14 Disember 2011

DAP tubuh panel untuk selesaikan pertelingkahan Karpal-Ramasamy

14/12/2011 2:22am

KUALA LUMPUR 14 Dis. - DAP menubuhkan satu panel tiga anggota bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh dan Timbalan Ketua DAP Pulau Pinang Dr P. Ramasamy.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, jawatankuasa eksekutif pusat parti yang bermesyuarat malam semalam memutuskan untuk membentuk panel itu bagi menyelesaikan isu tersebut dan ia akan dianggotai beliau sendiri, penasihat seumur hidup DAP Dr. Chen Man Hin dan pemimpin veteran Lim Kit Siang.

"Kami berharap dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya kepada pemberita dalam satu komen ringkas selepas mesyuarat itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Pertelingkahan Karpal-Ramasamy bermula selepas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu dilaporkan berkata terdapat ”godfathers” dalam DAP selepas beliau menamakan tiga individu sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang. - Bernama

/hwa: utusan.com.my | 14/12/11

Anwar tidak nafi berada di kondominium

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Senjata makan tuan. Itulah yang berlaku kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila keterangan membela diri dari kandang tertuduh yang dibuat sebelum ini tidak langsung menafikan kehadirannya di unit kondominium tempat kejadian liwat didakwa berlaku.

Tidak cukup dengan itu, keterangan tanpa sumpah itu yang lebih banyak menyalahkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang mendengar kesnya tidak langsung menyentuh mengenai sakit belakang yang membataskan pergerakannya sekali gus menidakkan keupayaannya untuk meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Tertuduh juga pada bila-bila masa tidak pernah membuat sebarang cubaan untuk menjelaskan bagaimana air maninya boleh ditemui di dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari.

Perkara tersebut merupakan antara keterangan yang langsung tidak dinafikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh dan dinyatakan oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden selama hampir tiga jam di Mahkamah Tinggi di sini pada penggulungan hujah di akhir kes pembelaan.

Keterangan yang tidak dinafikan antara lainnya adalah Anwar telah menghubungi Ketua Staf beliau, Ibrahim Yaakob supaya sekeping sampul surat diserahkan kepadanya di kondominium itu. Mohd. Saiful Bukhari telah menyerahkan sampul surat itu kepada tertuduh di unit 11-5-1 antara pukul 3.01 dan 4.30 petang pada hari tersebut dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh tiba serta meninggalkan tempat berkenaan selepas kejadian.

“Selain daripada komen dan kritikan yang diberikan oleh tertuduh mengenai keterangan pengadu dan lain-lain saksi pendakwaan, adalah penting untuk menyatakan bahawa tertuduh tidak pernah memberikan versinya mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada 26 Jun 2008 di antara 3.01 dan 4.30 petang di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, tempat kejadian itu didakwa berlaku,” hujahnya.

Mengenai isu konspirasi pula, Mohd. Yusof berhujah, Anwar sendiri, dalam afidavit yang difailkan sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan permohonan mengetepikan sapina, menyatakan bahawa tujuan beliau memanggil pasangan itu bukanlah untuk menuduh mereka terlibat dalam konspirasi.

Secara keseluruhannya, hanya sedikit keterangan Anwar dari kandang tertuduh yang mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi olehnya.

Sementara itu, menurut Mohd. Yusof, saksi penyanggah, Dr. S. Jeyaindran sewaktu disoal balas oleh peguam bela, Sankara Nair menyatakan Anwar tidak langsung menunjukkan rasa sakit sewaktu pemeriksaan doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 16 Julai 2008 malah mampu menanggalkan pakaiannya dan duduk di meja pemeriksaan tanpa bantuan mahupun dibatasi rasa sakit.

“Ini adalah penting kerana pemerhatian ini dibuat oleh seorang doktor yang telah membuat pemeriksaan ke atas tertuduh pada 16 Julai 2008 iaitu kurang sebulan dari tarikh kejadian didakwa berlaku berbanding Dr. Thomas Hoogland yang tidak pernah berjumpa dengan tertuduh untuk tempoh enam tahun selepas pembedahannya pada 2004,” kata Mohd. Yusof.

Mengenai seorang lagi saksi pakar luar negara, Dr. Brian McDonald, Mohd. Yusof menyifatkan saksi tersebut adalah saksi pakar berbayar yang tidak mempunyai pengalaman langsung dalam menjalankan pelbagai ujian analisis asid deoksiribonukleik (DNA) berbanding pakar kimia tempatan Dr. Seah Lay Hong.

Tindakan pakar luar negara itu memberikan komen-komen liar dan menyatakan bahawa langkah-langkah yang dibuat oleh Lay Hong dalam menjalankan analisis DNA adalah kerja-kerja yang hanya dilakukan oleh robot di negaranya adalah satu perkara yang sangat dipertikaikan dan menyeleweng.

“Bukan sahaja dalam kes kita, malah kes-kes lain juga kredibiliti, kepakaran, kelayakan dan objektiviti Dr. McDonald telah dipertikaikan. Antaranya dalam kes Robert Charles Bropho apabila hakim Goetze DCJ telah menolak keterangannya,” kata Mohd. Yusof.

Timbalan Pendakwa Raya itu untuk beberapa minit yang berikutnya menyenaraikan beberapa lagi kes luar negara yang mana hakim-hakim yang mengendalikan kes tersebut mempertikaikan ‘kepakaran’ McDonald.

“Atas segala bukti yang dikemukakan oleh pembelaan di akhir kesnya, adalah jelas bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Kesalahan melakukan hubungan seks luar tabii yang dilakukan oleh tertuduh telah berjaya dibuktikan melangkaui keraguan munasabah. Tertuduh perlu disabitkan dengan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” kata Mohd. Yusof.

Sebelum mengakhiri hujahnya, Peguam Cara Negara II itu memetik kata-kata seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang antaranya menyebut bahawa keterangan tertuduh yang dibuat melalui kandang tertuduh, yang tidak boleh disoal balas oleh sesiapa tidak boleh diberi beban pembuktian yang sama dengan seseorang yang memberi keterangan dari kandang saksi.

Sejurus selepas Mohd. Yusof selesai berhujah, peguam bela utama tertuduh, Karpal Singh memohon agar pihaknya diberi masa untuk membuat hujah balas.

Mahkamah menetapkan Khamis ini untuk barisan pembelaan berbuat demikian.

/hwa: utusan.com.my | 15/12/11

NFC jangan bebankan UMNO - Syed Ali

KUALA LUMPUR 13 Dis. — Kontroversi melibatkan syarikat Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) tidak wajar dibiarkan membebankan UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Mengingatkan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail supaya tidak membebankan UMNO dengan isu syarikat itu, beliau berkata sikap berdiam diri dan enggan tampil menjawab segala tuduhan yang dilemparkan pembangkang terutama menerusi laman-laman blog, boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, kalau benar tiada penyelewengan, buatlah penjelasan terbuka secara terperinci dan kalau salah, ambillah tanggungjawab kerana wang terlibat adalah hak rakyat.

"Hari ini orang bercakap NFC itu ada kaitan dengan UMNO, parti dituduh lindungi penyelewengan dan sebagainya, tentulah tidak adil kerana UMNO tiada kaitan dengannya.

"Kita di bawah (peringkat cawangan dan bahagian) diserang dengan macam-macam tuduhan pasal NFC, malah ada yang kata UMNO bela lembu untuk kepentingan Shahrizat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil), apa yang kita nak jawab dan siapa yang perlu bertanggungjawab?" katanya dalam entri terbaru laman blog Umnocheras.blogspot.com.

Oleh itu, katanya, jalan terbaik ialah Mohamad Salleh perlu berterus-terang manakala isteri beliau pula, Shahrizat perlu segera melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.

Paling sedih, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi sasaran pembangkang apabila dilemparkan tuduhan kononnya melindungi keluarga Shahrizat.

"Mengapa pula UMNO, Najib dan Muhyiddin yang jadi sasaran, takkan kerana isu NFC dan Shahrizat pula pegang jawatan Ketua Wanita UMNO, mereka berdua dipaksa memikul biawak hidup, tentulah tidak adil dan kejam persepsi sedemikian," katanya.

Beliau berkata itulah kaitan yang sedang hebat disebarkan pembangkang dalam usaha mereka menjatuhkan kerajaan BN.

Syed Ali mengulas desakan Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi terhadap Mohamad Salleh agar lebih agresif menjawab tuduhan terbaru mengenai projek NFC bagi mengelak rakyat berterusan menyalahkan kerajaan.

Puad berkata, tuduhan terbaru berhubung pembelian tanah di Putrajaya, menerima elaun RM100,000 dan memberi elaun RM40,000 kepada anak sendiri serta pembelian kereta mewah, yang kesemuanya menggunakan dana syarikat, perlu dijawab segera bagi mengelakkan kekeliruan selain turut memberi kesan negatif terhadap kerajaan.

Antara yang turut bersuara meminta Shahrizat meletak jawatan ekoran isu ini ialah Anggota Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghafur Salleh dan timbalan setiausaha Pemuda MCA Loh Chew Jun. - BERNAMA

/hwa: utusan.com.my | 15/12/11

11 Disember 2011

Selepas Perhimpunan Agung UMNO

Oleh Mior Kamarul Shahid

2011/12/11
SEHARI selepas Perhimpunan Agung UMNO 2011 minggu lalu, pemimpin pembangkang tergesa-gesa berkumpul di satu majlis yang mereka namakan Rapat Rakyat di Shah Alam, Selangor. Tentunya Rapat ini dirancang lebih awal, yang sengaja diatur kononnya untuk mematah apa juga hujah yang tercetus pada Perhimpunan Agung UMNO itu. Ini menunjukkan mereka cuak kepada kesan Perhimpunan Agung UMNO itu. Jika tidak, apa perlunya mereka memanggil rapat itu. Mereka bimbang impak perhimpunan itu akan melemahkan pengaruh pembangkang. Mereka tahu Perhimpunan Agung UMNO mampu meneguhkan pengaruh UMNO termasuk menarik kalangan orang muda dan kumpulan atas pagar untuk menyokong parti itu. Agaknya akibat bimbang pengaruh UMNO terus berkembang, maka ia memaksa pembangkang yang semakin terdesak, untuk bertindak balas. Pembangkang mengelabah kerana berasakan sokongan terhadap UMNO kian meningkat. Ini menunjukkan momokan mereka kononnya untuk merampas Putrajaya sebagaimana mereka laungkan, hanyalah omong kosong. Hakikatnya mereka begitu takut menghadapi Barisan Nasional (BN) yang sudah bangkit daripada kejutan pada pilihan raya 2008.

Selepas seminggu berlalu, perwakilan masih bercakap mengenai setiap detik dan peristiwa sepanjang perhimpunan yang berakhir 3 Disember itu. Mereka masih mengingati segala ucapan, ungkapan, seloka dan kenangan manis sewaktu berada di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu. Berasas kepada maklum balas di beberapa bahagian UMNO, menunjukkan bahang perhimpunan itu masih belum reda. Orang UMNO terus berbincang mengenainya bila mereka bersua muka di mana saja. Bagi mereka yang tidak memihak kepada UMNO, mereka bercakap mengenainya tetapi dengan nada yang berbeza untuk mencari kesalahan, jika ada. Disebabkan rata-rata orang mengatakan perhimpunan agung itu adalah yang terakhir sebelum PRU-13, momentum yang meningkat mengenainya tidak boleh dimatikan. Ini adalah cabaran getir pertama kepada setiap perwakilan UMNO untuk memastikan setiap hujah, nasihat, pandangan dan arahan, disampaikan ke peringkat akar umbi. Semangat yang membara itu perlu diteruskan selama yang boleh. Paling lama, mereka mesti mampu bertahan sehingga April 2013, sebelum tempoh kerajaan hari ini berakhir. Ia menjadi ujian ketahanan mental sehinggalah PRU-13. Jika semangat perwakilan sendiri suam sebelum tiba masanya, bermakna mereka bukanlah orang UMNO sejati.
Bagi mengisi fasa pertama selepas Perhimpunan Agung UMNO itu, setiap perwakilan perlu pastikan mereka sudah pun memanjangkan segala maklumat yang mereka peroleh dan pelajari kepada akar umbi supaya mereka faham perkembangan semasa, khasnya perkara yang dibincangkan pada perhimpunan itu ketika ia masih panas. Dengan ini, setiap orang UMNO akan mempunyai maklumat yang kemas kini dan terbaru. Jika terlalu sibuk atau mengambil masa terlalu panjang untuk berbuat demikian, mungkin maklumat yang ahli mereka peroleh kelak, datangnya daripada orang lain dan mungkin sudah ditokok tambah. Sebenarnya, momentum bagi menghadapi pilihan raya, sudah pun dirasai. Cuma, yang belum pasti, adakah momentum itu tulen, sengaja dibuat-buat atau ia reaksi spontan. Apa pun, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mempunyai penilaian yang berbeza. Beliau tentunya tidak mahu membuat penilaian yang salah. Tidak ada orang lain yang mampu membuat penilaian paling tepat selain Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana beliaulah yang mempunyai segala maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber. Dengan segala maklumat inilah beliau membuat perkiraan dan memutuskan tarikh pilihan raya. Buat masa ini, beliau membenarkan setiap orang membuat ramalan.
Soalnya, apakah BN sudah benar-benar bersedia untuk masuk ke gelanggang. Sekadar untuk menang pilihan raya kali ini, BN tidak perlu fikir panjang, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa. Atas kertas dan berasaskan sokongan rakyat, BN tidak ada masalah untuk terus kekal mentadbir kerajaan. Rakyat pasti akan terus memberi mandat kepada BN. Oleh itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dibubarkan pada bila-bila masa. Tapi, jika mahu menang selesa atau majoriti 2/3, BN memerlukan strategi tersendiri. Strategi tidak boleh dihebohkan kerana ia tidak lagi menjadi strategi jika sudah menjadi pengetahuan umum. Ramai yakin, Najib masih lagi mengumpul dan menganalisis data serta maklumat sebelum beliau membuat ketetapan mengenai tarikh pilihan raya. Tentulah perkiraan beliau berbeza daripada pemimpin pembangkang. Pemimpin pembangkang terpaksa akur kepada tarikh yang ditetapkan walaupun kerajaan-kerajaan negeri milik pembangkang, boleh untuk tidak mengikut pilihan raya pada tarikh yang ditetapkan. Sebenarnya, pembangkang berada dalam dilema jika enggan membubar DUN kerajaan negeri masing-masing. Berasaskan ramalan, keputusan pilihan raya memihak kepada BN. Ia akan memberi kesan besar kepada pembangkang. Apabila kerajaan negeri pembangkang membubarkan DUN masing-masing secara berasingan nanti, mereka akan digempur. Ini adalah antara perkara yang difikirkan oleh pembangkang.

Pada masa ini pembangkang berada pada tahap tidak selesa kerana sokongan terhadap parti mereka kian merosot. Dengan perebutan kerusi dan perbalahan calon yang berlaku dalam parti pembangkang, mereka sebenarnya menunggu masa untuk mengisytihar perang sesama sendiri. Pengundi sedar PAS terdesak mengharapkan undi kaum Cina untuk membolehkan mereka menang di kawasan majoriti Melayu. PAS membuat congakan, jika mereka mendapat sebahagian undi Melayu dan memperoleh sebahagian undi bukan Melayu, mereka meramalkan boleh menang. Itulah sebabnya PAS sanggup mengubah prinsip perjuangannya daripada memperjuangkan penubuhan negara Islam dengan pelaksanaan hukum hudud kepada negara berkebajikan. Kemudian kepada memperjuangkan semula negara Islam. Kemudian, selepas dibantah oleh DAP, maka PAS mengubah semula pendiriannya kepada perjuangan yang tidak tentu hala. Itulah sebabnya, perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud tidak akan dimasukkan dalam manifesto parti itu. PAS sebenarnya terpaksa memikirkan bahawa sekiranya sebelum ini orang Melayu mengubah pendirian mereka menyokong parti itu, kali ini orang Melayu berbalik kepada BN. Orang Melayu dan Islam atas pagar sukar menerima PAS yang akur kepada tuntutan DAP. Orang Cina yang menyokong PAS sebelum ini juga tahu bahawa PAS hanya mahukan undi mereka untuk memastikan parti itu menang. Orang Cina sebenarnya tidak yakin kepada PAS kerana parti itu mungkin melaksanakan hudud setelah mendapat kuasa kerana parti itu berasaskan agama. Dalam fikiran mereka, PAS akan bertegas mengenai hudud selepas mereka mendapat kuasa.

Begitu juga, bukanlah mudah bagi orang Melayu untuk mengundi calon DAP. Mereka sudah pun melihat belang DAP di Pulau Pinang, kekecohan yang mereka lakukan di Perak dan kelam-kabut yang terjadi di Parlimen. Rakyat sudah nampak bahawa apa yang mereka lakukan itu bukanlah untuk kepentingan negara tetapi untuk peribadi. Sokongan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula kian pudar kerana tidak lagi mendapat sokongan pengundi. Setiap hari ramai yang keluar daripada parti itu kerana sedar parti itu tidak mempunyai perjuangan yang jelas. Selepas memerintah empat tahun di Selangor rakyat menganggap sokongan kepada parti itu adalah sia-sia. Di Pulau Pinang pula, sokongan orang Melayu terhadap kerajaan negeri boleh dikatakan malap tetapi mereka mengharapkan undi kaum Cina. Di Kedah, rakyat mendapati kerajaan negeri lesu. Mereka akan menentukan sama ada mahu terus lesu atau maju. Jika mahu maju, mereka perlu mengubah kerajaan negeri. Di Kelantan, kerajaan negeri tidak boleh lagi begitu yakin untuk menang kerana kali ini kejutan mungkin berlaku terutamanya kerana mereka mahu pemimpin dan parti yang dinamik seperti BN, bukan pemimpin yang tidak ada pemikiran baru.

/hwa: bharian.com.my | 11/12/11

Hasan Ali digugur

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali digugurkan daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Sumber-sumber mengesahkan bahawa nama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia itu telah ‘disingkirkan’ oleh Pas Selangor dan pada masa sama Pas Pusat merestui pengguguran tersebut.

Mingguan Malaysia difahamkan Pas Pusat turut menggugurkan beberapa pemimpin Pas yang selama ini tidak disenangi oleh kumpulan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Erdogan dan antaranya bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (gambar).

Pengguguran Hasan sebagai calon Pas pada pilihan raya umum nanti sememangnya telah dijangka dan ia hangat diperbincangkan di blog-blog tempatan sejak semalam seperti MyKMU.net, brojinggo.blogspot.com dan darikakigunungjerai.blogspot.com.

Ia berikutan kenyataan Ketua Penerangan Pas Selangor, Shaari Sungib yang dipaparkan dalam beberapa blog bahawa kemungkinan besar Hasan akan digugurkan daripada menjadi calon parti itu pada PRU13.

Shaari memberi alasan bahawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi dari setiap cawangan.

Bagaimanapun, Mingguan Malaysia difahamkan pengguguran Hasan sebagai calon Pas ada kaitan dengan dakwaan yang mengatakan ADUN Gombak Setia itu menjadi duri dalam daging bagi Pas Selangor dan pakatan pembangkang terutama DAP.

Ia berikutan beberapa tindakan Hasan yang mengundang kritikan terbuka pemimpin Pas Selangor seperti Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad terutama berkaitan dengan tugasnya sebagai exco menjaga hal ehwal agama.

Antaranya, isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikatakan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu ekoran pendedahan terdapat gerakan tersusun kumpulan tertentu untuk memurtadkan orang Islam.

Selain Khalid isu itu turut kurang disenangi oleh kepimpinan negeri walaupun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa berdasarkan siasatan JAIS terdapat cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam.

Dalam isu tersebut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Khalid sendiri telah memohon maaf kepada pihak gereja sebelum laporan penuh berhubung insiden itu dikeluarkan oleh pihak JAIS.

Begitu juga dengan DAP, parti itu dikatakan tidak begitu senang dengan Hasan berikutan beberapa tindakan antaranya kes rampasan arak di kedai 24 jam di Shah Alam hingga menyebabkan berlaku pertelingkahan antara beliau dengan seorang lagi Exco Selangor, Ronnie Liu.

Akhirnya arak yang dirampas itu dikatakan dipulangkan semula kepada kedai tersebut dalam kejadian yang berlaku pada Julai 2009.

Ekoran daripada insiden itu, DAP dikatakan mula kurang menyenangi Hasan kerana pendiriannya yang begitu tegas dalam soal berkaitan memelihara kesucian agama Islam di Selangor.

Hasan juga kurang disenangi kepimpinan Pas negeri dan rakan sekutu mereka sama ada DAP atau Parti Keadilan Rakyat berikutan sokongannya terhadap usaha menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO. Kesan daripada sokongan itu pada Muktamar Tahunan Pas 2011, Jun lalu beliau digugur sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.

Hasan merupakan seorang pemimpin yang popular di kalangan umat Islam sama ada di Selangor mahu pun di seluruh negara.

Ia ekoran komitmennya memelihara kesucian akidah umat Islam di Selangor dan contoh terbaik langkah JAIS mengadakan pemeriksaan terhadap DUMC selepas menerima laporan wujudnya usaha memurtadkan umat Islam di premis tersebut.

/hwa: utusan.com.my | 11/12/11

Rakyat mahu transformasi

Oleh Herman Hamid

PERTH 10 Dis. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu tidak seharusnya dilihat sebagai inisiatif kerajaan semata-mata sebaliknya ia adalah sesuatu yang sememangnya dimahukan rakyat dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebab itu pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam melaksanakan usaha transformasi mengambil kira apa yang dimahukan semua pihak selain turut membawa rakyat bersama-sama menjayakannya.

‘‘Alhamdulillah saya ingin memaklumkan bahawa segala langkah yang telah dimulakan seperti transformasi kerajaan menerusi pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berjaya mencatat kemajuan yang luar biasa.

‘‘Malah kesemuanya telah melepasi sasaran yang ditetapkan. Tak mungkin ia boleh berjaya sekiranya inisiatif ini dilihat usaha kerajaan sahaja manakala rakyat pula melihat yang mereka harus menerima apa yang dilakukan.

‘‘Namun pada masa sama saya akui ekonomi kita harus terus rancak dan cabarannya memang besar ketika dunia berhadapan krisis seperti yang berlaku di negara Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertemuan Bersama Rakyat Malaysia di sini malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Konsul Besar Malaysia di Perth, Hamidah Ashari, Presiden Kelab UMNO Australia Barat, Dr. Isharuddin Mad Isa dan mahasiswa Malaysia yang menuntut di universiti sekitar Perth.

Menurut Muhyiddin, dasar transformasi yang sedang dilakukan kerajaan kini membuktikan Malaysia sudah berada pada satu tahap yang jauh lebih matang berbanding tempoh 10 tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua ini berlaku kerana masyarakat hari ini mengetahui apakah hak dan keutamaan dalam sistem demokrasi yang mana rakyat dapat menyertai dalam proses membuat keputusan.

Katanya, di pihak kerajaan yang bertanggungjawab pula, bukan sahaja perlu prihatin tetapi bertindak di atas lunas undang-undang untuk melakukan penambahbaikan dalam kehidupan.

‘‘Disebabkan itu transformasi yang dimulakan ini selaras dengan aspirasi negara dan memenuhi tuntutan semasa rakyat,” katanya. – MINGGUAN

/hwa: utusan.com.my | 11/12/11

3,000 saksi gerhana bulan penuh

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kira-kira 3,000 pengunjung bertumpu di Planetarium Negara untuk menyaksikan gerhana bulan penuh yang terakhir pada tahun ini bermula pukul 7.35 malam hingga 1.30 pagi.

Fenomena itu hanya dapat disaksikan semula oleh rakyat Malaysia pada 2014.

Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad; Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari dan Timbalannya, Dr. Nordin Ahmad turut menyertai orang ramai menyaksikan fenomena itu.

Azreena ketika ditemui berkata, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan apabila ia melintasi bayang bumi.

“Gerhana pada malam ini bermula dengan fasa penuh penumbra pada pukul 7.34 malam (waktu tempatan), tetapi kesan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayangan penumbra bumi yang kurang gelap.

“Gerhana jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi mulai pukul 8.46 malam sehingga gerhana maksimum pada pukul 10.32 malam ini.

“Bulan akan mula keluar daripada bayang umbra bumi pada pukul 10.57 malam dan keluar sepenuhnya pada pukul 12.18 tengah malam ini,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 11/12/11

8 Disember 2011

Tiada hudud dalam manifesto

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 7 Dis. - Pas tidak akan memasukkan pelaksanaan undang-undang hudud dalam manifesto pilihan raya pakatan pembangkang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan demikian dengan berkata, manifesto tidak perlu disebut secara terperinci.

"Bila sebut konsep yang adil, mencegah kemungkaran, ia isu yang sudah berkait dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata, Islam akan menterjemah secara jelas mengenai pelaksanaannya jika pakatan pembangkang memerintah kerana ia agama yang menyeluruh.

Namun, katanya, ia harus mengikut turutan dengan mukadimahnya sambil memberi contoh untuk memulakan solat perlu mengambil wuduk terlebih dahulu.

"Kita pilih negeri-negeri yang kita (Pas) ada kuasa sepenuhnya dan kita menerima pendapat supaya orang bukan Islam tidak dipaksa.

"Biar mereka melihat terlebih dahulu, sekiranya mereka melihat, mereka boleh terima," ujar beliau.

Ditanya kemungkinan Pas tidak mampu mencorak hala tuju yang diperjuangkan parti itu, beliau berkata, semua parti telah menerima Islam dan Melayu sebagai teras kepimpinan negara.

Terdahulu semasa sesi perbahasan, penyokong kerajaan Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) menempelak Pas kerana pendekatan parti itu lebih memberi peluang kepada DAP untuk menggantikan tempatnya.

/hwa: utusan.com.my | 8/12/11

6 Disember 2011

Jangan cuit perasaan Melayu

Oleh AZIAN AZIZ dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDDEN
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak menerima cenderahati daripada Jamaludin Yusof (tiga dari kanan) dan Ramli Norani (tiga dari kiri) selepas majlis sepetang bersama Perdana Menteri pada Perhimpunan Perdana Pekida di Dewan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 5 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak lagi mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mempertikaikan hak dan keistimewaan kaum itu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegas Perdana Menteri, apa yang termaktub dalam Perlembagaan telah membolehkan kerajaan memerintah dan membina sebuah negara yang adil serta saksama untuk semua kaum.

Beliau berkata, cubaan mempersoalkan dasar untuk membantu orang Melayu dan bumiputera tidak sepatutnya berlaku lagi kerana golongan itu tidak pernah mempersoalkan apa yang diperolehi kaum lain.

"Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis dan bersikap pelampau kerana sejak merdeka orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang (dirasa) adil kepada mereka (bukan Melayu).

"Orang Melayu telah menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang aman, bersatu dan lebih makmur serta mengamalkan wassatiyyah (kesederhanaan) sejak dulu lagi.

"Jadi jangan sesekali cuba mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mengubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang sudah kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida): Sepetang Bersama Perdana Menteri di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri lebih 10,000 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli Pekida turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Pekida, Jamaludin Yusof dan Timbalannya, Datuk Ramli Norani.

Perdana Menteri turut menyelar cubaan memburuk-burukkan imej dan peribadi pemimpin BN antaranya dengan menghina warna kulit seperti 'hitam metalik' dan sebagainya.

Hakikatnya kata beliau, mereka datang daripada golongan anak nelayan, anak petani yang susah tetapi berusaha keras sehingga berjaya menjadi pemimpin.

"Saya bangga mereka berjaya kerana bersungguh-sungguh mencari ilmu, kerana dasar yang kita perjuangkan selama ini. Inilah sistem yang kita bina selama ini dan selepas ini masa depan ramai lagi anak nelayan, buruh, petani akan lebih berjaya dan kita akan lakukan yang terbaik untuk mereka," katanya.

Menyentuh mengenai perhimpunan tersebut, Perdana Menteri menyifatkannya sebagai satu perhimpunan yang luar biasa, bersejarah serta terbesar bagi Pekida yang semangatnya sama seperti semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan perjuangan Pekida dalam mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam selama ini.

"Pekida adalah sebuah pertubuhan yang tidak pernah malap jauh sekali berkubur sebaliknya tetap menjadi pertubuhan yang ada kekuatan dan tidak dapat kita sangsi dan nafikan dari segi semangat, roh untuk berjuang habis-habisan mempertahankan apa yang difikirkan mulia dan suci.

"Saya yakin Pekida akan terus menegakkan pemerintahan yang mempertahankan maruah dan martabat umat Islam di Tanah Melayu," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 6/12/11

Bersatu pertahankan maruah

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

SULTAN Sharafuddin Idris Shah menjadi tumpuan semasa sesi bergambar bersama kakitangan Kumpulan Utusan sempena lawatan baginda ke Kompleks Percetakan Sri Utusan, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya bersatu demi mempertahankan maruah bangsa dan agama daripada dicaci dan dihina.

Baginda bertitah, perpaduan itu penting bagi membolehkan orang Melayu dan umat Islam bangkit mempertahankan kesucian dan maruah bangsa serta agama.

“Beta tidak mahu melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini berpecah-belah. Bukan maksud beta orang Melayu itu bersatu untuk berperang dengan bangsa lain. Bukan juga bermaksud antara UMNO dan Pas perlu ‘berkahwin’ sebab bukan hak beta untuk mencampuri urusan politik.

“Tetapi kita (orang Melayu dan umat Islam) bersatu apabila agama dan bangsa kita dicaci dan dihina,” titah baginda ketika mencemar duli berangkat melawat Kompleks Sri Utusan di Bandar Baru Bangi hari ini.

Baginda diiringi oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Ramli Alhaj dan Setiausaha Sulit, Datuk Mohamad Munir Bani.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Pengurus Besar Pengeluaran, Ahmad Khairumuzammil Abd. Rahman.

Dalam lawatan yang mengembalikan nostalgia kunjungan baginda ke Utusan Melayu semasa menjadi Raja Muda pada 9 Mei 1974, Sultan Selangor diberi penerangan ringkas perkembangan semasa Kumpulan Utusan.

Baginda yang turut beramah mesra dengan kakitangan Utusan berkenan menekan butang operasi di meja kawalan mesin cetak yang mencetak 500 naskhah akhbar khas Utusan Malaysia lapan muka surat yang memuatkan pelbagai kisah menarik mengenai baginda.

Dalam titah baginda juga, Sultan Selangor menyeru kalangan korporat Melayu yang berjaya untuk membantu dan memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

Titah baginda, akhbar ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menyedarkan masyarakat Melayu khususnya ke arah perpaduan bangsa serta mempertahankan agama Islam.

“Apabila beta bercakap tentang Melayu dan disiarkan Utusan Malaysia, rakyat kata beta orang Utusan Malaysia. Tapi beta tidak ada share (saham) pun dengan Utusan Malaysia.

“Begitu juga apabila beta menegur orang Melayu dalam kes derhaka terhadap Sultan Perak (Sultan Azlah Shah), ada kata beta orang UMNO. Sebenarnya tidak, sebab UMNO itu UMNO lah.

“Tetapi apa yang menjadi perhatian beta adalah supaya agama Islam dan bangsa Melayu itu dipertahankan. Orang Melayu kita biarlah beradab dan jangan kurang ajar,” titah baginda.

Sementara itu, dalam perutusan baginda sempena lawatan berkenaan, Sultan Selangor bertitah, peranan akhbar di negara ini masih penting dan relevan walaupun mendapat saingan hebat daripada akhbar dalam talian seperti portal berita, laman blog dan medium-medium berita lain.

Titah baginda, kehadiran Internet juga menyebabkan hampir semua akhbar kini bersaing memperkenalkan versi dalam talian seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

/hwa: utusan.com.my | 6/12/11

Nik Aziz tidak akan bertanggungjawab

KOTA BHARU 5 Dis. - Walaupun menegaskan nabi dan ulama tidak boleh disamakan, namun Datuk Nik Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan, beliau tidak akan bertanggungjawab terhadap tindakan seorang penceramah, Shamsul Zaman Sukri atau 'Ustaz Budak' menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan nabi.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan tersebut berkata, beliau tidak berasa duka cita dengan tindakan penceramah Pas terbabit walaupun ia menyentuh soal akidah.

Berdasarkan pendirian itu, katanya, beliau berpendapat tidak perlu memberi nasihat kepada penyokong Pas supaya tidak terlalu taksub dengan pemimpin.

"Saya tidak tahu hujung pangkal 'budak' itu (Shamsul Zaman), jadi saya tak mahu jawab yang itu. Saya tidak bertanggungjawab, dia kena tanggungjawab, saya tidak hubungi budak itu, pihak lainlah yang menghubungi budak itu.

"Saya hendak jawab begini, kalau orang menyamakan saya dengan nabi adalah kufur, maka orang Islam tolak Islam juga kufur, sama ada tolak Islam berganti dengan demokrasi atau kebangsaan juga boleh membawa kepada kufur serupa jugalah. Saya tidak ada apa (dukacita), dia kata," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya di JKR 10 di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sebuah badan pemikir dan beberapa tokoh agama di negeri ini menyifatkan tindakan seorang penceramah Pas menyamakan Nik Aziz dengan nabi sebagai sesat dan membawa kepada kekufuran.

Mereka turut berpendapat bahawa ikon Pas tersebut perlu bertanggungjawab kerana beliau yang membuatkan penyokong parti tersebut taksub kepada pemimpin.

Ia ekoran pendedahan rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang menyamakan Nik Aziz dengan nabi dengan bersandarkan hujah 'ulama adalah pewaris nabi' oleh sebuah portal, detikperubahan.com.

/hwa: utusan.com.my | 6/12/11

Portal IslamGRID rujukan tepat berkaitan Islam

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Portal IslamGRID dilancarkan hari ini bertujuan menyediakan wadah rujukan yang tepat bagi mendapatkan panduan, bimbingan dan penerangan berkaitan agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pelaksanaan menerusi sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu diharap dapat dimanfaat oleh seluruh masyarakat di negara ini.

Menurut beliau, portal tersebut menyediakan panduan meliputi semua bidang dalam Islam antaranya soal jawab agama, rujukan al-Quran dan hadis, ibadat haji, wakaf dan status makanan halal.

"Portal IslamGRID bukan sekadar tentang soal jawab agama, tetapi ia diibarat seperti Google yang boleh dilayari bagi mendapatkan apa sahaja maklumat yang tepat tentang Islam," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran tersebut di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Jamil Khir turut melancarkan seminar kali kedua IslamGRID, Pelan Strategik Teknologi Maklumat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2011-2014 serta program realiti TV, Adik-Adikku musim ketiga.

Jamil Khir berkata, portal kerjasama pintar antara Jakim dan MAMPU itu merupakan satu bentuk dakwah baru kepada masyarakat.

Katanya, ia turut membabitkan para pegawai Jakim dalam memberi input dan kepakaran masing-masing khususnya dalam penyediaan kandungan portal yang sahih dan berwibawa.

"Kita menyedari bahawa semua teknologi itu adalah alat dan saluran. Di samping kandungan yang baik dan bermanfaat ia membenarkan juga penyebaran kandungan dari luar yang 'tidak baik'," katanya.

"Justeru portal ini menyediakan kandungan berasaskan Islam yang tulen dan sebenar bagi mengimbangi 'kebanjiran kandungan luar' yang boleh mengancam akidah dan nilai moral umat Islam," katanya.

Beliau berkata, portal tersebut juga merangkumi aktiviti, program dan projek ICT Islam yang diterajui Jakim serta melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

/hwa: utusan.com.my | 6/12/11

'Ustaz Budak' perlu bertaubat - Mufti

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 5 Dis. - Penceramah Pas, Shamsul Zaman Sukri atau 'Ustaz Budak' perlu bertaubat kerana menyamakan golongan ulama dan Musyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan nabi.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tidak ada manusia yang boleh menyamakan manusia lain dengan nabi kerana nabi itu seorang yang maksum dan sempurna sifatnya.

Beliau menjelaskan, maksud hadis 'ulama pewaris nabi' sebenarnya merujuk kepada tugas dan peranan para nabi yang diwarisi oleh golongan ulama dalam menyampaikan dakwah.

"Nabi mewarisi akhlak baik, ulama kena tiru. Kalau nabi jalankan seruan dakwah, ulama kena teruskan gerakan dakwah, tapi dia tak boleh disamakan, salah dari segi akidah. Nabi itu dilantik Tuhan.

"Nabi tidak mewarisi harta dia tinggal ilmu, ulama mewarisi ilmu. Masyarakat kena faham akan maksud ulama pewaris nabi, iaitu ulama mewarisi al-Quran dan sunnah. Tugas ulama melaksanakan ajaran al-Quran dan sunnah.

"Tak boleh samakan ulama dengan nabi, ini boleh timbulkan krisis akidah dan kena bertaubat. Orang yang buat salah kena bertaubat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebuah badan pemikir dan beberapa tokoh agama di negeri ini semalam menyifatkan tindakan 'Ustaz Budak' itu menyamakan Nik Aziz dengan nabi, sebagai sesat dan membawa kepada kukufuran.

Justeru, mereka mendesak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengambil tindakan tegas ke atas Shamsul Zaman kerana bimbang ucapan orang fanatik seperti itu akan menjadi wabak dan malapetaka kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, sekiranya individu terbabit sedar dan tahu apa yang dikatakannya, ia boleh menyebabkannya tergelincir akidah serta perlu bertaubat.

Sebaliknya, jelas beliau, individu terbabit boleh dimaafkan sekiranya membuat kenyataan tersebut kerana kejahilannya.

"Tugas nabi ialah tabligh iaitu menyampaikan ajaran al-Quran dan ulama kena sampaikan, nabi jelaskan kandungan kita suci, maka ulama juga perlu jelaskan, nabi dulu adalah penyelesai kepada masalah, maka ulama juga dia perlu menjadi penyelesai kepada masalah serta perbalahan.

"Nabi mengikut riwayat A'isah, contoh atau praktik isu kandungan al-Quran, maka tugas ulama juga mempraktikkan, nabi pamer akhlak al-Quran ulama juga, itu yang dikatakan pewaris nabi," jelasnya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan bahawa mana-mana umat Islam yang membuat pengakuan bahawa ulama adalah nabi, wajib bertaubat dan perlu melafaz semula dua kalimah syahadah.

Selain itu, menurut beliau, mereka yang bersetuju dengan pengakuan itu juga adalah berdosa besar kerana dianggap bersubahat.

Ini kerana, katanya, Allah menyatakan dengan jelas dalam al-Quran bahawa Nabi Muhammad SAW adalah penyudah segala nabi yang diturunkan sebelum baginda.

"Kalau sayang sangat kepada ulama, jangan sampai menyamakan dengan nabi kerana tiada sesiapa pun yang sempurna kecuali nabi. Jangan terlampau taksub kepada parti kerana ia boleh membawa kepada kesesatan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan akidah dan boleh merosakkan iman seseorang.

Katanya, Jakim sedang melakukan siasatan ke atas penceramah itu berhubung ceramah yang diberikan.

"Percaya kepada nabi adalah rukun iman dan Rasulullah adalah nabi terakhir. Oleh itu, sekiranya ada pihak menyamakan seseorang dengan nabi, ia sama sekali salah," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 6/12/11

Pekida dukung 1Malaysia

SHAH ALAM 5 Dis. – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) memuji gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menganggapnya sebagai satu idea bijak dan berpandangan jauh.

Presidennya, Jamaludin Yusof berkata, penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini melalui pelaksanaan gagasan 1Malaysia diyakini mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing.

“Gagasan 1Malaysia merupakan satu tindakan bijak dan berpandangan jauh untuk penubuhan sebuah negara bangsa.

“Ia dapat memastikan semua rakyat tidak kira bangsa dan keturunan mempunyai perasaan tanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berjaya selain mampu bersaing dengan negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Perdana Pekida: Sepetang Bersama Perdana Menteri di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Jamaludin turut berikrar bahawa Pekida akan terus menyokong dasar-dasar kerajaan di bawah pemerintahan Perdana Menteri dan akan terus memastikan kuasa politik terus kekal dikuasai orang Melayu.

“Sekiranya kita (Melayu) tidak dapat menguasai politik negara, bagaimana untuk kita memantapkan agama Islam, menguasai semula ekonomi serta membina semula orang Melayu yang mampu berjaya dalam semua bidang sekali gus menjadikannya sebagai bangsa bermaruah.

“Untuk itu, kita semua perlu mengetepikan ideologi politik dan menumpukan kepada agenda mengekalkan kuasa Melayu dalam kebangkitan politik yang berterusan,” katanya.

Beliau juga menyeru kira-kira dua juta ahli Pekida di seluruh negara supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab serta bertolak-ansur supaya dihormati oleh masyarakat dan bukannya ditakuti dan digeruni.

/hwa: utusan.com.my | 06/12/11

5 Disember 2011

Dakyah Pas punca pengikut terpesong

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Tindakan seorang penceramah Pas menyamakan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi merupakan kesan daripada dakyah parti tersebut yang selama ini menggunakan sentimen keagamaan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, semuanya berpunca daripada Pas sendiri yang sering menggunakan pendekatan keagamaan untuk kepentingan politik mereka.

Katanya, walaupun hakikatnya Nik Abdul Aziz tidak melaksanakan tugasnya dengan baik di Kelantan, tetapi disebabkan pendekatan keagamaan yang telah diserapkan ke dalam diri rakyat negeri itu, mereka hanya mengikut tanpa membantah.

“Inilah akibatnya, sampai ada yang berani mengangkat beliau sebagai nabi walaupun umum tahu bahawa tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW. Sekiranya benar penceramah itu menyamakan Nik Aziz dengan nabi, maka dia telah sesat.

“Ini semua berpunca daripada dakyah Pas sendiri. Mereka menggunakan agama untuk politik sehingga rakyat menjadi terlalu taksub dengan memberi gelaran ‘Tok Guru’ dan sebagainya dan kali ini menyamakan pula dengan nabi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang penceramah Pas, Shamsul Zaman Sukri atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Budak’ yang menyamakan Nik Abdul Aziz dengan nabi dalam ceramahnya sebagaimana didedahkan melalui rakaman video oleh portal detikaperubahan.com baru-baru ini.

Menurut Nakhaie, fikiran pengikut Pas telah lama diracuni dengan dakyah-dakyah parti berkenaan sehingga segala yang dilakukan oleh pemimpinnya adalah betul.

“Inilah yang dibimbangkan. Fikiran pengikut Pas telah diracuni, mereka terlalu taksub dengan pemimpin parti, dengan Nik Aziz.

“Mungkin Pas tidak mempunyai maksud untuk mengangkat dan menyamakan Nik Aziz sebagai nabi, tetapi inilah kesannya dakyah-dakyah parti kepada pengikut mereka. Ketaksuban itu boleh menyebabkan golongan yang menyokong Pas seperti ‘Ustaz Budak’ ini terpesong,” jelasnya.

/hwa: utusan.com.my | 5/12/12

Kufur samakan dengan nabi

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 4 Dis. – Sebuah badan pemikir dan beberapa tokoh agama di negeri ini menyifatkan tindakan seorang penceramah Pas menyamakan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi sebagai sesat dan membawa kepada kekufuran.

Malah mereka turut mendesak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) mengambil tindakan ke atas Shamsul Zaman Sukri atau ‘Ustaz Budak’ kerana bimbang ucapan orang fanatik seperti itu akan menjadi wabak dan malapetaka kepada masyarakat.

Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa‘amah berkata, punca utama perkara tersebut berlaku adalah disebabkan jahil agama dan sikap terlalu mendewa-dewakan pemimpin.

“Orang Pas sememangnya taksub kepada pemimpin mereka dan tidak pelik perkara ini berlaku kerana sejarah telah membuktikannya, sebagai contoh di India kumpulan Qardiyani menganggap pemimpin mereka sebagai nabi.

“Hadis ulama pewaris nabi yang digunakan oleh Shamsul Zaman untuk merujuk Nik Aziz nabi adalah salah, ahli sunnah memahami ulama pewaris nabi dalam ilmu hukum dan meneruskan misi dakwah dan bukan menjadi nabi, kalau begitu semua ulama dari zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang berjuta-jutalah nabi.

“Kecintaan ‘Ustaz Budak’ itu kepada Nik Abdul Aziz keterlaluan dan melampaui batas sehingga mendewa-dewakannya melebihi segala-galanya sehingga tidak sedar batas-batas perkataan yang boleh membawa kufur atau murtad,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya MAIK menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap Shamsul Zaman yang menyamakan Nik Abdul Aziz dengan nabi.

Desakan tersebut dibuat selepas sebuah portal detikaperubahan.com mendedahkan rakaman video yang menunjukkan Shamsul Zaman telah menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan nabi berasaskan hadis, ‘ulama adalah perwaris nabi’.

Sementara itu, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, Nik Abdul Aziz juga perlu bertanggungjawab dalam isu tersebut kerana sikapnya yang membentuk penyokong Pas menjadi taksub dan menanam kebencian kepada umat Islam dalam UMNO.

“Pada setiap minggu di hadapan Pejabat Pas Kelantan, Nik Abdul Aziz mengajar orang ramai supaya menganggap orang UMNO tidak Islam kerana mahu orang UMNO dan Pas bermusuh serta menanam benih-benih benci terhadap pemimpin parti itu.

“Dia turut bertanggungjawab dan jangan mendiamkan diri, kerana membenarkan pembohongan dan terlalu suka kalau dia dipuji dan dipuja,” katanya yang secara sinis bertanya adakah Ustaz Budak itu sudah mumayiz, dapat membezakan baik dan buruk atau akil baligh sehingga mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Jurucakap sebuah pertubuhan yang menghimpunkan warga institusi pondok tradisional, Minda Pondok, Mohd. Saifuddin Abdul Rahman pula berkata, Shamsul Zaman wajib bertaubat kerana kenyataan itu amat bertentangan dengan Islam.

“Hadis nabi yang sahih sudah jelas iaitu ‘tiada nabi lagi selepas aku’. Jadi bagaimanapun pula kita boleh samakan Nik Abdul Aziz dengan nabi.

“Dalam Islam mengaku Imam Mahadi pun haram apatah lagi nabi, dahulu al-Arqam dikenakan tindakan kerana pemimpinnya mengaku Imam Mahadi, sebab itu JAIK kena ambil tindakan,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 05/12/11