31 Oktober 2011

Mencendung

30 OKT. 2011: Pelajar antarabangsa (dari kiri), Simon Uuoletz (Jerman), Sharon Ferrari (Itali), Kozue Toyama (Jepun), Kathi Goetc (Jerman) dan Alice Paccamiccio (Itali) turun ke sawah untuk menanam padi secara tradisional pada Program Jom Turun Ke Bendang anjuran AFS Perlis Chapter di Kampung Sungai Bakong, Kangar. - utusan/FAIZAL ABU HASSAN

Pas tidak bersedia laksana hudud

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 30 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah bersedia atau membuat perancangan yang teliti untuk melaksanakan hudud di negeri ini biarpun enakmen mengenainya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir 20 tahun dahulu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu hudud ditimbulkan semula oleh Pas kerana pilihan raya umum semakin hampir bagi menarik sokongan rakyat.

Beliau berkata, perancangan yang teliti termasuk penubuhan jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan sepatutnya dibuat lebih awal sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu melaksanakannya.

"Untuk laksanakan hudud bukan perkara kecil, amat penting perlu ada perancangan dan kerja yang teratur, bukan hanya bercakap sejak 20 tahun lalu tanpa sebarang tindakan.

"Hari ini baru hendak tubuh jawatankuasa teknikal hudud kerana pilihan raya semakin hampir, jika Pas benar ikhlas, persedian untuk laksanakan hudud dibuat sejak bertahun-tahun dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 278 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Utusan Malaysia pada 24 Oktober lalu melaporkan kerajaan Pas Kelantan mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Jawatankuasa itu dianggotai 19 ahli daripada kalangan profesional termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah selaku Timbalan Pengerusi 1 dan sekiranya perlu keahlian mungkin ditambah.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Pas Kelantan perlu memastikan keadaan di negeri ini benar-benar kondusif sebelum hudud dilaksanakan.

"Perlu ada keadilan dalam perkara ini, fakir miskin dibantu, pentadbir yang bersih, masih banyak perkara perlu dipenuhi terlebih dahulu," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 31/10/11

27 Oktober 2011

Wakaf Korporat tranformasi ekonomi umat Islam Malaysia

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

Kumpulan pemikir Yayasan Iqra diterajui oleh Idris Jusoh (duduk, kiri) yang akan mewujudkan Wakaf Korporat.

IDEA penubuhan Wakaf Korporat yang dicetuskan oleh Yayasan Iqra sewajarnya dipuji dan diberi sokongan padu. Masakan tidak, ketika masih banyak pihak yang terus meluahkan kebimbangan mengenai kedudukan dan masa depan Bumiputera dalam ekonomi, Yayasan Iqra muncul dengan Wakaf Korporat.

Meskipun, usaha penubuhannya masih lagi 'hijau' namun kesungguhan dan kegigihan kumpulan 'think tank' Melayu yang diketuai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Iqra, Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Muhammad Ali Hashim dalam merangka pelaksanaan Wakaf Korporat memang begitu luar biasa.

Ia kerana, dengan keanggotaan kecil itu, kumpulan cerdik pandai Melayu itu mampu menggabungkan pemikiran bagi menstruktur platform Wakaf Korporat sebagai transformasi agenda umat Islam Malaysia dalam bidang ekonomi pada masa depan.

Pasti ramai yang tidak dapat mengagak apakah yang bakal dilaksanakan oleh Yaysan Iqra melalui Wakaf Korporat? Jawapannya mudah - Wakaf Korporat akan dijadikan sebagai instrumen modal teroka dan pelaburan baharu bagi memperkasakan ekonomi Islam.

Ia selaras dengan tujuan penubuhannya - untuk meningkatkan maruah umat Islam di negara ini melalui kekayaan dan pendidikan dengan tujuan memberikan kesejahteraan kepada mereka.

Biarpun masih dalam cadangan tetapi Wakaf Korporat akan berfungsi sebagai entiti yang mendapatkan dana melalui aktiviti dan instrumen Islam lain pada dasarnya untuk diwakafkan kepada umat Islam.

Dengan dana yang diraih itu, ia akan digunakan untuk pelaburan strategik sebanyak 70 peratus berdasarkan patuh Syariah.

Manakala peruntukan 30 peratus lagi akan digunakan bagi program-program transformasi Muslim, modal insan dan pembangunan sosial.

Idris berkata, beliau yakin dan percaya sekiranya Wakaf Korporat tersebut berjaya direalisasikan, kepentingan, masa depan, kestabilan, jaminan dan kelangsungan Bumiputera dan umat Islam dalam ekonomi akan lebih terjamin.

Malah, katanya, dengan Wakaf Korporat, banyak kemudahan dan kebajikan umat Islam akan dilaksanakan seperti di Turki, tanpa menunggu bantuan kerajaan semata-mata.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, Turki adalah contoh terbaik dalam pengurusan wakaf kerana daripada 44 universitinya, 39 adalah universiti wakaf.

Malah, Profesor Dr. Murad Cizakca, Profesor Perbandingan Sejarah Ekonomi di Universiti Kewangan Islam Global (Inceif) berkata, beliau pernah ditawarkan pendapatan tiga kali lebih tinggi di salah sebuah universiti di Turki daripada yang diperoleh dari universiti lain.

Ditanya mengapa baharu sekarang tercetusnya idea untuk menubuhkan Wakaf Korporat itu, Idris berkata: ''Ia untuk survival umat Islam dan Bumiputera''.

Katanya, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia cukup kaya dan suka mewakafkan harta benda mereka.

Setakat ini, di Malaysia terdapat sejumlah 89,000 ekar (35,600 hektar) tanah-tanah wakaf tetapi sayangnya aset-aset ini tidak diguna atau diuruskan secara baik.

''Macam tanah wakaf, kita hanya nampak ia sesuai untuk kegunaan membina surau, masjid atau tanah perkuburan sahaja.

''Sebab itu, banyak tanah-tanah wakaf terbiar...yang menjadi belukar pun ada. Sedangkan aset-aset ini sekiranya diuruskan dengan baik mampu dimanfaatkan oleh kumpulan umat Islam yang lebih besar,'' ujarnya.

Idris berkata, selepas setahun sudah asas penubuhan Wakaf Korporat ini dibincangkan, kini sudah tiba masanya ia mendapatkan persetujuan daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Jelasnya, persetujuan itu penting kerana Yayasan Iqra mahu menggunakan perkataan 'wakaf' dan ia berada di bawah bidang Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan memerlukan kelulusan sultan-sultan.

Menurut Idris, Yayasan Iqra kini hanya menunggu kelulusan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sahaja kerana semuanya sudah bersedia.

Malah, katanya, sudah ada penderma-penderma yang bersedia untuk 'menabung' dalam Wakaf Korporat.

Mengambil kata Prof. Dr. Murat, perkara baik tidak seharusnya dilengah-lengahkan kerana hanya membuang masa sahaja - yang ruginya adalah umat Islam sendiri.

/hwa: utusan.com.my | 27/10/11

26 Oktober 2011

Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC

26 OKT. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel mencuba membuat gubahan kollam ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di Batu Caves, Kuala Lumpur. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN

Perjalanan ‘maut’, guru curah bakti


Rombongan kakitangan Kementerian Pelajaran dan wartawan terpaksa menaiki rakit buluh bertali semasa mengharungi sungai berarus deras untuk ke SK Buayan dan SK Terian di pedalaman Penampang, baru-baru ini. – UTUSAN/Ghazali Basri

DAERAH Penampang terletak bersebelahan dengan bandar raya Kota Kinabalu. Namun, siapa sangka daerah itu masih mempunyai sekolah pedalaman yang begitu terpencil iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan dan SK Terian.

Untuk ke sekolah-sekolah tersebut cuma terdapat dua pilihan sahaja iaitu melalui jalan balak dan berjalan kaki yang mengambil masa sehingga enam jam.

SK Buayan dan SK Terian yang terletak di Banjaran Crocker, masing-masing hanya mempunyai 43 dan 33 orang murid sahaja. Bagaimanapun, dasar pendidikan negara adalah amat jelas iaitu tanpa sebarang kompromi, akan tetap memastikan semua lapisan rakyat meskipun jauh di pedalaman diberikan pendidikan terbaik.

Baru-baru ini, petugas media Sabah berpeluang bersama-sama dengan Timbalan Menteri Pelajaran, DR. MOHD. PUAD ZARKASHI berpeluang melalui pengalaman perit menggunakan dua jalan itu untuk ke sekolah berkenaan.

PENAMPANG 25 Okt. – Pertama kali mendengar mengenai lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke dua buah sekolah di Penampang, penulis merasakan ia pasti biasa dan kurang mencabar.

Ini kerana pada firasat penulis, sekolah yang akan dilawat tidaklah terlalu jauh dan mencabar kerana terletak di Daerah Penampang, bersebelahan dengan Kota Kinabalu.

Namun segala-galanya berubah apabila kami memulakan perjalanan pada pukul 1 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk Kampung Sugud yang bermula dengan merentas sungai dan melalui jalan balak.

Malah tidak sampai 10 minit perjalanan, dua daripada lima pacuan empat roda yang disewa berkenaan mengalami kerosakan.

Kerosakan awal yang tidak dijangka itu menyebabkan kira-kira 30 peserta lawatan terpaksa berhimpit-himpit termasuk duduk mencangkung di belakang pacuan empat roda lain bersama beg dan barangan keperluan.

Keadaan ini membuatkan para petugas media berasa agak gusar kerana terpaksa melalui jalan berbukit, licin dan berisiko, menaiki kenderaan yang terlebih muatan pula.

Degupan jantung semakin kencang apabila seorang pegawai kementerian memaklumkan bahawa tiada kenderaan sokongan kerana hanya pacuan empat roda penduduk kampung sahaja yang ‘berani’ melalui jalan balak berkenaan.

Sepanjang melalui jalan balak menerusi cerun bukit selama dua jam itu, ia amat mencabar seumpama ‘perjalanan maut’ yang boleh mengundang risiko hanya pada bila-bila masa.

Kegagalan kereta pacuan empat roda dinaiki penulis mendaki bukit dan hampir-hampir terbalik sebelum terbabas ke tebing, tambah merunsingkan kami.

Pada masa itu, hanya kepada tuhan kami bertawakal dan berdoa agar tiada sebarang kesilapan pemanduan yang boleh mengundang tragedi yang tidak diingini.

Namun, perjalanan dua jam yang membuatkan semua anggota badan peserta mula terasa sakit berakhir pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila kami tiba di tebing sebatang sungai yang berarus deras.

Bagaimanapun, perjalanan kami masih belum sampai ke destinasinya. Sebaliknya ia merupakan permulaan ujian berjalan kaki pula.

Semua peserta terpaksa berjalan kaki melalui denai di tebing bukit, mendaki dan menuruni bukit selain melintasi beberapa batang sungai dengan rakit dan juga melalui jambatan gantung uzur.

Berjalan kaki pada masa itu membuatkan semua peserta terpisah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada stamina masing-masing.

Pada masa itu, kumpulan Mohd. Puad mendahului peserta lain manakala kumpulan penulis yang disertai oleh jurugambar Berita Harian, jurugambar Jabatan Penerangan, wartawan New Straits Times dan beberapa wakil kementerian berada di belakang sekali kerana ‘tidak cukup stamina’.

Semasa perjalanan, penulis menyedari laluan kami pada masa itu amat berbahaya kerana melalui cerun bukit yang licin - sedikit sahaja kesilapan boleh menyebabkan terjatuh ke bawah yang pastinya boleh menukar perjalanan kepada tragedi.

Sepanjang perjalanan menyaksikan ada antara kami yang tergelincir, malah seorang peserta kehilangan tapak kasut dan terpaksa berjalan tanpa tapak kasut.

Perjalanan kali ini juga begitu meletihkan sehingga menyebabkan ada di antara kami yang mengalami kekejangan.

Namun, setelah tiga jam berjalan kaki termasuk dalam kegelapan hutan, rombongan akhirnya sampai ke destinasi iaitu SK Buayan pada pukul 7.30 malam.

Selain gembira dengan kejayaan itu, fikiran penulis pada masa itu terbayangkan bagaimana kesusahan dialami guru-guru yang juga terpaksa melalui laluan sama. Selain itu mereka juga berisiko bertembung dengan haiwan liar dan berbisa.

Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu pada sebelah malamnya, Mohd. Puad berkata, biarpun terpaksa melalui laluan berbahaya dan meletihkan, ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus melawat kawasan pedalaman.

Katanya, dengan cara itulah beliau akan dapat menghayati dan melihat sendiri keadaan sekolah di kawasan pedalaman seterusnya berusaha memajukan tahap pendidikan di kawasan terbabit.

“Jadi apabila mengetahui pelajar yang duduk jauh di sini terpaksa ambil periksa di SK Tampasak Tegudon, timbul tanggungjawab bagi saya untuk membela anak-anak tuan-puan.

“Malah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan sentiasa memberi perhatian besar kepada pendidikan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tegas Mohd. Puad, perjalanan yang mencabar dan berisiko itu tidak pernah mematahkan semangat warga kementerian untuk terus melakukan lawatan bagi meningkatkan prasarana luar bandar.

Katanya, pada masa akan datang, pihaknya merancang melawat lebih banyak sekolah pedalaman di seluruh negeri.

/hwa: utusan.com.my | 26/10/11

25 Oktober 2011

Apabila makanan pun dipolitikkan...

Oleh ZULKIFLI JALIL

PAKEJ harga sarapan pagi dan makan tengah hari yang terkandung dalam Menu Rakyat 1Malaysia mudah sahaja.

Dengan harga RM4 untuk makan tengah hari, anda akan mendapat nasi berlaukkan seketul ayam serta sayur dan air kordial. Tetapi kalau anda ingin merasai lauk lain seperti udang, sotong atau ketam, anda kenalah membayar lebih.

"Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) mungkin makan (lauk) lebih, sengaja hendak mengena (program ini). Sebab itu saya tegaskan di sini bahawa asas makanannya seperti yang saya sebutkan tadi.

"Setakat ini sambutan daripada para pengusaha restoran dalam menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia ini begitu amat menggalakkan, yang tarik diri cuma sekelumit sahaja," kata Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Nasir Noryakin kepada Utusan Malaysia di Putrajaya semalam.

Mohd. Nasir sekadar tertawa kecil menerusi corong telefon ketika ditanya penulis tentang kritikan yang dilemparkan oleh Tian Chua yang mendakwa hidangan yang dimakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengunjungi Restoran Ukhwah di Kuala Lumpur baru-baru ini lebih mahal berbanding yang dilaporkan media.

Ini kata Naib Presiden PKR itu selepas tinjauannya di restoran yang menyediakan menu berkenaan di Taman Kok Doh, Segambut dekat ibu negara.

Dakwa Tian Chua, harga sebenar makanan tengah hari tersebut hampir sekali ganda iaitu RM6 berbanding RM4 dalam pakej menu Rakyat 1Malaysia. Menu sarapan yang berharga RM2 pula dakwanya, hanya dikurangkan kandungannya berbanding apa yang dipromosikan.

Atas motif 'hendak mengena', hasrat Perdana Menteri mengambil beberapa jenis makanan semasa di Restoran Rakyat 1Malaysia (Restoran Ukhwah) itu pun sanggup dijaja Tian Chua sebagai isu. Padahal Najib mahu menguji kualiti menu untuk memastikan lauk yang disediakan kepada rakyat setimpal dengan harga yang dibayar.

Hakikat sebenarnya sejak program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai sehingga semalam, kira-kira 1,004 pengusaha premis makanan telah menyertainya. Sambutan memang cukup hangat. Jika enam premis menarik diri daripada program kerana tidak tahan tekanan (gagal memenuhi harga yang disyaratkan), 10 yang lain pula mohon menyertai program. Dan jika 611 buah premis makanan sahaja tersenarai pada 7 Julai lalu, kini angka premis yang memasuki program bertambah dari minggu ke minggu.

"Menerusi pemerhatian pejabat kementerian peringkat negeri, hampir semua negeri melaporkan peserta program memberikan reaksi yang positif terhadap usaha untuk mengurangkan beban rakyat.

"Pelanggan yang datang semakin bertambah dan telah meningkatkan lagi pendapatan perniagaan mereka.

"Rata-rata pelanggan mahu program Menu Rakyat 1Malaysia ini diteruskan kerana ia banyak membantu dalam mengurangkan kos perbelanjaan harian terutamanya golongan berpendapatan rendah," kata Mohd. Nasir lagi.

Menu Rakyat 1Malaysia merupakan satu program kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang sebahagian besarnya terpaksa menjamu selera di restoran berikutan kekangan masa atau tuntutan kerjaya.

Melalui pakej Menu Rakyat 1Malaysia, orang ramai hanya perlu membayar maksimum RM2 untuk bersarapan dan RM4 untuk makanan tengah hari.

Bagi Sabah dan Sarawak, harga maksimum dikenakan RM2.50 dan RM5 masing-masing untuk bersarapan dan makan tengah hari.

Mohd. Nasir berkata, KPDNKK menyasarkan kira-kira 1,000 buah premis perniagaan menyediakan Menu Rakyat 1Malaysia menjelang akhir tahun ini dan 3,000 buah premis pada 2012.

"Kita lihat rakyat negara ini jarang balik ke rumah untuk makan tengah hari dan pada waktu bekerja. Malah, hendak makan pagi juga tidak sempat. Oleh itu, dengan hanya RM6 sehari (RM2 + RM4), mereka boleh menikmati sarapan dan makan tengah hari di restoran-restoran yang mengambil bahagian dalam program ini.

"Ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutama dalam suasana kenaikan harga barangan global ketika ini.

Menurutnya, setakat ini pihak kementerian telah mengadakan perbincangan dengan beberapa universiti bagi membolehkan pelajar menikmati menu sarapan dan makan tengah hari pada harga berpatutan.

"Buat masa ini, kita sedang berunding dengan pihak Universiti Malaya dan mereka positif tentang program ini manakala di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah pun membuka outlet program Menu Rakyat 1Malaysia ini.

"Dalam memperluaskan lagi jaringan, kementerian turut berbincang perkara ini dengan restoran dan kafetaria di sekitar Putrajaya," kata beliau.

Yang pasti, kerajaan memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperluaskan lagi inisiatif berfokuskan rakyat yang antaranya melibatkan program Menu Rakyat 1Malaysia.

Malah, Perdana Menteri menyentuh perkara ini dalam pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu dengan menegaskan, peningkatan kos hidup tidak hanya dialami oleh rakyat negara ini memandangkan ia merupakan fenomena global yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah dunia terutama pada 2007 dan 2008.

Keadaan itu, kata Najib, diburukkan lagi dengan perubahan iklim dunia yang tidak menentu menyebabkan berlakunya banjir dan kemarau termasuk di negara-negara pengeluar makanan utama dunia.

Program Menu Rakyat 1Malaysia tidak banyak beza dengan Restoran Rakyat yang diperkenalkan pentadbiran bapa Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak ketika kemelesetan ekonomi sekitar 1970-an.

Buat Tian Chua, sudah-sudahlah. Carilah isu lain yang lebih bermanfaatkan untuk rakyat.

/hwa: utusan.com.my | 25/10/11

24 Oktober 2011

Kenyataan mengenai anak Guan Eng diputar belit – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataannya berhubung isu anak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Sabtu lepas, telah diputar belit oleh beberapa media alternatif.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mengheret hal-hal berkaitan keluarga dan anak Guan Eng ke dalam kancah politik, tetapi sebaliknya hanya memberikan saranan supaya pihak berkenaan membuat laporan polis bagi menamatkan segala tomahan berhubung isu itu.

"Sebenarnya saya tidak hendak campur dalam urusan seperti itu dan saya sedar banyak penulisan di dalam blog. Untuk heret isu keluarga dan anak dalam kancah politik itu bukan tujuan saya.

"Tetapi ia sudah diputar-belitkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 berkaitan Kementerian Pelajaran pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang bertanya sama ada Timbalan Perdana Menteri bersedia menarik balik kenyataannya berhubung isu melibatkan anak Guan Eng itu.

Sabtu lepas, Muhyiddin telah menyarankan Guan Eng supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa pihak terhadap anaknya itu bagi membersihkan nama anaknya memandangkan penafian tidak mencukupi.

Muhyiddin berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan Guan Eng yang menyalahkan penulis blog pro-UMNO yang mendakwa anak lelakinya itu mencabul kehormatan seorang rakan pelajar wanita berusia 16 tahun dan cuba melepaskan diri dari hukuman.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri tidak menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak sekolah berkenaan sebelum ini kerana beliau tidak bertanya kepada sekolah itu mengenai insiden tersebut.

"Saya tahu dalam semua media alternatif banyak (kenyataan) ditokok tambah sehingga dikaitkan dengan hal lain yang tidak ada kena mengena.

“Saya tidak kata dia (anak Guan Eng) bersalah. Saya tidak ada masalah tetapi masyarakat membuat penilaian lain.

"Kalau tidak ada, apa yang YB Ipoh Timur (Lim Kit Siang) bimbangkan,” katanya. – Bernama.

/hwa: utusan.com.my | 24/10/11

Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri

23 OKT. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar disambut oleh pesara polis dan bekas polis ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri Dengan Pesara dan Bekas Polis di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN

Kerajaan ambil berat 10 deklarasi

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kerajaan mengambil berat 10 deklarasi yang dikemukakan oleh Himpunan Sejuta Umat (Himpun) khususnya mengenai gesaan supaya Akta Murtad diwujudkan dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun perkara berkait hal ehwal Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri tetapi kerajaan Pusat juga mengambil maklum mengenai gesaan berkenaan.

“Apa-apa akta yang berkait hal ehwal agama ia terletak di bawah kerajaan negeri dan saya percaya pihak kerajaan negeri akan beri pertimbangan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Himpun yang dianjur khusus bagi mempertahan akidah umat Islam daripada aktiviti murtad di Stadium Shah Alam menuntut, 10 perkara untuk dilaksanakan antaranya mempercepatkan kewujudan Akta Murtad.

Dalam pada itu, Najib mengucapkan tahniah kepada Himpun kerana berjaya mengadakan perhimpunan tersebut dalam keadaan aman dan terkawal, bukan seperti demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Katanya, itulah hasrat kerajaan ketika menawarkan stadium kepada penganjur Bersih 2.0 tiga bulan lalu, tetapi pihak terbabit menolak mentah-mentah kerana golongan itu lebih mementingkan laba politik.

“Berbanding dengan kekecohan ketika Bersih 2.0 dengan perhimpunan Himpun semalam sangat berbeza. Apabila ia dibuat dalam suasana terkawal di dalam stadium tiada siapa yang merasa terganggu.

“Kita juga akan kaji apa yang berlaku semalam sesuai dengan hasrat kerajaan untuk meminda Seksyen 27 Akta Polis bagi membenarkan perhimpunan secara aman tetapi ia mesti selari dengan norma undang-undang,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 24/10/11

Mereka tidak layak diampun

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Sesiapa yang mengagungkan perjuangan komunis dan menidakkan pengorbanan serta kesetiaan anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara adalah pengkhianat yang dosa mereka tidak layak diampunkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjuangan komunis bukan untuk membebaskan negara ini daripada penjajah, sebaliknya mahu mengambil alih tanah air dan menukarnya menjadi sebuah republik sebelum mengharamkan segala kebebasan rakyat termasuk untuk beragama.

Beliau menambah, dalam konteks tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 1950, kerajaan mempunyai bukti kukuh bahawa lelaki Melayu, Muhammad Indera yang diangkat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai hero sebenar ialah seorang komunis.

“Nak kata kepala tak betul dan bangang (bodoh), dia sudah dipilih menjadi pemimpin oleh partinya. Jadi apa muslihat dia? Orang sebegini yang sanggup menidakkan jasa serta pengorbanan para perajurit negara ialah pengkhianat dan dosa golongan seperti ini tidak layak untuk dimaafkan.

“Saya sudah membuat siasatan dan pihak polis sendiri mempunyai bukti kukuh Muhammad Indera seorang pengganas komunis. Dia sendiri mengaku kepada pihak polis yang dia merancang serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dan turut bertanggungjawab membunuh beberapa anggota polis.

“Chin Peng (Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya) sendiri dalam sebuah buku mengesahkan bahawa Muhammad Indera anggota komunis. Jadi kenapa kita perlu mengangkat pemimpin sebegini,” katanya semasa berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Pesara dan Bekas Polis di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; timbalannya, Datuk Abu Seman Yusop dan Datuk Lee Chee Leong; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sementara itu, ditanya pada sidang akhbar sama ada golongan yang dilabel sebagai pengkhianat negara akan dihadapkan ke mahkamah, Najib berkata, ia terserah kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, namun menegaskan pandangan pihak terbabit mesti ditolak dengan apa cara sekalipun.

“Golongan yang menidakkan pengorbanan perwira negara yang sudah berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah air kita yang tercinta ini ialah golongan yang buta hati. Golongan sebegini tidak boleh dibenarkan menjadi pemimpin negara,” ujarnya.

Mengenai bukti pembabitan Muhammad Indera dalam komunis serta penglibatan lelaki itu dalam tragedi Bukit Kepong, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia mendedahkan perkara itu kepada umum jika keadaan memerlukan.

Najib berkata, selain rakaman, buku bertajuk “Dialogues With Chin Peng: New Light on the Malayan Communist Party” oleh C.C.Chin dan Karl Hack, mengesahkan pembabitan Muhammad Indera sebagai anggota komunis.

/hwa: utusan.com.my | 24/10/11

23 Oktober 2011

Makna kematian Gaddafi


Kegembiraan meraikan kematian Gaddafi belum menjamin keamanan Libya selepas ini.

BAGI mereka yang mengikuti laporan langsung oleh Al-Jazeera dan BBC mengenai kematian Muammar Gaddafi Selasa lalu, tentu dapat mendengar bunyi latar paparan dari Tripoli itu.

Ini kerana laungan yang terdengar itu adalah takbir hari raya berulang- ulang berkumandang menggunakan pembesar suara ketika anak-anak muda Libya bersorak kegembiraan apabila mendapat tahu Gaddafi telah mati.

Bagi orang Malaysia laungan takbir hari raya pada waktu ini adalah suatu yang pelik.

Dalam laporan langsung di BBC, pemberitanya ialah seorang bukan Islam dan apabila ditanya oleh pembaca berita dari London, apakah laungan yang didengar dari masjid itu, dia menjawab, tidak tahu tetapi menurutnya laungan itu berulang-ulang berkumandang sejak diumumkan kematian Gaddafi.

Di Al-Jazeera pula pemberitanya mengatakan bahawa laungan takbir itu adalah sebagai tanda kegembiraan rakyat Libya atas kematian Gaddafi.

Sememangnya dalam sejarah Islam, takbir yang dilaungkan semasa hari raya itu berupa zikir memuji kebesaran Ilahi ekoran kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar melawan Musyrikin. Dalam laungan itu dinyatakan kejayaan orang Islam mengalahkan orang kafir.

Adalah jelas rakyat Libya amat marah pada Gaddafi.

Amarah mereka ini menjadi tanda tanya bagi umat Islam di luar Libya. Ini kerana semasa hidupnya, Gaddafi dipandang tinggi oleh umat Islam.

Bermula dengan rampasan kuasa ke atas Raja Idris pada tahun 1969, Gaddafi muncul sebagai seorang pemimpin Islam yang berjuang membela hak kebangsaan Arab, iaitu termasuk Palestin, kepentingan rakyat, sebab itulah gagasan Buku Hijaunya menampilkan kaedah kesaksamaan pengagihan harta negara dan tidak kurang penting ialah usaha pembebasan rakyat terjajah di seluruh dunia, dari Ireland Utara di barat hinggalah rakyat Moro di timur.

Orang Islam Malaysia sendiri menghormatinya. Berapa ramai anak-anak Melayu yang bernama Gaddafi kerana bapa masing-masing mengkaguminya.

Penulis ingat pada tahun 1972, apabila sebagai kanak-kanak, kawan-kawan sekolah agama bersorak apabila dari radio dilaporkan bahawa Gaddafi menghantar tentera ke Mesir untuk menyertai Perang Ramadan yang menyaksikan pertama kali tentera Israel terpaksa berundur dari SInai.

Ketika Yasser Arafat dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diusir dari Beirut atas tekanan Barat, maka ke Libyalah tempat mereka mencari perlindungan. Tripoli menggantikan Beirut sebagai pangkalan PLO.

Maka sepanjang pemerintahannya, kehadiran Libya di Malaysia dirasakan. Kerajaan Gaddafi menubuhkan Pusat Kebudayaan Arab Libya di Kuala Lumpur yang peranannya setanding dengan agensi-agensi penerangan kuasa besar lainnya seperti Lincoln Cultural Center (Amerika Syarikat) , British Council, Goethe Institut (Jerman) dan Alliance Francaise (Perancis).

Libya menjadi wakil negara dunia ketiga yang bersuara mencabar pihak Barat. Gaddafi membantu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk memiliki bangunannya sendiri serta meningkatkan usaha minoriti Islam di Asia Pasifik. Sokongannya kepada Pertubuhan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) adalah jelas.

Sebelum kemunculan Iran sebagai pusat politik yang menjadi perhatian umat Islam, Libya di bawah Gaddafi yang merintis persidangan-persidangan antarabangsa untuk pertubuhan-pertubuhan Islam di seluruh dunia.

Akhir

Namun dari tahun ke tahun hingga di akhir pemerintahannya, terdengarlah betapa kuasa yang dimilikinya bertukar kepada bentuk kuku besi. Layanannya kepada pihak penentang dilaporkan kejam. Turut menjadi mangsanya ialah dari kalangan aktivis Islam.

Tetapi apa yang hendak dihairankan tentang perkara ini di dunia Arab. Mesir, Syria, Sudan, Yaman, Iraq, Tunisia, Algeria dan negara-negara Arab lain juga melayan pembangkang mereka secara keras dan kejam.

Tidak ada satupun negara Arab yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan mengadakan pilihan raya umum seperti mana amalan piawai dunia.

Hanya pada tahun ini apabila berlaku kebangkitan rakyat dunia Arab, bermula dari Tunisia, bersambung ke Mesir dan melarat ke Libya, maka kekejaman Gaddafi semakin kuat dilaporkan.

Tidak seperti Hosni Mubarak di Mesir, Gaddafi enggan berundur sebaliknya menjerumuskan negaranya ke dalam perang saudara.

Maka dalam tempoh beberapa bulan dilaporkan pembunuhan dahsyat dilakukan oleh pihak penyokong Gaddafi.

Ternyata seperti di negara-negara Arab yang lain, sebahagian besar rakyat Libya membenci Gaddafi.

Hakikat bahawa kuasa-kuasa Barat telah memasuki Libya dan membantu penentang-penentang Gaddafi secara aktif adalah suatu yang tidak menghairankan.

Dari dulu, Gaddafi merupakan musuh Barat dan apabila rakyatnya sendiri bangkit, tentulah AS dan Eropah dengan senang hati campur tangan. Libya amat strategik dengan kekayaan minyaknya yang tidak dapat ditolak oleh negara-negara Barat.

Melalui sistem demokrasi, bukan saja mereka dapat menunjukkan pembelaan kepada rakyat Libya tetapi pada waktu yang sama, Barat mengharapkan penguasaan ekonomi dan sumber negara itu.

Bendera merah, hitam dan hijau yang dikibarkan oleh para penentang Gaddafi, dan kini menguasai Libya adalah panji-panji lama ketika negara itu di bawah pemerintahan Raja Idris. Pada masa itu Libya dikuasai oleh Barat.

Adakah dengan berakhirnya Gaddafi ini, Libya kembali dikuasai Barat? Adakah demokrasi mesti membawa kepada keadaan begitu?

Kalau begitu, sudah tentu ia merupakan suatu yang malang bagi rakyat Libya. Demokrasi diharapkan menjadi sistem yang dapat memberikan kebebasan dan kehidupan bermutu serta bermaruah kepada rakyat.

Tetapi jika demokrasi menjadi sistem yang boleh dimanipulasi oleh Washington dan Tel Aviv, maka ia adalah malang bagi rakyat Libya, dan dunia Arab umumnya.

Sekali lalu, nasib Gaddafi adalah seperti Saddam yang juga dibenci oleh rakyatnya.

Tetapi sekurang-kurangnya terdapat dua perbezaan iaitu pertama, saddam tidak dibunuh oleh tentera AS, tetapi ditangkap dan kemudian dibicarakan.

Sementara Gaddafi yang merayu supaya nyaeanya diselamatkan telah dibunuh oleh pihak penentangnya, yang terdiri daripada rakyat Arab Libya juga.

Kedua, kejatuhan Saddam adalah ekoran daripada penaklukan tentera Barat ke atas Iraq. Tetapi di Libya, ia dilakukan oleh rakyatnya sendiri, Namun, senjata dan bantuan lain disalurkan oleh pihak barat.

Ternyata perbezaannya kecil saja.

Dunia terutama orang Islam mengharapkan supaya Libya dan Iraq memandang ke depan dan tinggalkan dendam masa lalu. Tumpuan wajar kepada membangunkan negara untuk kesenangan hidup rakyat.

Malangnya keadaan itu masih sukar di Iraq. Di Libya pula, bimbang keamanan tidak dapat diwujudkan kerana pembunuhan Gaddafi merupakan permulaan yang tidak baik bagi kerajaan baru Libya.

Sekurang-kurangnya ketika Afghanistan tumbang, Mujahidin tidak membunuh presiden komunis terakhir Babrak Karmal. Dia dipenjarakan.

Keadaan Afghanistan menjadi buruk apabila Taliban mengalahkan Mujahidin dan terus menggantung Babrak Karmal tanpa proses perbicaraan. Akhirnya negara itu sehingga ke hari ini tidak berjaya mengecapi perdamaian. Perang Saudara dengan penglibatan kuasa luar terus-meneruskan menyebabkan rakyat mereka menderita berpanjangan.

Pembunuhan Gaddafi tentu menimbulkan rasa ngeri di kalangan negara-negara Arab lain yang berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya khususnya Yaman dan Syria.

Kuasa sememangnya indah, tetapi apabila ia melangkaui tempoh yang sewajarnya, pemilik kuasa pula akan menjadi mangsa.

Siapa menabur angin, mereka akan menuai badai.

Lebih-lebih lagi pada negara yang telah tertumpah darah rakyatnya. Itulah seperti yang berlaku di Libya. Apabila rakyat Libya terkorban kerana Gaddafi, maka lebih keras balasan yang akan diterimanya.

Keadaan ini telah pun berlaku di Syria. Presiden Bashar Al-Assad akan mengalami keadaan yang sama dengan Gaddafi jika dia tidak menangani perubahan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

Begitu juga dengan Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh. Kedua-dua negara ini adalah strategik bagi AS. Syria kerana ia berdepan dengan Israel. Sementara Yaman dilihat sebagai pangkalan Al-Qaeda.

Dunia Arab menanti perubahan.

/hwa: utusan.com.my | 23/10/11

Individu Islam perlekeh Himpun diselar

SHAH ALAM 22 Okt. - Tindakan sesetengah individu Islam yang memperlekehkan penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun) bagi menentang gejala murtad negara ini amat dikesali.

Pengerusi Bersama Himpun, Dr. Yusri Mohamad yang tampil sebagai pemidato pertama pada perhimpunan juga melahirkan rasa sedih apabila terdapat individu tertentu mengatakan Himpun sebagai tidak relevan serta tidak mempunyai asas dalam Islam.

Sedangkan katanya, perhimpunan itu adalah simbolik kepada penyatuan umat bagi menentang gejala murtad di kalangan masyarakat Islam bagi menyelamatkan akidah mereka daripada dipesongkan oleh pihak tertentu.

"Ada individu Islam sendiri kata apa salah murtad, ada yang kata usaha mereka (bukan Islam) bekerja keras menyebarkan agama mereka maka patut mereka tuai hasil dan ada juga kata murtad tidak salah, ia kebebasan beragama.

"Isu yang membuat kita berhimpun pada hari ini ialah isu yang paling besar di sisi Allah iaitu murtad menolak risalah Islam, para anbia (nabi-nabi) dan tiada maksiat, tiada salah guna kuasa, tiada pencabulan hak asasi manusia paling besar di sisi Allah selain murtad.

"Maka, perhimpunan kita adalah atas asas yang paling besar iaitu untuk memperbesarkan apa yang dibesarkan Allah, Allah letakkan murtad dan pemurtadan sebagai kesalahan paling besar, isu paling besar dan paling perlu dapat perhatian," katanya ketika menyampaikan pidato pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Seramai lapan pemidato tampil berucap pada perhimpunan tersebut mewakili pelbagai pertubuhan bagi menyuarakan keprihatinan masing-masing terhadap gejala murtad di negara ini.

Seorang lagi pemidato iaitu bekas pastor, Mohd. Farhan Abdullah pula mengutarakan cadangan agar Parlimen menggubal kembali Artikel 11 (1), Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan klausa 'kebebasan beragama' hanya terpakai bagi masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, ini kerana terdapat pihak yang terkeliru serta pihak yang sengaja mengelirukan masyarakat mengenai peruntukan undang-undang itu bagi memesongkan akidah umat Islam.

"Saya sendiri pernah terlibat dalam gerakan mengkristiankan umat Islam dahulu dan usaha ini dilakukan dengan begitu teliti serta terancang," tegasnya.

Beliau juga mahu wakil-wakil Himpun yang terdiri di kalangan Ahli Parlimen atau Ahli Undangan Negeri (ADUN) dapat membawa usul tentang isu murtad agar dapat dibahas di Dewan Rakyat atau DUN.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan menggesa kesemua organisasi dan pengamal media tempatan supaya tidak menyelewengkan kefahaman agama Islam demi keuntungan masing-masing.

Katanya, penyelewengan di media boleh mengelirukan pelbagai pihak termasuk mahasiswa sendiri apatah lagi sejarah membuktikan pernah terjadi beberapa kes gerakan pemurtadan pelajar Islam di kampus-kampus universiti tempatan.

"Justeru, Gamis mengharapkan agar golongan yang disebut sebagai penyampai maklumat, media harus bebas beri maklumat betul kepada masyarakat (terutama dalam gerakan pemurtadan)," ujarnya.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, kegiatan pihak tertentu yang memperkecilkan institusi diraja dilihat semakin berani dan tindakan itu akhirnya akan merugikan penganut serta agama Islam dalam negara.

"Lebih menyedihkan gerakan itu turut didalangi oleh para pemimpin serta individu Islam sendiri," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 23/10/11

Mufti Perak beri peringatan


SEBAHAGIAN daripada ribuan peserta menghadiri perhimpunan mempertahan dan menyelamatkan akidah umat dan agama Islam di Stadium Shah Alam, semalam. – Mingguan/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 22 Okt. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberikan ingatan bahawa kelemahan dan perpecahan umat Islam yang berlaku hari ini menyebabkan ada pihak yang berani memesongkan akidah penganutnya, selain menghina agama tersebut sedangkan sebelum ini Islam begitu dihormati.

Beliau yang menjadi tumpuan kira-kira 10,000 peserta Himpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) sebagai pemidato terakhir mengimbas kembali bagaimana kekuatan orang Melayu yang tetap berpegang teguh dengan agama mereka meskipun ketika dijajah selama 500 tahun.

Malah beliau menyatakan, orang Melayu juga diberikan keistimewaan oleh Allah sebagai bangsa yang mempunyai kefasihan apabila dapat menguasai bacaan ayat suci al-Quran meskipun kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab.

“Dalam semangat yang masih ada hari ini kita perlu pertahankan Islam. Bangsa Melayu adalah bangsa yang istimewa kerana Melayu dikaitkan dengan Islam sehingga ia membawa kepada pengertian dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kedatangan pendakwah ke Tanah Melayu menyebabkan orang Melayu menjadi Islam dan kedatangan Islam membolehkan orang Melayu membina empayar berasaskan kepada undang-undang Islam di Perak, Pahang dan Terengganu,” katanya pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak zaman penjajahan lagi, kuasa kuffar tidak henti-henti berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam di Tanah Melayu termasuk dengan mengadakan pelbagai muslihat.

“Hari ini usaha tersebut dilakukan secara terang-terangan kerana kedudukan orang Melayu semakin lemah. Kerana kelemahan itu, Islam yang satu ketika dahulu dihormati, (telah diganggu-gugat oleh) mereka (yang) berusaha memesongkan dan menghina kita,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 23/10/11

22 Oktober 2011

Amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan

HAIRAN juga tiada reaksi terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamed tentang Melayu akan hilang kuasa dalam 10 tahun lagi. Tiada menteri, timbalan menteri, individu atau NGO yang bersetuju atau menyangkal kenyataan bekas perdana menteri tersebut.

Apakah orang Melayu sudah menerima hakikat yang ia akan hilang kuasa dalam 10 tahun. Kebetulan pula 10 tahun lagi ialah 2020, tahun yang kita patut mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi.

Apakah ini maknanya bila kita mencapai taraf negara pendapatan tinggi, orang Melayu sudah terpinggir dan angka tersebut tercapai melalui bukan Melayu?

Apakah Dr. Mahathir menggunakan psikologi untuk melontarkan sesuatu yang boleh menyedarkan orang Melayu tentang perlunya melakukan sesuatu sebelum terlambat?

Apakah yang boleh menyedarkan orang Melayu hari ini? Bersatu antara UMNO, Pas dan PKR tidak mungkin.

Kelemahan dalam bidang ekonomi sudah jelas masih tidak boleh menyedarkan orang Melayu. Ramai yang mengatakan bukan semua orang Melayu yang papa kedana, ramai yang kaya raya. Lihat saja bila Perhimpunan Agung UMNO betapa banyak BMW, Mercedes, Alphard, Cayenne dan pelbagai jenama kereta yang mahal.

Ada juga orang Melayu yang sorok kereta Ferrari mereka dengan dibalutkan dengan canvas supaya orang tak tahu yang dia ada Ferrari. Orang Melayu yang kaya raya ini tidak peduli siapa berkuasa 10 tahun lagi kerana kedudukan mereka sudah kukuh.

Orang Melayu yang tidak terlibat dengan politik begitu juga. Kalau hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang seperti yang kita lihat dalam program televisyen Bersamamu setiap minggu, mereka pun tidak akan kisah siapa yang memerintah dan majoritinya orang Melayu dan mungkin orang Melayu akan lebih susah hidup mereka.

Ada beberapa perkara yang bakal berlaku sekiranya bukan Melayu memerintah. Kemungkinan besar yang boleh memerintah ini ialah DAP. Dan DAP telah berjanji akan mengubah beberapa perkara dalam Perlembagaan sekiranya mereka berkuasa.

Pertama mereka akan tukar agama rasmi daripada agama Islam kepada yang lain, kedua bahasa rasmi juga akan ditukarkan daripada bahasa Melayu kepada lain bahasa dan ketiga segala keistimewaan dan hak orang Melayu di bawah Perlembagaan akan dimansuhkan.

Kemungkinan parti politik bangsa Cina ini bergabung dengan MCA dan Gerakan sesuatu yang tidak mustahil. Lebih teruk lagi kalau PAP dari Singapura pula diajak bersama. Itu baru betul.

Kehilangan kuasa orang Melayu dalam negara ini bermakna negara ini akan terjual.

Dalam kita hendak berkuasa, kita beri lebih perhatian kepada bukan Melayu, kononnya menyepikan mereka menyebabkan kita kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Kini mereka dah pandai minta macam-macam dan dapat pula apa yang diminta.

Golongan orang Melayu yang diberikan perhatian ialah golongan tertentu sahaja, mereka yang sudah ada entiti mereka dan hanya perlu diperbaiki berlipat ganda lagi. Yang lain tidak akan merasai usaha lipat ganda entiti ini.

Seperkara yang perlu pihak memerintah sedar ialah terdapat 3.9 juta pemilih yang belum mendaftar untuk mengundi.

Kalau kita andaikan 60 peratus daripada jumlah ini terdiri daripada belia dan remaja dan mereka ini lebih terikut dengan dunia siber, gosip dan fitnah yang tersebar merata dalam dunia blog, mereka tidak menerima perhatian media arus perdana.

Mesej yang ingin disampaikan kepada mereka tidak sampai dan mereka bakal membuat keputusan yang mungkin akan merugikan pihak yang sedang memerintah.

Hakikatnya orang Melayu sudah lemah dalam bidang ekonomi dan yang sedikit kuasa ekonomi yang ada ini kalau hilang juga dan kuasa memerintah pula hilang, orang Melayu akan jadi ibarat Red Indian di Amerika Syarikat tinggal di penempatan tertentu sahaja.

Kita sedar juga ada usaha gigih sedang dilakukan oleh parti pembangkang untuk menarik orang Melayu dalam usaha untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap parti mereka. Mereka berpendirian inilah 1Malaysia yang sebenarnya.

Tidak ada keharmonian dalam mana-mana masyarakat yang majoritinya sesuatu bangsa jika kedudukannya lemah dalam ekonomi dan politik.

Ramai orang Melayu yang menyangka diri mereka cukup cekap dalam politik. Sebaliknya politik orang Melayulah yang memecah belahkan orang Melayu. Mungkin kalau tidak ada politik, orang Melayu hari ini tidak berpecah belah.

Walau apa pun amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan begitu saja. Pihak yang sayangkan negara ini dan tidak mahu ia jatuh ke tangan orang lain - walaupun mereka mungkin rakyat negara ini juga - perlu mengorak langkah mengatur strategi, jangan heboh-heboh, bangunkan langkah yang konkrit dan suntikan semangat kepada orang Melayu keseluruhannya.

/hwa: utusan.com.my | 22/10/11

Najib dan Wen Jiabao

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalam dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada pertemuan di Li Yuan Resort, Nanning, semalam. (berita lanjut)- Foto BERNAMA
Oct 22, 2011 3:35 am

Bangkit pertahankan akidah

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Semua umat Islam perlu bangkit dan bersatu mempertahankan Islam daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh agama.

Sebagai reaksi kepada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam esok, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, penganjuran perhimpunan itu hanya bertujuan untuk menyeru umat Islam negara ini supaya berpegang teguh mempertahankan kesucian agama.

Katanya, ia sekali gus menafikan bahawa ia dianjurkan atas sebab politik.

''Saya akan hadir (Himpun) esok. Semua umat Islam perlu bangun mempertahankan Islam dan perhimpunan esok hanya untuk menyeru umat Islam supaya berpegang teguh demi mempertahankan agama,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setakat ini, hampir 100,000 ahli daripada 3,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mengesahkan kehadiran sebagai menyatakan sokongan menjayakan Himpun yang bertujuan menyelamatkan akidah umat Islam daripada gejala murtad.

Baru-baru ini, Harussani turut menggesa pihak berkuasa agama untuk mewujudkan akta Murtad bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, golongan bukan Islam tidak boleh mempersoalkan tindakan penganjuran perhimpunan itu kerana ia adalah hak Islam sekali gus berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan mana-mana agama lain melakukan dakyah kepada umat Islam.

Katanya, tindakan tersebut juga selari dengan Deklarasi Cairo iaitu satu deklarasi terhadap hak asasi manusia dalam Islam yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima oleh Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) (OIC) pada tahun 1990.

''Sebagai masyarakat Islam yang ingin menzahirkan keprihatinan mereka, kita boleh lakukan perhimpunan ini mengikut undang-undang.

''Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam supaya turun beramai-ramai esok sebagai menyatakan pendirian kita,'' katanya.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaei Ahmad pula berkata, penganjuran perhimpunan itu merupakan langkah terbaik untuk menyedarkan mana-mana pihak agar tidak terlalu ghairah mendapatkan kuasa biarpun sanggup menggadaikan maruah agama dan bangsa.

''Adalah amat wajar NGO Islam tampil ke hadapan supaya keghairahan parti politik yang mengejar kuasa dapat disekat.

''Sekiranya ada parti politik bersikap sedemikian, pihak bukan Islam tidak rasa takut untuk mengembangkan agama mereka di kalangan orang Islam,'' katanya.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong Himpun kerana ia melibatkan urusan akidah umat Islam dan mendapat permit polis.

Sehubungan itu, pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa turut menyeru umat Islam lain yang menyokong usaha mempertahankan akidah dan agama Islam di Selangor supaya hadir beramai-ramai pada perhimpunan itu.

''Saya yakin semua yang hadir adalah kerana menyokong usaha untuk mempertahankan akidah Islam dan akan menjadi tetamu yang beradab.

''Saya sendiri akan hadir bersama keluarga sebagai seorang umat Islam yang menyokong usaha ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 22/10/11

Himpun: Sikap Pas dikesali

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Tindakan Pas mempertikai dan mempolitikkan program Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan di Stadium Shah Alam, esok membayangkan parti pembangkang itu tidak serius memperjuangkan Islam di negara ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, umat Islam seharusnya bersatu tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang untuk menjayakan perjuangan murni tersebut.

“Pas lantang bersuara selama ini dan menggunakan nama Islam sebagai modal untuk menarik perhatian rakyat, namun apabila tiba masanya mereka enggan turut serta malah mempolitikkan perhimpunan ini.

“Mereka seolah-olah tidak memahami intipati perjuangan sebenar perhimpunan yang mahu menyelamatkan akidah umat Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Kelmarin, Pas mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut dengan alasan menghormati kehendak penganjur yang menetapkan perhimpunan tersebut tidak melibatkan parti-parti politik.

Setakat ini, lebih 3,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan sokongan menjayakan Himpun yang bertujuan menyelamatkan akidah umat Islam daripada gejala murtad.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan keputusan Pas untuk tidak menyertai Himpun menunjukkan parti itu tunduk kepada tekanan DAP.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan itu sekali gus mempertahankan slogan terbaru parti itu untuk tidak lagi memperjuangkan Islam dan tidak mahu Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam sejajar dengan matlamat DAP.

/hwa: utusan.com.my | 22/10/11

100,000 ahli pelbagai NGO dijangka hadiri Himpun


Sebahagian daripada ahli kumpulan nasyid yang akan mengadakan persembahan sempena Himpunan Sejuta Umat sedang membuat persiapan dan latihan di stadium Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 21 Okt. - Hampir 100,000 ahli daripada kira-kira 3,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka menghadiri Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam di sini, esok.

Menurut Setiausaha Himpun, Aminuddin Yahaya, antara NGO berkenaan adalah Gabungan Wawasan Generasi Felda, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Front Bertindak Anti Murtad, persatuan bekas polis dan tentera, persatuan silat, persatuan Islam, persatuan pelajar dan lain-lain.

Beliau berkata, jumlah tersebut tidak termasuk orang awam yang bukan ahli NGO dan mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

''Kita memang telah membuat persediaan rapi terutama dari segi keselamatan dan pengisian untuk majlis yang akan berlangsung kira-kira empat jam ini.

''Dengan sokongan yang diterima, kata beliau, Himpun yakin sasaran untuk memperkasakan suara umat Islam dalam menegakkan syiar Islam serta mencegah murtad akan tercapai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

mengenai Himpun, Aminuddin berkata, seramai 1,500 anggota pihak keselamatan dan sekretariat ditugaskan menjaga keamanan.

Jelas beliau, pihaknya juga telah menyiapkan pentas untuk persembahan dan ceramah bagi mengisi majlis yang dijangka bermula pukul 2 petang hingga 6 petang itu.

''Kita telah membuat persiapan di stadium sejak semalam dan kita optimis majlis ini akan berjalan lancar baik daripada segi pengisian mahu pun keselamatan.

''Jadi saya minta semua umat Islam hadir beramai-ramai membawa keluarga bagi memberikan sokongan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 22/10/11

Gaddafi rayu jangan dibunuh


Imej video diambil daripada stesen televisyen Al-Arabiya merakamkan orang ramai mengambil gambar jenazah Gaddafi menggunakan telefon bimbit di Sirte, kelmarin. - AP

SIRTE 21 Okt. - ''Anak, tolong jangan bunuh saya'' itulah kata-kata terakhir Muammar Gaddafi kepada tentera kerajaan sementara yang menangkapnya selepas satu serangan ke atas konvoinya di bandar Sirte awal subuh semalam.

Sejam kemudian bekas pemimpin Libya itu dilaporkan terbunuh.

Gaddafi mengangkat tangan sambil merayu supaya beliau tidak dibunuh selepas beliau diheret keluar dari tempat persembunyiannya di saluran kumbahan di bandar kelahirannya di sini dalam serangan itu.

Namun, rayuannya itu tidak diendahkan oleh tentera kerajaan, sebaliknya mereka menghinanya.

Bukan sekadar itu, mayat Gaddafi yang berlumuran darah dibiarkan dalam keadaan separuh bogel dan rambut palsunya ditanggalkan dan dihantar sebagai 'hadiah perang' kepada tentera kerajaan di Misrata, bandar yang terletak di selatan Sirte yang telah ditawan tentera kerajaan sementara.

Rakaman video menunjukkan beliau diheret keluar dengan kasar dari bonet trak sebelum hilang daripada rakaman selepas kedengaran bunyi tembakan.

"Ketika dibawa keluar dari Sirte (untuk dihantar ke hospital), Gaddafi dipukul dan kemudiannya dibunuh," kata seorang pegawai kanan Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) kepada Reuters sebelum Pemangku Perdana Menteri kerajaan sementara Libya, Mahmoud Jibril mendakwa berlaku insiden berbalas-balas tembakan.

Ketua pengawal peribadi Gaddafi mengesahkan bekas pemimpin Libya itu terselamat dalam serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas konvoinya.

Dalam serangan itu, Mutassim, anak kelima Gaddafi yang kelihatan berlumuran darah tetapi masih hidup dalam rakaman video itu turut dilaporkan dibunuh.

Berita kematian Gaddafi disambut sorakan kegembiraan dengan penduduk berhimpun di jalan-jalan raya, manakala anggota tentera melepaskan tembakan ke udara.

Di Benghazi, beribu-ribu penduduk berarak di jalan-jalan raya sambil meletakkan senjata mereka dan menari.

"Saya tidak akan memberi senjata saya kepada anak lelaki saya. Kini perang sudah tamat dan kami perlu menyerahkan senjata dan kanak-kanak perlu ke sekolah," kata seorang penduduk, Mansour el Ferjani, 49 tahun .

Sementara itu, gambar mayat Gaddafi yang berlumuran darah dan disiarkan di skrin-skrin televisyen seluruh dunia mungkin akan memberi kesan kepada negara-negara yang berdepan kebangkitan rakyat seperti Yemen dan Syria. - REUTERS/AP

/hwa: utusan.com.my | 22/10/11

20 Oktober 2011

Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia (MSC)

19 OKT. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia (MSC) di pejabat beliau, di Putrajaya. - Utusan/ZAKI AMIRUDDIN

Pelengkap transformasi negara


NAJIB Tun Razak pada sesi bergambar bersama beberapa anggota Kabinet sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia Ke-23 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin (enam, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali (lima, kanan). – BERNAMA

PUTRAJAYA 19 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program transformasi digital yang dikenali sebagai Digital Malaysia akan menjadi pelengkap kepada dasar transformasi negara.

Menurut Perdana Menteri, ia sejajar dengan hasrat membawa Malaysia ke arah negara berpengetahuan dan berpendapatan tinggi memandangkan ia komponen utama ke arah pencapaian negara maju menjelang 2020.

‘‘Digital Malaysia akan memberi penekanan kepada dua tonggak iaitu kreatif dan inovatif serta produktiviti, MDeC akan meneraju usaha untuk mencapai perkara ini.

‘‘Salah satu inspirasi kita ialah meningkatkan sumbangan ICT kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) daripada 9.8 peratus kepada 17 peratus menjelang 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) ke-14, di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Dasar transformasi negara bermula dengan Dasar Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik, Program Transformasi Luar Bandar, Inisiatif Reformasi Strategik dan terbaru Digital Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, dari segi kedudukan digital ekonomi, Malaysia berada pada tangga ke-36 daripada 70 buah negara dan menyasarkan kedudukan 20 teratas menjelang 2020.

Dari segi IMD World Competetive Scoreboard pula, kata Najib, Malaysia berada pada tangga ke-16 daripada 59 buah negara dan menyasarkan kedudukan 10 teratas menjelang 2020.

‘‘Dari segi GNI, Digital Malaysia menyasarkan RM75 bilion menjelang 2020, diikuti RM93 bilion daripada inisiatif ICT sedia ada dan RM126 bilion yang dijangka dalam ETP dan GTP yang akan membawa sumbangan GNI daripada Digital Malaysia kepada RM294 bilion menjelang 2020,” katanya.

Beliau turut menyifatkan mesyuarat IAP hari ini amat berhasil kerana dapat berbincang mengenai keperluan mengembangkan potensi keusahawanan setiap individu selain membolehkan kerajaan menyediakan budaya dan ekosistem potensi sebenar usahawan,

Najib optimis untuk Malaysia mencapai sasaran yang menjurus ke arah keperluan menukar syarikat ke dalam perniagaan e-perdagangan dan perniagaan dalam talian pada sesi perbincangan bersama pakar-pakar dalam bidang digital.

‘‘Kita berbincang tentang keperluan untuk memastikan inovasi dan cara pemikiran kreatif yang bermula dari bangku sekolah kerana kita pada masa ini sedang menilai semula sistem pendidikan untuk membolehkan ia menyuntik pemikiran kreatif dalam sistem pendidikan negara.

‘‘Kita juga berbincang tentang keperluan untuk menggalakkan mereka yang gagal supaya tidak putus asa tetapi kegagalan itu sebagai permulaan kepada kejayaan,” katanya.

Bagi golongan muda pula, Perdana Menteri menambah, mereka akan digalakkan memiliki semangat keusahawanan, berfikir dan bertindak secara inovatif dan kreatif untuk menjadikan mereka lebih efektif serta terbuka kepada masyarakat global.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji untuk mengkomersialkan 300 hak harta intelek yang dibangunkan oleh universiti supaya ia boleh dipasarkan secara berperingkat.

/hwa: utusan.com.my | 20/10/11

19 Oktober 2011

Menu Rakyat

18 OKT. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayar sendiri hidangan "menu rakyat" ketika makan di Restoran 1Malaysia di Kuala Lumpur. Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. - Utusan

Menu Rakyat sedap, berkualiti


NAJIB Tun Razak bersama para pelanggan yang makan tengah hari menunjukkan isyarat 1Malaysia ketika berkunjung ke premis Program Menu Rakyat 1Malaysia di Restoran Ukhwah, Lorong Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) dan Yang Dipertua Ukhwah, Datuk Rahim Baba (dua, kanan). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 18 Okt. — Datuk Seri Najib Tun Razak memuji makanan yang dijual di restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia sambil menyifatkannya sebagai sedap dan berkualiti.

Perdana Menteri menyatakan sedemikian selepas menikmati nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengiringi Perdana Menteri, berkata, kunjungan Najib ke premis itu adalah untuk menikmati dan menilai sendiri kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

"Perdana Menteri datang semata-mata untuk makan. Beliau nak rasa sendiri makanan yang dimakan oleh rakyat," katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata kunjungan Najib juga membuktikan bahawa persepsi sesetengah pihak kononnya menu murah di premis atau restoran yang menyertai program anjuran kementerian itu tidak berkuliti, adalah tidak benar.

Katanya, kualiti makanan yang dijual di premis atau restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia adalah sama seperti makanan yang dijual di tempat lain dan kementerian sentiasa turun padang memantau keadaan agar aspek kualiti tidak diambil mudah.

"Saya rasa Perdana Menteri sangat gembira di mana hari ini, beliau dapat merasa sendiri apa yang rakyat rasa dan makan setiap hari dan ini menunjukkan beliau prihatin dengan apa yang dimakan dan dirasa rakyat," kata Ismail Sabri.

Program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai lepas bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Ismail Sabri berkata, program itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan sasaran 1,000 kedai menjelang hujung tahun ini dicapai lebih awal kerana setakat ini 1,004 restoran sudah menyertai program itu.

Daripada jumlah itu, Perak mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 152 diikuti Selangor (137), Terengganu (123), Kedah (104), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (61), Johor dan Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (41), Negeri Sembilan (34), Melaka (18), Perlis (12), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

Menurut Ismail Sabri, bagi kemudahan orang ramai, senarai kesemua restoran yang mengambil bahagian dalam program itu akan diiklankan di akhbar esok.

Beliau berkata, kementerian berharap lebih banyak restoran menyertai program itu yang mensyaratkan semua menu harus mempunyai kombinasi diet seimbang seperti nasi, lauk, sayur dan minuman. — BERNAMA

/hwa: utusan.com.my | 20/10/11

18 Oktober 2011

Jangan ambil mudah cabaran PRU13


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Halijah Jaafar, 73, yang menghidap sakit lutut pada Program Khas Kesejahteraan Untuk Rakyat Zon Sungai Terap/Sungai Raya peringkat Parlimen Pagoh di dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir, Pagoh, Muar, Johor, semalam. – BERNAMA

MUAR 17 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengambil mudah cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun perkembangan terkini semakin positif dan sokongan rakyat kepada parti kian bertambah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu bekerja keras untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada BN dan menyelesaikan isu-isu berbangkit terutama di kawasan yang memerlukan tumpuan.

“Walaupun sentimen agak bertambah baik, tetapi saya sendiri tidak akan mengambil keputusan bahawa semua sudah baik dan semua sudah bertambah positif kerana kita tahu masih ada kelompok di kawasan tertentu baik Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Tumpuan lebih harus diberikan untuk membantu rakyat, menyelesaikan isu dan pentingnya kerjasama antara parti komponen dan perpaduan dalam parti adalah pra syarat utama yang harus diberikan,” katanya selepas merasmikan Program Khas Untuk Rakyat (Kesejahteraan Rakyat) peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengunjungi dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Yu, Kundang Ulu serta pekarangan Masjid Kampung Paya Redan dalam lawatannya hari ini bagi menyampaikan bantuan kepada golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) di samping bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, menerusi pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat dapat menilai pelbagai perubahan positif yang telah dibawa kerajaan BN dalam program transformasi kerajaan serta Bajet 2012 yang merangkumi setiap kumpulan masyarakat.

Muhyiddin berkata, biarpun kemampuan kerajaan BN telah berjaya dibuktikan, ahli parti tidak boleh bersikap angkuh kerana landskap politik negara sudah berubah dan harapan rakyat perlu diambil kira untuk menghadapi pilihan raya umum.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan BN berkata, beliau akan turut terlibat dalam merangka formula baru pembahagian kerusi parti komponen BN yang diumumkan Perdana Menteri semalam untuk mencapai matlamat menang-menang bagi semua pihak dalam parti.

“Formula dahulu telah dijayakan matlamatnya, tetapi dalam lingkungan ekosistem politik baru, kita kena nilai dalam konteks terkini. Di sini pengorbanan pemimpin dan ahli-ahli BN untuk mencapai kata sepakat tentang bagaimana formula itu dirumuskan sebelum pilihan raya selesai, diperlukan.

“Begitu juga bagaimana calon yang dikatakan boleh menang, itu juga akan diambil kira sama ada calon itu Melayu, Cina atau India. Tetapi asas perkongsian kuasa dan keadilan pembahagian tidak akan kita korbankan, yang lebih penting adalah kuasa politik BN dan sokongan rakyat harus diambil kira,” katanya.

Muhyiddin berkata, pakatan pembangkang akan tetap membuat pelbagai dakwaan untuk meraih sokongan termasuk menawan Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum akan datang, namun apa yang penting bagi BN adalah bekerja untuk rakyat.

“Dia buat bacaan mengikut sifir dia, kita akan ikut sifir kita, yang penting kita terus kerja dan jangan bersikap terlalu angkuh kerana masih ada banyak yang berlaku di sekitar kita yang akan memberi kesan dan impak kepada pemikiran pengundi,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 18/10/11

Malbatt 4 ke Lebanon

17 OKT. 2011: Sebahagian anggota tentera yang mengikuti Malbatt 4 ke Lebanon melambaikan tangan ke arah keluarga masing-masing sebelum berlepas ke negara Timur Tengah itu, pada majlis penghantaran pasukan Malbatt 4 di Pangkalan Udara Subang, Selangor. - Utusan/HAFIZ JOHARI

Najib terima pengiktirafan PBB

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjadi pemimpin Asia kelima menerima pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran kejayaan Malaysia muncul destinasi pelancongan ke sembilan paling menarik di dunia.

Serentak dengan itu, PBB melalui Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO) mengharapkan sokongan politik daripada Perdana Menteri bagi memperkasakan lagi sektor tersebut yang kini muncul sebagai industri ketiga terbesar di dunia.

Setiausaha Agung WTO, Dr. Taleb Rifai berkata, kejayaan Malaysia muncul selaku salah satu daripada 10 destinasi paling menarik di dunia membuktikan keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan sektor pelancongan.

"Sebab itu kami memilih untuk berkerjasama dengan kerajaan Malaysia terutamanya sokongan daripada Perdana Menteri sendiri bagi membangunkan industri ini secara keseluruhan. Kami percaya banyak idea positif Malaysia boleh dimanfaatkan bersama.

"Negara ini merupakan negara Asia kedua selepas China yang tersenarai sebagai 10 destinasi paling menarik di dunia," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat bertajuk 'Pemimpin Global Bagi Kempen Pelancongan' di Parlimen, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Dalam pada itu, Yen Yen berkata, menjelang 2020, kerajaan menyasarkan kedatangan pelancong asing ke negara ini meningkat kepada 26 juta berbanding 24.6 juta pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan tersebut akan menyumbang sebanyak RM168 bilion kepada pendapatan negara iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu yang mencatat RM56 bilion.

"Ketika ini negara memperoleh pendapatan kira-kira RM1 bilion seminggu dan ia menjana peluang pekerjaan kepada 1.2 juta penduduk.

''Jadi saya berterima kasih kepada WTO kerana mengiktiraf kejayaan kita dalam sektor pelancongan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 18/10/11

17 Oktober 2011

Konvensyen Barisan Nasional Peringkat Negeri Sembilan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap menyempurnakan penutup Konvensyen Barisan Nasional Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA
Oct 16, 2011 6:45 pm

Pengagihan semula kerusi BN


Najib Tun Razak dan Koh Tsu Koon melambai para perwakilan yang hadir selepas menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan kali ke-40 di Dewan Wawasan PGRM, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengagihan semula kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dibuat selaras dengan perubahan politik ketika ini yang memerlukan BN meletakkan calon boleh menang .

Kata Perdana Menteri, pengagihan itu juga akan dibuat berasaskan semangat kerjasama di kalangan parti-parti komponen dalam memastikan BN mampu mencapai kemenangan besar pada PRU13.

"Bagaimanapun kita tidak akan rombak semua kerusi dan kerusi-kerusi ketika ini juga masih lagi menjadi asas (dalam pengagihan kerusi kelak).

"Cumanya pengagihan kerusi ini akan melihat kepada kawasan-kawasan yang difikirkan perlu dibuat berdasarkan formula terbaik untuk menang," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan Ke-40 di sini, hari ini.

Najib menambah, pengagihan kerusi itu juga dibuat atas semangat hubungan dalam keluarga besar yang terjalin di kalangan parti-parti komponen BN.

Malah kata beliau, kesemua pemimpin-pemimpin parti komponen BN juga sudah menyatakan persetujuan dan bersikap terbuka mengenai perkara itu dengan melihat ia sebagai salah satu formula untuk menang pada PRU13.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang didesak beberapa ahli parti supaya tidak bertanding pada PRU13, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada Tsu Koon untuk menentukan apa yang terbaik demi masa depan parti itu.

''Apa pun saya mempunyai hubungan kerja yang sangat rapat dengan beliau (Tsu Koon) dan kita juga sudah berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan Gerakan menjelang pilihan raya umum nanti," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 17/10/11