28 Februari 2011

Ramah Mesra

NAJIB Razak beramah mesra dengan Man @ Mat Budin Yassin, peneroka warga emas dan bekas ketua UMNO cawangan Felda Jengka 22 ketika melawatnya di Jengka 22, Pahang, 27 Februari 2011. UTUSAN/MAHATHIR ALI
hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Peneroka bukan hamba – PM


Najib Tun Razak bersalaman dengan warga Felda ketika hadir pada majlis Perdana Menteri Bersama Warga Felda di Felda Jengka 23, Pahang, semalam. Turut sama, calon Barisan Nasional DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

KUALA KRAU 27 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas pembangkang yang menyebarkan tohmahan kononnya kerajaan memperhambakan peneroka Felda tanpa mempedulikan kebajikan mereka.

Tegas Perdana Menteri, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana sejak Felda ditubuhkan 54 tahun lalu, kebanyakan peneroka kini mengecapi kemewahan daripada usaha mereka dengan bantuan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jika kita memperhambakan peneroka, hamba mana yang ada tanah seluas empat hektar? Hamba mana yang ada rumah batu atau rumah separuh batu ataupun sekurang-kurangnya bahagian depan rumahnya batu? Hamba mana yang ada kereta?

‘‘Ada rumah peneroka yang lebih cantik daripada rumah milik pegawai atasan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis mesra bersama warga Felda Jengka 23, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan gelanggang futsal terbuka, dewan orang ramai, pusat jalur lebar dan upacara pecah tanah kilang biomas Felda Jengka 9 secara maya.

Najib mengimbas bagaimana peneroka yang dahulunya tidak mempunyai sebarang harta, kini mampu berbangga dengan nikmat yang dikecapi hasil penat lelah mereka.

“Rezeki tidak datang bergolek, ini semua kerana anda pilih kerajaan yang betul,” katanya.

Dalam hal ini, beliau mengingatkan masyarakat peneroka agar jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis pembangkang termasuk kononnya ingin melupuskan 300,000 hektar tanah Felda Plantations untuk diberi kepada generasi kedua dan seterusnya.

Ini kerana, jelas beliau, sebanyak 51 peratus pelaburan dalam Felda Plantations adalah milik Koperasi Pembangunan Felda dengan dividennya sebanyak 14 peratus diagihkan kepada peneroka.

‘‘Dividen itu lebih tinggi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saham amanah,” katanya.

Jika janji pembangkang itu diikuti, ujarnya, peneroka tidak akan mendapat lagi dividen kalau tanah tersebut diagihkan kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

‘‘Sebenarnya kita telah mengambil kira kepentingan dan masa depan anak cucu peneroka,” jelasnya.

Najib menegaskan, segala usaha kerajaan memajukan kaum peneroka itu merupakan satu jihad untuk meningkatkan maruah umat Islam.

Sedangkan, katanya, pembangkang hanya bijak untuk berslogan dan melemparkan fitnah terhadap kerajaan tanpa melakukan apa-apa.

‘‘Kalau kita hendak perjuangkan Islam, Islam yang bagaimana? Yang miskin? Yang tidak ada tanah? Rumah robek? Itu bukan imej Islam yang diperjuangkan kerajaan. Kita hendak imej yang gagah perkasa dan hebat di mata dunia,” tegasnya.

Berucap di Felda Jengka 22 selepas itu, Perdana Menteri kesal dengan sikap pembangkang yang melabelkan parti Barisan Nasional (BN) sebagai ‘barang naik’ sedangkan kerajaan sentiasa berusaha memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan.

Misalnya, tegas beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 bilion sebagai subsidi bagi memastikan harga minyak kekal pada harga sekarang.

‘‘Bagaimanapun, apabila harga getah dan kelapa sawit melambung di pasaran, mereka tidak puji kerajaan pula. Mereka (pembangkang) kata ia disebabkan pasaran antarabangsa,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Hanya bina dua masjid dalam masa 20 tahun

KUALA KRAU 27 Feb. - Kerajaan Pas Kelantan hanya membina dua masjid sepanjang 20 tahun memerintah negeri itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, kebanyakan masjid yang ada di Kelantan ketika ini dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) meskipun BN tidak memerintah negeri itu.

Kerana itu, kata beliau, rakyat tidak seharusnya melihat hanya Pas memperjuangkan agama disebabkan oleh slogan parti tersebut yang berbaur Islam seperti 'Membangun Bersama Islam' dan 'Negeri Serambi Mekah'.

Katanya, umat Islam juga tidak boleh mengukur keIslaman hanya menerusi penampilan seperti berjanggut, berserban dan berjubah kerana Islam yang diperjuangkan oleh BN lebih kepada dasar dan pengisiannya.

"Tentu sekali BN terutama UMNO juga mahukan Islam tetapi perlu dilihat Islam yang bagaimana.

"Kita tidak mahu Islam yang dikaitkan dengan kemiskinan apatah lagi papa kedana dan lemah sehingga tiada kekuatan dari sudut keilmuan," katanya ketika berucap pada majlis bertemu dengan penduduk Kampung Batu Sawar di Sekolah Kebangsaan Batu Sawar, Kuala Krau di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; dan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Najib menambah, oleh kerana kekuatan Islam di negara ini juga kerajaan BN dapat menguruskan dengan lancar penghantaran pulang pelajar-pelajar dari Mesir ketika berlakunya konflik politik di negara itu baru-baru ini.

Operasi menyelamat itu, kata beliau, tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan mudah sekiranya kerajaan BN lemah dan tiada hubungan yang baik dengan negara tersebut.

Najib sekali lagi mengingatkan bahawa dalam operasi menyelamat rakyat Malaysia itu, kerajaan tidak memilih bulu sama ada mereka ahli keluarga penyokong Pas atau BN sebaliknya dilakukan atas tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan terhadap rakyatnya.

"Asalkan mereka warganegara Malaysia, kita selamatkan dan membawa mereka pulang. Tidak dapat undi pun tidak mengapa, dapat pahala pun sudah cukup," kata beliau.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Bahagian, cawangan UMNO boleh buat pemilihan olok-olok


Hishammudin Tun Hussein ketika berucap pada perasmian serentak Persidangan Agung Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO seluruh Perak di Ipoh, semalam. Turut kelihatan Dr. Zambry Abd. Kadir (kanan).

IPOH 27 Feb. - Sebuah jawatankuasa pemantau telah ditubuhkan bagi memantau pemilihan olok-olok yang akan diadakan di peringkat bahagian dan cawangan UMNO tahun ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penubuhan jawatankuasa yang mendapat restu Majlis Tertinggi (MT) parti itu baru-baru ini dijangka dapat mengelakkan suasana yang boleh menjejaskan keharmonian parti.

Beliau berkata, pemilihan tersebut juga dapat menjimatkan kos, lokasi dan perjalanan dalam mengadakan mesyuarat di setiap bahagian.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, ia juga bertujuan memastikan persiapan pemilihan dalam parti nanti akan berjalan dengan lancar.

"Ada bahagian yang boleh buat pemilihan seperti itu kerana bukan semua bahagian boleh buat. Kalau tak buat tahun ini pun tak apa kerana kita tidak tahu bila pemilihan dalam parti akan diadakan.

"Kita juga tidak mahu apa yang berlaku sewaktu pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat PKR) tahun lalu, akan berlaku kepada UMNO," katanya selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO Seluruh Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Lebih 5,000 ahli UMNO dari 24 bahagian dengan 1,679 cawangan menghadiri persidangan itu.

Ditanya mengenai pindaan perlembagaan parti, Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan berkata, pindaan melibatkan tujuh perkara termasuk penghapusan sistem kuota pemilihan dibuat bukan kerana pertimbangan politik semata-mata dan juga bukan untuk menjadi popular.

"Kita membuat pindaan itu kerana kita kena pastikan pemilihan dapat berjalan dengan lancar dan secara bijaksana," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pelan transformasi politik dan kesedaran gerakan dalam parti menjadi suntikan semangat baru kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, perasmian cawangan secara berkelompok merupakan satu keunikan dan amat bersejarah dalam apa yang dilalui parti.

"Saya harap ini petanda bermulanya gelombang kesedaran dan gelombang transformasi perubahan dan suntikan semangat yang bermula di Perak.

Menurut beliau, transformasi ini dapat diikuti di negeri-negeri lain melalui program seperti turun padang oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli MT yang lain.

"Ini permulaan petanda kebangkitan semula kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selain menunjukkan tanda-tanda awal positif dalam memastikan setiap ahli memahami landskap politik negara," katanya.

Hishammuddin berkata, apa yang kita lihat insiden seperti yang berlaku di Asia Barat baru-baru ini menjadi iktibar untuk negara ini melakukan transformasi kepada rakyat.

Katanya, usaha mendekati golongan muda melalui Facebook dan Twitter menunjukkan UMNO semakin relevan mengikut keadaan dan tuntutan semasa.

Tambah beliau, kepimpinan parti yang diterajui oleh Najib telah pun sedar bahawa ini perlu dilakukan dan ini telah ditekankan kepada ahli-ahli sebelum ini.

"Cara untuk bergerak bergantung kepada pendekatan yang mungkin di luar kotak yang mana rakyat kita dahulukan dan pengundi tentukan nasib pemimpin akan membawa manfaat kepada parti dan masa depan negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Sokongan Melayu simpanan tetap UMNO

BATU PAHAT 27 Feb. - Sokongan pengundi Melayu khususnya di kampung-kampung tradisi serta kawasan Felda mesti dikekalkan sebagai 'simpanan tetap' UMNO bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sehubungan itu, perjuangan membela nasib orang Melayu tidak boleh diabaikan dalam usaha memenangi hati semua pihak.

"Sokongan orang Melayu mesti dipertahankan sebagai 'simpanan tetap'. Kita mesti menjadi juara dalam menawan hati orang Melayu dan yang pasti, kita sama sekali tidak boleh melukakan hati orang Melayu," katanya.

Mohd. Puad ditemui selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Dalam Bahagian Batu Pahat di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat turut mengumumkan pemberian ganjaran RM15,000 daripada UMNO Pusat dan Batu Pahat kepada ahlinya yang berjaya mendaftarkan 1,500 pengundi baru di daerah ini.

Menurutnya, ahli UMNO kini lebih matang dan menyedari bahawa kuasa politik hanya boleh diperoleh jika orang Melayu bersatu.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli UMNO supaya tidak leka dengan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini kerana trend tersebut tidak menjamin UMNO bersedia 100 peratus bagi menghadapi PRU.

Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, UMNO juga perlu lebih agresif menguasai 'media baru' untuk memenangi hati rakyat yang kini tidak hanya memperoleh maklumat daripada media konvensional.

"Kita mesti menjuarai perubahan. Penggunaan teknologi maklumat dan Internet seperti Facebook dan blog perlu diperhebatkan kerana orang ramai kini dilihat lebih cenderung dan berminat dengan media baru ini," katanya.

Beliau mengakui, pada masa ini UMNO masih agak terkebelakang dalam penggunaan media baru terutama dari segi kekerapan penggunaan blog.

"Kita dapati banyak serangan terutamanya daripada pembangkang menerusi blog-blog mereka terhadap kita. Saya lihat kita agak terlewat untuk membalas atau menerangkan isu tersebut di dalam blog," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Pluralisme: Pas sanggup ketepikan soal agama demi kuasa

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Sikap berdiam diri Pas dalam isu pluralisme iaitu satu fahaman yang amat bertentangan dengan akidah Islam jelas membuktikan kepimpinan parti itu sanggup mengetepikan kepentingan agama demi kuasa.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad (gambar) berkata, ia tidak menghairankan kerana kepimpinan Pas kini lebih mementingkan kuasa daripada segala-galanya walaupun dahulu parti itu begitu kuat mempertahankan akidah.

Katanya, atas dasar itulah Pas sanggup bekerjasama serta mengiktiraf Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan pendukung fahaman itu sebagai Ketua Pembangkang.

"Terang-terang tahap akidah Anwar boleh dipersoalkan ekoran hubungannya dengan fahaman pluralisme. Persoalannya mengapa Pas sedia bekerjasama dengan Anwar?

"Mengapa pada satu waktu dahulu mereka sanggup menuduh UMNO kafir tetapi dalam isu ini mereka diam walaupun jelas fahaman pluralisme bertentangan dengan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan pemimpin-pemimpin utama Pas mendiamkan diri berhubung isu fahaman pluralisme menimbulkan persoalan.

Najib berkata, sehingga kini kesemua pemimpin utama parti tersebut seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyatakan pendirian mereka terhadap fahaman yang bertentangan dengan Islam itu.

Najib berkata, hanya Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyatakan beliau tidak setuju dengan fahaman tersebut.

Nakhaie berkata, sepatutnya dalam isu tersebut Pas dengan tegas menyatakan penentangan mereka terhadap fahaman itu demi Islam yang suci.

"Ini tidak, mereka terus diam, langsung tidak memberi sebarang reaksi. Punca semua ini adalah kuasa," ujarnya.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin utama Pas sebenarnya tidak 'berani' menyatakan kebenaran kerana khuatir hubungan mereka dengan PKR terjejas.

"Inilah sikap sebenar pemimpin Pas. Walaupun jelas Anwar menyokong satu fahaman yang bertentangan dengan akidah Islam, mereka langsung tidak berbunyi," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Rosmah bidas pihak pembangkang


Rosmah Mansor beramah mesra dengan penduduk Felda Jengka 25 di Kuala Krau, Pahang, semalam. – utusan/RUSHDI SALLEH


KUALA KRAU 27 Feb. – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini membidas pihak pembangkang yang melemparkan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak benar terhadap dirinya dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rosmah berkata, pelbagai fitnah dilemparkan terhadap beliau termasuk dikatakan mengongkong dan mengawal segala tindak-tanduk Perdana Menteri.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa semua itu (mengongkong) tidak benar kerana segala keputusan dibuat sendiri oleh Datuk Seri Najib.

“Malah, apa jua yang saya lakukan adalah dalam pengetahuan dan perlu mendapat kebenaran daripada beliau terlebih dahulu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik di Felda Jengka 25 di sini hari ini.

Rosmah berkata, walaupun sering kali difitnah oleh pihak pembangkang, beliau tidak patah semangat untuk terus melaksanakan tanggungjawab terutamanya terhadap golongan wanita dan generasi akan datang.

“Mereka (pihak pembangkang) ingat saya akan duduk diam selepas mereka hentam saya dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Saya sebenarnya lebih bersemangat terutama dituduh menghabiskan duit kerajaan selepas pergi ke Riyadh, Arab Saudi untuk menyampaikan ucaptama di sana baru-baru ini,” jelasnya.

Tambah Rosmah, kunjungan beliau dan rombongan ke Riyadh adalah atas jemputan dan pengiktirafan negara itu terhadap wanita Malaysia.

“Saya bukan nak besarkan diri tetapi ingin jelaskan bahawa saya ke sana bukan untuk berseronok tetapi bekerja,” ujarnya yang kini memberi komitmen padu dalam bidang pendidikan generasi muda khususnya kanak-kanak prasekolah.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

Produk tempatan terpinggir

SHAH ALAM 27 Feb. – Produk dan perkhidmatan buatan tempatan sukar berkembang di Malaysia kerana pusat membeli-belah utama kurang memberi ruang kepada usahawan-usahawan itu.

Mereka tidak mampu memiliki lot perniagaan dan tidak berpeluang memasarkan produk mereka di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pelancong asing dan rakyat tempatan berbelanja, kata Pengerusi Eksekutif Leesa Formula Sdn. Bhd. (Leesa Formula), Zulkefli Muhamad Ali.

Katanya, kebanyakan pusat membeli-belah lebih mengutamakan penjualan rangkaian luas produk dan jenama asing meskipun sesetengah kurang dikenali apabila dibandingkan dengan produk tempatan.

Zulkefli berkata, pihaknya telah terlibat dalam perniagaan hampir 10 tahun dan mendapati masalah itu menjadi kekangan utama kepada usahawan terutamanya bumiputera.

“Apa yang pelik, para pelancong yang datang ke sini mahu membeli barangan yang tiada di negara mereka. Sepatutnya pusat membeli-belah mengambil kesempatan ini dengan memberi peluang kepada pengusaha tempatan memasarkan produk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Zulkefli kini mengendalikan perniagaan produk kecantikan berasaskan herba, spa dan busana muslimah melalui syarikat yang ditubuhkan bersama-sama isterinya termasuk mempunyai cawangan di Pusat Membeli Belah Terkemuka Pavillion di Kuala Lumpur.

Beliau mencadangkan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) turut berperanan dengan mendirikan pusat membeli- belah di kawasan tumpuan pelancong dan disewakan khas kepada usahawan tempatan bagi memasarkan produk masing-masing.

Katanya, terdapat sebuah pusat membeli-belah popular di Lembah Klang pernah menyuruh beliau kembali ke pusat itu untuk mengambil semula kertas cadangan memohon mendapatkan lot perniagaan di situ.

“Saya agak terkejut dengan tindakan itu, sedangkan kami sudah mempunyai jenama tersendiri dan rekod jualan baik.

“Kerajaan perlu masuk campur jika keadaan itu mungkin mempunyai unsur-unsur perkauman,’’ kata Zulkefli.

Beliau mengharapkan pusat membeli-belah memberi kepercayaan kepada jenama tempatan jika mendapati rekod perniagaan dan berpotensi untuk berkembang kerana lokasi perniagaan mampu memberi impak sesuatu pendapatan perniagaan.

“Contohnya pendapatan butik kami di Pavilion, agak tinggi melebihi 20 peratus berbanding butik di lokasi lain. Ini disebabkan pusat itu merupakan lokasi tumpuan termasuk pelancong tempatan dan asing,” ujarnya.

Beliau mengharapkan untuk membuka lebih banyak perniagaannya di pusat membeli belah kerana keuntungan dapat digandakan.

Pada masa sama, tegasnya, usahawan tempatan terutama sekali bumiputera harus membuka mata untuk menjalankan perniagaan bernilai tinggi tambahan pula dengan adanya kemajuan sistem telekomunikasi ketika ini.

Katanya, mereka juga perlu mengetahui dengan terperinci latar belakang sesuatu perniagaan yang ingin diceburi dan peluangnya pada masa hadapan selain menerapkan pengurusan perniagaan yang bersistematik.

“Selain itu, kemahiran dan pengetahuan terhadap penggunaan teknologi terkini penting di dalam perniagaan zaman ini kerana ia boleh menentukan kejayaan sesuatu perniagaan,” ujar beliau sambil menyifatkannya sebagai salah satu aspek penting menambah nilai produktiviti perniagaan.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/2/11

27 Februari 2011

PM di Kerdau

Orang ramai berbilang kaum tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak semasa sesi "walkabout" di Pekan Kerdau petang ini.
Foto:MediaUMNO- 27/2/11

Pas tidak lagi komited dengan slogan membangun bersama Islam

SUNGAI BULOH 27 Feb. - Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hamzah Zainudin berkata, PAS tidak lagi komited dengan slogan membangun bersama Islam yang membawa sokongan Melayu terhadap parti itu sebelum ini.

Beliau berkata, penggunaan slogan itu dilihat berubah berdasarkan keperluan politik apabila hanya dilaungkan ketika memerlukan sokongan Melayu, sebaliknya terus berubah apabila bersama-sama bangsa lain.

Menurutnya, Pas kini datang semula dengan agenda membangun bersama Islam bertujuan menarik sokongan orang Melayu sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau, yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu. - Bernama

/hwa: utusan.com.my | mm - 27/2/11

97 ahli keluar PKR


WAKIL kepada 97 bekas ahli PKR, Mohamad Ibrahim A.Siahoo (kiri) menyerahkan borang keahlian Kimma kepada Syed Ibrahim Kader (kanan) sambil diperhatikan Zainal Abidin Osman di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 26 Feb. - Sokongan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus tercalar apabila 97 ahli parti itu di negeri ini bertindak keluar parti hari ini.

Ia melibatkan ahli PKR Cabang Bayan Baru dan Tanjung yang keluar parti tersebut untuk menyertai parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang merupakan ahli bersekutu Barisan Nasional (BN).

Wakil mereka, Mohamad Ibrahim A. Siahoo berkata, mereka mengambil tindakan tersebut selepas mendapati pemimpin PKR gagal menunaikan janji ketika mereka dipelawa menyertai parti tersebut.

"Kami ingin menegaskan bahawa tindakan dan keputusan ini tidak dipengaruhi oleh sesiapa.

"Ia diambil selepas janji-janji yang diberikan oleh pucuk pimpinan PKR tidak pernah ditunaikan, menyebabkan kami mengambil keputusan untuk keluar parti secara rasmi hari ini.

"Keputusan ini juga diambil selepas kami rasakan perjuangan kami tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PKR," katanya dalam satu sidang akhbar di Menara UMNO Negeri di Jalan Macalister.

Difahamkan beberapa pimpinan tertinggi peringkat cabang tersebut turut bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap PKR.

"Kami juga bersedia membantu parti baru kami, Kimma untuk bekerjasama dengan BN memenangi semula tampuk pemerintahan negeri," katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, Mohd. Ibrahim turut menyerahkan 97 keping borang kepada Presiden Kimma Kebangsaan, Datuk Syed Ibrahim Kader.

"Kimma menyambut baik serta mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baru yang semuanya daripada keturunan India Muslim.

"Sebelum ini, beberapa bekas ahli parti berkenaan telah menyertai Kimma namun bilangan mereka tidak ramai," katanya lagi.

Difahamkan keahlian Kimma di negeri ini telah mencecah 12,300 orang.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

"Kita mengucapkan syabas kepada 97 bekas ahli PKR kerana bertindak berani dengan keluar dari parti tersebut.

"Ini membuktikan bahawa walaupun negeri ini merupakan kubu kebal pembangkang, tetapi ia tidak menghalang ahlinya bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR," ujar Zainal.

/hwa: utusan.com.my | mm - 27/2/11

250 anggota PKR Lembah Pantai keluar parti

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Lebih 200 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Lembah Pantai, hari ini, keluar dari parti berkenaan dan menubuhkan Persatuan Gerakan Semangat 1Malaysia (SESAMA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan pelbagai kaum, yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Bekas Naib Ketua Penerangan PKR cabang Lembah Pantai Raymond Suppiah, yang mewakili semua anggota berkenaan berkata, keputusan itu dibuat setelah tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar serta kepimpinan tertinggi PKR.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 27/2/11

Hindraf sengaja cari publisiti burukkan Malaysia

TEMERLOH 27 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap tindakan kumpulan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mengadakan demonstrasi di ibu kota hari ini, adalah semata-mata untuk memburukkan Malaysia melalui media antarabangsa.

Beliau berkata, kumpulan itu amat berharap polis menggunakan kekerasan terhadap mereka supaya kerajaan Malaysia dilihat sebagai sebuah kerajaan yang zalim dan rejim autokratif.

"Kita tak nak guna kekerasan, mereka mengharapkan kita guna kekerasan supaya mereka nak terokai melalui televisyen antarabangsa yang menunjukkan kononnya kita sebuah rejim autokratif dan sebagainya, itulah niatnya yang sebenar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Felda Jengka 25 di sini, hari.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 27/2/11

PM yakin peneroka terus sokong BN

TEMERLOH 27 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin masyarakat peneroka di negara ini akan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, masyarakat peneroka sebenarnya sedar bahawa kerajaan BN yang telah banyak berjasa kepada mereka selama ini.

"Mudah-mudahan (peneroka) Felda ini akan merupakan penyokong kuat kepada Barisan Nasional.

"Saya tahu, mereka (peneroka) sedar siapa yang banyak berjasa dan berbudi kepada mereka selama ini dan mereka pun tahu, kalaulah kawasan mereka itu nak terus dimajukan mereka bergantung harap pada kerajaan dan Felda untuk terus melakukan pembaharuan kepada kawasan-kawasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis mesra bersama peneroka di Felda Jengka 25m di sini, hari ini.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 27/2/11

Pas belum pohon permit ceramah

TEMERLOH 27 Feb. - Selepas 24 jam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau bermula, Pas masih belum mengemukakan permohonan permit untuk mengadakan ceramah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Jamaludin Abdul Rahman berkata, selepas penamaan calon semalam, polis telah meluluskan 11 permit untuk Barisan Nasional (BN) mengadakan ceramah kempen pilihan raya kecil itu (PRK).

Bagaimanapun, katanya, PAS belum mengemukakan sebarang permohonan permit setakat ini.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 27/2/11

Anggap pengundi sebagai raja - Muhyiddin


CALON Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad (kanan) bersalam dengan calon Pas, Hassanuddin Salim selepas menyerahkan borang penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, di Temerloh, Pahang, semalam.


TEMERLOH 26 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan seluruh jentera parti Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau supaya menganggap pengundi di kedua-dua kawasan itu sebagai 'raja'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana hanya pengundi di kedua-dua kawasan itu yang akan menentukan kemenangan besar bagi calon BN.

"Kerana itu kita akan mengerahkan seluruh jentera parti termasuk parti komponen dan sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bekerja bermati-matian dan mendekati semua pengundi dalam pilihan raya kecil ini bagi memastikan BN beroleh kejayaan cemerlang seperti yang diharapkan," katanya.

Beliau ditemui selepas berakhirnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak di sini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Naib Presiden Gerakan, Senator A. Kohilan Pillay dan beberapa pemimpin BN lain.

Selepas proses penamaan calon berakhir, Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu antara calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang akan menentang calon Pas, Hassanuddin Salim.

Muhyiddin menambah, beliau berkeyakinan pengundi di Kerdau dan Merlimau dapat membuat keputusan yang tepat dengan memilih BN pada kedua-dua Pilihan Raya Kecil DUN itu berdasarkan senario politik dan ekonomi semasa negara.

Antaranya, kata beliau, menerusi pelbagai inisiatif dan transformasi besar yang dibawakan kerajaan terutama di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta peluang ekonomi yang begitu meluas.

"Ini menunjukkan kesungguhan BN untuk membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan," ujarnya.

Muhyiddin menambah, pengundi di Kerdau dan Merlimau juga boleh menilai dan membuat perbandingan apakah bentuk perjuangan serta perubahan yang telah dibawakan oleh pembangkang selama ini.

Kata beliau, Pas misalnya cukup dikenali dengan mengeluarkan fatwa-fatwa yang karut dan penyelewengan menggunakan agama manakala parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula semakin hilang hala tuju dan menunggu masa untuk rebah.

"Saya percaya ini akan menjadi asas yang dinilai oleh pengundi dan saya yakin mereka juga tahu siapa yang akan mereka pilih nanti," katanya.

Begitu pun, jelas Muhyiddin, beliau tetap mengingatkan seluruh jentera BN untuk tidak mudah berasa selesa dan melihat Kerdau serta Merlimau sebagai PRK yang mudah bagi BN.

/hwa: utusan.com.my | mm - 27/2/11

Tindakan Nurul Izzah sertai demonstrasi tidak kena masa

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyertai demonstrasi membantah kezaliman rejim Muammar Gaddafi semalam disifatkan sebagai tidak kena pada masanya.

Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Profesor Datuk Hamdan Adnan berkata, Nurul Izzah sepatutnya menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk menyelesaikan kemelut yang melanda PKR berbanding menghabiskan masa menyertai demonstrasi.

"Tindakan Nurul Izzah menyertai demonstrasi itu tidak dapat mengelakkan beliau daripada terus berdepan dengan masalah dalaman parti pembangkang itu.

"Kemelut dalam PKR tetap akan berterusan dan ia memerlukan komitmen Nurul Izzah untuk bersama menyelesaikannya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nurul Izzah menyertai demonstrasi di depan Kedutaan Libya di sini semalam sehingga mengakibatkan kesesakan teruk di beberapa laluan utama di ibu negara.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, tindakan Nurul Izzah menyertai demonstrasi tersebut tidak menyalahi undang-undang memandangkan ia sebagai tanda simpati kepada rakyat Libya.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada niat Nurul Izzah sama ada beliau benar-benar ikhlas atau sekadar mencari publisiti dan selain itu terpulang kepada orang ramai untuk menilai tindakan Naib Presiden PKR tersebut.

/hwa: utusan.com.my | mm - 27/2/11

Nik Aziz patut bersyukur - Dr. M

PASIR SALAK 26 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu yang tentunya beragama Islam.

Beliau berkata, Melayu adalah bangsa yang unik di dunia kerana mengikut Perlembagaan, orang Melayu mesti bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adab Melayu dan beragama Islam.

"Sekiranya Nik Aziz dilahirkan sebagai orang Vietnam atau Laos, belum tentu Menteri Besar Kelantan itu menjadi umat Islam.

"Oleh kerana ibu bapa beliau orang Melayu, maka Nik Aziz pun dilahirkan sebagai orang Islam dan berpeluang belajar agama Islam," katanya.

Beliau berucap di hadapan lebih 15,000 orang yang hadir pada Perhimpunan Melayu Perkasa Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pulau Datuk Sagor di sini hari ini.

Dr. Mahathir juga berkata, Nik Abdul Aziz sanggup menidakkan hak Melayu dan mengatakan nasionalis seperti beliau tidak Islam hanya kerana inginkan sokongan bukan Islam.

Tegas beliau, tiada siapa pun yang berani mengatakan mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu Islam adalah tidak Islam.

"Apabila berkempen, beliau kata nasionalis tidak Islam tetapi hanya mereka yang sokong Pas adalah Islam.

"Kalau begitu, orang Islam di Malaysia ini berkurangan sebab lebih ramai tidak menjadi ahli Pas daripada menjadi ahli parti itu," ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mendakwa Nik Abdul Aziz mengkafirkan beliau kerana Menteri Besar Kelantan itu mendakwa 'sokong Pas ertinya sokong Islam'.

Dr. Mahathir menambah, walaupun orang Melayu dianggap perkauman kerana mempertahankan hak mereka yang tinggal sedikit, ia tidak merubah hakikat bahawa mereka adalah orang Melayu.

"Perjuangan kita adalah perjuangan mulia untuk mendapatkan tempat kita di negara kita dan sekarang, kita tidak boleh sebut Melayu di negara kita sendiri.

"Namun, hakikatnya, kita masih orang Melayu yang mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan kepentingan kita supaya tidak dirampas daripada kita," katanya.

Beliau juga meminta orang Melayu supaya berhati-hati membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 agar tidak memilih mereka yang tamak dan mementingkan diri sendiri sebagai pemimpin.

Pada sidang akhbar, Dr. Mahathir menganggap orang Melayu masih keliru untuk menyatakan sokongan mereka walaupun banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan sedia ada dalam membantu mereka.

Menurut beliau, berbanding di negara lain, kerajaan Malaysia menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan biasiswa pendidikan kepada rakyat terutama orang Melayu.

"Orang Melayu keliru dan tidak tahu hendak pergi ke mana. Kerajaan tolong pun mereka masih keliru.

"Ada negara yang kerajaannya langsung tidak tolong rakyat. Kerajaan kita wujudkan peluang kerja sampai ada banyak pekerjaan tetapi orang tidak mahu kerja," katanya.

Pada sidang akhbar sama, Dr. Mahathir berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak perlu meletak jawatan kerana mempertikai pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda.

"Saya tidak fikir dia perlu letak jawatan. Itu dia punya pendapat, kita tidak perlu dengar," katanya.

/hwa: utusan.com.my | mm - 27/2/11

26 Februari 2011

Penamaan Calon PRK Merliimau

Calon Barisan Nasional Dun N.27 Merlimau, Roslan Datuk Ahmad dan Isteri, Zalifah Hj. Omar mengangkat tangan bersama-sama dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum berarak ker Pusat Penamaan Calon di Politeknik Merliimau di sini hari ini.
hwa: umno-online.com | MediaUMNO - 26/2/11

Penamaan Calon PRK Merliimau

Calon Barisan Nasional Dun N.27 Merlimau, Roslan Datuk Ahmad bersama-sama dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Zahid Hamidi bersama-sama dengan Jentera Baraisan Nasional melaungkan "Hidup BN" sebelum berarak ker Pusat Penamaan Calon di Politeknik Merliimau di sini hari ini.
hwa: umno-online.com | MediaUMNO - 26/2/11

Penamaan Calon PRK Dun Kerdau

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan mengiringi calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad ke Pusat Penamaan Calon PRK Dun Kerdau bersama ribuan penyokong Barisan Nasional.
hwa: umno-online.com | MediaUMNO - 26/2/11

Penamaan calon Pilihanraya Kecil Dun Kerdau

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan bersama beberapa pemimpin UMNO mengibarkan bendera gergasi Barisan Nasional sewaktu berhimpun ketika proses penamaan calon Pilihanraya Kecil Dun Kerdau di sini hari ini.
MediaUMNO - 26/2/11

Pulihkan pusat perniagaan bumiputera yang malap – PAC

IPOH 26 Feb. – Kebanyakan pusat perniagaan yang dibangunkan agensi kerajaan untuk peniaga bumiputera didapati tidak bermaya selain ada yang gagal menerima sambutan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Justeru katanya, PAC meminta semua agensi terbabit menjalankan kajian bagi memulihkan pusat perniagaan yang dibangunkan mereka.

"Mungkin ia dibina di kawasan yang tidak strategik... apa yang berlaku ialah hanya kontraktor yang mendapat kerja-kerja membangunkan bangunan berkenaan yang mendapat untung,” katanya di sini hari ini.

Beliau berharap, kajian itu dilaksana segera bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada kerajaan dan peniaga yang terlibat.

Selain itu katanya, PAC juga mahu agensi berkenaan memastikan projek yang dirancang mengambil kira pelbagai faktor terutama sekali kedudukan yang strategik untuk membangunkan perniagaan.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 26/2/11

BN kini diterima kembali majoriti pengundi - Ahmad Zahid

JASIN 26 Feb. — Barisan Nasional (BN) kini diterima kembali oleh majoriti pengundi berbanding sokongan kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum lepas kerana dasar-dasar BN yang kini lebih jelas difahami dan telus, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata, suasana dahulu sewaktu pilihan raya umum lepas melihatkan sokongan kepada parti pembangkang kerana dakyah palsu dan manipulasi politik yang dilakukan tetapi suasana itu berubah kepada sokongan kepada BN sejak akhir-akhir ini.

"Saya melihat situasi menyokong kepada parti pemerintah Insya-Allah akan berterusan kerana pengundi berbalik kepada kebenaran (pada hari ini) berbanding hamburan kata-kata dan janji manis pembangkang yang telah tidak ditunaikan atau janji palsu mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita setelah selesai proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau di Dewan Politeknik Merlimau di sini, hari ini.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 26/2/11

Tidak mudah capai kemenangan di Kerdau - Hadi Awang

TEMERLOH 26 Feb. — Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya menyedari bukan mudah untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau walaupun menampilkan calon terbaik parti.

Sambil mengharapkan Hassanuddin Salim, 43, yang berpendidikan tinggi dan mempunyai keluarga di kawasan DUN itu dapat memberi kemenangan kepada Pas, Abdul Hadi mengakui parti itu berdepan laluan sukar di Kerdau.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di pusat penamaan calon, Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, hari ini, beliau berkata Pas tidak akan menggunakan kempen yang menyerang peribadi lawan dalam setiap ceramahnya sepanjang kempen berlangsung.

/hwa: utusan.com.my | bernama 26/2/11

Dekati rakyat: PM dan TPM turun padang bulan depan

TEMERLOH 26 Feb — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan program turun padang di setiap negeri mulai bulan depan bertujuan mendekati rakyat.

Mengumumkan demikian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Operasi dan Perlaksanaan program itu berkata, sebagai permulaan, kedua-dua pemimpin negara itu akan mengunjungi Sarawak.

"Selepas Sarawak, kedua-dua mereka akan berada di dua negeri secara berasingan setiap bulan.

"Mereka akan berada dua hari satu malam dan akan menjurus kepada mendekati orang ramai dan memahami masalah dan mendengar rintihan yang ada,” kata Hishammuddin ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua negeri dijangka akan dilawati sehingga menjelang September depan dan akan diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 26/2/11

Faktor calon mampu beri kemenangan besar - Hishammuddin

TEMERLOH 26 Feb. — Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan faktor calon mampu memberikan kejayaan besar kepada parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad dilihat mempunyai keperibadian yang amat disenangi rakyat.

"Calon kita saya kenali rapat dan beliau seorang yang cukup bertanggungjawab dan saya tahu daripada calon-calon yang dipertimbangkan di Kerdau kalau nak dibandingkan, beliau merupakan calon yang diterima ramai.

"Semua faktor menunjukkan peluang kita untuk menang di sini cerah cuma saya harap gerak kerja dan cara bagaimana kita berkempen boleh menjurus ke arah kemenangan yang besar pada kali ini,” katanya, ketika ditemui selepas proses penamaan calon DUN berkenaan di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 26/2/11

Hasan Ali bakal disingkir?

SHAH ALAM 25 Feb. – UMNO Selangor tidak menolak kemungkinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali daripada senarai Exco Selangor.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, beliau difahamkan, Hasan yang ketika ini memegang portfolio Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam merupakan antara calon yang akan digugurkan sekiranya rombakan barisan Exco negeri dibuat.

Menurutnya, penyingkiran Hasan bakal berlaku kerana Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilihat seringkali tidak sehaluan dengan dasar Abdul Khalid melibatkan pentadbiran Selangor antaranya isu penjualan arak, pusat hiburan, rumah urut dan sebagainya.

Yang terbaru ujarnya, tindakan Hasan yang tidak menyokong tindakan kerajaan negeri membantah pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Menteri Besar (Abdul Khalid) sebelum ini menyatakan kemungkinan akan mengadakan rombakan Exco kerajaan negeri dengan alasan untuk memantapkan pentadbiran. Saya tidak menolak kemungkinan Hasan merupakan antara senarai calon Exco yang bakal digugurkan.

“Saya berpandangan bahawa Hasan sebelum ini dilihat seolah-olah sebagai ‘berhaluan kiri’ dalam pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa isu. Malah, khabar angin mengenai kedudukan Hasan ini turut tersebar luas menerusi laman-laman blog.

“Sekiranya benar dakwaan ini, ia hanyalah percaturan politik di antara DAP dan PKR yang melihat bahawa Pas sebenarnya tidak memberi apa-apa kepentingan kepada mereka.

“Jika PKR dan DAP mahu menggugurkan Exco, mereka boleh berbuat demikian terhadap Ronnie Liu kerana banyak mencetuskan masalah kepada pentadbiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 21 Februari lalu, Abdul Khalid menerusi laporan sebuah portal berita mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dalam pihak pembangkang di negeri itu mengenai kemungkinan merombak barisan Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, perbincangan itu diadakan bagi mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan Selangor tetapi beliau enggan memberikan penjelasan lanjut mengenai perbincangan itu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid kemudian menafikan akan mengadakan rombakan tersebut pada 23 Februari lalu apabila menyatakan tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor meminta kerajaan negeri supaya melaksanakan audit terhadap Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak memberi apa-apa keuntungan kepada pembangunan di Selangor.

Katanya, pelaksanaan audit berkenaan haruslah disusuli dengan penilaian terhadap sumbangan pelaburan yang telah dibawa masuk oleh Anwar ke Selangor termasuk kos kewangan operasi yang dibelanjakan pejabat penasihat ekonomi negeri itu.

“Sejak kerajaan negeri lantik Anwar sebagai penasihat ekonomi pada 2009, berapa banyak sumbangan yang beliau berikan kepada negeri? Jika diikutkan jumlah pelaburan di negeri ini tidak begitu memberangsangkan seperti sebelum 2008.

“Malah, pelaburan di negeri ini dilihat hasil kerja keras yang dilakukan Kerajaan Persekutuan menerusi insentif-insentif dan dasar pentadbiran pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.

/hwa: utusan.com.my | um - 26/2/11

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO 25 Feb 2011

PERDANA Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menjawab soalan media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri), Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (kanan) dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusof (berdiri belakang). - Foto BERNAMA | 26/2/11

Bantuan guaman bela rakyat


Najib Tun Razak bersama Panel Penilaian Operasi, Perundingan dan Pencegahan Rasuah yang baru dilantik di Putrajaya, semalam. Turut hadir Abu Kassim Mohamed (enam dari kanan). – BERNAMA

PUTRAJAYA 25 Feb. – Perdana Menteri hari ini melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang diwujudkan untuk menyediakan bantuan guaman dan khidmat nasihat kepada semua warganegara tempatan berpendapatan bawah RM25,000 setahun.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif kerajaan bersama Majlis Peguam itu penting dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang yang menghadapi masalah perundangan.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan apa yang dimaklumkan bahawa lebih kurang 80 peratus orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah tidak mempunyai peguam kerana tidak berkemampuan untuk membayar yuran yang tinggi.

“Keadilan merupakan prasyarat kepada negara dan rakyat yang maju dan berjaya,” katanya ketika berucap melancarkan yayasan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, Abdul Gani dan Ragunath.

Yayasan itu mengandungi 12 anggota lembaga pengarah dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath menjadi Timbalan Pengerusi.

YBGK akan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan ketika seseorang individu itu ditangkap, ditahan atau dituduh dengan kesalahan jenayah dengan caj bayaran yang minimum.

Yayasan itu bukanlah sebuah agensi kerajaan tetapi ia merupakan entiti berbentuk syarikat khairat yang bebas dan neutral dalam melaksanakan tugasnya.

Firma guaman Tetuan Shearn Delamore & Co telah bersetuju untuk berperanan sebagai setiausaha syarikat secara percuma kepada YBGK.

Najib memberitahu, sebagai tanda sokongan padu dalam menegakkan keadilan, kerajaan bersetuju untuk memberi geran pelancaran sebanyak RM5 juta kepada yayasan tersebut.

“Saya ingin menyatakan di sini, peruntukan kewangan tidak seharusnya menjadi kekangan untuk mendapatkan keadilan. Justeru, jika tidak mencukupi, kita akan berusaha untuk mencari sumber kewangan tambahan.

“Penubuhan yayasan tersebut bukanlah bermakna kerajaan hendak membela golongan penjenayah tetapi bagi memastikan semua OKT dapat menjalani perbicaraan di mahkamah dengan penuh keadilan dan ketelusan,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung yayasan itu, Perdana Menteri berkata, peguam-peguam yang menjadi panel YBGK akan memberi perkhidmatan dengan bayaran yang minimum.

“Bagaimanapun, bantuan tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati kerana Mahkamah Tinggi akan melantik peguam untuk mewakili tertuduh yang tidak mempunyai peguam,” katanya.

Mengenai kerjasama antara YBGK dan agensi penguatkuasaan yang termeterai menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani dan disaksikan beliau, Najib berkata, langkah itu bagi memastikan keberkesanan YBGK.

“Apabila seseorang ditangkap atas kesalahan jenayah, adalah menjadi tanggungjawab pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan agensi penguatkuasaan lain untuk menghubungi peguam panel YBGK melainkan jika orang yang ditangkap itu hendak mengupah peguamnya sendiri,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 26/2/11

BN teruskan momentum, Pas mahu ‘tebus’ maruah

SEBAIK sahaja pemandu melepasi Plaza Tol Ayer Keroh, di jajaran itulah paling banyak lampu isyarat yang perlu direntasi.

Dengan sistem melepaskan kenderaan secara bersaat, ada 30 saat, 60 saat dan suatu ketika mencecah 160 saat, situasi deretan lampu isyarat itu seakan-akan menyamai kehidupan di Putrajaya khusus dari Wisma Putra menghala ke pejabat-pejabat kerajaan di Presint 2.

Berbeza di Temerloh, lampu isyarat kurang bilangannya tetapi di situ terkenal dengan kelazatan ikan patinnya yang kalau tidak berjaga-jaga, boleh ‘terpukul’ selepas menikmatinya dengan harga jenis ikan yang ada kalanya ‘tidak masuk akal’.

Namun orang luar kena bertanya dulu kepada orang tempatan - perbezaan harga sekilo ikan patin sangkar (RM14) dan patin liar (sehingga mencecah RM70) sebelum menjamu selera.

Dua negeri ini, Melaka dan Pahang menyaksikan dua pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau yang kempen lapan harinya bermula sebaik saja urusan penamaan calon selesai 12 tengah hari ini.

Pas dipercayai begitu menagih kemenangan di salah satu kerusi terbabit setelah imej tercalar di Galas dan Tenang. Dengan rekod kemenangan empat dari lima kerusi dalam setahun ini , Barisan Nasional (BN) pastinya mahu meneruskan momentum melakar kemenangan bergaya di Merlimau dan Kerdau.

Kejayaan itu nanti akan menjadi pembakar semangat dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang, tidak lama selepas pengundian dua kerusi berkenaan pada 6 Mac ini.

Jika dua kerusi ini berhasil, maka pertemuan BN dengan pihak pembangkang adalah seri lapan sama dalam siri 16 pilihan raya kecil sejak Mac 2008.

Meskipun dikatakan di Merlimau setakat ini ‘hingga tiang elektrik’ pun dijadikan isu (hakikatnya, tidak ada isu), BN wajar berwaspada. Hujah dan penjelasan perlu digerakkan dengan pantas dan sampai ke akar umbi. Bak kata Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengundi adalah ‘raja’.

Setakat ini Pas dan sekutunya cuba mengadu-domba memainkan isu ‘ada lapangan terbang tapi kapalnya tak turun’, penutupan Eye On Malaysia dan gelanggang go kart. Sedangkan semua orang Melaka terutama di ‘Melemau’ (sebutan anak Melaka) maklum Boeing 737 penerbangan Melaka-Riau mendarat tiga kali seminggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, syarikat penyewa Eye On Malaysia mungkir janji membayar kepada pemilik asal di Belgium dan isu go kart yang masih dalam pertimbangan mahkamah.

Setakat ini, hanya isu-isu luar Melaka dijangka dibangkitkan termasuk kononnya belum ada keputusan kerajaan negeri untuk menaja penghantaran balik pelajar ke Mesir. Begitupun Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dikatakan mampu menangani semua ini.

Di Kerdau pula, selain isu status kelulusan calon BN yang cuba dipolitikkan oleh Pas, beberapa isu sampingan dipercayai akan menjadi ‘buah tangan’ Pas ke atas jentera BN. Antara tumpuan Pas adalah di Felda Jengka 22 membabitkan isu kelewatan bayaran ses kepada peneroka dan geran tanah yang belum dimiliki.

Bagaimanapun, Pas juga dikatakan agak kurang bersemangat untuk mencabar kedudukan BN di Kerdau sehingga hanya menurunkan ‘ayam patah sayap’ , Hasanuddin Salim, 43, di sana. Dikatakan individu yang sebelum ini diuar-uarkan untuk menyaingi Syed Ibrahim Syed Ahmad iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man dan Hassan Tantawi tidak mahu menanggung risiko tewas bagi mengelakkan imej diri tercalar.

Ini kerana mereka akan memberi tumpuan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13, lebih-lebih lagi buat Tuan Ibrahim yang dipercayai menaruh minat di Jengka.

Begitupun isu-isu luar dijangka ‘merajai’ kempen pilihan raya di Merlimau dan Kerdau. Ini termasuk sentimen Hindraf yang cuba menghuru-harakan keharmonian kaum. Dan tidak kira parti mana yang membangkitkan sesuatu isu, yang penting jentera pilihan raya siapa yang paling pantas, cekap dan bijak mematikan hujah, mencernakan isu dan mendekati hati pengundi dalam hari-hari mendatang sehingga ke penghujung tengah malam 5 Mac ini.

Selamat berkempen.

/hwa: utusan.com.my | um - 26/2/11

Menilai dakyah dan kebenaran

Mukadimah

BELUM pun masuk hari pertama kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau, pakatan pembangkang khususnya DAP mula ‘mengacah-acah’ dengan gelagat provokasinya.

Ketika rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian melihat dengan cukup khuatir pergolakan politik di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa lagi negara Timur Tengah, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai pula tampil dengan idea ‘nakal’ dan prejudisnya. Kok Wai mendakwa, rakyat Malaysia boleh mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Timur Tengah dan seterusnya menjadikannya ilham untuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum akan datang. Saranannya itu disiarkan dalam ruang berita-berita penting Nanyang Siang Pau terbitan 21 Februari lalu.

Kok Wai dan sekutu pembangkang dipercayai akan menggunakan isu ‘kebangkitan di Mesir dan Tunisia’ sebagai bahan kempen di Merlimau dan Kerdau setelah isu setempat dilihat tidak menyebelahi mereka. Barangkali ia ‘fasa awal’ sebelum menuju ke kempen ‘sebar teka-teki, ketawa dan tepuk tangan ramai-ramai’. Begitupun pengundi adalah ‘raja’ yang akan menentukan pilihan mereka.

Wartawan ZULKIFLI JALIL, AMRAN MULUP dan YUSRI SAHAT mendapatkan komen dua calon Barisan Nasional (BN) Merlimau, Roslan Ahmad, 44, dan di Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, semalam yang kebetulan ‘berkongsi’ nama bapa yang samaberhubung gelagat Kok Wai dan cabaran mendepani dakyah pihak tertentu semasa kempen lapan hari yang bermula hari ini.

ROSLAN AHMAD (Merlimau)

Utusan: Mengapa Kok Wai kaitkan isu Mesir dengan negara ini?

ROSLAN : Kalau nak dikaitkan negara Timur Tengah seperti Libya, Tunisia dan Mesir dengan negara kita, ia amat jauh sekali. Saya sendiri tidak faham mengapa DAP sanggup mengaitkan pergolakan politik negara-negara berkenaan dengan kita. Apa motif DAP. Kok Wai kena bertanya pada dirinya sendiri apakah dia tidak dapat bergerak bebas berpolitik atau paling mudah, dia kena tanya hati kecilnya sehingga tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa rasa ragu. Saya kira kalau dia rakyat di sana, parti-parti seperti DAP pun tidak akan wujud di bumi Arab.

Adakah kenyataan itu muncul disebabkan tidak ada isu tempatan yang hendak dipolitikkan?

Saya percaya itu antara sebabnya. Kalau kita ambil dari segi infrastruktur rakyat dan kemudahan di Melaka ini, saya kira anda dari luar (Melaka) boleh buat penilaian sendiri tanpa kita uar-uarkan.

Orang bercakap tentang Melaka yang tidak ada langsung isu pembangunan sampaikan orang kuat DAP sendiri meninggalkan negeri untuk menjadi tuan di tempat lain.

Ya, dari segi pembangunan dan pentadbiran negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Melaka memang tidak ada cacat celanya. Pengiktirafan sebagai negeri maju hakikatnya tidak dicapai dengan mudah. Ia bukannya dibuat secara sesuka hati kerana ada kriteria tertentu yang perlu dilepasi.

Kalau orang yang bercakap tentang Islam, maka saya kira Islam sendiri mahu umatnya menghapuskan kemiskinan kerana kemiskinan akan membawa kekufuran. Kita perlu perbetulkan tanggapan sempit ini bahawa Islam tidak sekadar di ‘tikar sejadah’ tetapi lebih luas mencakupi kemakmuran ekonomi dan keharmonian hidup bersama.

Sebaik sahaja diumumkan sebagai calon BN, apa perkara pertama saudara lakukan?

Saya menemui emak saya, Datin Ramlah Jaafar berusia 76 tahun untuk mengucapkan terima kasih saya atas dorongannya kepada saya dalam menempuh hidup ini. Juga, semoga emak mendoakan kejayaan saya. Kepada arwah bapa (Datuk Ahmad Ithnin), semangat juang dan kecekalannya berdiri teguh dan terus subur dalam jiwa saya.

Apa yang boleh saudara rumuskan jika DAP, PKR dan Pas masih cuba membangkitkan isu-isu luar dalam kempen pilihan raya kecil Merlimau ini?

Kalau mereka bercakap tentang negara berkebajikan, Melaka adalah negerinya, waima dalam soal kebajikan rakyat, kita adalah penyumbang terbesar. Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Melaka kini melebihi 23,000 orang. Maknanya kita jaga kebajikan orang susah.

SYED IBRAHIM SYED AHMAD (Kerdau)

Utusan: Ramai melihat DAP cuba ‘menangguk di air keruh’ mengaitkan kebangkitan rakyat di Mesir dan beberapa lagi ke negara ini.

SYED IBRAHIM: DAP dan mungkin sekutu mereka akan cuba mainkan isu ini dan itu adalah hak mereka. Cuma saya ingin berkongsi dengan DAP bahawa keadaan sosio politik dan budaya hidup di Mesir dan Malaysia macam langit dan bumi.

Boleh saudara huraikan?

Contoh paling dekat jika ada pilihan raya, jarak masa hendak diadakan begitu jauh sekali berbanding kita sekali dalam sepenggal lima tahun. Jika ada pun pilihan raya di sana, proses demokrasi tidak berlaku...tup tup pemenangnya sudah ditetapkan dalam buku. Pengalaman saya belajar di sana (Universiti Al-Azhar), kebebasan bersuara jauh sekali dan itu sebabnya Presiden Hosni Mubarak ditumbangkan.

Kalau difokuskan kepada realiti hidup seharian, apa yang boleh saudara nukilkan?

SYED IBRAHIM: Saya ambil contoh yang mudah. Pendapatan keluarga dengan harga barang. Di Malaysia, gaji yang diterima seseorang tidak sangat membebankan untuk dia dan keluarganya mengharung hidup. Kita masih ada kampung-kampung tradisi yang mana penduduknya masih boleh membiayai pendapatan dengan menoreh getah yang sekarang tinggi harganya atau mengait kelapa sawit yang tidak kurang nilainya.

Tetapi orang di Mesir sana, pada peringkat awal boleh beli roti berharga 25 sen sekeping yang kemudian diagih-agihkan kepada 10 keping lagi untuk dimakan sekeluarga. Namun pada peringkat seterusnya sehingga rakyat meluat apabila harga roti menjadi 50 sen sekeping dengan gaji yang sedikit.

Mereka yang berpangkal Jeneral (tentera) di sana gaji mereka kecil jika dibandingkan dengan berpangkat inspektor di sini.

Jadi, apa masalahnya dengan Kok Wai ini?

Saya sebenarnya tidak nampak apa isunya. Namun..., alhamdulillah kerana kerajaan amat prihatin dengan masalah-masalah rakyat sehingga yang sekecil-kecilnya dapat diselesaikan. Banyak masalah rakyat dapat ditangani dengan baik oleh pemimpin kita.

Boleh saudara berkongsi dengan pembaca tentang kehidupan harian di Kerdau?

Di Kerdau (dalam kawasan Parlimen Kuala Krau), kehidupan masyarakat tidak dicampuradukkan dengan politik. Di sini, sama ada anda orang Pas atau UMNO sekalipun, kami saling ziarah menziarahi, apatah lagi jika ada kematian. Di sini, tiada sembahyang Jumaat dua iman.

Cuma, saya minta rakyat renung-renungkan tentang apa tujuan sesuatu pilihan raya itu diadakan. Proses demokrasi ini adalah untuk memilih wakil rakyat bagi membina kerajaan yang mampu dan diyakini boleh berkhidmat untuk rakyat.

Hanya yang saya khuatir ialah jika ada pihak yang hanya mahu seronok-seronok dalam pilihan raya kecil di Kerdau ini. Mereka tabur dakyah, fitnah dan ‘teka-teki’, kemudian kata ‘betul’, ‘ketawa berdekah-dekah’ dan ‘bertepuk tangan beramai-ramai’.

/hwa: utusan.com.my | um - 26/2/11

DAP perguna isu kematian Beng Hock untuk jadi bahan politik PRU13

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo menarik diri daripada menyertai prosiding Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock hanya taktik parti itu untuk menjadikannya bahan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, ini kerana DAP sejak kematian Beng Hock sudah memainkan peranannya sebagai 'tulang belakang' untuk mempolitikkan isu berkenaan.

Menurut beliau, tindakan kedua-dua pemimpin DAP itu juga adalah untuk memastikan isu kematian terbabit terus diperkatakan dan tidak akan tenggelam begitu sahaja.

"Kenapa mereka hendak keluar (tarik diri) dan tidak terus menyertai prosiding suruhanjaya tersebut? Ini kerana mereka mahu isu berkaitan kematian Beng Hock terus berpanjangan dan tidak mahu ia tenggelam.

"Setiap hari hendak buat cerita mengatakan suruhanjaya itu tidak adil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Karpal dan Gobind menarik diri sebagai peguam keluarga mendiang daripada menyertai prosiding Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock pada 16 Februari lalu.

Karpal memaklumkan pendirian itu selepas permohonan pihaknya agar Tan Sri James Foong Cheng Yuen menarik diri sebagai pengerusi suruhanjaya serta permohonan penangguhan prosiding ditolak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas isu tersebut turut berkata, pemulauan terhadap prosiding suruhanjaya berkenaan sebagai satu agenda politik bagi tujuan menjadikannya isu dalam pilihan raya umum akan datang.

Turut mengulas isu sama Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang menjelaskan bahawa tindakan Karpal dan Gobind menunjukkan para pemimpin DAP seperti mengetahui kejadian sebenar yang menimpa bekas setiausaha politik Exco Selangor itu.

Kata Lum Yong, ahli keluarga mendiang dan DAP seharusnya memberi laluan kepada suruhanjaya tersebut melaksanakan tugasnya dengan lancar.

"Terimalah apa jua keputusan dengan hati yang terbuka. Jangan dipolitikkan lagi isu ini dan memberikan imej buruk kepada panel suruhanjaya.

"Saya sangat sedih dan simpati terhadap keluarga mendiang kerana isu ini telah menjadi isu politik," tambahnya.

/hwa: utusan.com.my | um - 26/2/11

Pas tidak yakin kemampuan DAP

MELAKA, 25 Feb. - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan meluahkan kehairanan dengan kesungguhan Pas untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka sedangkan suara pembangkang sudah diwakili DAP yang juga rakan sekutu Pas.

"Kawan sepermainan Pas ialah DAP jadi gunakanlah DAP hendak suarakan apa sahaja (dalam DUN di Melaka)," katanya kepada pemberita selepas majlis Bicara Penerangan anjuran Biro Penerangan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Pas bersikap sedemikian kerana tidak percaya kepada kemampuan DAP membawa suara pembangkang khususnya berkaitan Islam.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin Pas yang mahukan kemenangan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau bagi menyuarakan isu membabitkan Islam dan orang Melayu semasa sidang DUN Melaka.

Isu itu, kata Ahmad, tidak sepatutnya timbul kerana PAS pernah menguar-uarkan untuk mengajar DAP mengenai agama Islam.

Beliau juga mencadangkan kepada Pas agar meninggalkan pakatan pembangkang jika sudah tidak mempercayai kemampuan parti sekutu memperjuangkan agenda Islamnya.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN yang mana 23 daripadanya dimiliki Barisan Nasional (BN) manakala lima lagi diwakili DAP.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan yang mewakili BN meninggal dunia pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung dan esok adalah hari penamaan calon, manakala pengundian pula pada 6 Mac ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, program Juara Rakyat akan diteruskan dengan penambahan aktiviti ceramah yang boleh diadakan mengikut kreativiti Bahagian sama ada dalam bentuk ceramah berkelompok, dialog, forum atau pidato.

"Bagaimanapun dilihat pada Januari lepas program Juara Rakyat di peringkat Bahagian kurang dilaksanakan, mungkin tidak sampai berita program Juara Rakyat diteruskan," katanya.

Beliau turut memuji usaha Biro Penerangan UMNO Terengganu yang mengumpulkan anggotanya dalam satu seminar bagi menerangkan isu-isu semasa dan hala tuju biro itu.

"Ini negeri pertama lakukan seumpamanya, saya juga cadangkan agar negeri-negeri lain contohi Terengganu kumpulkan jentera penerangan serentak," katanya.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 26/2/11

Pas dicabar buktikan dakwah kepada ahli DAP

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Pas dicabar membuktikan keikhlasan dan komitmennya untuk menyampaikan dakwah dan mengislamkan pemimpin serta ahli DAP melalui kerjasama antara parti pembangkang sebagaimana didakwa Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi tujuan itu, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) cawangan Pulau Pinang hari ini menawarkan kesediaan untuk membantu Nik Abdul Aziz merealisasikan usaha menyebarkan dakwah kepada DAP dengan sasaran utama adalah ahli-ahli DAP Pulau Pinang.

Ketua Jurulatih Kanan PSSLM Pulau Pinang, Mohd. Faizal Abdul Karim berkata, dengan keahlian sekitar 300,000 pesilat, pertubuhan tersebut yakin dapat membantu usaha Nik Abdul Aziz jika benar Mursyidul Am Pas itu ikhlas untuk berdakwah kepada DAP.

"Kami sebagai sebuah pertubuhan silat yang menjunjung tinggi nilai Islam sanggup membantu Menteri Besar Kelantan untuk menyampaikan dakwah kepada pemimpin serta ahli DAP di Pulau Pinang sebagaimana kenyataan beliau mengenai tujuan sebenar Pas bekerjasama dengan DAP.

"Kesediaan ini kerana kami berpendapat jika benar Pas mahu menyampaikan dakwah dan mengislamkan DAP, langkah itu perlu dimulakan di Pulau Pinang kerana di sinilah DAP bertapak kukuh," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu yang menjelaskan hubungan Pas dengan DAP membolehkan parti berkenaan memperkenalkan kemuliaan Islam kepada DAP kerana dakwanya tanggungjawab itu gagal dilaksanakan oleh UMNO.

Mursyidul Am Pas itu berkata demikian ketika menjawab kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyelar sikap parti tersebut terutama Nik Abdul Aziz yang sanggup mengkafirkan ahli UMNO tetapi pada masa yang sama bersekongkol dengan DAP.

Ekoran kenyataan Mursyidul Am Pas itu, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menuntut Pas menjelaskan mengenai pelan serta struktur dakwah yang hendak dilaksanakan oleh parti itu dalam usaha mahu mengislamkan ahli DAP.

Dalam pada itu, Mohd. Faizal juga menyeru seluruh pemimpin dan penyokong pembangkang supaya memberi sokongan penuh kepada Pas bagi membuktikan kenyataan Nik Abdul Aziz itu benar-benar demi Islam dan bukan sekadar modal politik.

"Kami mahu melihat hasil dakwah Islam di Pulau Pinang seperti yang dilaungkan oleh Pas. Kami sudah nyatakan kesediaan membantu kerana ia selaras dengan matlamat penubuhan PSSLM iaitu menyuburkan Islam selain menguasai ilmu pertahanan diri.

"Sekarang terserah kepada Nik Abdul Aziz untuk menentukan pelan dan strategi dakwah, jika dia berdolak-dalik maka benar Pas tidak ikhlas untuk berdakwah sebaliknya hanya memperalatkan agama dan al-Quran demi kepentingan politik," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 26/2/11

Mahasiswa dibimbangi jadi 'kader' pembangkang

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Golongan mahasiswa di negara ini seharusnya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, perkara yang berlaku pada pilihan raya kampus di universiti awam baru-baru ini cukup membimbangkan kerana mahasiswa dilihat cuba dijadikan alat politik pembangkang.

Ini jelasnya, sebagai usaha mereka menguasai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Bukan rahsia lagi bahawa pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan mahasiswa sebagai alat untuk meneruskan gerakan reformasi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

"Kita tidak pernah takut untuk berdepan dengan Anwar tetapi kita kesal kerana mahasiswa sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran.

"Lebih dikesali, universiti dijadikan gelanggang politik oleh pembangkang untuk melebarkan pengaruh mereka di kalangan mahasiswa," katanya dalam blognya, http://umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Rabu lalu, lima pengawal keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) cedera termasuk seorang terpaksa menerima 16 jahitan di tangan semasa cuba menghalang sekumpulan penuntut promahasiswa memasuki pejabat pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu.

Mereka bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam memprotes tindakan HEP membatalkan kemenangan 11 calon promahasiswa.

Syed Ali berkata, berkaitan pilihan raya kampus, pembangkang dilihat cuba meracuni pemikiran mahasiswa dengan ideologi politik radikal apabila menjadikan revolusi politik di Asia Barat sebagai aspirasi perjuangan mereka.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan memantau kemungkinan gerakan pembangkang di universiti didalangi kakitangan serta pentadbir universiti berkenaan.

"Kita bimbang ada 'musang berbulu ayam' yang cuba menyerap fahaman radikal dan politik liberal di kalangan mahasiswa bagi menjayakan agenda Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan kononnya Anwar akan mengadakan 'perhimpunan rakyat' di Dataran Merdeka dalam masa terdekat ini termasuk mengheret pembabitan mahasiswa.

"Jika benar, saya berharap polis perlu bertindak pantas menanganinya," tambahnya.

/hwa: utusan.com.my | um - 26/2/11