31 Januari 2012

Zulkifli cabar saman WSJ jika salah lapor

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman The Wall Street Journal (WSJ) jika benar penerbitan itu silap melaporkan kenyataannya berhubung isu Israel.
Kata Zulkifli, Anwar tidak sepatutnya hanya berani menyaman media tempatan terutamanya Utusan Malaysia kononnya mendakwa kenyataan beliau sering disalah lapor.
''Kalau berani, kalau ada pendirian, silakan saman The Wall Street Journal. Tengok apa jadi nanti. Dan saya nasihatkan media Malaysia, eloklah hubungi editorial The Wall Street Journal. Beritahu mereka Anwar kata dia telah disalah lapor," katanya menerusi entri terbaru bertajuk Al-Yahud di blognya di http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.
Entri itu merujuk kepada kontroversi kenyataan Anwar menerusi wawancara dengan WSJ pada 26 Januari lalu yang antara lain menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pas sendiri menyebabkan Anwar menerusi blognya dua hari kemudian memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataannya.
Zulkifli dalam entri yang sama turut mendesak pemimpin Pas menyatakan pendirian berhubung kenyataan itu yang disifatkan beliau sangat penting kerana melibatkan soal maruah negara.
Katanya, pemimpin Pas perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka berkongsi rasa dan pandangan dengan Anwar apatah lagi Penasihat PKR itu mahu ditabalkan sebagai pemimpin kepada pakatan pembangkang.
''Persoalan yang rakyat Malaysia dan umat Islam ingin tahu adalah, adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengiktiraf rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengadakan hubungan diplomatik dengan rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan menghantar tentera Malaysia untuk melindungi keselamatan rejim zionis Israel?
''Ini penting kerana rakyat tidak diberitahu apa pendirian mereka jika menjadi kerajaan. Dalam manifesto tidak ada dan dalam Buku Jingga pun tidak ada. Jangan nanti rakyat diperdaya, merasa tertipu dan ditipu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

Memalukan Malaysia, dunia Islam - Fairus

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menyokong semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel bukan sahaja memalukan Malaysia, malahan dunia Islam secara keseluruhan.
Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, sebagai seorang Islam, seseorang individu itu perlu mengutamakan 'keselamatan' rakyat Palestin terlebih dahulu yang saban hari berhadapan dengan tindakan kejam rejim Zionis.
Katanya, walaupun Anwar menyebut keperluan Israel 'menghormati' aspirasi Palestin ketika dalam satu wawancara baru-baru ini, Ketua Pembangkang itu dilihat condong menyebelahi rejim Zionis apabila menjawab tentang prospek hubungan diplomatik Malaysia -Israel jika beliau menjadi Perdana Menteri nanti.
"Sebagai bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), kenyataan Anwar itu amat memalukan, tidak bertanggungjawab, hina dan keji. Semua negara Islam mengutuk tindakan Zionis yang hampir setiap hari melakukan penahanan sewenang-wenang terhadap rakyat Palestin.
"Daripada seorang yang konservatif sewaktu memimpin ABIM, Anwar kini dilihat semakin liberal dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan termasuk isu 'gay' semata-mata kerana ingin memenangi hati dunia Barat, seterusnya mengimpikan cita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah wawancara Anwar dengan WSJ Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.
Dalam wawancara itu, Anwar tidak menyatakan secara jelas sama ada berhasrat membuka hubungan diplomatik dengan Israel, apabila hanya memberitahu usaha berkenaan bergantung sama ada Israel akan menghormati aspirasi rakyat Palestin.
Mohammad Fairus menambah, ekoran kenyataan itu, tidak mustahil Anwar akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri pada masa depan.
"Ini semua kuasa Allah, rakyat kini dapat menilai sikap lidah bercabang dan putar-belit Anwar. Sepatutnya setiap umat Islam perlu menyatakan pendirian teguh bahawa Palestin harus menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat tanpa sebarang syarat," tegasnya.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula memberitahu, kenyataan terbaru Anwar itu membuktikan Penasihat PKR itu kini berusaha memulihkan imej beliau setelah pendiriannya yang berubah-ubah dalam isu Israel-Palestin diketahui dunia Barat.
"Anwar berdolak-dalih di sini bagi meredakan kemarahan penyokongnya. Seorang 'putar alam' seperti Anwar akan terus berbohong sedangkan segala butiran temuramahnya ada direkodkan.
"Anwar juga tidak dapat menahan dirinya daripada 'menjaga keselamatan Israel' setelah negara itu muncul sebagai destinasi pelancongan 'gay' terbaik bagi tahun 2011," tegasnya. 
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

Guris perasaan umat Islam seluruh dunia

SHAH ALAM 30 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan negara Israel kerana ia boleh menyentuh perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor menegaskan, pihaknya boleh menerima penjelasan yang diberikan oleh Anwar bahawa beliau menyokong agar tiadanya hubungan diplomatik dengan rejim Zionis ekoran kenyataan kontroversinya mengenai 'sokongan terhadap usaha memberikan perlindungan kepada keselamatan Israel'.
Namun, katanya, Anwar perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa The Wall Street Journal (WSJ) tidak memetik sepenuhnya kenyataan beliau itu.
''Kita nasihatkan beliau (Anwar) agar tidak mengulangi kenyataan sedemikian kerana ia memberikan impak besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ pada Khamis lalu yang antara lain memetik; ''Saya sokong usaha untuk melindungi keselamatan Israel''.
Mohd. Roslan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Tamadun dan Sejarah Islam Universiti Malaya berkata, apa yang diperkatakan oleh Anwar itu membabitkan isu antarabangsa dan ia perlu mengambil kira perjuangan rakyat Palestin yang lama tertindas oleh rejim Zionis.
''Semenjak Palestin dijajah pada 1917 hingga hari ini, rakyatnya hidup dalam sengsara, terbuang dan menjadi pelarian. Hak rakyat Palestin mesti terus dibela," katanya.
Justeru, beliau meminta agar tidak ada mana-mana pihak termasuk para pemimpin politik di negara ini menimbulkan sesuatu yang menyebabkan rakyat Palestin terus dihina.
''Umat Islam perlu membela rakyat Palestin. Kerajaan mesti mengelakkan diri daripada mengadakan hubungan dengan Israel dan agensinya selagi Israel tidak mengiktiraf negara Palestin.
''Kerajaan perlu desak Israel agar berundur dari tanah yang diceroboh dan mendesak mereka berundur ke sempadan," katanya yang juga lulusan Pengajian Islam Jurusalem.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

Penasihat PKR khianati bangsa Palestin, umat Islam

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Palestin dan umat Islam keseluruhannya.
Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana rejim Zionis telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama.
Menurut beliau, bukan sahaja penduduk Palestin, sukarelawan dan aktivis kemanusiaan yang cuba menghulurkan bantuan di Palestin juga turut terkena 'tempias' kekejaman Israel apabila konvoi bantuan mereka diserang serta disekat untuk melaksanakan misi berkenaan.
''Jika pengganas termasuk negara pengganas menzalimi mangsanya, patutkah kita bersimpati dengan mereka (pengganas) atau bersimpati dengan mangsa?
''Setiap kali Zionis Israel membunuh rakyat Palestin, mereka menggunakan alasan mempertahankan keselamatan negara.
''Alasan yang sama juga digunakan apabila jentolak Israel merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas wawancara Anwar dengan The Wall Street Journal Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.
Mukhriz berkata, Israel tidak seharusnya 'dibela' setelah ramainya penduduk di Gaza dibunuh, beratus-ratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilanggari, aktivis Flotila Kebebasan ditembak mati dan sukarelawan PGPF ditahan kerana membawa bekalan bantuan.
''Kini seorang yang bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri pula menggunakan alasan yang sama dalam menyokong negara pengganas Israel.
''Anwar mengkhianati Palestin dan umat Islam sedunia. Malah, masyarakat dunia berbilang agama yang menuntut keadilan bagi Palestin juga turut terkejut dengan kenyataan Anwar yang sebelum ini menonjol dirinya sebagai pemimpin Islam,'' tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

30 Januari 2012

Kenapa tidak dakwa The Wall Street Journal silap?

PUTRAJAYA 29 Jan. - Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan The Wall Street Journal jelas menunjukkan penerimaan dan sokongan beliau terhadap segala tindakan kejam yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, adalah jelas kenyataan tersebut bertujuan mendapatkan sokongan antarabangsa, khususnya masyarakat dan penyokong-penyokong negara Yahudi itu dalam usaha menghadapi pilihan raya.
Sebelum itu, beliau mengingatkan kembali tindakan Anwar di Dewan Rakyat pada Mac lalu yang menuduh konsep 1Malaysia ditiru daripada konsep rejim zionis di Israel. Tindakan ini telah menyebabkan kecaman daripada pemimpin-pemimpin Yahudi.
"Dengan kenyataan yang dibuat oleh beliau di The Wall Street Journal itu adalah jelas sekarang di mana letaknya prinsip dan pendirian Anwar Ibrahim mengenai isu Palestin dan saya yakin rakyat akan dapat membuat penilaian mereka sendiri.
"Kenyataan beliau yang menyokong penuh semua tindakan Israel bagi menjaga keselamatan negara itu adalah jelas, kecuali kalau beliau ingin mendakwa The Wall Street Journal melakukan kesilapan," katanya.
Sementara itu, Anifah menegaskan, kerajaan tidak pernah menyokong tindakan penindasan rakyat Palestin yang ditakrifkan Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negara tersebut.
"Malahan kita telah bersama-sama masyarakat antarabangsa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang jelas melanggari perundangan antarabangsa.
"Kerajaan Malaysia berpendirian bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui perundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12

Pembangkang fitnah BN tidak bantu rakyat - Noh

TANJONG KARANG 29 Jan. - Rakyat diingatkan agar tidak terjerat dengan tuduhan-tuduhan pakatan pembangkang, kononnya Barisan Nasional (BN) tidak pernah melakukan apa-apa untuk membantu meninggikan taraf hidup masyarakat semua kaum di negara ini.
Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, ingatan itu diberikan ekoran tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas ketika ini cuba mengelirukan rakyat dengan melemparkan tohmahan dan serangan terhadap program serta skim-skim bantuan kerajaan.
Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang itu hanya satu helah untuk memburuk-burukkan kerajaan pimpinan BN, selain menyemai politik kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan negara.
"Kita lihat menerusi laporan media propembangkang, mereka sering membuat tuduhan tertentu, seperti kerajaan tidak bantu rakyat, bantuan yang diberikan kepada rakyat hanya untuk pilihan raya dan sebagainya.
"Namun, hakikatnya sepanjang 55 tahun memerintah, kerajaan BN telah banyak menyalurkan bantuan sebagai satu usaha dan tanggungjawab kerajaan untuk membangunkan, meninggikan taraf hidup dan mengurangkan beban rakyat sehingga ke hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pakatan pembangkang hanya tahu bercakap dan membuat janji sahaja.
Sebaliknya, beliau berkata, apabila rakyat menikmati hasil daripada pengurusan kewangan dan pentadbiran negara di bawah BN menerusi program-program, bantuan yang disediakan, mereka bertindak mengelirukan rakyat.
Tambah Noh, usaha kerajaan pimpinan BN membantu rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilihat apabila 100,000 keluarga seluruh negara daripada semua kaum dan berpendapatan rendah akan menikmati hasil daripada pendapatan pelaburan saham amanah di bawah Sara 1Malaysia.
Katanya, di bawah skim berkenaan, kerajaan menanggung RM100 juta kos faedah bagi pinjaman RM5,000 yang berikan kepada setiap mereka yang layak bagi tempoh lima tahun.
"Hasil daripada pinjaman pelaburan itu, mereka yang layak akan menerima pulangan RM13,000 dalam tempoh lima tahun. Mereka juga tidak perlu tanggung kadar faedah daripada pinjaman, inilah bukti kerajaan untuk membantu dan mendahulukan rakyat," jelasnya.
Pada masa yang sama, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang turut menyatakan, banyak lagi bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan seperti bantuan persekolahan RM100, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan sebagainya.
"Bantuan tersebut diberikan kepada semua kaum atas dasar prinsip Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Inilah pendirian pentadbiran di bawah BN yang melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat.
"Banyak lagi bantuan yang kerajaan berikan, tetapi rakyat tidak menyedarinya, seperti subsidi dan sebagainya. BN bukan seperti pembangkang yang bersifat seperti ayam yang 'telur sebiji, riuh sekampung'," katanya. 
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12

Bukti Anwar lidah bercabang


PETIKAN kenyataan Anwar Ibrahim seperti disiarkan The Wall Street Journal, kelmarin.


KUALA LUMPUR 29 Jan. - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya kenyataan beliau yang menyokong segala usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel, sengaja diputar-belit oleh media tempatan adalah satu lagi bukti sikap lidah bercabang Ketua Pembangkang itu.
Sambil mempersoalkan sejak bila hak rakyat Palestin dibela oleh Israel sehingga ketua pembangkang itu sanggup menyokong keselamatan negara Yahudi itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, tindakan Anwar bertujuan menyuci dosanya terhadap zionis.
"Ini bukti satu lagi sikap lidah bercabang. Sejak bila hak rakyat Palestin dibela Israel? Rakyat Palestin setiap hari dibunuh oleh Israel, apakah Anwar tidak tahu? Anwar sedar semua ini tetapi demi kepentingan politik beliau sanggup mengutamakan Yahudi demi menjaga hati zionis.
"Ini kerana Anwar mahu barat melihat beliau kawan kepada zionis dan golongan neo konservatif (kumpulan pro-Yahudi) selepas terlajak menghentam Apco Worldwide tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kenyataan kontroversi Anwar itu terbongkar apabila akhbar The Wall Street Journal pada Khamis lalu mendedahkan sokongan Ketua Pembangkang tersebut kepada Israel apabila dipetik sebagai berkata: "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."
Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.
Sebaliknya, menurut Anwar, kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi, maka, wajar hak rakyat Israel juga dihormati, selaras dengan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi.
Mengulas isu sama, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, alasan yang diberi dalam menghalalkan sokongan ke atas Israel membuktikan Anwar buta sejarah kerana zionis tidak pernah mengiktiraf hak rakyat Palestin mahu pun orang Islam.
"Golongan Yahudi ini memang telah ditegaskan dalam al-Quran bahawa mereka akan sentiasa memerangi dan menindas orang Islam khususnya bangsa Palestin. Jadi di mana logik alasan yang diberikan Anwar untuk beliau menghalalkan sokongannya kepada Israel.
"Semua ini sebenarnya cerminan sikap beliau yang sejak dahulu pro-Yahudi. Sebab itu Anwar tergamak menyokong segala usaha demi keselamatan Israel ketika rakyat Palestin setiap hari dibunuh dengan kejam dan hak mereka sebagai manusia dinafikan," katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Zahid mencabar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menyatakan sokongan ke atas Anwar dalam isu negara Israel dengan segera, kerana beliau adalah calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.
Menurut beliau, Pas perlu menyatakan pendirian dengan jelas berhubung sokongan Anwar ke atas keselamatan Israel itu kerana pendedahan mengenainya, dibuat oleh akhbar antarabangsa yang sangat dipercayai pihak pembangkang dan bukannya media tempatan.
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12

18 Januari 2012

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)

TERIMA KASIH...Naning Ramain, 89, yang digendong oleh anaknya, Takbiro Naning dari Pulau Larapan, Semporna, Sabah pulang bersama baucar Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bernilai RM500 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Bersama Rakyat di Padang Semporna, hari ini. - Foto BERNAMA
Jan 17, 2012 4:47 pm

Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012

17 JAN. 2012: Ada sesuatu yang melucukan sehingga mengundang ketawa Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah (tengah); Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mereka menghadiri Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012 di Kuala Lumpur. - Utusan/ASWAD YAHYA

Institut Wasatiyah ditubuh


Najib Tun Razak berucap pada majlis persidangan antarabangsa mengenai Gerakan Kesederhanaan Global 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Penubuhan Institut Wasatiyah yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merupakan salah satu inisiatif terbaru kerajaan mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.
Selain institut itu yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Najib turut mengumumkan penubuhan Kursi Wasatiyah di Universiti Malaya (UM) serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.
"Penubuhan Institut Wasatiyah itu nanti akan berperanan memberi tumpuan terhadap aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan, maruah dan harga diri seseorang serta keadilan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini hari ini.
Persidangan yang julung kali diadakan itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan dihadiri oleh kira-kira 300 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk pemimpin-pemimpin utama dunia.
Dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), persidangan itu akan mengupas mengenai aspek kesederhanaan menerusi 13 topik berkaitan termasuk kewangan global, keamanan sosial dan polisi luar.
Pada majlis sama, Najib turut melancarkan buku berjudul Global Movement of Moderates yang merupakan hasilan nukilan beliau sendiri dan akan diterbitkan oleh Razak School of Government.
Beliau menambah, penubuhan Kursi Wasatiyah di UM bertujuan melahirkan lebih ramai sarjana dan cendekiawan yang menerajui semangat kesederhanaan dan keseimbangan seperti tokoh Islam terkemuka al-Imam Ibnul Qayyim dan pemegang kursi itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Penubuhan Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pula jelas beliau, bagi mengangkat peranan GMM sebagai pusat penyatuan kepada usaha menentang keganasan dan ekstremis sama ada yang digerakkan oleh agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Selain menjadi inisiatif eksklusif yang digerakkan oleh Malaysia, GMM juga akan menyokong inisiatif lain yang digerakkan oleh badan antarabangsa ke arah mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan termasuk dialog dan kerjasama sama seperti United Nations Alliance of Civilisations (UNOAC)," katanya.
Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri memberi penekanan terhadap gerakan kesederhanaan atau wasatiyah bukanlah bermaksud perlu menjadi lemah atau mengalah sebaliknya semakin berani untuk melangkah ke depan dan mencipta sesuatu yang lebih baik.
Lebih daripada itu, kata beliau, kesederhanaan dan keseimbangan juga merupakan pendekatan terbaik dalam menolak fahaman ekstremis kerana keganasan tidak boleh didepani dengan keganasan kerana ia hanya akan mengakibatkan lebih banyak kemusnahan.
"Fahaman ekstremis tidak pernah dialu-alukan dalam mana-mana agama dan sejarah juga tidak pernah dicatatkan oleh mereka yang menyokong amalan ekstremis sebaliknya oleh mereka yang kekal pada landasan perjuangan kesederhanaan dan kesimbangan tanpa mengorbankan kepercayaan mereka," katanya.
Dalam hubung kaitnya dengan ekonomi pula, Najib berkata, amalan kesederhanaan dan keseimbangan bermaksud pasaran tidak boleh dibenarkan bersifat bebas dan neutral serta membawa pulangan yang tidak adil dan saksama kepada semua pihak.
"Malah dalam ajaran Islam sendiri, struktur dan prinsip kewangan Islam telah lama meletakkan kepentingan awam lebih tinggi daripada kepentingan peribadi," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 18/01/12

Umat Islam sokong LGBT murtad


DATUK NOOH GADOT


KUALA LUMPUR 17 Jan. – Umat Islam yang menolak hukum agama yang melarang amalan hubungan sejenis seperti yang diperjuangkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dianggap melakukan jenayah akidah dan terkeluar daripada agama Islam atau murtad.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot berkata, ini kerana tindakan itu jika dilakukan dengan akal yang waras sama seperti menghina dan merendahkan hukum Allah SWT.
‘‘Amalan sejenis LGBT ini adalah sesuatu yang keji, kotor, jijik dan dilarang serta ditegah oleh Islam.
‘‘Sesiapa juga yang menghalalkan hukum ini sama ada melalui al-Quran dan hadis juga ijma’ ulama perlu bertaubat nasuha dan kembali mengucap dua kalimah syahadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada percubaan beberapa pihak yang mahu menghalalkan hubungan sejenis di negara ini termasuk dengan menekan undang-undang negara yang meletakkan hubungan itu sebagai kesalahan jenayah.
Ia termasuk Majlis Peguam yang menolak hubungan sesama jenis yang dilakukan secara suka sama suka antara orang dewasa suatu jenayah sekali gus tidak harus dibawa ke mahkamah.
Selain Majlis Peguam, hubungan sejenis itu turut mendapat sokongan Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) yang mendesak kerajaan menghalalkan aktiviti LGBT dengan meminda undang-undang sedia ada kononnya bagi memastikan perundangan negara seiring dengan undang-undang antarabangsa.
Menurut Nooh, selain pengamal hubungan sejenis, individu yang cenderung kepada kefahaman itu serta mereka yang bersahabat, bekerjasama, bersubahat atau bersetuju dengan perbuatan itu juga dianggap melakukan jenayah akidah.
Ia kata beliau, termasuk mereka yang memberi laluan atau mengeluarkan bantuan kewangan kepada kumpulan yang menyokong kebebasan seksual itu.
‘‘Dalam hal ini kita boleh merujuk kepada firman Allah SWT menerusi surah Hud ayat 113 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan’,” katanya.
Katanya lagi, kefahaman yang menghalalkan hubungan sejenis juga telah membuang hukum berhubung perkahwinan yang antaranya rukun nikahnya ialah perkahwinan antara lelaki dan perempuan.
Justeru tambah beliau, mereka yang menolak hukum dan ketetapan Allah SWT serta Rasulullah SAW itu bermakna telah menolak al-Quran dan sunah sekali gus tergolong dalam kumpulan yang sesat dengan kesesatan yang nyata.
Dalam pandangan serupa, bekas Fellow Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin menilai, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai undang-undang homoseksual negara itu bermotifkan politik iaitu mengharapkan sokongan daripada kumpulan yang berfikiran sekular serta liberal.
Anwar juga kata beliau, cuba menonjolkan kepada masyarakat dunia terutamanya Barat bahawa beliau boleh bersifat terbuka dalam perjuangan hak asasi manusia termasuk dalam soal hubungan sejenis meskipun perkara itu jelas ditolak oleh semua agama.
“Di negara ini kenyataan seperti itu mungkin boleh memberikan kelebihan politik daripada sekumpulan kecil kelompok masyarakat, tetapi bagi mereka yang waras ia adalah satu kenyataan yang melampau,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, undang-undang mengenai homoseksual tidak sepatutnya dipertikai kerana perbuatan itu ditegah oleh semua agama.
Sambil menyifatkan hubungan sejenis itu merupakan kesalahan yang diketahui meskipun oleh kanak-kanak, beliau berkata, orang dewasa yang menyokong perbuatan itu boleh dianggap terkeluar daripada Islam kerana menolak hukum Allah.
“Justeru saya menasihati umat Islam di negara ini agar tidak menunjukkan sokongan kepada gerakan yang cuba menghalalkan hubungan sejenis termasuk memilih pemimpin yang cenderung menyokong aktiviti seperti itu,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 18/01/12

16 Januari 2012

Negara 'hancur' jika jatuh ke tangan pembangkang

SHAH ALAM 15 Jan. - Malaysia boleh hancur jika jatuh ke tangan pembangkang kerana pemimpinnya sering mengutarakan kenyataan dan cadangan yang mengabaikan sensitiviti rakyat jika mereka memerintah.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keadaan itu boleh berlaku jika merujuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual dan mahu ia disemak semula serta usul bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga agar perasuah kecil diampunkan.
Ahmad berkata, kedua-dua perkara itu boleh memusnahkan negara jika dilaksanakan.
"Apa yang dilakukan Anwar dan Ambiga memang tidak bertanggungjawab. Anwar lupakah Malaysia negara Islam dan 60 peratus rakyatnya beragama Islam? Jika Anwar mahu membuat kenyataan seperti itu buatlah untuk negara Barat, bukan negara ini.
"Ambiga pula mana boleh bezakan rasuah kecil dan besar kerana rasuah itu tetap rasuah tidak kira berapa nilainya. Pada saya kedua-dua kenyataan dan cadangan ini jika dilaksanakan akan membawa Malaysia ke arah kehancuran," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar dalam satu wawancara dengan BBC Asia pada Khamis lalu dan usul Ambiga semasa berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar, Kedah.
Dalam wawancaranya dengan BBC Asia, Anwar menyatakan agar sebahagian daripada undang-undang lapuk negara disemak semula ketika ditanya berkaitan golongan gay di negara ini, sementara Ambiga pula mengusulkan agar perasuah kecil diampunkan jika pakatan pembangkang memerintah.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN) ditemui selepas menghadiri Majlis Empat Peringkat Penerangan BN negeri di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus dan ketua-ketua penerangan parti komponen BN.
Dalam pada itu, Ahmad mahu jentera penerangan BN bekerja lebih keras bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Sekarang jentera penerangan perlu masuk 'gear' lima dalam melaksanakan kerja-kerja penerangan bagi memastikan kemenangan BN," katanya.

/hwa: ut

'Pas hanya pandai berjanji'

KOTA BHARU 15 Jan. - Rakyat negeri ini harus berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana memberikan pelbagai bantuan termasuk yang terbaru Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia berbeza dengan kerajaan Pas Kelantan yang hanya pandai berjanji sejak 22 tahun lalu tetapi tidak menunaikannya.
Beliau berkata, bantuan-bantuan tersebut telah membuktikan bahawa Kerajaan Pusat sejak dahulu lagi mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
"(Pada masa) 20 tahun lalu, kerajaan Pas Kelantan telah berjanji untuk memberikan sumbangan sebanyak RM100 kepada rakyat yang berusia 55 tahun ke atas tetapi sehingga hari ini bantuan itu tidak ada.
"Selain itu, di Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberikan bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada 32,000 orang dan hari ini, mereka dapat lagi RM500 untuk BR1M, kita adil dalam memberikan bantuan tidak kira latar politik, agama dan kaum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengagihan BR1M di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.
Pada majlis tersebut seramai 1,518 orang menerima bantuan tersebut secara tunai berjumlah RM750,000.
Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pengagihan wang tersebut akan diagihkan ke seluruh Kelantan dalam tempoh dua bulan bermula hari ini.
"Majlis hari ini merupakan pengagihan BR1M yang pertama di negeri ini. Sehingga kini seramai 70,000 rakyat negeri ini layak menerima bantuan ini.
"Bagi nama-nama yang tercicir ada proses rayuan. Inilah konsep negara berkebajikan yang kerajaan buat sejak dahulu lagi tetapi pembangkang baru hendak laung-laungkan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 16/1/12

12 Januari 2012

Abdul Hadi juga patut dipecat?

KOTA BHARU 11 Jan. - Majlis Syura Pas yang diketuai oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memecat presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, Abdul Hadi telah datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk membincangkan perkara tersebut dan bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan bagaimanapun berkata, rancangan itu tidak menjadi kenyataan kerana ditentang oleh Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin lain dalam Pas.
"Abdul Hadi bersetuju untuk tubuh kerajaan perpaduan. Saya tahu kerana pada ketika itu saya adalah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, malah saya terlibat secara langsung bertemu dengan beberapa pemimpin Pas untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
"Kalau bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat maka Nik Abdul Aziz sewajarnya memecat Abdul Hadi kerana membelakangi parti. Nik Abdul Aziz adalah Mursyidul Am Pas yang mengetuai Majlis Syura dan kedudukannya lebih tinggi daripada Abdul Hadi.
"Sebab itu saya melihat tindakan Pas pecat Hasan tidak mengikut syariat tetapi mengikut kepentingan parti selepas ditekan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi di Politeknik Kota Bharu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Pas memecat Hasan kerana mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar parti itu.
Kontroversi membabitkan Hasan bermula apabila dia bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan beberapa orang Islam.
Hasan menjadi tumpuan lagi apabila mempertikaikan perubahan dasar perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.
Kelantangan Hasan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam telah mengundang rasa tidak senang DAP serta beberapa pemimpin tertinggi PKR sehingga ada yang menganggap beliau sebagai 'duri dalam daging' kepada pakatan pembangkang.
Hasan sekali lagi menjadi perhatian apabila tidak menyokong perhimpunan Bebaskan Anwar 901 kelmarin dan menyarankan orang ramai khususnya mahasiswa tidak menyertainya.
Kenyataan tersebut mengundang kemarahan PKR selaku penganjur perhimpunan sehingga Timbalan Presidennya, Azmin Ali menggesa Pas mengambil tindakan terhadap Hasan.
Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, Hasan perlu dipertahankan supaya beliau dapat meneruskan agenda menegakkan Islam, Melayu dan mempertahankan institusi kesultanan Melayu.
"Pas pecat Hasan kerana perbuatan mencegah nahi mungkar. Orang macam Hasan patut dipertahankan bukannya terus pecat serta merta, tetapi disebabkan DAP dan PKR, Hasan dipecat.
"Pas adalah parti 'remote control'. Pas tidak perjuangkan Islam, disebabkan itu Nik Abdul Aziz buat keputusan pecat Hasan. Bohong kalau dia letak Islam di depan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 12/1/12

4 Januari 2012

Empat ciri perlu dilihat - Noh Gadot

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot menasihatkan orang ramai supaya berpandukan kepada empat ciri yang ditetapkan dalam surah Al-Asr sebelum melakukan sesuatu tindakan termasuk menyertai perhimpunan haram.
Empat ciri berkenaan kata beliau, pertama, sebelum berbuat apa-apa tanya iman terlebih dahulu, boleh atau tidak ia dilakukan dan kedua, mengerjakan amal soleh yang mana ia mesti sesuatu perkara yang baik dan tidak merugikan semua orang.
Ciri ketiga pula jelas Noh ialah berpesan dan menasihati kepada yang hak serta kebenaran bermaksud mengambil pandangan majoriti masyarakat secara keseluruhannya.
''Keempat, berpesan dengan kesabaran yang mana tindakan kita tidak boleh mengikut hawa nafsu, perasaan, kepentingan individu dan politik sempit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas isu perhimpunan haram yang akan menyusahkan rakyat dan menimbulkan huru-hara kepada negara di sini hari ini.
Menurut Noh, adalah jelas keempat-empat ciri tersebut tidak terdapat dalam perhimpunan haram.
''Oleh itu, umat Islam perlu tolak perkara yang berlawanan dengan al-Quran dan hadis. Mereka juga perlu mengikut undang-undang sedia ada.
"Nasihat saya bertindaklah mengikut iman, budaya yang betul kerana ia bukan budaya Islam dan Melayu yang hanya menunjukkan tidak bertamadun serta mengikut perasaan, jangan terjebak kerana Allah SWT melihat segala-galanya," jelas beliau.
Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, sekiranya sesuatu tindakan yang akan mengganggu orang lain, mewujudkan pergaduhan dan merosakkan harta-benda, ia tidak wajar dilakukan.
"Kita tidak boleh melakukan tindakan seperti perhimpunan yang akan menimbulkan huru-hara kepada negara dan orang lain. Selain itu, perlu melihat dari segi tujuan perhimpunan dibuat dan sama ada ia mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 4/1/12

3 Januari 2012

Apa pendirian Pas?

PADA 9 Julai lalu, apabila berlakunya perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, Pas merupakan kelompok terbesar menghantar penyokongnya. Malahan beberapa pemimpin utama parti turut serta biar pun ia adalah satu perhimpunan yang dianggap melanggar undang-undang.
Bagaimanapun apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) baru-baru ini bagi membanteras gejala murtad, Pas 'senyap dan sunyi', yang hadir hanyalah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali.
Beliau pergi atas kapasiti peribadi sebagai pemimpin Islam bukan mewakili Pas.
Kini Pas menjadi tumpuan lagi apabila kesetiaan mereka sebagai sekutu pembangkang akan dituntut pada 9 Januari ini dalam kempen 'Bebaskan Anwar 901'.
Kita tidak pasti apakah pendirian Pas dalam kempen tersebut? Apakah Pas akan mengerahkan penyokongnya atau menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri.
Tetapi hakikatnya golongan pro-Anwar di dalam Pas tidak akan duduk diam, mereka pasti akan mendesak supaya pucuk pimpinan parti membuat kenyataan agar penyokong parti itu turun menyokong Anwar. Sememangnya semua orang tahu siapa lebih berpengaruh di dalam Pas sejak parti itu dikatakan dikuasai oleh puak Anwarinas.
Bagaimanapun Pas perlu berhati-hati dalam tindakannya, ini kerana himpunan haram yang dicadangkan pada 9 Januari ini bukanlah sebarangan.
Tersilap langkah Pas boleh dituduh 'bersubahat' menghina institusi kehakiman negara. Tak apalah jika sebelum ini Pas hendak menjadi 'pak turut' apabila bersedia mengerahkan 'bala tenteranya' turun ke jalanan.
Tetapi isu 9 Januari ini melibatkan keputusan mahkamah. Oleh itu, pemimpin Pas tidak harus terpengaruh dengan ketidakmatangan sesetengah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melancarkan kempen Bebas Anwar 901.
Pas sendiri sudah menyaksikan bagaimana perjalanan perbicaraan berlangsung dan di kalangan pemimpin Pas sendiri dikatakan bosan apabila Anwar berpuluh-puluh kali memohon penangguhan.
Namun mahkamah tetap membenarkannya, kalau mahkamah tidak adil sudah lama permohonan Anwar akan ditolak.
Bagaimanapun semua itu tidak berlaku, mahkamah memberi peluang seadil-adilnya untuk membela diri. Beliau bukan sahaja dibantu oleh barisan peguam yang hebat belaka, malahan Anwar juga dibenarkan membawa saksi dan pakar daripada luar negara bagi memberi keterangan.
Oleh itu, Anwar telah menjalani perbicaraan yang adil dan Pas tentu mengakui perkara, justeru kalau Pas terlibat dalam kempen Bebas Anwar 901 maknanya mereka tidak menghormati institusi kehakiman.
Pas perlu ingat kempen yang dilancarkan menggunakan istilah 'Bebas Anwar' dan bukannya 'Sokong Anwar', kalau sekadar 'sokong' tidak mengapa kerana Pas sememangnya kawan baik PKR dan DAP tetapi kenapakah awal-awal lagi lancar kempen 'bebas Anwar' sedangkan keputusan masih belum diketahui?
Penggunaan istilah 'bebas Anwar' ini boleh ditafsirkan seolah-olah bagi penyokong Anwar terutamanya daripada PKR, tidak kira apa pun hujahnya pada 9 Januari ini harus ada satu sahaja keputusan iaitu Anwar mesti dibebaskan!
Soalnya apakah Pas begitu yakin bahawa Anwar tidak bersalah sehingga bersedia untuk turun ke jalanan bagi 'membebaskan' beliau. Sepatutnya Pas menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Anwar bukannya sedang berada di penjara tetapi berada di luar penjara, beliau bebas ke mana sahaja hatta ke luar negara sekali pun biar pun sedang berhadapan dengan kes serius di mahkamah, pasport beliau tidak ditahan.
Justeru Pas janganlah mudah diperbodohkan dengan mainan politik PKR yang pada masa ini bermati-matian mahu memperjuangkan Anwar kerana itulah matlamat sebenar penubuhan parti itu.
Percayalah PKR amat bergantung kepada Pas untuk turun ke jalanan, mereka tidak boleh berharap kepada DAP yang sudah pasti tidak akan membiarkan penyokongnya dikejar oleh polis atau terkena semburan air.
Cuba lihat apa yang berlaku pada himpunan haram Bersih yang lalu, demonstrasi tersebut tidak akan berlaku jika penyokong Pas tidak turun tetapi apa yang Pas dapat?
Pas hanya dimaki-hamun oleh warga kota kerana telah menyusahkan mereka, mengaku parti memperjuangkan Islam tetapi perangai tidak melambangkan peribadi Islam sebenar.
Oleh itu Pas perlu berhati-hati dalam penglibatannya dalam kempen 'Bebas Anwar 901', janganlah mengikut nafsu politik dan janganlah terlalu yakin bahawa isu Anwar ini akan membantu pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Percayalah senario sudah berubah, Anwar kini dilihat bukan sahaja liabiliti kepada pembangkang tetapi juga negara kerana beliau sanggup memburuk-burukkan tanah air sendiri demi dendam politiknya. Jadi adakah Pas akan bersekongkol dengan orang seumpama ini?
Tidakkah kerana adanya Anwar, pemimpin-pemimpin Pas yang jauh lebih baik budi pekerti dan akhlaknya dipinggirkan serta seolah-olah tidak dihormati hatta oleh sesetengah pengikut Pas sendiri.
Apakah Anwar begitu hebat sehingga DAP berkata, kalau Anwar dipenjara sekali pun, beliau tetap dilantik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya.
Semua keadaan ini jelaslah menunjukkan Pas dan pemimpinnya hanya menjadi alat kepada PKR dan DAP untuk menang dalam pilihan raya, tidak lebih daripada itu.
Kalau mereka menghormati Pas sudah pasti, mereka akan berhati-hati dalam membuat kenyataan seumpama itu.
Sebab itulah Pas janganlah terus membiarkan diri diperalatkan semata-mata untuk memperjuangkan nasib Anwar. Apa yang lebih penting memikirkan sejauh manakah perjuangan mereka dalam soal berkenaan akan menguntungkan Pas.
Rakyat sekarang sudah bijak, mereka sudah tahu hendak menilai apakah dalam kes Anwar ini satu konspirasi atau sememangnya ia realiti, apa pun mereka menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Berdasarkan kepada keadaan itu, Pas janganlah teruja sangat hendak membela Anwar sehingga sanggup bersedia mengerahkan penyokongnya menyertai kempen Bebas Anwar 901.
Sebenarnya kempen itu tidak ada apa-apa pun kesan politik kepada negara kerana satu kaji selidik menunjukkan bahawa isu Anwar bukanlah lagi satu isu politik bertaraf nasional yang perlu diberi perhatian.
Sebaliknya, ia dianggap isu peribadi yang perlu diselesaikan oleh Anwar sendirian dan bukannya cuba menyeret rakyat apatah lagi mencetus huru-hara.
''Kita jangan layan kempen tu kerana memang itulah tujuan Anwar hendak mengembar-gemburkan situasi seolah-olah akan berlaku sesuatu yang buruk pada 9 Januari ini,'' kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis.
Menulis penyokong Pas berkenaan, di dalam parti itu sendiri sudah wujud sentimen agar usah dilayan kempen bebas Anwar tersebut.
Jadi Pas kenalah berhati-hati apatah lagi dalam keadaan parti itu dilihat semakin tidak konsisten dalam perjuangan dan dilihat hanya menjadi 'pak turut' semata-mata.
Dalam keadaan apa sekali pun sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan pada 9 Januari, Pas tetap rugi kerana PKR dan DAP tidak akan memberi apa-apa keistimewaan kepada Pas apatah lagi untuk menjadi parti dan pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

/hwa: utusan.com.my | 3/1/12

MB: Hentikan cubaan murtad umat Islam

KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said hari ini memberi amaran kepada mereka yang dianggapnya cuba 'bermain api' dengan cuba memurtadkan orang Melayu, termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini.
Beliau mengingatkan pihak itu supaya menghormati umat Islam dengan menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan dikhuatiri akan turut mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Ahmad menyifatkan gerakan tersebut sebagai serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
"Saya harap perkara ini diberi perhatian serius oleh JHEAT dan mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak berwajib
"Kita kena hormati orang Islam kerana ini negara Islam. Perkara ini adalah isu yang sensitif. Ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," ujarnya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengunjungi seorang kanak-kanak, Iman Adam Raman, 8, di Kampung Kebor Besar dekat sini yang lumpuh setelah menjadi mangsa langgar lari dalam kejadian di Kampung Kubang Jela, Manir pada 2 Mei lalu.
Ahmad mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang kini bergerak aktif dalam misi memurtadkan orang Melayu di negeri ini termasuk OKU.
Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital-hospital untuk memperdaya para pesakit yang 'sebatang kara' selain mat-mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.
Mohd. Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendungnya daripada menjadi bertambah serius.
Ahmad bagaimanapun menjelaskan, pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai soal itu.
Jelasnya, berbeza dengan pendakwah Islam yang berdakwah secara menyampaikan ceramah, gerakan terbabit lebih licik dengan menabur bantuan bagi keperluan mereka yang terdesak.

/hwa: utusan.com.my | 3/1/12

Semakin ramai bantah Kempen Bebaskan Anwar

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Bantahan terhadap cubaan pihak tertentu menganjurkan perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 di ibu negara pada 9 Januari ini, semakin meningkat apabila sebanyak 239 laporan telah diterima polis sehingga hari ini.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah laporan tertinggi apabila sebanyak 60 telah diterima sehingga hari ini, diikuti Pahang (36) dan Sabah (35).
Beberapa negeri lain yang turut mencatatkan laporan polis adalah Kedah (24), Perak (23), Terengganu (22), Johor dan Perlis (masing-masing 12), Kuala Lumpur dan Melaka (5), Kelantan (2) serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak.
Di ibu negara, seramai 20 exco dan ahli Belia 4B daerah Gombak membuat laporan di Balai Polis Gombak Batu 6 mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas ke atas penganjur dan individu yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.
Exco gerakan itu, Azuan Maat berkata, perhimpunan itu dilihat hanya bakal akan menyusahkan orang ramai selain menimbulkan huru hara dan mengganggu ketenteraman awam.
Di ALOR SETAR, sebanyak 13 laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Nerang diketuai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Badrol Hisham Hashim.
Menurut beliau, sebagai rakyat yang cintakan keamanan, pihaknya berharap polis dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dengan rancangan penganjuran itu.
Di LANGKAWI, lebih 30 ahli Pemuda UMNO Bahagian pulau pelancongan itu membuat laporan polis bagi menghalang kempen tersebut.
Ketuanya, Nor Saidi Nanyan meminta polis bertindak tegas menghalang perhimpunan haram itu bagi mengelak kekecohan dan suasana tidak tenteram yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Sementara itu di SEREMBAN, Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sambil mendakwa, kempen tersebut adalah tindakan provokasi yang akan menimbulkan kekacauan dan tidak menghormati sistem perundangan negara.
Di JERANTUT, Kempen Bebaskan Anwar 901 terus mendapat bantahan apabila Persatuan Ketua Kampung dan Majlis Belia Daerah Jerantut (MBDJ) membuat laporan polis membantah keras tindakan pihak terbabit.
Laporan polis itu dibuat oleh Naib Pengerusi Persatuan Ketua Kampung Jerantut, Suran Jaafar dan Timbalan Pengerusi MBDJ, Wan Badlishah Wan Basri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada pukul 3.50 petang.

/hwa: utusan.com.my | 3/1/12

Anwar, Saiful dicabar hadir solat hajat


Ezam Md. Noor (duduk kiri sekali) , bersama Ibrahim Ali (duduk tiga dari kanan) dan Zulkifli Noordin (duduk dua dari kanan) ketika menghadiri 'Program Perhimpunan Penerangan Perdana 2012: Hapuskan Pengkhianat Negara' di Seksyen 24, Shah Alam, kelmarin.


