29 Julai 2011

Ramadan dan tazkirah politik

RAMADAN kali ini dijangka disambut pada 1 Ogos. Pada tarikh itu seluruh umat Islam akan mula menjalani ibadat puasa dan ketika itu masjid, surau dan madrasah menjadi tumpuan untuk menggandakan ibadat termasuk mengerjakan solat jemaah sunat tarawih.

Ketika masjid menjadi tumpuan, ada pihak turut menggunakan peluang itu mengadakan tazkirah politik dengan mengambil beberapa potong ayat al-Quran bagi menyelitkan mesej bersesuaian dengan kehendak mereka. Suasana ibadat diselangselikan dengan kupasan politik, termasuk mengasak minda jemaah dengan pelbagai sedutan sinis sehingga mengelirukan umum.

Seharusnya bulan penuh keberkatan ini, tidak diadunkan dengan kepentingan politik. Seharusnya, bulan yang digandakan dengan kelebihan pahala beribadat tidak dikotori dengan pengembangan ideologi dan kepentingan peribadi pemimpin meskipun atas alasan bertemu kariah.

Puasa sepanjang Ramadan sebagai latihan mempersiapkan diri untuk memahami bahawa pembersihan jiwa dan rohani adalah hakikat kehidupan. Pembersihan ini akan membangunkan rasa kasih sayang, kesabaran, murah hati, ikhlas, bercakap benar, mengawal tingkah laku dan kata-kata.

Secara dalaman, berpuasa ini dapat melatih jiwa yang tenang dan menghargai orang lain, termasuk golongan miskin. Pemaparan pelbagai bentuk kesusahan, kegetiran hidup golongan yang kurang bernasib baik mampu menggerakkan jiwa simpati orang Islam untuk meyakini diri sendiri, syukur dengan rezeki diperoleh dan menghindari sikap tamak haloba.

Sepanjang Ramadan juga gangguan dalam bentuk tarikan negatif seperti dengki khianat dan rasa riak diri dapat dikekang kerana anasir yang menggoda seakan dirantaikan aktivitinya. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada kejahatan, pembohongan dan khianat akan berlaku.

Nafsu lapar manusia akan mudah terpengaruh dengan lambakan makanan di pasar Ramadan. Ketika inilah sikap tidak boleh mengawal nafsu menyebabkan sebahagian besar umat Islam berbelanja lebih. Mereka berhabis, berhutang dan mempertontonkan lagak dengan pakaian serba baru, peralatan rumah,kuih-muih beraneka sehingga menyebabkan peniaga memasangi tarikan melariskan barangan mereka.

Dari aspek kesihatan, berpuasa merehatkan alat pengisar semulajadi dalam tubuh daripada memproses makanan sebagaimana dialaminya pada bulan lain. Dengan berpuasa selama 12 jam setiap hari, proses pencernaan berhenti seketika untuk berehat. Dengan mengamalkan ibadat puasa, organ dalam tubuh mempunyai masa menjadi lebih teratur dan berkesan untuk melakukan tindakan pencernaan.

Ramadan juga dikatakan berbentuk syahrul ibadah (bulan ibadah), nilai ibadat yang sangat tinggi. Bulan syahrul fath pula bermakna bulan kemenangan, iaitu berjaya mengekang nafsu dan -keinginan tertentu.

Sebagai bulan petunjuk, wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW telah membawa obor agama yang sukar untuk dipertikaikan. Sebagai "Syahrul Huda" (bulan petunjuk), sebagai kalam Allah, al-Quran bukan sahaja terpelihara sebagai bahan simpanan. Al-Quran menjadi petunjuk dari era kehidupan dan berinteraksi dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pada bulan Ramadan, disebabkan banyak dosa akan dihapuskan oleh Allah SWT, dosa antara manusia dengan Sang Pencipta, bulan ini turut dikenali sebagai "Syahrul Ghufran" (bulan penuh pengampunan). Pada bulan ini, dipermudahkan pintu pengampunan dan pembebasan dari api neraka.

Al-Quran diturunkan pada Ramadan juga sebagai isyarat bahawa kita dianjurkan lebih banyak membaca dan mempelajarinya dengan harapan mendapat petunjuk. Pada bulan ini orang yang berpuasa telah menyiapkan wadah hatinya yang sudah disucikan melalui puasa untuk menerima petunjuk Ilahi. Kerana itu, setiap ayat yang diturunkan mempunyai nuzulnya. Antara tujuan nuzul al-Quran ialah:

1. Membersihkan akal dan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan Tuhan.

2. Mengajarkan kemanusiaan yang adil dan beradab yakni umat manusia seharusnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas kekhalifahan.

3. Untuk menciptakan persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kehidupan dunia dan akhirat, ilmu, iman, dan rasio, kebenaran, keperibadian manusia, kesatuan kemerdekaan, sosial, politik dan ekonomi, dan kesemuanya berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.

4. Mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara melalui musyawarah.

5. Membasmi kemiskinan material dan spiritual, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup, serta pemerasaan manusia atas manusia, dalam bidang sosial, ekonomi politik dan agama.

6. Memadukan kebenaran dan keadilan dengan rahmat dan kasih sayang dengan menjadikan keadilan sosial sebagai landasan kehidupan masyarakat.

7. Memberi jalan tengah antara falsafah monopoli kapitalisme dengan falsafah kolektif komunisme, menciptakan ummatan wasathan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

8. Menekankan peranan ilmu dan teknologi, bagi menciptakan satu peradaban yang sesuai dengan jati diri manusia, dengan panduan Nur Ilahi.

Dari hakikat inilah umat Islam harus kembali menghayati al-Quran. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 bermaksud, "Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? "Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati sentiasa tertutup untuknya.

Hati yang tertutup inilah yang dinyatakan dalam al-Quran surah Al-Araf ayat 179 yang bermaksud:": Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat".

/hwa: utusan.com.my | 29/7/11

28 Julai 2011

Kempen Kibar Jalur Gemilang 2011

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menaiki ERL KLIA Transit dari Putrajaya Sentral ke KL Sentral untuk menghadiri majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2011 di Kuala Lumpur, hari ini. Kibar Jalur Gemilang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. - Foto Afendi Mohamed

BH: Jul 27, 2011 9:18 pm

Kempen Kibar Jalur Gemilang 2011

PELATIH Khidmat Negara mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran majlis Kibar Jalur Gemilang di KL Sentral hari ini. - Foto Yong Chee Choong
BH: Jul 27, 2011 9:21 pm

24 Julai 2011

Konvensyen BN Terengganu 2011

Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan merasmikan Penutupan Konvensyen BN Terengganu 2011 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Terengganu di Primula Beach Hotel pada hari Sabtu, 23 Julai 2011.

Jentera BN Sedia Hadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 - Ahmad

KUALA TERENGGANU, 23 Julai (Bernama) -- Jentera parti Barisan Nasional (BN) semua peringkat telah lama digerakkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan berkata pimpinan parti juga telah digesa supaya turun padang bertemu rakyat, mungkin membayangkan tarikh pilihan raya umum semakin hampir.

"Mungkin dah ada petanda tertentu, kita tak tahu, tapi kita bersedia untuk menghadapinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Konvensyen BN Terengganu 2011 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Terengganu di sini, hari Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan pemimpin Umno negeri, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta pimpinan parti komponen BN negeri itu.

Konvensyen dengan tema 'BN Di hatiku' berlangsung selama dua hari bermula semalam sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata konvensyen itu diharap dapat memberi impak positif kepada BN Terengganu.

Beliau berkata BN perlu menekankan konsep 'selling' dan 'marketing' ataupun jualan dan pemasaran supaya parti itu dekat di hati rakyat.

Jelasnya, pemimpin perlu secara individu turun berjumpa dengan rakyat dan mempromosi parti sebagai produk jualan mereka.

"Kita ada pesaing, pesaing kita adalah PAS, DAP, itu pesaing kita. Rakyat adalah pelanggan yang terpenting dan segalanya adalah untuk rakyat," katanya.

Katanya ia boleh dilaksanakan dengan menggunakan konsep 5P atau produk (Product) iaitu BN, Price (harga) atau kos program yang dilaksanakan, Place (tempat) atau di mana produk itu dijual seperti di kawasan peti undi yang kalah atau di kawasan atas pagar, Promotion (promosi) yang baik mengenai BN dan People (pelaksana) iaitu pemimpin dan anggota parti di bawah BN yang melaksanakannya.

Sementara itu, sebanyak 13 resolusi dirumuskan dalam konvensyen itu dan kesemua resolusi itu akan dikemukakan sebagai intipati utama yang perlu dijadikan asas untuk merangka gerakan dan gagasan ke arah pemerkasaan BN, memperkukuhkan pentadbiran kerajaan, memenangi hati rakyat dan pilihan raya umum ke-13.

/hwa: bernama.com.my | 23/7/11

Perhimpunan 9 Julai: Bersih Tak Menang, BN Tak Rugi, Tapi Rakyat Meluat

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Beberapa penganalisis politik membuat kesimpulan bahawa setelah berlalunya perhimpunan haram pada 9 Julai, penganjurnya tidak mendapat sebarang keuntungan dan kerajaan Barisan Nasional pula tidak rugi apa-apa.

Mereka berpendapat perhimpunan haram berkenaan gagal memenuhi impian penganjurnya, iaitu satu badan tidak berdaftar dikenali Bersih, untuk melemahkan kedudukan BN atau meningkatkan sokongan terhadap pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS.

Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata asas bagi kesimpulan yang dibuat itu mudah sahaja iaitu biar betapa hebatpun pakatan pembangkang memainkan isu perhimpunan haram berkenaan, pengundi Melayu di luar bandar tetap akan memberi sokongan kepada BN berikutan kejayaan parti gabungan itu membawa kemakmuran, keamanan dan keharmonian kepada negara.

"Begitu juga halnya, biar apa jua label yang diberikan, penyokong tegar Pakatan Rakyat akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, kata beliau, persoalan yang masih wujud ialah sama ada perhimpunan haram 9 Julai itu memberi kesan terhadap pendirian golongan atas pagar memandangkan penyokong Bersih lantang mendakwa mereka meraih kejayaan daripada kegiatan itu.

Sivamurugan berkata di peringkat lapangan pula, kempen politik akan berterusan dengan satu pihak cuba memberi gambaran positif tentang apa yang mereka sifatkan sebagai pencapaian perhimpunan haram itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata majoriti rakyat Malaysia terutama di ibu negara dan Lembah Klang tidak menyokong perhimpunan haram itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula mengkritik perhimpunan haram itu kerana telah mencetuskan kekacauan, manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan haram itu hanya disertai 5,000 atau 6,000 orang, walaupun pembangkang menyifatkannya sebagai suatu kejayaan dengan mendakwa ia disertai 50,000 orang.

Sivamurugan berkata BN berharap sokongan penduduk di luar Lembah Klang terhadapnya tidak terjejas berikutan demonstrasi haram itu, manakala pembangkang pula menaruh harapan agar ia mewujudkan gelombang sebelum barlangsungnya pilihan raya umum akan datang, seperti momentum yang telah mereka raih daripada perhimpunan haram Bersih 2007.

"Secara umumnya, mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan Selangor tidak begitu peduli tentang perhimpunan itu, manakala sejumlah anggota pembangkang yang menyertai perhimpunan haram itu masih tidak pasti mengenainya. Oleh itu, ada orang berkata perhimpunan haram itu akan membawa kepada perubahan selera pengundi dan ada pula yang menolaknya," kata beliau.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berpendapat sesetengah orang bersifat mudah lupa dan sekiranya pilihan raya umum diadakan beberapa bulan akan datang atau tahun depan, semuanya mungkin terhapus daripada ingatan mereka, lebih-lebih lagi sekiranya kerajaan BN mengumumkan pelbagai dasar bersifat mesra rakyat untuk meluputkan kesan daripada perhimpunan haram itu.

Pensyarah Azli Abdullah berkata walau apapun dakwaan penganjur perhimpunan haram itu, perubahan selera pengundi boleh berlaku secara dua hala lebih-lebih lagi apabila ramai pengundi dapat melihat dengan jelas dan menghargai keberkesanan kerajaan dalam menanganinya.

"Walaupun begitu teruk dicabar, pihak berkuasa tetap bertindak dalam lingkungan bidang kuasa mereka dan berjaya mencegah berlakunya kejadian tidak diingini. Hakikat bahawa polis berjaya mematahkannya menjadi berterusan, amat dihargai oleh majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya.

Azli berkata setelah sekian lama tergolong dalam kalangan berjuta-juta majoriti senyap, kini beliau berasa terpanggil untuk menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau tidak lagi mempunyai sebarang simpati terhadap pembangkang, lebih-lebih lagi kumpulan pengacau, yang dengan jelas telah menghumban sepenuhnya perasaan cintakan negara.

"Rakyat Malaysia jenis apakah mereka ini? Mereka sanggup bersekongkol dengan media asing semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia dengan memberi gambaran seolah-olah negara bertuah ini akan terjerumus ke lembah kekacauan selepas Mesir dan sebagainya," kata beliau.

Tetapi, yang pasti, pembangkang akan terus melaungkan lapan perkara yang dituntut oleh Bersih dengan harapan ia mengganggu kelancaran rancangan Najib untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pas berkata ia akan mengadakan satu lagi perhimpunan sebelum pilihan raya umum akan datang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan perubahan seperti yang dituntut, walaupun SPR telah memberi penjelasan bahawa sesetengah tuntutan itu hanya boleh dilaksanakan oleh Parlimen.

Ramai pemerhati berpendapat perhimpunan haram 9 Julai itu membawa kerugian ekonomi kepada negara dan golongan tertentu.

"Selain masa dan petrol yang dibazirkan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya, perniagaan kecil dan sederhana di Lembah Klang mengalami kerugian besar. Orang dan barangan dihalang daripada memasuki bandar raya ini, manakala berjuta-juta ringgit menjadi beku dan terhalang daripada memasuki pasaran.

"Kecergasan ekonomi bergantung kepada pengaliran dana. Wang berjuta-juta ringgit yang tersekat itu mungkin mengakibatkan kerugian sekali atau dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlahnya, terutama pada hujung minggu. Kepada siapa peniaga kecil hendak menuntut pampasan?" kata seorang penganalisis dari sebuah syarikat broker saham yang enggan dikenali.

Kerajaan pula terpaksa menanggung kos yang tinggi termasuk untuk mengerahkan anggota polis dari negeri lain ke ibu negara bagi mengawal keadaan dan memelihara ketenteraman awam.

Sekiranya kesemua 1,667 penujuk perasaan yang ditahan semasa perhimpunan haram itu dibawa ke muka pengadilan, mahkamah perlu menggunakan banyak sumber untuk mengendalikannya, dan ini melibatkan kos dan masa.

Pakatan pembangkang menganggarkan mereka membelanjakan RM150,000 untuk mengadakan perhimpunan haram itu, termasuk membayar wang ikat jamin penunjuk perasaan yang ditangkap, manakala kerajaan pula menganggarkan jumlah yang terpaksa ditanggungnya 10 kali lebih tinggi daripada itu.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah berkata ekonomi dunia telah telah menurun dan ini mungkin menyebabkan Eropah mengalami krisis ekonomi, yang akhirnya akan memberi kesan kepada negara lain di seluruh dunia.

"Berikutan keadaan ini, kerajaan yang memerintah sekarang perlu diberi peluang untuk menumpukan terhadap usaha mencergaskan semula ekonomi dan pihak-pihak yang bertelagah perlu mengetepikan perbalahan politik sesama mereka demi kebaikan negara. Masa yang ada sepatutnya digunakan untuk memajukan negara," kata Pheng.

Memang tepat kata-kata beliau itu kerana biar betapa lantang atau berapa kerap sesuatu pihak itu memenuhi jalan raya untuk mengadakan tunjuk perasaan, dalam sistem demokrasi, setiap pemilih hanya mempunyai satu undi.

/hwa: bernama.com.my | 22/7/11

11 Julai 2011

Peniaga terharu terima lawatan Perdana Menteri


Najib Tun Razak mengadakan lawatan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam sehari selepas berlangsungnya perhimpunan haram Bersih.

KUALA LUMPUR 10 Julai - Beberapa peniaga di sekitar Jalan Masjid India di sini berasa terharu dan lega dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke kawasan perniagaan itu hari ini.

Bagi mereka, tinjauan mesra Najib membuktikan keprihatinan beliau terhadap golongan itu terutama para peniaga kecil yang terpaksa menutup operasi selama sehari ekoran perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara semalam.

Pemborong tudung, Hinchon Abdullah, 45, berkata, kehadiran Perdana Menteri di premis perniagaannya walaupun hanya beberapa minit memberi semangat kepadanya untuk meneruskan perniagaan.

"Biasanya pada hari Sabtu saya boleh menjual sehingga RM30,000 kerana para peniaga tudung di sekitar Lembah Klang mengambil stok masing-masing pada hari berkenaan.

"Jadi sewaktu Perdana Menteri lalu di hadapan kedai saya tadi, saya mengambil kesempatan untuk mengadu kepada beliau. Datuk Najib kata 'nanti saya marah Bersih," katanya.

Penjual beg, Asrul Zulkifli, 26, berkata, kesempatan bertemu Najib yang singgah di kedainya di Bazar Moden Jalan Melayu Masjid India membuktikan beliau amat mengambil berat masalah rakyat termasuk peniaga.

"Akibat penutupan kedai saya semalam, saya rugi kira-kira RM2,000 kerana ramai pembeli berkunjung ke sini pada malam minggu ekoran pasar malam berdekatan.

"Selain memberi semangat akibat kerugian itu, Perdana Menteri turut berjanji untuk menambah baik kawasan perniagaan ini kerana ini sahajalah bazar Melayu moden yang tinggal di sini," katanya.

Pengurus Madras Jewellers Sdn. Bhd., M. Vasudevan, 34, memberitahu, syarikat itu mengalami kerugian kira-kira RM100,000 akibat premis terpaksa ditutup selama satu hari semalam.

"Perdana Menteri mengambil inisiatif untuk bertanyakan khabar saya serta para pekerja lain yang terkesan akibat penutupan kedai emas ini semalam.

"Saya berasa gembira serta terharu dan saya turut bertanyakan khabar Datuk Seri Najib dalam pertemuan itu," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 11/7/11

Anwar petualang negara


Najib Tun Razak mengangkat tangan selepas memberi ucapan pada majlis Penerangan Perdana di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Antara yang hadir pada majlis itu termasuklah wakil-wakil daripada UMNO, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan GLC.

KUALA LUMPUR 10 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah petualang negara serta dalang sebenar terhadap segala kekecohan yang berlaku termasuk pada perhimpunan haram semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, perangai 'hodoh' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang.

Menurut beliau, orang seperti Anwar tidak akan puas dan sanggup melakukan apa sahaja selagi nafsu dan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak tercapai.

"Beliau (Anwar) pelakon terbaik, ini perangai dulu dan sampai sekarang tidak pernah berubah. Dalam perhimpunan di Baling, saya kata kepada rakan-rakan sejak dari zaman ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein lagi, dia dah tipu dah.

"Pada 1974, ramai mati kebuluran dan Anwar buat demonstrasi di Kuala Lumpur, zaman Tun Hussien Onn pun buat juga, zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad buat juga, lepas itu berehat sementara, negara aman dan selepas keluar buat pula perhimpunan Bersih 1.0 pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini buat lagi dengan penganjuran Bersih 2.0.

"Bagi Anwar dialah manusia sebaik-baiknya, anugerah Tuhan... inilah jenis manusia yang sebenarnya kita berdepan dengan masalah yang berlaku semalam (Bersih 2.0). Hendak sangat jadi Perdana Menteri hingga sanggup korbankan apa saja termasuk mengetepikan prinsip, soal bangsa dan agama asalkan nafsunya tercapai," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penerangan Perdana bersama Perdana Menteri anjuran Ketua Penerangan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, macam-macam cerita mengenai Anwar tetapi sehingga kini banyak yang tidak dijawab oleh Penasihat PKR itu termasuk yang terbaru mengenai jam tangan Omega.

"Dalam isu video seks, Anwar kerap menyatakan itu bukan beliau walaupun dua pakar forensik video Amerika Syarikat (AS) mengesahkan 99.9 peratus pelaku dalam video itu miripnya.

"Dulu, Anwar cerita dia kena racun arsenik, tidak cukup dengan itu, suntikan HIV pula. Bagi dia, kita (kerajaan) ini dari zaman dulu sampai sekarang, semuanya buruk dan dialah manusia yang sebaik-baiknya," katanya.

Najib berkata, dulu, Anwar pernah mengatakan Pas bodoh serta menghentam Penasihat DAP, Lim Kit Siang semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO, tetapi sekarang mereka kawan baik yang dipeluknya.

"Kini, dia (Anwar) lihat Barisan Nasional (BN) sudah begitu baik, banyak pilihan raya kecil kita menang, di Hulu Selangor, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Di Sarawak pun kita menang.

"Jadi, dia melihat semua itu, dengan pendekatan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan gagasan 1Malaysia yang semakin diterima rakyat, dia bimbang sekiranya tidak lakukan sesuatu BN akan menang pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau berkata, cara terbaik untuk menghadapi ancaman daripada orang seperti Anwar adalah dengan menggunakan kekuatan akal fikiran.

/hwa: utusan.com.my | 11/7/11

Penerangan Perdana

10 JULAI 2011: PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat tangan selepas beliau memberi ucapan pada majlis Penerangan Perdana di PWTC, Kuala Lumpur. Turut hadir wakil-wakil daripada UMNO, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan GLC. Utusan/ASWAD YAHYA

9 Julai 2011

Lembah Klang My Rapid Transit (MRT)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) melihat paparan digital menunjukkan Lembah Klang My Rapid Transit (MRT) pada majlis pelancaran projek itu di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Effendy Rashid | BH - Jul 8, 2011 3:39 pm

6 Julai 2011

Bersih Agenda Pihak Luar Untuk Hancurkan Kerajaan – Prof Shamsul Amri


KUALA LUMPUR, 5 Julai – Penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin melihat tindakan pihak tertentu yang menggunakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah sesuatu yang mempunyai agenda lain di sebaliknya dan bukanlah untuk niat yang jujur dan telus demi pilihan raya.

Katanya, kumpulan terbabit didalangi oleh pihak tertentu yang didominasi oleh golongan pembangkang biarpun mereka kononnya mahu melaksanakan atas tuntutan NGO tetapi ia telah didoktrin dari anasir-anasir luar untuk melihat huru-hara dalam negara.

“Salah satu kejayaan yang dicapai oleh pihak terbabit dalam usaha untuk mewujudkan huru-hara dan kekacauan adalah sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah, Tunisia, Mesir dan Libya dan penularan demonstrasi ini dirancang oleh pihak yang bertanggungjawab dari luar sementara yang menggerakkannya telah dipergunakan,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Kata beliau, ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengambil alih pentadbiran maka beliau telah menegaskan bahawa di bawah kepimpinannya tidak mahu menyerang negara-negara lain sebaliknya menggalakkan cara demokrasi digunakan yang merangkumi jaringan sosial dalam pengaplikasiannya.

“Negara barat menumpukan perhatian terhadap ahli-ahli Parlimen dan belia yang bermasalah di seluruh dunia termasuklah di Malaysia juga dan mereka ini telah diberikan layanan termasuk diundang sama ada ke kedutaan atau berkunjung ke negara mereka untuk dilatih dan ditanamkan fahaman-fahaman yang boleh memporak-perandakan negara.

“Saya berkata demikian kerana mempunyai bukti dan sememangnya ada terdapat di kalangan pemimpin terbabit yang berbuat demikian,” katanya yang enggan mendedahkan nama pihak terbabit.

Ujarnya lagi, kelompok terbabit telah diberi pendedahan bagaimana untuk mengorganisasikan ‘civil society’ yang sebagaimana telah terbukti dalam masyarakat di negara ini.

“Pihak terbabit yang dianggotai oleh pembangkang telah menggunakan kesempatan atas alasan Bersih sedangkan ini sebenarnya adalah lanjutan dari gerakan yang diatur oleh pihak luar untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Inilah sikap pembangkang yang tidak fikir secara rasional sebaliknya hanya mencari kesalahan orang lain kerana apa yang penting bagi mereka adalah ‘perut sendiri’.”

Terang beliau lagi, istilah Bersih yang diwujudkan oleh golongan terbabit adalah tidak tepat kerana mereka mengandaikan bahawa kerajaan kotor sedangkan kekotoran ada di mana-mana.

“Mereka menamakan Bersih seolah-olah mereka adalah itu ‘bersih’ sedangkan apa yang mahu mereka perjuangkan juga adalah tidak bersih. Banyak kekotoran yang dilakukan oleh golongan pembangkang sama ada Ketua pembangkangnya bersama PKR, Pas dan Dap,” tambahnya.

hwa: umno-online.com | MediaUMNO - 6/7/11

Titah Khas Yang Di-Pertuan Agong Satu Peringatan Terakhir

KAJANG, 4 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung perhimpunan haram pada 9 Julai ini merupakan peringatan terakhir kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan titah Tuanku Mizan jelas menunjukkan betapa seriusnya perkara itu kerana ia boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian serta imej negara di peringkat antarabangsa.

Jelas beliau lagi perkembangan dan agenda perhimpunan itu, yang tidak sihat sehingga menjadi bahan berita antarabangsa, tidak menyenangkan Yang di-Pertuan Agong sehingga Seri Paduka terpaksa mengeluarkan titah khas bagi menyedarkan rakyat.

“Ini menunjukkan bahawa perkara ini serius. Saya berharap agar rakyat dapat melihatnya secara serius kerana tak mungkin Tuanku bertitah begitu rupa, (begitu juga) Raja-Raja kita yang lain selain ingatan-ingatan daripada pihak berkuasa,” katanya selepas merasmikan bangunan ibu pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan melancarkan Skuad 1Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah menyeru rakyat negara ini tidak terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankan semua pihak.

Seri Paduka bertitah bahawa sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun perlu menyelesaikan permasalahan yang timbul secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Hishammuddin berkata titah khas Tuanku Mizan itu tepat pada masanya ketika pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan sendiri terus memujuk dan menghasut orang ramai agar menyertai perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan itu.

Sultan dan Raja-Raja Melayu juga diberi taklimat berhubung kait dengan aktivi gabungan NGO itu yang cuba memporak-perandakan kestabilan negara ,katanya.

Hishammuddin berkata polis sedia menghadapi anasir subversif dengan kaedah tersendiri termasuk menahan mereka yang terlibat di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada perkara lebih seriusberlaku.

/hwa: umno-online.c0m | 6/7/11