30 April 2012

Penyerahan Bendera

Penyerahan Bendera: Kuala Lumpur, 29 April--Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan bendera kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ali Rustam simbolik pelancaran Larian Bendera sempena Ulangtahun UMNO ke 66 di lobi Menara Dato' Onn malam ini. 'Larian Bendera' ini akan berjalan serentak di empat zon iaitu Utara, Selatan, Pantai Timur dan Sabah pada 1 Mei ini dan akan berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei nanti - Foto : MediaUMNO 
/HWA: umno-online.com | Apr 2012

Peserta perhimpunan disediakan kemudahan termasuk wang

KUALA LUMPUR 28 April - Ego pembangkang yang selama ini mendabik dada bahawa mereka tidak perlu atau pernah 'memberikan wang' untuk menarik kehadiran penyokong dalam satu-satu aktiviti atau perhimpunan yang dianjurkan, memakan diri.
Bagi mereka, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang perlu 'menyuap' duit atau menaja sesuatu bagi menarik kehadiran khalayak sedangkan realitinya pada perhimpunan haram yang disokong pembangkang di ibu negara hari ini menceritakan sebaliknya.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan peserta perhimpunan haram, yang kononnya untuk menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil mendapati sebahagian daripada mereka sebenarnya ditaja oleh pihak tertentu, begitu juga kerajaan negeri.
Perkara itu didedahkan oleh beberapa peserta daripada Kelantan yang mana kedatangan mereka ditaja sepenuhnya meliputi pengangkutan, penginapan dan keperluan lain seperti belanja makan.
Menurut Wan Ismail Wan Mad, 34, beliau telah tiba di Kuala Lumpur sejak tiga hari lepas dari Tumpat dengan menaiki bas yang ditaja Pas bahagian itu.
Katanya selain disediakan hotel, beliau dan peserta lain turut diberi "duit poket" sebanyak RM150 setiap seorang.
"Semasa perhimpunan tahun lepas (9 Julai 2011) saya turun berdemo guna duit sendiri, sekarang diberi duit poket serta disediakan bas dan hotel.
"Jadi lagi bersemangatlah kami turun ke mari (Dataran Merdeka)," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini.
Seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Azli, 25, berkata peluang untuk turun berhimpun dengan segala perbelanjaan, termasuk duit poket disediakan kerajaan Pas Kelantan, menjadi dorongan utama kepadanya untuk turut serta dalam perhimpunan itu.
"Kami turun dua bas dari Pasir Mas untuk demo kali ini, kami tinggal di hotel berdekatan bagi memudahkan perjalanan ke Dataran Merdeka," katanya.
Pasangan suami isteri berusia sekitar 50-an, dari Kedah pula berkata mereka didatangkan dengan 20 buah bas dengan dikenakan bayaran serendah RM10 seorang, berbanding harga tambang biasa kira-kira RM100 pergi dan balik dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
Beliau yang hadir bersama suaminya sejak semalam dan ditempatkan di sebuah hotel berdekatan Dataran Merdeka berkata tambang semurah itu memberi lebih dorongan untuk mereka turun ke ibu negara.
Sementara itu, Azizah, 23, dari Permatang Pauh pula berkata beliau datang bersama dua saudara maranya bagi memberi sokongan kepada perhimpunan itu.
Katanya, mereka yang didatangkan dengan sebuah bas turut diberikan RM20 seorang sebagai wang belanja, didakwa diterima daripada seseorang bernama Mansor.
"Yang menghairankan saya ialah kenapa hanya sebuah bas sahaja dari Permatang Pauh," katanya. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

Sejuta Tandatangan Ahli UMNO

Kempen Sejuta Tandatangan Ahli UMNO - PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani Kempen Sejuta Tandatangan Ahli UMNO sambil disaksikan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas melancarkan Larian Bendera sempena Hari UMNO Ke-66 di Ibu Pejabat UMNO, Bangunan Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. - Foto Khairull Azry Bidin 
/HWA: bharian.com.my | Apr 30, 2012 3:31 am

Rancang 'cari pasal' salahkan SPR

ATAS kepercayaan hasil kejayaan perhimpunan yang dianjurkannya pada hujung tahun 2007, maka ia mahu diulangi hari ini. Kononnya perhimpunan itu berjaya membawa pakatan pembangkang menawan lima negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan serta menafikan 2/3 suara Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 bersamaan 8 Mac 2008.
Menjelang PRU-13 ini maka mereka percaya ini adalah masa sesuai untuk mengadakan perhimpunan, apatah lagi tiada lagi istilah 'haram' setelah kerajaan membenarkan perhimpunan awam diadakan.
Selepas menawan banyak kawasan BN dan menubuhkan kerajaan di lima buah negeri (kecuali Perak yang bertahan 11 bulan), tak ada pun terdengar cerita pengundi hantu dan memburuk-burukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hal ini berlanjutan dengan kemenangan pakatan pembangkang menang berturut-turut dalam banyak pilihan raya kecil.
Sesuatu mula berubah apabila pakatan pembangkang mula tewas satu demi satu dalam pilihan raya kecil. Pembangkang cuma menang separuh daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan di seluruh negara.
Mungkin tidak dapat menerima sokongan pengundi telah kembali memihak kepada BN, pembangkang melalui badan bukan kerajaan yang pro kepadanya mula merancang untuk 'cari pasal' dengan kembali mencari kelemahan SPR. Mereka telah lakukan dalam perhimpunan pada 9 Julai 2011.
Hari ini, mereka mahu turun ke Dataran Merdeka untuk menunjukkan kekuatan. Mereka mahu SPR yang dituduh tidak berlaku jujur mesti memenuhi semua tuntutan mereka.
Apa lagi yang patut SPR penuhi sedangkan anggota mereka sudah menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.
Dulu mereka sibuk tuntut guna dakwat kekal, sekarang sudah dipersetujui. Dulu desak daftar pemilih dibersihkan, sekarang sudah dibersihkan seberapa yang boleh. Jadi setelah diluluskan oleh Parlimen, maka sepatutnya tak ada isu lagi dengan SPR. Jika ada pun SPR hanya perlu melakukan penambahbaikkan.
SPR tidak memihak pada mana-mana parti politik. Jika benar BN dan SPR memanipulasi keputusan pilihan raya, bagaimana banyak kawasan dan kubu kuat BN boleh jatuh kepada pakatan pembangkang.
Hakikatnya Malaysia bukanlah termasuk kumpulan negara yang memanipulasi keputusan pilihan raya.
Mengapa sekarang pembangkang hilang keyakinan diri? Apakah pembangkang mula nampak bayang-bayang kemerosotan sokongan rakyat kepada mereka. Oleh itu, untuk menafikan kelemahan pada pihak mereka, SPR perlu dijadikan 'kambing hitam'.
Kalau tewas dalam PRU-13 nanti, pembangkang sudah ada alasan iaitu faktor SPR. Jelaslah perhimpunan hari ini bukan kerana SPR tetapi lebih kepada mainan politik pembangkang.
Oleh kerana mereka telah pun diberi kebenaran untuk berhimpun maka ikutlah peraturan sebagaimana diperintahkan oleh pihak berkuasa.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

LGBT: Kewarasan lawan kegilaan

Kempen mendidik pelajar dengan nilai-nilai murni dan menolak budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu digerak ke sekolah-sekolah. - GAMBAR HIASAN 
*****


