27 Februari 2013

Pelancaran Pasar Bergerak 1Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membeli produk hasil usahawan tempatan yang dijual di dalam Pasar Bergerak 1Malaysia pada Majlis Pelancaran Pasar Bergerak 1Malaysia di Putrajaya, hari ini. - Foto Aizuddin Saad, Feb 27, 2013 3:05 pm

Banjir di awal tahun

MASJID HADHARI, Sungai Jertih melimpah tebing, masjid seolah terapung.

Pelancaran Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri Konsert Permata Seni 2013 Sempena Pelancaran Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin, Feb 26, 2013 10:07 pm

1,001 warga emas fail saman terhadap kerajaan Selangor, MB

SHAH ALAM: Seramai 1,001 warga emas di negeri Selangor memfailkan saman terhadap Kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pagi tadi bagi menuntut caruman takaful berjumlah RM2.5 juta.
Caruman itu adalah seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Saman berkenaan difailkan Tetuan Kamarudin & Co yang mewakili warga emas, pada jam 9.40 pagi tadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, hari ini.

/hwa - bharian.com.my | 27/2/13

Blog cetus tanda tanya Anwar sabotaj projek RM17.6 juta di Turki

LAMAN bloh Gelagat Anwar menyiarkan laporan bertajuk 'Anwar sabotaj UEM?' dalam entri terbaru pada pukul 1.45 petang hari ini.
*****
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Benarkah projek penswastaan jambatan dan lebuh raya bernilai AS$5.72 bilion (RM17.6 bilion) di Turki yang sebelumnya tender itu dimenangi oleh UEM Group Bhd. (UEM), telah disabotaj oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Itulah persoalan yang ditimbulkan laman blog Gelagat Anwar hari ini.
Menurut laporan laman blog Gelagat Anwar, projek yang dikatakan bernilai RM17.6 bilion itu dibatalkan oleh Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan kerana penglibatan Anwar. Projek itu juga, kata blog tersebut, dikatakan akan diberikan kepada beberapa syarikat Malaysia (didakwa sebagai konsortium DAP-PKR).
Menurut laporan portal The Financial Times, Erdogan yang mempengerusikan satu jawatankuasa kerajaan telah membatalkan projek tersebut selepas mendakwa penswastaan yang dibuat melalui proses bidaan gagal menghasilkan pulangan yang besar.
Satu laporan sebelum ini menyebut, agensi penswastaan Turki mendapati nilai tender yang dimenangi oleh konsortium yang turut disertai UEM terlalu rendah.
Konsortium tersebut ditubuhkan dengan usahasama UEM, Koç Holding (Koc) dan Gözde Girisim Sermayesi Yatirim Ortakligi (Gozde) dengan UEM memegang 40 peratus kepentingan dalam konsortium berkenaan, manakala Koc dan Gozde masing-masing memegang 40 peratus dan 20 peratus.
Disember lalu, mereka memenangi tender tersebut bagi mengendali dan menyelenggara lebuh raya bertol sepanjang 1,975 kilometer, dua jalan sambungan serta dua buah jambatan untuk tempoh 25 tahun. Projek itu termasuklah jambatan Bosphorus dan jambatan Fatih Sultan Mehmet yang menghubungkan benua Eropah dan Asia.
Laporan penuh boleh dibaca dengan klik link ini: http://gelagatanwar.wordpress.com/2013/02/26/anwar-sabotaj-uem/
Berita mengenai pembatalan projek itu pula boleh dibaca di link ini: http://www.theedgemalaysia.com/business-news/231524-uem-dealt-a-blow-in-turkey.html dan http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130225/ko_02/UEM-%27hilang%27-projek-RM17.5-bilion-di-Turki - UTUSAN ONLINE

Muhyiddin cabar Hadi keluar fatwa haramkan BR1M

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan penerima BR1M Individu Bujang semasa menghadiri Majlis Penyampaian BR1M 2.0 Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh dekat Muar, Johor, semalam. 
*****
PAGOH 25 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan 'fatwa' pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah haram.
Timbalan Perdana Menteri turut mencabar pemimpin Pas tersebut supaya membuat satu lagi 'fatwa' bahawa menerima BR1M juga adalah haram dan menyuruh penerima termasuk dalam kalangan ahli Pas memulangkannya semula.
"Apa yang saya tahu, saya ada sedikit ilmu agama, ia (BR1M) tidak menyalahi hukum atau bertentangan dengan akidah, syariat, bercanggah dengan agama atau sebagainya," katanya.
Beliau mengulas kenyataan terbaharu Abdul Hadi yang menyamakan pemberian BR1M seperti zaman Firaun yang menggalakkan rakyatnya bergantung kepada kerajaan dan membuatkan rakyat hidup seperti pengemis.
Abdul Hadi dilaporkan berkata demikian dalam Konvensyen Keempat Pakatan Pembangkang di Shah Alam, Selangor.
Muhyiddin ditemui selepas majlis Penyerahan BR1M untuk orang muda bagi Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini.
Timbalan Perdana Menteri turut hairan dengan tindakan Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kerap mengeluarkan kenyataan atau 'fatwa' yang amat memesongkan sedangkan mereka mendakwa memperjuangkan agama Islam.
Beliau berkata, pemberian BR1M bukan satu amalan bertentangan dengan ajaran Islam dan ramai tokoh agama tidak terpengaruh dengan kenyataan itu kerana berfikiran rasional bersandarkan hukum dan syariat.
Menurutnya, bantuan tersebut adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana serta pemberian seperti itu dipraktikkan di beberapa negara maju bagi meringankan beban terutama kos hidup.
Katanya, kenyataan Menteri Besar Kelantan yang menyamakan penerima BR1M sebagai haiwan dibuat kerana beliau merasa kedudukan pembangkang tercabar dengan bantuan itu.
"Itulah sebabnya mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang tok guru. Itu bertentangan dengan ajaran agama Islam. Saya hairan kenapa kenyataan itu dibuat," katanya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, walaupun tokoh agama Pas itu menyatakan kata-kata tersebut sebagai satu kiasan, tetapi adalah tidak wajar disamakan dengan haiwan, sekali gus akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan prasangka tidak baik.
Beliau berkata, pemimpin Pas itu melihat perkara tersebut dari sudut politik kepartian berbanding kebajikan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membela nasib rakyat.

Jika bankrap, sudah lama ada petandanya

BENARKAH Malaysia telah bankrap? Bagi orang biasa, apabila terdapat dakwaan Malaysia telah bankrap boleh menyebabkan mereka berasa risau apa akan terjadi pada masa depan mereka dan keluarga mereka.
Bankrap satu istilah yang amat dibimbangi oleh sesiapa sahaja hatta mana-mana negara di dunia sekali pun. Kebankrapan menyebabkan seseorang itu tidak bebas, manakala negara pula mudah mengikut telunjuk pemberi hutang tanpa boleh membuat keputusan sendiri.
Natijahnya, bagi seseorang yang diisytiharkan bankrap, kehidupannya tidak seperti manusia normal. Begitu juga negara yang telah bankrap, rakyatnya menerima padahnya yang amat dahsyat. Inilah yang terjadi di negara-negara Barat seperti Greece yang secara teknikalnya boleh dikatakan sebagai negara yang bankrap.
Tetapi bagaimana pula dengan Malaysia? Bagi penganalisis ekonomi dan kewangan, Malaysia tidak berada dalam keadaan gawat kewangan, jauh sekali bankrap. Jika Malaysia itu bankrap, sudah lama ada petanda-petanda Malaysia itu bankrap.
Sebagai contoh, petanda paling utama adalah kerajaan tidak mampu membayar hutang kerajaan. Usah kata hutang pokok kerajaan, kadar faedah pun tidak mampu dibayar. Sebaliknya berlaku, apabila hutang kerajaan Malaysia mampu dibayar oleh kerajaan, dan pemegang hutang kerajaan tidak pernah sesekali tidak dibayar kadar faedah.
Dalam istilah kewangan tidak pernah berlaku kemungkiran pembayaran faedah (default). Disebabkan Malaysia tidak pernah berlaku kemungkiran pembayaran faedah, Indeks Risiko Kedaulatan Blackrock (BSRI) meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 hutang kerajaan paling kurang risiko. Dengan kata lain hutang-hutang kerajaan termasuklah bon kerajaan berisiko rendah untuk terjadinya kemungkiran pembayaran faedah. BSRI meletakkan negara-negara yang sememangnya bermasalah seperti Greece, Portugal, Mesir, Venezuela, Itali dan Ireland sebagai negara yang hutang kerajaannya paling berisiko.
Negara-negara ini boleh dikatakan sebagai negara yang gawat kewangan atau pun kerana faktor ketidakstabilan politik. Terdapat negara yang dikategorikan sebagai negara yang mempunyai hutang kerajaan yang berisiko tinggi adalah negara-negara yang mengamalkan konsep negara berkebajikan.
Penulis mengambil contoh Greece yang mana sebelum negara itu gawat kewangan, rakyatnya menerima pelbagai manfaat kewangan yang tidak setimpal dengan keupayaan kewangan kerajaan seperti pencen penjawat awam dibayar terlalu tinggi dan rakyatnya diberikan kemewahan.
Ini semuanya hanya kerana inginkan rakyatnya menyokong kerajaan. Adakah kita mahu perkara sebegitu berlaku ke atas negara ini dengan rakyatnya diberikan kemewahan yang tidak setimpal dengan keupayaan kewangan negara?
Dasar segala-gala percuma seperti tol dihapuskan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN), minyak diturunkan pada tahap yang tidak munasabah dan meningkatkan subsidi yang tidak produktif boleh meletakkan Malaysia di kedudukan bahaya sebagai negara yang bakal bankrap.
Usah hanya kerana ingin mengambil hati rakyat, perkara yang sukar dilakukan atau di luar keupayaan kewangan negara ditawarkan kepada rakyat. Ini belum termasuk hasrat untuk mengangkat pendapatan pekerja pada tahap yang orang biasa pun mengetahui sukar dilaksanakan.
Apabila segala-galanya diberi percuma akan lahirlah golongan yang malas bekerja, maklumlah segala-galanya percuma, buat apa perlu bekerja keras.
Kesannya, amat teruk sama sekali apabila produktiviti negara semakin menurun dan seterusnya pendapatan negara akan semakin berkurangan. Pendapatan negara semakin berkurangan dek kerana cukai yang dikutip semakin berkurangan.
Cukai yang semakin berkurangan sudah pastinya tidak mampu menanggung kemewahan yang diberikan kepada rakyat selama ini. Kerajaan bukan sahaja tidak mampu meneruskan kemewahan tersebut bahkan kewangan negara sudah tidak mampan lagi. Kesan akhirnya dan inilah yang terjadi kepada Greece, secara teknikalnya negara akan bankrap dan terpaksa meminta bantuan dari negara asing bagi membiayai kewangan negara.
Rakyat mula memberontak dan pelbagai demonstrasi akan melanda di pelosok negara. Kehidupan rakyat tidak berjalan seperti biasa. Dua kerisauan akan terjadi. Pertama, rakyat risau nyawa dalam keadaan bahaya apabila terjadinya demonstrasi berleluasa.
Kedua, risau tidak mampu lagi makan dan minum seperti biasa kerana aktiviti ekonomi tidak berjalan seperti biasa. Usah cakaplah menikmati makan dan minum secara bermewah-mewah, menikmati makan dan minum sebagai orang biasa pun tidak mampu lagi.
Mengimbas kembali sejarah kegawatan kewangan Malaysia, kita tidak boleh sesekali melupakan apa yang terjadi pada tahun 1997/98. Bagi generasi muda yang berumur di bawah 35 tahun mereka tidak merasai kegawatan kewangan tersebut.
Pada masa itu, ramai rakyat Malaysia yang bankrap, nasib baiklah kerajaan ketika itu tangkas mengambil tindakan drastik dan tepat pada masanya untuk memastikan ekonomi negara stabil semula. Ramai pelajar yang bijak tidak dapat dihantar ke luar negara. Kita hampir-hampir meminta bantuan asing. Kadar faedah pula terlalu tinggi.
Generasi muda perlu merujuk kembali angka-angka ekonomi negara ketika itu terutamanya indeks komposit dan kadar faedah yang terlalu tinggi merencatkan sistem ekonomi negara. Lebih teruk lagi, kadar Ringgit Malaysia berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) menjunam teruk.
Hutang individu amat tinggi, hutang syarikat pun usah cakaplah dan akhirnya banyak syarikat gulung tikar. Situasi pada ketika itu membuka peluang seluas-luasnya untuk negara luar menjajah Malaysia secara halus dan bukannya secara ketenteraan.
Adakah keadaan ekonomi ketika itu sebagaimana sekarang? Tidak sama sekali. Tetapi tidak mustahil ia berulang kembali sekiranya Malaysia mengamalkan sistem ekonomi seperti Greece.

Pemberi dicaci penerima makan hati

SUATU hari awal tahun 2003, Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata "Iblis pun kalau mahu membantu Pas, Pas akan terima bantuan tersebut." Tapi, kali ini ketika Kerajaan Persekutuan mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 2.7 juta keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara, Mursyidul Am Pas yang baharu balik dari Mekah berkata: "Orang yang menawarkan (wang) kepada orang, (sama seperti) kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi. Kalau nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami."
Dua kontradiksi itu membayangkan darjah kepercayaan terhadap Mursyidul Am Pas, yang pernah dilihat sebagai manusia paling beriman dan menghampiri "maksum" sudah jatuh teruk sehingga perlukan aras psikologi baharu sebagai penanda arasan. Jika aras psikologi itu gagal diterjemahkan dalam tempoh terdekat, maka Mursyidul Am Pas akan disamakan dengan orang tua yang nyanyuk.
Inilah sikap parti pembangkang dari dulu hingga sekarang yang tidak pernah merendah diri dan berterima kasih atas kebaikan yang diberikan oleh UMNO dan BN. Sikap Pas itu pernah dilabelkan, selagi pemimpin beragama tetap tegar dengan politik pembangkang, selagi itulah mereka akan terus menggigit tangan orang menghulurkan bantuan.
Sedangkan hakikatnya apa yan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sesuai dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud; "Seorang Muslim yang menjadi penyimpan (bendaharawan) yang dapat dipercayai, yang mana dia melaksanakan apa yang diperintahkan dan memberikan apa yang harus diberikannya dengan sempurna, senang hati, dan memberikannya kepada siapa yang diperintahkannya, maka dia termasuk salah seorang yang bersedekah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Tahap penghinaan sesama manusia oleh pemimpin Pas semakin 'menggila' sedangkan dalam masa sama mereka menolak keras perangai orang lain yang menyindir keburukan pemimpin-pemimpin Pas yang sudah lama terlanjur bahasa dan tidak cukup budiman.
Kalau hendak diteliti dosa-dosa mereka yang sengaja disembunyikan memanglah banyak. Dengan menyembunyikan dosa-dosa itu, para pemimpin Pas percaya kedudukannya akan selamat dan berjaya ditutup daripada pengetahuan umum.
Boleh sahaja kita mengambil contoh apa yang dialami oleh ramai pemimpin Pas. Akibat pemimpin Pas bijak menyulam semula hadis dan al-Quran, ramai rakyat yakin pemimpin-pemimpin mereka adalah "anugerah Tuhan". Mereka sahajalah yang betul dan benar, bila ada yang mempersoalkan sesuatu pendirian, terhamburlah kata-kata: terdesak, terhimpit dan ketandusan modal.
Barangkali juga bagi pemimpin pembangkang dengan berdiam diri, lama kelamaan kekurangan itu akan hilang dengan sendirinya. Bila rakyat tidak mempersoalkannya, maka makin mudahlah pemimpin Pas menyusun siri pembohongan lebih besar, rakyat tegar mereka tidak akan menyoal. Apa kata ulama, maka itulah yang wajar dipatuhi. Membantah ulama, bererti tidak menghormati agama kerana ulamalah yang lebih tahu dan berpengetahuan berbanding orang lain.
Ulama yang menyokong musuh politiknya, akan dianggap tidak berwibawa kerana ulama berkenaan begitu takut menegur untuk membaiki kerumitan, malu besar. Bukan kepalang menanggung, dan berat lagi bahu yang mengandar dosa-dosa sendiri kerana dosa-dosa itu tidak boleh disimpan kekal dalam kotak kebal.
Benarlah kata seseorang kepada saya, pendirian Mursyidul Am Pas itu menggambarkan kegagalannya yang jelas dan terang kepada masyarakat umum.
Kalau lebih setahun lalu beliau dipersoalkan mengenai model negara berkebajikan, maka kali ini beliau turut menafikan pendirian sebelumnya. Usaha beliau untuk tidak menggalakkan rakyat Kelantan menerima BR1M pada kali ini menampakkan kebodohannya sendiri, sebuah refleksi flip-flop terbesar dalam hidupnya.
Perkara yang sebegini sebenarnya sudah diperingatkan oleh Allah dalam surah Al Maun ayat 1-3. "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama, iaitu orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menggalakkan memberi makan orang miskin".
Dalam tafsir At Thabari, orang-orang yang tidak memberi ingatan tentang pentingnya memberi bantuan kepada orang miskin adalah termasuk orang yang mendustakan agamanya. Sama tarafnya dengan orang-orang yang suka mengherdik dan memakan harta anak yatim. Ini bermakna, orang yang tidak memberi peringatan kepada pentingnya memberi sumbangan kepada orang miskin adalah dicela oleh Allah, apatah lagi bagi orang yang menghina pemberi sumbangan.
Beliau mengkritik keras pemberian BR1M, kerana negara berkebajikan yang hendak ditawarkan oleh Pas sudah tidak laku lagi. Bahkan, BN sudah sekian lama melakukan kebajikan yang lebih banyak. Pas hanya melakukan kebajikan dari segi air liurnya sahaja, hampir menyamai sikap pengusaha air jampi yang lantang mendakwa setelah meminum beberapa lama, ia mampu menghilangkan pelbagai penyakit dan gangguan.
Ulama saperti ini patut juga minum air jampi yang mengandungi bacaan 30 juzuk al-Quran dan doa-doa mustajab bagi menjernihkan hati dan sikap politik mereka.
Biarlah mereka mampu membezakan yang mana baik dan mana pula yang buruk, bersedia mengakui jika kebaikan tetap sebagai kebaikan walaupun ia dilaksanakan oleh musuhnya, bersedialah untuk menawarkan kebaikan yang lebih besar. Itu baharulah politik bersih dan bukannya politik haiwan.
Dengan menyamatarafkan penerima BR1M dengan "lembu dan ayam", maknanya ulama itu sendiri boleh disamakan pula dengan penternak ayam dan lembu yang hanya tahu melepaskan ternakan itu mencari makan sendiri. Ternakan itu dilepaskan di kawasan terbuka tanpa kawalan sehingga menyebabkan lembu dan ayam mengacau tanaman orang lain, dan ayam menyelinap ke mana sahaja untuk mengisi perut.
Penternak hanya tahu bila lembu dan ayamnya tidak pulang ke reban, ada sesuatu yang berlaku, mungkin lembu atau ayamnya hilang. Sebab itulah kejadian curi ayam dan lembu kian menjadi-jadi, kerana perangai penternaknya sendiri yang kurang mengambil tanggungjawab. Lembu dibiarkan tidur dan berkeliaran di jalan raya. Situasi itu memang perkara biasa di Kelantan.
Ayam dibiarkan tidur merata-rata sehingga di atas pokok. Cara mereka menternak, hanya seadanya. Tidak menghormati orang lain. Hanya terlalu mementingkan diri sendiri, maka bila lembu menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya, tuan punya tidak akan mengaku. Bila lembunya didapati hilang atau dicuri orang, dibuat laporan ke balai polis untuk siasatan.
Apabila ulama memberikan bantuan, wang dan apa-apa kepada seseorang dengan tujuan tertentu, tiada siapa yang memberi komentarnya. Sebaliknya, ramai yang menerimanya kerana Tok Guru beri ada keberkatannya. Tok Guru "bersedekah" walaupun niat sebenarnya ialah agar orang yang menerimanya mengundi calon Pas seperti berlaku dalam PRK DUN Galas, Gua Musang.
Tok Guru juga pernah memberikan wang kepada pengurus tokong Buddha di Kelantan agar masyarakat Siam terus menyokong parti itu. Ramai orang tahu, kalau bukan kerana politik, Tok Guru tidak sanggup masuk ke "ketik Siam" bertemu tok sami.
Dwistandard, bila dia memberi itu adalah sedekah, bila Pas menerima ia adalah amalan terbaik. Yang dia perah dan tagih ialah undi, undi, undi dan undi sehingga sanggup menipu diri. Itulah perangai pemimpin ulama dalam Pas, yang betul hanya dirinya, kerana selalu sangat betul, tidak sedar diri telah tersasar dan terpesong jauh dari dari sesuatu yang dikategorikan sebagai benar dan betul. Orang seperti itu sebenarnya perlu dirawat segera bagi mencari punca, petanda depresi sudah ada.
Penyakit itu kalau dibiarkan memang bahaya. Bahayanya bukan dirinya seorang, orang lain ikut terpana.

Mengharap kematangan politik dan analisis bijak

WAWANCARA saudara Ahmad Fauwaz Fadzil, putera kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam Mingguan Malaysia semalam menarik untuk dianalisis kerana matang dan berhemah. Beliau membuat analisis terbuka mengenai percaturan politik yang sedang terjadi dan memilih jalan wahdah (perpaduan) ke arah menyelesaikan kemelut ummah.
Jiwa besar seperti ini tidak banyak dalam kalangan anak muda yang memperjuangkan Islam memiliki jiwa dai' dan murabbi yang tinggi.
Selalunya "pejuang-pejuang" atas nama Islam tinggi emosinya dalam bidasan dan sindiran sehingga hilang rasional dan fikrah yang menyantuni.
Kata beliau, kita memerlukan sebuah masyarakat yang matang dan tidak terlalu terhimpit dengan agenda kosong. Kenyataan ini adalah benar. Terlalu banyak kenyataan kosong yang tidak berisi dilontarkan kepada khalayak tetapi kenyataan itu tidak diikuti dengan pelan tindakan yang strategis supaya idealisme dapat diterjemahkan dalam realiti. Bercakap dengan label-label yang jelik dan maki-hamun yang kesat lazimnya terjadi. Menampilkan cakap-cakap dalam bentuk tindakan sukar terjadi. Ceramah yang diadakan ibarat penglipurlara dari satu tempat ke suatu tempat tapi hasil konkrit membangun Islam tidak ada.
Kematangan yang dituntut oleh Fauwaz adalah supaya kita ini berhemah. Lebih-lebih lagi atas nama Islam, cakap kita kena cermat dan ada hikmah. Kalau tidak kita ini sama dengan orang tidak berilmu dan tidak beriman.
Tambah beliau - "Saya sebahagian dari kamu dan kamu adalah sebahagian dari saya. Kita mengucap dua kalimah syahadah yang sama jadi kenapa kita perlu bertelagah". Jiwa muafakat ini tidak banyak ada pada orang politik yang gopoh dan hendakkan kuasa cepat.
Ahli politik Islam yang tulus ialah yang mampu menghargai kebaikan orang lain dan bersikap korektif terhadap kelemahan sendiri. Sifat politik Islam ialah saling melengkapi bukannya mendakwa aku saja yang Islamik sedangkan orang lain tidak.
Kita membiarkan pertelagahan terjadi dengan sia-sia semata-mata watak kita memang suka bertelagah. Kita enggan melakukan muhasabah dan berwatak dai' dan murabbi dan bertindak ibarat orang yang jahil dan hilang kewarasan.
Pendukung politik Islam harus bersedia mengkritik orang lain dengan etika dan adab dan bersedia juga mengkritik diri sendiri dengan keinsafan yang tinggi.
Perlawanan yang hendak berlaku bukan sekadar kuasa dan pengaruh tetapi setakat mana umat Islam mampu disantuni dengan nasihat dan peringatan.
Kata Fauwaz lagi, kita perlu jadi umat yang merancang kerana tanpa perancangan tidak ada jalan. Kenyataan ini amat relevan dengan perkembangan masa kini. Bila umat Islam tidak merancang dan musuh Islam merancang atas kelemahan kita akhirnya kita bakal menjadi umat terpinggir.
Perancangan politik biasanya melihat siapa lebih berkuasa dan lebih dominan dalam menentukan hala tuju perjuangan mengikut faham dan keperluan mereka.
Pas umpamanya bukanlah parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat. Belum berjaya ke Putrajaya lagi Karpal Singh sudah memperlekehkan gagasan Negara Islam Pas betapa sudah sampai ke puncak kuasa nanti apa yang Pas boleh buat mengenai gagasan Negara Islamnya.
Kata beliau lagi - "Malaysia perlu harapan untuk maju ke hadapan. Saya Cuma terfikir sampai bila kita hendak melihat rakyat di negara ini bergaduh kerana politik".
Kenyataan ini adalah berkaitan sekali. Politik di Malaysia sama ada pilihan raya atau tidak adalah politik sepanjang zaman. Tidak ada masa reda. Pergaduhan dalam bentuk pemikiran dan sikap berterusan terjadi.
Kesediaan untuk berdialog dan bermuzakarah secara sihat tidak ada. Kegemaran untuk lawan pidato sentiasa memuncak.
"Sebenarnya kita hanya membesarkan masalah yang kecil yang tidak menyelesaikan apa-apa sejak sekian lama. Dalam Islam orang yang ekstrem pun ada masalah malah ulama' yang ekstrem pun akan menjadi masalah" tambah beliau.
Kenyataan itu memang tepat dan relevan sekali dengan situasi politik yang sedang terjadi. Dasar-dasar utama kerajaan umpamanya seperti memperkasa asas patuh syariah dalam kerangka kewangan negara, membina institusi pendidikan yang Islami, melakukan peleraian sosial dengan agenda yang banyak adalah antara isu-isu pokok perubahan yang sedang berlaku di Malaysia.
Bagi setengah orang politik itu bukan isu besar. Perkara-perkara titik-bengik terus dibangkitkan secara ekstrem sehingga melahirkan kelompok taksub yang hanya melihat dirinya saja Islamik sedangkan orang lain semuanya taghut atau perosak.

Manifesto hanya risalah 'jualan murah' - Syed Ali

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Manifesto pakatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 semalam disifatkan tidak lebih sekadar risalah "jualan murah penghujung tahun" untuk meraih sokongan rakyat.
Beberapa pemimpin berpendapat manifesto itu juga hanyalah janji retorik yang sekadar menawarkan hadiah bulan dan bintang kepada pengundi dan mustahil untuk direalisasikan.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, intipati manifesto itu merupakan cebisan ucapan pemimpin pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah politik beliau di seluruh negara sebelum ini.
"Ia langsung tidak mencerminkan satu kaedah tawaran yang efisien, konsisten, komprehensif dan berkualiti untuk manfaat rakyat," katanya.
Syed Ali berkata, manifesto pembangkang itu juga jelas tidak meletakkan kepentingan Melayu sebagai kaum majoriti negara ini dan tidak dinyatakan secara khusus usaha ke arah meningkatkan syiar Islam sepertimana terkandung dalam Perlembagaan.
"Ini bermakna manifesto pembangkang tidak berani berterus terang menyebut untuk menjaga kepentingan pribumi kerana terikat dengan dominasi DAP sebagai pencatur kepada halatuju pakatan tersebut," katanya.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, manifesto PKR-DAP-Pas itu dibuat hanya sekadar untuk menambat hati rakyat tetapi tidak meneliti dari segi keupayaan kewangan negara.
"Ia dirangka berasaskan sentimen meraih sokongan dan mereka yang merancangnya tidak mempunyai pengalaman dalam kerajaan manakala ekonomi kerajaan sekarang dirancang dan dipandu oleh pakar dari pelbagai institusi... ini merupakan dokumen yang boleh ditulis oleh sesiapa," katanya.
Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Datuk A.
Chandrakumanan pula mengingatkan rakyat supaya berwaspada dengan janji yang ditaburkan pembangkang dalam manifesto itu yang ternyata sukar untuk direalisasikan.
Chandrakumanan yang juga Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan berkata, rakyat perlu tahu bahawa manifesto pembangkang hanyalah sekadar janji kosong dan tidak munasabah memandangkan masih ada manifesto pada PRU 2008 yang belum ditunaikan.
Beliau berkata, sekiranya tol dimansuhkan, beribu-ribu orang akan kehilangan pekerjaan dan timbul persoalan mengenai dari mana pembangkang akan mendapat sumber kewangan untuk penyelenggaraan lebuh raya dan pembayaran kepada syarikat konsesi.
"Mereka (pembangkang) tidak ada niat hendak sejahterakan rakyat tetapi menghasut rakyat sehingga bawa ke jalan raya. Rakyat patut fikir secara waspada sebelum beri undi kepada pembangkang kerana undi itu akan hancurkan masa depan anak dan negara kita," katanya.
Beliau berkata, banyak idea pembangkang dalam manifesto itu sudahpun dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional yang prihatin terhadap kebajikan rakyat menerusi dasar transformasi negara misalnya pemberian pendidikan percuma. - BERNAMA

Penganalisis anggap manifesto pembangkang lemah

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Tawaran dikemukakan pakatan pembangkang menerusi manifesto pilihan raya umum ke-13 yang diumumkan semalam, tidak realistik dan bersifat populis, demikian menurut penganalisis politik.
Beberapa penganalisis politik berpendapat kelemahan di dalam manifesto parti pakatan DAP-Pas-Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah tidak menyatakan jumlah kos pelaksanaan dan kerangka masa selain janji-janji yang keterlaluan dan tidak munasabah.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Shaharudin Badaruddin berkata, manifesto itu tidak mempunyai kerangka masa untuk janji berkenaan dilaksanakan.
"Manifesto itu perlu dibahagikan kepada dua kategori iaitu jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Setiap janji itu perlu ada masa ditetapkan untuk mencapai dan barulah manifesto itu mempunyai kekuatan dan menimbulkan kepercayaan di mata rakyat," katanya kepada Bernama di sini.
Berdasarkan penelitian terhadap manifesto 35 muka surat itu, beliau berkata hanya sebahagian janji sahaja yang boleh ditunaikan.
"Contohnya harga minyak yang umum mengetahui ia bergantung kepada situasi semasa ekonomi negara dan pasaran minyak dunia. Kita tidak boleh turunkan harga petrol secara mendadak kerana penurunan hanya boleh dicapai jika dilakukan secara perlahan-lahan dalam jangka masa panjang dan amat mustahil harga petrol boleh diturunkan dalam masa lima tahun," katanya.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir menyifatkan manifesto pembangkang sebagai manifesto populis dalam usaha menakluk jiwa rakyat dengan cara menimbulkan rasa prihatin.
"Mereka mengeluarkan janji-janji luar biasa dengan motif untuk memancing undi tetapi sejauhmanakah kesemua janji ini dapat direalisasikan?" katanya.
Jika diperhatikan sejak PRU-12 lepas, Jeniri berkata kebanyakan janji manis pakatan pembangkang masih tidak dilaksanakan di empat negeri yang dikuasai mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.
"Kalau dilihat manifesto terkini yang berjanji untuk membina lebuh raya di Sabah dan Sarawak, ini luar biasa," katanya, dan menambah kata bahawa sesiapa sahaja boleh membuat janji tetapi tanggungjawab untuk melaksanakan janji adalah suatu yang amat berat.
Beliau berkata, janji-janji di dalam manifesto pembangkang itu kebanyakannya telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) seperti rawatan percuma untuk warga emas dan memartabatkan bahasa Malaysia.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula manifesto pembangkang hanya dibuat bersandarkan kepada persepsi dan pandangan umum tanpa sebarang analisis dan kajian mendalam.
"Pembangkang sentiasa menabur bermacam jenis janji... kini pembangkang muncul dengan janji baharu sedangkan janji lama masih belum banyak ditunaikan.
Misalnya pembangkang berjanji dalam manifesto akan turunkan harga minyak sedangkan harga minyak mentah mengikut pasaran harga dunia," katanya.
Rakyat, katanya perlu berfikir secara lebih kritikal dan tidak menerima bulat-bulat manifesto berkenaan.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat menyifatkan manifesto pembangkang ini bagaikan "jerat politik" yang mengemukakan tawaran tidak realisitik.
"Manifesto ini satu tawaran yang dibuat pembangkang untuk meraih undi daripada rakyat. Seperti negeri-negeri yang di bawah pentadbiran mereka, banyak lagi janji yang belum tertunai atas alasan mereka masih belum memperolehi kuasa sebagai kerajaan pusat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaksanakan kerajaan BN membuktikan kerajaan hari ini begitu komited dalam memperjuangkan hak rakyat.
"Di bawah BN telah ada negara kebajikan...buktinya melalui program GTP yang mana banyak peluang pekerjaan disediakan untuk meningkatkan pendapatan rakyat," katanya.
Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 pakatan pembangkang semalam antara lain berjanji menurun harga minyak, menawarkan caj elektrik dan bekalan lebih rendah, menurunkan harga kereta menerusi penghapusan cukai eksais, mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 seunit, menghapuskan tol dan monopoli serta menawarkan satu juta pekerjaan baharu dan gaji minimum RM1,100 sebulan.
Pembangkang turut mengulangi janjinya untuk menyediakan pendidikan percuma untuk semua, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, serta menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas, membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan mengkaji semula Projek Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor. - BERNAMA

Anwar tak puas hati manifesto pakatan?

LAMAN blog Gelagat Anwar menyiarkan entri terbaru bertajuk Manifesto PR: Anwar Kurang Puas Hati petang semalam.
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Mungkin kurang senang dengan kritikan pelbagai pihak terhadap manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan berasa tidak berpuas hati dengan manifesto tersebut.
Malah, Anwar juga dikatakan akan mengkajinya semula berdasarkan manifesto Barisan Nasional (BN) apabila ia diumumkan kelak.
Menurut laporan laman blog Gelagat Anwar semalam, penasihat parti PKR itu sedang menunggu manifesto BN.
Laporan penuh blog itu boleh dibaca di link ini: http://gelagatanwar.wordpress.com/2013/02/25/manifesto-pr-anwar-kurang-puas-hati/ - UTUSAN ONLINE

Manifesto pakatan pembangkang bersifat populis - A. Kadir Jasin

LAMAN blog A Kadir Jasin dengan entri terbaru bertajuk 'Taktik Lembut PR Pujuk Pengundi' yang disiarkan hari ini.
*****
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Manifesto pakatan pembangkang yang dilancarkan di Shah Alam, Selangor semalam hanya bersifat populis dan bermatlamat untuk melembutkan hati pengundi atas pagar dan golongan bawahan.
Tokoh wartawan, A. Kadir Jasin dalam blognya hari ini berkata, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pelancaran manifesto itu mempunyai mesej psikologi yang mendalam.
"Anwar faham hal ini kerana beliau lama belajar daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Politik parti Anwar bermula dengan UMNO, apabila beliau menyertai parti itu pada tahun 1982 dan kekal sebagai Putera Mahkota hingga dipecat pada tahun 1998.
"Taktik berlembut ini mungkin lebih berkesan di kalangan pengundi tidak berparti dan di kalangan penyokong bawahan UMNO atau BN serta di kalangan kakitangan awam, polis dan tentera peringkat rendah dan menengah," kata A. Kadir.
Dalam konteks ini, tambah A. Kadir, beliau berasa BN tidak boleh terlalu yakin atau mengandaikan yang semua kakitangan awam akan menyokongnya di peti undi.
"Andaian umum ialah Anwar akan menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang. Tetapi, umum juga tahu yang pemilihan Anwar belum mutakhir kerana ada elemen dalam pakatan pembangkang, khasnya Pas yang kurang selesa dengan beliau sebagai calon Perdana Menteri akibat isu-isu peribadi,"’ ujarnya.
Tambah A. Kadir, dilema pakatan pembangkang adalah tidak mempunyai parti komponen yang dominan manakala ideologi parti-parti anggota pula terlalu berbeza, malah saling bercanggah antara satu sama lain.
Ikuti pandangan lanjut A. Kadir Jasin dengan klik link ini: http://kadirjasin.blogspot.com - UTUSAN ONLINE

Manifesto jejas pertumbuhan ekonomi negara - Awang Adek

KOTA BHARU 26 Feb. - Manifesto pakatan pembangkang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara yang kini berkembang pesat, kerana pelaksanaan manifesto itu melibatkan implikasi ekonomi yang besar, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
"Semua janji-janji itu melibatkan perbelanjaan yang begitu besar. Keduanya pengurangan hasil kepada kerajaan kerana sumber-sumber cukai dimansuhkan umpamanya harga kereta dan ini memberi kesan yang begitu besar terhadap kewangan negara.
"Soal kewangan ini adalah soal yang paling penting. Seperti contoh ada negara di Eropah yang bankrap dan hampir bankrap kerana kegagalan menguruskan soal kewangan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Evaluation of Learning for Performance Improvement International Postgraduate Colloquium' di sini, hari ini.
Semalam, pakatan pembangkang melancarkan manifesto 10 perkara menjelang PRU 13, antaranya pendidikan percuma bermula dari prasekolah hingga menara gading, kad keanggotaan DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Pas yang boleh diguna di semua plaza tol untuk mendapat tol percuma selain penurunan cukai eksais kereta secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun.
Awang Adek berkata, ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti berjaya membangunkan negara walaupun ketika berlaku kegawatan ekonomi pada satu ketika dahulu.
"Kerajaan BN mempunyai pengalaman menangani apa jua keadaan dan ketika negara lain terpaksa menghadapi tekanan dan tunduk terhadap IMF tetapi kita berjaya menanganinya dengan sangat baik. Kerana pengalaman itu kita telah berjaya melonjak ekonomi negara di tahap 5.6 peratus. Ini satu kejayaan," katanya.
"Saya mempunyai sedikit pengalaman dan bimbang dengan janji-janji politik yang boleh merosakkan tradisi kita dalam pengurusan yang baik ini. Saya bimbang rakyat termakan dengan janji-janji yang akhirnya akan merosakkan mereka," katanya lagi. - BERNAMA

Manifesto pembangkang: Resipi tak masuk akal, harus ditolak rakyat

KOTA MARUDU 26 Feb. - Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyifatkan tidak ada yang istimewa dalam manifesto pilihan raya pakatan pembangkang selain tidak masuk akal, justeru harus ditolak rakyat.
Beliau berkata, kebanyakan yang ditawarkan itu sudah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Manifesto pakatan tidak kreatif selain tidak bertanggungjawab. Contohnya menghantar pulang sejuta pekerja asing akan melumpuhkan sektor perladangan kelapa sawit, pembinaan dan industri perkhidmatan serta separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara sekarang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi diminta mengulas mengenai manifesto pilihan raya umum ke-13 pakatan pembangkang yang diumum di Shah Alam, Selangor, semalam.
Mengulas lanjut, Ongkili berkata, pemansuhan pinjaman pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menafikan hak sebahagian pelajar dari Sabah dan Sarawak yang kini menuntut di universiti awam dan swasta.
"Mereka tidak mampu belajar di universiti dan kolej tanpa PTPTN," katanya. - BERNAMA

Manifesto pembangkang: Siri terbaru janji kosong

SHAH ALAM 25 Feb. - Manifesto pakatan pembangkang yang dilancarkan hari ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 disifatkan sebagai siri terbaharu 'janji kosong' yang dirangka khusus oleh parti itu untuk mengaburi mata rakyat.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, beliau yakin manifesto itu tidak akan dilaksanakan oleh pakatan pembangkang jika mereka memegang tampuk pentadbiran negara.
Menurutnya, pakatan pembangkang sejak 2008 telah terbukti tidak menunaikan janji manifesto mereka sehingga menyebabkan rakyat daripada pelbagai golongan bangkit menuntut pelbagai janji antaranya meliputi bantuan serta insentif kebajikan rakyat.
''Paling memilukan ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri yang mengatakan manifesto itu bukan perjanjian. Malah, kerajaan negeri juga sanggup menentang rakyatnya apabila tuntutan tersebut dibawa ke mahkamah.
''Jadi rakyat harus menilai agenda tersirat di sebalik manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 pakatan pembangkang meskipun mereka menawarkan pelbagai perkara yang dilihat secara kasarnya menarik perhatian seperti menurunkan harga minyak, menghapuskan tol, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memberi pendidikan tinggi percuma dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas manifesto yang dilancarkan pakatan pembangkang hari ini yang antara lain menawarkan pelbagai janji termasuk melibatkan insentif kewangan dan projek-projek berskala besar selain janji penurunan harga minyak, caj air dan elektrik serta menghapuskan tol.

3,000 atau 300?: Jumlah hadir konvensyen pembangkang dipersoal

LAMAN web Antarapos menyiarkan berita dan gambar yang mempersoalkan jumlah kehadiran pada konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam semalam.
****
KERATAN laman web The Rocket yang menyatakan jumlah 3,000 orang hadir pada konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam semalam. Sehingga pukul 3.05 petang ini, laman web itu masih memaparkan entri tersebut.
****
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Jumlah kehadiran peserta konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam mula dipersoal terutama oleh blogger dan pemilik portal berita di Internet apabila terdapat percanggahan ketara mengenainya.
Laman blog Helen Ang misalnya hari ini menimbulkan persoalan mengenai jumlah sebenar mereka yang menghadiri konvensyen pakatan pembangkang di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam.
Ini kerana, terdapat perbezaan ketara antara laporan laman web Antarapos yang hanya menyatakan kira-kita 300 orang menghadiri persidangan tersebut berbanding laporan laman web rasmi parti DAP, The Rocket yang menyatakan kira-kira 3,000 orang menghadiri majlis tersebut.
Persoalan yang ditimbulkan oleh blogger terbabit turut dilengkapi dengan beberapa keping gambar yang dipetik daripada beberapa laman web.
Selain itu, Helen dan beberapa komen turut membuat kiraan kasar mengenai kapasiti dewan digunakan, yang dianggarkan cuma mampu memuatkan sehingga 800 orang pada satu-satu masa.
Maklumat seterusnya boleh dibaca di link ini: http://helenang.wordpress.com/2013/02/26/kantoi-rocket-kata-ada-3000-hadirin-antarapos-kata-300/
Laporan asal Antarapos yang membangkitkan persoalan ini juga boleh dibaca di link ini: http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkapRobQ==# - UTUSAN ONLINE

Perjuangkan Islam retorik murahan Guan Eng - Tunku Aziz

TUNKU ABDUL AZIZ TUNKU IBRAHIM... Bekas Naib Pengerusi DAP.
*****
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya parti itu berperanan memperjuangkan agama Islam di negara ini adalah retorik murahan demi memancing undi masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Beliau menegaskan, DAP tidak akan sesekali memperjuangkan Islam dan kebajikan orang Melayu sebaliknya parti itu lebih bersifat cauvinis dan perkauman.
"Mana mungkin DAP memperjuangkan nasib Islam? Selama ini mereka juga yang bermati-matian menentang pelaksanaan hukum hudud. Baru-baru ini, Guan Eng sengaja mengeluarkan kenyataan berkaitan penggunaan kalimah Allah yang akhirnya menyebabkan pemimpin Islam di negara ini bercakaran antara satu sama lain.
"Jangan percaya retorik murahan seperti ini, mereka hanya pandai bercakap. Apa bukti mereka memperjuangkan Islam? Yang saya tahu, mereka lebih banyak melukakan perasaan kami," tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Guan Eng semalam pada konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam yang menegaskan bahawa DAP juga berperanan menegakkan Islam di negara ini.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyangkal dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan DAP menghina atau anti-Islam sedangkan parti itu menegakkan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN

'Baguslah DAP kini perjuangkan Islam'

Kiri Harun Taib, Lim Guan Eng 
*****
KUALA TERENGGANU 25 Feb. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib tidak terkejut apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa parti itu juga berperanan dalam usaha menegakkan Islam di negara ini.
Namun beliau yang awalnya agak keberatan mengulas, dengan nada agak sinis berkata, adalah bagus sekiranya DAP menjadi sebuah parti yang tidak menghina Islam dan bukan anti-Islam.
Beliau turut 'menyambut baik' sekiranya DAP menjadi parti yang menegakkan Islam seperti mana dakwaan Guan Eng bahawa perkara itu termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Baguslah kalau begitu (DAP sebuah parti yang tidak menghina Islam dan bukan anti-Islam), bagi saya baguslah tu,'' katanya kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas ucapan Guan Eng dalam konvensyen pakatan pembangkang yang berlangsung di Shah Alam, Selangor hari ini.
Pemimpin DAP itu yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang antara lain menyangkal dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan DAP menghina dan anti-Islam sedangkan parti itu menegakkan agama Islam seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Guan Eng sebelum ini pernah mengguris perasaan umat Islam di negara ini apabila mahu penggunaan kalimah Allah dibenarkan bagi agama lain.
Ditanya mengenai dakwaan Guan Eng bahawa DAP adalah sebuah parti yang memperjuang serta menegakkan Islam, Harun berkata: "Itu lagi bagus. Mungkin dia nak tukar agamalah tu."
Ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai kandungan ucapan Setiausaha Agung DAP itu termasuk mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, Harun bagaimanapun enggan menjelaskan perkara itu.
"Maaflah, biarlah dulu. Saya tak dapat ulas lebih lanjut tentang perkara ini, sebab saya belum lagi terima dan dengar ucapannya," ujar beliau.

Firaun pernah beri BR1M ribuan tahun dahulu

SHAH ALAM 25 Feb. - Jika sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat seperti memberi makan hampas kelapa kepada ayam dan lembu, presiden parti itu pula, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemberian bantuan itu sama seperti yang dilakukan oleh Firaun.
Menurutnya, usaha Kerajaan Pusat melaksanakan pemberian BR1M itu sama dengan Firaun yang disifatkannya turut melaksanakan bantuan yang sama kepada rakyat Mesir sejak ribuan tahun dahulu.
Berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di sini hari ini, Abdul Hadi berkata, tindakan Firaun itu telah disebut di dalam al-Quran yang menceritakan kisah Nabi Musa a.s tentang sikap Firaun memperbodohkan-bodohkan rakyat Mesir ketika itu.
Menurutnya, Firaun telah dianugerahkan tuhan kekayaan, namun kekayaan tersebut digunakan untuk menyesatkan rakyat Mesir pada zamannya.
"Cerita BR1M bukan cerita baru, al-Quran sudah menceritakan lebih lima enam ribu tahun yang lalu, Firaun juga telah memberi 'BR1M'," katanya.
Mengulas lanjut kisah tersebut, beliau berkata, Firaun dengan angkuhnya memberitahu kepada rakyatnya bahawa beliau berkuasa untuk memberi nikmat kepada mereka.
Menurutnya, Firaun telah mengarahkan rakyatnya berkumpul beramai-ramai lalu berucap dengan mengatakan beliau merupakan pemerintah berkuasa di Mesir.
"Sungai-sungai yang mengalir di kampung ini adalah projek aku. Aku (Firaun) yang bagi... satu lagi projek aku.
"Al-Quran berkata, maka Firaun menjadikan rakyat ringan (meremehkan) akal dan membodohkan rakyat," katanya.

Belum sepakat lantik Perdana Menteri

SHAH ALAM 25 Feb. - Pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas masih belum mempunyai kata sepakat dan ketetapan bagi melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan parti politik tersebut berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Meskipun dengan semangat berkobar-kobar menyatakan mereka sudah bersedia untuk melangkahkan kaki ke Putrajaya dengan manifesto bertema 'Pakatan Harapan Rakyat' dilancarkan hari ini, Anwar sendiri tidak berani untuk menegaskan beliau telah disepakati oleh sekutunya untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.
Anwar hari ini enggan memberikan sebarang komen berhubung kedudukannya sebagai calon Perdana Menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum akan datang.
Ketua Umum PKR itu menjawab secara ringkas bahawa beliau tidak membangkitkan isu sebagai calon jawatan Perdana Menteri dalam kerajaan yang bakal ditadbir oleh pakatan pembangkang nanti.
''You (wartawan) ada cadangan lain ke (calon Perdana Menteri pakatan pembangkang)? Saya tak bangkit isu ini, tidak ada masalah apa pun... orang rumour (khabar angin) memang patut ada usul (mengenai calon Perdana Menteri).
''Namun, usul kita hari ini ialah konvensyen pakatan hanya untuk manifesto," katanya ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Pada 12 Februari lalu, media melaporkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi menegaskan Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Penegasan itu dibuat oleh Karpal susulan wujudnya dakwaan kononnya Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan selain menganggapnya sebagai satu spekulasi.
Bagaimanapun, pada Muktamar Pas pada November tahun lalu, seorang perwakilan daripada Dewan Ulama Pas, Hairun Nizam mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang diwakili oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut Hairun, ahli Pas tidak sepatutnya melobi pemimpin luar daripada Pas untuk mengisi jawatan tersebut selain menganggap Abdul Hadi merupakan calon yang sesuai.

26 Februari 2013

Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-117

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-117 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa (kanan). - Foto BERNAMA, Feb 26, 2013 12:04 pm

BR1M: Nik Aziz kata haiwan, Hadi pula umpamakan Firaun

PORTAL berita Free Malaysia Today hari ini menyiarkan mengenai kritikan Abdul Hadi Awang yang menyamakan pemberian BR1M seperti zaman Firaun
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Laman portal berita Free Malaysia Today hari ini melaporkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti zaman Firaun.
Abdul Hadi ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Keempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini menyatakan, bantuan itu telah menyebabkan rakyat menjadi pengemis.
Dua hari lalu, Abdul Hadi dalam ucapannya pada Karnival Tahun Baharu Cina di Jalan Putra, Alor Setar, Kedah menyifatkan BR1M sebagai satu tindakan untuk membodohkan rakyat.
Sebelum itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak apabila beliau menyamakan kira-kira empat juta rakyat pemberian BR1M sebagai 'memberi hampas kelapa, padi dan kelapa kepada ayam dan lembu'.

Tidak jual maruah demi undi

Najib Tun Razak bertanyakan sesuatu kepada Mohamad Hasan ketika melihat model Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral selepas majlis pelancaran projek berkenaan di Seremban, semalam. Turut kelihatan, Rosmah Mansor dan Jamaluddin Jarjis. - UTUSAN/Abd Razak Aid 
*****
SEREMBAN 24 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan menjual maruah kerajaan dan menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin ditunaikan.
Katanya, beliau tidak akan korbankan masa depan rakyat dan negara kerana hendakkan undi dalam pilihan raya.
"Kita mesti ada prinsip dalam perjuangan, dalam hidup kita mesti ada prinsip sebab itulah pilihan raya umum bukanlah tentang siapa akan menang tapi destini negara kita...masa depan penentuannya akan kita tentukan tak lama lagi.
"Oleh itu, marilah kita kuatkan semangat, rapatkan barisan, tanam dalam hati bahawa kalau parti menang, masa depan dan hari esok masih ada," katanya pada majlis perjumpaan kepimpinan akar umbi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Najib yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini sebelum itu mendengar taklimat BN negeri.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan; Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Perdana Menteri berkata, BN perlu berpakat dan mencari formula terbaik sebab kekuatan dalaman adalah amat penting kerana sekiranya BN kalah ini menunjukkan BN tidak bersatu dalam erti kata sebenarnya.
"Oleh itu, kenallah diri sendiri, kekuatan kita, kelemahan kita, kelemahan musuh dan kekuatan musuh...segala kelemahan kita perbaiki, saya yakin dan percaya bumi Negeri Sembilan ini BN akan bertambah lagi kuat," katanya.
Perdana Menteri menambah, sokongan rakyat kepada BN pada hari ini semakin baik sebab rakyat sudah yakin.
"Hak sebelah sana (pembangkang) cakap, janji tapi yang buat kita (BN)...yang laksana BN lah. Senanglah nak janji, sesiapa boleh janji...janji mansuh PTPTN, tol, kurangkan minyak, free ini itu...senang... tidak payah ada kelulusan, siapa pun boleh cakap.
"Tapi pilihan raya memilih kerajaan yang bertanggungjawab, yang boleh bawa kita ke masa depan yang jauh lebih baik, yang menaikkan martabat, maruah bangsa dan negara.
"Inilah kerajaan kita, kerajaan BN. Kita tak tipu rakyat, kita tak menjual atas dasar populis, kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk masa depan negara," katanya.
Beliau berkata, rakyat kini semakin yakin dengan kerajaan BN kerana kerajaan memastikan setiap janji termasuk yang diumumkan dalam bajet ditepati.
"Mereka (rakyat) terima BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) RM500 tapi saya diberitahu BR1M 2.0 lebih lagi penerimanya... ada yang salam sampai kucup tangan, ada yang salam kata kali ini saya undi BN. Sebab tu kalau ada pemimpin yang sudah pun cakap celupar, yang telah sasau....saya tak hairan kerana rakyat akan mengadili pemimpin sebegini.
"Saya dah pergi banyak tempat...bila saya salam dengan orang, saya rasa salam macam dia nak sokong saya...tak taulah kalau kena tipu, tapi bila dia salam itu rasa macam betul-betul nak sokong kita.
"Rakyat biasa semua salam, tengok lain macam tapi kalau saya terlepas pandang dia panggil supaya saya salam dia. Ada yang kata I love you dan yang tak pandai bahasa Inggeris pun, orang, wanita kampung ini boleh cakap IM4U," katanya.
Perdana Menteri berkata, sejarah telah membuktikan kalau perubahan itu berlaku berdasarkan dari atas ke bawah dan mendasari kehendak rakyat, perubahan itu memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
"Kita boleh menyingkap sejarah peradaban Jepun misalnya dari atas ke bawah. Kita boleh bagi contoh lain dan yang terkini Arab Spring, belum lagi menampakkan apa yang diharapkan iaitu dividen keberhasilan daripada kejutan tersebut menghampa dan mengecewakan rakyat negara tersebut.
"Sebab itulah transformasi lebih baik daripada reformasi. Reformasi mengajar rakyat berdemonstrasi, akhirnya baling kerusi, tapi transformasi membawa kita kepada kejayaan dan manfaat kepada negara. - bernama
"Mereka (pembangkang) mengajar rakyat untuk tunjuk perasaan, buat demonstrasi jalanan, kita (BN) membina sikap rakyat.
"Dia (pembangkang) janji macam-macam, bila kita buat janji, ditepati dan mereka gelisah,..sebab apa, sebab BN janji ditepati...pembangkang janji kosong," katanya. — BERNAMA

Rakyat jadi saksi transformasi - Najib

SEREMBAN 24 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menjadi saksi kepada transformasi kerajaan serta menjadikan usaha itu sebagai bukti idea kreatif yang dilakukan Barisan Nasional (BN) telah memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
Kata Perdana Menteri, atas sebab itulah, beliau mengambil masa untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana mahu memastikan setiap dasar transformasi itu benar-benar diyakini rakyat dan berjaya serta bersifat inklusif.
"Hari ini, saya percaya rakyat sudah cukup yakin. Sebab itu saya tunggu perkembangan ini sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum," katanya dalam ucapan pelancaran Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.
Tambah Perdana Menteri, semua transformasi itu memerlukan idea dan setiap yang difikirkan mestilah berkesudahan dengan kebaikan kepada rakyat.
"Kita hanya boleh memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat, jika kita ada idea. Kemampuan untuk memimpin dan mentadbir negara, membuat dasar dan menentukan segala apa yang difikirkan itu hendaklah baik. Apa sahaja idea yang kreatif, kita akan lakukan.
"Kita perlu keunggulan dari segi pemikiran dan perancangan yang rapi. Pelaksanaannya juga hendaklah berkesan sehingga rakyat didahulukan dan benar-benar dapat dimanfaatkan daripada dasar transformasi negara ini," kata beliau.
Najib turut menyentuh pencapaian ekonomi negara yang memuncak kepada 6.4 peratus pada suku akhir tahun lalu, sekali gus meletakkan negara ini yang paling pesat kadar pertumbuhannya.
"Di Eropah, ekonominya membangun pada kadar satu peratus, ada yang 0.5 peratus. Malah ada juga yang merudum sehingga -3 dan -4 peratus. Di Amerika Syarikat, perkembangan ekonomi hanya satu hingga dua peratus dan kadar pengangguran melebihi tujuh peratus, malah ada bandarnya melebihi 10 peratus kadar pengangguran.
"Di rantau ini pula, kita lihat perkembangan ekonomi kita jauh lebih baik daripada negara jiran, Singapura hanya pada kadar 1.5 peratus. Apa yang dicapai negara ini adalah hasil usaha kerajaan BN," ujar Najib.
Kata Perdana Menteri lagi, dalam tempoh empat tahun ini sahaja, sebanyak 230 produk 1Malaysia telah disediakan untuk rakyat.
"PR1MA menyaksikan satu lagi produk menepati konsep rakyat didahulukan, juga mencerminkan Gagasan 1Malaysia kerana ia memberi peluang kepada semua rakyat di negara ini tidak kira kaum untuk memiliki rumah," ujar beliau.
Mengenai PR1MA Seremban Sentral, Najib memberitahu, usaha itu akan mengubah landskap bandar Seremban kepada lebih moden dengan sebanyak 5,000 rumah diwujudkan selain kompleks komersial dan pembangunan baharu Stesen Kereta Api Seremban.
"Projek ini akan dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap pertengahan tahun 2016 dan harga rumah di PR1MA Seremban Sentral jauh lebih rendah dari harga pasaran," jelas Najib.

Kemelut kalimah Allah

Ahli Pas kawasan Seremban, Mohd. Abinaufal Mohd. Sohaimi (depan) bersama Penyokong PAS mengadakan demonstrasi aman berhubung isu kalimah Allah di Seremban baru-baru ini. 
*****
TINDAKAN Lim Guan Eng membuat desakan pada 25 Disember 2012 sempena sambutan Krismas supaya Kerajaan Persekutuan memberikan kebenaran rasmi kepada penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam hal berkaitan agama Kristian adalah jelas satu penghinaan terhadap Rukun Negara, mencabul Perlembagaan Persekutuan dan melanggar peruntukan undang-undang negara!
Dan tindakan Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang membuat kenyataan bersama pada 8 Januari 2013 bahawa penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dengan alasan antara lain kononnya Islam membenarkannya, membuktikan pakatan DAP-PKR-Pas adalah satu pakatan yang tidak menghormati agama Islam, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang negara.
Malahan Majlis Syura Pas pada 13 Januari 2013 telah menyanggah pendirian Presiden Pas sendiri dan ketetapan pembangkang DAP-PKR-Pas dengan membuat pendirian yang sama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan para ulama muktabirin serta NGO-NGO Islam dengan memutuskan bahawa kalimah Allah hanya boleh diguna oleh umat Islam dan melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam termasuk Kristian.
Namun pembangkang, terutamanya Karpal Singh, serta beberapa pimpinan DAP-PKR telah terus menerus mempertikaikan keputusan Majlis Syura Pas, malah ada yang mendesak supaya majlis itu menarik balik keputusan larangan tersebut dan akur dengan ketetapan pakatan DAP-PKR-Pas yang membenarkan Kristian mengguna pakai kalimah Allah!
Sebenarnya, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 telah memperuntukan melalui Seksyen 91 bahawa kalimah Allah (termasuk beberapa perkataan dan kalimah lain seperti Baitullah, solat dan lain-lain) adalah dilarang penggunaannya oleh bukan Islam.
Enakmen tersebut digubal oleh Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang pada April 1988 (semasa di bawah pemerintahan Kerajaan BN Selangor) dan digazetkan pada Julai 1988. Enakmen yang sama juga telah digubal oleh hampir kesemua Dewan Undangan Negeri yang lain.
Bermakna hampir semua negeri telah menggubal undang-undang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Dan untuk memperkuatkan kedudukan, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah menetapkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam (sila rujuk www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan- penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-Allah).
Fatwa pelarangan Majlis Fatwa Kebangsaan ini telah diikuti oleh hampir kesemua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri termasuk Selangor yang membuat gazet bagi fatwa tersebut pada 18.02.2010 melalui Sel. P.U. 6.
Apa yang jelas ialah sudah ada peruntukan undang-undang yang sah dan sahih digubal melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Peruntukan ini dinamakan 'Undang- Undang Anti-Dakyah Agama' yang dengan jelas memperuntukkan "bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk umat Islam dan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah dilarang sama sekali dalam apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka".
Peruntukan undang-undang ini pula sebenarnya dibuat berdasarkan peruntukan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain terhadap orang Islam.
Dan ini semua adalah bersesuaian dengan semangat dan peruntukan Rukun Negara di mana seluruh rakyat dan warganegara telah berikrar menyatakan antara lain akan menghormati, mentaati dan mempertahankan "Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang".
Dan pelanggaran peruntukan Undang- Undang Anti Dakyah ini boleh membawa kepada pertuduhan di Mahkamah Jenayah Sivil dan boleh dihukum termasuk penjara.
Dan jangan lupa Seksyen 298A Kanun Kesiksaan juga menjadikan ia satu kesalahan jenayah jika seseorang itu "menyebabkan di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan dan sebagainya, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan".
Dan hukuman bagi pesalah di bawah Seksyen ini ialah "hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari dua (2) tahun dan tidak lebih dari lima (5) tahun".
Tidak cukup dengan itu, Tuanku Sultan Selangor secara jelas dan sarih bertitah melarang penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut agama selain Islam termasuk Kristian. Dan titah Tuanku Sultan Selangor diikuti dengan titah Tuanku Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dan beberapa Sultan yang lain.
Ringkasnya, pelarangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam dalam apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka adalah bersesuaian dengan ikrar dan peruntukan Rukun Negara, sah dan sahih dibuat menurut Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri serta telah digazetkan, dan ia adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum minimum 2 tahun penjara dan maksimum 5 tahun penjara!.
APA MAKNA SEMUA INI?
Maknanya sesiapa yang membenarkan, menyokong, mempromosi, mencadangkan, bersetuju, bersekongkol, menghasut dan dalam apa juga bentuk dan tindakan mahu kalimah Allah digunakan oleh penganut agama selain Islam termasuk Kristian adalah mengkhianati Rukun Negara, mencabul Perlembagaan Persekutuan, menderhaka kepada titah Tuanku Sultan dan melanggar undang-undang yang sah dan sahih!
Cukup jelas kemelut dan isu penggunaan kalimah Allah yang dicetuskan oleh Guan Eng pada 25 Disember 2012 dan kemudiannya disokong oleh kepimpinan DAP-PKR-Pas melalui kenyataan bersama Lim Kit Siang, Anwar dan Hadi Awang pada 8 Januari 2013 telah menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan (termasuk dalam Pas sendiri), dan menyebabkan atau boleh menyebabkan permusuhan, benci membenci dan akan memudaratkan.
Ini terbukti dengan berlakunya begitu banyak laporan polis yang dibuat, demonstrasi dan bantahan besar-besaran di seluruh negara termasuk dalam kalangan ahli Pas sendiri terhadap kepimpinan pembangkang sehingga membawa kepada memijak dan membakar gambar kepimpinan mereka sendiri. Malah Majlis Syura Pas dengan jelas memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh selain umat Islam adalah ditegah sama sekali atas dasar akidah!
Akibat daripada itu, kita melihat pertelagahan terbuka sesama mereka. Datuk Harun Taib, disokong oleh Datuk Haron Din, Datuk Nik Amar dan lain-lain kepimpinan ulama Pas secara terbuka mencabar dan mengkritik Karpal Singh yang berkeras mahu Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah.
Sebaliknya Karpal Singh, disokong oleh beberapa pimpinan pembangkang secara terbuka mencabar kepimpinan Pas supaya menarik balik dan membatalkan keputusan Majlis Syura yang dibuat pada 13 Januari 2013.
Atas dasar itu, tindakan tegas dan tanpa kompromi perlu diambil seperti berikut iaitu pertuduhan di bawah Seksyen 298A Kanun Kesiksaan dan Seksyen 91 Enakmen Anti-Dakyah dan/ atau mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada perlu dikenakan terhadap:
1. Lim Guan Eng yang pada 25 Disember 2012 membuat desakan melalui mesej Hari Krismas supaya Kerajaan Persekutuan membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam perkara berkaitan agama Kristian;
2. Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang yang pada 8 Januari 2013 membuat kenyataan bersama mendesak Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam perkara berkaitan dengan agama Kristian; dengan menggunakan dan/ atau memberi gambaran seolah-olah Islam membenarkannya!
3. Karpal Singh yang terus menerus membuat kenyataan mendesak supaya Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam perkara berkaitan dengan agama Kristian walaupun rakan sekongkolnya Majlis Syura Pas dengan jelas mengharamkannya!
Dan kepada rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum, cubalah ambil kemelut isu penggunaan kalimah Allah ini sebagai "pembuka jiwa dan minda" dan gunakanlah akal untuk berfikir; adakah kita mahu golongan jenis ini, yang sanggup mempolitik dan memainkan agama dan Tuhan mereka sendiri sebagai pemimpin dan kerajaan memerintah kita?
Kalau Tuhan pun mereka boleh politikkan, kalau Tuhan pun mereka boleh permainkan, apakah jaminan kita rakyat Malaysia manusia biasa ini tidak akan dipolitikkan, tidak akan dipermainkan?
Kepada ahli Pas, bukalah minda dan jiwa anda! Anwar, manusia rosak akhlak yang anda beriya-iya sangat mahu tabalkan sebagai Perdana Menteri dengan jelas dan terang menolak keputusan Majlis Syura Pas. Malah bertegas mengheret Pas dengan berpegang kepada ketetapan 8 Januari membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah!
Bukankah ini satu penghinaan kepada Pas, sedangkan slogan Pas ialah kepimpinan melalui ulama? Ulama anda telah buat keputusan, jelas Anwar dan DAP menolak! Anda mahu mengikut Anwar atau ulama anda? Sudah hilangkah maruah dan harga diri anda yang mengaku kepimpinan ulama tetapi gagal mempertahankan, membela dan memartabatkan ulama sendiri dalam isu akidah yang begitu fundamental?
Anda tidak pelikkah melihat Guan Eng tiba-tiba menjadi Dajjal bisu seribu bahasa? Dia yang mencetuskan kemelut isu kalimah Allah ini, tiba-tiba Pas pula yang menerima bahananya akibat tindakan kurang cerdik Presiden Pas mendahului ulama!
Yang menjadi mangsa sekarang ialah ulama Pas. Timbalan Mursyidul Pas sahibul fadhilah Dr. Haron Din yang tegas mempertahankan akidah dan mahu menyelamatkan iman pengikut Pas pula kini dimaki hamun oleh penyokong pembangkang, termasuk para parasit.
Hinggakan ada yang menuduh Haron Din sebagai 'barua' UMNO! Dan Guan Eng pencetus kemelut ini, Anwar sebagai pembakar kemelut ini boleh terlepas! Dan sangat menghairankan ahli-ahli Pas boleh menjadi syaitan bisu; langsung tidak membela dan mempertahankan ulama sendiri.
Dan yang paling memalukan, Pengerusi Majlis Syura Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sepatutnya mempertahankan keputusan Syura Pas, sanggup ke rumah Karpal Singh membawa pisau bukan untuk berjihad membela keputusan syura, tetapi untuk memotong kek hari jadi ke-82 di hari Taipusam di rumah kafir yang terang-terang menghina keputusan syura!
Adakah mendapat undi, memenangi kerusi dan pergi ke Putrajaya itu terlalu penting untuk anda sehingga anda menjadi kaum pekak, bisu dan buta kepada hak dan kebenaran?
Gunakanlah akal waras yang Allah telah anugerahkan kepada kita. Janganlah kita terus-terusan mengambil sikap dan melakukan kesilapan dan kesalahan umat terdahulu - menjadi kaum pekak, bisu dan buta kepada kemungkaran dan kejahatan yang berlaku depan mata kita.
Sebab itu kita rakyat Malaysia, dan kita rakyat adalah hakim, gunakanlah medan di Mahkamah Rakyat, dalam PRU-13 nanti untuk menghukum mereka ini, iaitu pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas, dengan menolak mereka sepenuhnya, dengan tidak memberikan walau satu undi pun kepada mereka sebagai tanda kita tidak setuju dan tidak reda, dan tidak mahu bersekongkol dengan mereka yang mengamalkan politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara, sehinggakan agama dan Tuhan pun turut dipolitikkan!

Deretan kegagalan pentadbiran kerajaan Selangor

SEJAK mengambil alih Selangor pada Mac 2008, kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah serius dalam menunaikan janji-janji dalam manifestonya.
Apabila Gabungan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) yang pertama sekali tampil mempersoalkan janji-janji yang dimungkiri kerajaan negeri serta memulakan tindakan saman, keprihatinan NGO itu disambut remeh pula oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Malah, Abdul Khalid mencabar pula sesiapa sahaja termasuk GPRS menyaman kerajaan negerinya. Lebih teruk lagi, boleh dijawabnya: "Manifesto itu bukan janji."
Membangkitkan isu ini, Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan mengingatkan Abdul Khalid supaya jangan bertindak seolah-olah mahu berperang dengan NGO dan rakyat Selangor yang mempersoalkan kejujurannya.
"Jangan cuba kelirukan rakyat Selangor. Jangan asyik berpolitik sepanjang masa. Saya percaya pelbagai kumpulan rakyat sudah buka mata dengan melihat tembelang kerajaan PKR memerintah Selangor.
"Mereka ini kumpulan silence majority yang memberontak dan tak meluahkannya kepada media. Tetapi mereka inilah yang akan beri satu pengajaran berguna kepada kerajaan negeri yang berjanji kosong ini pada pilihan raya umum nanti," kata Sohaimi kepada Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Sohaimi, 44, menggariskan isu-isu berikut yang menyaksikan kegagalan pentadbiran kerajaan PKR atau pakatan pembangkang Selangor dari 2008 hingga hari ini.
1. ISU PASIR
- Kerajaan PKR Selangor gagal menunaikan janji untuk mengutip hasil pasir negeri bernilai RM150 juta tahun 2009.
* Janji sasaran kutipan RM150 juta hasil pasir ini jelas disebutkan dalam ucapan Bajet 2009 Menteri Besar.
* Namun ketika bentang Bajet 2010 pada November 2009, Abdul Khalid menyatakan sehingga 21 Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang diperoleh hanya RM4,678,021.84.
* Ini hanya 3 peratus sahaja dari jumlah sasaran. Ia tersasar jauh, bagai langit dengan bumi.
2. ISU HUTANG TALAM
- Kerajaan Selangor tidak beretika kerana 'membeli' hutang daripada syarikat korporat Talam Corporation menggunakan wang kerajaan/duit rakyat.
* Dewan Undangan Negeri telah meluluskan bajet tambahan berjumlah RM392 juta untuk membeli hutang Talam Corp.
* Secara prinsipnya adalah tidak bermoral dan tidak beretika menggunakan duit kerajaan/'duit rakyat' untuk membeli mengambil alih hutang sebuah syarikat swasta.
* Strategi pengambialihan hutang ini menggunakan kaedah round-tripping iaitu "syarikat menjual aset yang tidak digunakan kepada syarikat lain dan pada masa sama setuju untuk membeli kembali aset yang sama atau yang bersamaan nilainya pada harga yang sama"
* Memetik kata-kata mantan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salahuddin Hashim yang mengkritik pembelian mekanisme round-tripping ini sebagai: "Ini adalah muslihat lama yang digunakan oleh penyangak penyangak di dalam sektor korporat".
3. YAYASAN BASMI KEMISKINAN (YBK)
- Kerajaan negeri berdendam, berniat jahat, zalim dan menindas organisasi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang berjuang membasmi kemiskinan di Selangor
* Abdul Khalid menggugut untuk tidak meluluskan Pembangunan Kampus Cawangan UiTM di Serendah jika permintaan melantik Menteri Besar sebagai Pengerusi dan memberi tiga kerusi Lembaga Pemegang Amanah tidak dipenuhi.
* Akibat penolakan itu, Menteri Besar menyalahgunakan kuasa dengan merampas aset tanah YBK dan memulangkan bayaran tunggakan cukai RM5.7 juta walaupun telah dilunaskan oleh Yayasan Melaka dengan persetujuan Bendahari Negeri Selangor sebelumnya.
* Tindakan ini nyata luar biasa, zalim dan tiada berbudi bicara kerana Akta Kanun Tanah Negara membenarkan 4 pihak termasuk bukan pemilik tanah untuk membayar apa-apa cukai bagi pihak pemilik tanah.
* Keseluruhan jumlah cukai dipulangkan RM6.9 juta (RM 5.7 juta + RM 1.2 juta) RM 1.2 juta adalah cukai yang telah dibayar dan diterima oleh kerajaan negeri sebelum ini.
* Ini adalah salah guna kuasa dan menyalahi amanah kerana sebagai sebuah kerajaan. Mengutip cukai adalah tanggungjawab dan cukai yang telah dikutip adalah wang rakyat. Kenapa ia dipulangkan sedangkan ia boleh digunakan untuk manfaat rakyat.
4. ISU AGAMA
i) Penggunaan Dana Islam Untuk Pembangunan.
* Abdul Khalid ada mengusulkan agar wang zakat atau tabung seumpama Baitulmal digunakan bagi tujuan pentadbiran dan pembangunan negeri kerana kerajaan kekurangan dana.
* Kata beliau di persidangan DUN: "Semua rakyat Selangor membayar cukai …membayar zakat baitulmal perniagaan. Yang dikhaskan dalam satu baitulmal. Satu baitulmal…yang mana dimasuk…. Dan duit tu..akan 100% diamanahkan untuk pembangunan..negeri Selangor."
* Dalam konteks zaman kegemilangan Islam dahulu, dana baitulmal memang digunakan untuk pelbagai tujuan pentadbiran dan pembangunan di mana bukan Islam turut membayar dalam bentuk cukai kepala.
* Tetapi Baitulmal dalam konteks sekarang adalah dana umat Islam sahaja.
ii) Duit Zakat Untuk Bukan Islam?
* Dalam persidangan DUN 2008, Dr. Mohd Nasir Hashim, wakil Kota Damansara ada mengusulkan agar wang zakat diagih kepada orang bukan Islam. Katanya - "Kita dapat banyak duit zakat. Adakah peruntukan untuk memberi mereka yang bukan Islam, yang miskin kerana mereka juga adalah makhluk Allah juga. Kerana kalau duit banyak tu kita share sikitlah".
* Ini menunjukkan ketidakfahaman seorang pemimpin Melayu yang seharusnya tahu wang zakat hanya untuk orang Islam dalam lingkungan asnaf yang lapan.
5. ISU EKONOMI /KEWANGAN
a. Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Tidak Realistik
* Kerajaan negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri meliputi lima projek dengan jangkaan perbelanjaan melebihi RM50 bilion melalui inisiatif pembiayaan swasta
* Jumlah pelaburan itu tinggal anggaran dan lima inisiatif tersebut tinggal perancangan tanpa ada kepastian bagaimana kerajaan negeri hendak mencapainya kerana sehingga kini tidak ada sebarang angka yang pasti berapa jumlah wang yang sudah dapat.
b. Kerajaan negeri wujudkan Monopoli Dalam Industri Pasir
* Pewujudan syarikat tunggal Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) menguruskan pasir dari tanah-tanah kerajaan menjadi KSSB tidak kompetitif, tidak telus dan tidak bertanggungjawab.
* KSSB tidak takut hilang perniagaan kerana mereka tidak mempunyai pesaing dalam industri ini.
* Lebih memburukkan, KSSB turut mengawal kutipan doket pasir yang dahulu dibuat oleh pejabat tanah daerah. Pihak swasta telah ambil alih peranan kerajaan. Ini lebih mendedahkan pada amalan rasuah dan penyelewengan
c. 'Industri Babi' Hadiah Pertama Untuk Rakyat Selangor
* Baharu sahaja berkuasa, kerajaan PKR Selangor melalui Teresa Kok mengumumkan kelulusan pembinaan kandang babi moden dengan bajet RM100 juta.
l Ia menjadi hadiah pertama mereka untuk rakyat.
6. ISU SAMPAH
1. Bukti jelas kerajaan pakatan Selangor gagal mengurus negeri dengan baik. Mereka menamatkan khidmat Alam Flora dan menyerahkan kepada PBT kononnya bagi menjimatkan kos. Namun, hakikatnya yang berlaku hari ini Selangor menjadi negeri 'Darul Sampah'.
2. Perlu diingat bahawa pembersihan dan sisa pepejal menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat. PBT dan Kerajaan negeri Selangor menerima peruntukan melebihi RM500 juta setiap tahun. Jumlah tersebut cukup banyak dan peluang pakatan pembangkang untuk menukar peruntukan tersebut sebagai dana pilihan raya dan aktiviti Pakatan di Selangor sangat besar.
7. ISU PERIBADI
* Exco Selangor Tidak Bermoral?
* Selangor gempar dengan penyebaran gambar-gambar lucah melibatkan EXCO Selangor, Elizabeth Wong di internet.
• Walaup telah menghantar surat untuk meletak jawatan sebagai ADUN dan EXCO Selangor sebagai tanda orang bersalah, namun diminta oleh parti agar berehat dan berfikir kembali. Alasannya - hak dan ruang peribadi beliau telah dicerobohi.
• Akhirnya beliau kembali bertugas atas sokongan rakan. Nampaknya persoalan moral dipinggirkan oleh mereka di mana kuasa mengatasi segala-galanya.
8. ISU RUMAH URUT DAN HIBURAN
Pusat Hiburan Semakin Bertambah
l Dr. Halimah Ali (Pas), Exco Pendidikan Selangor pernah menggelarkan Selangor sewaktu pemerintahan Barisan Nasional sebagai Darul Maksiat dan Darul Mungkar kerana masalah sosial dengan merujuk pada data masalah sosial.
* Tetapi kini mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdapat 5,911 (2009) tempat judi, hiburan dan spa termasuk yang beroperasi secara haram sejak Kerajaan PKR Selangor memerintah. Tahun 2008 berjumlah 3,600 lebih.
* Sedangkan sewaktu BN - lesen pusat hiburan, judi dan spa dihadkan kepada 700 sahaja.

Pulihara Pasar Payang, nasi dagang, keropok lekor

TIDAK lengkap jika berkunjung ke Kuala Terengganu, anda tidak singgah seketika di Pasar Besar Kedai Payang. Begitu juga tidak sempurna kalau tidak menikmati keenakan nasi dagang. Perdana Menteri, Najib Tun Razak juga tidak ketinggalan mengunjungi Pasar Payang dalam rangka kunjungan ke Negeri Terengganu pada Sabtu lalu.
Sejurus tiba dari Kuala Lumpur, Najib terus ke Pasar Payang yang terletak di kawasan muara Sungai Terengganu. Beliau kemudiannya ke Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan bersarapan di sana dengan menikmati nasi dagang berlaukkan ikan tongkol atau ikan aya. Kehadiran Najib adalah bagi memenuhi program Jelajah Janji Ditepati.
Semasa berucap kepada ribuan penduduk Terengganu di Dataran Syahbandar, Najib memberitahu, ketika singgah di Pasar Payang, beliau dapat melihat keropok terbaik di dunia yang dibuat daripada ikan tamban dan sejenis kayu yang boleh dimakan. Di stesen bas pula Perdana Menteri dapat merasai nasi dagang yang terbaik di dunia. Begitulah Pasar Payang dan nasi dagang, dua produk yang menjadi sebutan bagi setiap orang yang berkunjung ke Kuala Terengganu.
Sebenarnya di Pasar Payang, serba-serbi produk Terengganu boleh didapati. Di situ boleh ditemukan pelbagai jenis keropok dengan berbagai-bagai jenama, nasi dagang, kuih muih, batik, songket, sutera dan barangan logam. Di bahagian bawah dikhususkan untuk pasar basah yang turut menjual sayur, buah-buahan, ikan dan daging. Di tingkat satu pula, terdapat gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan termasuk kraf tangan, keropok dan pakaian. Tidak hairanlah, seperti disebut, Pasar Besar Kedai Payang ini perlu dikunjungi oleh setiap pengunjung yang melawat Terengganu. Di sana ada oleh-oleh untuk dibawa pulang. Bagaimanapun Pasar Payang mendapat perhatian baru-baru ini apabila kerajaan negeri bercadang membangunkan semula pasar itu pada pertengahan tahun ini. pembangunan ini menimbulkan sedikit kontroversi.
Kehadiran Najib ke kawasan itu juga diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membantah pembangunan semula itu. Kumpulan ini sudah tentu sependapat dengan pihak tertentu yang membantah pembangunan ini dengan menyatakan ikon warisan negeri itu akan hilang. Baguslah jika ada anak muda yang belum lahir ketika Pasar Payang diwujudkan mempunyai semangat untuk 'melindungi' pasar itu. Kumpulan kecil termasuk segelintir anak muda ini mempunyai pelbagai alasan untuk menidakkan pembangunan semula pasar itu.
Hakikatnya, beberapa hari sebelum kedatangan Najib, kemelut berkaitan pembangunan semula itu sudah berakhir biar pun masih ada pandangan pro dan kontra dalam kalangan peniaga di situ. Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said selepas pertemuan dengan Jawatankuasa Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Terengganu meminta pembangkang menghentikan fitnah berkaitan pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang dan tidak mempolitikkan isu itu untuk meraih sokongan rakyat. Pembangunan semula pasar itu dibuat setelah ia disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (bahagian Forensik) berikutan kerosakan struktur rasuk di bawah pasar itu yang menempatkan jualan barangan basah.
Kata Ahmad, peniaga perlu berfikiran terbuka dan berani menerima pembaharuan selaras dengan hasrat Terengganu untuk terus maju dan terkenal sebagai destinasi pelancongan. Yang lebih penting, beliau memberi jaminan semua peniaga sekarang akan dikekalkan, tanpa sebarang perubahan ketara, hanya usaha menaik taraf pasar kepada keadaan yang lebih selesa dengan pelbagai kemudahan moden dan canggih. Reka bentuk kedai juga akan diperbesarkan, laluan pengunjung yang lebih luas, berhawa dingin serta kemudahan tangga bergerak (eskalator) untuk kemudahan pengunjung.
Mengikut perancangan, pasar baru empat tingkat itu akan mengandungi 1,000 lot perniagaan. Projek bernilai RM400 juta itu juga bakal dilengkapi sebuah hotel 23 tingkat dan pangsapuri 30 tingkat dengan 500 lot parkir. Setiap pembangunan semula, pasti akan ada perubahan. Adakah setiap pembangunan semula itu perlu mengekalkan suasana yang ada sedangkan peluang untuk melakukan perubahan sewajarnya boleh dilakukan? Tidak dinafikan peniaga-peniaga bersedia menerima perubahan baharu tetapi sedikit sebanyak masih ada keraguan. Sudah pasti isu-isu perkaitan dapat diselesaikan dengan baik oleh kerajaan negeri. Sudah menjadi resam yang baharu tidak akan sama yang lama. Yang patah akan tumbuh tetapi yang tumbuh tidak mungkin sama dengan yang patah.
Pasar Payang bukan untuk orang Terengganu semata-mata. Ia perlu dipromosikan untuk menarik perhatian para pengunjung membeli-belah di situ. Biarlah apabila disebut Kuala Terengganu, maka Pasar Payang akan menjadi tempat yang mesti dikunjungi untuk membeli-belah. Contohnya di Bandung, setiap orang akan ke Pasar Baru untuk membeli-belah. Di sana ada serba- serbi termasuk kain dan pakaian seperti di Pasar Payang. Maka Pasar Payang juga perlu dijadikan sedemikian.
Bagi menjaga ikon warisan, nama Pasar Besar Kedai Payang akan tetap kekal walaupun akan berwajah baru. Orang akan tetap berkunjung ke sana jika segala-galanya ada di situ dengan suasana yang lebih selesa. Apa yang penting, peniaga harus mengekalkan atau memperbaiki mutu produk jualan mereka. Dan pada masa yang sama mengawal harga jualan.
Jangan apabila sudah ada bangunan baru, rasa nasi dagang tidak seenak dulu, keropok lekor pula hilang rasanya yang sebenar. Begitu juga kualiti batik, tenunan songket dan sutera pula perlu dipertingkatkan. Dalam erti kata lain, kita perlu memulihara, memulih dan memelihara atau pulihara produk yang sudah sebati dengan Terengganu. Jagalah Teganu kita !