28 Februari 2012

Pendirian yang saling bercanggah

DALAM Facebook, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai hasil pertemuannya dengan Anwar Ibrahim berbangkit kenyataan Anwar mengenai Israel dalam The Wall Street Journal (WSJ) dan kata dua Majlis Syura Pas terhadap Anwar iaitu menarik balik kenyataan berkenaan atau menyaman WSJ, Nik Aziz menjawab terserahlah kepada Anwar untuk menerima pendirian Pas.
Kata Nik Aziz lagi, Pas sentiasa konsisten, parti itu tidak akan mengiktiraf negara haram Israel sebaliknya terus memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Kenyataan ini adalah kenyataan berani dan ia adalah isu prinsip. Kenyataan Anwar di media selepas bertemu dengan Nik Aziz tetap dengan pendiriannya dan tidak akan meminta maaf kepada WSJ.
Dua kenyataan yang mempunyai maksud yang berbeza ini amat menarik undianalisis. Nik Aziz tidak akan membuat kenyataan yang membelakangkan hasrat Majlis Syura kerana ia suatu amanah. Majlis Syura sudah tentu membincangkannya secara panjang lebar.
Menariknya dalam isu ini Anwar tidak dipanggil terlebih dahulu memperjelaskan keadaan tetapi Majlis Syura membuat keputusan sendiri dan selepas pertemuan Anwar dengan Nik Aziz, nampaknya Nik Aziz menyebutkan Pas tidak akan mengiktiraf negara haram Israel.
Analisis pertama ialah isu Israel dan Palestin adalah isu fundamental dan menjadi perkara dasar dalam perjuangan Pas. Apakah PKR dan DAP mempunyai pendirian yang sama atau berbeza dengan Pas. Kenyataan Nik Aziz mewakili Majlis Syura tegas dengan isu negara Israel dan kedudukan umat Palestin sedangkan Anwar sebaliknya.
Keinginan Anwar untuk mempertahankan kedaulatan negara Israel ternyata bercanggah dengan pendirian Nik Aziz walaupun Anwar cuba memberi justifikasi bahawa Israel perlu patuh kepada beberapa syarat. Ini bukan pendirian Anwar seorang tetapi sudah dibincang lama oleh pihak-pihak di Amerika Syarikat (AS) dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Isunya siapakah mereka di Amerika itu dan siapa pula di belakang PBB. Tidak mungkinkah mereka mempunyai muslihat tertentu kerana pendirian Anwar itu bukan pendirian terpencil.
Kedua, kenyataan Nik Aziz adalah pendirian Pas yang fundamental. Bagaimana dalam konteks pakatan pembangkang, pendirian Anwar dan pendirian Pas boleh diharmonikan sedangkan kedua-dua kenyataan itu adalah saling bercanggah dan tidak ada titik temu. Benarlah seperti kata dua Majlis Syura, tarik balik atau saman WSJ.
Tentunya Majlis Syura kena bersidang lagi supaya pendirian jelas Pas dapat dibuat. Kalau tidak ia mencabar kredibiliti Pas. Bayangkan takdir berlaku persidangan kedua membincangkan isu ini dijangka Majlis Syura tidak akan berganjak dengan pendirian seperti yang disebutkan oleh Nik Aziz.
Oleh itu, siapa harus tunduk kepada siapa. Penulis percaya bahawa Anwar tidak akan tunduk kepada pendirian Pas kerana mengenali Anwar memang wataknya sedemikian. Pas juga tidak akan tunduk dengan helah Anwar kerana ia adalah isu prinsip. Isu tolak ansur tidak berbangkit. Sekiranya Pas akur dengan Anwar bermakna satu lagi prinsip perjuangan Pas akan hilang. Seperti juga Negara Berkebajikan, adalah suatu cara melunakkan orientasi perjuangan supaya wujud persamaan antara Pas dan PKR dan Pas dengan DAP. Meski begitu Abdul Hadi Awang mengatakan Perlembagaan Pas tetap tidak mengubah arah tuju kepada binaan negara Islam.
DAP menerusi Karpal Singh tetap tidak menerima agenda negara Islam. Pas dengan maksud tersiratnya tetap mahukan negara Islam. Bila itu terjadi wujud isu fundamental antara perlembagaan Pas yang memperuntukkan negara Islam dan DAP dengan matlamat negara sosialis demokratiknya.
Oleh itu kesamaan dari segi prinsip yang fundamental antara pendirian Anwar dengan kenyataan di WSJnya dan pendirian Majlis Syura Pas yang tidak mahu berganjak tidak wujud. Jika ia tidak wujud bagaimana dasar negara dapat dibentuk sekiranya pakatan pembangkang diberi kuasa mentadbir negara?
Hal yang sama bagi Pas, perlembagaannya masih terdapat agenda membangun negara Islam sedangkan DAP amat menentang. Tidakkah itu menyukarkan pembentukan sebuah kerajaan kerana Pas mahu negara Islam kerana ia terdapat dalam perlembagaannya sedangkan DAP mahukan negara yang sebaliknya.
Kalau Pas ingin menegakkan negara Islam sudah tentu pelaksanaan syariah dalam sistem adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Karpal Singh pernah menyebut "langkah mayat saya dulu" sekiranya negara Islam hendak dijadikan landasan bernegara bagi Malaysia. Maksud negara Islam tidak sama dengan Negara Berkebajikan.
Dalam negara Islam memang terdapat faktor kebajikan tetapi dalam Negara Berkebajikan belum tentu ada asas syariah yang mendasari sistem. Sekiranya Pas menggugurkan perjuangan negara Islam dan pelaksanaan Syariah Islamiah dalam manifestonya orang ramai akan berpendapat Pas sudah lari dari garis besar haluan perjuangan. Sekiranya DAP tunduk dengan kemahuan Pas orang Cina akan meninggalkan DAP.
Sekiranya Pas Kelantan mempunyai manifesto lain iaitu menegakkan negara Islam, sekali gus melaksanakan hudud apakah DAP dan Anwar bersetuju? Kalau pelaksanaan negara Islam dan hudud hanya berlaku di Kelantan saja tetapi tidak di Persekutuan apa maknanya sebuah kerajaan yang mempunyai dasar berbeza-beza.
Justeru pendirian Anwar di WSJ tidak sekadar suatu lintasan kenyataan yang terputus langsung dengan pihak lain. Keputusan Majlis Syura' sudah tentu memahami hakikat ini. Sebab itu Nik Aziz bertegas dengan pendirian mengharamkan negara Israel.
Pada hemat penulis ketegasan Nik Aziz yang mewakili Majlis Syura tidak memberi makna sekiranya tiada tindakan susulan. Perbezaan yang ada adalah amat dasar. Ia tidak hanya suatu pendapat yang boleh dikompromi dengan mudah. Tetapi mempertahankan keselamatan Israel adalah isu pokok. Telah sekian lama rakyat Palestin menderita. Anwar tahu tidak mungkin Israel memulangkan semula Baitulmaqdis kepada Palestin. Lebih tidak mungkin kawasan yang ditawannya dan dijadikan penempatan mustahil untuk dikembalikan semula kepada orang Palestin.
Kewujudan Israel adalah sesuatu yang disengajakan. Amerika bimbang dengan kedudukan Iran dan senjata nuklearnya. Amerika juga bimbang dengan kebangkitan negara-negara Arab (Arab Spring) meski ada analisis ia adalah perancangan Amerika juga
Apa pun tafsiran, AS tetap menjaga keselamatan Israel kerana mengukuhkannya adalah mengukuhkan keselamatan AS. Oleh itu kenyataan Anwar untuk mengukuhkan keselamatan Israel amat melegakan AS dan kuasa Yahudi tetapi mengguris hati umat Islam dan yang menyokong perjuangan Palestin termasuk Pas.

/hwa: utusan.com.my | 28/2/12

BN tidak bersifat perkauman walaupun parti berasas kaum

SINGAPURA 28 Feb. - Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan sikap perkauman seperti yang didakwa pihak pembangkang walaupun perikatan itu terdiri daripada parti yang berasaskan kaum.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, walaupun dalam BN terdapat parti yang ditubuhkan berasaskan kaum, ia tidak bermakna parti itu mengamalkan sifat perkauman.
"Selama ini gambaran yang diberikan pembangkang kepada BN sebagai parti yang bersifat perkauman.
"Dalam konteks BN, amalan parti yang dilaksanakan ialah parti yang berasaskan kaum masing-masing tetapi parti yang ada bukan bersifat perkauman,” katanya kepada pemberita selepas forum yang bertajuk “Voices: Emerging Malaysian Leaders” di sini, malam tadi.
Zambry adalah antara empat panel yang menyertai forum anjuran syarikat perundingan, KRA Group.
Tiga lagi panel ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Siew dan Senator V.
Subramaniam.
Pada forum yang dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli akademik dan golongan korporat itu, pelbagai isu politik di Malaysia dibincangkan termasuk dakwaan pembangkang bahawa BN bersifat perkauman.
Zambry berkata, parti pembangkang seperti DAP yang sebenarnya mengamalkan sikap perkauman.
"Di sebalik hujahan pembangkang konon bahawa kita parti bersifat perkauman kita lihat sejarah DAP dari dulu hingga sekarang dia (DAP) bertanding di kerusi yang majoritinya orang Cina,” katanya.
Beliau berkata, jika benar DAP adalah parti untuk semua kaum, kenapa parti itu tidak meletakkan calon mereka untuk bertanding pada pilihan raya di kawasan yang majoritinya orang Melayu.
Terdahulu, Zambry mengadakan pertemuan dengan pelabur Singapura dan mereka telah menyatakan berminat untuk melabur di Perak terutama dalam bidang hartanah dan galian.
"Kita telah berbincang dengan mereka mengenai peluang-peluang pelaburan yang ada dan mereka (pelabur) telah menunjukkan minat untuk melabur di Perak,” katanya. — BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my | 28/2/12

23 Februari 2012

Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu

BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau.
Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia.
Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.
Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes.
Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”
Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu.
Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.
Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.
Islam tidak anti kekayaan, malah kuat pro-bisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak anti harta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.
Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.
Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.
Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke 20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.
Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta?
Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.
Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik.dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”

PENULIS ialah Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

/hwa: utusan.com.my | 23/2/12

/

Gerakan Martabat Umat (JATI)

21 FEB. 2012: Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali (kiri) bersama Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (tengah) dan Datuk Aidit Ghazali (kanan) memerhatikan logo Jati selepas melancarkannya di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH

PAS, Anwar sama saja isu lindungi Israel

Razali Ibrahim
Razali Ibrahim
KUALA LUMPUR: Keengganan PAS memutuskan kerjasama politik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti dilaporkan akhbar Wall Street Journal (WSJ) menunjukkan parti itu bersubahat dengan ketua pembangkang yang mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Ini kerana pendirian Anwar jelas bertentangan dengan ketetapan Majlis Syura Ulama PAS yang memutuskan haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam sebarang bentuk hubungan.
Sehubungan itu, PAS khususnya Majlis Syura Ulama digesa menjelaskan sama ada kerjasama dengan Anwar yang menyokong keselamatan Israel adalah tindakan bersubahat atau sebaliknya.
Bukan saja (penjelasan) kepada Nik Aziz, Anwar kena beri penjelasan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama. Apa pendirian PAS dalam konteks subahat? Adakah ini bermakna mereka bersubahat sokong Israel (kerana sokong Anwar). Majlis Syura Ulama perlu perjelaskan hal ini. - Datuk Razali Ibrahim, Naib Ketua Pemuda UMNO.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Anwar sepatutnya memberi penjelasan kepada ahli jawatankuasa Majlis Syura Ulama dan bukan hanya kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara tertutup.

Katanya, ini kerana perkara itu membabitkan kepentingan umat Islam, selain Majlis Syura Ulama telah memberi kata dua kepada Anwar untuk menarik balik kenyataannya secara terbuka atau menyaman WSJ jika laporan itu tidak tepat.

“Bukan saja (penjelasan) kepada Nik Aziz, Anwar kena beri penjelasan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama. Apa pendirian PAS dalam konteks subahat? Adakah ini bermakna mereka bersubahat sokong Israel (kerana sokong Anwar). Majlis Syura Ulama perlu perjelaskan hal ini,” katanya semalam.

Razali turut membidas sikap Nik Aziz yang disifatkannya seolah-olah menyembunyikan perkara sebenar yang dibincangkan dengan Anwar.
Katanya, sebagai pemimpin Islam, Nik Aziz tidak seharusnya mempunyai sifat ‘menyembunyikan’ iaitu sifat berlawanan bagi ‘tabli’ atau menyampaikan.

Dalam kenyataan media sehari selepas pertemuan dengan Anwar, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa juga bentuk hubungan.

Beliau juga mengulangi pendirian PAS seperti diputuskan Majlis Syura Ulama bahawa parti itu tidak akan mengiktiraf negara haram Israel.

“Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, saya mengulangi pendirian PAS seperti diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, iaitu PAS tidak sekali-kali mengiktiraf negara haram Israel.

“Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin menyifatkan pemimpin PAS semakin lemah kerana tidak mampu mendesak Anwar menarik balik kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti itu.

Ketua Puteri UMNO itu, berkata tiada guna jika PAS terus bertegas dengan pendirian tidak mengiktiraf walau seinci hak Yahudi terhadap bumi Palestin tetapi pada masa sama merelakan sekutunya secara terang-terangan menyokong keselamatan Israel.

Katanya, keengganan Anwar menyaman WSJ sepatutnya disusuli dengan tindakan menarik balik sokongannya terhadap isu keselamatan Israel jika Ketua Pembangkang benar-benar menghormati pendirian PAS.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat pula mempertikaikan keupayaan PAS menjadi pelindung kepada kebajikan masyarakat Islam jika parti itu terus bersubahat dengan PKR dalam melindungi keselamatan Israel.

“PAS dan PKR duduk bersama dalam pakatan pembangkang kerana kepentingan mereka adalah Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diidamkan selama ini.

“Oleh itu, walau apapun isu yang menimpa Anwar, PAS akan tetap memberikan sokongan kerana mereka bersetuju untuk ‘tetap bersama’ dalam isu yang tidak dipersetujui secara bersama,” katanya.

Sementara itu Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata PAS seharusnya menjauhkan diri daripada PKR, bukannya bersubahat dengan mengekalkan kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Katanya, adalah sesuatu yang pelik ketika PAS menegaskan pendirian dalam isu Israel, parti itu terus mengadakan kerjasama dengan pihak yang menyokong kewujudan negara haram itu. 

/hwa: utusan.com.my | 23/2/12

Apa pendirian Majlis Syura Ulama Pas?

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim menggesa Majlis Syura Ulama Pas menjelaskan pendiriannya berhubung tindakan parti itu yang terus menyokong dan memberi kerjasama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana katanya, tindakan parti itu menyokong Anwar yang secara terang-terangan menyokong Israel, boleh dianggap sebagai bersubahat.
"Saya menggesa Majlis Syura Ulama Pas supaya menyatakan pendirian dalam hal ini kerana Anwar tidak melakukan dua perkara yang telah diputuskan oleh majlis tersebut untuk membuktikan bahawa beliau tidak menyokong Israel.
"Selain itu, saya juga mahu tahu pendirian majlis tersebut sama ada parti itu dianggap sebagai bersubahat kerana menyokong kenyataan Anwar seperti yang dikeluarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anwar yang tidak akan menyaman WSJ berhubung kenyataannya mengenai sokongan terhadap keselamatan Israel sebagaimana disiarkan pada 26 Januari lalu meskipun Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini menggesa Ketua Pembangkang itu berbuat demikian jika kenyataannya diputar-belitkan oleh media berkenaan.
Sambil mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendengar dan memahami penjelasannya dalam pertemuan selama satu jam semalam, Anwar berkata, WSJ tidak melakukan kesalahan kerana ia turut menyiarkan kenyataannya mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh rejim zionis dalam memenuhi aspirasi rakyat Palestin.
Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini sebulat suara memberi kata dua kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan menyaman WSJ bagi membuktikan bahawa beliau tidak menyokong negara berkenaan.
Dalam pada itu, Razali turut mempertikaikan tindakan Anwar yang hanya memberi penjelasan kepada Nik Aziz sahaja.
Sedangkan, katanya, Anwar sepatutnya memberi penjelasan tersebut kepada Majlis Syura Ulama dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ia membabitkan kepentingan ummah.
Sementara itu, berhubung dakwaan bahawa syarikat Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel, Razali menyifatkannya sebagai strategi pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
"Malaysia tidak ada hubungan diplomatik dan mengiktiraf negara tersebut apatah lagi mempertahankan keselamatan negara itu.
Ini merupakan perkara yang berbeza serta sengaja dibangkitkan untuk mengalih pandangan, mengelirukan dan bertujuan mendapatkan sokongan rakyat. Kita tidak perlu menyokong pihak yang melakukan kesalahan kerana kita mempunyai pilihan, menolak atau bersubahat," jelasnya.

