31 Julai 2012

Tahlil Hari Pahlawan 2012

TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Pahlawan 2012 di Masjid Negara, malam tadi. Turut sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkefeli Mohd Zin. - Foto Effendy Rashid
Jul 31, 2012 5:02 am

RM500 juta siapkan lebuh raya Hulu Terengganu-Hulu Besut


BESUT: Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan lebuh raya menyambungkan Hulu Terengganu dan Hulu Besut, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya yang akan bermula tidak lama lagi itu menyambungkan Hulu Terengganu melalui Gunung Bongsu ke Keruak, Hulu Besut dan akan dilaksana secara berperingkat dengan pembinaan fasa pertama membabitkan jarak 40 kilometer dengan kos RM110 juta.

"Pelaksanaan projek lebuh raya yang upacara pecah tanahnya dilakukan pada tahun 2008 itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional mengotakan janji kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bernilai RM1.4 juta kepada 287 isteri peneroka dan berbuka puasa di Felda Tenang, Hulu Besut di sini, semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Ahli Dewan Undangan negeri Kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad, wakil-wakil rakyat tempatan dan Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh.

Ahmad berkata, lebuh raya yang akan turut menyambungkan kawasan Terengganu dengan sempadan Kelantan di Gua Musang itu, dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pembinaan dua hospital baru di daerah Kemaman dan Dungun membabitkan perbelanjaan RM330 juta akan dimulakan akhir tahun ini.

Hospital baru daerah Kemaman itu akan dibina di Kijal kerana kedudukan hospital yang ada sekarang tidak lagi sesuai dengan pembangunan setempat manakala Hospital Dungun pula akan dibangunkan ditapak asal, katanya. - BERNAMA.
/hwa: bharian.com.my | 31/7/12 

Duit raya untuk peneroka

Najib Tun Razak menyampaikan skim bantuan Kasih Felda kepada Kamaliah Ahmad (tiga dari kiri) untuk membaiki rumah ibu tunggal itu di Kampung Teloi Tua, Sik, semalam. Turut sama, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (tiga dari kiri) dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (kiri). - BERNAMA.
*****
SIK 29 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM43.2 juta kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, pemberian itu bertujuan menghargai sumbangan warga peneroka kepada pembangunan Felda serta membantu membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, pemberian itu terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama Felda dan peneroka yang tidak bersama Felda sebagaimana kaedah yang sama pada 2011.
"Seramai 103,597 orang atau 91.9 peratus peneroka Felda akan menerima RM400 seorang dan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM41.1 juta.
"Seramai 9,038 orang pula atau 8.02 peratus peneroka yang tidak bersama Felda turut menerima RM200 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.8 juta," katanya ketika berucap pada Program Rahmat Ramadan Warga Felda 2012 di Sekolah Kebangsaan Beris Jaya, di sini hari ini.
Menurut Najib, pemberian duit raya kepada peneroka telah dilaksanakan sejak 2003 dan bayaran pada tahun ini bertambah sebanyak RM0.6 juta atau 1.39 peratus berbanding 2011 iaitu sebanyak RM42.6 juta.
Katanya, pemberian duit raya itu diharap dapat meringankan beban kewangan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Tambah beliau, bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu kedua bulan Ramadan dan dibayar di peringkat rancangan Felda di seluruh negara.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan program kerohanian kepada semua masjid di tanah rancangan Felda iaitu bagi program Ihya Ramadan sebanyak RM951,000, sagu hati kepada jawatankuasa masjid (RM792,000) dan program Ihya Ramadan Kawasan Parlimen Felda (RM540,000).
Selain itu, Najib turut memberi duit raya kepada wilayah Alor Setar berjumlah RM1.58 juta dan durian runtuh kepada penerokawati wilayah tersebut sebanyak RM20.2 juta.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Bendera politik 'tenggelamkan' Jalur Gemilang

HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan. Seperti diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya. Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat 'habuan' untuk beraya, peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang berkemampuan turut mendapat pelbagai bantuan. Ramai juga yang berpeluang berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.
Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan kemerdekaan yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang dinikmati. Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan depan.
Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.
Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga 'menyembah' bumi ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur Gemilang.
Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan? Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka menjelang hari raya nanti.
Suasana tentunya lebih ceria dengan rumah yang dihiasi lampu berwarna warni atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau dapat....kibarkan, kalau tak dapat...tak apa, biar orang lain kibarkan.
Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu kemudian sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Antara retorik politik dan janji ditepati

SELEPAS melihat slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan bagaikan mimpi ngeri untuk pembangkang kini mereka buat perangai lagi apabila mempertikaikan pula slogan Janji Ditepati yang kini dipilih menjadi tema Hari Kemerdekaan Ke-55.
Pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas resah gelisah dengan tema berkenaan seolah-olah ia satu lagi mimpi buruk bagi mereka, oleh itu awal-awal lagi mereka menganggap tema berkenaan bermotifkan politik.
Sebelum ini, pembangkang juga tidak selesa dan tidak senang duduk dengan slogan 1Malaysia sehingga ada negeri di bawah pimpinan mereka 'mengharamkan' penggunaan slogan berkenaan dipaparkan di papan-papan tanda.
Tetapi kalau slogan 1Malaysia dianggap slogan politik kepada Barisan Nasional (BN) bagaimana pula dengan slogan Selangorku yang diuar-uarkan oleh kerajaan PKR di negeri berkenaan, tidakkah ia juga boleh dilihat bermotif politik? Kenapa perlu ada double standard dalam soal ini.
Begitu juga kenapakah pembangkang begitu takut dengan slogan Janji Ditepati? Bukankah menepati janji adalah juga tuntutan dalam ajaran Islam? Kenapa takut sangat dengan golongan yang menepati janji?
Cubalah imbas kembali apa yang dilakukan oleh pembangkang ketika pilihan raya umum 2008, tidakkah ketika itu BN yang berada di dalam keadaan defensif, pembangkang begitu agresif menabur janji-janji kepada rakyat bagi meraih sokongan.
Kita tidak lupa bagaimana berderet-deret senarai janji ditaburkan oleh mereka dan kita juga masih ingat sampai ke hari ini masih berlambak-lambak janji yang dibuat tidak ditunaikan.
Oleh itu tidak hairanlah apabila slogan 'janji ditepati' seolah-olah menjadi 'hantu terbaru' yang dianggap memburu permainan politik pakatan pembangkang. Justeru mahu tidak mahu, mereka berusaha untuk memburuk-burukkan slogan berkenaan kerana bimbang ia akan meresapi pemikiran rakyat dalam membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Apa yang lebih membimbangkan pakatan pembangkang ialah apabila kaji selidik yang dijalankan oleh beberapa institusi pengajian tinggi baru-baru ini mendapati sokongan rakyat terhadap BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin meningkat dan lebih merimaskan pembangkang apabila kaji selidik itu juga menunjukkan BN berpeluang menawan kembali Kedah dan Selangor.
Sebenarnya, pembangkang tidak perlu gundah gulana dengan slogan Janji Ditepati jika mereka benar-benar menunaikan segala janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu tetapi malangnya di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka segala janji hanya tinggal janji.
Pelbagai alasan diberikan apabila ditanya kenapakah janji-janji yang dibuat tidak ditunaikan dan ini membuktikan segala yang dijanjikan ketika berkempen hanyalah sekadar retorik politik bagi meraih sokongan rakyat.
Penentangan pakatan pembangkang terhadap slogan Janji Ditepati hakikatnya berhubung kait dengan kemampuan kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib yang dari semasa ke semasa melaksanakan satu demi satu janji yang dibuat.
Dalam melaksanakan janji berkenaan tidak ada mana-mana golongan terpinggir atau tercicir, penjawat awam dibela, peneroka Felda dihargai, hasrat rakyat biasa dipenuhi dan beban masyarakat dikurangi.
Lihat sahaja pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada BR1M, KR1M, TR1M dan pelbagai bantuan lain dinikmati oleh semua lapisan rakyat pada masa ini, segalanya memberikan faedah kepada usaha BN untuk menanam keyakinan kepada rakyat siapa lebih berhak memimpin mereka dan negara ini.
Oleh itu adalah jelas, pakatan pembangkang ingin terus berpolitik, adalah tidak munasabah sebagai orang politik, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak memahami betapa pentingnya janji kepada rakyat ditepati dan ditunaikan.
Mereka sudah lihat bagaimana rakyat menghukum mana-mana parti politik yang tidak menunaikan janji dan kita jangan lupa BN sendiri sudah merasai keperitannya apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen kerana pada tahun 2008 rakyat melihat nasib mereka tidak dibela oleh parti tersebut.
Dan kini bahang tindak balas rakyat itu semakin dirasai oleh pembangkang, sebab itulah, kita menyaksikan bagaimana pakatan pembangkang terus menabur janji baru termasuklah kononnya akan memansuhkan cukai eksais jika mereka memenangi pilihan raya. Dalam usaha menunjukkan kononnya mereka lebih bijak menguruskan ekonomi berbanding kerajaan BN maka janji yang tidak munasabah ini ditaburkan.
Ia kerana seperti mana kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop negara akan mengalami keadaan ekonomi yang tidak stabil dan ramai yang menjadi muflis jika harga kereta serta duti eksais kenderaan diturunkan.
Beliau berkata, penghapusan cukai bagi kereta akan mengurangkan cukai negara sebanyak RM7 bilion yang boleh menjejaskan pembangunan infrastruktur negara terutamanya di Sabah dan Sarawak serta pedalaman Semenanjung.
Soalnya, pembangkang peduli apa! Sebab matlamat mereka hanyalah mahu meraih undi daripada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang dan disebabkan impian merebut kuasa ini jugalah blog-blog mereka membuat fitnah kononnya pembayaran bonus kepada kakitangan awam dilakukan melalui kerajaan membuat pinjaman dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Demikianlah terdesaknya pakatan pembangkang dalam usaha mereka memburuk-burukkan kerajaan BN. Mereka bersedia melakukan apa sahaja termasuk menabur janji baru, mereka-reka tohmahan dan dakwaan palsu serta melemparkan fitnah.
Namun seperti mana kata Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, kertas tidak boleh digunakan membalut api, begitulah juga keadaan pembangkang. Mereka selama-lamanya tidak boleh membohongi dan menabur janji palsu kepada rakyat.
Sama ada BN atau pembangkang yang lebih layak memimpin negara ini, biarlah rakyat yang membuat penentuannya tidak perlulah sampai kepada tema hari merdeka pun mahu dipolitikkan. Pakatan pembangkang tidak perlu resah soal ini kalau mereka menunaikan janji tetapi sekarang sudah terbukti apa yang mereka cakap hanyalah retorik politik sebab itulah mereka takut sangat dengan slogan 'Janji Ditepati'.
Dalam soal ini penulis paparkan apa kata sebuah blog pembangkang mengenai telatah mereka melatah dengan tema hari merdeka, antara lain pengendali blog itu menulis, ''Tidak hairanlah kenapa Pakatan Rakyat menjadi bahan gelak sekarang ini. Tema hari kebangsaan pun nak dijadikan isu…Ada sesetengah orang memaklumkan kepada penulis, tema itu sengaja direka untuk menyindir Pakatan Rakyat kerana kononnya tidak melaksanakan janji, berbanding Najib. Kalau itu kisahnya, sepatutnya Pakatan Rakyat melaksanakanlah mana janji 2008 yang masih tertunggak, bukan menjadikan soal tema ini sebagai isu besar."
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Putrajaya dari kaca mata 'SBO'

