30 Disember 2010

TAHNIAH!

KAPTEN Malaysia, Safiq Rahim (kanan) bersama rakan sepasukan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas berjaya mengalahkan Indonesia pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi. Malaysia menang dengan agregat 4-2. - Foto Osman Adnan. BH - Dec 29, 2010 11:19 pm

Piala AFF Suzuki: PM isytihar cuti umum Jumaat ini

Bernama - 2010/12/30

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan Jumaat ini (31 Disember) sebagai cuti umum sempena kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2010. - BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

PM, TPM ucap tahniah kepada skuad bola sepak negara

UM - 30/12/10


Skuad bola sepak kebangsaan meraikan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Gelora Bung Karno Jakarta, malam tadi. Turut kelihatan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (belakang, kiri) dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tan Sri Annuar Musa (lima dari kiri). - UTUSAN/SHAHRIL AZMAN ZAIN

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.

“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.

Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.

Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.

“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.

“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Ahli Parlimen Serdang buat hal lagi?

UM - 30/12/10


TEO Nie Ching bersama-sama jemaah masjid termasuk lelaki bersenamrobik pada Karnival Maal Hijrah di Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 29 Dis. – Selepas menimbulkan kontroversi kerana menyampaikan ‘tazkirah’ di dalam sebuah surau di Kajang pada Ramadan lalu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching daripada DAP buat hal lagi.

Jika dulu masuk ke ruang solat Surau Al-Huda Kajang Sentral tanpa menutup aurat, sekarang Nie Ching didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut.

Menurut Nie Ching dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara senamrobik tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Tindakan wakil rakyat itu mengundang komen penulis blog Ruang Bicara Faisal (RBF) yang mempersoalkan tindakan Nie Ching memakai baju ketat apabila memasuki pekarangan masjid tersebut.

Blog itu turut mempersoalkan adakah Islam yang diperjuangkan Pas di Selangor berbeza dengan negeri-negeri lain.

“Di Kelantan, kaunter bayaran di pasar raya diasingkan antara wanita dan lelaki. Tidak cukup dengan itu, tempat duduk lelaki dan wanita juga diasingkan dalam majlis-majlis rasmi.

“Manakala sukan pula diadakan acara khas untuk wanita. Tidak cukup dengan itu, konsert atau persembahan artis wanita pula hanya kaum wanita yang boleh menontonnya.

“Akan tetapi fatwa Pas di Selangor berbeza. Lelaki dan wanita dibenarkan bersenamrobik bersama dalam kawasan masjid tanpa sebarang pengasingan. Lebih manis wakil rakyatnya memakai baju ketat dalam acara yang diadakan sempena sambutan Maal Hijrah,” kata blog itu di http://ruangbicarafaisal.blogspot.com.

Tindakan Nie Ching pada 22 Ogos lalu mendapat bantahan orang ramai terutama umat Islam apabila masuk ke ruang solat Surau Al-Huda Kajang Sentral untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan moreh kepada surau tersebut.

Mengulas lanjut, blog RBF mendakwa, sejarah membuktikan Pas dan DAP sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan undi.

“Kalimah Allah pun Pas sanggup jual demi undi manakala DAP pula belajar hafal ayat-ayat al-Quran untuk dibacakan di atas pentas ceramah dan masuk ke masjid-masjid serta surau. Semuanya kerana satu niat, mengejar undi,” dakwa blog itu lagi.

Menurut blog RBF lagi, tahun depan mungkin Masjid Taman Cheras Jaya boleh menganjurkan pesta tari-menari dalam kawasan masjid sebagai sebahagian acara sambutan Maal Hijrah.

“Kalau begini caranya tidak mustahil satu hari nanti acara sambutan Maulidur Rasul pun disambut dengan memotong kek dan meniup lilin sambil diiringi dengan lagu selamat hari jadi. Nauzubillah,” kata blog itu.

/hwa: utusan.com.my/

Mohd. Isa yakin peneroka tetap sokong Barisan Nasional

UM - 30/12/10


MOHD. Isa Abdul Samad menyampaikan baju korporat UMNO Bahagian Bakri kepada ketuanya, Saipol Bahari Suib pada Majlis Penyampaian Beg dan Pakaian Seragam Sekolah Murid-Murid Tahun 1 dan Pra Sekolah di Tanjung Agas, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 29 Dis. - Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang akan mula memegang jawatan Pengerusi Felda mulai 1 Januari ini yakin masyarakat Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 30 Januari depan.

Katanya, walaupun pelbagai usaha akan dilakukan oleh parti pembangkang bagi meraih sokongan, beliau yakin kerusi tersebut akan berjaya dipertahankan oleh BN.

Menurutnya, dengan segala usaha pembangunan yang telah digerakkan selama ini, beliau percaya penduduk di tiga kawasan rancangan iaitu Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.

"Bagi saya, masyarakat Felda sudah cukup masak mengenai pembangkang, saya yakin warga Felda akan memberi sokongan dan saya berharap majoriti juga akan bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Beg dan Pakaian Seragam Sekolah Murid-Murid Tahun 1 & Pra Sekolah peringkat Parlimen Bakri di Bazar Baitulmal K-Mall, Tanjung Agas di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 500 kanak-kanak itu ialah Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahari Suib serta Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh.

Jelas Mohd. Isa, beliau percaya generasi muda Felda akan turut memberi sokongan kepada kerajaan kerana mereka sedar mengenai pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan untuk memajukan masyarakat Felda.

Sementara itu, Mohd. Isa berkata, UMNO sentiasa memberi penekanan dalam bidang pelajaran supaya anak bangsa dapat menjadi lebih bijak dan maju.

"Dari segi sejarah, kerajaan tidak pernah mengabaikan soal pelajaran, malah dalam setiap kali bajet, peruntukan yang besar adalah dalam bidang pelajaran.

"Rakyat di negara ini sepatutnya bersyukur kerana dasar pelajaran sentiasa diberikan penekanan dan sebenarnya, sebelum merdeka lagi, kerajaan sudah fikirkan mengenai soal pelajaran dengan Laporan Razak dibentangkan pada 1956," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

SUK: Jangan pertikai perkenan Sultan

UM - 30/12/10

SHAH ALAM 29 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor memberi ingatan tegas terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya jangan mempertikaikan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.

Naib Yang Dipertuanya, Datuk Amir Hamzah Mohd. berkata, ingatan itu diberi kerana pihaknya menyifatkan mana-mana pihak yang menentang keputusan Sultan Selangor dalam sesuatu perkara termasuk pelantikan jawatan tersebut merupakan satu tindakan yang biadab serta tidak menghormati kedudukan institusi beraja di negeri ini.

Katanya, perkenan baginda melantik Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK berkuat kuasa 1 Januari ini adalah satu keputusan yang harus dihormati oleh semua pihak kerana ia dibuat berasaskan bidang kuasa baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Jelasnya, berdasarkan peruntukan undang-undang itu, baginda sememangnya mempunyai kuasa eksekutif dalam pelantikan SUK termasuk Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Kalau kita lihat, pelantikan Mohammed Khusrin itu dibuat di peringkat Persekutuan seperti yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada 27 Disember lalu.

"KSN sendiri telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk pelantikan tersebut. Jadi apa sebab Menteri Besar menerusi satu kenyataan mengatakan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad.

"Apakah Menteri Besar hari ini mahu membelakangkan dan tidak mahu menghormati keputusan Sultan Selangor yang jelas dibuat berdasarkan bidang kuasa yang ada pada baginda. Lagipun, pelantikan SUK bukan bidang kuasa Menteri Besar jika mengikut perlembagaan negeri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Sekretariat Akhbar Menteri Besar pada 27 Disember lalu yang menyatakan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatannya Jumaat ini, belum muktamad.

Ini kerana menurut kenyataan itu, pelantikan Mohammed Khusrin tidak pernah dimaklumkan kepada Abdul Khalid yang turut memiliki tiga nama individu lain untuk dipertimbangkan mengisi jawatan berkenaan.

Ekoran tidak berpuas hati dengan pelantikan Mohammed Khusrin, kenyataan itu turut menyebut bahawa Abdul Khalid sendiri akan menghadap Sultan Selangor bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menegaskan, pihaknya mungkin mengadakan satu bantahan secara besar-besaran sekiranya Menteri Besar terus mempertikaikan keputusan Sultan Selangor dalam soal pelantikan SUK dalam tempoh terdekat ini.

"Kita tidak mahu sikap dan budaya membelakangkan institusi raja dan segala keputusannya berleluasa di negeri ini. Keputusan Sultan Selangor dalam apa jua perkara harus dijunjung dan dihormati oleh semua pihak.

"Jangan hanya kerana mahu melantik individu pilihan untuk mengisi jawatan SUK, sanggup kita ketepikan bidang kuasa dan institusi raja," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Sikap PKR musuhi pegawai kerajaan dikesali

UM - 30/12/10

SHAH ALAM 29 Dis. - Badan Perhubungan UMNO negeri kesal dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memusuhi pegawai kerajaan dalam pentadbiran negeri ini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus (gambar) berkata, sikap berkenaan jelas ditunjukkan oleh parti pembangkang itu dalam pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru berkuat kuasa 1 Januari ini.

Katanya, keputusan pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu sebenarnya dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri.

"Ini yang kita kesal sebenarnya. Pimpinan PKR tidak habis-habis mempolitikkan isu pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK dengan membuat tuduhan yang bukan-bukan termasuk mengaitkannya dengan UMNO.

"Mohammed Khusrin hanyalah seorang pegawai kerajaan yang telah dilantik sebagai SUK atas dasar kelayakan dan pengalamannya. Kenapa PKR begitu kuat menentang seolah-olah pegawai kerajaan ini seorang musuh," tegasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempertikaikan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatannya 31 Disember ini.

Dalam kenyataan yang disiarkan dalam portal berita propembangkang, Malaysiakini.com itu, Nik Nazmi turut mempertikaikan sikap Mohammed Khusrin yang seolah-olah cuba 'mensabotaj' kerajaan PKR Selangor selain melabelkan Pengarah JAIS itu sebagai perkakas politik.

Tidak cukup dengan itu, Nik Nazmi turut menuduh Mohammed Khusrin kononnya melobi program UMNO dijalankan di sebuah masjid di Taman Medan pada Ramadan lalu termasuk cuba menimbulkan kontroversi berhubung lawatan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau al-Huda, Kajang sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Shukor tidak menolak kemungkinan tuduhan-tuduhan itu merupakan sikap sebenar PKR yang memusuhi pegawai kerajaan negeri terutamanya di kalangan yang tidak menepati agenda politik mereka.

Jelasnya, sepatutnya PKR yang mentadbir kerajaan Selangor hari ini perlu menghormati peranan serta sumbangan pegawai-pegawai kerajaan dalam menguruskan negeri ini, bukannya memusuhi mereka.

"Inilah sikap sebenar PKR. Saya yakin bukan hanya Mohammed Khusrin, bahkan ramai lagi pegawai kerajaan akan 'diserang' dengan pelbagai tuduhan, fitnah serta kutukan sekiranya mereka menjadi penghalang kepada pimpinan PKR daripada memuaskan nafsu politik masing-masing," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

DAP perlukan pengaruh politik Anwar

UM - 30/12/10

KUALA LUMPUR 29 Dis. – DAP amat memerlukan pengaruh politik yang ada pada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menarik lebih ramai orang Melayu menyokong perjuangan pakatan pembangkang.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (gambar) berkata, hanya dengan cara itu DAP boleh mendapatkan sokongan orang Melayu sekali gus memenuhi impian parti itu untuk melihat masyarakat Melayu di negara ini terus berpecah.

Justeru, katanya, tidak hairan Pengerusi DAP, Karpal Singh sanggup membela Anwar walaupun tahu mengenai perbuatan liwat melibatkan Penasihat PKR itu ketika melakukan pendedahan mengenai kes itu di Dewan Rakyat pada 1997.

“Ini semua disebabkan politik. Anwar ini umpama anak kunci kepada kekuatan pembangkang. DAP bukan perlukan PKR sangat tetapi mereka lebih memerlukan Anwar kerana beliau ada pengaruh untuk tarik sokongan orang Melayu.

“Matlamat DAP semata-mata untuk melihat orang Melayu berpecah dan mereka perlu seorang individu untuk melaksanakan misi tersebut dan orang itu adalah Anwar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa selepas sekian lama berdiam diri, Karpal akhirnya mengaku pernah mendesak Anwar disiasat kerana didakwa oleh beberapa pihak terlibat dengan perbuatan liwat.

Choo Keong berkata, Karpal dalam pengakuan yang disiarkan menerusi laman web www.malaysia-instinct.com pada Selasa lalu menjelaskan, desakan yang dibuatnya pada 1997 adalah atas kedudukannya sebagai wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat.

Mengulas isu sama Zainal berkata, dalam konteks politik semasa, mahu tidak mahu orang Melayu harus sedar terhadap permainan DAP itu.

“Bagi saya, apa sahaja tindakan yang boleh memberi faedah secara langsung kepada perjuangan DAP termasuk menggunakan pengaruh Anwar, mereka akan dilakukan secara bersungguh-sungguh,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

DAP perguna Anwar

UM - 30/12/10

KUALA LUMPUR 29 Dis. – DAP didakwa mempergunakan situasi yang sedang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kepentingan parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir (gambar) berkata, selagi kes liwat beliau di mahkamah tidak selesai, Anwar terpaksa akur dengan keputusan DAP dalam pelbagai perkara termasuk pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Menurut beliau, jika perkara yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong semalam bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah mendesak supaya Anwar disiasat berhubung dakwaan kes liwat adalah benar, maka tidak mustahil parti itu mahu Anwar terus kekal dalam situasi tersebut.

‘‘Situasi yang dihadapi Anwar cuma dipergunakan oleh DAP. Secara tidak langsung situasi ini akan membuatkan Anwar terpaksa akur dengan sebarang keputusan DAP dalam pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Choo Keong bahawa Karpal akhirnya mengaku pernah mendesak Anwar disiasat kerana didakwa oleh beberapa pihak terlibat dengan perbuatan liwat.

Perkara itu, menurut Choo Keong, diakui Karpal menerusi laman web www.malaysia-instinct.com pada Selasa lalu apabila menjelaskan desakan yang dibuat pada 1997 adalah atas kedudukannya sebagai wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat.

Musa berkata, Anwar bernasib malang kerana tidak sedar bahawa dirinya dipermainkan oleh DAP memandangkan kesnya masih berjalan sedangkan pilihan raya umum akan menjelang tidak lama lagi.

‘‘Pada ketika itu Anwar tidak akan dapat berbuat apa-apa sebaliknya menerima sahaja apa yang diputuskan oleh DAP,’’ katanya.

/hwa: utusan.com.my/

29 Disember 2010

1Malaysia paksi patriotisme

UM - 29/12/10

1Malaysia diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengambil alih pentadbiran negara pada 3 April 2009. Konsep tersebut muncul ketika keadaan politik tidak menentu, pertumbuhan ekonomi global berada dalam krisis dan lebih daripada itu, perpaduan dalam negara dianggap rapuh. Konsep, gagasan, slogan, agenda ataupun dasar 1Malaysia, namakan apa sahaja tetapi ia mempunyai hubungan utuh sebagai jambatan kesinambungan kepimpinan lalu ke arah satu transformasi holistik.

Ia hanya akan berjaya jika anggota masyarakat memiliki iltizam yang kuat untuk memahami dan mahu memahami bagi merealisasikan matlamat asasnya. Dalam ucapan beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-52 pada 2009, Najib menyatakan bahawa cabaran besar rakyat Malaysia adalah membaik pulih jambatan yang sedia ada, di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama anggota masyarakat. Apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malah boleh musnah jika tidak berhati-hati dengannya.

Tanpa keutuhan perpaduan dalam kalangan ahli masyarakat, Malaysia akan gagal meningkatkan kedudukan populasi negara. Dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-53 pada tahun ini pula, Perdana Menteri menyatakan bahawa teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.

Ketika sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Terbuka Akhbar Sin Chew Daily pada Februari 2010, Najib menyatakan ‘to celebrate diversity - that is our final destination, the final apex. If we celebrate our diversity, then it means we have reached our final destination of ‘Bangsa Malaysia’ and 1 Malaysia. This means that we think as one people, one nation, one dream’.

Ia jelas menunjukkan bahawa 1Malaysia bertujuan membina nilai kesepaduan, keharmonian, integrasi dan perpaduan yang berakarkan kepada prinsip ‘Satu Negara, Satu Matlamat’, selain menjunjung tiga teras iaitu prinsip penerimaan; kenegaraan dan keadilan sosial sebagai pelengkap kepada Wawasan 2020 dan gagasan lain yang pernah dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Selain itu, ia adalah ‘penjana’ untuk memastikan kestabilan tidak terganggu akibat kesempitan politik yang diwarnai dengan manipulasi, emosi, helah, pembohongan, provokasi dan spekulasi.

Apabila ada pihak mahu ‘gam’ di negeri pentadbiran mereka penggunaan simbol ini, maka ia dilihat politiking keterlaluan kerana mencari isu remeh untuk terus bersaing dalam fahaman politik masing-masing. Dengan menghukum penggunaan simbolnya, ia dianggap sebagai ‘dasar isolasi kuasa’ yang boleh memberi kesan ke atas keharmonian. Adakah sudah ketandusan isu sehingga 1Malaysia dijadikan sebagai satu ‘bahan politik’ tanpa menyedari bagaimana ia boleh menjerat mereka kerana seolah-olah menunjukkan ketidakupayaan mentadbir apatah lagi mengikut analisis dan kajian persepsi yang dilakukan. Salah satu elemen yang menyumbang kepada lonjakan keyakinan ke atas populariti Najib adalah gagasan 1Malaysia yang memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada nilai kemasyarakatan demografi dan geografi tanah air.

Ia mahu memperkukuhkan kemuafakatan yang memerlukan rasa tanggungjawab dan kejujuran dalam menyuburkan nilai menerima, hormat menghormati dan saling faham-memahami, menanam nilai kemanusiaan untuk bersama, serta nilai ‘kepunyaan’. Adakah pemahaman yang sudah jauh meningkat menyebabkan ada pihak gusar ia akan memberi kesan dalam memobilisasi sokongan bersifat populis mereka? Ini kerana 1Malaysia percaya kepada tanggungjawab setiap individu yang bernama warga Malaysia. Untuk mempertahankan kedaulatan negara ini berpaksikan kepada nilai patriotisme dan nasionalisme serta memagari diri setiap individu daripada sifat syak wasangka serta mencurigai antara satu sama lain agar dapat mengurangkan darjah sikap berpura-pura dalam kalangan masyarakat jika ia dianggap penting untuk meningkatkan nilai kemasyarakatan.

Ia muncul ketika terhakis perasaan kekitaan ke atas tanah air dan praktis 1Malaysia bertujuan membina kekuatan bersama dalam berhadapan dengan apa sahaja krisis kenegaraan walaupun berbeza agama, keturunan, kepercayaan, gender dan ideologi politik sekalipun.

Yang membezakan 1Malaysia dengan apa sahaja agenda politik parti pemerintah adalah ia menanam perasaan ‘keyakinan’, ‘kepercayaan’ dan ‘kejujuran’ bahawa setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas negara kerana mereka bergelar warga Malaysia. Jelmaan nilai ‘keselamatan menyeluruh’ dengan memartabatkan 1 Malaysia sebagai wadah jati diri, masing-masing menunjukkan rasa bangga kepada negara yang dihuni dan pasti akan berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

Barangkali, ada pihak khuatir dengan pengukuhan penerimaan dan penerapan nilai 1Malaysia kerana ia akan mempercepatkan proses memperkasakan perubahan. Ini kerana dalam Majlis Muhibah Perdana Menteri bersama Pemimpin Agama pada September 2010, Najib ada menyatakan bahawa tidak akan berlaku sebarang transformasi tanpa ada perpaduan dan keharmonian nasional. Kerajaan telah merangka beberapa pelan transformasi antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Yang penting bukan untuk melihat perbezaan tetapi merungkai perinciannya sebagai kekuatan dan tidak sebagai penghalang untuk menjana rasa tanggungjawab bersama kerana kejayaan membina negara-bangsa pelbagai etnik negara ini masih berkiblatkan kepada persamaan nilai kemanusiaan dan meraikan kepelbagaian tersebut. Hubungan emosi antara kesemua warga Malaysia wajar disuntik ke arah mencari titik keseimbangan kepada ‘masa depan yang sama’ kerana kejayaan 1Malaysia bergantung kepada kekuatan setiap individu dalam negara ini yang mahu melihat negara ini terus makmur, maju dan rukun termasuk pemimpin dari mana-mana kelompok menggembleng keazaman bersama melahirkan generasi yang mahu mencerna prinsip keamanan, kesejahteraan dan muhibah.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

/hwa: utusan.com.my/

Campur tangan Kerajaan PKR Selangor memalukan

UM - 29/12/10

TAK habis-habis Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilanda pelbagai kontroversi sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi Pilihan raya Umum (PRU) 2008.

Baru memerintah tidak sampai tiga tahun, banyak masalah timbul sama ada melibatkan rakyat, mahupun institusi diraja yang dipayungi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Semua masalah yang menyusahkan rakyat dan menyenakkan perut institusi diraja yang turut bertanggungjawab menjaga hal ehwal negeri terutama berkaitan isu-isu agama timbul satu demi satu timbul, seolah-olah tiada kesudahannya.

Yang berasa malu dan menanggung kerugian adalah rakyat Selangor yang sebelum ini mengharapkan 'panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari' dengan memilih kerajaan pakatan pembangkang untuk memerintah negeri itu. Sepatutnya kerajaan negeri saling bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk memakmurkan rakyat, tetapi sebaliknya pula berlaku sehinggakan hampir semua keputusan kerajaan pusat untuk rakyat Selangor dibantah dengan pelbagai cara.

Contohilah negara-negara demokrasi di Barat yang mana pihak kerajaan dan pembangkang saling bekerjasama memajukan negara tanpa syak wasangka dan iri hati.

Terbaru, kedegilan pucuk pimpinan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru yang mendapat perkenan Sultan Selangor membuktikan kerajaan negeri itu memang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat walaupun demi kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor enggan mematuhi arahan Sultan Selangor supaya tidak menjadikan masjid dan surau sebagai pentas politik sehinggakan baginda murka. Itu jelas menunjukkan kedegilan dan sikap ego yang tinggi kerajaan negeri sehingga sanggup ingkar arahan yang berniat murni demi melihat perpaduan rakyat Selangor terus kukuh.

Kali ini, keputusan baginda memperkenankan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud turut diperlekehkan. Abdul Khalid dilaporkan mahu mengadap Sultan Selangor berkaitan hal tersebut, mungkin untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan tersebut.

Tindakan itu dilihat bukan sahaja tidak bijak kerana menyangka pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ini memandangkan kerajaan negeri sudah mempunyai tiga nama yang mahu dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut. Senario itu jelas menunjukkan menteri besar tidak mempunyai pengetahuan berkaitan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mengikut undang-undang itu, kuasa eksekutif pelantikan tersebut terletak dalam bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara dan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam. Inilah yang telah dilakukan, tetapi dibantah pula oleh Abdul Khalid.

Beliau sepatutnya berasa malu kerana masuk campur dalam perkara berkaitan pelantikan Mohd. Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari ini.

Untuk Mohd Khusrin, jangan gentar untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan itu. Selamat bertugas.

/hwa: utusan.com.my/

Selamat berjuang! Semoga berjaya

SKUAD bola sepak negara menjalani latihan di sekitar hotel didiami mereka menjelang perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang tuan rumah Indonesia, di Jakarta, 28 Dis. Malaysia terpaksa membatalkan latihan di gelanggang asal berhampiran Stadium Senayan atas faktor keselamatan. - Utusan/SHAHRIL AZMAN ZAIN

Perubahan kepimpinan bukti komitmen UMNO

UM - 29/12/10

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Perubahan kepimpinan UMNO di tiga negeri berkuat kuasa 1 Januari 2011 membuktikan komitmen serta kesungguhan pucuk pimpinan bagi mengukuhkan perjuangan parti serta memenuhi aspirasi rakyat.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ia merupakan satu kesinambungan terhadap usaha transformasi UMNO yang dimulakan sejak pilihan raya umum yang lalu.

"Ini juga adalah satu perubahan yang menjadi pelengkap kepada transformasi yang dilakukan pucuk pimpinan UMNO.

"Perubahan ini juga dilakukan setelah parti mengenal pasti beberapa masalah yang memerlukan penambahbaikan demi memantapkan UMNO supaya menjadi parti pilihan utama rakyat," katanya.

Beliau dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berhubung perubahan di tiga UMNO negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Melalui perubahan itu, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dipilih sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah menggantikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sementara Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai timbalannya.

Di Pulau Pinang, jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang sebelum ini dipegang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diberi kepada timbalannya sebelum ini, Datuk Zainal Abidin Osman dan di Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Rosnah berkata, Puteri UMNO mengalu-alukan perubahan itu memandangkan barisan pemimpin yang dipilih terdiri daripada anak jati dan pemimpin-pemimpin yang dihormati di peringkat negeri.

"Justeru usaha mengukuhkan jentera parti diyakini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berjaya berikutan perubahan terbaru itu," katanya.

Jelasnya, Puteri UMNO sentiasa bersedia bekerjasama dengan pengerusi dan timbalan pengerusi baru UMNO negeri yang diumumkan itu.

"Kita akan terus bekerjasama bagi menjayakan setiap program dan tindakan yang telah dirancang demi memartabatkan UMNO," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar yang sepatutnya dikenakan tindakan disiplin

UM - 29/12/10

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menegaskan, beliau bukan individu yang sepatutnya dikenakan tindakan disiplin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya pemimpin yang seharusnya menerima nasib itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Gobalakrishnan, Penasihat PKR itu sepatutnya dikenakan tindakan berkenaan kerana meminggirkan masyarakat India di negara ini apabila menutup Kuil Siva di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

"Jika tindakan disiplin mahu dikenakan, ia seharusnya dikenakan ke atas Anwar kerana menutup Kuil Siva, malah sepanjang 12 tahun lalu beliau hanya memperkukuhkan kepimpinan orang Melayu dan Cina dalam parti manakala masyarakat India dipinggirkan.

"Tindakan disiplin juga perlu dikenakan terhadap Exco Selangor, Dr. Xavier Jeyakumar kerana menggunakan gangster pada pemilihan PKR baru-baru ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gobalakrishnan melalui laman sosial Twitter mengecam dan mengkritik kepimpinan Anwar dan Timbalan Presiden, Azmin Ali sejak hujung minggu lalu.

Ekoran tindakannya itu, Naib Presiden PKR yang baru, N. Surendran melahirkan kekecewaan terhadap sikap Gobalakrishnan sambil menggesa beliau menghentikan serangan ke atas parti tersebut serta-merta.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas Gobalakrishnan ketika mesyuarat Biro Politik parti itu awal bulan depan.

Pertimbangan itu kata Saifuddin, ekoran tindakan Ahli Parlimen Padang Serai itu yang dilihat mula memberontak dengan kecaman-kecaman pedas terhadap kepimpinan parti itu.

Gobalakrishnan berkata, beliau tidak mengecam PKR sebaliknya mahu menyedarkan kepimpinan parti tersebut yang bukan sahaja tidak telus malah tidak menghormati rakyat.

"Kita dapat lihat dalam pemilihan parti baru-baru ini hanya mereka yang rapat dengan beliau (Anwar) dilantik mengisi jawatan-jawatan dalam parti.

"Sepatutnya ada pertimbangan sewajarnya bagi masyarakat India dalam parti memandangkan mereka terdiri daripada 40 peratus ahli. Adalah jelas Anwar mengamalkan pendekatan pisah dan perintah," katanya.

Menurutnya, PKR merupakan sebuah parti demokratik tetapi prinsip tersebut diamalkan dengan sikap pilih kasih oleh Anwar.

"Jadi, sudah sampai masa untuk saya bercakap mengenai ketidakadilan. Saya telah melakukan banyak pengorbanan demi memperbaiki kehidupan rakyat khususnya masyarakat India," katanya.

Mengenai kenyataan Anwar yang menyuruhnya menyertai Barisan Nasional jika beliau mahu berbuat demikian, jelas Gobalakrishnan, ia diucapkan Anwar yang marah kepadanya pada waktu itu.

"Saya terlupa apa yang saya cakap kepada Anwar, tetapi ketika itu dia marah lalu mengeluarkan kenyataan sedemikian," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

MB perlu baca Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor

UM - 29/12/10

SHAH ALAM 28 Dis. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran membaca buku Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebelum menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, Abdul Khalid juga boleh mendapatkan nasihat daripada Pegawai Undang-undang Negeri mengenai perkara itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu, semasa memegang jawatan Menteri Besar, beliau sendiri tidak pernah campur atau mempertikaikan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kerana sedar mengikut perlembagaan negeri perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasanya.

''Mungkin beliau tidak membaca buku Undang-Undang Tubuh Selangor. Mengikut perlembagaan, kuasa eksekutif untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang dan Pegawai Kewangan negeri adalah di bawah ketua jabatan kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Negara dan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam.

''Cuma tambahan kepada jawatan Setiausaha Kerajaan negeri, mereka perlulah beragama Islam dan berketurunan Melayu.

''Jadi sudah terang pelantikan itu bukan kuasa beliau. Jadi lebih baik Abdul Khalid jangan sibuk," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Abdul Khalid untuk menghadap Sultan Sharafuddin esok kerana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Mohammed Khusrin Munawi yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Hasrat Abdul Khalid itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat akhbarnya semalam.

Tegas Dr. Mohamad Khir, Abdul Khalid tidak perlu menghadap Sultan Selangor semata-mata beliau tidak dimaklumkan tentang pelantikan Mohammed Khusrin itu.

Katanya, langkah Abdul Khalid untuk mempersembahkan tiga nama yang sebelum ini dicadangkan kerajaan negeri kepada baginda juga akan menyebabkan implikasi lain kepada individu yang berkenaan.

''Beliau perlu memikirkan masa depan tiga pegawai kerajaan negeri terlibat. Jangan jadikan mereka sebagai mangsa politik," kata beliau.

/hwa: utusan.com.my/

Politik rasis tidak berjaya di Malaysia

UM - 29/12/10

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Propaganda politik yang menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan daripada rakyat oleh pembangkang sekarang sudah dirancang dengan teliti namun ia tidak akan berkesan di negara ini.

Profesor Ulung, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, pembangkang sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu kerana mereka berduit serta mendapatkan khidmat nasihat pakar strategi dari luar negara.

"Namun kita lihat amalan politik rasis di Malaysia hanya berani disuarakan di tempat-tempat tertentu seperti di Parlimen atau ceramah tertutup kerana pelakunya takut dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya percaya kita tidak mudah terpengaruh dengan permainan politik perkauman kerana memiliki kewarasan yang tinggi dan seterusnya tidak menjejaskan hubungan baik antara semua kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang mahu para pemimpin pembangkang menghentikan segera propaganda politik mereka dengan menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan daripada rakyat.

"Pembangkang hanya berani bercakap di dalam Parlimen kerana mereka tahu memiliki imuniti namun untuk bercakap di luar secara terbuka, ia adalah sesuatu yang mustahil," ujarnya.

Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, politik rasis hanya merupakan permainan politik murahan yang dilakukan oleh pihak yang terdesak untuk menagih sokongan.

"Memang kerja pembangkang untuk menarik perhatian rakyat termasuk menggunakan isu perkauman walaupun tahu tidak akan berhasil bagi mempengaruhi mereka kerana majoritinya cintakan keamanan.

"Saya puji rakyat Malaysia kerana tidak terpengaruh dengan permainan politik murahan seperti itu dan juga keharmonian semua kaum jelas langsung tidak tergugat," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Rombakan kepimpinan negeri bukan petanda pilihan raya

UM - 29/12/10


Adnan Yaakob menyaksikan acara akad penyerahan wang zakat daripada Pengurus Besar Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands Bhd. dan KFC Holdings, Mohd. Roslan Mohd. Saludin kepada Pengurus Besar Pusat Pungutan Zakat Pahang, Halidan Md. Daud (kanan) di Kuantan, semalam. - BERNAMA

KUANTAN 28 Dis. - Rombakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di tiga negeri semalam bukan petanda bahawa pilihan raya umum semakin hampir.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau yakin bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat walaupun berlaku rombakan pucuk pimpinan parti di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

"Mengapa perlu kecoh mengenai pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di negeri-negeri ini, ia hanya satu proses normal.

"Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) pernah menyatakan perkara ini dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dengan merujuk kepada negeri-negeri yang pengerusinya bukan orang tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Standard Halal Pahang 2010 di sini hari ini.

Seramai 350 peserta yang terdiri daripada usahawan, pengusaha makanan, pengusaha hotel, pembekal perkhidmatan halal, pembekal, jururunding dan kakitangan kerajaan hadir mendengar taklimat mengenai piawaian halal itu.

Beliau mengulas perubahan kepimpinan di tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Januari 2011 yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menegaskan, apa yang paling penting yang perlu diberi perhatian ialah terus bekerja keras bagi membela nasib rakyat dan bukannya semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Mengulas perkembangan di Pahang, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah bagi mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan dengan projek perumahan untuk golongan miskin.

"Kita buat ini untuk kebaikan rakyat, kalau kita jalankan projek ini kerana pilihan raya sudah dekat, rakyat tidak akan percaya kepada kita," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Hasrat Khalid menghadap tak kesampaian

UM - 29/12/10

SHAH ALAM 28 Dis. - Hasrat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah esok berhubung kontroversi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, mungkin terpaksa ditunda kerana baginda sedang bercuti.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang memaklumkan, baginda bercuti sehingga 3 Januari ini.

''Jadi sebarang pertemuan dengan baginda hanya akan berlangsung selepas itu," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.

Menurut, beliau telah menyembahkan kepada Sultan Sharafuddin mengenai permintaan Abdul Khalid itu untuk menghadap baginda.

''Tetapi surat Menteri Besar (untuk menghadap) itu dihantar lambat. Baginda hanya akan kembali bertugas pada 4 Januari ini.

''Jadi mungkin Abdul Khalid boleh menghadap selepas itu," kata beliau.

Tambahnya, surat mempersembahkan nama tiga calon SUK juga hanya diterima selepas tuanku memberi perkenan atas pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Semalam, sekretariat akhbar Menteri Besar mengeluarkan kenyataan bahawa Abdul Khalid akan menghadap Sultan Sharafuddin berhubung pelantikan Mohammed Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, esok.

Menurut kenyataan itu, Abdul Khalid akan menyembahkan kepada baginda yang pelantikan Mohammed Khusrin yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu tidak dimaklumkan kepada beliau.

Kenyataan itu turut memberitahu, oleh kerana perkara itu di luar pengetahuan Abdul Khalid maka pelantikan Mohammed Khusrin bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud dianggap belum muktamad.

Jelas kenyataan itu, sebelum ini kerajaan negeri telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dan telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut yang kemudiannya diserahkan kepada Sultan Sharafuddin bagi mendapat perkenan.

Difahamkan, nama Mohammed Khusrin tiada dalam senarai itu dan antara nama yang disebut sebelum ini untuk menggantikan Ramli ialah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md. Noor.

/hwa: utusan.com.my/

28 Disember 2010

Tiga negeri alami perubahan

UM - 28/12/10


Tengku Adnan Tengku Mansur, memegang senarai nama pada sidang media Pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Dis. – Spekulasi mengenai perubahan kepimpinan baru UMNO negeri-negeri terjawab apabila tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang yang sebelum ini diterajui oleh Naib Presiden dikembalikan kepada pemimpin-pemimpin di peringkat negeri.

Ketiga-tiga negeri terbabit menerima perubahan di peringkat pengerusi dan timbalan pengerusi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkannya berkata, perkara itu telah diputuskan sendiri oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di Kedah beliau berkata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dipilih sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu dengan mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

‘‘Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pula telah dilantik sebagai timbalan beliau. Di Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akan mengetuai semula UMNO negeri yang sebelum ini dipegang oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pelantikan semula Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini yang berkuat kuasa 1 Januari ini.

Tengku Adnan berkata, bagi jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dipegang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib.

Di Pulau Pinang beliau berkata, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang sebelum ini dipegang oleh Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertukar tangan kepada timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata, kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Zainal Abidin itu diisi oleh Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Di Perlis pula ujarnya, jawatan pengerusi masih dipegang oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu tetapi di peringkat timbalan pengerusi jawatan itu diserahkan kepada bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menggantikan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sembilan lagi negeri tidak mengalami perubahan termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan.

‘‘Ini bermakna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing masih mengekalkan jawatan sebagai pengerusi di Selangor dan Wilayah Persekutuan,

‘‘Begitu dengan timbalan bagi kedua-dua negeri juga tidak mengalami sebarang perubahan,’’ katanya lagi.

Bagi negeri-negeri lain katanya adalah seperti berikut - (Negeri Sembilan) pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan timbalan pengerusi, Datuk Shaziman Abu Mansor ; (Pahang) Pengerusi, Datuk Seri Adnan Yaakob dan timbalannya, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin .

Lain-lain negeri katanya, (Melaka) pengerusi, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop; (Johor) pengerusi, Datuk Abdul Ghani Othman dan timbalan pengerusi, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad

‘‘(Sabah) pengerusinya, Datuk Seri Musa Aman dan timbalan pengerusi, Datuk Seri Datuk Mohamad Salleh Tun Said, Perak pula akan diterajui Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir manakala timbalannya, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah,’’ katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pembangkang diminta hentikan segera politik rasis

UM - 28/12/10

SEREMBAN 27 Dis. - Para pemimpin pembangkang diminta menghentikan segera propaganda politik mereka yang menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan daripada rakyat.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, tindak tanduk mereka itu yang dilihat semakin terdesak, disifatkannya sebagai tidak sihat dan hanya menjurus kepada kebencian antara kaum.

''Saya harap orang ramai jangan termakan dengan propaganda pembangkang apatah lagi sekarang ini mereka juga takut dengan gagasan 1Malaysia sehinggakan kerajaan Selangor boleh mengharamkannya.

''Saya harap mereka dapat menghentikan politik seperti ini. Jangan jumpa kaum Cina cakap UMNO rasis, jumpa kaum lain beritahu kononnya BN semakin terdesak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Peralatan Sekolah anjuran Badan Perhubungan MIC negeri dengan kerjasama MIC Bahagian Rembau di Wisma MIC di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MIC negeri Datuk VS Mogan serta Pengurus Perhubungan Awam Korporat Tesco Stores (M) Sdn. Bhd., Dazrene Azmil Darus.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, gerak geri pembangkang dalam meraih sokongan juga terserlah apabila pembangkang sehingga kini masih gagal mencari jawapan mengenai pembohongan tentang 1Malaysia.

Beliau pada masa yang sama turut membidas tindakan pembangkang yang bertindak mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia di Selangor sedangkan mereka seolah- olah dilihat sebagai 'juara' kepada kebebasan demokrasi.

Ditanya mengenai persiapan jentera Pemuda BN menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini, katanya, gerak kerja kini telah disusun bagi menghampiri pengundi muda di kawasan berkenaan.

/hwa: utusan.com.my/

Tidak perlu dapatkan persetujuan Abdul Khalid

UM - 28/12/10

SHAH ALAM 27 Dis. - Pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tidak perlu mendapat persetujuan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah memang telah memberi perkenan atas pelantikan tersebut dan mengikut Perlembagaan negeri, baginda mempunyai kuasa eksekutif untuk tujuan itu.

Beliau berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor juga menyatakan, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa jawatan lain perlu diwujudkan dan pelantikannya akan dibuat oleh suruhanjaya yang berkenaan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

''Kalau Ketua Setiausaha Negara (KSN) mahu melantik individu itu, beliau akan mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu.

''Selepas Tuanku memberi perkenan pelantikan boleh dilakukan dan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tidak perlu melalui Menteri Besar," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar hari ini yang memaklumkan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad kerana Abdul Khalid tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataaan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Janurai ini oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Bagaimanapun kata Mohamad Munir, beliau telah menulis surat tentang persetujuan Sultan Sharafuddin mengenai pelantikan Mohammed Khusrin dan satu salinan telah dihantar kepada Menteri Besar untuk tujuan pemberitahuan.

''Saya percaya setiausaha sulit beliau telah menerimanya tetapi mungkin Abdul Khalid belum mendapat surat itu kerana beliau sedang bercuti," katanya.

Sementara itu, Mohammed Khusrin ketika dihubungi memberitahu, beliau masih belum mendapat surat rasmi mengenai pelantikannya.

''Saya belum dapat surat rasmi jadi saya tidak mahu komen apa-apa," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Senarai baru mampu kukuhkan parti

UM - 28/12/10

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Senarai terbaru Kepimpinan UMNO di peringkat negeri seperti mana yang diumumkan hari ini diyakini mampu mengukuhkan lagi kedudukan parti terutama bagi menarik lebih ramai sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke 13.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebagai contoh pelantikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis serta Kedah.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai kelebihan dan pengaruh masing-masing di kalangan masyarakat akar umbi di kedua-dua negeri berkenaan.

''Pucuk pimpinan parti percaya dengan kewibawaan kedua-dua pemimpin ini. Mukhriz misalnya mempunyai pengaruh untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi muda terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) di Kedah,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pelantikan semula pengerusi dan timbalan pengerusi UMNO negeri di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai keputusan pucuk pimpinan UMNO melantik Shahidan dan Muhkriz sebagai Timbalan Pengerusi Badan UMNO di Perlis serta Kedah.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan Shahidan, Tengku Adnan berkata, selain mempunyai pengalaman bekas Menteri Besar Perlis itu mempunyai kelebihan untuk berganding dengan Md. Isa bagi memantapkan lagi kedudukan UMNO di negeri berkenaan.

''Saya yakin gandingan kedua-dua pemimpin ini akan memberi impak yang berkesan kepada kekuatan UMNO di Perlis,'' katanya lagi.

Begitu juga beliau berkata, dengan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Pulau Pinang.

Berhubung keputusan untuk mengekalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Selangor serta Wilayah Persekutuan Tengku Adnan berkata, kepimpinan UMNO di kedua-dua negeri itu masih memerlukan kepimpinan dua pemimpin utama negara berkenaan.

Mengenai pengguguran tiga Naib Presiden sebagai pengerusi UMNO di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang Tengku Adnan berkata, langlah tersebut adalah sejajar dengan kehendak ahli akar umbi.

Selain itu katanya, ia juga adalah sebagai langkah terbaik untuk ketiga-tiga naib presiden berkenaan menumpukan perhatian kepada tugas-tugas hakiki iaitu berdasarkan kepada biro masing-masing.

''Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah diberi tanggungjawab mengendalikan biro latihan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula merupakan pengerusi tatatertib dan pindaan perlembagaan manakala Datuk Seri Mohd. Sahfie Apdal adalah pengerusi biro keahlian.

''Dengan tidak memegang jawatan pengerusi ketiga-tiga Naib Presiden ini akan dapat menumpukan kepada tugas-tugas yang telah dipertanggungjawabkan,'' ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, pucuk pimpinan parti mengarahkan supaya semua perhubungan UMNO negeri mengadakan mesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan.

''Mereka juga telah diminta memberi laporan-laporan terus kepada presiden,'' katanya lagi.

/hwa: utusan.com.my/

Pelantikan Khusrin tidak dimaklumkan kepada MB

UM - 28/12/10

SHAH ALAM 27 Dis. - Walaupun telah dinyatakan bahawa pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menganggap keputusan itu sebenarnya belum muktamad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar, cadangan itu belum muktamad kerana pelantikan Mohammed Khusrin yang kini memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak pernah dimaklumkan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu menurut kenyataan tersebut, Abdul Khalid telah mempersembahkan surat kepada Sultan Sharafuddin untuk memaklumkan yang beliau tidak dihubungi bagi diberitahu tentang cadangan tersebut.

''Sebelum ini kerajaan negeri telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan. Panel tersebut telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

''Abdul Khalid kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada Sultan Sharafuddin untuk mendapat perkenan," kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai reaksi terhadap pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru berkuatkuasa 1 Januari ini yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan hari ini.

Mohammed Khusrin, 54, dilantik bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut juga memberitahu, Abdul Khalid akan menghadap Sultan Sharafuddin pada Rabu ini berhubung perkara itu.

/hwa: utusan.com.my/

Pelantikan beri nafas baru kepada UMNO

UM - 28/12/10

KUALA TERENGGANU 27 Dis. - Pelantikan semula Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan memberi nafas baru kepada UMNO dan negeri ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, ia membuktikan pucuk pimpinan tertinggi negara yakin dengan kemampuan pemimpin negeri menerajui parti dan memenuhi harapan rakyat.

Beliau menyifatkan pelantikan itu turut melenyapkan pelbagai persepsi negatif terhadap UMNO negeri seterusnya menjadi permulaan baru untuk parti menyusun dan menggerakkan agenda menghadapi pilihan raya.

“Saya rasa pengumuman ini amat dinantikan oleh semua. Menteri Besar sendiri akan mengetuai UMNO negeri dibantu oleh Timbalannya, Yahya Khatib Mohamad. Mereka merupakan orang yang paling layak untuk menjadi perantaraan antara kepimpinan dan rakyat.

“Pelantikan ini tentunya ditimbangkan bukan dalam sehari dua dan saya yakin penyerahan kembali jawatan ini amat bermakna dalam perkembangan politik di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

/hwa: utusan.com.my/

27 Disember 2010

Senarai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri 2011

BH - 2010/12/27

KUALA LUMPUR: Berikut senarai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri 2011 yang diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini hari ini.

Perlis
Pengerusi: Datuk Seri Md Isa Sabu
Timbalan : Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (muka baru)

Kedah
Pengerusi: Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanapiah (muka baru)
Timbalan : Datuk Mukhriz Tun Mahathir (muka baru)

Pulau Pinang
Pengerusi: Datuk Zainal Abidin Osman (muka baru)
Timbalan : Datuk Musa Sheikh Fadzir (muka baru)

Perak
Pengerusi: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Timbalan : Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Selangor
Pengerusi: Datuk Seri Najib Razak
Timbalan : Datuk Seri Noh Omar

Wilayah Persekutuan
Pengerusi: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan : Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Negeri Sembilan
Pengerusi: Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan : Datuk Shaziman Abu Mansor

Melaka
Pengerusi: Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Timbalan : Datuk Wira Abu Seman Yusop

Johor
Pengerusi: Datuk Abdul Ghani Othman
Timbalan : Datuk Dr Latiff Ahmad

Pahang
Pengerusi: Datuk Seri Adnan Yaakob
Timbalan : Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin

Terengganu
Pengerusi: Datuk Seri Ahmad Said (muka baru)
Timbalan : Yahya Khatib Mohamad (muka baru)

Kelantan
Pengerusi: Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan : Datuk Dr Awang Adek Hussin

Sabah
Pengerusi: Datuk Seri Musa Aman
Timbalan : Datuk Seri Salleh Said Keruak

/hwa: bharian.com.my/

PM gembira Malaysia menang

BH - 27/12/10

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sangat gembira dengan kemenangan pasukan Malaysia yang menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini... pasukan negara menunjukkan persembahan yang baik pada malam ini (malam tadi) dan seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pasukan kebangsaan.

“Pasukan kita perlukan satu lagi persembahan terbaik di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

/hwa: bharian.com.my/

Larang guna logo 1Malaysia dibeku

BH - 27/12/10

Oleh Azmi Md Deros, Petah Wazzan Iskandar dan Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2010/12/27

Kerajaan Selangor cuba redakan keadaan, bincang pada mesyuarat EXCO

KUALA LUMPUR: Kontroversi berhubung larangan penggunaan logo 1Malaysia di Selangor cuba diredakan kerajaan negeri dengan membekukan sementara pelaksanaannya dalam kawasan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu, berkata larangan penggunaan logo itu akan dibincangkan pada mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) akan datang.

“Saya sudah meminta MDKL menangguhkan tindakan larangan buat sementara waktu sebelum tindakan lanjut diputuskan kelak,” katanya menerusi pesanan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Berita Harian, semalam.

Rabu lalu, akhbar tempatan melaporkan, kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan sebuah kedai serbaneka, di Kuala Langat sebagai membantah tindakan MDKL mengarahkan logo 1Malaysia yang dipasang di kedai itu diturunkan.

Perhimpunan aman berlangsung selama 10 minit itu turut disertai ahli UMNO dan MIC bahagian Kuala Langat.

Bagaimanapun, pemilik kedai berkenaan, K Thiyagarajan, dilaporkan tidak mengendahkan arahan itu selepas menerima notis daripada MDKL sebaliknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Isnin lalu sebelum menghantar bantahan kepada Yang Dipertua MDKL, Abdul Razak Jaafar untuk mendapatkan penjelasan.

Di ALOR SETAR, kerajaan PAS Kedah tidak bercadang melarang penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan, banting dan kain rentang di negeri itu kerana berpendapat penggunaan logo itu tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap pakatan pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata penggunaan logo itu dibenarkan asalkan syarat pemasangan yang dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dipatuhi.

“Tidak ada cadangan melarang perkara itu (penggunaan logo 1Malaysia) dan tidak ada perbincangan mengenainya dibuat kerajaan negeri setakat ini.

“Bagi kita di Kedah perkara itu tidak menjadi isu kerana kita berpendapat suasana politik di Kedah berbeza dengan Selangor yang menguatkuasa larangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Di GEORGETOWN, Kerajaan Pulau Pinang masih belum memutuskan sama ada untuk mengikut tindakan Kerajaan Selangor melarang penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan, banting dan kain rentang di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy, berkata pihaknya belum membuat keputusan untuk membincangkan larangan penggunaan logo yang bersifat politik kerana ketiadaan keperluan berbuat demikian.

“Kita lihat macam mana nanti, sebab sebarang keputusan perlu dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya yang dihubungi, Berita Harian, di sini, semalam.
Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, larangan itu bukan keputusan pakatan pembangkang tetapi hanya satu pengumuman seorang EXCO Selangor.

/hwa: bharian.com.my/

Anwar tiada bukti kaitkan 1Malaysia dengan Apco

UM - 27/12/10

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya tiada sebarang bukti mengaitkan penglibatan Apco Worldwide dalam pembentukan gagasan 1Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, oleh itu Anwar terpaksa terus membohongi rakyat berhubung isu tersebut.

"Beliau tiada bukti seperti yang dikatakan, sebab itu selama ini beliau terpaksa menggunakan pendekatan berbohong.

"Pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tentang surat penafian daripada Apco baru-baru ini telah membuka tembelang Anwar yang sebenar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mohd. Puad mengulas pendedahan Mohamed Nazri tentang surat daripada Apco yang menafikan firma itu terlibat dalam pembentukan gagasan 1Malaysia.

Mohamed Nazri turut mengemukakan akuan bersumpah penasihat politik yang pernah bertugas dengan Perdana Menteri Israel, Ehud Barak iaitu Robert M. Shrum yang menafikan penglibatan Apco dengan slogan One Israel seperti didakwa Anwar.

Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, Anwar sebenarnya cuba memesongkan pemikiran dan pandangan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dengan menjadikannya satu ancaman kepada masyarakat.

"Ini kerana beliau tahu bahawa 1Malaysia adalah idea yang asal dan bukan ditiru atau direka oleh orang asing. Atas sebab itu beliau dari awal cuba memastikan rakyat memandang sinis idea itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha Anwar itu menemui kegagalan apabila kerajaan mengemukakan bukti bahawa Apco sebenarnya tidak pernah terlibat dalam pembentukan gagasan 1Malaysia atau One Israel seperti yang didakwanya sebelum ini.

Menurutnya, walaupun gagal Anwar sudah pasti tidak akan berhenti begitu sahaja sebaliknya akan terus mencari jalan lain untuk memperlekeh dan memburukkan kerajaan dan gagasan 1Malaysia.

"Pembohongannya sama sahaja. Ketika isu 16 September dulu pun beliau dakwa ada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersedia lompat parti tetapi perkara itu tidak pernah berlaku sebaliknya wakil rakyat pembangkang yang lompat parti.

"Terbaru dia berbohong lagi dengan janji 100 hari untuk rakyat jika berjaya memerintah negara. Ini semua strategi yang sudah terdesak," katanya.

Dalam pada itu Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sandiwara Anwar kini sudah sampai ke kemuncaknya dan merupakan detik-detik terakhir sebelum tamatnya karier politik beliau.

Katanya, Puteri UMNO percaya semakin ramai penyokong Anwar mulai meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak mahu dipimpin oleh pemimpin yang pengecut.

"Sikap berdiam diri disertai pelbagai cubaan Anwar untuk mengelak daripada menunaikan janjinya untuk mendedahkan segala bukti yang dikatakan ada padanya telah menyerlahkan wajah sebenar Anwar yang selama ini berselindung di sebalik topeng keadilan," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Usah terpengaruh pembangkang

UM - 27/12/10

HULU LANGAT 26 Dis. - Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) mengingatkan kepada bekas tentera agar tidak terpengaruh dengan agenda politik pembangkang yang semakin keterlaluan menjelang pilihan raya umum.

Presidennya, Datuk Mohd. Ali Baharom berkata, antaranya tindakan pembangkang yang mencabar ketuanan Melayu adalah perkara yang sangat keterlaluan dan tidak menghormati perasaan orang Melayu.

"Kita tidak mahu perkara ini merosakkan bangsa Melayu kita sendiri demi memenuhi agenda politik mereka (pembangkang) yang terdesak.

"Sepatutnya mereka kena hargai jasa bekas tentera kerana perjuangan mereka mempertahankan negara adalah sesuatu yang sangat besar demi melihat anak bangsa terbela di tanah air sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Jejak Skot Hati ke Hati dan perasmian PVTM cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di sini hari ini.

Pada majlis itu, PVTM turut menyampaikan sumbangan beras kepada bekas tentera yang hadir manakala ahlinya, Mohd. Sabri Mohd. Said yang kini lumpuh menerima sumbangan kerusi roda.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, kesanggupan PVTM turun padang mendampingi ahli patut dicontohi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Katanya, selain itu, di pihak kerajaan pula, kebajikan bekas tentera yang telah menabur banyak jasa untuk negara sememangnya diberi keutamaan.

"Kita jangan mudah termakan dengan janji kosong pihak pembangkang. Lihat saja hari ini, adakah mereka peka dengan kebajikan bekas tentera dan sanggup turun padang?" ujarnya.

Dalam pada itu, isteri penerima kerusi roda, Roslah Shahir, 53, melahirkan rasa terharu dan terima kasih terhadap persatuan itu kerana peka dengan keadaan suaminya yang lumpuh.

"PVTM adalah persatuan yang peka dengan kebajikan ahlinya dan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu kehidupan saya dan suami," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Fokus pada isu Nik Aziz perlu letak jawatan

UM - 27/12/10

KOTA BHARU 26 Dis. - Dewan Pemuda Pas Kelantan diminta memberi fokus pada isu sebenar dalam menjawab desakan agar Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sayap Pas atau mana-mana pihak yang menyokong parti itu sewajarnya lebih rasional dan tidak memberikan pelbagai alasan remeh temeh untuk mempertahankan pemimpin mereka yang jelas tidak lagi mampu mentadbir negeri ini kerana sering sakit.

Beliau berkata, sekiranya benar Nik Abdul Aziz mampu untuk mentadbir negeri ini, ia perlu dibuktikan dengan melantik sebuah badan bebas bagi menyiasat tahap kesihatan Mursyidul Am Pas itu.

"Saya sudah jangka ada yang melenting apabila saya menggesa Menteri Besar Kelantan meletakkan jawatan. Hujah yang mereka berikan saya tak layak bercakap dengan berbagai alasan.

Soalnya selama ini mereka juga mendesak orang itu dan orang ini patut letak jawatan, apakah mereka layak bercakap soal itu.

"Fokus pada hujah-hujah saya, jangan lari daripada persoalan pokok kerana saya tidak mahu rakyat negeri ini terus ditipu dan dipimpin oleh seorang yang sering sakit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Dewan Pemuda Pas negeri kesal dengan tindakan Ibrahim yang mendesak Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Pada masa yang sama, Ibrahim membidas Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyerangnya kerana menyifatkan pakatan pembangkang membuat satu lagi pembohongan besar apabila berjanji untuk melaksanakan perubahan dalam masa 100 hari selepas mengambil alih pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Orang macam dia memang tidak terkejut kalau melenting. Tengok Kelantan, bukan 100 hari tetapi sudah 20 tahun, masuk angin keluar asap, mana ada pertumbuhan ekonomi, pengangguran terus meningkat, rakyat Kelantan terpaksa berhijrah mencari pekerjaan, prasarana masih teruk, jenayah meningkat dan macam-macam masalah lagi," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

25 Disember 2010

Muhyiddin cabar Anwar

UM - 25/12/10

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menaikkan gaji sebanyak RM500 kepada kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang.

Beliau berkata, langkah itu wajar demi membuktikan keikhlasan kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang membela nasib kakitangan awam serta pegawai-pegawainya.

Persoalannya kata beliau, adakah Anwar sanggup berbuat demikian?

‘‘Saya cabar Anwar yang kebetulan mempunyai kedudukan dalam kerajaan pakatan pembangkang supaya menaikkan gaji kakitangan awam mereka seperti di Selangor atau Pulau Pinang.

‘‘Kita tengok dahulu sama ada Anwar sanggup menambah gaji pegawai-pegawai dan kakitangan awam mereka. Jika Anwar mahu naikkan gaji RM500 kepada guru mengapa beliau tidak tawarkan inisiatif yang sama kepada sektor awam mereka terlebih dahulu?’’ soalnya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program ‘Mendidik Demi Malaysia’ di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anwar yang kesal dengan kenyataannya sebelum ini apabila menyebut bahawa tindakan pakatan pembangkang memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Mengulas isu itu Muhyiddin berkata, setiap rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dibuat secara holistik iaitu turut mengambil kira kesannya kepada semua pihak.

‘‘Bukan tidak boleh buat, boleh, tetapi kita perlu mengambil kira implikasinya kepada pihak lain. Sebagai contoh sekiranya kerajaan membuat tawaran kepada satu pihak dalam perkhidmatan awam, apa pula kata pegawai kerajaan yang lain.

‘‘Mereka akan kata kami tidak layakkah? Mengapa guru sahaja yang dilayan, kami mengapa tidak diberikan. Maksud saya tadi bukan kerajaan tidak menilai tetapi ia melibatkan konteks secara keseluruhan sektor awam yang kakitangannya berjumlah 1.2 juta orang,’’ katanya.

Muhyiddin secara sinis berkata, Anwar yang pakar dan bijaksana itu tahu kedudukan tersebut, tetapi disebabkan muslihat politik dan pilihan raya, beliau sanggup melakukan apa sahaja.

‘‘Tidak apalah kalau bankrap, tidak apalah kalau negara terpaksa tanggung lebih belanja asalkan menang dan Anwar akan jadi Perdana Menteri. Itu tujuan sebenar Anwar,’’ katanya lagi.

Menjawab soalan mengenai tuduhan Anwar bahawa kenyataannya itu seolah-olah tidak menghargai peranan guru, Muhyiddin berkata, dakwaan tersebut hanya menunjukkan betapa terdesak Ketua Pembangkang itu untuk meraih sokongan rakyat.

‘‘Hanya Menteri Pelajaran tidak berhati perut yang tidak menghargai guru. Begitulah terdesaknya Anwar meraih sokongan rakyat,’’ ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/