29 Jun 2012

Najib: Penyenaraian Felda Jana Kekayaan Kepada Peneroka

PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd di Bursa Malaysia Khamis mampu menjana kekayaan yang bakal diagihkan kepada lebih 112,000 peneroka Felda.

Beliau berkata Felda Global Ventures, pengendali ladang kelapa sawit ketiga terbesar dunia, telah mencatatkan penyenaraian bersejarah di Bursa Malaysia hari ini dengan tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar tahun ini selepas Facebook Inc.

"Ini disebabkan kita ada idea dan mampu menjana kekayaan agar boleh mengagihkan ini kepada peneroka-peneroka Felda yang senyum semacam kerana dapat durian runtuh.
 
"Ini bukan peruntukan daripada kerajaan tetapi sebaliknya kita menjanakan kekayaan yang kemudian dapat diagihkan kepada semua peneroka," kata beliau pada majlis Sembang Petang Perdana Menteri bersama para Profesor dan Profesor Madya institut pendidikan tinggi awam di Seri Perdana di sini hari ini.
 
 FGH mengakhiri dagangan pada paras kukuh dengan harga RM5.30 sesaham hari ini selepas muncul hebat dalam dagangan sulungnya di Bursa Malaysia pada harga RM5.39, apabila ia mencatatkan premium sebanyak 84 sen berbanding harga tawarannya, RM4.55.

Peniaga-peniaga berkata penutupan dagangan FGV pada RM5.30, dengan premium 75 sen dan 2.615 juta lot bertukar tangan, adalah di luar jangkaan.

/hwa: bernama.com.my | 28/6/12

28 Jun 2012

FGVH muncul hebat, rahmat untuk peneroka

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) mengakhiri dagangan pada paras kukuh dengan harga RM5.30 sesaham hari ini selepas muncul hebat dalam dagangan sulungnya di Bursa Malaysia pada harga RM5.39, apabila ia mencatatkan premium sebanyak 84 sen berbanding harga tawarannya, RM4.55.

Peniaga berkata, penutupan dagangan FGV pada RM5.30, dengan premium 75 sen dan 2.615 juta lot bertukar tangan, adalah di luar jangkaan.

Mereka berkata, ini adalah ganjaran yang berpadanan bagi 112,635 peneroka yang mengusahakan tanah mereka selama lebih 30 tahun, kerana mereka kini memiliki saham dalam satu daripada syarikat perladangan terbesar di dunia dengan prospek yang cerah berikutan permintaan yang semakin meningkat bagi minyak sawit.

Meskipun sentimen di bursa global muram sahaja, namun pengusaha kelapa sawit ketiga terbesar di dunia ini menjadi tumpuan hari ini dan adalah kaunter paling cergas, sekali gus mencerminkan pasaran saham tempatan yang berdaya tahan.

Saham FGV berlegar di antara paras tertinggi RM5.46 (meningkat 20 peratus atau mencatatkan premium 91 sen berbanding harga tawaran RM4.550), dan paras terendah RM5.24.

Penyenaraian IPO kedua terbesar di dunia itu selepas pengapungan Facebook Inc mengumpul AS$16 bilion, menarik perhatian dunia dan menandakan satu pencapaian penting bagi negara, terutamanya bagi peneroka FELDA, yang akan menerima durian runtuh melalui penyenaraian ini.

Kemunculan sulung yang hebat ini mengatasi beberapa IPO global yang ditangguhkan atau dibatalkan, termasuk IPO Formula One di Singapura, yang ditangguhkan, dan IPO AS$1 bilion syarikat barang kemas mewah London, Graff Diamonds yang dibatalkan.

IPO FGVH menarik 58,526 permohonan bagi 565.40 juta saham daripada orang ramai iaitu lebihan langganan sebanyak 6.75 kali.

Ia menawarkan 72.96 juta saham bagi langganan orang ramai.

Sebanyak 49 peratus kepentingan FGVH adalah milik Felda Holdings Bhd, pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia, dan syarikat penapisan minyak sawit kedua terbesar di Malaysia.

Pada masa ini ia mengusahakan kira-kira 350,000 hektar ladang kepala sawit di Malaysia dan menghasilkan 5.2 juta tan metrik tandan buah segar tahun lalu.

Berikutan penyenaraian yang mengagumkan itu, FGVH akan menceburi perniagaan hiliran secara berpilih, termasuk lemak khusus dan oleokimia. - BERNAMA.
 
/hwa: bharian.com.my | 28/6/2012

Majlis Perasmian Siri Ekspo Innovating Malaysia Tour 2012

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Siri Ekspo Innovating Malaysia Tour 2012, di Kolej Tunku Abdul Rahman, Setapak, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
Jun 27, 2012 8:08 pm

Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Republik Guinea, Alpha Conde

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyambut ketibaan Presiden Republik Guinea, Alpha Conde di Kompleks Perdana Putra, jam 10 pagi tadi. Conde berada di Malaysia untuk lawatan rasmi empat hari bermula semalam. - Foto REUTERS
Jun 27, 2012 12:3 pm

Malaysia contoh negara Islam berjaya - Presiden Guinea

PUTRAJAYA 27 Jun - Presiden Republik Guinea, Alpha Conde tertarik dengan Malaysia dan menyifatkannya sebagai negara Islam yang patut diteladani.
Katanya Malaysia banyak terlibat dengan Kerjasama Selatan-Selatan dan kerjasama dalam kalangan negara Islam.
"Guinea sebuah negara Islam dengan 90 peratus rakyatnya menganut agama itu.
Bagi kami, Malaysia adalah contoh negara Islam yang berjaya.
"Kami berkunjung ke sini untuk mencari pengetahuan dan belajar daripada Malaysia serta mengamalkan dan mengguna pakai pelajaran yang kami dapat di sini," katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat dua hala Malaysia-Guinea di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini.
Conde, yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke sini mulai semalam, juga memuji kepimpinan Najib.
"Perdana Menteri cukup sederhana. Semua orang tahu tentang pencapaian (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad. Kini, kita lihat Najib meneruskan kejayaan itu," katanya.
Conde mempelawa rakyat Malaysia menjalankan perniagaan dan melabur di Guinea, yang sebahagian besar ekonominya bergantung pada sektor perlombongan, pertanian dan perikanan.
Katanya Guinea sedang melaksanakan pelbagai perubahan dasar untuk menyegarkan semula prestasi pertumbuhan ekonominya.
Beliau berkata memorandum persefahaman mengenai perlindungan pelaburan dan cukai berganda yang ditandatangani kedua-dua negara akan memberi perlindungan kepada pelabur Malaysia.
"Kami sudah melaksanakan beberapa perubahan berkaitan keselamatan dan kini dalam proses menyemak semula sistem kehakiman kami.
"Kami telah berjaya menstabilkan matawang. Kini, kami melakukan perubahan dalam bidang pentadbiran pula untuk mewujudkan rangka kerja yang kondusif untuk sektor swasta.
"Dulu, pentadbiran kami bersifat diktator, tapi kini kami mengamalkan demokrasi. Kami dalam proses untuk memperkukuh asas demokrasi di negara kami kerana demokrasi memberi jaminan terbaik kepada syarikat swasta," katanya. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12

Malaysia paling selamat

Abdul Rahim Mohd. Radzi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
*****
JOHOR BAHRU 26 Jun - Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World Justice Project sebagai negara paling selamat di kalangan 19 buah negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, malah Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang ke-12 paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.
“Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace Index telah menempatkan Malaysia di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara serta keempat aman di kawasan Asia Pasifik," katanya.
Katanya, sehubungan itu, rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup taklimat isu-isu semasa keselamatan di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN Bahagian Pendaftaran dan Imigresen, Datuk Wan Ali Besar.
Beliau memberitahu, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, hasil tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu juga, kadar ketakutan rakyat negara ini terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2010 kepada 21 peratus pada tahun lepas.
“Mungkin ramai yang bertanya apakah kesan semua ini kepada negara. Sebenarnya kesannya amat besar sekali, sebagai contoh pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia telah melonjak kepada kedudukan ke-10 tahun lepas berbanding kedudukan ke-21 pada tahun 2010.
“Ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap iklim politik, keselamatan serta kestabilan negara ini," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu memberikan gambaran bahawa apa yang dirancang oleh KDN selama ini dalam mengurangkan kadar jenayah telah menampakkan hasil. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12

Najib ucap tahniah kepada presiden baru Mesir, Mohammed Morsi

NAJIB Tun Razak berkata sesuatu kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
*****
KUALA LUMPUR 26 Jun — Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Presiden Mesir yang baru, Mohammed Morsi berikutan kejayaan beliau dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.
Perdana Menteri, dalam perutusan tahniahnya, berkata kejayaan Morsi adalah bukti jelas tentang keyakinan rakyat Mesir terhadap kepimpinan dan wawasan politiknya, menurut kenyataan Wisma Putra yang dikeluarkan di sini hari ini.
"Malaysia menyambut baik proses transformasi ke arah demokrasi yang sedang mengambil tempat di Mesir dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan Morsi untuk terus memperkukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara," kata Najib.
Morsi diisytiharkan sebagai Presiden Mesir yang baru pada Ahad lepas setelah menang tipis terhadap pencabarnya Ahmed Shafiq dengan 51.7 peratus undi.
Morsi memperoleh 13,230,131 undi manakala Shafiq pula meraih 12,347,380 undi. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12

Pas perlu nyatakan pendirian isu LGBT, pluralisme dan liberalisme

KUALA LUMPUR 26 Jun - Pas perlu tampil menyokong pendirian tegas kerajaan dalam menolak budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada bertapak di negara ini jika benar parti itu memperjuangkan akidah Islam seperti didakwa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga menuntut Pas menjelaskan pendiriannya berhubung ideologi pluralisme dan liberalisme yang diketahui diperjuangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun bertentangan dengan Islam.
Menurut beliau, amalan LGBT serta fahaman pluralisme dan liberalisme jelas terkeluar daripada ajaran Islam tetapi beliau pelik kenapa Pas yang mendakwa parti Islam boleh bersekongkol dengan pakatan pembangkang yang ternyata menyokong perkara itu.
"Saya harap Pas jangan menyokong melulu tanpa meneliti apa sebenarnya yang ada dalam LGBT. Jangan kita memberi sokongan secara semberono semata-mata demi kepentingan politik kerana ia akan mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.
"Dalam hal ini, banyak unsur-unsur negatif akan berlaku jika budaya LBGT menjadi amalan pemimpin pembangkang. Perjuangan itu (sokongan Pas) salah dan mereka harus sedar jika benar Pas bersandar kepada Islam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara pelepasan Program Konvoi Jelajah Kemasyarakatan oleh Briged Sukarelawan Khidmat Negara di perkarangan Auditorium, Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain serta Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechik.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan akan mempertahankan kesucian agama Islam dan memastikan budaya songsang LGBT serta fahaman menyeleweng seperti pluralisme dan liberalisme tidak mendapat tempat di negara ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyasarkan buat permulaan seramai 8,000 daripada keseluruhan 34,364 ahli sukarelawan khidmat negara mampu bertugas secara sukarela melebihi 120 jam setahun, selepas Kabinet meluluskan pemberian elaun perkhidmatan.
Katanya, dengan kesudian kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM11 juta untuk menampung elaun perkhidmatan para sukarela, beliau berharap alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan lebih bersemangat untuk membantu masyarakat selepas ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai konvoi jelajah kemasyarakatan yang dijayakan briged sukarelawan khidmat negara berkenaan, beliau berkata, program tersebut adalah bukti bagaimana modal insan yang dididik melalui PLKN mampu menabur bakti untuk rakyat.
Jelasnya, konvoi tersebut yang disertai 30 ahli sukarelawan akan menjelajah ke beberapa negeri di semenanjung untuk melaksanakan kerja-kerja sukarela dan di setiap perhentian, mereka akan dibantu seramai 200 lagi anggota sukarela di kawasan tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12

Firma milik Ahli Parlimen DAP didakwa terima habuan kontrak

SHAH ALAM 26 Jun - Ketika dakwaan salah guna kuasa melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor masih hangat diperkatakan, sebuah firma guaman milik seorang Ahli Parlimen DAP turut dikatakan menerima habuan daripada kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Pemuda MCA negeri, Dr. Ching Eu Boon ketika mendedahkan perkara itu berkata, pemberian kontrak itu juga dibuat selepas keputusan mesyuarat berhubung pemberian kontrak kepada sebuah firma guaman diubah secara tidak sah oleh ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).
Katanya, laporan pemeriksaan khas pelantikan guaman oleh MBPJ mencatatkan Jawatankuasa Kecil Perundangan yang dipengerusi oleh seorang ahli majlis daripada DAP pada 16 Jun 2010 telah mengubah keputusan melantik sebuah firma guaman bagi mengendalikan kes tuntutan hutang sebanyak RM128,000 terhadap sebuah syarikat yang menyewa kompleks renang.
Beliau mendakwa, mesyuarat yang hanya dihadiri oleh dua ahli majlis daripada keseluruhan 17 anggota penuh jawatankuasa itu telah memberikan kontrak tersebut kepada sebuah firma guaman milik Ahli Parlimen berkenaan.
"Apa yang saya bangkitkan adalah mengenai campur tangan ahli majlis MBPJ yang menyalahgunakan kuasa beliau untuk memberikan kontrak tersebut kepada firma peguam berkenaan dengan kos sebanyak RM55,000 sedangkan kontrak awal telah diberi kepada pihak guaman lain yang kosnya hanya sebanyak RM15,000.
"Laporan audit dalaman MBPJ mendedahkan salah laku yang timbul itu. Saya percaya kalau sumber dalaman tidak mendedahkan isu ini, maka kes itu akan dibiarkan berlaku tanpa ada pihak yang akan bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar bersama Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed di bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
---
Eu Boon yang juga Penyelaras BN DUN Pandamaran berkata, berdasarkan pemerhatian audit, tiga mesyuarat jawatankuasa kecil perundangan melibatkan ahli-ahli majlis tersebut tidak disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan, Perundangan dan Penguatkuasaan MBPJ.
Selain itu katanya, terdapat juga percanggahan maklumat mengenai kehadiran pada mesyuarat jawatankuasa kecil berkenaan apabila salah seorang ahli majlis yang dicatatkan nama dalam rekod kedatangan mengakui tidak hadir pada mesyuarat tersebut dan seorang lagi ahli majlis yang hadir menyatakan tidak ada sebarang pertukaran panel firma guaman bagi kes berkenaan. 
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12

Nalla dakwa Anwar tertekan

KUALA LUMPUR 26 Jun - Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini tertekan atas desakan pelbagai pihak yang memintanya memulangkan wang RM3 bilion kepada rakyat.
Bagaimanapun beliau yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) yakin Anwar tidak akan berbuat demikian malah akan menuding jari kepada pemimpin-pemimpin UMNO kononnya dakwaan itu adalah satu konspirasi.
"Saya yakin Anwar tak akan mengaku. Beliau akan tetap menyalahkan orang lain. Cuba teliti kenyataannya sejak 1998. Apa sahaja dakwaan dilemparkan, Anwar akan kata itu konspirasi.
"Dia mahu tipu rakyat. Berapa lama dia boleh tipu? Saya amat faham perangai Anwar yang angkuh dan tidak akan mengaku salah atas kesilapan diri sendiri. Saya juga tahu tahap nafsu Anwar terhadap wang," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MIUP di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang bernilai RM3 bilion.
Ekoran itu, beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan mendesak Anwar memulangkan semula wang tersebut kepada rakyat.
Nallakaruppan berkata, jika benar Anwar memiliki RM3 bilion tersebut, beliau perlu mengembalikannya.
Ditanya mengenai 'wanita misteri', Zaliah Zakaria, 56, yang dikaitkan dengan kes pemilikan akaun induk berjumlah RM3 bilion oleh Anwar tersebut, katanya, beliau tidak mengenali wanita itu.
"Saya ada baca akhbar tentang kenyataan Zaliah. Saya tidak mengenalinya. Saya tak pasti sama ada kenal atau tidak sebab sudah lama. Dalam akhbar pun gambar macam lain, tetapi kalau lihat berdepan, mungkin saya kenal.
"Tetapi, dia (Zaliah) ada kata menjalankan perniagaan lumba kuda. Mungkin boleh siasat siapa beri dia lesen itu," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nallakaruppan mendesak Anwar menyegerakan saman fitnah berjumlah RM100 juta yang difailkan terhadapnya.
"Harap-harap sebelum pilihan raya umum akan datang. Peguam saya juga sudah lama bersedia. Kita sudah bersedia dengan bukti-bukti dan biarlah rakyat tahu bukti-bukti itu apabila ia dibawa ke mahkamah nanti, tetapi saya cabar Anwar saman saya RM500 juta," katanya.
Pada Mac lalu, Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Nallakaruppan atas dakwaan mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.
KUALA LUMPUR 26 Jun - Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini tertekan atas desakan pelbagai pihak yang memintanya memulangkan wang RM3 bilion kepada rakyat.
Bagaimanapun beliau yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) yakin Anwar tidak akan berbuat demikian malah akan menuding jari kepada pemimpin-pemimpin UMNO kononnya dakwaan itu adalah satu konspirasi.
"Saya yakin Anwar tak akan mengaku. Beliau akan tetap menyalahkan orang lain. Cuba teliti kenyataannya sejak 1998. Apa sahaja dakwaan dilemparkan, Anwar akan kata itu konspirasi.
"Dia mahu tipu rakyat. Berapa lama dia boleh tipu? Saya amat faham perangai Anwar yang angkuh dan tidak akan mengaku salah atas kesilapan diri sendiri. Saya juga tahu tahap nafsu Anwar terhadap wang," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MIUP di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang bernilai RM3 bilion.
Ekoran itu, beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan mendesak Anwar memulangkan semula wang tersebut kepada rakyat.
Nallakaruppan berkata, jika benar Anwar memiliki RM3 bilion tersebut, beliau perlu mengembalikannya.
Ditanya mengenai 'wanita misteri', Zaliah Zakaria, 56, yang dikaitkan dengan kes pemilikan akaun induk berjumlah RM3 bilion oleh Anwar tersebut, katanya, beliau tidak mengenali wanita itu.
"Saya ada baca akhbar tentang kenyataan Zaliah. Saya tidak mengenalinya. Saya tak pasti sama ada kenal atau tidak sebab sudah lama. Dalam akhbar pun gambar macam lain, tetapi kalau lihat berdepan, mungkin saya kenal.
"Tetapi, dia (Zaliah) ada kata menjalankan perniagaan lumba kuda. Mungkin boleh siasat siapa beri dia lesen itu," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nallakaruppan mendesak Anwar menyegerakan saman fitnah berjumlah RM100 juta yang difailkan terhadapnya.
"Harap-harap sebelum pilihan raya umum akan datang. Peguam saya juga sudah lama bersedia. Kita sudah bersedia dengan bukti-bukti dan biarlah rakyat tahu bukti-bukti itu apabila ia dibawa ke mahkamah nanti, tetapi saya cabar Anwar saman saya RM500 juta," katanya.
Pada Mac lalu, Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Nallakaruppan atas dakwaan mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12

26 Jun 2012

Agenda Islam Dalam Tranformasi Negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melihat buku Agenda Islam Dalam Tranformasi Negara selepas pelancarannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Jun 25, 2012 6:27 pm

PM jumpa Ketua Setiausaha Negara (KSN) baru

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima kunjungan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa di pejabatnya di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, tengah hari ini. - Foto BERNAMA
Jun 25, 2012 3:34 pm

KETUA Setiausaha Negara

KETUA Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa (kanan) mendaftar diri dan memulakan tugasnya, di Bangunan Perdana Putra, Kuala Lumpur, hari ini. Turut bersama beliau, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Tan Sri Mazidah Abdul Majid (tengah) dan Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Mahmood. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Jun 26, 2012 12:20 pm

KSN baru mulakan hari pertama di pejabat

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang memulakan hari pertama di pejabat hari ini, berikrar untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin bagi membawa perkhidmatan awam ke tahap lebih tinggi.

Pada masa sama, beliau menyeru penjawat awam supaya meningkatkan produktiviti mereka bagi memastikan matlamat dan objektif yang ditetap kerajaan tercapai.

"Alhamdulillah, saya dilantik KSN (Ketua Setiausaha Negara) ke-13 dan saya akan cuba sebaik mungkin dalam menjalankan tugas sebagai KSN," katanya selepas mengimbas kad perakam waktu di pejabat baharunya di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Pelantikan Ali, 57, berkuat kuasa pada 24 Jun lalu, menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Ali sebelum ini adalah Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri.

Beliau memulakan hari pertamanya sebagai Ketua Setiausaha Negara dengan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menghadiri mesyuarat di bangunan Parlimen semalam. - BERNAMA.
 
/hwa: bharian.com.my | 26/6/12

Menentang politik matlamat menghalalkan cara pembangkang

KEPUTUSAN pilihan raya umum 2008 dikatakan mengubah landskap politik negara. Kejayaan agak besar yang dicapai oleh pakatan pembangkang telah memungkinkan arena politik berhadapan dengan satu situasi yang selama ini tidak pernah dialami.
Kehilangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen serta mengalami kekalahan mengejut di Kedah, Pulau Pinang, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor telah memungkinkan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas merasakan mereka cukup kuat.
Justeru kerajaan BN terpaksa bergelut dalam pertembungan politik yang menyaksikan pembangkang bersedia melakukan apa sahaja bagi memastikan mereka mampu menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam menghadapi keghairahan pembangkang, rakyat sewajarnya diperingatkan politik menghalalkan cara bukan budaya politik negara ini. Malahan jika ini dibenarkan ia boleh membawa bencana kepada masa depan negara.
Oleh itu kehadiran buku bertajuk 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara' tulisan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Mashitah Ibrahim tepat pada masanya.
Moderat atau kesederhanaan sememangnya menjadi pegangan BN sejak merdeka lagi dalam memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan mainan politik melampau oleh mana-mana pihak.
Buku setebal 308 muka surat itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, hari ini mampu memberikan 'pedoman' dan pemahaman kepada rakyat untuk memahami betapa pentingnya mereka menolak corak politik yang diamalkan oleh pembangkang.
Dr.Mashitah mengupas soal moderat ini dengan terperinci dan ia bukan sahaja dilihat dari sudut politik semata-mata tetapi juga ajaran Islam.
Selain memuatkan ucapan Perdana Menteri mengenai moderat, ia turut mengandungi kupasan menarik mengenai amalan politik pembangkang.
Antara bahagian yang pasti akan mendapat perhatian adalah Bahagian 3 yang mengandungi enam tulisan Dr.Mashitah mengenai mainan politik pembangkang termasuklah merobek mitos buku jingga dan konsep Negara Berkebajikan yang diuar-uarkan oleh Pas.
Sememangnya, dalam BN berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib semua kaum di negara ini, parti itu berhadapan dengan pakatan pembangkang yang begitu teruja untuk menawan Putrajaya.
Berikutan itu, pendekatan politik moderat atau sederhana yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan negara berada dalam kedudukan terancam. Apa yang mengecewakan, dalam keghairahan itu pembangkang bersedia melakukan apa sahaja termasuklah memainkan isu-isu yang boleh memecah-belahkan rakyat.
Mereka membuat janji yang bukan-bukan, soal sama ada janji itu mampu ditunaikan atau tidak, ia soal kedua, apa yang penting meraih dahulu sokongan rakyat. Dalam soal ini, sudah tentulah rakyat perlu diperingatkan supaya jangan terpedaya dengan politik pembangkang kerana ia akhirnya akan merugikan mereka. Apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah contohnya, sudah menjadi bukti bagaimana pembangkang gagal menunaikan janji biar pun sudah diberi kuasa.
Turut menarik perhatian kita, bagi sesiapa yang membaca buku tulisan Dr.Mashitah ini, mereka akan memahami bagaimana segala yang dijanjikan oleh pembangkang dalam buku jingga hanyalah angan-angan kosong. Selain itu, mereka juga akan dapat memahami sikap sebenar politik Pas yang semakin bercelaru kerana keterujaan untuk memburu kuasa bersama PKR dan DAP.
Selepas meninggalkan perjuangan negara Islam, Pas kini tertumpu pula kepada negara berkebajikan. Inilah sikap politik tidak konsisten Pas yang akan dikupas oleh Dr.Mashitah.
Selain buku 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara', Perdana Menteri juga akan melancarkan buku bertajuk, 'Langit Terbuka' yang merupakan koleksi rencana tulis Dr.Mashitah dalam akhbar-akhbar. Buku ini mempunyai tujuh bab berkaitan dengan politik, sosial dan agama.
Buku ini sarat dengan kupasan-kupasan menarik dan informasi berguna untuk dijadikan rujukan oleh pembaca, bukan sahaja bagi mengenal sikap politik pembangkang khususnya Pas tetapi juga panduan untuk kita mencapai kemajuan dalam kehidupan yang diredai Allah SWT.
Apa pun, kehadiran dua buah buku ini amat berguna kepada mereka yang terlibat dalam politik tidak kiralah pemimpin mahupun penyokong untuk memahami realiti terkini politik negara. Ia dihasilkan bukan semata-mata untuk kepentingan politik BN mahupun UMNO tetapi bagi memberi kesedaran betapa pentingnya mempertahankan konsep kesederhanaan yang selama ini menjadi tunjang kekuatan negara.
Oleh itu melalui penghasilan buku oleh Dr.Mashitah ini, ia boleh digunakan oleh BN khususnya UMNO di semua peringkat menjadikan ia sebagai bahan rujukan dalam memberikan penerangan kepada rakyat.
Ini bagi membolehkan mereka memahami bahawa corak politik pakatan pembangkang yang berpaksikan kepada matlamat menghalalkan cara boleh memusnahkan impian untuk mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12

Kerjasama politik elak perpecahan

Mukadimah
PELBAGAI usaha telah dirintis bagi membolehkan wujudnya tahaluf siasi (kerjasama politik) antara UMNO dan Pas yang sekali gus akan memastikan perpecahan di kalangan orang Melayu tidak bertambah parah. Malangnya, kerjasama itu sehingga kini tidak menjadi kenyataan kerana terdapat di kalangan pemimpin kanan Pas yang menentang usaha berkenaan.
Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM baru-baru ini, bekas Naib Presiden Pas, DATUK MOHD. NAKHAIE AHMAD menegaskan sudah sampai masanya digerakkan
kuasa ketiga yang gigih berdakwah untuk membetulkan kepincangan politik yang terjadi.
UTUSAN: Apakah maksud tahaluf siasi dalam sejarah Islam dan adakah Piagam Madinah itu permulaan awal dalam melaksanakan kerjasama politik?
MOHD. NAKHAIE: Tahaluf siasi adalah perjanjian politik iaitu perjanjian bekerjasama di dalam satu pakatan untuk mencapai tujuan politik tertentu yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat.
Sebenarnya, kerjasama politik ini sering dilakukan di zaman Rasulullah SAW dan Piagam Madinah itu bukan satu-satunya dan tidak pula yang terawal. Ia diawali oleh berbagai kerjasama lain sebelum Piagam Madinah. Kerjasama berlaku antara Islam sesama Islam yang dikenali sebagai baiah dan antara Islam dan bukan Islam.
Pertimbangan apa yang digunakan bagi membolehkan kerjasama politik itu dilaksanakan?
Terdapat dua keterangan yang bertentangan daripada sumber hadis mengenai kerjasama politik ini. Satu sumber menyebut bahawa tiada kerjasama di dalam Islam.
Tetapi di dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari menyatakan, Ashim memberitahu, katanya: “Aku berkata kepada Anas bin Malik, adakah sampai kepada kamu bahawa Nabi SAW bersabda bahawa tiada tahaluf di dalam Islam." Anas berkata: “Nabi telah bertahaluf antara orang-orang Quraisy dan Ansar di rumahku."
Apa yang dapat dirumuskan daripada keterangan yang bertentangan itu, bahawa terdapat dua fenomena bagi kerjasama politik itu. Yang tidak ada di dalam Islam dan tidak dibenarkan adalah kerjasama yang bertujuan menimbulkan keadaan yang tidak baik, membawa kepada kekacauan atau dengan perkataan lain, menimbulkan fitnah, memecahbelahkan perpaduan umat dan melemahkan kekuatannya.
Tetapi kerjasama yang bertujuan menegakkan keadilan dan kebaikan, mengukuh perpaduan, membina kesejahteraan hidup, menolong yang lemah dan teraniaya, adalah dibenarkan.
Kerjasama politik di dalam Islam bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ia adalah perjanjian kerjasama untuk kebaikan, keadilan, keamanan dan kesejahteraan. Sudah tentu tujuan ini menuntut supaya kandungan perjanjian itu mestilah adil, saksama dan mampu diterjemahkan dalam realiti. Ia mestilah perjanjian yang bertulis dan diakui oleh pihak-pihak yang terlibat.
Adakah kerjasama politik UMNO dengan kaum-kaum lain dibenarkan oleh syarak?
Waktu persefahaman antara kaum dilakukan lebih 50 tahun dahulu, UMNO mewakili majoriti orang Melayu. Hasil pilihan raya umum pertama menunjukkan keadaan itu.
Ertinya, UMNO adalah wakil mutlak orang Islam di negara ini. Bagi memastikan kemerdekaan negara dicapai dan keamanan ditegakkan serta untuk mengelak berlaku huru-hara menjelang kemerdekaan, kerjasama antara kaum diwujudkan. Ia adalah suatu kerjasama politik yang wajar dan menepati kehendak Islam, memandangkan negara ini bermasyarakat majmuk.
Apa lagi kandungan kerjasama itu diabadikan dalam Perlembagaan negara yang meletakkan Islam berada di posisi yang mantap sebagai agama negara.
Di dalam perjanjian kerjasama antara kaum itu, UMNO yang mewakili umat Islam berada di dalam keadaan yang kukuh dalam kepimpinan antara kaum. Ia menjadi tulang belakang kepada perpaduan rakyat dari pelbagai kaum. Dari segi politiknya, ia sama dengan Piagam Madinah yang memperuntukkan umat Islam berada di posisi kepimpinan utama.
Sebarang kerjasama baru yang melibatkan orang Islam dengan orang bukan Islam, haram diadakan jika menyebabkan kedudukan umat yang mantap ini terganggu. Melainkan jika kerjasama itu menjamin kedudukan politik umat Islam yang lebih baik dan kukuh daripada yang ada sekarang.
Kandungan perjanjian baru itu mestilah dikemukakan untuk diteliti oleh masyarakat Islam bagi membuktikan bahawa ia lebih baik dan kukuh bagi memelihara kepentingan Islam dan umat Islam serta mewujudkan perseimbangan dan kestabilan politik di negara ini.
Perseimbangan dalam pengurusan hubungan antara kaum, keamanan dan kestabilan politik adalah penting bagi menegakkan yang makruf dan mencegah mungkar. Juga bagi membina kehidupan sejahtera.
Kerjasama antara UMNO dengan pelbagai parti yang dimeterai dalam Perlembagaan negara itu, terbukti keberkesanannya. Negara berada di dalam keadaan aman dan stabil dari segi politik.
Keadaan ini sangat kondusif bagi melaksanakan dasar-dasar pembangunan untuk kesejahteraan semua rakyat. Ia ternyata dapat melonjakkan negara ini sebagai sebuah negara Islam yang maju di dunia.
Berdasarkan pengalaman Datuk dalam Pas dan UMNO, apakah tiada ruang untuk diadakan muzakarah antara kedua-dua parti bagi mewujudkan perpaduan ummah?
Saya berada di dalam Pas selama 12 tahun dalam era kepimpinan ulama. Kalau di zaman Dr. Burhanuddin Helmi dan Tan Sri Mohd. Asri Muda, falsafah perjuangan Pas agak jelas iaitu kebangsaan Melayu berteraskan Islam.
Tetapi di era kepimpinan ulama, falsafah perjuangan Pas adalah kabur. Islam diungkap secara umum iaitu perjuangan Pas berdasarkan Islam. Sedangkan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah itu terdapat pelbagai tafsiran terutama yang berkait dengan politik.
Tafsiran itu perlu untuk membolehkan kehendak al-Quran dan sunnah itu diaplikasikan dalam realiti kehidupan yang berbeza dan pelbagai.
Pas tiada keupayaan ilmiah untuk mengungkapkan tafsiran politik Islam bagi mendepani realiti masyarakat Malaysia yang berbeza daripada realiti masyarakat di negara-negara lain. Justeru, Pas lebih banyak berpolitik mengikut sentimen dan semangat yang disubur untuk memperjuangkan Islam. Semangat dan sentimen semata- mata tidak membawa petunjuk bagi menggerakkan kerja yang bermatlamat.
Kerja-kerja politik bertunjangkan sentimen dan semangat semata-mata sering terseret oleh isu dan bukan tujuan dan matlamat.
Pas sekarang diheret oleh isu menjatuhkan UMNO dan merebut Putrajaya. Matlamat Islam yang diperjuangkan bukan sahaja kabur, tetapi banyak yang sudah digugurkan untuk menarik perhatian orang bukan Islam supaya menyokong Pas untuk ke Putrajaya bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika kuasa semata-mata yang menjadi matlamat, sudah tentu Rasulullah SAW sejak permulaan dakwah lagi, menerima tawaran kaum Quraisy untuk dirinya menjadi raja bagi seluruh bangsa Arab. Tetapi Nabi SAW menolak tawaran itu, kerana tidak memenuhi matlamat dakwah baginda.
Ruang untuk berpolitik secara wajar dan rasional bukan tidak ada, tetapi Pas sendiri tidak mahu menoleh untuk menggunakan peluang itu. Dalam keadaan politik Pas seperti ini, kerjasama Pas dan UMNO untuk memantapkan politik umat Islam, tidak menjadi keutamaan Pas.
Dalam pemikiran para pemimpin dan aktivis Pas, UMNO mestilah diganyang terlebih dahulu. Jika UMNO hancur, orang UMNO akan difatwakan wajib menyertai Pas.
Inilah pemikiran simplistik Pas dalam isu perpaduan umat. Pada hal di lapangan, muncul kumpulan yang sedang berusaha mewujudkan parti Islam alternatif yang keluar daripada imej parti Islam naif yang dibawa oleh Pas.
Pandangan Datuk berhubung kerjasama politik antara Pas dengan DAP iaitu sebuah parti bukan Islam?
Kajian yang dibuat oleh Munir Ghadhaban dalam buku bertajuk Al-Tahaluf al-Siasi Fi al-Islam terbitan Dar Al-Salam, 1999, halaman 173, merumuskan tiga jenis kerjasama di zaman ini yang termasuk dalam kategori haram.
Pertama, kerjasama yang membolehkan musuh Islam memporak-perandakan gerakan Islam, sekiranya telah diketahui ia tidak bersimpati kepada Islam dan menaruh dendam terhadapnya.
Kedua, kerjasama yang melibatkan akidah dan pemikiran, umpamanya yang melibatkan kompromi terhadap aliran pemikiran yang bertentangan dengan Islam seperti fahaman pluralisme.
Ketiga, kerjasama yang membawa kepada perpecahan umat Islam dan merendahkan kedudukannya, akibat perbezaan pendapat, sehingga berlaku peperangan sampingan antara masyarakat Islam.
Pas terlibat dalam kerjasama yang haram ini daripada ketiga-tiga jenisnya. Langkah Pas menukar perjuangan politiknya untuk menyesuaikannya dengan pendirian DAP adalah suatu kesilapan besar, pada hal DAP tidak berganjak untuk menegakkan Malaysian Malaysia yang banyak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.
Perlembagaan yang wajib dipertahankan oleh umat Islam dan wajib diperjuangkan setiap peruntukan mengenai kedudukan Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja, serta mengisinya dengan tafsirannya sebenar. Sikap berdiam diri terhadap faham pluralisme yang dipromosikan oleh sekutunya, juga sesuatu yang menghairankan.
Apakah komen terhadap tindakan sesetengah pemimpin Pas menuduh UMNO parti yang memperjuangkan asabiyyah atau kaumiyyah (perkauman sempit)?
Maksud asabiyyah yang terlarang telah dinyatakan dengan jelas sekali oleh Rasulullah SAW iaitu melakukan kezaliman untuk menolong sesuatu kaum atau golongan atau individu. Tetapi asabiyyah dalam pengertian memanfaatkan persamaan, bangsa, agama dan budaya untuk membina kekuatan bagi mendukung perjuangan yang adil dan berusaha meningkatkan kualiti hidup sesuatu kaum secara adil supaya tidak terpinggir daripada arus kemajuan, menurut Ibn Khaldun, bukan sahaja tidak dilarang, tetapi juga menjadi prasyarat bagi kebangkitan sesuatu tamadun.
Kelemahan Pas daripada aspek ilmiah menyebabkan Pas tidak memahami asabiyyah dalam konteksnya yang betul. Para pemimpin Pas terkeliru dalam persoalan ini.
Nasionalisme Melayu dari segi falsafahnya tidak melibatkan asabiyyah yang terlarang. Apa lagi Melayu yang dimaksudkan itu berteraskan unsur utamanya iaitu Islam dan bukan keturunan. Justeru, orang Cina atau India boleh diterima sebagai kaum Melayu jika beragama Islam dan menjalankan kehidupan sebagai orang Melayu/Islam. Adakah ini boleh dianggap rasis atau perkauman?
Melayu yang diperjuangkan oleh Dr. Burhanuddin adalah sebagai rupa bangsa bagi rakyat negara ini. Tetapi generasi baru Pas tidak lagi memahami falsafah perjuangan generasi terdahulu di kalangan para pemimpin Pas yang dihormati oleh kaum Melayu. Dr. Burhanuddin sendiri menafikan perjuangan nasionalisme Melayu sebagai asabiyyah.
Pada hemat Datuk apakah jalan keluar daripada kemelut politik yang melibatkan pertentangan sesama Islam sekarang?
Kemelut politik yang berlaku sekarang berpunca dari beberapa sebab. Pertama, terhakisnya kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Sungguhpun UMNO mempunyai gagasan yang baik untuk pembangunan negara dan terbukti kejayaannya, tetapi UMNO banyak melakukan kesilapan.
UMNO tidak mendidik dan mentarbiahkan ahli-ahlinya supaya berpegang teguh kepada tujuan UMNO ditubuhkan dan memahami nasionalisme Melayu secara mendalam untuk diberikan pula kefahaman kepada masyarakat.Generasi baru UMNO banyak yang mengambil kesempatan daripada kejayaan UMNO untuk kepentingan diri dan melakukan pelbagai kemungkaran.
UMNO mewariskan kepada generasi mudanya sebuah organisasi politik, tetapi tidak mewariskan perjuangannya. Kejayaan bagi ahli-ahli UMNO tertumpu kepada kejayaan individu menaiki tangga dalam hierarki kepimpinan UMNO dan kerajaan atau sebanyak mana kekayaan dapat dikumpulkan.
Kejayaan mencapai matlamat perjuangan UMNO, tidak lagi menjadi tumpuan yang utama.
Kedua, masyarakat Melayu melakukan kesilapan dengan mengamalkan politik kebencian dan langkah-langkah membendungnya itidak diambil. Politik maki-hamun, takfir (kafir-mengkafir), fitnah-memfitnah dan sebagainya diamalkan tanpa apa-apa peringatan oleh mana-mana pihak.
Ketiga, pembangkang yang terdiri daripada Pas dan PKR tidak mampu menampilkan sifat-sifat sebagai alternatif yang baik dan tidak mempunyai gagasan politik untuk penyatuan rakyat dan kemajuan negara yang meyakinkan. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dahulu, mereka mencapai kejayaan bukan atas keyakinan rakyat kepada agenda mereka, tetapi hanya kerana terlalu kritikal terhadap UMNO. Setelah menang, mereka gagal menampilkan gagasan dan imej yang meyakinkan. Di tambah dengan pelbagai skandal di kalangan pemimpin mereka.
Suasana kezaliman ini begitu ketara dalam amalan politik masyarakat Melayu. Kaum bukan Melayu mengambil kesempatan yang keterlaluan untuk kepentingan mereka sehingga menimbulkan kebimbangan orang Melayu. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang sihat bagi negara ini.
Masyarakat Melayu perlu bersatu bagi menjaga kestabilan dan perimbangan dalam politik negara ini. Untuk mencapai kembali keadaan itu, mereka memerlukan kuasa ketiga yang bergerak membetulkan keadaan. Kekuatan ketiga itu hendaklah bersifat dakwah yang berusaha membetulkan kepincangan politik dan mengingatkan masyarakat Islam mengenai bahayanya.
Gerakan dakwah harus bergerak mengikut disiplin dakwah. Iaitu melaksanakan kerja dengan bijaksana, menasihati rakyat dengan cara yang baik dan berdialog dengan pintar dan penampilan yang meyakinkan.
Seelok-eloknya gerakan ini diselia di bawah kuasa Raja-Raja Melayu dan dibiayai oleh dana zakat, wakaf dan sebagainya.
Hasil kutipan zakat sepatutnya mengutamakan pembangunan rohani, minda dan kebajikan umat. Bukan untuk pembangunan fizikal yang menjadi pengkhususan sektor ekonomi. Jika hanya sebahagian daripada dana yang besar itu digunakan untuk dakwah, gerakan dakwah tidak akan terpinggir dan akan bergerak aktif dalam arus perdana perjuangan umat.
/hwa: utusan.com.my | 26/6/12

DAP gagal jaga kepentingan Melayu Pulau Pinang

PULAU PINANG 24 Jun - Sikap lepas tangan kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap hal ehwal agama Islam di negeri ini menyebabkan umat Islam menghadapi pelbagai kesukaran dalam menjalankan urusan mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) berkata, masalah terbaru membabitkan 300 peguam syariah di negeri ini yang terpaksa menjalankan amalan guaman syariah tanpa tauliah Majlis Agama Pulau Pinang (MAIPP) merupakan bukti kegagalan DAP menjaga kepentingan orang Melayu.
"Isu membabitkan hal ehwal agama Islam di negeri ini semakin parah dan kesannya terpaksa ditanggung orang Melayu dan orang Islam yang lain.
"Semua ini berpunca daripada jawatan Yang Dipertua (YDP) MAIPP yang tidak diisi dan menyebabkan banyak perkara tertangguh dan merugikan orang Islam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Rumah UMNO Bukit Gelugor dan melawat rumah penduduk miskin dan orang tua, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin yang juga Penasihat Khas Kementerian Luar Bandar dan Wilayah berkata, masalah yang berpunca daripada kemelut pelantikan YDP MAIPP itu perlu diselesaikan segera kerana sudah berlarutan hampir tujuh bulan.
"Pada mulanya, mereka menyerahkan nama calon untuk dilantik menjadi YDP MAIP namun setelah diperkenankan, mereka tidak setuju pula dan mengakui kesilapan yang dibuat dan mencadangkan nama lain.
"Kerajaan negeri harus faham, ini bukan perkara main-main kerana mereka berurusan dengan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Rumah UMNO RM750,000 itu, Zainal Abidin berkata, ia akan berfungsi sebagai pusat khidmat parti itu kepada rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gelugor.
"Walaupun UMNO kini menjadi pembangkang di sini, usaha membantu rakyat perlu diteruskan kerana jika hendak mengharap kerajaan negeri turun padang melawat rumah penduduk yang daif, saya tidak tahu bila mereka akan lakukannya," katanya.
Menurut Zainal Abibin, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Pusat Giat Mara bagi membaiki empat rumah penduduk yang mengalami kerosakan dan bumbung bocor dengan perbelanjaan antara RM5,000 dan RM11,000.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12

Terus tolak AmbigaTerus tolak Ambiga

KUALA LUMPUR 24 Jun - Rakyat terutama masyarakat India perlu menolak bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang menyokong hak kaum lesbian, biseksual, gay dan transgender (LBGT) di negara.
Ketua Pemuda MIC Bahagian Padang Serai, Kedah, S. P. Saravanan berkata, seks songsang dan bebas yang dibawa dari barat tersebut tidak perlu dibawa ke dalam negara.
"Dalam agama Hindu sendiri mengharamkan seks songsang, begitu juga dengan agama-agama lain.
"Maka, tidak perlu kita mengikut budaya yang telah diharamkan ini. Bukan semua perkara barat kita perlu ikut, apa yang baik kita contohi manakala yang tidak baik dijauhi," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Ambiga yang sebelum ini lantang menyokong LBGT kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pelbagai pihak juga sebelum ini telah membantah sokongan Pengerusi Bersih itu terhadap golongan LBGT.
Tambah Saravanan, selama ini Ambiga tidak membantu masyarakat India, namun kini tiba-tiba muncul ingin membantu rakyat.
"Implikasi seks songsang dan bebas ini bukan sahaja kepada institusi keluarga malah imej negara akan terjejas," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12

PKR Selangor desak MB bertindak

Faekah Husin 
*****
KUALA LUMPUR 24 Jun - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggantung sementara jawatan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dan melakukan siasatan berhubung isu penggunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor.
Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, Abdul Khalid seharusnya bersikap konsisten dengan tindakan dan kenyataannya sebelum ini, selain perlu mencadangkan siasatan penuh terhadap Faekah.
''Saya rasa lebih baik digantung dahulu tugas pegawai yang terlibat (Faekah) supaya siasatan dapat dilakukan. Ia juga bagi mengelakkan rasa tidak puas hati. Elok digantung dulu sama seperti kes-kes sebelum ini kerana tindakan itu dilihat lebih konsisten.
''Jadi tidaklah nanti ia menjadi tuduhan-tuduhan besar kononnya Menteri Besar melindungi Setiausaha Politiknya,'' katanya dalam laman blog Antarapos.com di sini hari ini.
Faekah baru-baru ini didakwa telah menyalahgunakan kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri bagi memberi peluang perniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan mempunyai hubungan keluarga dengannya.
Shuhaimi seterusnya dilihat mempertikaikan pendirian Menteri Besar dan Faekah berhubung isu surat berkenaan dengan merujuk perenggan terakhir yang ditulis oleh Setiausaha Politik itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Ahmad Omar.
Beliau menyifatkan maksud pada perenggan itu tidak kena pada tempatnya kerana boleh diibaratkan sebagai cubaan mempengaruhi proses dalaman PNSB melantik panel guamannya.
''Perenggan itu menyebut, 'Pentadbiran ini (Abdul Khalid) juga berpandangan bahawa peluang harus diberikan (kepada syarikat Zeenat Asyiqin & Associates) selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan syarikat,'' katanya.
Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda berpandangan bahawa apabila surat itu dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, maka dari awal lagi ia boleh menimbulkan tanggapan yang terarah kepada 'untuk diberi lantikan kepada syarikat yang terlibat'.
Beliau juga memberitahu, Menteri Besar itu sebelum ini telah mengeluarkan arahan melarang surat-surat berbentuk sokongan daripada jentera kerajaan negeri kepada individu dan syarikat yang mahu mendapatkan projek serta tender kerajaan negeri.
''Jika Menteri Besar pernah mengeluarkan arahan seumpama itu dalam bentuk perniagaan, maka dalam kes ini (Faekah), surat itu nampaknya bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan,'
''ADUN-ADUN pakatan pembangkang masih mengeluarkan surat sokongan, namun dengan peruntukan jelas. Bagi kita, memanjangkan surat atau memberi surat sokongan adalah perkara biasa. Terpulang kepada syarikat terbabit untuk mempertimbangkan atau menolak,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12

Wanita misteri tampil beri penjelasan

KUALA LUMPUR 24 Jun - Wanita misteri yang dikaitkan dengan kes pemilikan akaun induk berjumlah RM3 bilion oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini muncul menafikan menjadi proksi kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Zaliah Zakaria, 56, bagaimanapun mengakui mengenali isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika memegang jawatan Presiden dan juga pemilik Syarikat Wira Tangkis Sdn. Bhd.
Katanya, syarikat itu banyak memberi sumbangan dalam kejohanan badminton Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) pada akhir 1990-an semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Beliau turut mengakui pernah menaja aktiviti sukan air salah seorang anak Anwar di Pulau Pinang semasa Ketua Pembangkang itu dalam penjara selain menerima kunjungan Wan Azizah yang baru pulang dari mengerjakan umrah semasa menetap di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
"Hubungan kami sekadar kawan kerana saya juga meminati sukan badminton. Saya tidak mengenali Anwar malah tidak pernah terlibat dalam politik.
"Oleh itu saya hairan bagaimana nama saya dikaitkan dengan Anwar dan berita ini pernah berlaku pada 13 tahun lalu tetapi saya biarkan.
"Namun kali ini disebabkan wajah saya disiarkan (Mingguan Malaysia) saya tiada pilihan selain untuk tampil menjelaskan perkara sebenar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Wajah Zaliah dipaparkan di muka depan Mingguan Malaysia hari ini berikutan pendedahan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali berhubung seorang wanita yang dikatakan sangat dikenali oleh Anwar.
Dalam pendedahannya, Ummi Hafilda mendakwa, Anwar kenal sangat dengan wanita tersebut yang bukanlah seorang istimewa atau ahli korporat tetapi cukai pendapatan mencecah RM50 juta.
Selain itu, Ummi Hafilda mendakwa, wanita itu memiliki atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan banglo kebanyakkan di Pulau Pinang.
Berikutan dakwaan itu, Zaliah meminta Ummi Hafilda agar tampil bersama bukti-bukti bagi membersihkan nama beliau dan keluarganya.
Selain itu, beliau juga meminta Anwar mengeluarkan kenyataan segera bagi menafikan hubungan mereka seperti didakwa pihak tertentu.
Dalam pada itu, Zaliah mendakwa memiliki aset berbentuk wang tunai dan hartanah berjumlah RM100 juta hasil daripada perniagaan lumba kuda yang dijalankannya pada akhir 1990-an.
Menurutnya, bagaimanapun kesemua asetnya bertukar hak milik semasa beliau ke Dubai untuk melupakan kesedihan ekoran kematian anak lelakinya pada Januari 2000.
"Seminggu semasa berada di sana (Dubai), pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat serbuan di rumah saya dan menyita 10 buah peti besi di Bukit Jambul, Pulau Pinang mengandungi wang tunai, barangan kemas dan dokumen penting.
"Pada masa sama, saya dinasihatkan oleh peguam supaya tidak pulang sehinggalah setahun baru saya pulang ke tanah air namun mendapati semua aset termasuk wang tunai berjumlah RM26 juta di dalam bank telah dipindah milik," jelasnya.
Beliau berkata, harta-hartanya yang lain termasuk empat buah rumah di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM3.68 juta.
Katanya, pada masa itu beliau turut diburu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan dengan cukai pendapatan berjumlah lebih RM50 juta hingga beliau diisytiharkan muflis tidak lama selepas itu.
Sementara itu, Ummi Hafilda ketika dihubungi memberitahu, beliau tidak pernah mendakwa mengenali Zaliah secara peribadi.
Katanya, pendedahan yang dibuat adalah bertujuan semata-mata mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kaitan antara wanita berkenaan dengan Anwar.
"Ini bukan isu kenal atau tidak kenal. Saya sendiri tidak pernah mendakwa bahawa saya mengenal perempuan berkenaan (Zaliah) secara peribadi.
"Pendedahan yang saya lakukan itu bertujuan untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes pemilikan akaun induk bernilai RM3 bilion oleh Anwar. Saya telah serahkan bukti dan sekarang tugas SPRM menyiasat apa kaitan, hubungan atau penglibatan perempuan itu dengan Anwar," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12

Menghasut: MAIPP diminta siasat khatib

BUKIT MERTAJAM 24 Jun - UMNO Pulau Pinang meminta Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) supaya menyiasat dakwaan seorang khatib menggunakan masjid di sini bagi menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, tindakan itu perlu diambil mengikut Akta Hasutan kerana menggunakan masjid untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.
"Ini satu perbuatan tidak wajar dilakukan dengan mencampuradukkan politik dan masjid sebagai tempat umat Islam menunaikan kewajipan kepada agama.
"Kalau dah nak berpolitik jangan menggunakan masjid kerana tindakan ini boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat," katanya di sini hari ini.
Musa berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Juara Rakyat Himpunan Anak Muda di padang awam Charuk Tok Kun di sini.
Beliau diminta mengulas laporan Buletin Utama TV3 malam tadi mengenai dakwaan seorang khatib membacakan doa `Kalahkan pemimpin kerajaan serupa gulingkan kerajaan sekarang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13' dalam khutbah Jumaat di sebuah masjid di Bukit Mertajam, kelmarin. - UTUSAN
/hwa: utusan.com.my | 24/6/12

Usah bertuhankan nafsu politik

ISLAM dan Melayu amat sinonim dan strategik. Jika mana-mana musuh mahu melemahkan atau menguasai negara Malaysia ini dalam jangka panjang, satu strategi yang wajar digunakan adalah melemahkan kecintaan orang Melayu kepada Islam.
Amat unik dan menarik bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Dari segi akal, adalah mustahil orang Melayu akan merelakan Parlimen meminda peruntukan perlembagaan ini. Kecuali majoriti mereka atau ahli-ahli Parlimen Melayu telah dipukau atau gila.
Maka wajarlah kita orang Melayu bersyukur kepada Allah SWT kerana mengilhamkan kepada bapa-bapa kemerdekaan negara supaya memaktubkan definisi ini ke dalam perlembagaan. Itulah lambang kecintaan orang Melayu kepada Islam. Mana ada kelompok etnik di dunia yang dijasadkan dengan agama Islam dalam perlembagaan negara mereka.
Malah hanya di Malaysia sahaja orang Melayu dimeterikan dengan label Islam. Dan masyarakat Melayu akan gempar seolah-olah ditimpa bencana alam jika ada salah seorang Melayu dilaporkan melakukan sesuatu yang mencalarkan imej keislaman kaumnya, apatah lagi jika ada yang murtad.
Selama mana sensitiviti orang Melayu terhadap keislaman mereka ini akan bertahan, adalah satu persoalan yang relevan dibincangkan. Sama seperti bertanya, adakah mungkin peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 berulang di Malaysia pada abad ke-21?
Tentulah ingatan kita segar betapa peristiwa memurtadkan orang Melayu telah dilaporkan berlaku di Selangor pada tahun lalu. Sebelum itu orang Melayu heboh apabila pihak gereja kristian di Malaysia cuba menggunakan kalimah Allah dalam buletin, upacara agama dan kitab mereka.
Ekorannya, pihak-pihak berkesedaran telah menganjurkan Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2011. Hasilnya, hanya kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir. Nah, bandingkan dengan bilangan orang Melayu yang hadir di perhimpunan haram Bersih 3.0 anjuran seorang wanita bukan Islam pada 28 April 2012. Slogan penganjur adalah menuntut pilihan raya lebih bersih atas nama demokrasi.
Menariknya, Perhimpunan Sejuta Umat berlangsung dalam suasana yang sangat aman. Sebaliknya, Bersih 3.0 dicemari dengan keganasan oleh pemuda-pemuda Melayu. Secara mudah, fahamilah manifestasi daripada dua peristiwa tersebut. Tidakkah ia menggambarkan bahawa orang Melayu sekarang lebih cintakan politik daripada agama Islam?
Meresap
Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan hak asasi sudah meresap sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai orang Melayu sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding masyarakat Melayu dulu.
Ini berlaku ketika semakin banyak surau, masjid, institusi pendidikan Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti) dibangunkan. Malah di TV sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa boleh jadi begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong dan ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang enggan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.
Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya adalah kegilaan berpolitik sudah mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam. Mereka bercakap kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik. Tetapi hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda tunggangan joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama Putrajaya.
Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?
"Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini (di akhirat) mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat," - Al Jaatsiyah 45: 35.
Kehidupan di dunia pada hari ini yang diatur oleh 'agama baru' bernama demokrasi telah mendorong manusia berlumba-lumba untuk merebut kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan melakukan yang terbaik untuk umat manusia. Bagaimana mungkin dengan kuasa ini mereka akan melakukan yang terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa mereka sudah melakukan pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?
Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat atau alat. Baginda hanya berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya berperang setelah Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah diancam dan dianiaya berterusan oleh kaum musyrikin.
Baginda pernah ditawarkan kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya, tetapi baginda menolak keras. Pada hari ini kita hanya berdakwah secara cebisan dan sambilan, tetapi menjadikan usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.
Wahai orang Melayu, sedarlah bahawa kekuatan Islam di Malaysia terletak di tangan kita semua. Malaysia dipandang tinggi oleh negara-negara Islam lain kerana ada sesuatu pada kita yang tiada pada orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada gajah di depan mata.
Dalam kerangka demokrasi yang amat 'dijunjung tinggi hingga melebihi kepentingan Islam' pada hari ini, kita hendaklah sedar bahawa jumlah orang Melayu bukanlah ramai sangat. Andainya Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengusir Lee Kuan Yew dan Singapura keluar dari Malaysia dulu, tidak tahulah bagaimana kedudukan Melayu dalam percaturan politik demokrasi pada hari ini.
Sedangkan dengan kedudukan majoriti hari ini kita sudah tidak tentu arah. Semuanya ini berlaku kerana kita terlalu terpengaruh dengan nafsu keduniaan untuk berebut kuasa sesama kita. Nafsu telah menyebabkan manusia menjadi buta kepada kebenaran.
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?," - Al Jaatsiyah 45: 23
Kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti, renungilah maksud ayat Quran ini. Kita telah meletakkan Malaysia pada satu titik yang sangat bermakna dalam dunia Islam. Janganlah biarkan orang Melayu dan negara Islam ini disesatkan kerana kita bertuhankan nafsu, bukan lagi Allah.
/hwa: utusan.com.my | 24/6/12

25 Jun 2012

TR1Ma

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat tayar selepas mengumumkan insentif hampir RM35 juta untuk golongan pemandu teksi di negara ini melalui program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
Jun 24, 2012 3:20 pm

UTC terbukti beri kepuasan

NAJIB Tun Razak diiringi Ahmad Husni Hanadzlah dan Mohd. Ali Rustam bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada upacara Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka, semalam. - MINGGUAN/GAIE UCHEL 
*****
MELAKA 23 Jun - Penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di negara ini di Jalan Hang Tuah di sini terbukti memberi kepuasan yang begitu tinggi kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, ia merupakan contoh di mana kerajaan Pusat dan negeri dapat menjalin kerjasama dengan begitu erat selain menzahirkan satu konsep yang memberi kemudahan yang begitu baik kepada rakyat.
Beliau menegaskan, konsep UTC yang diperkenalkan itu dilihat cukup mesra rakyat di mana di bawah satu bumbung terdapat 70 kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
''Saya percaya pusat ini (UTC) setelah beroperasi boleh mendapat sambutan yang cukup hangat bukan kerana bangunannya tetapi lebih penting dari segi kemudahan dan pengisian perkhidmatan yang begitu hebat diberikan kepada rakyat.
''Pusat ini juga berkonsepkan mesra rakyat, bukan sahaja terdapat 70 kementerian, agensi kerajaan, NGO dan swasta tetapi ia turut menawarkan kemudahan sosial seperti pusat jagaan kanak-kanak, perpustakaan, gimnasium dan surau.
''Lebih penting lagi, urusan berkaitan dengan orang ramai terdapat di sini seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen yang membolehkan MyKad serta pasport dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian bangunan UTC Melaka yang pertama seumpamanya di negara ini di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Sejurus menyempurnakan perasmian yang dihadiri kira-kira 100,000 orang itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa membuat lawatan dan meninjau perkhidmatan yang disediakan di situ.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Mengulas lanjut, Najib berkata, selepas Melaka, UTC kedua akan dilancarkan di Pudu Sentral, Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih bangunan Pudu Sentral itu kini sedang giat dijalankan.
''Selepas ini, UTC akan dikembangkan ke setiap bandar lain dan saya harap dalam masa tidak lama lagi setiap negeri akan mempunyai UTC sendiri," ujarnya.
Beliau turut memuji usaha gigih kerajaan negeri menyiapkan kerja-kerja membaik pulih bangunan UTC sembilan tingkat apabila dapat disiapkan dalam tempoh hanya enam minggu.
Katanya, ia merupakan satu rekod dari segi kepantasan serta pelaksanaan daripada satu keputusan dibuat dari tarikh kemudahan dapat disiapkan untuk kegunaan orang ramai.
UTC Melaka beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka kepada orang ramai untuk membuat urusan dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Tolak pembangkang ajar masyarakat tiga nilai buruk

NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor menyaksikan persembahan silat sewaktu majlis ramah mesra bersama rakyat dan pelancaran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ku Sihat di Kampung Sungai Bum Bum, Pulau Carey, semalam. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI 
*****
KUALA LANGAT 23 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar menolak pakatan pembangkang kerana cuba mengajar masyarakat di negara ini mengamalkan nilai yang tidak baik.
Tegas Perdana Menteri, ajaran songsang pakatan pembangkang itu jelas dilihat menerusi tiga sikap negatif pakatan pembangkang yang cuba diterapkan kepada rakyat iaitu tidak menunaikan janji, tidak mengenang budi dan juga tidak membayar hutang.
"Ada tiga nilai yang tidak baik yang diajar pembangkang kepada masyarakat kita. Pertama, janji tidak perlu ditunaikan kerana janji itu janji politik.
"Keduanya, budi tidak payah dihargai kerana apabila kita (Barisan Nasional) berbudi kepada rakyat, mereka sakit hati kepada BN dan mereka kata budi tak perlu dihargai...ini nilai yang buruk.
"Ketiganya, hutang tak perlu dibayar, ini pun nilai yang buruk, kalau hutang kita wajib bayar balik. Kalau kita meninggal dunia pun, roh kita akan tersiksa kalau hutang tidak dilunaskan..ini ajaran Islam, tapi pada dia (pembangkang) hutang tidak perlu dilunaskan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat dan melancarkan program 'PDK (Pemulihan Dalam Komuniti) Ku Sihat' di Kampung Sungai Bum Bum, Pulau Carey di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis disertai kira-kira 5,000 orang terdiri daripada Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed serta para pemimpin komponen BN Selangor.
Program 'PDK Ku Sihat' merupakan usaha Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) diketuai Rosmah menerusi Program Semai Bakti bagi meningkatkan tahap kesihatan warga pusat PDK terdiri daripada ibu bapa, penjaga serta OKU.
Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor pada majlis itu turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2.6 juta bagi menaik taraf kemudahan asas Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Carey yang turut melibatkan penyediaan infrastruktur bekalan elektrik dan air.
Bantuan itu disalurkan setelah Noh memaklumkan kepada beliau pada mesyuarat Kabinet Jumaat lalu bahawa sekolah berkenaan belum mendapat sambungan bekalan elektrik dan air selain memerlukan bantuan kewangan.
Selain itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan akan mengadakan rundingan dengan syarikat perladangan, Sime Darby bagi menyelesaikan masalah tanah untuk perumahan masyarakat India di Pulau Carey.
"Masyarakat India di sini memohon tanah bagi membina rumah untuk keperluan mereka. Di sini (Pulau Carey), kebanyakannya adalah tanah ladang dan dimiliki Sime Darby, saya akan adakan rundingan dengan Sime Darby bagi menyelesaikan masalah ini," jelas Najib.
Mengulas lanjut mengenai bantuan yang disediakan kerajaan, beliau memberikan contoh pentadbiran di bawah BN sentiasa menitikberatkan tahap kesihatan rakyat apabila kerajaan telah membina 145 buah hospital awam termasuk 2,800 klinik kesihatan untuk kemudahan rakyat di negara ini.
---
Pembinaan kemudahan kesihatan itu jelas Perdana Menteri, tidak termasuk usaha kerajaan mewujudkan 103 buah klinik 1Malaysia di seluruh negara dan jumlah itu katanya, dijangka akan bertambah sebanyak 65 buah lagi berdasarkan perancangan oleh kerajaan bagi meringankan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dalam soal penjagaan kesihatan mereka.
Ujar Najib, bantuan itu turut melibatkan Program Jalinan Murni yang dilaksanakan di bawah Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang diadakan di Pulau Carey hari ini apabila seramai 1,257 ketua isi rumah Orang Asli menerima bantuan makanan termasuklah bantuan pakaian seragam dan pembelajaran untuk anak-anak mereka.
Bantuan persekolahan tersebut jelasnya, turut diberikan kepada anak-anak masyarakat India di kawasan itu.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Wan Azizah, Shamsidar tidak berani jawab

KUALA LUMPUR 23 Jun - Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Shamsidar Taharin tidak akan berani mengadakan sidang akhbar bersama bagi menjawab pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap mereka meskipun beberapa kali didesak berbuat demikian.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, antara dakwaan itu ialah suami Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang biseksual selain mempunyai hubungan sulit dengan Shamsidar yang merupakan isteri kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Menurutnya, 'kebaculan' . Wan Azizah dan Shamsidar untuk 'melayan' desakan demi desakan itu hanyalah kerana faktor politik bagi menyelamatkan hayat PKR yang kian menuju kehancuran.
"Saya jangka mereka terutama Wan Azizah malu kalau menjelaskan perkara itu. Beliau malu dari segala segi. Beliau takut kerana politik. Kalau didedahkan, sudah pasti PKR akan hilang sokongan dan menyebabkan parti terjejas.
"Tetapi kalau Wan Azizah dan Shamsidar tak jawab, benarlah dakwaan berkenaan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Datuk S. Nallakaruppan mendakwa Shamsidar mempunyai hubungan sulit dengan Anwar.
Mengulas lanjut, Aminah berkata, selaku Presiden PKR, Wan Azizah perlu meletakkan jawatan dalam parti jika masih tiada keberanian untuk menjawab dakwaan berkenaan.
"Saya sebenarnya kasihan dengan Wan Azizah. Tapi nak buat macam mana, beliau tak boleh bersuara," katanya.
Beliau kemudiannya turut mempersoal sikap membisu pemimpin tertinggi PKR yang langsung tidak membantu menjawab tohmahan yang sedang dialami Wan Azizah, Shamsidar, Anwar serta Azmin.
Ditanya mengenai 'perasaan' penyokong pembangkang di Permatang Pauh, Pulau Pinang berhubung dakwaan terbabit, jelasnya, mereka sekadar bersikap tunggu dan lihat.
"Orang PKR di sana dah tahu cuma depa (mereka) malu. Mereka malu nak keluar parti sebab memikirkan sudah lama bersama parti masing-masing. Tetapi, jumlah yang sokong Anwar selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh sudah kurang," jelasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, sikap berdiam diri Wan Azizah terhadap dakwaan tersebut jelas menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
"Selama ini, Wan Azizah bercakap soal integriti tetapi apabila kena pada diri sendiri, tak berani menjawab? Ini soal maruah. Kenapa soal maruah sendiri dia berdiam diri?" soalnya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Tolak pembangkang kerana ajar 3 nilai negatif

KUALA LANGAT 23 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar menolak pakatan pembangkang kerana mengajar masyarakat tiga nilai negatif dalam kehidupan mereka.
Tiga nilai itu menurut Perdana Menteri ialah tidak menepati janji, tidak mengenang budi serta tidak membayar hutang.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ku Sihat di Kampung Sungai Bum Bum di sini hari ini. - UTUSAN
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Liberalisme, sekularisme musuh Islam

Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan merampas buku pendukung lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) berjudul "Allah, Liberty and Love" tulisan Irshad Manji di kedai buku kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, Mei lalu. 
*****
PADA awal abad ke-20 (1905-1980), ahli falsafah Perancis yang terkenal Jean Paul-Sartre mencabar kewujudan Tuhan dengan menyatakan: "Sekalipun Tuhan itu ada, ia masih boleh ditolak, kerana Tuhan menghalang kebebasan kita".
Sartre, pemenang Hadiah Nobel 1964, antara ilmuwan besar Barat yang mempromosi aliran pemikiran existensialisme. Aliran ini kemudiannya meledakkan bahana fikir yang amat besar di seluruh dunia, malah sangat dibangga-banggakan oleh masyarakat sastera sejagat.
Existensialisme sangat berkembang-biak dalam budaya cerdik pandai masyarakat Barat, dan menjadi tunjang kepada kebangkitan sastera di Eropah dengan dikepalai oleh Albert Camus (1913-1960) melalui novel The Outsider (1942). Camus dengan sumbangan seninya yang mempertikaikan Tuhan, turut menerima Anugerah Nobel (1960).
Seratus tahun kemudian, Barat dipenuhi dengan kepelbagaian gerakan "ilmiah" yang saling bersekutu dalam menentang Tuhan dan nilai-nilai agama. Ancamannya di dunia Islam pada awal hingga pertengahan abad ke-20 amat terkekang. Namun kehadiran Salman Rushdie melalui novel The Satanic Verses pada 1988 mula menggoncang keadaan. Akhirnya, pada dekad pertama abad ke 21, gerakan anti agama menyerap masuk ke negara Islam dan mula bersikap anti Islam.
Kehadiran pelobi liberalisme, pluralisme dan penyokong kemerdekaan seks untuk pengamal Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) adalah kombinasi sekutu-sekutu gerakan anti Tuhan/Agama yang mula berdiri dengan berani mendepani masyarakat Malaysia yang selama ini ditunjangi oleh nilai agama sebagai amalan kehidupan. Sekali gus menentang Islam.
Selain negara ini, ancaman gerakan penentang Tuhan ini turut mengancam masyarakat Indonesia yang juga berpegang pada Islam sebagai nilai kehidupan.
Menurut Ketua Program Pendidikan Islam, Universiti Ibnu Khaldun, Bogor Indonesia, Dr. Adian Husaini, pelobi liberalisme mengambil kesempatan di atas meledaknya gerakan keterbukaan dunia terhadap ekonomi, politik dan hak asasi, dengan menyusup masuk ke akar umbi negara bangsa untuk menentang nilai-nilai agama terutama di kalangan masyarakat yang berpegang teguh pada hukum agama sebagai teras kepada nilai kehidupan.
"Pelobi liberalisme mahu setiap agama tunduk kepada perubahan. Idea terpenting dalam liberalisasi ialah the idea of progress yakni idea tentang kemajuan dan tidak ada yang tetap. Bagi pelobi sekularisme dalam mengembangkan pluralisme, tiada lagi syariat dan hukum. Agama hendaklah berubah mengikut peredaran masa," jelasnya.
Justeru katanya, kehadiran Irsyad Manji untuk mencabar amalan Islam dan budaya luhur di Malaysia dan Indonesia, adalah agenda yang jelas untuk mempromosi liberalisasi antara pelbagai agama.
"Mengapa dia mengembangkan liberalisme? Baginya Irshad Manji, sekarang tidak lagi sekatan, contohnya perkahwinan Muslim dan bukan Muslim. Itu boleh demi liberalisasi," kata Adian.
Dr. Adian berkata demikian ketika dijemput menjadi panel Bicara terbitan TV Alhijrah baru-baru ini. Turut hadir sebagai panel, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail. Program Bicara yang bersiaran langsung selama sejam ini, dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris.
Berhubung isu penyebaran dan penularan gerakan sekularisme yang sangat agresif dalam mempromosi budaya menentang Tuhan dan nilai-nilai beragama di kalangan umat Islam, Shahlan berkata, sekularisme ini ialah ibu segala macam pemikiran yang berkembang dengan kaedah perancangan jahat untuk memisahkan kehidupan duniawi dan ukhrawi.
"Mereka menolak nilai-nilai umat Islam yang selama ini berpegang pada iktikad keyakinan wujudnya Hari Kebangkitan. Jika sudah tidak ada lagi iktikad kebangkitan semula, apa ertinya dosa dan pahala, apa erti syurga dan neraka," tegasnya.
Bagi pelobi sekularisme yang berjuang mempromosi liberalisme dan pluralisme pula, beliau menyifatkannya sebagai golongan yang menolak Islam dan Rukun Negara. Bukankah Rukun Negara pertama itu sendiri meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan, jika tidak percaya wujudnya Tuhan, "nanti akan timbul pula isu atheist.
Mereka mahukan segala nilai Islam yang berkaitan dengan keimanan turut ditolak. Tiada lagi panduan nilai agama dan tidak ada lagi kepercayaan kepada ketuhanan apa lagi hal-hal keimanan kepada yang ghaib, juga tidak ada lagi hukum hakam dalam Fiqh," katanya.
Shahlan turut menyeru cendekiawan Islam supaya bersatu dalam soal mendepani dan menentang gerakan anti agama ini. Katanya, pemikir dan aktivis Islam harus duduk bersama, bersepakat dan menyusun strategi yang ampuh bagi menyingkir pengaruh serta penularan idea sekularisme yang berpaksikan pada pluralisme, liberalisme dan mendokong gerakan LGBT yang terang-terangan didokong oleh beberapa pemimpin dan nama-nama tempatan yang sengaja mencabar Islam dan institusi kenegaraan.
"Bahayanya tuntutan golongan Liberalisme ini dalam konteks Malaysia, mereka menolak apa yang telah termaktub dalam perlembagaan kita. Jika dibiarkan mereka akan menuntut supaya anak yang baru lahir dalam keluarga Islam pun tidak secara automatiknya beragama Islam," katanya.
Tegas Shahlan lagi, anasir sekularisme ini turut mendesak supaya mualaf yang memeluk Islam juga bebas kembali ke agama asal mereka. Malah, bagi isu tuntutan untuk bertukar agama, tidak perlu dirujuk di mana-mana mahkamah Syariah, malah sebaliknya, tiap pemohon bebas bertukar agama dengan memohon di mahkamah sivil.
Merujuk kepada suasana di Indonesia masa kini, Dr. Adian melahirkan kebimbangan kerana penyusupan gerakan anti agama ini kini bertapak kukuh dan mempunyai pengaruh di negara umat Islam terbesar dunia itu.
"Akar liberalisme agama sebenarnya berakar dari Yahudi. Munculnya liberal judaism membentuk sektor utama dalam agama Yahudi," tegasnya.
Malah Dr. Adian turut membentangkan fakta, betapa Indonesia sangat terbuka pada pengaruh sekularisme yang bersifat memusuhi agama kerana negara itu antara yang terawal di rantau ini disusupi aliran freemason yang dianggap ibu bagi segala pemberontakan terhadap agama.
"Gerakan liberal Barat yang digelar freemason bermula pada 1717, kemudian masuk ke Amerika pada 1735. Freemason Berjaya melaksanakan Revolusi Amerika pada 1176 dan 12 tahun sebelum kejayaan revolusi itu, mereka sudah bertapak di Indonesia pata 1764," jelasnya.
Disoal mengenai Irshad Manji, Dr. Adian menjelaskan, Irshad Manji berani berterus terang sebagai wanita Muslim yang mengamalkan gaya hidup lesbian, malah mencabar Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung pengharaman lesbian.
"Irshad Manji menolak dan mencabar MUI dan menyifatkan fatwa pengharaman itu sebagai tidak merujuk pada al-Quran. Malah dicelanya ulama sebagai golongan yang belum tentu diterima Tuhan," katanya.
Dengan nada memperingatkan pejuang Islam di Malaysia agar berhati-hati dan bersiap-siaga mendepani jihad menentang golongan anti Islam ini, Dr. Adian mendedahkan, liberalisme ini akhirnya akan menghancurkan agama. Golongan anti agama ini tidak mahu berpegang pada hukum Allah malah mahu mengaturkan hidup berdasarkan nilai-nilai kebebasan dalam tafsiran mereka sendiri.
Mengakhiri debat dalam Bicara, Shahlan turut mengingatkan remaja Islam agar berwaspada dengan gejala hedonism (hiburan tanpa batas), yang turut dilihat sebagai anasir anti agama yang menyusup masuk ke dalam masyarakat melalui keindahan 'seni' yang mereka cipta.
"Hedonisme turut menjadi alat penyusupan ideologi pluralisme dan sekularisme, kerana hedonisme turut mempromosi budaya kebebasan berhibur yang semata-mata untuk memuaskan nafsu," tegasnya.
Shahlan meminta umat Islam menelaah diri, serta kekal konsisten dalam mempertahankan Islam. Umat Islam sudah terlalu terbeban dengan masalah perpecahan dan sengketa sesama umat. Anehnya di saat-saat kita menghulur tangan untuk bersatu padu sesama agama dan bangsa, ada saja suara-suara yang menolak atas berbagai alasan.
Hal ini harus difikirkan oleh kita bersama bahawa siapakah watak-watak yang mahukan kita berterusan berpecah seperti hari ini. Kata Perdana Menteri bahawa pintu perbincangan sentiasa terbuka antara UMNO dengan pihak-pihak lain tetapi apakah jawapan yang telah mereka berikan.
"Agenda idealisme anti-Islam ini harus diperangi. Adalah malang bagi umat Islam sekiranya, gerakan jahat ini berjaya menjajah kita semata-mata kerana Islam itu menjadi lemah kerana perpecahan dan sengketa sesama umatnya," tegasnya mengakhiri perbincangan.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Anwar cari wanita misteri

Ummi Hafilda Ali menunjukkan bukti terbaru isu Anwar Ibrahim didakwa memiliki akaun luar biasa berjumlah RM3 bilion di Kuala Lumpur, kelmarin.
*****
KUALA LUMPUR 22 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai berusaha mengesan wanita misteri yang dikaitkan dengan bukti baru bagi menyokong tuduhan beliau memiliki akaun luar biasa berjumlah RM3 bilion sejak mereka terputus hubungan beberapa tahun lalu.
Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali (gambar) berkata, Anwar mempunyai hubungan rapat dengan wanita terbabit dan banyak kisah di sebalik tabir berlaku antara mereka berdua.
Menurut beliau, wanita berkenaan hidup diselubungi kemewahan semasa masih rapat dengan Anwar, namun, beliau sentiasa dalam ketakutan selepas hubungan itu berakhir.
‘‘Saya difahamkan Anwar mahu menuntut semula semua harta yang telah diberikannya kepada wanita misteri itu.
‘‘Ekoran tidak tahan dengan pelbagai ancaman serta ugutan yang diterima, wanita terbabit kemudiannya melarikan diri ke luar negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ummi Hafilda mengulas tentang pendedahannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung identiti seorang wanita misteri yang memiliki atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan banglo, kebanyakannya di Pulau Pinang.
Pendedahan itu dibuat semasa disiasat kira-kira lima jam oleh SPRM di ibu negara semalam bagi mengemukakan bukti baru berkaitan tuduhan Anwar mengawal 20 akaun induk oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid.
Menurut Ummi Hafilda, beliau difahamkan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan bagi mengesahkan identiti pemilik semua hartanah terbabit.
‘‘Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan semua maklumat seperti sejak bila dan bagaimana saya mengenali wanita tersebut secara terperinci kepada media kerana masih belum mendapat lampu hijau daripada SPRM," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12