12 Ogos 2013

Perwakilan Pas dicabar kemuka usul basmi Syiah

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pas perlu membasmi sebarang kegiatan ajaran Syiah dalam parti itu dengan mengemukakan usul untuk 'membersihkan' fahaman tersebut dalam muktamar parti tahun ini. Aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, ancaman daripada kegiatan Syiah tidak boleh dipandang remeh dan memerlukan tindakan serius daripada parti itu untuk memecat ahli yang terbabit dalam fahaman itu.
"Ini adalah soal akidah, fahaman Syiah diperangi umat Islam dari zaman berzaman dan pemimpin Pas tidak boleh melihatnya mengikut kepentingan politik.
"Saya cabar mana-mana perwakilan Pas terutamanya Pas negeri Kedah untuk mengemukakan usul pembersihan Syiah dalam muktamar Pas tahun ini agar kita semua tahu perkara ini dibendung secara serius," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kegiatan penyebaran fahaman Syiah yang diharamkan di negara ini semakin serius apabila Kementerian Dalam Negeri mengesan terdapat kira-kira 250,000 pengikut Syiah daripada 10 kumpulan yang bergerak aktif.
Sementara itu, seorang lagi aktivis Pas yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, sejak penglibatannya dalam Pas pada 1993, beliau belum pernah melihat isu Syiah dibangkitkan dan dibincangkan dalam muktamar Pas.
"Saya berharap ketetapan mengenai Syiah itu dibincangkan dalam muktamar parti dan diambil perhatian secara serius oleh Majlis Syura Ulama Pas untuk membuat ketetapan menolak sebarang fahaman Syiah," katanya.
Katanya, meskipun masyarakat Islam di Malaysia secara tradisi berpegang teguh pada Ahli Sunnah Wal Jamaah namun ancaman daripada Syiah tidak boleh dipandang secara remeh kerana ajaran itu menyerap secara halus dan boleh membawa polemik perpecahan masyarakat Islam.
"Paling membimbangkan saya sekarang ini ialah adanya orang Melayu yang berbangga diri, dia adalah Syiah sedangkan mereka sepatutnya sedar penyelewengan yang dilakukan Syiah adalah amat dahsyat.
"Parti-parti politik perlu membuat ketetapan untuk menolak Syiah kerana banyak negara Islam telah hancur akibat pertembungan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah sebagaimana di Iraq dan Syria," katanya.
Menurut Norman, beliau tidak menolak kemungkinan kecenderungan segelintir masyarakat negara ini terhadap Syiah adalah berikutan terpengaruh dengan Revolusi Iran pada 1979 sehingga mendorong banyak ibu bapa menghantar anak-anak untuk belajar di Iran sehingga terdedah dengan fahaman Syiah.

Laporan polis terhadap Dr. Mazlan dipersoal

Anwar Ibrahim, Mazlan Ismail 
*****
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya membuat laporan polis terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail berhubung pelbagai pendedahan menerusi 6,000 keping surat misteri melibatkannya dan Pengerusi DAP, Karpal Singh menimbulkan tanda tanya.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, perkara itu sama sekali bertentangan dengan sikap Anwar yang kebiasaannya sepantas kilat menyaman mana- mana pihak yang mengaitkan beliau dalam sesuatu isu bagi menakut-nakutkan dan menutup mulut.
"Sehubungan itu, saya tertanya-tanya kenapa pula dalam isu ini, Anwar cuma membuat laporan polis sahaja dan tidak terus mengheret pihak-pihak berkenaan ke mahkamah?
"Laporan polis sahaja tidak cukup untuk membuktikan berita yang disebarluaskan itu sebagai tidak benar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Mazlan mendakwa menerima sebanyak 6,000 surat misteri bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal yang menceritakan 'urus niaga' dua pemimpin pembangkang itu.
Namun, Anwar dan Karpal ketika membuat laporan polis berhubung pengedaran surat misteri tersebut menafikan dakwaan 'urus niaga' berkenaan sebaliknya mendakwa perkara itu fitnah UMNO.
Menurut Ruslan, surat misteri itu sedikit sebanyak membongkar tembelang pemimpin pembangkang yang selama ini hidup selesa dengan memerah keringat dan titik peluh rakyat untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Kritikan Kuan Yew berasas