/hwa: utusan.com.my | 23/2/12

22 Februari 2012

Lebihkan program perpaduan

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan sebahagian pelajar selepas merasmikan Minggu Keharmonian Penganut Antara Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 21 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengurusan sekolah di seluruh negara menganjurkan lebih banyak program bagi memupuk sikap penerimaan serta perpaduan di kalangan pelajar pelbagai agama dan keturunan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pengurusan sekolah juga perlu memastikan supaya aktiviti berkenaan turut disertai oleh ibu bapa para pelajar di sekolah masing-masing.
Beliau memberitahu, usaha itu bagi menjamin sikap toleransi serta penerimaan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dapat dipupuk sejak di peringkat sekolah lagi.
"Jangan kita sentuh sensitiviti di antara sesama kita walaupun kita datang daripada agama dan anutan agama berbeza.
"Kita hormati kelainan kita, kita terima kelainan sebagai satu warisan yang kita hargai kerana mungkin tidak banyak negara seperti Malaysia," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap merasmikan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2012 Peringkat Sekolah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman di sini.
Muhyiddin bagaimanapun yakin sistem persekolahan yang diamalkan kerajaan selama ini telah berjaya memupuk semangat hormat-menghormati di kalangan masyarakat seterusnya memastikan keamanan negara.
Dengan keamanan, katanya, kepimpinan negara dapat memberi tumpuan kepada usaha memacu Malaysia mencapai lebih banyak kemajuan serta menuju status sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi kelak.
"Ada negara yang mempunyai hanya satu agama tapi terdiri daripada pelbagai puak dan bergaduh serta berperang sesama sendiri.
"Ada jua negara yang mempunyai pelbagai agama tetapi hubungan mereka sentiasa tegang (sehingga) kadang-kadang berlaku pertempuran seterusnya pertumpahan darah," jelasnya.
Dalam pada itu, Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober 2010 mengisytihar minggu pertama setiap bulan Februari sebagai Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia.

/hwa: utusan.com.my | 22/2/12

Anwar tidak akan saman WSJ

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Seperti dijangka, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyaman The Wall Street Journal (WSJ) berhubung kenyataannya mengenai sokongan terhadap keselamatan Israel sebagaimana disiarkan pada 26 Januari lalu meskipun Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini menggesa Ketua Pembangkang itu berbuat demikian jika kenyataannya diputar-belitkan oleh media berkenaan.
Sambil mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendengar dan memahami penjelasannya dalam pertemuan selama satu jam hari ini, beliau berkata, WSJ tidak melakukan kesalahan kerana ia turut menyiarkan kenyataannya mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh rejim zionis dalam memenuhi aspirasi rakyat Palestin.
Berbanding laporan media arus perdana, beliau mendakwa kesemuanya hanya menyentuh kenyataannya mengenai sokongan untuk melindungi keselamatan Israel sahaja tanpa menyiarkan syarat yang perlu dipatuhi oleh negara zionis tersebut.
‘‘Saya terangkan kepada Nik Abdul Aziz bahawa kenyataan saya dalam WSJ turut memberi penekanan mengenai contingent yang perlu dipatuhi oleh Israel dan bukan seperti mana yang disebut dalam akhbar arus perdana.
‘‘Saya faham pendirian Pas dalam soal Palestin-Israel ini yang mana mereka cukup tegas dan keras. Saya juga beri penjelasan jangan ada salah tafsiran tentang pengiktirafan Israel kerana perkara itu tidak harus berbangkit selagi syarat-syarat tidak dipatuhi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira satu jam bersama Nik Abdul Aziz serta Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada pertengahan bulan ini, Nik Abdul Aziz meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menarik balik sokongan terhadap Israel atau pun menyaman WSJ.
Desakan tersebut merupakan ketetapan yang dibuat selepas ahli jawatankuasa tertinggi parti itu dan Majlis Syura Ulama Pas mengadakan mesyuarat di sini baru-baru ini.
Nik Abdul Aziz berkata, rakyat mahu mengetahui perkara sebenar kerana ia telah menjadi isu yang diketahui umum selepas disiarkan WSJ baru-baru ini.
Menjawab satu soalan sama ada wujud perbezaan antara beliau dan Pas mengenai isu Palestin, Anwar mengakui terdapat sedikit perbezaan.
“Cuma sedikit sahaja iaitu dari segi penekanan. Pas sentiasa konsisten bahawa mereka sama sekali tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel sama ada dalam sudut pandangan, fikiran malah dalam bentuk rundingan sekalipun.
‘‘Saya pula menyokong keputusan yang diambil Hamas dan Fatah untuk bertegas terhadap syarat-syarat yang dikenakan dan seterusnya menyambung rundingan,’’ katanya.
Berhubung contingent yang dimaksudkannya seperti mana disiarkan oleh WSJ itu Anwar berkata, terdapat empat perkara iaitu pengunduran tentera Israel daripada wilayah Palestin dan Arab; hentikan keganasan; hentikan kepungan terhadap Gaza dan iktiraf Baitul Muqaddis.
Sementara itu Nik Abdul Aziz dalam status terbaru Facebooknya hari ini menegaskan bahawa pendirian Pas dalam isu Palestin jelas iaitu parti tersebut tidak sesekali mengiktiraf walaupun seinci hak Yahudi terhadap bumi Palestin yang telah dirampas.
‘‘Berbeza atau tidak dengan sesiapa, Pas tetap dengan pendirian ini,’’ ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 22/2/12

Celaka dunia akhirat – Hadi

KUALA LUMPUR 21 Feb. — Setiap calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah, satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.
Ini bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya, kata beliau.
Abdul Hadi berkata, sesiapa yang melanggar bai’ah yang dibuat “maka akan celaka dunia dan akhirat”.
Beliau turut menyentuh dakwaan kalangan tertentu kononnya Pas sudah menyeleweng daripada dasar Islamnya apabila membawa konsep negara berkebajikan.
“Jawapannya, Pas tetap dipelihara oleh undang-undang tubuhnya yang menghalang daripada melakukan sesuatu yang menyeleweng daripada Islam,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, beliau mendakwa negara kebajikan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) berunsurkan rasuah demi kemenangan pilihan raya. — BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my | 22/2/12

16 Februari 2012

10 NGO lancar kempen menutup aurat

SEBAHAGIAN remaja wanita membawa sepanduk semasa mengadakan kempen menutup aurat di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.


KEPALA BATAS 15 Feb. - Ketika banyak pihak menyambut 14 Februari sebagai Hari Kekasih, gabungan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pulau Pinang pula menjadikan tarikh itu sebagai Hari Kempen Menutup Aurat Antarabangsa.
NGO yang terlibat ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aktivis Pengupayaan Insan (API), Pertubuhan Ikram Pulau Pinang, Pertubuhan ISMA Pulau Pinang dan Kelab Remaja Lestari (KRL).
Turut serta Komuniti Suara Kehidupan, Nisa' Pulau Pinang, Kariah Masjid At Taqwa, Bertam, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cawangan Pulau Pinang dan Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas).
Selain di Malaysia, kempen sama turut diadakan di Thailand, Macau, Hong Kong, Indonesia dan England yang memfokuskan kepada usaha menarik minat masyarakat umum supaya menutup aurat dan menjaga pergaulan di kalangan umat Islam.
Menurut wakil NGO terbabit, Mardziah Zakaria, objektif utama kempen itu adalah mewujudkan remaja yang beradab mulia, berakhlak murni dan berketrampilan sebagai remaja Muslim.
"Kita telah mulakan kempen ini dengan program turun padang di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pantai Bersih dan Queensbay Mall malam Ahad lalu dengan mengadakan aktiviti penyampaian tudung percuma kepada remaja perempuan.
"Kita bersyukur mendapat sambutan menggalakkan daripada remaja dan ramai yang menyambut baik kempen kami," katanya yang juga Ketua Hal Ehwal Wanita Masjid At Taqwa pada sidang akhbar di sini, semalam.
Tambahnya, kempen serupa juga akan diteruskan menerusi laman sosial Facebook kerana ia lebih dekat di hati remaja.
Malah jelasnya, menerusi laman sosial itu, semua aktiviti NGO terbabit di setiap negara dapat dikongsi bagi penghayatan bersama dan berkongsi maklumat mengenai kempen terbabit.
"Sejak seminggu dilancarkan, hampir 1,000 remaja telah menyertai kami. Kempen ini bukan sekadar dijalankan pada tarikh 14 Februari sahaja malah akan diteruskan setiap masa," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 16/2/12

‘Desakan Nik Aziz tidak mencukupi’

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Pas perlu membuktikan keikhlasan parti itu memperjuang hak Palestin dengan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jelas perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keselamatan Israel adalah haram seperti yang ditegaskan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Anwar menarik balik kenyataannya dan menyaman The Wall Street Journal (WSJ) tidak mencukupi untuk membuktikan keikhlasan Pas mempertahan perjuangan Palestin.
Menurutnya, desakan Nik Abdul Aziz itu tidak lebih sekadar sandiwara politik jika parti tersebut masih mahu bersama dengan PKR dan pakatan pembangkang sedangkan Anwar secara terbuka menyokong keselamatan Israel, sesuatu yang bertentangan dengan prinsip Pas dan perjuangan umat Islam seluruh dunia.
“Desakan ini perlu disusuli dengan tindakan meninggalkan PKR dan pembangkang dengan segera jika Pas bukan bersandiwara kerana kita melihat Pas hanya sekarang membuka mulut dalam isu sokongan Anwar terhadap keselamatan Israel ini, kenapa selama ini diam kalau Pas benar-benar ikhlas mempertahan Palestin.
“Saya percaya tindakan Nik Abdul Aziz ini lebih kepada kepentingan politik kerana beliau menyedari Pas kini berada dalam situasi yang cukup negatif ekoran kenyataan Anwar, sebab itu baru sekarang mereka berani bersuara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mursyidul Am Pas itu dalam satu kenyataan yang dianggap paling keras setakat ini mendesak Anwar menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan turut meminta ketua pembangkang itu menyaman WSJ sekiranya kenyataannya diputar-belitkan.
Beberapa hari lalu pula, Abdul Hadi menegaskan Pas menolak penyelesaian dua negara kerana haram bagi mana-mana umat Islam menerima kewujudan Israel, selain telah menjadi fardu ain kepada orang Islam untuk membela dan membebaskan rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi rejim zionis.
Dalam perkembangan yang sama, Mohd. Zahid tidak menolak kemungkinan Anwar akan menemui Nik Abdul Aziz dalam masa terdekat ini bagi menyelesaikan isu tersebut dan sebaik sahaja pertemuan itu berlangsung, kedua-dua tokoh pembangkang berkenaan akan menjadikan UMNO sebagai kambing hitam.
“Berdasarkan pengalaman lalu itulah taktik Anwar setiap kali beliau tersepit. Saya percaya selepas bertemu dengan Nik Abdul Aziz, isu Anwar menyokong keselamatan Israel tidak akan timbul lagi sebaliknya yang akan dituduh selepas ini adalah UMNO, kononnya semua ini adalah fitnah UMNO,” dakwanya.

/hwa: utusan.com.my | 16/2/12

Taktik cuba selamatkan Anwar dalam isu Israel

DR. MAHATHIR Mohamad menandatangani buku kepunyaan pelajar Universiti Perdana, Mohamed Nabil di Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/Wahidah Zainal


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Dakwaan kononnya Malaysia juga mempunyai hubungan dengan Israel adalah satu taktik yang dilihat cuba menyelamatkan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak mustahil dakwaan itu dikeluarkan oleh Israel sendiri sebagai sokongan kepada Anwar yang kini dikecam banyak pihak ekoran kenyataan beliau menyokong rejim Zionis itu baru-baru ini.
''Saya melihat pendedahan statistik mengenai perniagaan antara Malaysia dan Israel itu adalah usaha pihak-pihak tertentu untuk menyokong Anwar. Malah, tidak mustahil ia dilakukan oleh rakan-rakan Anwar di negara itu sendiri kerana beliau sememangnya 'kawan baik' Israel.
''Tetapi pada hakikatnya, kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel," kata beliau kepada pemberita selepas sesi bertemu dengan pelajar dan kakitangan Universiti Perdana di Serdang, dekat sini, hari ini.
Dr. Mahathir berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan pelbagai pihak termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat yang meminta Anwar membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menarik balik sokongan terhadap Israel atau menyaman The Wall Street Journal (WSJ) yang mengeluarkan kenyataan beliau itu.
Bagaimanapun beberapa blog propembangkang yang dilihat cuba menyelamatkan imej Anwar mendakwa, terdapat bukti bahawa dua syarikat di Johor berdagang minyak kelapa sawit dengan rakan perniagaan mereka dari Israel.
Menurut Dr. Mahathir, kenyataan Anwar yang menyokong Israel itu menunjukkan bahawa beliau adalah individu yang tidak boleh dipercayai.
Tambah beliau, Anwar juga merupakan individu yang boleh menjelma menjadi pelbagai 'jenis' manusia serta tiada pegangan tetap mengenai apa sahaja.
''Kalau dengan orang Cina, dia (Anwar) jadi orang Cina, kalau dengan orang Melayu, dia jadi orang Melayu, kalau dengan orang Islam, dia jadi ulama.
''Bila dengan Israel, dia menyokong Israel," katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Malaysia menghentikan penghantaran minyak masak ke Iran tetapi tidak ke Israel, Dr. Mahathir berkata, perkara itu perlu disahkan kebenarannya oleh kerajaan.
Begitupun kata beliau, apa yang perlu difahami ketika ini juga adalah hakikat bahawa kerajaan menerima tekanan yang cukup kuat daripada kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa perkara.
''Jika kita tidak ikut, banyak halangan dan ugutan yang akan dikenakan seperti menghalang bank-bank negara itu menjalankan perniagaan di sini.
''Kita sebenarnya tidak bebas walaupun kita sudah merdeka," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 16/2/12

14 Februari 2012

Majlis Perasmian Seminar Wakaf, Penjana Pembangunan

14 Feb. 2012: RAJA Nazrin Shah (tengah) bersama Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) dan Prof. Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi (kanan) di Majlis Perasmian Seminar Wakaf, Penjana Pembangunan di Sasana Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur. Utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED

Pas desak Anwar tarik balik kenyataan

KOTA BHARU 13 Feb. - Pas hari ini mendesak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa tertinggi parti itu dan Majlis Syura Ulama Pas bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam.
"Jawatankuasa Agung dan Majlis Syura membuat keputusan meminta saya mengirim surat kepada Anwar supaya menarik balik kenyataannya mengenai Israel sebagaimana yang disiarkan dalam WSJ.
"Sekiranya kenyataan WSJ tidak tepat, kita harap Anwar menyaman WSJ. Saya telah menandatangani surat di Kuala Lumpur semalam dan insya-Allah surat itu akan dihantar oleh Setiausaha Majlis Syura selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan malam bersama Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan di Hotel GRV di sini malam ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Anwar dalam wawancara dengan WSJ baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha bagi menjaga keselamatan negara Israel.
Ia telah mencetuskan bantahan umat Islam, malah ramai yang terkejut dengan kenyataan Anwar itu termasuk diplomat negara-negara Islam antaranya Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Azeez Abughoush.
Menteri Besar itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai pendapat banyak pihak bahawa Anwar mengeluarkan kenyataan itu hanya untuk menarik sokongan dari negara asing.
"Bila kita bersahabat kewajipan kita adalah tegur-menegur, apa yang kita tengok kawan kita tidak betul kita tegur, apa yang kawan kita tengok kita tidak betul dia tegur kita, itu ajaran agama.
"Saya telah tunaikan tanggungjawab sebagai seorang kawan dan Mursyidul Am Pas supaya dia tarik balik kenyataannya mengenai Israel kerana Israel ini negara haram. Saya telah sebut kepada Duta Amerika Syarikat ketika dia datang ke pejabat saya dua tahun lepas, saya kata kalau selipar Jepun sekali pun tidak ada hak untuk ambil negara kita, inikan pula negara Palestin. Siapa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pandai-pandai bahagi dua bumi Palestin," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 14/2/12

Mufti Perlis ingatkan Karpal

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya memberi amaran kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh agar tidak mempertikaikan syariat Islam berhubung sambutan Hari Kekasih.
Beliau menegaskan, Karpal bukan ulama Islam dan sama sekali tidak boleh mempertikaikan syariat yang dilaksanakan oleh Islam.
Beliau turut menggesa pihak- pihak yang bersahabat dengan Karpal terutama Pas supaya menilai kembali persahabatan dan ‘kemesraan’ yang terjalin antara mereka.
‘‘Dahulu mereka (Pas) kata Karpal telah berubah dan mulai memahami Islam namun kita lihat hari ini dia semakin keras terhadap Islam.’’
‘‘Kenapa dia hendak mengajar orang Islam bagaimana hendak melaksanakan syariat Islam. Dia mungkin hebat dalam undang-undang tetapi dia bukan ulama Islam,’’ katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.
Karpal berkata, pendirian tersebut bertentangan dengan hak asasi dan prinsip kebebasan yang diamalkan oleh negara demokrasi seperti Malaysia.
Sementara itu, Juanda turut mempertikaikan sikap sesetengah pihak dalam Pas yang tunduk terhadap Karpal dalam isu-isu yang membabitkan Islam.
‘‘Sampai bila hendak tunduk sahaja dengan nasihat agama daripada Karpal,’’ katanya.

/hwa: utusan.com.my | 14/2/12

Pengkhianatan terhadap Islam, Palestin

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha menjaga keselamatan Israel seperti dalam temu bual yang disiarkan oleh The Wall Street Journal bulan lalu merupakan satu pengkhianatan terhadap Islam.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, kenyataan itu bercanggah dengan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh para ulama berhubung perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.
Beliau berkata, antaranya satu fatwa yang ditandatangani oleh 63 ulama tersohor antaranya Sheikh Muhammad Ghazali, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardawi, Sheikh Dr. Wahbah Az Zuhaily serta Sheikh Dr. Mujahid Abdullah Azzam yang dikeluarkan oleh Jamadil-Ula pada 1989 (1409 Hijrah).
"Dalam fatwa ini, kesemua ulama terbabit bersepakat bahawa jihad adalah satu-satunya cara untuk bebaskan bumi Palestin. Ia turut menyebut bahawa mana-mana organisasi atau individu tidak boleh sama sekali menyerahkan satu inci tanah Palestin kepada Yahudi kerana ini berkaitan dengan perjuangan akidah.
"Maka, sekiranya kita memberi ruang seperti mengiktiraf, melahirkan rasa simpati atau mahu mempertahankan Israel dan Yahudi ia merupakan khianat kepada Allah, rasul-Nya serta amanah yang telah dipertanggungjawab kepada semua umat Islam," katanya di kediamannya di Bangi, hari ini.
Dalam wawancara dengan media asing itu, Anwar memberitahu, beliau menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel sekali gus mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.
Malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin di dalam blognya http://presiden.pas.org.my menegaskan, adalah haram bagi mana-mana umat Islam menerima kewujudan negara Israel kerana telah menjadi fardu ain kepada orang Islam untuk membela serta membebaskan rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi rejim Zionis.
Dalam perkembangan berkaitan, Nasharudin yang juga Pengerusi Pentadbiran Yayasan al-Quds Malaysia mengakui terkejut kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar itu.
"Apa niatnya saya tidak tahu, tetapi kaedah dalam Arab mudah sahaja kita perlu berhukum pada perkara yang zahir. Perkara zahir jelas menunjukkan bahawa berlaku pengiktirafan kepada satu entiti yang bertentangan dari segi agama, bertentangan hak rakyat Palestin dan bertentangan dengan politik," katanya.
Ketika ditanya sama ada kenyataan Anwar yang disiarkan oleh The Wall Street Journal itu turut disentuh oleh tokoh-tokoh pemimpin negara Arab hasil lawatannya ke beberapa negara Asia Barat baru-baru ini, Nasharuddin mengakui perkara itu.
Jelasnya, dalam beberapa sesi pertemuan termasuk dengan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya di Kuwait beberapa hari lalu, mereka berasa amat hairan sebab Anwar mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
"Mereka menyatakan kebimbangan sekiranya perkara itu menjadi pegangan ia amat berbahaya kepada agama dan kepada rakyat Palestin.
"Ketika bertemu dengan Ismail, beliau memberitahu, orang Palestin menghargai sumbangan rakyat Malaysia dan mereka tahu kita sering membantu meskipun jarak geografinya beribu-ribu kilometer. Oleh itu apabila timbul kenyataan seperti ini sudah tentu menjadi tanda tanya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Yayasan al-Quds akan mempergiatkan usaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin terutama bagi menjayakan projek- projek menyediakan kemudahan asas.
"Antaranya pembinaan penempatan untuk rakyat Palestin, pembinaan jalan raya dan proses menyuling air laut sebagai air bersih. Kesemua projek ini memerlukan komitmen tenaga, fikiran dan kewangan," katanya.
Untuk itu beliau berkata, pihak yayasan dan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin akan melakukan yang terbaik bagi merealisasikan projek-projek tersebut demi kemudahan rakyat negara itu.

/hwa: utusan.com.my | 14/2/12

13 Februari 2012

Pas dan Anwar

ADALAH sangat merendahkan taraf pemikiran pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Pas jika kita mengatakan mereka tidak mempercayai tentang keperibadian tersembunyi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi mereka perlu bersabar menyembunyikan kepercayaan itu demi untuk Pas sampai ke Putrajaya.
Masakan mereka terlalu bodoh untuk memikirkan kenapa Anwar tidak mengambil tindakan menyaman malu orang yang mendedahkan keburukannya sedang mereka membuat cabaran kepada beliau secara terbuka dan bertalu-talu.
Orang Pas sering mempertahankan Anwar dengan alasan pemimpin-pemimpin UMNO juga mempunyai masalah kelemahan moral.
Tetapi mereka terlupa hakikat bahawa kebanyakan pemimpin UMNO yang terlibat tidak memprojekkan diri sebagai seorang pejuang Islam yang suci, berkhutbah Jumaat atau memberikan syarahan yang menggambarkan diri sebagai pemimpin besar Islam.
Pemimpin utama UMNO seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah menjadi contoh seorang pemimpin Islam yang amat bertolak ansur kepada kelemahan manusia dan mengakui amalan-amalannya yang tidak dianggap baik oleh orang Islam termasuk yang dikutuk oleh Pas.
Sesuai dengan pemodenan dan peredaran zaman, Menteri Besar dan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat telah beralih menunjukkan toleransi yang lebih liberal.
Bagaimanapun kesabaran ahli-ahli Pas lain pula iaitu mereka bersabar kerana bergantung kepada Anwar untuk sampai ke Putrajaya dengan keyakinan bahawa semua dasar Pas dapat dipulihkan apabila Pas berkongsi kuasa kerajaan pusat dengan DAP dan PKR kelak kerana akan mempunyai 'Bargaining Power'.
Bagaimanapun seorang yang cerdik tidak dapat melihat logik hal ini akan berlaku kerana dalam keadaan sekarang pun Pas telah banyak bertolak ansur mengenai prinsip Islamnya.
Maka apatah lagi setelah berkuasa, tentunya nafsu untuk menikmati kedudukan dan kuasa akan mengatasi prinsip. DAP dan PKR telah pun memahami kelemahan Pas.
Pas juga amat toleransi kepada pendirian Anwar menyokong kewujudan negara Israel kerana semakin kuat bantahan disuarakan oleh rakyat negara ini maka semakin popular Anwar di kalangan masyarakat Yahudi dan Amerika Syarikat serta akan semakin banyak peruntukan yang akan dapat dikongsi bersama oleh Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

/hwa: utusan.com.my | 13/2/12

'3.7 juta yang menakutkan'

PIHAK yang bertanggungjawab tidak boleh lagi mengharapkan parti-parti politik, agensi kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan pengundi baru. Ini apa lagi untuk memujuk kalangan orang Melayu mendaftar diri.
Bukan niat untuk memperkecil atau memperlekehkan komitmen parti, agensi atau suruhanjaya berkenaan, tetapi kalau dilihat daripada 3.7 juta orang yang layak mendaftar namun tidak berbuat demikian, kita semua maklum majoriti hampir 2 juta ialah orang Melayu.
Untuk orang Melayu, pihak yang akan pergi kepada mereka dalam memujuk termasuk merayu supaya mendaftar tidak lagi boleh bersandarkan kaedah lama - 'anda kena mengundi untuk negara atau di manalah tanggungjawab anda'. Tidak, tidak lagi pendekatan cara itu.
Sebaliknya, mereka kenalah menerjah kedai-kedai kopi, restoran, khutbah-khutbah Jumaat dengan menggunakan saluran-saluran NGO, Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kampung atau apa sahajalah cara yang melibatkan sentuhan dari hati ke hati untuk menggesa mereka mendaftar.
Sebab - realitinya politik masa depan Malaysia banyak bergantung kepada orang Melayu, lantaran bilangan mereka sudah melebihi 54 peratus.
Namun malang sekali, sikap sebilangan besar orang Melayu dikesan tidak ambil peduli tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 21 tahun atau lebih. Padahal mendaftar sebagai pengundi hanya mengambil masa kurang dari 15 minit.
Apatah lagi kali ini meskipun bilangan orang Melayu sudah melebihi 54 peratus tadi namun kaum itu berpecah pula kepada UMNO, Pas dan PKR. Dalam aluran ini, Melayu kena wajib berfikir secara tuntas kalau terus mahu mengepalai kepimpinan kerajaan di negara ini.
Antara yang turut risau dengan sikap longlai lesu orang Melayu bila tiba 'bab mendaftar ini' ialah Mohd. Jurit Ramli yang mengetuai Gabungan NGO Malaysia (GNM) selaku setiausahanya. Beliau mengirimkan coretan menerusi SMS kepada penulis, yang katanya perlu direnung-renungkan oleh orang Melayu.
"Orang Melayu Islam yang tidak mengundi menanggung dosa dan perlu bertanggungjawab atas sebarang kehilangan kuasa orang Melayu dan sebarang penghinaan terhadap Islam apabila orang Melayu kehilangan kuasa politik.
"Ini disebabkan 3 juta orang Melayu yang belum berdaftar, maka seluruh orang Melayu harus bertanggungjawab memberi penjelasan kepada setiap orang Melayu yang tidak mengundi. Rayu dan jelaskanlah kepada mereka," kata Mohd. Jurit yang juga bekas anggota MALBATT yang pernah bertugas di Bosnia Herzegovina dalam kancah perang Balkan pada era 1990-an.
Hakikatnya, kalau diimbas balik kenyataan Pengerusi SPR tempoh hari tentang pendedahannya bahawa sebahagian besar orang Melayu yang layak tetapi enggan mendaftar - memang menakutkan. Alasan terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar dan lebih teruk dan dangkal lagi 'tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi' memang agak sukar untuk diterima rasionalnya.
Jika secara sinis dan kritis, kita boleh sebutkan di sini kepada orang Melayu tentang real politik dan keadaan politik semasa negara yang memang menyaksikan orang Melayu semacam cemas, bimbang dan keliru dengan politik semasa. Kerana itu, orang Melayu harus insaf, sedar tentang masa depan yang tidak menentu dan di kala pecahan parti-parti Melayu ketika ini yang dibimbangi akhirnya akan gagal mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan agama.
Dan walaupun politik di negara ini sedang merangka pembaharuan atau transformasi, namun kematangan politik dilihat masih pada tahap yang rendah. Dengan jelas lagi - ia masih lagi berada dalam kerangka politik perkauman.
Apabila melihat perkembangan parti tertentu mengatur sokongan kaum Cina termasuk dikatakan berlaku 'penghijrahan atau sebenarnya pemindahan besar-besaran pengundi ke Selangor', maka jelaslah 'mereka' masih berpaksikan kepada politik perkauman yang dimanipulasikan sebagai demokrasi total. Sedangkan BN atau UMNO dikatakan masih terikat kepada perjuangan realiti untuk mengubah negara dengan kemajuan yang lebih pesat.
"Sehingga hari ini, dominan Cina dalam politik semakin terserlah. Kehadiran parti berkenaan dikatakan sudah diterima dan mereka telah dikatakan sebagai pejuang kaum yang lebih signifikan daripada parti-parti komponen dalam BN sendiri," kata seorang pemerhati kepada penulis.
Kata pemerhati itu lagi: "Banyak petunjuk telah ada. Memberi mereka apa yang mereka mahu tidak menjamin sokongan. Dan toleransi Melayu dilihat pula masih di tahap tertinggi dan sanggup sekali lagi akur kepada kehendak.
"Dengan parti terbabit yang semakin jelas membawa sentimen perkauman dan mendapat sokongan kaum Cina, maka BN perlu segera mencari formula bagi mengaut kembali sokongan khususnya orang Melayu bagi mengimbangi sokongan menyeluruh kaum Cina terhadap parti berkenaan."
Realitinya, orang Melayu masih belum terlambat untuk mendaftar diri sebagai pengundi. Tetapi anda kenalah 'bergerak terus ke pejabat pos' mulai pagi ini.
Berdasarkan rekod terkini SPR, dianggarkan kira-kira 300,000 berdaftar sebagai pengundi baru termasuk menukar alamat bermastautin dalam setiap suku tahun. Namun itu bukan bermakna apabila mereka berdaftar, terus serentak atau sekali gus disahkan untuk menjadi pengundi pada PRU13.
Dan katakanlah Parlimen dibubarkan sekitar bulan depan atau April ini untuk memberi laluan kepada PRU-13, maka mereka yang mendaftar dalam suku keempat 2011 akan menjadi pengundi yang paling bernasib baik untuk menentukan pucuk kepimpinan negara masa depan. Tetapi bagi 300,000 orang yang baru berbuat demikian pada Januari, bulan ini dan Mac depan, 'alamatnya wasalamlah'.
Sebabnya, apabila habis pendaftaran dalam tiga bulan ini, nama mereka hanya boleh dipamerkan pada Mei dan pada hujung bulan itu sahaja, senarai nama berkenaan akan disahkan sebagai pemilih berdaftar. Itupun kalau bernasib baik jika nama tidak ada dalam proses bantahan. Dalam erti kata lain, mereka yang baru mendaftar dalam bulan ini (Januari), memerlukan sekurang-kurangnya lima bulan setengah, yakni pada Jun nanti untuk disahkan sebagai pengundi.
Jadi, janganlah kata tidak ada makluman mengenai perkara ini atau sememangnya sengaja tidak mahu cari maklumat. Kalau tiba-tiba Parlimen dibubarkan, jangan nak membising pula.
Realitinya juga, lagi dekat 'tarikh' PRU13, akan lagi banyak proses bantahan terhadap daftar pemilih. Meskipun tarikhnya itu masih belum pasti, namun daftar pemilih mutakhir suku keempat 2011 dan daftar pemilih suku pertama 2012 kini menjadi tumpuan parti-parti politik dan orang ramai di seluruh negara.
Ingatan mengenai peri pentingnya mendaftar sebagai mengundi oleh setiap warganegara telah diperingkatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata beliau, kegagalan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi secara langsung telah menafikan hak mereka untuk terlibat dalam proses demokrasi negara.
Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana hak mengundi adalah satu keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan negara dan semua rakyat wajar menggunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini penting supaya golongan terbabit tidak ketinggalan untuk turut sama mencorak kerajaan serta menentukan parti yang bakal memerintah pada pilihan raya umum akan datang.
Mohd. Jurit semalam menutup SMSnya dengan kata-kata:
"Wahai ketua keluarga, ibu bapa, ketua kampung, ketua jabatan, polis dan tentera, kedai kopi, surau, masjid dan khutbah.
"Ini (mendaftar sebagai pengundi) tuntutan amanah. Janganlah diharapkan apa-apa bayaran tetapi haraplah ganjaran pahala di atas usaha ini. Berjihad ke jalan Allah."

/hwa: utusan.com.my | 13/2/12

Pas hanya pandai berjanji

BACHOK 12 Feb. – UMNO Kelantan yakin rakyat di negeri ini mampu membuat keputusan untuk memilih kerajaan yang lebih baik dan menilai dengan sewajarnya selepas 21 tahun berada di bawah pentadbiran Pas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (gambar) berkata, dasar membantu dan membela kebajikan rakyat menjadi tradisi dan amalan kepemimpinan UMNO yang dilaksanakan secara berterusan selaras aspirasi dan hala tuju Kerajaan Persekutuan.
“Ini termasuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi dalam pelbagai keperluan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Rakyat sendiri pun sedar banyak kelemahan kerajaan Pas Kelantan yang gagal menyelesaikan masalah rakyat dan tidak menunaikan janji yang ditaburkan sepanjang pilihan raya umum yang lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, di Pangkalan Cina, dekat sini malam tadi.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua UMNO bahagian Bachok berkata, janji yang paling jelas gagal ditunaikan oleh Pas Kelantan ialah membina jambatan di Pangkalan Cina, dekat sini yang sepatutnya sudah siap dibina.
Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah menyatakan kesediaan untuk membina jambatan berkenaan untuk memberi kemudahan kepada penduduk kawasan berkenaan.
“Tetapi kita gagal untuk melaksanakannnya apabila kerajaan Pas Kelantan bertindak membina cerucuk dan tiang jambatan di kawasan itu tetapi tertangguh pembinaannya sejak sekian lama.
“Kini yang ada hanyalah tiang-tiang konkrit dan dalam saat hampir pilihan raya ini kelihatan jentera berat ditempatkan di kawasan itu untuk mengabui mata rakyat,” katanya.
Kata beliau, projek yang terbengkalai itu menyebabkan penduduk dari beberapa kampung terpaksa menggunakan laluan yang jauh untuk ke pekan Jelawat atau ke bandar Bachok terutama apabila jambatan Tok Guru di Sungai Kuau roboh pada musim banjir akhir tahun lalu.

/hwa: utusan.com.my | 13/2/12

Nik Abduh selar Karpal

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz hari ini menyelar tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.
Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima oleh orang lain.
“Ia bukan hanya pendirian Pas, ia pendirian semua umat Islam. Semua pihak mesti terlibat mendidik dan menyeru umat Islam kepada kebaikan beragama.
“Mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosi agama secara unggul. Dalam diri umat Islam ada agama. Ia hak tertinggi. Justeru, mendidik umat agar menghormati ajaran agama adalah hak asasi umat Islam.
“Karpal kena belajar walau sudah tua untuk menghormati agama lain, bukan memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain. Politik bukan mahkamah,” katanya menerusi status terkini di laman sosial Facebooknya hari ini.
Kenyataan Nik Abduh itu dipercayai berkait dengan tindakan Karpal yang menggesa Pas menarik balik pendirian membantah sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini kerana ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral.
Karpal seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar hari ini dipetik berkata, pendirian Pas itu tidak boleh dipertahankan kerana sambutan Hari Kekasih diterima umum dan disambut hampir di semua negara.
Menurut Karpal, DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukan satu langkah yang baik dan tindakan Pas juga bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.
Dewan Pemuda Pas pada 7 Februari lalu, menggesa kerajaan melancarkan kempen menentang sambutan Hari Kekasih termasuk dengan menyiarkan iklan anti sambutan hari tersebut bagi mencegah umat Islam menyambutnya.

/hwa: utusan.com.my | 13/2/12

Label ‘parti ajaran sesat’: MB Terengganu sedia disaman Pas

HULU TERENGGANU 12 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said enggan tunduk kepada desakan Pas yang memberi tempoh tiga hari agar beliau menarik balik kenyataannya mendakwa parti itu sebagai ‘parti ajaran sesat’.
Malah, Ahmad bersedia disaman oleh Pas berhubung dakwaan itu sambil menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.
Beliau tidak sesekali gentar dengan desakan parti tersebut kerana yakin dakwaan terhadap Pas itu mempunyai kebenaran berdasarkan banyak bukti kukuh.
“Ikut pandai dia lah (terserah pada Pas), saya tunggu (bila Pas akan saman). Saya tak akan tarik balik.
“Terserah pada dia sama ada nak bawa kes ini ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Nak saman, saman lah. Tapi dia kata kita (BN dan UMNO) macam-macam tak apa. Dia kata kita kafir tak apa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di daerah ini hari ini.
Ahmad diminta mengulas mengenai pendiriannya berhubung desakan Pas agar beliau menarik balik kenyataannya selepas melabelkan Pas ‘parti ajaran sesat’.
Minggu lalu, Pas memberi tempoh tiga hari kepada Ahmad agar menarik balik kenyataannya bahawa parti itu merupakan ‘parti ajaran sesat’.
Amaran itu dinyatakan Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik bahawa sekiranya dalam tempoh berkenaan Ahmad tidak menarik balik kenyataannya, parti itu akan mengambil tindakan terhadapnya.
Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, penyelewengan dan kesesatan yang dibawa Pas terhadap umat Islam bukanlah perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.
Bukti jelas dan nyata, kata beliau, adalah ‘Amanat Haji Hadi’ dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah.
“Selagi Tok Guru mereka (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah Pas berada dalam kesesatan bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub,” tegasnya.

/hwa: utusan.com.my | 13/2/12

9 Februari 2012

Pencetus model baru budaya politik tempatan

DALAM keghairahan mahasiswa menuntut kebebasan berpolitik dan menyertai parti politik, saya amat berharap golongan mahasiswa yang masih muda dan masih jernih pemikirannya dapat mencetuskan satu perubahan dalam budaya berpolitik.
Saya amat bimbang sekiranya dalam keterbukaan berpolitik, mahasiswa terlalu terikut-ikut akan budaya semasa sehingga mewarisi perkara-perkara negatif yang banyak mencemari senario politik tempatan.
Namun, dengan anjakan paradigma dan persiapan minda yang baik, saya yakin mahasiswa mampu memulakan satu model baru dalam budaya politik tempatan, bermula di kampus.
Antara perkara yang perlu ditekankan penguasaan hujah dan ilmiah, responsif dan boleh dimuhasabah, tidak terlalu taksub dengan parti, dan berakhlak mulia.
Perkara yang perlu diutamakan dalam berpolitik adalah matlamat perjuangan mesti jelas dan konsisten, didokong oleh hujah-hujah yang konkrit.
Mahasiswa perlu terapkan dalam minda bahawa mereka berpolitik bukan semata-mata untuk meraih undi atau kuasa, tapi yang lebih penting adalah berpolitik untuk membangunkan dan mengangkat martabat pemikiran dan budaya dalam masyarakat.
Sebagai siswa dan golongan intelek, hujah, fakta, teori dan hukum sepatutnya menjadi teras utama dalam mengemukakan propaganda politik, bukan dengan semata-mata bermain emosi dan sentimen.
Mahasiswa perlu menyandarkan pandangan dan argumen kepada hujah-hujah terbukti, bukan dengan tanggapan-tanggapan atau persamaan-persamaan mudah, yang kebelakangan ini banyak dilontarkan ahli-ahli politik.
Walaupun mungkin kita dapat menarik sokongan masyarakat dengan menyentuh emosi dan bermain sentimen, tapi yang lebih patut diutamakan adalah menaikkan tahap pemikiran analitikal dan kritis dalam masyarakat.
Maka ia bermula dengan objektif yang jelas dan murni serta persiapan dan kajian yang mendalam dalam menentukan dan memandu agenda perjuangan.
Selain itu, sebagai pemimpin, mahasiswa perlu bersedia mendengar dan menerima maklum balas dari ahli-ahli, rakan-rakan mahupun orang luar.
Tidak dinafikan, dalam umur muda, sudah pasti semangat pemuda akan banyak mendorong mahasiswa untuk menjayakan agenda mereka.
Namun, dalam semangat berkobar tersebut, mahasiswa mesti bersedia dan terbuka untuk menerima sebarang teguran dan kritikan.
Mahasiswa tidak boleh mudah terikut emosi sehingga mudah melenting dan pantas mencantas sebarang cadangan dan teguran. Jangan pula terlalu taksub dan jumud sehingga menyekat apa-apa maklumat yang tidak seiring dengan pendapatnya daripada tersebar dalam organisasi, institusi atau kepada umum.
Percambahan idea akan lebih baik dengan perbincangan yang lebih lumat dengan mengambil kira pelbagai aspek dan perspektif.
Usahlah menjadi seperti pihak yang tidak boleh ditegur, sehingga mudah sahaja mengaitkan si penegur sebagai sekongkol pihak lawan.
Mahasiswa harus rasional dan bersikap terbuka dan matang serta menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik dengan membidas hujah, ataupun memperbaiki kesalahan.
Di samping itu, adalah menjadi harapan besar agar mahasiswa dapat meruntuhkan tembok taksub kepartian yang telah banyak memecah-belahkan masyarakat dari sudut kesatuan dan ukhuwah.
Tiada masalah mempunyai idea berbeza. Namun dengan budaya politik semasa, persaingan itu bahkan terbawa-bawa ke dalam kehidupan peribadi sehingga berlaku peristiwa-peristiwa yang terlalu menggambarkan perpecahan.
Saya akui bahawa dengan pendedahan-pendedahan politik tempatan semasa, mungkin agak sukar bagi mahasiswa membayangkan berpolitik di luar kotak hitam dan putih, kiri dan kanan.
Namun, inilah cabaran buat mahasiswa untuk memulakan budaya baru dengan fokus kepada membimbing dan membangunkan masyarakat, bukan berstrategi untuk menumbangkan lawan.
Politik sebenarnya lebih luas dari blok kepartian di mana objektif asalnya adalah peningkatan ketamadunan dalam masyarakat. Perkara ini harus difahami dan diinsafi oleh mahasiswa yang ingin berpolitik.
Dalam berpolitik juga, akhlak merupakan kunci yang suci bagi meraih kepercayaan masyarakat terhadap kemampuan mahasiswa sebagai pemimpin.
Oleh itu, mahasiswa amat dituntut menjaga dan mengutamakan akhlak dan perilaku mulia terutama di tempat-tempat awam baik di luar mahupun di media sosial.
Penekanan yang tinggi harus diberikan agar mahasiswa menjauhi tindakan-tindakan negatif dan tidak matang dalam gerak kerja dan propaganda yang boleh menghilangkan keyakinan masyarakat terhadap potensi mereka. Mahasiswa harus menjauhi budaya menjatuhkan peribadi, mencari kesalahan peribadi lawan, dan melontar tohmahan-tohmahan kasar.
Jalan itu terlalu kotor dan barangkali menjatuhkan kita dalam fitnah tuduh-menuduh. Mahasiswa juga mesti mengelakkan diri daripada terlibat dalam aksi-aksi provokatif dan ganas yang sekadar menimbulkan kontroversi daripada menyelesaikan masalah.
Usahlah kita berbicara tentang bergerak ke depan dalam pembangunan sekiranya kita mundur ke belakang dari aspek akhlak, perwatakan dan penampilan dalam perjuangan.
Akhir sekali, pada pengamatan saya, mahasiswa dan politik kampus merupakan lapangan terbaik untuk mencetuskan budaya baru dalam lanskap politik tempatan kerana jiwa belia masih terbuka dan punya idealisme tersendiri yang mampu dicorakkan. Mahasiswa harus mewarnai politik kampus dengan persaingan yang sihat dan membina.
Ambillah perkara-perkara yang baik dari perkembangan politik semasa, tetapi bertekadlah untuk mengubah yang mana jelas keburukannya. Gerakkanlah satu perubahan budaya politik yang baru, dengan itu harapnya akan menarik lebih ramai lagi golongan siswa dan belia untuk lebih celik dan berminat terhadap politik.

/hwa: utusan.com.my | 9/2/12

Pas hanya akan menang sorak?

BARU-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan dalam satu perhimpunan di Shah Alam bahawa tidak kisah Pas diperkudakan oleh DAP dan DAP yang diperkudakan oleh Pas asalkan jangan 'diperlembukan' oleh UMNO.
Kenyataan itu mengesahkan Pas tidak kisah apa pun yang diminta oleh DAP asalkan cita-cita Pas untuk bersama-sama parti berkenaan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawan Putrajaya menjadi realiti.
Sebab itulah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyatakan Pas dan PKR akan membantu DAP meyakinkan orang Melayu di Perak bahawa parti itu tidak bersifat cauvinis Cina dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Kita tidak boleh menyalahkan Koo Ham kerana berterus terang, sebaliknya perlu berterima kasih kepada beliau.
Ia memandangkan selama ini ramai tertanya-tanya kenapakah Pas begitu bersedia bergabung dalam pakatan pembangkang biar pun berbeza ideologi dan arah perjuangan.
Malahan ramai juga bertanya bolehkah Pas bekerjasama dengan DAP yang secara terang-terang menentang penubuhan negara Islam sehingga Pas terpaksa menggugurkan perjuangan berkenaan.
Tetapi rupanya, DAP dan PKR menerima Pas disebabkan mereka amat memahami kekuatan yang ada pada parti tersebut iaitu menarik sokongan orang Melayu menyokong pembangkang termasuk DAP.
DAP mengetahui mereka tidak boleh bersendirian melakukan usaha meraih sokongan orang Melayu, biar pun sudah memulakan langkah dengan menarik beberapa orang Melayu menyertai parti itu.
Bagi DAP, hanya Pas sahaja yang mampu menandingi keupayaan untuk memecah sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional (BN) melalui UMNO.
Oleh itu, Pas diterima masuk dalam pakatan pembangkang dengan jaminan DAP pula akan cuba 'mencuci' imej Pas yang dikatakan dilihat ekstrem.
Bagaimanapun, kita tidak pasti sejauh manakah DAP benar-benar jujur untuk membantu Pas kerana hakikatnya yang lebih memerlukan Pas ialah DAP, bukannya Pas.
Jika DAP mahu membantu mengikis imej yang dikatakan ekstrem itu, parti tersebut perlu membenarkan Pas bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina yang menjadi kubu kuat mereka terutamanya di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Tetapi kita pasti DAP jauh lebih bijak berpolitik berbanding Pas, ia memandangkan DAP tidak akan mengorbankan kekuatannya semata-mata atas dasar membantu Pas.
Namun Pas akan bersedia berbuat demikian kerana parti itu sudah kemaruk hendak berebut kuasa bersama-sama DAP dan PKR.
Sebab itulah, selama ini kita lihat melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang Pas lebih banyak menjadi 'pak turut' dan diperalatkan. Pas seolah-olah cuba menafikan hakikat ini, sebaliknya gembira apabila ada penyokong DAP yang mengibarkan bendera Pas.
Pas menganggap itu petanda baik kerana menunjukkan kononnya masyarakat bukan Melayu menyokong parti itu.
Parti tersebut sebenarnya tidak sedar bahawa DAP mahu memperalatkan Pas untuk meraih sokongan orang Melayu kerana mereka tidak boleh bergantung kepada PKR.
PKR ibarat parti yang semakin rosak dan penuh kekalutan akibat gelagat pemimpin-pemimpin kanannya.
Ia berbeza dengan Pas yang mempunyai ramai ulama, kehadiran golongan ini akan memudahkan misi menarik sokongan orang Melayu.
Tambahan pula DAP amat memahami ketaksuban Pas untuk terus berada dalam pakatan pembangkang dan keghairahan Pas untuk menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu. Justeru keterujaan inilah yang akan menjadi senjata kepada DAP dan PKR untuk memperalatkan Pas.
Dan satu fakta lagi kita harus mengakui bahawa dari segi organisasi terutamanya pergerakan jentera pilihan raya, Pas jauh lebih tersusun berbanding kedua-dua parti berkenaan.
Ahli-ahli Pas sentiasa taat kepada arahan kepimpinan apabila diminta berkorban dan berjuang untuk parti. Mereka diserapkan dengan fahaman bahawa pakatan pembangkang perlu menumbangkan BN kononnya bagi memberikan harapan baru kepada rakyat dan 'Bersihkan Malaysia'.
Ahli-ahli Pas juga ditanamkan dengan fahaman bahawa musuh mereka yang paling nyata adalah UMNO, oleh itu 'jihad' mereka ialah menghapuskan kuasa politik UMNO biar pun parti terbesar orang Melayu itu telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.
Berikutan keadaan itulah, DAP dan PKR tidak akan meninggalkan Pas, apatah lagi Pas dilihat 'pak turut yang baik' kerana tidak pernah membantah kehendak, kemahuan dan arahan mereka.
Bagaimanapun apa yang perlu difikirkan oleh orang Melayu apakah corak politik yang diamalkan pembangkang sekarang akan menguntungkan masa depan mereka atau tidak.
Pilihan raya umum akan datang bukan soal untuk memberi kuasa kepada mana-mana parti semata-mata tetapi sebaliknya menentukan survival perjuangan dan kepentingan orang Melayu tidak tergugat di samping memastikan kaum-kaum lain tidak dipinggirkan.
Jelaslah, DAP dan PKR menerima Pas bukannya bagi membantu parti yang diasaskan oleh para ulama tersebut meneruskan perjuangan Islam tetapi semata-mata untuk meraih kuasa politik. Seperti mana pernah diperkatakan sebelum ini, DAP dan PKR sama sekali tidak akan membiarkan Pas dominan atau menjadi tonggak utama pakatan pembangkang.
Jika DAP dan PKR ikhlas serta mengiktiraf Pas sebagai parti yang mewakili orang Melayu dan umat Islam yang merupakan kelompok terbesar rakyat di negara ini, maka mereka perlu benarkan Pas menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang.
Melalui cara demikian barulah mimpi Pas siang dan malam untuk menggantikan UMNO akan menjadi kenyataan.
Bagaimanapun kita yakin, harapan untuk melihat Pas menjadi suara utama dalam pakatan pembangkang hanyalah mimpi kerana selain DAP dan PKR tidak akan mengizinkan, Pas juga ketandusan pemimpin yang layak menjadi pemimpin kepada ketiga-tiga parti berkenaan.
Sebab itulah, DAP dan PKR menyatakan kalau pun Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara sekali pun, beliau tetap dilantik sebagai Perdana Menteri kalau pembangkang menang pilihan raya umum nanti.
Oleh itu adalah diharapkan orang Melayu tidak harus terpengaruh dengan janji-janji manis pakatan pembangkang kononnya pakatan itulah alternatif terbaik bagi menggantikan BN serta Pas adalah pengganti UMNO.
Semua itu hanyalah omong kosong kerana fakta sebenarnya ialah kerjasama mereka bukanlah pakatan rakyat tetapi pakatan rapuh akibat berbeza ideologi politik dan hala tuju perjuangan.
Mereka juga perlu menerima hakikat bahawa Pas tidak akan mampu menggantikan UMNO kerana sepanjang perjalanan politiknya UMNO tidak pernah menjadi 'pak turut' sesiapa, UMNO tidak mengorbankan prinsip perjuangannya dan UMNO tidak pernah mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.
Apa pun UMNO lakukan adalah demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam serta bekerjasama dengan parti-parti komponen BN membela kaum-kaum lain supaya kita mampu mewujudkan sebuah rakyat yang bersatu-padu bagi membangunkan negara.
Tetapi apa akan berlaku jika rakyat menyerahkan kuasa kepada sebuah pakatan politik yang menyaksikan satu parti dilihat cauvinis, satu parti dilihat caca marba dan satu parti hanyalah 'pak turut'. Fikirkanlah!

/hwa: utusan.com.my | 9/2/12