25 Oktober 2012

9,630 kanak-kanak tadika khatam al-Quran

Sebahagian kanak-kanak tadika seluruh negeri Terengganu mengkhatam al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, semalam. 
*****
KUALA TERENGGANU 23 Okt. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru ibu bapa agar tidak menyerahkan tanggungjawab kepada guru semata-mata bagi mengasuh dan mendidik anak-anak mereka dalam usaha menjadi generasi al-Quran.
Titah baginda, mereka mestilah bersama menanganinya dengan penuh tanggungjawab ke arah pembentukan peribadi dan kehidupan mulia dengan merangsang minda anak-anak melalui aktiviti yang telah dimulakan oleh para guru.
"Asas yang telah disemai oleh guru-guru perlu dipupuk dan disuburkan lagi oleh ibu bapa agar kanak-kanak ini terus mekar membudaya tradisi membaca al-Quran dalam kehidupan mereka," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan pada Majlis Khatam Program Pintar al-Quran 2012 Kanak-kanak Tadika Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dekat sini hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda pada majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Md. Kamarul Al-Amin Ismail.

Meraikan kejayaan!

TIGER Woods meraikan kejayaan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencatat pukulan birdie di par 3 pada perlawanan Pro-Am Kejohanan Golf CIMB Classic di The Mines Resort & Golf Club, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin - Oct 24, 2012 3:34 pm

Tolak pemimpin mungkir janji - Dr. M

DR. MAHATHIR Mohamad menerima cederamata daripada Pengarah Institut Falsafah Oriental (IOP), Dr. Yoichi Kawada sambil disaksikan Pemangku Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor dalam majlis Simposium Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan Kelestarian di UM, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA 
*****
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa rakyat supaya membuka mata dan menolak untuk memilih pemimpin yang mungkir kepada janji.
Merujuk kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang walaupun pernah berjanji untuk berundur sebelum ini, katanya, pemimpin seperti itu akan membawa masalah jika dipilih memimpin negara.
"Saya fikir rakyat perlu ambil perhatian kepada orang (pemimpin) yang buat janji secara terbuka dan selepas itu mungkir janji. Orang yang mungkir janji tak harus dipilih untuk menjadi pemimpin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama sempena Simposium Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan Kelestarian di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Beliau memberi reaksi terhadap kenyataan Nik Abdul Aziz yang membayangkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang kerana ia disyorkan oleh parti.
Pada Ahad lalu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, hasrat Nik Abdul Aziz untuk terus bertanding dalam pilihan raya umum nanti membuktikan pemimpin tersebut seorang yang 'tidak sedar diri'.
Ketika menegaskan perkara itu, Ibrahim berkata, "Semasa Pilihan Raya Ke-10 pada 1999, Nik Abdul Aziz pernah mencabar Dr. Mahathir meletak jawatan kerana mendakwa beliau sudah tua, nyanyuk dan sentiasa uzur. Selepas itu beliau akan letak jawatan.
"Tetapi sudah lebih sembilan tahun Dr. Mahathir meletakkan jawatan, Nik Abdul Aziz sehingga kini belum berbuat demikian walaupun sudah tua dan nyanyuk seperti pernah dikatakan kepada bekas Perdana Menteri itu dahulu."
Nik Abdul Aziz yang kini berusia 81 tahun, sudah 44 tahun berkecimpung dalam arena politik. Beliau yang menyertai Pas pada 1960 sebagai ahli biasa, pernah menjadi Ahli Parlimen Hilir Kelantan pada 1967 dan menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990.
Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang mungkir janji diyakini akan sentiasa 'mengkhianati' janji-janjinya sepanjang masa.
"Kalau orang macam ini pimpin negara, dia akan mungkir janji sepanjang masa,'' tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin politik khususnya pembangkang yang menggunakan hukum hudud sebagai isu politik untuk meraih undi rakyat.
"Hukum Hudud yang digunakan untuk politik sebenarnya bukan hudud. Perkara itu hanya satu isu politik untuk memberi kemenangan satu pihak. Saya amat dukacita hukum hudud diguna untuk kepentingan parti tertentu tetapi bukan untuk kepentingan Islam. Kita harus berpegang kepada keadilan dalam melaksanakan hukum itu.
"Saya tak setuju hudud jadi isu politik semata-mata nak tunjuk kononnya mereka pegang kuat kepada Islam dan siapa yang menolaknya, tak pegang kuat dengan Islam. Sebenarnya mereka yang guna hudud (untuk tujuan politik) adalah orang yang tak hormati segala ajaran Islam," katanya.
Kepada soalan berhubung pendirian MCA terhadap Islam, ujarnya, sejak dahulu MCA tidak pernah membantah ketika kerajaan mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam dan mengamalkan nilai-nilai Islam.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular, Dr. Mahathir berkata: "Kita (Malaysia) adalah negara Islam. Semua negara Islam mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam."

Pegang prinsip Perlembagaan

Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama pengetua yang menerima watikah pengetua cemerlang selepas majlis penutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan 2012 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak perlu berpegang pada prinsip Perlembagaan Persekutuan sedia ada tanpa perlu memberikan definisi semula sama ada negara ini sekular atau pun sebaliknya.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, di bawah prinsip itu sudah jelas Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi kaum lain boleh mengamalkan agama masing-masing.
''Saya rasa biar dikekalkan status itu, tidak perlu mendefinisikan semula kerana kita sudah melalui proses ini sejak 55 tahun merdeka.
''Apa perlu kita berdebat soal sama ada negara ini sekular atau negara Islam kerana yang menjadi tunjang adalah Perlembagaan negara,'' katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang dan menyampaikan watikah pelantikan pengetua cemerlang 2012, di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular malah, perkataan itu langsung tidak disebut pada mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan Islam adalah agama bagi Persekutuan dan perkara itu diperkukuhkan dengan peruntukan lain, selain kedudukan Malaysia berbeza dengan negara sekular Amerika Syarikat, India dan Turki yang secara jelas memperuntukkan elemen sekular di dalam Perlembagaan mereka.
Muhyiddin menjelaskan, terpulang kepada tafsiran masing-masing mengikut kefahaman mereka untuk melabelkan negara ini sekular atau tidak supaya tidak timbul satu polemik yang langsung tidak memberikan apa- apa faedah.
Menurut beliau, hal ini demikian kerana Malaysia sudah 55 tahun merdeka dan keadaan negara kekal aman sejahtera tanpa pergaduhan serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.
''Walau apa pun definisi, terserah kepada rakyat, ada orang lihat dari sudut Perlembagaan, ada yang lihat dari sudut kumpulan etnik atau agama kerana di Malaysia ada pelbagai kaum, jadi masing-masing mentafsir sendiri. Bagi saya tidak mengapa apa pun tafsiran mereka, yang paling utama adalah yang termaktub dalam Perlembagaan.
''Apa yang penting semua orang sudah terima Perlembagaan itu dan mereka hidup dalam keadaan baik, jadi apa perlu kita berdebat kerana saya tidak nampak apa faedah kecuali ada pihak mahu mengggunakan isu itu sebagai modal politik mereka,'' katanya.

Pas semakin faham realiti politik

Abdul Hadi Awang berucap dalam majlis Ceramah Perdana Sempena 22 Tahun Membangun Bersama Islam di Kota Bharu, baru-baru ini. 
*****
''Ada orang yang membaca ayat mengharamkan kerjasama dengan orang kafir dan orang bukan Islam pada tahun 60-an, mengapa sekarang boleh pula, ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca amalan Nabi SAW."
Itulah hujah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan kerjasama dengan DAP ketika menyampaikan ceramah sempena 22 tahun pemerintahan Pas di Kelantan, pada Ahad lalu.
Kita tidak pasti siapa yang dimaksudkan dengan Abdul Hadi apabila beliau berkata, ''ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca amalan Nabi SAW.''
Tetapi apa yang pasti perjalanan politik Pas dalam soal bekerjasama dengan parti bukan Islam sememangnya diketahui oleh umat Islam di negara ini.
Pada Ogos 1963 Dewan Ulama Pas Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa orang Islam yang berkongsi dengan orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram.
Selain itu seperti mana pernah dipaparkan oleh penulis sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pas suatu ketika dulu cukup popular membaca surah Ali Imran ayat 28 'separuh-separuh'.
Mereka membaca: "Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun....''
Sambungan ayat itu, ''...kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.''. - tidak dibaca.
Tetapi tidak mengapalah mungkin pemimpin-pemimpin Pas kini semakin memahami betapa pentingnya kerjasama dengan parti bukan Islam. Mereka sudah faham sekarang realiti politik Malaysia.
Oleh itu bagi membolehkan kesepakatan yang dicapai bersama DAP maka Abdul Hadi menganggap mereka tidak faham hubungan yang dipanggil 'tahaluf siasi' itu sebagai ''...ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca amalam Nabi SAW seluruhnya...''
Sikap Pas mempertahankan kerjasama dengan DAP sememangnya mengagumkan kerana pemimpin DAP secara terbuka menentang pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas.
Sebab itulah pada majlis ceramah yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui wujud perbezaan antara parti itu dengan Pas dalam pakatan pembangkang antara lain membabitkan hukum hudud dan negara Islam.
Apa pun dalam soal kerjasama politik dengan bukan Islam ini, UMNO jauh lebih telus berpegang kepada seruan Islam berbanding Pas.
UMNO sejak dulu memahami bahawa kerjasama itu penting dalam membangunkan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum.
Ini selaras dengan seruan Islam yang menegaskan, berkerjasama dengan orang bukan Islam untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama sesama manusia seperti kesejahteraan hidup, keadilan, membanteras kezaliman, penyelewengan, rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dan sebagainya tanpa melanggar mana-mana hukum syariat, adalah harus.
Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat untuk sekelian alam seperti mana firman-Nya dalam surah Al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud:
"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam".
Malahan dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud; "Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil."
Selain itu, sejarah Rasulullah SAW menunjukkan baginda mengadakan perjanjian Madinah yang membabitkan bukan sahaja golongan-golongan Islam tetapi juga kabilah-kabilah Yahudi di Madinah.
Jika berpakat dengan orang bukan Islam haram secara mutlaknya, nescaya baginda tidak akan mengadakan perjanjian dengan mereka. Adapun ada kabilah Yahudi yang diusir dari Madinah oleh baginda disebabkan mereka melanggar perjanjian dengan Nabi dan mengkhianati baginda.
Apa pun dalam menjalinkan kerjasama dengan parti bukan Islam seperti MCA dan MIC, UMNO tidak pernah menggadaikan prinsipnya apatah lagi bersikap tidak konsisten dalam memaju dan memperkembangkan Islam.
Sebab itulah, sejak merdeka lagi walaupun pernah dikecam oleh Pas kerana bekerjasama berkenaan, namun UMNO tetap mempertahankan kesepakatan itu.
Ini memandangkan UMNO yakin apa yang mereka lakukan bersesuaian dengan Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 9 yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".
Apa pun, pemimpin-pemimpin Pas tidak boleh marah jika ada pihak menyatakan, kerjasama mereka dengan DAP semata-mata untuk memperoleh kuasa.
Ia memandangkan, Pas sendiri sudah memahami bagaimana penentangan DAP terhadap perjuangan Islam parti itu, biar pun DAP memberi alasan kerjasama tersebut dilakukan demi menegakkan keadilan, mengembalikan demokrasi, memulihkan keutuhan, kebebasan institusi-institusi penting negara.
Dari satu segi, sememangnya menjadi hak Pas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi janganlah sampai menggadaikan prinsip dan dasar perjuangannya.
Sepatutnya apa pun berlaku, Pas perlu tegas dengan perjuangan tetapi malangnya apa yang kita lihat kerjasama antara kedua-dua parti itu lebih banyak merugikan Pas.
Malahan ketika DAP konsisten menolak hukum hudud dan perjuangan negara Islam yang diperjuangkan Pas, Pas pula terus terhegeh-hegeh untuk meneruskan kerjasama berkenaan.
Apabila Pas melihat sikap mereka mula menimbulkan perasaan tidak senang orang Melayu dan umat Islam, mereka mula berhujah kononnya perjuangan Islam akan diteruskan.
Oleh itu berikutan kenyataan Abdul Hadi mempertahankan kerjasama dengan DAP, diharapkan mereka juga tidak lagi memandang serong kerjasama UMNO dengan parti bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN).
Terimalah hakikat, biar pun bukan sebuah parti Islam, namun dalam pelaksanaan perkara berkaitan Islam, UMNO jauh lebih ke depan berbanding dengan Pas.
Ulama-ulama Pas jangan lagi bercakap soal Islam apatah lagi melaksanakan hukum hudud kerana semua itu hanyalah khayalan selagi Pas bekerjasama dengan DAP.
Mereka perlu membuat kenyataan selari dengan apa yang diputuskan oleh kepimpinan parti supaya mereka tidak dikategorikan '...tok-tok guru yang mengaji bab sembahyang sahaja, tidak mengaji bab politik...''

Pembangkang khianati negara

Mohd. Shafie Apdal bermesra dengan salah seorang anak mangsa kebakaran di Kampung Selamat, Semporna, Sabah, semalam. - BERNAMA 
*****
SEMPORNA 23 Okt. - Parti pembangkang dibidas kerana sanggup menjadi petualang dan pengkhianat kepada negara sendiri dengan bertindak sebagai alat kepada pihak tertentu untuk menghancurkan negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan mereka untuk membawa masuk dua peguam Perancis yang ditugaskan memberi taklimat kepada Ahli Parlimen mengenai isu pembelian kapal selam Scorpene adalah bukti jelas niat jahat mereka.
Tegas beliau, tindakan itu bukannya perkara yang boleh dipandang ringan kerana membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.
"Kita adalah negara berdaulat yang mempunyai peraturan dan lunas undang-undang yang perlu dipatuhi. Mereka akan gunakan apa sahaja cara untuk mencemarkan nama baik negara ini, ini semua berpunca kepada kepentingan agenda politik mereka semata-mata.
"Kapal selam adalah aset persenjataan negara untuk meningkatkan tahap keselamatan, sepatutnya mereka perlu bersama-sama memberi sokongan padu, bukannya menghancurkan negara ini," katanya.
Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Selamat di sini hari ini.
Tegas beliau, segala dakwaan dan tohmahan pembangkang terhadap isu kapal selam itu ternyata tidak benar malah penipuan itu sengaja digembar-gemburkan menjelang pilihan raya umum untuk mendapat ihsan rakyat.
Sementara itu, Shafie berkata, kerajaan akan menyelesaikan masalah penempatan mangsa-mangsa kebakaran membabitkan 198 buah keluarga di Kampung Selamat di sini yang musnah dijilat api dalam kebakaran Khamis lalu.
Beliau berkata, majoriti mereka merupakan pelarian perang Filipina yang diwartakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) yang telah menetap di situ sejak 1970-an lagi.
Bagaimanapun menurut beliau, terdapat juga penduduk tempatan yang terlibat.
"Bagi penduduk berdaftar dengan UNCHR, kita akan merujuk permasalahan mereka dengan Majlis Keselamatan Negara, manakala penduduk tempatan akan dirujuk dengan pejabat daerah untuk tindakan susulan termasuk memberikan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Bekas rakan Anwar perlu dipanggil

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Perjumpaan dua peguam Perancis dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang hanya bermakna sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa Datuk S. Nallakaruppan, Umi Hafilda Mohd. Ali dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah untuk turut serta.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, kehadiran mereka penting supaya kedua-dua peguam berkenaan memahami adakah benar isu utamanya adalah melibatkan kapal selam Scorpene atau hanya isu moral Ketua Pembangkang itu.
"Untuk mencari kebenaran dan keadilan maka sebagai peguam, sepatutnya mereka mesti bersedia mendengar pandangan daripada kedua-dua belah pihak dan bukan hanya menelan apa sahaja yang diperkatakan oleh Anwar atau orangnya.
"Hanya mereka yang rapat dengan Anwar layak menerangkan siapa Anwar sebenarnya. Bukannya mereka yang terpengaruh dan terpukau dengan imej yang hanya dilakonkan oleh Ketua Pembangkang itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Pembangkang dan tiga ahli Parlimen pembangkang sebelum ini dilaporkan menjemput dua peguam Perancis iaitu William Bourdon dan Joseph Breham bagi memberi taklimat mengenai isu rasuah dalam pembelian kapal selam, Scorpene.
Sehubungan itu, menurut Ruslan, saranan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Anwar menjemput individu-individu yang pernah rapat dengannya amat bertepatan.
Ini adalah kerana jelas beliau, kesemua individu itu mampu memberi keterangan terperinci mengenai hobi dan kegiatan sambilan Ketua Pembangkang tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa Anwar menyatakan jumlah kos yang perlu ditanggung bagi membawa masuk dua peguam Perancis berkenaan.
"Kita mahu Anwar beritahu siapa yang biayai semua kos itu dan beliau juga harus menyatakan tujuan pertemuan. Adakah Anwar sendiri yang membiayai atau kuasa asing?" soalnya.

24 Oktober 2012

9 program di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU 22 Okt. - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengatur sembilan program pelancongan berkonsep kegiatan sukan, fotografi dan rekreasi sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan (TMT2013).
Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, kebanyakan program itu akan diadakan di Tasik Kenyir bagi mempromosi tasik buatan terbesar manusia itu di mata dunia.
"Kita mahu keindahan semula jadi Tasik Kenyir diteroka sepenuhnya sepanjang TMT 2013 nanti supaya pengunjung terutama pelancong luar dapat menimba pengalaman baru, sekaligus mempopularkan tasik itu di negara asal mereka," katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kepada pemenang Kenyir Motorcross Challenge di sini hari ini.
Katanya tirai pelancongan Ketengah dimulakan dengan Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir yang diadakan sebanyak lima siri iaitu mulai dari 10 hingga 11 Feb, 8-9 Mac, 12-13 April, 13-14 Sept dan 22-23 Nov 2013.
Selain itu, Kenyir Lake International Triathlon pula akan diadakan pada 10 Mac, Pertandingan Memancing Boat On The Road pada bulan April dan Festival Kenyir pula diadakan pada 16-20 Mei.
Keunikan tasik yang kaya dengan pelbagai hidupan akuatik itu turut diserikan dengan Kejohanan Power Boat Kenyir dan Kenyir Motocross Challenge pada bulan Jun.
Wan Mat Amin berkata Pertandingan Raja Serama Tasik Kenyir pula akan diadakan pada 29 Jun diikuti Pertandingan Melukis dan Fotografi Tasik Kenyir pada 1-31 Ogos sebelum tirai 2013 ditutup dengan Kenyir Cup.
"Selain kesemua pertandingan itu, pengunjung juga berpeluang menerokai keindahan dan sejarah di Gua Bewah dan Gua Taat seterusnya mengunjungi pusat santuari ikan kelah.
"Kenyir Island Hopping yang melibatkan pulau-pulau yang dibangunkan antaranya dengan Taman Rama-rama, Taman Herba, Taman Orkid, Taman Burung dan Taman Buah-buahan Tropika juga bersedia untuk menerima kedatangan pelancong sepanjang TMT 2013 nanti," katanya. - BERNAMA

Golf Pro Am CIMB Classic 2012

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar bersama pemain golf Amerika Syarikat, Tiger Wood (dua dari kanan), Pengerusi Botco Sdn Bhd, Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak (kiri), dan Ahli Panel Penasihat Antarabangsa CIMB Group, Tun Musa Hitam pada perlawanan Pro Am CIMB Classic 2012 di Mines Resort, Seri Kembangan, pagi ini. - Foto Yazit Razali
Oct 24, 2012 10:15 am

Datuk Seri Najib Razak menyerahkan 31,000 bungkusan kuih raya

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kad raya berserta 31,000 bungkusan kuih raya kepada Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Kamarudin Mat Ali untuk diberikan kepada jemaah haji Malaysia di Makkah pada majlis penyerahan di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA - Oct 23, 2012 5:38 pm

Bangsamoro terhutang budi pada Najib

Masyarakat Islam di Mindanao mengibarkan bendera hijau sebagai menyokong dan meraikan kerangka perjanjian damai yang dimeterai dengan kerajaan Filipina minggu lalu. 
*****
COTABATO 22 Okt. - Usaha kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu mendapatkan wilayah autonomi bagi Bangsamoro telah diketahui sejak beliau menjadi Menteri Pertahanan lagi.
Seorang pemimpin berpengaruh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Basilan, Billamin Turabin Hasan berkata, namun masyarakat Bangsamoro tidak menyangka Najib tetap meneruskan pelan mendamaikan MILF dengan kerajaan Filipina apabila menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi Malaysia hari ini.
Menurutnya, disebabkan peranan Malaysia dan Najib itu, masyarakat di wilayah autonomi Bangsamoro hari ini begitu menghormati, kagum serta terhutang budi terhadap Malaysia dan rakyatnya.
"Secara peribadi dan mewakili lebih 5,000 masyarakat Pulau Tapiantana, kami seakan tidak percaya apabila Najib tidak pernah melupakan nasib masyarakat Islam di sini dengan berusaha sekian lama.
"Sebab itu juga, masyarakat Bangsamoro tidak melayan suara sumbang yang mempertikaikan peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik selama 40 tahun itu kerana kami tahu kebenarannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Billamin Turabin memberitahu, masyarakat Bangsamoro akan menganggap Najib sebagai wira jika rangka kerja damai itu dapat membawa kepada satu perjanjian muktamad terhadap wilayah autonomi Bangsamoro pada 2015.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bangsamoro juga masih menagih bantuan daripada Malaysia untuk memberi bantuan dan tunjuk ajar dari segala aspek selepas ini bagi membangunkan wilayah autonomi tersebut.
"Selepas berperang selama lebih 40 tahun, kepulauan Basilan, Tapiantana dan Selainya kini berada dalam keadaan pemulihan, dan dalam hal ini kami sangat memerlukan tunjuk ajar dan bantuan daripada Malaysia.
"Kami memerlukan satu transformasi dalam tempoh terdekat bagi membentuk perjanjian muktamad untuk wilayah autonomi Bangsamoro agar menjadi bukti kepada kerajaan Filipina bahawa kami mampu mentakbir wilayah itu," ujarnya.

Melayu muak penghinaan DAP

Penjaja Padang Kota Lama, Georgetown yang terdiri daripada orang Melayu meluahkan perasaan marah dan kecewa terhadap kepimpinan DAP di Pulau Pinang, September lalu. - Gambar hiasan 
*****
Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, mencabar jika benar DAP sebuah parti pelbagai kaum, parti itu dipelawa bertanding di kawasan Melayu.
"Anda tahu orang Melayu sudah muak dengan DAP. Mereka mendakwa kononnya bersikap demokratik tetapi adakah mereka lebih demokratik daripada kami (Barisan Nasional).
"Saya setuju dengan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. DAP hanya memperjuang satu kaum sahaja dan jika anda mahu tahu, tanya Tunku Aziz (Tunku Abdul Aziz Ibrahim), beliau akan beritahu anda (wajah sebenar DAP)," kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-59 di Wisma MCA, Ahad lalu.
Dalam wawancara Mingguan Malaysia (30 September lalu), Tunku Abdul Aziz mengaku telah melakukan satu kesilapan besar dalam hidupnya kerana menyertai parti politik apatah lagi DAP.
"Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar.
"Mereka telah memberi gambaran jelas kepada saya bahawa mereka bukan demokratik. Pada awalnya, saya fikir mereka adalah sebuah parti demokratik tetapi itu bukanlah satu kebenaran.
"Kononnya mereka mengamalkan budaya kebebasan bersuara. Macam-macamlah mereka kata seolah-olah mereka juara dalam semua perkara. Semua yang dikatakan hanyalah retorik semata-mata. Apabila berhadapan dengan realiti, mereka tidak lakukan apa yang mereka cakap sebelum ini. Itulah parti DAP.
"Lihat sahaja contoh Datuk Mansor (Timbalan Ketua Menteri II), kononnya kebebasan bersuara adalah dibenarkan dalam DAP. Betulkah? Sehingga paksa untuk menafikan apa yang diperkatakan," kata Tunku Abdul Aziz.
Beliau juga menjelaskan hakikat sekiranya orang Melayu yang menyertai DAP merasakan parti tersebut akan membela nasib mereka dan Melayu, mereka salah. Sehingga kini, tidak ada bukti yang DAP telah dan akan memperjuangkan nasib orang Melayu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sehingga hari ini enggan memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan DAP negeri itu tidak membelanjakan wang dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah RM33.36 juta.
Jika peruntukan itu digunakan sekurang-kurang ada juga projek perumahan kos rendah untuk golongan bumiputera berpendapatan rendah membelinya. Dan bukan kerajaan negeri itu bertindak melayan permintaan pemaju untuk membina rumah mewah yang harganya jauh daripada kemampuan bumiputera.
Melayu memang sudah muak dengan mainan politik DAP. Beberapa Melayu dalam DAP sedar bahawa parti itu hanya berminat untuk mempergunakan sentimen kemelayuan pemimpin Melayu dalam DAP sahaja. DAP cuma mahu mempergunakan Melayu untuk memancing undi orang Melayu.
Lebih membimbangkan ialah sikap DAP anti-Islam dalam banyak perkara. Isu penghinaan pemimpin DAP terhadap agama Islam masih belum ada tanda-tanda berakhir. Parti itu lupa Melayu dan Islam sukar dipisahkan.
Dalam perjuangan DAP tidak ada sebarang agenda Islam. Ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa partinya akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang adalah kenyataan biadap dan tidak menghormati perjuangan politik sekutunya - orang Melayu dalam Pas.
Sudah menjadi amalan DAP untuk mempolitikkan semua perkara tetapi tidak mungkin hal-ehwal perjuangan membina negara Islam pun DAP mahu masuk campur. Jika dilaksanakan pun, orang bukan Islam tidak terlibat dalam hukum hudud.
"DAP sering memperlihatkan sikap rasis dalam banyak perkara terutamanya perkara berkaitan agama dan kepercayaan. Janganlah kita terpengaruh dengan janji manis mereka yang kononnya turut berjuang untuk orang Melayu," kata Tengku Abdul Aziz.
Beliau menasihatkan orang Melayu bangkit dan sedar sebelum terus dipergunakan oleh pemimpin DAP. Hakikatnya umat Melayu perlu melihat keangkuhan serta perjuangan sebenar DAP dan sokongan kepada parti itu wajar dihentikan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali baru-baru ini berkata, orang Melayu dalam DAP hanya hiasan sahaja. Amalan mereka sejak dahulu tidak menghormati asas Perlembagaan dan bersifat cauvinis serta sentiasa bermain api perkauman bagi mengekalkan sokongan orang Cina.
Orang Melayu yang masih berada dalam DAP atau menyokong parti itu perlu sedar mengenai perkara yang diberitahu Tunku Abdul Aziz supaya kedudukan dan hak Melayu tidak dipermainkan.
Lihatlah bagaimana DAP dan PKR berjaya memesongkan perjuangan asal Pas untuk membina negara Islam dan bertukar kepada perjuangan negara berkebajikan.
Melayu dalam Pas juga perlu sedar, sebenarnya mereka melakukan kerja sia-sia termasuk menganjurkan Himpunan Hijau menuju ke Putrajaya kerana pada akhirnya parti paling dominan dalam pakatan pembangkang ialah DAP yang jelas menentang Islam. Matlamat kerjasama Pas dengan DAP dan PKR hanyalah untuk menang kerusi sahaja.
Menurut pemerhati politik, Datuk Hashim Suboh, politik Malaysia telah kehilangan nilai. Pemimpin dan parti politik semakin tidak demokratik dan menyalahgunakan makna demokrasi. Sementara serangan terhadap Perlembagaan Persekutuan dilakukan secara berterusan dan semakin melampaui batas.
"Asas kenegaraan yang telah diinstitusikan sejak merdeka juga diserang seolah-olah kita sedang bergelut untuk memerdekan negara dan bukannya berada di era untuk mengisi, memberi makna serta mempertahankan kemerdekaan Malaysia tercinta ini.
"Sementara semangat federalisme semakin dicerobohi, intipati utama Perlembagaan Persekutuan yang memberikan jaminan terhadap hak-hak setiap rakyat Persekutuan di samping memahatkan dengan jelas kedudukan Agama Islam, Raja-Raja Melayu dan Bangsa Melayu serta Bumiputera juga tidak terlepas daripada serangan secara langsung dan tidak langsung," kata Hashim.
Beliau melihat dalam keghairahan sama ada untuk mempertahan atau untuk merebut kuasa, pemimpin Melayu Islam kini sedang berebut menawarkan kompromi dengan menjadikan beberapa paksi utama Perlembagaan Persekutuan itu sebagai barang gadaian dalam 'karnival melelong masa depan' yang dinamakan sebagai Pilihan Raya Umum Ke-13 itu.
"Komponen dan institusi kenegaraan wajar tampil dengan tegas untuk melakarkan garis merah supaya politik dan pertarungan politik tidak melampaui batas. Masanya sudah terlalu hampir. Riak dan suasana sudah bergerak dengan pantas ke awan hitam yang suram dan menggetarkan itu," kata Hashim.
Hal itu perlu diberi perhatian. Persoalannya, beberapa tindakan pemimpin DAP telah melukakan dan mengguris hati orang Melayu. Sampai bila orang Melayu mahu membiarkan kedudukan bangsa Melayu diperlecehkan, institusi Raja Melayu dipersoalkan dan agama rasmi Islam yang termaktub dalam Perlembagaan pun dihina?
Tindakan itu belum mengambil kira peranan 'dalang' dalam kebanyakan perhimpunan haram dengan tujuan jahat dan berbahaya kepada generasi muda Melayu. Sedar atau tidak, DAP sering membaling batu tapi sembunyi tangan.
Orang Melayu sudah banyak kali beralah. Namun ucapan maaf pun sukar didengari daripada mulut pemimpin DAP.
DAP telah pun berjaya menyampaikan isi hati mereka. Itulah pandangan mereka terhadap orang Melayu yang dituduh rasis.
DAP perlu diingatkan tentang batas-batas berpolitik. Sampai bila orang Melayu dan bumiputera yang merupakan penduduk majoriti negara ini perlu tunduk pada penghinaan kaum minoriti?
Berbeza sungguh di negara lain, golongan minoriti yang sering dihina tetapi perkara sebaliknya berlaku di Malaysia. Lepas satu demi satu penghinaan terhadap orang Melayu/Islam dilakukan. Yang menghina pula terdiri daripada kaum minoriti.
Sebagaimana kata Najib, orang Melayu sudah muak. Penghinaan terhadap orang Melayu dan Islam sudah melampau.
Sebagai penduduk majoriti, orang Melayu dan umat Islam lain di negara ini perlu bersatu. Jangan biar bangsa Melayu terus dihina dan diperkotak-katikkan.
Paling penting, jangan biar DAP yang bersifat rasis ini menggugat kesejahteraan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Mengurus sabotaj dalaman

SEJAK kebelakangan ini dalam kehangatan merentasi pecutan akhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), ramai yang mula menyuarakan kebimbangan sekiranya segala persediaan dan yang dilakukan sejak pasca PRU 12 pada 2008 akan tercemar dengan masalah yang dihadapi dalam hampir kesemua PRU iaitu masalah dalaman parti.
Dalam PRU 12, rata-rata perubahan calon di saat-saat akhir menyebabkan jentera parti tidak berfungsi dan kemarahan serta kekecewaan diterjemahkan dalam bentuk pengundian. Maka, 'undi protes' besar-besaran dilakukan oleh ahli dan penyokong tegar parti kerana mahu menyedarkan kepimpinan bahawa zaman untuk mengikut apa sahaja ketetapan yang dilakukan oleh badan pemilihan calon tidak boleh bertindak dengan autoriti mutlak tanpa mendapat maklum balas daripada peringkat akar umbi.
Hakikatnya, sabotaj dalam parti boleh berlaku dalam pelbagai cara. Ia boleh dilakukan secara makro dan mikro membabitkan pemimpin, ahli, calon, jentera dan lawan parti. Kesemua ini terjadi kerana masing-masing hanya mahu menjadi 'ahli parti' dan bukan 'orang parti'. Jika sekadar menjadi ahli yang penuh dengan hasad dengki, tamak, ego, tamakkan kuasa, pangkat serta kedudukan; maka golongan ini tidak teragak-agak menggunakan apa sahaja kaedah yang hanya bersifat kepentingan diri dan bukan memperkasakan parti.
Cuba selami kisah kedudukan Khalid Al-Walid sebagai Panglima Perang di zaman Khalifah Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab. Ia wajar dijadikan iktibar dan iltizam oleh pemimpin hari ini dan kepimpinan akan datang. Bagaimanakah wujud nilai di sebalik mengapa perlu digugur dan pada waktu yang sama tidak menjejaskan jentera serta kemampuan parti merupakan dilema yang sedang dihadapi oleh parti politik agar tidak menjejaskan pencapaian dan perubahan yang cuba diketengahkan sejak 2008. Malahan ini merupakan antara yang akan dinilai terutama oleh pengundi bandar dan pengundi atas pagar agar keyakinan dan kepercayaan pulih berasaskan kepada 'kemuafakatan' dan keteguhan parti.
Parti UMNO jelas serius untuk menangani isu ini dengan penubuhan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang turut mengepalai Lembaga Disiplin parti. Begitu juga dengan cadangan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong agar nama calon diumum awal untuk mengelak daripada sabotaj ketika PRU supaya pemimpin yang digugur atau gagal menjadi calon dapat dipujuk agar kesetiaan kepada parti diutamakan. Ini kerana salah laku sabotaj juga boleh menjejas barisan jentera parti apatah lagi jika menggunakan emosi untuk memujuk penyokong mereka tidak membantu seseorang calon sehingga menghasut agar menggagalkan misi parti sendiri.
Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Kedah ada menyatakan bahawa Kedah adalah winnable state jika selesai masalah dalaman; dan ia juga merupakan nasihat dan peringatan kepada keseluruhan gerak kerja seluruh negara kerana Muhyiddin ada menyatakan bahawa PRU akan datang adalah misi 'hidup atau mati' demi mempertahankan kedudukan parti yang terhakis sokongan dalam PRU yang lalu.
Perebutan jawatan dan pangkat bukan baharu dalam mana-mana parti tetapi masalahnya adalah apabila ia terbawa-bawa sehingga mengganggu proses 'merapatkan barisan' sebaik-baik sahaja selesai pemilihan Pengerusi Bahagian, negeri dan Majlis Tertinggi parti. Ada yang rela mengorbankan parti kerana tidak selesa dengan calon yang menang atau terpilih menjadi calon PRU. Apakah mereka lebih rela parti kalah kerana tidak dicalonkan?
Masalah dalaman boleh dihindar jika masing-masing berpegang kepada asas mengapa menyertai parti politik dan mendalami perjuangan asal parti. Pemilihan calon yang kalah seperti mana 2008 dan beberapa pilihan raya kecil perlu dijadikan sebagai pengajaran kerana apa makna menjadi calon jika kalah dan tahu boleh memberi kesan bukan sahaja kepada calon dan parti tetapi masa depan parti yang turut bergantung kepada kewibawaan calon.
Puak yang menentang dan menyokong lumrah dalam sepak terajang politik tetapi sekiranya PRU akan dilihat sebagai maruah parti dan masa depan parti, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai calon mesti boleh diterima asalkan calon adalah winnable untuk rakyat atau pengundi dan bukan syok sendiri dalam parti.
Masalah dalaman juga sering berlaku kerana dana pilihan raya tidak sampai kepada kumpulan sasar. Jika dahulu, sukarelawan dan pekerja parti diberikan sedikit imbuhan atas penat lelah mereka, kini ia bukan lagi bernilai RM10 atau RM15 sedangkan harga rokok sahaja sudah mencecah RM10 sekotak berbanding di bawah RM5 satu ketika dahulu. Ini tidak termasuk duit minyak motor dan kenderaan serta makan-minum mereka. Dana ada, cuma sampai atau tidak yang menjadi persoalan; jika tidak sampai, siapakah yang menyimpannya dan untuk apa?
Penghormatan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pemimpin akar umbi dan para gurkha parti kerana tanpa mereka siapa calon atau siapa pemimpin. Mereka merupakan tulang belakang yang perlu dijaga makan-minum dan kebajikannya. Maka, dana perlu disalurkan kepada mereka dan bukan disimpan untuk pemilihan dalam parti atau untuk kegunaan sendiri terutama di kawasan yang dilabel kelabu dan hitam. Jentera akan berkerja siang dan malam, bertungkus lumus demi parti jika pemimpin menampakkan nilai 'sepakat' bukan berpakat-pakat untuk menjatuhkan parti atau 'membulatkan diri' tetapi 'sepakat' mempertahankan maruah parti.
Angkuh, hasad dengki, sombong, cemburu dan bersikap sambil lewa serta berlagak tahu segalanya dalam keadaan parti memerlukan sokongan ahli perlu dijauhi. Iktiraf dan hormat pemimpin cawangan yang menjadi mata, telinga dan nadi parti dengan penstrukturan yang kemas dan rapi. Luncai, Pak Pandir, Si Kitul boleh dilepas pergi tetapi bukan Abu Nawas yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air.
Jangan terpedaya dengan janji-janji palsu segelintir pemimpin yang 'lebih sudu dari kuah' sehingga bijak bersilat dengan gaya seorang 'penipu' yang tidak jujur dan ikhlas kepada parti dan perjuangannya. Hari ini dia berbaju biru tetapi dalam sekelip mata berubah baju hijau, merah atau apa sahaja warna kerana kerakusan kuasa sahaja tanpa mengimbas kedudukannya hari ini adalah juga atas nama parti.
Strategi dalam PRU yang merupakan 'ibu segala pilihan raya' mesti bersifat rendah diri dan memahami naluri seorang 'rakyat biasa' bukan berjiwa 'elitis' tetapi orang kebanyakan yang berpaksikan kepada nilai perkongsian bersama. Sabotaj juga boleh berlaku jika berlebih-lebihan menonjolkan nilai yang bukan menjadi norma dan amalan budaya kita, 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak'. Itu tradisi politik kita.
Amanah untuk memastikan masalah dalaman parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dipikul oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN. Sejauh manakah pemimpin lain akur untuk menunjukkan nilai komitmen dan kolektif ke atas keputusan Pengerusi BN juga akan dihalusi oleh pelbagai kelompok pengundi. Ada pemimpin yang sudah terlalu lama, molek jika berundur supaya tidak membebankan keputusan yang bakal diambil oleh Najib dan barisan pemilihan.
Bagi yang telah berkhidmat untuk beberapa penggal, barangkali ini masanya untuk menjadi idola kepada bakal pengganti; bersama membantu kempen dan calon baru pula jangan dipinggirkan pemimpin lama kerana tanpa mereka; parti tiada. Asam garam dalam parti; ada yang elok dan ada yang kurang elok; kita yang menentukannya. Lihat kepada pencapaian dan segala kelemahan boleh diperbaiki jika ada jati diri dan komited ke atas perjuangan masing-masing.
Musibah dalam PRU akan datang barangkali bukan daripada lawan tetapi parti sendiri jika tidak ditangani dengan berhati-hati. Penguasaan sumber dan guna tenaga boleh digunakan dengan praktikal dan dikongsi untuk meningkatkan kedudukan parti dalam PRU akan datang.
Baik bagi pemimpin pusat, negeri, bahagian dan cawangan perlu terus diperingatkan bahawa 'yang menang bukan menang semua dan yang kalah bukan kalah semua' jika ikhlas dalam perjuangan politik kepartian sehingga masalah dalaman tidak akan wujud jika bersedia dengan tindakan kolektif walau ada jawatan mahupun tidak.
Yang penting, bagaimana untuk mengemudi dan menterjemah sokongan dalam bentuk undian pada PRU akan datang yang menjadi tanggungjawab keseluruhan anggota parti tanpa mengira batasan pangkat, kedudukan dan fungsi dalam parti jika benar-benar mengidamkan kemenangan yang sudah tidak dapat bergolek seperti satu ketika dahulu.

