30 Ogos 2012

PRU ke-13 tentukan survival UMNO dan BN: Najib

BALING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengulangi peringatannya bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang adalah penentu survival UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mengingatkan anggota parti supaya belajar daripada pengalaman pilihan raya umum 2008 agar tidak melakukan perbuatan yang menyebabkan BN tewas di beberapa negeri.
"Saya tidak mahu lagi politik adu domba sesama kita, tidak mahu lagi politik puak sesama puak...tidak mahu lagi dalam kempen orang merajuk dan mengkhianati.

"Jika semua ahli sokong calon yang dipilih, mustahil kita boleh kalah pilihan raya," katanya berucap merasmikan mesyuarat perwakilan berkumpulan enam bahagian UMNO Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Ketua UMNO bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Wanita UMNO Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Perdana Menteri berkata sebagai anggota sebuah parti yang cukup matang dan dewasa, segala masalah yang melanda seharusnya diselesaikan.

"Dah empat tahun. Jangan lagi ada masalah. Jangan tunjuk jari...sudah sudahlah. Rapatkan barisan.
"Jika sayang parti, kita hendaklah reda. Dipilih Alhamdulillah, tak dipilih pun kita ucap Alhamdulillah. Jika itulah sikap kita bermakna kita dewasa dan matang," kata Najib yang juga Presiden UMNO.

Najib berkata, apabila beliau menyatakan parti hendakkan 'winnable candidate' (calon boleh menang) semua akan kata mereka adalah 'winnable candidate' tetapi sebenarnya separuh sahaja yang boleh menang.

Walaupun dalam politik ada pasang-surut, UMNO masih lagi parti yang relevan dan akan hidup untuk satu jangka masa panjang.

"Belajarlah daripada kejayaan tapi guru paling berkesan adalah kegagalan. Kita pula mudah berjanji sebaliknya sukar melaksanakannya. Kita patut sayang parti tanpa meletak syarat.

"Saya dah lama....bila salam dah boleh baca. Bila genggam lagi boleh baca. Semua calon PRU kita kena lulus ujian," katanya sambil memberitahu bahawa banyak petunjuk yang menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN kembali.

Beliau berkata, pelbagai program dan dasar kerajaan untuk membantu rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihargai rakyat.

"Kami sedar tuntutan rakyat, tidak seperti pembangkang yang menimbulkan isu hukum hudud menjelang pilihan raya. Kami bina ribuan masjid. PAS pula bina dua masjid sahaja selama 22 tahun perintah Kelantan.

"UMNO akan terus perjuangkan Islam dan peradabannya dipertingkat. InsyaAllah kami letakkan orang yang betul, layak dan amanah. Ulama dan umarak tidak disisih supaya kemajuan Islam terus berkembang," katanya.

Mengenai Kedah, Najib berkata selatan Kedah adalah teras bagi BN memenangi semula negeri ini.

Pada akhir ucapannya, perdana menteri secara berseloroh berkata: "Semangat nak bubar Parlimen...tengoklah dulu".

Perdana Menteri dan isteri turut menghadiri jamuan Hari Raya bersama penduduk Baling sebelum berlepas ke Alor Setar untuk majlis Hari Raya bersama perdana menteri di perkarangan Stadium Darul Aman. - BERNAMA.

/hwa: bharian.com.my | 30/8/12

Mesyuarat Perwakilan Berkumpulan Enam Bahagian UMNO Selatan Kedah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Berkumpulan Enam Bahagian UMNO Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling di Baling, hari ini. - Foto BERNAMA
Aug 30, 2012 1:15 pm

55 Tahun Merdeka

WARNA-WARNI... Raptai penuh sempena Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. Tema bagi sambutan ke-55 pada tahun ini adalah Janji Ditepati. - Foto Salhani Ibrahim
Aug 29, 2012 4:10 pm

Serah tugas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis serah tugas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan daripada Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baru, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (kanan) di pejabatnya di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
Aug 29, 2012 5:15 pm

Peneroka Felda dapat dividen

Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersalaman dengan para jemputan ketika hadir pada majlis jamuan Hari Raya Kumpulan Felda di Menara Felda, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN 
*****
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian dividen interim sebanyak RM400 kepada 112,635 peneroka hasil daripada keuntungan penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), dua bulan lalu.
Perdana Menteri berkata, pemberian dividen interim berasaskan kepada nilai keuntungan 5.5 sen sesaham adalah hasil daripada dua bentuk dividen yang diterima oleh pihak peneroka iaitu melalui 800 unit saham dikhususkan kepada mereka serta Dana Amanah Peneroka.
''Pertama, mereka akan terima dividen melalui 800 unit saham yang telah diperuntukkan kepada mereka dan jika kita hitungkan 800 unit saham tersebut ia akan memberi pendapatan sebanyak RM44 iaitu selepas didarabkan dengan 5.5 sen.
''Kedua melalui Dana Amanah Peneroka. Sebanyak 20 peratus yang diperuntukkan di dalam dana ini dikhaskan untuk peneroka. Jumlahnya adalah sebanyak 370 juta saham dan apabila ia didarab dengan 5.5 sen bererti pendapatannya adalah sebanyak RM40.1 juta,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Felda bersama Perdana Menteri di Menara Felda di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Presiden FGV, Datuk Sabri Ahmad.
Pengumuman ini sekali gus menangkis tohmahan pembangkang yang menyatakan peneroka Felda akan kerugian berikutan penyenaraian tersebut di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lepas.
Pembayaran dividen ini adalah tambahan kepada peneroka yang menerima durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.
Harga saham FGV hari ini ditutup pada RM5.02 sesaham iaitu lebih tinggi daripada harga tawarannya RM4.55.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, daripada RM40.1 juta itu setelah dibahagikan kepada setiap peneroka, setiap mereka bakal menerima RM356.
''Sekiranya dicampur dengan pendapatan RM44, bererti melalui dividen interim tersebut setiap peneroka akan menerima RM400. Ini merupakan pendapatan dalam tempoh dua bulan sahaja sejak saham ini disenaraikan di Bursa Malaysia,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata, FGV dijangka membayar dividen kepada semua pemegang sahamnya buat kali kedua pada akhir tahun ini.
''Ini merupakan dividen interim. Insya Allah akan ada satu lagi pengisytiharan dividen pada hujung tahun ini. Ini bermakna terdapat dua kali pemberian dividen,'' katanya lagi.
Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan yakin pihak FGV mampu mencapai keuntungan seperti mana disasarkan iaitu bersandarkan kepada prestasi memberangsangkan oleh pihak syarikat.
''FGV kini berada atas landasan dalam usahanya mencatatkan keuntungan seperti mana yang telah kita sasarkan,'' jelasnya.
Perdana Menteri dalam sidang akhbar sama turut mengumumkan keputusan Felda memberi pinjaman tanpa faedah kepada semua peneroka bagi membantu mereka memiliki 800 unit saham FGV.
''Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM360.7 juta. Dengan ini para peneroka tidak perlu meminjam atau mengeluarkan duit sendiri untuk memiliki saham ini. Mereka cuma dikehendaki membayar sebanyak RM50 sebulan sahaja sehingga selesai dijangka dalam tempoh lima tahun.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

Institut Jantung Negara terima Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011

NAJIB Tun Razak menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011 kepada Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Robaayah Zambahari (tiga dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama (dari kiri), Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Azhari Yaakub, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Zabidi Zainal. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN 
*****
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Institut Jantung Negara (IJN) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 atas kecemerlangan dalam bidang perubatan tempatan.
Anugerah berupa plak dan wang tunai berjumlah RM1 juta itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari dalam satu majlis di sini hari ini.
AIPM yang bermula sejak 2009 merupakan pengiktirafan perdana terunggul kepada agensi serta jabatan yang berjaya menghasilkan sesuatu perkara berimpak tinggi dan signifikan terhadap kesejahteraan rakyat serta negara.
Pada majlis itu, Perdana Menteri serta para tetamu turut menyaksikan pembedahan pintasan jantung dan 'angiogram' secara langsung dari bilik pembedahan IJN oleh pakar-pakar pusat perubatan tersebut.
Dalam pada itu, Dr. Robaayah ketika ditemui selepas majlis itu bersyukur dengan penerimaan anugerah tersebut dan berharap ia akan membuatkan IJN lebih dikenali di persada antarabangsa.
Katanya, dengan segala usaha penambahbaikan dan inovasi yang dijalankan selama ini, para penghidap masalah jantung di negara ini tidak perlu ke luar negara bagi mendapatkan rawatan.
"Kita telah dapat merawat banyak komplikasi dan yang terbaru ialah ada pesakit yang sudah mendapat injap jantung baru tanpa perlu melalui pembedahan iaitu injap tersebut dimasukkan melalui paha bagi menggantikan injap yang sudah rosak," katanya.
Lebih manis, katanya, anugerah itu diterima ketika IJN merayakan sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan institut tersebut.
Mendahului IJN dalam memenangi AIPM adalah Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN) pada 2009 serta penerima bersama iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010.
Ia dianjurkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12 

Saya tolak hudud Pas, bukan hudud Islam - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) menegaskan beliau selama ini hanya menolak hukum hudud yang diperjuangkan Pas dan tidak pernah sesekali menolak hukum syariah itu seperti terkandung dalam ajaran Islam.
Menurutnya, ini kerana hukum hudud yang diperjuangkan parti pembangkang itu cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.
Sebagai contoh katanya, di bawah 'hudud Pas', seseorang beragama Islam yang didapati bersalah mencuri akan dipotong tangan sementara bagi bukan Islam akan hanya dihukum penjara sekiranya didapati bersalah.
"Saya tak boleh sokong itu kerana tak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, ia tidak Islam. Islam tuntut supaya apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.
"Ini tidak adil, adakah orang Islam potong tangan, orang bukan Islam tak potong, masuk dua bulan penjara, itu tidak adil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Isu hudud kembali hangat diperkatakan kebelakangan ini apabila Pas mendakwa akan terus memperjuangkan hukum syariah itu jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak sementara rakan sekutunya, DAP dengan keras berulang kali menolak idea tersebut.
Pas juga mendakwa hudud tidak boleh dilaksana sekalipun Kelantan dan Terengganu telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 kerana tidak dipersetujui Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Selain itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dipetik daripada lidah rasmi parti itu, HarakahDaily pada 1 Oktober 2011 berkata, Pas tidak memaksa orang bukan Islam untuk menerima hudud sama seperti mereka tidak dipaksa memeluk Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun lalu juga dipetik memberi jaminan bahawa hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.
Dalam pada itu Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot ketika dihubungi menjelaskan, hukum syariah termasuk hudud menekankan keadilan ke atas semua pihak dan ia seharusnya terpakai ke atas umat Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara.
"Kafir pun termasuk, kalau hanya untuk Islam, ia sudah lari daripada kehendak hukum ajaran Islam. Maka hudud Islam kalau hendak dilaksanakan perlu ke atas semua pihak," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

‘Tokong’ Guan Eng, Mansor, Ustaz Nasha, Hudud, serabut…

Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman ditemani ‘Tokongnya’, Lim Guan Eng pada sidang akhbar bagi membersihkan nama bosnya itu di Komtar, Jumaat lalu. - Gambar ihsan NST
LIM GUAN ENG berada di sebelah timbalan satunya, Mansor Othman dalam satu sidang akhbar di Komtar beberapa hari selepas raya baru-baru ini.
Guan Eng memerhati Mansor membuat kenyataan bagi membetulkan kata-kata tersasulnya menuduh dia sebagai cocky dan arrogant.
Cocky dalam bahasa mudah Melayu bererti bongkak, angkuh dan arrogant juga membawa erti yang sama.
Perkataan itu dikatakan tersembur daripada mulut Mansor dalam satu mesyuarat PKR Pulau Pinang tidak lama dulu.
Guan Eng cukup marah dengan Mansor apabila kisah itu tersebar. Mansor ‘menggigil’ apabila ditegur oleh Guan Eng. Mansor ini cukup dikenali di kalangan para pengikut PKR sebagai sedikit penakut. Jiwanya bukan jiwa ahli politik. Dia mudah gelabah dan gementar. Itu pasal Guan Eng ambil dia.
Kerana takut kerusinya melayang, sebagai mana yang terjadi ke atas bekas timbalan kuota Melayu yang terdahulu, Fairus Khairuddin, Mansor yang juga bekas pensyarah USM itu terpaksa memperbetulkan kata-katanya. Dia menafikan berkata demikian.
Daripada cocky and arrogant, Mansor memanggil Guan Eng sebagai ‘Tokong’.
Tokong dalam bahasa Melayu yang mudah difahami bererti ‘Maha Tuan Besar’, ‘Maha Agung’ dan macam-macam maha. Senang cakap, apa yang dicakap oleh ‘Tokong’ ini perlu diikuti tanpa bantahan. Kalau tidak berdosa, masuk neraka.
Di sebalik sidang akhbar khas itu ada juga ceritanya. Wartawan yang terpilih memasukinya (kecuali NSTP, TV3 dan Utusan) bercerita kepada rakan-rakan yang tidak terpilih itu. Kononnya, semasa di tengah-tengah soal jawab dengan pemberita, Guan Eng tiba-tiba menggamit Mansor untuk menghentikan sebentar sidang akhbar itu.
Para wartawan tercengang. Kedua-dua mereka kemudian masuk ke sebuah bilik. Tidak tahu apa yang mereka bincangkan. Mungkin Guan Eng mahu Mansor cakapkan sesuatu. Seketika kemudian kedua-duanya pun keluar dan soal jawab bersambung.
Mansor bercakap apa yang Guan Eng mahukan. Guan Eng bukan cocky dan arrogant, tapi sebaliknya Guan Eng adalah ‘Tokong’.
Guan Eng tersenyum puas. Mansor juga terpaksa menggunakan nama Allah dalam sidang akhbar itu untuk mempertahankan bosnya itu.
‘‘Saya berdoa kepada Allah untuk memelihara kami, berikan kami kekuatan bagi meneruskan perjuangan untuk rakyat," katanya Mansor ketika menggulung kenyataan medianya itu.
Mansor, terpaksa akur dengan Guan Eng. Itulah gambaran seorang anak jati Melayu cerdik Pulau Pinang, ADUN Penanti dalam Parlimen Pematang Pauh yang mempunyai Ph.D.
Siapa kata Guan Eng itu angkuh dan bongkak. Dulu dia menggelar dirinya sebagai Khalifah Ar-Rashiddin. Orang Pas pun cukup terpegun dengan gelaran itu.
Kini dia adalah Tokong. Tafsirkanlah sendiri….
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

Nasharudin dapat sokongan

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Selepas menerima sokongan secara terbuka daripada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa terus dipertahankan dan kali ini disuarakan oleh lebih ramai pemimpin Pas di seluruh negara.
Sokongan tersebut dizahirkan kerana Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok dilihat sebagai seorang pemimpin masa depan bagi parti itu dan mempunyai pengalaman luas berdasarkan pembabitannya dari usia muda dalam perjuangan parti.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, sejak berkecimpung di dalam bidang politik, Nasharudin telah memegang pelbagai jawatan penting iaitu daripada Setiausaha Agung Pas sehingga pernah dipilih sebagai Timbalan Presiden Pas dan itu menunjukkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin.
Sehubungan itu beliau berkata, berdasarkan rekod sememangnya kepimpinan serta pengalaman Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok masih diperlukan di dalam Pas.
''Saya sebenarnya yakin pada mesyuarat Ahli Majlis Syura Ulama Pas pada 9 September ini iaitu mereka tidak akan terikut-ikut dengan rentak pihak yang mahu mengetepikan Nasharudin.
''Dengan kata lain tiada keputusan drastik yang akan dibuat. Insya-Allah keputusan yang bakal diambil pada mesyuarat berkenaan lebih memberi manfaat kepada kedudukan Nasharudin dalam Pas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai sokongan terbuka Harun terhadap Nasharudin yang selama ini kurang disenangi golongan 'Anwarinas' di dalam Pas.
Ia merupakan sokongan terbuka pertama yang diterima Nasharudin daripada pucuk pimpinan Pas selepas banyak pihak dalam parti itu termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengambil pendirian seolah-olah Ahli Parlimen Bachok itu sudah tidak penting.
Mahfodz yang juga salah seorang Ahli Majlis Syura Ulama berkata, tidak dinafikan sekiranya keputusan drastik diambil, kemungkinan besar ia boleh memberi kesan negatif kepada parti lebih-lebih lagi dalam usaha Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas negeri Selangor, Muhamad Zin Abdul Rahman berkata, semua pihak termasuk pemimpin parti itu tidak seharusnya menghukum Nasharudin tanpa memberi peluang kepada beliau terlebih dahulu memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama Pas.
"Saya bukannya hendak kata yang saya sokong Ustaz Nasharudin atau tidak tetapi adalah tidak adil untuk kita menghukum beliau hanya berdasarkan apa yang kita lihat melalui media. Beliau juga berhak untuk mempertahankan diri dan menjelaskan apa yang berlaku kepada Majlis Syura Ulama Pas.
"Hanya selepas memberi penjelasan dan mempertahankan tindakannya itu, barulah Majlis Syura Ulama boleh menilai sama ada beliau bersalah atau sebaliknya," katanya
Ketua Dewan Pemuda Pas negeri Terengganu, Mohd. Nor Hamzah pula berkata, Nasharudin sangat relevan kepada perjuangan Pas kerana beliau merupakan anak didik bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan juga pemimpin Pemuda yang menjadi harapan perjuangan Pas.
"Dari segi rekod, Nasharudin memang sangat rapat dengan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, malah beliau telah dibawa masuk dan dididik oleh arwah untuk menjadi pemimpin Pas. Harapan saya, dia sepatutnya boleh diberi ruang lagi kerana kelebihan yang dia ada.
"Masing-masing ada jasa dan setiap insan ada kelemahannya, begitu juga dengan Ustaz Nasharudin, setiap orang ada kelebihannya dan perjuangan Pas terbuka untuk sesiapa sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Zawawi Nik Salleh berkata, beliau bersetuju Nasharudin masih relevan kepada perjuangan Pas dan bekas Timbalan Presiden parti juga telah banyak memberi sumbangan dan buah fikiran.
"Pas tidak akan meminggirkan sesiapa, perkara ini terpulang kepada individu masing-masing yang sanggup berkhidmat,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

Mansor perlu berani lawan Guan Eng - Aminah

BUKIT MERTAJAM 28 Ogos - Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman perlu membuang jauh sifat 'penakut' pada dirinya terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng demi membela nasib orang Melayu di negeri ini.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, Mansor sepatutnya berpendirian tegas dan bukan hanya patuh membuta tuli terhadap segala arahan Guan Eng.
Katanya, sebagai pemimpin tertinggi orang Melayu di negeri ini, Mansor yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang tidak boleh sekadar berdiam diri dan hanya melihat nasib kaumnya terus ditindas.
"Saya cabar Mansor memberanikan diri buka mulut bersuara kepada Guan Eng demi orang Melayu.
"Dia (Mansor) tidak boleh berdiam diri sahaja, jangan jadi penakut," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Aminah ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Pulau Pinang yang dihadiri kira-kira 1,000 orang tetamu di sini.
Hadir sama Pengarah Jasa negeri, Ahmad Lutfi Ibrahim.
Mansor sebelum ini menafikan pernah menggunakan perkataan 'sombong dan angkuh' terhadap Guan Eng.
Bagaimanapun Mansor mengakui menggunakan perkataan 'tokong' sebagai gelaran kepada Guan Eng yang bermaksud 'sanjungan tinggi dan penghormatan rakyat Pulau Pinang kepada Setiausaha Agung DAP itu'.
Aminah memberitahu, dalam parti, Mansor memang dikenali dengan sikap takut untuk berdepan risiko sejak dari dulu lagi.
"Kami kenal siapa dia (Mansor), kami biasa kerja dengan dia (dalam PKR)," ujarnya.
Beliau menambah, dalam situasi sekarang, Mansor berkemungkinan takut untuk bersuara kerana tidak mahu kehilangan jawatan yang disandangnya atau kerusi wakil rakyat pada pilihan raya umum nanti.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