KENAPALAH agaknya tiba-tiba isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini meletup, panas dan menjadi topik utama yang dibicarakan oleh bukan sahaja media cetak tetapi juga oleh media elektronik, blog dan alam siber. Malah terkini dibawa ke media jalanan pula? Apakah isu ini sesuatu yang baru sehingga semua golongan teruja lantas mengundang pelbagai reaksi pro dan kontra.
Bila diamati seperti ada sesuatu yang besar bakal berlaku tidak lama lagi. Agaknya inilah petanda-petanda terakhir yang besar sebelum munculnya pilihan raya.
Pelik, tentu ramai di luar sana ternganga bila LGBT dikaitkan dengan pilihan raya? Memang langsung tidak berkaitan sama sekali jika dilihat dari satu sudut, namun jika dilihat secara menyeluruh tentu kita boleh memahaminya.
Natijah amalan LGBT mutakhir ini semakin popular malah didokong dan diperjuangkan oleh beberapa NGO dan para pemimpin kanan mereka. Ini termasuk jugalah kumpulan yang mengaku akan menguasai Putrajaya selepas pilihan raya yang bakal menjelang tiba. Tentulah mengesahkan kehebohan itu adalah saling berkaitan. Benar, kalau itu terjadi maka negara kita akan dikuasai oleh kumpulan LGBT.
Inilah isu sebenar yang kita perlu berikan perhatian kenapa LGBT sudah menjadi begitu penting, besar dan sudah tentu relevan kepada semua rakyat negara ini. Kerana kita tahu bahawa amalan LGBT tidak pernah diiktiraf oleh mereka yang waras, oleh mana-mana agama dan ahli kitab keseluruhannya.
Isu ini sebenarnya bukanlah isu mengenai kemanusiaan atau hak asasi manusia semata-mata. Entah apalah sebenarnya interpretasi hak asasi yang sedang golongan ini perjuangkan sehingga kononnya LGBT ini tidak diberikan hak serta tidak diberikan layanan selayaknya sebagai seorang atau sekumpulan manusia. Benarkah isu berkenaan sedemikian kedudukannya sehingga kepentingan kumpulan ini perlu diperjuangkan sedemikian rupa.
Agaknya, siapakah sebenarnya kumpulan mereka ini? Begitu pentingkah sumbangan mereka dalam tamadun manusia sehingga majoriti terpaksa tunduk kepada desakan kumpulan ini. Walhal, jika ditinjau dari sudut perubatan mereka ini adalah kumpulan yang bermasalah dari segi psikologi dan sudah tentu dikelaskan sebagai orang yang sakit. Sakit ini berkaitan dengan emosi, dan dengan kata lain sakit jiwa.
Kalau begitu, bagaimana agaknya orang yang mempunyai masalah kejiwaan ini boleh menerajui badan NGO yang penting dalam negara ini dan ada pula sekarang sedang menerajui parti politik tanah air. Malah bukan calang-calang jawatan yang disandang mereka. Ini jika diambil kira sebagai indikator diskriminasi bolehkah dijadikan asas untuk menuding jari kepada kerajaan bahawa kumpulan mereka ditindas?
Tentu hairan dan pelik apabila pengamal LGBT sudah sampai ke tahap berkenaan tetapi masih menuduh mereka didiskriminasi. Sudah sah sebenarnya mereka ini terdiri daripada kumpulan orang yang berpenyakit. Kerana jika dirujuk secara menegak, melintang atau bersilang sekalipun, tidak ada sebarang bukti bahawa kumpulan ini ditindas.
Jadinya, apa yang ingin mereka perjuangkan?
Kalau begitu, isu LGBT bukanlah bersifat hak asasi lagi. Ia dijadikan kambing hitam bagi menghalalkan penggunaan LGBT untuk menarik perhatian pelbagai kumpulan bagi meningkatkan populariti kumpulan ini dan para pendokong mereka yang sudah tentu mengamalkan corak kehidupan seperti mana yang mereka amalkan.
Agaknya mereka ini ingin menyerlahkan lagi ketrampilan dan penerimaan terhadap kumpulan LGBT dengan menubuhkan satu parti LGBT bagi menyertai pilihan raya pada tahun ini. Eloklah kalau begitu caranya daripada asyik bersorak dan mengadakan forum dan menggunakan media tertentu malah melandaskan kepada pelbagai badan NGO bagi menghalalkan cara supaya masyarakat majmuk dan majoriti yang mendokong norma kehidupan normal berpandukan ajaran agama masing-masing tidak lagi boleh bersuara mengenai kejengkelan diri terhadap kelakuan luar tabie kumpulan ini.
Dengan kata lain, kumpulan kecil ini sudah sampai ke satu tahap kegilaan yang 'gaban' sehingga ingin memaksakan kepercayaan mereka kepada majoriti dan bukan sebaliknya. Inilah yang dikatakan masyarakat 69 atau tunggang-langgang. Yang didiskriminasi sekarang bukan kumpulan minoriti tetapi kumpulan majoriti. Malah kumpulan ini mendesak dan memaksa supaya sikap pelik mereka itu perlu diterima sebagai lumrah manusia dan mereka mempunyai hak asasi supaya dihormati.
Apakah mereka yang kononnya terpelajar ini gagal memberi tafsiran antara kecelaruan sejati, atau nafsu pelik dan otak rosak sehingga melonggokkan kesemua perlakuan pelik dan di luar tabie berkenaan ke dalam kumpulan yang sama LGBT.
Inilah sebenarnya yang membezakan manusia dengan haiwan. Kalau ingin dikelaskan sebagai manusia maka perilaku LGBT ini perlu dihentikan malah diambil tindakan tegas supaya generasi akan datang boleh diselamatkan daripada terjerumus ke lembah Luth yang sudah terang dan dinyatakan secara khusus di dalam kitab suci al-Quran.
Yang penting antara benar dan salah ada garis yang nyata seperti mana mahkamah ingin menjatuhkan hukuman. Meskipun ada garis kelabu antara kedua-duanya tetapi ia bukan menjadi satu alasan untuk menghalalkan semuanya. Ia perlu dilihat daripada satu kes kepada kes yang lain dengan teliti untuk diberikan pengecualian menggunakan pelantar yang rasional dan berasaskan hukum kemanusiaan yang sejati.
Cuba kita bayangkan sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan malah kumpulan ini diberikan ruang untuk menjalankan kegiatan gila mereka di negara ini secara bebas. Tentunya institusi keluarga, agama, dan moral tidak lagi dihormati. Apakah yang akan dipanggil oleh anak-anak (anak angkat) bila kedua-dua yang memelihara mereka adalah wanita, atau keduanya lelaki atau sebagainya. Agaknya, tentu guru di sekolah pening kepala apabila borang peribadi keluarga perlukan status penjaga, taraf perkahwinan dan seumpamanya.
Memang apabila berlaku sesuatu perkara yang keliru daripada awal akan terus menimbulkan kekeliruan sehingga ke akhirnya. Kiranya ia tidak dicegah, diperbetulkan atau diambil tindakan, kelak bukan sahaja menimbulkan pelbagai masalah tetapi dari sudut agama tentunya kita akan menerima azab dan bala daripada Allah SAW.
Meskipun gerakan dan permainan isu ini mungkin ada pertalian dengan demam pilihan raya tetapi ia bukan pula boleh dipandang remeh dengan sebelah mata sahaja. Kerana isu ini memang wujud, baik secara senyap tetapi sekarang sudah semakin terbuka. Tanpa prejudis kita perlu melihatnya dengan mata dan minda yang terbuka sebagai penganut agama yang patuh atau warga negara yang prihatin ataupun sebagai manusia yang waras bahawa LGBT adalah isu kewarasan melawan kegilaan.
Dunia pelik itu mereka sendiri yang pilih dan ceburinya tanpa paksaan sesiapa. Jangan pula memaksakan orang lain mengiktiraf perkara luar tabie berkenaan. Itu sudah zalim, kejam dan di luar konteks hak asasi manusia lain.
Secara ringkas, mudah dan tidak membebankan kita tutup sahaja buku LGBT ini dengan mendaftarkan mereka, diberikan kad keahlian, berikan pengiktirafan seperti yang mereka pinta dan asingkan mereka ke satu tempat lain supaya mereka boleh dibezakan dan tidak menjadi parasit yang akhirnya memporak perandakan ketamadunan dunia ketika ini sehingga sanggup pulang ke zaman jahiliah dan menjadi kemurkaan Allah.
PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

Wanita BN sokong pendirian Tunku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR 27 April - Wanita Barisan Nasional (BN) menyokong kenyataan Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang secara terbuka menolak perhimpunan haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka yang akan diadakan esok.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil  berkata, pihaknya kagum dengan pendirian Tunku Abdul Aziz yang nyata tidak menyokong perhimpunan haram itu diadakan.
"Wanita BN sebagai kaum ibu menyokong pendirian Tunku Abdul Aziz kerana tidak seperti rakan-rakannya yang lain, beliau lebih mengutamakan keselamatan terhadap rakyat, keamanan dan keharmonian negara ini melebihi kepentingan peribadi dalam politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tunku Abdul Aziz pada sesi Dewan Negara semalam, menyatakan bantahan terhadap penganjuran Bersih 3.0 itu berdasarkan pengalaman serta pemerhatiannya terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.
Shahrizat berkata, keazaman, keprihatinan dan kebimbangan Tunku Abdul Aziz terhadap rakyat mencerminkan kefahaman beliau kepada proses demokratik berdasarkan pengalamannya ketika berada di dalam Transperancy International.
Katanya, Wanita BN juga amat kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menegur Abdul Aziz kerana secara terbuka menolak penganjuran Bersih 3.0 itu.
"Beliau hanya mengamalkan hak demokrasi dalam mengemukakan pandangan beliau itu," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

'Tuduhan Mohammad Nizar karut'

TELOK KEMANG 27 April - Tuduhan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kononnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan rampasan kuasa jika Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 disifatkan sebagai mengarut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sendiri tidak terfikir untuk melakukan perkara itu hanya semata-mata bagi memenangi pilihan raya.
"Saya ingin tegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun tidak pernah memanggil panglima tentera laut, darat dan udara kononnya kerajaan telah meminta mereka mengambilalih kuasa jika BN kalah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Bandar Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan itu turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.
Ahmad Zahid mengulas dakwaan Mohammad Nizar dalam satu ceramah di Perak Ahad lalu yang menyatakan beliau telah dimaklumkan kononnya Najib memanggil dan bertanyakan kepada semua kepimpinan tentera darat dan udara tentang tindakan mereka sekiranya BN tumbang dalam pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu beliau menasihatkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu supaya berhenti berbohong hanya semata-mata untuk meraih sokongan daripada pengundi.
Katanya, kenyataan tanpa bersandarkan fakta itu hanya akan memperlihatkan kedangkalan Mohammad Nizar untuk mengheret anggota tentera yang dikatakan cenderung kepada satu-satu parti sahaja.
"Kita lihat sebagai contoh Datuk Seri Chan Kong Choy yang bertanding di Parlimen Lumut hanya menang majoriti 328 dan jika kami memaksa anggota tentera laut mengundi Barisan Nasional (BN) sudah tentu majoriti beliau adalah 11,200 undi seperti pada 2004," jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

Puteri UMNO cabar Nurul Izzah buat kenyataan umum, kemuka saman

KUALA LUMPUR 27 April - Pergerakan Puteri UMNO mencabar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar supaya mengemukakan saman fitnah dan membuat kenyataan umum bagi mendakwa Datuk Shazryl Eskay Abdullah sebagai pembohong besar berhubung isu video seks yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah itu perlu jika Nurul Izzah yang juga anak kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut benar-benar mahu menegakkan kebenaran dan mempertahankan bapanya.
Menurut beliau, sepatutnya tindakan segera telah diambil Nurul Izzah memandangkan isu terbabit melibatkan maruah bapa dan keluarganya.
"Puteri UMNO percaya sudah tiba masanya untuk Nurul Izzah berhenti daripada 'berlakon' kerana yakin beliau tidak akan berani untuk menyaman ataupun membuat kenyataan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rosnah, tindakan Ahli Parlimen itu mempertahankan Anwar dan wanita yang dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan bapanya itu, Shamsidar Taharin baru-baru ini juga menimbulkan tanda-tanya mengenai sejauh mana kejujuran beliau menyatakan pendiriannya.
"Puteri UMNO ingin bertanya kepada Nurul Izzah, apakah tindakannya itu kerana didesak atau dipaksa oleh Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR), suami Shamsidar ataupun setelah mendapat persetujuan daripada ibunya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terlebih dahulu," katanya.
Jelas Rosnah, Puteri UMNO sememangnya amat tertarik dengan tindakan dan 'lakonan politik' Nurul Izzah serta tidak sabar untuk menanti detik tamatnya sandiwara tersebut.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12

29 April 2012

Perjuangan bercirikan anarkisme adalah haram


KESURAMAN sambutan terhadap demonstrasi menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuatkan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) lebih agresif mengajak orang ramai untuk berhimpun dan terus berdegil mahu menggunakan Dataran Merdeka sebagai gelanggang membangkitkan provokasi.
Bagaimanapun, tulisan-tulisan yang disiarkan menerusi media dalam talian mengenai perhimpunan tersebut tidak begitu berkesan kerana masyarakat sememangnya sudah meluat dengan tindakan berdemontrasi sebagai kaedah terbaik memperalatkan demokrasi.
Atas situasi terdesak itulah ada ulama politik membuka silatnya dengan berfatwa bahawa menyertai demonstrasi tersebut adalah 'wajib' sebagai satu bentuk penentangan terhadap 'mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib ditentang'. Tidak pun nampak dengan jelas apakah perhimpunan itu merupakan jalan penyelesaian yang wajar dan selari dengan kehendak Islam.
Dari segi kepimpinan utama penganjur perhimpunan tersebut telah membuktikan beliau bukanlah seorang Muslim dan dalam masa sama turut mempermain-mainkan Islam setelah menjadi pendokong tegar kepada penganjuran Seksualiti Merdeka tahun lalu. Dari sudut manapun, peneraju Bersih sudahpun bertentangan dengan Islam.
Rakyat kini sudah faham, mereka sebenarnya cuba diperkudakan oleh kelompok pemimpin politik terdesak, kerana cara itulah boleh mengembalikan kesuraman sokongan dan merudumnya keyakinan kepada kebolehan merealisasikan aspirasi negara pada masa hadapan.
Masyarakat terus dilanda misteri kerana beberapa perkara yang menjadi pengetahuan umum dan semakin terdedah dengan lebih banyak pembohongan, tidak terungkai. Sebaliknya, empunya badan berselindung di sebalik dakwaan berterusan 'konspirasi', 'propaganda murah' dan 'mengekang sebarang peluang kemenangan' kerana terus berfantasi untuk menduduki Putrajaya meskipun suatu ketika 'mahu dilelong' atas alasan 'projek membazir'.
Melihat kepada perkembangan politik semasa, jelaslah betapa rakusnya pakatan pembangkang mencari jalan untuk berkuasa. Hakikat yang dilaksanakan itu mempunyai kaitan jelas dengan keinginan nafsu melampau, sehingga sanggup mengeluarkan fatwa 'wajib sertai Bersih'.
Kenapa tindakan anarkisme itu dikatakan wajib, sedangkan dalam ketetapan Islam, sebarang usaha mewujudkan ketegangan, perbalahan, sengketa dan kemungkinan pergaduhan adalah haram.
Menilai kesemua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, tidak nampak adanya keperluan menggerakkan rakyat untuk bangun memberontak.
Melihat kepada situasi Arab Spring menampakkan ada kuasa luar yang mempengaruhi kebangkitan rakyat bagi menentang pemerintahan yang sah, kerana pemimpin yang berkuasa tidak sehaluan dengan hasrat dan aspirasi membina kekuatan Islam.
Rakyat sudah boleh membaca apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh kelompok ahli politik yang amat berharap akan mengambil alih kuasa. Lebih ramai rakyat sudah sedar, kumpulan yang memimpin gerakan 'menyerang kerajaan' itu sebenarnya ingin membalas dendam dan terjerat dalam tragedi politik brutal.
Dalam Islam, perjuangan yang bercirikan anarkisme, revolusi, kudeta, provokasi, propaganda serta rampasan kuasa adalah tidak sesuai dengan tuntutan fitrah agama dan ia adalah haram.
Hasan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin juga mengambil kaedah mendekatkan masyarakat menerusi pemahaman dan membudayakan syariat. Meskipun dibatalkan kemenangan pertamanya di Ismailiyyah, Hassan al-Banna tidak pernah memprovokasi dengan menentang pemerintah menerusi revolusi atau kekerasan.
Apa yang dilakukan adalah mengajak penyokongnya memperbaiki dasar pemerintah menerusi dakwah dan ketajaman intelek. (Baca: Musthafa Muhamad Thahan, Pemikiran Moderat Hassan Al Bana).
Menurut Hasan al-Banna manusia sebenarnya sering terkeliru sehingga tenggelam dalam lautan falsafah dan merasa lapang menerima contoh-contoh yang berdasarkan sumber akal, sebagaimana terkelirunya ulama politik apabila mengeluarkan resolusi wajib menyertai perhimpunan berkenaan. Bagi pengasas Ikhwanul Muslimin itu, apabila sesebuah negara itu berada dalam keadaan aman, kehidupan masyarakat sejahtera dan makmur, maka rakyat wajib menyokong dan membantu pemerintah.
Malaysia tidak pernah menggunakan kekerasan, bahkan pintu rundingan sentiasa terbuka. Kehendak Bersih dipenuhi, di mana mereka diberi kebenaran berhimpun secara aman, yang menjadi persoalannya adalah lokasi. Penganjur mahu terus menggunakan kekerasan dan ugutan.
Hal ini mungkin boleh dipelajari dari sejarah Islam, ia boleh membangkitkan perpecahan apabila munculnya Hajjaj bin Yusof as-Saqafi pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Beliau sangat digeruni disebabkan pendiriannya tegas dan menggunakan pendekatan kekerasan terhadap mana-mana pihak yang cuba menentang dan memberontak kepada kerajaan yang sah. Beliau menumpaskan pemberontak bagi memastikan keadaan negara sentiasa aman, harmoni dan stabil.
Apabila rakyat makmur dan sejahtera, tidak ada alasan bagi rakyat melakukan pemberontakan terhadap kerajaan. Sesungguhnya menjadi kewajipan rakyat menyokong dan membantu kerajaan sebagai balasan terhadap apa yang diberikan dan diperjuangkan kerajaan kepada rakyat.
Walhal, meskipun kerajaan Malaysia mempunyai kuasa yang sah untuk menggunakan pendekatan yang sama sebagaimana yang dilakukan Hajjaj Yusuf Saqafi, akan tetapi perkara itu tidak perlu dilakukan. Kerajaan sentiasa cuba menggunakan pendekatan berhemah dan membuka pintu dialog kepada pihak-pihak yang 'menentang' kerajaan.
Bagaimanapun, kerajaan sebagai pihak yang mendapatkan mandat yang sah dari rakyat, jika terpaksa akan bertindak menggunakan pendekatan seperti mana yang digunakan oleh Hajjaj Yusuf Assaqafi kepada mana-mana pihak yang cuba memberontak (bughat) bagi memastikan negara aman dan tidak terdedah kepada perpecahan di kalangan masyarakat.
Islam bukan sekadar agama, ia adalah cara hidup yang jelas meletakkan keamanan keseluruhan manusia sebagai matlamat. Bahkan, Islam memberikan pengajaran kepada penganutnya, usaha membina damai ketika di dunia akan turut memberikan kemenangan di akhirat, maka setiap pemerintah sentiasa merangka tindakan mensejahterakan rakyat.
Sebarang usaha untuk mewujudkan permusuhan dan pertumpahan darah mesti disekat dengan berkesan, di samping mewajibkan setiap orang mengamalkan nilai-nilai penyatuan, perpaduan, kerjasama, bijaksana dan mesra dalam pergaulan. 
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

LGBT: Mesej jelas Yusof al-Qardhawi

Nasharudin Mat Isa menyampaikan ceramah bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syariah pada Wacana Kemungkaran Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender Mengundang Bala Allah anjuran pertubuhan bukan kerajaan, MUAFAKAT di Universiti Teknologi Malaysia, baru-baru ini. 
*****
Nama Sheikh Dr. Yusof al-Qardhawi sering digunakan pihak pembangkang bagi menggambarkan sokongan ulama tersohor dunia itu terhadap perjuangan kumpulan mereka dengan harapan ia mampu meraih lebih banyak sokongan serta simpati rakyat.
Perkara itu bukan satu rahsia kerana selama ini terutama di dalam beberapa siri ceramah seorang pemimpin utama sebuah parti pembangkang nama Yusof al-Qardhawi tidak lekang di bibirnya yang bertujuan menunjukkan betapa akrabnya hubungan ulama tersebut dengan pemimpin berkenaan.
Di dalam setiap ceramah beliau akan memastikan pertemuannya dengan Yusof al-Qardhawi ketika berkunjung ke luar negara sentiasa disebut dan disebarkan supaya rakyat tahu mereka berdua mempunyai hubungan yang cukup rapat.
Memang tidak dinafikan pengaruh Yusof al-Qardhawi kepada umat Islam di negara ini begitu kuat kerana beliau merupakan seorang ulama terkenal dan disebabkan itu tidak hairanlah namanya sering dijaja atas pelbagai faktor termasuk membabitkan kepentingan politik.
Namun secara ringkasnya sejauh mana akrabnya hubungan Yusof al-Qardhawi dengan pemimpin berkenaan hanya Allah sahaja yang mengetahui.
Sementara itu penulis percaya tidak ramai yang mengetahui mengenai fatwa Yusof al-Qardhawi berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)-ketika ini hak golongan berkenaan sedang hebat diperjuangkan oleh kelompok tertentu di negara ini atas faktor hak asasi manusia.
Dalam satu wacana yang dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) LGBT di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus Antarabangsa Ahad lalu, Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Nasharudin Mat Isa ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syari'ah telah mendedahkan kepada umum mengenai pendirian Yusof al-Qardhawi terhadap isu LGBT.
Nasharudin membacakan fatwa Yusof al-Qardhawi di dalam bahasa Arab yang kemudian telah diterjemahkan dan apa yang pasti pendirian ulama tersohor itu berhubung isu berkenaan amat keras.
Yusof al-Qardhawi di dalam fatwanya seperti mana yang dibaca oleh Nasharudin dengan tegas menyatakan bahawa amalan seks songsang itu wajib ditentang oleh semua umat Islam termasuk menggunakan kekuatan kerana perbuatan tersebut amat bertentangan dengan hukum Islam serta fitrah manusia.
Malah ulama kelahiran Mesir itu turut melarang umat Islam makan atau minum bersama pejuang, penyokong serta pengamal LGBT apatah lagi berada di bawah kepimpinan golongan terbabit kerana keadaan mereka yang sentiasa bergelumang dengan perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT.
''Yusof al-Qardhawi di dalam fatwanya mengenai LGBT cukup jelas. Beliau mahu kita semua umat Islam menentang habis-habisan termasuk menggunakan kekuatan terhadap mereka yang menyokong dan mengamalkan LGBT kerana perbuatan ini bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.
''Mesej yang mahu disampaikan oleh ulama tersohor ini, umat Islam wajib menentang kemungkaran dan kita tidak boleh berkompromi dalam soal melibatkan perbuatan-perbuatan maksiat. Amalan-amalan seumpama ini wajib ditentang hingga ke titisan terakhir," ujar Nasharudin.
Nasharudin berkata, asas fatwa yang dibuat oleh Yusof al-Qardhawi itu berdasarkan kepada hak asasi manusia serta kebebasan yang telah ditetapkan di dalam Islam.
Islam, katanya mengiktiraf hak asasi manusia dan kebebasan tetapi ia tetap tertakluk kepada had serta batas-batas syarak.
''Hak asasi dan kebebasan di dalam Islam dipandu oleh al-Quran, al-Hadis serta sumber hukum yang lain dan bukannya bersifat mutlak seperti mana diperjuangkan oleh kelompok-kelompok tertentu di negara ini.
''Hak asasi manusia dan kebebasan yang bersifat mutlak akan membawa kepada kekufuran dan kemaksiatan sedangkan ia sesuatu yang amat ditegah di dalam Islam.
''Saya sebenarnya sengaja membawa fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Yusof al-Qardhawi memandangkan beliau amat terkenal dan amat dikenali oleh umat Islam di negara ini," katanya.
Isu mengenai LGBT di negara mula tercetus pada November tahun lalu apabila 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan berani menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011 iaitu satu program yang dibimbangi menggalakkan seks bebas.
Walaupun Perlembagaan dalam perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan dan menjadi tonggak kepada tertubuhnya Malaysia, ia tidak menjadi penghalang kepada kesemua NGO terbabit menunjukkan 'belang' mereka menganjurkan program yang menjijikkan itu.
Bagaimanapun program yang bertujuan memperjuangkan hak LGBT mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam malah komuniti bukan Islam.
Dalam pada itu, Nasharudin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas berkata, usaha untuk membela hak LGBT sebenarnya cuba mengundang bala daripada Allah SWT.
Apa yang disampaikan oleh Nasharudin itu berasas kepada hukuman Allah yang pernah menimpa kaum Nabi Lut a.s kerana membudayakan perbuatan bercanggah dengan syariat serta fitrah manusia iaitu melakukan hubungan jenis antara lelaki dan lelaki.
Nasharudin turut menggunakan perumpamaan yang disifatkan sebagai satu olahan yang boleh membuatkan seseorang itu resah menanti bala Allah apabila perlakuan seks songsang di negara ini bukan sahaja gay malah turut melibatkan amalan lesbian, biseksual dan transgender.
"Cuba lihat, pada zaman Nabi Lut hanya ada G (gay) sahaja, itu pun Allah telah menjatuhkan hukum yang begitu berat. Bayangkan sekarang, ditambahkan dengan perbuatan LBT (lesbian, biseksual dan transgender). Mahukah kita undang bala Allah dengan hanya kita berdiam diri?," ujar Nasharudin.
Jelas, program yang memperjuangkan seks songsang hukumnya haram dan ia dinyatakan sendiri di dalam al-Quran.
Harus diingat perbuatan memperjuangkan LGBT atau apa-apa perjuangan yang berlawanan dengan ketetapan hukum Allah SWT hanya akan mengundang kemurkaanNya.
Dalam pada itu, Nasharudin telah mengkategorikan pejuang dan pengamal LGBT itu sebagai pengikut-pengikut jejak syaitan dengan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208.
Selain Nasharudin kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh tiga ahli panel yang bersama-sama menjayakan wacana tersebut.
Mereka ialah Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El Muhammady ; Ahli Jawatankuasa Biro Undang-Undang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamad Naser Disa dan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Abdul Rahim Sinwan.
Kesimpulannya, kesemua ahli panel mengutuk keras perjuangan membela nasib kumpulan LGBT serta kelompok-kelompok yang mengamalkan perbuatan songsang itu kerana jelas ia bertentangan dengan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sehubungan itu, mereka mahu semua umat Islam bersatu padu menentang gerakan mereka itu demi memelihara kesucian Islam serta negara negara ini daripada ditimpa bala Allah SWT.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

Dakwaan tidak pernah berlaku dalam sejarah

KUALA LUMPUR 26 April - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mendesak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan bukti berhubung dakwaan yang mengaitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan rampasan kuasa jika Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Kedua-dua presiden persatuan itu bersependapat, sekiranya Mohammad Nizar gagal menunjukkan bukti, maka jelaslah ia satu bentuk tuduhan berbaur hasutan dan fitnah dengan agenda politik semata-mata.
Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, dakwaan mengaitkan ATM diarahkan untuk merampas kuasa tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini.
"Jika ATM nak rampas kuasa sepatutnya ketika peristiwa 13 Mei dahulu, bagaimanapun ia tidak pernah berlaku kerana ia bukan budaya orang Melayu, bukan budaya orang Islam.
"Jangan sesekali mempolitikkan isu keselamatan negara kerana tugas pasukan keselamatan seperti polis dan tentera adalah untuk menjaga keamanan negara daripada sebarang ancaman.
"Tuduhan tidak berasas sebegini boleh membawa perpecahan, merugikan ekonomi dan kesejahteraan negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Presiden PBPM, Shafie Bakri mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjalankan siasatan ke atas dakwaan tersebut.
"Kenyataan Mohammad Nizar berbaur hasutan serta satu tuduhan melampau yang menimbulkan keresahan rakyat dan perasaan benci terhadap Perdana Menteri dan pasukan keselamatan ATM.
"Tuduhan itu tidak mencerminkan budaya ATM yang menghormati demokrasi dan institusi raja-raja, bukan sewenang-wenangnya mengetepikan Yang di-Pertuan Agong untuk merampas kuasa negara ini.
"Hentikanlah ucapan provokasi dan tuduhan melampau sedemikian kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya menjejaskan keharmonian negara sejak kemerdekaan dicapai," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

Apa muslihat penganjur? - Mohd. Jurit

KUALA LUMPUR 26 April - Tindakan penganjur perhimpunan Bersih 3.0 yang tetap berkeras ingin menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi berhimpun dipersoalkan memandangkan pihak berkuasa menawarkan lokasi lain termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM) Mohd. Jurit Ramli berkata, keadaan stadium tersebut yang mempunyai infrastruktur lengkap termasuk tandas, tempat letak kereta dan ruang berhimpun perlu digunakan sewajarnya penganjur terbabit.
"Apa muslihat penganjur sehingga mereka bertindak menolak lokasi alternatif yang memudahkan orang ramai ini? Kenapa perlu menyusahkan lagi kehidupan warga kota yang pernah diuji dengan dua perhimpunan seumpama itu sebelum ini?.
"Setiap tindakan yang kita lakukan perlu berorientasikan rakyat. Rakyat menolak perhimpunan yang menyusahkan kehidupan harian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menegaskan kerajaan tidak menghalang penganjuran perhimpunan aman di negara ini, namun, perhimpunan itu perlu diadakan di tempat dibenarkan setelah mengambil kira kepentingan orang ramai seperti di Stadium Merdeka atau Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, penganjur perhimpunan Bersih 3.0 menolak tawaran tersebut dan tetap berkeras untuk menjadikan lokasi tumpuan pelancong, Dataran Merdeka sebagai tempat berhimpun.
Justeru, Mohd. Jurit menyeru rakyat negara ini khususnya warga kota yang akan terjejas dengan perhimpunan itu agar tidak sesekali membenarkan ia diadakan di Dataran Merdeka.
"Tindakan mereka ini menunjukkan penganjur tidak memikirkan kepentingan umum seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Mereka hanya ingin mengajar rakyat Malaysia mengamalkan undang-undang rimba yang memudaratkan kedaulatan undang-undang negara," ujarnya.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

ATM kecam Mohammad Nizar

ZULKIFELI Mohd. Zin bersalaman dengan anggota MALCON 4 ISAF yang akan berlepas ke Afghanistan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ 
*****
KUALA LUMPUR 26 April - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengecam dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengaitkan pasukan itu dengan rampasan kuasa jika Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin menyifatkan tuduhan itu sebagai berbaur politik dan hasutan sehingga boleh mengelirukan rakyat serta menjejaskan keselamatan negara.
Sehubungan itu, satu laporan polis akan dibuat oleh ATM terhadap dakwaan palsu Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang tersebut dalam masa terdekat supaya siasatan lanjut dapat dilaksanakan dan tindakan undang-undang sewajarnya boleh diambil.
"Saya mewakili ketiga-tiga cabang pertahanan negara menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak bertanggungjawab itu. Ini kerana ia tidak benar dan berniat jahat.
"Dewasa ini, wujud banyak pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa berusaha meracuni pemikiran rakyat bertujuan menghakis keyakinan mereka terhadap ATM dan kerajaan pimpinan BN serta tidak terkecuali individu tertentu dalam usaha melindungi politik mereka.
"Justeru semua pihak diseru tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak berkaitan kerana ATM sentiasa mendokong Perlembagaan dan bersikap profesional," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali.
Dalam ceramahnya di Ipoh, Perak, Ahad lalu, Mohammad Nizar menyatakan beliau telah dimaklumkan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil dan bertanyakan kepada semua kepimpinan tentera darat serta udara tentang tindakan mereka sekiranya BN tumbang pada PRU-13.
Ini bukan kali pertama pembangkang mengheret ketumbukan itu ke dalam kancah politik tempatan kerana sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjaja nama ATM sebagai 'merestui' pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri keenam pada 16 September 2008.
Pihak pembangkang sebelum ini turut mengaitkan ATM dengan penyelewengan undi pos kononnya anggota organisasi itu diarahkan oleh pegawai pemerintah untuk menanda ribuan kertas undi pos.
Bagaimanapun tuduhan-tuduhan berkenaan didapati tidak berasas dan bermotifkan kepentingan politik pembangkang semata-mata.
Sementara itu di LUMUT, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menyifatkan kenyataan Mohammad Nizar sebagai satu fitnah.
Beliau menegaskan, angkatan tentera termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah organisasi profesional yang tidak akan memihak kepada mana-mana parti politik.
"Sudah banyak kali kita terangkan bahawa angkatan tentera termasuk TLDM adalah profesional dan tidak bersikap berpihak kepada mana-mana parti politik.
"Apa yang dilemparkan oleh Mohammad Nizar adalah tuduhan berbentuk fitnah dan ia amat mendukacitakan kerana ia mampu mencetuskan konflik serta perasaan tidak puas hati kepada banyak pihak terutamanya anggota tentera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meraikan 109 anak-anak yatim yang menyertai pelayaran bersama kapal KD Mahawangsa di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, TLDM tetap berpegang teguh kepada Perlembagaan serta sumpah taat setia kepada raja dalam memastikan negara ini dalam keadaan selamat dan tenteram.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

Guan Eng dicabar buktikan dakwaan bangunkan Pulau Pinang

PULAU PINANG 26 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuktikan dakwaan bahawa beliau berjaya membangunkan negeri ini sejak mengambil alih pentadbiran, empat tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Setiausaha Agung DAP itu sebenarnya hanya menumpang hasil usaha pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu yang telah menyediakan asas kukuh untuk kemasukan pelabur asing.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat sedar bahawa pembangunan yang dinikmati di negeri itu datangnya daripada bantuan serta sokongan Kerajaan Pusat.
"Bila dia (Guan Eng) ambil alih pentadbiran negeri ini, dia 'menenggek' sahaja.
"Dia sudah lupa yang buat dulu adalah BN termasuk agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kita tidak menghalang pelabur luar untuk melabur di mana sahaja termasuk Pulau Pinang," katanya.
Beliau berucap di depan kira-kira 10,000 orang yang hadir pada majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu.
Majlis tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung di Taman Iping, Batu Maung di sini tetapi terpaksa dipindahkan selepas mendapat bantahan daripada wakil rakyatnya, Abdul Malik Kassim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, pada sidang akhbar di Politeknik Seberang Perai, Bukit Mertajam, Muhyiddin mengulas mengenai pemindahan lokasi majlis tersebut.
Beliau memberitahu, kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya bersikap lebih terbuka dalam perkara sedemikian.
Katanya, pemimpin BN mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyampai serta menerangkan tentang dasar-dasar Kerajaan Persekutuan kepada rakyat di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

26 April 2012

'Kalakal Kaalai'

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditemubual dua penyampai radio ketika membuat lawatan ke Stesen Radio THR Raaga dalam rancangan awal pagi 'Kalakal Kaalai' di ASTRO, Bukit Jalil, hari ini. - Foto Sairien Nafis
/HWA: BH | Apr 26, 2012 11:13 am

Anwar ulangi pembohongan besar

MUHYIDDIN Yassin diiringi Pengerusi Pondok Genting, Abdullah Sa'amah (tiga dari kiri) melawat kawasan pondok sekolah pada Majlis Pemimpin Bersama Ulama di Pondok Tok Guru Haji Lah, Genting, Tumpat, Kelantan, semalam. 
******


KOTA BHARU 24 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi bakal melakukan pembohongan besar apabila mendakwa ada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sabah akan menyertai pakatan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar bakal mengulangi pembohongan besar yang dilakukannya pada 16 September 2008 kononnya pembangkang akan membentuk kerajaan berikutan penghijrahan ramai wakil rakyat BN, walhal perkara itu tidak berlaku sehingga sekarang.
Menurut beliau, kenyataan Anwar tersebut tidak lebih untuk menunjukkan dia mendapat sokongan besar sehingga sanggup melakukan pembohongan demi pembohongan.
"Apakah rakyat masih nak terpedaya dengan kenyataan Anwar Ibrahim tentang hal itu? Dia fikir kalau ada orang kita nak duduk dekat sebelah dia bercakap, nak masuk ikut dialah.
"Pemimpin-pemimpin utama BN tahu lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, baik di Sabah, Kelantan, Sarawak sokongan meningkat dan jelas terbukti memang rakyat mahukan pimpinan BN," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan khas bersama pesara-pesara kerajaan, guru, tentera dan polis di sini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pakatan pembangkang.
Mengulas lanjut, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, rakyat boleh menilai prestasi parti pakatan pembangkang khususnya di negeri-negeri yang mereka kuasai.
"Pelbagai ideologi, pendekatan yang sememangnya menimbulkan keresahan masyarakat, dasar tidak konsisten, pakatan yang rapuh, strategi yang makan diri, pendirian tidak tegas, ini dapat kita lihat berlaku dalam tempoh tiga tahun (pentadbiran pembangkang)," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berdasarkan tinjauan lawatan beliau ke Kelantan mendapati rakyat negeri itu semakin berminat dan ada kesungguhan untuk bersama-sama dengan UMNO dan BN.
Sementara itu, Muhyiddin turut memberitahu, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM100,000 bagi menyediakan sistem penapis air di 30 buah sekolah di negeri ini yang menghadapi masalah bekalan air bersih.
Katanya, usaha tersebut dilakukan kerana kerajaan bimbang penularan penyakit dalam kalangan pelajar disebabkan bekalan air tidak bersih di sekolah-sekolah.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang berdepan masalah bekalan air bersih serius termasuk di kawasan luar bandar, sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.
"Masalah air bersih isu besar di Kelantan dan kita bimbang kalau anak-anak kita tak dibekalkan air bersih di sekolah, ini akan jadi satu isu kesihatan yang boleh mengganggu pelajaran mereka," katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM120,000 kepada empat persatuan iaitu Persatuan Bekas Tentera Malaysia, persatuan bekas polis, persatuan pesara kerajaan dan persatuan pesara pendidikan Kelantan.
Mengulas sikap kerajaan Pas Kelantan yang menganggap isu bekalan air bersih sebagai 'remeh', Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ia berlaku disebabkan ketidakupayaan kerajaan Pas untuk menyelesaikan masalah tersebut.
/HWA: utusan.com..my | 25/4/12

2.27 juta pengundi baru didaftar antara 2008-2011

KUALA LUMPUR 25 April - Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa seramai 2,270,002 pengundi baru didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan kaum Melayu merupakan pemilih baru tertinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada jumlah itu, 155,420 pemilih didaftarkan pada 2008, 279,270 pemilih (2009), 826,462 pemilih (2010) dan 1,008,850 pemilih (2011).
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Ng Fook Heng yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan pengundi baru berdaftar mengikut kaum sejak 2008.
Mengenai pecahan jumlah pendaftaran pemilih mengikut kaum, Vui Keong berkata, Melayu merupakan kaum tertinggi mendaftar pada 2008 iaitu seramai 82,309 pemilih (53 peratus) diikuti kaum Cina (29.4 peratus) dan India (8.1 peratus).
Pada 2009, seramai 187,828 pemilih (67.3 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (19.8 peratus) dan Bumiputera Sarawak (4.8 peratus) manakala pada 2010, seramai 466,137 pemilih (56.4 peratus) adalah orang Melayu diikuti Cina (27.0 peratus) dan India (6.6 peratus), katanya.
Bagi 2011, seramai 611,498 pemilih (60.6 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (22.0 peratus) dan India (6.7 peratus).
Vui Keong berkata statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Selangor mencatatkan pendaftaran jumlah pengundi baru tertinggi iaitu seramai 165,222 orang diiikuti Johor (124,240 orang), Perak (96,710 orang), Sabah (86,927 orang) dan Kedah (84,704 orang).
Ini diikuti dengan Kelantan seramai 69,344 orang, Pulau Pinang (64,029 orang), Sarawak (63,305 orang), Kuala Lumpur (61,040 orang), Pahang (59,639 orang), Terengganu (45,190 orang), Negeri Sembilan (42,009 orang), Melaka (31,827 orang), Perlis (9,881 orang), Labuan (2,863 orang) dan Putrajaya (1,920 orang). - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 25/4/12

Cerita dongeng terbaru PKR

PADANG SERAI 24 April - Pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin bankrap idea apabila sanggup membuat dakwaan kononnya, 300,000 kaum India di negara ini masih belum mendapat MyKad.
Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan berkata, dakwaan liar tersebut lebih kepada dongeng dan bertujuan mengelirukan rakyat khususnya masyarakat India terhadap kerajaan.
"Nampaknya pemimpin mereka telah hilang idea dan kini tampil dengan dongeng terbaru. Masyarakat India sebenarnya sudah masak dengan perkara ini.
"Oleh itu, saya ingin sarankan kepada mereka lebih baik tulis novel mengenai pembohongan yang dilakukan selama ini. Selepas itu, edarlah kepada pengikut mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,000 penerima di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Keladi, dekat sini hari ini.
Hadir bersama ialah Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr. Chin Tung Leung.
Ananthan mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, N. Surendran baru-baru ini, yang mendakwa kononnya 300,000 masyarakat India di negara ini belum menerima MyKad dan taraf kewarganegaraan meskipun kerajaan dengan kerjasama MIC mengadakan program Pendaftaran MyKad sebelum ini.
Menurut Ananthan, MIC sebelum ini giat menjalankan usaha mendaftarkan kaum India dan hasilnya ramai di kalangan mereka menerima dokumen warganegara.
"Di Kedah misalnya, sebelum ini seramai 1,000 orang telah dikenal pasti tidak memiliki MyKad. Bagaimanapun, 761 daripada mereka telah diluluskan dan bakinya dalam proses menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Negara ," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 25/4/12

Khalid Ismath dan budaya bersyukur yang sudah luntur...

KHALID Mohd. Ismath, baru berusia 22 tahun, pelajar tahun 2 pengajian ijazah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Dalam YouTube, suaranya garing dan kasar. Ada ala-ala suara Anwar Ibrahim.
Budak berasal dari Klang ini cukup menyanjung tinggi S. Ambiga. Ambiga baginya ialah idolanya. Ambiga ialah penyelamat kumpulan mahasiswa.
Jika mendengar ucapannya dalam YouTube, UMNO dan Barisan Nasional ialah parti yang terlalu zalim dan maha zalim buatnya. Kerajaan sekarang terlalu buruk bagi pandangannya. Dia yang masih belajar ialah pelajar di sebuah universiti yang menerimanya masuk atas dasar dia seorang Bumiputera.
Universiti itu hanya menerima yuran RM500 semester, satu-satunya universiti yang mengambil yuran pengajian yang terendah di negara ini. Yang lain semuanya percuma. PTPTN hanyalah wang kocek sara hidup untuk lain-lain hal sepanjang semester pengajian.
Jika di zaman saya dulu makan pun percuma, tiga kali sehari. Jika duit tiada, para pelajarnya masih boleh hidup, tidak kebulur.
Dalam YouTube juga, Khalid menggambarkan dia adalah hero kepada kaum mahasiswa. Semua yang berlaku dalam kampus dan negara ini salah belaka. Hanya dia sahaja yang betul. Hanya Ambiga sahaja yang betul. Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang menjadi pujaan hatinya.
UiTM yang mengasuhnya cukup tidak adil, haknya kononnya dicabul. Itulah kata-katanya yang dipetik dalam laman sesawang itu ketika menjadi wakil solidariti mahasiswa Malaysia semasa berucap di majlis pelancaran ABU (Asal Bukan UMNO) di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melewar, Kuala Lumpur, tidak lama dulu.
Khalid kononnya mendakwa bergerak secara bebas atas nama Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami). Namun dia tidaklah independen, dia sebenarnya ialah kader yang dilahirkan oleh parti pembangkang.
Sejak beberapa hari lalu, kelibat Khalid kelihatan berada bersama-sama aktivis fahamannya di Dataran Merdeka. Dia berada di situ untuk menuntut kerajaan menghapuskan PTPTN, yang juga didakwanya sebagai satu skim pinjaman pelajar yang terlalu zalim.
Jika mahu ditakrifkan apa itu anti-establishment, maka Khalid inilah anti-establishment. Semua baginya tidak betul, kecuali dia sahaja yang betul.
Sudah tentu Lim Guan Eng terlalu teruja dengan Khalid. Guan Eng dikatakan turun padang pada jam 2.30 pagi baru-baru ini bagi memberi sokongan moral kepada Khalid dan rakan-rakannya, yang rata-rata Melayu, berkhemah di Dataran Merdeka itu. Guan Eng bukan sahaja bangga kerana Khalid anak Melayu, tetapi juga pelajar UiTM, sebuah institusi yang cuba dirobek-robek oleh mereka.
Terus terang saya katakan, saya amat bersimpati dengan Khalid. Dia mewakili mahasiswa yang sudah terjebak terlalu jauh dalam perjuangan peribadi Anwar Ibrahim dan DAP. Pas pula hanyalah Pak Turut yang tiada tujuan.
Guan Eng, Anwar dan Ambiga telah menggunakan mereka ini demi kepentingan peribadi masing-masing. Khalid nampaknya sudah terjebak jauh. Untuk berpatah balik, nampaknya terlalu sukar baginya. Maka alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.
UiTM yang sepanjang tempoh lebih 40 tahun melahirkan anak-anak Melayu yang berjaya - hasil perjuangan UMNO yang dianggap zalim oleh Khalid - kini sudah mula melahirkan seorang insan yang sungguh tidak bersyukur seperti Khalid.
Namun, Khalid sebenarnya hanyalah segelintir. Terlalu ramai lagi bekas-bekas pelajar UiTM, yang diterapkan dengan lagu keramat Anak Kecil Main Api di zaman rebungnya, tidak akan melupakan pengorbanan yang dicurahkan kepada mereka semua oleh institusi itu.
Mereka semua bersyukur dengan apa yang mereka kecapi hari ini. Khalid hanya baru belajar bertatih dalam dunia sebenar, tetapi telah memilih satu persimpangan yang dianggapnya betul, tapi melencong.
Wahai, Khalid Mohd. Ismath. Cara perjuangan kamu sebenarnya terlalu angkuh. Suara kamu berbunyi bongkak dan takabur. Butir-butir kata yang diberikan kamu dalam YouTube itu terlalu dangkal. Kamu menganggap kamulah pelajar yang paling hebat di negara ini.
Bukan tujuan tulisan ini untuk mengangkat kamu. Tapi untuk dijadikan pengajaran kepada yang lain supaya kita harus bersyukur dengan nikmat yang telah dicurahkan kepada kita semua di bumi bertuah ini. Selagi hayat ini dikandung badan, selagi itulah, insya-Allah, orang seperti Khalid akan terus mendapat pembelaan. Selagi itulah tempatnya untuk menuntut ilmu di UiTM, institusi pengajian tinggi keramat orang Melayu ini akan terjamin.
Sehubungan itu, marilah kita semua membalas semula budi baik yang dicurahkan kerajaan kepada kita. Sekurang-kurangnya kepada Mara (Majlis Amanah Rakyat) yang pernah mengasaskan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya menjadi sebuah universiti, setelah diangkat naik oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Saya difahamkan sebagai menghargai jasa Mara dan sebagai membalas balik budi baiknya semua pihak yang terbabit dengan agensi itu, sama ada bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), guru-gurunya, pesara agensi itu, Institut Kemahiran Mara (IKM), bekas penerima biasiswa dan pinjaman pelajaran, usahawan, termasuk bekas pelajar ITM/UiTM, akan mewujudkan sebuah dana khas bagi menyumbangkan semula kepada masyarakat atas nama kesyukuran. Dana yang akan dikutip itu akan dipulangkan semua kepada anak-anak dan generasi kita.
Diharapkan ia akan menjadi satu kitaran mengenang budi dan kesyukuran yang patut mulai sekarang diterapkan di sanubari kita semua. Sebenarnya Khalid juga harus bersyukur di atas dasar yang telah dibentuk oleh para pejuang negara selama ini.
Ingatlah Khalid, negara kita kini terlalu aman damai hasil perjuangan para pemimpin terdahulu dan semasa. Sejak negara di ambang kemerdekaan dan selepas mencapai kemerdekaan corak negara ini banyak dimainkan oleh para pejuang itu sehinggalah kestabilan dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Kini rakyat seperti saudara boleh bergerak bebas mencari rezeki atau ilmu.
Boleh ke masjid atau surau atau ke mana-mana sahaja berbanding dengan sesetengah negara lain di muka bumi ini.
Nikmat keselesaan hidup yang kita kecapi selama ini hendaklah kita gandakan dengan ibadat kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kepada-Nya, kerana dibimbangi nikmat yang kita kecapi selama ini berkemungkinan akan ditarik balik oleh-Nya.
Manusia yang disayangi Allah ialah manusia beriman yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.
Negara sudah aman dan maju, sebab itulah DAP, Pas, dan PKR sentiasa meracuni pemikiran saudara Khalid supaya membenci apa yang ada ini untuk kepentingan politik peribadi mereka.
Tapi sayang seribu kali sayang, Khalid sudah tersasar jauh. Pelajaran saudara pun tidak cemerlang. Hanya mampu memperoleh mata purata 2.3 dalam CGPA semester 2.
Amat sukar untuk saudara berpatah balik.
/HWA: utusan.com.my | 25/4/12

Pembangkang ibarat manusia kelemasan

JIKA seorang peguam bela tiada lagi hujah bernas bagi menyelamatkan anak guamnya, maka dia akan mula mencari pelbagai alasan dan pembelaan yang direka-reka asalkan logik diterima akal. Begitulah situasi yang menimpa pihak parti pembangkang di negara ini.
Selepas berjaya membuatkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak menyambung menjadi senator seterusnya tidak lagi menjadi menteri, kini mereka bergelut dengan idea untuk menjahanamkan ekonomi negara dengan idea menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Semuanya kerana idea hendak memerintah negara bak kata orang Perak, biar papa asal bergaya.
Sikap bercakap ikut sedap mulut ini dalam kalangan pembangkang langsung tidak boleh diterima akal. Idea untuk menghapuskan PTPTN adalah idea manusia berpenyakit kronik yang perlu diubati dengan menolak mereka di Pilihan Raya Umum Ke-13 selama-lamanya dari arena politik negara.
Bayangkan betapa bankrap dan jijiknya idea mereka untuk memberi pendidikan percuma kepada rakyat yang mana ia akan menjadi orang tidak sakit diberi ubat. Lama-lama boleh mati terlebih dos. Sebaik-baiknya pemimpin pembangkang mulakan perkara percuma ini dalam kalangan keluarga mereka sendiri. Jangan cuba merosakkan generasi muda negara.
Kepada pemimpin pembangkang tanggunglah anak anda dari peringkat sekolah sampai ke universiti, kalau mereka hendak berkahwin tanggunglah belanja kenduri sampai cucu yang ada kelak, tanggunglah sekali. Jangan pula berkata itu tugas Kerajaan Pusat, jika anda bersifat kebajikan jadikan ia amalan yang holistik dalam hidup anda.
Berpidato pasal ekonomi dan unjuran memanglah senang. Esok lusa mungkin duit Petronas masih berkepuk-kepuk. Kakitangan mereka pun dapat bonus beribu-ribu RM. Satu hari nanti, tiba-tiba minyak semakin kontang siapa yang hendak memberi duit untuk segala benda percuma yang mereka berikan. Bantuan dan subsidi percuma sekali-sekala diberi tidak mengapa, kalau selalu diberi kita takut rakyat hilang daya saing lalu jadilah kita seperti masyarakat Barat yang penganggurnya dibayar gaji. Duit habis pelajar kita yang belajar di tempat mereka pun dibelasah sambil patah rahang. Mungkin generasi sebegitu yang ingin dibentuk oleh pembangkang.
Pihak pembangkang dilihat rakyat ibarat manusia yang kelemasan di dalam air, apa sahaja benda tergantung yang boleh dicapai sudah pasti ia akan direntap mereka. Isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dimainkan pihak pembangkang bukan sahaja menjadi kejayaan kepada mereka malahan mampu menjadi punca kehancuran gabungan parti pembangkang.
Adakah anda masih ingat bagaimana penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang yang kebanyakannya penternak lembu dihalau dari kampung mereka oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya kerana tanah mereka bakal dibangunkan projek komersial.
Pembangkang sendiri tidak mempedulikan penternak lembu namun kerana ada isu lembu (NFC) yang boleh mereka eksploitasi maka tiba-tiba mereka 'jatuh cinta' pada lembu yang selain dari kaya dengan susu juga kaya dengan isu. Jangan jadi hipokrit.
Kerajaan Datuk Seri Najib Razak telah melakukan tugas yang baik sepanjang hampir empat tahun beliau mentadbir. Idea 1Malaysia bukan idea orang kelemasan seperti mereka. Yang lemas adalah pembangkang sendiri yang terkapai-kapai melihat idea 1Malaysia tersebut mendapat sokongan daripada rakyat berbilang kaum. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menuding jari mengatakan idea Selangorku menciplak idea 1Malaysia kerana itu bukan gaya BN. Namun pembangkang apabila idea 1Malaysia muncul mula sibuk mengatakan ia idea dari negara zionis. Bila dituduh mendapat dokongan Yahudi tidak pula mereka mengatakan ya atau tidak.
Hari ini pembangkang hampir kelemasan akibat tiada idea menarik sokongan seperti isu barang naik sebagaimana PRU 12. Isu PTPTN jelas menunjukkan betapa mereka sudah tidak mampu membawa momentum tsunami 2008 kerana ia bakal menjadi ombak rindu untuk mereka yang tidak akan kembali. Apa yang pasti ombak gergasi tersebut sedang menerpa ke arah mereka.
/HWA: utusan.com.my | 25/4/12

25 April 2012

Serampang 3 mata TalentCorp

Oleh Magendran Rajagopal
2012/04/25

NAJIB melihat buku Pelan Halatuju Bakat 2020 pada majlis pelancarannya di Putrajaya, semalam. Turut memerhatikan, Hishammuddin, Johan (dua dari kiri), Nor Mohamed dan Mohamed Khaled.
NAJIB melihat buku Pelan Halatuju Bakat 2020 pada majlis pelancarannya di Putrajaya, semalam. Turut memerhatikan, Hishammuddin, Johan (dua dari kiri), Nor Mohamed dan Mohamed Khaled.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Pelan Halatuju Bakat 2020 bagi merangka strategi untuk mengoptimumkan bakat di Malaysia, menjadi penarik dan pemudah cara kepada bakat global serta membina rangkaian terbaik memacu perubahan ekonomi negara.
*****

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, Talent Corporation (TalentCorp) akan menggunakan pendekatan serampang tiga mata bagi mendapatkan bakat terbaik dalam kalangan graduan yang baru memasuki alam kerjaya, terutama sektor membabitkan usaha sama awam dan swasta.
“Pertamanya, TalentCorp akan memupuk kesedaran graduan mengenai peluang kerjaya dan membantu peralihan daripada bidang akademik ke alam pekerjaan menerusi program perantis selain mengoptimumkan bakat sedia ada menerusi pengurusan strategik pelajar tajaan kerajaan,” katanya pada perasmian Pelan Halatuju Bakat 2020, di sini semalam.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican.

Menghurai lanjut, Najib mengumpamakan ETP sebagai ‘kereta’ dan Model Baru Ekonomi (MBE) adalah ‘lebuh raya’ yang perlu dilalui tetapi memerlukan ‘pemandu’ berbakat jika mahu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sehubungan itu, katanya, Talent-Corp dan kementerian berkenaan akan menjalin kerjasama bagi menjana pertumbuhan bakat baru selain menarik minat bakat warga tempatan dan asing untuk datang bekerja di negara ini.

Pada majlis semalam, TalentCorp menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Antara lain permuafakatan TalentCorp dan KPT dengan kerjasama sektor swasta itu adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang kerjaya dan program perantis yang ditawarkan syarikat tempatan.

Najib turut mengumumkan syarikat minyak dan gas, seperti ditakrifkan mengikut Akta Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) 1967, kini boleh menikmati insentif potongan cukai berganda jika menawarkan struktur program perantis bertauliah yang diiktiraf TalentCorp.

“Selaras pengumuman ini, KPT akan bekerjasama dengan TalentCorp bagi memenuhi 12,000 peluang kerjaya di bawah struktur program perantis bertauliah, seperti iumumkan dalam Bajet 2012 sebelum ini.

“TalentCorp dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) juga menyelaras program meningkatkan kemahiran untuk graduan bagi memastikan semua latihan sumber tenaga kerja dilaksana mengikut keutamaan bidang kerja, yang dijangka memanfaatkan sekitar 10,000 graduan setahun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan pelbagai kementerian,” katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan, penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini akan dikehendaki mematuhi perjanjian dengan berkhidmat untuk negara sama ada di sektor awam atau swasta yang diluluskan untuk memastikan negara mendapat pulangan pelaburan ke atas 12,000 pelajar yang akan ditaja tahun ini yang membabitkan dana RM2.4 bilion.

Selain itu, Najib mengumumkan bahawa Pas Residen, hasil MoU antara KDN dan TelentCorp, bagi menarik golongan profesional, berbakat dan berkemahiran tinggi dari luar negara berkhidmat di sini akan dipanjangkan kepada usahawan yang terbabit dalam kegiatan berintensifkan pengetahuan. 
/HWA: bharian.com.my | 25/4/12

Anwar bakal lakukan pembohongan besar sekali lagi

KOTA BHARU 24 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi bakal melakukan pembohongan besar apabila mendakwa ada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sabah akan menyertai beliau.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar bakal mengulangi pembohongan besar yang beliau lakukan pada 16 September 2008 kononnya pembangkang akan membentuk kerajaan berikutan penghijrahan ramai wakil rakyat BN, walhal perkara tersebut tidak berlaku sehingga sekarang.
Muhyiddin berkata, kenyataan Anwar tersebut tidak lebih untuk menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan besar sehingga sanggup melakukan pembohongan demi pembohongan.
"Apakah rakyat masih nak terpedaya dengan kenyataan Anwar Ibrahim tentang hal itu? Dia fikir kalau ada orang kita nak duduk dekat sebelah dia bercakap, nak masuk ikut dialah.
"Pemimpin-pemimpin utama BN tahu lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, baik di Sabah, Kelantan, Sarawak sokongan meningkat dan jelas terbukti memang rakyat mahukan pimpinan BN," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - UTUSAN.
/HWA: utusan.com.my | 24/4/12

Siapa seterusnya mangsa Arab Spring

Satu persatu pemimpin Arab tumbang di tangan rakyatnya sendiri yang memberontak menentang pemerintahan mereka dalam kebangkitan rakyat di dunia Arab.
Ia bermula dengan kejatuhan Presiden Zine el Abidine Ben Ali dari Tunisia dalam satu revolusi rakyat pada 2011 yang mencetuskan kebangkitan rakyat di dunia Arab yang dikenali sebagai Arab Spring, diikuti Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, yang terbunuh di tangan rakyatnya sendiri.
Mungkin yang bernasib baik sedikit ialah Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh yang akhirnya ‘tunduk’ kepada tuntutan rakyatnya supaya berundur. Sekurang-kurangnya Ali Abdullah, terselamat daripada dihakimi oleh rakyatnya sendiri.
Kini, semua ‘mata’ menghala kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad yang terus ‘bertarung’ dengan rakyatnya sendiri demi menyelamatkan pemerintahannya yang diwarisi daripada bapanya Hafez al-Assad.
Namun, kedudukan Bashar dilihat semakin genting dengan pemberontakan terus merebak termasuk ramai tentera Syria berpaling tadah menyertai kumpulan pemberontak. Setakat ini, lebih 6,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dengan tentera rejim Bashar.
Apakah Bashar dapat bertahan atau menerima nasib serupa dengan pemimpin Arab lain seperti Mubarak dan Gaddafi. Apa yang menarik ialah timbul beberapa persoalan di sebalik kebangkitan itu, termasuk apakah ia tercetus secara kebetulan atau ia dirancang oleh pihak-pihak tertentu.
Lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin Arab yang disingkirkan itu terdiri daripada mereka yang berpengaruh di dunia Arab seperti Mubarak dan Gaddafi yang sebelum ini lantang menentang Barat.
Begitu juga dengan Ali Abdullah Saleh, walaupun bukan seorang pemimpin yang begitu dikenali di peringkat antarabangsa, tetapi Yemen giat memerangi rangkaian al-Qaeda yang menjadikan Yemen sebagai pusat mereka di Asia Barat.
Maka timbul persoalan apakah kebangkitan itu dirancang oleh al-Qaeda?
Begitu juga dengan Zine el Abidine Ben Ali, walaupun bukan seorang tokoh Arab yang begitu menonjol namun, Tunisia pernah menjadi ibu pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan tempat buangan bagi bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dari 1982 hingga 1994, selepas PLO disingkirkan dari bumi Lebanon dalam perang saudara antara PLO dan puak-puak bersenjata di Lebanon.
Maka timbul pula dakwaan ia dirancang oleh rejim Zionis, yang mahu membendung pengaruh Palestin dan melihat dunia Arab kucar-kacir demi survival Israel. Lebih-lebih lagi Tunisia terutama Zine el Abidine mempunyai hubungan rapat dengan Arab Saudi.
Persoalan itu timbul, memandangkan Arab Spring dirancang dengan begitu baik bermula dengan tunjuk perasaan selain menggunakan sepenuhnya segala kemudahan teknologi maklumat dan Internet termasuk telefon pintar seperti Blacberry dan laman sembang sosial seperti Twitter dan Facebook sebagai medium bagi menyebarkan maklumat dan mempengaruhi rakyat bangkit menentang pemimpin mereka.
Jika semua itu merupakan satu perancangan, maka siapakah pemimpin Arab seterusnya yang akan menjadi mangsa, jika ditakdirkan Bashar tumbang memandangkan beliau merupakan sekutu kuat Iran yang kini menjadi sasaran Israel, AS dan Barat.
/HWA: utusan.com.my | 24/4/12

Demonstrasi untuk pilihan raya!

Jika anda tidak puas hati tentang apa sahaja terhadap kerajaan negeri, salurkan kepada Jawatankuasa Mobiliasi Badan Perhubungan Pas Terengganu.
Anda mungkin seorang mahasiswa bersama beberapa rakan yang ditarik balik pinjaman atau biasiswa kerajaan kerana melanggar perjanjian yang ditandatangani dengan penuh kefahaman.
Perjanjian yang mengikat anda agar memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, sedangkan anda cukup seronok kalau dibiarkan sesuka hati 'bermain' politik.
Atau tanah anda dan bukannya tanah orang lain yang terpaksa diambil balik untuk pembinaan jambatan atau laluan lebuh raya untuk kemudahan awam biarpun awalnya anda bersetuju melihatkan kadar imbuhan.
Mungkin juga tanah haram yang anda teroka atau tanah tol yang telah anda cop sebagai tanah pusaka akan dibangunkan projek perumahan atau tapak perusahaan biarpun anda dijanjikan tempat tinggal dan pampasan setimpal.
Atau mungkin anda merasa benci kerana parti yang anda dokong dengan 'kemah keming' dikatakan sesat oleh pimpinan negeri sedangkan anda sudah tercium haruman syurga kerana pahala yang dijanji.
Ya, apa sahaja dan pada musim ini jawatankuasa tersebut tentunya bersedia malah amat mengharapkan dapat memperjuangkan 'nasib malang' atau runtunan emosi anda yang membuak-buak.
Sejajar dengan namanya, jawatankuasa ini yang dipimpin oleh Satiful Bhari Mamat akan menggerakkan seluruh badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah parti itu untuk membela rakyat.
NGO seperti GEMPUR, GEMPAR, ANAK, WARIS adalah sebahagian daripada NGO yang dianggap bersimpati dan dikatakan kewujudannya bagi membela rakyat.
Mereka akan membela anda secara berkelompok dengan berkumpul di jalanan, membawa sepanduk dan melaung-laungkan kecaman sambil bertakbir dan digamatkan lagi dengan ucapan lantang dan garang melalui pembesar suara.
Mungkin juga memorandum akan diserahkan dan anda akan dianggap sebagai mangsa kekejaman, kezaliman, penindasan, ketamakan, kerakusan kerajaan dan pucuk pimpinan.
Semua ini akan diratibkan pada ambang pilihan raya dan di bandar raya Kuala Terengganu ini ia sudah bermula minggu lalu, cukup untuk rakaman blog-blog dan YouTube untuk mensensasikan keadaan.
Namun keadaan di sini belum cukup hingar-bingarnya apabila ia berlalu begitu sahaja dan terbaru pada 24 April (hari ini) apabila Satiful menjanjikan tunjuk perasaan besar- besaran.
"Kita belajar dari demonstrasi yang dianjurkan oleh UMNO ketika menentang Malayan Union... Kenapa sekarang Pas buat tak boleh? Tidakkah UMNO yang ajar?" ujar Satiful.
Itu jawapan mudah Pas menyamakan tindakan yang akan mereka ambil dengan tunjuk perasaan orang Melayu yang menuntut merdeka.
''Kejatuhan UMNO-BN adalah sebagai jawapan yang paling tepat untuk menyelesaikan permasalahan ini," ujar Satiful yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 1.
Nampak segalanya menjurus ke arah pilihan raya dan demonstrasi mungkin dilihat menjadi jalan pantas untuk memenangi hati rakyat dan mencapai hak berkuasa.
Seorang kenalan berkata, silapnya kerajaan negeri adalah kerana merangka terlalu banyak perancangan untuk dilaksanakan kerana mudah dicari salah dan cela.
Dengan merujuk kepada negeri jiran katanya, tidak berbuat apa-apa maka tiada kegagalan dan kepincangan dapat disenaraikan dengan nyata untuk dijaja.
/HWA: utusan.com.my | 24/4/12

Kerja sia-sia' di Dataran Merdeka

MELALUI Dataran Merdeka Jumaat lepas, kami tiba-tiba tertarik melihat beberapa khemah yang didirikan di hujung dataran berdekatan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Teringin menyelami rintihan pembantah-pembantah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini, lantas menarik kami meletakkan kereta di bangunan Daya Bumi menuju ke sana.
Tidak ramai kalangan para pembantah ini. Cuma kira-kira 20 orang. Tambah memeranjatkan kami, pelajar cuma beberapa kerat. Yang banyaknya adalah kumpulan dewasa termasuklah beberapa individu yang berusia sekitar 60 tahun - lebih layak digelar warga emas.
Apa yang dibuat mereka di sini? Meninjau-ninjau sebentar, ternampaklah kelibat Adam Adli Abdul Halim, 'hero kampus' kononnya. Mukanya sembab, mata merah... tidak cukup tidur barangkali. Apabila ditujah soalan oleh salah seorang daripada kami tentang hasil yang mereka boleh dapat daripada pemansuhan PTPTN ini, Adam yang telah digantung pengajian dari UPSI ini enggan bersuara.
Dia seakan-akan cuak dengan kami. Dia memberi alasan 'banyak kerja' dengan sibuk menyusun botol-botol minuman yang sebenarnya telah pun tersusun dengan elok di tepi sebuah khemah.
Memerhatikan sekeliling, keadaannya kotor sekali. Bekas-bekas bungkusan polistren makanan berselerakan. Kata mereka, bila waktu mandi, turunlah ke tandas di bawah Dataran Merdeka.
Hampir sejam di situ, kami mula berasa tidak selesa. Cuaca pula panas terik.
Kelihatan di situ, beberapa pelajar bebas bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Seorang gadis pula tanpa segan silu merokok menjadikan keadaan lebih 'memualkan'.
Jumlah anggota kumpulan dari kalangan kaum Cina ketika itu lebih ramai berbanding Melayu. Tidak kelihatan pun pelajar atau orang dewasa kaum India.
Tertanya-tanya kami siapa agaknya dalang di sebalik khemah-khemah itu sehingga ada mahasiswa yang sanggup berpanas dan berhujan sedangkan rakan-rakan sebaya mereka sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran bagi menghabiskan pengajian.
Sudah tentu tidak menghairankan kebanyakan mereka di situ merupakan mahasiswa yang mendapat keputusan rendah atau corot.
Sedang memerhatikan lagi gelagat mereka, salah seorang pelajar memperkenalkan diri sebagai Din dari UPSI memberitahu, mereka sendiri tidak tahu sampai bila akan berada di Dataran Merdeka.
''Kita akan berada di sini sampai sudah bosan. Bila dah bosan kita balik. Duduk lama-lama pun tak guna dan memenatkan sebab panas, lebih-lebih lagi kalau duduk di dalam khemah waktu tengah hari," katanya.
Seorang lelaki dalam usia 60-an yang katanya dari Melaka memberitahu kami: ''Ah, hapuskan sahaja PTPTN, duit Petronas kan ada."
Lelaki ini dalam aksinya berjubah hijau seolah-olah menjadi pengawal di situ yang turut menimbulkan tanda tanya daripada orang ramai yang lalu lalang kerana dia bukannya muda lagi.
Kami kemudian meninggalkan Dataran Merdeka menuju ke masjid berdekatan. Dan kelmarin, kami dikhabarkan Dataran Merdeka tidak ada lagi kelibat kumpulan terbabit.
Syabas diucapkan kepada pasukan penguat kuasa DBKL yang begitu tegas menanggalkan khemah-khemah pelajar dan kumpulan terbabit.
Sebenarnya, kalau daripada pengamatan mata kasar, manfaat PTPTN banyak menguntungkan pelajar Melayu. Namun jika dikaji secara berfakta, faedahnya begitu mencurah- curah kepada pelajar bukan Melayu.
Ini kerana sehingga 29 Februari lalu, seramai 11,764 peminjam/penerima biaya PTPTN telah diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman/pembiayaan pendidikan kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya. Ia melibatkan jumlah pelupusan pembiayaan pendidikan sebanyak RM339.07 juta.
Kalau dilihat rekod peminjam yang diluluskan pengecualian bayaran balik mengikut kaum setakat ini, sejumlah 2,347 orang adalah pelajar Melayu dengan amaun RM47. 2 juta.
Tetapi pelajar Cina, bilangannya ialah 8,818 orang dengan amaun pengecualian bayar balik PTPTN RM274.2 juta. Inilah hakikatnya.
Rekod pelajar Cina di universiti ialah mereka fokus kepada pembelajaran. Mereka sedar harapan menggunung ibu bapa. Mereka tahu jika tak memperoleh CGPA yang baik, sukarlah untuk mencari kerja yang baik dan lumayan gajinya.
Pada awal 1990-an, pendidikan merupakan sesuatu yang 'mahal' kerana pada era itu tidak ramai yang mampu untuk melanjutkan pengajian ke tahap tertinggi.
Jika tidak ada biasiswa atau tajaan, harapan seseorang khususnya orang Melayu dan bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi amat tipis sekali.
Kemudian apabila PTPTN ditubuhkan bagi memberikan pinjaman kepada semua kaum di negara ini, berduyun-duyunlah anak Malaysia tanpa mengira keturunan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Bagi Pensyarah Perhubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan bagaimana Kerajaan Pusat perlu melindungi kepentingan kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia yang secara kumpulannya dirujuk sebagai bumiputera.
''Itu termasuklah kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam yang dalam hal biasiswa kepada bumiputera seperti sudah diliberalkan," tegasnya.
Jelasnya, jika mahu memansuhkan PTPTN, ia bermakna setiap bumiputera perlu diberikan biasiswa sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan.
"Pada era Allahyarham (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak Hussein dulu perkara itu telah dilaksanakan dan mungkin bagi memberi keadilan saksama kepada kaum- kaum lain, PTPTN diperkenalkan bagi memberi kemudahan pinjaman pengajian di peringkat universiti. "Tapi malangnya, ada pihak cuba mempolitikkan isu ini," katanya.
Meninggalkan Dataran Merdeka Jumaat lalu, kami berkongsi pengalaman memikirkan apa sebenarnya matlamat segelintir pelajar terbabit menyuarakan bantahan terhadap PTPTN.
Kami pernah berada di universiti sekitar era 90-an. Dan ketika itu kami memang 'dahagakan' PTPTN - di sebalik kesedaran tinggi akan harapan menggunung ibu bapa yang hidupnya susah untuk melihat anaknya meraih segulung ijazah.
/HWA: utusan.com.my | 24/4/12