28 November 2012

AS dengar gesaan Malaysia



NAJIB Tun Razak bersalam dengan Barack Obama selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-AS Keempat di Peace Palace, Phnom Penh, semalam. - BERNAMA
*****
PHNOM PENH, Kemboja 20 Nov. - Presiden Barack Obama mengambil tindakan segera bagi membendung keganasan yang berlaku di Semenanjung Gaza, selepas mendengar gesaan Malaysia dan Indonesia semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Keempat di Peace Palace malam tadi.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Presiden Amerika Syarikat itu memaklumkan sendiri kepadanya yang beliau telah menghubungi beberapa pihak terlibat untuk menghentikan keganasan di wilayah bergolak itu.
“Pagi tadi beliau (Obama) beritahu saya yang beliau telah membuat beberapa panggilan telefon malam tadi setelah Malaysia dan Indonesia bangkitkan perkara ini. Beliau telah mainkan peranan untuk cuba menghentikan keganasan di Gaza," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Hotel Phnom Penh di sini hari ini.
Pagi ini, Perdana Menteri berjumpa sekali lagi dengan Obama ketika menghadiri Mesyuarat Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bersama ketua-ketua kerajaan dari Australia, Brunei, New Zealand, Singapura dan Vietnam, selepas menyertai Dialog Global ASEAN.
Pada mesyuarat semalam, Najib telah memohon Obama untuk bertindak membendung keganasan yang berlaku di Gaza bukan sahaja menerusi kaedah jangka pendek bahkan jangka panjang iaitu dengan menyambung semula rundingan ke arah penyelesaian di Asia Barat, dalam konteks mewujudkan negara Palestin berasaskan penyelesaian dua negara.
Penyelesaian dua negara (two-state solution) merujuk kepada pembentukan negara Palestin yang merdeka bersama-sama negara Israel.
Ditanya mengenai jaminan yang diberikan oleh Obama untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin itu, Najib berkata, semua pihak mengetahui cabaran-cabaran dan kerumitan isu itu.
“Obama kata beliau akan cuba. Beliau mahu keganasan dihentikan dan beliau tahu untuk mencari penyelesaian akhir yang menyeluruh memerlukan pengorbanan besar.
“Saya fikir beliau memang berhasrat hendak mencari penyelesaian akhir terhadap isu ini," katanya.
Menurut Perdana Menteri, Obama agak tertarik dengan konsep kesederhanaan yang dipromosikan Malaysia kerana beliau yakin ia suatu nilai yang boleh menentukan bahawa setiap insan akan mendapat peluang mengembangkan potensinya, menyelesaikan konflik di mana-mana sahaja dan juga boleh membantu ke arah keamanan, kedamaian dan kestabilan dunia.
Dalam pada itu, Mesyuarat ASEAN-AS Keempat mengambil maklum tentang hasrat kuasa besar itu untuk meningkatkan hubungan kedua-dua pihak di peringkat perkongsian strategik malah menerima perakuan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) ASEAN-AS untuk menaik taraf mesyuarat ini ke tahap sidang kemuncak.
“Obama sendiri berjanji akan menghadirinya yang secara tidak langsung menunjukkan AS memang menganggap ASEAN sebagai rantau yang amat penting dan strategik," ujarnya.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia mengalu-alukan hasrat AS untuk mengembangkan lagi kerjasama ekonomi dengan ASEAN, menegaskan komitmen dalam isu keselamatan maritim khususnya di Selat Melaka serta peranan negara dalam membantu mewujudkan wilayah Bangsamoro di Filipina.
Perdana Menteri juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas penghantaran guru-guru bahasa Inggeris untuk berkhidmat di Malaysia di bawah program Fulbright English Teaching Assistant (ETA) yang melibatkan 50 guru dalam fasa pertama dan 75 lagi bagi fasa kedua.

Calon, pengundi dan perpecahan Islam


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
MENJELANG Perhimpunan Agung UMNO 2012, ramai melihat trend Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) perlu menjadi iktibar di mana wanita dan generasi muda menjadi penentu utama kemenangan Presiden Barack Obama.
Ini akan meletakkan perjuangan besar kepada sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bagi mendekati seterusnya menarik pengundi muda dan wanita kepada Barisan Nasional (BN).
Namun, adakah semua pemimpin UMNO dan BN bersedia memantapkan parti demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) atau masih ramai yang selesa di takuk lama?
Bagi Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, soal calon menjadi topik utama Perhimpunan Agung UMNO setiap kali dekat dengan tarikh PRU.
"Bab calon ini, tidak semestinya yang paling aktif atau yang memegang jawatan dalam parti sahaja dipilih tapi lebih penting ditonjolkan mereka yang diterima baik rakyat setempat, bukan penyokong BN sahaja.
Malangnya, bila ada yang rasa dia lebih layak tapi tidak dicalonkan, mula sabotaj. Kerana itu ada kerangka perundangan terhadap yang langgar peraturan kali ini untuk bertindak tegas sebelum habis PRU-13," katanya.
Tambahnya, calon di negara ini dipilih pucuk pimpinan mengikut maklumat yang diterima melalui pelbagai saluran, berbeza dengan AS yang mengadakan pra-pemilihan bagi mereka yang berminat menawar diri bertanding.
Namun, beliau merasakan pencalonan untuk PRU-13 perlu dibuat lebih awal agar mereka yang tidak dicalonkan dapat dirunding dengan memberikan tempat lain dalam parti sebagai ganti.
"Kalau dah hujung sebelum PRU baru diumumkan, sudah tidak boleh runding untuk redakan keadaan. Kalau boleh, pengumuman dibuat seawal mungkin, paling baik sebulan sebelum PRU-13.
"Di negeri-negeri yang kita tidak pimpin seperti Kedah, Selangor dan sebagainya juga perlu tunjukkan siapa akan jadi ketuanya (kalau menang) supaya semua dapat beri tumpuan kepada kepimpinan utama dan juga runding dengan mereka yang tidak dipilih," ujarnya.
Beliau membangkitkan perkara tersebut berikutan ramai yang sudah bersuara memohon kepimpinan parti mengambil kira baik buruknya kerana merasakan elok diumumkan awal berbanding cara dahulu.
Tambahnya, memandangkan calon boleh menang itu bermaksud individu yang 'lebih putih daripada putih', sepatutnya tiada masalah peribadi yang boleh dijadikan bahan kepada pihak lawan sekalipun diumum lebih awal.
Menyebut aspek pemantapan UMNO pula, beliau melihat usaha tersebut sentiasa berterusan tetapi perhimpunan tahun ini lebih penting memandangkan PRU-13 mungkin diadakan pada bila-bila masa dan ahli-ahli perlu lebih sedar akan matlamat parti untuk menang.
"Obama menang kerana wanita dan orang muda. Oleh itu, sayap-sayap UMNO khususnya Pemuda dan Puteri yang mewakili generasi Y perlu mempunyai rangka kerja akar umbi agar lebih menyerlah.
"Kita jangka trend sama seperti di AS berlaku di negara ini terutamanya bagi yang pertama kali mengundi dan kerana itu Pemuda serta Puteri perlu ada 'kad laporan' bagi ahli mereka yang mengundi BN," tegasnya.
Menurut beliau, kad laporan itu perlu diberi keutamaan bagi menunjukkan berapa ramai di kalangan ahli sayap UMNO yang boleh mengundi, sudah berdaftar atau belum berdaftar kerana konsep demokrasi menetapkan siapa mendapat undi terbanyak, maka dia yang akan berkuasa.
Tambahnya, apa juga program ataupun karnival yang dijalankan sayap UMNO dan BN bukan sahaja perlu menarik perhatian generasi Y malahan perlu menunjukkan parti relevan kepada kehidupan mereka.
Beliau mengambil contoh pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan media sosial merapatkan hubungan dengan generasi Y, malahan boleh duduk bersembang, berinteraksi tanpa jurang pengasingan antara ahli politik dan pemerintah dengan masyarakat, khususnya orang muda.
"Cara beliau itu perlu menjadi ikutan pemimpin lain di semua peringkat. Malangnya, yang kita nampak Perdana Menteri dan timbalannya, serta naib-naib Presiden sahaja, pemimpin UMNO lain tak nampak sangat mengambil pendekatan ini,'' katanya.
Abdul Aziz kecewa apabila masih ada pemimpin lain tidak mengikut jejak langkah kepimpinan tertinggi UMNO mendekati akar umbi, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat masing-masing.
Beliau turut mengulangi pendirian Perdana Menteri tentang pentingnya kaum wanita yang bukan sahaja mewakili sebahagian besar warga universiti dan guru di sekolah, malahan perlu diiktiraf peranan mereka dalam sektor lain.
"Lihat sahaja warga universiti dan guru di sekolah, rata-rata wanita lebih ramai daripada lelaki. Ini perlu dicerminkan dalam sektor korporat serta selaku calon dan kedudukan dalam parti juga.
"Jangan lupa pengundi juga ramai wanita. Kita perlu beri peluang wanita menjadi calon di kawasan tertentu dan mungkin lebih ramai berbanding dahulu," ujarnya.
Beliau berpendapat semua pemimpin perlu mengikut cara Perdana Menteri menggunakan media sosial kerana secara formalnya, jumlah mereka yang menonton televisyen dan bahan cetak sudah tidak begitu ramai.
Abdul Aziz menekankan, pendekatan itu penting untuk mendapat kesan menyeluruh agar calon boleh menang yang dipilih di kawasan tersebut 'pasti menang'.
"BN mahu bentuk kerajaan, tapi kalau sokongan lebih kuat, dapat bentuk kerajaan yang lebih bagus.
"Tengok keadaan di Jepun sekarang, asyik tukar Perdana Menteri kerana kerajaan lemah.
"Kita mahukan kestabilan politik, mantap, baru senang jalankan program ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pertahanan, baru harmoni dan orang luar mahu masuk melabur," jelasnya.
Melihatkan situasi di AS dan zon Eropah yang mengalami kemelesetan, beliau menegaskan kerana itu Malaysia tidak mahu berlaku kekecohan bangsa mahupun agama di sini yang boleh menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI).
Beliau turut berasa kesal apabila ada orang Islam mendoakan saudara Islamnya jahanam kerana perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Siapa sangka polarisasi membawa kepada doa menjahanamkan saudara seagama sebegini, hanya demi kuasa sedangkan merelakan pula diri diperkudakan orang yang jelas menentang platform Islam.
"Kerana itu Perdana Menteri kita mengambil pendekatan kesederhanaan (wasatiyyah) walaupun ada yang menidakkan usaha kerajaan untuk kemajuan Islam," katanya.
Tambahnya, seluruh dunia mengiktiraf kejayaan Malaysia dari aspek pembinaan surau dan masjid di seluruh negara, pendidikan sekolah pondok hingga universiti Islam, institusi serta perbankan Islam yang menjadi ikutan negara-negara lain.
"Itupun dikatakan tidak islamik, minta dijahanamkan sama sedangkan mereka itu juga yang menikmati semua yang diusahakan,'' katanya.
Sehubungan itu, tambah Abdul Aziz, Mubarak berharap buku terbitannya, 100 Wira Negara dapat menjadi wadah untuk diinsafi rakyat berbilang bangsa dan meningkatkan semangat cinta kepada negara, seterusnya mengekang cubaan meruntuhkan institusi sedia ada.
Beliau turut menyokong rancangan transformasi pendidikan dan berharap modul sejarah dijadikan subjek wajib di semua peringkat, bukan untuk mengingati tarikh-tarikh tetapi memahami dan menghayati cerita pembentukan negara bangsa Malaysia yang masih berterusan sehingga kini.

Kekayaan luar biasa pemimpin PKR


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Sebuah laman blog, http://sel13.com mendedahkan kekayaan luar biasa seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa membeli empat kereta mewah sejak bergelar wakil rakyat pada 2008.
Dakwa blog tersebut, daripada hanya berkereta kecil yang dibeli pada 2005, pemimpin tersebut mempunyai sebuah kereta mewah berharga RM355,000 beberapa bulan selepas menjadi Ahli Parlimen dan PKR membentuk kerajaan di Selangor sekitar 2008.
Pemimpin pembangkang itu kemudiannya didakwa membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda pada 2010 sebelum membeli sebuah lagi tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, blog sama juga mendakwa pemimpin berkenaan membeli kereta mewah yang didaftarkan pada 24 Mei lalu.
Blog terbabit mendakwa telah membuat semakan menerusi penyedia perkhidmatan e-Kerajaan Malaysia, MYEG bahawa keempat-empat kenderaan milik pemimpin tersebut kecuali sebuah kereta mewah, memiliki 20 saman tertunggak yang belum dibayar.
Blog itu memberitahu akan mendedahkan rahsia di sebalik kejayaan pemimpin berkenaan.

'Pas milik Nik Aziz Sdn. Bhd.'


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Pas sebagai parti hak milik keluarga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau boleh dipanggil sebagai Nik Aziz Sdn. Bhd.
Ketua Penerangannya, Ruslan Kassim berkata, penglibatan Nik Abdul Aziz, adiknya, Nik Razi Nik Mat, anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan menantu, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sudah cukup untuk parti Pas diberi gelaran parti abang-adik-anak-menantu.
"Amalan pilih kaum keluarga Nik Abdul Aziz adalah sama seperti amalan di dalam parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurutnya, dalam PKR, ada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah sementara dalam DAP ada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Betty Chew serta Karpal Singh bersama anak-anaknya, Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo.
Ruslan berkata, serangan kononnya terdapat amalan kronisme dan nepotisme oleh pimpinan pembangkang terhadap kepemimpinan Barisan Nasional selama ini sama seperti melata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
"Rakyat harus membuka hati, mata dan telinga untuk berfikir dengan tenang kemudian faham dan mengerti bahawa perjuangan pakatan pembangkang adalah untuk kepentingan diri, adik beradik dan kaum keluarga atau kelompok mereka sendiri.
"Perjuangan tersebut lebih berbentuk fahaman assabiyah dalam pengertian sebenarnya dan tidak diterima serta ditolak oleh Islam dan Rasulullah SAW," jelasnya.