Sambutan bukan untuk parti politik

Dr. Rais Yatim (kiri) memberi kata-kata semangat kepada peserta persembahan padang selepas menyaksikan raptai Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam. - BERNAMA
*****
JUMAAT ini, Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55. Ia adalah acara sambutan negara, yang bermakna sesiapa sahaja boleh menyertainya tanpa dibataskan oleh agama yang dianuti, kaum dan fahaman politik. Bagaimanapun, agak ‘luar biasa’ pada tahun ini, tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, ada pihak yang mempertikaikan tema dan logo kemerdekaan. Pertikaian ini agak pelik dan lucu. Tetapi bagaikan sudah menjadi trend di negara ini, apa sahaja isu yang ada, mahu dicari ruang untuk dipolitikkan. ‘‘Ini sudah masuk kali kelapan tahun saya mengatur program untuk hari merdeka. Saya setuju, tahun ini agak lain. Saya tidak terkejut, pembangkang mahu berkuasa," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, semalam.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, FAUZIAH AROF, NURUL ANUAR KARI dan jurugambar, Mohd. Syazwan Moh Halmi bersama beliau mengenai sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-55 yang acara induknya akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
UTUSAN: Adakah isu tema dan logo Hari Kemerdekaan Ke-55 yang dipolitikkan oleh pembangkang boleh menjejaskan mood rakyat untuk sambutan kali ini?
RAIS: Saya tak fikir ia akan merosakkan mood sambutan. Rakyat sudah matang. Tiap-tiap tahun ada tema dan tentu ada juga yang tidak setuju. Tetapi daripada tinjauan kami, majoriti rakyat menerima tema ‘Janji Ditepati’.
Logo juga begitu, logo pertama itu cuma yang awal dan kemudian ada 12 lagi logo yang digilirkan setiap hari.
Oleh kerana pembangkang menjadikan ini bahan retorik mereka, maka mereka ingat boleh memendapkan semangat orang ramai. Sebenarnya tidak, majoritinya sekarang termasuk golongan pertengahan datang juga, terus sampaikan ucapan.
Saya kira ia tidak menjejaskan sambutan. Jika usaha menjejaskan sambutan Merdeka, itu niat tak baik. Tetapi kalau usaha mahu tambah baik, kita sambut dengan baik.
Bila logo dan tema ‘Janji Ditepati’ mula-mula digunakan, ada pihak tidak berpuas hati, kata tak cantik dan sebagainya. Dahulu tidak pernah berlaku, tapi sejak media sosial bersemarak, masing-masing punya pandangan tersendiri, tak apalah.
Komitmen dan janji ditepati dimaklumkan kepada rakyat, sebab itu kita teruskan juga. Acara Merdeka pada 31 Ogos ini diadakan di dua tempat, 8 pagi di Dataran Merdeka sementara itu pukul 8 malam di Stadium Bukit Jalil.
Ada yang mempertikaikan kenapa logo pada tahun ini tidak dipertandingkan seperti tahun-tahun sebelumnya. Apa penjelasan Datuk Seri?
Lain musim lain cara, takkan tiap-tiap tahun sama. Tahun ini bukan satu logo sahaja, ada banyak. Cuma logo 1Malaysia wujud dalam semua logo itu. Mereka bangkitkan sebab tema ‘Janji Ditepati’ dan logo 1Malaysia yang dirasakan begitu menonjol, hilangkan glamour pembangkang.
Maka, ada kata lagu yang itu yang ini pun tidak boleh dinyanyikan, sedangkan lagu itu dibuat khas sebuah kumpulan yang berdedikasi dalam melodi dan liriknya.
Sebenarnya, mereka tidak bersetuju dengan ‘Janji Ditepati’ kerana dah tersudut (terhimpit), mereka tiada apa nak tawar (kepada rakyat).
Mereka cuma jadi kaki caci, sebesar-besar, sebaik-baik tukang, cuma tukang caci. Dalam keadaan sebegitu, sindrom ini tidak memihak banyak kepada mereka.
Bagaimana dengan pembangkang yang mahu menyambut Hari Kemerdekaan negara secara berasingan, mahu tema dan logo sendiri?
Kalau nak buat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan atau Selangor, terpulanglah kepada mereka sebab dikawal pihak sebelah sana. Jadi kita tidak berkecil hati tapi janganlah pula pecah belahkan masyarakat dengan pembohongan, kita akan tentang dan keluarkan yang benar.
Gara-gara pembangkang yang kali ini mereka ingat sudah mempunyai ‘tenaga’ pula, bagi saya menjawab mudah saja. Kita ini satu Malaysia, hanya satu negara, apa pun pendirian politik, sebaik-baiknya bersatulah untuk merdeka ini.
Tidak salah jika hendak sambut atau laksana aktiviti serta program dengan cara mereka sendiri mahupun nyanyikan lagu berlainan asalkan bersama-sama pupuk semangat merdeka tanpa mengutuk atau mengkritik pihak lain dengan sifat-sifat perkauman.
Jangan perkecil agama orang, jangan berbelah bagi dalam soal kesetiaan kepada raja dan undang-undang, ikut tata susila kita. Semua pihak perlu ikut dan pegang prinsip Rukun Negara, pembangkang atau sebaliknya.
Apa kelainan dalam sambutan Hari Kemerdekaan kali ini?
Penonjolan transformasi kerajaan iaitu semua bidang dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) untuk jelaskan apa itu dikatakan janji ditepati. Rukun Negara, setiap tahun kita mesti tegaskan kerana ia tiang seri kenegaraan kita.
Sama ada perarakan ini akan mencerminkan kekitaan pelbagai kaum di negara ini, ya memang ia akan mencerminkan dengan anggaran sekitar 20,000 hingga 30,000 orang pelbagai kaum akan menggamatkan Dataran Merdeka dan mungkin lebih 80,000 di Stadium Bukit Jalil.
Mulai pukul 8.15 malam pada Hari Merdeka, saya akan mulakan Twit Merdeka yang dijangka menarik lebih satu juta Twit dalam masa setengah jam dan dijangka mencapai rekod Twit tertinggi di negara ini.
Ini khusus untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berinteraksi dengan rakyat terutama sekali untuk mereka Twit rasa cinta kepada negara.
Orang ramai boleh Twit apa saja kepada Perdana Menteri di mana beliau akan menjawab soalan Twit rakyat dalam tiga segmen.
Untuk apa Twit ini? Bagi menunjukkan rakyat mengambil berat akan sambutan kemerdekaan negara kita. Surat mungkin sukar untuk dihantar, gunakan telefon bimbit untuk Twit terutamanya di kalangan golongan muda.
Ada yang kata perhimpunan ‘Janji Bersih’ akan menguasai acara sambutan Hari Kemerdekaan kali ini dengan kumpulan- kumpulan yang memakai baju warna kuning. Apa komen Datuk Seri?
Kuning ke, merah ke, pada hari itu kita tak kisah, semua rakyat boleh hadir, siapa sampai dulu dia dapat.
Kita tidak tetapkan tempat ini untuk orang Barisan Nasional (BN), yang itu atau yang ini. Kalau orang Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendak datang sekalipun, kecil tapak tangan nyiru kita tadahkan tapi jangan buat jahat. Jangan buat tiupan trompet, jangan guna bahasa kesat, datang ke situ sebagai warga yang cintakan perpaduan, apa parti pun.
Kita minta datanglah sama-sama, hendak pakai baju kuning pun pakailah. Dalam perarakan pun ada yang baju kuning. Warna kuning bukan PKR, Pas atau DAP punya, kuning warna kita, boleh pakai bila-bila.
Tengoklah nanti keadaan di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional Bukit Jalil macam mana. Tetapi satu yang benar, ini kali pertama dalam 10 tahun saya pengerusikan jawatankuasa program merdeka, pembangkang gunakan lunas hari kebangsaan dalam arena politik mereka.
Ini menunjukkan mereka benar-benar telah tersudut, tiada isu lain, jadi gunakan ini. Mudah saja, tolong tunjuk komitmen dan hasil faedah mereka dan kita bandingkan yang mana rakyat akan terima
Pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang mendakwa tiada tempat untuk mereka di stadium nanti. Tempat duduk hanya untuk pemimpin BN sahaja. Betulkah?
Tak betul langsung, siapa datang diberi tempat. Acara yang dianjurkan bukan hanya untuk orang BN, sesiapa pun boleh hadir sama. Kalau Kit Siang datang awal, boleh duduk di depan dengan Perdana Menteri sekalipun. Kalau Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim datang pun, kita boleh sediakan tempat duduk khas di stadium.
Memang terbaik jika mereka bertiga datang malam itu, kita bukan nak burukkan atau tengking sesiapa, ini demi masa depan negara kita. Sebelah pagi juga kita sudah jemput mereka bertiga secara rasminya ke Dataran Merdeka, jangan kata kita tidak jemput pula. Kita alu-alukan semua.
Jika negeri-negeri bawah mereka nak buat program sendiri, memang patut buat dan dialu-alukan buat di negeri masing-masing ala negeri dia, tiada salah. Kelantan tahun lepas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat buat doa selamat, bagus sekali.
Kalau tak setuju dengan tajuk kita pun tak apalah, boleh buat tajuk apa pun asalkan merdeka kita berjaya, nak bersama masa depan. Jangan katakan tidak kepada mereka, malahan jawatankuasa saya sudah bantu semua negeri dengan peruntukan RM150,000 untuk sambutan tahun ini. Kita sudah agihkan peruntukan tersebut, terpulang mereka hendak guna ikut cara masing-masing.
Di negara-negara lain, parti pembangkang mereka boleh merayakan Hari Kemerdekaan dengan parti pemerintah tetapi di Malaysia pada kali ini, tidak pula, mereka ingin buat berasingan. Kenapa ini berlaku di negara kecil ini?
Apa yang saya lihat, kini terlalu banyak politiking. Di negara kita, sepanjang masa hendak berpolitik. Ini perlu dikurangkan. Jika Hari Raya apa salahnya kita minum teh bersama-sama, itu pun tak dapat.
Memang sebaik-baiknya sambutan merdeka disambut bersama tapi kalau tidak mahu terpulanglah, hendak buat macam mana ini negara demokrasi. Tapi, harap semua ketua parti politik dapat hadir pada acara sambutan sebelah pagi itu, malam ikutlah dia nak buat macam mana. Tiada masalah asalkan ada satu lunas untuk bersama pada satu ketika.
Banyak cara untuk kita sambut merdeka, tetapi jangan jatuhkan satu sama lain pada hari tersebut atau lemahkan semangat merdeka. Sebelum negara ini merdeka dahulu, tokoh-tokoh kemerdekaan negara juga mempunyai perbezaan pendapat tetapi bila sambut merdeka mereka tetap bersatu, ini negara kita.
Ini tahun kelapan saya aturkan program sambutan Merdeka. Tetapi saya setuju ini agak lain sikit, memang lain tapi tidaklah terkejut bila mereka bertindak begitu.
Ada dalam pemikiran masing-masing, pembangkang ingin nak berkuasa, jadi jangan kecil hati bila berkuasa nanti orang akan buat macam itu juga, macam roda terus berjalan. 
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12 

Kerajaan PKR gagal tepati janji

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Keengganan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk membayar tunggakan subsidi bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada pemilik kediaman yang menggunakan meter pukal di negeri ini merupakan petanda kegagalan mereka untuk menunaikan janji kepada rakyat.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, keputusan kerajaan negeri itu jelas tidak selari dengan janji mereka menerusi manifesto pilihan raya 2008 untuk memberikan air percuma kepada rakyat.
Tambahnya, keputusan tidak membayar sebarang tunggakan subsidi bekalan air tersebut dilihat sebagai putar belit kerajaan negeri serta alasan mereka untuk menutup ketidakupayaan menunaikan janji berkenaan.
"Janji mereka selama ini hanya indah khabar daripada rupa, sepatutnya tiada perbezaan dalam memberikan air percuma sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal, malah majoriti penghuni pangsapuri yang menggunakan meter pukal merupakan rakyat berpendapatan rendah yang patut dibela kebajikan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad memberitahu, Kerajaan PKR Selangor memutuskan tidak akan membayar tunggakan subsidi bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada mana-mana kediaman rakyat yang menggunakan meter air pukal di negeri ini.
Katanya, keputusan tersebut telah dimaklumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mac lalu.
Sebelum ini Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan mendakwa kerajaan negeri berhutang lebih RM300 juta kepada beribu-ribu penduduk di negeri itu kerana gagal menunaikan janji memberikan air percuma secara menyeluruh sejak 2008.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Majlis Belia Selangor, Badrul Hisham Badrudin berkata, isu itu timbul kerana kegagalan perancangan, urus tadbir dan kepincangan kerajaan negeri dalam memberikan air percuma kepada rakyat.
"Bagaimana kerajaan negeri mahu mengambil alih pengurusan Syabas sekiranya isu seperti itu pun mereka gagal menguruskannya dengan baik.
"Golongan berpendapatan rendah yang kebanyakannya tinggal di pangsapuri pasti menerima kesan atas kegagalan kerajaan negeri Selangor itu," ujarnya.
Tambahnya, jika kerajaan negeri ikhlas dalam membela nasib rakyat, mereka sepatutnya mencari langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu tersebut secara menyeluruh.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

29 Ogos 2012

55 Tahun Merdeka!


Janji Ditepati


Kekayaan bagi tujuan mulia

Najib Tun Razak menerima pelukan daripada salah seorang penerima tawaran untuk menunaikan fardu haji pada majlis penyampaian surat tawaran program khas Yayasan 1MDB itu kepada imam dan pengerusi JKKK yang terpilih di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin 
*****
PUTRAJAYA 27 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan surat tawaran menunaikan fardu haji kepada 200 imam dan 200 pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah program khas haji tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama seramai 111 imam dan pengerusi JKKK menerima tajaan itu pada 19 September tahun lalu.
Kesemua jemaah haji berkenaan dijadual berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 September ini dan akan berada di Tanah Suci selama 47 hari.
Najib dalam ucapannya pada majlis penyerahan surat tawaran itu berkata, adalah wajar untuk kerajaan menggunakan sebahagian daripada sumber pendapatan dan kekayaan yang dijana oleh kepimpinan hari ini bagi tujuan mulia.
Perdana Menteri berkata, tidak ada tujuan yang lebih baik, selain daripada kerajaan dapat menghulurkan bantuan kepada para imam dan ketua kampung seluruh negara untuk menunaikan haji.
"Berdasarkan kepada kesan yang saya sendiri saksikan ketika menunaikan haji pada musim lalu, betapa besarnya impak program itu kepada 111 orang imam dan ketua kampung yang terpilih.
"Maka pada musim haji kali ini, saya berniat kalau ada rezeki, kita akan lonjakkan lagi jumlahnya daripada 111 kepada 400 orang lagi untuk dimasukkan dalam program itu," katanya.
Najib berkata, usaha tersebut bertepatan dengan landasan dan prinsip Maqasid Syariah yang diperjuangkan oleh kerajaan sekarang.
Beliau berkata, ini sejajar dengan matlamat supaya agama Islam di negara ini dilihat sempurna dari segi ketinggian, kemuliaan, tauhid, akhlak dan pentadbiran.
"Kalau kita lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini, itulah sebenarnya landasan dan prinsip yang kita pegang dan contohnya, dalam rukun Islam kelima, kita pastikan pentadbiran urusan haji adalah terbaik di dunia kerana kita berpegang kepada prinsip yang saya sebutkan tadi," katanya.
Perdana Menteri turut memuji kemampuan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menguruskan jemaah dari negara ini dengan cemerlang sehingga mampu menjana keuntungan yang baik setiap tahun.
Beliau berkata, keuntungan itu bukan untuk membayar dividen kepada pelabur semata-mata tetapi Tabung Haji telah melakukan tugas melebihi tanggungjawab sepatutnya dengan memberi setiap jemaah haji subsidi hampir RM5,000 seorang.
"Berbanding dengan negara lain, inilah bayaran yang paling rendah melainkan mereka yang pergi secara musafir sehelai sepinggang," katanya.
Menerusi program kali ini, Tabung Haji menyediakan subsidi sebanyak RM2 juta manakala 1MDB pula menyumbang sebanyak RM4 juta.
"Inilah yang dikatakan Islah dalam Islam. Islah adalah roh kepada agenda transformasi negara yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan sekarang.
"Lagi cepat kita lakukan proses transformasi Islah itu, maka lebih berjaya agenda tersebut dan juga lebih besar rahmat dan nikmatnya," ujar beliau.
Beliau turut menyeru jemaah haji yang terpilih dalam program itu agar memanjatkan doa untuk negara, umat Islam serta rakyat Malaysia yang lain semasa mengerjakan haji di Tanah Suci.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

PM umum dividen FGV kepada peneroka

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian dividen interim sebanyak RM400 kepada semua peneroka hasil daripada keuntungan penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) di Bursa Malaysia, dua bulan lalu.
Selain itu, beliau turut mengumumkan keputusan Felda menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada semua peneroka Felda bagi membolehkan mereka memiliki 800 unit saham FGV yang dikhususkan kepada golongan terbabit. - UTUSAN.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

'Paranoia' politik sekeping gambar

Nasharudin Mat Isa melambai tangan kepada jurugambar sebelum meninggalkan perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba dari Jeddah, baru-baru ini. - BERNAMA
*****
NAMPAKNYA, ia menjadi satu 'dosa politik' yang besar apabila seorang pemimpin parti politik duduk bergambar dengan seorang pemimpin yang berbeza aliran politik.
Dosa politik ini pantas menjadi polemik apabila dilanjutkan dengan pelbagai tekanan demi tekanan, mendesak seorang bekas Timbalan Presiden parti 'Islam' menjelaskan apa sebenarnya yang sedang berlaku. Demikianlah bagaimana aura ketaksuban politik boleh menyebabkan manusia menjadi emosional dan tertekan.
Tekanan demi tekanan diberikan kepada Nasharuddin Mat Isa (Ahli Parlimen Bachok) untuk memperjelaskan tindakannya dalam pertemuan para ulama di Mekah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rupa-rupanya dalam fahaman politik Pas, menyertai pertemuan dengan ulama ini menjadi dosa politik yang boleh sahaja membawa kepada kematian awal politik kepada pemimpin tertentu. Ghairah dengan kononnya budaya politik tinggi 'tahaluf siyasi', yang membenarkan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan Islam - Pas 'menjerat' YB Nasha dengan isu ini.
Malangnya, dek kerana tekanan kepada isu ini, banyaklah respons yang sebenarnya menampilkan Pas sebagai parti yang jumud, tidak terbuka kepada perbezaan pandangan dan meletakkan 'batas mutlak' kepada sebarang kerjasama dengan kerajaan. Apakah ini budaya politik yang Islamik dan terkehadapan sifatnya?
Paranoia Pas kepada gambar YB Nasha bersama Perdana Menteri ini boleh dilihat melalui nilaian beberapa tajuk utama portal berita media baru yang ada beberapa hari ini: Malaysiakini (Hanya musuh gembira dengan kenyataan Nasha, Nasha patut berani berdepan dengan Majlis Syura, Nik Aziz: Lebih baik Nasha keluar Pas, Nik Aziz nafi gesa Nasha keluar Pas); Harakahdaily (Pemuda Pas Kelantan minta Nasharuddin lepas MP Bachok), Selangorku (Kecewa tidak bergabung dengan UMNO punca Nasharuddin Minta Pas Keluar PR: Khalid Samad).
Nyata, Pas kurang bersetuju dengan sikap politik berkawan, bersahabat, berdiskusi dan berbincang dengan UMNO. Kalau menurut kepada analisis pimpinan Pas kepada isu YB Nasha ini - bertemu dengan pimpinan UMNO menjadi 'dosa politik'; namun berkawan dengan DAP akan menjadi 'pahala berpanjangan' yang boleh menzahirkan matlamat Pas untuk ke Putrajaya.
Inilah ideal politik yang cuba dibawa oleh Pas ke penjuru-penjuru kampung bagi menerangkan hubungan luar biasa akrab antara parti Islam dan gerakan politik sosialis DAP tersebut.
Yang mungkin memerangkap Pas adalah apabila Nasharuddin secara jelas menyatakan bahawa perbincangan yang dilakukan di Mekah adalah berkenaan isu-isu yang jauh lebih besar daripada isu Pas-UMNO. Isu Syria. Isu Rohingya. Apakah menjadi 'dosa politik' untuk isu yang bersifat umatik ini diperbincangkan antara pimpinan pelbagai parti?
Antara Ta'aruf dan Tahaluf
Mungkin sebelum Pas beria-ia mempertahan konsep 'tahaluf siyasi', parti itu perlu mendalami satu lagi amalan baik dan positif, iaitu - ta'aruf. Ta'aruf dalam Islam bermaksud berkenal-kenalan antara satu sama lain. Kelompok manusia yang tidak menghayati konsep asas ta'aruf ini umpama haiwan liar yang sentiasa bermusuhan dan tidak mengenal erti perkenalan dan persahabatan.
Dalam Islam, ta'aruf adalah ibadah. Orang yang mengamalkan ta'aruf dilihat mematuhi tuntutan syara'.
Apakah tidak wujud langsung di bawah radar politik Pas untuk mendahulukan konsep ta'aruf yang lebih positif dan akrab antara parti politik yang menjaga kepentingan Islam dan bangsa? Apakah tidak ada langsung ruang untuk mendahulukan 'taa'ruf' berbanding tahaluf?
Justeru, di mana letaknya semangat ukhuwah dan kerjasama erat sesama Islam yang boleh dizahirkan dengan hubungan yang lebih positif antara Pas dan UMNO.
Sejujurnya, ramai masyarakat Islam di luar sana, yang mahu menyaksikan takat interaksi Pas-UMNO yang lebih luas dan positif. Tidak ada maknanya kita berpolitik dengan kaedah 'zero-sum game' sekiranya ia tidak mendatangkan sebarang impak positif kepada perkembangan syiar Islam dan ekonomi umat dalam erti kata yang sebenarnya.
Sikap politik yang meminggir pandangan politik sederhana dan mendahulukan kepentingan 'ta'aruf' ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada umat. Jurang interaksi politik Pas-UMNO inilah yang mengecewakan kalangan rakyat yang mahu melihat semangat politik yang lebih positif dan tidak bersifat menghukum.
Ya, mungkin sahaja Pas dan UMNO berbeza pandangan dalam isu dasar dan polisi; namun ia tidak sama sekali perlu jatuh kepada tahap saling membenci.
Nasharuddin sebenarnya membawa imej politik sederhana yang sangat menyenangkan banyak pihak. Berbeza bahtera politik tidak semestinya membuatkan beliau tidak perlu memberikan sebarang sumbangan kepada isu yang lebih besar dan umatik sifatnya. Ini adalah pendirian politik yang sangat afdal - berbanding dengan faham politik yang membudaya semangat kebencian.
Pas perlu berfikir banyak kali sebelum mengambil tindakan yang terlalu mendadak kepada kalangan ahli yang mengambil pendekatan politik yang sederhana seperti ini.
Parti tersebut akan kelihatan seperti parti yang regresif dan tidak membenarkan perbezaan pandangan jika tindakan diambil kepada suara-suara wasatiyyah yang ada di dalam parti tersebut.
Hukuman Politik?
"Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, Pas Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta."
Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.
Apakah Presiden Pas akan mengeluarkan tindakan sama kepada Nasharuddin kali ini? Biarlah Pas yang membuat keputusan. Namun, secara umum, jika tindakan sama diambil, imej Pas akan terjun dengan teruk kerana tidak sama sekali menggambarkan jiwa besar dalam menerima perbezaan pandangan. Adab al-ikhtilaf (adab berbeza pandangan) dalam Pas akan dengan sendirinya diragui oleh banyak pihak.
PENULIS ialah pemerhati sosio politik.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