Taktik Pas-DAP tidak lebih semata-mata mahukan kerusi

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng pernah membuat kenyataan pada tahun 2008, "Sekiranya Pas masih berdegil untuk melaksanakan hukum hudud, maka parti tersebut tidak akan sesekali bekerjasama dengan parti Islam itu."
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sering menegaskan bahawa sekiranya Pas menang, menegakkan negara Islam dan hukum hudud menjadi suatu kewajipan.
Dua kenyataan yang saling bercanggah ini bagi penganalisis politik melihatnya tentu ada maksud lain mengapa tahalluf siasi atau kerjasama politik terus berlaku antara Pas-DAP.
Asas pertama perjuangan Pas tidak lagi kepada negara Islam. Ia sudah longgar menjadi perjuangan negara berkebajikan.
Buku Jingga yang dijadikan sumber muafakat pakatan pembangkang tidak menyebut negara Islam atau pelaksanaan hudud di dalamnya.
Asas kedua, DAP masih bekerjasama dengan Pas walaupun Pas tetap menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah untuk negara Islam dan pelaksanaan hudud.
Pas juga terus kekal bekerjasama dengan DAP walaupun DAP sering menghina Pas dengan perjuangan negara Islam dan hududnya.
Kalau begitu apa maksud Pas-DAP masih bekerjasama walaupun mereka sedar bahawa dasar perjuangan Pas tidak sama dengan dasar perjuangan DAP dalam isu negara Islam dan hukuman hudud.
Pada hemat penulis mereka terpaksa pejamkan mata daripada perbezaan yang ada supaya masing-masing dapat menggunakan satu dengan yang lainnya. Bagi DAP agar mereka dapat tumbangkan Barisan Nasional dan bagi Pas, dendam terhadap menumbangkan UMNO tertunai.
Tidak ada cara lain bagi DAP menumbangkan Barisan Nasional atau UMNO melainkan menggunakan Pas untuk mendapat sokongan orang Melayu. Dan tidak ada cara lain untuk mendapatkan kerusi lebih melainkan gunakan DAP untuk dapatkan sokongan orang Cina.
Soalnya, selepas itu apa. Kalaulah dengan kemenangan pakatan pembangkang DAP bersedia menerima pelaksanaan Islam dan hudud, ia suatu hal yang boleh difahami.
Tetapi dengan jelasnya DAP menentang negara Islam dan hudud, dan Pas beria-ia benar ingin melaksanakan negara Islam dan hudud. Bolehkah ini terjadi bila mereka berkuasa nanti?
Pas bakal menggunakan helah untuk tidak bersama DAP dan PKR pada waktu itu kerana soal dasar dan ideologi. Pas tidak boleh mengharap Anwar Ibrahim dalam soal negara Islam dan hukuman hudud. Pendirian Anwar dalam isu ini adalah longgar.
Apakah kemungkinan Pas akan menjadikan kerusi yang dimenanginya sebagai kuasa tawar-menawar terhadap pihak lain bagi menubuhkan kerajaan. Kalau tidak ini, kemungkinan apa lagi. Pada hemat penulis Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali tahu akan muslihat ini.
Kalau begitu, tujuan DAP bersama Pas tidak lebih untuk memecah belahkan undi orang Melayu atas maksud kuasa. Pas pula perlukan undi orang bukan Melayu untuk mendapatkan kerusi lebih. Untuk bentuk sebuah kerajaan atas asas persamaan ideologi dan fahaman tidak mungkin.
Taktik Anwar Ibrahim untuk sampai ke Putrajaya sangat mudah dibaca. Perkenalkan Buku Jingga untuk menjadi rujukan semua, tukar hala tuju perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan diharap cita-cita Pas menegakkan negara Islam terkubur, maka soal dasar dalam membentuk kerajaan baru boleh diputuskan dengan mudah.
Di atas kertas Pas tidak pernah mengatakan tidak bersetuju dengan kehendak Buku Jingga. Pas mengatakan bahawa ada muslihat di sebalik penerimaan negara berkebajikan. Kalau begitu apa maksud Pas terus menegaskan bahawa masih utuh dan teguh memperjuangkan negara Islam dan hukum hudud. Apakah taktik Pas dari segi syarak sesuatu yang syarie kerana ada kecelaruan di situ.
Pada hemat penulis taktik ini bersifat politik, bukannya perjuangan dasar ingin menegakkan negara Islam atau melaksanakan hudud. Penulis percaya orang Pas boleh menghidu taktik ini. Melainkan DAP dan PKR bersetuju untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud. Kalau tidak apa maksud mereka bekerjasama.
Kalau begini pendirian yang diambil oleh Pas, tidakkah ini suatu helah yang tidak bermaruah. Kerana politik dan kuasa, Pas sanggup menerima DAP atas maksud kerusi dan kuasa di samping melangsaikan hutang dendam terhadap UMNO walaupun terang-terangan DAP menghina Pas.

Kelompok celaru pemikiran perlu dibantu

KEMATIAN Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim dalam pangkuan ibunya di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) setelah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari akibat didera bukanlah kes terasing yang berlaku dalam masyarakat kita kebelakangan ini. Balkis telah pun pergi meninggalkan mereka yang menyayanginya terutama datuk dan nenek yang meratapi kehilangannya dalam usia emas mereka.
Sebelum ini juga akhbar melaporkan kisah dua pelajar Malaysia di Singapura yang melakukan aksi seks dan meletakkannya di internet untuk tontonan ramai dan menganggap perbuatan itu sebagai rasional dan 'peduli apa dengan orang lain, asalkan kami bahagia'.
Kedua-dua kejadian ini dan sebelum ini menggambarkan kecelaruan yang jelas dalam sistem nilai dan sistem kekeluargaan kita. Misalnya, berita tentang kematian anak kecil kerana deraan teman lelaki ibu dan celaru tentang apa yang dianggap sebagai hal individu dan hak sebagai anggota masyarakat.
Jika boleh berpatah balik dalam kes seperti penderaan (malah pembunuhan) oleh seseorang yang dianggap sebagai teman lelaki ibu atau teman wanita adalah sesuatu yang sudah banyak kali kita dengar dan baca laporannya. Satu ketika dahulu kita dikejutkan oleh anak yang mati disepak di padang bola. Kemudiannya kita juga membaca laporan teman laki-laki warga asing yang mendera anak teman wanitanya.
Kepincangan seperti ini akan terus menjadi penyakit selagi kita menganggapnya sebagai kes terpencil dan mengambil sambil lewa tanpa tindakan berkesan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Tentunya pihak yang paling utama untuk bertindak ialah dalam kalangan anggota masyarakat sendiri.
Ini adalah antara harga yang kita perlu bayar untuk pembangunan yang berlaku secara tidak seimbang yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan menuding jari. Lazimnya dalam masyarakat kita, itulah yang akan berlaku. Orang agama akan menyalahkan pelbagai pihak yang dikatakan tidak mengikut undang-undang dan lunas agama. Sesetengah pihak meletakkannya di bahu kerajaan dan pihak berkuasa.
Bagi mereka yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air, akan melihat apa yang berlaku ini sebagai amanah dan tanggungjawab besar untuk menggembleng segenap kekuatan yang ada bagi membanteras dan memastikan ia tidak berulang atau paling tidak mengurangkan kesan daripada kejadian seumpama ini.
Misalnya, satu sistem sokongan yang kuat perlu ada dalam kalangan masyarakat hari ini daripada semua segi, terutamanya untuk membantu mengatasi masalah yang berkait rapat hi-touch iaitu mental, kejiwaan mahu pun hal-hal yang berkait rapat dengan sistem nilai, kepercayaan dan pegangan yang melihat kepada kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam apa jua perbuatan dan tindakan.
Pada masa sama institusi agama, masyarakat mahu pun pertubuhan sukarela perlu diperkasakan dalam menyediakan sistem sokongan kepada kumpulan yang berada dalam kelompok celaru pemikirannya apatah lagi yang mempunyai tekanan hidup yang boleh membahayakan orang lain.
Sistem amaran awal perlu ada untuk memberikan maklumat dan menghantar isyarat terhadap kemungkinan berlakunya tragedi dalam kalangan masyarakat. Sistem amaran awal ini apabila diperolehi perlu dihubungkan dengan sistem sokongan yang ada, termasuk jika perlu pihak berkuasa bagi menangani sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.
Malah, semua pihak yang berwibawa dalam agama dan sistem sosial perlu duduk semeja untuk mencari jalan terbaik mengatasinya secara bersama, bersepadu dan saling menyokong antara satu sama lain. Kita perlu kurangkan bertelagah dalam hal berkaitan perbezaan, sebaliknya mencari titik persamaan untuk menjaga masyarakat agar pembangunan yang capai pada masa hadapan benar-benar bersifat inklusif yang menekankan kepada nilai hidup dan moral yang diterima sebagai norma bersama.
Kita terpaksa akur kepada kesibukan dalam mengejar kemajuan, malah juga globalisasi yang membawa pelbagai nilai yang selama ini tidak pernah dibayangkan. Menyalahkan globalisasi dan kehidupan yang memberikan kita pelbagai tekanan termasuk kerjaya tidak akan menyelesaikan apa-apa apatah lagi kita terus menuding jari.
Seorang pakar kaunseling memberitahu penulis apabila ditanyakan tentang rungutan pelbagai pihak terhadap tekanan kerja yang dihadapi, masalah besar yang kita hadapi adalah apabila seluruh proses dan sistem kehidupan kita berubah dalam pelbagai kerangka yang disebabkan oleh teknologi dan globalisasi, malangnya kita tidak bersedia malah sesetengah kita masih berada dalam set minda lama dan jauh tertinggal di belakang.
Ini tentunya amat benar jika dilihat kepada cara kita menyelesaikan masalah sekarang ini. Ada yang tertanya-tanya bagaimana untuk mendidik anak-anak yang jiwanya amat 'rapuh' sekarang ini apatah lagi apabila perlu menjelaskan tentang pelbagai fenomena dan nilai yang berubah dan amat terbuka ini.
Tentunya cara terbaik adalah kembali kepada asas dalam melihat dan mengenal pasti masalah, nilai dan percaturan yang ada. Kita perlu bersikap terbuka, tetapi tidak akur kepada nilai-nilai yang dianggap bertentangan dengan asas dan pegangan utama iaitu agama. Walau terbuka mana pun kita, agama akan perlu terus menjadi pedoman, kitabnya menjadi asas dalam penentuan nilai dan ajarannya menjadi jalan untuk ditempuhi.
Agama sudah cukup untuk menjadi penyelesaian namun mereka yang menggunakan agama sebagai cara menyelesaikan masalah harus juga melihat keindahannya untuk dikongsi dengan orang lain, bukan semata-mata bersikap menghukum dan menuding jari.
Agama mengajar kita untuk prihatin kepada nasib dan masa hadapan masyarakat dan tamadun tingginya dengan menekankan kepada ketinggian budi pekerti dan akal budi. Malah para akademia, cerdik pandai, para sukarelawan serta mereka yang berautoriti perlu turut sama menyingsing lengan untuk turun padang, bersikap realistik dan menghadapi cabaran ini.
Kedegilan kita dengan hanya melihat kepada kepentingan diri, enggan bertegur sapa, bodoh sombong dan angkuh dengan apa yang kita ada, individualistik serta mendabik dada, akhirnya akan merosakkan masyarakat dan negara.
Jika kita serius dengan pembangunan dalam acuan sendiri yang lestari, maka kita perlu pastikan tragedi yang menimpa Nur Irisyafida Balkis dan kisah dua remaja yang bangga dengan perlakuan sumbang mereka tidak lagi berulang. Kitalah yang harus bertindak melakukan yang terbaik untuk mengatasinya!

ADUN Sri Tanjong digantung daripada hadiri sidang DUN

KOTA KINABALU 23 Okt. - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menggantung Jimmy Wong Sze Phin (DAP-Sri Tanjong) daripada menghadiri persidangan dewan kerana mengingkari arahan Speaker, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak supaya menarik balik kata-katanya yang bersifat jahat terhadap kerajaan negeri.
Salleh berkata Wong tidak mengendahkan arahannya supaya menarik balik perkataan "korupsi" yang dikatakan mempunyai unsur niat jahat ketika membahas bajet negeri 2013 di sini hari ini.
Selepas dewan kecoh kira-kira 15 minit kerana keengganan Wong untuk menurut arahan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin mengusulkan agar Wong digantung daripada menghadiri persidangan DUN itu. - BERNAMA

UMNO tidak kisah Nik Aziz bertanding

HULU LANGAT 22 Okt. - UMNO tidak kisah sama ada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu terus bertanding atau tidak pada pilihan raya umum akan datang tetapi ahli akar umbi Pas patut menilai adakah Menteri Besar yang berusia 81 tahun itu masih tajam fikirannya atau tidak.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mempunyai keyakinan tinggi merampas semula Kelantan walaupun Nik Abdul Aziz kekal bertanding kerana UMNO sudah mempersiapkan barisan kepimpinan yang mantap bagi menjayakan tujuan berkenaan.
Katanya, dengan barisan kepimpinan berwibawa diketuai Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, rakyat Kelantan boleh membuat perbandingan siapa yang lebih layak dan sesuai untuk memimpin negeri tersebut kerana selama 22 tahun Pas memerintah terbukti gagal membangunkan Kelantan.
"Itu hak dia (Nik Abdul Aziz). Bukan hak saya nak komen apa. Terserah kepada kepimpinan Pas, kalau merasa Nik Abdul Aziz masih bertenaga dan tajam fikirannya, itu soal Pas. Pada saya terserah kepada rakyat Kelantan untuk menilai sama ada keputusan tersebut betul atau tidak.
"UMNO tiada masalah, Pas hendak letak siapa pun di Kelantan kita sudah bersedia dan mempersiap jentera kita. Kita menawarkan satu kepimpinan yang berwibawa untuk memimpin Kelantan dan rakyat boleh buat perbandingan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Nik Abdul Aziz memberi bayangan untuk bertanding dan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya umum akan datang walaupun keadaan fizikalnya diragui banyak pihak.
Menurut Muhyiddin, rakyat Kelantan perlu menilai seseorang bakal Menteri Besar bukan sahaja dari segi imej Islamik tetapi harus mempunyai pakej lengkap khususnya dari segi kemampuan pengurusan dan pentadbiran, agar masalah berbangkit di negeri itu dapat diselesaikan.
"Kalau beliau kekal di situ dalam tempoh lima tahun akan datang bagaimana nasib Kelantan? Saya nak orang Kelantan jawab. Sedangkan isu kemiskinan dan masalah air bersih pun beliau gagal selesaikan. Ini patutnya menjadi asas. Bukannya soal beliau bertanding atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau dan mengambil terhadap ahli parti yang mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, badan pemantau akan dilantik dalam tempoh terdekat.
Jelas Muhyiddin, badan pemantau itu bukan sekadar bertindak sebagai mata dan telinga kepada jawatankuasa khas tetapi turut bertanggungjawab menasihat mana-mana pihak yang berpotensi untuk mensabotaj agar kejadian berkenaan tidak berlaku.
"Mana-mana kawasan yang berkemungkinan boleh berlaku kejadian sabotaj dan sering ada sejarah tersebut sebelum ini, komuniti pemantau boleh membuat program sebelum kejadian sabotaj berlaku dengan memanggil, berbincang dan memberi nasihat," katanya.

Sikap membisu kerajaan Pas Kedah dibidas

TAN Keng Liang (kanan) bersama Naib Ketua Pemuda Gerakan, Wei Ren Tong (dua dari kanan), Chuah See Seng (tiga dari kanan), dan Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Bakar Bata, Ng Tuan Liang (kiri) menunjukkan salinan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Alor Setar, Kedah, semalam.
*****
ALOR SETAR 22 Okt. - Kerajaan Pas Kedah dibidas kerana terus membisu dalam isu projek pembalakan dan peladangan bernilai RM31.21 juta oleh Kedah Corporation Berhad (KCB) di Papua New Guinea (PNG) yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM13.49 juta dan bayaran melobi sebanyak RM1.21 juta.
Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, pihaknya terpaksa membuat laporan polis hari ini ekoran tiada sebarang maklum balas selepas seminggu isu itu dibangkitkan pelbagai pihak berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Katanya, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut untuk merungkai kebenaran demi menjaga nama baik negara.
“Diharapkan kes ini akan mendedahkan kepada rakyat berhubung perkara sebenar yang berlaku kerana projek itu mengakibatkan kerugian besar kepada Kedah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 10.30 pagi ini di sini.
Khamis lalu, Keng Liang meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi penjelasan berhubung projek itu yang mengalami kerugian RM13.49 juta berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Kerugian yang dinyatakan dalam laporan itu membabitkan pembayaran goodwill kepada vendor sebanyak RM1.21 juta termasuk untuk tujuan melobi menteri negara itu, pembayaran perbelanjaan mobililisasi (RM3 juta), komisen dan yuran guaman pinjaman (RM1.6 juta) dan pinjaman daripada lima syarikat dan kos berkaitan (RM7.68 juta) mulai 2007 hingga Mac 2011.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mendedahkan, kerajaan negeri membuat pinjaman kewangan mencecah RM135 juta sedangkan nilai projek melalui harga belian saham hanya RM31.21 juta.
Keng Liang berkata, kerajaan negeri tidak sewajarnya berdiam diri terhadap laporan itu kerana isu berkenaan amat serius.
“Biar polis siasat dulu kes ini. Sekiranya perlu, polis boleh merujuk kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Beliau menaruh harapan tinggi kepada polis menyiasat kes tersebut dan berharap kerajaan negeri serta menteri besar memberi kerjasama dalam membantu siasatan kes tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, segala ketirisan dan kerugian yang dilaporkan tidak boleh ditutup kerana melibatkan jumlah yang sangat besar.
“Segala kepincangan mesti diberi penjelasan. Kita mahu kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu dan pengurusan syarikat terlibat dan janganlah berdiam diri," katanya.

Jangan pelik Pas bekerjasama dengan DAP - Hadi

KOTA BHARU 22 Okt. - Ketika kepulangan pasukan The Red Warriors disambut meriah oleh lebih 10,000 peminat meskipun dalam suasana hujan, lain pula yang berlaku dalam ceramah perdana sempena 22 tahun pemerintahan Pas di Kelantan, di sini malam tadi.
Jika sebelum ini, pembangkang terutama Pas cukup berbangga dengan sambutan hangat rakyat Kelantan terhadap ceramah-ceramah politik mereka, namun suasana agak hambar dialami Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin pembangkang lain yang berceramah sempena program itu.
Ceramah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu antara lain turut menampilkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Muhammad Nur Manuty.
Selain kurang mendapat sambutan, ceramah anjuran Urus Setia Penerangan Negeri itu juga menyaksikan tiada lagi pengasingan antara lelaki dan perempuan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi dalam ceramahnya berkata, orang ramai tidak seharusnya berasa pelik mengapa Pas sebagai sebuah parti Islam boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR.
"Memerintah negara boleh bercampur dalam persamaan dan tidak boleh paksa dalam perkara yang berbeza.
"Ada orang yang membaca ayat mengharamkan kerjasama dengan orang kafir dan orang bukan Islam pada tahun 60-an, mengapa sekarang boleh pula, ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya, tidak baca amalan Nabi SAW seluruhnya," katanya.
Abdul Hadi mendakwa, perjuangan Pas sebagai 'tahalluf siasi' yang boleh melibatkan kerjasama atau persefahaman antara orang Islam dan bukan Islam.
"Malangnya, UMNO gunakan tok-tok guru yang mengaji bab sembahyang sahaja, tidak mengaji bab politik, ini menjadi masalah, samalah dengan orang yang mengaji bab sembahyang, tak mengaji bab haji pergi ke Mekah, dia melontar (jamrah) batu besar lengan.
"Kena belajar Islam jangan belajar dengan surat khabar, jangan mengaji dengan surat khabar, kena mengaji dengan kitab. Di sana ada perkara yang berbeza dan sama dalam kalangan manusia, yang berbeza kepercayaan kepada Tuhan, cara buat ibadat, cara makan minum, halal dan haram," katanya.

23 Oktober 2012

Takziah!

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada Bekas Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Kaus Salleh semasa menziarah jenazah Allahyarhamah Datin Safiah Ahmad, 76, ibu kepada Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Pejabat Perdana Menteri, Iskandar Mohd Kaus di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Oct 23, 2012 1:12 pm

Datuk Seri Najib Razak menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam China

 PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam China, Meng Jianzhu yang sedang dalam rangka lawatan ke negara ini, hari ini di pejabatnya di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
Oct 22, 2012 5:54 pm

22 Oktober 2012

KOMASS

 
KOMASS
KOPERASI KARIAH MASJID AS SOLEHIN KUBANG BEMBAN BESUT BERHAD

Zulfahmi Khairuddin

PELUMBA Airasia SIC-Ajo/KTM, Zulfahmi Khairuddin (kiri) berjaya menduduki tempat kedua pada saingan Grand Prix Motosikal Malaysia 2012 (MotoGP 2012) di Litar Antarabangsa Sepang di sini, hari ini. Zulfahmi menduduki tempat kedua dengan catatan masa 40'54.123. Tempat pertama menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Sandro Cortese (tengah) manakala tempat ketiga milik pelumba Mapfre Aspar Team Moto3, Jonas Folger (kanan). - Foto BERNAMA
Oct 21, 2012 3:46 pm

Melayu sudah muak DAP


 Najib bersama Soi Lek pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung MCA ke-59 di Wisma MCA, Ampang.
*****
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata orang Melayu sudah muak dengan DAP dan mencabar parti itu meletakkan calon di kawasan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Jika DAP parti berbilang kaum, saya cabar mereka bertanding di kawasan Parlimen orang Melayu.
“Orang Melayu sudah muak dengan DAP... semua tu adalah mengarut,” kata Perdana Menteri di depan lebih 2,000 perwakilan dan pemerhati pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA, Ke-59 di Wisma MCA, di sini semalam.

Bagaimanapun, Najib berkata pembangkang termasuk DAP terus melaung-laungkan kononnya mereka lebih demokratik berbanding BN.

"Jika ingin tahu sama ada mereka parti demokratik atau tidak, tanya (bekas Naib Presiden DAP) Tunku Abdul Aziz... beliau akan beritahu," katanya.

Najib juga menegaskan rakyat Malaysia tidak boleh mempersoalkan asas pembinaan negara di bawah prinsip Perlembagaan Persekutuan, tetapi boleh mempersoalkan keadilan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan boleh melaksanakan tindakan afirmatif membantu Bumiputera tetapi pada masa sama perlu adil kepada masyarakat lain termasuk Cina.
"Saya faham sebab itulah saya hasilkan gagasan 1Malaysia. Kita perlu bersikap inklusif, membantu sebanyak yang boleh, semua bangsa, semua komuniti tidak kira kecil atau besar.

"Kalau kita mula mempersoalkan asas penubuhan negara ini, negara akan hancur.. apa yang kita hendak perlu secara konsensus dengan mengambil kira kehendak dan kebimbangan masyarakat.

"Selepas itu kita boleh membangunkan negara aman, sejahtera dan masa depan yang cerah. Saya menjanjikan anda semua kerajaan yang adil dan saksama," katanya.

Perdana Menteri berkata, BN juga memahami dan menyedari tiga lagi perkara asas yang menjadi tunjang perjuangan masyarakat Cina di negara ini. Perkara itu merangkumi kemakmuran ekonomi, kerajaan yang adil dan saksama, tadbir urus yang baik dan pendidikan.

Katanya, kerajaan BN sentiasa memastikan ekonomi negara antara yang terbaik di dunia dengan pertumbuhan memberangsangkan, sekali gus berupaya menjadi cermin pembangunan negara pada masa akan datang.

Beliau turut mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina tahun depan.