Samsudin Osman ceria semasa meninjau persiapan Festival Floria 2012 di Taman Wawasan Putrajaya baru-baru ini. - utusan/HANAFI KHAMIS 
*****
SUATU malam Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman sedang menuju ke Pusat Maritim di Presint 5, Putrajaya untuk satu majlis makan malam. Melalui Jambatan Seri Gemilang dekat situ, beliau mendapati suasananya gelap gelita.
Lantas Samsudin, 64, menghubungi seorang stafnya. "Kenapa lampu jalan di Jambatan Seri Gemilang ni tak menyala," demikian antara katanya. Tidak lama kemudian, tiang-tiang lampu di situ terang benderang.
Samsudin atau dikenali mesra dalam kalangan pengamal media 'Tan Sri Sam' sayangkan Putrajaya. Idolanya, ialah arkitek Putrajaya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Karektor Perdana Menteri keempat itu kadang kala terbawa-bawa dalam urusan kerjanya ketika menggerakkan Putrajaya.
"Tidak pernah beliau menjerit pada stafnya, kalau tegur nadanya berhemah. Yang pasti, beliau sangat passionate akan Putrajaya," kata staf PPj itu lagi bercerita pasal bosnya yang akan menggesek kad perakam waktu terakhirnya esok (31 Julai).
Samsudin yang tamat tempoh kontraknya akan digantikan dengan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat, 61, lusa.
Putrajaya di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak kini semakin berkembang pesat. Orang sudah lupa tentang ura-ura sebuah parti politik yang dihebohkan pada akhir 1990-an lalu mahu 'melelong' Putrajaya .
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, PPj kerap menerima kunjungan daripada pemimpin serta agensi teknikal daripada luar negara terutamanya dari Korea Selatan.
Korea Selatan sedang membangunkan pusat pentadbiran yang serupa dengan Putrajaya yang dikenali sebagai Saejong Bandar Pentadbiran Pelbagai Fungsi. Tujuan kunjungan dan lawatan teknikal tersebut ialah mempelajari pengalaman merancang dan membangun dan memindahkan kakitangan kerajaan ke Putrajaya.
Sama seperti Putrajaya, terdapat pusat-pusat pentadbiran lain yang telah dibangunkan di dunia. Contohnya Washington DC (Amerika Syarikat), Ottawa (Kanada), Canberra (Australia), Chandigarh (India), Brasilia (Brazil) dan Islamabad (Pakistan) yang merupakan terawal dibangunkan iaitu antara tahun 1787 sehingga 1958. Dan terbaru, Saejong di Korea yang sedang dalam proses perpindahan pejabat kerajaan.
Persamaan antara pusat-pusat pentadbiran tersebut adalah ia merupakan pusat pentadbiran negara yang terancang.
"Kebanyakan pemimpin asing yang datang melawat Putrajaya kagum dengan perancangan dan pembangunannya," kata Samsudin kepada Utusan Malaysia.
Kata Samsudin lagi yang sekadar menggunakan nama 'SBO' (Samsudin bin Osman) apabila berurusan melalui e-mel atau sms dengan stafnya: "Bilangan pelawat dan pelancong yang direkodkan berkunjung ke Putrajaya pada 2011 telah meningkat iaitu sebanyak 1.7 juta orang berbanding sebanyak 1.6 juta orang pada 2010.
"Iaitu pertambahan sebanyak 6 peratus. Kumpulan pelawat dan pelancong dari China, Hong Kong, Jepun, Taiwan, Singapura, Korea dan Indonesia merupakan antara kumpulan pelawat dan pelancong terbesar yang datang ke Putrajaya."
Mengikut data Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk Putrajaya pada 2010 ialah seramai 72,413 orang. Bagi tahun ini pula ialah seramai 87,100 orang. Ia berdasarkan 22,136 unit rumah kuarters dan 3,864 unit rumah persendirian yang diduduki.
Sehingga Mac tahun ini, pengundi berdaftar di Putrajaya ialah seramai 13,315 orang. Jumlah penduduk kuarters oleh penjawat awam dan ahli keluarga mereka pula dianggarkan sebanyak 74,156 orang. Penduduk yang tinggal di rumah sendiri berserta ahli keluarga mereka pula adalah sebanyak 12,944 orang.
Banyak ciri yang boleh menggambarkan kepesatan Putrajaya ketika ini. Antaranya, peningkatan bilangan lesen premis sebanyak 15 peratus dalam tahun ini iaitu daripada 792 lesen pada akhir 2011 kepada 914 lesen sehingga 13 Julai tahun ini. Ini tidak termasuk lesen penjaja.
Peningkatan penumpang bas Nadi Putra pula adalah daripada 2 juta kepada 2.4 juta - peningkatan sebanyak 20 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama bagi 2011. Pada 2007, jumlah penumpang tidak sampai separuh daripada tahap sekarang.
Pembangunan premis komersial juga semakin rancak di Presint 2, 3 dan 8. Juga, sambutan memberangsangkan bagi pembangunan rumah-rumah persendirian termasuk jenis kondominium di Presint 15.
Wad-wad di Hospital Putrajaya juga mengalami kesesakan dan kini wad bersalin tambahan telah dibuka di Presint 8. Begitu juga dengan klinik rawatan, kini telah dibuka beberapa cawangan baru di Presint 3, Presint 11 dan Presint 14.
Di Dataran Putra, ketara sekali kunjungan bas-bas pelawat yang semakin menyesakkan. Keadaan di Putrajaya Sentral pula tidak lagi lengang seperti dahulu.
"Putrajaya menjadi pilihan pelawat dan pelancong untuk destinasi lawatan kerana faktor keindahan semula jadi hijau di tengah-tengah bandar, tasik dan wetland serta imej sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang baru," kata Samsudin.
Masalah kesesakan di Putrajaya pada waktu pagi kini dapat dikawal melalui pengurusan trafik yang lancar. Masalah kekurangan tempat meletak kereta bagi orang awam yang datang untuk berurusan dengan pejabat-pejabat Kerajaan telah diatasi dengan memperkenalkan parking berbayar.
Bagi keperluan pekerja pula, PPj telah membangunkan parking tambahan sebanyak 673 lot di luar Kompleks E dan 140 lot di luar Kompleks B. Bagi Presint 4 pula, sebuah bangunan parking yang memuatkan 950 lot dalam peringkat awal pembinaan.
"Kompleks PPj merupakan seni bina bangunan yang semakin popular dan mendapat pujian kerana gerbangnya mempunyai imej futuristik dan Islamik. Ia bukan sahaja menjadi pilihan sebagai bangunan latar untuk fotografi, malah turut popular untuk pengambaran filem, drama dan majalah," ujar Samsudin ditanya bangunan manakah yang paling kerap dilawati pelancong.
Mengenai pembinaan Monorel di Putrajaya, kata Samsudin: "Sebahagian daripada infrastruktur termasuk terowong bawah tanah, jambatan merentasi tasik dan sebahagian struktur stesen monorel di Putrajaya Sentral telah siap dibina.
"Jajaran dua laluan utama sepanjang 20km termasuk lokasi 25 stesen telah dikenal pasti dan kekotak stesen telah dibina bersekali dengan pembinaan terowong. Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada persetujuan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan."
Dengan siapnya hampir keseluruhan komponen pejabat kerajaan di Putrajaya dan dengan perpindahan kementerian serta agensi kerajaan berkaitan, pembangunan Putrajaya dalam tempoh lima tahun akan datang, ditumpukan kepada pembangunan sektor komersial serta pembangunan perumahan untuk dijual kepada pemilik persendirian oleh pihak pemaju Putrajaya Holdings.
Ini adalah selaras dengan matlamat untuk menjadikan Putrajaya lebih vibrant dan seterusnya merancakkan lagi pembangunan ekonomi bandar Putrajaya.
Antara pembangunan yang akan siap dalam jangkamasa terdekat adalah pembangunan hotel bertaraf 'business' di Presint 1, pembangunan komersial 'retail & F&B' di Sisiran Tasik di Presint 8, City Campus Herriot Watt University di Presint 5, Pusat Konservasi Panda di Taman Wetlands, City Trail antara Dataran Putra dan Alamanda, dan lain-lain.
"Saya harapkan Putrajaya menjadi bandar idaman bagi semua golongan hasil daripada kesejahteraan kehidupan, kelestarian persekitarannya dan kemapanan ekonominya yang bertunjangkan industri pelancongan dan industri perkhidmatan.
"Harapan ini bukanlah angan-angan semata-mata," kata Samsudin yang gemarkan lagu lama 'Menimbang Rasa', 'Terukir di Bintang' dan makanan nasi Arab.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Topeng Pas-DAP tak bertahan lama

LABIS 29 Julai - Kerjasama Pas dan DAP ketika ini disifatkan hanya bersifat sementara demi mencapai matlamat politik mereka iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun perjuangan sebenar kedua-dua parti itu adalah jauh berbeza.
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong (gambar) berkata, kerjasama yang wujud antara kedua-duanya adalah ibarat topeng untuk menarik perhatian pengundi yang tidak bertahan lama kerana hakikatnya mereka bercakaran sesama sendiri dalam banyak hal.
"Seperti yang semua tahu Pengerusi DAP, Karpal Singh secara terang-terangan menentang perjuangan negara Islam Pas dan memaksa parti itu mengatakan apa yang diperjuangkan adalah negara berkebajikan.
"Begitu juga agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum, setakat ini tidak nampak sebarang kesepakatan antara mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan berjumlah RM118,000 untuk 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bangunan MCA Labis, di sini semalam.
Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata, BN menunjukkan realiti berlainan kerana ahli komponennya saling menghormati dalam perkongsian kuasa dan ia tidak mungkin dapat dilakukan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP.
Sehubungan itu, katanya, rakyat sewajarnya bijak dalam menilai segala tindak tanduk pembangkang terutama segala janji membela nasib rakyat yang ditaburkan sebelum ini masih tidak tertunai di negeri yang mereka kuasai.
"Seandainya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang, perpecahan akan berlaku dan rakyat akan menderita. Jadi, kenapa kita harus mempertaruhkan nasib kepada pihak yang terbukti tidak mampu membela nasib kita.
"Lihat sahaja apa yang terjadi di beberapa negeri yang dikuasai pembangkang, pelbagai masalah timbul dan mereka tidak dapat mengatasinya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Berjayakah Lajim bersama SRF?

Jika lompatan kedua ini berjaya membawa perubahan kepada senario politik Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin, 57, akan mencipta sejarah politik yang wajar direkodkan sebagai 'Katak Politik Paling Besar' bukan sahaja di Sabah tetapi juga negara ini.
Sehingga ketika ini pun 'lompatan katak' Lajim lebih besar sumbangannya kepada UMNO berbanding lompatan Datuk Ibrahim Ali serta beberapa yang lain untuk survival politik dan perjuangan mereka, termasuk beberapa menteri yang pernah 'melompat katak' dalam Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.
Jadi, siapa yang mengenali Lajim tidak akan terkejut dengan keputusan politiknya dan dia sedang berusaha memecahkan rekodnya sendiri.
Dalam berpolitik, jelas Lajim lebih berterus-terang. Bagaikan suatu amaran awal, pada satu temu bual dengan Utusan Malaysia yang disiarkan pada 22 Januari 2010, Lajim berkata:
"Rakyat Sabah boleh menukar pemikiran mereka dalam tempoh 24 jam untuk sokong sesebuah parti. Contohnya USNO kalah pada 1975 pun disebabkan ramai ahli USNO masuk parti Berjaya. Dan Berjaya tewas pada 1985 pun disebabkan ahli Berjaya masuk PBS. Itulah uniknya rakyat Sabah, kalau nak tukar baju, dia nekad tukar."
Ini kerana Lajim yang sebelum ini pernah 'melompat' dari Parti Bersatu Sabah (PBS) ke UMNO pada 1994, adalah antara penyumbang penting kepada bertapaknya UMNO di Sabah.
Lajim bukan sembarangan dalam karier politiknya kerana antara jawatan penting beliau ketika dalam kerajaan PBS ialah Setiausaha Politik Di Jabatan Ketua Menteri 1985 hingga 1986, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri dari 17 Mei1986 hingga 10 Januari 1994, selain Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah antara Feb 1994 dan 12 Mac 1994.
Beliau juga ialah Menteri Pertanian dan Perikanan antara 24 Mac1994 dan 20 November 1995, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (1995 hingga 1999) selain Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pertanian dan Industri Pemakanan Sabah antara 2002 dan 2003.
Sementara 2003 hingga 2004, Lajim adalah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Di Jabatan Ketua Menteri dan selepas itu sebagai Ketua Merinyu Projek Negeri Sabah.
Sejarah melakarkan Lajim membuat lompatan katak paling besar dan begitu berjasa kepada UMNO pada tahun 1994 apabila menjadi katak pertama yang melompat ke UMNO yang kemudian menumbangkan kerajaan negeri yang dibentuk oleh Parti Bersatu Sabah yang menang dengan majoriti dua kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah ketika itu.
Kerana lompatan Lajimlah jalan terbuka untuk beberapa pemimpin mendapat tempat penting dalam kerajaan Sabah dan Persekutuan. Tan Sri Sankaran Dandai, Datuk Seri Osu Sukam, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri Shafie Afdal serta Datuk Seri Hanifah Aman tidak boleh menafikan betapa 'lorong' yang dibuka oleh lompatan penting Lajim itu mendatangkan peluang politik dan kedudukan dalam parti untuk mereka.
Sumbangan Lajim yang dikaitkan dengan usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dikatakan menjadi 'dalang' kepada usaha menumbangkan PBS mempunyai sesuatu yang tersirat hingga kini khususnya hubungan Lajim dan Anwar.
Dikatakan bahawa ada janji untuk Lajim menjadi Ketua Menteri Sabah jika 'lompatan katak' yang kemudian diikuti oleh beberapa pemimpin PBS yang lain ke dalam UMNO. Namun selepas hampir 20 tahun, jawatan Ketua Menteri Sabah tidak pun terhidu oleh Lajim apabila ia bertukar ganti daripada Sakaran Dandai kepada Osu Sukam dan kini Musa Aman.
Amat jelas, sepanjang karier politiknya, jawatan paling tinggi yang dipegang Lajim ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Namun, di sebalik itu, ada beberapa perkara lain yang Lajim sahaja yang tahu punca beliau mahu meninggalkan UMNO dan menganggap jawatan Timbalan Menteri tidaklah 'sehebat' Ketua Menteri yang diidamkannya. Sebenarnya banyak lagi lagi perkara lain yang terbuku di hatinya.
Ada mempertikaikan apa yang diperkatakan Lajim kepada Najib sehingga beliau sanggup menimbulkan suatu keadaan yang dilihat menggugat Barisan Nasional (BN) Sabah dengan kata-kata bahawa Lajim mahu memastikan Najib menyingkirkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.
Memanglah jika benar ada tuntutan Lajim, Najib wajar mendengar tetapi tidak semestinya mengikut kehendak Lajim. Dan bagi Lajim, beliau sudah berpuas hati kerana menyatakan apa yang tersirat di hatinya.
Namun, berdasarkan track recordnya, pengalaman dan keberaniannya sebelum ini membuatkan Lajim sekali lagi berani membuat keputusan dan tindakan politiknya dengan menggunakan 'lompatan katak' dalam tindakan dan keputusan politiknya.
Kali ini Lajim melakukan tiga langkah untuk lompatannya yang mungkin terakhir dalam karier politiknya.
Langkah pertama ialah mengumumkan tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan peletakan jawatan ketua cawangan UMNO, sementara langkah kedua ialah perletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.
Kelmarin pada lompatan kecil keduanya, Lajim mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta.
Lajim yang masih Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah sesuatu yang mengejutkan, jika mengikut politik ala-Sabah.
Sementara lompatan ketiga yang menjadi 'lompatan besar' yang akan dibuat olehLajim selepas ini memerlukan kita 'tunggu dan lihat," yang berkemungkian akan menjadi sesuatu yang menarik menjelang PRU-13.
Jika sebelum ini Lajim membuat 'lompatan katak' selepas pilihan raya tetapi kini beliau tidak sabar lagi untuk melakukan lompatan ketiganya yang beliau yakin akan mencipta sesuatu yang baik untuk 'dirinya dan rakyat Sabah'.
Di sebalik kata-kata dan anggapan bahawa Lajim bagaikan 'gunting dalam lipatan' atau 'biawak hidup' dalam UMNO dan BN serta pelbagai lagi, Lajim sedang mengatur langkah untuk bergerak lebh jauh.
Ketua Perhubungan PKR Sabah Ahmad Tamrin Jaini mengesahkan bahawa ketua pembangkang Anwar Ibrahim dijemput untuk menghadiri pelancaran satu pergerakan politik baru oleh dua orang Ahli Parlimen BN Lajim Ukin (Beaufort) dan Datuk Seri Wilfred Bumburing (Tuaran). Pergerakan tersebut dikenali dengan nama Angkatan Perubahan Sabah (Sabah Reform Front - SRF).
Pada Majlis Berbuka Puasa Sabtu lalu, Lajim mengisytiharkan gerakan 'Pakatan Perubahan Sabah' di kediamannya di Likas Jaya. Cuma persoalan yang bermain di fikirkan kita ialah apakah lompatan Lajim kali ini cukup panjang? Apakah dia yakin tidak akan terjatuh dan lemas dalam keputusan dan masa depan politiknya?
Apakah lompatan ketiga ini membawa tuah seperti lompatan dari PBS ke UMNO pada 1994 dan sanggup menerima risiko kemungkinan tenggelam terus dalam karier politiknya.
Lajim nampaknya sangat terpengaruh dengan pujukan pemimpin pembangkang khususnya Anwar mungkin yakin mampu mengulangi usaha menawan Putrajaya sebelum ini.
Lajim jangan lupa bahawa BN, khususnya yang memerintah Sabah sudah membuktikan ia mampu membawa perubahan sebagai mana diakuinya sendiri dalam Utusan Malaysia 22 Januari 2010.
Amat jelas warna-warni politik Sabah untuk seketika akan tertumpu kepada keputusan Lajim, Perdana Menteri dan Majlis Tertinggi UMNO yang akan menentukan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri dan dalam parti.
Pada ketika yang sama, walaupun pemimpin UMNO Sabah nampak tenang, namun sebarang pengumuman dan lompatan besar Lajim kali ini akan turut memberikan kesan kepada kedudukan Sabah sebagai deposit kekal BN.
Sama ada kesannya seperti yang berlaku pada 1994 atau sebaliknya kita perlu tunggu seketika. Pengajaran ialah dalam politik walaupun sebesar mana janji pemimpin untuk berkorban dan mengabdi kepada parti, apabila kepentingan peribadi dan harga diri tercabar atau mula tidak didengari, selalunya jalan yang tersedia ialah mengundur diri atau membuat lompatan katak besar seperti yang akan dilakukan Lajim dalam sehari dua ini.
/hwa: utusan.com.my | 31/7/12 

UMNO terlalu banyak jasa kepada Melayu - Arshad

KUALA LUMPUR 29 Julai - Tokoh Melayu Terbilang, Tan Sri Arshad Ayub yang menjadi watak penting dalam melahirkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan tanpa sokongan UMNO universiti itu tidak mungkin dapat berdiri seperti ketika ini.
Beliau yang diberi penghormatan tertinggi oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) apabila dikalungkan dengan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa serta diangkat sebagai Bapa Modal Insan Pribumi Negara berkata, UMNO juga terlalu banyak berjasa kepada orang Melayu.
Sehubungan itu, beliau yang menjadi tulang belakang serta nadi kepada kemajuan bangsa Melayu melalui penubuhan UiTM melahirkan rasa kesal serta sedih apabila melihat orang Melayu kini berpecah-belah akibat perbezaan ideologi politik sehingga menyebabkan kaum majoriti itu lemah.
"Saya terharu dengan penghormatan tertinggi diberi Perkasa. Saya membangunkan UiTM tidak lain kecuali untuk melihat bangsa saya mampu berjaya walaupun datang dari latar belakang miskin. Saya juga orang miskin tetapi akhirnya berjaya, sebab itu UiTM ini umpama baju saya.
"Namun hari ini, selepas ramai orang Melayu berjaya, kita pula berpecah-belah. Sedangkan saya yakin jika seluruh graduan serta tokoh-tokoh hebat yang dilahirkan UiTM bersatu dan menyokong hanya satu parti, Melayu akan kuat dan parti itu nescaya akan sentiasa menang," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penganugerahan Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa serta Bapa Modal Insan Pribumi Negara yang diterimanya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini hari ini.
Dalam pada itu, selaku tokoh yang banyak melahirkan modal insan terkemuka Melayu, Arshad berpesan kepada golongan muda agar sentiasa memberi penekanan 100 peratus kepada pendidikan jika mahu menjadi bangsa yang berjaya dan dihormati dunia.
Katanya, orang Melayu tidak boleh menyalahkan pihak lain jika mereka semakin lemah kerana perkara itu berpunca daripada sikap mudah selesa kaum majoriti itu sendiri sehingga leka untuk memberi tumpuan kepada pendidikan anak bangsa.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Peletakan jawatan 'asam garam' dalam politik

Mohd. Shafie Apdal menyampaikan sumbangan untuk keluarga miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim Bahagian Seputeh pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian itu di Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 29 Julai - Keputusan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin meletakkan semua jawatan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai 'asam garam' atau perkara biasa dalam politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkembangan yang berlaku itu bukan perkara baru kerana UMNO sebelum ini pernah menyaksikan ahli-ahlinya yang berjawatan tinggi termasuk Timbalan Presiden keluar parti.
Menurut beliau, apa yang penting semua pemimpin dan ahli UMNO sentiasa bekerja keras bagi memantapkan parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Segala cabaran pasti dapat kita tangani. Kita pernah melihat pemimpin keluar parti, malah UMNO pernah diharamkan. Semua itu tidak menghalang kita terus bekerja kuat untuk membantu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh 2012 di Dewan Besar Pusat Khidmat Masyarakat BN Parlimen Seputeh di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustafa Kamal Mohd. Yusoff dan pemimpin-pemimpin kanan UMNO bahagian berkenaan.
Mohd. Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort, Sabah semalam.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, kemenangan Lajim di Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-12 banyak bergantung kepada kekuatan BN di Sabah.
"Kita pernah melihat bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee menang pilihan raya semasa menjadi calon BN, tetapi beliau tewas apabila mewakili pembangkang," ujarnya.
Bagaimanapun, jelas Mohd. Shafie, BN dan UMNO tidak sepatutnya alpa dan memandang ringan keupayaan pihak lawan demi memastikan kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.
Ketika ditanya sama ada khabar angin lebih ramai pemimpin UMNO di Sabah akan keluar parti ekoran nama mereka tidak tersenarai sebagai calon pada pilihan raya umum nanti, beliau menyifatkan perkara itu sekadar andaian sahaja.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Tindakan Bumburing, Lajim bukan ancaman BN

KUALA LUMPUR 30 Julai - Tindakan Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Lajim Ukin yang keluar dan melepaskan semua jawatan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada keutuhan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya, pemimpin serta anggota BN di Sabah perlu menjadikan perkara itu sebagai cabaran dalam mempererat dan memperkukuh perpaduan sesama anggota parti.
"Apa yang berlaku pada mereka sudah dijangkakan, di mana pada pandangan saya, ia boleh diselesaikan.
"Saya harap kepimpinan Umno dan kepimpinan BN Sabah tidak memandang ringan apa yang berlaku, sebaliknya menjadikan ia sebagai hikmah untuk mengukuhkan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pengumuman Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran keluar parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) manakala Lajim yang melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort.
Mengenai tindakan Lajim yang melepaskan semua jawatan namun tidak sebagai anggota UMNO, Ahmad Zahid berkata ia merupakan urusan dan hak peribadi, namun keenganannya melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan anggota UMNO dilihat sebagai tindakan tidak matang dari seorang ahli politik berpengalaman.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menolak kemungkinan perkembangan terbaru itu adalah satu permainan yang dicetuskan pembangkang bagi memecah keharmonian sesama anggota BN. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

30 Julai 2012

PM di Madrasah Tahfiz Al-Warul Hidayah

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama pelajar Madrasah Tahfiz Al-Warul Hidayah selepas solat Magrib di Masjid Bandar Bari Beris Jaya, Sik, semalam. - Foto Rosdan Wahid
Jul 30, 2012 3:09 am

Program kesejahteraan

NAJIB Tun Abdul Razak menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim ketika meluangkan masa melawat makmal komputer Program Khidmat ICT Sukarelawan 1 Malaysia Pejabat Perdana Menteri di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang, semalam. - MINGGUAN/RUSHDI SALLEH 
*****
PEKAN 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih banyak program untuk kesejahteraan rakyat hasil daripada transformasi yang dilakukan dalam tempoh tiga tahun ini akan dapat diberikan sekiranya mandat diberikan kepada kerajaan untuk tempoh lima tahun lagi.
Menurut Perdana Menteri, jika dalam tempoh tiga tahun ini sudah banyak dapat dilihat rakyat, apatah lagi kalau lima tahun lagi.
"Kalau bagi kita lima tahun lagi, maka banyak lagi akan terus dilakukan.
"Sepanjang masa kita fikirkan bagaimana untuk membantu rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Program Kasihi Pekebun Peringkat Nasional dan Penyampaian Dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanaman Semula Komersial (TSK) berjumlah RM314.6 juta di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek, Pengerusi RISDA, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.
Menurut Najib, apa dijanjikan bukan slogan atau retorik politik.
Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, satu kelompok demi satu kelompok merasai nikmat hasil sentuhan agenda transformasi ini.
"Dan ini bukan terhenti setakat ini sahaja. Setiap kelompok mesti dapat nikmat sama ada golongan bandar atau luar bandar.
"Sebelum ini BR1M, pemandu teksi, kakitangan awam, peneroka dan hari ini pekebun kecil," ujarnya.
Najib turut berharap pekebun kecil yang menerima dividen hari ini dapat membalas jasa kerajaan apabila tiba masanya demi kesinambungan untuk generasi seterusnya.
"Terima dividen hari ini, boleh senyum sambut raya.
"Cuma saya harap, saya dah tunai hajat tuan-tuan, harap hajat saya ditunai tuan-tuan bila tiba masanya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Dunia berada di banyak persimpangan

Liu Yang 
*****
SEMALAM majlis pembukaan temasya sukan Olimpik dianggap paling bersejarah dari segi gilang-gemilangnya. London boleh senyum bergaya.
Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan.
Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan.
Maka dari satu segi, Olimpik London kali ini bersejarah kerana liputan acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya facebook dan twitter.
Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi. Bukan saja tablet sedang mengubah dunia tetapi telefon pintar yang memiliki pelbagai ciri canggih seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung mampu mengatasi Apple, dengan persaingan bertambah sengit.
Namun begitu, teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang mengubah pemahaman manusia terhadap kewujudan ini. Selain daripada pembinaan roket dan kapal angkasa, manusia juga mampu melakukan penyelidikan ke atas zarah-zarah yang kecil dengan menggunakan teknologi tinggi ini.
Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh keduanya, mungkin pencapaian terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel Boson Higgs yang diumumkan 4 Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva, Switzerland.
Penemuan partikel ini mengesahkan teori berkaitan Model Standard fizik partikel dalam menjelaskan alam subatomik partikel asas dan daya interaksi antara mereka. Ia merupakan suatu langkah penting bagi ilmu fizik memahami alam.
Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai bangsa membuat penemuan itu hanya dapat dilakukan melalui uji kaji dengan menggunakan penjana pecutan Large Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa terowong keliling 27 kilometer di bawah tanah di Geneva, Switzerland.
Justeru, kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang dicapai oleh manusia dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta kemudahan bagi pencarian penemuan baru untuk ahli-ahli fizik.
Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari pelbagai negara meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar dengan krisis kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui Eurozone tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan Kesatuan Eropah (EU).
Krisis ekonomi yang kini melanda Greece dan sedang merebak ke Sepanyol mengakibatkan pendapatan rakyat di sana terhakis teruk di samping meningkatkan pengangguran.
Keadaan ini menggugat kepercayaan penduduk Eropah tentang kemapanan Eurozone dan EU sendiri. Jerman sebagai negara yang mempunyai kemampuan menyelamatkan sistem ini tidak jelas untuk membantu kerana bantahan penduduk mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang berkesan, penyatuan Eropah boleh tergugat kerana krisis ini.
Apa yang berlaku di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap sistem ekonomi kapitalisme sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis kewangan Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu, berpunca daripada pinjaman hartanah yang tidak baik dan penyelewengan saham membawa kepada persoalan terhadap sistem kapitalisme itu.
Setelah sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok Soviet terlerai, pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang menuntut penilaian semula cara manusia menjalankan kehidupan ekonominya.
Ironi global yang dimaksudkan di sini ialah dunia kapitalisme Barat, baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung kepada sebuah negara yang masih mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia mengamalkan sistem pasaran terbuka. Negara itu ialah Republik Rakyat China yang menghasilkan barangan-barangan murah untuk kegunaan seluruh dunia.
Kekuatan ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di mata dunia. Suatu petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah usahanya yang berterusan untuk meneroka angkasa lepas. China yang tahun ini mengirim angkasawan wanita pertamanya, Liu Yang berazam untuk mendaratkan manusia di muka bulan.
Dalam keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa, walaupun Amerika Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di pulau terpencil di Laut China Selatan.
Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan Paracel. Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan Filipina. Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai munisipaliti terbarunya adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan tuntutannya ke atas kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing Macclesfield.
Kepulauan Spratly dan sebahagiannya juga dituntut oleh Malaysia, Brunei dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan Filipina.
Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara kedua belah pihak.
Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis China, The Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke atas pulau Jepun, Okinawa sebagai miliknya.
Sejak kebangkitan China, pihak negara-negara ASEAN sedar bahawa mereka harus bersatu dan mengukuhkan diri untuk dapat berdepan dengan China.
Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi ASEAN ialah Myanmar mula membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari Barat datang. Sememangnya diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur dan bersama-sama negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan untuk menghadapi cabaran ekonomi China dan India,
Tetapi malangnya ketika mana Myanmar menampakkan sinar, terserlah pula masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak kewarganegaraannya oleh kerajaan mereka sendiri.
Nasib yang menimpa Rohingya ini menimbulkan kemarahan umat Islam bukan saja di negara-negara ASEAN tetapi juga di Pakistan, malah sehingga di Tunisia. Di negara-negara itu, bantahan dibuat kerana layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan Myanmar terhadap bangsa Rohingya.
Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan prihatin terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka.
Tunisia baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi. Apa yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia telah pun turut mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya didorong oleh media sosial.
Kini, kebangkitan itu berubah dalam bentuk perang saudara di Syria. Maka berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah pada bulan Ramadan.
Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik dunia. Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam persaingan lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan lawan-lawannya.
Maka apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia merestui kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan di mana Iran dan Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad.
Rusia yang kembali dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda bahawa Moscow mahu memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar bagi mengimbangi Amerika.
Inilah simpang-simpang baru dalam geopolitik di mana peperangan akan berterusan dalam bentuk-bentuk baru.
Walaupun kini manusia bertambah maju dari segi pemahaman sainsnya, teknologi semakin canggih dan usaha mencari sistem ekonomi dan politik yang lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan geopolitik yang membawa bersama peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan berterusan.
Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan dan Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik baru.
Manusia walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan membawa banyak lagi bencana pada masa mendatang.
* Ruangan Awang Selamat akan kembali semula minggu depan.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Politik gayut ala Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar lakukan lagi. Naib Presiden Pas ini tidak sudah-sudah dengan spekulasi dan teori lapuk mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mungkin sudah begitu cara berfikir orang-orang penting dalam Pas ini. Bagi mereka, orang nombor dua akan sentiasa dikaitkan dengan konspirasi dan agenda untuk menjatuhkan ketuanya.
Pantang ada kenyataan yang ditakrifkan sendiri sebagai mendahului dan berbeza, terbitlah daripada pemikiran mereka wujud gerakan licik di sebaliknya. Sungguh, ia cara politik lama yang patut ditinggalkan.
Tidak terfikir oleh orang lain kecuali mungkin hanya Mahfuz dan akhbar Harakah bahawa Muhyiddin yang kini ditugaskan untuk menangani krisis air Selangor, menggunakan isu itu untuk 'menamatkan kerjaya politik Najib'.
Mahfuz oleh akhbar itu dipetik sebagai berkata: "Terlalu banyak perkhabaran dan tuduhan yang kita dengar bahawa Muhyiddin mengambil peluang dan kesempatan daripada krisis air di Selangor yang direka-reka oleh UMNO dan BN (Barisan Nasional) itu untuk menamatkan kerjaya politik Najib."
Begitu sekali masif dan terancang gerakan politik parti pembangkang ini bagi menyokong pendirian Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk mengambilalih industri bekalan air di Lembah Klang ini.
Sedang para pemimpin parti pembangkang berlumba-lumba cuba menampilkan fakta walaupun saling bercanggah sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat, Mahfuz pula memilih bermain dengan spekulasi dan politik adu domba.
Mungkin beliau mahu dilihat dalam kalangan rakan-rakan sekutunya sebagai politikus super hebat berpancaindera enam yang mempunyai penglihatan luar biasa.
Sebelum ini pun Mahfuz muncul dengan kenyataan spekulatif bahawa Muhyiddin bakal menjadi Perdana Menteri setelah Najib didesak meletakkan jawatan akibat gagal memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-13 ini.
Harakah
Kenyataan Mahfuz yang dibesar-besarkan oleh Harakah itu cuba menggambarkan Muhyiddin tidak sabar-sabar mahu menjadi Perdana Menteri. Ia hanya kerana Muhyiddin menyatakan bahawa pilihan raya sesuai diadakan pada tahun ini.
Mengikut bacaan Ahli Parlimen Pokok Sena ini, Muhyiddin akan melakukan hal sama seperti yang UMNO lakukan terhadap Abdullah dahulu. Perkataan yang digunakan oleh Harakah ialah 'menghalau Pak Lah'.
Permainan politik adu domba daripada pemimpin seteru memang boleh difahami tetapi ia tidak sepatutnya datang daripada pemimpin yang telah dinobatkan menduduki kerusi nombor tiga parti 'Islam' ini.
Memang sudah lama kita tidak mendengar pemimpin Pas mempelopori atau mengetengahkan isu sendiri yang dekat di hati rakyat. Pas sudah ketandusan idea bernas. Parti ini defisit nilai-nilai intelektual.
Mengapa? Mungkin kerana kegemaran mereka untuk sekadar menjadi pak turut dan pak sokong pendirian dan idea pemimpin sekutu daripada PKR atau DAP sahaja.
Mereka kini dilihat tidak lebih sebagai pemenuh ruang dan meramaikan majlis. Jika mahu majlis gah, panggillah Pas ikut serta.
Mungkin sebab itu, ramai menyatakan Pas tidak mungkin boleh menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang. Ahli saja ramai tetapi dari segi jumlah kerusi Parlimen, Pas kalah.
Apatah lagi jika dibandingkan dengan kepakaran mencadangkan strategi dan pelan terbaik untuk kebaikan rakyat, sumbangan Pas tidak ketara.
Yang banyak dilakukan oleh mereka ialah mengharu-birukan dasar dan pendekatan kerajaan yang baik. Semacam penyakit berjangkit, apa jua pendekatan kerajaan mahu diracuni agar ditolak oleh rakyat.
Gerakan politik mereka lebih kepada memerangi kerajaan bukan berusaha menambah baik apa yang ditawarkan. Mereka seolah-olah tidak mahu berkongsi dengan kemakmuran yang dikecapi kini.
Aneh, dalam keadaan mengecapi nikmat kemakmuran itu, mereka mengecamnya dari segenap sudut. Seperti tiada sudut yang baik.
Dan dalam keadaan Perdana Menteri dan timbalannya seia dan sekata sebagai satu pasukan mereka membuat tohmahan lain pula.
Dilihat dari segi cara berpolitik politikus sekarang, tiada tanda-tanda politik adu domba dan tohmahan akan menemui noktahnya. Politikus lapuk seperti Mahfuz yang tidak mampu mengandalkan kewibawaan sendiri masih ramai.
Mereka akan terus bergayut kepada isu-isu spekulatif disulami fitnah dan tohmahan. Mendengarnya memang seronok tetapi jika termakan hasutan ini sehingga menjadi darah daging, implikasinya buruk.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Politik bertenggek populariti artis

DALAM politik apabila terdesak, semua yang ada di sekeliling akan dipergunakan untuk satu tujuan iaitu menang. Dalam politik, matlamat menghalalkan cara. Menjelang pilihan raya umum kali ini, parti-parti politik ghairah menenggek atas populariti artis.
Bagi Siti, kerana terdesak mereka tidak yakin dengan manifesto yang dibuat untuk rakyat. Sebenarnya pilihan raya sebelum ini juga artis digunakan untuk berkempen. Tapi tidak sehebat tahun ini.
Artis yang telah suam-suam kuku pun isytiharlah jadi ahli parti politik. Parti politik pula menolak artis ke depan apabila muncul di depan rakyat. Sebab orang politik tahu bahawa orang Melayu sanggup mati kerana artis.
Orang politik pun tahu banyak artis yang jadi ahli parti kepala macam belon. Tak ada apa-apa pun. Tapi kerana orang Melayu taksub sangat kepada artis, mereka pejamkan mata supaya matlamat tercapai. Apa yang artis nak diceramahkan kepada orang Melayu yang ternganga di depan mereka? Lalu jadilah mereka burung kakak tua, tiru cakap orang politik.
Bunyinya memang berdegar-degar. Tapi macam meriam buluh sajalah. Bunyi kuat berdentum tapi tak ada peluru. Samalah apabila artis berceramah politik, tak ada isi pun dari kata-kata persis burung kakak tua itu. Kalau orang tanya Siti, adakah cara ini akan berjaya, Siti hanya akan kata mungkin iya dan mungkin tidak.
Kecenderungan sekarang ini semuanya artis. Acara itu mesti ada artis. Acara ini mesti ada artis. Seolah-olah kalau tak ada artis macam masak tak cukup garam.
Tapi lain pula dari pembaca yang telefon dan SMS yang Siti terima. Banyak yang menolak artis. Mereka menyedari artis telah menyebarluaskan budaya buruk kepada anak-anak mereka. Artis juga seolah-olah menghalalkan hubungan tanpa nikah. Peratus artis yang boleh dijadikan ikon boleh bilang dengan jari. Selebihnya jadi apa?
Sebab itu bila artis ditonjolkan sebagai ikon sesebuah parti politik, ini satu penghinaan kepada rakyat. Apakah tokoh politik sudah mati akal hingga terpaksa memberi pentas kepada artis? Ia jadi penghinaan kerana rakyat mengharapkan orang politik membuat perubahan. Artis nak buat perubahan apa? Bagi Siti, ini menunjukkan parti yang menonjolkan artis tak mempunyai keyakinan diri.
Terfikir pula Siti, apakah perasaan orang yang berjuang siang malam untuk parti, tiba-tiba artis yang diberi penonjolan? Tidakkah mereka tersinggung atau rasa tidak diperlukan? Atau adakah mereka ini juga akan menyokong artis yang mengambil tempat mereka, setidak-tidaknya di pentas ceramah? Barangkali jadual artis kita penuh musim pilihan raya ini. Penuh dengan undangan ceramah politik.
SITI JARUM: Ramah tamah.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Mimpi-mimpi politik Pas

SALAH satu perkara menarik yang menjadi perbincangan dalam arena politik negara ialah mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pergilah ke mana sahaja dan berbuallah dengan sesiapa sahaja, topik mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sentiasa menjadi perhatian.
Ditubuhkan oleh sekumpulan ulama melalui perpecahan yang berlaku di dalam UMNO pada tahun 1951, perjuangan politik Pas kini semakin terarah daripada sebuah parti yang mampu berdikari kepada sebuah parti yang dilihat menjadi 'pak turut' dan sekadar 'kuda tunggangan' dalam pakatan pembangkang.
Rekod cemerlang Pas kerana memerintah Kelantan sejak tahun 1990 semakin pudar akibat perkongsian impian politik bersama PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya, sekali gus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Walaupun suatu ketika Pas dilihat sebuah parti yang jauh lebih berwibawa berbanding PKR dan DAP namun Pas tidak mampu bertahan untuk menjadi sebuah parti yang terus berjuang sendirian bagi mencapai cita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Perkongsian impian dengan kedua-dua parti itu jelas menunjukkan Pas terpaksa mengorbankan banyak kekuatan dan jati diri semata-mata untuk memenuhi rentak politik PKR dan DAP. Malahan golongan ulama yang menjadi tonggak utama di dalam Pas kini dikatakan semakin terhakis suara mereka.
Ulama-ulama Pas majoritinya berada di dalam Dewan Ulama dan mereka seolah-olah tidak mempunyai kuasa politik bagi menentukan hala tuju parti itu biar pun hakikatnya, Pas 'dilahirkan', 'dibesarkan' dan dididik oleh golongan berkenaan.
Kesudahannya, akibat semakin kurangnya kuasa politik golongan ulama di dalam Pas, maka arah tuju Pas juga semakin tidak jelas, sebaliknya dari semasa ke semasa parti itu terus bercelaru dalam usahanya mencari kuasa politik.
Oleh itu apabila pemimpin-pemimpin Pas membuat kenyataan yang dilihat cuba menunjukkan mereka parti kuat dalam pakatan pembangkang ia dilihat hanyalah sekadar satu mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Berikut penulis paparkan beberapa mimpi politik Pas berdasarkan perjalanan parti itu sejak mereka berkawan dengan PKR dan DAP.
Menjadi parti dominan - Pas masih lagi bermimpi untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang biar pun hakikatnya PKR dan DAP sudah pasti tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku. Sebab itulah ramai pemerhati politik melihat impian Pas untuk bertanding 80 kerusi hanyalah satu impian yang tidak akan kesampaian.
Ini memandangkan PKR biar pun sedang menghadapi pelbagai kemelut dalaman dan luaran serta semakin terhakis sokongannya di kalangan rakyat, namun parti itu tetapi mahu menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.
Impian PKR sudah tentulah bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana parti itu mempunyai hubungan rapat dengan DAP dan ia jauh lebih erat berbanding hubungan PKR dengan Pas.
Sebab itulah kita menyaksikan bagaimana dalam apa juga isu, pemimpin-pemimpin PKR dikatakan lebih menyebelahi DAP biar pun ia boleh menyinggung perasaan Pas.
Dalam pilihan raya umum akan datang PKR dan DAP sudah tentu akan memastikan Pas hanya bertanding sekitar 66 hingga 67 kerusi sahaja seperti mana pilihan raya umum lalu, manakala PKR dan DAP akan menentukan siapa antara mereka akan bertanding lebih banyak kerusi.
Apa yang menyedihkan, apabila keputusan sudah dibuat, Pas akan 'diarahkan' oleh sekutunya untuk menyediakan jentera pilihan raya untuk bertempur.
Ahli-ahli Pas akan dikerah memenuhi majlis-majlis ceramah PKR dan DAP, menggantung bendera kedua-dua parti itu dan bersedia membuat kenyataan bagi membela pemimpin-pemimpin pembangkang. Itu sahaja tugas Pas!
Malahan mereka juga akan bersedia bertakbir tanpa mengira siapa pun yang berucap.
l Impian mewujudkan negara Islam - Pas masih lagi bermimpi untuk memperjuangkan negara Islam sedangkan ia sudah lama berkubur berikutan keputusan parti itu menegakkan negara berkebajikan. Namun begitu oleh kerana menyedari sokongan orang Melayu kepada mereka semakin merudum maka mahu tidak mahu Pas terpaksa mendendangkan semula soal memperjuangkan negara Islam.
Kita percaya dalam soal ini seperti mana kata penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad, semua itu hanyalah sandiwara dalam usaha Pas menarik sokongan orang Melayu.
Semua orang tahu Pas sudah tidak lagi sinonim dengan perjuangan Islam selagi mereka berada dalam pakatan pembangkang. PKR dan DAP sudah pasti tidak akan membenarkan Pas meneruskan perjuangan Islamnya.
Laluan Pas dalam soal ini hanyalah sekadar retorik politik kerana di dalam parti itu sendiri terdapat penentangan yang cukup ketara. dalam soal berkenaan. Golongan ulama masih berhasrat untuk meneruskan perjuangan Islam yang dianggap perjuangan asal Pas. Tetapi dalam masa yang sama, di dalam Pas juga terdapat kelompok pemimpin-pemimpin tertentu yang begitu mahu menjaga hati dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP. Oleh itu dalam keadaan mereka begitu ghairah untuk memburu kuasa bersama kedua-dua parti berkenaan, ada di kalangan pemimpin tersebut yang tidak mahu ada perkara berbangkit yang mampu menjejaskan impian berkenaan.
l Pemimpin Pas jadi Perdana Menteri - Inilah mimpi yang paling menyeronokkan bagi pengikut-pengikut Pas kerana mereka merasakan pemimpin-pemimpin utama mereka layak tetapi hakikatnya pemimpin mereka sendiri tiada keyakinan diri. Sebab itulah mereka membuat kenyataan-kenyataan yang menyatakan jika pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum nanti yang akan menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengikut-pengikut Pas harus memahami bahawa kedudukan pemimpin mereka di dalam pakatan pembangkang sekadar penyokong setia dan pengikut sahaja, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP mendominasi segala agenda politik pakatan tersebut.
Apatah lagi, berbanding Pas, pemimpin-pemimpin PKR lebih mendapat kepercayaan pemimpin DAP sebab itulah biar pun PKR mempunyai kerusi yang kurang dalam Parlimen berbanding Pas, namun DAP tetap memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi ketua pembangkang.
Pemimpin-pemimpin Pas hanya digunakan untuk membuat kenyataan-kenyataan menyokong dan membela pemimpin PKR dan DAP. Oleh itu tidak usahlah pengikut-pengikut Pas bermimpi pemimpin mereka akan menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.
l Berhasrat menggantikan UMNO - Inilah mimpi paling mengasyikkan bagi Pas sehingga mereka sanggup mencetak kemeja t yang tertulis perkataan Pas ganti UMNO.
Tetapi semua orang tahu sejauh manakah kemampuan Pas untuk berbuat demikian. Pas bukan seperti UMNO kerana dalam pembangkang, Pas diibarat seperti melukut di tepi gantang demi mencari kuasa.
Ini berbeza dengan UMNO yang menjadi tonggak kekuatan BN tetapi sentiasa menghormati kesepakatan yang dicapai bersama komponen parti itu sejak merdeka.UMNO tidak pernah mahu menjadi 'abang besar' di dalam BN tetapi dalam pakatan pembangkang semua orang tahu siapa 'abang besar' yang Pas dilihat perlu akur.
Kesimpulannya, Pas boleh terus bermimpi dan bermimpi untuk menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang tetapi ia tidak akan menjadi kenyataan.
Bak kata Ahmad Masrizal, ''Pas dalam pakatan pembangkang sebenarnya adalah tidak ke mana. Tiada kekuatan suara, fikrah apatah lagi kekuatan politik untuk menentukan hala tuju pakatan itu. Itulah jatuh nasib Pas dalam Pakatan Pembangkang, tampak hebat berceramah siang dan malam tetapi ironisnya hanya setakat melukut dalam lingkaran pakatan Pembangkang.''
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Selesaikan masalah UMNO, BN secara musyawarah - Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin memasak pisang goreng ditemani isterinya, Noorainee Abdul Rahman (kanan) ketika meninjau gerai-gerai bazar Ramadan di Taman Indah Permai, Sepanggar, dekat Kota Kinabalu, Sabah, semalam. Turut serta Datuk Seri Musa Aman (dua, kiri). - BERNAMA
***** 
SEPANGGAR 28 Julai - Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat diingatkan supaya menyelesaikan secara musyawarah setiap perbezaan pendapat yang timbul bagi mengelak timbulnya perasaan buruk sangka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pertemuan dan perbincangan amat penting bagi membolehkan sesuatu isu yang timbul itu dapat difahami dengan sebaik mungkin, sekali gus menyelesaikannya secara kekeluargaan.
"Pada setiap masa akan ada pihak-pihak tertentu yang akan cuba menjejaskan hubungan baik semua pihak, bagi mereka ketegangan dan keadaan politik yang tidak stabil merupakan kelebihan kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Jamek Kampung Likas di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang merupakan tuan rumah kepada majlis itu serta pimpinan UMNO dan BN negeri.
Tambah Muhyiddin, pendekatan musyawarah bukan sahaja diajar oleh agama Islam tetapi turut dianjurkan oleh agama-agama lain yang mahukan semua pihak berada dalam keadaan baik dan sempurna.
Jelas beliau, perpaduan antara semua pihak merupakan resipi utama kejayaan BN untuk mengekalkan kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Terdahulu, Muhyiddin bersama Musa membuat lawatan ramah mesra di Bazar Ramadan Indah Permai, Sepanggar dekat sini sejurus tiba dari Kuala Lumpur dan melawat 176 gerai yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa.
Turut sama ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin dan Pembantu Menteri Kemajuan Sumber dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Karambunai.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Hasan desak Pas jawab tuntutan Persekutuan Kristian Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pas yang sanggup menukar matlamat perjuangan daripada menubuhkan sebuah negara Islam kepada negara berkebajikan didesak menyatakan pendirian mengenai tuntutan Persekutuan Kristian Malaysia yang mahu semua agama bebas disebar tanpa sebarang sekatan undang-undang.
Ini kerana sebagai komponen dalam pakatan pembangkang, Pas perlu menjelaskan sama ada bersetuju melaksanakan tuntutan tersebut atau tidak memandangkan persekutuan berkenaan menyeru penganut Kristian memilih parti yang menawarkan kebebasan itu pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, Pas perlu menjawab tuntutan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan itu kerana seruan sedemikian melibatkan kuasa memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
"Saya ingin lontarkan persoalan apakah Persekutuan Kristian Malaysia menganggap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sekian lama tidak mampu memenuhi tuntutan mereka dan hanya pembangkang yang lebih bersedia untuk melaksanakan segala tuntutan berkenaan?
"Apakah pakatan pembangkang juga bersetuju dengan tuntutan tersebut? Saya tidak mahu tanya DAP mahu pun Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jawapan kedua-dua parti itu sudah dapat diduga. Sekiranya itu yang dipersetujui, saya mahu tanya Pas. Apakah parti itu setuju untuk melaksanakan tuntutan tersebut?
"Tuntutan itu bukan sahaja bertentangan dengan semangat Perlembagaan tetapi boleh mencetus suasana huru-hara serta bakal menggugat keutuhan Islam sebagai agama Persekutuan dan ini perlu dijawab segera," katanya pada sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Pada 18 Julai lalu, Persekutuan Kristian Malaysia menyeru penganut agama itu memilih parti yang mampu menawarkan kebebasan agama merangkumi kebebasan menganut, mengamal, menyebar dan dibenar berkembang tanpa batasan undang-undang, penegahan atau larangan.
Tuntutan itu bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan serta melarang agama selain Islam disebar kepada umat Islam, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh penganutnya di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

29 Julai 2012

Majlis Perasmian Program Kasihi Pekebun Peringkat Nasional

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan anugerah Tokoh Usahawan Pekebun Kecil kepada Mohamad Saidi Abd Ghani sambil diperhatikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Hasan Malek (dua dari kiri) dan Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik pada Majlis Perasmian Program Kasihi Pekebun Peringkat Nasional Dan Penyampaian Dividen RTBB/TSK RISDA di Pekan, hari ini. - Foto Azmaidi Abidin
Jul 28, 2012 6:15 pm

Kontinjen Olimpik 2012 Malaysia

SEBAHAGIAN atlit dari kontinjen Malaysia yang berarak pada Majlis Pembukaan Olimpik 2012 London, pagi ini. - Foto AP
Jul 28, 2012 8:20 am

Mahasiswa mampu menilai

Najib Tun Razak, Seri Rosmah Mansor dan Mohamed Khaled Nordin bersama sebahagian pemimpin belia dan mahasiswa yang menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. 
*****
PUTRAJAYA 27 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin mahasiswa di negara ini yang merupakan golongan intelek dapat menilai dan membezakan janji-janji yang tidak berpaksikan realiti yang banyak ditaburkan oleh sesetengah pihak.
Perdana Menteri berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu cenderung melontar pelbagai isu serta menabur janji-janji ketika mereka tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran.
"Adalah mudah untuk menabur janji semasa mereka tidak berkuasa tetapi apa yang lebih penting adalah apa yang telah dilakukan ketika kita ada kuasa.
"Saya percaya saudara-saudari yang mempunyai daya intelek dan pemikiran tajam sudah tentu tidak mudah menelan segala janji yang ditaburkan, kita harus persoalkan sejauh mana janji itu berpijak pada bumi yang nyata," katanya.
Beliau berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin belia dan mahasiswa serta warga institusi pengajian tinggi di Seri Perdana, di sini malam ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada majlis sama, Najib mengambil kesempatan memberi kata-kata semangat kepada pasukan Robocon dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bakal menyertai kejohanan robot antarabangsa di Hong Kong.
Selain itu, Najib turut menerima kad ucapan hari lahir daripada wakil-wakil pemimpin belia dan mahasiswa sempena sambutan hari jadi beliau pada Isnin lalu.
Menurut Najib, kerajaan mahu melakar masa depan yang jauh lebih baik dan indah kepada generasi muda tetapi lakaran itu mesti berasaskan kepada realiti.
Katanya, tanggungjawab beliau sebagai ketua kerajaan adalah melakukan yang terbaik supaya setiap insan termasuk mereka dari kawasan luar bandar boleh mencapai impian dan cita-cita masing-masing sekiranya sanggup bekerja keras.
"Sebab itulah kita cetuskan agenda transformasi yang akan membawa Malaysia ke masa depan yang jauh lebih baik berbanding hari ini," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, seperti insan biasa yang lain, beliau mendapat kepuasan selepas memberi bantuan dan keriangan kepada golongan yang memerlukan.
"Kalau saya dapat membantu atau memberi sedikit keriangan kepada seorang anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin atau ibu tunggal, saya akan dapat kepuasan sepanjang hari itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/7/12