Rahsia Pas dan DAP masih satu selimut, tapi igau lain-lain

PAS masih degil untuk bertahan dengan DAP walaupun DAP khususnya Karpal Singh menghina Pas mengenai negara Islam dan hukuman hudud. Kalau isunya adalah prinsip dan kebenaran sudah lama sepatutnya Pas keluar dari pakatan pembangkang.
Tetapi Pas lebih mementingkan kerusi dan kuasa menyebabkan penghinaan itu boleh diserap dalam strategi tahhaluf siasinya.
DAP tidak ada pilihan lain. Dari segi strategi politik ia perlukan sokongan pengundi Cina. Menyokong negara Islam dan hudud Pas adalah bencana bagi DAP.
Dengan ghairahnya Pas bersama DAP walaupun dihina dan ditempelak kerana tanpa undi Cina, Pas tidak boleh memenangi banyak kerusi.
Bagi DAP dengan Pas bersama pakatan, undi orang Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh pecah. Dengan bantuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mereka harap mengambil alih kuasa.
Kalaulah mereka menang, hatta dengan majoriti mudah (minta dijauhkan Tuhan) akan timbul isu-isu dasar dalam pemerintahan. Pemimpin Pas terutamanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kata perjuangan negara Islam dan hudud akan diteruskan.
Bagaimana ia hendak diteruskan sekiranya meneruskan hasrat itu terpaksa melangkah mayat Karpal Singh dulu.
Dalam bahasa mudah selagi Karpal Singh hidup tidak mungkin usaha Pas boleh berjaya. Pas hanya berangan-angan.
Buku Jingga sebagai manifesto pakatan pembangkang tidak langsung menyatakan negara Islam atau pun hudud. Kalau begitu manifesto apa yang ingin dicanangkan oleh Pas untuk memenangi kerusi majoriti?
Negara Berkebajikan belum tentu mendukung negara Islam. Lagi pun Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah memaklumkan dalam Muktamar Pas, negara Islam tidak ada dalam al-Quran. Kalau begitu setelah sekian lama Pas memperjuangkan negara Islam dari sumber mana?
Pas dan PKR menginginkan Putrajaya. DAP nampaknya tidak seghairah itu. DAP punya strategi sendiri. Kekalkan Pulau Pinang, dapatkan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan memadai untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti kuasai Sabah dan Sarawak. Lengkaplah strategi untuk menguasai Malaysia. DAP dengan sokongan pihak-pihak lain tentu mampu untuk mentadbir.
Negeri-negeri yang disebutkan tadi adalah negeri yang mempunyai sumber ekonomi yang tinggi. Dengan upaya penglibatan pendukung-pendukung DAP dalam bisnes, binaan rumah kediaman, peluasan industri, memajukan pelancongan ekuiti atau pegangan mereka akan terus meningkat. Ia bakal meninggalkan Pas dan PKR terkulat-kulat memerhati.
Hendak keluar dari Pakatan, Pas malu. Dengan krisis imej dalam PKR antara kem Wan Azizah dengan kem Azmin Ali dan kes Anwar Ibrahim mengenai liwat belum selesai lagi, ia meletakkan DAP lebih dominan.
Pemimpin Pas sekian lama tahu integriti Anwar. Tak mungkin lujnah penyelidikan Pas tidak melakukan apa-apa kajian. Tetapi mengapa harapkan dia jadi Perdana Menteri Malaysia. Karpal Singh juga dalam Parlimen pernah menyebut Anwar ialah 'peliwat' tetapi mengapa DAP juga mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Inilah kong-kalikung politik yang penuh muslihat, mementingkan kerusi dan kuasa lebih daripada kebenaran dan integriti.
Bagi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bergantung kepada kes Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Untuk Pas mencadangkan Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri kalau terjadi apa-apa pada Anwar tentu DAP tidak akan membiarkan.
Apakah ini petanda impian Karpal Singh untuk menjadikan pemimpin DAP sebagai Perdana Menteri akan terkabul.
Maka, pilihan yang ada bagi Pas adalah bekerjasama dengan UMNO untuk menguatkan kembali barisan umat Melayu. Pas semacam berkerat rotan berpatah arang dengan UMNO. Mahukah ludah dijilat kembali.
Kalau begitu bagaimana mencari kecerdikan bagi umat Melayu lantaran kemungkinannya nanti adalah menang sorak kampung tergadai.
Penulis yakin dengan analisis yang diberi BN boleh memenangi pilihan raya umum nanti. Malah, kalau strategi memenangi kerusi dibuat dengan bijak dan bersungguh-sungguh dengan menampilkan calon boleh menang yang berwibawa dan calon yang telah menang dan berjasa, penulis amat yakin bahawa pembangkang bakal tersungkur.
Kecuali Pas mengubah pendirian untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan umat Melayu. Ia tidak mustahil sekiranya orang Pas berjiwa besar kembali dan mampu membaca senario politik yang ada.
Jangan jadikan rasa dendam kesumat dan kebencian sebagai penghalang terhadap kerjasama ini. Isu-isu UMNO memperjuangkan Melayu dikatakan asabiah kaumiyyah, isu faham kebangsaan sebagai rasis, isu UMNO tolak Islam adalah retorik politik emosional tanpa asas ilmiah dan kontang pemahaman tentang sejarah dan budaya bangsa Melayu.
Sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan. Masanya masih belum terlewat.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12

Kenapa Anwar tolak hudud?

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pas dinasihatkan tidak berharap kepada komitmen Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan pada masa depan.
Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan (gambar) berkata, berdasarkan kenyataan Anwar selama ini, beliau secara jelas menyatakan hukum syariah itu tiada dalam dasar bersama pakatan pembangkang atau dokumen Buku Jingga yang menggariskan agenda pakatan pembangkang.
Sehubungan itu, kata Nallakaruppan, beliau berasa kasihan terhadap para pemimpin Pas yang beria-ia mahu memperjuangkan hukum hudud sedangkan Anwar tidak bersedia melaksanakannya dan DAP pula secara konsisten serta keras menentang agenda tersebut.
"Saya menghormati para pemimpin spiritual Pas yang tegas memperjuangkan hukum hudud kerana mereka ikhlas dan komited terhadap usaha itu, tetapi selagi berada dalam pakatan pembangkang, hudud dilihat amat sukar dilaksanakan.
"Di samping itu, Pas tidak boleh berharap kepada Anwar kerana Anwar sendiri takut terhadap hukum hudud apabila beliau selama ini terlibat dalam pelbagai isu moral," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar selama lebih 30 tahun mengulas mengenai pendirian Anwar selaku Ketua Pembangkang yang tidak jelas mengenai hudud ekoran perbalahan berterusan Pas dan DAP dalam aspirasi pelaksanaan hukum itu.
Pada sidang akhbar 28 September 2011, Anwar menjelaskan hudud bukan merupakan sebahagian agenda pembangkang buat masa ini tetapi pada masa sama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003.
Dalam satu kenyataan menerusi blog beliau kelmarin pula, Anwar sekadar menegaskan pakatan pembangkang mengiktiraf, menghormati perbezaan pandangan serta kedudukan komponen pembangkang berkenaan hukum hudud dan mendakwa ia merupakan penerimaan mereka terhadap amalan konsensus politik.
Sementara itu, Nallakaruppan memberitahu, Pas dan rakyat tidak harus terpedaya dengan tindak-tanduk serta kenyataan bercelaru Anwar dalam isu hudud kerana Ketua Pembangkang tersebut mempunyai keupayaan mengelirukan masyarakat.
"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam blog beliau beberapa hari lalu mengakui terpedaya dengan imej Islamik Anwar yang warak dan menasihatkan semua rakyat terutama penyokong pembangkang tidak ikut tertipu.
"Seperti yang kita tahu, Anwar hanya bercita-cita menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun dan mengimpikan untuk menguasai Putrajaya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

Nasharudin masih relevan - Harun

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Hayat politik Nasharudin Mat Isa yang sebelum ini kelam selepas ditekan hebat golongan 'Anwarinas' kini sedikit 'bercahaya' apabila Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan bekas Timbalan Presiden Pas itu masih relevan.
Ia merupakan sokongan terbuka pertama yang diterima Nasharudin daripada pucuk pimpinan Pas selepas banyak pihak dalam parti itu termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengambil pendirian seolah-olah Ahli Parlimen Bachok tersebut sudah tidak penting.
"Saya sudah cakap dari dulu lagi, Nasharudin masih relevan. Beliau bekas Timbalan Presiden dan meskipun tidak terpilih pada muktamar lalu, Nasharudin masih mampu menyumbang kepada perjuangan Pas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai nasib yang bakal menimpa Nasharudin selepas Abdul Hadi menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk memutuskan tindakan terhadap bekas Timbalannya itu ekoran kenyataan mendesak Pas keluar daripada pakatan pembangkang.
Abdul Hadi sebelum ini menyifatkan Nasharudin sebagai pemimpin yang sudah ditolak akar umbi dan beliau tidak kisah jika UMNO mahu menggunakan khidmat Ahli Parlimen Bachok itu dan ia sekali gus memberi gambaran hayat politik pemimpin itu dalam Pas mungkin tidak berpanjangan.
Mengenai beberapa kenyataan Nasharudin yang tidak disenangi golongan 'Anwarinas', Harun berkata, jika bekas Timbalan Presiden Pas itu tidak berpuas hati dalam beberapa perkara ia perlu dinyatakan melalui saluran betul dan bukan dibuat secara terbuka di media.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azmi Musa turut mengakui Nasharudin masih relevan kepada perjuangan parti walaupun beliau dilihat mengambil pendekatan menongkah arus dalam mempertahan maruah Pas.
"Beliau ialah bekas Timbalan Presiden, sudah tentu masih relevan. Mungkin ramai yang tidak senang dengan tindakan beliau kebelakangan ini yang dilihat cukup lantang, tetapi untuk menidakkan sumbangan yang boleh dimainkan Nasharudin adalah tidak wajar.
"Apa pun keputusan pucuk pimpinan kami akan taat, tetapi saya mewakili pemimpin akar umbi berharap beliau diadili dengan sebaik-baiknya oleh Majlis Syura Ulama dan beliau harus diberi peluang untuk memberi penjelasan mengenai tindakan beliau," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12

Pembangkang tidak pernah peduli untuk tunai janji

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pembangkang akan terus menabur janji menggunung demi meraih sokongan rakyat meskipun 85 peratus janji-janji terdahulu masih belum ditunaikan.
Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, perkara itu bukan sesuatu yang pelik kerana sudah menjadi budaya pembangkang berbohong dan menabur janji kepada rakyat tanpa rasa bersalah.
"Saya yakin janji yang tidak tertunai sebelum ini akan dilaungkan semula pada pilihan raya umum akan datang, selain menabur janji baru yang tidak munasabah. Pakatan pembangkang tidak peduli untuk menunaikan janji dan tidak takut berbohong kepada rakyat.
"Mereka tidak rasa bersalah berbohong kepada rakyat, menabur janji secara lisan atau bertulis dan mengingkari janji-janji itu kerana budaya berbohong sudah menjadi amalan mereka sejak sekian lama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan pakatan pembangkang gagal menunaikan lebih 85 peratus janji kepada rakyat yang ditabur mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12.
Berdasarkan kajian, kerajaan negeri di bawah kepimpinan pakatan pembangkang hanya berjaya menunaikan tidak lebih 15 peratus daripada keseluruhan janji yang dibuat.
Muhammad Zahid berkata, rakyat yang berfikiran waras diyakini akan membuat keputusan bijak menolak kepimpinan pakatan pembangkang yang tidak menepati janji.
Katanya, disebabkan itu juga, pembangkang berasa malu dengan tema Hari Kebangsaan iaitu '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' kerana ia tidak menggambarkan apa yang dilakukan mereka selama ini.
"Pembangkang cukup takut slogan ini kerana mereka tidak mampu menunaikan janji. Misalnya, Pas di Kelantan biarpun selepas 22 tahun memerintah, masih belum mampu melaksanakan hukum hudud.
"Ketika pakatan pembangkang terkial-kial dalam memenuhi janji-janji mereka, Barisan Nasional (BN) sebaliknya berjaya memenuhi janji-janji kepada rakyat. Inilah perkara yang paling menggusarkan mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

Mat Sabu guna 'politik kotor' pancing undi

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz mendakwa Mohamad Sabu (gambar) terpaksa menggunakan 'politik kotor' dengan memfitnah orang yang telah meninggal dunia demi mendapatkan semula kepercayaan dalam kalangan ahli Pas ketika parti berkenaan tertekan dalam isu hudud.
Menurut beliau, Timbalan Presiden Pas itu tidak berani memfitnah orang yang masih hidup kerana bimbang dikecam teruk dan kerana itu, beliau telah bertindak mencemarkan nama bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba.
"Beliau harus ingat, rakyat tidak bodoh untuk mempercayai apa yang beliau katakan. Jangan kuat sangat main politik kotor.
"Cukup-cukuplah, jangan sampai libatkan negarawan dalam permainan politiknya yang tidak pernah bersih itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Aziz mengulas kenyataan Mohamad atau Mat Sabu yang mendakwa Tun Ghafar akan menyertai Pas sekiranya Allahyarham masih hidup sama seperti yang dilakukan oleh anak Allahyarham, Tamrin.
Dakwaan itu dikeluarkan oleh Mat Sabu ketika beliau berceramah di Bukit Katil, Melaka, baru-baru ini.
Menurut Mohamad, beliau percaya dakwaan Mat Sabu itu adalah fitnah dan menasihatkan pemimpin tertinggi Pas berkenaan tidak sewenang-wenangnya menyamakan Tun Ghafar dengan Tamrin.
"Tamrin tidak ada asas perjuangan seperti bapanya. Tun Ghafar merupakan seorang pejuang yang gigih dan tulen dalam UMNO, malah kita semua kenal siapa bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Beliau telah sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan dengan para pemimpin UMNO terdahulu.
"Tun Ghafar juga amat sayangkan UMNO, tidak mungkin Allahyarham akan berkata seperti itu atau melakukan perkara sedemikian. Saya masih ingat ketika hayatnya, Tun Ghafar sering menasihatkan saya supaya menjaga UMNO dengan sebaik mungkin," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

28 Ogos 2012

Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) , Tan Sri Dr Robaayah Zambahari (tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011 di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
Aug 28, 2012 3:10 pm

Hari Kemerdekaan Ke-55

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian membawa Jalur Gemilang melintasi pentas utama dengan penuh semangat pada raptai sempena perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Aug 28, 2012 2:16 pm

100,000 banjiri Rumah Terbuka Najib

Najib Tun Razak beramah mesra dengan rakyat yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Pekan, Pahang, semalam.
*****
PEKAN 26 Ogos - Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini penuh dengan semangat 1Malaysia dan luar biasa apabila dihadiri lebih 100,000 rakyat daripada pelbagai kaum.
Rumah terbuka yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir 2 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum saling beramah mesra, selain menikmati pelbagai juadah di lebih 200 gerai yang disediakan.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhammad.
Rumah terbuka itu menyaksikan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama pemimpin kerajaan negeri dan UMNO Bahagian Pekan turun padang untuk beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.
Sambutan ‘luar biasa’ masyarakat termasuk dari luar Pahang itu menyaksikan orang ramai berpusu-pusu sejak pukul 9 pagi lagi untuk bertemu dengan pemimpin yang mereka sayangi itu walaupun majlis hanya dijadualkan bermula 10 pagi.
Malah sehingga pukul 2 petang, orang ramai masih terus memenuhi pekarangan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, lokasi penganjuran rumah terbuka itu.
Keseluruhannya, lebih 160 usahawan tempatan terlibat menyediakan beberapa juadah istimewa seperti opor, laksa Pahang dan tidak terkecuali puding raja serta ikan patin masak tempoyak yang menjadi tumpuan orang ramai pada majlis itu.
Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Awie Wings, Syed Sobri, DJ Dave, Hattan, Noraniza Idris dan Nasir Wahab manakala Linda Onn, Sharifah Shahira dan Lan Pet Pet bertindak sebagai pengacara majlis.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri bersama isteri turut menyampaikan sumbangan kepada 240 bakal jemaah haji dan memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Dalam pada itu, Najib ketika berucap merakamkan terima kasih kepada semua pengunjung yang datang dari dekat dan jauh termasuk sejauh Tawau, Sabah ke rumah terbuka itu.
“Sebagai umat Islam kita telah menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan dengan niat untuk mendapatkan rahmat dari Allah dan jika kita telah tunaikan kewajipan kita dengan baik, maka Allah janjikan pahala dan fadilat yangg cukup besar bagi kita," katanya.
Menurut beliau, jika puasa merupakan ikatan kepada Allah, maka dalam bulan Syawal ini digalakkan untuk semua umat Islam menguatkan silaturahim, saling menghormati dan bermaafan.
“Inilah istimewanya ajaran Islam. Sebagai khalifah di bumi ini kita perlu kuatkan silaturahim dan ukhuwah sesama kita barulah dapat jalankan peranan kita sebagai khalifah," katanya.
Najib dalam ucapannya juga menyifatkan rumah terbuka sepanjang Syawal yang diamalkan umat Islam di negara ini sebagai cukup istimewa.
“Sebulan berpuasa, sebulan juga kita berhari raya. Rumah terbuka tak putus-putus sepanjang bulan Syawal. Ini satu keunikan di Malaysia dan yang untung selain peniaga adalah kita sendiri kerana dapat mengeratkan ukhuwah," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12 

Kekayaan negara wajar digunakan bantu imam dan pengerusi JKKK tunai haji - Najib

PUTRAJAYA 27 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebahagian kekayaan dan pendapatan negara sewajarnya digunakan untuk membantu imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunaikan haji kerana mereka memainkan peranan penting dalam urusan agama dan kemasyarakatan.
Perdana Menteri berkata, masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada kedua-dua kumpulan itu yang gigih melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
Katanya, semasa Program Khas Haji dilancarkan tahun lepas, beliau mendapati keadaan menyayat hati apabila ada antara imam dan pengerusi JKKK mempunyai simpanan Tabung Haji yang amat terbatas.
"Ini menyedarkan saya, kalau kita dapat mencari rezeki melalui kepimpinan dan pentadbiran untuk menjana kekayaan dan pendapatan, maka amat wajar sebahagian daripada itu kita digunakan untuk tujuan yang sangat baik dan mulia ini.
"Pada hemat saya...lebih baik kalau kita dapat menghulurkan bantuan agar imam-imam dan ketua-ketua kampung kita dapat menyempurnakan keperluan untuk menunaikan ibadah haji masing-masing," katanya pada majlis penyerahan 400 surat tawaran untuk menunaikan fardu haji di Seri Perdana di sini hari ini.
Bakal jemaah haji turut menerima satu set kain ihram dan barangan kelengkapan haji yang lain. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12 

Jangan mudah berubah - PM

Najib Tun Razak melayani kanak-kanak mengambil ais krim ketika beramah-mesra serta melayani pengunjung Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Parlimen Pekan di Pekan, Pahang, semalam. Dianggarkan lebih 100,000 orang menghadiri majlis itu dengan sajian pelbagai juadah antaranya lemang, ketupat, rendang, sate, nasi minyak dan aneka mi. 
*****
PEKAN 26 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.
Perdana Menteri berkata, bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik dan rakyat tidak harus meletakkan kepercayaan kepada pihak yang menonjolkan diri mereka sebagai pilihan alternatif yang lebih baik.
Sebaliknya menurut Najib, mengekalkan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) yang selama 55 tahun terbukti memimpin negara dengan membawa begitu banyak kemajuan adalah tindakan yang terbaik bagi memastikan untung nasib rakyat terus terbela.
"Kita tidak boleh menukar kerajaan semata-mata kita berasakan sudah sampai masanya kita buat perubahan kerana kita bukan nak perubahan tetapi hendak sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.
"Dan kalau kita berubah tak semestinya perubahan itu mengundang sesuatu lebih baik. Kita tahu bahawa ada perubahan yang mengundang kepada sesuatu yang kita tidak jangka, malah menjadi lebih buruk daripada apa yang kita kecapi hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.
Najib menegaskan, rakyat mesti sedar bahawa bukan semua janji manis perubahan oleh pembangkang dapat ditunaikan.
Kata beliau, rakyat sebaliknya perlu berpegang kepada kerajaan hari ini yang diketahui mampu membawa keadaan yang lebih baik lagi pada masa depan.
"Kita jangan termakan hasutan atau janji manis pembangkang kerana kita sudah tahu empat negeri di bawah pentadbiran mereka menyaksikan banyak kekecewaan apabila banyak janji pilihan raya tinggal janji semata-mata.
"Oleh itu, marilah kita menguatkan lagi semangat untuk terus berjuang atas prinsip dan landasan yang telah terbukti membawa perubahan dan kejayaan bermakna kepada rakyat," jelasnya.
Dalam ucapan tersebut, Perdana Menteri turut mengajak rakyat supaya sedar bahawa tidak ada kerajaan di dunia ini yang mampu mengamalkan dasar bantuan demi bantuan tanpa menjana kekayaan baru.
Katanya, mana-mana negara yang cuma memberi bantuan tanpa memikirkan cara menjana kekayaan baru, maka ekonomi mereka akan merudum dan menghadapi banyak masalah.
"Negara Eropah yang gagal jana kekayaan baru turut menyebabkan negara maju menghadapi krisis ekonomi yang cukup berat hingga kadar pengangguran mereka berada pada 45 peratus seperti Sepanyol yang handal bermain bola sepak tetapi tidak dalam menguruskan ekonomi.
"Akhirnya rakyat akan menderita. Ini semua pengajaran kepada kita. Kalau sudah ada sesuatu yang terjamin dan terbukti maka eloklah dikekalkan kerana kita tahu boleh bergantung harap untuk memperjuangkan untung nasib rakyat," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12