13 Mac 2013

Blog Stop The Lies siar kembali rakaman Karpal minta Anwar bertaubat

KUALA LUMPUR 11 Mac - Laman blog Stop The Lies, http://stopthelies.my bertindak menyiarkan kembali rakaman sidang akhbar Pengerusi DAP, Karpal Singh yang antara lain meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat.
Rakaman sidang akhbar yang berlangsung pada 2009 itu memperlihatkan kekecewaan Karpal terhadap Ketua Pembangkang itu kerana mempromosi budaya lompat parti.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga melahirkan rasa kesal kerana pemimpin-pemimpin DAP tidak bersama menyokong beliau.
"Saya turut kesal pemimpin dari parti saya sendiri tidak menyokong saya. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng sepatutnya menyokong saya. Bukannya mengeluarkan kenyataan menyokong Anwar Ibrahim.
"Anwar Ibrahim telah menimbulkan pelbagai masalah kepada negara ini. Anwar Ibrahim harus bertaubat."
Demikian sedutan kenyataan Karpal yang dimuatkan dalam laman blog terbabit.
Kekesalan Karpal terhadap Anwar juga boleh ditonton menerusi laman perkongsian video YouTube bertajuk Karpal Singh vs Anwar - Taubat.
Rakaman sepanjang lebih lima minit itu memuatkan beberapa sedutan sidang akhbar Karpal yang menempelak Anwar yang disifatkannya sebagai tidak layak memimpin pembangkang.
"Saya berpendapat beliau (Anwar) tidak layak memimpin pakatan rakyat (pembangkang). Pakatan memerlukan seorang pemimpin yang tidak membenarkan kegiatan tidak bermoral seperti lompat parti," tegas Karpal dalam rakaman berkenaan.

Tiada ulasan: