30 Disember 2012

Anugerah Kecermelangan Pelajaran

Dato' Seri Idris Jusoh bertanya sesuatu kepada bapa salah seorang pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR 2012. Anugerah ini dianjurkan oleh JKKK Kg. Pak Da Malik.  Dalam gambar kelihatan Pengerusi JKKK Kg. Pak Da Malik, Encik Mohamad Awang (Pak Leh) - no tiga dari kanan.

PRU-13: PM akan putuskan tarikh sesuai

PUTRAJAYA 28 Dis. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tarikh sesuai untuk diadakan pilihan raya umum akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan meminta semua pihak bersabar menunggu.
"Kita tahu PM akan putuskan dan bila masa yang paling sesuai, saya fikir tunggu sahajalah," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat di Majlis Interaksi Timbalan Perdana Menteri Bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Muda, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan Najib akan menunggu sehingga mandat kerajaan berakhir pada April depan, Timbalan Perdana Menteri sekali lagi menegaskan, beliau tidak tahu berhubung perkara tersebut.
"Saya tidak tahu. Apa yang saya tahu, kalau Perdana Menteri tidak jawab, takkan saya nak lebih pandai daripada Perdana Menteri. Tunggu sahajalah," katanya.
Muhyiddin secara berseloroh berkata, umpama satu keseronokan apabila banyak pihak yang begitu teruja membuat teka-teki mengenai tarikh sebenar Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"PM kata ia akan diadakan pada tahun depan dan beliau pun kata semua orang boleh buat teka-teki mengenai tarikhnya.
"Itu seronok juga kerana ada peluang dengar teka-teki orang ramai dan kalau tidak, tidak adalah keseronokan pula," katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin menasihatkan orang ramai dan juga ahli politik agar bersabar menunggu pengumuman rasmi Najib sendiri mengenai tarikh PRU-13.

Rakyat tolak politik bersimpang-siur

PUCUK pemimpin parti-parti politik di tanah air sama ada parti pemerintah ataupun pembangkang tentunya sudah mempunyai senarai calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berkemungkinan diadakan dalam tempoh tidak lama lagi.
Semestinya pemilihan calon-calon tersebut telah melalui proses penelitian dari pelbagai aspek dan strategi mengikut kehendak dan kriteria yang dipersetujui jawatankuasa pemilihan sesebuah parti.
Secara umumnya, ia boleh dianggap sebagai pemilihan secara tertutup kerana keperincian kriteria dan indikasi pemilihan calon tidak pernah diumumkan hatta kepada ahli biasa parti apatah lagi kepada rakyat setempat.
Umum hanya mengetahui faktor-faktor pemilihan tersebut secara am yang merangkumi aspek-aspek luaran. Antara contoh- contoh faktor pemilihan yang biasa dilihat adalah calon yang berpendidikan tinggi, calon tempatan, calon yang dianggap berkredibiliti yang dibawa dari luar kawasan, calon yang merupakan ahli perniagaan yang mempunyai latarbelakang kewangan yang kukuh dan tidak kurang juga calon yang 'mewarisi' karier politik dari keluarganya.
Dengan kata lain, boleh dikatakan bahawa pemilihan calon-calon wakil rakyat ini lebih bersifatkan percaturan politik yang berorientasikan parti dan ia juga merupakan pemilihan yang agak subjektif.
Pilihan raya adalah merupakan proses pemilihan wakil kepada rakyat, wakil yang akan berkhidmat untuk rakyat dan juga melaksanakan penambahbaikan untuk rakyat.
Namun kebelakangan ini, konsep pilihan raya ini seolah-olah disalah tafsir sebagai pemilihan wakil kepada parti untuk berkhidmat kepada rakyat sedangkan ia adalah pemilihan wakil kepada rakyat yang diamanahkan kepada sesebuah parti selepas memenangi proses pemilihan pada sesuatu pilihan raya tersebut.
Percaturan politik yang sebegini, iaitu percaturan yang berorientasikan parti ini ternyata telah menimbulkan banyak masalah yang tidak rasional, antaranya krisis-krisis dalaman parti sebelum pilihan raya seperti 'cah keting' antara ahli parti yang menjadi salah satu penyumbang kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu di beberapa buah negeri.
Ia juga mengundang permasalahan diskriminasi fahaman parti selepas pilihan raya yang mengakibatkan ketidakserataan dari segi bantuan dan segala bentuk kemudahan dan masalah yang lebih kronik lagi ialah terpilihnya wakil yang tiada kredibiliti kepimpinan yang sebenar melainkan kebolehan berpidato di khalayak ramai.
Kewajaran pemilihan yang sedemikian perlu kita persoalkan, pemilihan calon berorientasikan rakyat perlu dilaksanakan dan semestinya alternatif bagi membolehkan pemilihan calon secara lebih objektif oleh rakyat perlu difikirkan demi memartabatkan suasana politik di Malaysia.
Alternatif yang saya ingin kemukakan ini berkait rapat dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang menarik perhatian ramai iaitu - ''Sekiranya anda ingin menjadi pemimpin, anda mestilah mempunyai idea, sebaliknya jika tidak, anda hanyalah sekadar pengikut''.
Ada kebenaran di sebalik kata-kata Dr. Mahathir yang boleh diguna pakai di arena politik Malaysia pada masa kini. Justeru calon-calon pemimpin yang bakal bertanding seharusnya mempunyai idea-idea tentang perancangan kemajuan yang spesifik untuk sekurang-kurangnya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen yang dipertandingkan sekira tidak pada peringkat negara.
Idea perancangan kemajuan untuk tempoh 4 tahun ke hadapan yang merangkumi sektor ekonomi, sektor pendidikan dan pelbagai lagi sektor yang diperlukan mengikut keperluan DUN ataupun Parlimen setempat berserta dengan cadangan cara pelaksanaan yang terperinci haruslah digariskan di dalam satu kertas kerja.
Dengan adanya pelaksanaan kertas kerja sebegini pucuk pimpinan parti dan juga rakyat secara keseluruhannya akan dapat menilai secara lebih objektif tentang kepimpinan individu dan secara tidak langsung ia juga akan menjadi aras menilai prestasi kepimpinan dengan lebih telus dan objektif untuk rujukan rakyat pada pemilihan di pilihan raya yang akan datang.
Ia juga akan mendorong ahli-ahli politik untuk berkempen dengan lebih berhemah dengan menitik beratkan soal-soal permasalahan rakyat dan tidak hanya memfokuskan keburukan pihak lawan sebagaimana yang berlaku pada masa ini.
Krisis dalaman sesama ahli parti juga boleh dikurangkan di atas dasar pemilihan calon yang mempunyai perancangan terbaik dan sesuai dari segi perlaksanaan yang merujuk kepada pembentangan kertas kerja yang dinilai oleh pucuk pimpinan parti masing-masing.
Kertas kerja calon yang terpilih seharusnya didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat menilai secara individu dan seharusnya juga menjadi satu item wajib yang perlu diserah oleh setiap bakal wakil rakyat di hari penamaan calon.
Tidak dinafikan bahawa alternatif yang dikemukakan mempunyai ciri-ciri yang terlalu naif untuk diketengahkan apatah lagi untuk dilaksanakan, namun begitu saya merasakan bahawa politik yang naif adalah politik yang sebenarnya diperlukan oleh rakyat dan bukan lagi politik yang bersimpang-siur yang jauh arahnya dari rakyat yang sepatutnya berada di pusat medan percaturan.

Amanat: Hadi dicabar jadi gentleman

KUALA TERENGGANU 28 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar segera tampil secara gentleman memberi penjelasan, sekali gus meleraikan kekalutan kesan daripada Amanat Haji Hadi yang beliau cetuskan pada 1981.
Yang Dipertuanya, Ismail Saamah menegaskan, Presiden Pas itu tidak perlu gentar untuk menyatakan pendiriannya berhubung isu itu sekiranya amanat berkenaan yang menjadi pegangan ahli Pas tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, Abdul Hadi perlu bertanggungjawab menyelesaikan kekeliruan serta perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam hanya kerana perbezaan fahaman politik Pas dan UMNO sehingga umat Islam di negara ini berpecah-belah.
“Perkasa Terengganu cabar Haji Hadi supaya tampil dengan segera, kenapa perlu takut. Keluarlah dan jika beliau rasa betul (Amanat Haji Hadi), buktikan saja.
“Jadilah seorang pemimpin yang bertanggung jawab dan gentleman. Ini soal Islam dan jangan biarkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini berterusan begini (pecah belah dan bermusuhan)," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kekayaan: Sikap bisu Karpal dipersoal

IPOH 28 Dis. - Pelbagai pihak mempersoalkan sikap membisu Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu melibatkan dua pemimpin kanan DAP Perak yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa termasuk terlibat dalam projek pembalakan bernilai jutaan ringgit di Kelantan.
Ini kerana Karpal sebelum ini dilihat bertegas mahukan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming dihadapkan ke Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC), tetapi sehingga kini tidak dilakukan.
Presiden Pertubuhan Wawasan Rakyat Perak, Fauzi Muda berkata, sikap berdiam diri Karpal itu seolah-olah beliau sebagai pemimpin tertinggi DAP tidak mampu melawan kumpulan yang tidak menyukainya di dalam parti.
“Karpal tidak bersetuju, tetapi beliau seolah-olah terpaksa mengalah kerana isu ini mungkin melibatkan kumpulan yang menentangnya. Saya yakin beliau sendiri faham di mana kedudukannya.
“Bagi isu ini, kita cukup hairan dari mana datangnya kekayaan dua pemimpin ini hingga mampu mengumpul puluhan juta ringgit. Sebagai parti yang lantang di pentas-pentas ceramah menentang unsur kroni, salah laku dan rasuah, kita mahu kategorikan apa mereka ini?
“Semua prinsip yang mereka canangkan sebelum ini tidak langsung bertepatan dengan prinsip yang dilaungkan kerana dalam diam-diam mereka sendiri melakukan perkara sama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Karpal sebelum ini dilaporkan berkata, dakwaan tersebut amat serius dan perlu dibawa kepada CEC DAP, tetapi Koo Ham dalam reaksinya memberitahu Karpal mungkin terlepas pandang kerana isu tersebut sudah dijelaskan.
Ketua Penerangan Kesatuan Anak Melayu Islam Perak, Hafizul Abdul Hamid berkata, kenyataan bercanggah antara kepimpinan DAP dalam isu tersebut menggambarkan berlaku kepincangan dalam parti pembangkang itu.

Pemimpin, NGO wajib pertahan hak eksklusif kalimah Allah

KUALA LUMPUR 28 Dis - Semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik wajib mempertahankan pengunaan kalimah Allah kerana kalimah tersebut merupakan hak eksklusif umat Islam.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri dan tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.
Jelas beliau, kalimah Allah adalah kata nama khas berasal daripada bahasa Arab dan penggunaannya dari segi istilah adalah amat sinonim dengan agama dan umat Islam.
"Di dalam al-Quran jelas mengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak, sebaliknya gereja Katholik berpegang kepada konsep triniti, ini sekali gus memberi makna konsep Allah di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia.
"Semua ini jelas menunjukkan tidak ada alasan pun kepada agama lain untuk menggunakan kalimah Allah melainkan mereka mempunyai tujuan jahat. Menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam mempertahankan kesuciannya dengan menolak pengunaan kalimah Allah selain daripada umat Islam," tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan Krismas beliau baru-baru ini yang menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nooh menegaskan, tindakan Guan Eng itu juga dilihat mencabar ketinggian agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Di dalam Perlembagaan jelas menunjukkan Islam sebagai agama rasmi dan sebarang usaha penyebaran agama lain adalah bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara itu.
"Kerajaan perlu bertindak tegas kerana telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) iaitu untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam," ujarnya.
Katanya lagi, jika pengunaan kalimah Allah dibenar untuk digunakan di dalam Bible, keadaan itu sudah tentu akan memberi kesan kepada penyebaran agama Kristian di negara ini.
"Contohnya, jika dibenarkan dikhuatiri akan wujud buku bertajuk 'Mari Mengenali Allah' sedangkan buku itu diterbitkan oleh Kristian.
"Sudah tentu, lebih baik pengunaan kalimah Allah terus dijadikan hak eksklusif kepada umat Islam supaya tidak timbul perkara tidak diingini pada masa akan datang," jelasnya.
Sementara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Perlindungan Wanita di Johor Bahru, beliau berkata, bagi penganut agama lain mereka perlu menggunakan perkataan selain daripada Allah.
"Dia (agama lain) boleh menggunakan kalimah lain iaitu tuhan dan sebagainya. Itu pegangan kita, sebab itu hak mutlak tentu tidak boleh orang lain gunakan. Perkara ini tak perlu nak kaji-kaji, nak kaji apa lagi? Kajian itu untuk benda yang tidak ada, tidak diisytiharkan dan benda yang tiada hukum, tidak jelas dalam al-Quran.
"Perkara ini (penggunaan kalimah Allah) adalah jelas, terang nak kaji apa lagi?" katanya.

Pemimpin Cina kecam Guan Eng mahu kalimah Allah dibenar dalam Bible

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk kitab Bible versi bahasa Melayu bukan sahaja menimbulkan kemarahan umat Islam tetapi turut dikecam pemimpin berketurunan Tionghua.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong tanpa berselindung menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana memperalatkan isu agama demi meraih kepentingan politik tanpa memikirkan kesan kepada negara.
Katanya, sebagai pemimpin tertinggi DAP apatah lagi Ketua Menteri, Guan Eng perlu lebih sensitif dan jangan sesekali menyentuh perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan kerana Malaysia terdiri daripada rakyat berbilang kaum, agama serta budaya.
"Agama bukan alat untuk meraih undi kerana tuntutan sebegini perkara sensitif. Kita kena sedar Malaysia ini negara berbilang kaum, agama dan budaya. Kalau isu-isu sensitif sebegini terus dimainkan oleh pemimpin seperti Guan Eng, apa akan jadi kepada masa depan negara.
"Kepada Guan Eng, nasihat saya jadilah pemimpin yang bertanggungjawab. Jangan kita sesuka hati menimbulkan perkara sensitif seperti kalimah Allah ini untuk menyinggung hati dan perasaan orang lain khususnya umat Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kontroversi Guan Eng sempena perutusan Krismas apabila mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk kitab Bible versi bahasa Melayu.
Dalam pada itu, Choo Keong mempersoalkan motif sebenar Guan Eng yang berterusan membangkitkan perkara sensitif tersebut, sedangkan penganut Kristian sendiri hidup dalam keadaan aman dan harmoni atas prinsip saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Jelasnya, Guan Eng selaku pemimpin Cina tidak berhak menuntut sesuatu yang dianggap sensitif oleh orang Islam kerana tindakan itu hanya akan mencetuskan suasana tidak stabil dalam masyarakat apatah lagi Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan di negara ini.
"Gesaan ini tidak sesuai apatah lagi untuk diheret ke gelanggang politik kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam, sebab itu saya kata jangan ada mana-mana pihak mempertikai perkara sensitif apatah lagi soal agama jika mahu keamanan ini kekal," katanya.

Mesti ada muslihat, agenda politik

KOTA BHARU 28 Dis. - Tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang didakwa menawarkan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang kepada dua pemimpin DAP disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negeri dan anak-anak Kelantan.
Presiden Persatuan Anak Kelantan Darul Naim (Pakatan Darul Naim), Datuk Noordin Razak berkata, dakwaan itu juga amat memalukan dan mengaibkan anak-anak Kelantan.
Beliau berkata, dakwaan itu sekiranya benar menunjukkan kerajaan Pas terdesak untuk mendapatkan sokongan sekutunya DAP bagi memperkuatkan pakatan mereka dalam usaha merampas kuasa pemerintahan negara pada pilihan raya akan datang.
"Saya percaya jika tidak ada pakatan pembangkang, perkara ini tidak berlaku, mesti ada muslihat dan agenda politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan pengakuan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa beliau dan Nga Kor Ming yang juga Setiausaha DAP negeri melabur dalam syarikat yang mendapat projek pembalakan di Kelantan itu.
Baru-baru ini, blog pisau.net mendedahkan dakwaan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut telah ditawarkan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Nik Aziz sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Namun, Nik Aziz menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pemimpin DAP itu dan mendakwa berita tersebut adalah fitnah.
Mengulas lanjut, Noordin berkata, berdasarkan undang-undang tanah, keseluruhan negeri Kelantan merupakan rizab orang Melayu dan orang luar yang bukan anak Kelantan tidak boleh membeli tanah di negeri ini kecuali ada kelulusan daripada Exco.
"Sekiranya tanah itu untuk komersial, ia sepatutnya dibuat secara tender terbuka, bukan dipilih terutama pihak yang ada hubungan dengan parti yang memerintah negeri," katanya.
Sementara itu, Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata, Nik Aziz tidak boleh bersikap lepas tangan dalam isu tersebut kerana tanah merupakan perkara sensitif dan melibatkan masa depan negeri serta rakyat Kelantan.
"Isu ini perlu dipandang berat oleh rakyat Kelantan, kenapa dua orang ini yang diberi tanah, ia menunjukkan seolah-olah ada tangan luar terlibat.
"Jika betul ia untuk komersial kenapa tak diberi kepada anak tempatan atau anak syarikat milik kerajaan negeri? Ini pelik dan kita berharap kerajaan negeri jangan lepas tanggungjawab, sepatutnya Menteri Besar tampil memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.

Bekas askar sokong Pas kerana dijanji syurga

PASIR PUTEH 28 Dis. - Ketaksuban terhadap Amanat Haji Hadi turut menular dalam kalangan kakitangan kerajaan termasuk anggota pasukan keselamatan apabila ada yang terpengaruh dengan agenda Pas yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik.
Seorang pesara tentera, Md. Hassan Latif, 54, membuat pengakuan sedemikian selepas menyesali tindakannya mempercayai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang jelas meretakkan perpaduan umat Islam di negara ini.
Pada ketika itu, kata beliau, Pas dilihat memperjuangkan Islam dan wajib disokong secara mutlak sehingga khuatir menjadi murtad atau kafir jika memberi sokongan atau mengundi UMNO.
"Apa lagi kalau undi Pas ketika itu dijanjikan ganjaran syurga. Semua orang akan teruja dengan tawaran sedemikian termasuk lunaknya kempen politik yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis.
"Hakikatnya, Pas bukan 'agama' yang wajib dianuti kerana ia adalah pertubuhan politik yang boleh berubah-ubah dasarnya mengikut keperluan dan acuan pemimpinnya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Haji Wan Omar, dekat sini hari ini.
Md. Hassan berkata, penyokong Pas ketika itu boleh dikatakan buta hati dan percaya sepenuhnya orang UMNO kafir sehingga sanggup memulau mereka walaupun terpaksa menderhakai ibu bapa sendiri yang berlainan parti.
Beliau berkata, hukum kafir terhadap UMNO disokong kuat dengan hujah menentang perjuangan Islam yang ditegakkan oleh Pas serta pendekatan politik UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC.
"Sokongan terhadap Pas semakin kuat dan berpanjangan selepas bersara daripada tentera. Saya kira dalam dua penggal bertungkus-lumus bersama Pas menyedarkan saya tentang pembohongan Amanat Haji Hadi yang tidak wajib dipatuhi.
"Saya amat tidak setuju UMNO dikafirkan. Mereka pun sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat, tunai haji malah tidak pernah menolak Islam. Orang UMNO tidak pernah pun mengkafirkan Pas apabila parti itu bekerjasama erat dengan DAP," katanya.
Beliau yang kini bekerja sebagai buruh binaan berkata, pengalaman lampau bersama Pas dan terpedaya dengan Amanat Haji Hadi memberi keinsafan kepadanya untuk menolak perjuangan Pas yang menyimpang daripada landasan sebenar agama.

Minta PM bertegas

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta bertegas dan jangan sesekali tunduk dengan gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible versi Melayu.
Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, ketegasan itu perlu memandangkan permintaan Guan Eng tersebut amat melampau.
‘‘Bahkan kita di Pulau Pinang selepas solat Jumaat esok di hadapan Masjid Simpang Enam (Pulau Pinang) akan berhimpun dan membantah puak pelampau DAP.
‘‘Kita umat Islam di Pulau Pinang akan terus bangkit menentang habis-habisan kerana permintaan Guan Eng ini sememangnya melampau,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng dalam ucapan Krismasnya baru-baru ini yang menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Ekoran kenyataan tersebut, Guan Eng telah dikecam oleh pelbagai pihak malah Presiden Pertubuhan Jalur Tiga, Datuk Dr. Hasan Ali menyifatkannya sebagai motif politik Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Menjawab satu pertanyaan Mohamed Hafiz yang juga Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng itu benar-benar menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini terutama dalam konteks umat Islam Pulau Pinang.
‘‘Banyak pihak yang marah dan atas sebab itu kita menggesa Perdana Menteri jangan layan dengan permintaan Guan Eng ini.
‘‘Setakat hari ini sahaja 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah bergabung dan kami percaya esok akan menjadi lebih besar lagi,’’ katanya.

Gondol hutan: Hentikan jenayah alam sekitar

PORTAL Malaysian Insider baru-baru ini memetik Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Noor, sebagai berkata, kerajaan negeri Kedah mahu melaksanakan projek perladangan di Tasik Pedu. Dia mempersoal kesahihan laporan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia sebelumnya.
"Mana ada rosak teruk? Utusan ini pembohong, memutarbelit fakta", katanya kepada wakil portal itu.
Katanya lagi, kerajaan negeri masih belum terima apa-apa surat dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang mengarahkan negeri itu memberhentikan aktiviti penebangan. "Kita tak dapat apa- apa surat dari kementerian, tak ada pun," tegasnya.
Pun begitu, dia tidak menafikan pembalakan ada berlaku di tiga kompartment atau kawasan, melibatkan kira-kira 600 ekar tetapi semua aktiviti pembalakan itu "telah disetujui oleh Jabatan Perhutanan".
"Ini bukan cerita pembalakan haram seperti yang berlaku di beberapa buah negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN). Tidak ada pula masa itu media-media utama menyewa helikopter mengambil foto dari udara lalu melaporkan BN rakus gondolkan bukit," sambungnya lagi.
Barangkali arahan Menteri Sumber Asli itu "belum diterima" oleh kerajaan negeri Kedah pada hari Muhammad Sanusi ditemubual wakil Malaysian Insider; maklum sahaja, pada minggu itu ramai antara kita yang dalam mood cuti sempena perayaan Hari Natal.
Apa pun, fakta jelas menunjukkan Menteri Sumber Asli telah mengarahkan semua aktiviti pembangunan dan pembalakan di Gunung Inas serta Pedu di Kedah "dihentikan serta-merta" sehinggalah laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baru siap.
Datuk Seri Douglas Uggah Embas dipetik berkata, Kementeriannya sudah maklumkan arahan itu kepada Jabatan Perhutanan Kedah untuk dikuatkuasakan dan menyampaikannya kepada Kerajaan Pas Kedah. Barangkali Jabatan Perhutanan Kedah belum sempat sampaikan arahan Menteri itu kepada Pejabat Menteri Kedah.
Soalnya, apakah kerajaan negeri Kedah wajib patuhi arahan Menteri Sumber Asli itu?
Dalam pada itu, mengikut laporan Utusan Malaysia juga, kertas siasatan isu balak ini telah "dihantar ke Peguam Negara bagi tujuan pendakwaan". Setakat ini kita belum dengar lagi apa-apa reaksi atau kenyataan mengenainya dari Jabatan Peguam Negara. Pastinya ramai anak negeri jelapang padi ini ingin tahu siapa yang sedang disiasat dan siapa pula (jika ada) nanti akan diheret ke mahkamah.
Sedikit masa dulu saya pernah bertanya seorang Ketua Jabatan yang masih berkhidmat di negeri ini apakah benar bahawa pada ketika itu (aktiviti pembalakan telah pun dijalankan) kerajaan negeri belum lagi terima kelulusan EIA? Beliau jawab "Betul".
Andainya kita lakukan aktiviti penebangan balak dan pembangunan kawasan hutan (sama ada untuk projek Ladang Rakyat, Taman Buah-buahan, pelancongan agro atau apa sahaja), terutama di kawasan tanah tinggi atau tadahan air tanpa mendapatkan kelulusan EIA, hakikatnya telah melakukan jenayah alam sekitar. Dalam bahasa mudah, kita telah melakukan satu mala petaka.
Yang menghairankan, semua orang tahu bila pokok telah ditebang dan hutan telah digondolkan, akibat buruk yang menimpa kita tidak boleh diatasi sepenuhya. Semua orang sedar keadaan sekeliling tidak boleh dikembalikan seperti dulu. Kerosakan dan kemusnahan yang berlaku adalah irreversible. Tapi, demi mengejar hasil, ia masih tetap dilakukan.
Barangkali sesiapa yang ingin menjadi calon untuk memerintah negeri mesti diajar dahulu makna "pembangunan lestari". Ia mengandungi tiga komponen penting - pembangunan ekonomi, penjagaan alam sekitar, dan kesejahteraan rakyat. Ramai yang nampak komponen pertama sahaja.
Kemusnahan alam sekitar berlaku di mana-mana. Dulu kita melihat ia berlaku di Cameron Highlands. Kini kita melihatnya di negeri jelapang padi ini. Percayalah, mana- mana kerajaan yang membiarkan kemusnahan alam berlaku dan tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat, akan meninggalkan satu legasi yang pasti akan mengaibkan pemimpin dan anggotanya sampai bila-bila.

Cukup-cukuplah Nik Aziz, Hadi...

MASYARAKAT Melayu hari ini dilihat memang banyak berubahnya berbanding zaman tradisi dan sebelum merdeka. Apatah lagi dengan facebook, twitter, whatsApp...dan macam-macam lagi sehinggakan penulis yang menganjak ke pertengahan 40-an ini pun agak 'kebingungan'.
Itulah, kadang-kala kita rakyat Malaysia 'kebingungan' juga dengan gelagat segelintir pemimpin parti politik yang asal ado, 'belasah aje' ikut suka mereka sahaja.
Dan lebih dahsyat lagi, mereka sama ada lupa (ini pasti tidak boleh diterima dek akal) atau sengaja enggan mengaku yang kesejahteraan, keamanan malah kemajuan negara yang turut sama dinikmati oleh mereka adalah hasil kepimpinan dari bangsa Melayu sendiri. Kalau bangsa Melayu tidak boleh dibanggakan, manakan mungkin negara kita mampu mencapai kecemerlangan hinggakan menjadi antara negara contoh di dunia.
Kalau kita berkahwin pada 1990 dan dikurniakan rezeki 'bunting pelamin', anak kita sudah besar panjang dah. Kalau seorang individu menguasai sebuah pemerintahan kerajaan negeri pada tahun sama, sudah 22 tahun lah dia berada di pejabatnya. Itu sudah tempoh yang cukup lama itu untuk membawa perubahan kepada sebuah negeri.
Tetapi ternyata si polan ini gagal. Kalau 22 tahun dulu air paipnya keruh, sekarang air paipnya tetap keruh. Kalau 22 tahun dulu kadar pengangguran tinggi, sekarang pun kadar penganggurannya tetap tinggi. Kalau 22 tahun dulu negeri itu mundur, sekarang ternyata ia tetap mundur. Malah semakin jauh ditinggalkan ke belakang. Itulah kalau masih ada persepsi tidak mahu mengaku kelemahan diri atas alasan 'kami kaya dengan tanah...anda di negeri lain...ado.'
Ramai menganggap si polan ini hanyalah jaguh mengumpul khalayak. Tetapi bukan dalam memajukan taraf hidup mereka. Namun, ramai juga enggan memperakukan suara hati diri sendiri, dek 'takut' tidak ke 'syurga' olahan parti berkenaan. Senjata si polan ini cuma ketaksuban sesetengah pengikutnya yang membabi-buta.
Di kala Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjadi teras kepimpinan era sekarang - khususnya empat tahun kebelakangan ini - indeks prestasi si polan tadi tidaklah terkandung sebarang angka mengagumkan.
Menggunakan semaksimumnya agama demi untuk survival politik merupakan perkara yang cukup menjengkelkan!. Tetapi inilah agaknya yang dibanggakan oleh 'si polan'. Sepatutnya agama dijadikan panduan kehidupan, bukan aset untuk mengumpul pengikut dan pengaruh.
Dan suatu ketika kerana sudah lebih 20 tahun memerintah tak berbuat apa pun, 'alih- alih' dek demam pilihan raya umum yang kian hampir, sudah menggelabah tak bertempat. Lantas bergendanglah dia ke merata negeri. Mencanang mahu dibina satu lebuh raya yang di'promosikan' sebagai 'lebuh raya rakyat'. Kosnya bukan sedikit, RM1.8 bilion menghubungkan Lebuh Raya Kuala Krai- Kota Bharu (anggaran kos ketika ini). Dinamakan "lebuh raya rakyat" dengan harapan rancangan itu "dekat dengan jiwa" rakyat, maka lantas ditadahkan tangan meminta sumbangan rakyat.
Wah! memang hebat rancangan bina lebuh raya itu. Ada laluan untuk binatang buas lagi. Tetapi apa sudah jadi dengan sebuah jambatan yang penulis fahamkan dikenali jambatan Palekbang-Kampung Cina yang dijanjikan pada 1996. Ia tak terusik lagi. Kalau tak percaya, pergilah kita tinjau batu asas untuk membina jambatan Palekbang- Kampung Cina. Batu asasnya masih ada di situ. Tapi tulisannya yang tertera nama projek, sudah tak ada lagi.
Diam tak diam, bukan parti itu bina jambatan sebaliknya parti saingannya pula yang membina jambatan di sebuah kampung (kalau tak silap penulis bernama Kampung Sireh) untuk mengurangkan kesesakan bandar Kota Baru.Itu baru soal pembangunan untuk diperleceh parti berkenaan.
Bab agama lagi dahsyat. Tak ada langsung rasa simpati dengan keluarga yang berpecah- belah hanya kerana hasutan politik dan sebuah 'amanat'. Tidakkah si polan tadi berasa berdosa kerana sanggup bersama mereka yang memusuhi Islam. Dan hanya kerana dendam kesumat menafikan sungguh-sungguh parti pesaing yang terbukti berjaya memajukan bukan sahaja umatnya tetapi kaum-kaum lain.
Dan menyebabkan orang Melayu terluka dan tersiat hati mereka apabila sanggup pula melakukan penghinaan terhadap bangsanya sendiri. Dan tidak berbangga dengan Melayu. Dan apabila 'disentap' parti sekutu', semua maklum dan rasanya hampir semua orang tahu apa jawapannya setiap kali 'dipukul' oleh 'penyerangnya' soal hudud yang hendak sangat dipraktiskan. Kita tidak tahu sampai bila titik noktahnya si polan ini mahu membohongi diri sendiri, umat Melayu dan kaum-kaum lain.
Berterus-teranglah.Kepada pengikut sendiri. Beritahulah kebenaran '... ini adalah modal untuk parti dapat undi, bukan kami betul-betul nak laksanakan pun". Kalau penyokong parti pesaing tanya, ini alasan dia - perlembagaan tak benarkan, kalau parti sekutu tanya ini alasan dia - 'si dia' tak faham. Kalau orang parti sekutu yang satu lagi tanya, ini jawapannya - 'tak nak pemimpin dia pun kena'.
Kalau tidak mahu tarik 'amanat' yang memusnahkan persaudaraan sesama Islam itu, tak mengapalah. Tapi...tapi....tapi tak perlulah beri bermacam alasan. Cukup-cukuplah Nik Aziz. Cukup-cukuplah Hadi.

Jangan tersalah meraikan

Mukadimah
BERAT untuk menafikan, namun inilah hakikatnya. Saban tahun umat Islam di negara ini akan berhadapan dengan konflik meraikan perayaan tertentu. Dari perayaan yang bersifat keagamaan hinggalah membawa kepada perayaan sambutan tertentu seperti Hari Ibu, Hari Kekasih mahupun sambutan tahun baharu.
Ia bagaikan isu yang tidak pernah selesai dan akan muncul sama hangatnya dengan perayaan tersebut. Lebih membara bila perayaan itu muncul dalam zon masa yang sama hingga menzahirkan konsep "kongsi raya".
Program BICARA di TV Al Hijrah baru-baru ini mengupas isu ini dengan dengan tajuk - Jangan Salah Rai. Dengan membawa DR. JUANDA JAYA, Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan USTAZ NOR AZAMIR ALIAS, Timbalan Mufti Negeri Sembilan dan AMIN IDRIS sebagai moderator, mereka mengupas pendekatan yang wajar di negara yang berbilang agama dan bangsa ini.
SOALAN: Syeikhul Islam, Ibn Taimiyyah berkata, “Tidak halal bagi muslimin menyerupai mereka dalam sesuatu pun yang khusus dalam perayaan mereka sama ada makanan, pakaian, mandian, menyalakan api dan menuruti perkara dan ibadat yang biasa dilakukan mereka pada hari-hari biasa." Bagaimana untuk kita mendefinisikan ‘menyerupai’ sesuatu kaum dan apakah kekeliruan yang biasa berlaku d alam kalangan umat Islam hari ini dalam menyambut hari kebesaran agama lain?
Nor Azamir Alias: Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Daud daripada Ibnu Umar, menyatakan barang siapa yang menyerupai satu kaum, maknanya mereka termasuk dalam golongan itu. Menyerupai itu dirujuk kepada sudut tindakan atau perlakuan daripada aspek akidah, syariat, akhlak dan tingkah lakunya. Jika semua itu bertentangan daripada garis panduan al- Quran, Hadis dan Sunnah maka ia tidak dibenarkan.
Dalam aspek kehidupan hari ini, kita tidak boleh lari daripada fitrah yang menyerupainya dalam konteks pembinaan kehidupan antaranya aspek keselesaan hidup, teknologi, strategi atau pendekatan tertentu yang membawa kepada kebaikan maka ia dibenarkan untuk meniru.
Dalam Islam tidak membenarkan kita mengikuti secara ritual agama lain dan pada masa sama, Islam juga tidak membenarkan kita menzalimi ataupun menyakiti orang bukan Islam, Nabi SAW menyatakan kalau kita menyakiti mereka bukan Islam yang patuh kepada pemerintah Islam, umpama seperti menyakitiku.
Bagaimana kita hendak mengimbangi dua perkara ini, kita dilarang untuk raikan perayaan agama lain pada masa sama kita disuruh untuk meraikan kemanusiaan orang daripada agama lain?
Dr. Juanda: Kita berhadapan dengan dua nas yang saling bertentangan iaitu nas yang menyatakan bahawa kita tidak boleh reda kepada kekufuran yang membawa kepada kufur. Nas yang lain pula menyatakan bahawa kita perlu menghormati dengan memberi kebebasan, memberi hak sepatutnya kepada golongan ‘zimmi’, seperti yang disebut oleh hadis Rasulullah SAW “barang siapa yang menyakiti golongan ‘zimmi’ sesungguhnya dia sudah menyakiti aku".
Dalam konteks menyambut perayaan keagamaan yang bukan agama Islam, perkara utama yang mesti dijaga oleh umat Islam ialah kemurniaan akidah. Dalam erti kata lain, meraikan apa sahaja perayaan keagamaan dengan reda kepada kekufuran ini dilarang dalam Islam. Dalam kehidupan kita yang pelbagai bangsa dan pelbagai agama, kita mesti tahu membezakan yang mana satu agama dan yang mana satu budaya.
Apabila kita menggunakan istilah “kongsi raya", pemimpin mempunyai niat tersendiri khususnya dalam menimbulkan kesefahaman dalam pelbagai bangsa dan agama. Namun demikian, ada yang tersalah langkah menggunakan kongsi raya ini untuk menyamakan semua agama. Ini bagaimana?
Nor Azamir: Perkataan kongsi itu sendiri memberikan implikasi tertentu kepada persepsi masyarakat dalam memahami perkataan kongsi tersebut. Kerajaan “menyatukan" sambutan Hari Raya dengan perayaan lain adalah kerana ia bertembung dan berdekatan sekali gus untuk tujuan kemasyarakatan.
Namun dalam kita menyambut sesuatu perayaan, kita hendaklah menjaga apa yang boleh dan apa yang tidak dibenarkan di dalam Islam, janganlah sesuka hati untuk mengikut. Bersikap wasatiyyah dalam menjaga keharmonian akidah. Begitu juga dalam konteks kongsi raya ini, jika sama dan kongsi dalam aspek ritual, maka tidak boleh sama sekali untuk menyambutnya.
Antara cabaran umat Islam menghadapi perancangan musuh Islam yang berniat untuk memerangkap masyarakat Islam. Justeru, wujudnya perayaan tertentu yang dianggap sebagai antara perangkap mereka untuk menyesatkan umat Islam. Komen?
Dr. Juanda: Soal pertikaian, permusuhan antara agama ini soal yang tidak boleh dielakkan. Setiap agama pasti akan promosikan agama mereka dalam apa jua cara dan kaedah. Kelemahan utama umat Islam ialah soal jati diri yang amat lemah dan sering merasa mereka rendah diri terhadap orang lain dan inilah teori konspirasi yang tiada penghujungnya.
Umat Islam mesti faham siapa diri mereka dan teras diri setiap umat Islam ialah akidah dan kepercayaan. Mengucapkan tahniah sempena perayaan tidak menjadi isu, yang menjadi isu ialah apa yang kita reda tentang akidah mereka. Apabila seorang muslim turut menjadi makmum merayakan perayaan agama lain, ini sudah menunjukkan mereka tidak faham apa pegangan agama mereka. Dalam Islam soal akidah tiada kompromi dan soal kepercayaan tidak akan ada tolak ansur.
Bagaimana dengan sebutan atau ucapan tahniah, selamat dan sebagainya yang dituntut dalam syariat.. Sekiranya seseorang memeluk Islam dan emaknya masih belum memeluk Islam, kemudian ada perayaan yang bersifat keagamaan, bagaimana kita hendak mengeratkan silaturahim sebagai keluarga pada masa yang sama akidah kita masih dilindungi?
Nor Azamir: Perkara yang berkaitan dalam memberikan kasih sayang, hormat menghormati selagi tidak melibatkan upacara keagamaan tidak menjadi satu kekangan malah menjadi keharusan. Hatta mengucapkan selamat hari perayaan agama lain sekali pun, kita haruslah melihat secara wasatiyyah untuk kita capai soal perpaduan, soal rasa selesa dan ucapan itu sekadar ucapan. Manakala perkataan yang dipilih hendaklah memberi kefahaman yang jelas dan tidak menunjukkan tanda-tanda menyokong.
Setiap kali tahun baharu, mesti ramai penganjur yang adakan program dan sambutan tahun baharu. Sebagai mufti, nasihat kepada mereka dan garis panduan supaya penganjur tidak terkeluar daripada batas yang sepatutnya.
Dr. Juanda: Diingatkan kepada mereka yang menganjurkan sambutan tahun baharu bahawa mereka sebenarnya membawa kepada perkara maksiat dan dosa. Sambutan akan menjadi haram sekiranya perkara sampingan yang dibawa di dalam majlis tahun baharu berkenaan mempunyai aktiviti maksiat, parti seks, pergaulan bebas antara lelaki wanita dan pelacuran.
Pada peringkat awal, penganjur hendaklah mengenal pasti mereka yang terlibat dan aktiviti yang diadakan. Tidak dinafikan sambutan tahun baharu disambut oleh seluruh dunia dan ia tiada kaitan dengan mana-mana agama sekalipun kerana ia dikira sebagai tarikh pertukaran tahun.
Islam tidak melarang umatnya bergembira. Islam tidak melarang umatnya meraikan sesuatu perkara, tetapi batasan agama itu mesti dijaga, dipelihara dan sudah pasti kita tahu sambutan tahun baharu banyak pembaziran yang berlaku, dan akhirnya yang rosak dan lalai adalah sebahagian besarnya adalah orang Islam dan inilah perkara yang amat menyedihkan kita.
Hukum menyebut “I wish Santa Claus will fulfill all my wishes".
Nor Azamir: Isu yang timbul disini ialah kejahilan, kadangkala kita jahil tentang agama kita sendiri, tetapi kita mendalami agama lain. Mungkin penampilan agama lain yang cenderung kepada keseronokan, hiburan dan kurangnya penekanan dalam prinsip akidah dan syariat membuatkan masyarakat Islam mudah terpengaruh.
Sambutan Tahun Baru sebagai contoh, masyarakat harus sedar adakah menari-nari, menyanyi, melompat-lompat dan membakar bunga api akan mendatangkan keinsafan, cinta kepada agama dan negara dan membawa kebaikan selepas itu. Rata-ratanya tidak mendatangkan kebaikan malah membawa kepada perkara negatif.
Masyarakat yang hendak meraikan sesuatu perayaan sehingga sanggup memakai pemakaian mengikut upacara perayaan agama lain, semua ini boleh menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri kerana setiap pemakaian mempunyai maksud dan falsafahnya yang tersirat terhadap agama tersebut.
Bagaimana pula dengan perayaan yang bukan melibatkan keagamaan seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Belia yang jelas dicipta oleh masyarakat Barat. Apakah hukum merayakan perayaan ini? Bagaimana pula dengan seorang pekerja apabila dia ditugaskan untuk menguruskan majlis berkaitan agama lain sedangkan dia adalah seorang muslim?
Dr. Juanda: Perayaan seperti ini kita masih dalam perkara yang diharuskan oleh agama jika bertujuan baik. Tidak menjadi masalah selagi ia tidak membawa maksud peribadatan keagamaan.
Seorang pekerja yang diarahkan oleh majikan untuk mengadakan sambutan, mereka haruslah berterus terang. Jika ia membawa ke arah akidah, ia tidak dibenarkan dalam Islam
Dalam konteks politik negara, khususnya dalam Malaysia, pemimpin negara merupakan pemimpin kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama. Oleh itu, tidak dapat dielakkan lagi bahawa akan ada ketikanya pemimpin negara dijemput daripada bangsa dan agama lain untuk menghadiri majlis. Apakah pandangan dalam isu ini?
Nor Azamir: Pemimpin perlu memahami garis panduan iaitu menjaga akidah dan juga menyebarkan akidahnya. Sekiranya dijemput untuk makan, memberi ucapan maka ia tidak menjadi masalah. Tetapi apabila diminta untuk melakukan upacara yang mempunyai unsur keagamaan, disinilah keberanian seorang pemimpin untuk tegas dan menyatakan bahawa ia bertentangan dengan agama Islam dan tidak boleh menyertai bersama dalam upacara tersebut.

Pencabulan kepada agama Islam

KOTA BHARU 27 Dis. - Sebuah pertubuhan yang mewakili pengajian pondok di negeri ini, Minda Pondok menyifatkan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu amanat mengkafirkan UMNO, sebagai satu pencabulan kepada agama Islam.
Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof al-Hafiz berkata, ini kerana amanat tersebut jelas bercanggah dengan al-Quran, sunnah dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Beliau berkata, rakyat seharusnya berpegang teguh pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak Amanat Haji Hadi.
"Tindakan Nik Abdul Aziz mempertahankan Abdul Hadi adalah satu pencabulan kepada Islam. Semua ini berpunca daripada perjuangan Pas yang tersasar jauh kerana kepentingan politik kepartian untuk menawan Putrajaya bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada masa sekarang mereka hanya 'meratib' Putrajaya,
"Bukan sahaja Amanat Haji Hadi, rakyat juga harus menolak kenyataan dan 'fatwa' yang disebut Nik Abdul Aziz kerana bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
"Saya bersama rakan-rakan dalam Minda Pondok bersedia untuk bermuzakarah dengan pemimpin Pas dalam apa sahaja isu membabitkan kepentingan agama," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Perhimpunan Kebangkitan Rakyat di pekarangan bangunan Mara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nik Abdul Aziz yang meminta Abdul Hadi tidak tunduk dengan desakan pelbagai pihak supaya menarik balik amanat yang dibuatnya pada 1981.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilaporkan meminta Abdul Hadi bersemuka dengan pihak yang mendesak supaya amanat tersebut ditarik balik.
Sementara itu, Mohd. Syamsul yang pernah terlibat secara aktif dengan Pas selama 12 tahun berkata, golongan ustaz muda dan 'tok guru' pondok di negeri sudah sedar dengan perjuangan Pas yang semakin terpesong.
"Apa yang dibuat oleh pemimpin Pas hari ini sudah jauh tersasar, kita kena berjuang dan duduk atas dasar UMNO kerana UMNO adalah sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, jika dahulu tidak nampak tetapi sekarang semakin jelas perjuangan yang dibawa oleh UMNO.
"Kita harus mempertahankan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang kerana sejarah telah membuktikan Melayu dan Islam dipertahankan di samping agama lain turut terjaga," katanya.

Saya kebumi jenazah isteri di birai rumah - Mokhtar

MARANG 27 Dis. - Gara-gara tidak mahu berkongsi tanah perkuburan dengan penyokong UMNO kerana berpegang dengan Amanat Haji Hadi, Mokhtar Ismail, 58, sanggup mengebumikan jenazah isterinya di pinggir rumah di Banggol Katong, Serada dekat sini.
Walaupun anggota keluarga dan sebilangan saudara-maranya menganggap tindakan itu keterlaluan, dia tidak mengendahkan mereka dan cukup yakin langkahnya betul.
"Apabila arwah isteri, Azizah Abdullah meninggal pada 1990, saya memutuskan menggali kubur tidak sampai tiga meter dari rumah. Tiada siapa yang syor dan tegah. Saya cukup yakin mereka yang tidak bersama Pas tidak boleh bercampur termasuk tanah kubur.
"Sedangkan tanah perkuburan tidak sampai suku kilometer dari rumah. Semasa hidupnya juga arwah terkongkong kerana saya tidak benarkan dia bergaul dengan penyokong UMNO yang kebanyakannya anggota keluarga terdekat saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika turut menyingkap perlakuan silam yang sangat dikesalinya sebagai reaksi terhadap pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama C.N Al-Afghani berhubung beratus ribu penyokong Pas masih berpegang dengan amanat yang memesongkan itu.
Menurutnya, hubungan dengan arwah ibunya dan tujuh adik-beradik yang lain juga tidak begitu mesra kerana mereka tidak menyertai Pas.
"Ketika ibu meninggal dunia, saya sekadar menziarah dan tidak menginjak kaki ke masjid untuk bersama menunaikan solat jenazah. Saya rasa ketika itu pegangan terhadap amanat tersebut lebih besar daripada tanggungjawab terhadap emak sendiri.
"Saya sendiri tidak dapat mengagak berapa banyak anak tangga di masjid itu kerana saya tidak pernah pijak. Saya tak kenal masjid selain Masjid Rusila (Masjid Haji Hadi) dan dua lagi masjid tokoh Pas iaitu Masjid Kubang Lembek (Masjid Datuk Harun Taib) dan Masjid Batu Enam (Masjid Haji Awang Jidin)," katanya.
Menurut peniaga itu yang menyertai Pas pada usia 18 tahun ketika berada di Mersing, Johor, apabila kembali ke Terengganu, dia banyak menghabiskan masa membaca kitab di Masjid Rusila dan turut mendengar ceramah-ceramah Pas yang turut dianggapnya sebagai kuliah agama terbuka.
"Apabila Amanat Haji Hadi mula kedengaran pada 1981, pegangan bahawa kami berada di landasan benar dalam memperjuangkan Islam dan tidak perlu mempedulikan orang lain yang tidak bersama, semakin kukuh," ujarnya.
Malah untuk mengelak daripada terus menunaikan solat berjemaah di masjid katanya, dia bersama-sama penyokong parti berusaha membina sebuah surau berhampiran melalui gotong-royong dengan hasil pungutan derma.
"Rasanya saya dan beberapa orang kawanlah yang mula memberanikan diri mengutip derma daripada orang ramai di Masjid Rusila untuk perjuangan Pas," ujarnya.
Namun katanya, apabila Pas menang di Terengganu pada 1999 dan surat arahan daripada kerajaan negeri supaya mereka kembali ke masjid yang sekian lama dipulau, cukup mengejut dan membingungkan apabila hukum-hakam yang digunapakai tiba-tiba berubah.
"Dulunya masjid itu dianggap cemar dan berimamkan orang UMNO tidak sah. Jika itu boleh berubah, tentunya daging binatang sembelihan mereka juga sudah boleh dimakan dan upacara pernikahan juga sah dilakukan.
"Saya keluar Pas pada 2001 setelah melihat banyak perkara tidak disenangi termasuk tindakan parti itu mengambil alih tadika Kemas dengan kanak-kanak terusir. Saya tidak nampak cara Islam dan lihat semua ini sekadar kepentingan politik," ujarnya.

Bergantung kepada sumber balak: Bukti Pas Kedah ketandusan idea

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kebergantungan kerajaan Pas Kedah kepada balak sebagai sumber utama dalam menjana ekonomi negeri sehingga akhirnya alam sekitar menjadi mangsa adalah bukti ketandusan idea pemimpin Pas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, jika dalam masa sepenggal sahaja Pas sudah begitu rakus ‘membotakkan’ hutan, apa akan terjadi seandainya parti itu terus memerintah.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan Barisan Nasional (BN) tidak akan bergantung kepada balak dalam usaha membangunkan ekonomi negeri, sebaliknya akan memperkasa kembali sektor perindustrian yang kini dibiar suram oleh Pas Kerajaan Kedah.
Tambah beliau, sektor perindustrian bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan yang banyak tetapi juga merupakan pemangkin kepada lonjakan berganda ekonomi Kedah dan usaha ini sudah dibuktikan sewaktu pemerintahan BN dahulu.
“Kita tidak akan mengulangi ketandusan idea pemimpin Pas membangunkan ekonomi negeri kerana dalam kotak fikiran mereka cuma nampak balak. Kita kalau boleh tidak akan sama sekali menebang hutan di kawasan sensitif.
“Sebaliknya kita akan memberi fokus kepada perindustrian kerana Kedah sudah mempunyai platform itu di Kulim. Balak hanya mampu menjana pendapatan untuk jangka pendek," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kedegilan Kerajaan Pas Kedah yang tetap berkeras mahu meneruskan aktiviti pembangunan tanah dan pembalakan di Gunung Inas dan Pedu meskipun semua kegiatan tersebut telah diarah dihentikan serta-merta.
Arahan itu dikeluarkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, rentetan pendedahan secara bersiri laporan khas Utusan Malaysia mengenai kemusnahan hutan di Kedah sehingga mendatangkan risiko bencana alam.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kedegilan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang tetap mahu meneruskan aktiviti pembangunan di kawasan-kawasan sensitif membuktikan betapa angkuh dan terdesaknya pemimpin Pas tersebut.
“Kalau prosedur wajib seperti EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) pun mereka sanggup tolak kerana terdesak mahu mengejar keuntungan segera melalui balak, saya percaya jika dibiarkan, lebih banyak penyalahgunaan kuasa akan berlaku di Kedah," katanya.

Pencabulan kepada agama Islam

KOTA BHARU 27 Dis. - Sebuah pertubuhan yang mewakili pengajian pondok di negeri ini, Minda Pondok menyifatkan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu amanat mengkafirkan UMNO, sebagai satu pencabulan kepada agama Islam.
Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof al-Hafiz berkata, ini kerana amanat tersebut jelas bercanggah dengan al-Quran, sunnah dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Beliau berkata, rakyat seharusnya berpegang teguh pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak Amanat Haji Hadi.
"Tindakan Nik Abdul Aziz mempertahankan Abdul Hadi adalah satu pencabulan kepada Islam. Semua ini berpunca daripada perjuangan Pas yang tersasar jauh kerana kepentingan politik kepartian untuk menawan Putrajaya bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada masa sekarang mereka hanya 'meratib' Putrajaya,
"Bukan sahaja Amanat Haji Hadi, rakyat juga harus menolak kenyataan dan 'fatwa' yang disebut Nik Abdul Aziz kerana bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
"Saya bersama rakan-rakan dalam Minda Pondok bersedia untuk bermuzakarah dengan pemimpin Pas dalam apa sahaja isu membabitkan kepentingan agama," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Perhimpunan Kebangkitan Rakyat di pekarangan bangunan Mara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nik Abdul Aziz yang meminta Abdul Hadi tidak tunduk dengan desakan pelbagai pihak supaya menarik balik amanat yang dibuatnya pada 1981.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilaporkan meminta Abdul Hadi bersemuka dengan pihak yang mendesak supaya amanat tersebut ditarik balik.
Sementara itu, Mohd. Syamsul yang pernah terlibat secara aktif dengan Pas selama 12 tahun berkata, golongan ustaz muda dan 'tok guru' pondok di negeri sudah sedar dengan perjuangan Pas yang semakin terpesong.
"Apa yang dibuat oleh pemimpin Pas hari ini sudah jauh tersasar, kita kena berjuang dan duduk atas dasar UMNO kerana UMNO adalah sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, jika dahulu tidak nampak tetapi sekarang semakin jelas perjuangan yang dibawa oleh UMNO.
"Kita harus mempertahankan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang kerana sejarah telah membuktikan Melayu dan Islam dipertahankan di samping agama lain turut terjaga," katanya.

Koo Ham dikecam samakan al-Quran dengan Bible dalam penggunaan kalimah Allah

IPOH 28 Dis. - Pelbagai pihak hari ini mengecam Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dalam laman sosial Twitternya termasuk menyamakan kitab al-Quran dengan Bible berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Dalam nada sama, mereka yang terdiri daripada pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mengingatkan pemimpin DAP itu berpada-pada dalam berpolitik supaya tidak menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Bagi saya, cara berpolitik pemimpin ini (Koo Ham) sudah keterlaluan. Sedarkah beliau kesan yang boleh berlaku akibat daripada kenyataan seumpama itu?," kata Pengerusi Barisan NGO Perak, Muhammad Salleh Khan Muhammad Jaafar kepada Utusan Malaysia.
Dalam laman sosial Twitter hari ini, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan mengeluarkan kenyataan berbunyi:
"Just like the Quran, the Bible also use many names to describe God in different circumstances to describe the attributes of God (Sama seperti al-Quran, Bible juga menggunakan banyak nama untuk menjelaskan tuhan dalam keadaan yang berbeza untuk menggambarkan sifat-sifat tuhan)."
Koo Ham dalam laman itu turut dipetik sebagai berkata: "If we can accept different religions teaching different teachings why can't we accept that other people are also using the word Allah to refer to God? (Jika kita boleh menerima perbezaan dan ajaran agama kenapa kita tidak boleh menerima bahawa orang lain juga menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada tuhan?)."
Koo Ham dalam Tweetnya juga meminta pakatan pembangkang 'bersatu' dalam berdepan isu tersebut dengan tidak bertelagah antara satu sama lain.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa menegaskan, Koo Ham tidak sepatutnya membuat kenyataan yang mengelirukan apatah lagi menyamakan al-Quran dengan Bible.
"Itu pandangan dia, kita pun ada pandangan kita. Semua agama ada kitab masing-masing tetapi ia tidak sama. Orang Islam hanya merujuk tuhan dengan hanya satu nama sahaja iaitu Allah, tiada nama lain.
"Cukup-cukuplah bercakap isu sensitif sebegini. Jangan sampai masyarakat keliru dengan kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama," tegas beliau.
Norazli berkata, pihaknya tetap menyokong ketetapan Pas Pusat bahawa Bible bahasa Melayu harus menggunakan istilah God dalam merujuk kepada tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar teks asal kitab itu.
Sementara itu, Pengerusi Kebajikan Masyarakat India Kampar, R. Balaratnam pula bimbang mengenai kecenderungan pemimpin politik membuat kenyataan sensitif mengenai agama secara terbuka termasuk melalui laman sosial.
"Sebagai pemimpin, saya fikir beliau (Koo Ham) perlu berusaha supaya keamanan ini boleh dipertahankan, bukan dengan merosakkannya.
"Janganlah menyentuh sensitiviti agama dengan membincangkan perkara sebegini secara terbuka apatah lagi jika berkait dengan unsur-unsur ketuhanan," katanya.

27 Disember 2012

Kerajaan tidak pinggir rakyat

NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor bersalaman dengan Exco Christian Federation of Malaysia, Bishop Ng Moon Hing (empat kanan) semasa hadir majlis minum petang sempena sambutan Hari Krismas di Luther Centre, Petaling Jaya, semalam. Turut kelihatan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon. - UTUSAN/Hafiz Johari 
*****
PETALING JAYA 25 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana pihak termasuk komuniti Kristian yang turut berperanan membangunkan negara.
Tegas Perdana Menteri, beliau sendiri memberi jaminan tidak akan mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalankan tugas selaku pemimpin negara.
"Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri kepada komuniti tertentu sebaliknya kepada semua rakyat Malaysia dan saya telah menyatakan perkara ini berulang kali.
"Ini adalah komitmen saya terhadap anda (komuniti Kristian) dan janganlah sesekali beranggapan anda dilupakan," katanya.
Beliau berucap dalam majlis minum petang sempena sambutan Hari Krismas di Luther Centre, di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, barisan ahli Kabinet serta pemimpin pembangkang.
Najib berkata, beberapa siri pertemuan beliau dengan pemimpin gereja sebelum ini membuktikan komuniti Kristian tidak dilupakan kerajaan seperti didakwa sesetengah pihak.
"Malah, setiap komuniti sama ada komuniti etnik atau agama adalah penting dalam kerajaan dan saya sendiri kerana kita tidak boleh meminggirkan sesiapa," ujarnya.
Beliau memberitahu, untuk negara terus berkembang maju dan memiliki perpaduan yang tahan lama rakyat perlu bersedia menerima konsep kepelbagaian di negara ini.
"Namun, rakyat juga perlu saling memahami dan menyemai konsep muhibah. Kita hanya mampu merealisasikan aspirasi ini dengan memupuk persefahaman dan rasa hormat," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyeru pemimpin-pemimpin Kristian memainkan peranan aktif dalam meningkatkan hubungan antara agama dan kaum di negara ini.
Jelas beliau, peranan itu penting seiring dengan hasrat kerajaan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
"Kita juga mesti mendidik sikap kesederhanaan. Sebagai contoh, Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) adalah seruan untuk semua bersikap sederhana dan perkara itu adalah kewajipan sivik selain menjauhkan ekstremisme.
"Oleh itu, saya menggesa semua pihak berdiri dan mengembara bersama saya untuk mengubah dan membina Malaysia," katanya.

Tuntut penjelasan mengenai isu pemberian tanah di kawasan Relai

KOTA BHARU 25 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan berhimpun secara aman di hadapan pejabat Yayasan Islam Kelantan (YIK), Nilam Puri, di sini semalam bagi menyerahkan memorandum menuntut penjelasan berhubung isu pemberian tanah di kawasan Relai Gua Musang kepada dua pemimpin DAP Perak.
Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Wira Perkasa negeri, Azman Yazib kepada pihak YIK yang diwakili Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Ahmad Shukeri Ismail dalam suasana harmoni.
Azman berkata, berdasarkan maklumat diterima, tanah di kawasan itu asalnya diserahkan oleh kerajaan negeri kepada YIK pada 13 September 2000 dan telah dipajak oleh syarikat Upayapadu Plantation.
Menurutnya, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pisau.net tempoh hari, tanah tersebut diberikan kepada dua ADUN DAP itu sebagai balasan pelantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
"Apakah justifikasi Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi YIK meluluskan tanah tersebut kepada dua pemimpin DAP itu. Adakah kelulusan tanah tersebut atas dasar kepentingan politik atau ekonomi.
"Selain itu, pihak kami mempersoalkan kenapa pemberian tanah tersebut dibuat secara rahsia sedangkan kerajaan negeri sentiasa mengatakan mereka adalah kerajaan yang berintegriti, akauntabiliti dan terbuka," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, selaku rakyat negeri ini, pihaknya berhak tahu atas tujuan apakah tanah tersebut diberikan sedangkan kedua-dua tokoh berkenaan tidak memberikan sebarang sumbangan kepada rakyat di negeri itu.
Utusan Malaysia 20 Disember lalu melaporkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming sebagai habuan memastikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dilantik Menteri Besar Perak pada 2008.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mendakwa, berita tersebut adalah fitnah daripada Utusan Malaysia dan beliau akan mendapatkan khidmat nasihat daripada peguamnya untuk menyaman akhbar ini.

Guan Eng cuba alih isu balak - Ali Rustam

NIBONG TEBAL 25 Dis. - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didesak memberi penjelasan berhubung dakwaan dua pemimpin parti itu di Perak yang ditawarkan tanah bernilai lebih RM30 juta di Gua Musang, Kelantan sebagai syarat menerima wakil Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.
Tindakannya menggesa kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Melayu di Semenanjung dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan isu berkenaan daripada rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Guan Eng perlu menyatakan siapa dalang dalam sebuah syarikat yang mendapat projek pembalakan di Kelantan.
"Biarkan dia (Guan Eng) berseorangan bercakap (isu perkataan Allah). Kita nak tanya dia isu balak ini macam mana kesudahannya.
"Kita mahu bincang hal balak dulu, isu kalimah Allah sudah dibincangkan dahulu," katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung ke-18 Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), di sini hari ini.
Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas semalam mendesak kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Melayu seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu.
Blog pisau.net baru-baru ini mendedahkan mengenai pemberian tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

Deepak, Guan Eng, Gobind dan Tony perlu buat penjelasan

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Dakwaan pemimpin pakatan pembangkang menjelaskan hutang ahli perniagaan, Deepak Jaikishan berjumlah RM170 juta kepada Kuwait Finance House menimbulkan pertanyaan berhubung syarat yang dikenakan pihak berkenaan kepada Deepak.
Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, dakwaan itu turut mencetus persoalan sama ada perkara tersebut berkait rapat dengan permohonan keahlian Deepak dalam DAP.
Dalam hubungan itu, Lum Yong mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan berapa lamakah hubungan sulit 'politik' yang terjalin antara Deepak dengan pemimpin-pemimpin dalam pakatan pembangkang.
"Kita desak Guan Eng memberitahu status Deepak dalam DAP. Apakah Deepak akan menyertai DAP selepas hutangnya dengan Kuwait Finance House dilangsaikan pakatan pembangkang atau keahliannya akan diterima sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.
"Guan Eng juga perlu jelaskan sama ada kegiatan 'Smear PM and Family' oleh Deepak dirancang pakatan pembangkang atau Suara Rakyat Malaysia (Suaram)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak mendesak Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menjelaskan secara terperinci kaedah pakatan pembangkang menjelaskan segala hutang Deepak dengan Kuwait Finance House.
Selain itu, Deepak turut didesak membuat sidang akhbar sekali lagi bagi menjelaskan kaitannya dengan pelbagai isu terutama perkara-perkara yang berunsurkan 'skandal politik'.
Dalam pada itu, Lum Yong turut mendesak Guan Eng mengarahkan Gobind dan Tony menjelaskan berhubung kontroversi membabitkan Deepak itu memandangkan kedua-dua pemimpin berkenaan sehingga kini masih berdiam diri.

Dedah transaksi jual tanah balak

KOTA BHARU 25 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan Pas Kelantan mendedahkan secara terperinci 'transaksi komersial' bernilai RM30 juta hasil daripada penjualan syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd., kepada dua pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, berdasarkan maklumat dalaman yang diperolehnya, syarikat tersebut dimiliki oleh taikun balak sebelum dijual kepada kedua pemimpin DAP tersebut.
Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan syarikat tersebut hanya membayar premium sebanyak RM2 juta kepada kerajaan Pas Kelantan dan RM1.8 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) hasil daripada pajakan tanah balak itu.
"Jika benar berlaku, bayaran kira-kira RM4 juta tidak berbaloi dengan tanah seluas 4,592 hektar untuk tempoh 50 tahun, maka disebabkan itu kami mahu kerajaan Pas Kelantan dedahkan kepada rakyat daripada transaksi sebanyak RM30 juta itu berapa yang diperoleh kerajaan negeri serta YIK.
"Selain itu, kami juga mendapat tahu berdasarkan perjanjian di antara pemilik asal Upayapadu dengan YIK, syarikat tersebut perlu dimiliki oleh bumiputera melebihi 50 peratus, tetapi selepas pindah milik berlaku, syarikat tersebut dimiliki sepenuhnya oleh bukan bumiputera.
"Sepatutnya YIK tidak boleh benarkan penjualan syarikat itu kerana tiada seorang pun pengarah atau pemegang syer daripada bumiputera. Ini kesilapan kerajaan Pas Kelantan dan YIK sehingga menyebabkan rakyat mengalami kerugian besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengakuan Koo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak bahawa beliau dan sepupunya, Kor Ming yang juga Setiausaha DAP Perak melabur dalam syarikat yang mendapat projek pembalakan melibatkan tanah seluas 4,529 hektar di Gua Musang.
Baru-baru ini, blog pisau.net mendedahkan dakwaan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut telah ditawarkan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin menjadi Menteri Besar Perak pada 2008.
Namun, Nik Abdul Aziz menafikan dakwaan kononnya beliau menawarkan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pemimpin DAP itu dan mendakwa berita tersebut adalah fitnah.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Perkasa turut mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya menjalankan siasatan terperinci berhubung isu tersebut kerana ia menjejaskan kepentingan rakyat.
"Kita mendesak supaya sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat penjualan ini kerana mungkin wujud pihak ketiga atau orang tengah yang memainkan peranan untuk mendapatkan keuntungan di samping itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu memainkan peranan mereka dalam isu ini.
"Ini satu kecelakaan dan tragedi untuk rakyat negeri ini kerana sudah banyak tanah di Hulu Kelantan tergadai. Walaupun tidak berlaku pindah milik pada tanah rizab Melayu, tetapi ia dipajak dalam tempoh yang terlalu lama. Soalnya kenapa dipajak kepada syarikat luar, tidak kepada anak Kelantan, apakah mereka takut rahsia bocor.
"Mungkin taikun balak itu tidak salah, tetapi Kerajaan Pas Kelantan dan YIK bodoh kerana 'menggadaikan' tanah lebih 4,000 hektar untuk hasil sebanyak RM4 juta sahaja," katanya.

Isu pingat: Koo Ham enggan ulas lanjut

IPOH 25 Dis. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham enggan mengulas lanjut mengenai isu beliau menerima darjah kebesaran membawa gelaran 'Datuk' yang didakwa melanggar polisi parti itu.
Ditanya sama ada beliau tetap mahu mengekalkan gelaran 'Datuk' atau memulangkannya semula seperti yang didesak Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor semalam, Koo Ham berkata, isu itu tidak patut timbul kerana telah dijelaskan kepada media semalam.
"Saya tidak ada ulasan lanjut. Saya telah keluarkan kenyataan semalam dan apa-apa sila rujuk kenyataan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dalam kenyataan kepada media semalam, Koo Ham mempertahankan tindakannya menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' walaupun didakwa melanggar polisi DAP yang tidak membenarkan pemimpinnya menerima gelaran ketika masih dalam politik.
Dalam kenyataan itu, beliau juga menegaskan, isu tersebut telah dibincangkan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti sebelum beliau menerima darjah kebesaran berkenaan daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2008.
Beliau juga meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh yang membangkitkan perkara itu membawa isu tersebut ke CEC untuk dibincangkan semula jika Karpal bertegas dengan pendiriannya.
Selain Koo Ham, seorang lagi wakil rakyat DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim dari Selangor turut ditempelak Karpal kerana menerima darjah kebesaran daripada raja-raja Melayu semasa masih dalam politik.
Tindakan Karpal itu dibidas Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya yang menyifatkan prinsip DAP tersebut seolah-olah tidak mengiktiraf kedudukan institusi raja-raja Melayu.
Sehubungan itu, beliau mencabar Koo Ham dan Chang Kim memulangkan semula darjah kebesaran yang dikurniakan kepada mereka sekiranya merasakan prinsip parti lebih tinggi berbanding penghormatan serta pengiktirafan terhadap kedudukan raja-raja Melayu di negara ini.

Jangan tunduk dengan agenda jahat

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kerajaan didesak tidak tunduk dengan agenda jahat pihak tertentu menggugat kedaulatan agama Islam dengan menimbulkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil bahasa Melayu.
Sambil menyifatkan tindakan itu boleh menyebabkan kehancuran dahsyat kepada negara, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang mewakili 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta rakyat sedar agenda pihak berkenaan perlu ditentang habis-habisan.
Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, gerakan liberalisme dan pluralisme sentiasa berusaha sehingga ke titisan darah terakhir untuk menghancurkan Islam demi matlamat songsang mereka serta menghapuskan perpaduan antara umatnya di negara ini.
"Penggunaan kalimah Allah telah diharamkan kepada agama selain Islam oleh Majlis Fatwa kerana perkara itu akan mewujudkan kekeliruan terutama kepada golongan belia yang nipis fahaman mereka terhadap Islam.
"Sekiranya perkara ini dibiarkan, lebih banyak kalimah Islamik akan digunakan orang bukan Islam seperti Baitullah dan pelbagai lagi. Saya melihat gesaan itu semata-mata untuk meluaskan pengaruh agama-agama lain di samping menyokong prinsip pluralisme," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perutusan sambutan Hari Krismas menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab Injil versi bahasa Melayu.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan berkata, tindakan Guan Eng yang mungkin berunsur politik tersebut amat dikesali umat Islam di negara ini memandangkan isu berkenaan telah diselesaikan sebelum ini.
Tambahnya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat seperti tercabar dengan keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menunjukkan sikap terbuka terhadap penganut agama Kristian dan membuat gesaan tersebut untuk meraih undi.
"Jika hal ehwal Islam sekalipun dipolitikkan Guan Eng, maka benarlah beliau tidak memahami atau keliru dengan agama rasmi negara ini dan rakyat harus sedar hakikat ini," ujarnya.
Perkara sama ditekankan Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah yang turut mencabar parti berlabel Islam dalam pakatan pembangkang menegur kenyataan berbaur hasutan itu.
Menurut beliau, kalimah Allah merupakan hak mutlak dalam agama Islam yang berpegang teguh kepada pendirian tiada tuhan melainkan Allah.
"Kita bantah sekeras-kerasnya kenyataan Guan Eng itu dan menggesa kementerian berkaitan mengambil serius kenyataan-kenyataan seperti ini," katanya.

Zakat fitrah tidak boleh diberikan kepada imam UMNO?

PASIR PUTEH 25 Dis. - Perasaan taksub terhadap Amanat Haji Hadi menyebabkan pembayaran zakat fitrah oleh ahli Pas suatu ketika dahulu tidak disempurnakan melalui imam UMNO yang dipertanggungjawabkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kerana mendakwa penyokong UMNO kafir.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pasir Puteh di sekitar tahun 2000, Shokri Mohd. Nor, 68, ketika menceritakan perkara itu menyatakan kekesalan di atas keterlanjuran itu sepanjang bergiat aktif sebagai aktivis tegar Pas sejak 40 tahun lalu.
Beliau berkata, ketika aktif dalam perjuangan Pas, bayaran zakat fitrah dilunaskan kepada imam yang menyokong Pas sahaja biarpun di luar mukim selain menunaikan fardu Jumaat di masjid tertentu sahaja.
Menurutnya, dia dan sebilangan penyokong Pas turut mengeluarkan zakat fitrah secara terus kepada golongan miskin dalam kalangan penyokong parti itu sahaja.
“Saya memilih untuk tidak menyokong Pas setelah menyedari Amanat Haji Hadi menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Pendirian ini semakin kuat apabila Pas bekerjasama dengan DAP. Perjuangan Pas sekarang lebih menjurus kepada kepentingan peribadi dan kebendaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan dan pendedahan bekas aktivis tegar parti itu, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N Al-Afghani bahawa puluhan ribu penyokong Pas masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi.
Shokri yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Penerangan Pas Cherang Ruku Bandar berkata, memulau imam UMNO, tidak makan daging sembelihan orang UMNO dan banyak lagi pantang larang kerana terikat dengan Amanat Haji Hadi adalah sebahagian asam garam hidupnya dalam perjuangan Pas dahulu.
“Sekarang giliran saya pula dipulau sebahagian besar pengikut Pas disebabkan tindakan yang diambil. Saya akan menulis surat untuk menyatakan peletakan jawatan saya dalam Jawatankuasa Penerangan Pas dalam masa terdekat ini dan saya ingin tegaskan saya tidak menyertai UMNO," katanya.

Tampil berkongsi harapan - PM

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima pandangan masyarakat Kristian walaupun Malaysia sebuah negara majoriti Islam.
Menurut Perdana Menteri, walaupun kumpulan minoriti, penganut agama Kristian di negara ini memainkan banyak peranan penting dalam masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap, masyarakat Kristian tampil untuk berkongsi harapan serta pandangan agar dapat sama-sama memastikan negara ini terus kekal aman dan harmoni.
"Sesetengah daripada kita tidak menyedari seorang daripada 10 rakyat Malaysia penganut Kristian. Ini semua tercatat dalam sejarah kita yang pelbagai," katanya menerusi laman blog, www.1Malaysia.com.my.
Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan Krismas kepada masyarakat Kristian yang akan menyambut perayaan itu esok.
Dalam pada itu, Najib berkata, sejak mengambil alih pentadbiran, beliau telah menekankan beberapa perkara termasuk konsep perpaduan menerusi semangat 1Malaysia serta Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).
"Konsep ini bukan hanya mengenai dialog tetapi saya mahu ia menjadi kenyataan. Sebab itu, saya melawat Pope Benedict XVI tahun lepas, sekali gus mewujudkan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Vatican City.
"Satu lagi pencapaian yang dikecapi adalah apabila kerajaan membenarkan mana-mana penganut agama Kristian ke Jerusalem sekiranya mereka mahu menunaikan ibadat di sana," katanya.
Dalam perutusan serupa, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia saling kunjung-mengunjungi atas semangat 1Malaysia bagi meneruskan tradisi berbilang kaum dan agama sempena Krismas kali ini.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini untuk meneruskan keharmonian dengan mengamalkan toleransi sesama kaum.
Ini kerana jelas beliau, keharmonian dan sikap toleransi adalah asas utama yang melonjakkan pencapaian negara baik dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya sejak merdeka.
"Apa yang penting ialah rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat terus mempertahan dan menyemarakkan keharmonian serta keamanan yang kita kecapi selama ini.
"Sebab keharmonian adalah pra syarat utama untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju," katanya dalam satu kenyataan sempena perutusan sambutan Hari Krismas di sini hari ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Malaysia kini berada di landasan yang betul dalam perjalanan menuju negara maju tetapi pencapaian itu bergantung kepada sejauh mana keharmonian yang dikecapi hari ini dapat terus disemarakkan.
Katanya, hasil perpaduan dalam masyarakat, ekonomi negara kini berkembang pesat dan mencatat pertumbuhan positif walaupun iklim ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.
"Dengan perkembangan yang amat positif ini, kita yakin harapan dan cita-cita rakyat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan," ujarnya.

Amanat Haji Hadi : Kisah lama kesannya masih ada

SEORANG bekas mufti mengungkit bahawa Amanat Haji Hadi adalah cerita lama. Seorang kolumnis di sebuah akhbar tabloid juga menyatakan kehairanannya mengapa amanat yang dicetuskan lebih 30 tahun lalu diungkit kembali.
Harus diinsafi bahawa Amanat Haji Hadi itu dianggap sebagai "fatwa" oleh pengikut- pengikut Pas. Ia membawa pecah-belah yang parah dalam kalangan umat Islam sehingga ke hari ini.
Pertama, amanat itu tidak selari dengan syara'. Ia adalah pandangan politik radikal Haji Hadi Awang kerana rasa kebencian yang terlalu tinggi terhadap UMNO dan sebagai senjata memenangi pengaruh. Haji Hadi pernah menjadi pendakwah dalam Angkatan Belia Islam (ABIM), dan ABIM sebagai sebuah gerakan Islam tidak pernah mengkafirkan UMNO.
Kedua, kesan amanat itu dirasakan sehingga kini. Apabila Pas masih bermain- main dengan istilah taghut (perosak), kafir, firaun, pangkah bulan masuk syurga ia membayangkan amanat itu masih menjadi sempadan yang tajam terhadap UMNO.
Menggunakan istilah-istilah tersebut sesuka hati adalah menyalahi Islam. Islam adalah agama yang amat teliti menggunakan istilah-istilah itu apalagi terhadap orang UMNO yang beragama Islam.
Sekiranya hujah tidak menggunakan hukumah Islamiah di negara ini sebagai asas mengkafir orang UMNO, ia amat tidak menepati. Apakah orang UMNO yang masih bersyahadah kepada Allah, membayar zakat, melakukan solat, pergi Haji dan lain-lain boleh dianggap sebagai kafir?
Sejak merdeka berbagai-bagai agenda dan program Islam atau selari dengan perjuangan Islam dilaksanakan oleh kerajaan yang didukung oleh UMNO. Asas patuh-syariah dalam sistem kewangan negara sedang berkembang dengan baik.
Institusi pendidikan Islam bertaraf universiti juga berkembang subur dalam sistem pendidikan negara. Ruang untuk dakwah Islamiah berlaku di dalam masyarakat dan berkembang dalam media cetak dan elektronik terjadi tanpa sekatan.
Itu belum termasuk program membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup masyarakat, program-program yang dilaksanakan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) umpamanya adalah bermaksud untuk memperkasa umat Islam.
Di Selangor umpamanya di mana Pas berada di dalam Pakatan Rakyat, ruang untuk penjualan arak semakin bertambah, rumah urut dan pelacuran berkembang macam cendawan. Kes-kes murtad sangat membimbangkan. Pernahkah UMNO menuduh Pas dalam pakatan sebagai kafir kerana isu ini walaupun Pas berada di tahap pembuat dan pelaksana dasar.
Atas muslihat politik Pas sanggup menukar haluan perjuangan dari menubuhkan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hudud kepada Negara Berkebajikan.
Kalau mengambil semangat Amanat Haji Hadi apa hukumnya menolak negara Islam dan hudud. UMNO masih tidak menuduh Pas sebagai kafir walaupun terang-terangan bersetuju dengan DAP dan akur dengan kenyataan Karpal Singh, "langkah mayat aku dulu" sebelum laksana negara Islam dan hudud.
Di satu pihak Pas amat toleran dengan kemahuan DAP dan kehendak Anwar Ibrahim supaya Malaysia yang bakal dibina nanti ialah negara sekular dan liberal berasaskan faham sosialis demokrat dan pluralisme.
Di satu sisi lain Pas masih terus menganggap UMNO kafir. Ia memberi kesan yang tidak baik kepada orang Islam khususnya generasi muda.
Nik Aziz dan Haji Hadi sebagai orang terdidik dalam agama tahu akan kesan cakapnya itu. Tetapi kerana ego politik tidak mungkin mereka akan menarik balik amanat dan cakap-cakap yang menghina itu.
Ironinya, tahaluf siyasinya (kerjasama politik) dengan DAP dan PKR membolehkan pula Negara Berkebajikan lahir menggantikan Negara Islam dan hukumah Islamiah. Tidakkah sikap sedemikian memperlihatkan amanat makan diri dan meludah ke langit tertepek semula ke muka sendiri?
Kebesaran Allah SWT menunjukkan betapa orang yang terlalu gelojoh berhajatkan kuasa sanggup melupakan amanat yang pernah dilontarkan kepada UMNO sekarang ini terjebak dengan kemelut amanat yang dibuatnya sendiri.
Amanat Haji Hadi mengenai negara Islam dan pelaksanaan hukum syarak ditujukan kepada UMNO dan sekarang ini semangat amanat itu sedang ditujukan kepada DAP dan PKR kerana tidak bercadang menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hukuman Islamiah. Inilah gambaran kebesaran Allah di mana amanat sedang memakan diri.

Antara Nik Aziz dan Tok Mun

''… SAYa kata begini, kalau UMNO tukar dasar kebangsaan kepada Islam dan UMNO dan Pas bersatu, buat apa lagi saya berpolitik. Tidur malam tidak nyenyak. Tetapi kalau selagi Melayu sokong UMNO, wajib atas saya melawan kerana ini bahagian mungkar." - Nik Aziz Nik Mat
Kata-kata ini bukanlah dilafazkan oleh sebarang orang tetapi beliau adalah seorang Menteri Besar dan Mursyidul Am kepada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam dan diagung-agungkan oleh pengikut-pengikutnya bertaraf ulama dan tok guru.
Tetapi malangnya, insan ini tidak pernah insaf-insaf untuk berhati-hati dalam percakapan, sebaliknya hanya kerana berbeza fahaman politik, beliau bersedia bercakap apa sahaja bagi memburuk-burukkan musuh politiknya iaitu UMNO.
Demikianlah gambaran sikap dan tindak tanduk memualkan yang dipaparkan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dari semasa ke semasa terus kekal dengan sikapnya menanam politik kebencian dalam kalangan penyokong Pas terhadap UMNO.
Entah apalah dosa besar UMNO kepada beliau sehinggakan setiap kali beliau bercakap tentang parti itu, seolah-olah UMNO tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan kepada orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Ini bukanlah kali pertama Nik Abdul Aziz melakukan serangan ke atas UMNO, malah sudah acap kali Menteri Besar Kelantan itu dilihat bermulut celupar semata-mata mahu mempertahankan perjuangan politik Pas yang kini semakin bercelaru dan kelam-kabut.
Malahan kita juga boleh menganggap Nik Abdul Aziz yang kini dimamah usia dan semakin tidak lagi berkemampuan mentadbir Kelantan cuba mencari alasan bagi 'menghalalkan' langkah beliau untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, biar pun sudah berusia 81 tahun dan bergelar Yang Berhormat sejak 1969.
Nik Abdul Aziz memahami di peringkat akar umbi dalam Pas sendiri sudah ada yang tertanya-tanya kenapakah Nik Abdul Aziz masih belum mahu berundur.
Bagi mereka, mungkin satu ketika dulu ketika Pas mula memerintah Kelantan pada tahun 1990, tenaga dan fikiran Nik Abdul Aziz amat diperlukan, apatah lagi dengan slogan kepimpinan bersama ulama, Nik Abdul Aziz dilihat tokoh paling sesuai untuk menjadi Menteri Besar di negeri yang dirampas daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu.
Namun itu dulu, sekarang mereka sudah melihat sendiri bagaimana Nik Abdul Aziz dari semasa ke semasa semakin menjadi liabiliti kepada Pas. Keceluparan Nik Abdul Aziz dalam memberi ulasan dalam memperkatakan soal politik antara UMNO dan Pas semakin memburukkan imej parti itu. Apatah lagi akibat keceluparan itu, Nik Abdul Aziz sendiri tanpa disedari oleh beliau dilihat semakin menghakis imejnya sebagai tok guru dan ulama.
Sebab itulah, ketika mengulas keceluparan Nik Abdul Aziz ketika di Kuala Terengganu pada Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata "Nik Aziz ini selalu dia celupar..celupar ini taulah..terlepas cakap begitu tanpa bersandarkan apa-apa hukum. Dia buat fatwa sendiri sehingga banyak tokoh-tokoh ulama mempertikaikan. Bukan ini saja, sebelum ini pun beliau telah buat macam-macam kenyataan seolah-olah dia sebagai tokoh agama dia layak untuk mengeluarkan fatwa sendiri. Negara kita ada Majlis Fatwa Kebangsaan. Kalau Nik Aziz cakap itu elok rujuk kepada Majlis Fatwa sahaja. Benarkah apa yang disebut oleh beliau itu atau itu kenyataan berunsur politik semata-mata."
Kenyataan Muhyiddin itu ada benarnya kerana selama ini Nik Abdul Aziz dilihat 'begitu kebal' sekali tidak ada siapa pun yang boleh menegur beliau, kalau mahu diharapkan ulama-ulama atau pemimpin Pas sampai dunia kiamat pun mereka belum tentu akan berbuat demikian.
Sebab itulah Nik Abdul Aziz dilihat semakin angkuh dalam membuat kenyataan politik berkaitan dengan UMNO. Beliau seolah-olah tidak mahu memikirkan kesan kepada umat Islam dan orang Melayu. Beliau tidak sedar kenyataan beliau mengenai UMNO yang berkaitan dengan Islam boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan.
Oleh kerana beliau seorang pemimpin politik bertaraf ulama, segala kata-kata akan menjadi pegangan kepada penyokong-penyokong tegar Pas sehingga akhirnya perpecahan umat Islam akibat berbeza fahaman politik menjadi semakin buruk.
Ketika Nik Abdul Aziz menganggap selagi Melayu sokong UMNO, wajib atas saya melawan kerana ini bahagian mungkar." Cubalah kaji perjalanan politik negara sejak merdeka. Apakah benar UMNO membawa kemungkaran? Kalau betul perkara itu sudah tentulah Malaysia tidak dilihat sebagai negara Islam contoh dan syiar Islam berkembang dengan pesat di negara ini.
Tetapi Nik Abdul Aziz tidak akan mengiktiraf perkara itu kerana bagi Nik Abdul Aziz hanya Islam yang dibawa oleh Pas sahaja yang betul, Islam yang dibawa oleh Pas sahaja yang mampu membawa kemakmuran kepada negara dan kesejahteraan umat.
Namun ketika Nik Abdul Aziz begitu celupar apabila suatu ketika dulu menuduh Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam plastik dan tidak boleh dibawa ke syurga, para ulama seluruh dunia memuji kepimpinan negara yang diterajui oleh UMNO.
Bagaimanapun Nik Abdul Aziz tidak mahu mengiktiraf semua itu, bukan kerana ia tidak betul tetapi disebabkan ia memberikan kelebihan politik kepada UMNO kerana bagi pemimpin Pas seperti Nik Abdul Aziz seolah-olah hanya Pas sahaja paling layak mengembangkan syiar Islam di negara ini.
Kalaulah umat Islam mahu mengharapkan kepada Pas berbuat demikian ia boleh dianggap sekadar mimpi kerana Islam hanya menjadi sandaran dan modal politik kepada parti itu. Malahan Islam yang diperjuangkan oleh Pas hanyalah slogan dan hujah-hujah bermodalkan air liur di atas pentas-pentas ceramah.
Ini memandangkan kalau ia mahu dirujuk kepada corak pimpinan Pas yang menguasai Kelantan sejak 1990, Kedah mulai pilihan raya umum 2008 dan Terengganu selama sepenggal mulai 1999, tiada banyak perkara yang dilakukan untuk melayakkan bahawa kepimpinan Pas mempunyai keupayaan yang jauh lebih hebat daripada kepimpinan UMNO.
Sebaliknya apa yang kita saksikan, Islam tidak ubah sekadar slogan dan ia terus dilaung-laungkan dengan iringan takbir untuk menunjukkan kononnya Pas adalah parti yang memperjuangkan Islam. Lebih malang lagi, Pas sanggup meninggalkan perjuangan menegakkan negara Islam dan hukum demi memastikan mereka tidak dilihat mempunyai pendirian berbeza dengan dua lagi parti sekular iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Oleh itu tidak perlulah Nik Abdul Aziz hendak terus bersikap celupar terhadap UMNO. Kalau hendak bertanding, bertanding sahajalah. Itu hak beliau dalam sebuah negara demokrasi, contohilah sikap bekas calon Bebas di Kuala Terengganu, Maimun Yusof,93 atau Tok Mun yang berhasrat bertanding dalam pilihan raya umum nanti biar pun kecewa pada tahun 2008.
Sekurang-kurangnya Tok Mun jauh lebih baik daripada Nik Abdul Aziz kerana penjaja kain dan jeruk itu mahu bertanding lagi dengan alasan mahu memperbetulkan pentadbiran negara yang didakwanya ada banyak kesilapan. Tidak mengapalah itu alasan Tok Mun, sekurang-kurangnya dia tidak menganggap ''kalau selagi Melayu sokong UMNO, wajib atas saya melawan kerana ini bahagian mungkar."
Mungkin Tok Mun bukan ustazah tetapi sekurang-kurangnya dia tidak melakukan dosa dengan mengaitkan orang lain untuk 'menghalalkan' kenapa dia perlu bertanding. Mungkin dalam soal ini Nik Abdul Aziz boleh belajar daripada Tok Mun, bagaimana hendak memberi alasan kerana kesudahannya rakyat juga yang akan menilai sama ada alasan itu boleh diterima atau tidak.