31 Mac 2013

Bahang PRU 13

KUALA LUMPUR, 30 Mac -- BAHANG PRU 13... Kelihatan bendera Barisan Nasional (BN) memenuhi ruang pejalan kaki ketika tinjauan fotoBERNAMA di sekitar Ibu kota di sini, hari ini.

--fotoBERNAMA (2013) HAKCIPTA TERPELIHARA

Muflis jika pembangkang memerintah

MANIFESTO yang dikemukakan pembangkang tidak mempunyai cadangan yang realistik malah boleh mengakibatkan kerajaan muflis. 
*****
SEBUAH portal pro-pembangkang telah mewujudkan satu portal yang memberikan pengkhususan kepada isu perniagaan dan bidang ekonomi. Sewaktu mendengar wawancara pemilik portal ekonomi tersebut di sebuah rangkaian radio yang juga sangat 'kritis' terhadap kerajaan - penulis dapat merasakan bahawa isu ekonomi akan terus mendominasi isu di dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Portal khusus untuk isu 'perniagaan dan ekonomi' ini dikatakan mencatat angka lawatan yang luar biasa oleh pengunjung Internet. 100,000 pelawat 'unik' dalam masa sebulan. 700,000 bacaan artikel. Dikatakan juga, pembaca menghabiskan masa hampir 25,000 jam lawatan sepanjang sebulan lebih beroperasi. Mana-mana pakar media alternatif pastinya merasakan angka-angka ini adalah satu dapatan yang luar biasa. Pemilik berkenaan juga memberi gambaran bahawa rakyat sememangnya dahagakan suatu portal yang mengemukakan laporan ekonomi sebenar-benarnya bebas.
Penulis kurang percaya bahawa portal ekonomi tersebut benar-benar bebas dan tidak membawa agenda politik. Setakat beberapa kali meninjau laporan eksklusif yang dilakukan portal berkenaan, penulis semakin percaya bahawa ia 'tidak bebas' malahan mempunyai niat politik yang sangat jelas, dalam membentuk pemikiran rakyat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan suasana ekonomi negara ini.
Antara contoh yang boleh dikemukakan adalah laporan khas mengenai Petronas yang diperincikan oleh portal berkenaan. Sebanyak empat artikel khusus berkenaan Petronas dikemukakan baru-baru ini. Kesemuanya, mempunyai 'nada politik' yang seakan-akan menjadi jurucakap kepada serangan bersiri yang dilakukan terhadap Petronas di dalam manifesto yang dikemukakan oleh kumpulan politik tertentu. Empat laporan mengenai Petronas yang dikemukakan adalah seperti berikut :-
i) Petronas at crossroads (5 Mac 2013);
ii) Some serious questions for Petronas (6 Mac 2013);
iii) Should Petronas venture overseas? (7 Mac 2013);
iv) The Petronas dilemma (8 Mac 2013);
Dalam pada itu, serangan dan pengkhususan bersiri turut diberikan kepada dua entiti ekonomi lain - FGVH dan 1MDB. Kita boleh nampak dengan jelas bahawa portal ekonomi yang kononnya 'bebas' ini pada hakikatnya menjadi alat kepada serangan bersiri yang halus kepada fikrah dan perspektif ekonomi yang dilihat oleh rakyat. Mana mungkin, sebuah portal ekonomi yang 'bebas' - hanya memberikan satu laporan ringkas mengenai manifesto yang digambarkan sebagai 'diterima baik oleh pakar ekonomi' (Economists Welcome Pakatan Manifesto). Itu sahaja. Tidak ada perincian yang diberikan.
Inilah pendekatan yang digunapakai untuk mendapat perhatian dan membentuk pemikiran pengundi urban. Mereka tidak membicarakan kelemahan manifesto yang ada, sebaliknya mengambil pendekatan 'menyerang' beberapa entiti perniagaan dan ekonomi yang dirasakan menjadi teras kepada suatu pelan transformasi ekonomi jangka panjang. Manifesto mereka tidak dibicarakan secara ikhlas dan jujur, sebaliknya mengambil pendekatan untuk menyerang orang dan entiti lain.
Di mana logiknya sebuah portal 'perniagaan dan ekonomi' yang kononnya bebas, boleh terlepas pandang bahawa manifesto yang dikemukakan tidak mempunyai cadangan yang realistik. Di mana bebasnya portal berkenaan jika implikasi kewangan di dalam manifesto tidak diulas dengan jujur dan ikhlas? Nyata, pihak editorial portal berkenaan sudahpun mengambil jalan politik yang diinginkan. Portal berkenaan bukan sahaja tidak bebas - malahan bersedia menjadi lidah rasmi kepada manifesto dan cadangan ekonomi songsang dan sumbang.
Serangan Bersiri Terhadap Petronas
Serangan bersiri terhadap Petronas yang dilakukan portal berkenaan mempunyai niat politik membantu manifesto pembangkang. Kita semua tahu, antara isu yang dibangkitkan oleh mereka adalah soal royalti minyak. Modal royalti minyak ini dirasakan sangat mampu menarik perhatian rakyat di negeri-negeri tertentu. Janji manis menaikkan royalti daripada lima peratus kepada 20 peratus - dijadikan modal utama. Soalnya, apakah lima peratus ini angka yang tepat dan statik? Apakah minyak akan keluar mengalir tanpa perlu modal permulaan untuk usaha cari gali? Apakah industri minyak ini satu industri yang tidak memerlukan kajian geosains dan kejuruteraan petroleum yang terkini?
Hakikatnya, jumlah pelaburan dan belanja pembangunan untuk melaksanakan proses cari gali minyak di Sabah dan Sarawak (tahun 2011 sahaja) memerlukan sejumlah RM26.5 bilion. Ini bersamaan dengan 37 peratus kadar royalti - berbanding 20 peratus sempoa ekonomi mudah yang dicadangkan dalam manifesto pembangkang. Sebab itu, apa yang dicadangkan di dalam manifesto pada hakikatnya tidak mengambil kira soal 'pembangunan awal' - sebaliknya hanya merujuk kepada soal kemampuan berbelanja.
Dengan perbelanjaan yang sedemikian 'besar' untuk membangun lapangan minyak dan gas, idea menubuhkan syarikat minyak milik negeri memang nampak menarik di atas kertas, tetapi bukan secara realiti.
Sukar untuk kita memahami 'niat sebenar' di sebalik serangan berterusan tokoh pembangkang dan portal sekiblat mereka terhadap Petronas selama ini. Lim Guan Eng sendiri mengakui bahawa DAP sudah mula melakukan 'serangan politik' terhadap Petronas sejak tahun 1986. Pra PRU-12, DAP adalah antara parti politik yang bersungguh untuk membogelkan perbelanjaan Petronas secara total. Laporan tahunan Petronas, kepada DAP, adalah satu laporan yang tidak lengkap dan perlu ditolak. Apakah kita lupa bagaimana Tan Sri Hassan Merican perlu tampil memberi penjelasan di dalam media perdana bagi menjawab serangan berterusan kepada syarikat minyak nasional tersebut.
Ya, mungkin sahaja agaknya, serangan terhadap Petronas adalah gabungan dua 'sempoa' - politik dan ekonomi sekali gus. Bukan sangat soal ketelusan. Namun, Petronas perlu 'digambarkan' sebagai representasi sistem yang korup. Niat sebegini nyata jahat dan tidak nasionalistik sama sekali. Serangan berterusan terhadap Projek Rapid (diterajui oleh Petronas) juga mungkin berdasarkan faham sempoa yang sama.
Demikian juga manifesto khas yang dikemukakan kumpulan politik sama untuk mendapat undi di Sabah. Ia masih menggunakan pendekatan yang sama dengan apa yang dikemukakan di peringkat nasional. Sementara manifesto utama mereka kononnya menjual semangat 'Persaudaraan Rakyat' - manifesto mereka untuk negeri tersebut nyata bersifat sangat kenegerian. Pelaksanaan manifesto versi mereka akan menyebabkan Malaysia terbahagi kepada kalangan 'negeri pengeluar minyak' dan tidak. Semangat persekutuan dipinggirkan.
Sebagai rakyat, kita perlu melihat serangan serampang dua mata terhadap Petronas ini dengan lebih adil dan jelas. Jangan terlalu percaya dengan 'serangan bersiri sejak 1986', yang sebenarnya mempunyai niat memperkembang agenda politik peribadi. Individu sama, pada hari ini yang mahu tampil sebagai seorang serba kompeten, berakauntabiliti dan telus - berhadapan dengan keraguan rakyat. Individu sama, yang pernah menggila menyerang projek 'mega' berkepentingan nasional, hari ini mencadangkan projek berbilion ringgit walau ditentang oleh rakyat dan NGO setempat.
Portal ekonomi dan kalangan pembuat manifesto pembangkang perlu maklum bahawa industri minyak dan gas tidak semudah industri yang lain. Industri minyak dan gas, sedang bercakap tentang proses kejuruteraan minyak yang luar biasa kompleks. Ia memerlukan bantuan modal dan insentif berterusan oleh kerajaan. Teknologi seperti enhanced-oil recovery (EOR), eksplorasi laut dalam (deepwater exploration) dan sebagainya, memerlukan modal yang besar. Menggunakan 'sempoa' royalti 20 peratus, tanpa diimbangi dengan belanja pembangunan adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Daripada sudut ini, program transformasi ekonomi sedia ada sememangnya faham bahawa industri minyak dan gas memerlukan lonjakan yang berganda. Disebabkan itu jugalah permohonan Petronas untuk mendapat potongan cukai yang lebih bersesuaian dengan suasana industri diterima baik oleh kerajaan. Akta Pendapatan Cukai Petroleum (PITA) diberikan pengupayaan dengan pelbagai insentif yang sesuai dengan keperluan industri. Manifesto dan sempoa ekonomi pembangkang tidak sampai ke tahap yang tinggi begini.
Mengecilkan keupayaan Petronas bukanlah jalan yang bijak. Laporan Ernst & Young Global mengenai industri minyak dan gas untuk tahun 2012, menyatakan peningkatan transaksi perniagaan sebanyak 19 peratus kepada AS$402 bilion. Petronas perlu bersaing dengan syarikat minyak dunia yang bermodal jauh lebih besar. Langkah mewujudkan syarikat minyak negeri, boleh sahaja membuka ruang mergers and acqusitions syarikat asing dalam sekelip mata.
Sempoa ekonomi yang dipakai pembangkang di dalam manifesto sememangnya rosak dan tidak bersifat semasa. Ini perlu difahami oleh rakyat biasa seperti kita. Jangan mudah seronok dengan pemberian sementara yang membawa luka ekonomi bangsa dalam jangka masa yang panjang.
Nyata, menyediakan manifesto dengan memberatkan 'sempoa untung-rugi politik semberono' yang dilakukan pembangkang tidak akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik. Mungkin juga kerana itu, portal pro perjuangan politik mereka sendiri mengambil pendekatan diam dan membisu dalam membicarakan manifesto mereka. Kelemahan yang ketara, menyebabkan ia sebuah dokumen polisi yang gagal.
Sumber maklumat yang penulis perolehi, sempoa manifesto pembangkang akan menyebabkan negara menanggung defisit berjumlah hampir RM115 bilion. Defisit meningkat kepada 11.5 peratus. Hutang kepada KDNK akan meningkat kepada 62.1 peratus. Kesemua ini, akan pastinya menyebabkan usaha dan inisiatif lain akan bermasalah. Inilah masanya rakyat menggunakan 'sempoa politik' sendiri dan tidak terlalu terbuai dengan angan politik dan ekonomi yang tidak bertanggungjawab.

Penyokong Pas didakwa bakar, khianat bakar 27 bendera BN

MUAR 31 Mac - Parlimen belumpun dibubarkan, tarikh pilihan raya umum pun belum diketahui, namun gelagat ganas dan provokatif para penyokong pakatan pembangkang sudah mula ditunjukkan.
Dalam kejadian di sini, 27 bendera Barisan Nasional (BN) dibakar dan tiangnya dipatahkan dalam tiga kejadian berasingan di pekan Parit Bakar pada Ahad, Selasa dan awal pagi Rabu yang dilakukan oleh sekumpulan penyokong Pas.
Pada kira-kira pukul 2 petang Ahad lalu, empat bendera dibakar serta tiangnya dipatahkan. Kejadian kedua pula berlaku pada pukul 9.30 malam Selasa lalu dan ketiga pada 1.30 pagi Rabu.
Pengerusi Biro Keselamatan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) UMNO Bahagian Muar, Mahmud Md. Top berkata, bagi perbuatan khianat pertama, pihaknya hanya menemui kesan-kesan perbuatan itu dan tidak mempunyai saksi.
"Bagaimanapun pada pukul 9.30 malam Selasa, saya dan rakan nampak sendiri perbuatan itu dilakukan oleh penyokong-penyokong Pas, lingkungan lima orang. Kami juga dimaki selain selain mereka kutuk UMNO dan BN. Mereka bakar 20 bendera BN, tiangnya dipatahkan.
"Apabila keluar rumah pukul 1.30 pagi (Rabu), kami didapati penyokong Pas berkumpul lagi di situ dalam jumlah lebih ramai iaitu lebih 10 orang. Empat lagi bendera BN sudah dibakar. Kami bukan tuduh sembarangan, kami kenal penyokong Pas itu, mereka penduduk tempatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh pihak BN di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada pukul 7 malam, Khamis lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli pula ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan ia sedang disiasat. - UTUSAN ONLINE

Perangi jenayah

Oleh Hassan Omar dan Hazwan Faizal Mohamad
Perangi jenayah  
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (tiga dari kanan) bersama Unit Rondaan Bermotosikal pada Program ‘United Against Crime’ di Subang Jaya, semalam. - Foto Yong Chee Choong
*****
 
1,000 lagi motosikal kuasa tinggi ditambah untuk rondaan
Subang Jaya: Kerajaan semalam menambah 1,000 lagi unit motosikal berkuasa tinggi untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kejayaan membanteras jenayah di kawasan perumahan dan tempat awam.
Tambahan kepada 1,000 unit motosikal yang dilancarkan sejak 19 Disember lalu oleh Datuk Seri Najib Razak di Bandar Kinrara, Puchong itu, berjaya menahan 207 penjenayah di seluruh negara setakat 20 Mac lalu.
"Sekarang sudah ada 92 kawasan perumahan di seluruh negara yang dironda 24 jam oleh URB” Najib Razak, Perdana Menteri"
URB berkesan kurang jenayah terutama di bandar
Daripada jumlah itu, 129 ditahan di Selangor, Johor (38), Kuala Lumpur (30) dan Pulau Pinang (10).

Perdana Menteri ketika mengumumkan penambahan itu, berkata peruntukan khas disediakan bagi pembelian motosikal berkenaan selepas PDRM selesai melatih dan menempatkan anggota polis terbabit.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan URB sejak dilancarkan. Program ini amat berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah, terutama di bandar,” katanya berucap melancarkan URB bagi kawasan Subang Jaya, di Seksyen 13, di sini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Pengerusi Persatuan Penduduk Subang Jaya, Teoh Tong Hong.

Dekati masyarakat
Najib berkata, anggota URB bukan setakat dilengkapi peralatan komunikasi canggih bagi membolehkan mereka mengambil tindakan segera tanpa perlu menunggu orang ramai membuat laporan di balai polis, malah harus mendekati masyarakat sejajar konsep kerjasama polis dan masyarakat membanteras jenayah.

“Kita mempraktikkan konsep Bersama Memerangi Jenayah. Sekarang sudah ada 92 kawasan perumahan di seluruh negara yang dironda 24 jam oleh URB,” katanya.

URB melakukan rondaan dalam tiga syif di kawasan sibuk termasuk perumahan, perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah. Motosikal Kawasaki Ninja 250 ini dilengkapi sistem lampu dan siren disediakan untuk program di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Perdana Menteri berkata, usaha memerangi jenayah secara berterusan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Fasa I dari 2009 hingga 2012, mencatatkan penurunan kadar jenayah 39.7 peratus di seluruh negara.

“Inilah usaha kita untuk menjadikan Malaysia bebas jenayah dan rakyat menikmati keamanan dan kesejahteraan berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, kejayaan itu membuktikan URB memberi kesan positif kepada usaha PDRM membanteras jenayah dengan kerjasama masyarakat.

Anggota unit berkenaan ditugaskan meronda di kawasan perumahan dan tempat awam bagi membantu membanteras jenayah termasuk pecah rumah dan ragut.

Ismail berkata, PDRM akan mempertingkatkan usaha itu dengan mempraktikkan konsep 3C, iaitu kolaborasi, kreativiti dan komunikasi, sekali gus menjadikan masyarakat sebagai rakan dalam usaha membanteras jenayah. 
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Amanat Hadi punca taksub

Penyokong fanatik label ahli PAS kafir jika tak sokong ideologi politik

Kuala Lumpur: Penyokong fanatik PAS akan terus sewenang-wenangnya melabel orang Islam lain, termasuk ahli parti sendiri sebagai kafir dan murtad jika tidak menyokong ideologi politik mereka atau mendedahkan kesalahan parti itu.
Aktivis PAS, Mohd Riza Kamaruddin, berkata ini berikutan Amanat Hadi memberi kesan mendalam dan mempengaruhi golongan itu sehingga mewujudkan ketaksuban melampau, malah beliau turut dilemparkan tuduhan sama, dikecam dan dimaki hamun apabila mesra UMNO selepas kecewa dengan perjuangan PAS yang kian tersasar.

Kenyataan Hadi cipta taksub
“Kenyataan Hadi berjaya mencipta taksub sehingga menanam perasaan mereka (ahli PAS) lebih Islam daripada UMNO. Bagi golongan ini, macam mana baik dan alim sekali pun ahli UMNO, tetap tiada kredibiliti jadi imam mereka. Ketaksuban melampau itulah merosakkan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada BH, semalam.

Baru-baru ini, media melaporkan beberapa bekas penyokong pembangkang yang tidak lagi menyokong parti terbabit, mendakwa menerima pelbagai ugutan dan cercaan daripada pihak tertentu yang dianggap fanatik.

Terbaru seorang bekas penyokong tegar PAS selama 45 tahun yang baru menyertai UMNO, Md Rashid Ibrahim, 68, dilaporkan menerima surat ugutan dalam sampul pada majlis perkahwinan anaknya di Permatang Pasir, Alor Pongsu, Bagan Serai, bulan lalu.
 
PAS gadai prinsip asas
Riza mendakwa masih lagi ahli PAS, berkata beliau beralih ke pentas politik UMNO demi survival agama, bangsa dan negara, bagi menyedarkan rakyat mengenai banyak kepincangan dalam PAS sehingga menggadai prinsip asas parti berlandaskan Islam.

“Saya tak boleh berdiam diri semata-mata atas kepentingan nafsu politik. Saya jauh lebih kenal PAS berbanding mereka yang baru sertai parti itu. PAS sudah terpengaruh dengan anasir `Anwariun’, rosak sejak bekerjasama dengan PKR serta DAP, hala tuju semakin menyimpang jauh kerana lebih rakus untuk berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata umat Islam dilarang taksub membabi-buta kepada manusia selain Rasulullah SAW yang maksum, termasuk sanggup mengugut dan mencerca semata-mata atas faktor ideologi politik. 
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Projek mewah tumpuan DAP

Pembangunan tidak terancang yang hanya fokus kepada projek mewah membuatkan ramai penduduk di kawasan Parlimen Balik Pulau, kecewa bercampur geram.

Apa tidaknya, dari semasa ke semasa, projek perumahan mewah tumbuh bagai cendawan di kawasan berkenaan, menyebabkan penduduk sedia ada semakin terhimpit.
Penduduk, Ismail Sulaiman, 65, berkata dia mula melihat wajah sebenar DAP dalam isu pengambilan balik tanah seluas kira-kira 40 hektar di Kampung Genting, tiga tahun lalu.

“Kerajaan negeri cuba halau penduduk yang sudah bertapak di situ sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Selepas kejadian itu, saya khuatir selagi DAP memegang pemerintahan negeri ini, Balik Pulau akan berubah wajah menjadi kawasan perumahan mewah,” katanya.

Kecewa dengan kerajaan
Bagi Ismail Kassim, 50, yang menetap di Balik Pulau sejak kecil, perasaan kecewanya tidak dapat disembunyikan apabila melihat pembangunan tidak terancang di kawasan itu, terutamanyadiperkukuhkan pula dengan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang, yang terlalu mesra pemaju. 
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Tindakan PAS tak mahu akui kesilapan dayus

Alor Setar: Kerajaan PAS Kedah perlu mengakui kesilapan mengenai pembinaan 11 daripada 12 masjid di negeri ini yang dimuatkan melalui buku propaganda Sayangi Kedah Sejahtera.

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kepimpinan PAS seharusnya memohon maaf jika parti itu benar-benar mengamalkan pemerintahan cara Islam seperti dilaungkan mereka sebelum ini.
“Kalau saya jadi Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) saya malulah ambil nama atas benda yang kita tidak buat. Ia sekali gus membuktikan bahawa mereka bukan kerajaan yang bertanggungjawab.
"Kalau saya jadi Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) saya malulah ambil nama atas benda yang kita tidak buat," Mohd Johari Baharum, Pengerusi Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah"
Tak mahu akui
“Tindakan mereka yang tidak mahu mengakui kesilapan tidak ubah seperti seseorang yang dayus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program BN bersama rakyat di kawasan Parlimen Kubang Pasu, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu menyerahkan sumbangan RM15,642 kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima di Kolej Matrikulasi Changlun, di sini.

Sumbangan itu dikutip ahli UMNO bahagian Kubang Pasu bertujuan meringankan beban waris dan keluarga 10 anggota keselamatan yang terkorban dan tercedera selepas bertempur dengan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Pusat bina 11 masjid
Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, turut mencabar Azizan bersemuka bagi menyelesaikan masalah berkenaan, sekali gus merungkaikan kekeliruan yang melanda rakyat Kedah kini.

“Saya cabar Azizan... Kalau dia berani, kita bersemuka di mana-mana saja. Saya bersedia dan akan bawa semua dokumen membuktikan kerajaan Pusat yang membina 11 masjid di Kedah sepanjang lima tahun lalu,” katanya.

PAS Kedah melalui buku Sayangi Kedah Sejahtera mendakwa membina sebanyak 12 masjid sejak pentadbiran parti itu di Kedah, walaupun hakikatnya pembinaan rumah ibadat itu adalah melalui peruntukan kerajaan Pusat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

BN yakin jadikan Selangor negeri maju

BN yakin jadikan Selangor negeri maju  
Mohd Zin memegang bendera BN pada majlis penghargaan untuk pengusaha logistik Selangor di Bandar Bukit Tinggi, Klang. - Foto Roslin Mat Tahir
****
Pertumbuhan ekonomi ditingkat jika kembali memerintah
Shah Alam: Barisan Nasional (BN) yakin mampu mengangkat Selangor menjadi negeri maju berpendapatan tinggi pertama di negara ini jika berjaya merampas kembali negeri itu daripada pakatan pembangkang.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata selepas pembangkang memerintah lima tahun, pertumbuhan ekonomi Selangor menguncup dengan banyak usahawan dan warga industri mengeluh.

Sukar berurusan
“Mereka mengadu kerajaan negeri diterajui PKR-DAP-PAS tidak menyediakan peluang perniagaan baru, kesukaran mendapatkan perniagaan, sukar berurusan dengan kerajaan negeri selain tiada pertumbuhan ekonomi yang ketara.

“Meskipun mereka mendakwa pelaburan langsung asing (FDI) Selangor tertinggi di negara ini, hakikatnya ia gagal mengatasi FDI 2007, sewaktu BN memerintah negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH selepas menghadiri majlis penghargaan untuk pengusaha logistik Selangor yang dihadiri hampir 400 warga industri terbabit. Mohd Zin berkata, pengusaha logistik mempunyai peranan penting kerana mereka adalah penggerak utama dalam setiap pembangunan prasarana dan ekonomi.

“Mereka adalah penggerak kepada setiap pembangunan yang dilaksanakan. Jika mereka mengadu tidak mendapat banyak peluang perniagaan, ia bermakna pertumbuhan ekonomi negeri menguncup,” katanya.

Prasarana hebat
Beliau berkata, Selangor mempunyai segala prasarana hebat yang mampu mengangkatnya menjadi negeri maju, lebih dulu berbanding sasaran negara maju yang ditetapkan kerajaan pusat.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri mengambil sikap bermusuh dengan kerajaan pusat sehingga menyaksikan pertumbuhannya terbantut.

“Seharusnya kerajaan negeri mementingkan kemajuan Selangor dan bekerjasama dengan kerajaan pusat. Tapi mereka lebih rela bergaduh demi kepentingan politik daripada membangunkan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zin berkata, BN akan mengumumkan manifesto khas Selangor yang memberikan tumpuan terhadap usaha mengangkat negeri ini menjadi negeri maju dengan rakyatnya memperoleh pendapatan tinggi andai memenangi pilihan raya umum kelak. 
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Unit Rondaan Bermotosikal PDRM (URB)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan anggota Unit Rondaan Bermotosikal PDRM (URB) sambil diperhatikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (kanan) selepas melancarkan Majlis Unit Bermotosikal PDRM di Subang, hari ini. - Foto Yazit Razali, Mar 30, 2013 7:17 pm

Filipina puas hati layanan Malaysia

Tawau: Kedutaan Filipina di Malaysia berpuas hati dengan layanan terhadap rakyatnya yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu dinyatakan wakil kedutaan yang melawat lapan pengganas Sulu yang kini ditahan di Penjara Tawau di sini.
Wakil Kedutaan Filipina menemui semua tahanan di Penjara Tawau pada 27 Mac lalu, katanya kepada pemberita di sini semalam.


Hishammuddin berkata, Malaysia memberi ruang seluas-luasnya kepada wakil kedutaan untuk berjumpa tahanan terbabit.

Rujuk pihak penjara

Katanya, jika ada pihak yang sangsi dengan layanan pihak penjara, mereka boleh merujuk terus kepada Penjara Tawau atau Kedutaan Filipina, bukan merujuk laporan media sosial.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, beliau juga dimaklumkan kedutaan itu akan menguruskan soal pelantikan peguam untuk lapan tahanan berkenaan yang berhadapan tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas.
Mengenai keupayaan Sosma dalam mengendalikan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna itu, Hishammuddin berkata, setakat ini pelaksanaan peraturan-peraturan di bawah Sosma berjaya membendung insiden itu.

“Dulu orang kata dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kita tak ada kuasa. Tetapi kita tahu bahawa pemansuhan ini diganti dengan akta baru iaitu Sosma. Di bawah akta baharu ini bukan saja mencukupi mengimbangi hak asasi di peringkat antarabangsa tetapi mengimbangi kepentingan nasional dan keselamatan nasional. Dalam kes ini keselamatan dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Hishammuddin berkata, penjara Sabah dengan 1,085 pegawai dan anggota mampu mengawal banduan yang kini berjumlah 4,530 orang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Bahagian Keselamatan Dalam Negeri sudah membuka bilik gerakan di Kota Kinabalu bagi menerima dan menyalur maklumat tepat berkenaan perkembangan semasa insiden pencerobohan itu. - BERNAMA 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Didakwa cuba cetus huru-hara

ADIWIJAYA Abdullah (kiri) dan Setiausaha Agung PSSGM, Suleh Udin menunjukkan gambar warga asing yang dipercayai menyertai aktiviti pembangkang serta risalah cubaan mencetuskan huru-hara semasa PRU-13 pada sidang akhbar di di tapak Wisma Gayong Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 29 Mac - Parti pembangkang dikesan cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan tersebarnya risalah mengandungi cara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu.
Risalah itu didakwa menyebut, peringkat pertama yang disarankan untuk dilakukan ialah mewujudkan kekecohan di pusat mengundi supaya orang ramai kecewa dan kurang senang dengan kelemahan pengurusan, mewujudkan kumpulan pengundi yang melakukan kekecohan dan memprotes supaya wujud rasa benci pengundi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Peringkat kedua pula menurut risalah yang tertera lambang parti pembangkang itu melibatkan pasukan media atas talian yang akan mewujudkan twitter khas memperlekeh SPR.
Menurut risalah itu, sasaran kekecohan ialah di kawasan Parlimen Gombak, Lembah Pantai, Permatang Pauh, Setiawangsa, Wangsa Maju, Bagan Serai, Bukit Katil, Muar, Pandan dan Sabak Bernam.
Strategi kotor itu didedahkan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah dalam sidang akhbar di tapak Wisma Gayong Malaysia, di sini hari ini.
Adiwijaya berkata, maklumat yang diterima PSSGM itu agak mengejutkan dan sangat berbahaya kerana membabitkan keselamatan dan kestabilan negara.
"Kami terkejut apabila terdapat manual pilihan raya pembangkang yang mengandungi saranan untuk menimbulkan kekecohan semasa PRU-13 kelak.
"Kemungkinan besar mereka mahu mencipta suasana tidak aman tersebut agar tindakan dapat diambil terhadap mereka. Sekiranya pihak pembangkang tewas, ini dilihat membolehkan mereka menuduh bahawa PRU-13 dijalankan secara tidak adil," katanya.
Dalam sidang akhbar tersebut, Adiwijaya menunjukkan salinan risalah dengan kepala surat menggunakan lambang parti pembangkang bertarikh 15 Disember 2012 yang meminta ahli-ahli dan petugas PKR melakukan kekecohan di pusat mengundi di 10 kawasan Parlimen.
PSSGM, sehubungan itu menggesa agar SPR menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan berkenaan.
"Pihak berkuasa juga diharap dapat memberikan jaminan dan memastikan keselamatan orang ramai semasa pilihan raya nanti khususnya di tempat pembuangan undi," katanya.
Ditanya penafian Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli semalam mengenai penglibatan pakatan pembangkang dalam hal itu, beliau menegaskan, PKR perlu membuat penafian perkara tersebut secara terbuka.
"Mereka perlu membuat sidang akhbar dan meminta supaya ahli-ahli mereka tidak melakukan sebarang kekecohan semasa PRU-13 nanti," katanya.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi Rafizi bagi mendapat penjelasan lanjut berhubung dakwaan tersebut melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas gagal.

Malaysia komited pertahan kedaulatan negara - Najib

KUALA LUMPUR 29 Mac - Malaysia komited untuk terus mempertahankan kedaulatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mencapai beberapa kejayaan dalam usaha agensi itu membanteras lanun di Selat Melaka.
"APMM telah mencapai beberapa kejayaan dalam banteras lanun di Selat Melaka. Kita komited pertahan kedaulatan negara," katanya dalam tweet terbaharunya hari ini.
Semalam, Pengarah Cawangan Operasi Udara APMM, Laksamana Pertama (Maritim), Datuk Zammani Mod Amin memberitahu Bernama, APMM mencapai beberapa kejayaan besar dalam membanteras kegiatan lanun atau rompakan di laut terutama laluan Selat Melaka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Bercakap di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA '13), Zammani berkata, pembanterasan rompakan di laluan Selat Melaka adalah kejayaan yang menaikkan nama APMM - lebih dikenali sebagai Maritim Malaysia. - BERNAMA

Anwar seharusnya pertahan Permatang Pauh

NIAT Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin berhijrah ke kawasan baharu sama ada Perak atau Selangor menarik untuk dianalisis.
Lazimnya kepimpinan utama ahli politik negara masih bertahan di tempat popularnya tetapi tidak lari mencari kawasan lain yang lebih selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak umpamanya tetap bertahan di Parlimen Pekan dan tidak berpindah ke kawasan lain walaupun di kawasan lain peluang untuknya menang amat besar sekali.
Anwar menghantar mesej bahawa dia tidak ada masalah menang di Permatang Pauh dan bakal menjadi Perdana Menteri walaupun Pas tidak bersetuju. Keinginan berpindah ke tempat lain seolah-olah memberitahu khalayak sebagai bakal Perdana Menteri di mana-mana pun dia boleh bertanding dan menang.
Umum mengetahui bahawa orang Melayu Pulau Pinang amat kecewa dengan kewibawaan Anwar dalam membela nasib mereka.
Kesedaran baharu orang Melayu dan bukan Melayu di Pulau Pinang serta pertubuhan bukan kerajaan (NG0) memberi gambaran ada yang tidak kena dengan cara Lim Guan Eng mentadbir Pulau Pinang.
Anwar sebagai Ketua Pakatan Rakyat dan Guan Eng sebagai Ketua Menterinya dan menjadi wakil Rakyat Permatang Pauh yang majoritinya orang Melayu semakin tidak memberi makna apa-apa untuk membela orang Melayu.
Sebaliknya apabila Guan Eng mencadangkan kalimah Allah digunakan dalam versi Bible Bahasa Melayu, Anwar menjadi penyokong kuat dan beria-ia benar mahu menggunakannya dalam Pakatan Rakyat meskipun akhirnya menerusi Majlis Syuranya menolak cadangan Guan Eng itu.
Isu kalimah Allah di peringkat akar umbi adalah serius termasuk dalam kalangan orang Pas sendiri. Anwar tidak boleh memperlekehkan Pas kerana Majlis Syura Pas sudah membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan politik Anwar.
Penulis percaya orang Permatang Pauh juga teramat marah dengan sikap Anwar itu. Percayalah isu akidah adalah isu pokok dalam Islam. Mempermainkan kalimah Allah pada hemat penulis boleh menyebabkan Anwar dan cita-citanya bakal kecundang.
Apakah keresahan rakyat Pulau Pinang atas banyak isu bermula dengan pengambilan tanah rakyat, ghairah membina rumah kos tinggi dan tidak menepati manifesto membina rumah kos rendah dan mampu beli, isu pembinaan terowong yang mengundang luas bantahan rakyat dan banyak lagi menyebabkan rakyat bangkit dan membuat bantahan berterusan.
Apakah kesedaran baharu ini juga memberi petanda bahawa Anwar tidak melakukan yang terbaik untuk orang Melayu menyebabkan kedudukan kawasannya terjejas sama.
Sepatutnya Anwar tidak meninggalkan Permatang Pauh sekiranya nasib orang Melayu di Pulau Pinang diberi perhatian.
Berhentinya Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri suatu ketika dulu sehingga kini tidak dijelaskan apa sebabnya. Ceramah Mohammad Fairus di mana-mana antara lain menyebutkan Anwar tidak menyebelahinya dalam usaha beliau untuk memperkasa kedudukan orang Melayu ternyata tidak dibantu oleh Guan Eng.
Sekiranya orang Melayu di Permatang Pauh menghadapi kesulitan dalam pembangunan, Anwar tidak patut tinggalkan kawasan itu. Meninggalkan Permatang Pauh dan ingin lari ke tempat lain boleh difahamkan sebagai mencari jalan selamat dan jangan kekal di kawasan yang kurang selamat.
Kenyataan Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri sekarang yang menganggap Guan Eng sebagai "tokong" membawa maksud yang amat tersendiri dan mendalam.
Mansor lebih tahu apa yang tersirat di sebalik kenyataannya itu. Apakah ia juga mengalami nasib seperti yang dilalui oleh Muhamad Fairuz sebelumnya.
Cara Guan Eng mengurus Pulau Pinang dan meraikan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ternyata bermasalah. Bantahan terhadapnya dilakukan secara terbuka dan berulang. Terakhir ini ia disertai oleh pihak orang Cina dan India terhadap banyak isu. Dulu Pas gelar Guan Eng sebagai Khalifah Omar Ab. Aziz. Sekarang apa sudah jadi kepada gelar itu?
Apakah Guan Eng peka menjaga tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh atau turut membantu Anwar mengurus Permatang Pauh dengan khidmat yang terbaik?
Akibat kesedaran orang Melayu di tiga kawasan DUN secara langsung memberi kesan kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh. Ini bermakna perpindahan Anwar ke tempat lain adalah mencari tempat selamat bukan mempertahankan trek-rekod dalam khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Faktor pembangkang gelisah apabila Parlimen belum dibubarkan

SALAH satu ‘penyakit’ yang ada dalam kalangan pakatan pembangkang dan penyokong mereka ialah terlalu mudah untuk membuat tafsiran.
Pelbagai andaian mereka lakukan bagi memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.
Begitu juga dalam isu pembubaran Parlimen, mereka membuat pelbagai tafsiran termasuklah hujah dangkal dengan mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Suatu ketika dulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata dalam satu pertemuan dengan anak-anak Kelantan, Najib ‘semak perut’ hendak bubar Parlimen kerana banyak masalah dalam UMNO.
Mereka sengaja melupakan tempoh tamat mandat kerajaan BN di peringkat Pusat ialah 30 April. Oleh itu Perdana Menteri tidak terikat dengan sebarang desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal daripada tarikh itu.
Sebenarnya, penulis difahamkan yang resah gelisah kerana Parlimen belum dibubarkan ialah pembangkang.
Menurut satu sumber, pakatan pembangkang sudah merancang jika BN membubarkan Parlimen dan diikuti oleh negeri-negeri di bawah penguasaan parti itu sebelum tarikh tamat tempoh memerintah, pakatan pembangkang tidak akan berbuat demikian di negeri-negeri yang mereka kuasai.
Sebaliknya jentera pilihan raya di empat negeri yang mereka kuasai iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah akan dihantar untuk membantu jentera di Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Mereka begitu yakin melalui cara demikian ia akan membantu pakatan pembangkang menguasai negeri-negeri tersebut.
Kalau pakatan pembangkang menganggap mereka sudah cukup kuat dan mampu mempertahankan negeri-negeri yang mereka kuasai sekarang, maka bubarlah sebelum tarikh tamat tempoh memerintah.
Untuk rekod tarikh tamat tempoh memerintah Selangor ialah 22 April, Kelantan (28 April), Pulau Pinang (2 Mei) dan Kedah (5 Mei). Kalau mereka mempertikaikan kenapa Perdana Menteri tidak membubarkan Parlimen sekarang sedangkan tamat tempoh mandat ialah 30 April, kenapa mereka tidak bubar lebih awal di negeri-negeri yang mereka kuasai?
Tetapi kita percaya pembangkang tidak akan berbuat demikian kerana mereka sememangnya bersikap seperti tin kosong, ‘bunyi sahaja kuat, tetapi isinya tiada.’
Tambahan pula, pakatan pembangkang memahami kekuatan mereka di negeri-negeri berkenaan semakin luntur.
Di Selangor, penolakan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin ketara, apabila banyak janji yang dibuat dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu tidak ditunaikan kerana Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menganggap manifesto bukan satu perjanjian.
Di Pulau Pinang, pentadbiran kerajaan DAP berhadapan dengan pelbagai bantahan termasuk projek-projek mega yang ditentang oleh rakyat.
Di Kedah, kerajaan Pas bukan sahaja menghadapi masalah kepincangan menguruskan negeri malahan diancam masalah dalaman antara pemimpin-pemimpin Pas. Difahamkan Pas Kedah berpecah kepada empat kelompok.
Di Kelantan, isu tanah dan air terus menghantui kerajaan Pas. Malahan di negeri itu sudah ada gelombang yang cukup ketara mahupun perubahan kerana rakyat sudah bosan dengan kerajaan negeri yang lebih kaya dengan slogan dan retorik berbanding program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Berdasarkan kepada hujah-hujah itu, maka tidak payahlah puak-puak pembangkang hendak menyibuk mempertikaikan kenapa Perdana Menteri belum membubarkan Parlimen.
Tunggu sahajalah detiknya kalau betul-betul pembangkang yakin bila pun pilihan raya diadakan mereka boleh mencapai kejayaan besar.
Janganlah beri alasan dangkal kononnya terpaksa membuat kutipan derma kerana Perdana Menteri terlalu lambat membubarkan Parlimen.
Pilihan raya bukan medan menguji kekuatan sesiapa atau gelanggang untuk merebut kekuasaan sahaja, sebaliknya ia adalah penentu masa depan rakyat dan negara.
Kerajaan BN bukan seperti pakatan pembangkang asyik hendak berpolitik sepanjang masa dan terlalu kemaruk kuasa. Kerajaan BN hendak memastikan segala urusan negara dan perancangan untuk rakyat sudah diselesaikan barulah mandat diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.
Sepatutnya pembangkang bersyukur kerana apabila Parlimen lambat dibubarkan, maknanya mereka masih mempunyai masa untuk menunaikan segala janji-janji yang belum ditunaikan.
Tetapi pembangkang tahu mereka tidak ada kemampuan untuk menunaikan janji-janji yang dibuat, oleh itu mereka berharap apabila Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan rakyat akan melupakan janji-janji yang pernah mereka buat dalam pilihan raya lalu.
Inilah perangai pakatan pembangkang, mereka berpolitik semata-mata untuk kuasa sebab itulah mereka sanggup bergabung dalam satu pakatan biar pun berbeza ideologi dan hala tuju perjuangan.
Seperkara lagi, pembangkang juga risau semakin lambat Parlimen dibubarkan, semakin terdedah janji-janji palsu yang disenaraikan dalam manifesto pilihan raya mereka dan Buku Jingga.
Ia memandangkan apa yang mereka janjikan itu hanyalah omong kosong dan tidak berpijak di bumi nyata, segalanya mereka lakukan hanya semata-mata untuk menarik perhatian rakyat untuk menyokong mereka dalam pilihan raya umum nanti.
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana dari semasa ke semasa, semakin banyak terdedah perangai pemimpin-pemimpin mereka termasuk dari segi moral.
Justeru mahu tidak mahu, pembangkang terpaksa membuat pelbagai andaian berhubung isu pembubaran Parlimen bagi menutup kelemahan mereka.
Dalam bahasa mudahnya lagi lambat pilihan raya diadakan, maka semakin banyak ‘wajah-wajah buruk’ pembangkang akan terdedah kerana bak kata seorang pemimpin BN di Pulau Pinang, ‘kertas tidak boleh membalut api.’’
Begitu juga sandiwara dan lakonan politik pembangkang, ia sudah pasti tidak akan bertahan lama sebab itulah mereka tidur tak lena, resah gelisah dan gundah gulana apabila Perdana Menteri belum membubarkan Parlimen.
Sementara mereka menuding jari mengatakan Perdana Menteri dan BN dalam ketakutan serta ‘semak perut’ untuk mengadakan pilihan raya , hakikatnya pembangkanglah yang sebenarnya berada dalam kedudukan ‘tidak tentu hala’.
Segala-galanya kerana pembangkang sudah tidak sabar lagi untuk menawan Putrajaya dan menumbangkan BN kerana pilihan raya kali ini dianggap penentu ‘hidup mati’ perjuangan politik mereka.
Namun kita percaya, tidak kira bila pun Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan, yang pasti rakyat sudah semakin mengetahui siapa yang sepatutnya mereka pilih sebagai kerajaan.
Tidak apalah kalau pembangkang hendak meneruskan perasaan gelisah tidak tentu hala mereka kerana Parlimen belum dibubarkan, yang pasti BN tidak akan mengikut jejak amalan politik dangkal mereka.

Waspada gimik politik Pas

KOTA BHARU 29 Mac - Majlis pecah tanah pembinaan stadium dan bandar sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang akan diadakan esok oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan gimik politik Kerajaan Pas Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini bukan kali pertama Kerajaan Pas Kelantan mengadakan majlis pecah tanah untuk sesuatu projek yang akhirnya tidak terlaksana.
Beliau berkata, rakyat negeri ini sudah pasti dapat membuat pertimbangan sama ada Kerajaan Pas Kelantan mampu melaksanakan projek berkenaan atau sekadar merasmikan sahaja.
“Kalau mereka mampu melaksanakan, baguslah. Rakyat akan membuat penilaian, ini bukan kali pertama Kerajaan Pas Kelantan adakan majlis pecah tanah, begitu juga dengan majlis pecah tanah projek lebuh raya baru-baru ini sehingga hari ini tidak dilihat kerja-kerja dilakukan," kata beliau.
Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu negeri ini di sebuah hotel di sini malam tadi.
Sejak 23 tahun memerintah, Kerajaan Pas Kelantan telah mengadakan majlis pecah tanah untuk pelbagai projek namun akhirnya tidak mampu dilaksanakan.
Antara projek Pas yang gagal dilaksana walaupun mengadakan majlis pecah tanah ialah jambatan merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kampung Cina di sini dengan Palekbang di Tumpat, projek pembangunan Lembah Sireh, Afta City, bandar baru Pengkalan Kubor dan banyak lagi.

Manifesto pembangkang runtuhkan negara

PUTRAJAYA 29 Mac - Manifesto pakatan pembangkang yang penuh dengan fantasi akan menyebabkan negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa negara Kesatuan Eropah.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, dalam tempoh setahun sahaja pelaksanaan manifesto pembangkang itu akan meningkatkan defisit fiskal daripada empat peratus menjadi 11.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Lebih parah, kerajaan akan mengalami defisit akaun semasa iaitu jumlah hasil tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus. Ini bermakna kerajaan perlu meminjam untuk membayar gaji, hutang negara, subsidi dan pencen," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, penjimatan RM49.5 bilion yang didakwa oleh pembangkang untuk membiayai manifesto mereka sama sekali tidak munasabah kerana jumlah itu bersamaan dengan peruntukan pembangunan negara bagi tempoh setahun.
"Jika dilaksanakan (manifesto) ini bermakna kerajaan tidak akan dapat membina sekolah, hospital, jalan raya dan lain-lain kemudahan awam bagi memenuhi keperluan rakyat.
"Apabila pembangkang membandingkan penjimatan perbelanjaan di negeri dengan peringkat negara, ini menunjukkan pembangkang tiada akauntabiliti dan mengambil mudah semua perkara kerana perbandingan tersebut adalah tidak setara," katanya.
Beliau menambah, pembangkang juga tidak mengkaji setiap komponen dalam perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bahawa sesetengah perbelanjaan seperti pemberian kepada negeri, gaji, pencen dan bayaran hutang tidak boleh dikurangkan.
Kata Ahmad Husni, manifesto pembangkang mengabaikan implikasi kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kesan herotan pasaran ke atas ekonomi.
"Pelaksanaan manifesto pembangkang hasil daripada pengiraan kewangan yang tidak tepat akan menyebabkan rencatan dan pengucupan ekonomi seterusnya mendatangkan kesan sistemik di mana penarafan negara akan jatuh.
"Jumlah pelaburan asing akan berkurangan, ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat dan seterusnya meruntuhkan ekonomi negara," jelas beliau.
Tambahnya, manifesto pembangkang turut meningkatkan pemberian subsidi secara pukal yang dilihat akan menguntungkan golongan kaya seterusnya meluaskan jurang pendapatan rakyat.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah mempersoalkan bagaimana manifesto pembangkang itu boleh dilaksanakan.
"Pembangkang kata hendak kurangkan harga petrol tetapi pengurangan 20 sen akan membawa kesan RM4.6 bilion yang perlu ditanggung kerajaan selain penghapusan tol yang menyebabkan tanggungan RM6 bilion.
"Mereka juga kata nak hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), jadi dari mana kita nak dapat duitnya?" soalnya.

Waspada gimik politik Pas

KOTA BHARU 29 Mac - Majlis pecah tanah pembinaan stadium dan bandar sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang akan diadakan esok oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan gimik politik Kerajaan Pas Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini bukan kali pertama Kerajaan Pas Kelantan mengadakan majlis pecah tanah untuk sesuatu projek yang akhirnya tidak terlaksana.
Beliau berkata, rakyat negeri ini sudah pasti dapat membuat pertimbangan sama ada Kerajaan Pas Kelantan mampu melaksanakan projek berkenaan atau sekadar merasmikan sahaja.
“Kalau mereka mampu melaksanakan, baguslah. Rakyat akan membuat penilaian, ini bukan kali pertama Kerajaan Pas Kelantan adakan majlis pecah tanah, begitu juga dengan majlis pecah tanah projek lebuh raya baru-baru ini sehingga hari ini tidak dilihat kerja-kerja dilakukan," kata beliau.
Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu negeri ini di sebuah hotel di sini malam tadi.
Sejak 23 tahun memerintah, Kerajaan Pas Kelantan telah mengadakan majlis pecah tanah untuk pelbagai projek namun akhirnya tidak mampu dilaksanakan.
Antara projek Pas yang gagal dilaksana walaupun mengadakan majlis pecah tanah ialah jambatan merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kampung Cina di sini dengan Palekbang di Tumpat, projek pembangunan Lembah Sireh, Afta City, bandar baru Pengkalan Kubor dan banyak lagi.

Guan Eng diminta tidak kaitkan pihak lain kesilapan kira kos terowong

KUALA LUMPUR 29 Mac - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak sewajarnya mengaitkan mana-mana pihak lain ekoran kesilapan pengumuman kos pembinaan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Sambil menggesa Setiausaha Agung DAP itu memohon maaf ekoran kesilapan tersebut, bekas Ketua Cawangan DAP Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, Guan Eng juga sepatutnya berani mengakui kesilapan sendiri.
Menurut beliau, Guan Eng sepatutnya mengambil pengajaran daripada isu pengiraan undi dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember tahun lalu, yang juga berpunca daripada kesilapan sehingga mencetuskan kemarahan ahli DAP sehingga kini.
"Jika dulu dalam isu salah kira undi CEC, Guan Eng kata ada masalah teknikal dengan program komputer, adakah dalam isu kos terowong ini beliau mahu menyalahkan kalkulator?
"Ini jelas menunjukkan sikap Guan Eng yang kebudak-budakan serta angkuh kerana tidak sanggup berhadapan kelemahan sendiri serta parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan menjelaskan, beliau tidak menolak Guan Eng akan menyalahkan UMNO dan MIC dalam masalah 'silap taip' berhubung pengumuman kos pembinaan projek terowong dasar laut itu.
Kos projek itu serta tiga rangkaian lebuh raya yang dirancang DAP meningkat sebanyak RM2.2 bilion daripada jumlah asal yang dinyatakan kerajaan negeri iaitu sebanyak RM4.08 bilion.
Mengulas lanjut, Tuan Tat berkata, masalah 'silap taip' itu disifatkan sebagai bodoh kerana kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam sebarang dasar membabitkan wang rakyat.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, berkata, sikap menuding jari kepada pihak lain merupakan taktik lapuk yang sering diguna pakai parti pembangkang.
"Dari dulu lagi pihak pembangkang memang tidak pernah mengakui kesilapan sendiri dan tabiat itu terbawa-bawa walaupun selepas diberi mandat memerintah," katanya.
Dalam masa sama, Anuar menyeru masyarakat tidak mudah mempercayai helah dan taktik basi pembangkang itu sebaliknya lebih peka dan bijak menilai setiap kenyataan mereka.
Tambah beliau, isu 'silap taip' itu jelas menunjukkan sikap ego pemimpin pembangkang yang tidak berjiwa besar dan tidak cukup berani berhadapan realiti ketika timbulnya sebarang masalah.

Papa Gomo dedah episod ketiga video

Sedutan video yang dikaitkan dengan tokoh pembangkang seperti disiarkan dalam episod ketiga blog Papa Gomo, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 29 Mac - Pemilik blog, Papa Gomo malam ini, mendedahkan episod ketiga klip video perbualan mesra yang didakwa antara seorang pemimpin politik pembangkang dengan seorang lelaki lain yang tidak kelihatan di dalam sebuah bilik dipercayai bilik hotel.
Klip video berdurasi dua minit 32 saat itu merupakan sambungan kepada siri pertama dan kedua video sama yang disiarkan pengendali blog berkenaan dalam tempoh kira-kira dua minggu lalu.
Video itu disiarkan menerusi http://www.papagomo.com.
Menurut pengendali blog berkenaan, pendedahannya menerusi video itu bukanlah fitnah kerana beliau mempunyai pengakuan lelaki yang dikaitkan di dalam video tersebut yang tidak boleh disangkal pemimpin politik pembangkang berkenaan.
Malah katanya, beliau masih lagi menunggu pemimpin politik pembangkang itu membuat laporan polis berhubung pendedahannya menerusi video tersebut.
Tambahnya, laporan polis itu pastinya akan membuka kepada siasatan lanjut seterusnya mendedahkan dengan lebih luas berhubung isu video tersebut.

Presiden PKR patut rasa malu

PULAU PINANG 29 Mac - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berasa malu untuk terus bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah menegaskan, Wan Azizah tidak sepatutnya memasang niat untuk terus bertanding kerana beliau pernah mengecewakan pengundi dalam pilihan raya umum lalu.
Katanya, sebaik diberi kepercayaan oleh pengundi Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Wan Azizah dengan rela hati bertindak meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen semata-mata untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sepatutnya beliau merasa malu untuk terus bertanding dalam pilihan raya umum nanti.
“Apa selepas ini andainya suami kesayangan beliau itu kalah, adakah sekali lagi Wan Azizah akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar?" katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

'Memang saya memberitahu segala-galanya kepada Sidek'

KUALA LUMPUR 29 Mac - Tokoh ilmuwan dan pendakwah, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba tidak akan meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Ketua Pembangkang itu bebas daripada salah laku moral kerana mereka telah bersahabat karib sejak lebih 30 tahun lalu.
Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, selaku bekas pelajar Sidek, beliau cukup mengenali integriti serta ketinggian prinsip pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dalam mencari kebenaran sebelum membuat keputusan.
Beliau yang mengakui mendedahkan kisah panggilan telefon Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Sidek berkata, detik itu jugalah yang mencetus kesedaran untuk meninggalkan Anwar walaupun sebelum ini sanggup berkorban nyawa demi Ketua Pembangkang berkenaan.
"Ya, memang saya memberitahu segala-galanya kepada Sidek. Saya beritahu kisah panggilan Kak Wan (Wan Azizah) ketika saya berada di rumah Anwar. Kak Wan ketika itu di Washington dan beliau bertanya mengenai seorang lelaki dan minta saya perhatikan Anwar.
"Sikap curiga Kak Wan terhadap suaminya menimbulkan konflik dalam diri saya dan akhirnya persoalan itu terjawab. Anwar dibelenggu masalah moral kronik dan tidak layak menjadi Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Sidek, bekas sahabat karib Anwar yang bertanggungjawab bersama-sama membangunkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bahawa keruntuhan moral adalah faktor utama beliau meninggalkan Ketua Pembangkang itu.
Malah, Sidek ketika mendedahkan perkara itu dalam program Wacana Cuit: Dilema Melayu Moden di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) kelmarin, secara terbuka mendedahkan Ezam menceritakan segalanya mengenai kisah gelap tersebut berserta bukti.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman yang menjadi antara individu pemegang 'diari merah' Ketua Pembangkang juga mengakui beliau mendedahkan segala 'cerita dalam kain' kepada Sidek termasuk kisah dengan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Katanya, selain itu, beliau turut menyerahkan salinan bukti berupa 18 pucuk surat yang dihantar Anwar kepada para pelobi Yahudi sekali gus menggambarkan betapa istimewanya hubungan Ketua Pembangkang tersebut dengan kelompok Zionis.
"Rakyat boleh menilai sendiri mengapa seseorang yang begitu istiqamah, berprinsip dan sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi mempertahankan Anwar akhirnya meninggalkan Anwar selepas bersahabat lebih 30 tahun.
"Sidek bukan ahli politik dan akhlaknya yang bersih memang diakui kawan mahupun lawan, jadi adakah kesemua 28 saksi hidup yang ditemui beliau sebelum mengambil keputusan meninggalkan Anwar itu berbohong? Rakyat perlu nilai perkara ini," katanya.

Pemimpin Pemuda Pas biadab

KUALA LUMPUR 29 Mac - Seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya kelmarin.
Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter @fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."
Kenyataan itu jelas bertentangan dengan Islam, termasuk pegangan Pas yang selama ini bermati-matian menentang mana-mana pihak yang menyentuh mengenai Rasulullah SAW.
Kenyataan Khairul Fahmi itu mendapat tentangan pelbagai pihak yang memberi maklum balas terhadap perkara tersebut.
Selain marah dengan tindakannya itu, mereka menuntut Khairul Fahmi menarik balik kenyataan tersebut yang disifatkan melampau kerana sanggup berpolitik sehingga mengaitkan nama baginda.
Segelintir mereka juga menasihatkan pemimpin Pas itu menggunakan bahasa sopan selaras ajaran Nabi Muhammad SAW.
Namun, beliau seolah-olah tidak melayan gesaan itu sebaliknya membalas kenyataan tersebut dengan menggelar UMNO sebagai bangsat serta menghina agama.
Sementara itu, Khairul Fahmi ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan pengesahan berhubung kenyataannya hanya memberi reaksi berikut: "Tiada apa yang pelik tentang Twitter itu. Saya malas nak komen."
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, kenyataan dan perumpamaan berkenaan jelas merupakan penghinaan ke atas Rasulullah SAW dan tuduhan kepada UMNO.
"Muhasabahlah. Ingat, siapakah yang mendahului isu-isu porno? Bukankah seorang pemimpin Pas pernah menggelar seorang bekas pemimpin UMNO yang kini memimpin pembangkang dengan istilah 'al-juburi'?" katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan pemimpin Pas berkenaan menjaga tutur kata ketika mengeluarkan sebarang kenyataan.

Kikis sikap taksub pemimpin politik

MUKHRIZ Tun Mahathir (empat dari kiri) beramah mesra dengan Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad (tiga dari kanan) dalam Majlis Istighasah Al-Kubra dan Bacaan Yasin peringkat Kedah di Masjid An-Naim Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, semalam. 
*****
SUNGAI PETANI 29 Mac - Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengajak umat Islam melakukan muhasabah diri termasuk mengikis sikap fanatik dalam politik kepartian yang mengagung-agungkan pemimpin tertentu.
Setiausahanya, Dr. Hasan Mat berkata, sikap tersebut perlu dibendung bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan menjaga kepentingan orang Melayu.
"Sehubungan itu kita sedia memberi penerangan kepada masyarakat dalam menangani perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Istighasah Al-Kubra dan Bacaan Yasin peringkat Kedah di Masjid An-Naim Kem Lapangan Terbang di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 anggota tentera di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani mengikuti majlis bermula 4 pagi itu yang turut diadakan ceramah Permasalahan Ummah Masakini oleh Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad.
Pada majlis itu, mereka mengadakan solat tahajud, solat hajat, berzikir dan berdoa beramai-ramai untuk memohon pertolongan dan perlindungan Allah bagi mengelak negara dan rakyat daripada ditimpa bala dan bencana.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Hasan berkata, pihaknya bersedia menganjurkan lebih banyak majlis berkenaan di masjid-masjid di seluruh negara kerana usaha itu mampu menimbul semangat baharu dalam kalangan umat Islam.
Beliau berkata, beberapa program yang diadakan sebelum ini termasuk di Shah Alam, Selangor, Ipoh, Perak mendapat sambutan amat baik dan meningkatkan keinsafan dalam kalangan umat Islam.
"Kita mahu pastikan semua 280 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara melibatkan orang Melayu dengan ahli seramai 3.5 juta dapat menghadiri majlis anjuran MPM itu," katanya.
Sementara itu, Mukhriz pula berkata, disebabkan terlalu banyak berpolitik, pelbagai masalah timbul dalam negara tanpa disedari oleh orang Melayu sendiri.
"Usaha MPM amat baik kerana boleh meningkatkan kesedaran umat Islam agar sama-sama mematuhi perintah Allah," katanya.

Ummi akan dedah rahsia Anwar

BUKIT MERTAJAM 29 Mac - “Saya tidak gentar untuk menghadapi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-13."
Amaran itu dikeluarkan oleh ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali yang memberi peringatan beliau akan menyerang Anwar habis-habisan bagi mendedahkan keburukan Ketua Pembangkang itu kepada rakyat pada pilihan raya akan datang.
“Anwar harus ditalkinkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini dan kerana itu saya tidak gentar dengan beliau dan akan mendedahkan rahsia Anwar nanti.
“Walaupun saya dicemuh dan dimaki dalam internet, saya tetap serang Anwar kerana dia (Anwar), saya dihina dan diaibkan sejak 13 tahun lalu," katanya dalam ceramah ‘Bongkar’ anjuran UMNO Permatang Pauh di Kampung Permatang Rawa di sini malam tadi.
Turut hadir, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan lebih 300 penyokong UMNO.
Ummi Hafilda juga berharap rakyat di negara ini menolak pemimpin seperti Anwar yang memiliki masalah moral dan tidak layak menjadi pemimpin negara.
Bukan sahaja Anwar, bahkan Ummi Hafilda juga menggesa seluruh rakyat Malaysia menolak pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

DAP tiada 'ilmu' tadbir negara

Nor Mohamed Yakcop (dua dari kiri) beramah mesra dengan kakitangan Penang Port sempena majlis santai bersama warga Penang Port di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham Georgetown, Pulau Pinang, semalam. 
*****
PULAU PINANG 29 Mac - Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan tender projek terowong dasar laut bagi menghubungkan kawasan pulau dan tanah besar negeri ini menunjukkan belang sebenar parti itu yang tiada pengalaman dalam melaksanakan urusan takbir urus kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob berkata, langkah diambil kerajaan negeri dalam meluluskan tender projek itu jelas menggunakan kaedah terbalik tanpa melibatkan perbincangan dengan pihak-pihak yang akan menerima kesan secara langsung sekiranya projek itu dilaksanakan.
Tegasnya, kaedah itu bukan merupakan pendekatan terbaik dalam proses membuat keputusan oleh sebuah kerajaan.
"Sepatutnya perbincangan diadakan dengan semua pihak yang terlibat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. DAP ini sudah terbalik dan jelas menunjukkan mereka tiada pengalaman untuk mentadbir sebuah kerajaan.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Biasalah sudah tentu akan ada pihak yang tidak bersetuju tetapi proses perbincangan itu harus dilakukan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis santai bersama kakitangan Penang Port Sdn. Bhd., (PPSB) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Urusan /Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port,Ahmad Ibnihajar.
Pembinaan projek terowong dasar laut itu mula dibantah apabila Pemuda Barisan Nasional (BN) mendedahkan mengenai pemberian tender projek mega bernilai RM6.3 kepada sebuah syarikat yang hanya mempunyai modal berbayar sebanyak RM2.
Terdahulu apabila ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa berlakunya kesilapan 'salah taip' berhubung kos sebenar projek terowong dasar laut berserta tiga lebuh raya yang diumumkan, beliau berkata itu tidak menjadi masalah.
"Kalau Guan Eng kata salah taip, biarlah. Mungkin betul salah taip itu tetapi yang tidak patut dilakukan adalah membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan," katanya.

Ramai mahasiswa wanita bukti BN berjaya perkasa wanita - PM


KUALA LUMPUR 29 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) sentiasa memperkasakan wanita di negara ini dan perkara itu terbukti apabila enam daripada setiap 10 mahasiswa adalah wanita.
Najib dalam Twitter beliau berkata, pada 1959, hanya terdapat seorang wanita daripada setiap 10 mahasiswa.
"Hari ini, angkanya ialah enam dalam 10. Satu lagi kisah kejayaan pemerkasaan wanita di bawah BN," katanya.
Dalam satu lagi Tweet beliau, Najib berkata, rakyat harus terus menjaga diri sendiri.
"Saya diingatkan supaya kita harus terus menjaga kesihatan kita. Kita semua patut berbuat demikian. Tidak sabar untuk mengikuti rutin kecergasan saya pada hujung minggu ini," katanya. - BERNAMA

Kuasa di bawah kerajaan sementara

BELUM pernah terjadi dalam mana-mana siri pilihan raya umum lepas, Perdana Menteri ke luar negara dalam tempoh 'kerajaan sementara atau kerajaan interim' (caretaker government) ini.
Kalau hendak ditandatangani perjanjian dengan negara luar memang tidak dibenarkan. Dalam perkara seperti itu, kerajaan sedia ada tidak ada kuasa penuh ekoran Parlimen sudah habis mandat.
"Bagaimanapun kalau Perdana Menteri nak jadi mediator (perantara) untuk proses perundingan antara kerajaan Thailand dan puak pemisah di selatan negara itu, beliau masih boleh ke sana (Bangkok). Sebabnya, beliau tidak ada memeterai apa-apa perjanjian," kata pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada Utusan Malaysia semalam.
Bercakap dari Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, Rais yang juga penyelidik undang-undang antarabangsa mengakui beliau agak tersentak dengan dakwaan seorang 'pakar perlembagaan' dari pakatan pembangkang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan menjadi sebuah kerajaan haram dengan terbubarnya DUN negeri itu semalam.
"Saya hairan dan musykil kenapa taraf profesor sepertinya sanggup guna istilah haram. Kerajaan haram dan kerajaan sementara ada bezanya.
"Haram, maknanya tak sah dari segi undang-undang tetapi kerajaan negeri wujud lantaran konvensyen dan peruntukan undang-undang, ahli exco dilantik dan menteri besar tetap wujud sehingga barisan Exco baru wujud susulan pilihan raya mendatang.
"Dr. Aziz Bari muslihatkan istilah kerajaan sementara atau cakap sesedap pulangan bangkangan. Pulangkanlah balik (istilah ini) pada undang-undang dan telaahlah undang-undang Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri," katanya.
Rais seterusnya menarik perhatian rakyat negara ini tentang makna atau maksud sebenar kerajaan sementara.
Konsep dan amalan kerajaan sementara adalah amalan di seluruh kawasan dan sistem kerajaan yang berlandaskan demokrasi Westminster.
Westminster bermakna apabila pembubaran Parlimen itu diumumkan oleh pihak berdaulat iaitu Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri yang diwakili oleh Perdana Menteri, maka pada tarikh dikuatkuasakan pembubaran itu sehingga selesai PRU-13 dan terbentuk Kabinet baru, maka tempoh itu dinamakan kerajaan sementara. Ini sudah terpakai sejak kerajaan mengamalkan demokrasi lagi.
"Jadi, tidaklah betul apabila Parlimen dibubarkan, maka DUN terbubar sama. Itu hanya betul apabila Parlimen dan DUN bersama dari segi pemerintahan dan Parlimen, maka ia bebas sebab di Pusat, pihak berkuasanya ialah BN.
"Sedangkan di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah ialah pembangkang. Jadi, kalau di Malaysia tarikh 28 April (2013) ini adalah hari terakhir berkuasa Parlimen. Bagi negeri-negeri lain ada tarikhnya yang tertentu, misalnya di Negeri Sembilan habislah edahnya semalam," kata beliau.
Dalam kerajaan interim yang mengambil fungsi sementara, ada beberapa perkara harus dihormati:
n Sebagai konvensyen, tidak ada dasar-dasar baru diumumkan dan tiada perbelanjaan besar yang dibelanjakan daripada wang yang disatukan. Melainkan perbelanjaan itu tertakluk kepada keputusan dasar sebelumnya. Mengambil contoh BR1M1 dan BR1M2, tiba-tiba Parlimen dibubarkan, maka tidak boleh dilaksana BR1M3.
n Semasa tempoh kerajaan interim, kerajaan BN hanya menguruskan pentadbiran negara atau negeri mengikut lunas-lunas, dasar-dasar dan amalan yang diluluskan sebelumnya. Dengan perkataan lain, dalam tempoh kerajaan sementara, kuasa substantif Parlimen tidak ada lagi - terhenti. Dalam tempoh itu perlu berwaspada.
Contohnya, kes Harris Salleh lawan The Returning Officer, Ismail Majin & Ors (2001). Kes ini memberi nas bahawa bukan sahaja calon, wakil-wakil calon pun perlu berhati-hati dalam menjalankan tugas untuk membantu calon. Ini untuk mengelak daripada menyalahi Akta Pilihan Raya 1954 dan peruntukan Akta 1954.
Ini memandangkan wakil calon mungkin melanggar syarat-syarat dan timbulkan suasana rasuah serta salah guna kuasa dalam urusannya. Ejen-ejen mereka tidak boleh menyogok meskipun calon bertanding tidak melakukan perbuatan itu.
n Apabila Parlimen dibubarkan, kuasa eksekutif penyandang kerajaan masih ada. Kuasa Kabinet, Menteri dan pegawai kerajaan masih ada. Cuma jangan menyalahi undang-undang peruntukan pilihan raya dan dijauhkan sogokan dan janji berjanji untuk kemenangan seseorang calon termasuk menggunakan pengaruh.
n Setelah itu, tempoh kerajaan interim bergantung kepada satu-satu negeri tertakluk kepada undang-undang di Malaysia. Jika Yang di-Pertuan Agong berkenan Parlimen dibubarkan, maka dari tempoh itu ada 60 hari untuk pilihan raya. Semasa PRU 1969, tempoh sebulan diberikan.
Namun, sekarang tidak perlu berkempen lagi sebab semua pihak sudah lama bersedia untuk pilihan raya. Maka, adalah bijak jika SPR kendalikan PRU dalam masa singkat.
Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara?
n Selesaikan semua komitmen yang diputuskan sebelum ini. Dasar-dasar baru harus dielakkan. Bukan perjanjian baru.
n Teruskan pentadbiran seperti biasa, lunaskan bayaran yang diluluskan sebelum ini, sampaikan bantuan kebajikan yang belum dilaksanakan.
n Bayaran BR1M dan bayaran gaji termasuklah sekiranya timbul huru-hara, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika didapati negara dalam kacau-bilau di bawah Perkara 105.
Tetapi baginda tidak boleh bertindak sendirian dalam semua hal berhubung pentadbiran negara termasuk darurat. Di bawah Perkara 40, baginda akur nasihat Perdana Menteri yang mewakili jemaah menteri.
n Polis, tentera serta askar wataniah beroperasi seperti biasa. Tetapi jika diserang, ia berkuasa bertindak mengikut lunas undang-undang.
n Semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik dibenarkan guna nama jawatan dalam borang pencalonan jika bertanding dalam PRU ini.
n Dalam kerajaan interim, kuasa Jemaah Menteri tidak terjejas. Tetapi, ia tidak boleh mengikut dasar-dasar baru. Di bawah perkara 43, pelantikan Kabinet adalah sehingga tertubuhnya kerajaan baru. Kuasa dasar baru tidak ada.
n Sebagai konvensyen juga, pembayaran besar kepada negeri-negeri dan institusi-institusi yang diiktiraf di bawahnya tidak dapat dilakukan semasa kerajaan sementara.
n Kabinet boleh bersidang seperti biasa jika diperlukan berbuat demikian oleh Perdana Menteri.
n Peguam Negara masih penasihat undang-undang negara. Beliau masih boleh membuat pendakwaan atas kesalahan yang difikirkan wajar. Ini bermakna proses pendakwaan ke atas pengganas Sulu boleh diteruskan. Proses penjagaan pentadbiran undang-undang tidak ada cuti.
n Mana-mana menteri dan timbalan menteri boleh menjalankan program bantuan/saraan. Ini terkandung dalam kes Tengku Razaleigh (1984) yang diputuskan sebelum DUN bubar. Membantu tidak ada isu kecuali diumumkan perkara yang besar.
n Malah Menteri Dalam Negeri boleh mengeluarkan arahan berhubung perintah tahanan.
Kata Rais lagi: "Semua Belanjawan 2013 yang diluluskan boleh digunakan pada pilihan raya kali ini. Cuma, jangan kaitkan dengan kemenangan atau janji.
"Kalau setakat sampaikan bantuan tidak jadi hal. Dan tema BN 'Janji Ditepati' boleh digunakan di bawah kerajaan sementara ini. Tetapi jangan sebut 'saya' bagi peruntukan, tolong undi si anu-si anu tu, jangan kaitkan dengan janji'."

Mengurus ekonomi negara bukan mudah seperti berceramah politik

SATU persatu negara Kesatuan Eropah (EU) mengalami kegawatan ekonomi dan di ambang kemuflisan. Selepas Greece, Itali, Portugal dan Sepanyol, Cyprus adalah mangsa terbaharu krisis hutang Eropah yang berlanjutan hampir empat tahun. Krisis terbaharu ini menandakan bahawa ekonomi negara-negara EU masih belum pulih sepenuhnya.
Tempias krisis hutang EU amat dirasai oleh negara Cyprus sejak tahun lalu lagi. Saiz sektor perbankan Cyprus terlalu besar berbanding jumlah penduduknya. Tambahan lagi saiz sektor perbankan Cyprus lapan kali ganda berbanding keluaran ekonominya. Sektor perbankan Cyprus tidak berkeupayaan untuk kekal mampan dan seterusnya menampung kehendak para pendeposit yang kaya-raya yang rata-ratanya dari negara Rusia.
Bagi menyelamatkan sektor perbankan Cyprus, pakej penyelamat yang berjumlah AS$13 bilion diberikan oleh peminjam-peminjam antarabangsa. Sebelum ini ada cadangan untuk mengenakan cukai terhadap para pendeposit namun selepas persetujuan terhadap pakej penyelamat dalam kalangan pihak-pihak berkenaan, cadangan mengenakan cukai atau levi berkubur sama sekali.
Popular Bank of Cyprus atau lebih dikenali sebagai Bank Laiki, salah sebuah bank terbesar di Cyprus akan ditutup dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu "bank baik", dan "bank teruk". Bagi kategori "bank baik", ia akan diserapkan ke dalam Bank of Cyprus. Bank of Cyprus akan distruktur semula agar mencapai kecukupan modal pada paras sembilan peratus.
Satu perkara yang cukup penting dalam sektor perbankan adalah nisbah kecukupan modal yang tinggi bagi membolehkan sektor perbankan mempunyai kecairan yang tinggi dan seterusnya kekal kukuh.
Bagi pendeposit bank di bawah 100,000 euro mereka tidak akan mengalami sebarang kerugian, manakala pendeposit yang melebihi 100,000 euro akan dikenakan "tindakan". Namun, sejauh manakah kerugian yang bakal mereka tanggung masih belum ditentukan oleh pihak berkuasa Cyprus.
Disebabkan krisis ini, Cyprus terpaksa menutup salah satu bank terbesar di negara tersebut, iaitu Bank Laiki dan menstruktur semula Bank of Cyprus. Mogok dan demonstrasi dalam kalangan pekerja-pekerja bank berlaku secara besar-besaran, manakala rakyatnya hidup dalam keadaan tidak menentu. Salah satu persoalan utama adalah wajarkah Cyprus kekal sebagai sebahagian negara EU?
Ada yang berpendapat, Cyprus wajar menggunakan kembali wangnya dan bukannya euro. Keputusan sama ada untuk mengekalkan euro dan tetap berada dalam EU merupakan satu keputusan yang memberi kesan jangka masa panjang kepada negara Cyprus.
Krisis sektor perbankan Cyprus memberi satu lagi iktibar besar kepada ahli-ahli politik dan pemimpin negara betapa sektor perbankan amat penting bagi mana-mana negara sekali pun. Bukan mudah untuk mengurus ekonomi berbanding memberi ceramah politik kepada rakyat dengan mengkritik semberono tanpa cadangan membina.
Mengurus ekonomi negara memerlukan kebijaksanaan dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan. Seorang pemimpin yang mahir dalam mengurus dan mentadbir urus ekonomi negara adalah dalam kalangan yang mempunyai latar belakang ekonomi yang hebat di samping mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan ekonomi negara.
Pemimpin yang pernah diuji dengan pelbagai krisis ekonomi dan dan berjaya membawa keluar negaranya daripada krisis ekonomi adalah satu contoh pemimpin yang mampu dan berjaya membawa negaranya ke landasan kemajuan ekonomi yang lebih mampan.
Di Malaysia telah teruji terdapat pemimpin yang berkeupayaan mengurus dan mentadbir urus ekonomi meskipun semasa krisis ekonomi Asia pada tahun 1997/1998 dan krisis hutang Amerika Syarikat (AS) 2008 dan krisis hutang Eropah yang masih melanda dunia, kini. Pokok pangkalnya, apakah strategi terbaik untuk mengharungi setiap krisis ekonomi?
Sememangnya semasa krisis ekonomi, pelbagai nasihat dari dalam dan luar akan cuba membantu kepimpinan tertinggi negara, namun nasihat manakah yang terbaik dan sejauh manakah kepimpinan tertinggi sesebuah negara memahami sepenuhnya sesuatu krisis berkenaan agar dapat mengharungi krisis ekonomi tersebut dengan jayanya.
Umpamanya, krisis ekonomi Asia tidak boleh disamakan dengan krisis hutang Eropah dan AS. Situasinya berbeza dan sudah tentu tindakan yang diambil juga berbeza. Kepimpinan tertinggi negara perlu membuat keputusan dengan pantas tetapi tepat dan tidak mudah dipengaruhi oleh pendapat yang boleh membahayakan kedudukan ekonomi negara.
Pada masa sama, pemimpin tertinggi negara perlu mengetahui dan mengenali siapakah sahabat sebenar beliau ketika krisis ekonomi melanda. Sahabat sejati ini merangkumi individu yang rapat dengan beliau dan negara-negara yang berdagang dengan negaranya.
Pemimpin tersebut perlu membuat keputusan sendiri selepas memahami sepenuhnya bagaimanakah krisis ekonomi tersebut boleh berlaku dan pada masa sama mengenali sahabat sebenar beliau ketika kesusahan agar mudah mendapatkan bantuan tanpa adanya helah untuk "menikam belakang" beliau.
Ini yang terjadi ketika krisis ekonomi Asia 1997/98. Diberitakan bahawa sahabat sejati Malaysia adalah negara China dan Jepun, manakala negara-negara Eropah dan AS tidak boleh diharap ketika Malaysia mengalami krisis ekonomi.
Negara China dan Jepunlah yang telah membantu Malaysia keluar daripada krisis ekonomi tersebut, manakala negara-negara Barat tidak membantu kecuali memberi cadangan untuk memburukkan lagi keadaan ekonomi negara agar mereka boleh mengambil alih syarikat-syarikat tempatan.
Yakinilah, Malaysia sentiasa diimpi-impikan oleh anasir-anasir luar yang sentiasa menunggu peluang untuk mencampuri urusan ekonomi negara.
Sebab itulah, mengurus ekonomi negara bukanlah mudah dan ia memerlukan barisan kepimpinan yang sememangnya sudah teruji jitu, berpengalaman luas dan ikhlas membela nasib rakyat dan sentiasa mempertahankan kedaulatan negara.

Apabila Hadi terus bermimpi

PADA 6 Januari lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan dalam artikel yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia apa maksud sebenar pepatah Inggeris Better the devil you know than the angel you don't.
Dr. Mahathir membuat penjelasan itu kerana ada ulama dalam Pas telah tersalah tafsir maksud beliau dengan menyatakan Dr. Mahathir berkata lebih baik bersama syaitan daripada malaikat yang kita tidak kenal.
Maksud sebenar pepatah itu ialah lebih baik orang yang dikenali daripada orang yang tidak dikenali.
Bagaimanapun sudah menjadi tabiat pemimpin-pemimpin Pas untuk mencari apa sahaja hujah bagi kepentingan politik mereka.
Ia terbukti apabila dalam tulisan terbaru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan oleh harakahdaily.net pada Jumaat lalu, Presiden Pas itu kembali mengungkit kenyataan Dr. Mahathir.
Walaupun dalam tulisannya, Abdul Hadi seolah-olah mengakui apa yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir hanya sekadar metafora atau hiasan namun beliau turut berhujah dengan menyatakan, ''tetapi ia tidak menafikan hakikat bahawa Tun Mahathir sendiri telah membuat dua cabang kelas bahawa UMNO BN berada di pihak yang "buruk dan rosak" manakala Pakatan Rakyat berada di pihak yang "baik".
Berikutan itu Abdul Hadi memetik tidak kurang empat ayat al-Quran berkaitan kejahatan syaitan. Beliau kemudiannya mengaitkan bagaimana kenyataan Dr. Mahathir itu dengan situasi UMNO yang digambarkan menghadapi penyakit rasuah yang kronik dan salah guna kuasa.
Di penghujung tulisannya, Abdul Hadi berhujah, ''Seruan saya kepada rakan taulan dalam UMNO-BN. Tinggalkanlah UMNO dan BN bersama syaitan yang dikenali atau tidak dikenali. Jadikan Pas Ganti UMNO, Pakatan Rakyat ganti BN. Disebabkan juga pendekatan berbeza, maka Pas bertahaluf dengan bukan Islam dan masyarakat majmuk bersama prinsip dan konsep Islam yang teguh.
UMNO pula berwala' dengan bukan Islam dan bukan Melayu dengan prinsip dan konsep nasionalisme yang rapuh sehingga menghilangkan jati diri bersama syaitan yang dikenali dan tidak dikenali. Fahamilah secara ilmu dan ikhlas jangan menolak secara jahil murakkab."
Sebelum penulis mengulas lanjut seruan yang tidak berpijak bumi nyata oleh Abdul Hadi itu, penulis ingin mengingatkan pemimpin dan penyokong Pas tentang apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 Januari 1999.
Antara lain Menteri Besar Kelantan itu berkata, "Siapa yang nak tolong Kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong Pas saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima".
Kata-kata Nik Abdul Aziz itu bukan kiasan seperti mana digunakan oleh Dr. Mahathir tetapi satu kenyataan yang boleh ditafsirkan mempunyai maksud sebenar.
Persoalannya kenapakah pemimpin-pemimpin Pas termasuk Abdul Hadi tidak menyanggah kenyataan tersebut? Tidakkah ayat-ayat al-Quran yang digunakan oleh Abdul Hadi bagi mengulas kiasan Dr. Mahathir lebih tepat untuk kenyataan Nik Abdul Aziz? Dan mungkin juga kalau kenyataan Nik Abdul Aziz itu mahu diambil kira berikutan kupasan Abdul Hadi terhadap kiasan syaitan, maka fahamlah kita kenapa kerajaan Islam Kelantan hanya sekadar slogan? Ia memandangkan mana ada syaitan yang akan membantu hamba Allah melakukan kebaikan?
Sebenarnya penulis bersimpati dengan pemimpin Pas seperti Abdul Hadi yang masih terus bermimpi dan berkhayal kononnya kerjasama Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP jauh lebih baik berbanding kerjasama UMNO dengan MCA dan MIC serta parti-parti komponen lain.
Abdul Hadi berhujah, tahaluf siyasi Pas dengan PKR dan DAP berasaskan kepada prinsip dan konsep Islam yang teguh. Tetapi kita mahu bertanya, kalau betullah begitu, kenapa Pas terpaksa mengorbankan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan?
Kalau betul sekutu Pas, khususnya pemimpin DAP memahami konsep Islam yang dikatakan, kenapakah ada dalam kalangan mereka yang terus menolak hukum hudud?
Kalau betul Pas berjaya mentarbiahkan PKR dan DAP mengenai konsep Islam kenapakah ada pemimpin DAP sanggup membuat cadangan supaya kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam?
Bagaimana pula di Selangor dan Pulau Pinang, apakah sekutu-sekutu Pas itu mempedulikan apa yang Pas perkatakan dalam soal memastikan pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang mengikut lunas-lunas Islam?
Kenapakah Pas tidak bersuara apabila bertimbun-timbun janji yang dibuat bersama sekutunya di negeri-negeri yang mereka perintah tidak ditunaikan sehingga kini? Apakah ini dinamakan konsep Islam yang teguh?
Oleh itu tidak payahlah Abdul Hadi atau Pas mahu terus bermimpi untuk menggambarkan kerjasama dalam pakatan pembangkang jauh lebih baik daripada kerjasama UMNO dan komponen BN serta janganlah mudah menggunakan hujah berdasarkan al-Quran dan hadis bagi menutupi kelemahan sendiri.
Kita memahami keterujaan Abdul Hadi yang begitu ingin melihat Pas menggantikan UMNO dan pakatan pembangkang menggantikan BN selepas pilihan raya umum nanti tetapi berpijaklah di bumi nyata apabila membuat kenyataan.
Ia termasuklah apabila beliau berkata, ''UMNO pula berwala' dengan bukan Islam dan bukan Melayu dengan prinsip dan konsep nasionalisme yang rapuh sehingga menghilangkan jati diri…"
Soal siapakah sebenarnya yang semakin terhakis jati diri, UMNO atau Pas, pakatan atau BN? Prinsip dan konsep nasionalisme yang ditafsirkan oleh Abdul Hadi sebagai rapuh itulah yang meletakkan negara ini menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain.
Berikutan konsep nasionalisme yang dituduh rapuh itulah, perkembangan Islam di Malaysia amat mengagumkan dalam pelbagai bidang dan syiar Islam terus berkembang sehingga dikagumi dunia.
Dan konsep nasionalisme yang didakwa rapuh itulah yang meletakkan rakyat Malaysia hidup aman, damai dan mengecapi pelbagai kemajuan.
Tetapi apa yang Pas sumbangkan sejak kewujudannya pada tahun 1951 dan apa pula sumbangannya sejak berada dalam satu selimut dengan PKR dan DAP?
Sumbangan Pas ialah memecah belah umat Islam dan Abdul Hadi tidak harus lupa terhadap 'Amanat Haji Hadi' yang dilafazkan pada tahun 1981 tetapi natijahnya masih wujud sehingga ke hari ini.
Abdul Hadi juga perlu faham, berikutan kesediaan Pas menjadi 'pak turut' dalam kerjasama dengan PKR dan DAP telah memungkinkan senario politik negara tidak pernah tenteram.
Dan lebih buruk lagi, pemimpin-pemimpin Pas bersedia menjadi 'pembela setia' kepada keceluparan dan salah laku yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang khususnya PKR.
Tidakkah Abdul Hadi memikirkan fakta ini semua? Sudah pasti tidak! Sikap Pas berpolitik sekarang sama seperti PKR yang hanya tahu mencari salah kerajaan UMNO dan BN.
Kita memahami Abdul Hadi harus terus berusaha menyakinkan rakyat khususnya orang Melayu kenapa Pas dan pakatan pembangkang perlu disokong.
Segala-galanya kerana Pas semakin menyedari betapa tembelang parti itu dan sekutunya kononnya mereka pilihan terbaik bagi menggantikan UMNO dan komponen BN semakin diketahui rakyat.
Justeru adalah lebih baik, Abdul Hadi berhenti daripada bermimpi dan dilihat cuba menggunakan taraf sebagai tok guru dan ulama berhujah demi kepentingan politik semata-mata.