29 Mac 2012

Silap hantar SMS, ADUN BN keluar Dewan

SHAH ALAM 27 Mac - Gara-gara Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim tersilap menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar daripada persidangan dewan itu.
Tindakan itu diambil sebagai tanda protes selepas mereka mendapati SMS berkenaan mengandungi permintaan Chang Khim agar semua Exco menggunakan peluang sepenuhnya pada sesi perbahasan untuk menyatakan kejayaan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dalam mentadbir negeri itu dalam tempoh empat tahun ini.
SMS yang dihantar oleh Chang Khim kepada semua Exco itu 'bocor' apabila ia turut dihantar kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali.
Ia didedahkan oleh Datuk Mohd. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) yang seterusnya mencetuskan rasa tidak puas hati ADUN BN kerana mereka menganggap Chang Kim tidak adil dan berat sebelah.
Bercakap kepada pemberita di luar dewan, Mohd. Shamsudin berkata, tindakan Chang Kim dilihat tidak wajar kerana dalam mengendalikan sidang DUN, beliau sepatutnya bersikap bebas dan tidak memihak pada mana-mana parti.
''Berdasarkan SMS itu, kita dapati Speaker tidak bebas, tidak adil dan sentiasa memantau tindakan Exco kerajaan negeri. Jika sikap ini yang diamalkan, bagaimana Speaker boleh mengendalikan sidang DUN," katanya.
Sementara itu, ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus turut menyifatkan tindakan Chang Khim itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana sidang DUN Selangor sebelum ini.
Katanya, Speaker DUN tidak boleh menghantar SMS sedemikian.
''Dalam hal ini, Speaker mengambil pendirian berat sebelah apabila hantar SMS yang memberi rangsangan kepada anggota Exco supaya menjawab tentang kebaikan pemerintahan pakatan pembangkang," katanya.
Dalam pada itu, Chang Khim ketika ditemui menafikan beliau berat sebelah apabila menghantar SMS berkenaan.
Sebaliknya, beliau memberi alasan tindakan itu adalah untuk memberi peringatan agar menggunakan peluang membahaskan sesuatu isu seperti mana yang dilakukan oleh Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari.
/HWA: utusan.com.my | 28/3/12

Azmin enggan ulas cabaran Hasan

KUALA LUMPUR 27 Mac - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang sebelum ini lantang mengkritik serta mempersoalkan setiap tindakan kerajaan serta pemimpin Barisan Naional (BN) hanya mampu terdiam terhadap cabaran yang dilontarkan oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berhubung sumber kewangannya ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994.
Beliau yang enggan mengulas cabaran tersebut sebaliknya terus mempersoalkan kos pengubahsuaian pejabat Hasan.
"Apa yang saya persoalkan adalah berdasarkan laporan audit, fakta dan juga angka. Beliau harus menjelaskannya tetapi tidak sangka pula akan memberi reaksi sedemikian," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Azmin mengulas cabaran Hasan yang mahu penjelasan mengenai butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 daripada terus mencari kesalahan orang lain.
Ahli Parlimen Gombak itu diminta segera berbuat demikian memandangkan wujud keraguan untuk seorang pegawai kerajaan biasa memiliki saham bernilai jutaan ringgit.
Dalam pada itu, Azmin yang tidak mengiya atau menafikan dakwaan Hasan itu terus mempersoalkan niat sebenar Pengerusi Jalur Tiga (Jati) tersebut.
"Sepatutnya beliau (Hasan) menegur dan menasihati supaya menghentikan tuduhan berbaur politik dan hentikan fitnah kerana ia merupakan peranan sebenar orang yang memperjuangkan Islam dan Melayu.
"Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau seolah-olah mempromosikan budaya politik seperti ini dan ia mengejutkan saya," katanya.
/HWA: utusan.com.my " 28/3/12

Pertelagahan dalam Pas terus berlaku

KOTA BHARU 27 Mac - Pendirian Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang tidak bersetuju dengan urus niaga bersama kaum Yahudi, menunjukkan pertelagahan terus berlaku dalam kepimpinan parti pembangkang itu.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, pertelagahan itu ibarat 'retak menunggu belah' dan diharap akan membawa kepada penyatuan umat Islam di negara ini.
Menurutnya, kenyataan Nasrudin yang dilihat bercanggah dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu membuktikan umat Islam di negara ini benar-benar mematuhi perintah Allah dalam soal hubungan dengan Yahudi.
Justeru, beliau meminta ahli Pas sama ada yang menyokong Nasrudin mahu pun Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi, supaya tidak mempertikaikan soal kerjasama dengan Yahudi itu kerana ia merupakan perkara kecil.
"Perkara lebih besar di hadapan kita ialah soal penyatuan umat Islam dan kestabilan politik negara.
"Kalau benar apa yang dikatakan oleh Ketua Pemuda Pas itu, maka sama-samalah kita mengutamakan kepentingan negara, jangan sampai kita mempertikaikan perkara muamalah.
"Ini kerana ada orang Pas kata boleh berurus niaga dengan Yahudi dan ada yang kata tidak boleh sehingga mengabaikan kepentingan asasi dalam masyarakat dan negara Islam iaitu menjaga agama, keselamatan dan keamanan, kecergasan minda, keturunan bangsa dan ekonomi negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai kenyataan Nasrudin dalam entri tidak bertarikh bertajuk 'Muamalah Dengan Yahudi' di blog Episod Sebuah Perjuangan di http://www.eperjuangan.com.
Dalam laporan itu, Nasrudin antara lain menyatakan adalah haram untuk berurus niaga dengan Yahudi tanpa mengira fahaman yang mereka anuti, termasuk Zionis.
Kenyataan beliau itu dilihat agak mengejutkan ketika Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi baru-baru ini secara terbuka menyatakan adalah tidak salah atau tidak haram untuk orang Islam berurus niaga dengan Yahudi selagi Yahudi tersebut tidak mempunyai agenda jahat atau berpegang dengan ideologi Zionis.
Mengulas lanjut kenyataan Nasrudin itu, Mohd. Noor yang juga Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan berkata, rakyat harus menilai perbezaan pendapat para pemimpin Pas dalam sesuatu isu, termasuk soal kerjasama dengan Yahudi.
"Saya minta masyarakat ambil perhatian dan menilai kerana perselisihan pendapat bukan sahaja antara pemimpin Pas dengan golongan ulama, tetapi juga sesama pemimpin Pas sendiri," katanya.
 /HWA: utusan.com.my | 28/3/12

28 Mac 2012

Tapak masjid: Pemenang tunggu penjelasan Guan Eng

GEORGE TOWN 27 Mac – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mahu Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi penjelasan segera berhubung dakwaan kerajaan negeri menjual tapak masjid yang diluluskan dalam pelan pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pemaju.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Guan Eng pada Jumaat lepas bagaimanapun pihaknya belum menerima sebarang jawapan.
"Salinan surat itu turut dihantar kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Abdul Malek tetapi hingga hari ini tiada sesiapapun daripada mereka menjawab surat berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Isu tanah Bayan Mutiara timbul apabila tanah tebus guna seluas 41.6 hektar itu tidak dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merupakan pemilik tanah berkenaan.
Tanah berkenaan kemudiannya dijual kepada pemaju swasta untuk dibangunkan sedangkan PDC mempunyai kepakaran serta pengalaman dan telah menjalankan banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Mohd Yussuff yang juga Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang berkata, pihaknya hanya mahukan jawapan dan penjelasan daripada kerajaan negeri bagi memastikan dakwaan itu sama ada benar atau sebaliknya.
"Rakyat negeri ini nak tahu adakah dakwaan itu benar dan jika hanya tuduhan, mereka (kerajaan negeri) perlu tampil beri penjelasan,” katanya. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/3/12

27 Mac 2012

Saman Nallakaruppan jika berani - Chandra

KUALA LUMPUR 25 Mac - Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera mengheret Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan ke mahkamah agar tuduhan beliau seorang biseksual dapat dibuktikan benar atau sebaliknya.
Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, Anwar hendaklah berbuat demikian sekiranya beliau memiliki keberanian untuk menafikan tuduhan Nallakaruppan.
"Pada pandangan saya, Anwar tidak akan teragak-agak mengemukakan saman terhadap Nallakaruppan jika beliau benar-benar serius ingin mempertahankan nilai moralnya.
"Memandangkan Nallakaruppan tidak mahu memohon maaf, kini terpulang kepada Anwar untuk memfailkan kes saman di mahkamah atau tidak," jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nallakaruppan mencabar Anwar secara terbuka pada sidang akhbar semalam supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya seawal minggu hadapan bagi membolehkan segala bukti yang menyokong dakwaan biseksual itu dapat didedahkan di mahkamah.

Rekod pembangkang tidak hebat


MOHD. Shafie Apdal bersalaman dengan penduduk Kampung Jusung Melanta pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pulau Bum Bum, Semporna, semalam.


SEMPORNA 25 Mac - Parti pembangkang di negara ini langsung tidak mempunyai rekod yang boleh dibanggakan berbanding apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mereka telah diberi peluang memerintah beberapa buah negeri tetapi malangnya tidak berusaha membawa kemajuan, sebaliknya lebih mementingkan agenda peribadi berbanding keperluan rakyat.
Sebaliknya, menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak memegang teraju negara telah melaksanakan pelbagai usaha transformasi untuk membawa negara ke landasan tepat menjadi sebuah negara maju.

Hasan ragui pelaksanaan program di bawah Geran Selangorku

SHAH ALAM 26 Mac – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ini melahirkan keraguan terhadap pelaksanaan program di bawah Geran Selangorku berjumlah RM300juta yang diumumkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebab dana itu dikatakan tidak direkodkan di bawah akaun Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kawasan Gombak Setia itu berkata, program-program di bawah Geran Selangorku tidak akan dapat dirancang dengan baik kerana dana itu didapati tidak ada di bawah akaun MBI.
"Bagaimana nak rancang program untuk rakyat di bawah Geran Selangorku dan Merakyatkan Ekonomi Selangor jika dana RM300 juta tidak diletak di bawah akaun MBI,” katanya dalam soalan tambahan kepada Abdul Khalid pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Abdul Khalid ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2012 berkata, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi pelaksanaan “Geran Selangorku” yang akan digunakan pada tahun 2012 untuk faedah rakyat Selangor.
Beliau berkata, geran itu akan diuruselia oleh MBI memandangkan pengurusannya adalah bersepadu dengan pentadbiran kerajaan negeri. - BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my | 26/1/12

26 Mac 2012

Kos ubah suai pejabat RM300,000 dilulus Exco – Hasan Ali

KUALA LUMPUR 26 Mac – Bekas Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Ali berkata, pengubahsuaian pejabatnya berharga RM300,000 telah mendapat kelulusan Exco dan kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bahawa pengubahsuaian pejabat beliau melibatkan kos yang tinggi.
Hasan berkata, tuduhan Azmin secara langsung mempersoalkan kredibiliti anggota Exco dan kerajaan negeri dan meragui kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam sidang media di rumahnya di sini, Hasan mengesa Azmin agar membandingkan kos kerja-kerja pengubahsuaian pejabat Exco yang lain, termasuk Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar; dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali.
Sementara itu, Hasan turut mengesa Azmin menjawab lima persoalan, termasuk dakwaan terhadap sumber kewangan Azmin dan isteri membeli saham mencecah RM2 juta pada 1992-1994, sedangkan gaji beliau, pada masa itu, hanya RM2,000.
Hasan juga mahu Azmin menjawab dakwaan bahawa Azmin tidak menziarahi dan hampir terputus hubungan dengan ibu kandung sendiri yang berumur 78 tahun, serta menyahut cabaran agar ujian DNA dijalankan ke atas anak beliau Farah Afifah di klinik kerajaan. – UTUSAN ONLINE.

/hwa: utusan.com.my | 26/3/12

Hasan ragui pelaksanaan program di bawah Geran Selangorku

SHAH ALAM 26 Mac – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ini melahirkan keraguan terhadap pelaksanaan program di bawah Geran Selangorku berjumlah RM300juta yang diumumkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebab dana itu dikatakan tidak direkodkan di bawah akaun Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kawasan Gombak Setia itu berkata, program-program di bawah Geran Selangorku tidak akan dapat dirancang dengan baik kerana dana itu didapati tidak ada di bawah akaun MBI.
"Bagaimana nak rancang program untuk rakyat di bawah Geran Selangorku dan Merakyatkan Ekonomi Selangor jika dana RM300 juta tidak diletak di bawah akaun MBI,” katanya dalam soalan tambahan kepada Abdul Khalid pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Abdul Khalid ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2012 berkata, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi pelaksanaan “Geran Selangorku” yang akan digunakan pada tahun 2012 untuk faedah rakyat Selangor.
Beliau berkata, geran itu akan diuruselia oleh MBI memandangkan pengurusannya adalah bersepadu dengan pentadbiran kerajaan negeri. - BERNAMA.

/hwa: utusan.com..my | 26/3/12

Pilihan raya umum sudah dekat - PM


Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Penyerahan Rumah Mampu Milik Berkualiti di Taman Intan Duyung, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. - BERNAMA


TELOK KEMANG 24 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin dekat dan yakin Barisan Nasional (BN) akan terus memegang tampuk pemerintahan negara.
Katanya, keyakinan itu berasaskan kepada sokongan rakyat yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
''Saya rasa-rasalah dan bila sudah ada rasa tu, bunyinya sudah dekatlah tu (pilihan raya umum)," katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan 70 unit rumah mampu milik berkualiti tinggi di Taman Intan Duyung, Port Dickson, dekat sini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Penyelaras BN Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta beberapa menteri Kabinet dan pemimpin parti komponen BN.

‘Segera saman saya’


DATUK S. Nallakaruppan (enam kanan); Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor (dua kanan); Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah (kanan); peguam Hasral Rezua Merican (tiga kanan); Ummi Hafilda Ali (kiri); bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari (terlindung, dua kiri) dan bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd. Nazmi Rosli (empat kiri) bersama-sama berpegang tangan sebagai simbol bersatu hati pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/ABDUL RAZAK LATIF


KUALA LUMPUR 24 Mac – Ancaman saman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak menggentarkan Datuk S. Nallakaruppan (gambar), sebaliknya Ahli Dewan Negara itu konsisten mendakwa ketua pembangkang tersebut adalah biseksual.
Malah, beliau secara terbuka mencabar Anwar supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya seawal minggu hadapan bagi membolehkan segala bukti yang menyokong dakwaan biseksual itu dapat didedahkan di mahkamah.

Ezam pertikai Anwar

KUALA LUMPUR 24 Mac - Keengganan Datuk Seri Anwar Ibrahim membersihkan diri daripada segala tuduhan perlakuan tidak bermoral membuktikan Ketua Pembangkang itu seorang pengamal homoseksual.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, keyakinan beliau mengenai perkara itu berdasarkan penghakiman bertulis yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu pada 2004.
"Dalam penghakiman bertulis yang membebaskan Anwar itu, ketiga-tiga hakim termasuk Ketua Hakim Negara menyatakan dengan jelas Anwar ialah pengamal homoseksual.
"Persoalannya kenapa sehingga hari ini tiada tindakan dilakukan oleh Anwar untuk membersihkan nama dan mencari kebenaran," katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan di sini hari ini.

25 Mac 2012

Najib terima 1Malaysia Chopper

KUALA LUMPUR 23 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sebuah motosikal berkuasa besar yang dikenali sebagai 1Malaysia Chopper daripada pembuat motosikal terkenal, Paul Teutul Sr. dari Amerika Syarikat (AS).
Motosikal rekaan khas Teutul Sr., yang juga pengasas Orange County Choppers itu akan ditampilkan dalam dua episod American Chopper: Senior vs. Junior di saluran Discovery Channel di AS pada 30 April dan 7 Mei ini.
Menurut Najib, kemunculan 1Malaysia Chopper merupakan satu pendekatan mempromosi negara ini dan permulaan baik dalam kerjasama di antara Malaysia dan AS untuk menerokai bidang permotoran khususnya motosikal berkuasa besar.
"Terima kasih kepada Discovery Channel kerana memilih Malaysia untuk ditampilkan dalam rancangan mereka.

Majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-66 pada 1 hingga 13 Mei

KUALA LUMPUR 23 Mac – UMNO akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-66 parti itu pada 1 hingga 13 Mei dengan acara kemuncak berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, pelbagai pengisian sambutan akan diadakan termasuk majlis bacaan tahlil dan yasin, Anugerah Melayu Terbilang, Larian Melayu UMNO, Karnival Hari UMNO, pertandingan futsal, konvoi motosikal dan forum media.
"Majlis Tertinggi (MT) setuju dengan konsep sambutan hari ulang tahun UMNO ke-66 tahun ini yang jatuh pada tarikh lahir UMNO iaitu 11 Mei.
“Kita rangka sambutan yang menjangkau tempoh lebih lama dan pada 11 Mei ini, kita akan cuba mengisi stadium dengan kehadiran yang agak ramai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato” Onn di sini, malam tadi.
Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata, jumlah terkini anggota parti itu sehingga 19 Mac lepas ialah 3,340,508 iaitu 1,095,112 daripadanya terdiri daripada anggota biasa, 1,247,056 (Wanita), 381,012 (Puteri) dan 617,328 (Pemuda). – BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my | 24/3/12

'P. Pinang untuk orang kaya'


Jacob George menunjukkan salinan aduan polis dan keratan media mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang pada sidang akhbar di Batu Feringgi, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 23 Mac - Rakyat berpendapatan rendah di negeri ini mula merasakan mereka dan generasi akan datang tidak mempunyai masa depan cerah jika kerajaan DAP Pulau Pinang terus memerintah.
Maklum balas tersebut diperoleh daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) terhadap orang ramai di sini sejak tiga hari lalu.
Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, golongan tersebut melihat pembangkang gagal menyediakan polisi yang boleh melindungi hak selain menjaga kebajikan mereka.
Menurutnya, rakyat berpendapatan rendah khususnya di bahagian pulau bimbang mereka suatu hari nanti akan dihalau berikutan projek kediaman mewah yang semakin bercambah, seolah-olah tiada kawalan daripada kerajaan negeri.

Anwar dicabar segerakan tindakan mahkamah

KUALA LUMPUR 24 Mac - Senator Datuk S. Nalakaruppan tidak akan berganjak daripada kenyataannya baru-baru ini yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak sebagai pemimpin dan tidak gusar dengan notis menarik balik kenyataan yang disampaikan oleh peguam Anwar kepadanya.
Malahan, Nalakaruppan mencabar ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya menyegerakan tindakan undang-undang ke atasnya.
Bercakap dalam sidang akhbar di sini hari ini, Nalakaruppan berkata peguam Anwar telah menghantar notis tuduhan fitnah dan berniat jahat terhadap ketua pembangkang itu pada Khamis lepas yang memberinya tempoh 48 jam untuk menarik balik kenyataan itu.
"Saya telah menerima notis itu dan saya tidak akan menjawab suratnya itu.Saya akan terus bercakap mengenai beliau sehingga beliau mendakwa saya di mahkamah," katanya.
Senator Mohamad Ezam Md Noor yang hadir dalam sidang akhbar itu berkata, tindakan Anwar menghantar notis itu menunjukkan bahawa beliau takut dengan pendedahan yang dibuat oleh bekas rakan baiknya itu. - BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my | 24/3/12

24 Mac 2012

Guan Eng biadab tergamak jual tapak masjid

PULAU PINANG 22 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng disifatkan sebagai bongkak dan biadab kerana tergamak menjual tapak masjid yang diluluskan dalam pelan pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pihak pemaju.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, Setiausaha Agung DAP itu tidak berhak untuk campur tangan dan menyentuh 'harta' yang dikhaskan untuk orang Islam.
Tegas beliau, tindakan tersebut amat berbahaya kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam khususnya di negeri ini.
"Sepatutnya tapak tersebut telah dipecah sempadan dan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan seterusnya diwakafkan oleh majlis berkenaan. Justeru, kami mendesak Guan Eng supaya mengembalikan tapak masjid kepada MAIPP.
"Kami mahu beri peringatan kepada Guan Eng supaya tidak mendiamkan diri atau cuba memutarbelitkan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Shaik Hussein turut meminta pemimpin Pas menasihati Guan Eng tentang perbezaan di antara masjid dan surau kerana dimaklumkan pemaju akan menyediakan surau dan bukannya masjid.
Isu tanah Bayan Mutiara timbul apabila tanah tebus guna seluas 41.6 hektar itu tidak dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merupakan pemilik tanah berkenaan.
Tanah tersebut kemudiannya dijual kepada pemaju swasta untuk dibangunkan sedangkan PDC mempunyai kepakaran serta pengalaman dan telah menjalankan banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Menurut Shaik Hussein, pelan pembangunan asal Bayan Mutiara diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 30 Oktober 2006 dengan nombor rujukan JPB/PM/4490(LB)PIN.1.
Katanya, selain kebenaran merancang masjid dan pelbagai jenis rumah, pelan tersebut turut merangkumi kompleks penjaja, balai polis, pusat komuniti dan tapak sekolah.
"Tapak sekolah juga perlulah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk dibina sekolah.
"Walaupun pemaju bersetuju membina sekolah tetapi Pemuda UMNO khuatir pelaksanaannya kelak akan diputar belit dan dibina sekolah antarabangsa seperti Sekolah Antarabangsa Prince of Wales di Botanica City, Balik Pulau yang telah menidakkan hak anak-anak miskin tempatan," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga inginkan kepastian daripada Guan Eng sendiri sama ada pemaju telah disyaratkan untuk membina gerai penjaja di situ.
Sekiranya ada, kata Shaik Hussein, pemaju perlu membinanya di lokasi strategik dan bukan terperosok di hujung tapak projek seperti mana kebiasaan dilakukan oleh pemaju kerana Bayan Mutiara adalah hak rakyat Pulau Pinang.

/hwa: utusan.com.my | 23/3/12

PKR tak perlu sokongan masyarakat India?

SUNGAI PETANI 22 Mac - Seorang ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat India di negeri ini apabila menghantar satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan parti itu tidak memerlukan sokongan daripada kaum tersebut.
Wakil rakyat terbabit, Datuk Rashid Din yang merupakan Ahli Parlimen Merbok dikatakan telah menghantar satu SMS berbunyi "Pakatan Rakyat tak berapa harap undi India" kepada Setiausaha Persatuan Penyokong-penyokong Kuil Sri Sitti Vinayagar Sungai Petani, V. Kumaraguru baru-baru ini.
Kumaraguru mendakwa, isu tersebut tercetus selepas dia membuat aduan kepada Rashid melalui SMS berhubung tindakan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) merobohkan sebuah kuil kecil di hadapan rumah seorang penduduk di Taman Patani Jaya di sini pada 18 Mac lalu.
"Saya telah hantar SMS kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan salinan kepada Rashid dan pegawai Menteri Besar serta seorang Ahli Majlis MPSPK pada awal pagi 18 Mac lalu.
"Tujuan saya menghantar SMS itu adalah untuk meminta penjelasan dan menyatakan kekecewaan berhubung tindakan meroboh kuil tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Peniaga itu berkata, tidak lama selepas itu, Rashid telah membalas SMS berkenaan dan menyatakan seolah-olah isu kuil tersebut adalah remeh serta tidak perlu diperbesar-besarkan.
"Saya kemudian berbalas-balas SMS dengan beliau sehingga sampai satu peringkat Rashid telah menghantar SMS berbunyi Pakatan Rakyat tak berapa harap undi India," katanya.
Sementara itu, Rashid tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mencabar Rashid memberi penjelasan berhubung penyebaran SMS itu.
"Sekiranya kenyataan itu tidak benar, beliau harus tampil menafikannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my | 23/3/12

Kumpulan Felda tidak berdagang dengan Israel

KUALA LUMPUR 22 Mac – Kumpulan Felda tidak pernah menjalankan sebarang urus dagang dalam bentuk eksport produknya ke Israel seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
Sebaliknya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Kumpulan Felda melalui anak syarikatnya, Felda Marketing Sdn. Bhd. dengan usaha sama IFFCO Sdn. Bhd. (FISB) menghantar produk-produknya ke Palestin.
Bagaimanapun katanya, FISB tiada pilihan lain untuk menghantar produk berkenaan ke Palestin selain menggunakan pelabuhan Israel yang paling hampir dengan Palestin iaitu Pelabuhan Ashdod.
“Bukan menjadi polisi Felda untuk menetapkan pelabuhan import pembeli,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini bagi menjawab tuduhan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa bahawa Felda mengeskport produk ke Israel.
Ahmad berkata, FISB telah memenuhi pesanan pembeli dari Palestin pada tahun lalu dan 2010 dengan penghantaran pada Mac 2010 dan terakhirnya pada 9 Disember tahun lalu dengan jumlah dagangan terlibat bernilai RM30 juta.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memberi permit kepada FISB untuk menjalankan urus niaga itu.
“Jualan produk ini meliputi minyak pukal dan lelemak berdasarkan terma-terma kos, insurans dan pengangkutan,” ujar beliau.
Ahmad turut menjelaskan, IFFCO adalah syarikat multinasional yang pemiliknya adalah orang Islam dari Kumpulan Allana turut menetapkan polisi tidak menjual sebarang produk kepada Israel.
Dalam pada itu, beliau berkata, FISB adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam perniagaan menapis dan membungkus minyak sawit dan produk berasaskan isirung sawit.
Katanya, syarikat berkenaan mempunyai kilang menapis dan membungkus produk berkenaan di Pandamaran di Klang, China, Afrika, Turki, Indonesia, Amerika Syarikat dan pejabat perdagangan di Perancis dan Sepanyol.

/hwa: utusan.com.my | 23/3/12

23 Mac 2012

Rakyat anggap Pas khianati bangsa sendiri

KOTA BHARU 21 Mac - Rakyat Kelantan tidak dapat menerima tindakan kerajaan Pas negeri yang didakwa telah memajakkan tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera kerana menganggap perbuatan itu mengkhianati bangsa sendiri.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata rakyat Kelantan yang ditemui menyifatkan, tindakan kerajaan Pas tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak-hak istimewa orang Melayu.
Seorang penjawat awam, Mohd. Rashidi Zakaria, 36, berkata, tindakan tersebut tidak boleh dimaafkan kerana ia melibatkan kepentingan kaum Melayu sendiri.
Selain mampu memberi kesan kepada nasib orang Melayu terutamanya golongan miskin, tindakan tersebut juga katanya, dilihat telah menutup ruang kepada pengusaha-pengusaha Melayu di Kelantan.
"Saya berharap kerajaan fikirkanlah nasib rakyat di negeri ini, janganlah asyik mengutamakan keuntungan semata-mata," katanya diminta mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai tindakan kerajaan Pas Kelantan yang didakwa memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera.
Pelbagai pihak menyifatkan tindakan kerajaan Pas Kelantan memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat-syarikat bukan bumiputera dari luar Kelantan dan mengenepikan penduduk tempatan yang rata-ratanya miskin sebagai perbuatan zalim.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula menganggap sikap kerajaan negeri yang berbuat demikian jelas menganiaya rakyat.
Bagi seorang usahawan, Sharul Fadhel, 32, tindakan kerajaan Pas Kelantan itu akan memberi kesan buruk kepada kaum Melayu di negeri ini pada masa akan datang.
"Mungkin sekarang tidak menampakkan kesan, tetapi bayangkan 20 tahun ke depan, apa nasib akan diterima generasi akan datang terutamanya golongan miskin negeri ini.
"Pembangunan yang dilaksanakan syarikat bukan bumiputera ini pasti akan menenggelamkan golongan Melayu miskin selepas ini," dakwanya.
Mohd. Zaidan Abd. Rahim, 36, pula berpendapat, kerajaan Pas sepatutnya memelihara tanah rizab Melayu yang ada, bukannya memajakkan tanah-tanah berkenaan kepada pihak luar.
"Kita mahu tanah Melayu ini dimajukan oleh orang Melayu sendiri, jangan melibatkan syarikat luar. Pas selama ini sering melaungkan slogan kerajaan Islam dan kerajaan berkebajikan, namun tindakan yang dilakukan ini jelas mencerminkan siapa Pas sebenarnya," dakwa beliau.
Arif Hakimi Zulkifli, 32, pula berharap, kerajaan Pas Kelantan menarik balik tindakan yang dilakukan itu kerana ia akan hanya merugikan rakyat negeri ini.
"Sepatutnya, sebagai pemerintah keutamaan kepada rakyat mesti didahulukan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 22/3/12

22 Mac 2012

Pencapaian sekolah bandar, luar bandar catat peningkatan

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2012/03/22

Kementerian masih perlu berusaha rapat, hapuskan jurang prestasi di kedua-dua kawasan

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud semalam mempunyai signifikan penting dalam hala tuju sistem pendidikan negara.

Selain keputusan keseluruhan lebih baik dalam tempoh lima tahun, pencapaian pelajar lulus subjek Sains yang menunjukkan peningkatan sama ada sekolah di bandar mahupun luar bandar, boleh dijadikan landasan mengurangkan kebimbangan terhadap lambakan pelajar sastera di institusi pengajian tinggi.

Walaupun peningkatan peratusan subjek Sains itu hanya 0.3 peratus iaitu 92.6 peratus pada 2011 berbanding 92.3 peratus pada 2010, keputusan berkenaan memberi harapan bahawa generasi muda negara akan meneruskan perjuangan dalam bidang sains dan teknologi pada masa akan datang.

Malah, jika dilihat daripada jumlah pelajar mengambil subjek Sains tahun lalu, ada peningkatan iaitu 259,300 berbanding 257,764 pada 2010, manakala pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu pula hanya 27,171 pada 2011, turun sedikit berbanding 30,222 pada 2010.

Begitu pun, jika dianalisis keputusan SPM semalam, jumlah pelajar lulus subjek berkenaan di bandar turun daripada 124,329 pada 2010 kepada 111,640 pada 2011, manakala luar bandar meningkat dengan jumlah 147,660 pada 2011 berbanding hanya 133,435 pada 2010. Pelajar yang mengambil subjek sains lain seperti Fizik juga meningkat iaitu 126,429, Kimia (131,145) dan Biologi (101,526).

Secara keseluruhan, Abd Ghafar menyifatkan keputusan pencapaian calon peperiksaan SPM 2011 amat membanggakan. Kenyataan itu dibuat bersandarkan prestasi Gred Purata Nasional (GPN) yang bertambah baik sejak lima tahun lalu iaitu 5.60 pada 2007, 5.51 (2008), 5.34 (2009), 5.19 (2010) dan 5.04 tahun lalu.

Pencapaian GPN mahupun Gred Purata Sekolah (GPS) dinilai berdasarkan pengiraan purata gred pelajar dan lebih rendah jumlah yang dicapai adalah lebih baik. Jadi, peningkatan GPN sebanyak 0.56 sepanjang lima tahun adalah sesuatu yang sangat membanggakan walaupun sistem pendidikan negara pernah berubah dalam tempoh terbabit.

Warga Kementerian Pelajaran pula pasti mampu menarik nafas lega apabila setiap tahun prestasi keseluruhan calon menunjukkan peningkatan walaupun ada beberapa mata pelajaran yang menurun.

Pelbagai usaha dijalankan dalam memastikan prestasi terus cemerlang dan calon tahun lalu berjaya membuktikan semua yang dilakukan itu berbaloi apabila mencatat peningkatan daripada jumlah calon yang mendapat Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran iaitu seramai 559 calon berbanding 403 pada 2010 dan 255 (2009).

Daripada jumlah itu, 506 terdiri daripada calon Sekolah Kementerian Pelajaran dan lebih membanggakan tujuh daripada mereka mendapat semua A+ dalam 12 mata pelajaran berbanding hanya empat pada 2010.

Seramai 72 calon mendapat gred tertinggi itu untuk 11 mata pelajaran berbanding 47 calon (2010), 284 calon bagi mereka yang mengambil 10 subjek berbanding 207 dua tahun lalu dan 143 (sembilan mata pelajaran) daripada 105 pada 2010.

Pencapaian sekolah berdasarkan GPS pula, Abd Ghafar berkata, pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 manakala sekolah dalam kategori memuaskan dan berpotensi masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17.

Tahun lalu sebanyak 80 sekolah mencapai kategori Cemerlang iaitu pencapaian GPS 0.00 hingga 2.25 berbanding 67 pada 2010, 400 mendapat kategori Baik (GPN 2.26-4.50) berbanding 340 pada 2010.

Penurunan sebanyak empat dan 17 sekolah bagi kategori Memuaskan (4.51-6.75) dan Berpotensi (6.76-9.00) menunjukkan pertambahan baik kerana kebanyakan sekolah melonjak ke kategori lebih tinggi. Sebanyak 1,679 sekolah mencatat kategori Memuaskan berbanding 1,683 dan Berpotensi 49 berbanding 66 pada 2010.

Walaupun pencapaian keseluruhan membanggakan, masih ada ruang bagi memperbaiki pencapaian SPM pada masa akan datang. Berdasarkan GPN, pencapaian calon mengikut lokasi iaitu bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan masing-masing 0.22 peratus dan 0.13 peratus berbanding 4.89 serta 5.52, namun jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar bertambah sebanyak 0.9 peratus iaitu daripada 0.63 bagi 2010 dan 0.72 pada 2011. Sesuatu perlu dilakukan dalam merapat atau menghapuskan terus jurang itu.

Prestasi mata pelajaran dinilai berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula menunjukkan kemerosotan apabila 35 mata pelajaran menunjukkan penurunan GPMP berbanding 22 pada 2010.

Prestasi Bahasa Melayu juga perlu diberi perhatian serius kerana GPMP nasional mata pelajaran itu turut menurun 0.08 berbanding 2010 iaitu 4.30 kepada 4.38.

Pada 2011, GPMP 63 daripada 112 mata pelajaran meningkat berbanding GPMP 81 daripada 103 subjek pada 2010. Sembilan mata pelajaran baru ditawarkan tahun lalu iaitu satu mata pelajaran bidang bahasa (Bahasa Kadazandusun), enam mata pelajaran Pendidikan Kesenian (Seni Muzik, Seni Visual, Seni Halus, Tari, Teater, Reka Bentuk) dan dua mata pelajaran aliran vokasional iaitu Pelancongan dan Rekreasi serta Asas Kemahiran Pelancongan.

Berdasarkan penelitian, empat daripada mata pelajaran baru yang ditawarkan menunjukkan pencapaian membanggakan apabila empat daripadanya, calon memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dengan peratusan 87.5 ke 100 iaitu Seni Visual, Seni Muzik, Seni Tari dan Teater. Lebih membanggakan apabila tiada seorang pun calon yang gagal dalam lapan daripada sembilan mata pelajaran itu.

Diharap semua mata pelajaran itu dapat membantu calon dalam bidang kerjaya yang diidamkan kerana ia lebih berbentuk kemahiran dan bahasa etnik hanya dipelopori mereka yang benar-benar akan mengambilnya sebagai pilihan mata pelajaran dalam SPM.
 
/hwa: bharian.com.my | 21/3/12

Jangan ekonomi Melayu musnah

HARI ini bangsa Melayu menghadapi suasana politik yang jelas sekali berpecah belah. Tiada tanda-tanda yang suasana politik berupaya mengembalikan perpaduan Melayu dalam tempoh terdekat, mahu pun dalam jangka masa sederhana.
Tambahan pula dengan kaedah amalan demokrasi yang semakin bercorak politik pertarungan kalah mati atau “zero-sum game” dalam perebutan kuasa pemerintahan.
Bangsa Melayu terpaksa menerima hakikat perpecahan politik berparti sebagai realiti hidup bermasyarakat dan berdemokrasi. Persoalan yang timbul dari realiti perpecahan ini adalah:
Sementara dipupuk semula perpaduan, apakah yang harus Melayu lakukan supaya mereka terus membina kekuatan ekonomi, tidak terlepas peluang bisnes dan melangsungkan kedudukan kuasa korporat untuk menjadi bangsa maju?
Dalam kata lain, bangsa Melayu wajib menggunakan kebijaksanaan dan segala hikmah untuk menentukan, di samping perbezaan dan perpecahan politik, supaya usaha membina kekuatan ekonomi Melayu tidak tergugat.
Bangsa Melayu mesti pandai melayari gelora dan badai politik yang berpecah belah ini untuk menentukan akhirnya perahu Melayu akan selamat sampai ke destinasi yang dituju. Mereka wajib menyusun semula strategi supaya ‘perahu’ tidak karam dan mereka tidak terus ketinggalan sebagai bangsa yang ‘hanyut’ ekonomi, tanpa arah dan tujuan.
Sesungguhnya ini boleh mereka lakukan. Negara-negara lain yang mengamalkan sistem perebutan kuasa pemerintahan berdemokrasi seperti ini juga kerap diancam ketidakstabilan dan perpecahan politik; namun tetap berupaya meningkatkan prestasi bisnes dan korporat hingga tinggi pencapaian ekonomi.
Hal ini dapat disaksikan di hampir semua negara demokrasi maju yang mengamalkan sistem seperti ini. Beberapa negara pula, seperti Israel sekalipun – politik kerap bergolak dan keselamatan terancam, namun ekonomi dapat terus berkembang pesat. Kedudukan keselamatan serta pertahanan Israel, misalnya, tetap tidak dapat digugat oleh sesiapa.
Jika diperhatikan, mereka semua bijak ‘menginstitusikan’ kepentingan bisnes dan korporat (dan dalam kes Israel, menginstitusikan keupayaan keselamatan dan pertahanan) supaya tidak dipolitikkan dan terdedah kepada sorong tarik dan sepak terajang politik berparti. Sekalipun politik bergolak, institusi pertahanan, keselamatan, ekonomi dan bisnes tetap mantap lagi perkasa. Bagaimana mereka lakukan semua ini?
Antara kaedah paling berkesan adalah menentukan kepentingan bisnes dan korporat tidak dipaksikan kepada kepentingan parti politik tertentu atau kepentingan peribadi pemimpin politik.
Sekalipun terdapat hubungan, bisnes dan korporat dilekangkan dari politik, diurus secara berautonomi oleh pengurusan profesional dan berwibawa. Dengan demikian tidak mudah berlaku tindakan cantas-mencantas yang diperhatikan kerap menjadi punca utama kemerosotan dan kemusnahan kepentingan bisnes dan korporat milik Melayu apabila terlalu dipolitikkan.
Selain politik cantas-mencantas menjadi antara faktor utama menyebabkan kemerosotan kepentingan bisnes dan ekonomi Melayu, kini terdapat satu lagi ancaman besar yang berpotensi memusnahkan langsung benteng ekonomi bangsa. Puncanya terbit setelah Melayu digesa supaya menciplak ideologi politik berteraskan liberalisasi ekonomi.
Jelas sekali, dalam kita menciplak sistem politik demokrasi Barat, kita perlu waspada kesan dan impak yang kadang kala boleh memudaratkan. Justeru, bangsa Melayu juga perlu bijaksana dalam memilih ideologi politik, khasnya yang membawa impak negatif terhadap kepentingan ekonomi.
Hari ini terdapat gagasan politik liberalisasi ekonomi yang menuntut supaya syarikat berkaitan kerajaan atau GLC diswastakan. Ungkapan yang kerap dilaungkan adalah “government has no business to be in business – kerajaan tiada sebab untuk terbabit dalam bisnes.”
Ideologi liberalisasi ini besar pengaruhnya di kalangan golongan yang probisnes dan propasaran. Pada mereka penglibatan kerajaan merosakkan pasaran dan menggugat persaingan, langsung mengancam prospek pertumbuhan pesat ekonomi.
Dasar memperjuangkan liberalisasi ekonomi ini tidak mahukan kerajaan terlibat, sekalipun untuk menseimbangkan sistem, menegakkan keadilan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin dan membela nasib rakyat termiskin. Justeru mereka lantang dengan menjadikan penswastaan sebagai satu agenda utama politik. Pada mereka semua GLC wajib segera diswastakan!
Sebenarnya tuduhan campur tangan kerajaan merosakkan pasaran dan merendahkan keupayaan bersaing serta melemahkan ekonomi negara tidak lagi masuk akal. Kerana hari ini banyak contoh di mana kepimpinan ekonomi kerajaan dengan GLC di barisan depan pasaran, berupaya membina usaha dan memperkasa ekonomi. Contoh terbaik adalah Republik Rakyat China. Kepesatan ekonomi China berjaya menjadikannya ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.
Antara lain, ekonomi China dipacu GLC hingga mereka memiliki 80 peratus nilai pasaran modal (market capitalization) saham-saham di Bursa China. Kini kaedah pendekatan China dengan peranan besar GLC dilihat sebagai berpotensi menjadi model alternatif kepada sistem kapitalis Barat. Sebaliknya, negara besar Barat kelihatan giat meninjau semula ideologi kapitalisme amalan mereka selama ini setelah digugat krisis global.
Dalam menangani krisis kewangan dan beban hutang negara yang semakin mengancam kestabilan ekonomi masing-masing, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah banyak menggunakan kaedah campur tangan kerajaan dan kelihatan tidak ragu mengetepikan liberalisasi untuk mencari jalan keluar.
Tiba masanya Malaysia juga mengenepikan ketaksuban kepada ideologi liberalisasi ekonomi yang kuat dianjurkan oleh beberapa pihak tertentu. Sebaliknya, peranan strategik GLC membina ekonomi perlu diiktiraf dan diperkasa.
Di Malaysia, dalam kalangan syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia, syarikat GLC kini memiliki lebih 40 peratus daripada nilai pasaran modal. Syarikat PLC ini berperanan sebagai institusi amanah.
Prestasi positif syarikat GLC ini tidak menjadi persoalan dan nyata sekali kerajaan semakin bijak menentukan supaya GLC tidak dipolitikkan untuk terus berupaya mengurus aktiviti bisnes mengikut kaedah pasaran.
Kesimpulannya, jelas sekali syarikat GLC Malaysia menyumbang kepada pertumbuhan nilai ekonomi negara. Mereka juga tidak merosakkan pasaran. Justeru, atas dasar apa harus mereka diswastakan seperti dituntut oleh puak liberalisasi?
GLC Malaysia juga telah diilhamkan penubuhannya oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyeimbangkan ekonomi dan merapatkan jurang kaya-miskin rakyat Malaysia. Kenapa pula harus dirombak ideologi ekonomi yang sangat penting dan strategik dalam usaha menegakkan keadilan dan melindungi nasib golongan miskin yang dahagakan pembelaan?
Sebenarnya sebaliknya lebih wajar dilakukan. GLC berwibawa harus digalakkan memainkan peranan amanah yang lebih besar dan luas. GLC boleh dijadikan institusi teras (seumpama “guang xi” dalam masyarakat China dan “kieretsu” di kalangan Jepun), untuk membina jaringan bisnes PKS dan menggalakkan PKS bangkit ke depan bertumbuh dan membesar sehingga menerajui ekonomi negara dan memenuhi barisan jutawan dan bilionair negara masa depan.
Jangan swastakan GLC. Malah perhebatkan peranan mereka sebagai institusi amanah. Kerajaan juga harus lebih tegas menjamin autonomi mereka daripada dicerobohi kepentingan politik. Ini penting dalam konteks menghidupkan kembali semangat DEB dan menegakkan keadilan ekonomi negara.
(Sedutan daripada ceramah bertajuk “Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat” oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dalam sesi Ceramah GABEM di Kuala Lumpur pada 15 Mac lalu).

/hwa: utusan.com.my | 21/3/12

Pengikut Najib di Twitter hampir 500,000, Facebook sejuta

KUALA LUMPUR 21 Mac - Jumlah pengikut Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial Twitter dan Facebook masing-masing mencecah hampir 500 ribu dan sejuta malam ini.
Perdana Menteri dalam Tweetnya pada pukul 10.30 malam tadi melahirkan rasa terharu atas sokongan yang diberikan itu selain mengucapkan terima kasih kepada para pengikut beliau.
"Terharu lihat pengikut Twitter hampir 500 ribu. Facebook pula sudah dekat satu juta. Terima kasih kepada semua pengikut saya,” katanya.
Beliau turut meminta pandangan rakyat untuk meraikan pengikutnya yang ke 500 ribu dan sejuta.
"Mungkin anda semua ada cadangan sempena mencecah pengikut saya yang ke 500 ribu dan sejuta?,” katanya.
Semasa berita ini ditulis (11.35 malam), pengikut Najib di Twitter adalah seramai 498,527 orang manakala rakan Facebook beliau seramai 977,282 orang.
Pengikut di Twitter meningkat ke 498,627 kira-kira 10 minit selepas itu. — BERNAMA

/hwa: utusan.com.my | 21/3/12

21 Mac 2012

Kehadiran Hasan Ali curi tumpuan

SHAH ALAM 19 Mac 2012 - Bekas Exco Kerajaan Negeri yang juga ADUN Gombak Setia, Datuk Hasan Ali (kanan belakang) duduk di bahagian ADUN-ADUN pembangkang selepas beliau dipecat sebagai ahli Pas dan kini sebagai ADUN Bebas, ketika pembukaan penggal kelima Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di sini hari ini. - UTUSAN
SHAH ALAM 19 Mac – Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali mencuri tumpuan ahli dewan, pengamal media dan para jemputan yang hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kali ini.
Ini merupakan kali pertama bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri itu hadir sebagai wakil rakyat Bebas selepas beliau digugurkan daripada jawatan itu pada Januari lalu ekoran pemecatannya daripada Pas.
Hasan dipindahkan ke bahagian belakang kawasan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) manakala tempat duduknya sebelum ini digantikan oleh seorang lagi Exco kerajaan negeri dari Pas iaitu Ir. Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan ADUN Cempaka.
Ketika ditemui pemberita, Hasan berkata, beliau akan terus membawa perjuangan memartabatkan Islam, Melayu dan Raja-raja (IMR) dalam sidang DUN.

Hadiri sidang antarabangsa bersama Salman Rushdie

KUALA LUMPUR 19 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di persidangan India Today Conclave pada 16 dan 17 Mac lalu yang turut disertai penulis buku kontroversi, Salman Rushdie.
Malah, pada persidangan itu, beliau turut menyampaikan ceramah bertajuk 'Dari Diktator ke Demokrasi: Kejayaan Rakyat' manakala Salman menyampaikan ceramah bertajuk 'Merdeka: Saya Adalah Saya dan Itulah Saya'.
Mengikut jadual persidangan pula, Anwar dan Salman masing-masing telah menyampaikan ceramah pada 16 Mac.
Terdahulu dalam Twitternya, Anwar memberitahu beliau serta isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak akan datang ke persidangan itu sebagai membantah kehadiran Salman yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Laporan mengenai kehadiran Anwar itu didedahkan blog antarabangsa dan juga blog tempatan antaranya, rbfonline.net dan pisau.net.

Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Mac - Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan secara terbuka mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang biseksual berdasarkan pengalamannya yang pernah berkawan baik selama 30 tahun dengan Ketua Pembangkang itu sebelum ini.

Katanya, kecenderungan Anwar sebagai seorang biseksual bukan lagi rahsia dan mendakwa beliau sendiri pernah melihat Ketua Pembangkang itu melakukan aksi seks sama ada bersama lelaki atau wanita.

''Anwar tidak layak untuk memimpin pakatan pembangkang yang merangkumi Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apatah lagi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri jika mereka berjaya membentuk kerajaan pada masa depan,'' katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini hari ini.

Nallakaruppan seterusnya secara sinis meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya mengeluarkan fatwa membenarkan individu biseksual menjadi Ketua Pembangkang.

"Dahulu pekerja Magnum (Corporation) yang lelaki Anwar ada simpan dan Anwar juga pernah bawa isteri orang. Saya bersedia untuk mendedahkan kesemua nama mereka di mahkamah.

"Tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan membenarkan biseksual menjadi Perdana Menteri dan tidak ada peruntukan juga untuk biseksual menjadi Ketua Pembangkang. Saya amat hairan mengapa pembangkang boleh mengambil seorang biseksual menjadi ketua," katanya.

Pendedahan itu merupakan siri kritikan terbaru terhadap Anwar yang pernah menjadi rakan permainan tenis beliau. Namun, Anwar sehingga kini belum berani menyaman Nallakaruppan.

"Saya akan terus mendedahkan sedikit demi sedikit (kebenaran) dan setakat ini Anwar bukan anak jantan kerana tidak berani menyaman saya. Ini baru 30 peratus daripadanya (rahsia Anwar) dan saya masih ada 70 peratus lagi untuk didedahkan," katanya.

Sementara itu, jelas Nallakaruppan, beliau hairan mengapa Pas masih mahu bekerjasama dengan Anwar walaupun terdapat banyak petunjuk yang terarah kepada kehidupan Anwar sebagai seorang biseksual.

"Saya telah berjumpa dengan beberapa pemimpin tertinggi Pas dan mendedahkan perkara mengenai Anwar ini dan ada di antara mereka percaya, cuma Nik Aziz sahaja yang enggan bertemu dengan saya sampai hari ini," katanya.


/hwa: utusan.com.my | 20/3/12

20 Mac 2012

Tiga NGO bidas kenyataan Abdul Hadi

KUALA LUMPUR 18 Mac - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan kenyataan beliau semalam yang membenarkan orang Islam bekerjasama dengan Yahudi bukan berfahaman Zionis.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, adalah tidak wajar untuk seorang ulama mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana tanpa disedari ia telah memberi implikasi negatif dan prejudis terhadap masyarakat Malaysia.
''Abdul Hadi memang cuba menyelamatkan maruah dan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terjejas teruk akibat menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel.
''Tidakkah beliau terfikir bahawa perkataan 'Yahudi' itu telah menggambarkan hegemoni Zionis dan Zionis itu membawa maksud negatif dalam benak fikiran masyarakat dunia hari ini?'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kemelut Karpal-Ramasamy belum berakhir

PULAU PINANG 18 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh menolak keputusan Jawatankuasa Disiplin parti itu yang membebaskan Timbalan Setiausaha Agung parti, Dr. P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II daripada tuduhan melanggar disiplin parti.
Menurut beliau, jawatankuasa itu tidak layak membuat keputusan tersebut kerana Ramasamy juga adalah salah seorang daripada ahli panel yang sama.
Katanya, ahli jawatankuasa disiplin parti sepatutnya berundur daripada kes itu dan membiarkan jawatankuasa baru ditubuhkan bagi mendengar kes berkenaan.
"Benih pemusnahan telah pun disemai sejak dari awal. Mereka duduk dan membuat keputusan terhadap salah seorang daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain Ramasamy, tiga yang lain dalam jawatankuasa tersebut ialah Setiausaha Agung, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang; Naib Pengerusi Kebangsaan, Tan Kok Wai dan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Lim Hock Seng.

Anwar takut rahsia terbongkar

KUALA LUMPUR 18 Mac - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak penyertaan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dalam satu forum yang membincangkan senario politik global di England hari ini, hanya menunjukkan beliau takut rahsianya didedahkan di pentas antarabangsa.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bimbang maklumat yang dimiliki Raja Petra boleh menyebabkan forum anjuran WikiLeaks tersebut tidak akan memihak kepada beliau.
"Memang itu perangai sebenar Anwar. Beliau suka mencari publisiti murahan dan hanya berminat dengan laporan media yang menyebelahi kepentingan peribadinya sahaja.
"Kita dapat melihat sendiri tuntutan kebebasan media yang dilaungkan Anwar selama ini hanyalah retorik untuk mencari sokongan semata-mata," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

14 Mac 2012

BN Selangor dedah bukti

SHAH ALAM 13 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang ada kaitan dengan Yahudi untuk memenangi pilihan raya di negara ini.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, bukti-bukti yang sebahagiannya diterima daripada sumber dalaman PKR itu menunjukkan parti tersebut menjalin kerjasama dengan Konrad Adeneur Foundation (KAF).
Beliau berkata, KAF merupakan sebuah pertubuhan yang membantu golongan neo-konservatif Yahudi melalui sebuah jawatankuasa yang dikenali American Jewish Committee (AJC) dan dipercayai menerima dana daripada National Endownment for Democracy (NED) yang juga didakwa turut mempunyai pertalian dengan Anwar.
''Bukti yang ada menunjukkan Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar sememangnya menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan luar, selain menerima dana serta latihan bagi membolehkan mereka menguasai negara ini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam membantu PKR, KAF dikatakan menggerakkan operasi di negara ini melalui dua pendekatan yang dikenali sebagai 'dialog politik' termasuk ceramah dan 'pembangunan media' untuk merealisasikan agenda tersebut.
Selain itu, katanya, selain KAF, salah satu cabang di bawah NED iaitu National Democratic Institute for International Affairs (NDI) didakwa turut terlibat secara langsung membantu PKR dan Anwar dari segi dana dan buah fikiran untuk menguasai politik di negara ini.
''NDI didakwa turut menyediakan buku panduan yang menggariskan pendekatan dan kaedah untuk PKR memenangi pilihan raya.
''Kita ada bukti, dokumen serta surat-surat rasmi yang mengaitkan pembabitan Anwar mengenai perkara ini. Malah, buku panduan yang diterbitkan NDI itu turut diterjemah kepada beberapa bahasa iaitu bahasa Melayu, Tagalog, bahasa Indonesia dan Thailand.
''Apa tujuan NDI menghasilkan buku panduan itu yang seolah-olah menjadi 'kitab' kepada pakatan pembangkang khususnya PKR. Apa rasionalnya pihak asing memberi panduan kepada PKR untuk menguasai politik negara ini kalau tidak disusuli dengan agenda-agenda tertentu," katanya.
Dakwa Mohd. Zin lagi, berdasarkan buku panduan yang dikenali sebagai 'Buku Panduan Perancangan Kempen Politik' antaranya menyentuh mengenai pendekatan menyebarkan dakyah bahawa kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan media dan beragama.
Buku panduan itu, dakwa beliau, turut menerbitkan prakata daripada individu yang dikenali sebagai 'Stephanie Lynn' yang merupakan Pengarah Program Kanan NDI dan bertanggungjawab menguruskan program-program agensi itu di Malaysia dan Myanmar.
Pada masa yang sama, Mohd. Zin turut menjelaskan gerakan Anwar dan agensi asing itu bermula selepas pilihan raya umum 2004.
''Ia kemudiannya berlanjutan bagi menghadapi pilihan raya umum 2008 dan berterusan menerusi gerak kerja untuk pilihan raya umum akan datang,'' katanya.
Pada masa yang sama, beliau mendakwa, kaedah yang dilancarkan oleh Anwar dan agensi asing itu turut melibatkan pendekatan 'kempen kebencian' bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN termasuk menyentuh isu-isu sensitif.
''Contoh paling nyata ialah mereka secara halus menggunakan isu Hindraf bagi membangkitkan kemarahan rakyat. Begitu juga pada pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini apabila pemimpin-pemimpin PKR tidak jemu menggunakan isu Kristian bagi mewujudkan perpecahan rakyat berbilang kaum.
''Anwar sendiri pernah mengucapkan mengenai 'Arab Spring' bagi memberi idea kepada rakyat bahawa 'Malaysia Spring' akan berlaku. Beliau menggunakan pengaruh golongan muda dan contoh-contoh kejatuhan rejim di negara-negara Asia Barat untuk menghasut rakyat membenci pemimpin mereka. Semua itu merupakan idea dan buah fikiran KAF dan NDI," tegasnya.
Kata beliau, kempen kebencian itu dilihat amat berbahaya dan berunsurkan subversif yang boleh menggugat keselamatan rakyat dan negara.
''Berdasarkan maklumat yang diterima, KAF juga turut menaja ejen-ejen yang terpilih dalam pakatan pembangkang untuk mengikuti latihan meliputi penyusunan propaganda; gerak kerja unit khas DUN (Dewan Undangan Negeri) dan pasukan Khas; Perisian SisMap (sistem pangkalan data) serta menggodam e-mel individu yang disasarkan terutamanya agensi kerajaan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 14/3/12

12 Mac 2012

Pilih kerajaan yang mampu urus tadbir negara - PM

PEKAN 11 Mac — Rakyat perlu memilih sebuah kerajaan yang dilihat mampu untuk mengurus tadbir negara dengan cekap demi kelangsungan kesejahteraan dan kemakmuran kata, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, memilih sebuah kerajaan yang mampu mengurus tadbir negara adalah penting kerana rakyat pada akhirnya juga yang akan menerima manfaatnya.
"(Memilih kerajaan) Bukan setakat pandai bersyarah sahaja atau gantung ”bulan” paling tinggi, tetapi kelebihan urus tadbir negara dan agensi, baru boleh jana kekayaan, bila dah berjaya, wajib bantu rakyat dan orang ramai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Vitamin 1Malaysia dan penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2012 di Dataran Pekan, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Program Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Datuk Dr. Shamsul Anuar Sulaiman.
Najib berkata, ungkapan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan perlu diterjemahkan dalam bentuk realiti supaya boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat.
"Kerajaan melalui Pelan Transformasi Ekonomi dan kerajaan serta pentadbiran yang berasaskan kepada KPI (indeks prestasi utama) maka kita berjaya merangsang dan memacu ekonomi yang baik iaitu pada kadar pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu perlu dilihat sebagai satu pencapaian yang amat baik ketika negara dan dunia berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.— BERNAMA 

/hwa: utusan.com.my | 12/3/12

11 Mac 2012

Makan Berdulang

 JOHOR BAHRU 9 Mac 2012 - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaminkan doa sebelum menjamah makanan pada jamuan makan berdulang bersama rakyat selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID

9 Mac 2012

Anwar 'broker, boneka' kuasa asing

KUALA LUMPUR 8 Mac - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta campur tangan asing dalam sistem demokrasi di negara ini merupakan perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar menyifatkan Ketua Pembangkang itu telah menjadi broker kepada kuasa asing yang seterusnya boleh membawa keadaan kucar-kacir di negara ini.
"Kalau kita tengok balik sejarah, Melaka tidak akan tumbang sekiranya tiada pengkhianat yang membukakan pintu kepada Portugis.
"Sekiranya Anwar dapat memerintah pun, dia tidak lebih daripada menjadi boneka kepada kuasa-kuasa asing yang sebelum ini dia minta campur tangan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan dua pucuk surat yang didakwa ditulis oleh Anwar kepada sebuah organisasi yang mempunyai kaitan dengan sebuah agensi perisikan antarabangsa pada tahun 2007 bagi meminta campur tangan asing untuk memberi tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Surat-surat itu yang dipaparkan menerusi blog AIDC di www.anwaraidc.com semalam mendedahkan permohonan Anwar bagi tujuan tersebut kepada Presiden National Endowment for Democracy (NED), Carl Gershman yang juga merupakan seorang tokoh Yahudi.
Sementara itu, menurut Setiausaha Kerja Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Arafat Muhabat, Anwar begitu terdesak untuk mendapat Putrajaya sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjual negara ini.
"Apabila kita melihat negara yang mengalami campur tangan asing, semua kekayaan ekonomi akan diperah oleh orang luar sehingga rakyat sendiri tidak dapat merasa apa pun.
"Masyarakat perlu tahu bahawa Anwar adalah risiko besar kepada negara kerana sekarang ini pun dia sanggup memburuk-burukkan Malaysia setiap kali berada di luar negara," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 9/3/12

8 Mac 2012

Fatwa Pas bahawa BR1M rasuah, menghina umat Islam

BERA 7 Mac — Pas yang mengeluarkan fatwa kononnya wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu ”rasuah” sebenarnya menghina umat Islam yang menerimanya termasuk anggota parti itu sendiri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pas tidak sepatutnya melabelkan bantuan itu sebagai rasuah kerana ia pemberian ikhlas kerajaan untuk membantu rakyat berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
"Jika BRIM itu dianggap rasuah, maka pelbagai bantuan kerajaan kepada rakyat sebelum ini, adakah itu rasuah juga?” soalnya ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M kepada seramai 480 penduduk Parlimen Bera di sini.
Beliau turut kesal dengan dakwaan serta tuduhan Pas itu kerana bantuan yang diberikan kepada rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan latar belakang serta fahaman politik telah disalah anggap.
Katanya, pembangkang hanya tahu menuduh kerajaan dengan pelbagai tohmahan sedangkan parti itu yang berkuasa di Kedah dan Kelantan berada dalam keadaan bercelaru.— BERNAMA 

/hwa: utusan.com.my | 8/3/12

Azizan: Terkorbannya seorang lagi ulama Pas

TAHNIAH kepada ahli-ahli Pas yang telah menjadikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan sebagai harimau tanpa gigi.
Beliau khabarnya kini hanya sebagai Menteri Besar boneka yang berfungsi sebagai jurucakap keputusan Jawatankuasa Pemandu.
Dalam erti kata sebenar, Azizan tidak layak membuat keputusan malah gagal dalam tugas beliau sebagai Menteri Besar. Bagi saya itu penghinaan besar yang dilemparkan oleh ahli-ahli Pas kepada Azizan.
Tahniah juga kepada golongan ulama Pas yang kini sudah ramai tersungkur dan lesu. Ramai yang telah ditalkinkan oleh ahli-ahli Pas sendiri. Inilah hikmahnya bersahabat dengan PKR dan DAP.
Dalam keadaan PKR yang semakin lesu, saya ingin mencadangkan agar Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicalonkan sebagai Presiden Pas pula untuk pemilihan akan datang.
Saya yakin beliau boleh menang besar dengan mengalahkan Datuk Seri Hadi Awang. Ini kerana pengaruh Anwar dalam Pas amat besar. Ahli-ahli Pas pun amat menyukai beliau. Mungkin untuk menjadi Mursyidul Am pun beliau layak. Lebih mudah untuk beliau menjadi Perdana Menteri nanti.
Janganlah kita terkejut sekiranya suatu masa nanti Anwar dan Azmin yang mengepalai Pas. Mereka telah pun menyusun penyokong mereka dalam saf kepimpinan Pas. Cuma menunggu masa dan detik yang sesuai untuk impian ini menjadi kenyataan.
Tahniah untuk ahli-ahli Pas, anda memang hebat. Seorang demi seorang pemimpin golongan ulamak anda cantas.
Strategi Anwar mengena, pemimpin dan ahli Pas terkena!

/hwa: utusan.com.my | 8/3/12

6 Mac 2012

Desa Ukiran Kayu martabatkan warisan


Salah satu sudut menarik di Desa Ukiran Kayu di Kampung Raja, Besut.


BESUT 5 Mac - Besut merupakan daerah yang boleh dianggap sebagai salah satu gedung kesenian Melayu dengan para penggiatnya masih terus mewarnai kehidupan melalui apa yang mereka warisi dan pertahankan.
Ini termasuklah seni ukiran kayu dengan nilai estetika yang cukup tinggi dan dikagumi, ditonjolkan oleh para seniman tradisional melalui hasil pertukangan yang dilakukan dengan penuh kecintaan.
Pembinaan Desa Ukiran Kayu (DUK) di Kampung Raja di sini adalah manifestasi kepada Besut Daerah Ukiran Kayu yang telah diisytiharkan pada 12 Ogos 1999 oleh kerajaan ngeri.
Ia sekali gus merupakan satu pengiktirafan terhadap pengukir-pengukir kayu tersohor di sini seperti Allahyarham Che Long Yusof, Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999) dan Allahyarham Wan Su Othman (Tokoh Seni Negara 1997).

/hwa: utusan.com.my | 6/3/12

5 Mac 2012

PKR mahu 14 kerusi Terengganu

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my

Senarai calon PRU-13 wakili parti pembangkang sudah dimuktamad

KUALA TERENGGANU: PKR berhasrat bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata ketika ini PKR negeri sudah memuktamadkan senarai calon untuk bertanding mewakili pakatan pembangkang bagi kerusi berkenaan di kalangan anak jati Terengganu yang disifatkan calon boleh menang.
Beliau berkata, hasrat PKR bertanding di 14 kerusi itu akan dibincangkan bersama pakatan pembangkang peringkat Pusat pada satu mesyuarat khas dalam tempoh terdekat dan senarai calon itu akan dimuktamadkan sebelum 15 Mac ini.

"Hasrat kita ini kerana keadaan PKR yang lebih baik ketika ini, selain PKR sendiri mempunyai ramai calon berwibawa dan boleh menjanjikan kemenangan kepada pakatan pembangkang. Kita sudah kenal pasti calon dan yang pasti, mereka anak jati Terengganu dan berpeluang menang berdasarkan referendum rakyat.

"Setakat ini, kita belum boleh dedahkan kawasan bertanding, tetapi calon dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan PKR Pusat. Ini juga simbolik PKR sudah melakukan persiapan dan bersedia lebih awal untuk menempuh PRU-13 yang diuar-uarkan semakin hampir," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Ketua Cabang Kuala Terengganu berkata, PKR tidak lagi bergantung kepada rakan pembangkang, sebaliknya mahu menggerakkan jentera sendiri.
"Kita mahu PKR mewakili kerusi dalam setiap kawasan Parlimen di negeri ini dan sudah menyiapkan jentera kerana kita tidak mahu terlalu bergantung kepada rakan dalam pakatan seperti PRU-12," katanya.

Ketika PRU-12 pada 2008, calon PKR bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Kemaman dan Dungun, serta lima kerusi DUN iaitu di Kota Putera, Besut; Permaisuri, Setiu; Seberang Takir, Kuala Nerus; Bandar, Kuala Terengganu dan Telemong, Hulu Terengganu, namun gagal memenangi mana-mana kerusi.

Ketika ini, Terengganu memiliki lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN dengan dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN dikuasai PAS.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahari Mamat ketika dihubungi berkata, PAS maklum mengenai hasrat pimpinan PKR mengenai agihan kerusi itu, namun enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan kepada mesyuarat PR Pusat untuk membuat keputusan.

"Saya sendiri menjadi pengerusi mewakili PAS pada mesyuarat bagi menentukan kerusi yang akan diwakili parti dalam pakatan pembangkang ketika itu dan setakat ini belum ada apa-apa keputusan kerana masih dalam perbincangan," katanya. 

/hwa: bharian.com.my | 5/3/12

Isu PAS Kedah belum berakhir

Oleh Azmi Md Deros dan Nahar Tajri
bhnews@bharian.com.my

pix_gal0
Phahrolrazi tetap mahu Azizan berundur syarat dilantik semula

ALOR SETAR: Walaupun mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat selama lima jam berakhir 3 pagi semalam, memutuskan untuk mengekalkan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, kemelut dalaman PAS Kedah dikatakan belum berakhir.
Pada mesyuarat itu, dua EXCO yang enggan menerima pelantikan semula, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh, diminta menerima jawatan itu yang tamat, Rabu ini.
Sumber memberitahu Berita Harian, syarat yang diletakkan Phahrolrazi jika parti itu mahu beliau menerima jawatan itu, iaitu jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah yang dipegang Azizan diserahkan kepadanya dan tidak membenarkan Menteri Besar itu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, masih belum diputuskan.

Dalam pertemuan tertutup antara dua pemimpin berkenaan dengan Jawatankuasa PAS Pusat diketuai Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang itu, satu lagi permintaan Phahrolrazi supaya jawatan Menteri Besar dipangku pemimpin lain, ditolak jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa itu memberi peluang sejam kepada setiap seorang untuk memberikan penjelasan dan mengemukakan hujah masing-masing.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu serta dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar. Selain itu, turut dilihat memasuki Seri Mantaloon ialah beberapa EXCO lain, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pelaburan dan Perindustrian, Datuk Amiruddin Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Badan Bukan Kerajaan, Abdul Ghani Ahmad serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS.
Kemelut dalaman PAS Kedah yang dikatakan antara krisis kepemimpinan terbesar dalam PAS tercetus apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail secara terang-terangan menolak dilantik semula ke jawatan EXCO dengan alasan tidak dapat bekerja di bawah pentadbiran Azizan yang didakwa mereka tidak mendengar pandangan orang lain.

Malah Phahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kundur yang dilihat mengetuai tentangan terhadap Menteri Besar itu, mengenakan tekanan ke atas Azizan apabila PAS Kawasan Kuala Kedah yang dipimpinnya memberi kata dua kepada Amiruddin yang juga ADUN Anak Bukit supaya melepaskan jawatan EXCO walaupun sudah mengangkat sumpah jawatan.

Phahrolrazi adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, manakala Amiruddin, timbalannya.

Difahamkan, Phahrolrazi sudah mendapatkan pandangan beberapa rakannya dalam Dewan Ulama PAS Kedah dan dikatakan akan menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan.

Phahrolrazi yang dihubungi semalam berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai pendirian Jawatankuasa PAS Pusat itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

"Biarlah mereka mengumumkan dulu keputusan mesyuarat malam tadi (malam kelmarin) yang saya difahamkan akan dibuat di Kuala Lumpur esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengesahkan ada lagi syarat yang beliau tetapkan belum diperhalusi jawatankuasa berkenaan.

Mesyuarat jawatankuasa itu dikatakan menemui jalan buntu apabila PAS yang sepatutnya membuat pengumuman keputusan yang diperoleh, terpaksa menunda sidang media yang sepatutnya diadakan di sini, semalam.

Sementara itu, Salahuddin yang dihubungi pagi semalam membayangkan masih ada perkara yang belum dapat diputuskan.

"Masih menunggu beberapa perkara yang perlu dinilai sebelum kita membuat keputusan," katanya.

Beliau yang dihubungi sekali lagi kira-kira jam 3 petang semalam mengesahkan sidang media bagi mengumumkan keputusan mesyuarat berkenaan akan diadakan di ibu negara hari ini.

Ini adalah kali kedua Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian dalam konflik antara Azizan dan Phahrolrazi dan Dr Ismail yang menolak pelantikan semula ke jawatan itu Isnin lalu.

Pada malam Khamis lalu jawatankuasa berkenaan bermesyuarat di ibu negara selama empat jam tetapi menemui jalan buntu, menyebabkan ia terpaksa mengadakan pertemuan kedua di sini. 

/hwa: bharian.com.my | 5/3/12

Golongan muda mahu perubahan


MOHD. Shafie Apdal (depan tengah), Mustapa Mohamed dan Khairy Jamaluddin melaungkan Gelombang Merah bersama sebahagian peserta Karnival Keluarga Muda di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 4 Mac - Orang muda di Kelantan mula berasa muak dan mahukan perubahan selepas melihat kegagalan Pas memerintah negeri ini selama 21 tahun.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Pas hanya pandai bercakap dan tidak berusaha melakukan perubahan terutama menyelesaikan masalah kemudahan asas di negeri ini.
Beliau berkata, golongan muda telah sedar Pas sanggup berbuat apa sahaja termasuk menggadaikan dasarnya untuk menegakkan agama Islam semata-mata mahu mendapatkan kuasa.
"Selepas 20 tahun memerintah, Pas hanya hebat berceramah di atas pentas, masalah bekalan air pun tidak dapat diselesaikan. 

/hwa: utusan.com.my | 5/3/12