13 Januari 2013

Rusuhan bukan cara bentuk kerajaan

Kerajaan baharu Mesir menghadapi kesukaran untuk meredakan keadaan yang sentiasa bergolak di bandar-bandar utamanya. - AFP 
*****
Mungkin ramai rakyat Malaysia begitu teruja mengikuti perkembangan di beberapa negara Arab yang menyaksikan kejatuhan pemimpin diktaktor dari Tunisia, Mesir dan juga Yemen kerana kesemuanya bermula dan berlaku kerana pemberontakan dan rusuhan rakyat yang tertindas.
Arab Spring adalah ungkapan yang lazim digunakan terutama sekali oleh media Barat untuk menggambarkan senario yang sedang melanda rantau Arab kerana ia disifatkan sebagai satu pembaharuan yang membawa kepada perubahan yang lebih baik kepada mereka yang terlibat.
Arab Spring juga sering dikaitkan dengan proses demokrasi yang sebelum ini begitu terasing dengan kehidupan ketiga-tiga negara tersebut dan ramai mengharapkan fenomena ini juga akan melanda negara Arab lain seperti Syria, Jordan, Bahrain, Kuwait dan juga Arab Saudi.
Tidak menghairankan jika terdapat segelintir rakyat Malaysia yang terikut-ikut dengan demam Arab Spring sehingga tergamak melakukan perkara yang serupa dengan menganjurkan perhimpunan dan rusuhan dengan harapan tekanan yang terbit mampu menumbangkan kerajaan yang sah.
Memang benar adalah menjadi hak hakiki setiap rakyat untuk bebas bersuara dan menyatakan pendapat tanpa rasa bimbang, tetapi perhimpunan sedemikian rupa lebih banyak membawa kemudaratan daripada kebaikan.
Tidak perlu dibahaskan secara panjang lebar bahawa senario politik Tunisia, Mesir dan Yemen dan kebanyakan negara Arab adalah jauh berbeza dengan Malaysia yang tidak memungkinkan wujudnya pemangkin yang boleh merangsangkan rakyat memberontak secara spontan dan meluas.
Tetapi apa yang paling dibimbangi adalah secara tidak disedari rakyat Malaysia telah dipergunakan oleh golongan tertentu untuk melangsungkan agenda politik masing-masing dengan kaedah yang boleh memusnahkan negara apabila turut terlibat dalam perhimpunan membantah kerajaan.
Rakyat Malaysia perlu selami bahawa perhimpunan untuk meluahkan perasaan bantahan lambat-laun akan memberi tekanan dan membuahkan suasana kepada kewujudan rusuhan yang mampu menggagalkan pentadbiran sesebuah negara.
Presiden Yemen Ali Abdullah Saleh terpaksa meletak jawatan kerana kumpulan suku kaum yang menentang beliau dengan bijak telah mempergunakan senario rusuhan sebagai dalil tentangan rakyat Yemen terhadap pemerintahan beliau.
Masyarakat antarabangsa menyanjung rakyat Arab yang telah menggulingkan diktator negara masing-masing melalui proses rusuhan rakyat kerana hanya itu sahaja kaedah yang boleh diamalkan untuk mengecapi kebebasan dan demokrasi.
Tetapi sedihnya ialah pembentukan kerajaan melalui proses rusuhan sebenarnya tidak memberi sebarang manfaat seperti yang diharapkan. Memang benar Tunisia, Mesir dan Yemen telah melalui proses pilihan raya pasca pemerintahan diktator tetapi begitu malang sekali proses demokrasi tersebut telah disalah guna oleh golongan yang begitu ekstrem pandangan mereka untuk kepentingan politik masing-masing.
Tunisia yang dikatakan mempunyai peluang terbaik untuk mengecapi demokrasi nampak gayanya telah menjerumus kepada keadaan yang lebih parah. Berbanding dengan Mesir atau Yemen, Tunisia mempunyai komposisi rakyat kelas pertengahan dan berpendidikan tinggi yang lebih ramai tetapi masih gagal menjadi negara yang lebih makmur walaupun pilihan raya yang adil telah berlangsung.
Hari ini kerajaan Tunis dikuasai oleh parti Al-Nahda yang mempunyai fahaman dan dasar yang agak ekstrem yang mengakibatkan golongan wanita membuat bantahan terhadap berbagai sekatan yang diperkenalkan. Pertembungan kerap berlaku di antara kumpulan yang berlainan fahaman seperti kumpulan Salafi dan liberal umpamanya yang membuatkan suasana ekonomi Tunisia begitu lembab dan tidak berkembang.
Serupa juga dengan apa yang berlaku di Mesir, kumpulan Ikhwanul Muslimin melalui Parti Keadilan dan Kebebasan yang menguasai kerajaan mendapati begitu sukar untuk meredakan keadaan yang sentiasa bergolak.
Keadaan Mesir yang sentiasa bercelaru telah membuatkan kumpulan ekstrem lain seperti Parti Nour begitu galak dengan aktiviti yang lebih memudaratkan. Umpamanya serangan ke atas kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah pada bulan September lepas didalangi oleh kumpulan tersebut.
Paling membahayakan sekali adalah kumpulan militan yang radikal begitu mudah bertapak di Mesir terutama sekali di kawasan yang sukar dikawal oleh kerajaan pusat. Semenanjung Sinai adalah contoh terbaik kerana sejak kebelakangan ini sering berlaku keganasan yang berpunca dari sini yang menyerupai senario sempadan Afghanistan-Pakistan sebagai tempat perlindungan pengganas.
Keadaan huru-hara yang melanda negara Arab yang terlibat secara langsung menjatuhkan kerajaan melalui rusuhan turut melanda jiran mereka. Libya telah melalui peperangan dan hari ini walaupun ketiadaan diktator Muammar Gaddafi dan juga telah melalui proses pilihan raya, tetapi pergaduhan di antara kumpulan fahaman Salafi dan Sufi sering tercetus saban hari.
Tidak ada satu pun negara Arab yang menjadi lebih aman dan makmur selepas menggulingkan kerajaan secara rusuhan. Kumpulan fahaman ekstrem seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Al-Nahda di Tunisia walaupun membentuk kerajaan pasca rusuhan melalui pilihan raya yang sah, tetapi gagal mentadbir negara dengan baik malah keadaan menjadi bertambah buruk.
Tetapi apa yang paling dikhuatiri adalah kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda bagaikan telah diberi nafas baru akibat daripada pergolakan di negara Arab. Tidak keterlaluan jika diandaikan sumbangan kumpulan ini untuk menjatuhkan kerajaan Bashar al-Assad di Syria ketika ini adalah lebih signifikan daripada apa yang mereka telah lakukan di Libya sebelum ini.
Al-Qaeda juga mampu berlindung dengan selesa bukan sahaja di Semenanjung Sinai, Mesir malah bertambah kuat di Semenanjung Arabia gara-gara lemahnya pentadbiran kerajaan pusat era pasca rusuhan negara Arab.
Rakyat Malaysia perlu hargai dengan kemakmuran yang dikecapi selama ini kerana demokrasi yang stabil mustahil akan wujud tanpa perancangan. Iktibar perlu diambil dan insafi dengan apa yang telah melanda negara Arab. Adalah tidak adil untuk memperjudikan masa depan generasi akan datang hanya kerana cita-cita dan nafsu politik.

Tiada ulasan: