31 Julai 2013

Pendirian ulama Islam tentang Syiah

BAHAGIAN AKHIR
SEPANJANG sejarah Islam, bermula dari zaman Saidina Ali RA lagi, firqah atau golongan Syiah yang menolak Mushaf Uthman dan mengkafirkan Sahabat dan Ummahatul Mukminin, telah dihukum kafir. Imam Abi Muzaffar al-Isfarayni dalam Tabsir fi ‘d- Din-nya telah memberi fatwa, bahawa orang yang solat di belakang penganut Syiah yang iktikad mereka seperti ini, wajib mengulangi solatnya. Khomeini ialah antara orang yang mengkafirkan Sahabat!
Untuk makluman, semua ulama dunia Islam dari Maghribi, Turki, hingga Indonesia, menolak Syiah. Mereka termasuklah Said Hawwa, Syed Abu Hasan Ali an-Nadvi, Syed Muhammad al-Maliki, Yusuf Qaradhawi, Habib ‘Umar dan seluruh ulama Hadramawt, ulama Lucknow dan seluruh ulama benua kecil India, ulama al-Azhar dan banyak lagi.
SYIAH DI MALAYSIA
Perkembangan Syiah di Malaysia amat membimbangkan. Ini adalah kerana mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh, rangkaian antarabangsa serta mendapat sokongan dan pembelaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tempatan.
Dari segi kewangan, mereka berjaya membina pelbagai jenis perniagaan dengan rangkaian yang banyak dan besar. Mereka mempunyai perniagaan strategik dengan memiliki restoran dan menjadi pengeluar serta pengedar barangan makanan dan minuman serta produk kesihatan. Jenis perniagaan ini berkaitan dengan orang ramai secara langsung. Ini adalah mekanisme yang baik untuk menyebarluaskan dakyah mereka.
Dalam suatu perhimpunan Bersih, mereka pernah mengagihkan air mineral keluaran mereka secara percuma kepada para demonstran. Mereka juga mempunyai rangkaian pendidikan dan tadika yang banyak serta pusat-pusat penyebaran ajaran mereka dengan pelbagai nama di pelbagai tempat.
Mengenai rangkaian antarabangsa pula, mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Syiah di Iran. Syiah Iran membantu mereka membina rangkaian perniagaan dan membekalkan literatur serta pendakyah di sini. Dari segi politik pula mereka mempunyai hubungan erat dengan sebuah parti politik Syiah terbesar di Lebanon yang radikal.
Sementara itu dalam negara ini pula, mereka mendapat sokongan, pembelaan dan perlindungan daripada beberapa NGO Islam serta parti politik.
Ini ditambah pula dengan kedatangan mulah-mulah Syiah bertali arus dijemput menghadiri wacana-wacana dan perjumpaan-perjumpaan sulit dengan kumpulan mereka, selain daripada kebanjiran pelajar-pelajar Syiah di pusat-pusat pengajian tinggi.
Perlu kita fahami, Syiah seperti juga gerakan Zionis-Kristian, berusaha menguasai parti politik dan NGO Islam yang berpengaruh. Mereka pandai menyusun strategi dengan menjadikan aktivis ini sebagai anak catur mereka dalam rangka menguasai organisasi tersebut.
Strategi ini agak menjadi, walaupun belum berjaya sepenuhnya. Pada suatu ketika, mereka berjaya menguasai sebuah persatuan ulama di Malaysia. Dan kini mereka berjaya meletakkan orang mereka dalam sebuah parti politik sehingga memegang jawatan penting.
Kepada pengagum dan pengusung Syiah dan Khomeini di Malaysia, mereka perlu tahu sikap sebenar beliau kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Khomeini telah mengkhianati Mufti Ahmad Zadeh, rakan seperjuangannya semasa menjatuhkan Shah Iran dahulu. Selepas berjaya menjatuhkannya, Shah telah dipenjara oleh Khomeini. Beliau jatuh sakit di dalam penjara tanpa rawatan secukupnya.
Apabila kesihatan beliau semakin teruk, beliau dipindah dari penjara besi ke penjara rumah pula dan tidak dibenarkan berubat ke luar negara. Kenapa? Kerana Mufti Zadeh seorang Sunni! Banyak juga imam masjid dan pendakwah Islam Sunni terpaksa lari ke Pakistan semasa pemerintahan Khomeini.
PENUTUP
Ajaran Syiah benar-benar meruntuhkan ajaran Islam kerana mereka menghalalkan yang haram seperti nikah mutaah, solat jamak sepanjang masa dan paling parah ialah menolak Quran Mushaf ‘Uthman dan Hadis Nabi yang menjadi sumber dalam hukum-hakam Islam. Apa akan terjadi? Islam jenis ini bukan agama Islam lagi!
Kaedah mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Justeru untuk membendung penularan virus Syiah dalam kalangan masyarakat Ahli Sunnah wal Jamaah di negara kita, umat Islam perlu mendalami dan memperkemaskan serta memperkasakan akidah dan syariat mereka. Mereka perlu mempelajari kitab-kitab muktabar dalam subjek Usuluddin-‘Aqidah-Tauhid dan juga Hukum hakam Fiqah. Ilmu-ilmu ini akan dapat menjadi neraca dan kayu pengukur dalam menyuluh kebatilan ajaran Syiah itu.
Selain daripada menekuni dan memantapkan ilmu-ilmu dalam wacana Ahli Sunnah wal Jamaah, usaha-usaha pencegahan melalui undang-undang dan peraturan serta tindakan bersepadu perlu disegerakan.
Pihak berkuasa agama negeri dengan kerjasama pasukan polis perlu melipatgandakan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri perlu mengawasi kedutaan Iran supaya mereka tidak menyebarkan buku-buku Syiah kepada masyarakat Islam. Sementara pihak Imigresen pula perlu menghalang pendakyah-pendakyah Syiah daripada memasuki negara ini. Kementerian Pendidikan pula patut mengurangkan pengambilan pelajar dari negara Syiah atau dari kalangan penganut Syiah.
Perkara ini bukan luar biasa, kerana kita pernah melakukan polisi ini ketika Perang Dingin dahulu yang mana pelajar dari negara-negara Komunis dikenakan tapisan dan sekatan. Selain itu, kerajaan juga perlu menghalang pelajar kita daripada belajar di pusat-pusat pengajian Syiah. Ini juga pernah dilakukan oleh kerajaan semasa ancaman Komunis satu ketika dahulu. Bahkan kerajaan perlu mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri atau yang setara dengannya. Ini semua adalah mekanisme yang bertujuan untuk memelihara kesucian ajaran Islam.
Selain itu, untuk membantu mencegah penularan virus Syiah di Malaysia, organisasi-organisasi Islam, baik NGO atau pun politik, patut mengisytiharkan secara terbuka, yang organisasi mereka menolak ajaran Syiah daripada berkembang di Malaysia sama seperti mereka menolak fahaman Komunisme.
Mereka juga perlu memastikan yang fahaman Syiah ini tidak ada dalam organisasi mereka. Jika didapati ahli-ahlinya beramal atau cenderung kepada fahaman Syiah, perlu dicegah segera dengan mengajar mereka fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar berdasarkan teks-teks muktabar. Sekiranya mereka masih berdegil tidak mahu kembali kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, tindakan memecat adalah pilihan paling baik. Pas patut mendahuluinya dalam perkara ini.
Kita perlu bertegas dan tidak perlu melayan dengan desakan dan asakan puak yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan. Dari satu perspektif, dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak. Diri kita pun bukan milik kita. Perjalanan hidup kita pun ditentukan oleh Allah SWT seperti cara-cara beramal dan bermuamalah. Kita tidak boleh bersolat atau berpuasa dan lain-lain ibadat dengan cara dan kaedah ciptaan kita sendiri.
Dari satu perspektif lain, pada paras individu, kita memang ada kebebasan, tetapi kebebasan mesti dalam lingkungan dan batas-batas syariat. Seseorang bebas berzikir bersendirian semahu-mahunya, berinfaq sebanyak-banyaknya dan membaca al-Quran berkali-kali khatam, tetapi mereka perlu ingat, bahawa mereka tidak boleh menjerit membaca al-Quran dengan kuat di tengah malam buta semasa orang lain sedang tidur, kerana kebebasan individu tidak boleh mengatasi kebebasan masyarakat.
Maka dalam konteks perkembangan ajaran Syiah di Malaysia ini, soal hak kebebasan beragama tidak timbul, kerana mereka menggunakan jenama Islam untuk merosakkan Islam sama seperti ajaran Qadiyani, Khawarij, Muktazilah, Mujassimah, Karramiyah, Nabi Melayu, Ayah Pin, pluralis agama dan lain-lain.
Agama Islam ini adalah hak Allah SWT dan manusia hanya menjadi pemegang amanah-Nya sahaja. Justeru, pemerintah dan setiap individu Muslim wajib melaksanakan amanah ini dengan memelihara kesucian ajaran Allah SWT dan menyekat aktiviti yang boleh merosakkannya seperti kita menjaga al-Quran daripada diubah atau dihina oleh seseorang.
Justeru, Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) sebuah organisasi dakwah Islam, mengambil inisiatif menganjurkan satu program khusus membincangkan mengenai kesesatan ajaran Syiah dalam Seminar Mendepani Virus Syiah. Seminar sehari ini, akan berlangsung pada 6 Oktober akan datang, bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur. Insya-Allah.

PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)

Dialog bersama ahli MPN


TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bersama ketua kluster Majlis Profesor Negara (MPN) selepas sesi dialog bersama ahli MPN itu di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA | Jul 30, 2013 4:47 pm

Percanggahan Syiah - ajaran Islam

DEWASA ini, isu aktiviti penyebaran ajaran Syiah di negara kita, kembali hangat diperkatakan. Pelbagai pihak daripada kalangan pihak berkuasa agama Islam, kementerian-kementerian yang menjaga urusan keselamatan dan agama serta penganut Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, telah memberi respons. Tidak terkecuali turut memberi respons ialah penganut Syiah sendiri serta para simpatisan mereka, termasuk daripada kalangan golongan Liberalis dan puak yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia (HAM).
Isu ajaran dan golongan Syiah bukan baharu dalam kalangan umat Islam. Sejak hari pertama wujudnya golongan Syiah ini, seluruh umat Islam yang dipimpin oleh ulama dan pemerintah, telah bangun menentang mereka.
Para ulama Islam telah mengarang ribuan kitab menjawab dan menolak fahaman sesat dan salah ini, sementara pemerintah pula membuat peraturan dan memberi hukuman kepada mereka selaras dengan tuntutan Maqasid Syara’ iaitu memelihara agama Islam daripada dicemari dan diubah serta dirosakkan daripada ajarannya yang sebenar dan asal, seperti yang di bawa oleh Nabi SAW.
Kemasukan fahaman Syiah ke Malaysia adalah melalui perancangan rapi. Selepas Revolusi Khomeini menumbangkan Shah Iran, dia menubuhkan kerajaan Syiah. Bukan kerajaan Islam. Ini adalah kerana Perlembagaan negara Iran, meletakkan mazhab Ja‘fari sebagai mazhab rasmi negara itu. Tidak seperti yang dilaungkan mereka iaitu: Tidak Barat, tidak Timur tetapi Islam dan Wehdah Islamiyyah. Islam mereka ialah Syiah bukan selainnya.
Berikutan dari itu, Kerajaan Iran menjemput pemimpin-pemimpin politik dan badan-badan dakwah Islam seluruh dunia ke Iran, termasuk Malaysia. Ada organisasi Islam yang terpengaruh dan membawa balik fahaman Syiah ke dalam organisasi mereka seperti dari Malaysia. Ada yang tidak.
Setelah terpengaruh dengan dakyah Syiah, organisasi ini menghantar pula anak-anak yang amat muda ke Iran untuk mempelajari ‘Islam’- Islam versi Syiah. Di samping itu, pelbagai buku ‘akidah dan agama Syiah, membanjiri masuk melalui badan-badan politik dan NGO-NGO ini.
Berikutnya, berduyun-duyun ulama Syiah datang atas jemputan organisasi-organisasi ini, memberi ceramah dan membentang kertas kerja dalam wacana-wacana anjuran mereka. Untuk mengukuhkan lagi penyebaran fahaman Syiah, Syiah Iran telah melabur wang yang banyak, menubuhkan institut-institut untuk menerbitkan tulisan-tulisan dan buku-buku serta membiayai kegiatan terjemahan buku-buku agama Syiah.
Antara buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah al-Hukumah al-Islamiyyah, karangan Khumayni yang bercanggah dengan akidah Islam itu. Ia diterjemah oleh seorang pemimpin NGO dakwah Islam!
Seorang Muslim yang serius, sekiranya meneliti literatur berkaitan dengan doktrin dan konsep Usuluddin dan Tauhid serta Syariat Islam, pasti dia akan bertemu ajaran Syiah amat bercanggah bahkan bertentangan sama sekali daripada ajaran agama Islam seperti yang dibawa oleh Nabi SAW, baik dalam perkara yang bersifat Usul mahu pun yang bersifat Furu’.
Ini berdasarkan kepada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad dan Ibn Madjah, yang menerangkan mengenai golongan yang berjaya atau firqah al-najiyah. Baginda ditanya oleh Sahabat mengenai golongan yang berjaya. Baginda menjawab: Ahli al-Sunnah wal Jamaah. Tanya Sahabat: dan apakah al-Sunnah wal Jamaah? Baginda menjawab: apa yang saya dan Sahabat-sahabat saya berada ( berpegang dan beramal padanya) pada hari ini. Jelas dari Hadis ini, golongan yang berjaya hanyalah golongan yang Iktikad dan Syariat mereka adalah Ahli Sunnah wal Jamaah bukan selainnya.
AKIDAH DAN SYARIAT SYIAH
Tulisan ini akan menerangkan beberapa pokok ajaran Syiah yang menyalahi ajaran kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Antaranya ialah:
1. Al-Quran
Agama Syiah menolak al-Quran Mushaf Uthman sebagai Mushaf al-Quran yang lengkap lagi autentik. Mereka mempunyai mushaf sendiri yang bernama Mushaf Fatimah. Bagi orang Islam, al-Quran yang ada di tangan kita hari ini, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi SAW, tetapi bagi Syiah seperti yang terdapat di dalam Usul al-Kafi iaitu sebuah koleksi Hadis menurut epistemologi mereka, al-Quran mereka itu, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Sayidah Fatimah binti Rasul SAW, sebab itulah dinamakan Mushaf Fatimah.
Mushaf inilah yang diterima sebagai paling benar lagi autentik. Menurut mereka, Mushaf Uthman hanya mengandungi sekitar satu pertiga sahaja dari mushaf yang lengkap. Dua pertiga lagi berada di dalam Mushaf Fatimah. Khumayni dalam Wasiyat-nya menyebut dengan terang mengenai Mushaf Fatimah ini dan berkata mereka mendapat penghormatan dengannya.
Beliau menyeru supaya Imam Mahdi mereka, iaitu Muhammad bin Hasan al-Askari segera keluar dari lubang penyembunyiannya di Iraq dan membawa keluar bersamanya Quran Mashaf Fatimah ini. Tetapi untuk menjaga maslahah di depan orang Islam, mereka beramal dengan doktrin taqiyyah yakni berpura-pura menerima al-Quran yang ada di tangan kita.
Cuba kita bayangkan, jika ada penganut agama Buddha atau Hindu membuat dakwaan yang al-Quran Mushaf Uthman tidak autentik, apa akan terjadi?
Sementara itu, dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran pula, tafsiran mereka berlainan dengan kita, terutama ayat yang di dalamnya ada perkataan imam. Mereka memaknakannya sebagai Sayyidina 'Ali r.a, seperti dalam Surah al-Sajdah: 24; waja‘aln’ minhum aimmatan yahd’na biamrin’ lamm’ obar’. Dan perkataan n’r dalam Surah al-Taghabun:8, fa’min’ bill’ hi wa ras’lihi wa‘n-n’rillaz’ anzaln’, diertikan oleh mereka sebagai imam-imam mereka.
2. Al-Hadis
Dalam epistemologi Ahli Sunnah wal Jamaah, Hadis ialah merangkumi perkataan, perbuatan dan ehwal Rasulullah SAW. Kemudiannya, Hadis-hadis ini disampaikan oleh generasi Sahabat kepada generasi berikutnya secara mantap dan tidak putus sanadnya sehinggalah disusun menjadi koleksi dalam sebuah buku oleh para perawi kemudian seperti perawi yang Enam, Ahmad, Imam Malik, Ibn Sunniy, as-Syafi‘i dan lain-lain.
Akan tetapi bagi Syiah, Hadis dalam epistemologi mereka ialah sesuatu yang diucapkan oleh para Imam mereka sahaja dan sanadnya tidak sampai kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam ajaran mereka, para imam mereka itu menerima ilmu terus daripada Nabi SAW, walau pun semasa ketiadaan Baginda SAW, dan lagi pun, dalam ajaran mereka, Imam-imam mereka adalah maksum yakni bebas daripada kesalahan.
Dalam epistemologi Sunni, konsep seperti ini tidak boleh dinamakan sebagai Hadis atau kalau mahu juga hendak dikatakan Hadis, ia tergolong sebagai Hadis munkar atau pun Hadis palsu.
Syiah menolak dan tidak menerima Hadis Nabi yang disampaikan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin r.a, kerana menurut akidah mereka, semua Sahabat Nabi SAW telah murtad setelah wafatnya Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja.
3. Mengkafirkan Sahabat Radiyallahu 'Anhum
Dalam agama Syiah, terdapat satu konsep dan doktrin bernama al-bara‘ah atau tabarra. Doktrin ini bermaksud, mengutuk, mencaci bahkan memutus hubungan kasih sayang dengan semua Sahabat. Mereka ini buta sejarah. Bukankah Saidina Ali sendiri mengahwinkan anaknya dengan Saidina Umar r.a?
Menurut mereka semua Sahabat menjadi murtad dan kafir selepas wafat Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja seperti Ali, Miqdad, Abu Dzar, Salman dan beberapa yang lain. Mereka juga beriman dan percaya yang para Sahabat bersepakat menyembunyikan wahyu dan mengkhianati wasiat Rasulullah SAW dalam hal imamah dan pelantikan Saidina Ali r.a sebagai khalifah.
Dan mereka menuduh Sahabat tidak amanah kerana mengurangkan ayat al-Quran sebanyak dua pertiga daripada wahyu asal, yang demikian hilanglah ayat-ayat yang berkaitan dengan imamah 'Ali r‘a. Justeru, semua Sahabat itu dalam Iktiqad Syiah telah menjadi kafir. La hawla wala quwata illa billah.
Dalam kaitan dengan doktrin tabarra ini, mereka senantiasa berdoa mengutuk Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Radiyallahu 'Anhuma yang disifatkan mereka sebagai ‘dua berhala Quraisy’.
Khumayni telah mengkafirkan Saidina Umar al-Khattab r.a dan mengatakan Saidina Abu Bakar r.a pula, seorang manusia yang jahil agama.
Berdasarkan kepada Hadis di awal tulisan ini, bahawa golongan yang berjaya daripada neraka ialah orang yang mengikuti ajaran Rasul dan Sahabat Baginda. Bagaimana seseorang atau sesuatu golongan boleh berjaya dan selamat daripada api neraka, sedangkan mereka enggan mengikut perjalanan Sahabat tersebut bahkan mengkafirkan mereka.
4. Ummahatul Mukminin
Seperti para Sahabat, Syiah juga langsung tidak menghormati Ummahatul Mukminin pada hal mereka itu semua adalah isteri-isteri Baginda yang tercinta. Syiah melemparkan pelbagai fitnah, tuduhan palsu, jijik dan jahat kepada Ummahatul Mukminin Saidatuna Aishah r.ah, bahkan dalam iktiqad raj’ah mereka, beliau r.ah akan dihukum oleh para Imam Syiah menjelang kiamat kerana berkhianat dan menganiayai puak Syiah seperti dalam kes Peperangan Jamal. Atas dasar ini juga Syiah bukan daripada golongan Islam.
5. Raj‘ah
Syiah beriktikad bahawa para Imam mereka akan hidup semula di akhir zaman untuk menghukum para Sahabat dan Isteri Nabi SAW yang mereka tuduh bersekongkol merampas hak Saidina Ali sebagai khalifah. Termasuk yang akan dihukum dalam akidah mereka ialah Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah, Aishah r.a dan lain-lain. Demikian khurafat mereka.
6.Konsep Imamah
Dalam ‘akidah Syiah, Imamah atau Walayah atau kepimpinan sudah ditentukan oleh Allah SWT. Khumayni berkata dalam buku beliau, al-Hukumah al-Islamiyyah, muka surat 18, bahawa Nabi perlu menentukan seorang pengganti Baginda dan Baginda telah pun berbuat demikian, yakni melantik Ali r.a. Jika Baginda tidak berbuat demikian, bermakna Baginda tidak menyampaikan Risalahnya ( ms 19 ). Oleh sebab itu, Imamah ini termasuk ke dalam Rukun Iman Syi‘ah. Sesiapa yang tidak percaya kepada doktrin dan konsep Imamah ini, menurut Syiah, ia bukanlah seorang Islam dan layak dihumban ke dalam neraka.
Dalam buku al-Hukumah al-Islamiyyah itu lagi, pada muka surat 52, beliau menyifatkan Imam-Imam mereka mempunyai kedudukan yang amat tinggi di sisi Allah SWT, sehingga tidak tercapai oleh para Malaikat muqarrabin dan juga Nabi-Nabi yang diutus. Dalam membincangkan hal kepimpinan selepas Rasulullah SAW pula, dia langsung tidak menyentuh kepimpinan tiga khalifah awal iaitu Abu Bakar, Umar dan Uthman radiyallahu ‘anhum dan terus melompat kepada Sayyidina Ali r.a. Ini adalah kerana dalam ‘akidah Syiah, mereka tidak mengiktiraf kepimpinan tiga khalifah sebelum Ali r‘a bahkan disifatkan tiga khalifah yang mulia itu, adalah perampas hak khalifah Ali r.a.
Mereka juga beriktikad bahawa semua Imam mereka adalah maksum. Khumayni berkata, bahawa Imam-Imam mereka tidak bersifat lupa dan lalai (ms 91) bahkan ajaran mereka itu, sama seperti ajaran al-Quran yakni wajib dipatuhi hingga Hari Qiamat (ms 113).
7. ‘Ismah
Konsep imamah berkaitan rapat dengan doktrin ‘ismah. 'Ismah bermaksud semua imam mereka adalah manusia maksum yakni tidak melakukan dosa, baik dosa besar mahu pun dosa kecil, bahkan dalam segala perlakuan mereka, imam-imam mereka itu tidak tersalah dan tersilap sedikit pun. Sebab itu imam-imam mereka boleh membuat hukum, yakni boleh menghalal dan mengharamkan sesuatu hukum Syara’. Ini bercanggah daengan 'Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa yang maksum hanya Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sahaja.
8.Ghaybah dan Menunggu Imam Mahdi
Syiah percaya bahawa Imam mereka yang kedua belas iaitu Muhammad bin Hasan al-'Askari telah ghaib. Dalam akidah Syiah, ia dianggap sebagai ghaybat al-sughra atau kehilangan kecil. Dia ini membawa bersamanya Mushaf Fatimah. Semasa ghaybat al-sughra ini - dalam khurafat mereka - pemimpin semasa Syiah masih boleh berhubung dengannya, bertanya pelbagai masalah dan jawapannya itu akan disebarkan kepada pengikut-pengikut mereka.
Beliau yang dikatakan ghaib kira-kira seribu tahun dahulu itu, masih hidup hingga sekarang dan akan datang semula ke dunia ini di akhir zaman, membawa bersamanya Mushaf Fatimah itu, untuk menyelamatkan dunia ini. Masa antara ghaybat al-sughra dengan kemunculan semula Imam Mahdi mereka itu, disebut sebagai ghaybat al-Kubra atau kehilangan besar. Sebab itu dalam wasiatnya, Khumayni berkata adalah suatu penghormatan kepada mereka kerana mereka mempunyai Mahdi jenis ini dan dia berdoa supaya Mahdi itu segera keluar dari lubang persembunyiannya. Semasa ketiadaan imam, maka yang ada ialah naib imam. Khumayni adalah salah seorang naib imam.
9. Taqiyyah dan Kitman
Taqiyyah dan Kitman dalam akidah Syiah bermakna menyembunyikan kepercayaan dan amalan sebenar mereka sekiranya mereka bersama-sama dengan masyarakat Islam. Ini bermakna mereka juga sedar bahawa ajaran dan amalan mereka itu adalah salah. Menurut ulama mereka, amalan taqiyyah dan kitman merupakan amalan nenek moyang mereka yang terdahulu dan pelakunya mendapat pahala. Atas dasar ini mereka dapat hidup hingga sekarang. Dalam menyebarkan dakyah mereka di Malaysia, mereka bertaqiyyah, menggunakan slogan cintakan Ahli Bayt, pada hal Ahli Bayt dalam konsepsi mereka, hanya beberapa orang sahaja, berbeza dengan konsep kita Ahli Sunnah wal Jamaah.
Perlu difahami, amalan taqiyyah ini dibuat jika mereka berada dalam keadaan tersepit dan dalam jumlah sedikit atau untuk mencapai sesuatu tujuan keagamaan mereka seperti keadaan awal mereka di Malaysia pada tahun-tahun 1980-an dahulu. Tetapi amalan ini akan ditinggalkan apabila mereka merasa keadaan mereka sudah selesa seperti sekarang ini. Sebab itu kita dengar puak Syiah Malaysia sudah berani mengisytiharkan mereka sebagai penganut Syiah. Ini semua sebagai dakyah dan untuk menakut-nakutkan masyarakat Sunni dan supaya kerajaan menunaikan tuntutan mereka. Tetapi dalam dakyah mereka dalam kalangan orang Sunni, amalan taqiyyah ini masih berlaku. Tujuannya ialah untuk mengumpan orang Sunni.
10. Ahl Bayt
Dalam kitab-kitab Tauhid kita, memang kita diwajibkan mencintai Ahli Bayt. Ahli Bayt yang sebenar ialah ahli kelurga Nabi SAW yang memiliki dan hidup di dalam Akidah dan Syariat yang benar seperti yang diajarkan oleh Baginda. Namun terdapat juga keturunan Ahl Bayt yang telah terkeluar dari ajaran Baginda SAW seperti menganut fahaman Marxisme, sekularisme, Liberalisme, Pluralisme agama dan Syiah. Mereka sudah tidak dapat dikategorikan sebagai Ahli Bayt lagi.
Ahl Bayt Rasulullah SAW, tiada kena mengena langsung dengan ajaran dan kumpulan Syiah lebih-lebih lagi Syiah Khumayni. Maulana Abu Hasan Ali an-Nadvi seorang ahli Bayt daripada keturunan Saidina al-Hasan r.a, ada menulis sebuah buku cukup baik yang menyorot kesesatan Syiah. Seorang Quraisy dari keturunan Saidina al-Hasan juga, Sayyid Muhammad al-Maliki dari Hijaz, amat kuat menentang Syiah. Demikian Ahl Bayt di Hadramawt.
11. Rukun Iman
Rukun Iman mereka antara lain ialah beriman kepada semua imam mereka yang dua belas dan beriman kepada imamah dan walayah Ali serta menolak imamah tiga khalifah sebelum 'Ali r’a. Khumayni termasuk dalam kelompok ini. Sesiapa yang engkar dalam perkara ini, dikategorikan sebagai kafir.
12. Konsep 'Ibadah
Oleh kerana mereka menolak Hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin, maka terdapat perbezaan besar dan dasar antara kita orang Islam dengan mereka yang Syiah, dalam semua urusan ibadah. Cara azan, solat, puasa, zakat, nikah kahwin, mengurus jenazah dsb, amat bertentangan dengan kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka boleh solat jamak sepanjang waktu, kita tidak boleh, kecuali uzur syarak. Ahli Sunnah mengharamkan nikah mut'ah, mereka mengharuskannya bahkan mendapat pahala yang besar. Ringkasnya, semua ibadat mereka bercanggah dengan Islam dan Sunnah.
BERSAMBUNG ESOK
PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)

30 Julai 2013

Pertandingan terbuka satu transformasi politik

JOHOR BAHRU 28 Julai - Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 5 Oktober ini yang dilaksana berdasarkan perlembagaan baharu parti merupakan satu transformasi politik sekali gus menggalakkan persaingan sihat dan terbuka antara pemimpin yang bertanding.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pemilihan secara terbuka itu juga bukti bahawa UMNO sememangnya sebuah parti yang berlandaskan demokrasi dan bukan sekadar cakap kosong.
“Tetapi kalau UMNO cakap soal demokrasi, sekurang-kurangnya kita buat dan kita buktikan melalui tindakan kita. Bukan macam segelintir parti yang tahu bercakap, namun tidak diaplikasikan, nak kira undi pun boleh silap, nak bertanding pun tak digalakkan dan tak panggil ahli pergi mesyuarat.
“Bagi ahli UMNO, saya rasa semua sudah cukup matang dalam membuat keputusan dan yang penting siapa kalah terima kekalahan dengan terbuka dan siapa menang jangan pula menindas yang kalah," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebooknya yang menyatakan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang berdasarkan perlembagaan baharu parti bakal menjadikan UMNO lebih terbuka, demokratik dan inklusif.
Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru ditemui selepas menyampaikan bantuan Ramadan Parlimen Johor Bahru di sini hari ini.
Pindaan perlembagaan UMNO yang diluluskan pada 2009 antara lain meningkatkan jumlah perwakilan untuk pemilihan jawatan tertinggi parti dan jawatan di peringkat bahagian, selain menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti.
Lebih 150,000 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini, berbanding hanya 2,500 sebelum ini.
Shahrir berkata, pemilihan tersebut juga akan mengubah persepsi segelintir masyarakat terutama golongan muda tentang parti yang seringkali dilabelkan oleh pihak pembangkang sebagai sebuah parti yang diktator dan jahat.
Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding merebut sebarang jawatan tertinggi parti, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu mengakui tidak berminat untuk bertanding dan lebih suka memberi tumpuan sepenuhnya kawasan Parlimen Johor Bahru.

28 Julai 2013

Najib ucap terima kasih kepada pengundi Kuala Besut

KUALA LUMPUR 25 Julai - Para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut hari ini menerima ucapan ribuan terima kasih daripada Datuk Seri Najib Tun Razak atas kemenangan Barisan Nasional (BN).
Dalam status terkini Perdana Menteri di Facebook dan Twitternya, beliau turut berterima kasih kepada jentera parti BN dan semua pihak yang telah menyumbang untuk mempertahankan kerusi itu.
"Syabas atas kemenangan parti kita, Barisan Nasional dan Ku Zaihan (Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman) di Kuala Besut.
"Di kesempatan ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi-pengundi kerana sekali lagi telah meletakkan kepercayaan di bahu Barisan Nasional untuk terus meneraju Kuala Besut," katanya.
Dalam Twitternya pula, beliau turut mengucapkan selamat bertugas untuk rakyat kepada Tengku Zaihan.
Tengku Zaihan yang meraih 8,288 undi, mengalahkan Endot@Azlan Yusof dari Pas dengan 2,592 undi majoriti. - BERNAMA

BN masih relevan kepada anak muda

BESUT 25 Julai - Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) menganggap kejayaan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini sebagai bukti BN masih relevan.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah PRK BN berkata, kejayaan itu juga menandakan BN masih di hati kebanyakan rakyat terutamanya orang Melayu, apatah lagi dengan majoriti yang bertambah berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
"Malah sokongan kalangan muda juga meningkat kali ini. Ini bukti beliau ore mudo (orang muda) yang profesional dan anak ustaz yang dapat diterima oleh semua," ujarnya.
Katanya, rakyat tentunya mengharapkan beliau berperanan dengan lebih berkesan dengan sokongan Kerajaan Pusat dan negeri untuk membangunkan kawasan dan terus membuka peluang mereka memajukan kehidupan.
"Walaupun calon Pas (Endot@Azlan Yusof) agak kuat, tapi calon yang dikatakan orang muda ini (Tengku Zaihan) adalah pilihan pada masa kini dan ternyata pemilihan yang dibuat oleh pucuk pimpinan adalah tepat," ujar beliau.
Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman kemenangan BN di sini semalam, beliau berkata, BN dapat memenangi hati rakyat dengan pendekatan kempen yang berhemah.

27 Julai 2013

Kejayaan PRK DUN Kuala Besut boleh dijadikan contoh - SPR

BESUT 25 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara keseluruhannya berpuas hati dengan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang berlangsung dengan penuh lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, banyak faktor yang menyumbang ke arah kejayaan pelaksanaan PRK berkenaan yang sebelum ini menjadi perhatian ramai pihak.
"Boleh saya sifatkan proses pembuangan undi sejak pagi lagi berjalan dengan begitu sempurna. Kertas undi yang rosak juga begitu sedikit kali ini.
"Kami (SPR) juga tidak menerima komplen daripada mana-mana pihak berhubung masalah sepanjang hari pengundian termasuk isu dakwat kekal, kertas undi rosak dan sebagainya," katanya di sini hari ini.
Jelas Abdul Aziz, secara umumnya, PRK DUN Kuala Besut boleh dijadikan contoh atau penanda aras yang terbaik dalam menghadapi pilihan raya yang berikutnya.
"Ada banyak faktor tertentu yang boleh dijadikan contoh seperti penggunaan dakwat kekal, kerosakan kertas undi yang kecil serta penggunaan kerusi roda untuk para pengundi yang kurang upaya," katanya.

Tengku Zaihan mula tugas sebagai wakil rakyat

TENGKU Zaihan Che Ku Abdul Rahman (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk kampung semasa membuat kunjungan di Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR 
*****
BESUT 25 Julai - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman memulakan tugas hari pertamanya dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal pukul 10 pagi.
Terdahulu, beliau mengunjungi bapanya, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah di Kampung Gertak Seratus bagi memohon restu sebelum memulakan tugasnya.
Tengku Zaihan yang ditemani isterinya, Siti Salbiah Osman, 34, turut bertemu golongan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut selama 30 minit.
Beliau kemudian melawat rumah seorang penyokong BN yang meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit lelah sejak lapan tahun lalu di Kampung Kayu Kelat.
Dalam pada itu, Tengku Zaihan ketika ditemui berkata, untuk peringkat permulaan ini beliau akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan melihat kembali perancangan yang telah dirancang oleh wakil rakyat terdahulu.
Katanya, beliau akan merujuk semula pelan pembangunan di kawasan itu dan berusaha menyiapkan projek-projek yang sebelum ini terhenti seketika selepas kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar.
"Saya akan cuba siapkan, antaranya perumahan di Pulau Perhentian, pembinaan sekolah di Kampung Aloi Peroi dan pengagihan rumah pangsa di pekan baharu Kuala Besut.
"Selain itu, perancangan selanjutnya akan dilaksanakan seperti mana yang telah diumum sepanjang tempoh berkempen 12 hari lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ketika ditanya adakah beliau merupakan seorang wira kerana berjaya 'menyelamatkan' Terengganu daripada tergantung dengan kemenangan 16-16, beliau memaklumkan rakyat adalah wira sebenarnya.
Beliau berterima kasih kepada penduduk Kuala Besut yang mengundinya dan masih mahu mengekalkan 'Gelombang Biru' hingga berjaya mengelakkan negeri ini daripada tergantung 16:16 seperti yang dimahukan Pas.
"Saya bukanlah penyelamat tetapi pengundi Kuala Besut adalah yang sebenarnya memainkan peranan utama dalam menentukan kemenangan BN," ujarnya.
Menurutnya, beliau juga akan menggunakan pengalaman berkempen selama 12 hari lalu sebagai platform untuk lebih menyelami hati dan kehendak rakyat.
"Rakyat sudah pilih saya, jadi, saya perlu balas jasa mereka dengan menunaikan apa yang telah dijanjikan," jelasnya yang turut memaklumkan satu majlis jamuan akan diadakan sebagai tanda terima kasih kepada rakyat di kawasan itu tidak lama lagi.
Sementara itu, ditanya berkenaan isu beliau menunjukkan kertas undi kepada media ketika membuang undi semalam sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin pembangkang, beliau memaklumkan itu adalah satu tindak balas secara tidak sengaja.
"Ketika hari pengundian itu memang saya akui terlalu letih dan ketika insiden itu berlaku saya tidak sedar perbuatan tersebut salah dan berlaku secara spontan.
"Masa nak lipat kertas undi itu masuk ke dalam tong, jurugambar tidak henti-henti panggil saya dan saya pun tidak sengaja menunjukkan kertas undi sebab mahu memberi respons," katanya meminta tiada pihak mempolitikkan isu terbabit.

Perhimpunan agung UMNO 2-7 Disember - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (tiga kanan) dan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (dua kanan) atas kejayaan BN mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut pada pilihan raya kecil baru-baru ini, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN
*****
KUALA LUMPUR 26 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober ini.
Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, pemilihan jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan secara berasingan pada 28 September ini.
Beliau turut mengumumkan Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 2 hingga 7 Disember ini.
Mereka yang berminat bertanding jawatan MT, bahagian dan sayap pergerakan parti boleh mendaftar sebagai calon di badan Perhubungan UMNO Negeri pada 7 September ini, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Lebih 150,000 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pemimpinan parti tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan baharu parti itu.
Najib berharap dengan pemilihan berdasarkan perlembagaan baharu itu, anggota UMNO akan memilih pemimpin yang boleh meletakkan parti itu pada asas yang lebih kukuh.
"Kita harap pemimpin yang dipilih nanti boleh diterima parti dan rakyat...kita tidak mahu pemimpin yang berjaya dalam parti tetapi juga dalam pilihan raya.
"Kita harap UMNO boleh diterima sebagai parti pilihan rakyat, sebab itu kita kena ketengahkan barisan pemimpin yang diterima rakyat dan mampu mencerminkan imej yang positif," katanya.
Dalam pada itu, Najib turut memaklumkan jumlah keseluruhan anggota UMNO setakat ini adalah kira-kira 3.4 juta orang.
Ini termasuk pertambahan anggota baharu setakat 22 Julai lepas berjumlah 113,959 yang terbahagi kepada ahli biasa (9,043), Pergerakan Wanita (17, 841) Pergerakan Pemuda (48,867) dan Pergerakan Puteri (38,208). - BERNAMA

Dua pemimpin sebuah parti politik pendokong Syiah

KUALA LUMPUR 26 Julai - Dua pemimpin tertinggi sebuah parti politik dikenal pasti sebagai bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan politik kepada gerakan Syiah di negara ini terutama di utara tanah air.
Sumber memberitahu, kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu telah sekian lama terlibat dalam gerakan Syiah dengan berselindung di sebalik fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengaburi orang ramai dan pihak berkuasa.
Malah sumber sama menjelaskan, parti yang dianggotai oleh mereka sebenarnya mengetahui kedua-dua pemimpin tertinggi itu menganuti fahaman Syiah, tetapi tiada sebarang tindakan diambil disebabkan kepentingan politik.
"Kedua-dua pemimpin ini mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh Syiah Iran dan salah seorang daripada mereka juga dikesan pernah mengunjungi Syria selain aktif memberi sokongan politik kepada gerakan Syiah di Malaysia.
"Kedua-dua pemimpin tertinggi ini juga dipercayai telah bertanggungjawab secara langsung menyebabkan fahaman Syiah menular dalam parti tersebut sehingga mencetuskan kebimbangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sedia mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa pemimpin kanan sebuah parti politik kerana bertanggungjawab menyebarkan fahaman Syiah di negara ini.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa mempunyai maklumat lengkap mengenai penglibatan pemimpin kanan parti tersebut dalam gerakan Syiah dan mengingatkan mereka supaya tidak berselindung di sebalik fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu Utusan Malaysia, salah seorang daripada dua pemimpin kanan tersebut pernah dipanggil mengadap Majlis Syura Ulama bagi tujuan mengia atau menafikan beliau terlibat dalam gerakan Syiah.
Bagaimanapun, kata beliau, walaupun dikesan mengamalkan beberapa ajaran Syiah dalam kehidupan seharian, pemimpin tersebut tetap bertarkiyah (berpura-pura) apabila menafikan penglibatannya dalam fahaman Syiah kepada Majlis Syura Ulama.

Pemilihan baharu UMNO guna kaedah pilihan raya

PUTRAJAYA 27 Julai - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata proses pemilihan baharu UMNO akan mengguna pakai kaedah seperti pilihan raya bagi memilih pucuk pimpinan parti.
"Kita akan buat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita ada jawatankuasa pemilih untuk pusat, jawatankuasa pemilih untuk negeri. Negeri akan jaga untuk bahagian-bahagian. Pusat akan jaga untuk jawatan pusat.
"Semua kertas undi akan disediakan oleh ibu pejabat dan diagihkan. Mereka akan pangkah seperti pilihan raya. Tetapi SPR tidak hadir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Rakan Muda Ramadan Khatam al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Mei lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kaedah pelaksanaan pemilihan masih diperincikan sama ada secara angkat tangan, biometrik, dakwat kekal atau kaedah lain.
Pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam Najib mengumumkan pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober ini. - BERNAMA

Pemilihan MT UMNO bakal jadikan parti lebih terbuka, demokratik, inklusif - Najib

KUALA LUMPUR: Pemilihan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang berdasarkan perlembagaan baru parti bakal menjadikan UMNO lebih terbuka, demokratik dan inklusif, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam posting terbarunya di laman Facebook, sebentar tadi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PemilihanMTUMNObakaljadikanpartilebihterbuka_demokratik_inklusif-Najib/Article/?bh | hwa 27JUL

25 Julai 2013

Kunjungan hormat Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, di Perkarangan Dataran Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - Foto Effendy Rashid Jul 25, 2013 7:04 pm

Perjuangan perkukuh UMNO tak pernah selesai - PM

PUTRAJAYA 24 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO perlu terus diperkukuhkan kerana perjuangan bagi memperkasa parti itu tidak akan pernah selesai. Perdana Menteri berkata, masih banyak cabaran yang perlu dilalui UMNO sebagai parti sandaran dan harapan kepada orang Melayu.
"Cabaran besar menanti kita. Perjuangan kita tiada kesudahan. Kita perlu perkukuhkan Umno sebab UMNO parti sandaran, harapan kepada orang Melayu.
Kestabilan negara kita bergantung pada kekuatan UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri dan isteri bersama sahabat, ketua bahagian, Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO di Seri Perdana di sini malam ini.
Beliau juga berharap pemilihan UMNO yang bakal berlangsung kelak akan berjalan lancar. Pada majlis yang sama Perdana Menteri turut menyambut ulang tahun ke-60 beliau dengan memotong pulut kuning bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota keluarga.
Perdana Menteri turut menerima pelbagai jenis kek yang disumbangkan pelbagai pihak.
"Terima kasih kepada semua yang hadir khususnya kepada rangkaian sahabat zaman saya jadi ketua pemuda UMNO. Kini sama-sama sudah berumur dan bertemu sekurang-kurangnya setahun sekali sebagai satu perjumpaan sempena sambutan ulang tahun saya semalam.
"Umur saya tidak dirahsiakan dan sudah diketahui umum. Apa yang lebih bermakna persahabatan kita tidak pernah luntur dan masih kekal sehingga hari ini," kata beliau.
Pada majlis itu kira-kira 2,000 tetamu hadir termasuk kumpulan anak yatim yang menerima sumbangan daripada Perdana Menteri.
Beliau kemudian menunaikan solat tarawih bersama para tetamu. - BERNAMA

Najib ucap terima kasih kepada pengundi Kuala Besut

KUALA LUMPUR 25 Julai - Para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut hari ini menerima ucapan ribuan terima kasih daripada Datuk Seri Najib Tun Razak atas kemenangan Barisan Nasional (BN). Dalam status terkini Perdana Menteri di Facebook dan Twitternya, beliau turut berterima kasih kepada jentera parti BN dan semua pihak yang telah menyumbang untuk mempertahankan kerusi itu.
"Syabas atas kemenangan parti kita, Barisan Nasional dan Ku Zaihan (Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman) di Kuala Besut.
"Di kesempatan ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi-pengundi kerana sekali lagi telah meletakkan kepercayaan di bahu Barisan Nasional untuk terus meneraju Kuala Besut," katanya.
Dalam Twitternya pula, beliau turut mengucapkan selamat bertugas untuk rakyat kepada Tengku Zaihan.
Tengku Zaihan yang meraih 8,288 undi, mengalahkan Endot@Azlan Yusof dari Pas dengan 2,592 undi majoriti. - BERNAMA

Projek tiada kaitan pembangkang

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman (kanan) bersalaman dengan penduduk dalam Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Jamhuriah Kuala Besut, semalam. - UTUSAN/SAIFUDIN MOHD. NOR 
*****
BESUT 22 Julai - Segala pengumuman tentang projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Kuala Besut merupakan perancangan yang telah dibuat sejak sekian lama dan bukannya atas desakan pembangkang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek seperti benteng pemecah ombak di muara sungai, empangan dan pembinaan sekolah sememangnya sudah diputuskan, cuma menunggu masa untuk pelaksanaannya.
"Segala perancangan kerajaan tak ada kena-mengena dengan pembangkang. Tanpa desakan pembangkang pun, kita masih buat demi kepentingan rakyat," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pasar Tani Kuala Besut, di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Ismail Sabri diminta mengulas kononnya segala projek pembangunan di Kuala Besut yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Pusat yang lain adalah atas desakan pembangkang.
Menurut beliau, dari segi pelaksanaan projek-projek terbabit akan mengambil masa termasuk kelulusan.
Katanya, lakaran projek bukannya boleh siap dalam dua minggu dan kajian perlu disiapkan bertahun-tahun.
"Bukan boleh buat pemecah ombak dalam masa seminggu, pilihan raya diumumkan minggu lepas, sedangkan pelan dan kajian sudah lama seperti berapa panjang pemecah ombak.
"Agaknya pembangkang ingat buat pemecah ombak macam nak buat batas padi di sawah, buat sesuka hati dalam seminggu," katanya.
Selain itu, beliau berkata, peluang Barisan Nasional (BN) untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut adalah cerah kerana pengundi di situ memahami kemenangan pembangkang tidak akan memberi makna.
"Lebih baik beri kemenangan kepada BN dan kestabilan kepada kerajaan negeri. Kita nak kekalkan kerajaan BN di Terengganu supaya projek pembangunan yang diumumkan dapat dilaksanakan," katanya.

Kemenangan BN manifestasi kepercayaan rakyat

KUALA BESUT 24 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut merupakan manifestasi sokongan dan kepercayaan berterusan rakyat terhadap segala usaha yang dirancang dan dilaksana kerajaan BN.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan itu menjadi lebih menarik apabila BN menerusi calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman menang di semua lapan pusat daerah mengundi, termasuk di Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang dikuasai PAS pada pilihan raya umum yang lepas.
Beliau berkata, walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah tetapi pendekatan 'man-to-man marking' yang dilaksanakan sepanjang kempen memberi impak begitu positif dalam jumlah undi yang diraih.
"Walaupun kempen kita lebih tertumpu pada waktu malam melalui majlis berbuka puasa, tarawih dan moreh tetapi sentuhan berhemah tanpa menyerang peribadi lawan itu nyata memberi impak kepada pengundi.
"Selain itu, inisiatif yang diambil dalam menyelesaikan hampir semua masalah penduduk juga memberi kesan yang mendalam kepada keyakinan pengundi terhadap calon dan kerajaan BN," katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan pilihan raya itu di dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh dekat sini hari ini.
Sementara itu, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berikrar untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin.
Katanya, perkara pertama yang akan diberi tumpuan adalah untuk meneruskan apa yang telah dirancang dan diusahakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar.
''Saya akan kenal pasti apa yang belum diselesaikan dan tugas yang ditinggalkan untuk saya teruskan," ujarnya sambil mengucapkan rasa syukur.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, Pas akur dengan kekalahan parti itu dalam pilihan raya tersebut dan mengakui jentera BN lebih baik.

PM umum bantuan khas, 2 kenaikan gaji

Najib Tun Razak memotong pulut kuning sempena hari lahirnya yang ke-60 sambil diperhatikan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Sahabat, Ketua Bahagian, Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. Turut kelihatan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (kanan) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan). 
*****
KUALA LUMPUR 24 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.
Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.
Katanya, pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.
Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.
"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.
Najib berkata, langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.
Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.
"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.
Najib berkata, kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. — BERNAMA

24 Julai 2013

Isteri Allahyarham A. Rahman tetap brsemangat untuk mengundi

BESUT 24 Julai - Biarpun masih dalam kesedihan, isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar tetap bersemangat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut hari ini.
Isteri Allahyarham, Azizah N. Omar, 53, tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut di sini kira-kira pukul 9.30 pagi dan mengundi undi di saluran 1.
Beliau yang ditemui selepas itu berkata, harapannya ialah untuk memastikan calon yang memenangi PRK tersebut akan meneruskan apa yang telah diusahakan oleh arwah suaminya iaitu terus membangunkan kawasan ini dan membantu rakyat.
"Saya amat bersemangat untuk datang mengundi hari ini kerana mahu meneruskan perjuangan arwah, saya amat berharap Tangku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang kerana beliau dapat meneruskan agenda yang arwah suami rancangkan.
"Di antara perancangan arwah suami saya ialah menambah rumah untuk penduduk Kuala Besut kerana ramai yang datang bertemunya meminta disediakan lebih banyak kemudahan asas itu.
"Selain itu, arwah juga berharap benteng pemecah ombak dapat dibina di muara sungai serta pekan kecil ini dibangunkan bagi menarik lebih ramai pelancong datang dan menambah lebih banyak lot kedai, kesemua ini akan menambah pendapatan masyarakat di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, beliau yakin Tengku Zaihan yang mewakili Barisan Nasional (BN) mampu meneruskan agenda dan perancangan suaminya demi masa depan yang lebih baik untuk penduduk Besut.
Pada PRK DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan yang juga seorang jurutera dicabar oleh calon Pas, Endot @ Azlan Yusof, seorang kontraktor.
Hari ini seramai 16,534 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka di lapan pusat mengundi dalam PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, Dr. A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon Pas Napisah Ismail. - UTUSAN

30,000 JKKK akan diperkasa

MOHD. Shafie Apdal (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan skim bantuan baiki rumah kepada seorang penduduk kampung, Jamal Yusoff (dua dari kanan) di Kuala Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR 
*****
BESUT 23 Julai - Kesemua kira-kira 30,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara akan diperkasa dan dijadikan tempat rujukan penting dalam membangunkan rakyat dan negara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah itu wajar memandangkan peranan JKKK ketika ini tidak hanya terbatas kepada soal pembangunan dan keselamatan kampung semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, fungsinya akan lebih menjurus kepada soal pengurusan yang lebih tersusun dan sistematik dalam melahirkan pemimpin berwawasan yang mampu mengubah masa depan negara.
"Di peringkat JKKK di kampung-kampung, kita susun program-program untuk menerapkan ilmu pengetahuan dan keupayaan mereka dalam mendampingi bukan hanya orang dewasa tetapi golongan muda," katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO ditemui pemberita ketika mengunjungi rumah penduduk dan menyampaikan sumbangan di Kampung Nangka, Kuala Besut, di sini hari ini.
Mohd. Shafie mengulas pelaksanaan model baharu JKKK bagi memperkasa kepimpinan akar umbi mulai tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kubang Pasu, kelmarin.
Menurut Najib, model baharu itu antara lain menetapkan syarat had umur maksimum yang munasabah bagi individu berkhidmat iaitu tidak lebih 65 tahun.
Mohd. Shafie berkata, usaha memperkasa JKKK itu merupakan landasan dalam membantu memperjelas dasar kerajaan serta program pembangunan yang dilaksana di kawasan luar bandar.

23 Julai 2013

Isu calon pil kuda: Sekutu PAS saman Hadi

Isu calon pil kuda: Sekutu PAS saman Hadi  
MOHD Shamsul menunjukan salinan laporan Polis berhubung dakwaan yang beliau mengedar pil kuda. - Foto Yazit Razali
***** 
Bekas calon PKR DUN Bukit Besi dakwa kenyataan Presiden PAS punca kekalahannya pada PRU-13
Jertih: Seorang calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan menyaman Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa Presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan yang menyebabkannya kalah pada PRU-13.

Mohd Shamsul Mat Amin, 28, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Dungun, berkata kenyataan Hadi yang mendakwa ada calon PKR jual pil kuda memberi kesan serta menjejaskan kehidupannya. Selain itu, katanya, kenyataan itu juga mengakibatkan kekalahannya yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi pada PRU-13.

Rasa terhina dengan ucapan
“Walaupun Hadi tidak menyebut nama calon yang dimaksudkan, saya berasa tertekan dan terhina dengan ucapannya kerana saya antara calon bertanding.

“Ucapan itu disiarkan di semua media utama, termasuk internet dan dimuat naik ke laman Youtube dan boleh dibaca serta didengar jutaan manusia di seluruh dunia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau merujuk kepada ucapan Hadi yang disiarkan di dalam akhbar pada 23 April lalu bertajuk Calon PKR jual pil kuda sokong Komunis.
Dalam ucapan Hadi ketika berceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, beliau dipetik berkata pihaknya mendapat maklumat ada antara calon PKR yang menjadi pengedar pil kuda serta mengagungkan pemimpin Komunis.

Shamsul yang juga seorang pemaju perumahan berkata, akibat daripada ucapan itu, beliau berasa aib dan diejek dalam kalangan masyarakat kampung serta menyebabkan nama baik keluarganya tercemar, termasuk kredibiliti parti.

“Secara tidak langsung menjejaskan perniagaan saya selain menderita akibat fitnah sehingga menyebabkan masyarakat menganggap saya pengedar pil kuda.

“Saya bertekad untuk mengambil tindakan mahkamah bagi membersihkan nama baik saya daripada angkara fitnah ini.

“Hadi sebagai pemimpin politik bercirikan agama sepatutnya menyiasat terlebih dulu berita atau maklumat yang belum ditentukan kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi rakannya yang juga bekas calon bagi kerusi DUN Kota Putera dan Seberang Takir, dijangka mengambil tindakan yang sama dalam tempoh terdekat. 
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Isucalonpilkuda_SekutuPASsamanHadi/Article/ | hwa 23JUL

LPT2 siap September 2014

Kiri Fadillah Yusof, Zaitun Mat Amin
*****
KUALA LUMPUR 22 Julai - Projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang mengalami kelewatan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dan dibuka kepada lalu lintas menjelang September 2014.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, sehingga 30 Jun lalu, projek lebuh raya sepanjang 184 kilometer itu telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 88.5 peratus.
Katanya, projek yang dimulakan pada 2006 itu mengalami kelewatan berikutan terdapat 10 daripada 16 pakej utama terpaksa ditamatkan dan ditender semula kerana kontraktor-kontraktor terlibat menarik diri akibat kenaikan harga bahan binaan di pasaran dunia.
“Kerajaan terpaksa melantik kontraktor baharu untuk meneruskan projek-projek terbengkalai, berdasarkan tempoh kontrak semasa, pakej terakhir LPT2 yang sedang disiapkan adalah pakej tujuh melibatkan laluan dari Bukit Mempusi ke Felda Kerteh 6, Kemaman sepanjang 13.5 kilometer," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin yang bertanyakan kemajuan projek LPT2 serta punca kelewatan projek tersebut.
Menurut Fadillah, meskipun projek itu belum siap sepenuhnya, kerajaan telah melaksanakan pembukaan LPT2 secara berperingkat mulai Ogos 2011 lalu melibatkan jajaran utara sepanjang 72 kilometer dari persimpangan bertingkat Bukit Besi ke persimpangan bertingkat Kuala Terengganu.
Sementara itu, dalam perkara berasingan, Fadillah memberitahu, Kerajaan Pusat akan membina jambatan baharu yang dianggarkan bernilai RM100 juta bagi merentasi Sungai Baram di Long Lama, Baram, Sarawak.
“Pada peringkat awal cadangan, projek ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Sarawak tetapi berikutan skop kerja yang kompleks dan kos yang tinggi, projek ini telah diambil alih oleh Kementerian Kerja Raya," katanya yang menjawab soalan Senator Lihan Jok

22 Julai 2013

Kempen PAS memakan diri

Calon PRK DUN Kuala Besut diarah tutup mulut
Calon PAS, Azlan Yusof tidak lagi dibenar membuat kenyataan kepada media sepanjang kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut. Dalam erti kata lain, kena tutup mulut. Ini berikutan satu kenyataan yang dianggap mencacatkan kempennya sendiri. Beliau dilaporkan berkata akan mengupah orang untuk menjalankan tugas wakil rakyat jika menang, manakala beliau akan lebih menumpukan perniagaan sendiri di Kelantan.

Sebagai ‘damage control’, pemimpin PAS beri pelbagai alasan: Azlan kurang matang politik, bahasa Kelantan yang digunanya pekat dan sukar difahami, tidak kurang menyalahkan media kerana salah lapor. Inilah kali pertama dalam sejarah pilihan raya disertai PAS yang mana arahan dibuat supaya calon tutup mulut. Ia juga lucu dan tidak masuk akal, mungkin Azlan tersasul tetapi jika calon kena tutup mulut, macam mana dia nak berkempen?
Perkembangan terbaru ini mengingatkan kita kepada peristiwa yang pernah berlaku kepada Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2007 dulu. Sewaktu berkempen di satu kampung sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk DUN Ijok, beliau tersasul dan mengisytiharkan: “Undilah calon Barisan Nasional.” Memang itulah yang dilakukan pengundi di DUN Ijok, maka Khalid kalah pada PRK itu. PAS tidak mahu hal sama berlaku kepada calon mereka di DUN Kuala Besut.

Strategi biasa
Arahan tutup mulut adalah strategi biasa yang dipakai pembangkang apabila menghadapi dan mahu menutup sesuatu krisis. Misalnya, pada 2009, Khalid (yang kemudian menang kerusi DUN Ijok pada PRU-12 dan menjadi Menteri Besar Selangor) mengarahkan semua EXCO tutup mulut mengenai kontroversi penjualan arak di negeri itu.

Beliau juga mengarahkan Datuk Dr Hassan Ali, EXCO PAS yang menjaga hal ehwal agama Islam ketika itu, untuk tutup mulut berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Gereja Methodist Damansara Utama berikutan laporan adanya usaha memurtadkan orang Melayu-Islam. Arahan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 2011 itu adalah antara punca hubungan PAS dengan DAP-PKR bertambah buruk dan berakhir dengan pemecatan Hassan sebagai EXCO dan daripada PAS.

Apabila berlaku perbalahan PAS dan DAP dua tahun lalu berikutan kenyataan Mursyidul Am dan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk laksana hukum hudud, pemimpin DAP berkeras menentang sehingga berlaku cabar mencabar dan ugut keluar pakatan pembangkang, maka Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengeluarkan kenyataan pada 26 September 2011 agar semua pihak tutup mulut.

Ketika berlaku pertikaman lidah antara dua pemimpin DAP – seorang EXCO dan seorang wakil rakyat – berhubung pembinaan rumah kos murah di Pulau Pinang dua tahun lalu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga mengeluarkan arahan tutup mulut. Menjelang PRU-13, berlaku perbalahan besar dalam kalangan kepemimpinan PAS Kedah. Wujud dua kem dalam kerajaan negeri. Mereka diarah tutup mulut, namun kerosakan politik yang serius telah berlaku dan persepsi rakyat tidak boleh diperbaiki lagi. Akibatnya, kerajaan PAS Kedah jatuh pada PRU Mei lalu.

Di DUN Kuala Besut, jika tidak pun kerana calon yang naïf politik dan kurang pengalaman, PAS menghadapi pelbagai kekurangan. Ramai berpendapat calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman lebih mantap dibantu legasi popular Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar yang disenangi rakyat. Masalah dalaman kompleks dan serius yang dihadapi PAS Kuala Besut bukan rahsia lagi, sehingga pengarah pilihan raya terpaksa diambil dari Kelantan. Ironinya, Datuk Husam Musa sebelum ini dianggap orang bertanggungjawab ‘merosakkan’ hubungan PAS Kelantan dan PAS Terengganu. Beliau sendiri penuh kontroversi kerana melabel pemimpin PAS yang tidak mengikuti perhimpunan Blackout 505 sebagai ‘pengkhianat’ dan jika mati ketika berhimpun dianggap mati syahid. Beliau juga gagal dalam perebutan kawasan Parlimen Putrajaya pada PRU-13 kerana strategi lemah.

Signifikan kempen 16:16
Setakat ini, strategi kempen PAS bagi DUN Kuala Besut kurang jelas, malah mengecewakan penyokongnya sendiri. Isu hubungan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan Menteri Pelajaran II dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh mudah dipatahkan. Hubungan sesama pemimpin PAS pun bukannya elok sangat. Husam sendiri dilabel ‘pengkhianat sebenar’ oleh pemimpin PAS lain. Perbalahan besar dalam kalangan pemimpin PAS Kuala Besut adalah punca kerusi itu dimenangi BN sejak tiga PRU lalu.

Kegiatan kempen oleh kalangan pemimpin dan penceramah PAS juga sedikit sebanyak terbatas kerana Ramadan. Kurang peluang untuk memaki hamun, menabur fitnah dan berjanji kosong dalam ceramah. Pada malam hari, ada yang mahu terus berkempen namun ramai juga yang mahu bertarawih.

Apa pula signifikannya kempen 16:16 untuk DUN Terengganu? Ia tidak lain, hanya kerana mahu peluang berkuasa semula dan membentuk kerajaan negeri semula walaupun hakikatnya, ini belum tentu berlaku. Yang jelas, tidak kedengaran perjuangan untuk melaksana hukum hudud atau membentuk negara Islam atau berkebajikan.

Majoriti rakyat Terengganu masih ingat kelemahan, kezaliman dan kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hadi Awang pada 1999-2004. Pada malam keputusan pilihan raya, Wisma Darul Iman dikepung ribuan penyokong fanatik seperti demonstrasi di Mesir. Bangunan bagai dirampas, semua aset bagai mahu disita, malah kereta EXCO dikejar. Sudah lupakah pengundi Kuala Besut bagaimana balai raya dan kelas tadika KEMAS ditutup dan anak-anak terpaksa belajar di padang berteduh di bawah pokok?

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KempenPASmemakandiri/Article/ | hwa 22JUL

Tiada sebab tukar kerajaan BN

MUKHRIZ Mahathir berucap dalam majlis penyampaian zakat untuk penduduk miskin di Kampung Ayer Terjun, Kuala Besut, semalam. 
*****
BESUT 19 Julai - Tidak ada keperluan untuk rakyat negeri ini, khususnya di Kuala Besut menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negeri dan merencanakan aspek kebajikan rakyatnya dengan baik.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan yang ada hari ini mempunyai wawasan dan mengamalkan pendekatan luar kotak sehingga meletakkan pencapaian negeri itu dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan mengatasi negeri lain.
Beliau berkata, justeru itu, Kedah yang dipimpinnya kini turut mempelajari pengalaman dan pendekatan Terengganu dalam pentadbiran terutama dalam usaha melahirkan generasi Ulul Albab.
"Kami dari Kedah datang ke sini untuk membalas budi Terengganu, khususnya Besut. Kita banyak belajar daripada Terengganu melalui program Ulul Albab, kita lihat banyak sekolah yang menggunakan program ini dan prestasi mereka meningkat dengan ketara, Kedah akan mencontohinya.
"Kalau sudah ada yang baik-baik di Terengganu sehingga kami dari Kedah dan negeri lain datang ke Terengganu, maka tidak ada keperluan untuk menukar kerajaan BN yang progresif dan berwawasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan zakat kepada penduduk miskin di Kampung Ayer Terjun, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah.
Mukhriz turut mengakui pihaknya belajar daripada UMNO Terengganu untuk mengambil semula negeri itu daripada pentadbiran Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
"Banyak perkara baik yang kami belajar daripada Terengganu, kami amat berharap rakyat negeri ini tidak menolak kerajaan yang ada sekarang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, gandingan pemimpin muda dan lama dalam pentadbiran adalah amat baik kerana saling lengkap-melengkapi.
Katanya, dalam sebuah pentadbiran, peredaran zaman memerlukan idea segar daripada orang muda tetapi pengalaman yang dimiliki oleh generasi terdahulu amat diperlukan bagi membentuk gandingan mantap.
"Saya difahamkan di Kuala Besut mempunyai kira-kira 54 peratus pengundi muda. Pemilihan calon yang muda dalam pilihan raya kecil ini amat baik untuk menggandingkan dengan generasi lama.
"Di Kuala Besut ada ramai orang muda sudah tentu mahukan aspirasi mereka dilaksana demi masa depan, jadi saya orang seperti (calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Ab. Rahman) ini wajar diberi mandat untuk terus menjadi wakil rakyat," katanya.

PRK Kuala Besut tenang, hanya 4 kes dilapor

KUALA BESUT 21 Julai - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sehingga kini tercatat sebagai pilihan raya kecil paling tenang dengan hanya empat kes dilaporkan setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Daripada laporan itu, satu daripadanya dianggap 'laporan yang pelik' iaitu melibatkan kejadian membakar bendera kedua-dua parti bertanding.
"Ertinya ia bukan disebabkan pihak lawan tetapi mungkin ada pihak lain yang sengaja mahu membuat provokasi.
"Jadi saya harap trend tenteram ini akan berlanjutan sehingga selepas hari mengundi di mana polis akan sentiasa memantau dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua," katanya selepas mendengar taklimat keselamatan di Markas Taktikal Polis (Martek) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, selain kerjasama parti-parti bertanding, keadaan tenang itu terhasil menerusi kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan penugasan 2,789 pegawai dan anggota dari seluruh negara sepanjang tempoh pilihan raya kecil itu.
Katanya, sebanyak RM10.4 juta diperuntukkan PDRM bagi memastikan ketenteraman sepanjang pilihan raya kecil itu.
Ditanya apakah kos itu boleh dianggap tinggi bagi sebuah pilihan raya kecil, Ahmad Zahid berkata, ia adalah kos yang sederhana sepertimana yang diperuntukkan pada mana-mana pilihan raya kecil.
Pilihan raya kecil pada 24 Julai itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan Endot@Azlan Yusof dari Pas. - BERNAMA