Pages

19 Mac 2013

Penduduk percaya kerajaan BN ikhlas

TELOK KEMANG 14 Mac - Sejak 2008 sehingga kini, penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Port Dickson telah merasai pelbagai kesukaran berada di bawah wakil rakyat pakatan pembangkang.
Apa tidaknya, ramai yang mengeluh apabila masalah yang dibawa kepada wakil rakyat itu tidak dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan akhirnya, penduduk kembali kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengadu nasib, sekali gus diselesaikan dengan tindakan segera.
Menurut mereka, kerajaan BN telah memberikan komitmen yang baik, walaupun kawasan DUN Port Dickson dikuasai pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Cukup dan bosan dengan pelbagai janji yang ditaburkan pembangkang, pengundi di DUN Port Dickson kini menanti detik pembubaran Parlimen untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang khususnya di kawasan ini.
Seorang penduduk di Taman Dhoby dekat sini, Salim Abdul Hamid, 46, berkata, mereka tidak menafikan wakil rakyat pembangkang turun melihat masalah yang dihadapi penduduk, tetapi sekadar lawatan tanpa disusuli dengan tindakan.
''Mereka gemar mendengar keluhan dan rintihan penduduk. Apabila ditanya sama ada boleh membantu menyelesaikan masalah, mereka akan berkata, kita akan bawa ke pengetahuan kerajaan BN.
''Jika itu tindakannya, kami pun boleh lakukan. Sebab itulah penduduk sekarang lebih senang merujuk masalah terus kepada agensi kerajaan BN. Kita tidak menunggu lama untuk mendapatkan tindakan balas. Kami lebih senang berurusan dengan kerajaan BN," ujarnya.
Sementara itu kariah Masjid Abdullah Sijang dekat sini, Mohd. Asri Taman, 49, memberitahu, penduduk di sekitar masjid ini dan kampung berdekatan dapat merasai nikmat pembangunan yang dilakukan kerajaan BN di kawasan DUN Port Dickson.
''Dahulu tiada kemudahan, tetapi sekarang sudah ada jalan raya yang baik, balai raya, lampu jalan dan banyak lagi. Kita yakin semua usaha ini dilakukan oleh kerajaan BN untuk mensejahterakan rakyat.
''Aduan yang dibuat termasuk soal kebersihan dan sebagainya, sering kali di ambil perhatian oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan,'' ujarnya.
Sehubungan itu katanya, adalah wajar penduduk di sini mengucap kesyukuran dan terima kasih kepada kerajaan BN yang selama ini terbukti tidak pernah meminggirkan kawasan yang dimenangi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan