KUALA LUMPUR 3 Mei - Kenyataan berbaur rasis yang beranggapan Malaysia tidak berpotensi untuk mencapai negara maju disebabkan kekangan Islam merupakan kenyataan provokasi dan fitnah dahsyat ke atas agama Islam yang dikeluarkan semata-mata kerana terlampau kemaruk untuk berkuasa.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, jika benar kenyataan itu dikeluarkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, ini jelas menunjukkan beliau sangat dangkal serta amat cetek ilmunya, sekali gus tidak layak diangkat menjadi pemimpin.
Jelas beliau, mereka perlu sedar bahawa Malaysia akan muncul sebagai negara maju pertama dalam kalangan 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) jika berjaya mencapai Wawasan 2020 lebih awal.
"Sehubungan itu, orang seperti ini perlu celik sejarah bahawa Islam pernah membina tamadun dalam peradaban manusia selama 700 tahun sehingga mencetuskan inovasi sains dan teknologi.
"Tamadun Barat tidak akan muncul kecuali dipelopori sarjana Islam sehingga negara Eropah berjaya membina keagungannya selepas zaman kegelapan. Jadi apa buktinya Islam menjadi penghalang kemajuan?," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendedahkan satu mesej Pilihan Raya Umum Ke-13 bersifat anti-Islam yang didakwa disampaikan oleh Kit Siang.
Mesej tersebut dikaitkan dengan beliau kerana gambarnya jelas terpampang pada mesej berkenaan yang berbunyi: "I personally think that Malaysia will not be able to reach its full potential as a developed country due to the limitations of Islam. Now is the time for us to remove all the barriers by changing the current government and the constitution. Ini kalilah." - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan