30 Jun 2013

Sebarang keputusan pilihan raya kecil DUN Kuala Besut tidak jejaskan kerajaan BN Terengganu

BESUT: Sebarang keputusan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak akan membawa kepada perubahan pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang kini diterajui Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata biarpun kedudukan akan menjadi 16-16 seandainya kemenangan menyebelahi pembangkang namun undi pemutus Speaker DUN, yang kini disandang Mohd Zubir Embong, bakal merubah kedudukan menjadi 17-16 membolehkan BN terus berkuasa di negeri ini.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, BN Terengganu memenangi 17 kerusi DUN manakala pembangkang meraih 15 kerusi DUN untuk BN membentuk kerajaan negeri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Said sebelum berlaku kekosongan kerusi di DUN itu berikutan kematian wakil rakyatnya Dr A Rahman Mokhtar, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ahmad berkata keputusan ini amat penting bagi BN untuk menjamin kestabilan politik di Terengganu dan berharap keadaan akan menjadi stabil dalam negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat veteran Umno Besut iaitu bekas ketua wanita UMNO cawangan Kampung Tok Saboh, Wan Mek Wan Embong, 93 yang kini uzur dekat sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu dan tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan dalam bulan Ramadan.

Katanya, pelbagai kaedah tertentu akan digunakan untuk berkempen bersesuaian dengan bulan yang mulia itu. - BERNAMA

www.bharian.com.my/bharian/articles/SebarangkeputusanpilihanrayakecilDUNKualaBesuttidakjejaskankerajaanBNTerengganu/Article/?bh  | hwa 30JUN

Mulakan kerja sekarang hadapi PRU-14 - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin bersama Norainee Abdul Rahman bersalaman dengan orang ramai dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Jentera BN Wilayah Persekutuan di Taman Kejiranan Air Panas, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/ABDUL NAZIR MOHAMED 
*****
KUALA LUMPUR 29 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk memulakan kerja dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
Jelasnya, tempoh lima tahun bukan satu masa yang panjang untuk masing-masing berlengah-lengah atau berehat ekoran kepenatan bekerja ketika pilihan raya umum lalu.
Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu menggalas tugas dan tanggungjawab lebih besar untuk menyelesaikan tuntutan rakyat yang mahukan negara lebih maju, demokrasi lebih matang dan sistem kerajaan yang adil.
"Tempoh berehat sudah habis, tugas tersedia di hadapan untuk memikul tanggungjawab itu kerana ini bukan soal BN tetapi rakyat yang lebih bijak dan bermaklumat.
"Mulakan kerja sekarang ini, bukan esok atau tunggu tiga empat tahun lagi, ketika tiba saat pilihan raya kerana perkara ini serius bagi menentukan rakyat percaya dan yakin dengan BN, sekali gus menubuhkan kerajaan lebih kuat," katanya ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Jentera BN Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan; Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali al-Habshee dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan turut meminta pemimpin BN untuk menilai faktor kekalahan di kawasan yang dikuasai pembangkang, di samping meraikan kejayaan parti membentuk kerajaan Pusat.
Beliau berkata, penilaian itu harus dibuat dengan memberikan fokus bagaimana untuk mengembalikan sokongan rakyat terutama pengundi di bandar yang tidak berpihak kepada BN.
Dalam konteks itu, beliau berpesan agar masing-masing tidak terlalu menumpu perhatian untuk merebut jawatan dalam parti tetapi perlu berfikir bagaimana mahu membela rakyat.
"Kita perlu sedar dan insaf dalam tempoh lima tahun akan datang. Kita tidak ada banyak pilihan sebaliknya bertumpu kepada apa yang sepatutnya kita lakukan, jangan hanya kejar jawatan dalam parti.
"Melihat kepada situasi yang kita hadapi sekarang, kita perlu perkukuhkan barisan, perpaduan dan semangat kerjasama sesama kita kerana itu merupakan prasyarat untuk menentukan kejayaan lebih besar," katanya.

Malaysia tersohor di Afrika

NAJIB Tun Razak dan Jakaya Mrisho Kikwete berbincang ketika menghadiri Dialog Perkongsian Bestari Global di Julius Nyerere International Convention Centre di Dar Es Salaam, Tanzania, semalam. Dialog empat hari itu bertemakan Memanfaatkan Teknologi Bagi Transformasi Sosioekonomi Afrika. - BERNAMA 
*****
DAR ES SALAAM 29 Jun - Inisiatif Malaysia mencetuskan penganjuran Dialog Perkongsian Pintar Global yang dimulakan dengan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1995 telah menjadikan nama negara sangat dikenali di negara-negara Afrika, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, selepas dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 18 tahun lalu, Malaysia telah berperanan sebagai penggerak utama kelangsungan penganjuran dialog tersebut dan berikutan itu, negara sentiasa dijadikan model dan penanda aras oleh negara-negara Afrika.
Tambah Perdana Menteri, dari segi manfaat secara tidak langsung daripada usaha menggerakkan dialog perkongsian pintar ini, Malaysia mempunyai jalinan hubungan dan rangkaian yang sangat baik dengan negara-negara Afrika termasuk sentiasa mendapat sokongan politik dalam banyak hal yang dibangkitkan dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB).
"Barangkali hubungan Malaysia dengan negara-negara Afrika jauh lebih baik daripada kebanyakan negara lain. Nama Malaysia sekarang ini begitu dikenali dan sangat tersohor (di Afrika). Dari situ kita boleh buka ruang kepada syarikat Malaysia untuk mendapat peluang di Afrika.
"Ada di beberapa negara, mereka (pelabur Malaysia) telah berjaya tanpa kita ketahui. Misalnya di Uganda, sebuah syarikat kita telah membuka perniagaan perabot bernilai jutaan dolar Amerika iaitu mengeksport perabot Malaysia ke Uganda. Sebelum ini, Petronas telah memulakan pelaburan di Sudan, itu juga manfaat daripada dialog ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Nyerere, tempat berlangsungnya Dialog Perkongsian Pintar Global (Global 2013) di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Menurut Najib, yang terbaharu, hasil dariapda penganjuran dialog perkongsian pintar itu, negara-negara Afrika kini cukup berminat dengan agenda transformasi Malaysia selepas mereka mendengar taklimat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Idris semasa dialog sama di Putrajaya pada 2011.
"Mereka (negara-negara Afrika) sangat tertarik dengan Wawasan 2020, konsep transformasi dan kewujudan PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan).
"Tanzania sendiri misalnya telah menjemput Idris sebanyak empat kali ke Dar Es Salam untuk menerangkan apa yang telah kita rancang termasuk memberi penjelasan dalam mesyuarat menteri-menteri Kabinet mereka. Kini mereka cukup minat melaksanakannya dan menjadikan Malaysia sebagai model, bukan negara Barat. Negara lain pun minat termasuk Botswana," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri meminta bakal pelabur Malaysia yang berhasrat menjalankan perniagaan atau menanam modal pelaburan di Afrika supaya lebih memahami situasi tempatan dan melakukan penyelidikan mengenai kawasan mana yang sesuai untuk diterokai sebelum mula melabur.
"Dari segi penerimaan kerajaan mereka di sini sudah ada, dari situ sudah ada peluang. Jadi, bakal pelabur harus belajar daripada beberapa orang atau syarikat Malaysia yang telah berjaya di Afrika," katanya. - MINGGUAN

Pendedahan Jusuf Kalla jejaskan pakatan pembangkang

PULAU PINANG 29 Jun - Pengerusi DAP, Karpal Singh berpendapat pendedahan yang dibuat oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjejaskan pakatan pembangkang.
Karpal berkata, segala yang dibincangkan antara Jusuf dengan Ketua Pembangkang itu tidak seharusnya didedahkan kepada umum.
“Kenyataan yang dikeluarkan Jusuf boleh menjejaskan pakatan pembangkang dan menimbulkan persoalan tentang kredibiliti Anwar.
“Jika Anwar terjejas, ini juga memberikan kesan kepada komponen dalam pakatan pembangkang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Jusuf mendakwa Anwar mendapat dana besar daripada pihak asing untuk menganjurkan siri perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Jusuf turut mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai imaginasi melampau dan ego kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri meskipun parti pimpinannya kalah dalam PRU-13 lalu.
Mengulas lanjut, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Jusuf harus meminta maaf secara terbuka kerana menuduh Anwar mendapat bantuan dana asing untuk menjalankan perhimpunan berkenaan.
“Beliau harus menyatakan rasa kesalnya kerana menuduh Anwar seperti itu," katanya.

Forum Perdana batal dikesali

SEBAHAGIAN hadirin mendengar ceramah bertajuk Ihya Ramadan yang disampaikan oleh Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz di Pusat Pengajian Darul Wehdah, Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/SAZALI CHE DIN
*****
BUKIT MERTAJAM 29 Jun - Pendakwah bebas, Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz atau dikenali sebagai Ustaz Kazim kesal apabila kerajaan negeri Pulau Pinang mengarahkan program Forum Perdana yang dijadual diadakan di negeri itu pada 5 Julai ini dibatalkan.
Beliau mendakwa arahan itu dikeluarkan oleh Exco agama atas alasan tidak suka kepada beliau yang dikatakan boleh menggugat kerajaan negeri.
“Sebagai Exco agama dia sepatutnya tolong saya, bantu serta bagi ruang dan bukan sekat saya berdakwah.
“Sebagai pendakwah saya sedih kerana ahli jemaah yang menjadi mangsa kepada politik sedangkan saya bukan ahli politik. Orang politik sepatutnya berbaik dengan pendakwah supaya mereka mendapat faedah, tetapi yang berlaku sebaliknya kerana yang rugi bukan saya tetapi masyarakat. Biarlah masyarakat yang menilai dan menghukum pemimpin seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pengajian Darul Wehdah, Permatang Pauh di Simpang Tiga Kubang Ulu di Penanti dekat sini.
Muhammad Kazim yang juga Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi, Ipoh berkata, walaupun bukan semua ahli politik bersikap begitu, tetapi masih ada ahli politik kurang mahir berpolitik dan menjadikan pendakwah bebas sebagai musuh mereka.
“Sepatutnya pendakwah bebas seperti saya dibantu kerana mereka mempunyai pengikut. Membatalkan ceramah dengan arahan lisan menjejaskan dakwah dan menjadikan orang ramai kecewa dengan orang politik.
“Salah satu sebab saya mengambil keputusan berhenti berceramah kerana sudah bertahun-tahun menghadapi tekanan politik. Saya berdakwah orang politik yang ganggu, mereka buang dan bakar bunting, membakar mercun dan mengarahkan batal kuliah," katanya.
Menurutnya, bukan beliau seorang sahaja yang menghadapi tekanan politik, tetapi ramai lagi pendakwah menghadapi situasi itu membuatkan beliau mengambil keputusan berhenti ceramah pada November tahun ini.
“Arahan ahli politik supaya dibatalkan majlis pada saat-saat akhir juga menimbulkan masalah kepada jawatankuasa surau dan masjid. Penganjur juga diberikan tekanan politik supaya dibatalkan.
“Walaupun saya berhenti ceramah, tetapi saya masih meneruskan dakwah di media massa dan elektronik, menulis buku dan majalah," ujarnya.
Tambah beliau, bidang pendakwahan sangat luas dan bukannya berceramah dalam Forum Perdana sahaja.
Menurut Muhammad Kazim, tidak seperti Pulau Pinang, beberapa negeri lain mengamalkan sikap terbuka kepada pendakwah sepertinya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli politik supaya bersikap profesional dan jangan anti kepada pendakwah bebas dan program ceramah agama.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim ketika dihubungi menafikan beliau mengarahkan Forum Perdana itu dibatalkan.
Abdul Malik berkata, selaku Exco yang bertanggungjawab terhadap agama Islam di negeri itu, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan berkenaan.
“Pulau Pinang bersikap terbuka dan tidak menghalang majlis ceramah serta percambahan ilmu yang mahu diadakan di negeri itu. Kita juga tidak meletakkan syarat bahawa penceramah yang mahu dijemput itu mesti mempunyai tauliah agama seperti yang disyaratkan di negeri-negeri lain," katanya.
Menurutnya, kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan salah faham.
“Seingat saya pada tahun lepas, dalam satu program ceramah anjuran kerajaan negeri, kita ada menjemput Ustaz Kazim hadir," katanya.

Malaysia jadi model lonjak ekonomi

Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaminkan doa sebelum berlepas ke Tanzania untuk mengetuai delegasi Malaysia dalam Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - BERNAMA
*****
DAR ES SALAAM 28 Jun _ Selepas 18 tahun dilancarkan, Dialog Perkongsian Pintar Global telah berjaya membawa pelbagai pembaharuan kepada sistem pentadbiran, dasar-dasar dan peraturan kerajaan di negara-negara Afrika dengan kebanyakannya menjadikan Malaysia sebagai model untuk melonjakkan pembangunan ekonomi masing-masing.
Terbaru, melalui forum dialog anjuran Perkongsian Komanwel untuk Pengurusan Teknologi (CPTM) itu, negara-negara berhasrat secara serius untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti dilaksanakan di Malaysia yang mana pencapaian keseluruhan pentadbiran kerajaan, ekonomi dan sosioekonomi masyarakat adalah melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Malah hampir semua negara di Afrika yang menyertai dialog itu sejak 1995, telah mencontohi Malaysia yang mempunyai gagasan Wawasan 2020 untuk mereka menetapkan wawasan negara masing-masing termasuk Botswana yang meletakkan sasaran pada tahun 2016, Mauritius (2020) dan Uganda (2035).
Pengerusi CPTM, Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman memberitahu, selepas menganjur 22 program dialog global itu secara berselang-seli di Malaysia dan negara-negara Afrika, pihaknya berpendapat ia telah mencapai matlamatnya untuk mendekatkan Malaysia dan benua Afrika, khususnya dari segi hubungan dua hala kerajaan dengan kerajaan.
Menurutnya, dengan menjadikan Malaysia sebagai model, negara-negara Afrika telah memulakan penambahbaikan kepada sistem pentadbiran dan pengurusan masing-masing serta menyesuaikan dasar-dasar fiskal serta perundangan bagi membolehkan ekonomi mereka dipacu selaras dengan wawasan yang telah ditetapkan.
“Negara-negara Afrika sangat menghargai peranan Malaysia dalam dialog ini sejak 1995. Banyak negara di benua ini yang telah mula melonggarkan dasar-dasarnya semata-mata kerana mahu melihat pembangunan yang lebih rancak.
“Malaysia juga akan meneruskan komitmen membantu negara-negara Afrika khususnya menerusi perkongsian pintar dalam dialog global ini dan kita yakin kerjasama serta hubungan baik yang terjalin ini akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbarnya di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dr. Wong Sai Lum.
Omar berkata, dialog global tersebut bukan forum untuk membuka dan mencari peluang-peluang pelaburan serta perniagaan semata-mata, sebaliknya ia lebih pendekatan lembut untuk membina hubungan baik, perkongsian pengalaman dan meningkatkan keyakinan dan kebolehpercayaan sesama negara terlibat melalui sesi-sesi perbincangan dan wacana.
Sehubungan itu, katanya, pencapaian dialog global itu tidak boleh diukur menerusi jumlah atau nilai pelaburan Malaysia di Afrika atau sebaliknya, tetapi perkongsian pintar antara negara terbabit dalam pelbagai bidang khususnya sains, teknologi dan inovasi (STI) merupakan sesuatu yang membuka ruang kepada kerjasama dalam pelbagai bidang yang lain.
“Dialog ini adalah elemen pendekatan lembut untuk menjalin hubungan, bukannya meletakkan harapan tinggi untuk meraih keuntungan segera dalam bidang pelaburan dan perniagaan.
“CPTM telah menyediakan forum ini sejak sekian lama, dan setelah 18 tahun kini tiba masanya yang paling tepat untuk para usahawan, pelabur dan ahli-ahli perniagaan Malaysia untuk secara serius meneroka peluang di Afrika," jelasnya.

29 Jun 2013

Wartawan Utusan protes tidak dibenar buat liputan

WARTAWAN Utusan biro Pulau Pinang, Firdaus Ismail membuat bantahan secara bersendirian selepas dihalang membuat liputan Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Georgetown hari ini. - UTUSAN
*****
GEORGETOWN 28 Jun - Wartawan Utusan Malaysia tidak dibenar membuat liputan berita majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira 9.30 pagi apabila wartawan berkenaan Mohd Firdaus Ismail memohon pas lawatan untuk masuk ke perkarangan DUN.
Firdaus berkata pengawal keselamatan enggan memberikan pas lawatan masuk ke DUN dan memberitahunya ia adalah atas arahan pihak atasan.
"Pengawal DUN tersebut telah memberitahu saya bahawa wartawan Utusan tidak dibenarkan masuk ke DUN untuk membuat liputan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat protes secara berseorangan dengan memegang kad bertulis “Ketelusan telah mati di sini" dan berlegar-legar di hadapan pintu pagar bangunan DUN.
Katanya, beliau berbuat demikian sebagai meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sebelum ini sering melaung-laungkan kebebasan akhbar.
Firdaus berkata sebelum ini, wartawan Utusan juga pernah dilarang membuat liputan persidangan DUN selepas satu usul larangan tersebut dibentangkan dan dipersetujui.
"Tetapi, kini telah masuk penggal baharu untuk persidangan DUN, mereka seharusnya membentangkan usul baharu dan usul yang lama telah tamat tempoh," katanya.
Speaker DUN yang baharu Law Choo Kiang ketika diminta mengulas perkara itu berkata kejadian itu berlaku akibat kesilapan pengawal keselamatan bangunan DUN yang telah menguna pakai arahan lama.
"Saya ingin menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku atas kesilapan teknikal pengawal DUN dan saya berjanji perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.
Katanya, beliau akan menjemput wartawan tersebut untuk membuat liputan persidangan DUN Selasa depan. - BERNAMA

PKR terus perlekehkan pemimpin Pas

Pemimpin-pemimpin pembangkang diketuai Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, menyerlahkan sikap hipokrit mereka. 
*****
''Ada bangkai yang naik atas nama rakyat boleh keluar TV3 terima keputusan PRU... Lu memang c***i...." Demikianlah bahasa kesat yang digunakan oleh seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui posting dalam Facebook beliau, kelmarin (Rabu).
Walaupun pemimpin PKR itu tidak menyebut siapakah 'bangkai' yang dimaksudkan, namun penyokong-penyokong Pas mendakwa ia merujuk kepada Ketua Dewan Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan.
Kalau benarlah apa yang didakwa, maka ini kali kedua pemimpin Pas begitu mudah diperlekehkan oleh pemimpin PKR.
Kita masih ingat bagaimana baru-baru ini, ketika konvensyen PKR, Ahli Parlimen Bukit Katil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara terbuka mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung soal kerjasama dalam pakatan pembangkang.
Sememangnya, jika semua ini dilihat dalam perspektif lebih luas, jelaslah perasaan hormat pemimpin-pemimpin PKR terhadap pemimpin Pas semakin luntur.
Mungkin juga, pemimpin-pemimpin PKR masih marah dengan pendirian ulama-ulama Pas yang mahu rakyat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan Allah.
Itulah yang juga dilakukan oleh Nasruddin yang menegaskan, Pas menerima keputusan PRU-13 sebab itulah mereka mengangkat sumpah, yang mereka tidak terima ialah apa yang didakwa kepincangan dan kepalsuan dalam pilihan raya.
Tidak apalah itu pendirian Pas tetapi kenapakah pemimpin-pemimpin PKR hendak memaki hamun pemimpin-pemimpin Pas sewenang-wenangnya?
Pemimpin-pemimpin PKR mungkin marah kerana sikap dan pendirian Pas itu telah memungkinkan impian mereka untuk mengadakan demonstrasi jalanan bagi membantah pilihan raya tidak ke mana.
Tanpa sokongan Pas, apa juga demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang tidak akan membawa apa-apa makna kerana Pas sememangnya terkenal dengan kemampuan mengumpul ahli-ahlinya menghadiri majlis pembangkang.
Pemimpin PKR yang memaki hamun Nasruddin dalam Facebook tersebut sepatutnya menuju kemarahannya kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia memandangkan Anwar dan 27 lagi pemimpin PKR turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Tindakan itu sekali gus membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin PKR jauh lebih hipokrit dan sewenang-wenangnya memperbodohkan penyokong-penyokong sendiri.
Seperti mana ditegaskan oleh banyak pihak, kalau betul PKR terus tegar mempertahankan berlaku penipuan dalam PRU sepatutnya mereka tidak mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Rakyat termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri-negeri yang pembangkang menang.
Mengangkat sumpah bermakna mengiktiraf keputusan PRU-13 yang mereka dakwa berlaku kepincangan dan penipuan.
Namun seperti biasa, pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya PKR cakap tak serupa bikin, yang menjadi mangsa diperbodohkan oleh penyokong-penyokong mereka termasuklah penulis Facebook tersebut.
Seperkara lagi, terimalah hakikat berbanding Pas dan DAP, PKR merupakan parti yang paling banyak masalah dan paling tidak konsisten dalam perjuangannya.
Oleh itu tidak payahlah hendak melempiaskan kemarahan kepada orang lain sebaliknya persoalkan sikap dan tindakan pemimpin sendiri.
Pemimpin-pemimpin PKR perlu faham merekalah yang bertanggungjawab mewujudkan ketidakstabilan dalam arena politik negara.
Keghairahan dan sikap kemaruk pemimpin utama mereka untuk menjadi Perdana Menteri memungkinkan mereka berjaya mempengaruhi Pas dan DAP mengikut rentak politik mereka.
Tetapi sekarang kedua-dua parti itu sudah faham bahawa pilihan raya sudah tamat, sebarang pertikaian mengenai keputusan diselesaikan di mahkamah dan bukannya terus merancang agenda politik jalanan yang menyusahkan rakyat.
Sebab itulah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dilihat selari dengan pemimpin-pemimpin Pas apabila bercakap soal perdamaian nasional.
Beliau dan pemimpin DAP serta Pas pun semakin faham, rakyat sudah letih dengan mainan politik yang dicorakkan oleh PKR.
Justeru pembangkang perlu memahami peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan pilihan raya umum lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan premis utama dalam mencapai matlamat perdamaian nasional.
Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan bagi mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.
Jelas Najib, selepas itu baru kerajaan boleh menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.
Justeru dalam merealisasikan impian ini keikhlasan dan ketelusan perlu ada dalam kalangan pemimpin pembangkang khususnya PKR.
Jangan amalkan sikap lidah bercabang, mengamalkan watak sesumpah dan menikam dari belakang dalam mencari keuntungan politik.
Seperkara lagi janganlah terus hendak memperbodohkan rakyat dengan menyelewengkan fakta berhubung maksud undi popular dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mencapai cita-cita merebut kuasa.
Rakyat Malaysia bukan seperti rakyat di negara lain, mereka tidak harus diajar menjadikan demonstrasi jalanan sebagai pentas untuk membuat tuntutan.
Tidak usahlah melaungkan 'Malaysia Spring' kerana seperti mana ditegaskan oleh Najib, kerajaan tidak gentar dengan slogan berkenaan, sebaliknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melangkaui batas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan demi memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara sentiasa dihormati.
Jika kerajaan bertindak demikian janganlah pula marah kerana kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan majoriti rakyat tidak tergugat hanya disebabkan oleh keghairahan golongan minoriti mahu mempolitikkan segala-galanya.
Dalam masa yang sama, apa yang dilakukan oleh pemimpin PKR ini sepatutnya menyedarkan pemimpin dan penyokong Pas bahawa secara realitinya, rasa hormat PKR terhadap Pas tidak pernah wujud, mereka hanya peralatkan Pas untuk menang pilihan raya sahaja.
Kalau mereka mempunyai perasaan hormat kepada pemimpin-pemimpin Pas khususnya golongan ulama, sudah pasti mereka tidak akan tergamak memaki hamun golongan itu.
Apa pun kepada pemimpin PKR yang tergamak memanggil sekutunya sebagai 'bangkai' banyak-banyaklah ingatkan Allah SWT, sesungguhnya apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya dan belajarlah bermuhasabah.
Bak kata seorang penyokong Pas yang membalas posting pemimpin PKR itu, ''Alhamdulillah, ada kebaikan pada ketentuan Illahi. Kami Bersyukur Ya Allah Kau Maha Mengetahui. Alhamdulillah beliau kalah dalam PRU lepas, kami tak rela ada pemimpin tak berakhlak seperti ini.'' - Mungkin ini juga majoriti doa orang Melayu dan umat Islam yang lain.

Imaginasi Anwar melampau

Jusuf Kalla
*****
KUALA LUMPUR 27 Jun - Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang mempunyai imaginasi sangat melampau kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri meskipun parti pimpinannya kalah dalam pilihan raya umum lalu.
Menurutnya, dalam satu pertemuan bersama Ketua Pembangkang tersebut selepas pengumuman keputusan pilihan raya, beliau telah memberitahu Anwar bahawa Malaysia mengamalkan sistem undi elektoral, yang mana parti menang akan membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri.
"Malangnya, Anwar ego, imaginasinya sangat melampau-lampau, beliau tetap mahu jadi Perdana Menteri. Saya memberitahunya, kamu sudah gila? Mana mungkin menjadi Perdana Menteri sedangkan hanya menang 89 kerusi Parlimen walhal Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menang 133.
"Tolong beri saya jawapan atas dasar apa kamu boleh jadi Perdana Menteri kerana kamu sendiri tahu hanya menang 89 walhal Najib menang 133. Kami bertengkar dan akhirnya Anwar berfikir juga," katanya seperti dipetik daripada portal berita Merdeka Online di http://merdeka-online.com/home/wawancara- penuh-jusuf-kalla/ baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Jusuf mendedahkan, perhimpunan Blackout 505 yang digerakkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibiayai beberapa pihak, khususnya dari Turki, Washington, Amerika Syarikat; Filipina serta kemungkinan Thailand dan China.
Katanya, pemberi dana yang besar itu datang dari sebuah syarikat besar di Filipina dan Turki untuk membantu aktiviti perhimpunan bantahan tersebut.
"Mereka tidak boleh menyembunyikan diri kerana rakan-rakan bisnes kita ketahui siapa mereka. Isunya untuk apa membuat perhimpunan tersebut jika hanya memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam dan orang Melayu?
"Saya sendiri bertanya kepada Anwar, apakah kamu boleh mengawal parti DAP?. Anwar terdiam dan tidak dapat memberikan jawapan dengan jelas, ternyata beliau ada masalah untuk mengawal ahli-ahli Parlimen dari parti lain," katanya.
Menurut Jusuf, beliau terfikir bahawa tindakan Anwar mengadakan perhimpunan haram itu hanya sia-sia, melainkan menguntungkan sebelah pihak iaitu musuh-musuh Islam.
Berhubung pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah, beliau berkata, terdapat campur tangan daripada pihak-pihak tertentu di Filipina, kawan-kawan Anwar seperti Joseph Estrada dan sebuah syarikat besar di negara itu yang memberikan sokongan kewangan dalam pencerobohan tersebut.
"Tujuan mereka satu sahaja iaitu untuk melemahkan kerajaan Malaysia. Mereka yang menceroboh itu mahu menunjukkan kepada dunia luar bahawa kerajaan Malaysia lemah dan gagal menangani isu tersebut," katanya.

Anwar mewakili parti paling tak popular

Reezal Merican
*****
KUALA LUMPUR 27 Jun - Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah parti yang paling ditolak rakyat sekiranya pembangkang masih mahu menegakkan soal undi popular bagi menentukan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican berkata, perkara itu berikutan PKR hanya memenangi 30 kerusi Parlimen berbanding 99 kerusi yang ditandingi.
Jelasnya, prestasi PKR adalah amat buruk sekiranya dibandingkan DAP yang menang 38 kerusi berbanding 51 kerusi Parlimen yang ditandingi manakala Pas pula memenangi 21 kerusi daripada 73 kerusi.
"PKR kalah di 66 kerusi Parlimen yang ditandingi, boleh kita katakan PKR adalah parti yang paling ditolak rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang paling tidak popular.
"Kalau PKR sudah jelas tidak popular dan pemimpin parti itu yang paling ditolak rakyat, adakah masih wajar Anwar diangkat sebagai Ketua Pembangkang?" soalnya ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Semalam, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengingatkan pemimpin pembangkang tidak mendabik dada kerana berjaya mendapat 51 peratus undi popular dalam PRU-13 kerana parti-parti pembangkang tidak bertanding di bawah satu pakatan sah seperti BN sebaliknya atas tiket serta lambang masing-masing.
Menurut Reezal Merican, undi popular tidak boleh dijadikan neraca untuk mengukur kemenangan kerana BN merupakan parti sah yang berdaftar manakala pakatan pembangkang pula begitu rapuh sehingga berlakunya pertembungan antara PKR dan Pas di satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"BN masuk ke dalam PRU-13 sebagai perikatan yang bersatu walhal pakatan pembangkang berpecah-belah tetapi jika mereka benar-benar hendak mengukur mengikut satu demi satu parti, UMNO memenangi 88 kerusi daripada 133 kerusi Parlimen yang ditandingi," katanya.

Anwar perlu hormati keluarga arwah

Ahmad Shabery Cheek 
*****
KUALA LUMPUR 27 Jun - Sikap tamakkan kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim terserlah apabila Ketua Pembangkang itu tergesa-gesa ingin merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang kosong selepas penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sikap yang ditunjukkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut jelas tidak menghormati keluarga Allahyarham yang masih bersedih.
"Saya rasa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersabar dahulu kerana bagi kami perlu hormati keluarga arwah yang masih sedih atas pemergian Allahyarham.
"Inilah sikap orang politik pembangkang, baginya itu adalah perkara yang menggembirakan, kemudian tunjuk sikap tamak untuk terkam kerusi di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam bahawa kerusi yang dikosongkan Allahyarham itu merupakan peluang terbaik kepada pembangkang merampas kembali kawasan berkenaan.
Kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu diluahkan semalam iaitu pada hari A. Rahman meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat komplikasi paru-paru.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Allahyarham menang terhadap calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah (6,375 undi).
Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemanan berkata, calon bagi kerusi tersebut hanya akan diputuskan selepas keadaan reda bagi menghormati keluarga Allahyarham.
"Bagi saya, ini masih waktu bersedih untuk kami," katanya lagi.
Jelasnya, sebarang perbincangan tentang nama calon tidak wajar dilakukan sekarang memandangkan pihak keluarga masih bersedih dan perlu menunggu notis dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan kerusi tersebut.
"Kami belum fikir pasal calon, masih terlalu awal," katanya.

BN perlu menang di Kuala Besut elak DUN Terengganu tergantung

PUTRAJAYA 27 Jun - Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan melainkan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut untuk mengelakkan keadaan DUN tergantung di Terengganu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pertarungan sengit dijangka mengambil tempat dalam pilihan raya kecil itu memandangkan kerusi DUN tersebut terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu.
''Pemimpin pembangkang termasuk dari Kelantan dijangka turun untuk berkempen, saya turut mendengar khabar bahawa pembangkang akan meletakkan calon yang terkenal.
''Saya berterima kasih atas pengiktirafan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kekuatan kita di Kuala Besut, tetapi ia mungkin merupakan strategi mereka dan kita tidak akan ambil mudah pertarungan di kerusi ini," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 188 pegawai Jabatan Akauntan Negara di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang pilihan raya kecil yang dijangka diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar akibat komplikasi paru-paru berair semalam.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pengundi di Kuala Besut perlu memikirkan soal kestabilan politik di Terengganu secara keseluruhannya sebelum membuang undi untuk pilihan raya kecil yang bakal diadakan.
''Sekiranya pembangkang berjaya menawan kerusi ini, ia akan menjadikan masing-masing BN dan pembangkang menang 16 kerusi di Terengganu.
''Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku di negara ini. Ia perlu dielakkan dan BN mesti menang untuk memastikan kestabilan Terengganu tidak terjejas," katanya.
Beliau berkata, kemungkinan tempoh berkempen jatuh dalam tempoh bulan Ramadan tidak akan menjejaskan persediaan BN untuk berkempen di Kuala Besut.
''Poster-poster yang lama masih ada dan boleh diguna semula. Jentera tempatan untuk Pilihan Raya Umum 2013 yang lalu akan diperkasakan dengan jentera parti peringkat negeri dan kebangsaan.
''Kedudukan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan II juga memberi kelebihan kepada BN dalam pilihan raya kecil ini," katanya.

Kepemimpinan UMNO mesti berubah jika ingin terus memerintah

Ahmad Maslan (dua dari kiri) bersama jemaah mengaminkan doa ketika menghadiri majlis tahlil dan solat hajat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Bangunan UMNO lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan, Abdul Aziz Abdul Rahman (lima dari kiri). - BERNAMA 
*****
KUALA LUMPUR 27 Jun - Kepemimpinan UMNO semua peringkat mesti mengubah pendekatan mereka dalam menghampiri generasi muda bagi memastikan parti itu kekal sebagai tunjang pemerintahan negara.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kaedah mendidik pemimpin-pemimpin UMNO perlu diselaraskan dengan kehendak masyarakat masa kini.
Menurut beliau, pendedahan seharusnya diberi dari segi cara berpakaian, komunikasi dan berinteraksi secara santai dengan rakyat agar mereka mengundi UMNO.
"Kita mesti memberikan penekanan terhadap semua perkara itu semasa melatih pemimpin. Bukan setakat mengajar bagaimana hendak menjadi ketua bahagian atau ketua cawangan.
"Matlamat utama kita berpolitik adalah menang dalam pilihan raya dan seterusnya beroleh kuasa untuk memerintah, tidak bermegah-megah sahaja," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Mubarak di Ibu Pejabat Mubarak di sini hari ini.
Majlis solat hajat dan tahlil sempena perpindahan Ibu Pejabat Mubarak dari Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke lokasi baharu di Bangunan UMNO Lama, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dilangsungkan selepas solat maghrib dan turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Menurut Abdul Aziz, pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi boleh mengharapkan kekuatan mereka di dalam parti akan menyumbang kepada kemenangan pada pilihan raya.
"Pemimpin UMNO sewajarnya membina kekuatan di dalam masyarakat dengan mendampingi rakyat setiap hari tanpa terikat dan batasan yang memisahkan mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, perubahan sistem pemilihan UMNO yang dilaksanakan tahun ini dilihat mampu memantapkan lagi kerangka kepimpinan parti.
"Cuma saya bimbang kita kurang memberikan penekanan kepada perancangan peralihan kuasa berbanding dengan parti-parti politik di negara lain yang mempunyai cara untuk memilih pemimpin pelapis," jelasnya.
Beliau juga mengumumkan tentang Mesyuarat Agung Mubarak yang dijadual berlangsung di Johor Bahru, Johor mulai 21 hingga 23 Ogos ini.

28 Jun 2013

Dialog Perkongsian Bestari Global di Dar Es Salaam, Republik Bersatu Tanzania

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melambai ke arah orang ramai sebelum berlepas ke Tanzania ketika di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, hari ini. Beliau akan mengetuai delegasi Malaysia dalam Dialog Perkongsian Bestari Global di Dar Es Salaam, Republik Bersatu Tanzania bermula esok. - Foto BERNAMA, Jun 28, 2013 6:24 pm

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-232

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-232 yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kiri) di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA, Jun 27, 2013 2:44 pm

Makluman kekosongan kerusi N.01 Dewan Undangan Negeri Kuala Besut

YANG Dipertua DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong (kanan) menyerahkan surat makluman kekosongan kerusi N.01 Dewan Undangan Negeri Kuala Besut kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Fakhrul Razi Ab Wahab di Wisma Darul Iman, hari ini. - Foto BERNAMA, Jun 27, 2013 1:22 pm

BN perlu menang untuk elak DUN tergantung

PUTRAJAYA 27 Jun - Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan melainkan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut untuk mengelakkan keadaan DUN tergantung di Terengganu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pertarungan sengit dijangka mengambil tempat dalam pilihan raya kecil itu memandangkan kerusi DUN tersebut terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu.
"Pemimpin pembangkang termasuk dari Kelantan dijangka turun untuk berkempen, saya turut mendengar khabar bahawa pembangkang akan meletakkan calon yang terkenal.
"Saya berterima kasih atas pengiktirafan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kekuatan kita di Kuala Besut, tetapi ia mungkin merupakan strategi mereka dan kita tidak akan ambil mudah pertarungan di kerusi ini,'' katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 188 pegawai Jabatan Akauntan Negara di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Notis kekosongan kerusi DUN Kuala Besut dihantar

KUALA TERENGGANU 27 Jun - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mohd. Zubir Embong hari ini menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi DUN Kuala Besut berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar semalam.
Surat makluman itu diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya negeri, Fakhrul Razi Abdul Wahab di pejabatnya di sini untuk dikemukakan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam mesyuarat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur esok.
Menurut Perlembagaan Negeri Terengganu (Bab I) Fasa 44(5), kekosongan kerusi DUN hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh berlaku kekosongan tersebut.
Ini bermakna SPR mempunyai masa sehingga 27 Ogos ini bagi menjalankan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut. - UTUSAN ONLINE

Usaha perdamaian nasional



Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA | pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak ketika menjawab soalan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ ABDUL RAZAK LATIF
*****
KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan asas utama dalam usaha mencapai matlamat perdamaian nasional.
Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat Pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.
Menurut beliau, penerimaan pembangkang terhadap keputusan pilihan raya itu membolehkan kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.
"Saya suka menegaskan premis utama dan asas perdamaian nasional ialah keputusan pilihan raya umum perlu kita terima sebagai keputusan yang muktamad. Kalau berterusan berhimpun di jalanan, matlamat perdamaian nasional tidak akan dicapai.
"Kalau tidak berpuas hati ada saluran tertentu dan selanjutnya keputusan dibuat melalui mahkamah. Kita kena terima kerana ini mengikut Perlembagaan negara," katanya ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 6 Mei lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksana usaha penyatuan nasional untuk mengerat semula hubungan antara rakyat di negara ini yang berpecah sehingga membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum lalu.
Mengulas lanjut mengenai MKPN, Najib berkata, tiga agenda utama menjadi objektif penubuhannya iaitu mencari jalan menangani masalah polarisasi kaum, memupuk keharmonian antara agama serta membentuk dasar-dasar kerajaan supaya bersifat inklusif sosial.
Tambahnya, melalui penubuhan MKPN satu pelan pendamai semula akan dirangka bertujuan merapat kembali hubungan antara pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu supaya tumpuan utama iaitu membangunkan negara dapat diberi perhatian sepenuhnya.
Sementara itu, menjawab isu serupa yang dibangkitkan Azmin Ali (PKR-Gombak) dalam soalan tambahan, Najib berkata, pembangkang hanya tahu membuat tuduhan melulu kononnya berlaku penyelewengan semasa pilihan raya tanpa sebarang bukti.
"Kita ada proses bagi membuat bantahan, jangan buat tuduhan melulu seperti dakwaan sebanyak 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi kerana setakat ini belum ada bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan berhubung kecurangan seperti yang didakwa.
"Kalau tidak berpuas hati, kita perlu berpandukan kepada Perlembagaan negara dan inilah yang akan dibawa dalam perdamaian nasional," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa 28JUN

Kerajaan negeri campuran



Kuala Lumpur: Buat pertama kali dalam sejarah negara, ada kemungkinan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mempunyai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sama di sebuah negeri.
Keadaan itu boleh berlaku di Terengganu jika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut yang perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar, dimenangi pembangkang.
Kemenangan pembangkang akan menjadikan BN dan pembangkang masing-masing memiliki 16 ADUN.
Ketika ini BN menguasai 17 kerusi DUN, manakala pembangkang 15.
Malah, kemenangan pembangkang di Kuala Besut juga dijangka menyaksikan pembentukan kerajaan negeri campuran pertama di negara ini.

Budi bicara Sultan
Dalam keadaan itu, Sultan Terengganu dikatakan mempunyai kuasa budi bicara menentukan ADUN yang mendapat sokongan majoriti di DUN untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata ia berdasarkan Perlembagaan Negeri Terengganu.
Menteri Besar yang dilantik pula akan menasihati Sultan dari segi barisan EXCO negeri.
Pada amalannya, mengikut konvensyen Perlembagaan dalam keadaan sama rata (bilangan kerusi DUN dikuasai BN dan pembangkang), kemungkinan akan wujud kerajaan campuran, katanya kepada BH, semalam.
PRK DUN Kuala Besut adalah yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu yang menyaksikan BN sekali lagi diberi mandat untuk membentuk kerajaan di Terengganu dengan majoriti mudah apabila memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN, manakala PAS 14 dan PKR satu. 
BH | hwa 28JUN