Azmi Hassan 
*****
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew berhubung ketidakmampuan pakatan pembangkang negara ini mentadbir Malaysia adalah berasas.
GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, perkara itu berdasarkan pendekatan politik pembangkang di negara ini yang dilihat lebih menjurus kepada perjuangan bersifat kepentingan peribadi.
Menurut beliau, keadaan itu sama sekali berbeza dengan pendekatan politik pembangkang di Singapura yang Parti Pekerja (WP) yang mengkritik kerajaan negara tersebut secara positif.
"Kuan Yew menegaskan jika pembangkang Singapura mempunyai sifat seperti pembangkang di sini, maka sukar untuk negara republik itu maju ke hadapan.
"Ini menjelaskan pendekatan politik pembangkang di negara ini yang menyemai sifat kebencian dalam kalangan rakyat memberi kesan kepada proses pembangunan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Pengerusi DAP, Karpal Singh membidas Kuan Yew berhubung kenyataannya itu dengan memintanya menguruskan isu dalaman parti sendiri sebelum mengulas hal ehwal orang lain.
Kenyataan Karpal itu ekoran pendedahan Kuan Yew menerusi buku bertajuk One Man's View of The World yang dilancarkan minggu lalu yang antara lain berkata, pakatan pembangkang di negara ini tidak akan mampu mentadbir Malaysia.
Dalam pada itu, Azmi berkata, kegagalan parti-parti pembangkang menguruskan masalah dalaman masing-masing merupakan manifestasi kelemahan tadbir urus pakatan tersebut.
"Kuan Yew hanya menyatakan yang tersurat, tetapi mustahil bagi pakatan menerima realiti ini kerana DAP, PKR dan Pas adalah peluang terbaik mereka menumbangkan BN.
"Namun, rakyat perlu menilai apakah mereka mahu sebuah organisasi yang lemah seperti pakatan pembangkang mentadbir negara," ujarnya.
Sementara itu, penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, pandangan Kuan Yew itu dibuat menerusi pemerhatian beliau hasil lawatan ke negara ini sebelum pilihan raya umum lalu.
Menurut beliau, pandangan Kuan Yew itu juga melihat kepada bilangan kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang selain berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang mengetahui mengenai keutuhan kerjasama yang wujud di bawah BN.
"Bagi saya ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang mempunyai ideologi berbeza, mungkin itu yang dirujuk Kuan Yew," katanya.

Mesyuarat UMNO dilanjutkan

Tengku Adnan 
*****
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tempoh penganjuran mesyuarat UMNO cawangan dan bahagian di seluruh negara dilanjutkan dua minggu manakala hari penamaan calon untuk pemilihan parti dipinda kepada tarikh baharu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pindaan tarikh tersebut dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti.
Menurut beliau, mesyuarat UMNO cawangan dilanjutkan dari 31 Ogos kepada 15 September ini manakala mesyuarat UMNO bahagian dan hari pemilihan MT parti dipinda dari 5 Oktober kepada 19 Oktober ini.
"Pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dilanjutkan dari 7 September kepada 21 September ini dan mesyuarat ketiga-tiga sayap tersebut ditetapkan pada 12 Oktober ini.
"Penamaan calon untuk pemilihan MT UMNO dilanjutkan dari 7 September ke 28 September ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tengku Adnan menjelaskan, pindaan itu dibuat berikutan cadangan dan permintaan daripada UMNO bahagian dan cawangan yang antara alasannya tarikh mesyuarat cawangan sebelum ini berlangsung pada Ramadan dan Aidilfitri selain tempoh asal pada 31 Ogos.
Beliau memberitahu, dalam masa sama, dua pemimpin negara asing iaitu Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dijadual melawat negara ini pada awal Oktober.

11 Ogos 2013

Tengku Zaihan tidak tanding pemilihan UMNO

BESUT 11 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman tidak berhasrat merebut sebarang jawatan dalam parti UMNO namun mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam tugas sebagai wakil rakyat.
Beliua yang kini merupakan ahli jawatankuasa UMNO Cawangan Kampung Nail berkata, ketika ini beliau lebih berminat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat agar segala perancangan pembangunan yang dijanjikan dapat ditunaikan.
Katanya, pun begitu, beliau menyerahkan statusnya kepada Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menentukan kedudukannya dalam barisan kepimpinan parti bahagian itu.
"Buat masa ini saya tidak berminat dengan mana-mana jawatan dalam parti sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada rakyat di sini terlebih dahulu dan selepas itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukan saya.
"Saya masih baru dan perlu belajar selok-belok dalam parti dan saya rasa buat masa ini biarlah saya bersama rakyat dahulu tambahan pula saya baru sahaja dipilih rakyat bulan lalu," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Alur Pisang, dekat sini semalam.
Sebelum ini, terdapat desas-desus mahu Tengku Zaihan, 37, bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut berikutan kekosongan jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh ADUN Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa yang melepaskan jawatan itu kerana faktor usia. - UTUSAN ONLINE

'Kita perlu pemimpin dapat terjemahkan aspirasi rakyat'

ALOR SETAR 10 Ogos - Kira-kira 150,000 ahli UMNO perlu mengunakan peluang pemilihan parti Oktober ini untuk membantu pucuk kepemimpinan memilih pemimpin di peringkat bahagian dan tertinggi yang benar-benar dapat menterjemahkan aspirasi rakyat khususnya kaum Melayu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, mereka perlu menggunakan kuasa pemilihan itu untuk mengundi pemimpin yang berjiwa besar dan berjiwa rakyat bagi memastikan parti itu terus muncul sebagai parti terkuat di negara ini.
"Antara lain ciri-ciri pemimpin kita kehendaki supaya parti terus kuat ialah orang yang tiada masalah sehingga boleh menjejaskan parti, mempunyai integriti tinggi, berwawasan dan mudah didekati rakyat," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di sini hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dilaporkan berharap proses pemilihan parti yang akan berlangsung Oktober ini tidak merosakkan atau menggugat UMNO sebagai sebuah parti terkuat di negara ini.
Tegas Perdana Menteri, sebagai sebuah parti yang telah mengubah perlembagaannya, UMNO kini menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif sehingga ramai yang menawarkan diri untuk bertanding berebut jawatan dalam parti.
Sehubungan itu, Perdana Menteri amat berharap UMNO mendahului parti-parti politik lain dari segi kaedah pemilihannya yang berjalan begitu baik dan bersih serta mencerminkan tahap kematangan yang lebih tinggi daripada mana-mana parti politik lain.
Mukhriz berkata, setiap kali pemilihan UMNO membuka peluang kepada ahli untuk melakukan perubahan yang dirasakan perlu bagi menentukan parti terbesar orang Melayu itu terus relevan.
"Kita berharap kepemimpinan baharu nanti dapat membantu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO untuk menjamin agar parti terus kuat, menjana perubahan atau transformasi seperti yang diidamkan," kata Menteri Besar Kedah itu.

6 Ogos 2013

Kek Sempena Aidilfitri

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan melihat kek buah bertemakan Seni Bina Islam yang dipersembahkan oleh Hotel Holiday Villa Subang semasa Majlis Persembahan Kek Sempena Aidilfitri di Dewan Santapan, Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini. Sebanyak 15 hotel terkemuka mempersembahkan kek sempena sambutan Aidilfitri. - Foto BERNAMA | Aug 5, 2013 2:47 pm

Pelancaran Pusat Percetakan Al-Quran Mushaf Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat pameran pada majlis pelancaran Pusat Percetakan Al-Quran Mushaf Malaysia, hari ini. - Foto Abdullah Yusof | Aug 5, 2013 4:38 pm

Salam Lebaran


5 Ogos 2013

Penyampaian Sumbangan Zakat Tahun 2013/1434

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bermesra dengan orang ramai pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Tahun 2013/1434 di Dewan Konvensyen, Pekan, Pahang, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir | Aug 4, 2013 12:46 pm

Anwar, Karpal buat laporan polis, nafi pendedahan surat

ANWAR Ibrahim dan Karpal Singh selepas membuat laporan polis berhubung isu surat-surat misteri di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN 
*****
PETALING JAYA 4 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat laporan polis bagi menafikan pendedahan kandungan 6,000 keping surat yang mengaitkan mereka di Permatang Pauh, kelmarin.
Kedua-dua pemimpin pembangkang itu hadir di Balai Polis Tropicana di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dan tindakan segera dibuat oleh pihak berkuasa.
Dalam laporan itu, Anwar dan Karpal memandang serius tentang dakwaan tersebut dan berharap Peguam Negara (AG) akan mengarahkan perkara berkenaan disiasat polis.
Anwar dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR selepas membuat laporan itu berkata, dakwaan yang dibuat bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail berhubung pendedahan surat layang itu disifatkannya sebagai satu fitnah yang dilemparkan UMNO terhadapnya.
Kelmarin, Mazlan mendedahkan kira-kira 6,000 laporan bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal yang mendedahkan 'urus-niaga' oleh dua pemimpin tertinggi pembangkang iaitu Anwar dan Karpal yang telah tersebar secara meluas di Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu.
Mengulas dakwaan 'urus-niaga' itu, Anwar memberitahu, beliau dan sekeluarga amat berterima kasih kepada Karpal yang banyak membantunya selama ini dan tidak timbul isu kewangan antara mereka.
"Sepanjang Karpal membantu saya menjadi panel guamannya, tidak pernah timbul tentang isu pembayaran. Apabila dakwaan sebegini berlaku, sekali gus menjejaskan maruah Karpal," katanya.
Tambahnya, beliau setuju jika Karpal mahu mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menjejaskan imej mereka dan pemimpin PKR lain.
Sementara itu, Karpal pula mencabar Mazlan mendedahkan identiti dan dokumen mengaitkan dirinya dan Anwar seperti yang didedahkannya sebelum ini.
"Saya cabar Mazlan jika dia 'anak jantan' supaya tunjukkan slip cek, akaun bank, slip pembayaran dan identiti pihak yang membuat surat itu.
"Saya juga mencabar stesen televisyen TV3, akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times untuk turut melakukan perkara sama," katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya dan Anwar sedang mengumpul bukti untuk melakukan tindakan dalam masa terdekat.
"Tuduhan yang dilemparkan begitu serius dan saya menafikan kewujudan tuduhan itu kerana saya telah lama bersahabat dengan Anwar. Oleh itu saya menggesa pejabat AG mengarahkan siasatan mendalam tentang perkara ini," katanya

DAP mesti pegang janji - ROS

KUALA LUMPUR 4 Ogos - DAP seharusnya mengutamakan pelaksanaan keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kerana itu keputusan terbaik, mencerminkan permintaan akar umbi DAP. Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, langkah itu juga menunjukkan ketulusan kepimpinan DAP berpegang pada janji mereka kepada umum untuk melaksanakan apa juga keputusan yang diumum oleh ROS.
Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, Abdul Rahman turut menjelaskan semua perkara berhubung pertubuhan diurus berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 dan ROS membuat keputusan berpandukan penjelasan yang diberi oleh pihak terlibat.
"Dalam hal ini, ROS telah menyatakan pendiriannya yang tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Pemimpin DAP sebenarnya sendiri tahu mereka tidak memberi penjelasan yang memuaskan dan risiko yang mereka ambil," katanya.
Menurut Abdul Rahman, Akta Pertubuhan 1966 juga tidak memperuntukkan keperluan ROS menjelaskan mengapa mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi.
"Perkara utama yang perlu difahami ialah tindakan-tindakan yang telah diambil oleh ROS bertepatan dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 bukan desakan atau dendam.
"Bahkan ROS telah mengambil sikap yang terlalu humanistic menguruskan pemimpin DAP walaupun beberapa kali difitnah khususnya sepanjang pilihan raya umum yang lalu atas dasar politik," katanya.
Kenyataan Abdul Rahman itu menyusul ekoran respons Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng DAP yang mempersoal peruntukan undang-undang yang digunakan oleh ROS dalam memutuskan DAP perlu membuat pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).
Guan Eng juga dilapor berkata, DAP tidak akan mematuhi arahan ROS itu selagi tuntutannya mengenai perkara berkenaan tidak dijelaskan sepenuhnya.
Pada 30 Julai lepas, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC dan memaklumkan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti itu berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan CEC dan isu manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, dakwaan pemimpin DAP bahawa mereka telah memberi kerjasama penuh kepada ROS adalah tidak tepat kerana sepanjang siasatan mereka sering meminta penundaan tarikh atau memendekkan masa proses siasatan atas alasan sibuk dengan hal politik kepartian mereka.
"Mereka juga sering kali menangguhkan penghantaran maklumat yang diperlukan ataupun tidak menyediakannya walaupun perkara itu telah dinyatakan kepada mereka lebih awal," katanya yang menyifatkan keengganan DAP mematuhi keputusan ROS sebagai sangat mendukacitakan. - BERNAMA

Surat misteri di tangan SPRM

PULAU PINANG 4 Ogos - Bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dr. Mazlan Ismail hari ini menyerahkan semua surat misteri yang diterimanya sejak beberapa hari lalu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, beliau berbuat demikian bagi membolehkan SPRM menyiasat secara menyeluruh kandungan surat berkenaan.
"Seperti dimaklumkan sebelum ini, saya tidak sama sekali mahu dilibatkan dengan kandungan surat itu, namun sebagai rakyat, saya mahu pihak berkuasa menyiasat demi kepentingan umum," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Kelmarin Mazlan mendedahkan kemunculan surat misteri yang mengandungi 'urus niaga' oleh dua pemimpin tertinggi pembangkang iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk di Permatang Pauh.
Surat lapan halaman yang dihantar ke rumah penduduk sejak beberapa hari lalu itu antara lain mengandungi pelbagai nombor akaun bank yang didakwa milik Anwar.
Penduduk kemudian memutuskan untuk menyerahkan surat bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal berkenaan kepada Mazlan.
Mengulas tindakan Anwar dan Karpal membuat laporan polis dan berhasrat mengambil tindakan undang-undang berhubung pendedahan itu, Mazlan memberitahu, mereka berhak berbuat demikian.
"Mereka berhak mengambil apa juga tindakan yang difikirkan sesuai terhadap saya.
"Namun, saya tetap menaruh kepercayaan tinggi terhadap pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya.

3 Ogos 2013

Tema dan logo Hari Kemerdekaan ke-56 diperkenalkan

LOGO Hari Kemerdekaan Ke-56
*****
KUALA LUMPUR 3 Ogos - 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' akan menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56 pada 31 Ogos tahun ini.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tema itu lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa.
"Tema ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara," kata kenyataan itu.
Kementerian itu berkata, konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.
"Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan," katanya.
Kata kementerian itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 ini, beberapa acara akan diadakan bagi meraikan hari kegemilangan ini termasuklah Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 16 Ogos ini di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah.
Selain itu, Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos 2013 akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya.
Kata kementerian itu, acara yang bermula pada jam 5 petang itu dimeriahkan dengan Karnival Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya.
Acara lain termasuk perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka melibatkan persembahan pasukan keselamatan negara yang terdiri daripada gabungan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pameran aset pasukan keselamatan negara dan demonstrasi lintas udara oleh PDRM dan ATM juga akan mengisi acara pada sambutan hari kemerdekaan nanti.
"Acara ini melibatkan empat segmen iaitu Rukunegara, Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteran Bersama dan MalaysiaKu Berdaulat : Tanah Tumpahnya DarahKu dengan penyertaan lebih kurang 4,000 orang termasuk acara formasi di padang.
Kementerian itu berkata, 2013 juga istimewa kerana ia merupakan Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia dan sempena itu, negeri Sabah dan Sarawak akan mengadakan pelbagai acara bagi memeriahkan sambutan ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesemua program dan aktiviti sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 di laman web www.malaysiamerdeka.gov.my. - UTUSAN ONLINE

2 Ogos 2013

Saya tak tahu apa itu Syiah - Mahfuz

KUALA LUMPUR 29 Julai - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai fahaman Syiah yang bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.
Dalam maklum balasnya kepada Utusan Malaysia melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Ahli Parlimen Pokok Sena itu secara sinis turut melontarkan soalan berhubung apa itu Syiah.
''Syiah itu benda apa? Kuih berbuka puasa? Saya pun tak tahu apa Syiah. Ingat kuih buka puasa. Kawasan saya buat bubur lambuk sahaja,'' katanya ringkas.
Baru-baru ini kerajaan mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Tindakan tegas itu adalah rentetan daripada gerakan aktif pertubuhan berkenaan sehingga memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang majoritinya berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Perisytiharan tersebut dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandukan kepada peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.
Ahmad Zahid turut mengesahkan terdapat beberapa pemimpin dari sebuah parti pembangkang secara aktif terlibat menghebahkan fahaman Syiah di beberapa negeri.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan dua pemimpin sebuah parti politik dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan politik kepada gerakan fahaman tersebut.
Malah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan Pas sukar untuk menafikan bahawa fahaman Syiah tidak wujud di dalam parti itu dan antara puncanya adalah kegagalan pucuk pimpinan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang berita atau aduan mengenai penglibatan pemimpin serta ahlinya di dalam fahaman tersebut.
Beliau berkata, selama ini sudah ada bukti-bukti yang menunjukkan terdapat pemimpin tertinggi Pas mengamalkan fahaman Syiah.
Perkara itu turut ditegaskan aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang memberitahu pembabitan ahli Pas termasuk pemimpin kanan parti tersebut dengan fahaman Syiah bukan suatu perkara baharu tetapi telah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
Sementara itu, Utusan Malaysia gagal untuk mendapatkan reaksi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung perkara sama.

Pas mesti bertindak segera

Abd. Aziz Hanafi (kiri) bersama Ashiq Elahi Md. Desa (dua dari kiri) dan Timbalan Pengerusi 2 Giptis, Mohd. Shahrilazrie Mustaffa ketika sidang akhbar di Jitra, Kedah, malam semalam. - BERNAMA 
****
KUBANG PASU 29 Julai - Seorang tokoh ulama di sini berharap pemimpin Pas dapat mengambil tindakan segera membersihkan parti tersebut dan ahli-ahlinya daripada ajaran Syiah.
Tokoh tersebut, Prof. Madya Dr. Abd. Aziz Hanafi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Institusi Pondok, Maahad Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) berkata, walaupun penularan ajaran itu sukar dikesan kerana pengikutnya gemar berselindung dan bermuka-muka, namun pihaknya percaya keadaan itu wujud.
Menurut beliau, pihaknya amat berharap agar pengikut ajaran itu bertaubat dan kembali kepada akidah sebenar iaitu berdasarkan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah sebelum terlambat.
"Saya mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Pas sebelum ini dan mereka menjelaskan bahawa Pas berpegang teguh kepada Ahli Sunah Wal Jamaah, jika mereka tahu siapa amal Syiah, dia akan ditolak.
"Jadi kenalah bersihkan cuma kalau ada yang berselindung kerana taqiyah yang merupakan senjata ampuh pengikut Syiah ini menyembunyikan diri, kita dapat merasainya daripada kenyataan dan ibadat pengikutnya. Kita risau dengan penularan ajaran ini terutama di kalangan pemuda Islam kita," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Giptis di Jitra dekat sini malam tadi.
Sebelum ini, Giptis melalui kenyataan Timbalan Pengerusinya, Ashiq Elahi berkata, penularan fahaman tersebut termasuk dalam kalangan generasi muda berpunca daripada pengikutnya terdiri daripada pemimpin politik.
Walaupun tanpa menamakan parti politik tersebut, namun beberapa pemimpin kanan Pas negeri itu tampil membuat kenyataan menafikan kewujudan pengikut Syiah dalam parti itu.
Menurut Abd. Aziz, Pas perlu serius berdepan dengan perkara tersebut dengan mengenalpasti pengikutnya dan mengambil tindakan.
Dalam pada itu, katanya, Giptis turut mengalu-alukan ilmuan Sunni dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk bekerjasama dalam usaha menentang habis-habisan fahaman Syiah demi mengekang penularan ajaran itu di Kedah dan seluruh negara.
"Kita akan menganjurkan seminar untuk memantapkan akidah masyarakat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah dan dedah penyebaran ajaran sesat ini," katanya.
Pihaknya juga akan menyokong usaha kerajaan mengekang fahaman Syiah di seluruh negara.

DAP diarah adakan pemilihan semula CEC

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) melalui sepucuk surat rasmi yang dihantar kepada parti itu petang semalam.
Perkara itu disahkan sendiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng apabila beliau memberitahu, ROS dalam surat berkenaan menyatakan pihaknya tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP berhubung isu penyelewengan undi CEC.
Bagaimanapun Guan Eng dalam reaksi segera terhadap arahan itu menyifatkan tindakan ROS sebagai tidak adil kerana dakwanya, badan tersebut tidak menyatakan dengan jelas mengapa pemilihan semula CEC perlu dilakukan.
Kenyataan itu bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini, iaitu tidak akan tunduk kepada desakan pelbagai pihak, khususnya ahli DAP agar pemilihan CEC diadakan semula selagi tidak mendapat surat rasmi daripada ROS.
"ROS hanya menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP tanpa memberi alasan serta sebab mengapa (pemilihan CEC perlu dibuat semula) sedangkan parti DAP telah memberikan kerjasama penuh.
"Semua dokumen sokongan juga diberikan bagi membuktikan pemilihan parti pada Disember lalu dijalankan dengan betul, mengikut undang-undang dan demokrasi," dakwanya sebagaimana dipetik dari portal Free Malaysia Today hari ini.
Sebelum ini, ahli DAP berterusan mendesak parti itu mengadakan pemilihan semula CEC bagi mengelakkan DAP dibatalkan berikutan dakwaan berlaku penyelewengan dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan.
Skandal penyelewengan tersebut kemudian didedahkan Father Augustus Chen dalam buku The Equity Report tetapi meskipun pendedahan tersebut menjejas kredibiliti DAP, tiada penafian dibuat pemimpin tertinggi parti itu.

1 Ogos 2013

Taklimat Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir sesi taklimat Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Ali Hamsa (kiri), Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (dua dari kanan) dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Effendy Rashid | Aug 1, 2013 9:53 am

Sumbangan kepada Pengerusi Masjid Mu'adz Bin Jabal

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Masjid Mu'adz Bin Jabal, Abdullah Mohamed (kanan) pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Mu'adz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Syarafiq Abd Samad | Jul 31, 2013 10:34 pm

BN, UMNO ambil iktibar mesej rakyat - PM

Najib Tun Razak menyampaikan bantuan kepada penerima orang kurang upaya Ehsan Ghani dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Mu'adz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN 
*****
KUALA LUMPUR 31 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil iktibar dan bermuhasabah terhadap semua mesej yang disampaikan oleh rakyat dengan melihat trend Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyatakan komitmennya untuk terus memberi tumpuan kepada usaha memenuhi kehendak masyarakat terutama di kawasan bandar supaya Barisan Nasional (BN) dan UMNO terus menjadi parti pilihan bagi seluruh rakyat negara ini.
Dalam masa sama beliau berkata, BN dan UMNO perlu sentiasa diperkasakan, selain mendengar denyut nadi rakyat bagi memastikan parti kerajaan itu terus menjadi parti popular sama ada dalam kalangan masyarakat bandar mahupun luar bandar.
"Dengan ini juga kerajaan telah mengenal pasti tiga bidang tumpuan yang perlu perhatian sehingga memberi kepuasan terutama kepada masyarakat bandar.
"Pertama, memerangi habis-habisan jenayah dan rasuah seperti jenayah ragut, pecah rumah termasuk jenayah berat," katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Kementerian Wilayah Persekutuan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Mu'adz bin Jabal di sini hari ini.
Kedua, Perdana Menteri berkata, menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dengan menyediakan jaringan pengangkutan awam yang berkesan.
Beliau berkata, hasratnya dalam perkara tersebut adalah untuk melihat pengangkutan awam bukan sahaja digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, malah yang berpendapatan tinggi.
"Cuba lihat kota besar seperti New York dan London bagaimana kemudahan pengangkutan awam di sana turut digunakan oleh golongan berpendapatan tinggi," ujarnya
Beliau berkata, tuntutan ketiga ialah memperbanyakkan lagi pembinaan rumah mampu milik yang berharga antara RM150,000 hingga RM300,000 di Wilayah Persekutuan
Untuk itu katanya, sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Wilayah Persekutuan dalam tempoh lima tahun iaitu 50,000 unit di Kuala Lumpur, Putrajaya (20,000 unit) dan Labuan (10,000 unit).
Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Menterinya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat dan Pengerusi Masjid, Abdullah Mohamad.
Dalam majlis tersebut sebanyak 1,500 golongan memerlukan menerima sumbangan yang disampaikan Perdana Menteri.