22 Mac 2011

Anwar, pilihan raya Sarawak dan kitab Injil

PILIHAN Raya Negeri Sarawak bakal diadakan tidak lama lagi dan bayangan pilihan raya itu semakin hampir apabila pihak-pihak pembangkang mula acap kali terbang ke negeri Bumi Kenyalang itu, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang. Namun, kehadiran Anwar ke negeri itu telah dipandang sinis oleh beberapa penulis blog tempatan.

Penulis blog Real Sarawak (realsarawak.blogspot.com) yang turut disiarkan oleh Taiping Mali (taipingmali.blogspot.com) dan House PK (parpukari.blogspot.com) berkata, kehadiran Anwar dan pakatan PKR-DAP-Pas yang membawa politik baru berkonsepkan benci-membenci dan hina-menghina antara satu sama lain akan memusnahkan sistem perpaduan rakyat Sarawak.

Katanya, Anwar sengaja mahu melaksanakan konsep politik pecah dan perintah di Sarawak bagi membolehkan pembangkang menguasai negeri itu setelah mereka berjaya menguasai empat negeri di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, khususnya dengan menyerang Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Apa yang cuba ditutup oleh Anwar sebenarnya? Sudah terbukti, 11 bahagian di Sarawak serta 27 kumpulan etnik kaum, kesemuanya sudah merasai jasa-jasa yang ditabur oleh Taib Mahmud. Anwar cuba jelaskan, bahagian negeri manakah di Sarawak yang tidak dibangunkan oleh pemerintahan kerajaan negeri itu? Sibu, Kapit, Kuching, Bintulu, Betong ataupun Samarahan, semuanya sudah menikmati pembangunan.

"Adakah semua ini dilakukan bagi menambah kekayaan Taib Mahmud? Apakah Anwar fikir rakyat Sarawak terlampau bodoh sehingga tak menyedari segala pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pehin Sri? Anwar dan pakatan pembangkang sebenarnya lebih suka jika Sarawak kekal miskin dan papa kedana," katanya.

Kata beliau, jika negeri-negeri sekecil Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor pun pihak pembangkang tidak mampu mentadbir dengan baik, apakah mereka mampu membawa kemajuan dan ketenteraman di Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik serta berbilang industri?

Blog Muka Petang (mukapetang.blogspot.com) pula berkata, Anwar kini sedang berusaha mencari orang yang paling dipercayai untuk menjahanamkan kekayaan Sarawak, seperti mana yang dilakukan di Kelantan.

"Kini strategi yang sama sedang diatur di Sarawak. Betapa geramnya nafsu Anwar untuk meraih lebih banyak lagi tanah NCR (Hak Adat Bumiputera) di Sarawak yang rata-ratanya kaya dengan pelbagai hasil bumi.

"Adakah orang Sarawak sedar akan tipu muslihat Anwar sebagaimana Anwar telah menjayakannya di Kelantan. Siapakah orang kanan Anwar yang bakal menjamin lebih banyak lagi tanah NCR untuk dijual kepada orang luar dan dirampas daripada orang Sarawak sendiri?" tulis blog ini.

Sementara itu blog Gelagat Anwar (gelagatanwar.wordpress.com) pula menulis tentang tindakan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) yang tidak mahu lagi dikaitkan dengan pakatan pembangkang kerana Presidennya, Edwin Dundang Bugak nyata kecewa kerana Anwar tidak berpegang pada janji untuk menjadikan Snap sebagai pemain utama pada pilihan raya negeri nanti.

"Bukan semuanya salah Anwar. Snap pun meletakkan harga yang tinggi kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang. Harga dalam bentuk kawasan yang bakal ditandingi dan professional fees politik yang terlalu tinggi. Snap meletakkan harga yang melampau tinggi untuk Anwar bersetuju dengan perjanjian 'syaitan' bagi meruntuhkan kerajaan BN (Barisan Nasional) Sarawak.

"Pilihan raya belum pun berlangsung namun 'krisis kerjasama' dalam pakatan pembangkang Sarawak sudah nyata dan tidak mampu diketepikan. Snap memang diperlukan. Namun Anwar tidak dapat menerima amalan politik 'pelacur' seperti yang dikehendaki Snap," katanya.

Mengenai isu kitab Injil dalam bahasa Melayu yang dibenarkan dilepaskan dari Pelabuhan Klang dan Kuching, blog UMNO Reform II (www.umno-reform2.com) menyiarkan reaksi seorang pembacanya yang berkata, sikap sesetengah pihak yang berkeras mahu mengedarkan kitab penganut agama Kristian dalam bahasa Melayu itu adalah tidak masuk akal kerana secara rasminya orang Melayu adalah beragama Islam.

Katanya, jika ia mahu diedarkan di kalangan rakyat Malaysia Timur sahaja, sepatutnya kitab tersebut dikeluarkan dalam bahasa etnik yang ada di Sabah dan Sarawak dan tidak bahasa Melayu yang bukan bahasa ibunda mereka.

"Dalam hal lain, seperti papan tanda, sekolah satu aliran dan sebagainya, ada pihak yang tidak mahu mendaulatkan bahasa Melayu walaupun untuk urusan rasmi seperti tertakluk di bawah Fasal 152 (Perlembagaan Negara) tetapi Injil mereka mahu menggunakan bahasa Melayu," kata pembaca itu.

Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com) pula mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berhubung kebenaran mengedarkan kitab-kitab Injil tersebut di Sabah dan Sarawak tetapi perlu mempunyai cop 'Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja.'

"Persoalannya, siapa beri arahan supaya dibenarkan sedemikian? Ia pastinya bukan keputusan Kabinet kerana mesyuarat berkenaan pada Rabu minggu lalu tidak menyebut pun perkara ini. Sementara mesyuarat Kabinet minggu ini hanya akan bermesyuarat hari ini (Rabu lalu). Jadi, Idris bertindak atas arahan siapa?

Kata beliau, dengan pembebasan kitab-kitab Injil berbahasa Melayu yang tersadai di dua pelabuhan itu sebelum ini, pihak kerajaan mungkin tidak terasa dibebani desakan, manakala pihak yang akan bertanding pada pilihan raya Sarawak pasti merasa lega kerana isu ini sedikit sebanyak sudah diselesaikan.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL, lukman@utusan.com.my

/hwa: utusan.com.my | um - 18/3/11

Tiada ulasan: