco,” katanya.
    Ezam turut menyelar sikap hipokrit Anwar yang menuduh kononnya kerajaan bekerjasama dengan Israel, sedangkan pada masa sama beliau pernah menggunakan khidmat syarikat pelobi yang ditunjangi warga Yahudi semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu.
    Beliau berkata, Anwar berselindung di sebalik nama kerajaan bagi menjalinkan kerjasama dengan syarikat pelobi iaitu Pusat Polisi Asia Pasifik (APPC), sekitar awal tahun 90-an bagi meningkatkan imejnya di mata dunia sama seperti yang dilakukan oleh syarikat perunding antarabangsa Apco terhadap kerajaan sekarang.
    ‘‘Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu beliau sendiri bersekongkol dengan APPC yang diketahui diterajui oleh bangsa Yahudi dan sejumlah besar peruntukan digunakan bagi tujuan tersebut khususnya bagi meningkatkan imejnya.
    ‘‘Tetapi garis sempadannya, kerjasama dengan Apco menguntungkan kerajaan dan hasilnya telah dapat dilihat terutamanya dalam meningkatkan keyakinan pelabur luar berbanding semasa era beliau dahulu,” katanya.
    /hwa-utusan.com.my

    Anwar Kian Terdesak

    BH - 22/04/2010
    Rakan di Amerika mula sedar Penasihat PKR talam dua muka
    BUKIT BERUNTUNG: Datuk Seri Najib Razak berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam terdesak apabila rakannya di Amerika Syarikat (AS) mula sedar beliau adalah pemimpin talam dua muka.
    Perdana Menteri berkata, kenyataan Anwar berhubung isu Apco menyedarkan mereka yang Anwar tidak berpegang kepada prinsip, sebaliknya hanya mengutamakan keuntungan politik. "Dia (Anwar) ini suka perlekeh AS maka dia ditempelak balik sebab kawan-kawan dia lihat dia pemimpin talam dua muka. Kerana selama ini banyak pemimpin AS, termasuk yang keturunan Yahudi menjadi kawan baik dia.
    "Tetapi sekarang ini dia bawa balik cerita Apco ada kaitan Yahudi. Jadi mereka kata, apa pula nak jadikan ini isu, ini tidak benar sama sekali, maka dia (Anwar) sudah rugi di AS.
    "Kenapa? Boleh jadi nak sangat menang di Hulu Selangor. Kerana nak menang, dia cakap apa yang orang sini boleh terima untuk dapat keuntungan politik walaupun rugi di sana (AS). Ini jelas terbukti sekali lagi mainan politiknya. Bukan soal prinsip," katanya ketika berucap pada majlis menyampaikan amanat dan makan malam di Pusat Arahan BN di Bukit Sentosa di sini, malam tadi.
    Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan calon BN, P Kamalanathan.Kira-kira 1,000 petugas jentera kempen BN menghadiri majlis itu.Terdahulu, Najib berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini `libang libu' atau gelabah kerana beliau sudah mengetahui semua rahsianya.
    "Dalam lawatan ke Washington, ada dua wakil rakyat Bebas ikut saya, iaitu Zulkifli Noordin dan Datuk (Seri) Zahrain Mohamed Hashim. Malam-malam ketika rehat mereka jumpa saya dalam bilik buka cerita.
    "Sekarang ini saya sudah tahu segala-gala cerita, saya sudah tahu. Jadi janganlah temberang, janganlah tipu, saya tahu semua sekarang.
    "Saya tahu bagaimana fitnah dirancang, macam mana pembunuhan karakter dilakukan kerana orang ini panglima PKR dulu," katanya.
    Sementara itu kata Najib, beliau melantik Noh untuk memastikan setiap janji dan masalah rakyat di Parlimen Hulu Selangor akan ditunaikan oleh kerajaan BN.
    "Maka saya memberi jaminan kita sebagai ketua kerajaan (Persekutuan) bahawa kita tetap akan melaksanakan semua janji di Hulu Selangor," katanya.
    Najib berkata, pilihan raya kecil Hulu Selangor bukan hanya untuk memilih seorang Ahli Parlimen, tetapi satu pungutan suara rakyat terhadap hala tuju negara.
    Sementara itu, ketika berucap di Bilik Gerakan MCA di Kuala Kubu Bharu, Najib mahu semua parti komponen BN berganding tangan dan berusaha keras bagi memastikan rakyat menyokong calon BN.
    “Pilihan raya kecil ini adalah ujian penting kerana saya mahu melihat reaksi rakyat terhadap kepemimpinan saya, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan saya... mahu melihat sama ada rakyat menerima semua dasar itu atau tidak,” katanya. "Bukan itu saja, malah pilihan raya kecil ini juga adalah ujian penting kepada MCA..., walaupun calon yang bertanding bukan dari MCA tetapi mahu melihat sama ada masyarakat Cina menyokong barisan kepemimpinan baru parti itu,” katanya.
    Sementara itu, Najib berkata pengundi perlu menolak calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim kerana beliau adalah calon 'reject' serta tidak mampu untuk berkhidmat kepada rakyat.Beliau berkata, pengundi di Hulu Selangor perlu memberi kemenangan kepada calon BN, P Kamalanathan, kerana yakin ia mampu menjadi wakil rakyat yang baik dan berkhidmat dengan baik.
    "Kita sudah kenal dia (Zaid) sebab kita satu kumpulan, satu kerajaan dulu, dah kenal luar dan dalam kenal tidak usahlah kita sebut, kita tolak dia.
    "Memang barang 'reject' dia keluar BN dan masuk parti pembangkang, tidak mengapalah kita kekalkan dia sebagai 'reject'," katanya ketika berucap di Bilik Gerakan BN Hulu Bernam di sini, malam tadi.
    /hwa-bharian.com.my

    20 April 2010

    PM Akan Berkempen Di Hulu Selangor

    BERNAMA - 20/04/2010
    HULU SELANGOR, 19 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan turun berkempen bersama jentera pilihan raya kecil Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor pada Rabu malam.
    Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN akan melawat pusat markas BN Bukit Sentosa sebelum bergerak ke pusat pilihan raya utama BN di Kuala Kubu Baru, Hulu Bernam dan Batang Kali.
    "Pada majlis yang pertama, Perdana Menteri akan bertemu calon BN P.Kamalanathan sebelum melawat tiga lagi dewan undangan negeri.
    Ahmad Maslan berkata Perdana Menteri, yang kini sedang dalam rangka lawatan empat hari ke Jepun sejak Ahad, kebiasaannya tidak berkempen dalam pilihan raya kecil tetapi berbuat demikian kerana beliau merupakan Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor.
    "Jadual Perdana Menteri akan disediakan dari semasa ke semasa. Ada juga kemungkinan beliau melawat kawasan ini sekali lagi pada Jumaat atau Sabtu," katanya kepada pemberita di markas BN di Bukit Sentosa di sini Isnin.
    Menyentuh perkara lain, Ahmad Maslan berkata BN mendapat tiga bonus selepas masuk hari ketiga berkempen.
    "Satunya Dr Halili Rahmat (Bendahari PKR Hulu Selangor) keluar PKR, keduanya, V.S Chandran (calon Bebas) menarik diri daripada bertanding manakala ketiganya BN mendapat sokongan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM)," katanya.
    Katanya BN mendapat momentum dalam pilihan raya kecil ini dan lebih ramai pemimpin pembangkang dijangka meninggalkan barisan pembangkang untuk menyertai BN.
    "Calon kita juga bekerja dengan baik. Beliau semakin rapat dengan para pengundi dan maklum balas yang kita terima amat baik," kata Ahmad Maslan.
    Sidang akhbar itu juga turut dihadiri pemegang jawatan dalam Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), satu serpihan daripada parti PAS yang ditubuhkan pada 1995, bagi mengisytiharkan sokongan mereka kepada BN dan Najib.
    Presidennya Zakaria Salleh memberitahu pemberita bahawa AKIM akan mengambil tindakan terahadap setiausahanya Mohd Adnan Ibrahim, abang kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil itu Datuk Zaid Ibrahim, kerana keluar barisan dan menyokong calon pembangkang.
    "Kami berpendapat bahawa PKR dan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Beliau hanya berminat untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau tidak berminat untuk membela kepentingan orang Melayu di negara ini.
    "Kami mempunyai 18,000 ahli di seluruh negara. Kami akan mengambil tindakan terhadap lapan daripada 23 anggota jawatankuasa pusat kerana memilih untuk membantu PKR. Ini bukan pendirian AKIM," katanya.
    Katanya AKIM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara ini kerana berpendapat mereka yang membantu pembangkang akan menyedari kesilapan mereka dan kembali ke dalam BN.
    "Kami juga meminta anggota kami yang membantu PKR dalam pilihan raya kecil ini supaya segera berhenti berbuat demikian dan letak jawatan mereka dengan segera," katanya.
    /hwa-bernama.com.my

    Dua pemimpin Wanita PKR Perak keluar parti, sertai UMNO

    UM - 20/04/2010 2:10pm
    HULU SELANGOR 20 April – Moral Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus tercalar apabila dua pemimpin Wanita Perak mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO berkuat kuasa serta-merta.
    Mereka ialah Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Soraya Sulaiman dan Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai, Roshanita Mohd. Basir.
    Kedua-dua mereka menjelaskan tindakan itu didorong oleh rasa tidak puas dengan kepincangan pentadbiran parti selain tidak dapat menerima kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menentukan hala tuju parti secara bersendirian.
    Turut keluar parti ialah suami Roshanita, Saghazali Abdul Kadir.
    /hwa-utusan.com.my

    Jangan hina dewan - Sultan Perak

    UM - 20/04/2010
    Oleh HAMIMAH HAMID

    utusanperak@utusan.com.my
    KUALA KANGSAR 19 April - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengingatkan semua wakil rakyat di negeri ini supaya tidak menghina dan mencemari Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan perbuatan yang memalukan.
    Baginda bertitah, sebagai institusi perundangan negara, adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang menjejaskan martabat Dewan.
    Sebaliknya titah baginda, wakil rakyat yang dipilih sebagai penggubal undang-undang seharusnya beradab dan beretika semasa berada di dalam Dewan sejajar dengan panggilan 'Yang Berhormat.'
    "Ahli kepada Dewan-Dewan tersebut dirujuk sebagai Yang Berhormat. Amatlah memalukan jika prosiding Dewan-Dewan berkenaan berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat.
    "Adalah satu penghinaan kepada Dewan-Dewan tersebut jika ahli-ahlinya membawa kertas bertulis kata-kata yang merendah dan menghina antara satu sama lain.
    "Untuk itu, perilaku ahli kepada Dewan-Dewan tersebut hendaklah menghormati kemuliaan Dewan-Dewan berkenaan dan mencerminkan sifat seorang yang telah diberi pengiktirafan dengan panggilan Yang Berhormat," titah baginda.
    Sultan Perak bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Ke-82 di sini hari ini.
    Dalam pada itu, titah baginda, semua rakyat perlu mempunyai jati diri dan kesetiaan untuk mempertahankan maruah negara tanpa membenarkan campur tangan pihak luar.
    Baginda bertitah, perasaan kekitaan yang ekstrem dan melampau hanya akan menyebabkan seseorang bertindak mengikut emosi sehingga hilang pemikiran rasional.
    "Lebih membahayakan kegiatan menghina negara sendiri dilakukan tanpa segan silu di forum-forum antarabangsa seolah-olah menjemput campur tangan pihak luar dalam urusan negara sendiri.
    "Warga yang mempunyai jati diri dan kesetiaan kepada negara bangsanya hendaklah mempunyai kekuatan pendirian untuk mempertahankan maruah negara tanpa sama sekali membenarkan campur tangan pihak luar," titah baginda.
    Sultan Azlan Shah juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mencabar tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjadi teras kewujudan Perlembagaan Negara.
    Titah baginda, ketujuh-tujuh wasiat tersebut yang berteraskan Melayu telah diamanahkan oleh sembilan raja-raja Melayu ketika memberi perkenan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
    Sehubungan itu titah baginda, Perlembagaan Persekutuan yang digubal dengan memaktubkan fasal tertentu memerlukan keizinan dan perkenan Majlis Raja-Raja sebelum ia dikuatkuasakan.
    Formula itu yang selama ini menjadi gagasan menjamin kestabilan negara, titah baginda, jangan sama sekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan .
    "Perbuatan demikian dikhuatiri akan menjemput kepada risiko besar yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan antara agama.
    ''Kegiatan dan usaha untuk mendapat pengaruh politik perlu ada etika dan batasan," titah baginda.
    /hwa-utusan.com.my

    Zambry ajak pembangkang berdamai

    UM - 20/04/2010
    KUALA KANGSAR 19 April - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sekali lagi menawarkan salam perdamaian kepada wakil rakyat pembangkang seperti yang dilakukannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 30 Mac lalu.
    Beliau menyeru wakil rakyat terlibat agar tidak keterlaluan menimbulkan sengketa yang boleh membawa padah kepada kesejahteraan hidup rakyat.
    Ujarnya, politik permusuhan dan kebencian yang tidak berkesudahan serta tidak membawa sebarang kebaikan perlu dikendurkan.
    "Apa yang saya harapkan melalui tiupan wisel damai ini adalah supaya wujud suasana harmonis dan kondusif di negeri ini demi kesejahteraan hidup rakyat.
    "Dalam keadaan apa sekalipun, kepentingan rakyat tidak harus dikorbankan gara-gara persengketaan politik bagi memenuhi cita-cita pihak tertentu," katanya.
    Beliau berkata demikian pada istiadat mengadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Sultan Perak di sini hari ini.
    Menurut Zambry, walaupun suasana sosiopolitik di negeri Perak seolah-olah rencam akibat ancaman politik pihak tertentu, namun beliau berikrar untuk meneruskan agenda pembangunan rakyat dan negeri itu.
    Malah katanya, dakyah pembangkang tidak mematahkan semangat beliau sebaliknya berusaha merancakkan pembangunan negeri.
    "Walaupun kesan kemelesetan ekonomi global turut menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke Perak pada tahun lalu, atas daya usaha kerajaan, kira-kira RM11.6 bilion pelaburan dari luar negara dan juga domestik telah dapat dilihat bermula tahun ini," katanya.
    /hwa-utusan.com.my

    Pilih BN demi kepentingan masa depan

    UM - 20/04/2010
    HULU SELANGOR 19 April - Keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor tidak akan mengubah landskap politik negara tetapi ia penting untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia mempunyai kestabilan politik untuk kemasukan pelabur asing.
    Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengingatkan pengundi supaya mengutamakan kepentingan negara kerana kemenangan pakatan pembangkang akan memberi isyarat yang salah berhubung prestasi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
    "Saya datang ke sini atas kapasiti Ahli Parlimen Bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti, namun selepas mengambil kira kepentingan negara saya merasakan BN perlu diberi sokongan di Hulu Selangor.
    "Menang kalah sebenarnya tidak akan menjejaskan parti politik yang bertanding, tetapi kalau pakatan pembangkang menang, ia akan memberi mesej yang salah mengenai kestabilan politik sehingga pelabur asing tidak berminat untuk menanam modal," katanya sewaktu berceramah di Batang Kali malam tadi.
    Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) berkata yang lebih bahaya adalah kekalahan BN akan dijadikan modal untuk pembangkang membuat dakwaan bahawa rakyat menolak dasar afirmatif kerajaan yang melindungi hak bumiputera.
    Katanya, ia juga akan berlarutan sehingga dasar afirmatif itu dikatakan sebagai punca merosotnya pelaburan asing di negara ini.
    "Sedangkan yang paling utama adalah kestabilan politik. Apabila politik stabil buatlah apa jua dasar, pelabur asing tetap datang.
    "Menjadi punca masalah sekarang adalah sikap pembangkang sendiri yang sentiasa mencerca negara sehingga pelabur asing dapat gambaran salah," katanya.
    Mengenai calon yang bertanding, Ibrahim berkata, P. Kamalanathan lebih layak dipilih walaupun beliau sebenarnya lebih lama mengenali calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.
    "Saya tengok calon juga, mana ada dalam pemimpin DAP atau pemimpin Majlis Peguam yang tergamak membawa hudud ke mahkamah, walaupun tidak bersetuju mereka menghormati Islam.
    "Zaid pula walaupun Islam, dia ke mahkamah untuk melawan hudud, sayapun tidak pelik dengan Pas yang dapat terima Zaid kerana parti itu pernah menyamakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai khalifah, inilah wajah sebenar Pas yang sanggup mempertaruhkan Islam demi politiknya," katanya.
    /hwa-utusan.com.my

    'Kami kecewa dengan PKR'

    UM - 20/04/2010
    HULU SELANGOR 19 April - Masyarakat Orang Asli di Kampung Serigala di sini menyatakan kekecewaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak pernah membela apatah lagi membawa perubahan di tempat tinggal mereka.
    Tok Batin masyarakat Orang Asli Kampung Serigala, Hussein Awa, 49, berkata, kekecewaan itu dinyatakan sendiri oleh penduduk-penduduk kampung setiap kali berjumpa dengannya.
    "Kami memang kecewa dengan PKR. Sejak mengambil alih Hulu Selangor, kebajikan kami tidak terbela, tidak pernah wakil rakyat di sini turun padang menemui kami," katanya.
    Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Program Ramah Mesra 1Malaysia bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Serigala, Sungai Selisik Hulu Bernam di sini hari ini.
    Program itu dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
    Hussien berkata, terdapat beberapa isu yang tidak diberi perhatian oleh pihak berkenaan iaitu tanah, kebajikan dan perubahan taraf hidup mereka di sana.
    "Ini isu kritikal. Saya sendiri ada beberapa ekar tanah kebun belum digazet. Masalah tanah yang berlaku di sini menyebabkan masyarakat Orang Asli merasa tertekan.
    "Kami duduk di sini lama, sejak masa darurat lagi. Ini tanah Orang Asli, kami pribumi," katanya.
    Bagaimanapun, katanya, mereka bersyukur dengan bantuan kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang membantu membangunkan kampung itu seperti menurap jalan, membina dewan serbaguna dan mengadakan projek ekonomi tambahan.
    "Jadi pada pilihan raya kecil pada 25 April ini kami berharap Barisan Nasional (BN) akan merampas kembali Hulu Selangor dan membela kebajikan dan taraf hidup kami di sini.
    "Kami masyarakat Orang Asli di sini yakin hanya BN mampu berbuat demikian. Daripada zaman nenek moyang kami, undi kami tidak pernah berubah iaitu hanya untuk BN," katanya.
    /hwa-utusan.com.my

    Saya rela mati – Nalla

    UM - 20/04/2010
    Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
    rafie.azimi@utusan.com.my
    HULU SELANGOR 19 April - "Saya rela mati daripada membiarkan Anwar Ibrahim menghancurkan negara."
    Demikian ikrar yang dilafazkan oleh bekas rakan karib ketua pembangkang berkenaan, Datuk S. Nallakaruppan selepas membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh diterimanya semalam.
    Menurutnya, beliau menerima ugutan memintanya berhenti bercakap tentang ketua pembangkang itu setelah selesai memberi ceramah politik di Ulu Bernam semalam.
    "Sebaik sahaja memberi ceramah kira-kira pukul 5.30 petang, saya minum di sebuah restoran bersama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin.
    "Ketika itu saya menerima pesanan melalui peti simpanan suara yang memberi amaran agar berhenti bercakap tentang Anwar atau saya akan ditembak.
    "Rakaman suara kira-kira seminit itu datangnya daripada lelaki yang bercakap dalam bahasa Tamil. Dia turut mendakwa telah menerima wang daripada seseorang untuk membunuh saya jika terus bercakap tentang Anwar," katanya.
    Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di sini hari ini.
    Ini bukan kali pertama beliau menerima ugutan sedemikian.
    Sebelum ini, Nallakaruppan pernah diugut melalui 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memintanya keluar dari Permatang Pauh pada pilihan raya kecil Parlimen itu dua tahun lalu.
    Nallakaruppan yang berang dengan ugutan berkenaan berkata, beliau mungkin diugut kerana mendakwa Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali sebagai dayus setelah Azmin mengatakan beliau gila kerana membuat kenyataan Anwar mahu memerdekakan Sarawak jika memenangi pilihan raya umum nanti.
    "Apabila saya cakap demikian, terus datang satu ugutan. Saya hendak beritahu Anwar dan Azmin agar bersikap lebih gentleman.
    "Kalau mahu cakap apa-apa terus datang berdepan dengan saya dan jangan guna permainan ini. Lagipun, dia sudah heret saya ke mahkamah sebelum ini, tunggu sahajalah.
    "Saya tidak takut. Kalau mati pun, matilah. Saya tidak rela Anwar hancurkan negara ini dan beritahu Anwar, saya cuma akan berhenti apabila dia juga berhenti berceramah," katanya.
    Sementara itu, Nallakaruppan menganggap tindakan bekas doktor peribadi Anwar, Datuk Dr. Halili Rahmat keluar parti disebabkan beliau telah kenal siapa Anwar sebenarnya.
    "Sepatutnya, Halili sudah lakukan itu lama dahulu. Saya sendiri rasa telah membazir masa selama 30 tahun berkawan dengannya (Anwar)," katanya.
    /hwa-utusan.com.my

    Bukti Anwar makin hilang sokongan

    UM - 20/04/2010
    MELAKA 19 April - Sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin merosot apabila ramai ahli dan pemimpin parti itu bertindak meninggalkan parti tersebut sejak kebelakangan ini.
    Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (gambar) berkata, mereka bertindak demikian selepas merasakan perjuangan Anwar dalam PKR semata-mata hanya untuk kepentingan individu.
    Menurutnya, niat sebenar Anwar itu terbukti selepas memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
    "Ramai ahli PKR termasuk dari kalangan anak watan Hulu Selangor mahu menjadi calon tetapi mereka ditolak mentah- mentah oleh Anwar.
    "Selain kecewa dengan pemilihan Zaid itu, mereka juga tidak nampak bekas Ahli Parlimen Kota Bharu tersebut sebagai pilihan yang baik untuk mewakili pakatan pembangkang di Hulu Selangor," katanya.
    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pemantapan Kepimpinan anjuran kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Insan di sini hari ini.
    Semalam Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Shah Alam, Nor'isham Manap dan timbalannya, Muhammad Ali Mukhtar dan lima anggota AMK Selangor mengumumkan keluar daripada PKR.
    Hari ini pula, Datuk Dr. Halili Rahmat yang merupakan salah seorang pemimpin dan juga bekas doktor peribadi Anwar Ibrahim mengisytiharkan keluar PKR dan menyertai UMNO.
    Dr. Halili, 58, yang turut bersama-sama Anwar mengasaskan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada tahun 1999 mengambil keputusan itu selepas beliau mendapati PKR bukan lagi sebuah parti politik berasaskan perjuangan.
    Mohd. Ali turut menafikan dakwaan Anwar kononnya senario yang melanda PKR itu disebabkan oleh tindakan provokasi daripada UMNO.
    ''Anwar kata banyak pemimpin dan ahli PKR keluar parti sebab UMNO jolok, tetapi kita tidak campur hal ehwal pembangkang.
    ''Kalau kita ada suruh pun mereka keluar parti, mungkin seorang atau dua yang terpengaruh tetapi ramai yang meninggalkan PKR bukan seorang dua, bilangan mereka terlalu ramai," katanya.
    /hwa-utusan.com.my

    Dr. Halili keluar PKR sertai UMNO

    UM - 20/04/2010
    DR. Halili Rahmat (kiri) ketika membuat sidang akhbar mengenai pengisytiharannya keluar PKR dan masuk UMNO di Petaling Jaya, semalam. Di sebelahnya bekas Setiausaha Agung PKR, Salehuddin Hashim.

    PETALING JAYA 19 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila Datuk Dr. Halili Rahmat yang merupakan salah seorang pemimpin dan juga bekas doktor peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.
    Dr. Halili, 58, yang turut bersama-sama Anwar mengasaskan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada 1999, mengambil keputusan tersebut selepas mendapati PKR bukan lagi sebuah parti politik berasaskan perjuangan.
    Sebaliknya, beliau berkata, PKR lebih condong menjadi parti yang mementingkan kuasa daripada membawa kesejahteraan kepada rakyat walaupun telah diberi mandat untuk mentadbir beberapa negeri.
    "PKR juga telah dikuasai sekumpulan kecil pemimpin yang berfikiran sempit. Mereka memajukan ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia amnya.
    "Berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya lihat beliau ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan politik dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika membacakan kenyataan tiga muka surat pada sidang akhbar di sini hari ini.
    Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.
    Dr. Halili merupakan bekas Bendahari PKR Hulu Selangor dan pernah menjadi calon PKR pada dua pilihan raya umum iaitu pada tahun 1999 dan 2004.
    Pada 1999, beliau bertanding di Parlimen Hulu Selangor tetapi tewas kepada calon BN, Datuk G. Palanivel manakala pada 2004, beliau tewas kepada calon BN, Datuk Zainal Abidin Sakom bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.
    Selain aktif sebagai ahli politik, beliau juga merupakan seorang pakar bedah otak dan saraf.
    Beliau telah menjadi doktor peribadi Anwar sejak 1994 dan kini berkhidmat dengan tiga hospital swasta di ibu kota.
    Dr. Halili mengakui kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri membuatkannya mengambil keputusan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dengan memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan negara.
    Dalam pada itu, beliau sedar ada pihak yang bakal melemparkan pelbagai tuduhan antaranya kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.
    "Saya tidak pernah meminta atau menawarkan diri untuk dipilih menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil kali ini.
    "Walaupun pernah bertanding sebelum ini tetapi saya berasa amat berat untuk bertanding apabila memikirkan realiti masyarakat bawahan telah berubah.
    "Saya perlu membuat penjelasan ini kerana saya tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya dengan PKR masih sama," katanya.
    Mengenai dakwaan beliau dibeli oleh UMNO, Dr. Halili berkata, beliau seorang pakar bedah dan tidak harus timbul tuduhan seperti itu.
    Berkaitan pilihan raya kecil itu, beliau berkata, sebagai anak jati Hulu Selangor amat sukar baginya mempertahankan kredibiliti PKR memandangkan parti itu tidak melakukan apa-apa untuk kesejahteraan pengundi di kawasan tersebut sejak merampasnya daripada BN dua tahun lalu.
    "Saya faham Allahyarham wakil rakyat terdahulu uzur tetapi yang menghairankan mengapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat Allahyarham dalam memberi khidmat kepada pengundi Hulu Selangor?" katanya.
    Ujar beliau, PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti dijanjikan semasa tempoh berkempen.
    "Perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku dan saya telah diberitahu oleh penduduk kampung sama ada di Hulu Yam, Rasa, Kuala Kubu, Sungai Buaya dan Serendah bahawa mereka akan memastikan perkara ini tidak lagi berlaku.
    "Rakan-rakan dan saudara-mara saya juga faham bahawa perjuangan saya selama ini adalah untuk perubahan dan bukan untuk membela seseorang individu," ujarnya.
    Ditanya sama ada beliau akan membantu BN pada pilihan raya kecil tersebut, Dr. Halili berkata, beliau akan ke Australia untuk menyaksikan anaknya menerima ijazah sarjana undang-undang.
    "Jangan kata saya lari pula. Dua minggu lepas anak saya lulus ijazah sarjana undang-undang dan Khamis ini adalah hari konvokesyen di universitinya. Perancangan ini sudah lama," katanya.
    Sementara itu ketika berceramah di Sungai Buaya di Hulu Selangor, Dr. Halili berkata, beliau bukanlah seorang ahli politik tetapi seorang doktor.
    Sehubungan itu katanya, beliau tidak tahu untuk mengutuk atau mengata sesiapa selain hanya mahu menyebelahi pihak yang benar.
    Katanya, kejayaan negara di bawah kepimpinan Najib telah banyak memberi kesedaran kepadanya di pihak manakah beliau sepatutnya berada.
    /hwa-utusan.com.my