7 April 2013

Rakyat harus bersyukur bantuan kerajaan - Tun Abdullah

Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada majlis Penyerahan Projek Program Bantuan Rumah di Kampung Pokok Jenerih, Kubang Menerung, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. 
*****
KEPALA BATAS 5 April - Rakyat seharusnya bersyukur dengan pelbagai bantuan dan sumbangan yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi membantu rakyat tanpa mengira status dan pangkat mereka.
Hal ini kerana terlalu banyak kemudahan, pembangunan dan sumbangan yang dibawa oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan selesa dan harmoni tanpa ada golongan yang terpinggir dan tertinggal.
Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan yang ada kini dilimpahi sifat penyayang serta menyediakan pembangunan fizikal dan rohani kepada masyarakat.
"Rakyat tak boleh menafikan sumbangan dan bantuan yang diberi oleh kerajaan, malah mereka harus bersyukur dengan limpahan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan ada sekarang.
"Malah, jika rakyat sentiasa berterima kasih, pastinya lebih banyak nikmat akan dikurniakan Allah kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi kawasan Kepala Batas di Kampung Pokok Jenerih di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara Malaysia, Jamal Nasir Othman.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas menambah, rakyat yang menerima bantuan dan sumbangan itu juga harus memiliki semangat untuk menambah nilai segala yang diberikan kerajaan.
"Kalau tidak, mereka ini dianggap seperti orang yang membazir serta akan merugikan diri sendiri andainya tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya bantuan atau sumbangan itu.
"Kerajaan yang ada sudah bagi macam-macam kepada rakyat, jadi rakyat kena sentiasa dan terus menyokong mereka untuk membawa lebih banyak kemakmuran kepada negara," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdullah turut mengulas tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang dilihat berhasrat untuk bertanding di kawasan lain pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini sebagai tidak menghargai sokongan pengundi mereka.
Hal ini kerana, katanya, menjadi wakil rakyat bukan sekadar suka-suka tetapi ada tanggungjawab besar harus dipikul dan jasa yang dibawa kepada rakyat.
"Kalau asyik berpindah kawasan yang diwakili macam mana pembangunan nak sampai kepada rakyat sebab kehadiran mereka tidak sempat memberikan makna dan sumbangan kepada masyarakat setempat," ujarnya.

Tiada ulasan: