Pages

17 Januari 2013

Patuhi keputusan Majlis Syura Ulama Pas

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Keputusan Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu adalah keputusan yang patut dipatuhi oleh semua anggota parti itu.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, walaupun ada pendapat berbeza mengenai perkara itu sebelum ini dalam kalangan kepimpinan parti, ia adalah pandangan peribadi masing-masing.
"Apa yang dihasilkan pada Majlis Syura Ulama adalah keputusan yang bijak dan kena pada masanya. Apa yang diputuskan, kita harus berpegang kepada itu dan bukannya pandangan peribadi," katanya di sini hari ini.
Ditanya sama ada keputusan itu dibuat berikutan tekanan pelbagai pihak, Nasharuddin yang secara peribadi tidak bersetuju dengan gesaan itu berkata, beliau tidak pasti mengenainya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bachok itu menegaskan Majlis Syura Ulama pastinya berbincang dan membuat pemerhatian yang teliti dalam beberapa aspek sebelum memutuskan sedemikian.
"Bukan sahaja pandangan politik dan tuntutan akidah untuk menjaga keharmonian Islam, tetapi dalam konteks masyarakat Malaysia itu sendiri. Memang tidak sesuai kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain," katanya.
Sementara itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) dalam satu kenyataan berkata, pendirian tidak konsisten segelintir pemimpin Pas menampakkan kedangkalan kefahaman agama Islam dalam kalangan mereka.
Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad berkata, keterlanjuran Pas menggadaikan maruah agama Islam walaupun hanya untuk seketika, sudah cukup mengguris hati masyarakat Islam di negara ini sehingga ramai yang mula menjauhi parti itu.
"Pas terpaksa terima hakikat kerana mereka ini (segelintir pemimpin Pas) tidak cukup cerdik dalam berpolitik...mereka gagal menampilkan Pas sebagai parti yang mengetahui dan mengamalkan isi kandungan lima dimensi maqasid (matlamat) syariah yang sepenuhnya," katanya.
Diminta mengulas pandangan Pas tidak konsisten itu, Nasharuddin mengulangi kenyataannya bahawa Majlis Syura Ulama merupakan bidang kuasa terbesar yang menentukan dasar-dasar dalam parti itu.
Ditanya sama ada Pas akan terus berpegang dengan keputusan itu walaupun akan wujud gesaan lain daripada rakan-rakan pembangkang selepas ini, beliau berkata:
"Yang penting adalah tuntutan akidah.
"Isu ini tidak harus dipolitikkan bagi kepentingan masing-masing. Kalau serius pertahankan akidah Islam, maka harus serius pertahankan keputusan Majlis Syura Ulama," katanya. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan