31 Mei 2010

Mahkamah terus diperlekeh, menteri jadi mangsa

UM - 31/05/2010

KOTA BHARU 30 Mei - Selepas menyifatkan hakim yang mengendalikan kes liwatnya sebagai bahalol, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menggunakan pentas politik untuk memperlekehkan institusi kehakiman negara ini.

Sambil mengulangi apa yang disebutnya pada malam kelmarin, Anwar dalam Ceramah Perdana Pakatan Rakyat di Padang Perdana di sini malam tadi, menuduh pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan maruahnya.

Beliau mendakwa Jamil Khir mengarahkan pihak pendakwaan tidak mengambil tindakan ketika permohonan qazaf dilakukan terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Syariah.

"Doktor periksa 'ekzos' tapi tidak ada apa, kita bagi tahu mahkamah tidak ada kesan apa pada 'ekzos' tetapi hakim kata 'ya betul tetapi mungkin ada yang lain', apa benda ini, ini semua kerja UMNO yang mahu terus mengaibkan saya dan keluarga saya," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggalkan majlis lebih awal tanpa sempat menyampaikan ceramah kerana kurang sihat.

Semalam, Anwar dilaporkan membuat kenyataan mengejutkan dengan menggambarkan hakim yang mendengar kes liwatnya sebagai 'bahalol' kerana meneruskan perbicaraan itu.

Beliau turut menyifatkan badan kehakiman negara sebagai 'rosak dan punah' serta masih gagal dipulihkan kerana diterajui oleh individu-individu yang tidak layak.

Sementara itu, Anwar terus berdolak dalik untuk mengemukakan bukti bahawa wakil-wakil rakyat yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini menerima ganjaran RM2 juta dan kontrak lumayan.

Katanya, bukti tersebut akan dikemukakan kepada khalayak sekiranya UMNO menafikan bahawa mereka membayar kepada wakil rakyat terbabit.

"Saya ada keterangan dan bukti, kita akan bagi pada masa yang sesuai. Saya nak tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kata bohong, kemudian saya akan bagi satu demi satu macam filem hindustan.

"Kalau saya kata ada, bermakna ada. Tetapi bukti itu tiada di rumah saya, tiada di pejabat saya, tiada dalam beg saya... tetapi ada," katanya.

/hwa-utusan.com.my

Murugesan mangsa terbaru Samy

UM - 31/05/2010

KUALA LUMPUR 30 Mei – S. Murugesan menjadi ‘mangsa’ terbaru Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu apabila dipecat serta-merta daripada jawatan setiausaha agung parti berkuatkuasa hari ini.

Pemecatan tersebut dibuat Samy dua hari setelah Murugesan secara terbuka mengkritik ketuanya itu yang didakwa menggunakan kuasa untuk memecat empat ahli MIC termasuk dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti baru-baru ini.

Murugesan menjadi individu kelima dalam tempoh 11 hari yang dipecat, bermula dengan pemecatan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan pada 20 Mei lalu diikuti Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam serta dua anggota CWC, K.P Samy dan G. Kumar Aamaan.

‘‘Saya melantik Ketua MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu ke jawatan Setiausaha Agung MIC bagi menggantikan Murugesan.

‘‘Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk V.S Mogan pula dilantik sebagai Ketua MIC Negeri Sembilan yang baru dengan dibantu A. Ganesan sebagai timbalannya,’’ kata Samy Vellu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Murugesan dalam tegurannya kelmarin mendakwa tindakan Samy Vellu menggunakan kuasanya bagi memecat sesiapa juga yang menentang beliau boleh menggoncang demokrasi dalam parti tersebut.

Menurut Murugesan, tindakan sedemikian adalah tidak wajar memandangkan kesemua mereka yang dipecat tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dan mengemukakan pandangan masing-masing.

Samy Vellu yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai pemecatan itu bagaimanapun enggan mengulas banyak.

‘‘Saya cuma membuat lantikan baru. Lebih dari itu saya tidak akan komen,’’ katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tindakan terbaru Samy Vellu memecat Murugesan hari ini agak menghairankan setelah beliau mengakui tidak berasa marah terhadap kritikan tersebut ketika berucap merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan semalam.

‘‘Tetapi saya harus katakan bahawa kamu telah melakukan kesilapan terbesar di dalam hidup kamu,’’ katanya kepada Murugesan yang turut hadir pada majlis itu.

/hwa-utusan.com.my

Waspada Jaringan Islam Liberal

BESUT 30 Mei – Umat Islam di negara ini diminta lebih berwaspada dengan gerakan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang boleh mengancam pendekatan sederhana yang diamalkan selama ini.

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin berkata, gerakan itu yang sudah bertapak dan berkembang di beberapa negara telah membawa banyak masalah kepada orang Islam.

‘‘Paling ketara pendekatan itu mewujudkan sifat ekstrem dan umat Islam pula bersikap sambil lewa terhadap pelaksanaan Islam sehingga ia menjadi satu cabaran besar kepada mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, pendekatan sederhana atau wasatiyyah yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dijelaskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu dialog dengan ulama sebelum ini.

‘‘Pendekatan wasatiyyah ini tidak ekstrem dan tidak juga terlalu longgar,” katanya.

Sebanyak lapan guru KAFA menerima anugerah kecemerlangan pada majlis itu yang dianjurkan oleh Persatuan Guru-guru KAFA Negeri Terengganu (Perkat) dan turut dihadiri oleh lebih 1,000 guru Kafa di negeri ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, pendekatan sederhana itu dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah diharap dapat membendung JIL dan mampu membawa kemajuan kepada umat Islam dan negara.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, komitmen guru-guru KAFA seharusnya dipuji kerana walaupun menerima elaun yang kecil, mereka masih terus menyumbangkan khidmat tanpa jemu.

/hwa-utusan.com.my

26 Mei 2010

2nd Malaysia Business Leadership Awards 2010

TAHNIAH! Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor di atas anugerah
Lifetime Achievement Award
daripada
Haji Wan Aziz bin Wan Idris
Tmbalan Pengerusi Tetap
UMNO Bahagian Besut.

Satu kebanggaan berterusan, Tahniah Tan Sri!

UMNO tidak pernah campuri urusan komponen BN 25/05/2010 7:00pm

BERNAMA - 25/05/2010 7:00pm

BANGI 25 Mei - UMNO sama sekali tidak pernah mencampuri sebarang urusan dalaman mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun di saat mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sambil melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap tuduhan bahawa UMNO melakukan pembunuhan politik untuk memecah-belahkan MIC, Shafie berkata tuduhan seumpama itu perlu diseiringkan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

"Sepanjang pengetahuan saya, sebagai salah seorang Naib Presiden parti dan antara pemegang jawatan tertinggi parti, tidak pernah sama sekali UMNO mencampuri urusan dalaman parti komponen lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sejarah telah membuktikan bahawa MCA pernah menghadapi masalah dalaman yang sangat serius tetapi kami tidak pernah mencampuri urusan mereka. Sudah tentu Umno akan mengambil berat kerana apa yang berlaku akan memberikan implikasi terhadap keseluruhan jentera BN,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan tambahan Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, S. Vell Paari kononnya UMNO telah melakukan pembunuhan politik terhadap MIC.

Menurut Shafie, sebarang perbalahan dalam parti komponen BN akan memberi kesan terhadap usaha memperkukuh dan memperkasakan BN.

Justeru, katanya, adalah wajar jika mana-mana pemimpin BN melahirkan hasrat untuk melihat proses penyelesaian berlangsung pada kadar segera.

"Dengan mengambil berat tidak bererti kami mencampuri urusan dalaman mereka malah kami tidak pernah berbincang mengenai sebarang perkara termasuk berkaitan hala tuju MIC, tetapi kami mahu tahu, bila MIC boleh diperkasakan semula atau bagaimana ia boleh diperkasakan semula.

"Kalau ada suara dari dalam parti itu sendiri, takkan kita (UMNO) pula yang dipersalahkan,” katanya. -

/hwa-utusan.com.my

Anak Presiden MIC biadab – TPM

UM - 26/05/2010

MUAR 25 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan anak Presiden MIC, S. Vell Paari menuduh UMNO melakukan ‘pembunuhan politik’ (political assassin) untuk memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut menegaskan, kepimpinan BN dan UMNO tidak terlibat dalam masalah MIC.

Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN meminta supaya UMNO tidak dikaitkan dengan masalah dalaman parti yang diterajui Datuk Seri S. Samy Vellu itu.

“Jangan kaitkan UMNO dalam soal itu. Ia satu perbuatan yang bagi saya bukan sahaja tidak adil tetapi biadab,” katanya selepas merasmikan majlis ramah mesra Menteri Pelajaran bersama warga pendidik di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengulas kenyataan Vell Paari semalam yang menuduh UMNO menggunakan ‘pembunuhan politik’ untuk memecahbelahkan parti komponen BN itu dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today.

Sambil merujuk desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) mendapat restu pemimpin tertinggi UMNO, Vell Paari yang juga Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menyelar UMNO kerana memulakan tindakan berbahaya.

Menurut Muhyiddin, tuduhan Vell Paari tidak adil lebih-lebih lagi ia dibuat kerana beliau mempunyai kepentingan sebagai anak kepada Presiden MIC.

“Dia bercakap kerana dia anak presiden, jadi jangan buat tuduhan melulu. Saya nak menafikan sekeras-kerasnya bahawa kita terlibat, kalau ada pun pihak-pihak yang membuat pengakuan, itu adalah pandangan mereka tapi kepimpinan BN dan UMNO tidak terlibat,” jelasnya.

Beliau berkata, pucuk kepimpinan BN dan UMNO sentiasa mengambil kira dan menjaga kepentingan semua parti komponen dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Kita tak mahu cari jalan yang lebih menimbulkan masalah, yang ada sudah cukup,’’ katanya dan menambah perbuatan menuding jari sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau menasihatkan Vell Paari supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dan pada masa sama, Samy Vellu perlu memberi nasihat kepada anaknya agar tidak mudah melakukan sesuatu perkara yang menyentuh perasaan pemimpin-pemimpin parti lain.

/hwa-utusan.com.my

Kesal UMNO dipersalahkan

UM - 26/05/2010

KUALA LUMPUR 25 Mei - UMNO tidak pernah mencampuri urusan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) walaupun ketika mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, UMNO tidak pernah berniat untuk berbuat demikian apatah lagi memecahbelahkan parti-parti komponen kerana ia akan memberi kesan terhadap kekuatan BN sendiri.

Beliau yang berasa amat kesal apabila UMNO dituduh menggunakan 'pembunuhan politik' (political assassin) untuk memecahbelahkan MIC mahu tuduhan itu disertakan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

"Saya kesal dan kecewa kerana adanya tuduhan seperti ini. Ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak seharusnya UMNO dipersalahkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan tambahan baru Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Mohd. Shafie diminta mengulas tuduhan S. Vell Paari iaitu anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk memecahbelahkan parti komponen BN itu dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today semalam.

Vell Paari yang merujuk kepada desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) mendapat restu daripada pemimpin tertinggi UMNO turut menyelar parti orang Melayu itu kerana memulakan satu tindakan berbahaya.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan menubuhkan GAS yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini selepas dipecat daripada parti itu berikutan desakannya supaya Samy Vellu segera berundur.

Mohd. Shafie berkata, kepimpinan UMNO tidak pernah berbincang atau bercakap mengenai sebarang usaha untuk masuk campur dalam masalah MIC.

"Apa yang kita ingin lihat ialah parti komponen BN diperkuatkan. Saya tidak tahu sehingga tahap ini kita dipersalahkan. Parti komponen lain juga ada masalah tetapi ini tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, MCA yang mengalami kemelut dalaman tidak menyalahkan UMNO atas perkara yang berlaku sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, masalah yang dihadapi MIC kini langsung tiada kena-mengena dengan UMNO.

"Takkan semua yang tak kena, UMNO yang menjadi dalang. MIC perlu selesaikan masalah sendiri tanpa perlu menuduh orang lain," katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, hairan dengan tindakan Vell Paari itu yang dilakukan tanpa usul periksa.

Sehubungan itu, Bung Mokhtar mahu anak Presiden MIC itu meminta maaf secara terbuka terutama kepada pemimpin-pemimpin UMNO.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menyifatkan Vell Paari sebagai seorang yang biadab dan tidak bermaruah.

''Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu kerana beliau memiliki 'benih kepimpinan' yang lebih matang dan berpandangan jauh, tetapi sayangnya Vell Paari telah menampilkan arus pemikiran yang terhad,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, Vell Paari tidak berhak membuat tuduhan sebegitu kerana UMNO tidak mempunyai masalah dengan MIC mahu pun komponen yang lain.

''Sepatutnya Vell Paari menasihati bapanya supaya segera meletakkan jawatan kerana kepimpinannya sudah ditolak oleh sebahagian besar masyarakat India,'' kata beliau.

/hwa-utusan.com.my

MIC kaji kedudukan dalam BN

UM - 26/05/2010


KUALA LUMPUR 25 Mei – Ketua Pemuda MIC, T. Mohan hari ini menegaskan, parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) pada Ahad ini.

Sambil menyifatkan tindakan penganjuran berkenaan tidak wajar memandangkan Datuk Seri S. Samy Vellu adalah Presiden MIC yang dipilih secara sah oleh perwakilan, beliau menggesa UMNO menjelaskan tujuan penyewaan sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari berkenaan.

Menurut Mohan, beliau curiga tempahan oleh UMNO itu dibuat bagi menganjurkan perhimpunan dan pelancaran GAS bagi mendesak pemimpin tersebut meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC lebih awal daripada perancangannya.

‘‘Apabila saya telefon PWTC pagi tadi, memang ada tempahan dewan dibuat oleh UMNO tanpa menyatakan siapa yang membuat tempahan serta untuk apa tempahan itu dilakukan.

‘‘Kami (Pemuda MIC) memang kecewa dengan perkembangan ini sekiranya ia dilakukan bagi menyokong sebuah pertubuhan haram, GAS,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di sini hari ini.

Mohan mengulas kenyataan bekas timbalannya, V. Mugilan yang dilaporkan akan membawa 7,000 ahli GAS pada majlis perhimpunan dan pelancaran pertubuhan itu di PWTC Ahad ini.

Selain Mugilan, dua ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP Samy turut dipecat daripada parti itu semalam kerana turut mendesak Samy Vellu berundur.

Berikutan desakan-desakan berkenaan, anak Samy Vellu, S. Vell Paari yang juga ahli CWC MIC dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today semalam mendakwa UMNO kini melakukan ‘pembunuhan politik’ terhadap ayahnya dengan turut terlibat dalam penubuhan GAS.

Dalam perkembangan sama, Mohan turut meminta polis supaya tidak mengeluarkan permit bagi membenarkan perhimpunan dan pelancaran GAS.

Katanya, perhimpunan pertubuhan tidak berdaftar itu berupaya memberi implikasi keselamatan kepada orang awam di sekeliling kawasan tersebut.

‘‘Jika mereka kata ada 7,000 ahli serta bekas ahli parti mendesak Datuk Seri (Samy) meletakkan jawatan, saya akan bawa 14,000 ahli Pemuda MIC yang menyokong beliau (Samy Vellu) tetapi mampukah polis jamin soal keselamatan di sekeliling?

‘‘Lagipun polis pernah membatalkan perhimpunan Hindraf pada 2008 lalu yang memperjuangkan nasib komuniti India sedangkan GAS hanya bercakap mengenai seorang individu (Samy Vellu) jadi saya harap tidak ada double standard dalam hal ini,” katanya.

/hwa-utusan.com.my

Penyokong Pas bukan Islam jangan terburu-buru buat tuntutan

BERNAMA - 26/05/2010 12:34pm

RANTAU PANJANG 26 Mei - Penyokong Pas bukan Islam diingatkan supaya tidak bersikap terburu-buru dalam membuat sebarang tuntutan terhadap parti itu walaupun mereka akan diberi hak bersuara apabila diterima menyertai gabungan atau sayap baru dalam parti itu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, walaupun pada prinsipnya anggota Pas bersetuju dengan kenyataan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menerima bukan Islam sebagai anggota parti, mereka harus lebih berhati-hati.

Menurutnya ini kerana perkara tersebut akan diperincikan oleh Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Agung parti bulan depan.

"Oleh itu, kita minta mereka (bukan Islam) jangan terburu-buru dalam membuat sebarang tuntutan sebelum ianya diperjelaskan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw, bahawa penyokong Pas bukan Islam mahu dipercepatkan kelayakan mengundi dalam parti.

Abdul Fatah juga menasihatkan anggota baru parti supaya memahami budaya Pas yang tidak mudah menerima sesuatu pandangan atas dasar mendesak.

/hwa-utusan.com.my

Pemuda UMNO Perak desak Vell Paari minta maaf

UM - 26/05/2010 12:52pm

IPOH 26 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO Perak hari ini mendesak anak Presiden MIC, S. Vell Paari meminta maaf secara terbuka kepada Presiden UMNO berikutan tuduhan liar yang dibuat terhadap parti itu.

Sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak `masuk akal', ketuanya, Maslin Sham Razman berkata, permohonan maaf perlu bagi menjamin perpaduan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Tegas beliau, Vell Paari tidak sepatutnya menuding jari kepada orang lain dengan masalah kepimpinan yang dihadapi MIC, sebaliknya membantu menyelesaikan kemelut tersebut dengan cara lebih bijak.

``Pemuda UMNO Perak kesal dengan kenyataan Vell Paari yang jelas tidak menghormati semangat perpaduan di kalangan parti komponen BN selama ini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

/hwa-utusan.com.my

24 Mei 2010

MCA kaji masyarakat Cina bandar kurang sokong BN

BH - 24/05/2010
Oleh Johan Afandi


Fokus utama sesi ‘retreat’ di Port Dickson bermula 18 Jun

JOHOR BAHRU: Kajian mengenai sikap masyarakat Cina bandar yang kurang memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, akan menjadi fokus utama dalam sesi ‘retreat’ MCA di Port Dickson, Negeri Sembilan bermula 18 Jun ini.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, sesi selama tiga hari itu, akan dihadiri semua ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MCA (CWC) termasuk Pemuda dan Wanita.

“Pada masa sama, semua wakil rakyat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Parlimen MCA juga akan menghadiri sesi berkenaan dan kita harap satu formula dapat dirumuskan bagi mencari sebab mengapa masyarakat Cina bandar kurang me-nyokong MCA.

“Kami mahu menghimpunkan satu rumusan konkrit bagi mencari jalan penyelesaian sebelum, ia dibawa ke Dewan Tertinggi BN untuk dibentangkan, ” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat MCA bahagian Johor Bahru di sini, semalam.

Wee yang juga Ketua MCA Bahagian Johor Bahru berkata, isu berkenaan turut dibincang dalam pertemuan khas pucuk pimpinan MCA dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, dalam pertemuan selama 80 minit itu, yang disertai Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, fokus utama perbincangan adalah mengenai cadangan MCA dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, bulan depan.

Beliau berkata, ia membabitkan pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, guna tenaga dan ia amat penting supaya pelaksanaan semua projek RMK-10 meliputi segenap lapisan rakyat.

Sementara itu, Wee berkata, beliau selaku Pengerusi Biro Pendidikan MCA akan mengumpulkan semua maklumat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Keputusan penerima biasiswa JPA sudah diumumkan Jumaat lalu, dan kita harap semua pelajar cemerlang memperolehnya tetapi mereka yang tidak mendapatnya perlu sedar bahawa jumlahnya amat terhad iaitu seramai 1,500 orang saja.

“Semua pihak terutama ibu bapa perlu sedar bahawa tidak semua pelajar yang mendapat semua A akan mendapat biasiswa ini, kerana dalam keputusan SPM 2009, lebih 7,000 pelajar mendapat semua A dalam subjek yang diambil,” katanya.
/hwa-bharian.com.my

Saya tidak akan bubar DUN - Azizan

UM - 24/05/2010

ALOR SETAR 23 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan tetap mempertahankan kerajaan negeri yang diketuainya meskipun dengan kelebihan majoriti satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan negeri yang dipimpinnya adalah kuat serta masih memiliki majoriti yang cukup dan tidak ada sebab untuknya bertindak membubarkan DUN.

"Saya tidak akan bubarkan DUN hingga ke peringkat tidak mampu lagi bertahan. Hanya orang gila saja yang hendak bubar. Saya belum gila lagi," katanya ketika berucap pada majlis penerangan isu keluar parti di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang termasuk empat ADUN yang disebut-sebut sebelum ini akan keluar parti sekali gus menumbangkan kerajaan negeri.

Empat ADUN tersebut ialah Lim Soo Nee (PKR-Kulim), Tan Show Kang (PKR-Sidam), S. Manikumar (PKR-Bukit Selambau) dan Lee Guan Aik (DAP-Kota Darul Aman).

Bagi menggambarkan keyakinannya bahawa kerajaan negeri tidak akan tumbang, Azizan berkata, beliau bersama beberapa Exco kerajaan negeri akan melakukan lawatan ke luar negara pada penghujung tahun ini dan tidak bimbang ia akan dijadikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) merampas kerajaan negeri.

Beliau juga memberi amaran kepada para pemimpin BN agar tidak bertindak keterlaluan dalam soal keluar parti atau berdepan dengan pendedahan mengenai kepincangan yang didakwa dilakukan semasa kerajaan BN dahulu.

"Jangan bagi Ustaz Azizan kembali ke perangai lama (dengan membuat pendedahan tindak tanduk pemimpin BN)," katanya.

Mengenai gesaan Soo Nee agar punca ADUN melompat disiasat, Azizan berkata, sehingga kini belum ada bedah siasat dilakukan tetapi kerajaan negeri akan meneliti cadangan itu.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Ahmad Kassim yang turut berucap pada majlis itu memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan mengenai ADUN parti itu bertindak keluar parti.

"Jika mereka buat dakwaan, nyatakan nama ADUN yang akan keluar parti supaya kita boleh saman mereka RM10 juta kerana membuat fitnah," katanya.

Menurutnya, sudah sampai masanya tindakan undang-undang diambil memandangkan isu itu semakin menjadi-jadi sehingga beliau bersama para pemimpin lain dihubungi tidak henti-henti sejak ia mula timbul.

/hwa-utusan.com.my

Henti salahkan orang lain - Soo Nee

UM - 24/05/2010

ALOR SETAR 23 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee meminta pemimpin pakatan pembangkang berhenti menuding jari menyalahkan pihak lain dalam isu lompat parti yang berlaku dalam parti pembangkang.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, tentu ada alasan munasabah yang menjadi punca perbuatan tersebut berlaku tetapi ia tidak pernah diakui oleh pemimpin tertinggi pakatan pembangkang.

Malah katanya, dalam isu terbaru berhubung spekulasi beberapa ADUN pakatan pembangkang akan meninggalkan parti bagi menjatuhkan kerajaan negeri juga sebenarnya dilakukan 'orang dalam' pakatan pembangkang sendiri.

"Tidak mengapa jika hanya seorang yang keluar tetapi kita bercakap mengenai ramai yang keluar parti selepas pilihan raya 2008. Tentu ada alasan yang munasabah.

"Sehingga hari ini, tidak ada bedah siasat dilakukan sama ada dari parti atau kerajaan negeri mengenai punca masalah ini berlaku.

"Mengapa tidak duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah. Jangan hanya duduk saja dan menyalahkan sana sini. Kalau masalah ini berlaku kerana kesalahan sendiri, kita mesti lakukan perubahan," katanya ketika berucap pada majlis penerangan isu keluar parti di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan 20 ADUN pakatan pembangkang.

Majlis itu sememangnya ditunggu-tunggu berikutan desas-desus yang bertiup kencang mengenai empat ADUN pakatan pembangkang negeri ini yang dikatakan akan keluar parti sekali gus menumbangkan kerajaan negeri.

Selain Soo Nee, tiga lagi ADUN yang dikaitkan dengan isu itu ialah Tan Show Kang (PKR-Sidam), S. Manikumar (PKR- Bukit Selambau) dan Lee Guan Aik (DAP- Kota Darul Aman).

Keempat-empat mereka hadir pada majlis tersebut dan menafikan dakwaan itu.

Soo Nee mengakui ada perkara yang beliau tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri dan memilih untuk bercakap mengenainya secara terbuka daripada menyimpannya di dalam hati.

"Mungkin ADUN lain tidak berani bercakap mengenai ini tetapi kadangkala kita rasa macam tidak dihargai," katanya.

Pada masa itu, kira-kira 2,000 orang yang hadir seakan terdiam mendengar ucapan ADUN Kulim itu.

Soo Nee turut menceritakan bagaimana dia dikejutkan dengan panggilan telefon oleh seorang yang mendakwa wartawan pada jam 1 pagi hanya untuk mengesahkan sama ada dia telah meninggalkan PKR.

"Ini gila, saya telah berkali-kali menjelaskannya tetapi wartawan itu terus bertanya," katanya.

Berikutan itu, keempat-empat ADUN itu meminta media agar bukan saja tidak lagi menanyakan perkara itu kepada mereka malah dia menegaskan tidak akan menjawab sebarang panggilan mengenainya.

"Jika ada media yang telefon dan tanya sama ada saya akan lompat, saya akan letak telefon," kata Show Kang yang menjadi orang pertama berucap pada majlis tersebut.

Pendapat Soo Nee turut disokong oleh Manikumar yang mengakui kadangkala terdapat perselisihan pendapat antara beliau dan kerajaan negeri.

"Bila saya ditanya sama ada saya akan lompat, saya kata jika ia berlaku, perkara berkenaan perlu dianalisis dengan teliti, ia mungkin masalah ADUN itu sendiri, masalah dengan pemimpin atau kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Guan Aik membidas media yang disifatkan sengaja mengembar-gemburkan isu lompat parti untuk dijadikan bahan berita.

/hwa-utusan.com.my

MB Selangor dinasihat bercuti

UM - 24/05/2010

SHAH ALAM 23 Mei - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta bercuti bagi menjamin siasatan kes penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang melibatkan adiknya, Hajiman Ibrahim dapat dijalankan dengan lebih telus.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, ia juga dapat mengelakkan sebarang kecurigaan yang Abdul Khalid akan mempengaruhi siasatan.

''GPMS Selangor gembira dengan sikap berani Abdul Khalid yang menggalakkan sesiapa sahaja membuat laporan polis demi menjaga harta negeri atau membanteras penyalahgunaan kuasa termasuk membuat siasatan terhadap adiknya, Hajiman.

''Tapi kita tidak mahu siasatan ini terganggu. Semua pihak termasuk Abdul Khalid diminta memberi ruang kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kes dakwaan kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam KSSB.

''Ruang yang sama juga perlu diberikan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat)," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, kata Mohd. Faizal, GPMS Selangor juga mengharapkan tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung kes tersebut dan semua pihak diminta menunggu hasil siasatan polis, SPRM dan Selcat.

Katanya, ini kerana GPMS Selangor yakin dengan kematangan dan kemampuan pihak polis, SPRM dan Selcat dalam melakukan siasatan.

''Mereka tidak memerlukan tekanan mana-mana pihak agar siasatan dijalankan dengan adil dan profesional kerana sebagai agensi penguat kuasa undang-undang, polis dan SPRM akan memastikan kedua-dua pihak iaitu pengadu selaku mangsa dan juga suspek mendapat keadilan," tegasnya.

Pada 12 Mei lalu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam KSSB.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 9 pagi.

Pada hari yang sama, Abdul Khalid turut mengumumkan akan merujuk kepada Selcat berhubung dakwaan penyelewengan itu agar satu pendengaran awam dapat dilakukan.

/hwa-utusan.com.my

23 Mei 2010

'Pecat Mugilan tidak adil'

MM - 23/05/2010
PUTRAJAYA 22 Mei - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kecewa dengan tindakan MIC memecat Timbalan Ketua Pemudanya, V.Mugilan Rabu lalu.
Beliau turut berasa hairan dengan tindakan parti itu kerana Mugilan dilihat sebagai anak muda yang berpotensi untuk menjadi pemimpin masyarakat India pada masa hadapan.
"Tindakan pemecatan adalah tidak adil kepada Mugilan yang banyak membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru baru ini, walaupun beliau tidak dipilih sebagai calon," katanya.
Beliau diminta mengulas kemelut yang melanda MIC selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Bunga Anggerik di Presint 8 di sini hari ini.
Semalam, Mugilan mendedahkan penyingkiran beliau daripada parti itu disebabkan desakannya supaya Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden MIC dengan segera.
Katanya, berdasarkan surat pemecatan yang diterima, ia tiada kena mengena dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau melakukan sabotaj pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Tengku Adnan menafikan dakwaan Mugilan melakukan sabotaj ke atas BN tetapi beliau sebenarnya telah bersama-sama dengan Samy Vellu dan Timbalan Presiden MIC, Senator Datuk G. Palanivel berkempen untuk calon BN, P. Kamalanathan.
"Kita akan cari punca pemecatan itu dilakukan, dakwaan bahawa Mugilan tidak menyokong calon BN adalah salah.
"Saya sendiri tahu Mugilan banyak membantu kemenangan BN di Hulu Selangor," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan pemecatan tersebut hanya akan mengeruhkan lagi masalah dalaman MIC.
"MIC perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti dan tidak perlu mengambil tindakan pemecatan hanya kerana terasa hati," katanya.
/hwa-utusan.com.my

20 Mei 2010

Guan Eng patut hulur bantuan, bukan cari salah - Azhar

UM - 20/05/2010

PULAU PINANG 19 Mei - Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim membidas sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana menyalahkan badan tersebut berikutan banjir kilat yang berlaku di sebuah taman perumahan di Balik Pulau semalam.

Menurut Azhar, Guan Eng sepatutnya menghulurkan bantuan kepada penduduk terlibat dan bukannya menuduh pihak lain sebagai punca berlaku bencana tersebut.

Beliau menambah, arahan kerajaan negeri supaya Perda menghentikan projek berdekatan taman berkenaan sehingga sistem perparitan diperbaiki hanya akan merencatkan pembinaan rumah untuk rakyat termiskin.

"Bila dihentikan kerja pembinaan 216 buah kediaman kos rendah ini, bermakna ia menyusahkan rakyat untuk memiliki rumah mengikut jadual. Ini menunjukkan dia (Guan Eng) tidak prihatin dengan golongan miskin khususnya orang Melayu, ini kerajaan zalim yang menindas rakyat.

"Sepatutnya dia membantu rakyat dan memudahkan kerja-kerja Perda, sekarang ini dia menyusahkan rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Guan Eng bahawa projek perumahan Perda yang sedang dalam pembinaan berdekatan Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang menjadi punca berlaku banjir kilat di kawasan perumahan itu semalam.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengeluarkan arahan supaya Perda memberhentikan kerja-kerja berkenaan sehingga sistem perparitan dibaiki.

MPPP mendakwa saiz sistem perparitan tersebut telah ditukar kepada yang lebih kecil oleh Perda.

Azhar menafikan sistem perparitan di tapak projek berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, banjir tersebut berlaku disebabkan projek milik Perda belum siap sepenuhnya.

"Taman ini terletak bersebelahan projek Perda yang masih dalam pembinaan, parit pun belum sempurna dan banyak sisa binaan serta sampah sarap.

"Kebetulan pula hujan lebat luar biasa, tidak mustahil boleh berlaku banjir," tegasnya.

Jelasnya, buat masa ini Perda masih meneruskan kerja-kerja pembinaan kerana belum menerima sebarang notis bertulis daripada MPPP.

/hwa-utusan.com.my

DAP biadab di Sibu - SPR

UM - 20/05/2010

PUTRAJAYA 19 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui pihaknya menempuh satu 'pengalaman baru' semasa mengendalikan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu baru-baru ini apabila terpaksa berdepan dengan sikap biadab dan angkuh parti DAP.

Menyifatkan perilaku seumpama itu tidak pernah berlaku dalam siri pilihan raya di negara ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan, susulan itu SPR akan mengadakan mesyuarat bedah siasat membincangkan insiden tersebut minggu depan.

Kata beliau, fokus utama mesyuarat adalah untuk memperkenalkan satu peraturan baru tanpa melibatkan peruntukan undang-undang dalam usaha menambahbaik aspek pengurusan pilihan raya terutama melibatkan kawalan situasi sebelum keputusan pengundian diumumkan.

''Di Sibu tempoh hari, insiden berlaku di Bilik Gerakan Pegawai Pengurus di Pejabat Daerah Sibu apabila urusan penyerahan undi pos diganggu oleh ejen-ejen parti DAP dan calon parti itu sendiri. Mereka menabur dakyah kononnya kita (SPR) lambat kira sedangkan gangguan dibuat oleh mereka (DAP) sendiri.

''Di Dewan Suarah Sibu (Pusat Penjumlahan Undi) pula pada 16 Mei itu, mereka (para penyokong DAP) meneriakkan 'boo' kepada para petugas SPR yang membawa masuk peti-peti undi, kemudian para penyokong dan pemimpin mereka sesuka hati pula menceroboh kawasan larangan dan mengadakan sidang akhbar.

''Kenapa pemimpin-pemimpin DAP yang ada dalam dewan itu tidak kawal para penyokong mereka. Ini kerenah DAP yang dahsyat dan amat biadab," katanya.

Beliau ditanya usaha-usaha SPR untuk menambahbaik urusan pengendalian pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Mandat kerajaan memerintah sekarang dijadualkan berakhir April 2013.

Wan Ahmad berkata, pemimpin dan para penyokong DAP semasa malam pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil Sibu bertindak di luar kawalan.

''Tidak seperti Barisan Nasional, apabila kami berdepan dengan DAP, mereka seolah-olah penuh dengan sikap prasangka dan tidak menghormati undang-undang.

''Apabila calon BN menang di Bagan Pinang dan Hulu Selangor sebelum ini, para pemimpinnya duduk dengan tertib dalam dewan sementara menanti pengumuman tetapi DAP ini seolah-olah mahu 'menguasai' dewan. Kami, petugas-petugas SPR bekerja sehari suntuk, janganlah bersikap kurang ajar dan seolah-olah hendak menunjuk ajar kami," katanya.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu 16 Mei lalu, calon BN, Robert Lau Hui Yew tewas kepada Wong Ho Leng dari DAP dengan majoriti 398 undi.

Ia menyaksikan BN gagal mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuatnya sejak 28 tahun lalu.

/hwa-utusan.com.my

Mugilan desak Samy berundur

UM - 20/05/2010

PETALING JAYA 19 Mei - Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini didesak meletakkan jawatan Presiden MIC sebelum akhir tahun ini kerana kepimpinannya sudah tidak diperlukan oleh kebanyakan masyarakat India.

Desakan tersebut dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, V. Mugilan yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada bulan lalu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor berkata, pengunduran Samy Vellu akan memberi peluang kepada pemimpin baru menerajui dan menstrukturkan semula parti itu sebelum menghadapi cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Zaman bagi orang lama seperti dia untuk menerajui parti yang mewakili kaum India sudah berlalu.

"Atas sebab itu dia harus berundur segera kerana dia kini menjadi beban kepada parti dan BN," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mugilan berkata, apa yang disuarakan olehnya hari ini adalah sekadar mahu mengingatkan kembali Samy Vellu tentang desakan sama yang pernah dilakukannya terhadap bekas Presiden MIC, Tun V. Sambanthan kira-kira 30 tahun lalu.

"Hari ini kami menggunakan modus operandi yang sama ketika Samy Vellu mendesak Tun Sambanthan meletak jawatan dahulu.

"Kini kami beranggapan dia tidak mampu memimpin lagi" katanya.

Katanya, sokongan pengundi India kepada BN pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor bulan lalu bukan kerana Samy Vellu tetapi mereka menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kalau Samy Vellu tidak berkempen di Hulu Selangor, BN akan menang dengan majoriti yang lebih besar lagi," katanya.

Ditanya adakah beliau bimbang desakan itu akan menyebabkan beliau dipecat daripada parti, Mugilan berkata, jika itu berlaku, beliau akan menggelar bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu sebagai diktator.

/hwa-utusan.com.my

'Tiada yang boleh ubah fikiran saya'

BERNAMA - 20/05/2010

KUALA LUMPUR 19 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau berpegang dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan dalam tempoh "lapan atau sembilan bulan" sebelum penggalnya tamat Mei 2012.

"Tak ada apa-apa yang boleh mengubah fikiran saya. Saya akan berpegang dengan keputusan saya," katanya ketika ditanya mengenai gesaan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan agar beliau berundur dengan segera.

Sebaliknya sebagai balasan, Samy Vellu berkata, Mugilan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin MIC kerana melanggar kepentingan parti pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu.

"Sebenarnya beliau bertindak melulu dan mendahului keputusan parti untuk mengambil tindakan ke atasnya kerana melanggar kepentingan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Hulu Selangor.

"Mugilan merupakan salah seorang yang telah menentang BN dalam pilihan raya kecil selepas gagal dalam usaha untuk dipilih sebagai calon," kata Samy Vellu.

Beliau berkata, sebenarnya parti itu mahu mengambil tindakan ke atas Mugilan selepas Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor tetapi menangguhkan keputusan itu.

Samy Vellu berkata, Mugilan bertindak sebagai bahan jenaka untuk "sesetengah orang", dan menghalang Palanivel daripada bertanding semula bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil itu.

Pencalonan Mugilan bagi pilihan raya kecil itu dilaporkan disenangi pemimpin BN tetapi pencalonannya dibantah oleh MIC, yang membawa kepada BN memilih Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan yang akhirnya memenangi kerusi itu.

Samy Vellu berkata, keputusannnya untuk mengosongkan jawatan presiden lebih awal daripada Mei 2012 dibuat "atas kerelaan sendiri dan saya tidak didesak oleh oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan".

"Saya akan terus memastikan MIC bebas daripada orang yang ingin memusnahkannya. Kami tidak mahu mereka yang hanya semata-mata diperalatkan orang tertentu," katanya merujuk kepada Mugilan.

Samy Vellu berkata, masyarakat India mengetahui apa yang telah disumbangkannya untuk mereka dan menyerahkannya kepada mereka untuk menjadi hakim.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan Samy Vellu tidak perlu dipersoalkan dan mesti dihormati semua pihak.

"Presiden MIC itu telahpun membuat satu keputusan dan beliau telah memaklumkannya kepada kepimpinan BN. Semua orang perlu menghormati keputusannya untuk membenarkan beliau meneruskan rancangan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC berkata, dengan mempersoal keputusan Samy Vellu hanya akan menjejaskan kestabilan MIC dan mengganggu tumpuan ke atas isu yang lebih mendesak bagi masyarakat India.

Beliau berkata, Mugilan tidak sepatutnya meminta Samy Vellu untuk berundur dengan segera.

/hwa-utusan.com.my

19 Mei 2010

Malaysia negara ke-10 paling kompetitif di dunia

BERNAMA - 2010/05/19

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai negara ke-10 paling kompetitif di dunia daripada tempat ke-18 sebelum ini, iaitu adalah satu lonjakan yang luar biasa berikutan peningkatan signifikan di segi prestasi ekonomi disebabkan pelbagai faktor seperti kemasukan pelaburan berkualiti, dasar kerajaan yang pragmatik dan risiko kestabilan politik yang rendah.

Ketika memberi Malaysia markah yang tinggi dan menaikkan kedudukannya sebanyak lapan tingkat, Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) di dalam World Competitiveness Yearbook 2010, berkata faktor lain ialah pelaksanaan secara berkesan keputusan kerajaan, yang sebahagian besarnya kerana keupayaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemudikan ekonomi negara.

Turut dipuji ialah keupayaan dasar kerajaan untuk diubah suai mengikut perubahan ekonomi, katanya, yang jelas merujuk kepada pakej rangsangan sebanyak RM67 bilion yang dilancarkan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan bagi merangsang ekonomi dari kemelesetan global berikutan dari krisis kredit subprima AS.

Pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Najib yang mensasarkan untuk melakukan transformasi negara bagi melahirkan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang dapat mengekalkan dan menempatkannya pada landasan yang betul ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 turut menjadi ciri-ciri kukuh penyesuaian dasar kerajaan untuk melakukan perubahan pada ekonomi.

IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) itu adalah laporan tahunan paling terkemuka dan komprehensif mengenai daya saing negara-negara, kedudukannya dan analisis bagaimana persekitaran negara itu mewujudkan dan mengekalkan daya saing enterprisnya.

Daripada 10 kedudukan teratas itu, katanya, Australia berada pada kedudukan ke-lima, Taiwan (ke-lapan) dan Malaysia (ke-10) dan mendapat manfaat dari permintaan kukuh di Asia serta di dalam pelaksanaan dasar yang efisien.

Ketiga-tiga negara itu diletakkan pada kedudukan yang baik di segi keefisienan kerajaan," kata IMD.

IMD berkata, Malaysia juga diletakkan pada kedudukan tinggi kerana daya tahan ekonomi terhadap kitaran (menurun), ketelusan yang mencukupi di kalangan institusi kewangan serta birokrasi kerajaan yang tidak menjadi halangan kepada aktiviti perniagaan seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan pantas di dalam ekonomi sejak beberapa tahun lalu.

Selepas menerima kesan krisis ekonomi global, ekonominya telah pulih pada suku terakhir tahun lepas sebanyak 4.4 peratus dan lebih kukuh lagi pada kadar 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

Antara kekuatan Malaysia yang berada pada kedudukan di atas ialah kepelbagaian ekonomi dan kadar pertukarannya manakala imbangan akaun semasanya berada pada kedudukan ke-dua dan ketiga bagi eksport barangan.

Selain itu, kos kompetitif modal yang menggalakkan pembangunan perniagaan, masyarakat yang mempunyai ramai orang lanjut umurnya itu tidak menjadi beban bagi pembangunan ekonomi dan undang-undang pengangguran menyediakan satu insentif untuk mencari pekerjaan juga adalah perkara yang kukuh terhadap ekonomi.

Berita baik bagi majikan korporat di Malaysia ialah wujud pengurus kanan yang mahir di negara ini, lembaga pengarah korporat telah menyelia pengurusan syarikat dengan berkesan dan para pengurus mahir di dalam perniagaan.

Malaysia juga terus meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat dan memupuk satu tenaga kerja yang berbakat sambil ia memacu produktiviti dan daya saing melalui pemikiran kreatif dan inovatif.

IMD juga menyatakan bahawa ketelusan dasar kerajaan amat memuaskan selepas bertambah baik dari 3.94 peratus kepada 5.98 peratus manakala dasar perlindungan tidak menjadi satu faktor di dalam ekonomi Malaysia di mana ia tidak merosakkan perniagaan.

Katanya, penempatan pada kedudukan yang tinggi itu juga adalah disebabkan pelaburan berkualiti yang mengukuhkan ekonomi dan tindakan untuk mendidik perusahaan kecil dan sederhana bagi bersaing pada peringkat global.

Penambahbaikan juga dilakukan di dalam bidang lain seperti amalan rasuah, birokrasi, ketelusan, kestabilan politik, pengangguran jangka panjang, hutang korporat dan indeks harga pengguna.

Bagi penetapan kedudukan subsektor, Malaysia berada pada senarai teratas bagi ketelusan institusi kewangan dan faktor institusi kewangan berisiko rendah.

Sektor kewangan negara itu kekal berdaya tahan walau pun berlaku kemelesetan di dalam sektor kewangan AS dan Eropah, selepas berjaya mengukuhkan lagi kehadirannya di dalam landskap kewangan, terutama sekali di dalam pembiayaan Islam dan perbankan.

Malaysia kini adalah peneraju di dalam kewangan Islam, pasaran modal Islam dan industri takaful dan wujud peluang besar yang berpotensi menjadi satu hab bagi perkhidmatan kewangan Islam bersepadu.

Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memuktamadkan usaha mewujudkan satu pusat kewangan islam fizikal dan pengeluaran dua lesen bank Islam mega.

Ringgit, yang mencapai ketinggian 3.1 bagi setiap dollar AS, muncul sebagai mata wang Asia baru muncul paling kukuh di segi prestasi berbanding mata wang dollar AS sehingga kini tahun ini, yang meningkat lebih 7.0 peratus berdasarkan prospek pertumbuhan kukuh negara itu.
Ia juga meningkat 19 peratus berbanding euro dan 16 peratus berbanding pound.

“Bagi teroka usaha sama awam dan swasta, pembiayaan bagi teknologi, sains di sekolah-sekolah dan eksport teknologi tinggi, negara itu ditempatkan ke kedudukan ke-empat terbaik,” kata IMD.

IMD berkata, sekolah memberi penekanan yang mencukupi terhadap sains.

Di bawah subpenempatan keefisienan kerajaan, Malaysia ditempatkan pada tempat kedua bagi kos modal kerana terdapat sokongan bagi pembangunan perniagaan.

Ia juga ditempatkan pada kedudukan ke-dua kerana penyesuaian dasar kerajaan kepada perubahan di dalam ekonomi.

Bagaimanapun, IMD tidak menonjolkan kelemahan pada penempatan kedudukan bagi Malaysia, yang termasuk subsidi tinggi kerajaan kepada syarikat swasta dan awam di segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar, kos lebih pada, defisit bajet kerajaan dan bilangan prosedur yang banyak untuk memulakan sesuatu perniagaan.
/hwa-bharian.com.my

18 Mei 2010

Sumbangan Islam kepada dunia mendahului barat: Najib

BERNAMA - 2010/05/18
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, sumbangan dan tamadun Islam kepada dunia dalam beberapa aspek sebenarnya mendahului perkembangan yang dilakukan di negara Barat.
Perdana Menteri berkata, ia terbukti, antaranya daripada segi sikap toleransi dan keadilan sosial seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat termasuk di gereja-gereja mereka pada masa kini.
"Kedudukan wanita (dalam Islam) juga dalam beberapa aspek mendahului barat.
"Allah menjadikan manusia dalam kelompok kabilah dan negara supaya kita mengenali antara satu sama lain. Perbezaan hanya ketakwaan kepada Allah," katanya selepas menghadiri Syarahan Perdana Putrajaya bertajuk "A Muslim Century - Myth or Reality" (Abad Muslim - Mitos atau Realiti).
Syarahan itu, adalah cetusan idea Perdana Menteri, disampaikan oleh tokoh intelektual Islam terkemuka, Prof Dr Ali Al’Amin Mazrui, yang ketika ini adalah Profesor Kemanusiaan Albert Schweitzer dan juga Pengarah Institut Pengajian Kebudayaan Global dari State University of New York, Amerika Syarikat.
/hwa-bharian.com.my

16 Mei 2010

Politik taksub Pas

MM - 16/05/2010

MENYENTUH soal politik dan agama yang tidak dapat dipisahkan sememangnya benar wujud di zaman Rasulullah, itu pun politik yang bermaksud Daulah Islamiah atau "kerajaan Islam" kerana masjid dan institusi ibadat hanya dijadikan tempat untuk merujuk mengenai perkara berbangkit dalam soal akidah, fikah, tauhid , tauhid ubudiah dan lain-lain lagi sebagai mana jelas di dalam hadis yang Shahih al-Bukhari dan Muslim dan lain-lain lagi.

Apabila Jibrail bertanya kepada Rasulullah, apakah iman, Islam dan ihsan, lalu baginda menjawab (setelah Jibrail berlalu, ) kepada Saidina Umar " itulah Jibrail, dia mengajar kamu, agama kamu".

Bertitik tolak dengan sabda nabi itu, difahami di sini bahawasanya itulah hakikat agama yang tidak ada percanggahan dan perdebatan dan itulah yang diamalkan dari zaman sahabat hingga kini.

Ada pun politik kepartian seperti yang maklum pada hari ini tidak ada hubung kait dengan agama sedikit pun, kalimah siasah yang diterjemahkan dengan politik adalah tidak tepat dan amat kabur, apatah lagi kalimah siasah tidak wujud di zaman nabi dan hanya wujud ketika zaman khalifah-khalifah Islam sahaja.

Dalam Islam, hakikat politik ialah melaksanakan hukum Islam dan kebiasaannya adalah pekerjaan kadi-kadi atau pemerintah Islam atau Amirul Mukminin, bukan pekerjaan rakyat jelata

Inilah yang perlu difahami oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penyokong parti itu. Menyentuh isu mengenai larangan berpolitik dalam masjid yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada pandangan saya apa yang dititahkan oleh sultan itu benar dan tidak lari daripada kehendak agama.

Ini kerana pada pandangan baginda larangan berpolitik di dalam masjid ini tentunya terarah kepada Pas dan Pakatan Pembangkang yang cuba mengambil kesempatan dengan menjadikan masjid sebagai tempat untuk memecah belahkan umat manusia.

Apatah lagi politik yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang amat bercelaru dan bertentangan dengan Islam serta bercanggah dengan pandangan pimpinan Pas suatu ketika dulu.

Saya malu dan berdukacita sekiranya orang Pas menyokong apa yang ditegaskan oleh Nik Aziz berhubung politik dan agama tidak dapat dipisahkan.

Saya maklumkan di sini, politik yang dibawa oleh Pas masa kini dengan menjadikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai rakan jauh tersasar dengan kehendak Islam sebenar.

Suatu perbezaan yang amat besar politik di zaman Rasulullah, dengan politik kepartian yang ada pada hari ini adalah politik kepartian yang ada pada hari ini adalah peninggalan penjajah yang di dalamnya mempunyai seribu satu unsur yang bertentangan dengan Islam, seperti fitnah memfitnah, tuduh menuduh, membuka aib sesama sendiri dan jatuh menjatuh.

Matlamat

Ini kerana matlamat dalam Pakatan Pembangkang adalah untuk mengangkat Lim Kit Siang sebagai ketua negara.

Ini boleh dirujuk petikan kata-kata Nik Aziz dalam Utusan Malaysia pada 6 November 1999 yang menyebut "Pas boleh terima pemimpin DAP menjadi Perdana Menteri, tidak ada apa, asalkan dia terima syarat yang ditetapkan oleh Barisan Alternatif".

Pada pandangan saya, tokoh yang disanjung dan cuba diangkat oleh Pas dan Nik Aziz ini merupakan orang yang fasik dan kafir yang cuba membawa kemusnahan kepada negara Malaysia

Jika ini berlaku ia amat bertentangan dengan fatwa Dewan Ulama Pas Kelantan pada Ogos 1963, orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir memerintah negara menjadi kafir atau haram. Fatwa tersebut menjadi pegangan orang Pas suatu ketika dulu, namun adakah kini fatwa ini tidak lagi dijadikan pegangan ahli dan pemimpin Pas.

Sekiranya ahli Pas menggambarkan bahawa politik dan agama yang cuba dibawa oleh Nik Aziz adalah politik semasa zaman Rasullullah, maka sudah tentu mereka tertipu dan terpedaya dengan kata-kata dan hujah Nik Aziz.

Perlu dibezakan di sini bahawa cara berpolitik di zaman nabi adalah jauh berbeza umpama langit dan bumi jika dibandingkan cara berpolitik zaman sekarang. Seperti yang saya katakan tadi, cara berpolitik zaman Rasullullah adalah politik mengajak manusia ke arah ketakwaan kepada Allah dan bukannya mengajak manusia menyokong si A dan membenci si B atau menuduh orang itu tidak betul dan saya yang betul atau sebagainya, kemudiannya segala hujah agama yang dikeluarkan oleh parti politik ini kebanyakannya cenderung untuk kepentingan politik masing-masing.

Saya tanya di sini sepanjang Nik Aziz menggunakan masjid di Kelantan untuk menyampaikan tazkirahnya sudah berapa ramai umat manusia benar-benar bertakwa dan mencari keredaan Allah atau hanya mencari keredaan politik masing-masing.

Politik yang dikatakan tidak dapat dipisahkan dengan agama mengikut fahaman Nik Aziz adalah sebagai menghalalkan perbuatan fasiknya dengan menjadikan DAP sebagai rakan seangkatannya .

Justeru itu, sekiranya Nik Aziz menghamburkan kata-kata 'celako' (celaka) kepada tok guru seperti saya maka saya tersenyum dan merasa kasihan melihat kebatilan yang dibawa oleh Nik Aziz.

Sebagai seorang yang layak mengajar dan ditauliahkan oleh baginda sultan dan Majlis Agama Islam Kelantan dan bukannya tauliah halaqat kerajaan Pas, saya tegaskan di sini bahawa Nik Aziz telah membawa kebatilan dengan menipu umat Islam Pas dengan dakwaan bahawa agama dan politik tidak dapat dipisahkan.

Ini kerana politik Nik Aziz dan Pas masa kini jauh tersasar dari landasan Islam dan kehendak Nabi Muhammad SAW.

Berbalik pula pada kata-kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menghina saya dengan menyamakan dengan unta, sewaktu memberi ceramah di Kampung Belukar, Kubang Batang, Tumpat pada 1 Mei lalu.

Saya tidak ingin menjawab panjang cercaan sebaliknya ingin saya katakan bahawa unta di padang pasir itu tidak pandai baca kitab, tidak pandai mengajar bahkan tidak pernah belajar, itulah bezanya saya dengan unta di tanah Arab.

Kesimpulannya perlu umum mengetahui terutama ahli Pas bahawa politik dan agama yang Nik Aziz katakan tidak boleh dipisahkan itu sebenarnya boleh dipisahkan kerana Pas mengamalkan politik kepartian yang mengapi-apikan unsur asabiah dan taksub kepada pemimpin dan parti mereka itu.

Ini amat bertentangan dengan Islam yang mana dalam Islam, tiada taksub kepada pemimpin dan di dalam Islam garis panduan utamanya ialah al-Quran dan hadis serta mana-mana pandangan yang bertentangan dengannya adalah terbatal dengan sendirinya.

/hwa-utusan.com.my

Kisah Sime Darby dan Zubir

MM - 16/05/2010

Pastinya ramai terkejut dengan kerugian syarikat konglomerat Sime Darby sebanyak RM 1.63 bilion. Awang tergamam mengapa sebegitu besar kerugian yang dialami dan mengapa sekarang baru didedahkan. Lalu bermain di fikiran apa sudah jadi dengan syarikat GLC itu yang menjadi sandaran bagi memacu ekonomi negara.

Awang hargai langkah segera mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zubir Murshid bercuti. Ia menunjukkan Sime Darby memandang serius perkara itu.

Namun ia tidak memadai. Sebuah pasukan khas perlu dibentuk bagi menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh bagi mengetahui perkara sebenar. Banyak lagi yang rakyat perlu tahu.

Awang menyertai sentimen pelbagai pihak bahawa Lembaga Pengarah juga patut dipertanggungjawabkan. Lepaskanlah jawatan sebagai tanda akauntabiliti. Pengerusinya, Musa Hitam yang Awang sayangi dan hormati, juga perlu berundur.

Awang percaya Musa dan barisan Lembaga Pengarah tidak menghadapi masalah untuk berbuat demikian. Adalah tidak adil meletakkan kesalahan kepada Zubir semata-mata.

Awang bukan mahu memberi syarahan pengurusan tetapi hakikatnya sesiapa yang menjadi ahli Lembaga Pengarah perlu proaktif dan kritis. Bertanyalah banyak soalan yang relevan. Jangan serah dan percaya 100 peratus kepada CEO. Dalam garis panduan tadbir urus korporat sudah jelas tentang peranan Lembaga Pengarah.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kerugian besar Sime Darby. Ini termasuk janganlah kita ghairah kepada penggabungan yang membentuk konglomerat atau syarikat raksasa kerana risikonya amat besar jika tidak diurus dengan cekap dan cemerlang. Menurut penganalisis, kedudukan syarikat kongolomerat itu terlalu besar dan mempunyai kepelbagaian perniagaan yang menyebabkan ia sukar diurus. Sime Darby dibentuk daripada gabungan Sime Darby Berhad, Guthrie Berhad dan Golden Hope Berhad.

Apa pun, Awang tabik kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak yang sedikit pun tidak menutup kerugian dan kelemahan Sime Darby. Sebaliknya beliau telah memberi mesej yang tegas dan jelas kepada semua yang terlibat. Ia memperlihatkan integriti dan keterbukaan Najib demi menjayakan tadbir urus yang terbaik.

Dalam pada itu, alangkah baik jika kita dapat mendengar sendiri daripada Zubir apa sebenarnya yang terjadi. Beliau sepatutnya tampil ke hadapan menjelaskan segala-galanya. Mana tahu selain kelemahan tertentu di bawah pengurusannya, mungkin ada juga perkara yang berlaku di luar 'kuasa' beliau....

PKR Cabang Ipoh Barat 'tumbang'

BM - 2010/05/16
Oleh Nurhayati Abllah
bminggu@bharian.com.my

FAUZI (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 488 borang ahli PKR Cabang Ipoh Barat yang keluar parti di Majlis Pengisytiharan Selamat Tinggal PKR di Ipoh, semalam.

488 keluar parti bantah kehadiran petualang


IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat lumpuh selepas hampir 500 daripada kira-kira 2,000 ahlinya termasuk 14 ahli jawatankuasa cabang itu meletakkan jawatan dan keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan kepemimpinan PKR di Perak.

Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda, berkata tindakan itu bukan kerana mereka berniat buruk terhadap PKR, sebaliknya untuk menghancurkan kumpulan jahat yang sedang bermaharajalela di dalam parti atas kepentingan peribadi.

“Matlamat kami keluar parti untuk menghancurkan kabilah atau syaitan besar, firaun kecil yang ada di dalam PKR sekarang. Saya lakukan tindakan drastik ini bukan kerana benci kepada parti, tetapi bertujuan menentang segala kekotoran yang dilakukan kumpulan petualang dan pengkhianat terhadap parti serta perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menunjukkan sejumlah 488 surat pengesahan keluar parti yang ditandatangani ahli Cabang PKR Ipoh Barat sebagai bukti untuk diserahkan kepada ibu pejabat parti itu.

Fauzi turut mengumumkan beliau akan mendaftar sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebajikan dan Tindakan Suara Rakyat Perak, minggu depan.
Beliau meminta sekutu politik PKR, iaitu Pas dan DAP supaya memikirkan semula kedudukan kedua-dua parti itu dalam pakatan pembanngkang.

“PKR sekarang menjadi parti tiada nilai dan tiada harga diri. Mereka terdiri daripada manusia yang tamak, tiada kredibiliti, tidak berwibawa, tidak tahu peraturan dan jahat selain sentiasa memasang agenda bagi kepentingan mereka,” katanya.

"Jika Pas atau DAP masih ingin kekalkan nilai mereka dalam politik negara, mereka harus pertimbangkan kedudukan mereka untuk terus berkawan dengan PKR... ini adalah nasihat dan amaran saya," katanya.
/hwa-bharian.com.my

Manikavasagam terima ugutan bunuh

BM - 2010/05/16
BH KLANG: Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, pagi ini menerima ugutan bunuh menerusi nota yang diikat pada bungkusan plastik mengandungi cat merah yang dilempar ke anjung rumahnya di Pekan Meru di sini.

Nota ugutan itu bertulis "Jangan campur isu pasir u mati".

Bungkusan cat merah yang dilemparkan itu mengenai bahagian belakang dua kenderaan milik wakil rakyat itu, sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Estima warna kelabu gelap dan dan Proton Perdana warna putih.

Nota dan bunkusan plastik itu dipercayai dilempar antara jam 4 hingga 5 pagi oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan dakwaan Manikavasagam sebelum ini membabitkan isu pasir dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Manikavasagam berkata, beliau hanya menyedari kejadian itu pada jam 7.30 tadi pagi ketika ke ruang tamu untuk menonton televisyen.

Katanya, polis yang dihubungi sejurus kejadian, datang ke rumahnya kira-kira jam 7.45 pagi.

"Saya tidak akan berganjak daripada pendirian saya membabitkan dakwaan itu. Saya masih tidak akan meminta maaf dan tarik balik apa yang saya katakan mengenai isu ini," katanya kepada pemberita.

Jumaat lalu, Manikavasagam membuat laporan polis terhadap tiga ugutan bunuh yang diterimanya melalui panggilan ke telefon bimbitnya, membabitkan dakwaan beliau itu.
/hwa-bharian.com.my

15 Mei 2010

Nasional G-Ekonomi lonjak usahawan Melayu

UM - 15/05/2010

Najib Tun Razak menerima cenderamata daripada Syed Ali Alattas selepas majlis perasmian Konvensyen Usahawan Melayu 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Nasional G-Ekonomi bagi melonjakkan pencapaian usahawan Melayu dan bumiputera agar mampu bersaing dan muncul sebagai pemain ekonomi utama di peringkat global.

Kata beliau, melalui Nasional G-Ekonomi itu, sekurang-kurangnya 14 bidang perniagaan berpotensi tinggi dan kompetitif telah dikenal pasti untuk diteroka dan sekali gus membuktikan kepada dunia bahawa usahawan Melayu juga mampu bersaing dalam bidang ekonomi kritikal.

"Usahawan Melayu tidak boleh lagi tertumpu kepada bidang ekonomi yang malap dan hampir senja. Sebaliknya, kena berani menerokai bidang baru yang berpotensi jika kita ingin menjadi pesaing yang kompetitif di peringkat global.

"Nasional G-Ekonomi ini akan menjadi keutamaan kerajaan dan senarai bidang ekonominya akan diumumkan kemudian,'' katanya sewaktu merasmikan Konvensyen Usahawan Melayu 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama pada konvensyen itu ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Najib berkata, langkah mewujudkan Nasional G-Ekonomi itu selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan kerajaan bagi meningkat pendapatan rakyat sebagai persediaan muncul negara maju menjelang 2020.

Namun, menurut Perdana Menteri, walaupun Nasional G-Ekonomi dirancang dengan begitu teliti dan baik bagi tujuan meningkatkan daya saing usahawan Melayu, tetapi tegasnya, langkah tersebut perlu disokong dengan nilai dan sikap positif daripada usahawan sendiri.

Dalam pada itu, Najib mahu usahawan bumiputera melengkapkan diri mereka dengan ilmu perniagaan dan keusahawanan di samping memperkukuhkan reputasi sebagai seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata, ilmu perniagaan telah lama menjadi subjek pengajian di universiti khususnya di Amerika Syarikat.

Sehubungan itu, katanya, tidak rugi untuk usahawan tempatan menambah ilmu berguna tersebut, kerana ia akan memberi banyak nilai tambah seperti bagaimana untuk menguruskan sesebuah perniagaan.

"Kelemahan seperti ini (kurang ilmu keusahawanan) bukan sahaja membabitkan orang Melayu tetapi juga melibatkan kaum lain kerana syarikat perniagaan keluarga pun, kadang-kadang generasi kedua sudah lumpuh.

"Dan ada syarikat milik kerajaan (GLC) juga yang sudah rugi besar.

"Maknanya bukan hanya individu, semua mesti melihat pada kelemahan dari segi ilmu keusahawanan dan perniagaan dan tolong lengkapkan diri dalam bidang ini,'' katanya.

Mengenai pengukuhan reputasi, Perdana Menteri berkata, untuk cemerlang dalam bidang perniagaan, seseorang itu harus juga mempunyai nilai yang baik serta murni jika ingin menonjolkan reputasi diri sebagai seorang usahawan.

/hwa-utusan.com.my

PM: Transformasi besar akan berlaku

UM - 15/05/2010

PUTRAJAYA 14 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya transformasi besar akan berlaku di negara ini jika momentum ekonomi dan program transformasi kerajaan dapat dipupuk dan diperkukuhkan.

Perdana Menteri menegaskan, sebab itu tempoh 10 tahun akan datang ini memerlukan semua pihak terutama para penjawat awam menunjukkan kecergasan dan kehebatan luar biasa dalam menggalas cabaran mencapai matlamat negara maju 2020.

Beliau menarik perhatian bahawa Malaysia ketika ini belum mencapai peringkat kemantapan tetapi dalam perjalanan untuk merapati fasa akhir negara maju.

''Kita sudah dekat dengan garis penamat, kita kena pecut dan bukannya sudah habis angin... tercungap-cungap.

''Saya tidak mahu sesiapapun memperlekehkan Malaysia dan sedikit sebanyak apabila saya jumpa Presiden (Barack) Obama (baru-baru ini), saya tidak fikir dia bagi pertemuan dua hala dengan saya kalau dia tidak lihat Malaysia ini negara yang stabil dan berjaya.

''Dalam hal ini, kita perlu menjadi kerajaan yang berkesan supaya dapat mengisi jangkaan dan harapan rakyat yang semestinya semakin kritikal. Oleh itu tanda aras kita mesti global, kelas dunia dan bukan sekadar slogan," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Awam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman dan beberapa menteri Kabinet.

Dalam aspek ini, Perdana Menteri turut menjelaskan maksud kerajaan berkesan yang ingin dilihat oleh beliau berlaku iaitu berkesan pada peringkat makro (keseluruhan) dan berkesan dari segi memenuhi jangkaan dan harapan rakyat.

''Ini kerana dari sudut makro penting kerana kalau (kerajaan) tidak diuruskan dengan baik dan tepat, maka sesebuah negara boleh terjerumus dalam lembah yang tidak menentu dengan pelbagai masalah dalaman seperti rusuhan.

''Perkara ini (rusuhan) tidak terbatas di negara membangun tetapi juga berlaku di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang tidak sepatutnya terjadi seperti di Greece yang dibebani masalah hutang," katanya.

Kata beliau: ''Apabila kerajaan tidak diuruskan dengan baik, maka yang sengsara adalah rakyat dan pekerja.

''Sebab itu soal dalam menghasilkan kerajaan yang berkesan ini menjadi tanggungjawab bersama dan Alhamdulillah, berkat kerjasama bekerja sebagai satu pasukan, pertumbuhan ekonomi dalam suku pertama tahun ini melonjak kepada 10.1 peratus."

Menurut Perdana Menteri, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu bukan kerana dasar fiskal, kewangan dan usaha kerajaan semata-mata tetapi juga disebabkan bantuan serta komitmen para penjawat awam.

/hwa-utusan.com.my

Ahli ekonomi beri PM markah penuh

BERNAMA - 2010/05/15
"Perdana Menteri sudah memandu Malaysia menerusi tahap paling sukar dan 'fasa itu sudah berlalu.' Pemulihan Malaysia lebih kukuh daripada unjuran penganalisis pasaran. Kita pulih pada suku keempat tahun lepas dan ekonomi berkembang 4.5 peratus” - Dr Yeah Kim Leng , Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings

Pemulihan pantas hasil pelan rangsangan

KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi memberikan markah penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berjaya meletakkan ekonomi Malaysia pada kadar pertumbuhan yang pesat.
Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng, memperakui pemulihan ekonomi Malaysia yang pantas adalah hasil pelan rangsangan Najib.
“Ketika mengambil alih tugas meneraju negara, krisis kewangan dunia berapa pada puncaknya. Apa yang kita lihat sekarang ialah Perdana Menteri sudah melepasi cabaran paling kritikal dalam memastikan kita mampu bertahan dalam kemelesetan global yang berlaku serentak.
“Dasar yang dilaksanakan berjaya menangani kesan krisis kewangan global sehingga Malaysia tidak mengalami kesan teruk,” katanya.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama 2010, pertumbuhan sukuan paling tinggi dalam tempoh 10 tahun.
Kali terakhir Malaysia mencatat pertumbuhan sukuan tertinggi ialah pada 2000 apabila merekodkan pertumbuhan 11.7 peratus.
Dr Yeah menyifatkan prestasi suku tahunan itu hasil daripada dasar kukuh Najib, khususnya pakej rangsangan kedua yang membantu merangsang keyakinan serta mengurangkan pemberhentian pekerja.
“Perdana Menteri sudah memandu Malaysia menerusi tahap paling sukar dan ‘fasa itu sudah berlalu.’ Pemulihan Malaysia lebih kukuh daripada unjuran penganalisis pasaran. Kita pulih pada suku keempat tahun lepas dan ekonomi berkembang sebanyak 4.5 peratus.
“Sudah pasti pertumbuhan tahunan yang ketara itu juga disebabkan ekonomi menguncup tahun lepas. Apabila anda membuat perbandingan tahunan, kita melalui pemulihan kitaran,” katanya.
Hasil daripada pandangan jauh Perdana Menteri, Dr Yeah berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai ledakan ekonomi seterusnya.
Turut kagum ialah ahli ekonomi lulusan Sorbonne Perancis, Datuk Dr Norraesah Mohamad, yang berkata tindak balas pantas Perdana Menteri untuk menggerakkan ekonomi berjalan mengikut perancangan.
Beliau berkata, satu sebab utama pemulihan itu ialah pakej rangsang RM70 bilion yang disuntik dalam ekonomi tahun lepas yang masih diteruskan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, mengumumkan peningkatan kadar faedah untuk menangani sebarang peningkatan inflasi susulan pertumbuhan yang tinggi itu.
Ringgit juga ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis hasil daripada data KDNK yang kukuh bagi suku pertama tahun ini.
Mata wang tempatan diniagakan pada 3.1950/1000 semalam berbanding 3.2030/2070 pada Rabu.
Seorang peniaga berkata, pengukuhan ringgit disumbangkan oleh aliran masuk dana ke dalam pasaran ekuiti.
“Ringgit akan diniagakan antara 3.18 dan 3.17 berbanding dolar tidak lama lagi,” katanya.
Bekas menteri Kabinet yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad, berkata ringgit yang kukuh akan menggalakkan import barangan modal yang akan menyumbang kepada inovasi dan automasi industri dalam negara.
“Ia juga akan mengurangkan peruntukan subsidi kerajaan memandangkan petrol, gula dan tepung, yang menjadi produk yang memperoleh subsidi utama, semuanya yang didominasi dalam dolar AS.
“Menerusi pengurangan subsidi, perbelanjaan operasi kerajaan dan defisit akan juga berkurangan,” katanya.
/hwa-bharian.com.my

Keluar PKR

BH - 2010/05/15
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my


Wee Choo Keong YB Wangsa Maju jadi Bebas

KUALA LUMPUR: Selepas gagal mempertahankan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil, bulan lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam kehilangan satu lagi kerusi apabila wakil rakyatnya dari Wangsa Maju, Wee Choo Keong, mengumumkan keluar daripada parti itu.

Wee pada sidang medianya di sini, menegaskan beliau membuat keputusan itu kerana kecewa dengan cara kerajaan pakatan pembangkang Selangor menangani skandal pasir di negeri itu.

Berikutan keputusan itu, PKR yang sebelum ini mempunyai 30 kerusi di Parlimen kini hanya diwakili 24 wakil rakyat selepas Datuk Seri Zahrian Mohamed Hashim (Balik Pulau), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) meninggalkan parti itu, manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dipecat.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pula, P Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) merampas kerusi itu yang dimenangi PKR pada pilihan raya umum 2008.

Dengan perkembangan terbaru itu, pakatan pembangkang kini hanya mempunyai 76 kerusi di Parlimen dengan DAP memiliki 28 kerusi, PKR (24), Pas (23) dan Parti Sosialis Malaysia (satu). BN pula mempunyai 137 kerusi dan Bebas (lapan). Kerusi Parlimen Sibu, Sarawak yang kosong akan dipertandingkan pada pilihan raya kecil, esok.

Wee yang juga bekas Timbalan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, berkata setakat ini beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti dan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Katanya, keputusan meninggalkan PKR tidak didorong oleh pilihan raya kecil Parlimen Sibu, sebaliknya kerana kecewa dengan kegagalan pemimpin parti itu menangani isu pasir di Dengkil.

“Saya mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam PKR setelah kecewa dengan kepimpinan tertinggi PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan sewajarnya berkenaan isu pasir di Dengkil.

“Bagaimanapun saya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Bebas. Tidak ada sebab untuk saya berhenti,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar dari PKR, S Manikavasagam, mendedahkan kerajaan Selangor kehilangan hasil pendapatan lebih RM10 juta berikutan pembabitan tiga pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat milik kerajaan negeri dalam kegiatan melombong pasir secara haram.

Wee yang juga bekas Timbalan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, berkata beliau tidak boleh menerima kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu Manikavasagam memohon maaf kerana membuat tuduhan itu.

“Saya rasa sudah tidak dapat bertahan lagi untuk terus bersama PKR dan saya tidak boleh berpura-pura mengenainya,” katanya yang kecewa dengan tindakan kerajaan Selangor menyerahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk menyiasat isu itu.

Sehubungan itu, beliau membidas Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kerana tidak mendesak supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu itu, seperti yang biasa dilakukan terhadap kerajaan kerajaan BN.
/hwa-bharian.com.my