Kuasa dan bencana mempunyai persamaan. Kedua-duanya menyatukan
manusia. Orang biasanya berpadu tenaga kerana kuasa, dan mereka juga
bersama-sama ketika terjadi malapetaka.
Manusia suka melalui masa-masa gembira dengan berkongsi kekuatan
beramai-ramai, dan berusaha secara kolektif menggunakan kuasa untuk
kesejahteraan. Manusia juga sering terdorong untuk merapatkan barisan,
bagi menunjukkan sisa-sisa kudrat yang tinggal, pada saat-saat sedih dan
duka.
UMNO, parti orang Melayu yang terlalu banyak jasa dan begitu lama
mendominasi politik Malaysia melalui kerjasama dalam Perikatan dan
kemudian Barisan Nasional (BN), menyatukan begitu ramai orang Melayu dan
rakyat Malaysia kerana kuasa yang dipegangnya.
Sungguhpun ada kekhilafan - yang merupakan suatu hakikat yang tidak
dapat dielakkan kerana UMNO dan BN didokong oleh berjuta-juta ahli
politik yang pelbagai ragam, pandangan, kepentingan, kualiti dan
keperibadian - pertubuhan politik itu pada umumnya menggunakan kuasanya
dengan begitu bertanggungjawab.
Ia jelas terpancar daripada pencapaian Malaysia yang amat hebat
sebagai sebuah negara moden yang bertunjangkan masyarakat pelbagai kaum,
yang kalau di negara lain latar belakang tersebut menjadi resipi kepada
malapetaka politik.
Dengan kuasa itulah, UMNO menjadi gerakan politik massa yang mengubah
landskap masyarakat Malaysia ke arah suatu pencapaian yang tidak pernah
kita dapat bayangkan.
Ditubuhkan 66 tahun lalu, UMNO menjanjikan tanah air kita suatu
impian yang pragmatik dalam politik, sistem kerajaan, ekonomi dan
lapangan-lapangan lain termasuk usaha membangunkan syiar Islam.
Tidak ramai orang Melayu sedar bahawa mereka kini hidup dalam masa
depan yang UMNO cuba ciptakan sejak tahun 1946 dan masa depan yang
dirintis melalui kerjasama politik dalam Perikatan sejak merdeka pada
1957 dan kemudian diteruskan oleh BN.
Keadaan semasa politik Malaysia sekarang - iaitu masa depan bagi masa
yang telah dilalui - kini berdepan dengan cabaran yang luar biasa.
Pertarungan politik yang tidak habis-habis yang kita saksikan sejak
Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 adalah antara episod
cemas dalam politik Malaysia yang juga pernah dilalui dalam pergolakan
tahun 1969, 1987 dan 1999, tetapi dalam setiap krisis itu UMNO dan BN
berjaya bangkit dan pulih.
BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam PRU-12 dan
hilang kuasa di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain gagal
mencabar penguasaan Pas di Kelantan.
Dengan pengalaman itu dan pertarungan politik yang begitu lama, para
pengundi di Malaysia kini memasuki minggu dan bulan terakhir sebelum
Dewan Rakyat dibubarkan dan PRU-13 diadakan. Mandat Dewan Rakyat
sekarang sepatutnya tamat pada 28 April 2013.
Sejak ucapan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 lagi, tidak lama
selepas dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah
Ahmad Badawi, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berpesan
kepada semua orang Melayu supaya berpasak kepada UMNO dan bertetap
kepada panji-panji BN.
Putrajaya, kota pentadbiran yang menjadi simbol kuasa, kata Najib,
mesti dipertahankan. Orang Melayu hanya dapat mengharapkan UMNO membela
nasib mereka. Rakyat Malaysia pula terpaksa menerima hakikat BN
merupakan pilihan terbaik dalam politik negara ini.
Ketika beliau mengungkapkan kata-kata itu pada Oktober 2010, tarikh akhir pilihan raya patut diadakan tinggal 30 bulan lagi.
Masa berjalan begitu pantas. Kini dengan tarikh akhir pilihan raya
harus diadakan tinggal kira-kira lima bulan lagi, mesej beliau dalam
Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir semalam tetap sama:
Pertahankan
pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini
pertahankan
pertahankan Putrajaya."
Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, UMNO dan BN telah melalui fasa
krisis, kesedaran, pemulihan dan pembinaan semula kekuatan semula
jadinya.
Menurut Najib dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan itu, tidak ada
parti pembangkang dapat memberikan apa yang UMNO dan BN tawarkan,
lebih-lebih lagi bagi orang Melayu.
Momentum
Beliau bersama rakan-rakan dalam pimpinan UMNO dan BN telah
menyediakan gerak kerja ke arah pilihan raya. Ketika momentum pemulihan
digerakkan dalam parti, dalam kerajaan beliau memperkenalkan
dasar-dasar, antara yang paling imaginatif ialah Dasar Transformasi
Nasional, dan pelbagai inisiatif yang gravitinya adalah kesejahteraan
rakyat.
Dari segi pendekatan dan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan,
Malaysia mengalami lonjakan yang hebat di bawah Najib yang pada hari ini
baru mentadbir negara sebagai Perdana Menteri selama 1,339 hari.
Jika beliau diberikan tempoh yang lebih lama untuk mentadbir dan
memperoleh mandat baharu yang besar dalam PRU-13, tidak mustahil Najib
menjadi antara Perdana Menteri dan pemimpin Malaysia yang paling
cemerlang dan mencipta satu tanda aras baharu kepada kepimpinan dan
pentadbiran negara.
Dengan pengalamannya yang begitu lama dalam pentadbiran dan politik
sejak berusia 23 tahun, Najib, kini berumur 59 tahun dengan 36 tahun
daripada hayatnya berkecimpung dan berbakti dalam politik, tentulah
beliau berupaya menawarkan sesuatu yang lebih hebat daripada
kepimpinannya.
Para pengundi di Malaysia seramai 13.1 juta orang, yang 2.9 juta
orang merupakan pengundi pertama kali, wajar memberikan Najib dan parti
komponen BN yang dipimpinnya peluang tersebut pada PRU-13.
Bagaimanapun, seperti yang diakui oleh begitu banyak ahli politik dan
penganalisis, populariti pemimpin tertinggi parti bukan menjadi
satu-satunya faktor yang akan memenangkan UMNO dan BN.
Najib sendiri mengakui dalam ucapannya bahawa disiplin organisasi
dalam UMNO dan BN juga menentukan kejayaan dalam pertembungan pada
PRU-13. Sudah tentu beliau merujuk kepada kemungkinan sabotaj dalam
parti oleh sesetengah pihak.
Sudah beberapa tahun idea mengenai pemilihan calon boleh menang
diketengahkan dalam parti. Najib memahami sensitiviti isu itu dan jelas
amat berhati-hati dengan reaksi barisan kepimpinan akar umbi UMNO.
Beliau mahu mereka memahami dilema politik yang dihadapinya bahawa UMNO
dan BN tidak boleh menurunkan calon-calon yang tidak boleh menang dalam
PRU-13.
Dalam ucapan penggulungannya pada akhir Perhimpunan Agung UMNO di
Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam, beliau berterus terang
mengenai pendiriannya dalam hal itu dan memuji wira-wira tidak
didendang dalam UMNO iaitu berjuta-juta ahli lelaki dan wanita yang
tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi kasih, komited dan setia kepada
UMNO."
Dua tahun lalu, dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010, dibangkitkan
tentang usaha-usaha untuk mendaftar pengundi baru yang menunjukkan UMNO
dan BN tidak begitu aktif melakukannya. Sudah tentu dalam tempoh
menjelang PRU-13 kekurangan tersebut telah dibetulkan.
Isu menguruskan persepsi, peranan media baru seperti blog, Facebook
dan Twitter, kempen khas untuk kumpulan-kumpulan tertentu, dan strategi
komprehensif untuk menarik para pengundi muda yang jumlahnya begitu
besar sudah dibincangkan.
Isu-isu tempatan, manifesto untuk memenuhi harapan rakyat, pola
pengundian yang umum dan spesifik, percaturan pembangkang, keunikan dan
harapan yang berbeza bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan
Negeri yang ditandingi serta keperibadian calon-calon juga dikenal pasti
antara faktor-faktor dalam pilihan raya yang telah diperhalusi oleh
pucuk pimpinan UMNO dan BN.
Akhirnya semua analisis mengenai persediaan pilihan raya akan
terjurus kepada gambar besar dalam bingkai politik Malaysia, iaitu tidak
ada parti boleh berkuasa tanpa sokongan segenap segmen pengundi.
Oleh kerana tunjang negara Malaysia adalah masyarakat berbilang kaum,
maka kepelbagaian sokongan kaum dalam pilihan raya menjadi asas-asas
terpenting kepada kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya.
Najib amat menyedari realiti politik itu. Kerana itulah dalam ucapan
dasarnya pada Khamis lalu beliau mengajak ahli-ahli UMNO dan para
penyokong BN untuk menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi
hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik."
Gerbang harapan
Tegasnya: Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha
untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap
pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan."
Beliau mengukuhkan hujah itu dalam penggulungannya semalam dengan
melaungkan sumpah dan doa ahli-ahli UMNO untuk berjuang mendapatkan
setiap undi kerana kita berjuang bukan untuk diri sendiri, kita
berjuang untuk anak-anak kita."
Pertaruhannya adalah sistem nilai, kepercayaan, pegangan agama Islam,
nasib orang Melayu dan masa depan kehidupan rakyat Malaysia.
UMNO dan BN menyedari betapa kemenangan kecil dan besar dalam setiap
kali pilihan raya umum pasca merdeka sejak tahun 1959, 1964, 1969, 1974,
1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 akhirnya ditentukan
oleh setiap undi daripada pengundi pelbagai kaum.
Para pengundi inilah, yang jumlahnya 13.1 juta orang di seluruh
negara, perlu dipujuk dan didekati untuk membolehkan calon-calon BN
mematahkan calon-calon parti pembangkang pada PRU-13 nanti. Terdapat 222
kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri jadi rebutan.
Ini menjadikan jalinan strategik dengan rakan-rakan dalam komponen BN
begitu mustahak untuk memahami gerak hati para pengundi bukan Melayu,
khususnya pengundi Cina dan India. Tidak dapat tidak, UMNO memerlukan
MCA, Gerakan, MIC, PPP, PBS dan lain-lain parti komponen BN segera
melakukan pemulihan politik bagi menterjemahkan usaha-usaha mereka
mendekati orang bukan Melayu ke dalam undi untuk menyokong BN.
Pesanan Najib yang penting diingat ialah: Setiap undi dikira; semua
pintu hati diketuk; segala isu yang dekat di hati pengundi diselami.
Pendekatan itu memerlukan fokus, ketelitian dan satu pencapaian yang dapat diukur dan digandakan keberkesanannya.
Najib sudah tentu mengharapkan 13.1 juta pengundi yang akan
menggunakan kuasa mereka pada PRU-13 membantunya dengan penuh kesedaran,
memberi beliau suatu mandat baharu dalam bentuk kemenangan majoriti dua
pertiga di Dewan Rakyat dan menebus semula kawasan Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri yang UMNO dan BN kalah pada 2008.
Ahli-ahli UMNO dan penyokong BN yang mengikuti perjalanan politik
Najib sejak muda serta bakat kepimpinannya sebagai pemimpin nasional
tentulah tahu bahawa faktor trust (kepercayaan) menjadi sebahagian
daripada tarikan keperibadiannya.
Seperti yang diperlihatkan dalam ucapannya yang jujur dan bersemangat
pada Perhimpunan Agung UMNO, beliau ialah seorang pemimpin yang dapat
kita sandarkan harapan, amanah dan tanggungjawab. Di bahunya terpikul
perjuangan membela nasib bangsa, agama dan negara.
Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan
kepimpinan UMNO dan BN amat mengharapkan mereka dapat membawa Malaysia
keluar daripada konflik politik yang berlarutan sejak 2008, dan usaha
itu bukan tugas mereka semata-mata tetapi juga menjadi sesuatu yang
perlu disokong oleh seluruh rakyat.
Kita semua tahu bahawa Malaysia pasti menjadi sebuah negara yang
lebih hebat tanpa pertarungan kuasa sia-sia itu yang sewajarnya
ditinggalkan tidak lama lagi. Pengalaman perebutan kuasa yang
memporakporandakan itu tidak sekali-kali dapat dilupakan kerana ia kekal
sebagai salah satu episod hitam bangsa kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan