31 Januari 2011

TAHNIAH!

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Mohd Azahar Ibrahim selepas diumumkan sebagai ADUN Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin (BH). Jan 31, 2011 1:59 am

PRK: N.5 TENANG, JOHOR:

N.5 TENANG, JOHOR:

Keputusan pilihan raya kecil DUN N.5, Tenang (30 Januari 2011)

NAMA CALON PARTI BIL UNDI KEPUTUSAN
Mohd Azahar Ibrahim, 37, Barisan Nasional 6,699 Menang
Normala Sudirman, 38, PAS 2,992 -

Majoriti: 3,707

Keputusan Pilihan Raya Umum DUN N.5, Tenang (Mac 2008)

NAMA CALON PARTI BIL UNDI KEPUTUSAN
Datuk Sulaiman Taha BN 6,367 Menang
Haji Md Saim Siran PAS 3,875 -


PEMILIH BERDAFTAR: 14,511
KERTAS UNDI DITOLAK: 413
KERTAS UNDI DALAM PETI UNDI: 10,655
KERTAS UNDI DIKELUARKAN: 10,669
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN: 14
PERATUS PENGUNDIAN: 73.52%
MAJORITI: 2,492


PETUNJUK:
MTB - Menang Tanpa Bertanding
MNG - Menang
HD - Hilang Deposit
TM - Tiada Maklumat

Forum Invest Malaysia 2011

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan majalah Invest Malaysia kepada Pengerusi Lembaga Hal Ehwal Eksekutif Abu Dhabi, Khaldoon Khalifa Al-Mubarak selepas melancarkan majalah itu sempena Forum Invest Malaysia 2011 yang berlangsung di Emirates Palace Hotel di Abu Dhabi, hari ini. - BERNAMA. Jan 30, 2011 4:56 pm

Rakyat kembali kepada BN

UM - 31/1/11

LABIS 30 Jan. - Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang merupakan petanda bahawa sokongan rakyat kembali semula kepada BN.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan yang diraih BN itu merupakan kemenangan mutlak yang menyaksikan landskap politik negara akan berubah menjadi lebih positif.

"Kemenangan ini memperlihatkan proses pemulihan dan transformasi politik yang dilaksanakan UMNO dan BN telah mula diterima rakyat," katanya.

Sambil bersyukur dengan kemenangan yang diraih oleh calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim, beliau berharap wakil rakyat DUN Tenang berkenaan berjaya menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di kawasan Labis.

Sementara itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut bersyukur atas kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu dan berharap ia akan terus menggandakan lagi semangat BN dalam memperjuangkan pembangunan dan membela nasib masyarakat.

"Saya berharap setiap jentera parti akan terus bekerja keras dalam memastikan BN dapat turut mempertahankan kerusi pada pilihan raya kecil di DUN Merlimau nanti," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut mengingatkan ahli UMNO dan BN supaya tidak terlalu berpuas hati kerana masih terdapat banyak ruang yang dapat diperbaiki untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berterima kasih kepada penduduk di DUN Tenang yang terus memberi kepercayaan kepada BN.

Beliau berkata, penghargaan juga sewajarnya diberikan kepada jentera parti kerana telah bekerja dengan bersungguh-sungguh walaupun dalam keadaan cuaca buruk.

''Apa yang penting kini adalah bagaimana untuk membalas budi masyarakat di Labis dan saya yakin khidmat pertama BN akan bermula malam ini juga dengan membantu mangsa banjir,'' katanya.

Beliau berharap penduduk di Labis dapat bersabar dalam menghadapi banjir kerana usaha untuk membantu mereka sedang giat dilaksanakan kerajaan.

/hwa: utusan.com.my/

Hanya Azahar buang undi

UM - 31/1/11


MOHD. Azahar Ibrahim membuang undi pada jam 8.57 pagi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Labis, Johor, semalam.

LABIS 30 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, di sini hari ini.

Beliau yang lengkap berbaju Melayu biru ditemani isterinya, Tuty Roshizana Tumin, 31, dan neneknya, Esah Sulong, 93.

Mohd. Azahar menunaikan kewajipan tersebut pukul 8.57 pagi manakala neneknya beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun, Tuty tidak mengundi kerana berdaftar sebagai pengundi di Kluang.

Sementara itu, calon Pas, Normala Sudirman, 38, juga tidak mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Mohd. Azahar kemudiannya meluangkan masa melawat 11 lagi pusat pengundian di DUN berkenaan.

Terdahulu, kedatangan Mohd. Azahar pada pukul 8.55 pagi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah disambut oleh para penyokongnya dengan tepukan dan sorakan.

Walaupun beberapa penyokong pembangkang cuba melakukan provokasi terhadapnya tetapi beliau kelihatan bersahaja.

/hwa: utusan.com.my/

TPM, isteri turut 'dikepung' bah

UM - 31/1/11

LABIS 30 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang meninjau ke beberapa pusat pembuangan undi hari ini turut terperangkap bersama pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamarul Ariffin di sini apabila kawasan itu terkepung oleh air banjir.

Banjir yang mencecah setinggi dua meter itu menyebabkan laluan kedua-dua arah iaitu ke Pekan Labis dan Felda Tenang ditenggelami air dan tidak boleh dilalui sebarang kenderaan.

Turut terperangkap bersama Timbalan Perdana Menteri dan isterinya di sekolah berkenaan ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau yang mengadakan sidang akhbar pukul 1.30 petang di sekolah itu hanya dapat beredar pukul 4.30 petang apabila mendapat bantuan dengan menaiki trak tentera.

Seperti penduduk lain, Timbalan Perdana Menteri dan isteri turut mengharungi banjir untuk ke rumah kediaman sementara mereka di Taman Perling, di sini apabila rumah tersebut turut dinaiki air setinggi paras lutut.

Walaupun program mereka untuk menemui lebih ramai pengundi terbantut akibat banjir, namun Muhyiddin dan isteri tetap bersemangat menjalankan tugas mereka.

Dalam pada itu, tugas wartawan dan jurugambar yang membuat liputan hari pembuangan undi hari ini nyata terjejas akibat banjir yang melanda daerah ini.

Ada antara mereka yang 'terperangkap' di sesuatu kawasan sehingga berjam-jam apabila laluan terputus akibat laluan utama dinaiki air.

Lebih memeningkan wakil media, talian telefon dan Internet turut terganggu.Malah, kamera beberapa jurugambar rosak akibat dimasuki air.

/hwa: utusan.com.my/

Pas tidak patuhi arahan SPR larang dirikan khemah

UM - 31/1/11


PONDOK panas yang didirikan oleh parti pembangkang berhampiran pusat pembuangan undi di Felda Cempelak, Labis, Johor, semalam.

LABIS 30 Jan. - Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang mana-mana parti mendirikan khemah semasa hari pembuangan undi tetapi Pas berdegil dan tidak menghiraukan larangan itu.

Pas mendirikan sebuah khemah di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Chemplak di sini sejak awal pagi ini.

Tindakan tersebut membuatkan para penyokong Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati dan berlaku sedikit ketegangan.

Keadaan dapat dikawal walaupun penyokong-penyokong Pas melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata mencerca dan menjerit-jerit terhadap penyokong BN.

Naib Ketua Bahagian UMNO Sri Gading, Mazlan Katiman, melahirkan rasa kesal dengan keadaan itu kerana Pas tidak mematuhi peraturan SPR.

Jelasnya, UMNO sudah beberapa kali membuat aduan terhadap SPR tetapi tiada sebarang tindakan dikenakan.

"Sepatutnya tidak ada sebarang khemah didirikan di kawasan mengundi. Kami sudah membuat aduan kepada SPR pada sebelah pagi dan petang tetapi tiada tindakan.

"Mujurlah penyokong BN tidak membuat perkara yang sama atau berbuat sesuatu yang tidak diingini," katanya kepada pemberita di sekolah tersebut, di sini hari ini.

Katanya, perbuatan itu jelas melanggar peraturan SPR dan sudah semestinya khemah tersebut dibuka atau dirobohkan.

/hwa: utusan.com.my/

Pakatan pembangkang tidak pernah sehaluan

UM - 31/1/11

KUANTAN 30 Jan. - Tindakan DAP yang tidak pernah bersetuju dengan agenda negara Islam yang dibawa oleh Pas dan sikap PKR yang mendiamkan diri berhubung isu itu membuktikan pakatan pembangkang tidak pernah sehaluan.

Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pahang, Datuk P. Elayppen berkata, tiga parti yang berpakat itu tidak berada di landasan sama kerana memiliki ideologi perjuangan berbeza.

"DAP dan Pas tidak pernah bersetuju mengenai agenda negara Islam yang cuba diwujudkan Pas.

"DAP pula menentang keras agenda itu manakala PKR pula tidak pernah membuat sebarang pendirian jelas berhubung isu itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan pada Konvensyen BN Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Elayppen menegaskan, ketidaksepakatan itu membuktikan gabungan pembangkang dibentuk untuk mencapai cita-cita politik semata-mata.

Menurut beliau, negara akan hancur sekiranya ia meletakkan masa depannya di tangan tiga parti berlainan yang mempunyai tiga agenda yang sangat berbeza.

"Mereka sedang menghadapi pelbagai konflik dan perebutan dalaman selepas pilihan raya umum lalu," katanya.

Oleh itu, tegasnya, inilah masanya untuk BN bergabung tenaga dan maju bagi menghadapi pembangkang yang lemah itu.

"Parti-parti yang lebih besar dalam BN hendaklah menghulurkan bantuan menyokong parti-parti kecil seperti abang yang membantu adik-adik supaya kita kekal sebagai sebuah keluarga yang kukuh," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, perubahan paling signifikan yang mempengaruhi senario politik negara adalah kemunculan media alternatif yang mempunyai pengaruh besar kepada pengundi muda.

"Kita tidak boleh menafikan laman web dan blog memberi pengaruh besar kepada tanggapan dan pandangan pengundi muda.

"Justeru apa saja kritikan atau pandangan perlu diterima dengan fikiran terbuka dan perubahan perlu dilakukan bagi menepis persepsi negatif segelintir rakyat," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Azmin lebih penting daripada segala-galanya

UM - 31/1/11

KULIM 30 Jan. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, beliau tidak hairan dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlekehkan tindakannya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana Ketua Pembangkang itu lebih mementingkan Azmin Ali daripada segala-galanya.

Menurutnya, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR seolah-olah terlalu 'istimewa' sehingga apa juga tindak-tanduknya yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan ahli dan pemimpin PKR, hanya dipandang sepi oleh Anwar.

''Kalau suatu hari nanti anaknya Nurul Izzah keluar parti sekalipun, Anwar tidak kisah kerana Azmin Ali lebih penting daripada segala-galanya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Gobalakrishnan mengulas kenyataan Anwar bahawa tindakan beliau keluar daripada PKR sememangnya sudah dijangka dan ia tidak memberi kesan kepada parti itu.

Menurut Anwar, tindakan Gobalakrishnan itu bukan sesuatu yang mengejutkan ekoran kritikan-kritikan kerasnya terhadap pemimpin tertinggi PKR kebelakangan ini.

Gobalakrishnan semalam mengumumkan keluar daripada PKR dan melepaskan semua jawatannya berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa dengan gaya kepimpinan Anwar serta tindak-tanduk Azmin yang didakwanya semakin merosakkan parti itu.

Tindakan itu menjadikan beliau Ahli Parlimen keenam meninggalkan PKR selepas Datuk Seri Zahrain Mohamed (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Shamsuri (Bagan Serai), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju).

Mengulas lanjut, Gobalakrishnan mendakwa, Azmin seolah-olah menjadi individu paling berkuasa dalam PKR kerana mampu mengatur segala strategi parti termasuk memilih 'konco-konconya' untuk memenangi pemilihan parti baru-baru ini.

Keadaan itu juga katanya, boleh dilihat di Selangor apabila Azmin memonopoli syarikat-syarikat milik kerajaan negeri apabila orang-orang yang rapat dengannya dilantik memegang jawatan-jawatan tertinggi di syarikat terbabit.

''Bukankah ini satu penyelewengan?. Orang dalam parti bercakap mengenai perkara-perkara ini dan membawanya kepada Anwar tetapi dia tidak buat apa-apa kerana Azmin adalah lebih penting daripada segala-galanya," jelasnya.

Gobalakrishnan juga mengingatkan Anwar bahawa masyarakat India tidak akan rela terus ditipu oleh gaya kepimpinannya yang hanya pandai beretorik mencetuskan semangat kebencian sehingga memecahbelahkan rakyat.

/hwa: utusan.com.my/

Zul Noordin sifatkan kehancuran PKR begitu cepat

UM - 31/1/11

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam membuktikan parti tersebut semakin menuju kehancuran pada kadar yang begitu cepat.

Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, tindakan Gobalakrishnan itu juga membuktikan langkah para pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu sebelum ini adalah meliputi semua agama dan kaum.

Sebagai bukti, katanya, beberapa nama besar dalam PKR dari pelbagai kaum telah meninggalkan parti seperti 'pembawa' aliran Melayu sekular, Datuk Zaid Ibrahim; pembawa aliran pemikiran bukan Islam dan perjuangan rakyat Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan pembawa aliran pemikiran Cina dan bukan Melayu, Ng Lum Yoong.

Selain itu, jelasnya, PKR juga telah ditinggalkan oleh Gobalakrishnan yang dikenali sebagai pejuang masyarakat India dan penganut Hindu serta beberapa tokoh agama Islam termasuk dari kalangan yang pernah rapat dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Peletakan jawatan YB Gobi (Gobalakrishnan) dan perisytiharan keluar beliau adalah satu isyarat jelas bahawa Parti Kelentong Rakyat ini sudah hancur lebur.

"Teman tahu ada beberapa orang lagi Ahli Parlimen (termasuk ADUN), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi. Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk 'Vanekem macha! Poodah Anvar' di http://zul4kulim.blogspot.com/ hari ini bagi mengulas tindakan Gobalakrishnan yang mengisytiharkan melepaskan semua jawatan dan keluar daripada PKR.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong melalui blognya pula memberitahu, beliau percaya Gobalakrishnan bukan merupakan pemimpin terakhir dari PKR yang meninggalkan parti tersebut.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen Padang Serai itu membuktikan beliau sudah muak dengan permainan 'politik cakap tak serupa bikin' dan politik penipuan yang diamalkan dalam PKR.

"Selepas ini Gobalakrishnan akan dilabel dengan gelaran pengkhianat oleh Anwarinas (penyokong Anwar) dan dibantu pula oleh sesetengah portal berita tetapi ia lebih baik daripada digelar pengecut dengan menyembunyikan segala kesalahan yang nampak di depan mata," tegasnya.

Zulkifli dan Choo Keong yang turut meninggalkan PKR sebelum ini mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan tindakan Gobalakrishnan menjadi Ahli Parlimen seperti mereka.

/hwa: utusan.com.my/

Pas diminta tidak berdalih

UM - 31/1/11


MOHD. Fatmi Che Salleh (depan, tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada penerima bantuan menunjukkan 1Malaysia di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 30 Jan. - Kerajaan Pas Kelantan diminta tidak lari daripada isu asal membabitkan Bazar Tok Guru bagi menutup kelemahan mereka menunaikan janji kepada 412 peniaga di Pasar Lambak Arked Uda dan Pasar Besar Lama MPKB di sini.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memberi amaran kepada UDA Holdings Bhd. (UDA) jelas menunjukkan sikap Kerajaan Pas Kelantan yang suka menuding jari kepada orang lain.

Beliau berkata, persoalan utama dalam isu Bazar Tok Guru ialah kerajaan negeri gagal menunaikan janji mereka untuk menyediakan ruang niaga yang selesa pada harga mampu milik kepada peniaga terbabit sebagaimana dijanjikan sebelum pilihan raya umum 2008.

"Jangan alih isu, jangan kata UDA tidak membantu. UDA sentiasa membantu, tidak payah bagi amaran kepada UDA. Bagi amaran macam cerita koboi, hari ini kerajaan moden, kehidupan hari ini bukan undang-undang rimba.

"Tapak Pasar Besar Lama MPKB telah dijual kepada pihak swasta, kalau nak bantu peniaga buat apa jual sepatutnya baiki dan ubah suai supaya lebih ramai boleh berniaga.

"Tetapi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah jual banyak harta termasuk tapak bengkel MPKB-BRI dan usir 70 hingga 80 penduduk di Limau Manis untuk bina kondominium mewah, hari ini pula kita berdepan dengan isu peniaga dan ini menunjukkan kerajaan negeri tidak ada langsung semangat untuk bantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal dan Warga Emas Tionghua Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Building Society Bhd. (MBSB), Datuk Ahmad Zaini Othman dan wakil Vconnect Asia Sdn. Bhd., Datuk K. C. Loh.

Pada majlis tersebut, seramai 1,300 warga emas dan ibu tunggal kaum Cina menerima sumbangan sebagai persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina Khamis ini.

Semalam, akhbar melaporkan Kerajaan Pas Kelantan memberi tempoh sebulan kepada UDA untuk membawa cadangan pelan pembangunan kawasan tapak Pasar Lambak Arked UDA di Seksyen 11 dekat sini dan jika gagal, kawasan itu akan diambil semula.

Mohamad Fatmi yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pas Kelantan perlu mengikut proses undang-undang sekiranya mahu mengambil semula tanah milik UDA itu.

Katanya, UDA telah lama menghantar pelan untuk membangunkan kawasan tersebut tetapi tidak dapat dilaksanakan disebabkan Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu memindahkan peniaga di Pasar Lambak Arked Uda.

"Projek asal UDA di tapak itu ialah membina sebuah apartmen dilengkapi dengan ruang perniagaan termasuk satu aras khusus untuk bazar bagi peniaga asalnya, tetapi bila berunding dengan kerajaan negeri dan MPKB-BRI, mereka memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan bina Bazar Tengku Anis dan Bazar Tok Guru untuk peniaga terbabit.

"UDA mengamalkan konsep timbang rasa dan tidak menghalau peniaga selagi tidak ada tempat berpindah kerana UDA ditubuh untuk bantu peniaga-peniaga Melayu," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pemimpin India PKR ikut buta tuli

UM - 31/1/11

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pemimpin India yang masih setia dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bersikap berpura-pura kerana mereka tidak ada tempat dalam parti itu.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, hanya mereka yang tidak faham sahaja membuat sangkaan baik bahawa parti itu untuk semua kaum.

''Mereka salah anggap bahawa PKR boleh mewakili semua kaum kerana mereka ikut sahaja secara membuta tuli. Dari awal kita boleh nampak melalui ucapan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbeza mengikut kaum.

''Ia jelas bukan agenda untuk menyatupadukan rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan, keluar daripada PKR adalah bukti masyarakat India tidak dihargai oleh Anwar.

Gobalakrishnan mengisytiharkan dirinya keluar PKR dan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai kerana bosan dengan sikap Anwar serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Kayveas menambah, PKR hanya mengejar matlamat yang kabur tanpa prinsip yang jelas biarpun sanggup memecah belahkan kaum.

''Saya sendiri hairan bagaimana Anwar ketika bersama kerajaan sentiasa tidak sependapat dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh tetapi kini bersahabat baik.

''Perkara ini jelas kerana Anwar akan buat apa sahaja untuk merampas kuasa sekali gus mencapai matlamatnya ke Putrajaya,'' katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, PKR tidak mengamalkan sikap toleransi antara pemimpin pelbagai kaum dalam parti itu sebagaimana yang dipraktikkan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, parti tersebut masih tidak matang dalam perkara itu bagi mewujudkan suasana harmoni antara kaum.

Dalam konteks itu, katanya, ia dilihat menjadi punca lebih ramai pemimpin India daripada parti berkenaan bertindak keluar parti.

''PKR sememangnya tidak mengutamakan nasib kaum India dan selalu mengetepikan masalah kaum itu.

''Ia berbeza dengan BN apabila setiap isu yang timbul akan ditangani secara bersama tidak mengira kaum atas prinsip bersatu dan bekerjasama,'' katanya.

/hwa: utusan.com.my/

30 Januari 2011

BN menang di DUN Tenang

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat tangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim setelah diumumkan sebagai pemenang kerusi DUN Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis. 30 Jan. 2011. - Utusan/ISHAK RAHMAD

Keputusan rasmi: BN menang di Tenang dengan majoriti 3,707

UM - 30/1/11

30/01/2011 10:11pm

LABIS 30 Jan. – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor apabila calonnya, Mohd Azahar Ibrahim mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi.

Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi, manakala Normala 2,992 undi.

Keputusan penuh:

N05: TENANG, JOHOR

Jumlah pengundi: 14,753

KEPUTUSAN:

Normala Sudirman (Pas) 2,992 undi

Mohd Azahar Ibrahim (BN) 6,699 undi

Jumlah mengundi 9,833 pengundi

Peratus mengundi 67 peratus

Undi rosak 142 undi

Majoriti 3,707 undi

Penyandang: Sulaiman Taha (BN)

Undi diperolehi: 6,367

Majoriti: 2,492.

/hwa: utusan.com.my/

Perlu bijak buat pilihan – Azahar

UM - 30/1/11


MOHD. Azahar Ibrahim mencium tangan neneknya, Esah Sulong untuk mendapat restu diperhatikan Shahrizat Abdul Jalil di rumahnya di Labis, semalam.

LABIS 29 Jan. – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berharap pengundi membuat pilihan bijak pada hari pengundian esok.

“Setiap undi adalah amat berharga dan jangan sia-siakannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Merah di sini, hari ini.

Mohd. Azahar memulakan kempennya hari ini dengan berjumpa masyarakat Cina, kemudian beramah mesra dengan penduduk kampung itu, Kampung Juaseh, Taman Daya, Taman Soon Cheong dan kemudian melawat bekas gurunya, May Yusof Mat Arif yang sakit di Pekan Ayer Panas.

Mohd. Azahar kemudian bertemu dengan masyarakat Cina di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Labis selain bertemu dengan neneknya, Esah Sulong, 93, dan nenek isterinya, Awiyah Mohd. Sani, 81, di Kampung Paya Merah.

Esok, Mohd. Azahar dan Esah akan mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah kira-kira pukul 8 pagi esok.

Normala serah kepada pengundi


NORMALA Sudirman bersalam dengan penduduk di Kampung Lembah Bakti Tenang Station, Labis, semalam.

LABIS 29 Jan. – Tempoh 24 jam sebelum berakhirnya kebenaran berkempen digunakan sepenuhnya oleh calon Pas, Normala Sudirman untuk bertemu dengan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang semalam.

Normala berkata, suaminya, Maarof Abdul Mutalib memulakan kempen hari terakhirnya dengan bertemu penduduk di Felda Chemplak, Kampung Sawah dan menemui petugas di bilik gerakan Pas di sini sebelum berhenti rehat.

Beliau kemudian menziarahi jenazah seorang penduduk kampung di Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, Ramli Ahmad, 71, yang meninggal dunia pagi ini, ke Kampung Orang Asli Segamat Kecil dan berakhir di Felda Chemplak.

Normala yang ditemui pemberita di sini berkata, beliau sentiasa positif dan berkeyakinan tinggi menghadapi hari pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di sini esok.

“Sekiranya kalah, saya anggap ia sebagai kemenangan yang tertunda,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Gobalakrishnan keluar PKR

UM - 30/1/11

KULIM 29 Jan. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa hari ini.

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, ketika menyertai parti pada 1999, beliau percaya ia mampu membawa perubahan kepada rakyat atas semangat reformasi yang diperjuangkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, selepas hampir 12 tahun bersama PKR, beliau mendapati parti semakin rosak malah tersasar jauh daripada asas perjuangannya kerana dikuasai pemimpin seperti Anwar dan Timbalan Presiden, Azmin Ali yang hanya berjuang atas kepentingan diri sendiri.

Katanya, selain Anwar, Azmin ialah individu yang membawa pelbagai kerosakan dan perpecahan dalam parti sehingga tidak lagi dilihat boleh membawa perubahan kepada rakyat.

"Terlalu banyak petunjuk termasuk dalam pemilihan parti baru-baru ini yang menunjukkan betapa PKR dirosakkan oleh Azmin. Berkali-kali saya bawa perkara ini kepada Anwar supaya semua kerosakan ini dibaiki tetapi nampaknya dia tidak boleh buat keputusan.

"Nampaknya Azmin yang lebih berkuasa. Kalau Anwar sendiri tidak boleh beri keadilan kepada ahli-ahlinya sendiri bagaimana dia mahu memberi keadilan kepada rakyat? Saya sudah tidak boleh bekerja dengan orang ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Gobalakrishnan sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan PKR terutama melalui laman sosial Twitter miliknya termasuk mendakwa Anwar dan Azmin sebagai pemimpin tidak demokratik selain terlibat dalam rasuah.

PKR awal bulan lalu juga mengemukakan surat tunjuk sebab atas tindakan Gobalakrishnan mengkritik kepimpinan tertinggi parti.

Gobalakrishnan yang juga bekas Setiausaha Pemuda MIC berkata, beliau selepas ini akan bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas sambil menegaskan tidak memihak atau menyertai mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beliau dan beberapa rakannya akan menggerakkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru yang bermatlamat membantu masyarakat India khususnya di sekitar kawasan Padang Serai.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai pada pilihan raya umum akan datang dan bersedia berdepan mana-mana calon sama ada daripada BN atau pakatan pembangkang.

Ditanya sama ada beliau sudah menghantar surat peletakan jawatannya secara rasmi kepada parti, Gobalakrishnan berkata: "Sidang akhbar ini bagi saya sudah cukup rasmi, mereka akan tahu juga."

Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan wujud persepsi bahawa beliau 'dibeli' untuk meletak jawatan dan menyertai BN, bekas Ketua Cabang PKR Padang Serai itu menegaskan ia tidak berlaku.

"Tidak, tetapi anda (pemberita) boleh tanya Anwar sama ada Gobalakrishnan orang yang boleh 'dibeli' atau tidak," katanya.

Gobalakrishnan juga memberitahu, beliau tidak akan menghantar sebarang permohonan rasmi berhubung kedudukan kerusinya dalam Dewan Rakyat.

"Saya lebih selesa duduk di kerusi yang ada sekarang. Ia dekat dengan tempat Anwar duduk, biarlah saya di situ supaya mudah saya bertanya soalan kepadanya di dalam Dewan kelak," katanya.

Mengulas lanjut, Gobalakrishan berkata, beliau meninggalkan MIC dan menyertai PKR pada 1999 kerana dijemput oleh Anwar kononnya untuk membantu masyarakat India tetapi ia sekadar perjuangan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Sebaliknya, kata beliau, gaya kepimpinan Anwar menyebabkan masyarakat India kini berpecah-belah dan perkara sama dilakukan terhadap penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Anwar melakukan pendekatan 'pecah dan perintah' dan kita boleh lihat bagaimana kepimpinan masyarakat Kadazan di Sabah dan Dayak di Sarawak berpecah-belah akibat pemilihan yang tidak demokratik.

"PKR sebenarnya ada peluang di Sabah tetapi peluang itu dirosakkan kerana Anwar mahu meletakkan orang Azmin di sana dan ini tidak membawa kebaikan kepada parti," jelasnya.



/hwa: utusan.com.my/

‘Kuan Yew ketepikan agama’

UM - 30/1/11


LEE Kuan Yew menarik sokongan orang Melayu dengan memakai songkok ketika bertemu penduduk Melayu di Kampung Tani, Singapura pada 1965.


  • Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak hairan dengan kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew meminta umat Islam negara itu longgarkan pegangan agama kerana beliau memang langsung tidak menghormati agama dan sensitiviti orang lain.
  • Dr. Mahathir juga melihat orang Melayu Singapura ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga jika mahu bersuara sebab bimbang menjadi mangsa.
  • JADUAL TUN DR. Mahathir Mohamad Jumaat lalu memang padat. Sebelum sesi wawancara bersama Mingguan Malaysia berlangsung, beliau menerima kunjungan tetamu dari luar negara. Selesai bercakap dengan NORAINI ABD. RAZAK, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan NORLAILE OSMAN, ada lagi kumpulan yang sedang menunggu.

    ‘‘Saya memang sibuk, tengok (sambil menunjuk nota-nota di atas mejanya) semua ini yang saya buat. Selepas ini ada dua pertemuan lagi,’’ katanya sebaik ditanya mengenai tugasannya pada hari berkenaan. Kelihatan bertenaga tetapi tetap bersahaja, bekas Perdana Menteri itu seperti biasa tenang melontarkan jawapan pada setiap soalan berhubung kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew baru-baru ini.

    Berpengalaman luas dalam berhadapan dengan kerenah hubungan dua hala Malaysia-Singapura, Dr. Mahathir menyifatkan kenyataan Kuan Yew supaya umat Islam di negara itu melonggarkan pegangan agama yang didakwa beliau menghalang integrasi kaum sebagai:

    ‘‘Jika beliau mahu supaya ada integrasi kaum di Singapura, maka beliau tidak boleh membenarkan Islam menjadi penghalang kepada matlamat itu. Itulah sikap Kuan Yew. Beliau langsung tidak menghormati agama dan sensitiviti orang lain.’’

    Mengenai orang Melayu Singapura yang mendabik dada menyanggah kenyataan Dr. Mahathir bahawa mereka terpinggir sebaliknya mendakwa nasib mereka jauh lebih baik di sana sehingga tidak perlu bergantung kepada bantuan dan subsidi daripada kerajaan seperti orang Melayu di Malaysia, bekas Perdana Menteri itu menjawab ringkas: ‘‘Tidak juga, sebab peluang yang sewajarnya untuk mereka (orang Melayu Singapura) tidak ada di sana.”

    Dalam pertemuan kira-kira setengah jam di pejabat Perdana Global Peace Organisation (PGPO) itu Dr. Mahathir turut ditanya mengenai kenaikan harga barangan keperluan, kos hidup yang semakin tinggi serta kadar upahan pekerja yang dilihat tidak setara.

    MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat kenyataan Lee Kuan Yew supaya umat Islam di Singapura melonggarkan pegangan terhadap agama Islam?

    Dr. Mahathir Mohamad: Saya tidak hairan dengan kenyataan itu sebab bagi beliau agama tidak penting. Lebih-lebih lagi agama Islam. Bagi dia seperti kata mat salleh the end justify the means, jika beliau mahu supaya ada integrasi kaum di Singapura, maka beliau tidak boleh membenarkan Islam menjadi penghalang kepada matlamat itu. Itulah sikap Kuan Yew. Beliau langsung tidak menghormati agama dan sensitiviti orang lain.

    Tapi ada yang berkata kita terlalu memandang sempit pemikiran Kuan Yew itu yang kononnya mahu orang Islam di Singapura progresif?

    Dr. Mahathir Mohamad: Pada saya kita terlalu terbawa-bawa dengan ajaran imam-imam tertentu sehingga kita berpecah-belah. Islam itu sendiri sudah cukup progresif. Yang menjadi masalah ialah tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh manusia biasa walaupun mereka terdiri daripada ulama yang cukup mendalam pengetahuan mengenai Islam. Dalam Islam disebutkan tidak boleh berbunuh sesama Islam, tetapi ketika ini pun terdapat orang Islam yang membunuh orang Islam lain. Banyak tafsiran yang kita terima juga bercanggah antara satu sama lain. Bercanggah sehinggakan orang Islam itu bermusuh dengan orang Islam sendiri. Sebenarnya itu bukan datang daripada ajaran Islam. Sekiranya kita merujuk kepada ajaran Islam dan hadis-hadis sahih, tidak ada fahaman sunni, syiah atau wahabi. Ini adalah hasil daripada tafsiran manusia yang bukannya Nabi. Mereka adalah orang biasa walaupun mungkin mempunyai latarbelakang dan pendidikan yang baik. Sebab itu tafsiran mereka telah memecah-belahkan umat Islam. Kerana itu kita harus tentukan supaya kita kembali kepada ajaran Islam yang asal, benar dan berasaskan kepada apa yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis yang sahih. Tapi itu bukan bermakna kita melonggarkan Islam. Sebenarnya agama Islam itu sempurna untuk mana-mana zaman sekali pun. Apabila orang Islam itu dilihat lemah dan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang dipersoalkan, itu bukan kerana agama Islam. Tetapi kerana pendapat sesetengah orang yang ada kepentingan. Umpamanya dengan menjadi pengebom berani mati dan membunuh orang lain yang tidak berdosa. Itu tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam tidak pernah membenarkan kita meletupkan diri dalam keadaan-keadaan tertentu. Tidak ada dalam al-Quran perkara seperti itu. Kita kena jelas dengan perkara-perkara seperti ini. Tapi jangan dalam soal halal dan haram juga patut kita longgarkan. Misalnya tidak mengapa kalau mabuk sedikit atau makan makanan haram sedikit.

    Dulu beliau (Kuan Yew) marah apabila Osman Wok duduk semeja dengan dia tetapi diberi makanan halal. Dia tanya mengapa Osman Wok tidak boleh makan makanan yang dia makan sebab makanan itu tidak ada babi. Betul tidak ada babi, tapi kita tidak tahu macam mana dia masak dan jika ada daging di dalamnya sama ada disembelih atau tidak. Sebab itu Osman Wok pilih makanan halal sebab dalam Islam tidak boleh kata tak apalah sikit-sikit.

    Dalam Islam tidak boleh begitu. Memang kalau dalam keadaan terdesak itu dibenarkan tapi kita bukan berada dalam keadaan terdesak. Makan malam bukan terdesak.

    Islam itu sendiri agama yang progresif?

    Dr. Mahathir Mohamad: Islam sudah cukup progresif. Apabila ada pertentangan pendapat kita berbalik kepada ajaran Islam sebenar. Di dalam al-Quran disebut Islam mesti bersaudara, adakah dengan masuk PAP kita tidak boleh bersaudara.

    /hwa: utusan.com.my/

    28 Januari 2011

    Le Tour de Langkawi 2011

    PELUMBA negara, Anuar Manan yang mewakili pasukan Terengganu ProAsia Cycling megah bersama jersi biru selaku Raja Pecut selepas menduduki tempat kedua pada perlumbaan peringkat keenam dari Rawang ke Putrajaya, Le Tour de Langkawi, di Putrajaya, 28 Jan. - Utusan/IZHAM JAAFAR

    Suami Normala sakit kritikal?

    UM - 28/1/11


    Maarof Abd. Mutalib (kiri) membantu isterinya, Normala Sudirman berkempen bagi Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Kampung Tenang, Labis, Johor, semalam.

    KUALA LUMPUR 27 Jan. - Status kesihatan Maarof Abd. Mutalib, suami kepada Normala Sudirman calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

    Perkara itu didedahkan menerusi sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, Labis, Johor.

    Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan sama.

    Ketiga-tiga salinan surat sakit yang dikeluarkan kepada Maarof itu turut dimuat naik ke dalam blog tersebut menerusi entri bertajuk 'PRK Tenang: Normala's cheating husband has been keeping secrets from her' yang disiarkan semalam.

    Menurut penulis blog itu, cuti sakit yang panjang tersebut membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

    ''Saya bertanyakan rakan yang merupakan seorang doktor, apakah penyakit yang memerlukan seseorang mengambil cuti sakit sehingga dua minggu dan dia (doktor) berkata, penyakit itu mestilah sangat serius dan berkemungkinan mengancam nyawa.

    ''(Sebab jika) demam hanya diberikan cuti sakit satu atau dua hari dan jangkitan mata pula paling lama hanya beberapa hari.

    ''H1N1 pula akan dikuarantin selama dua minggu. Mungkinkah beliau dijangkiti H1N1?.

    ''Saya tidak pasti tetapi selepas dua minggu, adalah jelas beliau masih tidak sihat untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen dan doktor menambah lima hari lagi cuti sakit dari 24 hingga 28 Januari," katanya.

    Tidak berpuas hati dengan perkara itu, penulis blog tersebut menambah, beliau membuat banyak rujukan, menyemak kamus perubatan, bercakap dengan ahli fizik dan pakar, malah, turut menulis kepada beberapa buah pusat kawalan penyakit.

    Bagaimanapun tambahnya, kesemua usahanya itu menjurus kepada satu jawapan iaitu kesimpulan yang tidak dapat dijelaskan.

    ''Kami dengan sedih memaklumkan kepada Cikgu Mala (Normala) bahawa suaminya itu telah mengalami politicitis husbandus temperaturis permanantum atau juga dikenali sebagai election fever-candidate's husband strain 2 (EF-CHS2).

    ''Ia boleh menjadi penyakit yang kekal dan membunuh kariernya sebagai seorang guru," katanya dalam blog itu.

    Penulis blog itu menambah, kelibat Maarof yang sentiasa kelihatan bersama Normala ketika berkempen sebelum ini telah menimbulkan pertanyaan di kalangan orang ramai mengenai pekerjaan sebenar beliau.

    Antaranya, kata beliau, apakah Maarof bekerja sendiri atau merupakan seorang ahli politik sepenuh masa.

    ''(Sebenarnya) Maarof adalah seorang guru dan sangat jelas beliau sedang merahsiakan sesuatu daripada isterinya.

    ''Bukan rahsia kecil tetapi rahsia yang boleh merubah hidup," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Rakyat Tenang kena buat pilihan tepat - Muhyiddin

    UM - 28/1/11

    LABIS 27 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, supaya membuat keputusan yang tepat dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim sebagai wakil rakyat.Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah penting untuk rakyat di kawasan itu memilih calon yang selari dengan kerajaan negeri dan pusat agar segala permasalahan mereka dapat diselesaikan secara efektif kerana BN mempunyai kuasa pentadbiran.

    Menurut beliau, ia terbukti apabila kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi membangunkan kawasan sekitar Tenang.

    Sambil menyuarakan keyakinan bahawa BN mampu mengekalkan DUN Tenang dengan majoriti yang lebih besar, Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada sebab untuk rakyat di kawasan itu serta Johor keseluruhannya menolak BN yang telah banyak berjasa.

    "Jika rakyat di sini memilih calon Pas (Normala Sudirman), wakil rakyat yang dihantar adalah pembangkang, dia ini bukan mempunyai kuasa pentadbiran, bagaimana hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat seperti yang dijanji Pas.

    "Pihak yang hanya boleh menyelesaikan permasalahan di Tenang ini adalah BN, apatah lagi dengan gandingan kerajaan negeri dan pusat," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di sini malam ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tiada pihak yang boleh mempertikaikan jasa BN membangunkan negara dan ia terbukti apabila Johor kini muncul antara salah sebuah negeri termaju di Malaysia hasil perancangan strategik kerajaan.

    Mengenai kempen pembangkang yang 'menjual' isu harga barang naik, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk menstabilkan harga barang termasuk membuat kawalan harga terhadap barang-barang tertentu.

    Katanya, tiada negara lain di dunia ini yang sanggup melakukan kawalan harga demi kesejahteraan rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Malaysia.

    "Memang kita akui ada barang tertentu harganya naik kerana faktor pasaran tetapi ia jauh lebih rendah daripada negara lain, kerajaan sanggup membelanjakan berbilion ringgit dengan memberi subsidi demi kesejahteraan rakyat.

    "Carilah di mana negara lain di dunia ini yang melakukan segalanya demi rakyat seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan BN," soalnya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Bazar Tok Guru: Pas digesa dedah laporan audit

    UM - 28/1/11

    KOTA BHARU 27 Jan. - Kerajaan Pas Kelantan digesa supaya mendedahkan laporan firma audit bebas yang dilantik membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

    Bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa telah berjanji untuk melantik sebuah firma bebas bagi menilai kerugian tersebut pada 27 Januari 2010 selepas isu Bazar Tok Guru hangat diperkatakan.

    Beliau yang juga penulis laman blog Kickdefella berkata, status mengenai firma audit bebas itu senyap begitu sahaja selepas berita pelantikannya dilaporkan oleh media.

    "Saya dengan ini meminta Husam menjelaskan segera apa sudah jadi dengan firma audit bebas itu dan apakah keputusannya selepas genap setahun pengumuman itu dibuat.

    "Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh tutup mulut dan selesaikan janji anda seperti yang termaktub di dalam perjanjian persefahaman antaranya dengan dua persatuan peniaga pada 6 Mac 2008 dan jangan salahkan UDA Holdings Berhad seperti yang dipaparkan dalam akhbar hari ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Isu mengenai Bazar Tok Guru timbul semula apabila 415 peniaga dari dua pasar, iaitu Pasar Lambok Arked Uda dan Pasar Besar MPKB tidak berpuas hati serta mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak berpegang kepada janji apabila memberikan lot perniagaan yang lebih kecil kepada mereka di bazar berkenaan.

    Ketika kekalutan mengenai isu itu kembali memuncak, semalam, Husam mengumumkan pihaknya berhasrat mengambil alih tanah yang menempatkan Arked Uda bagi membangunkan premis perniagaan sebagai usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga kecil di situ.

    Pada 15 Januari 2010, Nik Abdul Aziz mengaku kerajaan negeri telah melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru .

    Sehari sebelum itu, Syed Azidi mendedahkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50 juta.

    Ia disebabkan kerajaan negeri terpaksa menebus kembali aras bawah bangunan Bazar Tok Guru dengan membayar RM23 juta selain menanggung kerugian RM30 juta kerana kehilangan tanah seluas 3.36 hektar.

    Bagi mencari penyelesaian kepada isu tersebut, Husam pada 27 Oktober 2010 telah membuat pengumuman Kerajaan Pas Kelantan melantik sebuah firma audit bebas untuk membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru yang dilaksanakan PMBK.

    Sementara itu, Syed Azidi dalam 'entri' terbarunya mendakwa, Kerajaan Pas Kelantan akan mengalami kerugian berlipat kali ganda sekiranya mengambil alih tanah milik UDA Holdings Bhd. itu dan membina sebuah bazar baru untuk peniaga kecil.

    "Ini mengakibatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Pas Kelantan daripada isu Bazar Tok Guru atau namanya sekarang Lubang Kubur Tok Guru ini akan meningkat lagi.

    "Jika setahun yang lalu blog ini telah melaporkan Kerajaan Negeri kerugian RM50 juta akibat angkara urusan menantu Nik Aziz dalam hal Lubang Kubur ini. Jika dicampur dengan jumlah terbaru pampasan yang akan dibayar, ia pasti meningkat lagi.

    "Hari ini, Husam memaklumkan kos kerugian ketiga iaitu apabila kerajaan negeri akan terpaksa membayar pampasan pada jumlah yang belum disebut kepada UDA Holdings Berhad," katanya.

    Katanya, kos-kos ini tidak sepatutnya berlaku jika Pas telah menunaikan janji Pilihan Raya Umum 2008 dan rakyat tidak memilih Menteri Besar yang memberikan kuasa besar kepada menantunya di PMBK.

    "Tetapi ini semua kos duniawi semata-mata. Bagaimana kos di akhirat kelak ke atas pemimpin yang menipu dan menindas rakyat yang dipimpinnya.

    "Saya yakin Pas dan penyokongnya tahu jumlah kos di akhirat kelak kerana sekian lama mereka asyik duduk mengira kos akhirat yang mereka kata akan ditanggung oleh pimpinan Barisan Nasional," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Ummi hadir di Bukit Aman, kemuka bukti

    UM - 28/1/11


    Ummi Hafilda bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

    KUALA LUMPUR 27 Jan. - Setelah 13 tahun mengunci mulut tentang penyelewengan yang dilakukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan darah daging sendiri, Azmin Ali, Ummi Hafilda Ali hari ini tampil untuk mendedahkan semua perkara tersebut kepada polis.

    Ummi Hafilda yang juga adik kandung kepada Azmin hari ini memberitahu, dia akan membongkar semua fitnah terancang serta teori konspirasi keji yang dilakukan kedua-dua individu terbabit berserta dengan bukti-buktinya.

    Katanya, dia bertindak demikian bukan sahaja demi mengheret Anwar serta konco-konconya ke muka pengadilan, malah mahu membuktikan muka sebenar dalang perosak keharmonian di negara ini.

    "Selama ini, saya mengikut pesanan ibu supaya terus berdoa kepada Allah kerana perkara ini melibatkan abang kandung saya sendiri dan seboleh-bolehnya saya enggan mengheretnya.

    "Malah, mungkin lima atau enam tahun selepas peristiwa itu saya sendiri beranggapan bahawa Azmin akan hadir untuk mengucapkan kata-kata maaf.

    "Tetapi apa yang dilakukan mereka kini begitu melampaui batas dan kesabaran saya itu diambil kesempatan untuk dihina dan dituduh macam-macam," katanya ketika ditemui di pekarangan luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

    Sebelum ini, Ummi Hafilda mahu memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar, Azmin, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, peguam Karpal Singh dan parti Pas kerana salah laku mereka terhadapnya pada 1997.

    Ummi Hafilda baru-baru ini mencabar Anwar untuk berdebat dengannya terlebih dahulu berhubung kebenaran kes salah laku seks beliau sebelum mencabar pihak lain.

    Beliau sebelum ini berkata, Anwar tidak perlu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Pelan 100 Hari yang dicadangkan pakatan pembangkang kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

    Malah, wanita itu yang pernah menjadi saksi penting kes liwat Anwar pada 1998 turut mencabar Anwar dan Azmin melakukan sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak terbabit dalam segala kes salah laku seks yang didedahkannya ketika itu.

    Ummi Hafilda tiba di Bukit Aman pukul 12 tengah hari ini bersama peguamnya, Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz untuk menyerahkan bukti-bukti itu kepada Polis Diraja Malaysia.

    Bagaimanapun, beliau terpaksa menangguhkan hasratnya membuat laporan terus kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kerana Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin difahamkan tiada di situ kerana tugasan luar.

    "Walaupun saya tidak membuat laporan polis hari ini, namun insya-Allah, saya tetap akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

    "Saya telah bertemu dengan pembantu peribadi Datuk Mohd. Bakri dan beliau memaklumkan akan menghubungi saya pada masa yang sesuai," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    24 Januari 2011

    Fitnah menjadi darah daging PAS!

    Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal menunjukkan risalah yang didakwa diedarkan oleh pihak pembangkang untuk memburukkan Wanita UMNO semasa majlis penyerahan kunci rumah di Kampung Lembah Bakti. 23 Jan. 2011. - Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

    Sidang khas hanya gimik politik PKR

    UM - 24/1/11


    Noh Omar diberi penerangan mengenai produk keluaran peladang oleh Timbalan Pengarah FAMA Negeri Johor, Mohd. Sharizan Mansor semasa Program Bersama Rakyat di Felda Labis, Johor, semalam.

    LABIS 23 Jan. - Tindakan kerajaan Selangor yang kononnya mahu memberi semula kuasa kepada Sultan Selangor melalui sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat tidak lebih daripada gimik politik semata-mata dan hanya untuk mengaburi mata rakyat.

    Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, cara mengadakan sidang tersebut sudah pun menampakkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diterajui Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim itu membelakangkan kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    "Jika mahu menjunjung kasih, kerajaan negeri sepatutnya bertanyakan tarikh yang sesuai untuk mengadakan sidang tergempar tersebut kepada Sultan terlebih dulu. Ini tidak, notis sudah keluar baru nak dapat perkenan Sultan Selangor.

    "Apa yang dilakukan ini hanyalah gimik politik semata-mata dan rakyat dapat menilai sendiri bagaimana keingkaran dilakukan oleh pakatan pembangkang untuk mendapatkan perkenan sidang tersebut," katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ditemui selepas majlis bersama rakyat dan menandatangani perjanjian jual-beli hasil pengeluaran peserta ladang kontrak MOA Inc. dengan FAMA di Padang Awam Felda Labis dekat sini semalam.

    Noh memberitahu, walaupun kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional akan menghadiri sidang DUN yang diadakan khas untuk tujuan itu esok ia tidak bermakna mereka menyokong pindaan berkenaan.

    "Bagi BN, perlembagaan sedia ada sudah tiada masalah dan ia tidak membelakangi kuasa sultan. Bagaimanapun, kita tetap akan menyertai perbahasan yang akan diadakan pada sidang tergempar DUN itu nanti," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    MB minta SPR turunkan bendera parti tak bertanding

    UM - 24/1/11

    LABIS 23 Jan. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak tegas terhadap mana-mana parti yang melanggar peraturan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang termasuk menurunkan bendera parti yang tidak bertanding.

    Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, langkah itu wajar kerana perbuatan tersebut jelas melanggar peraturan yang ditetapkan semasa berkempen.

    "Kita minta SPR ambil tindakan kalau lihat parti yang tidak bertanding tetapi memasang bendera masing-masing.

    "Bendera parti yang tidak bertanding harus dicabut kerana hanya bendera Barisan Nasional (BN) dan Pas sepatutnya berbuat demikian," katanya.

    Beliau ditemui pada Pertandingan Nasyid dan Penyampaian Bantuan Khas Kepada Sekolah-sekolah Agama di DUN Tenang di Sekolah Agama Pekan Ayer Panas di sini hari ini.

    Pilihan Raya Kecil DUN Tenang akan berlangsung 30 Januari ini berikutan wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, 59 meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

    Abdul Ghani yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Tenang, turut mengingatkan jentera BN agar tidak melatah dengan sebarang bentuk provokasi pihak lawan.

    Pengerusi BN negeri itu menasihatkan mereka bersabar dan mematuhi segala bentuk peraturan sepanjang tempoh berkempen.

    Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan penduduk Tenang supaya menolak sebarang bentuk ceramah politik yang boleh memecah-belahkan masyarakat khasnya orang Melayu.

    Jelasnya, penduduk perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk hukum atau 'fatwa' yang dikeluarkan.

    "Ada orang dari negeri lain datang ceramah, kata haram (kalau undi calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Tenang).

    "(Jangan) nak buat hukum sendiri, kalau tak sokong mereka (calon Pas) akan kata kita berbeza dengan mereka," katanya.

    Minggu lalu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam satu ceramah di sini, membuat 'fatwa' haram undi calon UMNO dan BN pada PRK DUN Tenang.

    /hwa: utusan.com.my/

    Isteri sedih kematian suami dipolitikkan Pas

    UM - 24/1/11

    SEGAMAT 23 Jan. – Isteri dan anak-anak Allahyarham Abdul Latif Subri Mohd Din kesal dengan tindakan Pas menabur fitnah dan mempolitikkan kematian Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air, Felda Tenang di sini baru-baru ini.

    Lebih menyentuh hati Maimunah Hendon 54, dan anak-anaknya apabila Pas menuduh keluarga membiarkan jenazah Allahyarham tanpa diurus semata-mata untuk menunggu diziarahi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kebetulan berada di Felda Tenang pada hari berkenaan.

    Tuduhan Pas itu terkandung dalam edisi kedua Buletin Tenang, lidah rasmi parti itu yang diterbitkan Badan Perhubungan Pas negeri sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

    Tidak cukup dengan itu, Pas menerusi buletin itu mendakwa kononnya Allahyarham meninggal dunia kerana ‘risau menguruskan kedatangan PM ke Felda itu’.

    Perasaan sedih dan rasa terkilan Maimunah itu tidak dapat disembunyikan ketika beliau ditemui wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia di rumahnya di Bandar Putra di sini petang ini.

    “Saya rasa terkilan, benda macam ini terjadi. Tak sangka pula kedatangan Normala Sudirman (calon Pas) dan beberapa orang lain menziarahi jenazah suami saya di masjid pada hari itu dan mengambil gambar kami, rupa-rupanya untuk diputar belit dan dipolitikkan serta disiarkan dalam surat khabar (Buletin Tenang).

    “Dia (Normala) datang bertanyakan nama saya dan nama arwah suami saya dan mengucapkan takziah kepada saya. Memang saya sedar gambar itu diambil oleh beberapa orang tetapi saya tidak fikir apa-apa pun masa itu.

    “Sebagai orang Islam, saya bersangka baik dengan mereka, takkan pula nak halang mereka datang. Sebab itu sekarang saya terkilan sebab perkara ini kecoh, kawan-kawan beritahu cerita dan gambar saya keluar surat khabar,” katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    'Cukuplah, janji PKR buat kami muak'

    UM - 24/1/11


    THEVADAS (tengah) menyerahkan borang 120 penduduk India Ladang Mayfield yang keluar PKR dan menyertai BN kepada Dr. Mohd. Rozi Yusof di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

    TASEK GELUGOR 23 Jan. - Seramai 120 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terdiri daripada masyarakat India sekitar Ladang Mayfield, di sini bertindak keluar daripada parti itu hari ini dan menyertai MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

    Tindakan itu berikutan hilang kepercayaan mereka terhadap pemimpin PKR yang didakwa hanya pandai memberi janji-janji manis kononnya mahu memajukan penduduk di situ tetapi sehingga hari ini ia tidak ditunaikan.

    Menurut S. Thevadas, 49, yang mewakili kumpulan itu, mereka tiada pilihan selain meninggalkan parti tersebut kerana kepimpinan PKR sudah dikuasai golongan yang hanya mementingkan kedudukan manakala golongan bawahan disisihkan.

    ''Ketika kempen pilihan raya umum Mac 2008, masyarakat India di sini dijanjikan kehidupan yang lebih baik tetapi keadaan kami tidak pernah berubah malah tiada seorang pun pemimpin mereka yang turun padang menjenguk kami.

    ''Cukuplah, kami sudah muak dengan janji-janji kosong PKR. Kami mula sedar BN sebenarnya yang lebih banyak membantu kami selama ini," katanya selepas menyerahkan borang menyertai BN kepada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Dr. Mohd. Rozi Yusof di sini, hari ini.

    Thevadas berkata, walaupun Kerajaan DAP Pulau Pinang melantiknya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Negeri, ia tidak memberi apa-apa makna kerana tiada sebarang bentuk bantuan disalurkan khususnya kepada penduduk miskin di kawasan itu.

    Seorang lagi bekas ahli PKR, S. Uvianeeswaaran, 25, dia berasa amat menyesal apabila menjadi antara individu yang membawa golongan belia di kawasan tersebut untuk menyertai PKR pada kempen pilihan raya umum lalu.

    Katanya, ketika itu, pemimpin PKR sengaja menghasut serta mencetuskan rasa benci kepada kerajaan selain berjanji untuk membantu golongan belia India di kawasan tersebut.

    ''Sekarang baru saya sedar, mereka (PKR) hanya pandai berjanji. Sudah hampir tiga tahun berlalu, nasib kami langsung tidak dibela malah pemimpin-pemimpin BN pula yang sering datang dan menghulurkan pelbagai bantuan," tambanya.

    Sementara itu, Dr. Mohd. Rozi berkata, borang tersebut akan diserahkan kepada Pengerusi BN negeri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dalam masa terdekat.

    Menurutnya, sebahagian besar daripada kumpulan terbabit akan menyertai MIC manakala selebihnya berminat untuk memasuki parti lain termasuk Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

    /hwa: utusan.com.my/

    Kritikan Pengerusi DAP bukti pembangkang bimbang - Zaid

    UM - 24/1/11

    KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kritikan Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) menunjukkan betapa pakatan pembangkang bimbang akan hilang sokongan rakyat terhadap mereka.

    Ketua parti itu, Datuk Zaid Ibrahim berkata, sebagai 'orang luar', Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tidak perlu menunjukkan keprihatinan beliau terhadap KITA sebaliknya perlu lebih memberi perhatian terhadap pakatan pembangkang yang semakin goyang itu.

    "Saya ingin bertanya kepadanya, mengapa bimbang jika KITA tidak mendapat sokongan rakyat, kerana saya sebagai pengasas yang sepatutnya mempunyai perasaan seperti itu.

    "Oleh itu, dapat difahami bahawa maksud tersirat di sebalik kenyataan Karpal ialah beliau risau jika sokongan terhadap pakatan pembangkang semakin terhakis. Mungkin juga mereka melihat KITA sebagai ancaman terbaru," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Persidangan Hak Asasi Manusia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam yang berkata, Zaid akan menempuh satu perjalanan yang sukar melalui KITA dalam mendapatkan sokongan rakyat setelah keluar daripada pakatan pembangkang.

    Karpal berkata, Zaid perlu menerima realiti politik di mana bukan mudah untuknya bergerak secara bersendirian bagi membina dan mendapatkan sokongan rakyat ke atas parti barunya itu.

    KITA diperkenalkan secara rasmi pada 19 Januari lalu. KITA pada asalnya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) namun Muktamar Agung Tahunan AKIM pada 15 Disember lalu menyaksikan pertukaran nama itu serta melantik Zaid sebagai ketuanya.

    Dalam pada itu, Zaid memberitahu, beliau mula menjelajah Sabah untuk memperkenalkan parti yang ditubuhkannya itu di sana.

    "Saya ke sana bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak tetapi lebih kepada untuk bertemu kawan-kawan lama sahaja.

    "Dan pada masa sama, jika ada potensi untuk mengembangkan KITA di sana, saya akan gunakan peluang itu sebaik mungkin," katanya.

    /hwa: utusan.com.my/

    Azahar semakin popular, disenangi

    UM - 24/1/11

    LABIS 23 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim semakin dekat di hati penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang apabila mendapat sambutan bagaikan seorang selebriti setiap kali bertandang di kawasan yang dilawatinya.

    Mohd. Azahar memulakan kempen pada hari keduanya untuk bertemu dengan semua golongan masyarakat di Tenang dengan berjumpa dengan peniaga di Pasar Awam Labis seawal pukul 9 pagi sebelum meneruskan lawatan di tempat lain.

    Meskipun hujan seketika pada waktu petang namun ia tidak sesekali mematahkan semangat calon BN tersebut untuk terus bertandang ke kawasan kempen yang telah dirancangnya sehingga lewat malam.

    Bukan itu sahaja, isteri Mohd. Azahar, Tuty Roshizana Tumin tetap setia menemani ke mana sahaja suaminya berkempen.

    Antara kawasan yang dilawatinya adalah bilik gerakan BN di Chempelak, Chempelak 2, Chempelak Barat, dan mengadakan tinjauan mesra di Taman Okid Baru, Taman Paya Merah, Kampung Sawah Padi dan beberapa kawasan lain.

    Bagaimanapun, penat lelah beliau berbaloi memandangkan penerimaan sangat baik daripada penduduk selain diberi tepukan gemuruh setiap kali membuat ucapan di hadapan umum.

    Menurut Mohd. Azahar, setakat ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan hampir 50 peratus penduduk Tenang dan rata-rata penduduk memberi maklum balas yang positif atas pertemuan tersebut.

    "Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai amat baik dan saya dapat berjumpa dengan semua penduduk daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.

    "Saya sendiri akan pastikan semua kawasan di DUN Tenang ini dilawati agar dapat berjumpa sendiri dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah seorang warga emas, Intan Ahmad, 63, di Kampung Paya Merah dekat sini hari ini.

    Mohd. Azahar berkata, beliau bukan sahaja mengadakan lawatan semata-mata tetapi turut mendampingi dan menyelami permasalahan rakyat agar setiap masalah yang diketengahkan dapat ditangani dengan segera.

    Katanya, beliau tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan tertentu sahaja tetapi turut mendampingi semua golongan termasuk golongan muda.

    "Kebanyakan penduduk yang ditemui sudah ramai yang mengenali saya sebelum ini. Justeru itu tiada masalah apabila saya berjumpa dengan mereka kali ini," katanya.

    Sementara itu, pasangan suami isteri warga emas, Saad Hassan, 79, dan Lamah Ahmad, 72, teruja apabila calon berkenaan sudi bertandang ke rumahnya di Taman Bandar Jaya dekat sini.

    Meskipun pasangan tersebut sedang menghabiskan masa berehat di atas kerusi roda namun kunjungan Mohd. Azahar tetap disambut dengan tangan terbuka.

    "Memang saya nak jumpa sendiri dengan Mohd. Azahar tetapi apakan daya saya uzur. Tetapi rezeki saya tetap ada kerana dia sudi datang ke rumah kami," kata Lamah.

    Bagi Aslan Yaacob, 27, peribadi calon berkenaan yang 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan penduduk dan tidak terlalu formal ketika berjumpa dengan masyarakat amat disenangi.

    /hwa: utusan.com.my/

    Pembangkang kekeringan idea politik

    UM - 24/1/11


    MOHD. Shafie Apdal berkata sesuatu kepada penduduk kampung yang hadir semasa majlis penyerahan kunci rumah di Kampung Lembah Bakti, semalam.

    LABIS 23 Jan. - Selepas 'merampas' kad pengenalan warga tua, Pas meneruskan taktik kotor mereka dengan menyebarkan pula risalah kononnya 'Persatuan Veteran Wanita UMNO Labis' menolak calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim.

    Risalah itu yang tertera lambang BN berbunyi, 'Kami penyokong Linda (Ketua Wanita UMNO Labis, Haslinda Salleh) menolak Tok Ai (Mohd. Azahar)' dikesan ditaburkan di kawasan Kampung Mambai oleh beberapa penduduk hari ini.

    Taktik jahat itu kemudian didedahkan sendiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam satu majlis di sini hari ini sebelum beliau kecewa dengan pendekatan politik terdesak jentera Pas, sebaik kempen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bermula semalam.

    Sejurus pendedahan itu, Haslinda sendiri membuat laporan polis di Balai Polis Labis di sini pada pukul 1.30 petang ini.

    Pendedahan taktik jahat terbaru pembangkang itu hanya kurang 12 jam selepas seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mendedahkan jentera Pas 'merampas' kad pengenalan warga tua kononnya bertujuan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan tetapi sebaliknya mahu menghalang warga tua keluar mengundi pada 30 Januari ini.

    Ketika mendedahkannya, Mohd. Shafie berkata, Pas sudah kekeringan idea politik dan tiada modal untuk meraih sokongan pengundi di Tenang sehingga pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan fitnah demi memecahkan perpaduan ummah.

    "Mereka ini jelas terdesak sehingga sanggup menyamar demi memecahkan jentera UMNO dan BN. Kononnya Pergerakan Wanita UMNO di Labis ini menolak calon kita kerana tidak meletakkan wanita sebagai calon sebagaimana Pas lakukan.

    "Apakah hanya ini yang mampu dilakukan oleh Pas untuk meraih undi, inikah parti yang kononnya mahu mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat, bukan ini caranya, gunalah pendekatan berhemah," katanya.

    Beliau ditemui selepas menyerahkan kunci rumah kepada penduduk miskin yang dibina RISDA, di Kampung Lembah Bakti di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Haslinda yang ditemui selepas membuat laporan polis menafikan kononnya beliau dan penyokongnya menolak Mohd. Azahar sebagai calon BN.

    Sebaliknya, kata beliau, mereka memberi sepenuh sokongan kepada Mohd. Azahar dan tidak pernah mempersoalkan pencalonannya.

    Selain itu, beliau menafikan kewujudan 'Persatuan Veteran Wanita UMNO Labis' seperti ditulis dalam risalah yang dipercayai dicetak oleh pihak pembangkang itu.

    "Saya kesal kerana pembangkang sanggup menipu rakyat dengan cara kotor ini. Namun, saya yakin ahli-ahli Wanita UMNO dan pengundi di DUN Tenang tidak akan terpengaruh dengan fitnah ini," tambahnya.

    Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lembah Bakti, Ahmad Abd. Rani, iaitu antara individu pertama menemui risalah tersebut berkata, beliau kecewa dengan fitnah ditaburkan oleh Pas.

    Beliau berkata, rakyat tidak menolak kehadiran jentera Pas tetapi biarlah kedatangan itu secara berhemat dan bukan dengan niat mahu memecah-belahkan masyarakat.

    /hwa: utusan.com.my/

    Pas terbukti memfitnah PM

    UM - 24/1/11


    HAMZAH Abdul Manaf menunjukkan berita di dalam Buletin Tenang yang mempolitikkan pengurusan jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air, Felda Tenang pada kempen pilihan raya kecil DUN Tenang di Labis, Johor, semalam.

    LABIS 23 Jan. – Taktik kotor Pas mula terbongkar satu per satu termasuk yang terbaru mengenai penipuan dan putar belit parti itu yang mendakwa kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak ‘lupa menziarahi’ jenazah seorang pimpinan UMNO cawangan yang meninggal dunia pada hari Perdana Menteri melakukan lawatan kerja sehari ke Felda Tenang, 18 Januari lalu.

    Ia suatu fitnah nyata yang dilakukan oleh Pas melalui edisi kedua akhbar Buletin Tenang, lidah rasmi parti itu yang diedarkan kepada orang ramai sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di sini.

    Sebaliknya, apa yang berlaku, seperti ditegaskan Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya.

    Satu lagi penipuan Pas menerusi buletin itu ialah apabila mendakwa jentera parti itu yang menguruskan jenazah Allahyarham, sedangkan hakikatnya ia diuruskan sendiri oleh para penduduk kampung.

    Sebaliknya, beberapa wakil dan jentera Pas hanya muncul secara tiba-tiba di masjid berkenaan termasuk calon parti itu, Normala Sudirman untuk memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.

    Kemudian, di dewan solat Masjid An-Nur Felda Tenang itu, salah seorang daripadanya yang memakai jaket Pas secara tidak semena-mena bangun dan mengimamkan solat jenazah ketika pengurusan masjid meminta waris Allahyarham menjadi imam kerana lebih afdal diimamkan oleh keluarga terdekat, atau menunggu kira-kira 15 minit untuk imam tiba.

    Hamzah yang ditemui Utusan Malaysia hari ini menegaskan, hati seluruh penduduk di Felda Tenang sangat terluka dengan tindakan Pas menerusi buletin itu bertajuk ‘PM lupa ziarah jenazah Setiausaha Umno cawangan Tenang.

    Menurutnya, Pas secara terbuka berbohong apabila mendakwa Najib tidak melawat jenazah ketika melintasi masjid itu pada pukul 10 pagi kerana isu itu langsung tidak berbangkit sebaliknya suatu penipuan besar.

    Jelasnya, ia bukan isu kerana Perdana Menteri tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham, malah jenazah tiba dari Hospital Segamat untuk disembahyangkan di masjid berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

    “Ini suatu pembohongan, bohong, bohong, bohong,” katanya ketika wartawan menunjukkan naskhah Buletin Tenang terbitan Badan Perhubungan Pas Johor itu kepada beliau hari ini.

    Abdul Latif Subhi meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi di Hospital Segamat setelah mengadu sakit dada.

    Selain itu, tambah Hamzah, para penduduk Felda Tenang berasa sangat kecewa lebih-lebih lagi apabila Pas mendakwa imam masjid Masjid An-Nur Felda Tenang, Mohd. Shariff Hassan, tidak mempeduli dan menguruskan jenazah berkenaan kerana sibuk meraikan kedatangan Perdana Menteri.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Ayahanda’ oleh penduduk Felda sangat terkilan dan kesal dengan tindakan parti pembangkang itu yang sengaja menabur fitnah semata-mata hendak memburukkan Perdana Menteri dan penduduk kampung semasa Pilihan Raya Kecil DUN Tenang tanpa mempedulikan hukum hakam agama Islam yang menegah keras umatnya melakukan fitnah sesama Islam.

    Sambil berharap supaya pengundi di DUN Tenang yang mendengar atau membaca mengenai fitnah tersebut supaya jangan mempercayainya, Hamzah berkata:

    “Siapa kata orang Pas yang kendalikan semua urusan jenazah dari masjid hingga ke tanah perkuburan? Semua urusan itu kami yang lakukan kecuali imamkan solat jenazah dan itu pun, dia (orang Pas) tidak diminta berbuat demikian.

    “Seperti kebiasaan, kita minta jika ada waris terdekat untuk mengimamkan jenazah, tapi disebabkan anak Allahyarham tidak bersedia menjadi imam solat jenazah, kita tanya sama ada mahu tunggu imam (Mohd. Shariff). Tiba-tiba seorang lelaki yang memakai jaket Pas terus ke hadapan dan mengimamkan solat tersebut.

    “Saya nak ucap ‘tahniah’ kepada Pas kerana memfitnah dan memburukkan orang kampung dia sendiri,” katanya dengan nada sinis menyindir pemimpin Pas yang sengaja menabur fitnah untuk meraih sokongan.

    Hamzah berkata, pihaknya sebenarnya memang tidak menghalang tindakan lelaki itu yang bukan pun penduduk Felda berkenaan mengimamkan solat jenazah tersebut tetapi tindakan memutarbelitkan fakta kejadian itu untuk dijadikan modal politik sangat dikesali.

    Menurutnya, jika lelaki itu tidak mengimamkan solat jenazah itu pun, ia tetap dilangsungkan awal kerana Mohd. Shariff tiba beberapa minit kemudian iaitu ketika sembahyang baru bermula.

    “Sebelum itu, saya telefon imam supaya datang segera untuk mengimamkan jenazah. Saya juga sudah beritahu supaya menunggu kira-kira 15 minit untuk menanti ketibaan imam.

    “Sebenarnya semua urusan mengenai jenazah, kita yang lakukan. Ahli Pas ini cuma mengimamkan solat jenazah semasa jenazah tersebut disembahyangkan. Kalau betul Pas uruskan semuanya, kenapa tidak ada seorang pun orang Pas yang membantu urusan sehingga ke tanah perkuburan?” katanya.

    /hwa: utusan.com.my/