31 Mac 2011

Lancar Laman Web BAKTI

30 MAC 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menekan butang sebagai simbolik pelancaran laman web Bakti versi bergerak disaksikan oleh Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 pertubuhan itu, di Bangunan Bakti Siti Hasmah, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. - Utusan/ISMAIL KAMADIN

PRN Sarawak 2011

30 MAC 2011: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) melihat senarai nama calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang diserahkan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk penilaian terakhir, di Kuching. - Utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Pemimpin BN perlu sentiasa mesra rakyat - Najib


Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor bergambar bersama ahli-ahli Bakti selepas merasmikan Mesyuarat Agung Bakti ke-34 di Bangunan Bakti Siti Hasmah Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri najib Tun Razak mahu semua pemimpin Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengamalkan pendekatan terlalu formal ketika turun ke padang kerana ia boleh membentuk tembok antara mereka dengan rakyat.

Tegas Perdana Menteri, golongan pemimpin harus sedar, rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan BN dan oleh itu mereka perlu didekati dengan pendekatan lebih mesra tanpa wujud sebarang jurang pemisah.

Katanya, beliau sendiri dalam beberapa sesi lawatan ke negeri-negeri mengambil pendekatan kurang formal iaitu melalui cara mengurangkan protokol dan hasilnya rakyat mudah mendekatinya walaupun berhadapan dengan seorang Perdana Menteri.

''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.

''Saya sendiri kita mengadakan lawatan mahu pemimpin-pemimpin tempatan duduk di sekeliling saya dan bukannya pemimpin-pemimpin biasa. Saya mahu mendengar sendiri masalah mereka. Caranya kita perlu kurangkan protokol,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Bangunan Bakti Siti Hasmah di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor dan Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta ahli-ahli Bakti yang lain.

Najib berkata, dalam sesi lawatannya ke negeri-negeri beliau mahu mendengar masalah daripada imam, pengerusi persatuan teksi, pengerusi persatuan penjaja dan ketua-ketua kampung.

''Pemimpin-pemimpin lain sudah biasa jumpa saya berbanding pemimpin-pemimpin tempatan. Bagi saya melalui sesi lawatan inilah masa paling sesuai untuk saya menemui mereka,'' katanya.

Beliau mengakui realitinya rakyat sekarang bukannya seperti dahulu kerana era ketika ini penuh dengan maklumat.

''Mahu tidak mahu kita perlu akui penanda aras untuk menjadi pemimpin pada hari ini lebih tinggi daripada dahulu kerana maklumat kini terlalu mudah diperoleh.

''Walaupun ada maklumat yang mampu disorok tetapi akhirnya ia akan terbongkar juga satu hari nanti. Oleh itu kita mesti membuat perubahan supaya kita mampu mengharungi cabaran politik dan sosial semasa,'' katanya.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

Tolak 'hantu jembalang' pilihan raya


PENYANDANG DUN Pantai Damai, Abdul Rahman Junaidi (tengah) menyatakan sesuatu kepada Muhyiddin Yassin ketika Timbalan Perdana Menteri melawat Kampung Gersik di Kuching, Sarawak, semalam. - Utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


KUCHING 30 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan rakyat di negeri ini bahawa 'hantu dan jembalang' yang wujud pada pilihan raya negeri April ini hanya berjuang untuk puak serta suku-sakat mereka tanpa menghiraukan nasib rakyat secara keseluruhannya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana 'hantu dan jembalang' itu datang dengan 'mulut manis' membuat tawaran-tawaran yang disifatkannya sebagai pembohongan serta palsu semata-mata.

''Inilah waktu untuk rakyat Sarawak menolak hantu dan jembalang yang sebahagiannya datang dari Semenanjung dan sebahagian pula berada di negeri ini sejak sekian lama.

''Jadi ini adalah detik penentuan yang sangat penting bagi rakyat, satu penentuan masa depan yang lebih terjamin dengan memastikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan padu rakyat lebih besar berbanding pilihan raya negeri sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra rakyat di Kampung Gersik-Boyan-Sourabaya sambil diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini hari ini.

Dalam tinjauan tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang menaiki perahu tambang untuk menyeberangi Sungai Sarawak telah meluangkan masa mengecat Surau Hidayatul Rahman sebelum berkesempatan melawat usahawan kek lapis, Dayang Salhah.

Muhyiddin turut mengadakan lawatan ke rumah milik pesara kerajaan yang juga orang kurang upaya (OKU), Awang Ahmad Awang Bakri sebelum melawat ke rumah seorang warga emas yang juga ibu tunggal, Dayang Jamilah Abang Lias.

Selesai lawatan tersebut, beliau bersama rombongan turut melawat gerai-gerai di kawasan Permaidani Boyan-Gersik-Sourabaya (GBS) sambil menikmati minum petang bersama penduduk setempat sebelum memberi sedikit amanat kepada yang hadir.

Muhyiddin memberitahu, rakyat harus bersyukur kerana negara ini dan Sarawak khususnya adalah negeri yang aman, stabil serta maju, maka tiba masanya mereka menentukan masa depan dengan memilih kerajaan BN.

''Tentulah pertimbangan utama perlu diambil kira bagi memilih parti yang boleh kita percaya sekali gus menjamin politik kekal stabil, pertumbuhan ekonomi mantap, pengagihan kekayaan secara adil dan saksama, generasi muda yang berdaya saing dan cemerlang.

''Kita tidak mahu negeri ini terpinggir daripada usaha-usaha transformasi dan arus perdana kerajaan," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

'Manifesto ‘rakyat didahulukan’


Muhyiddin Yassin berganding tangan bersama empat pemimpin parti komponen Barisan Nasional, dari kiri William Mawan, Abdul Taib Mahmud, Dr. George Chan dan Dr. James Jemut Masing pada majlis perjumpaan tertutup bersama Barisan Nasional Sarawak di Ibu Pejabat PBB di Kuching, Sarawak, semalam. – Utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 30 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan manifesto bertemakan ‘Rakyat Didahulukan’ dengan memberi fokus kepada beberapa isu yang relevan dengan kehendak rakyat negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, manifesto yang kini berada pada peringkat akhir penyediaan itu akan dilancarkan selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 6 April ini.

“Kita harap rakyat dapat melihat bahawa semangat BN tidak pernah luntur, lebih fokus dan telah memenuhi apa yang kita janjikan. Kita mahu membuat janji baru dan sekali lagi memenuhinya.

“Ini akan diperincikan dalam manifesto selepas penamaan calon. Kita harap mereka (rakyat) menelitinya supaya ada keyakinan tentang apa yang mahu dilakukan BN untuk masa depan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.

Hadir sama Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Jemut Masing dan Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Presiden parti komponen BN dan ahli Majlis Tertinggi (MT) BN Sarawak serta mengikuti taklimat persiapan pilihan raya negeri.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN beliau yakin parti itu akan memperbaharui mandat rakyat pada pilihan raya negeri akan datang berdasarkan rekod pencapaian kepimpinan BN negeri.

Katanya, kerajaan BN juga akan terus berusaha meletakkan rakyat negeri ini pada satu tahap yang lebih maju dengan taraf kehidupan yang baik dan sempurna.

“Sebab itu amat penting untuk kita meneruskan agenda pembangunan Sarawak di bawah BN,” tegasnya.

Mengenai calon untuk menggalas cabaran BN, Muhyiddin berkata, semua parti komponen di negeri ini telah mengambil kira keperluan untuk menampilkan muka-muka baru.

Katanya, senarai calon berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas ia dikemukakan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

PKR gagal perjelas jumlah pelaburan

SHAH ALAM 30 Mac - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor gagal memberikan perangkaan sebenar tentang jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk oleh pentadbiran parti pembangkang setelah mengambil alih teraju negeri ini.

Kegagalan itu dapat dilihat apabila Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok enggan menjawab persoalan yang diajukan oleh seorang wakil Barisan Nasional (BN) mengenai perkara tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Sebaliknya, Exco kanan kerajaan negeri itu dilihat cuba mengalihkan perhatian dengan memberikan jawapan bahawa pelaburan di Selangor adalah yang tertinggi di negara ini, termasuk 13 projek melibatkan pelaburan asing dari Asia Barat bernilai RM376.8 juta sepanjang 2008 dan 2010.

''Selangor mencatatkan kemasukan pelaburan tertinggi di negara ini. Ini adalah hasil daripada pentadbiran pembangkang yang mesra pelabur," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer) pada sidang DUN Selangor di sini hari ini.

Subahan mengemukakan soalan mengenai hasil pelaburan yang berjaya dibawa masuk oleh kerajaan negeri dan bukannya daripada Kerajaan Persekutuan.

Teresa sebaliknya menyelar Subahan dengan mendakwa wakil rakyat itu tidak hadir pada sidang DUN semalam kerana beliau menyatakan telah menjawab soalan tersebut.

Menangkis dakwaan itu, Subahan memberitahu, beliau hadir pada sidang DUN semalam, namun tiada sebarang jawapan diberikan juga oleh Teresa mengenai hasil pelaburan yang berjaya dibawa masuk oleh kerajaan negeri.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Abdul Khasim Abdul Aziz (Pas-Lembah Jaya) mengenai pelaburan dari Asia Barat, Teresa memberitahu, 13 projek masing-masing dari Iran, Syria, Turki dan Emiriyah Arab Bersatu adalah hasil kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Kemajuan Industri Malaysia.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

Pembangkang bakal tempuhi laluan sukar

KUALA LUMPUR 30 Mac - Nafsu besar pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR ) dan DAP untuk menawan Sarawak dalam pilihan raya negeri itu hanyalah imaginasi kosong yang tidak akan menjadi kenyataan.

Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Jelaing Mersat (gambar) berkata, ia kerana pendekatan yang dibawa kedua-dua parti itu tidak disenangi oleh kebanyakan rakyat di negeri itu.

"Masalah sosio budaya di sana tidak sama dengan di Semenanjung apatah lagi dengan budaya politik ala "makhluk asing" yang cuba diperkenalkan oleh PKR.

"Jadi, saya berpendapat, cita-cita besar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama konco-konconya itu tidak akan berjaya malahan mereka akan merintis jalan mencabar di sana," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Keselamatan Jalan Raya Sekolah-Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, berdasarkan senario terkini yang melanda pembangkang, ia jelas mencerminkan bahawa mereka tidak bersedia untuk mengambil alih negeri itu melalui saluran demokrasi.

"Macam mana hendak tadbir Sarawak, kalau bab agih kerusi pun tak selesai lagi.

"Bagi DAP pula, mungkin mereka akan berjaya menang beberapa kerusi dalam kawasan bandar tetapi mereka tidak ada keupayaan seperti Barisan Nasional (BN) untuk meluaskan pengaruh ke seluruh negeri," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

NGO tolak cadangan panggil pakar asing siasat video seks

KUALA LUMPUR 28 Mac - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolak cadangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu yang mahu pakar asing menyiasat kesahihan rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana negara turut memiliki pakar untuk menyiasat kes sedemikian.

"Bagi saya Mohamad Sabu lebih 'mendewakan' pakar asing daripada pakar tempatan.

"Dia cuba lari daripada isu sebenar. Jika benar dia mahu menegakkan keadilan, kenapa dia tidak desak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja seperti dalam kes kematian Teoh Beng Hock," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar pula meminta supaya jangan sesekali 'mengheret' orang luar masuk ke kancah politik negara.

"Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan daripada kerajaan, begitu banyak hal dalam negara melibatkan pihak antarabangsa sehinggakan mencemar perspektif orang luar mengenai keharmonian di negara ini.

"Pihak pembangkang menimbulkan cadangan itu kerana mereka tidak boleh menerima kenyataan bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang suka main politik yang 'gila-gila', 'kotor' dan sentiasa didorong oleh nafsu untuk mendapatkan kuasa," ujarnya.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula berkata, cadangan itu hanya untuk kepentingan politik pembangkang sahaja.

"Kalau mereka di pihak yang benar, maka benarlah, tetapi kalau sebaliknya, saya rasa ini hanya untuk memutar-belitkan kenyataan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 31/1/11

30 Mac 2011

Muhyiddin tinjau persiapan pilihan raya BN Sarawak

KUCHING 30 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk meninjau persiapan Barisan Nasional (BN) Sarawak menjelang pilihan raya negeri ke-10, 16 April ini.

Sejurus tiba, Muhyiddin mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin parti-parti komponen BN Sarawak yang diketuai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Ketua Menteri Sarawak di ibu pejabat PBB di Jalan Bako.

Pemimpin lain Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing; dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, selepas itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan anggota Majlis Tertinggi BN Sarawak di tempat sama dan diikuti dengan taklimat tertutup mengenai persiapan pilihan raya BN negeri.

Sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 21 Mac, BN Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN — PBB 35 kerusi, SUPP 12 kerusi, PRS dan SPDP masing-masing lapan kerusi.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 30/3/11

Bertemu rakyat

Timb. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanya khabar kepada Puan Muniamah a/p Allagamallai,78 dirumahnya di Kg Ampang Campuran di sini hari ini.
/hwa: umno-online.com | 29 Mac 2011.-Foto:MediaUMNO

Kejayaan GTP Diakui Penilai Antarabangsa : Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata maklumat balas positif daripada Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP) menjadi bukti kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan perkara-perkara yang telah digariskan.


Timbalan Perdana Menteri berkata langkah untuk mendapatkan pengesahan pakar-pakar antarabangsa sebelum mengumumkan Laporan Tahunan GTP 2010 pada Ahad lepas merupakan persediaan kerajaan dalam menghadapi putar belit daripada pembangkang yang mendakwa laporan GTP itu sebagai retorik semata-mata.

"Kita tahu pembangkang akan pusing fakta, tetapi yang penting ialah untuk mereka melihat dan menilai laporan tahunan itu yang terkandung pelbagai perkara. Kalau mereka lihat satu persatu mereka akan tahu apa pencapaiannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama kepimpinan belia, badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dan Rela di Ampang sempena lawatan sehari beliau ke Selangor.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa baru-baru ini mengakui bahawa GTP telah mencapai kejayaan di luar jangkaan selepas kesemua enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mencapai sasaran yang ditetapkan.

Jawatankuasa itu yang dianggotai individu dari pelbagai latar belakang dan kepakaran yang berbeza di peringkat antarabangsa turut mengakui bahawa GTP telah mendorong transformasi sebenar yang boleh dan akan dialami oleh rakyat pada masa depan dan kerajaan telah mencapai sasaran hebat pada tahun pertama GTP, penyampaian (keberhasilan besar yang pantas) sejak mula lagi.

Mereka juga memuji langkah mewujudkan sistem pemantauan dan penilaian kemajuan di semua peringkat di sektor kerajaan termasuk di peringkat Perdana Menteri serta memberi ulasan yang positif kepada NKRA dalam mempertingkatkan pencapaian pelajar, isi rumah berpendapatan rendah, membanteras rasuah dan mengurangkan jenayah.

Muhyiddin berkata walaupun rakyat kini mungkin belum dapat merasai sepenuhnya kejayaan transformasi yang dilaksanakan, kerajaan mempunyai cara untuk menilai keberkesanannya.

"Usaha kita untuk melaksanakan transformasi tidak akan terhenti setakat ini, sebaliknya ia akan berterusan dan kita harap tahun depan kesannya akan lebih terasa," katanya.

Muhyiddin berkata semua program yang dilakarkan oleh kerajaan berasaskan fakta dan demi kepentingan rakyat, berbeza daripada manifesto pembangkang melalui Buku Jingga mereka, yang disifatkannya lebih kepada gimik politik semata-mata.

"Kita tidak lakar sesuatu program atas awang-awangan tetapi mesti berasaskan kenyataan dan fakta mana yang boleh dilakukan. Mereka (pembangkang) reka bentuk Buku Jingga mungkin bertujuan politik.

"Kalau rakyat terpedaya, mungkin mereka boleh menang, tetapi boleh buat atau tidak (janji dalam Buku Jingga) itu bagi mereka soal lain. Bagi saya Buku Jingga ini bukan rancangan atau pendekatan yang baik, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada negara," katanya.

Mengulas tanggungjawab barunya sebagai teraju utama memimpin dan menyelia Program Transformasi Kerajaan (GTP) sehingga tahun akhir pelaksanaannya pada 2012, Muhyiddin berkata beliau akan terus memantau setiap peringkat bidang NKRA yang ditetapkan bagi menjamin kejayaan transformasinya.

/hwa: bernama.com.my | 30/3/11

'Kit Siang perlu baca laporan GTP'

KUALA LANGAT: Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan rakyat diminta membandingkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan janji pembangkang dalam Buku Jingga yang jelas menunjukkan kejayaan dan pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penelitian dan maklum balas positif Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa terhadap GTP membuktikan pencapaian enam NKRA adalah fakta benar dan bukan sekadar angan-angan.

Ia juga bukti kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan setiap inisiatif yang digariskan menerusi agenda untuk terus membela nasib rakyat di semua peringkat dalam masyarakat.

"Saya cadangkan Kit Siang baca buku laporan GTP dan lihat satu persatu laporannya, bukan hanya tengok Buku Jingga (buku mengandungi janji pembangkang dalam tempoh 100 hari jika menang).

"Malam tadi (kelmarin) saya ada tengok manifesto pembangkang ketika pilihan raya umum lalu dan boleh dikatakan semua tidak tertunai lagi. Kalau yang mereka banggakan pun air percuma, namun bukan semua menikmatinya. Sekarang, mereka hendak buat macam-macam dalam tempoh 100 hari pula," katanya ketika lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang di sini semalam.

Dalam blognya, Kit Siang mendakwa laporan kejayaan GTP adalah tidak tepat dan tidak boleh dipercayai.

Ketika lawatannya ke Ampang, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari pembangkang akan memesongkan fakta, tetapi yang penting untuk mereka melihat dan menilai laporan tahunan itu yang mengandungi pelbagai perkara.

/hwa: bharian.com.my | 30/3/11

Golongan peguam perlu tonjol imej profesional sebenar

PENGAMAL undang-undang atau lebih tepat lagi golongan peguam seharusnya memandang serius titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menasihatkan supaya mereka tidak mempersendakan mahkamah selain membantu untuk tidak melengahkan perbicaraan.

Malahan baginda memberi peringatan yang tegas dengan bertitah para peguam tidak harus dengan cara tidak profesional menyusahkan pihak lawan.

Sememangnya titah baginda tepat pada waktunya apabila dalam kes-kes tertentu terutamanya berprofil tinggi, ada peguam yang sengaja berusaha melengah-lengahkan perbicaraan.

Pengetahuan dalam bidang undang-undang dipergunakan sepenuhnya bagi memberikan keyakinan kepada mahkamah untuk menangguhkan sesuatu kes.

Satu demi satu hujah yang mereka keluarkan sehinggakan ia memungkinkan wujudnya tafsiran berlakunya 'pendekatan berpolitik' dalam mahkamah.

Tindakan seumpama itu sudah tentulah akan memungkinkan keadilan yang ditunggu-tunggu sama ada oleh defendan mahupun plaintif akan tergendala.

Tetapi ada kalanya dalam kes-kes tertentu peguam sengaja berusaha melengah-lengahkan kes sedangkan tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti.

Sepatutnya mahkamah menjadi tempat bagi para peguam menegakkan kebenaran dan memastikan keadilan dapat dizahirkan, bukan diabaikan.

Oleh itu adalah wajar dalam situasi apa pun dan tidak kira siapa pun anak guam mereka, para peguam perlu memastikan perbicaraan dapat berjalan lancar dan sekali gus memberikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

Mahkamah bukanlah gelanggang untuk mereka berhujah politik atau mencari populariti tetapi medan bagi menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah.

Ketelusan, keadilan dan kebenaran seharusnya menjadi pegangan utama kepada mana-mana juga peguam. Dalam soal ini, para peguam tidak boleh mengamalkan 'double standard'. Jika kes melibatkan orang biasa, mereka mahu ia cepat diselesaikan tetapi apabila melibatkan kes profil tinggi maka segala kaedah perundangan digunakan bagi melengah-lengahkan perbicaraan.

Semua ini bukan sahaja akan menyebabkan berlaku kes-kes tertunggak di mahkamah malahan akan menyebabkan kos sesuatu perbicaraan itu meningkat.

Para peguam juga seharusnya faham seperti mana titah Raja Dr.Nazrin bahawa tingkah laku mereka turut diadili oleh masyarakat.

Rakyat biasa yang mengikuti sesuatu perbicaraan terutamanya yang mendapat perhatian negara sudah pasti mahukan sesuatu kes diselesaikan segera.

Mereka mahu mengetahui kesudahannya, tetapi sudah tentu mereka akan merasa muak dan lebih buruk lagi sangsi apabila melihat gelagat sesetengah peguam yang seolah-olah hendak memastikan sesuatu perbicaraan tertangguh dan terus ditangguhkan.

Oleh itu sudah tiba masanya, para peguam menerima pandangan Raja Dr.Nazrin Shah dengan fikiran terbuka dan menjadikan ia sebagai panduan untuk mereka benar-benar melaksanakan tugas guaman mereka dengan profesional.

/hwa: utusan.com.my | 30/3/11

Usaha murni Nalla selamat rakyat daripada Anwar

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kesediaan Datuk S. Nallakaruppan untuk berjumpa dengan pimpinan Pas bagi mendedahkan siapa sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan usaha murni bagi menyelamatkan rakyat daripada pemimpin 'putar alam' seperti Ketua Pembangkang itu.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, beliau bagaimanapun tidak yakin Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menerima tawaran Nallakaruppan yang juga bekas rakan karib Anwar itu.

"Nik Abdul Aziz kini sedang terlalu taksub dengan nafsu politik yang memungkinkan Pas tidak memperolehi sebarang manfaat, malah akan timbul kebenaran jika pertemuan dengan Nallakaruppan menjadi kenyataan.

"Saya juga optimis Mursyidul Am Pas itu akan menentang usaha ini termasuk jika ada inisiatif daripada ahli parti itu sendiri kerana tiada keuntungan politik bagi dirinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Nallakaruppan untuk berjumpa dengan Nik Abdul Aziz, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali bagi mendedahkan kepada mereka siapa sebenarnya Anwar.

Anuar berkata, Pas kini jauh berbeza daripada zaman bekas Presiden parti itu, Allahyarham Dr. Burhanuddin Helmi yang mana akhlak, moral dan iman jauh lebih penting daripada memperolehi sokongan dan mendapat undi.

"Pas kini lebih terikat dengan 'kemanisan' kuasa hingga sanggup memutarbelitkan fatwa dan isu demi kepentingan politik," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 30/3/11

Johari Abdul tipu?

PULAU PINANG 28 Mac - Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul disifatkan sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai berikutan tindakannya tidak memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang rakaman video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti pembangkang.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, Johari sepatutnya merujuk kepada Anwar sebagai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlebih dahulu sebelum menerima pelawaan trio Datuk T untuk menontonnya.

"Dalam isu pendedahan ini, Johari telah menipu rakyat dan Anwar kerana dia tahu dirinya dijemput untuk menonton video tersebut tapi dia tidak maklumkan kepada Anwar.

"Kalau Anwar tahu awal, mungkin dia (Anwar) boleh buat persiapan untuk beri penjelasan terlebih dulu tetapi dia (Johari) pergi tengok (video seks) senyap-senyap.

"Namun, bila nama dia (Johari) ditimbulkan, didakwa minta wang pelincir (duit), baru dia kelam-kabut dan menafikan orang dalam video itu ialah Anwar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Zamil yang juga Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah mencabar Johari supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap trio Datuk T sekiranya apa yang didakwa oleh kumpulan itu bahawa beliau meminta wang pelincir selepas menyaksikan video seks tersebut adalah tidak benar.

/hwa: utusan.com.my | 30/3/11

NGO tolak cadangan panggil pakar asing siasat video seks

KUALA LUMPUR 28 Mac - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolak cadangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu yang mahu pakar asing menyiasat kesahihan rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana negara turut memiliki pakar untuk menyiasat kes sedemikian.

"Bagi saya Mohamad Sabu lebih 'mendewakan' pakar asing daripada pakar tempatan.

"Dia cuba lari daripada isu sebenar. Jika benar dia mahu menegakkan keadilan, kenapa dia tidak desak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja seperti dalam kes kematian Teoh Beng Hock," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Feriz Omar pula meminta supaya jangan sesekali 'mengheret' orang luar masuk ke kancah politik negara.

"Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan daripada kerajaan, begitu banyak hal dalam negara melibatkan pihak antarabangsa sehinggakan mencemar perspektif orang luar mengenai keharmonian di negara ini.

"Pihak pembangkang menimbulkan cadangan itu kerana mereka tidak boleh menerima kenyataan bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang suka main politik yang 'gila-gila', 'kotor' dan sentiasa didorong oleh nafsu untuk mendapatkan kuasa," ujarnya.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula berkata, cadangan itu hanya untuk kepentingan politik pembangkang sahaja.

"Kalau mereka di pihak yang benar, maka benarlah, tetapi kalau sebaliknya, saya rasa ini hanya untuk memutar-belitkan kenyataan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 30/3/11

29 Mac 2011

Akhlak pemimpin cermin keperibadian rakyat

Oleh Shamrahayu A Aziz

Sifat mulia bantu bina institusi kepemimpinan negara yang baik

MUNGKIN ada antara kita pernah mendengar atau pernah mengucapkan ungkapan 'Bukan mudah menjadi pemimpin'. Amat benar ungkapan ini. Tugas kepemimpinan bukan saja menentukan hala tuju masyarakat yang dipimpin dan meletakkan negara pada tempat selesa di arena antarabangsa, tetapi pemimpin dan kepemimpinan juga menentukan keadilan; bukan saja keadilan sosial, tetapi juga keadilan kepada Allah SWT.

Sekiranya pembaca perhatikan itulah antara sebab ilmuwan Islam sentiasa memberi perhatian kepada perkara berkaitan pemimpin dan kepemimpinan. Banyak teori dan falsafah berkaitan kepemimpinan yang telah dilunas dan didebat. Antara ilmuwan atau ahli falsafah yang banyak membincangkan perkara ini termasuk al-Farabi atau al-Ghazali.

Saya tidak berniat untuk mengulas keseluruhan idea yang dipegang oleh mereka, sama ada al-Farabi, al-Ghazali atau lain-lain di ruangan ini. Saya cuma ingin menyampaikan satu perkara penting yang sentiasa disebut ilmuwan untuk kita renungi dan fikirkan bersama.

Perkara itu ialah akhlak. Akhlak adalah inti pati agama Islam. Secara harfiah perkataan ‘akhlak’ bermaksud budi pekerti, kelakuan atau tabiat. Bagi ahli falsafah, akhlak dikatakan sebagai ‘penyatuan antara perkara rohani dan jasmani tanpa boleh dipisahkan’. Pengertian ini bermaksud, tabiat atau keperibadian seseorang itu bergantung kepada agama atau rohani, yang tidak boleh dipisahkan daripada jasmaninya.

Ia menyimpulkan kedua-duanya (rohani dan jasmani) bagi menzahirkan watak yang tulus, adil, berilmu dan bijaksana sebagai pemimpin. Sifat inilah yang akan membantu rakyat untuk membina institusi kepemimpinan negara yang baik.

Dari suatu sudut lain, akhlak terdiri daripada dua aspek, iaitu aspek peribadi dan akhlak dalam perkara umum. Akhlak peribadi merujuk kepada pembawaan tabiat atau sifat diri sebagai seorang individu, manakala akhlak umum ialah akhlak dalam tindakan kepimpinan – atau dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Dalam melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan, kita hendaklah menyatukan antara kedua-dua aspek akhlak ke dalam setiap prinsip berkaitannya. Ini bermaksud bukan saja akhlak dalam mengendalikan keseluruhan aspek kepemimpinan (akhlak umum) yang menjadi perhatian ilmuwan, tetapi akhlak peribadi juga sentiasa diberi perhatian.

Oleh itu, sebagai individu, setiap pemimpin hendaklah mengamalkan akhlak atau peribadi yang istimewa, seperti adil, bijaksana dan merendah diri. Pendek kata, pemimpin hendaklah mengamalkan budi pekerti yang mulia. Mereka mestilah sentiasa lebih mulia daripada orang yang dipimpinnya.

Perlu saya sebut bahawa, walaupun peribadi mulia atau akhlak mulia bukanlah satu syarat yang tertulis dalam mana-mana undang-undang secara harfiah, saya pasti, seluruh lapisan masyarakat (terutama di alam Islam dan Melayu) mengetahui dan menganggap akhlak sebagai satu elemen penting di dalam kepemimpinan. Seperti yang saya sebut di atas, akhlak adalah inti pati agama Islam, yang menjadi rujukan kepada majoriti masyarakat kita.

Hatta dalam sistem demokrasi yang tidak menyebut secara terang-terang tentang keutamaan akhlak di dalam kepemimpinan juga meletakkan akhlak di tempat penting. Dalam prinsip kebertanggungjawaban contohnya, akhlak adalah antara ciri utama seorang pemimpin. Prinsip ini memperkenalkan teori tanggungjawab individu (individual responsibility), yang mana seseorang hendaklah meletakkan jawatan sekiranya dia tidak mengamalkan akhlak mulia.

Atas dasar ini seperti yang kita maklum, ramai pemimpin dunia yang tersungkur kerana kegagalan menjaga akhlak peribadi. Ramai juga yang tersungkur kerana akhlak umum yang rendah dan tidak berdaya untuk terus menjadi pemimpin yang dihormati rakyat.

Dalam apa juga sistem, akhlak yang mulia boleh dianggap sebagai undang-undang tidak bertulis yang menjadi dasar kepada seluruh sistem pentadbiran.

Walaupun bukan mudah menjadi pemimpin, bukan mudah juga untuk menjadi rakyat. Rakyat, seumpama pemimpin, perlulah juga berakhlak mulia. Selain itu, mereka perlu berilmu, bijaksana dan mengamalkan pekerti mulia.

Rakyat hendaklah menilai akhlak pemimpin dan seterusnya menentukan sama ada mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk memimpin. Ini wajib dilakukan oleh rakyat supaya institusi kepemimpinan yang dipilih boleh membawa negara ke mercu kejayaan, kestabilan dan keredaan yang Maha Kuasa.

Saya teringat kata-kata hikmah yang dirakam dalam sebuah kitab tasawwuf terkenal. Kata-kata hikmah itu menyebut, antara lain, rakyat adalah penentu kepada kualiti pemimpin. Dalam kata lain kualiti kepemimpinan sesebuah negara itu bergantung kepada kualiti rakyatnya kerana rakyat yang memilih pemimpin.

Menurut kata hikmah di dalam kitab tasawwuf itu lagi, pemimpin yang dipilih rakyat itu adalah yang secocok atau sepadan dengan keadaan rakyatnya. Barisan kepemimpinan adalah cermin kepada rakyatnya.

Walaupun disandarkan kepada dasar yang berbeza, prinsip sama juga wujud dalam teori demokrasi yang mengiktiraf rakyat sebagai political sovereign.

Pendek kata, tugas rakyat dan tugas pemimpin ada persamaannya dari aspek kepentingan, cuma tanggungjawab mereka yang berbeza. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu mengamalkan akhlak yang mulia.

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

/hwa: bharian.com.my | 29/3/11

Najib jumpa rakan online di Pulau Pinang Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Selepas bertemu dengan rakan online di Johor Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan meneruskan sesi "Mari Berjumpa, Mari Berhubung" (MBMB) di Pulau Pinang, Sabtu ini.

"Seronok apabila dapat berjumpa rakan-rakan online Sabtu lalu di Johor. Tidak sabar untuk MBMB Penang Sabtu ini," kata Najib dalam laman Facebook beliau.

Program MBMB adalah program terbaru yang digariskan oleh Perdana Menteri bagi membolehkan beliau bersemuka dan berinteraksi dengan rakan online.

Sebelum ini, Najib telah mengadakan sesi MBMB di tiga lokasi iaitu Seri Perdana, Putrajaya, Sarawak dan Johor.

/hwa: bharian.com.my | 29/3/11

Zuhari letak jawatan pegawai pilihan raya PKR Kelantan

PASIR PUTEH: Pegawai Khas Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Zuhari Che Mat meletak jawatan serta-merta kerana tidak puas hati dengan parti itu yang didakwanya lebih suka menjadi 'tali barut'kepada PAS.

Beliau yang jug a seorang ahli perniagaan berkata surat perletakan jawatannya sudah dihantar kepada Pengarah jentera pilihan raya PKR Kelantan semalam.

"Sepanjang saya menyertai parti itu sejak dua tahun lalu saya dapati parti berkenaan hanya menjadi pak turut kepada parti PAS dengan mengetepikan prinsip perjuangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata PKR sendiri pula tidak mempunyai perjuangan yang jelas untuk membela nasib bangsa dan pucuk pimpinan tertinggi pula tidak mempunyai fikiran terbuka serta gagal menyelesaikan kemelut yang timbul walaupun perkara remeh-temeh.

Katanya sebagai contoh daripada empat kuota pelantikan anggota Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) untuk PKR, satu daripadanya diberi kepada orang luar daripada kawasan Pasir Puteh. "Jadi bagaimana individu terbabit boleh menyelesaikan masalah rakyat di Pasir Puteh sedangkan beliau tidak tahu apa-apa kehendak dan masalah rakyat
setempat," katanya.

/hwa: bharian.com.my | bernama - 29/3/11

GTP Realisasi Gagasan 1Malaysia, Kata Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Orang ramai memberi sambutan positif terhadap Program Tranformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada April 2009, kerana ia merealisasikan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Menurut Laporan Tahunan GTP 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) maklum balas daripada rakyat berpendapat GTP memperincikan setiap aspek kehidupan rakyat dan mengambil berat akan keperluan dan kehendak mereka.

Terdapat enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah GTP iaitu pengangkutan awam bandar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mengurangkan kadar jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam pendidikan dan memperkasakan pembangunan infrastruktur luar bandar.

Antara mereka yang mendapat faedah daripada GTP itu ialah seorang pemandu teksi, Rasamanickam Devan, 65, yang berpendapat kerajaan telah banyak melakukan perubahan seperti pendidikan.

"Anak perempuan saya sekarang seorang jurutera, ia adalah hasil daripada pinjaman pelajaran mudah yang disediakan oleh kerajaan.

"Saya rasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan usaha mempertingkatkan perkhidmatan awam dengan baik, malah kualiti kehidupan, ekonomi dan peluang pekerjaan turut dipertingkatkan," katanya.

Perdana Menteri telah melakukan yang terbaik dengan mewujudkan dasar-dasar yang memberi peluang kepada setiap orang untuk mencari pendapatan termasuk dirinya yang sebelum GTP diperkenalkan beliau tidak berpeluang bekerja sebagai pemandu teksi, kata Rasamanickam.

Seorang pelajar kolej swasta Nursyazwana Sadri berkata usaha kerajaan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam adalah sesuatu yang harus diberi pujian terutamanya dengan mewujudkan tempat khas untuk golongan wanita dalam perkhidmatan bas dan keretapi.

"Pada saya, pendidikan telah mengalami perkembangan yang sangat hebat dan selain daripada pengangkutan awam, kemudahan institusi pendidikan awam juga telah banyak dipertingkat, kini dengan program kemahiran yang disediakan kerajaan, saya rasa setiap orang mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan meskipun dalam persekitaran yang semakin sengit," katanya.

Seorang pelajar Lee Jing Wen berkata beliau melihat banyak perubahan yang berlaku sejak GTP diperkenalkan dengan yang paling ketara ialah penurunan kadar jenayah.

"Secara keseluruhannya, kehidupan seharian orang ramai bertambah baik, kadar jenayah telah berkurangan dengan nyata, sudah agak lama saya tidak membaca berita mengenai kes rompakan atau jenayah ragut maka itu sekarang saya berasa lebih selamat berbanding dulu," katanya.

Sukarelawan di sebuah pusat perlindungan haiwan Sarah Kuppusamy berkata prestasi pasukan polis bertambah baik dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga merupakan langkah yang baik dan berada pada landasan yang tepat.

"Ya, betul! Keadaan sudah bertambah baik. Polis sekarang kerap membuat rondaan di semua kawasan, ia memberi imej yang baik untuk polis dan orang ramai pun semakin yakin dengan komitmen yang diberikan oleh polis.

"Saya mahu merasa selamat apabila menggunakan pengangkutan awam maka dengan kehadiran polis, saya tidak lagi merasa takut apabila menaiki keretapi atau bas," katanya.

Mengenai NKRA mengenai pendidikan pula, seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta Jolynn Ng berkata pendidikan terutamanya di institusi pengajian tinggi telah melahirkan lebih ramai graduan berbanding dahulu.

"Kemunculan graduan baharu yang bersemangat dan berbakat adalah petanda baik bagi GTP, sektor pendidikan sentiasa diberikan tumpuan yang lebih dan tumpuan ini merupakan langkah terbaik bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.

"Selain pendidikan, kerajaan juga perlu membuat rancangan yang teliti bagi memastikan sasaran NKRA tercapai dalam mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam," katanya.

Ahli perniagaan Johnny Amman berkata orang ramai masih kabur tentang banyak bahagian dalam GTP dan kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih terperinci.

"Meskipun ramai yang tidak menyedari tentang GTP, namun secara keseluruhan, usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar jenayah telah menjadi bertambah baik.

"Memerangi jenayah dan rasuah adalah dua bidang yang menunjukkan banyak kemajuan. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 adalah langkah yang bijak dan sekarang saya melihat kehadiran pegawai polis di kawasan awam semakin bertambah sekarang," katanya.

Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga menyambut baik dan menyokong GTP dan berpendapat ia berjaya mengubah beberapa kementerian dan agensi kerajaan dan menangani aduan rakyat secara positif yang sebelum ini menjejaskan kehidupan seharian orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jani berkata banyak perkara telah dicapai dalam jangka masa pendek dalam GTP contohnya mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah.

"Mendengar kejayaan dalam melahirkan usahawan baharu dan mengurangkan kemiskinan tegar adalah sesuatu yang amat menggembirakan dan mengurangkan kemiskinan menerusi keusahawanan adalah tepat sekali.

"Saya berani menyatakan bahawa sistem ekonomi liberal dan pasaran bebas adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan kemiskinan pada masa depan," katanya.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Henry Chin berkata pengurangan kadar jenayah di bawah NKRA merupakan satu perkembangan yang positif.

"Sesungguhnya menerusi usaha pihak polis yang bersepadu dan dengan komitmen mereka, maka kejayaan dalam usaha mengurangkan jenayah telah tercapai.

"Terdapat banyak program yang berjaya dijalankan polis dalam menjayakan GTP. Tiada kejayaan yang dapat dicapai secara bersendirian dan kejayaan NKRA adalah hasil daripada kerjasama polis, orang ramai dan NGO seperti MCPF," katanya.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata polis harus dipuji atas kejayaan mereka mengurangkan kadar jenayah jalanan kepada 35 peratus berbanding sasaran 20 peratus yang ditetapkan dan juga mengurangkan Indeks Jenayah kepada 15 peratus.

"Kaedah pendekatan NKRA telah memperlihatkan keberhasilan yang positif seperti yang ditunjukkan stastistik," katanya.

Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia Majid Sohot berkata infrastruktur asas luar bandar yang terdapat di penempatan Orang Asli di pinggir bandar sekarang adalah memuaskan dan memperlihatkan kemajuan yang baik.

"Banyak penempatan Orang Asli kini mendapat bekalan air paip bersih dan elektrik, perkara ini (kemudahan air dan elektrik) memberikan petanda bahawa lebih banyak penempatan di kawasan pedalaman akan mendapat kemudahan yang sama," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Loke Yim Peng berkata beberapa aspek dalam NKRA semakin bertambah maju dan telah menerima maklum balas yang positif.

"Antaranya ialah kejayaan dalam NKRA pendidikan iaitu Literasi dan Numerasi (Linus) yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Saya perhatikan Linus telah mendapat maklum balas yang baik darupada guru-guru dan ia banyak membantu kanak-kanak dalam membina tiga kemahiran asas - membaca, menulis dan mengira," katanya.

Bidang lain yang berjaya dalam NKRA pendidikan ialah fokus kepada pendidikan pra-sekolah memandangkan kerajaan telah mewujudkan lebih peluang untuk menubuhkan lebih banyak pra-sekolah supaya kanak-kanak di luar bandar juga memperoleh asas pendidikan yang kukuh, katanya.

Loke berkata penekanan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah oleh kerajaan juga telah membantu mengurangkan beban kerja guru.

Presiden Transparency International Malaysia Datul Paul Low berkata dengan bantuan sekretariat Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan NKRA, GTP terus mencatatkan kemajuan yang positif.

"Cabaran NKRA adalah bagaimana untuk mencapai sasaran dalam membuat pembaharuan proses politik, membawa perubahan dalam pembiayaan kewangan dan bagaimana parti politik dibiayai selain membanteras apa yang dipanggil "rasuah bebas"," katanya.

/hwa: bernama.com.my | 29/3/11

Bazar Arked Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB)

28 MAC 2011: Kira-kira 300 peniaga di Bazar Arked Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengadakan sembahyang hajat di perkarangan bazar tersebut selepas menghadapi jalan buntu dalam kemelut perpindahan mereka ke Bazar Tok Guru, di Kota Bharu, Kelantan. - Utusan/AIZZUL A. MAJID

Mendengar luahan rakyat

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendengar rintihan orang ramai tentang keenganan kerajaan negeri membantu penduduk di sini ketika membuat lawatan kerja di sekitar Taman Tasik Permai di sini hari ini.
/hwa: umno-online.com.my | 29 Mac 2011. Foto-MediaUMNO

Proton Harap Lotus Renault Mampu Teruskan Kecemerlangan Di GP Malaysia

PETALING JAYA, 28 Mac (Bernama) -- Pembuat kereta nasional, Proton Holding Bhd, berharap pasukan Lotus Renault mampu meneruskan kehebatan dan prestasi terbaik pada perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) di Litar Sepang minggu depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata kehebatan pemandu Lotus Renault, Vitaly Petrov dari Rusia yang berjaya menduduki tempat ketiga dalam saingan di Melbourne semalam pastinya mampu diteruskan ke GP Malaysia 10 April nanti.

"Saya harap mereka mampu terus mencatat pencapaian yang lebih baik di sini kerana kejayaan ini pastinya lebih bermakna berbanding di Melbourne," katanya ketika diminta mengulas kemenangan Lotus Renault semalam selepas melancarkan kempen Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) di sini Isnin.

Pada perlumbaan pembuka tirai F1 2011 itu, pemandu sensasi Red Bull, Serbastian Vettel yang juga juara dunia 2010 muncul juara sementara Lewis Hamilton dari McLaren menduduki tangga kedua.

Kejayaan Petrov di Litar Albert Park, Melbourne, Australia itu membuktikan pelaburan yang dilakukan Kumpulan Proton Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Lotus Group, cukup berbaloi.

Selain meraih podium sulung, kejayaan itu juga satu kemenangan moral buat dua jenama kereta Lotus dan Renault yang baru bergabung tenaga musim ini dalam saingan F1.

/hwa: bernama.com.my | 29/3/11

BN Kenalpasti Sembilan Kerusi Dun Selangor Berpotensi Dirampas

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) telah mengenalpasti sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang berpotensi untuk dirampas kembali pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi membolehkan BN kembali menerajui negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun BN mungkin menghadapi tentangan hebat daripada parti pembangkang, namun jika ada usaha gigih dan kerjasama daripada semua parti komponen, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

"BN memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN untuk membolehkan kita memerintah semula di Selangor, sekarang kita kekurangan sembilan kerusi. Strategi sudah mula diatur untuk menebus kembali sembilan kawasan DUN berkenaan untuk memastikan kita mendapat semula Selangor.

"Ini matlamat BN di peringkat pusat dan negeri dan ia suatu pertempuran yang sengit kerana kita sedar tentunya pembangkang tidak akan mudah menyerah kalah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang di sini Selasa, beliau turut menasihatkan rakan-rakan BN di Selangor supaya bekerja keras bermula dari sekarang bagi memastikan kemenangan parti.

Majlis berkenaan dihadiri pemimpin dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, Rukun Tetangga, anggota jawatankuasa masjid dan surau di Selangor, yang diadakan sempena lawatan sehari timbalan perdana menteri ke Selangor hari ini.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Timbalan Menteri Kewangan merangkap Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai.

Mengulas mengenai lawatannya, Muhyiddin berkata aktiviti turun padang ke kawasan bandar dan luar bandar di sekitar Selangor adalah antara langkah untuk melihat keadaan dan menilai tahap penerimaan rakyat kepada BN dan barisan kepimpinan parti itu.

"Langkah turun ke bawah ini sememangnya disusun supaya dapat melihat sendiri suasana semasa. Dengan cara ini, saya yakin kita dapat lihat perubahan sikap dan peningkatan sokongan untuk tebus semula kekalahan lalu," katanya.

Berdasarkan sambutan dan interaksi yang diterima sepanjang lawatan itu, Muhyiddin yakin rakyat Selangor mula memberikan penilaian positif diberikan terhadap kerajaan.

"Mungkin kerana mereka faham pendekatan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkaitan Gagasan 1Malaysia menyebabkan mereka lebih yakin," katanya.

Muhyiddin berkata walaupun keyakinan itu tidak dizahirkan melalui kata-kata tetapi ia dapat dilihat menerusi bahasa badan apabila mereka keluar beramai-ramai dengan mesra dan sukarela yang disifatkannya sebagai petanda baik kepada kepimpinan parti.

/hwa: bernama.com.my | 29/3/11

121 Anggota DAP Limbang Keluar Parti

LIMBANG, 29 Mac (Bernama) -- Seramai 121 anggota DAP pada Selasa keluar parti dan menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Mereka yang diketuai oleh Pengerusi DAP Batang Sungai Limbang Kahar Awang Daud menyerahkan borang keanggotaan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas Taib merasmikan pembangunan fasa pertama bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa Limbang di sini.

Walaupun 121 menyatakan keluar parti, hanya 73 orang yang dapat hadir ke acara itu.

Bagaimanapun punca utama mereka keluar parti masih tidak diketahui.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN menguasai kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Limbang dan Lawas iaitu Bukit Kota dan Batu Danau (Parlimen Limbang) serta Ba'kelalan dan Bukit Sari (Parlimen Lawas).

/hwa: bernama.com.my | 29/3/11

Kejayaan GTP Diakui Penilai Antarabangsa : Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata maklumat balas positif daripada Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP) menjadi bukti kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan perkara-perkara yang telah digariskan.


Timbalan Perdana Menteri berkata langkah untuk mendapatkan pengesahan pakar-pakar antarabangsa sebelum mengumumkan Laporan Tahunan GTP 2010 pada Ahad lepas merupakan persediaan kerajaan dalam menghadapi putar belit daripada pembangkang yang mendakwa laporan GTP itu sebagai retorik semata-mata.

"Kita tahu pembangkang akan pusing fakta, tetapi yang penting ialah untuk mereka melihat dan menilai laporan tahunan itu yang terkandung pelbagai perkara. Kalau mereka lihat satu persatu mereka akan tahu apa pencapaiannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama kepimpinan belia, badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dan Rela di Ampang sempena lawatan sehari beliau ke Selangor.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa baru-baru ini mengakui bahawa GTP telah mencapai kejayaan di luar jangkaan selepas kesemua enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mencapai sasaran yang ditetapkan.

Jawatankuasa itu yang dianggotai individu dari pelbagai latar belakang dan kepakaran yang berbeza di peringkat antarabangsa turut mengakui bahawa GTP telah mendorong transformasi sebenar yang boleh dan akan dialami oleh rakyat pada masa depan dan kerajaan telah mencapai sasaran hebat pada tahun pertama GTP, penyampaian (keberhasilan besar yang pantas) sejak mula lagi.

Mereka juga memuji langkah mewujudkan sistem pemantauan dan penilaian kemajuan di semua peringkat di sektor kerajaan termasuk di peringkat Perdana Menteri serta memberi ulasan yang positif kepada NKRA dalam mempertingkatkan pencapaian pelajar, isi rumah berpendapatan rendah, membanteras rasuah dan mengurangkan jenayah.

Muhyiddin berkata walaupun rakyat kini mungkin belum dapat merasai sepenuhnya kejayaan transformasi yang dilaksanakan, kerajaan mempunyai cara untuk menilai keberkesanannya.

"Usaha kita untuk melaksanakan transformasi tidak akan terhenti setakat ini, sebaliknya ia akan berterusan dan kita harap tahun depan kesannya akan lebih terasa," katanya.

Muhyiddin berkata semua program yang dilakarkan oleh kerajaan berasaskan fakta dan demi kepentingan rakyat, berbeza daripada manifesto pembangkang melalui Buku Jingga mereka, yang disifatkannya lebih kepada gimik politik semata-mata.

"Kita tidak lakar sesuatu program atas awang-awangan tetapi mesti berasaskan kenyataan dan fakta mana yang boleh dilakukan. Mereka (pembangkang) reka bentuk Buku Jingga mungkin bertujuan politik.

"Kalau rakyat terpedaya, mungkin mereka boleh menang, tetapi boleh buat atau tidak (janji dalam Buku Jingga) itu bagi mereka soal lain. Bagi saya Buku Jingga ini bukan rancangan atau pendekatan yang baik, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada negara," katanya.

Mengulas tanggungjawab barunya sebagai teraju utama memimpin dan menyelia Program Transformasi Kerajaan (GTP) sehingga tahun akhir pelaksanaannya pada 2012, Muhyiddin berkata beliau akan terus memantau setiap peringkat bidang NKRA yang ditetapkan bagi menjamin kejayaan transformasinya.

/hwa: bernama.com.my | 29/3/11

Pendidikan agama di Selangor tidak diabaikan: Muhyiddin

BANTING: Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan pelajaran termasuk pendidikan agama walaupun di negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang seperti Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan agama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, hari ini menyampaikan geran bantuan berjumlah RM3.22 juta kepada 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada satu majlis di sini, dengan setiap SABK menerima sebanyak RM140,000.

Pada majlis perjumpaan bersama wakil-wakil sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis di sini sempena lawatan seharinya ke Selangor, beliau turut mengumumkan bantuan pengurusan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) seluruh negara berjumlah RM4.998 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk SAR dan KAFA di Selangor.

Katanya, terdapat 188 buah SAR dan KAFA di seluruh Selangor yang mempunyai 90,620 pelajar yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan terbabit.

Bagi SABK di seluruh negara pula, Muhyiddin berkata, sejumlah RM120.77 juta diperuntukkan sebagai belanja pengurusan dan daripada jumlah itu, RM29.27 juta diperuntukkan bagi SABK di Selangor yang berjumlah 23 buah dengan jumlah pelajar 15,586 orang.

Beliau berkata, sejumlah RM95 juta telah diperuntukkan sebagai bantuan untuk SAR seluruh negara dalam Bajet 2011 di mana RM9.6 juta diperuntukkan bagi Selangor.

Katanya, bantuan itu akan digunakan bagi kursus untuk guru-guru SAR, pembinaan dan pembaikan kecil SAR.

Beliau berkata, ilmu adalah asas bagi seseorang itu untuk mendapatkan bukan sahaja kejayaan di dunia bahkan juga di akhirat.

Muhyiddin berkata, kerajaan persekutuan mengutamakan pembangunan pendidikan untuk rakyatnya di mana 26 peratus daripada bajet negara adalah dikhaskan bagi pendidikan.

/hwa: bharian.com.my | bernama - 29/3/11
Renung-renunglah...

Usah lengahkan perbicaraan


Raja Dr. Nazrin Shah (tengah) ketika menghadiri majlis Konvokesyen Keenam Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2010 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Peguam Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Patail (dua dari kiri). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Mac - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menasihatkan pengamal undang-undang supaya tidak mempersendakan mahkamah selain membantu untuk tidak melengahkan perbicaraan.

Baginda juga mengingatkan bahawa profesion undang-undang adalah profesion yang dipandang mulia dan elit serta mempunyai peradaban, kesopanan dan etika tersendiri.

Baginda bertitah salah satu tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti; memastikan integriti undang-undang dan keadilan terhadap mahkamah dan begitu juga terhadap anak guam, dapat disempurnakan.

"Dalam melaksanakan tanggungjawab, mahkamah jangan sesekali dipersendakan, para peguam seboleh-bolehnya wajib membantu untuk memastikan perbicaraan tidak dilengahkan dan para peguam juga tidak harus dengan cara yang tidak profesional sengaja menyusahkan pihak lawan," titah baginda.

Raja Nazrin menjelaskan demikian ketika bertitah pada Majlis Konvokesyen Keenam Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2010 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di sini hari ini.

Baginda turut mengingatkan kepada para pengamal undang-undang bahawa mereka wajib menjadi tauladan dengan menjauhi perbuatan yang mengabaikan keadilan.

"Sedarilah bahawa tingkah laku para peguam turut diadili oleh masyarakat," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah kecekapan mahkamah mengurangkan kes tertunggak bukan sahaja dapat memastikan keadilan dilaksanakan secara segera tetapi turut meningkatkan peraturan pengurusan mahkamah di kaca mata umum.

Baginda bertitah bahawa negara memerlukan barisan profesional yang kompeten di bidang undang-undang antarabangsa untuk membantu mempertahankan kepentingan negara di peringkat global.

"Diramalkan evolusi dalam profesion undang-undang sepuluh tahun akan datang bakal berlaku lebih hebat daripada kadar yang berlaku sejak seratus tahun lalu.

"Kesediaan melakukan perubahan dan merintis langkah pembaharuan adalah satu kemestian kepada semua profesion dalam dunia global yang semakin terangkai ini," titah baginda.

Baginda bertitah bahawa evolusi tersebut akan terus berlaku dalam menghadapi gelombang-gelombang baru, antaranya ialah penemuan pesat di bidang sains dan kemajuan pesat teknologi serta pengaruh globalisasi yang semakin meningkat sekali gus membawa perubahan bentuk persaingan.

"Perubahan demografi penduduk dari segi usia beserta kebangkitan media sosial, perubahan sosial, serta perubahan persekitaran intelek juga merupakan antara evolusi yang menghadapi gelombang baru," titah baginda.

Baginda juga bertitah bahawa setiap gelombang baru ini memerlukan peraturan baru dan akan meningkatkan keperluan interaksi perundangan di peringkat antarabangsa.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 29/3/11

Riwayat Politik Anwar Berakhir Tanpa Sokongan Pemimpin PAS Dan DAP : Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau yakin riwayat politik Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berakhir jika pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dan DAP tidak lagi menyokongnya.

Katanya pemimpin-pemimpin yang dimaksudkannya termasuklah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

"Kalau mereka jauhkan diri daripada Anwar, sudah pasti riwayat politik dia akan habis," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata beliau berpendapat pemimpin-pemimpin berkenaan terlalu taksub menyokong Anwar sebab mereka yakin kononnya Anwar boleh menawan Putrajaya.

/hwa: bernama.com.my | um - 29/3/11

Pilihan Raya Sarawak: Perebutan Kerusi PKR-SNAP Berlarutan

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Perbalahan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini berterusan apabila kedua-dua parti dilihat membuat tuntutan bertindih untuk 23 kerusi.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata sebanyak empat kerusi telah diperuntukkan kepada SNAP manakala PKR berhasrat bertanding di 24 kerusi lagi.

"Setakat ini sebanyak 24 kerusi sah akan ditandingi PKR, sementara SNAP di empat kerusi dan senarai penuh hanya akan dimuktamadkan dalam jangka masa terdekat memandangkan perbincangan antara dua parti masih berjalan.

"Kedua-dua parti menunjukkan minat terhadap 23 kerusi, jadi kita perlu lebih memperincikan kepada calon boleh menang, penerimaan pengundi dan isu tempatan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat majlis pimpinan pembangkang di bangunan Parlimen di sini hari Isnin.

Mesyuarat turut dihadiri penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Pertikaian antara kedua-dua parti itu tercetus apabila PKR yang hanya mempunyai satu kerusi di Sarawak dalam penggal dewan yang lepas, telah menuntut untuk bertanding di lebih 40 kerusi yang majoritinya juga mahu ditandingi SNAP.

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Terdahulu, Anwar yang juga ketua pembangkang, mengesahkan DAP akan bertanding di 15 kerusi dan PAS lima kerusi.

Katanya, perbincangan bagi baki (51) kerusi masih berjalan antara PKR dan SNAP di Kuching dan kelewatan itu bukanlah satu masalah kerana, menurut beliau, hari penamaan calon masih jauh dan Barisan Nasional juga belum memutuskan calon mereka.

"Kita akan umumkan keputusan penuh mengenai pembahagian kerusi di Kuching nanti, sabar," katanya.

Penamaan calon ialah pada 6 April ini.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 29/3/11

Tidak Mungkin PAS Boleh Popular Pada Kalangan Bukan Islam Bumiputera - Dr George Chan

MIRI, 28 Mac (Bernama) -- Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan hari ini menolak kemungkinan PAS diterima oleh masyarakat bukan Islam bumiputera di sini.

Beliau berkata tidak mungkin parti pembangkang dengan pegangan melampau seperti itu mampu memperolehi sokongan pengundi khususnya daripada kalangan bukan Islam di Sarawak.

"Anda boleh tanya daripada masyarakat sekeliling ada atau tidak (bukan Islam) mahukan itu (menyokong PAS) dan bagi saya, saya percaya mereka penyokong kuat Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita, di sini hari Isnin.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa PAS sudah mula membentuk kubu kuat di dua kawasan penempatan bukan Islam bumiputera di sini.

Malah kata beliau, sebahagian daripada golongan itu adalah anggota SUPP dan parti komponen BN yang lain.

Berdasarkan perkembangan setempat, sekumpulan individu yang mendakwa mereka anggota PAS bergerak aktif di sini dan dikatakan 'mengintai' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin yang disandang wakil SUPP Datuk Lee Kim Shin.

Selain Senadin, parti itu juga bercadang bertanding di kerusi DUN Lambir yang disandang Datuk Aidan Wing dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 29/3/11

Di mana ketelusan Pas?


Para pemimpin NGO sekitar Pulau Pinang mengadakan perhimpunan mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan video seks melibatkan pemimpin pembangkang di Pulau Pinang, kelmarin.

KITA tidak harus melupakan bahawa dalam kamus politik Pas, ada dua tindakan mereka yang cukup sinonim dengan parti itu, pertamanya solat hajat dan kedua menggesa ditubuhkan suruhanjaya diraja apabila ada isu.

Tetapi sejak kebelakangan ini, Pas tidak lagi bersikap demikian termasuklah dalam isu terbaru berhubung rakaman video seks yang melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Pas bukan sahaja awal-awal lagi menganggap ia konspirasi politik malah menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes itu. Malahan Pas juga tidak kedengaran untuk mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah berikutan isu terbaru yang timbul.

Ia berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1998, apabila Pas beria-ia menganjurkan solat hajat di pusat tarbiyahnya di Taman Melewar dan mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan.

Entah mengapa kali ini, Pas tidak lagi bersikap telus, sebaliknya tindakan Pas dilihat lebih banyak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Sebab itulah pemimpin Pas boleh mengeluarkan kenyataan bahawa penubuhan suruhanjaya diraja hanyalah mengarut selagi situasi sebenar tidak diketahui.

Apa yang anehnya, Pas sendiri sebelum ini begitu beria-ia benar bersetuju mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock kononnya atas alasan mencari kebenaran.

Namun kenapa dalam isu terbaru ini desakan penubuhan suruhanjaya tersebut dianggap 'mengarut'? Sedangkan kita masih ingat suatu ketika dulu apabila timbul isu, Pas bukan sahaja membuat desakan melalui kenyataan akhbar atau di dalam Dewan Rakyat malah mengadakan siri ceramah.

Namun kini segalanya sudah berubah. Ternyata ikatan setiakawan yang diwujudkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP seolah-olah 'mengunci langkah' Pas untuk menyatakan kebenaran.

Pas tidak mahu membuat tindakan yang dilihat akan menjejaskan hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan yang sudah 'membuaikan' Pas dengan impian ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pas tidak mahu peluang politik tersebut terjejas jika apa yang didakwa melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi kenyataan.

Justeru pemimpin-pemimpin Pas di peringkat pusat 'bersilat lidah' bagi menafikan sebarang usaha yang memungkinkan kebenaran boleh dicapai tetapi dilihat tidak akan menyebelahi mereka.

Semua ini sebenarnya merugikan politik Pas itu sendiri. Sudah pasti ramai yang akan melihat Pas bukan lagi memperjuangkan sesuatu perkara berlandaskan kepada kebenaran tetapi lebih kepada keuntungan politik.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya Pas bertegas dalam soal melibatkan moral mana-mana pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Ramai tertanya-tanya bagaimana jika video seks itu dikaitkan dengan pemimpin kerajaan atau tepat lagi Barisan Nasional (BN), apakah Pas akan mendiamkan diri dan membantah sebarang usaha menubuhkan suruhanjaya diraja?

Sudah pastilah Pas tidak akan membantah sebaliknya akan berterusan bersama-sama dengan PKR dan DAP melakukan desakan kerana percaya ia akan menguntungkan politik pembangkang.

Ia sudah dibuktikan dalam beberapa kes sebelum ini termasuklah berhujah, Islam membenarkan kita mendedahkan peribadi seseorang demi mencari pemimpin yang baik tetapi apabila tercetus isu video seks terbaru ini, Pas seolah-olah menghapuskan sikap telusnya. Soal mencari kebenaran tidak diperkatakan sebaliknya di kalangan mereka menganggap ia taktik politik yang cukup menjijikkan.

Kita tidak faham kenapakah apabila timbul sahaja perkara berkaitan dengan pembangkang ia dianggap konspirasi, fitnah dan berniat jahat, sedangkan kalau sesuatu isu itu melibatkan kerajaan maka pembangkang akan menerimanya sebagai satu fakta biarpun ada antaranya hanyalah fitnah.

Berikutan sikap Pas yang dilihat semakin menenggelamkan sikap telusnya sebagai sebuah parti Islam itulah yang menyebabkan ada desakan supaya Pas menyatakan pendirian secara terus-terang dalam isu terbaru ini.

Mereka tidak mahu Pas yang melaungkan slogan-slogan Islam seolah-olah tidak mahu mencari sebuah kebenaran tidak kira sama ada ia memihak kepada politik pembangkang atau tidak.

Sebenarnya, berdasarkan kepada maklumat yang diterima di peringkat akar umbi Pas, mereka semakin tawar untuk menyokong langkah parti itu terus bekerjasama dengan PKR. Ia disebabkan dengan pelbagai kemelut yang berlaku melibatkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan ia turut menjejaskan imej Pas.

Pas masih belum mahu melihat bagaimana tindakan mereka terlalu bersekongkol dengan PKR dan DAP telah memungkinkan parti itu tewas dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini.

Dan kini Pas akan menerima padahnya lagi jika mereka terus tidak konsisten dalam isu-isu berkaitan menegakkan kebenaran.

Kalau benar Pas jujur, sudah pastilah parti itu tidak akan awal-awal lagi menganggap apa yang terjadi konspirasi sebaliknya akan berusaha menggesa supaya segala langkah dilakukan bagi membuktikan apa yang berlaku satu konspirasi atau kebenaran.

Pada masa ini, Pas mengambil jalan selamat dengan meminta polis menjalankan siasatan terperinci tetapi soalnya jika siasatan polis tidak menyebelahi pembangkang adakah Pas akan menerima keputusan berkenaan. Adakah ketika ini Pas akan menyebelahi PKR atau bersetuju dengan siasatan polis biarpun mereka tahu ia tidak akan menguntungkan pembangkang?

Justeru adalah wajar jika Pas berhenti daripada terus berdolak-dalih dalam isu terbaru ini. Keadilan dan kebenaran bukan hanya berhak dikuasai oleh pembangkang sahaja tetapi juga pihak-pihak lain di luar lingkungan parti itu.

/hwa: utusan.com.my | um - 29/3/11

Kadar inflasi 3.5 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kadar inflasi negara pada tahun ini diunjur berada pada sekitar 3.0 dan 3.5 peratus, dijangka melonjak lebih pantas pada separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi global.

AmResearch dalam nota penyelidikannya bagaimanapun meramalkan kenaikan itu tidak menyebabkan berlaku kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan pada Mei ini.

Menurutnya, kenaikan kadar faedah mungkin boleh dilakukan apabila peningkatan itu disebabkan oleh permintaan tetapi bukan apabila ia membabitkan kejutan bekalan untuk sementara waktu.

AmResearch menjangkakan kenaikan kadar faedah tidak akan berlaku dalam tempoh jangka pendek ini, sekurang-kurangnya sehingga September ini.

'Kami percaya peningkatan kadar inflasi dalam tempoh 22 bulan tertinggi yang dicatatkan pada Februari lalu iaitu 2.9 peratus memeranjatkan BNM.

''Peningkatan kadar inflasi ini akan menambah tekanan kepada pengurusan monetari ekonomi, khususnya ketika pulangan sebenar kadar faedah menjadi negatif buat kali pertama dalam tempoh 26 bulan.

''Tetapi kami percaya BNM tidak akan melakukan penyelarasan terhadap OPR,'' menurutnya.

Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka kekal berada antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada pertengahan pertama 2011, sebelum meningkat kepada 6.0 peratus pada separuh kedua.

Tambah firma penyelidikan itu, kadar OPR yang ditetapkan 2.75 peratus adalah pada tahap akomodatif untuk menggalakkan pertumbuhan dan mengekang tekanan inflasi kepada ekonomi.

Mengulas mengenai kenaikan kadar inflasi, AmResearch berkata, peningkatan itu disebabkan oleh kenaikan harga makanan, pengangkutan dan indeks tenaga.

Tambahnya, meskipun kadar inflasi negara menunjukkan trend menaik, tetapi kenaikan harga di Malaysia masih kekal rendah berbanding negara-negara lain seperti Singapura, China dan India.

''Perbezaan ini menyebabkan Malaysia mengalami kesan lebih kecil dalam lonjakan harga komoditi dan makanan dunia,'' ujarnya.

Malah, AmResearch turut percaya kerajaan tidak akan meningkatkan harga minyak.

/hwa: utusan.com.my | um - 29/3/11

28 Mac 2011

Umno Dan BN Akan Terus Hidup Berdasarkan Senario Politik Semasa - Tun Daim

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Tun Daim Zainuddin yakin bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus hidup berdasarkan kepada pengamatannya terhadap senario politik semasa.

Bekas Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas itu berkata selagi rakyat tetap berhemah dan bijak membezakan antara padi dan sekam, beliau percaya BN akan terus memerintah.

"Saya tak fikir BN boleh kalah lebih teruk daripada pilihan raya umum 2008. Situasi politik pada 2008 itu amat berbeza daripada situasi sekarang," katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan akhbar itu.

Berikutan itu, Daim yang juga bekas Bendahari Umno, menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan (BN) supaya sentiasa mengawasi diri dan peka terhadap tentangan dan tuntutan rakyat.

Beliau mengingatkan jika mereka tidak waspada dan berhati-hati dalam semua tindakan, suasana tenang boleh bertukar menjadi keruh dalam sekelip mata.

"Maka, para pemimpin UMNO dan BN perlu sentiasa awas diri dan peka terhadap tentangan dan tuntutan rakyat, baik sekecil mana sekali pun, walaupun kita sedar tidak mungkin semua masalah dapat diselesaikan semahu-mahunya," katanya.

Daim juga berkata setiap wakil rakyat dan pemimpin BN harus bekerja keras untuk "menghidupkan" Umno dan BN dan bukannya "mencari hidup" daripadanya.

"Oleh itu setiap wakil rakyat, setiap pemimpin BN, baik yang kecil atau yang besar, harus sentiasa "turun padang", jangan tunggu "padang" datang kepada kita," katanya dalam wawancara panjang yang turut menyentuh pelbagai isu politik semasa tanah air.

Menurutnya menerusi acara turun padang, mereka boleh mendapat maklum balas yang betul untuk menyelesaikan masalah rakyat dan ini boleh mengukuhkan lagi UMNO.

Beliau memberikan contoh bagaimana Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam yang sentiasa turun padang sama ada di majlis kenduri perkahwinan, kematian, kebakaran dan kemalangan.

"Kalau tak dapat hadir, (dia) hantar wakil lepas itu beliau hantar SMS. Beliau mesra dengan rakyat," katanya.

Daim, yang kini berusia 73 tahun, berkata bahawa jentera Umno dan BN juga harus digilap, diperbaiki dan dimodenkan seiring dngan perubahan sosial, teknologi maklumat dan ekonomi yang sentiasa berubah.

Beliau merujuk kepada cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendekatkan diri dengan rakyat menerusi blog dan twitter untuk "berbual" secara spontan dengan mereka terutama golongan muda.

"Kita harus ingat bahawa golongan muda kita sekarang jauh lebih berpelajaran, lebih jauh kepergiannya dan jauh lebih luas rangkaiannya jika dibandingkan dengan golongan muda selepas Merdeka," katanya.

"Mimpi mereka, harapan mereka, aspirasi mereka tentu berbeza daripada yang dialami oleh ibu bapa mereka," katanya.

Daim berkata UMNO dan BN harus memahami semua perkara itu dengan jelas supaya dapat melaksanakan program-program yang berterusan yang boleh dihayati oleh golongan ini.

"Jika golongan ini berjaya diasuh untuk memahami, menghormati, menghargai dan menyayangi perjuangan UMNO dan BN, maka bangsa dan negara pasti akan melihat esok yang lebih gemilang," katanya.

Dalam pada itu, Daim berkata kekuatan Najib seorang belum tentu menjamin kemenangan BN, sebaliknya calon-calon BN mestilah bersih dan diterima rakyat.

Menurutnya semua anggota BN mesti bersatu menghadapi parti lawan kerana bila UMNO kuat, BN juga kuat dan kekuatan BN itu akan membawa kemenangan.

Dalam wawancara itu, Daim juga berkata retorik dan slogan parti-parti pembangkang dalam kempen 2008 'penuh madu' kerana setelah memerintah segala janji manis mereka ternyata kosong belaka.

Namun, katanya, mood dan persepsi majoriti rakyat terhadap BN sudah lebih positif daripada 2008 dan ini terbukti melalui pilihan raya kecil yang diadakan.

Selepas pilihan raya umum 2008, BN menang lapan daripada 16 kerusi pilihan raya kecil tetapi sejak November 2010, BN menang semua lima kerusi pilihan raya kecil dengan majoriti yang lebih baik.

"Tetapi ini hanya pilihan raya kecil. Jadi jangan terlalu yakin. Salah satu sebab kekalahan 2008 ialah terlalu yakin. Rakyat masih memerlukan perubahan dan BN sepatutnya menyediakan perubahan ini," katanya.

Daim juga mempersoalkan pembangunan yang dibawa untuk rakyat oleh negeri yang diperintah oleh parti pembangkang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

"Berapa bilion ringgit modal asing baru terutama daripada negara Arab yang telah dibawa masuk oleh Penasihat Ekonomi Selangor itu (Datuk Seri Anwar Ibrahim)?

Menyentuh pandangannya mengenai perkembangan politik tanah air, Daim berkata keadaan politik secara keseluruhannya bertambah tenang dan rakyat nampaknya semakin matang dalam hal-hal politik.

"Usaha Datuk Seri Najib, sejak menjadi Perdana Menteri, untuk membina kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional adalah faktor utama yang menenangkan keadaan itu.

Saya lihat Datuk Seri Najib sangat jujur dan ikhlas berusaha untuk membantu meninggikan taraf keselesaan hidup rakyat terutama bagi golongan rendah pendapatan dan miskin," katanya.

Mengenai pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dirinya dalam buku "A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad", Daim berkata beliau tidak pernah menjangka Dr Mahathir sanggup berterus terang sebegitu.

"Saya juga sangat berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberi penjelasan yang terang dan tidak berselindung mengenai tindakan-tindakan saya yang pernah menjadi tanda tanya sewaktu saya menjadi Menteri," katanya.

Mengenai dirinya sekarang yang sudah agak lama menyepi dari arena politik negara, Daim berkata beliau sibuk seperti biasa walaupun tidak bertugas dengan kerajaan kerana masih sering bertemu para pelabur asing baik yang datang ke sini atau yang di luar negara, membantu mereka di mana perlu.

"Sejak berlaku krisis kewangan dunia saya banyak meluangkan masa di negara Teluk. Krisis kewangan itu menyebabkan mereka yang tidak menjadi mangsa mencari tempat pelaburan yang lebih stabil dan selamat seperti negara kita," katanya.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 28/3/11

PM lancar laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan


Najib Tun Razak bersama isteri, Rosmah Mansor; Muhyiddin Yassin dan isteri, serta menteri-menteri Kabinet yang lain menyanyikan lagu 1Malaysia beramai-ramai pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malayisa di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kira-kira 7,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikan serta menyokong pelancaran laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010.

Laporan tersebut yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata berjaya menarik perhatian rakyat negara ini yang teruja untuk mengetahui sejauh mana kejayaan program yang mula diperkenalkan pada 28 Januari tahun lalu.

Majlis bertemakan Malam Transformasi Bersama Rakyat: Untukmu Malaysia itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala serta menteri-menteri lain.

Pelancaran laporan tahunan itu juga diserikan lagi dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Hattan, Aizat, Daniel Lee, Reshmonu, Alyah dan ramai lagi.

GTP meliputi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam bidang pendidikan, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.

Laporan tahunan itu dilancarkan bertujuan memberi maklumat serta informasi kepada rakyat mengenai perkembangan dan pencapaian enam NKRA itu.

Selain itu, laporan tersebut juga turut menerangkan perancangan kerajaan dalam enam bidang utama itu pada masa hadapan serta usaha membawa negara merealisasikan hasrat mencapai status negara maju menjelang 2020.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11