SHAH ALAM 2 Jan.- Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menghadiri solat hajat yang akan diadakan pada Khamis dan Jumaat ini di dua buah masjid di Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, solat hajat yang dirancang diadakan pada sebelah malam itu bertujuan memohon kepada Allah untuk menunjukkan kebenaran sekiranya salah seorang daripada mereka berbohong.
Menurut beliau, solat hajat yang akan diadakan pada 5 Januari itu dicadang diadakan di Masjid Negara manakala pada 6 Januari di Masjid Kampung Baru, Masjid Wilayah Persekutuan atau Masjid Jamek Kuala Lumpur.
"Saya cabar Anwar dan Mohd. Saiful Bukhari supaya turun pada hari tersebut bagi memohon petunjuk dan hidayah Allah bagi membuktikan siapa yang benar dan siapa yang berbohong. Kita juga minta dalam solat hajat tersebut supaya yang mana berbohong agar dilaknat Allah.
"Alhamdulilah, baru sebentar tadi saya dapat respons daripada Mohd. Saiful Bukhari yang bersedia untuk hadir... Sekarang saya hanya tunggu jawapan Anwar... Kalau beliau di pihak yang benar, jangan berdalih dan bersembunyi di sebalik kononnya mahkamah rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas 'Program Perhimpunan Penerangan Perdana 2012: Hapuskan Pengkhianat Negara' di Dewan Warisan Kompleks Warga Emas Seksyen 24 di sini semalam.
Hadir sama Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta lebih 3,000 warga Shah Alam dan Klang.
Sementara itu, Ibrahim berkata, Perkasa juga telah mengarahkan ahlinya di seluruh negara untuk mengadakan solat hajat sebelum 9 Januari ini.
Menurut beliau, ia bagi memohon supaya ibu kota dan rakyat di negara ini selamat dari segala ancaman yang boleh menghuru-harakan keadaan.
"Solat hajat di masjid dan surau itu telah bermula pada hari ini, saya juga berharap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, mendokong keluhuran dan undang-undang agar turut sama mengadakan solat hajat.
"Tidak patut dan tidak wajar ada mana-mana pihak hendak mengganggu gugat keamanan pada 9 Januari ini. Biarlah mahkamah yang menentukan keputusannya," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 3/1/12

1 Januari 2012

Badrul Amin digesa tarik kenyataan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam, Selangor, Badrul Amin Baharon digesa menarik balik kenyataannya yang seolah-olah mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Imam Mahdi. Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Badrul Amin juga perlu mengakui kesilapan itu dan memohon maaf sekali gus merungkai salah faham yang timbul ekoran kenyataan tersebut.
"Apa yang disebut oleh Badrul Amin itu adalah tidak wajar kerana ia menimbulkan salah faham yang sangat besar dalam kalangan umat Islam. "Badrul Amin juga perlu sedar bahawa isu ini tidak ada kena mengena dengan politik atau percubaan menyerang beliau dan Anwar, sebaliknya lebih kepada menjaga kesucian Islam," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Badrul Amin yang seolah-olah mengaitkan Anwar sebagai Imam Mahdi apabila merujuk Anwar sebagai pemimpin yang mampu menyatukan umat Islam atau paling tidak menyatukan dunia Arab. Badrul Amin membuat kenyataan itu dalam satu ceramah dan video ceramah tersebut yang dimuat naik ke Internet pada 26 Disember lalu. Antara lain, Badrul Amin dalam ceramah itu berkata:
"Kita hanya perlukan satu lagi syarat untuk bebaskan al-Aqsa. "Perlu ada seorang pemimpin yang mampu menyatukan umat Islam, paling tidak menyatukan dunia Arab. "Sudah adakah pemimpin itu tuan-tuan? Tanya saya, saya kata dia sudah ada… Pemimpin itu sedang disiapkan. Dia sedang diuji. "Insya-Allah kalau lepas ujian ini dia akan bangkit memimpin umat. Dan waktu itu, insya-Allah kita akan meraikan pembebasan al-Aqsa, pemimpin itu sekarang ini menjadi penasihat kepada beberapa negara Arab.
"Saya kata, dia ada di Malaysia, tidak lain tidak bukan, saudara Anwar Ibrahim," katanya seperti yang dipetik menerusi video tersebut. Bagaimanapun, Badrul Amin menerusi laman sosial Facebooknya menafikan menyamakan Anwar dengan Imam Mahdi sebaliknya mendakwa hanya menyebut potensi Anwar sebagai pemimpin dari Timur yang mampu menyatukan dunia Arab sekali gus membebaskan al-Aqsa. Berhubung dakwaan Badrul Amin bahawa beliau tidak mengaitkan secara langsung Anwar dengan Imam Mahdi, Fathul Bari berkata, apa yang menjadi pertikaian dalam isu ini adalah hadis yang digunakan oleh Badrul Amin itu adalah khusus kepada Imam Mahdi.
"Perkaitan hadis itu yang menimbulkan masalah, kerana ia menimbulkan persepsi yang mana bagi golongan jahil yang mungkin tidak mampu membuat analisis dan penelitian, akan wujud salah faham di kalangan mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/1/12

Hentikan taktik jahat – Mashitah

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Pakatan pembangkang perlu menghentikan taktik jahat bagi memanipulasi pemikiran rakyat dengan mencetuskan keadaan huru-hara di negara ini demi memenuhi politik kepentingan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, ini kerana, rakyat negara ini terdiri daripada mereka yang cintakan keamanan dan tidak akan termakan dengan hasutan berbaur subversif mereka.

“Kempen Bebaskan Anwar 901 yang dilancarkan pembangkang hanyalah talian terakhir mereka untuk memperbesarkan isu serta memperbodohkan pemikiran rakyat meskipun secara jelas kes liwat yang melibatkan ketua mereka adalah isu moral dan kes peribadi beliau.

“Kenyataan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa rakyat adalah hakim negara juga tidak berasas kerana perkataan ‘rakyat’ yang digunakan mereka hanya merujuk kepada penyokong mereka semata-mata, bukannya semua rakyat negara ini.

“Jelas sekali, Kempen Bebaskan Anwar 901 mencerminkan agenda kepartian sempit pembangkang dan ia langsung tidak melibatkan kepentingan rakyat,” katanya ketika mengulas rancangan pembangkang untuk mengheret rakyat menjadi pelindung kepada Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, melalui kempen “Bebas Anwar 901” pada 9 Januari ini.

/hwa: utusan.com.my | 1/1/12