JERTIH, 4 April (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh berkata beliau akan terus menyandang jawatan pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan bersedia menyerahkan jawatan itu kepada pihak jika kepimpinan parti mengarahkannya berbuat demikian.
"Sebagai orang Umno saya patuh kepada parti dan sekiranya Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno) mahu saya melepaskan jawatan ini ia tiada halangan bagi saya kerana saya memang bekerja untuk parti," katanya kepada pemberita pada sambutan Maulidur Rasul di Kampung Balik Bukit dekat sini malam tadi.
Inilah kali pertama Idris mengeluarkan kenyataan kepada media sejak berakhirnya kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu, yang menyaksikan Datuk Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan beliau pada 23 Mac.
Idris, yang sukar dihubungi media sebelum ini, berkata beliau enggan mengeluarkan sebarang kenyataan selama ini kerana bimbang kenyataannya akan dieskploitasi pihak-pihak tertentu sehingga boleh mengeruhkan keadaan.
Ditanya mengenai kehidupan sehariannya selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar, Idris dengan ceria sekali berkata beliau dan isteri kini lebih relaks dan mempunyai banyak masa untuk tugas parti dan berjumpa dengan penduduk daerah Besut.Idris, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jertih, berkata beliau kini memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan kawasannya dan daerah Besut.
"Saya bekerja untuk rakyat. Sekiranya rakyat bahagia maka saya turut bergembira," katanya.Beliau berkata apa yang berlaku terhadap dirinya sebelum ini mungkin mempunyai hikmah tersendiri, yang dikabulkan Allah atas doa yang dimintanya sendiri.
"Apa yang berlaku ke atas diri saya adalah ketentuan Allah, yang mungkin untuk membimbing saya supaya bertugas dengan lebih cemerlang di masa depan," katanya.Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memberi sokongan kepada beliau dan Barisan Nasional sehingga parti itu berjaya mengekalkan kuasa di Terengganu sekali lagi pada pilihan raya umum 8 Mac.
"Saya berharap rakyat jangan berasa runsing atau kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap agar mereka terus bekerja dengan lebih kuat bagi memajukan negeri dan parti, supaya Barisan Nasional dapat terus mengekalkan pemerintahan di Terengganu di masa depan," katanya.
Beliau juga melahirkan rasa gembira bahawa Masjid Kampung Balik Bukit, sudah dapat disiapkan dan digunakan kerana sebelum ini projek pembinaannya terbengkalai semasa pemerintahan kerajaan PAS.
Masjid baru itu menggantikan masjid lama yang terletak 200 meter dari situ.
Pada majlis sambutan itu bekas Menteri Besar itu dan isterinya Toh Puan Seri Che Kamariah Zakaria telah bersama 500 penduduk kampung itu mengerjakan solat hajat, membaca yassin dan bertahlil.-- BERNAMA, April 04, 2008 10:49 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan