29 September 2011

Isu hudud: Pas dalam dilema

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Pas pusat dilihat sedang berada dalam dilema untuk mempertahankan cadangan Pas Kelantan bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu, terutama jika mahu mengekalkan hubungan dengan parti pembangkang lain.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, tindakan Pas pusat itu menjadikan usaha Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud tidak konsisten walaupun mereka mendapat sokongan rakyat khasnya generasi muda.

“Saya berpendapat, Pas Kelantan tidak akan menghadapi masalah untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana mereka serius mengenainya.

“Namun, ia akan memberi kesan kepada hubungan di antara parti-parti di dalam pakatan pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Che Hamdan dalam pada itu berkata, Pas dan DAP tidak akan kekal dalam pakatan pembangkang kerana mereka sering berbeza fahaman dan pendapat khasnya dalam hal-hal yang menyentuh soal Islam.

“Walaupun sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya akan datang, mereka tetap akan berhadapan dengan masalah kerana Pas dan DAP bukan merupakan pasangan yang ideal.

“Justeru, jika DAP serius dengan kenyataan menentang cadangan Pas melaksanakan hukum hudud, mereka dipersilakan untuk keluar daripada pakatan pembangkang,” katanya.

Sementara itu Che Hamdan berkata, pihak pembangkang tidak boleh menyalahkan media dalam isu hudud kerana ia dicetuskan sendiri oleh Pas Kelantan.

/hwa: utusan.com.my | 28/9/11

Apa lagi Guan Eng...

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Apakah Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan menafikan lagi kenyataannya sendiri yang memburuk-burukkan negeri Johor semasa pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini setelah ia terdedah kepada umum?

Pendedahan transkrip pada pertemuan itu oleh beberapa blog hari ini, mencetuskan bantahan meluas khususnya daripada rakyat Johor kerana Guan Eng sebelum ini menafikan beliau berbuat demikian .

Malah beliau yang cuba mempertahankan dirinya dengan mendakwa media sengaja memutar-belit kenyataannya dalam satu temu bual dengan Radio Australia, mahu menyaman Bernama jika agensi berita itu enggan memohon maaf.

Berikutan itu, pelbagai pihak hari ini mendesak Guan Eng agar memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Johor dan seluruh warga Malaysia kerana tindakannya memburuk-burukkan negeri itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak perlu lagi menegakkan benang basah.

"Dalam pertemuan dengan media asing di Singapura baru-baru ini, Guan Eng dengan jelas memburuk-burukkan negeri Johor apabila berkata, negeri itu berbahaya khususnya kepada rakyat Singapura. Ini satu kenyataan paling tidak bertanggungjawab.

"Sebelum ini dia menuduh media (Bernama) berbohong tetapi bukti terbaharu jelas menunjukkan dia sebenarnya yang berbohong. Kenapa dia perlu memburuk-burukkan negeri Johor?.

"Dia kena sedar, kenyataan sedemikian akan menyebabkan pelabur takut untuk melabur di Malaysia. Bukan sahaja Johor, Pulau Pinang juga akan menerima kesan jika pelabur lari ke negara lain," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, nada sama turut disuarakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang menuntut Guan Eng agar bertindak secara 'gentleman' dengan mengakui kesalahannya dan menarik balik semua kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut.

Katanya, perbuatan Setiausaha Agung DAP itu memburuk-burukkan Johor sangat melampau dan tidak boleh diterima kerana ia secara langsung turut memburuk-burukkan Malaysia di mata dunia, sedangkan selaku pemimpin, Guan Eng sepatutnya membela negara sendiri.

"Dia bukan sahaja memburuk-burukkan Johor tetapi Malaysia secara keseluruhannya. Kalau Johor tidak selamat, Pulau Pinang pun sama. Sebagai Ketua Menteri sepatutnya dia mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi, bukan membuat kenyataan melampau begini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mencabar DAP supaya mengambil tindakan tatatertib ke atas Guan Eng, sama sebagaimana hukuman yang dikenakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.

Jelasnya, jika Manoharan digantung selama enam bulan kerana mengeluarkan kenyataan biadab di laman sosial Facebook berhubung Jalur Gemilang, Guan Eng juga layak untuk menerima hukuman yang sama kerana kenyataannya lebih berat iaitu memburuk-burukkan Johor dan negara.

/hwa: utusan.com.my | 28/9/11

26 September 2011

Semarak Merdeka Besut 2011: Lautan manusia

Dataran Jertih Souq dipenuhi lautan manusia sempena Semarak Merdeka yang mendapat sambutan luarbiasa rakyat dari seluruh pelusok Daerah Besut.

Kayuh basikal kembalikan nostalgia PM


NAJIB Tun Razak (tengah) melambai tangan ketika berkayuh pada program Kayuhan Amal 1Malaysia Untuk Pelajaran di Tanjong Tokong, Pulau Pinang, semalam. – Bernama

PULAU PINANG 25 Sept. – Undangan melancarkan program Kayuhan Amal Untuk Pendidikan 1Malaysia di Penang Straits Quay hari ini mengembalikan nostalgia Datuk Seri Najib Tun Razak mengayuh basikal.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak ingat bila kali terakhir mengayuh basikal namun tidak pernah melupakan kenangan 50 tahun lalu berbasikal semata-mata untuk membeli nasi lemak.

Najib berkata, ketika zaman kanak-kanaknya, beliau yang tinggal di Seri Taman, Kuala Lumpur, sanggup berbasikal ke Hospital Tang Ling untuk membeli nasi lemak yang memang terkenal di situ.

“Dengan berbekalkan 30 sen atau 50 sen, saya akan mengayuh basikal setiap hari untuk membeli nasi lemak yang saya rasa adalah yang terbaik di negara ini.

“Kalau 30 sen, saya dapat nasi lemak berlaukkan sambal, telur dan kerang manakala kalau 50 sen ada tambah daging,” katanya ketika berucap selepas menamatkan kayuhan sejauh enam kilometer dari Straits Quay ke persimpangan Jalan Gurney di sini hari ini.

Sebanyak RM16 juta berjaya dikutip pada program anjuran bersama 1Malaysia Development Berhad itu yang dianjurkan bagi mengutip dana membantu 10 buah sekolah menengah jenis kebangsaan dan lima buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Pulau Pinang.

Seramai 8,000 pelajar sekolah berdiri mengibarkan Jalur Gemilang di tepi jalan serta 3,000 peserta berbasikal bersama-sama 300 orang tetamu kenamaan termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen.

Tambah Perdana Menteri lagi, bagi mengelakkan sebarang masalah ketika berkayuh hari ini, beliau terpaksa berlatih di hotel penginapannya malam tadi.

“Ramai kakitangan hotel terkejut melihat saya mengayuh basikal berulang-alik di koridor bilik ke hadapan lif.

“Hari ini pun saya diberi pilihan untuk berpatah balik selepas mengayuh sejauh 1 kilometer tapi saya tetap teruskan sehingga ke garisan penamat demi untuk membantu mencapai objektif program ini,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 25/9/11

21 September 2011

Pesan imam kota suci Mekah kepada Mursyidul Am Pas

SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Ketua Pengarah DBP, kini pakar rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

BAGAIMANAKAH hendak menyampaikan "mesej" imam kota suci Mekah kepada Mursyidul Am Pas? Demikian satu soalan berlegar dalam kepala sambil saya memandu kereta dalam perjalanan pulang setelah menunaikan solat tarawih di Surau Alhuda, Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin pada minggu pertama bulan puasa yang lalu.

Pada malam itu, Sheikh Idris Ismail Al-Hafiz, yang menjadi Imam Tamu sepanjang bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur telah berkenan berbuka puasa di Jabatan Pengarang Utusan Melayu dan mengimami solat tarawih di Surau Alhuda. Selepas solat tarawih beliau memberi usrah ringkas diikuti dengan sesi soal jawab.

Semasa sesi soal jawab itulah saya menangkap satu pesanan ringkas (nasihat) Sheikh Idris yang saya rasa sangat bermanfaat untuk diingat dan diamalkan demi perbaikan diri dalam konteks sosial sehari-hari dan demi pengukuhan iman kepada Ilahi.

Saya percaya nasihat yang terkandung dalam usrah Sheikh Idris itu wajar juga dijadikan iktibar untuk perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam. Dalam konteks itulah saya teringat Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang saya anggap memegang peranan yang sangat 'genting' (bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk mewujudkan perpaduan bangsa Melayu yang sekarang berpecah belah.

Inti pati pesanan imam Mekah itu ialah supaya umat Islam mengamalkan "sikap pemaaf" dan membebaskan diri daripada belenggu membalas dendam. Ini sesuai dengan pengajaran orang tua-tua Melayu: "Ambil yang jernih, buang yang keruh."

Sheikh Idris menceritakan kisah seorang awam di zaman Nabi yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah akan masuk syurga dengan mudah. Kenyataan Rasulullah itu mendorong beberapa orang sahabat untuk berusaha "mencungkil rahsia" (ibadat-ibadat istimewa) orang awam tersebut.

Setelah "mengintai-intai" (mengamati) amalannya sehari-hari yang ternyata tidak ada yang luar biasa, individu berkenaan ditanya apakah amalan-amalan lain yang dilakukannya sehingga Rasulullah berkata bahawa dia akan masuk syurga dengan mudah.

Jawapannya: "Tidak ada amalan yang luar biasa yang saya lakukan. Tetapi barangkali yang agak berlainan daripada kebanyakan orang ialah sebelum tidur di waktu malam, saya mengingatkan diri saya supaya memaafkan siapa sahaja yang bersalah kepada saya walau apa pun kesalahannya."

Mentafsirkan lebih lanjut kisah "orang awam yang pemaaf" itu, saya tiba-tiba menyedari betapa kita sebagai umat Islam senantiasa beristighfar, memohon ampun dan kemaafan daripada Allah SWT atas segala dosa dan kekhilafan kita.

Tetapi pada masa yang sama ramai dalam kalangan kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Sebaliknya kita terus menaruh dendam dan mengungkit-ungkit kesalahan masa lalu yang dilakukan orang lain terhadap kita.

Menyedari hakikat itulah saya cuba bermuhasabah dan mengambil satu resolusi sempena bulan puasa lalu untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf". Demikianlah sepanjang bulan Ramadan, selain daripada berlapar di siang hari saya dengan bersungguh-sungguh melatih diri menjadi seorang yang "pemaaf" dan "penyabar."

Kemudian, pada minggu kedua bulan Syawal saya berada di Bandung, Indonesia dan kebetulan sempat membaca satu rencana berjudul "Halalbilhalal, Belajar Saling Memaafkan", hasil tulisan seorang guru sekolah bernama Suleha, dalam akhbar harian Pikiran Rakyat.

Setelah membaca artikel itu, "azam Ramadan" saya untuk menjadi seorang yang lebih "pemaaf" dan lebih "penyabar" berkat usrah ringkas Sheikh Idris tersebut menjadi lebih teguh. Dan pada masa yang sama hasrat untuk menyampaikan "mesej" Sheikh Idris kepada Tuan Guru Nik Aziz, juga menjadi semakin kuat.

Penulis Suleha memulakan artikelnya dengan memetik pandangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mengatakan: "Amal yang paling disenangi Allah SWT ada tiga. Memberi maaf sewaktu sempat membalas dendam. Berlaku adil sewaktu berada dalam keadaan emosional. Dan menaruh belas kasihan terhadap sesama hamba Allah."

Dengan itu dapat dirumuskan bahawa usrah ringkas Sheikh Idris di Surau Alhuda itu mempunyai semangat dan kandungan yang sama dengan karangan Suleha. Kedua-duanya menyeru kepada peningkatan ukhuwah dan silaturahim, peningkatan persefahaman dan saling memaafkan.

Alangkah beruntungnya bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia sekiranya seruan tersebut disambut secara positif oleh pimpinan dua parti Islam terbesar di negara ini: UMNO dan Pas.

Perlu diingat bahawa di suatu masa dahulu Pas dan UMNO bekerjasama secara produktif atau bersaing secara sihat untuk kesejahteraan dan kemajuan bangsa Melayu dan umat Islam. Tetapi sejak akhir-akhir ini, antara kedua-dua parti politik ini berlaku pertengkaran yang merugikan bagaikan menang jadi arang, kalah jadi abu.

Menyedari hakikat itulah kita wajib menyampaikan kepada pimpinan kedua parti tentang semangat dan kandungan usrah ringkas Sheikh Idris dan huraian penulis Suleha mengenai semangat bermaaf-maafan itu. Dan secara khusus barangkali seruan perlu ditujukan kepada Nik Aziz supaya melupakan "dendamnya" terhadap UMNO.

/hwa: utusan.com.my | 21/9/11

Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee...

Oleh Fauziah Arof

MELIHAT reaksi orang ramai mengenai filem sulung arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0 yang dikatakan mereka sebagai sebuah filem ‘komedi sosial’ yang baik lagi menghiburkan, ia tidak sedikit pun menarik minat saya untuk menonton filem tersebut.

Jika diberi tiket percuma pun, saya tidak mahu menonton filem ini, walaupun dibarisi oleh nama-nama selebriti handal yang saya kagumi seperti Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam dan Adibah Noor, apatah lagi melanggannya di Astro First apabila filem itu habis ditayangkan kelak.

Sebabnya, bukan kerana filem Nasi Lemak 2.0. Tetapi kerana si pengarah dan penulis skripnya yang banyak mengguris hati rakyat Malaysia sebelum ini.

Tentu kita belum dapat melupakan lagi, pemuda yang berasal dari Johor ini pernah dengan lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh.

Selepas itu, dia atau nama sebenarnya Wee Meng Chee buat hal lagi dengan menghina TNB dan dalam lagu bertajuk Kawanku menghina Melayu dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’.

Dan ada lagi, dia membuat satu lagi klip video yang menghina Guru Besar dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah.

Sekarang, Namewee melalui Nasi Lemak 2.0 pula menyifatkan, filem lakonannya itu adalah aspirasi 1Malaysia, yang melambangkan penyatuan dan perpaduan kaum di negara ini.

Alahai, dia pula bercakap pasal 1Malaysia. Adakah anak muda ini sedar, bukankah perpaduan di negara ini dipupuk dengan cara kita menghormati setiap kaum yang ada. Bukan dengan menghina dan memperlekehkan sesuatu kaum dan negaranya seperti yang disiarkan di YouTube.

Namun ‘perjalanan seni’ anak muda ini boleh disifatkan luar biasa, kerana setelah apa yang dilakukannya, peliknya dia masih diberi peluang berjumpa seorang menteri, dan tiada tindakan yang diambil terhadapnya.

Dan dia yang banyak ‘diberi muka’ ini juga dengan yakinnya mahu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula untuk menyokongnya berkarya atas nama 1Malaysia.

Siapa dia Namewee ini, apa keistimewaan dan kekebalannya? Jawapannya, lelaki ini telah menyakiti hati ramai orang terutamanya orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Seperti yang ditegaskan, saya tiada masalah dengan filem Nasi Lemak 2.0. Saya menyokong filem tempatan dan tidak kisah mengeluarkan wang menonton filem Melayu di pawagam.

Apabila memperkatakan tentang filem berunsurkan 1Malaysia, bukan filem Nasi Lemak 2.0 sahaja mempunyai aspirasi ini. Saya juga telah menonton filem Estet di pawagam.

Estet arahan Mamat Khalid ini menggabungkan kehidupan semua kaum di negara ini yang saling hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain dalam sebuah kampung.

Dan saudara Mamat kita ini, tidak heboh pun dengan mengangkat filem tersebut sebagai filem 1Malaysia!

/hwa: utusan.com.my | 21/9/11

Semarak Merdeka!

Kibarkan bukan Tukarkan
Jalur Gemilang

Perkara karut-marut pembangkang

Oleh ZULKIFLI JALIL

NAJIB Tun Razak bersama Mohd. Ali Rustam bersalaman dengan ahli-ahli Persatuan Bekas Anggota Kemajuan Masyarakat (Kemas) Malaysia pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 20 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak percaya banyak lagi perkara karut-marut yang bersarang dalam benak fikiran pakatan pembangkang untuk mengubah sejarah warisan negara sekiranya mereka memperoleh kuasa.

Tegas Perdana Menteri, matlamat pembangkang yang diutarakan menerusi wakilnya dari DAP, M. Manoharan untuk menukar Jalur Gemilang seandainya berkuasa sebenarnya hanya sekelumit perkara yang dirancang.

“Itu (nak tukar bendera Malaysia) saya fikir sedikit sahaja, banyak lagi perkara karut-marut (yang pembangkang nak buat). Kalau berkuasa, apa yang diwarisi kita akan cuba dirombak segala-galanya.

“Sebab itu ada signifikannya kita nak tuan-tuan pertahankan Putrajaya (kerajaan sedia ada). Untung nasib kita bergantung kepada BN (Barisan Nasional)...puak-puak sana tak boleh harap dan sebab itu pada pilihan raya (umum nanti), kita kena kerja habis-habisan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia di Seri Perdana di sini hari ini.

Hadir sama penasihat persatuan berkenaan yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan presiden persatuan, Datuk Melati Ali.

Perdana Menteri menegaskan, BN sebagai pemegang tampuk pemerintahan dan yang telah bertungkus-lumus membangunkan negara tidak rela menyerah begitu sahaja kepada pembangkang yang sanggup memperkotak-katikkan sejarah dan warisan sedia ada.

“Kita yang bangunkan Putrajaya (negara), takkan kita nak serah pada orang luar (dari BN), kita tidak sanggup dihina, marilah kita sematkan azam dengan tidak sanggup menempa sejarah hitam parti yang teragung (untuk tunduk kepada pembangkang),” kata beliau.

Menurut Najib, kalau tidak dengan hasil perjuangan kerja keras BN, Malaysia tidak mungkin mencapai kejayaannya seperti hari ini.

Beliau menarik perhatian di negara-negara lain masih banyak masalah dalamannya meskipun ia merupakan negara maju.

“Di London, orang masih buat masalah dengan merusuh, di Amerika Syarikat pula kadar penganggurannya 9 peratus meskipun sebenarnya kadar tersebut adalah 17 peratus disebabkan rakyatnya tidak mahu cari kerja.

“Sedangkan di Malaysia, peluang pekerjaan cukup...kadar pengangguran cuma 3.1 peratus, itupun kita ada dua juta pekerja asing dan yang hendak berdaftar pun ramai dan selain itu harga barang di negara ini masih lagi terendah di dunia,” katanya.

Najib berkata, sebenarnya BN telah lama menjalan serta memperjuangkan kebajikan rakyat berbanding pakatan pembangkang yang baru sahaja mahu menguar-uarkan perkara itu.

“Ia telah menjelaskan bahawa BN dan UMNO sebagai parti yang mendahului kelok pembaharuan. Jangan ingat kita parti yang tidak ada idea baru dan tidak ada kesedaran.

“Ini (kejayaan Malaysia hasil kerja keras BN) sesuatu yang perlu kita tampilkan, kita tidak takut kepada pembaharuan, kita sanggup laksanakan demi Malaysia tercinta,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga penaung Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia mengajak lebih 3,500 pesara Kemas untuk turun padang membetulkan segala fitnah dan fakta yang diselewengkan pembangkang terhadap kerajaan selama ini.

“Jangan lembu punya susu, sapi pula dapat nama, jangan pula bila kita tolong Orang Kelainan Upaya (OKU) dan orang tua yang bajet disediakan kerajaan sebanyak RM1.4 bilion, mereka (pembangkang) pula kata mereka yang bagi.

“Bila kita bagi tiap-tiap bulan, kita dilupakan tetapi bila mereka yang hanya bagi sedikit, ia dikatakan pula lebih baik,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 21/9/11

20 September 2011

Semarak Merdeka!


Kibarkan Jalur Gemilang
Bukan
Tukar Jalur Gemilang

Pilih kemerdekaan atau demokrasi?

SUDAH lebih setengah abad Malaysia secara rasmi mengisytiharkan dirinya merdeka. Pada usia setengah abad itu Malaysia telah menempuh pelbagai peristiwa yang mematangkan warganegaranya.

Sepanjang tempoh itu selain daripada membangun fizikal dan ekonomi, warganegara juga membangun budaya dan cara berfikir. Budaya dan cara berfikir itu, setakat usia setengah abad, masih lagi kelihatan adanya sambung-menyambung antara pemikiran budaya dan pemikiran tradisi tempatan dengan pemikiran budaya dan pemikiran global.

Kemasukan pemikiran global ke dalam masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, bukan perkara baharu. Masyarakat Melayu yang terkenal dengan sifatnya yang sangat fleksibel boleh menerima apa sahaja budaya dan pemikiran dari luar setelah melalui tapisan semula jadi oleh budaya dan adat tempatan. Ini meliputi kemasukan pengaruh seni dari luar seperti dalam bidang perfileman, muzik, lukisan dan kesusasteraan. Tidak ketinggalan pengaruh luar dalam hal keagamaan seperti kemasukan pelbagai mazhab di bawah Sunnah Wal Jamaah, Qadariah, Jabariah, Syiah, Muktazilah kaum muda dan pelbagai lagi.

Demikian juga dengan kemasukan ideologi seperti kapitalis, sosialis, komunis, demokrasi dan apa saja yang ada di dunia dan diikuti pula oleh kemasukan pelbagai cara pergerakan politik dan sosial. Semua itu masuk melalui tapisan semula jadi budaya dan adat untuk disesuaikan dengan kehidupan tempatan. Setakat masa lalu, kemasukan itu seperti ditapis oleh suatu autoriti yang tidak begitu ketara tetapi terasa kewujudannya dan diterima pula kemudiannya oleh semua pihak.

Namun, sekarang dengan adanya teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat pantas, kemasukan itu seperti tidak dapat lagi ditapis oleh apa-apa autoriti. Kemasukan itu sampai ke bilik tidur peribadi setiap individu warganegara tanpa tapisan. Hal ini menjadikan perkara baru yang masuk itu diberi tafsiran oleh setiap individu tanpa mengira kapasiti atau keupayaan intelektual dan pengalaman individu itu yang berbeza-beza tahapnya. Hasilnya, walaupun tidak diisytiharkan secara rasmi, setiap individu itu melakukan ijtihad persendirian tanpa mengira sama ada dia memiliki ciri atau syarat yang membolehkannya bertindak demikian.

Jika dalam masyarakat Islam Melayu tradisi, dipersetujui bahawa tidak semua orang boleh berijtihad tentang sesuatu perkara yang memerlukan keputusan dan dengan yang demikian itu mereka yang tidak memenuhi ciri atau syarat bersetuju untuk menyerahkan tafsiran kepada pihak yang diterima dan dianggap sebagai memilikinya.

Autoriti yang menerima kuasa itu berupa sama ada pemimpin agama tidak formal sesuatu lokaliti atau pejabat pentadbiran yang ditubuhkan oleh sesuatu autoriti rasmi agama pada peringkat negeri atau persekutuan. Pemimpin agama tidak formal itu pula biasanya akan akur dan tunduk apabila dalam sesuatu keadaan keputusannya dibatalkan oleh autoriti rasmi.

Hari ini keadaan menjadi sebaliknya. Autoriti rasmi seperti kehilangan kuasa dan sebaliknya autoriti tidak formal telah mengambil alih tempat itu. Keputusan autoriti formal yang sering kali bermain pada peringkat atas dan permukaan akan dengan mudah dibatalkan oleh autoriti tidak formal. Autoriti tidak formal itu pula tidak semestinya bersifat batang tubuh manusia secara hadir, sebaliknya muncul menjawab persoalan dan membuat keputusan melalui media maya.

Kebijaksanaan lama yang mengatakan 'untuk mendapat ilmu yang muktabar seseorang itu harus berguru dengan seseorang ahli ilmu, jika tidak seseorang itu berguru dengan syaitan' sekarang hanya dijadikan bahan gelak ketawa. Dengan keadaan sedemikian, orang Melayu Islam di Malaysia sekarang akan mudah menerima dan percaya pelbagai perkara yang sumbernya memadai daripada maklumat yang dilekatkan di dinding facebook seperti Dajjal turun di Iran, kiamat akan terjadi pada tahun sekian-sekian, makanan yang dulu halal menjadi haram, orang yang dulunya dianggap pengganas sekarang dianggap 'hero', sejarah ditulis dengan tidak betul dan banyak lagi. Keputusan dibuat oleh penerima hampir serta-merta sambil berbaring di atas katil sebelum tidur dengan berbantukan alat komunikasi mudah alih yang sangat kecil.

Begitulah nampaknya pada hari ini di Malaysia dan di mana-mana jua cara kemerdekaan itu ditafsir. Kemerdekaan sudah menjadi pelbagai erti, sehingga oleh kerana terlalu banjir dengan definisi, kemerdekaan menjadi kehilangan erti.

Perkataan kemerdekaan dikupas, dibincang dan perkembangkan mengikut selera individu dan tidak sedikit yang disalahgunakan dan diolah secara yang tidak jujur. Tiba-tiba kemerdekaan membawa erti positif dan negatif bergantung kepada siapa individu yang menggunakannya.

Oleh sebab tafsiran luar lebih deras arus dan gelombangnya disertai dengan teknologi hama berkuasa halilintar, maka tafsiran luar menjadi lebih benar berbanding tafsiran tempatan. Slogan yang dijulang sekarang bukan lagi kemerdekaan tetapi kebebasan. Riuh-rendah orang Malaysia memperjuangkan demokrasi yang disamakan dengan kebebasan sehingga mereka lupa bahawa demokrasi dan kebebasan itu tidak sama. Oleh sebab kebebasan itu bagus, maka kepada mereka demokrasi itu juga mesti bagus.

Mereka lupa bahawa demokrasi tafsiran luar itu hanyalah hukum majoritisme. Sebagai contoh, pilihan raya demokrasi tajaan Amerika Syarikat di Iraq telah mengubahnya daripada negara Sunnah kepada negara teokrasi Syiah sebagai pelebaran apa yang sudah kuat di Iran melalui hukum majoritisme itu. Pelebaran ini nampaknya terus menjalar sama seperti kejayaan Israel melebarkan sempadannya di bumi Arab melalui bantuan kuasa yang sama.

Jika dahulu hanya Israel yang mengimbangi kuasa Islam di Asia Barat sekarang pengimbang kuasa adalah antara Sunnah dan Syiah. Menarik dilihat, adakah orang Arab di wilayah mereka sekarang sedang berjuang untuk demokrasi atau berjuang untuk kebebasan tetapi hilang kemerdekaan? Jika konsep ini difahami, dari awal lagi disedari bahawa kebebasan yang diperjuangkan dan demokrasi yang dilaungkan tidak selalu sekufu.

Apakah kemerdekaan yang diperjuangkan di Malaysia? Kemerdekaan daripada siapa dan untuk apa? Segolongan mengatakan Malaysia telah merdeka mulai 1957 dan sebahagian lagi ada yang mengatakan Malaysia sememangnya tidak pernah tidak merdeka. Tafsiran kedua sangat menarik dan memberi baja untuk idea baru muncul iaitu yang diperjuangkan sekarang bukan kemerdekaan tetapi demokrasi. Kata mereka ini, Malaysia memang sentiasa merdeka tetapi demokrasinya yang tiada.

Peduli apa dengan kemerdekaan asalkan dapat mencapai kebebasan yang disamakan dengan demokrasi. Baikkah untuk Malaysia atau akan burukkah? Itu juga tidak penting, yang penting ialah idea baru ini mesti dicuba. Ini adalah autoriti baru mentafsir kebebasan. Mungkin inilah roh kemerdekaan yang cuba ditiup oleh segolongan warganegara Malaysia pada bulan Ogos hingga September 2011.

Demikianlah apabila kebebasan dilihat hanya dari jelingan politik. Seperti tidak ada ruang bahawa kemerdekaan itu adalah untuk memberi kebebasan seimbang kepada setiap warganegara memilih dan menerima bahawa di negara merdeka akan ada sedih, akan ada rasa marah dan akan ada rasa gembira dengan tanggungjawab sendiri.

Individu bebas hendak makan apa dan hendak makan di mana. Bebas untuk memilih masa hendak bercakap dan memilih masa untuk mendengar. Bebas memilih sama ada hendak menjadi pembeli atau penjual. Bebas memiliki harta kepada yang berkehendak kepadanya. Bebas hendak belajar sehingga setinggi mana pun. Bebas hendak bekerja apa mengikut keupayaan sendiri. Bebas memilih hendak hidup bermajikan atau hidup sebagai tuan.

Bebas juga untuk menentukan sama ada hendak berkeluarga sendiri dan selepasnya bebas pula memilih berapa bilangan ahli keluarga yang hanya tertakluk kepada hukum alam bukan oleh sekatan kuasa negara seperti yang dikuatkuasakan oleh negara yang jauh dan dekat dengan Malaysia. Bebas untuk memilih Tuhan yang hendak disembah.

Paling penting kepada saya ialah memilih ingin bangun awal setiap pagi melihat fajar menyingsing melalui langsir tingkap rumah kecil saya dengan tidak perlu terintai-intai kalau-kalau akan ada muncung senapang meledakkan pelurunya melalui tingkap itu. Saya juga ingin terus dapat bebas berdoa agar mudah-mudahan Tuhan melindungi dan mengampunkan kedua-dua arwah ibu bapa saya atas apa jua derhaka mereka kepada-Nya.

Saya mohon Tuhan juga terus mengizinkan saya dan anak cucu saya membuat kebaikan sebanyak-banyaknya kepada manusia lain agar ganjaran kebaikan itu semua jika ada akan kami hadiahkan kepada arwah-arwah yang telah pergi. Akan masih adakah lagi semua ini?

/hwa: utusan.com.my | 20/9/11

111 terima tajaan tunai haji 1MDB


NAJIB Tun Razak menyampaikan surat tawaran kepada bakal-bakal haji pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Menunaikan Fardu Haji 1432H tajaan Yayasan 1MDB di Sri Perdana, Putrajaya semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 19 Sept. - Seramai 111 pemimpin masyarakat terdiri daripada imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dipilih menerima tajaan menunaikan fardu haji tahun ini oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tajaan untuk 57 imam dan 54 pengerusi JKKK itu bertujuan menghargai jasa, peranan serta sumbangan mereka terhadap agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau, sudah menjadi hasratnya sejak memegang jawatan nombor satu negara untuk melaksanakan program tersebut dan bersyukur kerana ia dapat disempurnakan mengikut kemampuan kerajaan.

''Untuk memartabatkan kedudukan dan kebajikan imam-imam serta ketua kampung, langkah yang kerajaan ambil ialah dengan menaikkan elaun imam dan pengerusi JKKK supaya tidak berada di paras kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat tawaran mengerjakan haji anjuran Yayasan 1MDB di Sri Perdana, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Isme Ismail.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat menjadikan skim tersebut sebagai program tahunan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan menunaikan rukun Islam kelima.

''Semasa di Padang Arafah nanti tolong doa untuk negara supaya Malaysia terus aman, makmur dan rakyat mendapat rahmat dari Allah SWT.

''Saya juga berharap agar bakal-bakal haji ini dapat mengerjakan ibadat dalam keadaan yang sempurna dan dianugerahkan haji mabrur di tanah suci," katanya.

Pada majlis tersebut, Najib turut mengumumkan pemberian RM1,000 sebagai wang saku kepada semua bakal haji berkenaan.

Kos menunaikan fardu haji tahun ini ialah RM9,980 dan program tajaan itu adalah pertama kali dianjurkan oleh 1MDB.

/hwa: utusan.com.my | 20/9/11

Barat patut contohi Malaysia

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berpendapat Amerika Syarikat (AS) dan Britain patut mencontohi Malaysia memansuhkan undang-undang tahanan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih menjadi amalan di negara terbabit.

Beliau berkata, dunia Barat yang dahulu mengkritik hebat penggunaan ISA di negara ini harus mengakui keterbukaan undang-undang dan mengikut jejak langkah Malaysia.

"Pemansuhan ISA membuktikan negara kita kini berada pada kedudukan yang tinggi dari segi moral.

"Bahkan kita juga lebih terbuka berbanding Barat dengan memansuhkan undang-undang tersebut," katanya pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Kelab CheDet.Com, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mahathir juga mahu kedua-dua negara menghentikan undang-undang penyeksaan serta membebaskan semua tahanan di Kem Guantanamo dan Abu Ghraib.

Katanya, sebagai negara yang mewarisi undang-undang tinggalan penjajah itu, rakyat negara ini berhak mendesak AS dan Britain supaya memansuhkan undang-undang penahanan tersebut.

"Dulu mereka menuduh kita zalim apabila melaksanakan ISA tetapi sudah terbukti apa yang dilakukan mereka di kem tahanan Kem Guantanamo dan Abu Ghraib jauh lebih kejam," katanya.

Beliau yang menyokong penuh pemansuhan ISA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini itu bagaimanapun mengingatkan kerajaan supaya lebih berwaspada terhadap desakan dan tindakan golongan ekstrem perkauman di negara ini.

"Saya khuatir mereka akan menggunakan kebebasan ini untuk mengambil kesempatan dan niat jahat," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 20/9/11

19 September 2011

Semarak Merdeka!

16 SEPT 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan orang ramai selepas Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2011 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Utusan/ABDUL RAZAK LATIF

Semarak Merdeka!

16 SEPT 2011: Mohd. Safri Osman (kanan), 53, bersama rakan-rakannya mencuri tumpuan orang ramai apabila mengenakan pakaian bercorak Jalur Gemilang ketika hadir memeriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2011 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Utusan/ABDUL RAZAK LATIF

‘Niat nak buang warisan’

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Kenyataan wakil rakyat DAP, M. Manoharan yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya memperoleh kuasa merupakan bukti jelas bahawa pembangkang sedia mengubah segala-galanya termasuk Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat menilai kenyataan itu secara rasional kerana kesan daripada hasrat tersebut boleh memberi implikasi paling buruk kepada negara serta rakyat.

Ujarnya, selain itu perkara diucapkan oleh Manoharan turut memperlihatkan niat sebenar pihak pembangkang bahawa mereka sentiasa berusaha menghapuskan warisan dan sejarah negara yang selama ini amat dipertahankan oleh rakyat.

‘‘Kita tahu niat pembangkang apabila mereka berkuasa mereka mahu membuang sebahagian daripada warisan kita. Mereka mahu menukar segala-galanya dan bukan setakat Jalur Gemilang sahaja. Mereka mahu mengubah Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Mudah-mudahan mereka tidak berkuasa kerana apa yang mereka hasratkan ini akan menyebabkan negara dan rakyat bakal berhadapan dengan satu fenomena luar biasa serta implikasi yang amat besar,’’ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk R.S. Thanenthiran dan naibnya, R.K. Ramesh.

Kelmarin, Manoharan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah menegaskan bahawa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan bersifat kurang ajar itu disiarkan ADUN DAP terbabit menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam dan didedahkan oleh portal berita terbaru, www.mole.my, semalam.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 8 malam selepas menerima kecaman rakan laman sosialnya, Manoharan memohon maaf atas komentarnya berkaitan Jalur Gemilang sambil mendakwa dia rakyat Malaysia yang patriotik.

Muhyiddin berkata, perkembangan terbaru itu wajar membuka mata rakyat kerana ia hanya akan membawa keburukan kepada negara terutama dalam konteks sosioekonomi dan budaya masyarakat.

‘‘Seperti yang saya katakan tadi mengenai hasrat mereka untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan. Mereka tidak bersetuju dalam beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,’’ ujarnya,

Beliau berkata, itulah yang akan berlaku sekiranya pembangkang diberi peluang untuk memerintah.

Muhyiddin berkata, tindakan terbaru Maoharan itu juga menjadi petunjuk kepada tahap dan nilai akhlak yang dimiliki oleh pemimpin pembangkang.

‘‘Mereka gagal menghormati hak dan budaya warisan bangsa. Oleh itu saya amat berharap rakyat Malaysia bijak membezakan antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

‘‘Segala apa yang dilakukan sejak merdeka hingga hari ini hingga sekarang memang tidak dinafikan ia adalah hasil perjuangan rakyat menerusi BN. Sebab itu pihak pembangkang mahu menafikan pencapaian ini,’’ katanya.

Hakikatnya, beliau berkata, hasil daripada perjuangan BN, rakyat kini menikmati pelbagai faedah manakala Malaysia telah diiktiraf sebagai negara yang berjaya mengecapi kemajuan.

/hwa: utusan.com.my | 19/9/11

CCTV bukti Anwar pembohong

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Pendedahan klip video berwarna yang menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah memasuki lif sebuah pangsapuri membuktikan bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah seorang pembohong.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, ia kerana Anwar sebelum ini pernah mengakui tidak mengenali siapa Shazryl dan mempertikaikan ahli perniagaan itu sebagai rakan baiknya seperti mana beliau mempertikaikan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sebagai sahabat yang dikenali selama 35 tahun sebelum ini.

“Allah hendak tunjuk bukti, jelas daripada video klip itu betapa rapatnya Anwar dengan Datuk Eskay!,” katanya di dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.

Beliau mengulas pendedahan klip video berwarna yang didakwa menunjukkan Anwar dan Shazryl memasuki lif sebuah pangsapuri tempat ketua pembangkang itu didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang perempuan warga China Februari lalu.

Rakaman berdurasi 47 saat itu dimuat naik hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai diperoleh dari pangsapuri berkenaan.

Zulkifli berkata, pendedahan tersebut menunjukkan bahawa pengikut setia Anwar perlu berhenti dari mempercayainya dan bertaubat.

“Kalau kawan-kawan dia pun dia boleh tipu macam tu saja, bayangkan apa dia boleh buat pada anda, umat Islam, rakyat dan negara ini. Sedangkan kalimah Allah pun dia boleh lelong dan agama Islam pun dia kelentong dengan fahaman pluralisme, apa lagi bukti yang anda mahu Allah hantar?,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 19/9/11

Biadab, kurang ajar hina Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Biadab dan kurang ajar.

Itu reaksi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang menegaskan bahawa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, penghinaan terhadap panji negara itu adalah cubaan pembangkang untuk menerap ideologi komunis moden terhadap generasi muda demi mencapai matlamat untuk memecah-belahkan bangsa Malaysia.

Justeru, beliau secara sinis 'mempersilakan' ADUN DAP itu untuk meninggalkan negara ini secara hormat dan memulangkan taraf kewarganegaraan yang dimiliki jika tidak bersetuju dengan setiap perkara yang menjadi lambang dan identiti negara Malaysia.

"Mereka (DAP) semakin kurang ajar dan mereka inilah pengkhianat negara yang sepatutnya tidak layak duduk di muka bumi Malaysia ini.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya kerana mereka dilihat mempunyai agenda tersusun untuk mencucuk minda masyarakat melalui penghinaan demi penghinaan secara halus," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohd. Rapiee pula berkata, kenyataan terlampau Manoharan itu tidak boleh dipandang enteng kerana sanggup menjatuhkan maruah negara melalui penghinaan cukup besar terhadap Jalur Gemilang.

Justeru, DAP perlu segera membuat pendirian rasmi terhadap Manoharan dengan bertindak melucutkan jawatan beliau sekiranya parti itu benar-benar berjuang demi negara.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli pula menganggap Manoharan seolah-olah seorang pendatang asing yang baru tiba di Malaysia apabila 'terkejut' dengan rupa bentuk bendera yang dikatakan meniru bendera AS.

"Satu demi satu fakta sejarah mahu diubah dan dipertikaikan pembangkang. Jika kerajaan tidak menangani isu sebegini secara bijak, saya percaya tidak lama lagi ramai rakyat negara ini sakit jiwa dengan permainan politik mereka," katanya.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan Manoharan itu menunjukkan matlamat pembangkang adalah untuk membuang identiti kebangsaan negara serta membuka ruang untuk budaya asing menyelinap masuk.

"Sekiranya pembangkang memerintah satu hari nanti, tidak mustahil bagi mereka untuk membuang identiti kebangsaan negara ini yang telah dibina melalui keringat nenek moyang serta kepimpinan kita terdahulu."

/hwa: utusan.com.my | 19/9/11

Tidak masuk akal, merepek - Kay Kim

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang mahu menukar Jalur Gemilang sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang sebagai tidak masuk akal dan merepek.

Beliau menegaskan, kenyataan itu juga menunjukkan ADUN tersebut cetek ilmu pengetahuan terutama sejarah.

Menurutnya, isu persamaan bendera Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dibangkitkan oleh Manoharan turut menunjukkan wakil rakyat DAP itu tidak memahami tentang pelaksanaan sistem persekutuan yang diamalkan di negara ini.

"Bendera kedua-dua negara itu mempunyai kaitan dengan sistem persekutuan yang diamalkan.

Saya yakin dia akan faham tentang asal-usul Jalur Gemilang yang dia katakan meniru bendera AS jika dia mempelajari sejarah tersebut.

"Saya nasihatkan lebih baik beliau simpan sahaja idea mengubah bendera tersebut dalam minda beliau daripada berterusan mengeluarkan kenyataan tidak logik, merepek dan langsung tidak bermakna," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Manoharan yang menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Tambah Kay Kim, ADUN DAP itu seperti sengaja mencari jalan untuk menimbulkan lagi huru-hara dalam negara ketika isu mengagungkan tali barut komunis, Muhammad Indera sebagai hero dalam peristiwa Bukit Kepong oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu masih belum selesai.

"Macam-macam isu dan ideologi merepek yang seperti sengaja dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang untuk menghuru-harakan keamanan negara dan mengelirukan minda rakyat.

"Mungkin tindakan mereka yang menimbulkan isu sensitif ini disengajakan ataupun mereka sebenarnya tidak mempunyai ilmu pengetahuan sejarah yang baik," katanya.

Menurutnya, rakyat negara ini sepatutnya tidak cepat mempercayai sesuatu ideologi dan kenyataan yang merepek dan tidak bermakna.

Sementara itu, pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, kenyataan tersebut benar-benar melampau, sempit otak dan jelas menampakkan ketaksuban dalam politik.

"Ideologi menukar Jalur Gemilang yang dinyatakan ADUN DAP itu mengarut dan sengaja mencabar perlembagaan negara.

"Lebih saya kesalkan apabila isu kematian, jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor di Somalia turut dikait dan dipolitikkan dengan Jalur Gemilang," katanya.

Ramlah juga berkata, banyak negara mempunyai bendera yang seakan-akan sama, jadi memang sangat keterlaluan jika isu kematian pun mahu dipolitikkan.

/hwa: utusan.com.my | 19/9/11

15 September 2011

Semarak Merdeka Besut 2011

Datanglah Ramai-ramai! Mulai Jam 8.00 Pagi.

Tentang golongan tolak perpaduan


Sulaiman Saloomi


KUALA LUMPUR 14 Sept. - Golongan yang menolak perpaduan termasuk mereka yang mengaku alim perlu ditentang kerana tindakan tersebut amat jelas berlawanan dengan al-Quran dan hadis yang menyuruh umat Islam bersatu-padu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi berkata, bagi mereka yang arif dalam agama tetapi menolak perpaduan, pendirian tersebut jelas bukan disandarkan kepada ajaran Islam sebenar, sebaliknya hanya sekadar pendapat peribadi.

Ini kerana, menurutnya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya berpecah-belah, sebaliknya umatnya diperintahkan supaya bersatu-padu seperti yang dinyatakan menerusi al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, umat Islam harus sedar tanpa perpaduan ia akan memudahkan tugas musuh-musuh Islam yang selama ini sentiasa berusaha memecah-belahkan lagi masyarakat supaya negara akhirnya menjadi porak-peranda.

"Ingat, di luar sana terdapat musuh-musuh Islam yang terdiri daripada golongan kafir musyrik serta fahaman tertentu seperti Syiah yang sentiasa menunggu peluang untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

"Oleh itu, saya amat mengharapkan umat Islam di Malaysia mengekalkan perpaduan tanpa mengira mazhab mahu pun pendirian politik agar negara ini terselamat daripada sebarang bencana serta mala petaka akibat perpecahan," katanya kepada Utusan Malaysia di Bangi, hari ini.

Sheikh Sulaiman juga adalah pensyarah di Universiti Ummul Qura, Mekah selain memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Pentadbiran Pejabat Dakwah dan Kesedaran Islam di Mekah.

Beliau merupakan pakar dalam fahaman Syiah dan bidang kajiannya ketika mengambil sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) juga berkaitan dengan fahaman itu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram itu berada di negara ini sejak Jumaat lalu sempena lawatan peribadi beliau selama lapan hari.

Menurut Sheikh Sulaiman, golongan menolak perpaduan akan menerima hukuman berat yang bukan sahaja ditanggung oleh mereka, malah pengikut sehingga hari kiamat kerana menentang arahan Allah.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, setiap umat Islam di Malaysia secara umumnya wajib mempertahankan negara ini daripada sebarang anasir yang cuba merosakkan keamanan dan keharmoniannya.

Katanya, bagi golongan seperti pemimpin politik, ulama, media, golongan profesional serta mana-mana pihak berpengaruh dalam masyarakat pula, hukumnya adalah fardu ain.

"Secara peribadi, saya gembira melihat suasana Islam di Malaysia. Di negara ini terdapat organisasi berteraskan Islam seperti Lembaga Tabung Haji dan begitu juga dengan pelaksanaan sistem kewangan Islam.

"Syariat Islam juga berkembang dengan baik. Universiti-universiti berteraskan Islam juga wujud di negara ini. Selain itu, sistem pembelajaran Islam di Malaysia juga boleh dianggap maju ke hadapan. Di sini juga tidak kurang banyaknya buku-buku yang membicarakan tentang Islam," katanya.

Beliau berkata, perkembangan Islam tidak akan berlaku jika suasana di Malaysia tidak berada dalam keadaan baik serta stabil.

"Nasihat saya pelihara negara ini baik-baik, ia satu amanah yang wajib dilaksanakan. Kekalkan perpaduan dan elakkan perpecahan.

"Musuh-musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk memporak-perandakan umat dan perkara ini perlu diawasi bagi memastikan Islam di Malaysia sentiasa terpelihara," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 15/9/11

UMNO kesal pembangkang guna sejarah kelirukan rakyat

KUALA LUMPUR 14 Sept. – UMNO kesal dengan tindak-tanduk pembangkang yang sanggup menggunakan fakta sejarah tanah air untuk mengaburi mata dan mengelirukan pemikiran masyarakat demi kepentingan politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun UMNO sudah memahami tindak-tanduk pembangkang itu, ia seharusnya tidak berlaku kerana akan memberi kesan kepada rakyat.

“Mereka ini bukan sahaja guna sejarah, tetapi turut guna pelbagai kaedah untuk kelirukan rakyat. Dahulu mereka (Pas) kata UMNO tidak boleh bekerjasama dengan parti Cina kerana haram.

“Sudah banyak fakta yang dikelirukan, tetapi kebenaran akan mengatasi kebatilan. Lihat pada hari ini mereka pula bekerjasama dengan DAP,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Luar yang juga Menteri Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam di sini, hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta mengulas tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menghina pejuang kemerdekaan negara apabila menganggap komunis yang menyerang anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Mohd. Shafie berkata, apa yang penting kini adalah rakyat perlu mengetahui fakta yang sebenar serta menolak segala tindak-tanduk pembangkang itu.

“UMNO tidak hairan dengan apa yang dilakukan Mohamad tetapi kita tidak boleh biarkan perkara ini kerana ia boleh memudaratkan masyarakat. Mereka boleh lakukan apa sahaja dan tidak mustahil perkara lebih teruk boleh dilakukan pada masa depan,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Shanmugam, Mohd. Shafie berkata, pendidikan dan pembangunan luar bandar adalah dua perkara yang menjadi tumpuan bagi pihaknya menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Singapura.

Katanya, pada pertemuan itu kerajaan Singapura menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya melihat cara Majlis Amanah Rakyat berfungsi.

/hwa: utusan.com.my | 15/9/11

Mohd. Zahid cabar pimpinan Pas

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Pas dicabar mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kesahihan rakaman perbualan telefon berunsur seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang kini tersebar di YouTube.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, ia bagi memastikan kebenaran dapat dibuktikan dalam isu berkenaan.

Baginya, beliau yakin rakaman perbualan tersebut 100 peratus menyerupai suara Mohamad atau Mat Sabu berdasarkan lenggok pertuturan.

“Saya telah mendengar rakaman perbualan seks tersebut dan saya yakin sepenuhnya ia suara Mat Sabu. Saya pernah berkongsi pentas ceramah dengan Mat Sabu sehingga cukup mengenali lenggok suara dan bahasa yang digunakan Timbalan Presiden Pas itu.

“Jadi, saya meminta seluruh kepimpinan Pas supaya mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara ini agar kebenaran dapat ‘dihidangkan’ kepada rakyat,” katanya sinis kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran rakaman perbualan telefon berunsur seks yang didakwa antara Mat Sabu dengan seorang wanita yang dipercayai dirakam semasa mereka menjalin hubungan intim pada 1994.

Sebelum ini Mohamad dan Normah Abdul Halim pernah ditahan atas tuduhan berkhalwat kerana berdua-duaan di bilik 121 Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimana kedua-duanya dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan tersebut kerana kekurangan bukti. Normah pada masa itu berstatus isteri orang.

Mengenai tindakan Mat Sabu menjawab ‘tiada komen’ ketika diajukan persoalan itu, Mohd. Zahid berkata, ia bukan jawapan yang rakyat mahu dengar daripada seorang Timbalan Presiden Pas memandangkan dakwaan itu cukup serius dan perlukan jawapan yang jelas.

Pada masa sama, beliau juga hairan dengan perubahan sikap Mat Sabu yang tiba-tiba enggan memberi komen kepada pihak media berhubung isu tersebut kerana sepanjang mengenali pemimpin Pas itu, beliau seorang yang gemar bercakap.

“Mat Sabu sebelum ini tidak pernah mengeluarkan kenyataan tiada komen. Kalau tidak suka dengan soalan pemberita dia akan ‘menyerang’ wartawan yang bertanya. Saya pelik dengan sikapnya kali ini,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 15/9/11

Tarikh pilihan raya hak mutlak kerajaan – Dr. M

PUTRAJAYA 14 Sept. – Tarikh pilihan raya umum (PRU) adalah hak mutlak kerajaan yang memerintah yang tidak perlu dikongsi bersama pakatan pembangkang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, di mana-mana negara pun sememangnya tidak ada perbincangan berkenaan tarikh PRU antara kerajaan yang memerintah dengan parti-parti pembangkang.

“Jadi ia adalah hak mutlak kerajaan untuk membubarkan Parlimen bila masa ditentukan oleh pihak mereka sahaja dan di mana-mana negara pun macam itu.

“Kalau mereka (pembangkang) nak tentukan juga, biarlah jadi kerajaan dulu tetapi bila jadi kerajaan dan kita ajak bincang dulu, mereka tentu tidak mahu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Proton berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan tiga unit model Saga dan lima Exora berkuasa elektrik oleh Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Portal propembangkang, Malaysiakini semalam menyiarkan kenyataan pakatan pembangkang mahu terlibat sama menentukan tarikh PRU bagi membolehkan cadangan pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berhubung pembaharuan pilihan raya mempunyai masa mencukupi menjalankan tugas.

Ia antara lima prasyarat yang dibentangkan dan mereka mahu Najib memberi jaminan berhubung perkara itu sebelum mereka memutuskan menyertai JTP.

Mengulas mengenai JTP itu, Dr. Mahathir yakin kerajaan akan menerima apa sahaja cadangan yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa itu.

“Tetapi mungkin kerajaan mempunyai pendapat yang berbeza terhadap setiap cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh PRU ke-13, beliau berkata: “Saya kenal Datuk Seri Najib tetapi tidak boleh baca hati beliau”.

Ditanya mengenai usaha Proton mengeluarkan kereta elektrik sepenuhnya, beliau berkata, ia adalah usaha yang memberi kebaikan bukan hanya kepada kerajaan tetapi rakyat.

“Kerajaan boleh berjimat dari segi subsidi ke atas minyak petrol dan untuk orang awam, mereka juga boleh menjimatkan pengunaan bahan api itu walaupun harga kereta itu agak mahal.

“Saya juga berharap Proton akan mengeluarkan trak dan bas yang menggunakan elektrik sepenuhnya di masa depan,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 15/9/11

14 September 2011

Semarak Merdeka Besut 2011

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI!

Salahkah jika kita ultra Melayu?

Oleh Zaini Hassan

KELMARIN saya bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, setelah sekian lama tidak ketemu. Saya juga tidak mengunjungi ke rumah terbukanya baru-baru ini yang dihadiri ribuan orang. Maaf Tun!

Dulu semasa beliau menjadi Perdana Menteri sering saya bertemu; sama ada dalam liputan berita, membuat liputan lawatan ke luar negara atau dalam wawancara khas dengan beliau. Pendek kata, kerjaya saya sebagai wartawan sebahagian besarnya ialah dalam era beliau. Beliau juga yang membentuk kewartawanan kami.

Sebagai wartawan kami tahu tabiat beliau, tingkah laku beliau dan sepak terajang politik beliau. Jangan bohonglah mengenai politik dengan beliau. Walaupun asas pelajarannya dalam perubatan, beliau ialah seorang ahli politik yang tiada tolok-bandingnya.

Dalam buku 24 Hours in Cyberspace, penulis buku itu menyifatkan Dr. Mahathir sebagai “the most political savvy on earth” atau seorang yang amat celik politik di atas muka bumi ini. Dalam konteks buku itu, Dr. Mahathir digambarkan seorang pemimpin yang mampu menggunakan kuasa politiknya untuk menjadikan Malaysia sebagai apa yang kita lihat pada hari ini.

Kuasa Internet dan Koridor Raya Multimedia mula dikenali di negara ini setelah dibawa masuk oleh Tun M.

Prof. Kisho Kurokawa, seorang arkitek tersohor Jepun yang mereka bentuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan beratus lagi struktur hebat dunia, dalam bukunya, The Philosophy of Symbiosis juga menyifatkan Tun sebagai arkitek terhebat yang lebih hebat daripada dirinya.

Benar, Tun Dr. Mahathir cukup teruja dengan teknologi. Pengalaman mengikuti beliau ke negara luar dulu, saya perhatikan beliau amat serius jika meneliti sesuatu teknologi baharu. Wajahnya akan berkerut memerhatikannya serta mendengar taklimat dengan cukup khusyuk.

Itulah Dr. Mahathir, yang semua orang mengenalinya.

Jika dulu saban tahun, saya bersama-sama teman-teman seperjuangan Utusan Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarang, Khalid Mohd., mewawancara Tun secara eksklusif setiap kali menjelang Perhimpunan Agung UMNO – setiap kali itu jugalah, kami semua pasti akan teruja dengan jawapan-jawapan yang diberikan.

Cakap beliau begitu teliti. Ayat-ayatnya tersusun rapi. Isu yang sukar, dipermudahkan dengan begitu senang. Bagi saya, Tun bukan sahaja seorang doktor, ahli politik malah pakar bahasa Melayu dan Inggeris yang juga hebat.

Soalan yang provokatif adalah soalan yang gemar ditanya, kerana jawapannya amat memberangsangkan. Kelmarin dalam usianya yang menjangkau ke-86 tahun, saya diberi peluang untuk mewawancara beliau sekali lagi dan kali ini untuk program TV1 Bicara Negarawan di pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Wawancara itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Wawancara itu akan disiarkan pada hari Jumaat ini mulai pukul 10 hingga 11 malam.

Walaupun ia hanya memakan masa yang amat pendek iaitu sejam, namun sekali lagi jawapan-jawapan yang diberikan cukup hebat. Sehebat semasa kami mewawancara beliau dahulu.

Walaupun beliau tidak melihat terlebih dahulu soalan yang akan ditanya, namun jawapan spontannya lengkap. Semua jawapan berada di hujung jari beliau.

Melihatkan wajahnya yang cukup berseri, dan fizikalnya yang baik, semua tetamu kagum dengannya. Soalan pertama daripada rakan saya dari Bernama, Datuk Yong Soo Heong ialah mengenai rahsia beliau menjaga kesihatan. Sekali lagi beliau berkata jaga makan, jangan sampai gemuk...!

Isu ‘calon boleh menang’ atau winnable candidate misalnya, digarap dengan begitu mudah. “Adalah lebih baik mereka (yang bermimpi-mimpi mahu menjadi calon) memastikan parti akan mendapat kemenangan kerana hanya apabila parti menang dan mendirikan kerajaan barulah semua pihak dapat merasai kenikmatannya.”

Beliau mengakui sukar untuk membetulkan keghairahan orang yang mahu menjadi calon. Dalam soalan lain, beliau turut meminta kerajaan mengubah pandangan dan fikiran mengenai cadangan untuk membawa masuk syarikat luar bagi bersaing dengan pengusaha tempatan, terutamanya dalam bidang minyak dan gas. Sebaliknya Tun mencadangkan peluang terus diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan.

Walaupun pendek, wawancara itu dijawab beliau dengan begitu mantap sekali.

Di atas pentas semasa wawancara selesai, saya sempat berbisik mengenai jualan terkini buku memoirnya: A Doctor In The House. “Bagus, sudah terjual lebih kurang 90,000 naskhah.” Difahamkan versi bahasa Mandarin yang baru dilancarkan juga sudah habis.

Versi Melayu katanya, dalam proses penyiapan. Saya jangka versi bahasa Melayunya juga akan menjadi goreng pisang panas apabila dilancarkan kelak.

Namun, saya agak kecewa kerana beberapa soalan lain gagal ditanya kerana kesuntukan masa.

Antara soalan itu: Tun merupakan Melayu pertama yang digelar sebagai ultra Melayu selepas dipecat daripada UMNO pada 1969. Mengapa agaknya? Dalam konteks sekarang adakah salah jika orang Melayu dikenali sebagai ultra dalam memperjuangkan haknya?

William Cheng, seorang ultra

Cina...?

TAIKUN besi The Lion Group, Tan Sri William Cheng dalam ruangan Bisnes Utusan Malaysia semalam mempertikai kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kedai itu yang mula mendapat sokongan rakyat kini dianggap oleh William boleh menjejas peruncit biasa, yang mungkin ditujukan kepada peruncit berbangsa Cina.

Kita semua tahu Kedai Rakyat 1Malaysia itu cukup hebat ideanya. Itulah kedai yang menjual barangan murah (konsep seperti pasar raya No Frills di Kanada) yang mampu dibeli rakyat marhain, yang rata-ratanya masih terdiri daripada orang Melayu dan India.

Selama ini pekedai-pekedai (yang dimaksudkan oleh William Cheng) menjual barangan dengan harga yang ada kalanya tidak masuk akal, sehingga ada yang berani menyorok bagi memberi tekanan supaya kerajaan menaikkan harga barangan tertentu.

Saudara saya yang menjalankan kedai runcit di Labu Besar, Kulim dan Tunjang, Jitra juga pernah mengadu, harga borong yang diperolehnya berbeza harga dengan pekedai lain yang sebangsa dengan pemborong itu. Jadi, peruncit Melayu itu hanya akan untung kecil saja atau tak untung langsung jika harganya terpaksa diselaraskan dengan kedai pesaing tadi.

Apakah William Cheng sedar perkara-perkara itu?

Dalam ulasannya mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia itu, beliau dipetik sebagai berkata, langkah (kerajaan) itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi peniaga-peniaga runcit kecil di bawah naungan Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian Cina (ACCIM).

Dakwa Cheng, kerajaan perlu berlaku adil dengan membekalkan produk harga patut yang sama kepada 30,000 kedai runcit sedia ada.

Kata Cheng, harga produk di kedai 1Malaysia adalah 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding yang ditawarkan oleh kedai runcit biasa.

‘‘Sekiranya perkara ini tidak dibendung, perniagaan kedai runcit (ahli-ahli ACCIM) akan terjejas.”

Saya enggan komen panjang, biarlah pencetus idea hebat Kedai Rakyat 1Malaysia itu, iaitu Perdana Menteri sendiri menjawabnya.

Ini pula reaksi Ibrahim Ali,

seorang ultra Melayu...?

(DATUK Ibrahim Ali menghantar reaksi ini bagi menjawab kenyataan William mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia dan cadangan pemindahan Lion Group ke Indonesia. Saya siarkan penuh SMS keras beliau dengan suntingan).

Itulah gambaran golongan mereka yang sangat pentingkan diri dan kadang kala bersikap melampau.

Mereka hanya pentingkan segolongan peniaga, tapi bagaimana kepentingan orang ramai termasuk kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.

Nampaknya golongan ini langsung tidak ada pertimbangan wajar terhadap kepentingan majoriti rakyat.

Setiap hari dan masa ugut kerajaan. Mementingkan golongan peniaga kumpulan tertentu atau puak kapitalis minoriti yang kaya raya sahaja adalah satu langkah yang karut.

Oleh itu kerajaan mesti teruskan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Cadangan Lion Group mahu pindah ke Indonesia adalah satu ugutan yang tidak perlu dilayan. Negara Malaysia bebas dan ada dasar serta undang-undang sendiri.

Kerajaan mesti melihat kepentingan negara dahulu sebelum kepentingan satu dua individu korporat yang tamak.

Kepentingan mereka lebih penting daripada kepentingan negara dan rakyat.

Baru-baru ini RIM melaporkan Malaysia terus menjadi destinasi pelabur gergasi dunia. Satu pergi banyak lagi yang akan datang. Yang penting kerajaan mesti TEGAS dan tidak mudah tunduk kepada ugutan.

Pada mereka, Dasar Affirmatif mesti ditolak, tapi Dasar Perlindungan untuk mereka mesti diteruskan. Betul-betul double standard dan bersifat jahat.

Umat Melayu Islam, bumiputera dan semua kaum yang daif mesti bersatu untuk mempertahankan kepentingan negara dan keharmonian hidup serta menentang dasar untuk kumpulan minoriti yang berpengaruh.

Bagaimana pula dengan peniaga-peniaga makanan yang hanya mampu adakan gerai bergerak atau gerai tepi jalan untuk berniaga dengan harga barang melampau.

Apa tinggal untungnya. Sebab itu gerai tepi jalan terpaksa menjual nasi campur dengan harga RM5 untuk tengah hari.

Nak untung RM1 pun payah. Kalau 100 bungkus dapatlah RM100 sehari. Upah pembantu RM30 paling murah sehari untuk seorang. Petrol kurang-kurang RM20. Dapatlah RM50 bersih sehari. Sebulan RM1,500. Bayar van RM700. Sewa rumah atau bayar pinjaman rumah RM500. Baki RM300. Elektrik dan air RM100. Baki RM200.

Cukup ke tanggung anak sekolah rendah atau menengah?

/hwa: utusan.com.my | 13/9/11

Waris Tunku Abdul Rahman terguris

Oleh SAFINA RAMLI

Tengku Zainol Rashid menunjukkan rekod catatan sejarah mengenai pejuang kemerdekaan negara pada sidang media di Alor Setar, semalam. – BERNAMA


ALOR SETAR 13 Sept. – Waris-waris Tunku Abdul Rahman terguris dengan keceluparan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang membelakangkan sumbangan Perdana Menteri pertama itu dalam membebaskan negara ini daripada penjajahan British tanpa pertumpahan darah.

Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya yang mewakili keluarga waris Tunku Abdul Rahman berkata, mereka pada masa sama menentang keras pendirian Mohamad atau Mat Sabu yang mengangkat pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

“Saya bagi pihak keluarga Tunku Abdul Rahman ingin memberi nasihat kepada Mat Sabu agar membuka minda dan meminta maaf secara terbuka kepada kami.

“Rakyat boleh nilai tinggi atau rendah pemikiran kita dan sesiapa sahaja yang berniat jahat serta tidak lurus dalam perjuangan, kami anggap dia sebagai musuh kita setiap masa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tengku Zainol Rashid yang juga anak saudara Tunku Abdul Rahman berkata, bapa saudaranya itu serta pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu terpaksa berkorban untuk menuntut kemerdekaan daripada British.

“Saya masih ingat ibu saya beritahu bahawa dia terpaksa gadai barang kemas untuk memberi wang kepada Tunku bagi membolehkan beliau ke England bagi berbincang dengan pihak British.

“Betapa perit orang dahulu nak capai kemerdekaan tetapi hari ini dengan senangnya Mat Sabu yang sudah kecapi nikmat kemerdekaan ini hendak pertikai jasa mereka,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap Mat Sabu agar isu ini segera selesai.

“Orang macam Mat Sabu ini ibarat rebus pun tak empuk dan hanya dengan penjara sahaja dia boleh diam,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zainol berkata, pihaknya juga mahu kerajaan memasukkan di dalam sukatan mata pelajaran Sejarah di sekolah mengenai personaliti Tunku Abdul Rahman agar lebih dikenali generasi muda.

“Beliau anak raja yang petah bercakap dan kesungguhan beliau berjaya melembutkan hati pihak British untuk memberi kemerdekaan kepada negara.

“Fakta-fakta ini perlu dimasukkan agar kita lebih kenal siapa beliau,” jelasnya.

/hwa: utusan.com.my | 14/9/11

UMNO mahu saman Guan Eng RM30j

Oleh ROKIAH ABDULLAH

Zainal Abidin Osman (tengah) menunjukkan beberapa laporan polis terhadap Lim Guan Eng di Menara UMNO, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 13 Sept. – UMNO akan memfailkan saman malu berjumlah RM30 juta terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng ekoran tindakannya menuduh parti itu terlibat dalam demonstrasi aman di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini dan di atas Jambatan Pulau Pinang, 1 Julai lalu.

Tindakan undang-undang juga dibuat berikutan dakwaan Setiausaha Agung DAP itu bahawa UMNO terlibat dalam kejadian cuba membakar pejabat DAP Pulau Pinang di Jalan Talipon di sini pada 17 Ogos lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebagai permulaan, satu notis tuntutan akan dihantar ke pejabat Ketua Menteri esok yang perlu dijawab Guan Eng dalam tempoh tujuh hari atau saman akan difailkan selepas tarikh tersebut melalui firma guaman, Jahaberdeen & Co.

Tegasnya, selain saman malu, pihaknya juga telah membuat beberapa laporan polis sejak bulan lalu berhubung kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Guan Eng itu dan meminta polis menyiasat dakwaan fitnah tersebut mengikut Seksyen 499 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

‘‘UMNO Pulau Pinang sudah cukup bersabar dengan tingkah laku dan keceluparan Guan Eng yang setiap hari membuat tohmahan dan fitnah supaya rakyat benci dan curiga terhadap UMNO. Kesabaran kita ada tahapnya dan kini kita rasa dia telah melampaui batas.

‘‘Peluang yang diberikan kepadanya untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya dalam masa tujuh hari sebelum ini juga tidak dipedulikan malahan dia secara bongkak mencabar saya melalui twitter supaya terus menyamannya. Justeru, kita tidak ada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama, peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili UMNO.

Menurut Zainal Abidin, selain menunjukkan rasa kesal dan sedih terhadap tohmahan yang dilemparkan itu, tindakan saman juga dibuat bagi mententeramkan suasana politik negeri ini supaya semua pihak lebih beretika.

‘‘Saya telah menafikan sekeras-kerasnya penglibatan UMNO dalam kedua-dua kejadian berkenaan namun saya pula dikatakan pembohong dan penipu dan dia terus melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap UMNO dalam ucapan dan sidang akhbarnya setiap hari selepas itu.

‘‘Sebagai ketua menteri yang diamanahkan mentadbir negeri ini, sepatutnya dia mewujudkan rasa aman dan tenteram dan bukannya siang malam asyik menuduh dan bermain politik. Justeru, keadaan ini perlu ditenteramkan,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 14/9/11

13 September 2011

Semarak Merdeka Besut 2011

Jom... Datang Beramai-ramai.
Bermula Jam 8.00 pagi - 12.00 tengahari. Macam-macam ada!

Semarak Merdeka!

11 SEPT 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut meriah oleh penduduk setibanya beliau ke Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 di Padang SMK Guar Perahu, Permatang Pauh, Pulau Pinang. - Utusan/ISMAIL KAMADIN

Semarak Merdeka!

11 SEPT 2011: Pelajar-pelajar mengibarkan bendera dan melaungkan laungan kemerdekaan sewaktu Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang yang diadakan Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu. - Utusan/AIZZUL A MAJID